Friday, 5 February 2010

Hanya Dia 12

BAB 12
SAMBIl menghirup secawan milo, Fariz memandang jauh keheningan malam yang sunyi dan sepi. Sesekali terdengar deruan enjin motosikal dan kereta membelah kesunyian malam. Beberapa detik dirasakan terhenti apabila dia kembali terimbas memori lalu.
Namun, lamunannya terhenti apabila satu sentuhan hinggap di bahunya. Fariz berpaling melihat susuk tubuh yang sudah melabuhkan punggung di sebelahnya.
“Papa belum tidur?” Fariz bertanya.
Ismail menghirup udara malam lalu melepaskan perlahan. Sedari tadi dia melihat Fariz di situ, melayani fikirannya sendiri. Mungkin ada perkara yang menyesakkan fikirannya.
“Buat apa malam-malam di luar?” Ismail bersuara.
“Saja,” Fariz meneguk lagi minumannya. “Tak boleh tidur.”
Ismail tersenyum mendengar jawapan itu. Memang begitulah sikap anak tunggalnya jika fikirannya terganggu. Namun, untuk kali ini dia dapat merasakan bebanan yang di pendamkan Fariz jauh lebih berat.
“Ada masalah?” Ismail terus ke punca mengapa dia berada di samping Fariz ketika itu. Fariz membisu.
“Pejabat, okey ke?” Fariz mengangguk untuk menjawap soalan itu. Melihatkan anggukan Fariz, Ismail turut mengangguk.
“Fariz ada masalah lain?” Ismail cuba untuk membantu. “Tentang Aiman?”
“Fariz risau,” akhirnya Fariz bersuara. “Fariz takut kalau Fariz tak mampu besarkan Aiman seorang diri. Fariz terlalu sibuk. Fariz tak nak Aiman terabai.”
Ismail menepuk-nepuk bahu bahu Fariz untuk menenangkan hatinya. Dia terdiam seketika untuk berfikir.
“Sara ada beritahu apa-apa pada Fariz?”
Faris sedikit terkejut mendengar soalan itu. Dia tahu mereka sangat berharap Maisara akan mengisi kesunyian dia dan Aiman. Tapi apa yang boleh dilakukan saat ini? Melainkan menunggu pintu hati Maisara terbuka untuk memaafkannya.
Ismail berpaling apabila mendengar hembusan kecil yang dilepaskan Fariz.
“Papa dan mama memang dah berkenan sangat dengan Sara. Aiman, apatah lagi. Maisara dah macam ibu kandung buat Aiman. Papa harap sangat Sara akan gantikan tempat arwah Su.” Ismail berkata dengan penuh pengharapan.
“Apa yang papa hairankan, kenapa Maisara seolah-olah tak sanggup tunaikan amanat arwah Su sedangkan sebelum ni mereka berdua rapat sekali. Dan, Maisara juga sangat sayangkan Aiman.” Ismail cuba menerangkan kemushkilannya.
Menurut kata Khalid, arwah Suhana dan Maisara sangat rapat. Suhana bagaikan ibu kedua kepada Maisara. Maisara sangat manja dengan Suhana berbanding dengan orang tuanya sendiri. Namun, perkahwinan Suhana dan Fariz bagaikan jurang yang memisahkan kedua beradik itu. Walaupun baik Suhana mahu pun Maisara tidak pernah menceritakan apa-apa, tetapi sebagai orang tua, Khalid dan Maimun dapat merasakan ada sesuatu yang disembunyikan mereka berdua.
“Firasat papa menyatakan, ada sesuatu antara mereka berdua yang disembunyikan. Mungkin juga ada kaitannya dengan Fariz. Papa lihat, Fariz dan Maisara seolah-olah mengenali antara satu sama lain. Sedangkan, selepas pernikahan dengan Fariz dan Suhana, Maisara terus berpindah ke Kangar.”
Kata-kata itu sudah cukup untuk membuatkan Fariz tersentak. Lidahnya menjadi kelu. Dia menelan air liurnya.
Apakah ini masanya untuk berterus-terang?
“Sebelum Fariz menikahi Suhana......” Ismail memandang jauh ke dalam anak mata Fariz. Dia cuba untuk membaca apa sebenarnya yang tersirat di hati muda itu.”.....apakah Fariz mengenali Maisara?”
Soalan itu benar-benar menjerut leher Fariz. Dia diam seketika cuba memikirkan sama ada dia perlu berterus terang atau membiarkan sahaja ianya menjadi rahsia.
Ismail di sebelahnya juga turut membisu untuk member ruang kepada Fariz. Dia tahu tiada gunanya kalau dia mendesak Fariz berterus terang. Dia percaya, lambat laun pasti diketahui juga.
“Sebenarnya.......” Akhirnya Fariz bersuara setelah agak lama membisu dan dia telah membuat keputusan untuk berterus terang dengan papanya. Adalah lebih baik begitu, mana tahu papa punya idea bagaimana mahu mendapatkan kemaafan Maisara.
“Fariz mencintai Maisara sebelum Suhana.”
Kenyataan yang baru sahaja keluar dari bibir Fariz membuatkan Ismail terpempam seketika. Namun akhirnya, dia terangguk-angguk, seolah-olah sudah memahami apa yang berlaku.
“Jadi, begitu ceritanya!” ujarnya. “Kenapa dan mengapa jadi begitu, biarlah ia menjadi rahsia Fariz. Cuma sekarang ni, papa nak Fariz berterus terang. Fariz setuju atau tidak dengan permintaan arwah Suhana?”
“Ya, papa,” Fariz mengangguk. “Fariz telah lama mengimpikan Maisara menjadi isteri Fariz. Fariz sayangkan Maisara!”
If that so, we have to do something!”

JAM sudah menginjak ke angka tiga pagi. Suasana yang sunyi dan sepi serta mendamaikan itu tidak mampu mendamaikan hati Fariz. Hatinya berkocak mengingati Maisara. Berpaling ke kanan, wajah Maisara muncul. Berpaling ke kiri, wajah itu juga yang menerjah.
Akhirnya, Fariz bangun lalu menuju ke koridor. Pintu luncur di tolak ke tepi. Angin sepoi-sepoi membelah tubuhnya yang sasa.
Suasana yang begitu indah sekali. Malam yang kelam ditemani cahaya bulan yang terang. Bintang-bintang bertaburan di langit. Alangkah indahnya jika malam ini dapat dikongsi bersama yang tersayang.
Senyuman di bibir Fariz tiba-tiba sahaja hilang. Kotak ingatannya mula menayangkan memori lalu. Suasana malam seperti ini memang indah, namun dalam suasana beginilah cintanya pada Maisara terkubur.
Walaupun keputusannya untuk mengambil Suhana sebagai isteri adalah sesuatu yang bertentangan dengan kehendaknya, namun dia tidak pernah menyesal membuat keputusan besar seperti itu. Apa yang dikesalkan hanya kerana dia perlu melukakan hati Maisara.
Cintanya pada Maisara tidak pernah terkubur sehingga hari ini. Tetapi Suhana dipilih atas dasar tanggungjawab yang tidak mungkin diketahui oleh sesiapa melainkan dia dan Suhana sendiri.
Malam sebelum dia menghantar rombongan untuk meminang Suhana, dia telah menghubungi Maisara.
“Waalaikumsalam.....” terdengar suara Maisara menjawap salamnya. Sungguh ceria suara itu kedengaran di telinganya.
Biasanya, setiap kali mereka berhubung di telefon, ada sahaja cerita-cerita lucu dan lawak jenaka yang disampaikan sehingga Maisara akan ketawa tidak berhenti. Tetapi malam itu berlainan sekali. Dia lebih banyak mendiamkan diri dan membiarkan Maisara menguasai komunikasi.
“Kenapa ni? Apa yang tak kena?” lembut suara Maisara bertanya kepadanya.
Actually...I ada perkara penting nak beritahu you!”
“Kenapa ni?” suara Maisara yang mulanya riang kedengaran resah.
I.....I harap apa yang akan I beritahu you nanti, takkan membuatkan you terluka! But...but.... I know it will hurt you. But I hope you can accept the fact!”
“What are you trying to tell me?!”
Intonasi suara Maisara sudah tidak ada lembutnya.
“I’m Sorry. I think our relationship will not last long!”
“You mean.....”
suara Maisara bergetar. Fariz tahu, tentu gadis itu sedang menahan sebak di dada. “It’s over, isn’t it?”
I’m sorry, Sara!”
“No...no....” Maisara sudah hilang punca namun dia cuba untuk bertenang. “Tell me, it’s just a joke.....right?”
“I’m sorry......I’m sorry.....”
Talian dimatikan. Entah berapa kali telefonnya berbunyi kembali. Namun tidak diendahkan. Tak henti-henti kata maaf lahir dari hatinya walaupun dia tahu Maisara tidak akan mendengarnya.

Saat Hati Merelakan 20

QISMYNA menongkat dagunya sambil memandang jauh ke langit gelap yang ditaburi butiran-butiran bintang yang bergemerlapan. Cuba mencari ketenangan dengan menghitung bintang-bintang itu. Namun perkiraannya sering gagal kerana bintang-bintang itu terlalu banyak dan adakalanya dia sendiri tak tahu bintang yang mana sudah dihitung dan yang mana tidak.


Dia mengeluh seketika. Masalah kembali menghimpit akal fikirannya. Tentang Adam dan tentang Fauzan. Untuk memilih Adam sudah tentu tidak baginya. Walau sedalam mana pun sayangnya dia pada Adam, walau sebesar mana pun kemaafan yang diberikan pada Adam, namun untuk kembali bersatu seperti dulu amat mustahil baginya. Dia tidak pernah percaya percintaan kali kedua dengan orang yang sama akan bahagia seperti percintaan diawalnya.

Dan Fauzan? Mana mungkin dia mencintai insan yang telah dianggapnya seperti abang sendiri. Apatah lagi Fauzan adalah sepupunya sendiri. Dia amat terhutang budi dengan Fauzan. Fauzan terlalu baik untuknya. Sentiasa bersama di saat duka dan di saat suka. Lelaki itu juga seperti penyelamat yang sering menyelamatkannya dari susah dan kecewa.

Dia masih ingat lagi. Lima tahun dulu sewaktu Adam meninggalkannya, dia berasa amat kecewa dan akhirnya menyambung pengajian di Johor Bahru. Walaupun dia menjauhkan dirinya dari keluarga hingga tiada siapa pun yang dapat menghubunginya, namun Fauzan yang pada ketika itu berada di Australia sanggup mencarinya di sana.

Fauzan juga sanggup merahsiakan tentang dirinya pada keluarga dan Fauzan juga yang sering memujuknya untuk menghubungi keluarganya sekali-sekala. Walaupun keluarganya tak pernah bersalah atas kekecewaan yang di rasa, namun dia ingin sekali mencari ketenangan tanpa ada hubungan dengan insan-insan yang dikenalinya selama ini.

Fauzan juga banyak menyedarkannya tentang kesilapannya yang menghukum orang-orang yang menyayanginya hanya kerana tewas dengan cinta seorang lelaki yang tidak menghargai dirinya.

Lelaki itu juga sanggup menghabiskan banyak wang untuk ke Johor setiap enam bulan bagi menemui dirinya dan ada kalanya dia akan tiba tiga bulan lebih awal. Dia juga sering menghubunginya. Berkali-kali dia menegah Fauzan untuk berjumpa dengannya di Johor, namun lelaki itu sering berkata dia hanya akan tenang jika melihat sendiri Qismyna dalam keadaan sihat dan selamat.

Fauzan juga tahu hubungannya dengan keluarga Pak Amin dan Mak cik Badariah. Dia juga mengenali Zurin. Hanya mereka sahaja yang tidak pernah diceritakan tentang Fauzan. Enam bulan sekali dia akan bertemu dengan Fauzan tanpa pengetahuan mereka.

Qismyna mengeluh sebentar. Tak terhitung rasanya budi yang ditaburkan Fauzan untuknya. Tapi....perlukah dia menerima Fauzan kerana terhutang budi pada lelaki itu.

‘Apa saja keputusan kau aku akan terima dengan terbuka. Apa yang aku perlukan cuma kejujuran dan keikhlasan.’ Tengiang-ngiang kata-kata itu ditelinganya. Jika saja Fauzan tidak minta keikhlasan dan kejujuran darinya pasti dengan pantas dia akan menerima lelaki itu kerana terhutang budi padanya.

Namun dia tidak sanggup untuk menolak permintaan Fauzan walaupun lelaki itu tidak memaksa dirinya untuk diterima. Apa yang perlu dilakukan? Qismyna mengeluh lagi. Dia memegang dahinya dengan kedua-dua belah tangannya lalu memejamkan mata. Cuba untuk berfikir keputusan yang terbaik.

“Kak,” Tiba-tiba bahunya disentuh. Qismyna mengangkat kepala melihat Zurin disebelahnya lalu mengalihkan semula pandangannya pada bintang-bintang di langit. “Kenapa kak? Masih belum buat keputusan?” tanya Zurin yang mengetahui apa yang berlaku.

Hanya pada Zurin sahaja Qismyna menceritakan masalahnya. Keluarganya yang lain masih belum mengetahui Fauzan melamarnya. Fauzan juga menyembunyikan perkara itu dari kedua orang tuanya.

“Akak tak tahulah Zurin. Akak tak tahu nak buat apa,” ujar Qismyna hampa.

“Kak, Zurin bukan nak memaksa akak. Tapi bagi Zurin kebahagiaan hanya akan kita perolehi pada orang yang menyayangi dan menghormati kita. Belum tentu lagi kita akan hidup bahagia dengan orang yang kita sayang,” ujar Zurin ikhlas.

“Zurin nak sangat akak bersatu dengan abang Fauzan. Tentu mak cik dan pak cik gembira. Apatah lagi mak cik memang berharap sangat abang Fauzan jadi menantu dia.” Qismyna terkedu dengan kata-kata Zurin.

“Apa maksud Zurin?”

“Sebenarnya kak. Mak cik selalu cerita tentang hubungan baik akak dengan abang Fauzan. Mak cik selalu ceritakan kebaikan abang Fauzan dan impiannya untuk satukan akak dan abang Fauzan,” cerita Zurin. Qismyna mengetap bibir. Dia tidak menyangka emaknya ada menyimpan impian seperti itu. Mungkin Fauzan melamarnya kerana ingin menyempurnakan hasrat emaknya. Mungkin juga emaknya meminta agar lelaki itu mengahwininya. Ya, dia tahu Fauzan seorang lelaki yang baik dan sentiasa patuh pada keinginan orang tua walaupun terpaksa mengenetepikan perasaannya.

“Abang Fauzan melamar akak kerana permintaan dari emak?” tanya Qismyna pada Zurin. Manalah tahu Zurin mengetahuinya. Zurin mengerut keningnya. Tidak menyangka Qismyna mengesyaki cinta Fauzan padanya.

“Tak kak. Mak cik tak pernah suarakan hasrat dia pada abang Fauzan sepertimana dia rahsiakan dari akak,” ujar Zurin tenang. “Sebenarnya, untuk pengetahuan akak. Abang Fauzan dah lama sayangkan akak. Sejak dari kecil lagi dia dah pasang angan-angan untuk hidup dengan akak suatu hari nanti.”

“Macam mana Zurin tahu semua ni?” Qismyna keliru.

“Setiap kali kita keluar bertiga. Abang Fauzan selalu cerita tentang akak. Setiap kali dia cerita pasal akak, Zurin lihat dia selalu gembira. Dari situlah Zurin dapat rasakan yang dia sayangkan akak. Bila Zurin tanya dia mengaku dia sayangkan akak sejak dari kecil lagi. Tapi bila Zurin tanya kenapa dia tak pernah berterus terang dengan akak. Akak tahu dia jawab apa?” Zurin memandang Qismyna. Qismyna memandang Zurin kembali.

“Kata dia cinta akak bukan untuk dia. Akak tak pernah cintakan dia. Tapi dia tak kisah. Dia bahagia bila akak bahagia. Dia susah hati bila akak kecewa. Dia tak mahu paksa akak. Kalau akak cintakan dia, akak akan dapat lihat cinta dia untuk akak,” sambung Zurin.

“Kerana simpati pada abang Fauzan, Zurin cuba sedarkan akak tentang cinta abang Fauzan pada akak. Maafkan Zurin. Zurin tahu Zurin bukan siapa-siapa tapi.... Zurin tak pernah lihat cinta yang begitu murni seperti ni. Kalau mak cik dan pak cik sanggup rahsiakan impian mereka kerana tak mahu memaksa akak, kalau abang Fauzan sanggup rahsiakan isi hatinya untuk menjaga perasaan akak, apa akak tak boleh berkorban sedikit pun untuk melihat mereka bahagia?”

Kata-kata Zurin itu benar-benar menusuk hingga ke tangkai hatinya. Baru dia sedar betapa dia terlalu mementingkan diri sendiri selama ini. Begitu besar pengorbanan orang lain untuknya. Dia benar-benar rasa bersalah.

Tanpa disedari Qismyna menitiskan airmata. Dia tidak dapat menahan rasa sebak di dadanya. Zurin di sebelah menarik bahu Qismyna lantas memeluk kakak angkatnya itu.

Zurin turut menitiskan air matanya. Tanda bersimpati terhadap perasaan Qismyna. Air matanya juga tanda kecewa kerana terpaksa melupakan cinta pertamanya.

ZURIN melangkah longlai ke dalam biliknya. Dia meniarap di atas katil. Dia mencapai bantal peluknya lalu mendakapnya erat. Dia menangis teresak-esak. Walaupun dia gembira kerana akhirnya Maya bersetuju menerima Fauzan, namun hatinya sedih kerana cinta yang bersemadi dilubuk hati masih tebal pada lelaki itu.

Namun kerana terhutang budi pada Qismyna sekeluarga, dia harus melupakan perasaannya dan sentiasa melakukan yang terbaik agar semua mereka gembira. Dia tahu, Fauzanlah insan yang paling gembira jika Qismyna menerimanya. Dia juga akan bergembira dengan kegembiraan yang dikecapi Fauzan walaupun dia kecewa.

Saat Hati Merelakan 19

“QIS!!” panggil Fauzan yang terlihat kelibat Qismyna meninggalkan pejabatnya. Qismyna menghentikan langkahnya lantas berpaling ke belakang. Fauzan berlari-lari anak menghampiri Qismyna.


“Fauzan. Kenapa?” Qismyna bertanya setelah Fauzan mendekatinya.

“Aku cari kau kat pejabat tak de. Nasib baik aku nampak kau kat sini,” ujar Fauzan yang masih lagi tercungap-cungap keletihan.

“Kenapa kau cari aku?” tanya Qismyna. Fauzan memandang Qismyna.

“Apahal?! Kenapa? Aku tak boleh jumpa kau ke? Kan dah lama kita tak jumpa.” Fauzan mengangkat kening. Qismyna berpaling ke tempat lain.

Entah kenapa sejak Zurin memberitahu perasaan Fauzan padanya dia menjadi kekok dan tidak keruan bila berjumpa dengan lelaki itu. Walaupun dia tidak mempercayai kata-kata Zurin namun kata-kata itu mengganggu hidupnya dan membuat dia menjadi tidak selesa bersama Fauzan.

“Actually....aku ada hal nak bincang dengan kau.” Akhirnya Fauzan memberitahu hajatnya datang tengahari itu apabila melihat Qismyna seakan-akan tidak selesa dengan kehadirannya.

“Hal apa?” tanya Qismyna bila mendengar nada suara Fauzan agak serius.

“Nanti aku jelaskan. Hal ni penting sangat buat aku.” Fauzan masih lagi berharap agar Qismyna setuju untuk meluangkan masa bersamanya. Qismyna masih lagi membisu seperti sedang berfikir. “Please, Qis. Just a few minutes pun tak pelah,” pujuknya lagi. Qismyna memandang Fauzan.

“Jom kita lunch sekali.” Qismyna rasa bersalah jika menolak pelawaan Fauzan. Tak sepatutnya dia merasa tidak selesa pada orang yang banyak menolongnya. Fauzan mengukirkan senyuman apabila Qismyna bersetuju menerima pelawaannya lantas membuka pintu kereta untuk Qismyna.

“Sila masuk tuan puteri. Biar saya drive.” Fauzan cuba berseloroh sambil membuka tapak tangannya meminta kunci dari Qismyna. Qismyna hanya tersenyum sambil meyerahkan kunci keretanya. Fauzan memang begitu. Ke mana saja, dia akan menjadi pemandu sukarelawan.

Dalam perjalanan mereka hanya membisu tanpa sebarang bicara. Hanya sesekali kelihatan Qismyna tersenyum mendengar celoteh DJ radio. Fauzan hanya menumpu perhatiannya pada jalan yang penuh sesak.

Memang mereka berdua kelihatan agak janggal pada hari itu. Seolah-olah mereka adalah orang yang baru mengenali antara satu sama lain. Fauzan sedia maklum penyebabnya kerana Zurin telah menceritakan segala padanya.

Bila difikir-fikir kembali, dia merasakan jalan terbaik adalah berterus terang dengan Qismyna. Soal Qismyna hendak menerima atau menolaknya, itu adalah kehendaknya. Yang penting, dia perlu luahkan apa yang terbuku di hatinya kerana dengan cara itu dia akan tahu apa sebenarnya yang sedang bermain di benak Qismyna.

Sebaik saja sampai di perkarangan Cravon Cafe, mereka berdua berjalan beriringan menuju ke dalam restoran nasi kandar itu. Setelah mengambil lauk dan memesan minuman mereka memilih meja di sudut yang agak jauh dengan orang ramai.

Tanpa bersuara mereka menjamu selera. Fauzan menumpukan sepenuh perhatian pada makanannya tanpa memperdulikan Qismyna di depan. Qismyna kelihatan agak kekok dengan keadaan itu. Sunyi tanpa gurauan. Selalunya, Fauzan gemar berjenaka dan bergurau senda dengannya. Suasana pada hari itu memang berlainan sekali. Sesekali Qismyna melirik pada Fauzan yang asyik menyumbat makanan.

Fauzan menyedari dirinya menjadi perhatian. Sengaja dia berpura-pura tidak tahu. Sebenarnya, dia sedang berfikir ayat yang terbaik untuk memulakan bicara. Dia sendiri merasa tidak selesa dengan keadaan mereka yang hanya membisu.

Selesai menyudahkan makanan, mereka beristirehat sambil menghabiskan minuman yang masih berbaki. Qismyna menundukkan kepala menghirup teh ais kegemarannya. Fauzan melirik sebentar pada gadis itu.

“Qis,” panggilan Fauzan menyebabkan Qismyna mendongak dan membalas pandangannya. “Aku......” kata-katanya mati di situ. Dia cuba meyakinkan diri lagi.

“Kenapa?” Qismyna mula merasa sangsi. Kelakuan Fauzan memang agak aneh.

“Sebelum tu, aku nak mohon maaf banyak-banyak dari kau. Kalau apa yang aku nak cakap ni mengganggu emosi atau buat kau rasa beban atau.......apa-apalah. Aku.....nak minta keluarga aku datang merisik kau.” Qismyna terlopong mendengar kata-kata Fauzan.

“Aku tak paksa kau. Aku beri kau masa. Dalam masa dua minggu, kalau kau tak hubungi aku, maknanya kau menolak lamaran aku. Kalau kau setuju, hubungi aku.”

“Tapi...Fauzan....aku....” Qismyna tak tahu nak berkata apa.

“Please....jangan buat keputusan sekarang. Kau fikirlah masak-masak. Apa saja keputusan kau aku akan terima dengan hati yang terbuka. Apa yang aku perlukan cuma kejujuran dan keikhlasan.”

Qismyna kehilangan kata-kata. Dia terus membisu. Apa yang perlu dilakukannya? Menerima atau menolak? Argh.....masalah ni betul-betul menghimpitnya.

“Qis..... ” panggil Fauzan sekali lagi apabila melihat wajah yang sentiasa ceria itu muram. “Maafkan aku.”

“Jangan cakap macam tu. Kau tak salah apa-apa.” Qismyna cuba mengukirkan senyuman.

“Tapi aku rasa bersalah bila kau muram macam ni,” ujar Fauzan.

“Tak....aku tak apa-apa.” Dia mengukirkan senyuman. “Aku akan fikirkan sebaik mungkin. Demi masa depan kita bersama.”

“Kau tak perlu fikirkan aku. Fikirkan apa yang terbaik buat engkau. Kau mesti ingat. Aku tak memaksa. Buat keputusan secara jujur,” kata Fauzan. Qismyna mengangguk.

‘Fauzan....kau terlalu baik untuk aku.’ Qismyna berbisik di dasar hati.

“Qismyna!” Panggilan itu menyebabkan Qismyna dan Fauzan berpaling. Qismyna kelihatan terkejut melihat kelibat lelaki di hadapannya.

“Qis...?!” Qismyna memandang tepat dan tajam pada lelaki itu. Fauzan terpinga lantas memandang Qismyna dan lelaki itu silih berganti dengan penuh tanda tanya.



QISMYNA mengekori langkah Adam dengan matanya. Dia menghembuskan nafas kekecewaan lalu menghampiri Fauzan semula. Dia kembali duduk di tempat asal.

Fauzan yang hanya memerhati dari jauh sewaktu Qismyna berbicara dengan lelaki itu hanya mendiamkan diri. Pandangan matanya dihalakan kepada gadis itu. Qismyna kelihatan muram dan sedikit tertekan.

“Siapa dia, Qis?” tanya Fauzan. Qismyna yang kelihatan murung itu memandang Fauzan sekilas lalu berpaling ke tempat lain.

“Itulah Adam,” jawab Qismyna dengan suara perlahan.

“Oh.” Fauzan menganggukkan kepalanya lalu menyandarkan badannya ke kerusi. “Kau dengan dia.......” Fauzan tertanya sendiri. Sejak bila Qismyna dan Adam berhubungan semula?

Dia mula berfikir kemungkinan besar Qismyna akan menolak lamarannya. Dia kenal benar sikap Qismyna yang sukar menerima cinta lelaki. Lelaki itu bertuah kerana pernah menerima cinta Qismyna tapi sayang tak tahu menjaga cinta yang dibina. Mungkin saja Qismyna akan menerima kembali lelaki itu.

Dia tahu malah dia yakin Qismyna masih mencintai lelaki itu. Dari pandangan mata, raut wajah dan gerak bahasa, dia tahu cinta Qismyna masih menjadi milik lelaki itu. Dia menghela nafas. Biarlah.....biarlah Qismyna membuat keputusan apa yang baik untuknya. Dia akan menerima dengan hati yang terbuka.

“Kau jangan salah faham, Fauzan.” Qismyna seperti dapat mengagak apa yang tersimpan dalam fikiran Fauzan.

Qismyna mula bercerita mengenai Adam yang tiba-tiba muncul setelah dia pulang Ke Pulau Pinang. Bercerita mengenai lelaki itu yang sedang cuba untuk memenangi hatinya semula.

Dia menceritakan segala-galanya kepada Fauzan. Dari hari pertama mereka berjumpa hinggalah ke saat ini.

Dari cerita Qismyna, Fauzan membuat kesimpulan sendiri. Gadis itu masih menyimpan perasaan pada Adam walaupun sedikit. Tetapi dia yakin, Qismyna tidak akan menerima lelaki itu semula. Dia tersenyum. Dia masih berpeluang untuk bersama gadis itu.