Wednesday 8 February 2012

Ratu Hati Si Putera Arab (prolog)

Assalamualaikum....buat semua pembaca yang dikasihi sekalian. mulai dari hari ini, saya akan postkan Novel-Putera Arab (tajuk asal Putera Arabku) di blog ini. Tapi kita mula dari Prolog balik ya..... Terima kasih.....

______________________________________________________________________________









“ALHAMDULILLAH,” Zack menadah tangan dan mengungkap rasa syukurnya ke hadrat Illahi apabila hakim membacakan keputusan perbicaraan. Akhirnya, semua telah selesai. Syed Hussin, pakciknya sudah menerima hukuman atas tuduhan merancang kemalangan kedua orang tuanya dan juga percubaan membunuhnya.
            Memang sesuatu yang tragis apabila keluarga sendiri menjadi musuh. Tapi semuanya diterima dengan redha. Sesungguhnya, setiap sesuatu yang berlaku adalah kehendak Allah s.w.t dan kita sebagai manusia hanya perlu berserah dan bertawakal. In Sha Allah, dia sentiasa yakin apa sahaja yang dugaan atau musibah yang Allah berikan, pasti akan menyusul kenikmatan disebaliknya.
Cuma jenayah yang dilakukan terhadap Suhana masih terus dirahsiakan. Itupun atas permintaan keluarga Suhana sendiri. Semua bukti tentang itu sudah disimpan kemas oleh keluarga mereka. Kini, tiada siapa lagi yang akan mengganggu keluarga Fariz dan Maisara. Tiada siapa lagi yang akan cuba untuk merampas Aiman. Hanya keluarga Fariz dan Maisara perlu lebih bersedia untuk memberi tahu kebenaran pada Aiman bila sampai masanya nanti.
Sekarang, dia perlu menunggu masa untuk mengambil alih jawatan sebagai Pengarah Warisan Syed. Semua saham milik Syed Hakim akan diserahkan padanya seperti wasiat yang tertera dalam peninggalan arwah Syed Hakim. Ilyana dan Syarifah Nurain yang juga memiliki sebahagian saham di Warisan Syed sudah menyerahkan semua pentadbiran penuh padanya kerana mereka akan bertolak semula ke Paris.
Sekali lagi Zack mengucapkan rasa syukurnya. Ilyana dan Syarifah Nurain juga semakin rapat dengannya. Jika dahulu dia dan Ilyana bagaikan dua saudara yang bermusuhan, namun kini semuanya sudah berubah. Mereka menjadi sangat rapat apatah lagi apabila kedua beranak itu yang bertanggungjawab menjaga Maisara ketika wanita itu melarikan diri ke Paris.
Zack melangkah keluar dari mahkamah. Matanya menangkap sekumpulan manusia yang banyak berjasa padanya sudah sedia menunggunya di luar kawasan mahkamah. Sampai sahaja di depan Ismail, ayah Fariz dan Khalid, ayah Maisara, terus dia memandang mereka berdua silih berganti. Rasa terharu dan berterima kasih yang tak terhingga tak pernah hilang dalam dirinya. Selama ini mereka berdua telah bertindak sebagai orang tuanya sendiri dengan menyokongnya dari belakang.
“Macam mana Zack?” tanya Khalid setelah lelaki itu hanya terpaku di depan dia dan Ismail. Tanpa berkata apa-apa lantas Zack terus memeluk erat tubuh Khalid. Kemudian, dia beralih pula memeluk tubuh Ismail. Sesungguhnya, dia sudah menganggap Khalid dan Ismail seperti ayahnya sendiri
Ismail dengan rasa terharu menepuk-nepuk belakangnya. Dari reaksi Zack, sudah pastinya keputusan mahkamah berpihak kepada keadilan. Sayangnya, mereka semua tidak ikut serta dalam perbicaraan itu. Zack hanya ditemani oleh Ilyana dan Syarifah Nurain.
“Alhamdulillah pakcik, semuanya dah selesai.” Setelah tiga tahun berlalu, baru kini perbicaraan atas pertuduhan terhadap Syed Hussin selesai. Kelihatan senyuman kelegaan menguntum di bibir mereka semua. Dibibir masing-masing sudah memanjatkan kesyukuran.
Zack memandang wajah di depannya satu persatu, Ismail, Khalid, Maimun, Fariz dan Maisara. Ternyata mereka semua turut berkongsi perasaan dengannya.
“Tahniah Zack. Aku tumpang gembira,” Fariz mengulurkan tangan untuk bersalam dengan Zack. Seraya dengan itu, Zack menarik tubuh Fariz dan berpelukan dengannya. Seperti Ismail, Fariz juga menepuk lembut bahunya.
“Terima kasih, Fariz. Kau banyak tolong aku,” ujar Zack. Fariz yang dahulunya pernah bermusuhan dengannya kini bagaikan saudaranya sendiri.
“Tak ada apa-apalah. Apa sahaja yang berlaku antara keluarga aku dan keluarga kau,  semuanya takdir. Kerana itu jugaklah, kita rapat bagaikan saudara. Takdir dah menyatukan kita semua.” Fariz merungkaikan pelukan. Kedua-dua bahu Zack dipegangnya. Zack sudah seperti adiknya sendiri. “Yang penting, semuanya dah selesai. Mulai dari hari ini, kau kena mulakan hidup baru dengan perancangan yang baru. Kami semua sentiasa ada untuk menyokong dan membantu kau.”
“Aku dah banyak terhutang budi dengan kau dan keluarga kau,” ujar Zack dengan rasa rendah diri.
“Ish! Apa ni. Kau dah macam adik aku dah!” Tegas Fariz. “Kalau ada apa-apa jangan segan-segan cari kami. Kami semua, sentiasa ada untuk kau!”
Ismail dan Khalid menganggukkan kepala, menyetujui kata-kata Fariz.
“Tahniah, Encik Zack.” Maisara turut mengucapkan tahniah.
“Terima kasih,” Zack tersenyum sambil menganggukkan sedikit kepalanya kepada Maisara.
“Zack!” Kedengaran satu suara memanggilnya. Kelihatan kelibat Ilyana yang sedang melambai-lambai sambil melangkah menghampiri mereka.
Zack dan yang lain berpaling memandang Ilyana dan ibunya, Syarifah Nurain yang semakin dekat. Syukurlah, kedua beranak itu banyak membantu dengan menjadi saksi atas semua pertuduhan. Biarpun kelihatannya Ilyana seakan tertekan untuk menjadi saksi atas semua perbuatan walidnya, tetapi sepupunya itu tetap membantu. Semuanya atas dorongan Syarifah Nurain.
Syarifah Nurain dan Ilyana akan berangkat semula ke Paris malam ini. Mereka hanya kembali ke Malaysia sekadar untuk membantu perbicaraan.
“Assalamualaikum,” sapa Syarifah Nurain yang baru menghampiri mereka. Dia mengukirkan senyuman untuk mereka semua.
“Waalaikummussalam,” jawab yang lain.
            “Tahniah Zack,” ucap Syarifah Nurain. Dia tumpang gembira dengan hasil perbicaraan yang baru diputuskan tadi.
“Terima kasih, amati, Yana. Terima kasih banyak!” ujar Zack. Jasa Syarifah Nurain dan Ilyana yang sanggup tebang dari Paris ke Malaysia semata-mata untuk menghadiri perbicaraan sangat dihargai Zack. Tak terbayar budi mereka padanya.
“Tak perlu berterima kasih. Kami hanya menegakkan kebenaran!” ujar Ilyana tersenyum pada Zack.
“Betul tu Zack. Yang penting sekarang, Zack kena uruskan Warisan Syed sebaik mungkin.” Syarifah Nurain menyokong kata-kata Ilyana.
“Betul! Uruskan baik-baik!” Sampuk Ilyana. “Jangan lupa, bahagian aku nanti masukkan dalam akaun!” guraunya.
Zack hanya tersenyum. “In Sha Allah, amati. Saya akan uruskan Warisan Syed dengan baik. Kepercayaan yang amati dan Yana berikan, tak akan saya sia-siakan.” Sungguh, Zack sangat terharu dengan kepercayaan yang telah diberikan mereka kepadanya.
 Ilyana yang berdiri di sebelah Maisara, lantas memeluk bahu Maisara. “Aku dan umi nak balik Paris dah malam ni. Kalau senang-senang datanglah ke Paris. Rindulah dengan kau. Sejak kau balik sini, sekali pun kau tak ke sana,” ujar Ilyana.
Memang dahulu dia sangat membenci Maisara tetapi Allah telah membuka pintu hatinya untuk melihat ketulusan hati wanita itu. Mengenali Maisara selama tiga tahun, banyak mengajarnya erti pengorbanan. Apa yang dilakukan sebelum ini, hanyalah sesuatu yang mementingkan diri sendiri. Tetapi berlainan dengan Maisara yang lebih memikirkan orang lain berbanding dirinya.
Maisara hanya tersenyum mesra. “Aku hanya ikut Fariz. Kalau dia kata jom, mesti aku pergi jumpa kau kat sana dengan anak-anak.”
Wajah Fariz dilirik Ilyana pula. “Entah Fariz ni! Bawalah Sara dan anak-anak bercuti kat sana. Lepas dia balik sini tahun lepas, terus kau kurung dia.” Ilyana memuncungkan bibirnya tanda merajuk.
“Ish! Mana ada aku kurung Sara. Kau yang dah bawa lari Sara! Tiga tahun dia dengan kau. Tinggal aku sorang-sorang kat sini!” ujar Fariz mengingati kembali saat-saat sulit mereka.
Ilyana dan Maisara berpandangan. Ada senyuman terukir di wajah Ilyana. “Nak buat macam mana, Sara yang minta rahsiakan. So, terpaksalah aku rahsiakan yang Sara dan anak-anak ada dengan aku!” Ilyana sudah ketawa kecil melihat sikap Fariz yang seakan marah-marah manja dengannya.
“Sudah-sudahlah tu,” Khalid menyampuk. “Cerita yang lama jangan diungkit lagi! Semuanya dah berakhir. Sekaranglah masanya untuk kita mulakan cerita dan hidup yang baru sebagai satu keluarga!”
“Ya!” Masing-masing bersetuju dengan pendapat Khalid. Terukir senyuman gambira diwajah masing-masing. Detik hitam dalam hidup mereka baharu sahaja berlalu pergi. Awan hitam yang menutup mentari kini mula dibolosi oleh cahayanya.
“Oh! I missed the kids!” Ilyana teringatkan pula kepada Aiman dan Ayla. “Kenapa korang tak bawa Ayla dengan Aiman sekali?” Dia dan Syarifah Nurain baharu sahaja tiba malam tadi dan pagi ini terus ke mahkamah. Belum sempat untuk mereka menemui Aiman dan Ayla.
“Kau ni Yana, takkanlah nak bawa budak-budak datang court sekali! Agak-agaklah.” Maisara menggeleng. “Budak-budak aku tinggal dengan tok mama diorang.”
“Umi, malam ni kita jenguk anak-anak dulu sebelum pergi airport!” ajak Ilyana sambil memandang Syarifah Nurain.
Syarifah Nurain menganggukkan kepalanya. Dia juga rindukan Aiman dan Ayla. Anak-anak Maisara sudah seperti cucunya sendiri. Tiga tahun mereka membesar di depan matanya. Nak sayangkan cucu sendiri, sayangnya Ilyana masih belum berumahtangga.
“Itulah! umi suruh kahwin tak nak!” usik Syarifah Nurain.
 Ilyana hanya tersengih dengan usikan itu. Mereka yang lain pula sudah ketawa.
“Kenapa nak balik malam ni jugak? Bermalamlah di rumah,” ajak Maimun. “Boleh lepaskan rindu dengan Ayla dan Aiman!”
“Tak bolehlah, kak,” ujar Syarifah Nurain. Wajahnya bertukar kecewa “Kami terpaksa pulang malam ni jugak. Ada urusan penting.” Biasanya, jika pulang ke Malaysia, mereka pasti bermalam di rumah Maisara untuk melepaskan rindu pada Aiman dan Ayla. Namun, kesibukan kerja adakalanya membataskan waktu.
Maimun menepuk-nepuk bahu Syarifah Nurain. “Tak pelah kalau dah macam tu.” Dia faham jiwa Syarifah Nurain yang juga kecewa kerana tidak dapat meluangkan lebih masa di sini.
“Jom, kita ke rumah saya. Aiman dan Ayla mesti tengah bermain sekarang ni!” ajak Ismail. “Lepas tu, bolehlah kita luangkan masa bersama! Malam nanti, kami semua akan hantar Yana dan Ain ke airport,” kata Ismail kepada Syarifah Nurain.
“Jom! Jom!” Laju sahaja Ilyana menyetujui rancangan Ismail. Dia sudah tidak sabar untuk memeluk tubuh kecil Aiman dan Ayla. Bagai kedengaran di cuping telinganya panggilan amati oleh Aiman dan Ayla padanya. “Dah tak sabar nak peluk cium budak-budak tu!”
Fariz hanya tergeleng-geleng melihat Ilyana. “Kau ni Yana, kenapa tak kahwin-kahwin lagi ni? Kalau kau kahwin, kau pun dah ada anak.” Sikap Ilyana yang kini kelihatan sangat menyayangi anak-anaknya amat menyenangkan hati Fariz. Namun, dia sering merasakan yang Ilyana perlu mencari kebahagiaan untuk dirinya sendiri dan mempunyai keluarga serta zuriat sendiri. Pastinya hidup wanita itu akan lebih bermakna.
“Belum sampai serulah!” jawab Ilyana. Bukan dia tidak mahu berkahwin tapi jodoh belum sampai. Apatah lagi, dia juga sibuk menguruskan perniagaan yang telah dimulakan oleh Syarifah Nurain.
“Betulkan? Atau, kau belum jumpa pengganti Fariz?!” usik Zack pula. Sengaja mahu menaikkan kemarahan sepupunya itu.
Mencerlung Ilyana memandang Zack. Pinggangnya dicekak. “Watch your mouth, Zack!” Dia khuatir jika hati Maisara terguris dengan kata-kata itu.
 Fariz dan Maisara sudah berpandangan sambil ketawa. Sedikit pun mereka tidak ambil hati dengan usikan itu. Maisara cukup kenal apa yang tersirat di dalam hati Ilyana.
Its okay, Yana. Encik Zack hanya bergurau,” ujar Maisara.
“Agak-agaklah kalau nak bergurau pun!” Ilyana sudah memuncungkan bibirnya. Dahinya pula sudah berkerut.
“Sorry.” Zack memandang Ilyana. “Aku gurau je.” Zack mengangkat kedua-dua tangannya sambil tertawa melihat wajah Ilyana yang kemerah-merahan menahan malu.
“Kau pun sama, kenapa kau tak kahwin-kahwin lagi?” Giliran Ilyana pula yang mengusiknya. “Jangan-jangan kau masih belum jumpa pengganti Sara tak?” Ilyana ketawa.
Mereka yang lain menggelengkan kepala namun dibiarkan sahaja kedua sepupu itu mengusik antara satu sama lain.
Fariz dan Maisara berpandangan sesama mereka dan tersenyum. Mereka tahu, Ilyana dan Zack masing-masing sedang bergurau. Tiada apa yang patut dianggap serius. Fariz mendekati Maisara lalu memeluk bahu isterinya.
“Tiada siapa yang boleh halang cinta kami!” Fariz menjongketkan keningnya kepada Ilyana dan Zack. Maisara hanya membisu dan tersenyum malu.
“Hah! Tengok tu, Fariz dah marah dah!” ujar Zack. “Mana ada, aku dah anggap Sara macam adik aku sendiri. Ilyana ni je, suka buat fitnah!” usik Zack lagi.
“Mana ada! Kau ni, jahatlah Zack!” Semakin ketat wajah Ilyana dengan usikan Zack. Bahu Zack dicubit-cubitnya dengan rasa geram.
Zack pula, sudah tergawang-gawang tangannya kerana cuba mengelak dari cubitan Ilyana. Sikap Ilyana itu membuatkan Zack semakin galak mengusiknya.
“Dahlah, jangan merajuk. Zack main-main saja tu,” Maimun mencapai tangan Ilyana dan terus memeluknya. Sekaligus memberhentikannya dari mencubit Zack. Dia tahu mereka sedang bergurau tetapi sengaja mahu dimenangkan Ilyana. “Nanti makcik cubit-cubitkan Zack ni!”
Ilyana tertawa kecil dengan kata-kata Maimun. Hilang sudah muncung panjangnya. “Betul tu makcik. Cubit dia sampai berdarah tau!” Mereka yang lain sudah tertawa. Sifat manja Ilyana masih seperti dulu. Tetapi wanita itu sudah berubah terlalu jauh hinggakan Ilyana dahulu sudah hilang dari dalam dirinya.
Syarifah Nurain menggelengkan kepala sambil tersenyum manis. Ilyana dan Zack, masing-masing dibesarkan dalam suasana yang berlainan dan terpisah kehidupan walaupun mereka bersaudara. Bila dah besar panjang begini, baru hubungan mereka semakin baik, itupun setelah melalui pelbagai rintangan.
“Zack,” Syarifah Nurain mencapai tangan Zack dan menatap wajah di depannya itu dengan rasa simpati. “Amati tak berkesempatan untuk mengenali Zack dengan baik. Tapi, amati tetap ibu saudara Zack. Kalau ada apa-apa, jangan segan-segan beritahu amati, ya.” Dia memang tidak akan tinggal di Malaysia, tetapi dia tak mahu terputus hubungan dengan Zack.
“In Sha Allah, amati. Amati pun selalu-selalulah balik sini. Hanya amati dan Yana saja, satu-satunya saudara saya yang masih ada.” Zack memandang wajah Syarifah Nurain yang penuh dengan sifat keibuan itu.
“In Sha Allah, Zack.” Pandangan Syarifah Nurain beralih pula pada Maimun. “Akak, akak tolong tengok-tengokkan Zack, ya. Selama ni, kami semua dah abaikan dia sebagai saudara. Kali ni pula, saya tak dapat bersama dengan dia.” Ada airmata yang menitis di pipi wanita itu.
“Jangan risau. Akak dah anggap Zack macam anak akak sendiri. Dia dah jadi sebahagian dari keluarga akak. Akak akan jaga dia. In Sha Allah.” Hati Maimun juga sebak melihat tangisan Syarifah Nurain. Lantas dia mendakap wanita itu dengan erat.
Zack terus terdiam. Dia tidak menyangka wanita-wanita di depannya ini begitu mengambil berat tentang dirinya. Betapa bertuahnya dia sedangkan selama ini dia selalu merasa yang dia keseorangan di dunia ini.
“Umi dan makcik janganlah emosi sangat. Zack dah besarlah!” Ilyana menyampuk. Hatinya juga terusik namun sengaja disembunyikan. “Tahulah dia jaga diri sendiri. Kalau dah kahwin, dia dah jadi bapa budak dah,” Ilyana yang baru sahaja menyapu airmatanya, cuba mewujudkan suasana ceria.
“Kalau aunty dengan umi risau sangat dengan Zack ni, cari saja calon isteri untuk dia. Kasi kahwin terus!” usik Maisara pula.
Syarifah Ilyana dan Maimun tersenyum.
“Betul! Yana setuju. Zack pun dah semakin tua. Bila lagi dia nak kahwin? Takkan berjanggut baru nak kahwin.” Ilyana mengambil kesempatan dari kata-kata Maisara untuk mengusik Zack.
“Ish, sebab aku lebih tua dari kau dan berpangkat abang, jadi sepatutnya aku pastikan kau kahwin dulu. Kemudian, barulah aku pulak,” bidas Zack kembali. Ada sahaja usikannya untuk membalas semula usikan Ilyana.
“Mana boleh! Itu namanya, langkah bendul!” Ilyana mencebik. “Betulkan Sara?” Dia memandang Maisara meminta sokongan.
Maisara hanya ketawa. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Mereka yang lain juga hanya ikut ketawa. “Kalau susah sangat, kau orang berdua kahwin sesama sendiri sudahlah,” Maisara mengusik kedua-duanya.
Ilyana dan Zack berpandangan untuk seketika. Kemudian, masing-masing menggelengkan kepala. “Mana boleh!” Zack dan Ilyana bersuara serentak.
Mereka yang lain sudah ketawa besar.
“Aku tak inginlah orang macam kau!” Ilyana memandang Zack.
“Kau ingat aku sudi kalau kau teringin nak kahwin dengan aku?” Zack mengerling.
“Apa salahnya. Apa kurangnya Zack ni, Yana?” usik Khalid.
“A’ah Zack, apa pulak kurangnya Yana ni?” Maimun pula mengusik Zack.
“Betul tu! Amati pun nak tahu juga apa kurangnya anak amati ni di mata Zack,” Syarifah Nurain juga cuba mengusik mereka.
“Umi!” Terbeliak mata Ilyana bila uminya juga turut mengenakan mereka berdua.
“Amati,” Zack memeluk bahu Syarifah Nurain. “Anak amati ni, tak ada kurangnya.” Dia memerhatikan Ilyana yang sudah bertudung litup itu. “Cantik, baik, manja,” puji Zack. “Tapi, kalau boleh, tak naklah sepupu sendiri. Dah macam adik Zack dah pun. Tak bolehlah nak di jadikan isteri. Tak sesuai!”
“Betul tu!” Tersenyum lebar Ilyana dengan pujian yang diberikan Zack untuknya. “Tapi, kalau kau nak kahwin nanti, jangan lupakan kita orang kat Paris tu!” Ilyana sudah mengingatkannya. “Sara, kalau ada apa-apa dengan abang sepupu aku yang seorang ni, tolong update dekat aku!”
“Okey!” Maisara sudah tertawa.
Zack menggelengkan kepala. Senang hatinya melihat keakraban Ilyana dan Maisara. Ilyana seringkali menghubungi Maisara ketika di Paris. Setiap kali itu jugaklah, sepupunya itu pasti bertanya tentang dirinya.
“Dah! Dah! Semua jangan risaukan Zack. Pakcik, kan ada.” Ismail menyampuk setelah lama menjadi pemerhati. “Sama-samalah kita berdoa yang terbaik. Bukan sahaja untuk Zack tapi untuk seluruh keluarga kita.”
Terangguk-angguk kepala mereka yang lain.
“Dah, jom! Jangan buang masa lagi. Kita balik jumpa Aiman dan Ayla. Kita bergabung sebagai satu keluarga!” kata Khalid pula.
“Jom!”

No comments:

Post a Comment