Monday, 16 May 2011

Lukisan Cinta 3


WAJAH bengis Jalil merenung Zaiton dengan tajam. Zaiton dan Amani masing-masing sudah duduk bersimpuh di depannya.

“Ha!!Ha!!Ha!!” Kedengaran tawa Jalil bergema.

Amani merenung wajah itu dengan pandangan yang menjengkelkan. Dia benci mendengar tawa itu. Tawa yang sering mengganggu hari-harinya.

Sambil melepaskan tawanya yang sengaja di buat-buat dia memandang Zaiton seakan-akan mengejek. Lalu pandangannya beralih memandang Amani. Melihatkan renungan tajam gadis muda itu, tawa Jalil terhenti.

Walaupun Amani masih muda dan mentah, tetapi entah mengapa renungan tajam Amani yang sebegitu sering membuatnya terganggu. Dia tidak takut dengan Amani, dia pasti itu! Tetapi renungan dan setiap pandangan Amani padanya bagaikan memberitahunya bahawa hidupnya akan hancur. Adakalanya, dia merasakan Amani bisa menjadi lebih kejam dari Zaiton.

“Lepaskan kami!!” tegas Zaiton.

“Kau ingat aku akan lepaskan macam tu je?” Jalil menjeling Zaiton.

“Dulu kau janji dengan aku kau akan kahwin dengan aku. Tapi kau tipu!! Kau sama je dengan semua jantan-jantan tu!!” nafas Zaiton turun naik.

Jalil menggaru-garu kepalanya. Tujuh tahun dia bersama dengan Zaiton. Memang dia pernah berjanji untuk berkahwin dengan Zaiton. Tetapi perempuan seperti Zaiton yang sering mengambil kesempatan terhadap lelaki memang tidak layak dinikahi!

“Bukan aku tak nak kahwin dengan kau….. Tapi ketika bersama dengan aku pun, kau masih cuba nak cari lelaki lain!!” Jalil membetulkan rambut Zaiton. “Kau bukan perempuan baik!!”

“Kau pun bukan lelaki baik!!”

Jalil ketawa kuat. Memang dia akui dia bukan lelaki baik. Tetapi sekurang-kurangnya dia tidak seperti Zaiton yang sentiasa cuba mengambil kesempatan. Dia dengan caranya. Walaupun dia hidup serba kekurangan di kawasan setinggan ini, tetapi dia menyara hidupnya dengan wangnya sendiri.

“Aku perlu pasti hidup kami berdua terjamin! Makanan, tempat tinggal!! Kau tak kahwin dengan aku seperti apa yang kau janjikan. Kalau kau kahwin dengan aku, aku takkan cuba cari peluang lain dengan lelaki lain!”

Memang begitulah cara hidup Zaiton. Setiap lelaki yang dijumpainya sering menjanjikannya status seorang isteri. Tetapi apabila mereka tidak berbuat begitu, dia perlu mencari tempah berteduh yang lain agar mereka punya arah tuju sebelum dia dan Amani ditendang keluar dari kehidupan mereka. Begitu hinanya mereka memperlakukannya!

“Ye…ye…..” Jalil menghembuskan nafas panjang. “Kau tentu dah jumpa lelaki lainkan? Sebab tu kau nak lari dari sini!!”

“Tak!!” sangkal Zaiton. “Aku dan Amani akan mulakan hidup baru!!” Zaiton melirik Amani di sebelahnya dengan ekor mata.

Amani menarik nafas kelegaan mendengar kata-kata Zaiton. Walaupun dia sendiri tidak pasti adakah ibunya itu bercakap benar atau tidak namun sedikit sebanyak dia merasa senang.

Jalil terdiam seketika. Dia seakan tidak percaya apa yang didengarnya. Bolehkah Zaiton mulakan hidup baru tanpa mengambil kesempatan dengan kecantikannya?

“Baiklah!!” Jalil mengangguk. “Aku boleh lepaskan kau pergi!” dia memandang Zaiton yang sudah mengukir senyuman. “Tapi dengan syarat!”

Wajah Zaiton yang sudah tersenyum kembali kelat. Hatinya sudah berdebar-debar. Takkanlah Jalil dah sedar tentang kehilangan cincin arwah isterinya itu!

“Pulangkan cincin isteri aku!!” Tajam sekali renungan itu menusuk ke anak mata Zaiton.

Zaiton dan Amani berpandangan seketika. Sekarang, Amani baru teringatkan sesuatu. Beg pakaiannya!!

“Mana cincin tu?” tanya Zaiton pada Amani.

“Beg……” suara Amani dengan lemah. Kini harapannya untuk keluar dari penjara Jalil punah dengan hilangnya cincin itu.

Zaiton sudah kalut memandang sekeliling mencari beg pakaian Amani. Tetapi hanya yang ada beg pakaiannya. Matilah dia kali ini! Tentu Jalil akan mengamuk jika tahu cincin itu dah hilang.

Jalil sekadar merenung adegan dua beranak itu. Zaiton kelihatan sudah tidak tentu arah, Amani pula tertunduk lemah.

“Mana cincin aku!!!” jeritnya.

Zaiton terkedu. Bagaimana dia mahu beritahu pada Jalil yang cincin itu sudah tiada. Amani yang tertunduk tiba-tiba mengangkat wajahnya apabila teringatkan sesuatu. Dia menyeluk kocek seluarnya lalu mengeluarkan sehelai kertas.

“Mana cincin tu?” Jalil memandang Amani apabila Amani kelihatan tahu sesuatu.

Amani terus memandang kertas itu. Dia pasti gadis itu tentu membawa beg pakaiannya bersama. Cincin itu selamat!

Jalil dan Zaiton yang tidak mengerti apa-apa sama-sama melihat kertas itu. Apa yang cuba disampaikan Amani?



TANIA menyerungkan cincin itu ke jari manisnya. Sesuai sekali! Muat dengan jarinya. Dia tersenyum. Bukan niatnya untuk menyelongkar barang yang bukan miliknya. Tetapi bungkusan sapu tangan itu terjatuh ketika dia mahu menyimpan beg itu di atas almari.

Tania membuka semula cincin itu lalu membalutnya dan menyimpannya semula. Walaupun dia tidak pasti, namun dia yakin perempuan itu pasti menghubunginya. Pasti!!

Wednesday, 4 May 2011

Cinta Ku Ikhlas Kerana-NYA









“YAN!!!! Yan!!! Diana!!!”

Aku yang masih enak bergolek-golek atas katil sambil membaca novel yang baru ku beli kelmarin terkejut dengan panggilan mak yang nyaring tu. Satu macam je bunyinya. Apahal pulak ni? Aku dah mula rasa tak sedap hati.

“Yan!!!” Kali ni pintu bilik aku diketuk bertalu-talu.

Dengan pantas aku bangun dan membuka pintu. Terjegul wajah mak di depan sambil memegang dadanya. Semput barangkali.

“Ada apa mak?” Tanya ku.

“Apa kau buat dalam bilik ni! Orang kat luar dah kecoh benar. Kau sedap-sedap membuta lagi!” marah mak. Marah benar nampak gayanya. Hilang semua kelembutannya.

“Taklah mak! Yan dah bangun dari tadi. Ada ni hah……baca novel ni!” aku menunjukkan novel di tangan ku.

“Engkau tu tak de lain ayik novel, novel, novel….makan novel, tidur novel! Dah tak de kerja lain agaknya!!” Mak marah-marah terus.

Ishhh…apahallah pulak tetiba je mak marah-marah ni?! Tak pasal-pasal novel aku pulak yang jadi mangsanya.

“Kenapa ni mak? Ada apa ni?” aku bertanya takut-takut. Kang silap tanya makin menyingalah emak kesayangan ku. Kenal betul aku dengan mak. Payah sangat nak marah, tapi kalau dah marah, bergegar dunia ni. Abah yang garang tu pun nanti terdiam kalau mak naik angin. Hehehe…..hebat betul mak aku!!!

Mak masuk ke dalam bilik aku dan terus duduk atas katil. Dia masih mengurut-ngurut dadanya. Aku duduk di sebelah mak dan menggosok belakang mak untuk mengurangkan rasa marahnya. Biasalah orang tua bila dah marah-marah susah le nak bernyawa.

“Tulah mak……kan dah semput dah….” Aku terus menggosok belakang mak.

“Abah kau mengamuk!!” ujar mak.

“Abah mengamuk? Kenapa?” Tanya aku.

“Tu hah…..Kak Long dah hilang!” ujar mak.

“Kak Long hilang??!!!” Aku terus terbangun. Baru malam tadi aku berbual dengan Kak Long. Aku tengok dia biasa-biasa je. Masih boleh bergelak ketawa dengan aku. Kenapa pulak ni?

Tak tunggu lama aku terus redah bilik Kak Long. Memang benar kata mak, baju-baju Kak Long hanya tinggal beberapa helai je. Aku terduduk atas katil Kak Long. Kenapa boleh jadi macam ni? Kenapa tiba-tiba Kak Long menghilang.

Aku kembali mendapatkan mak di bilikku.

“Macam mana boleh jadi macam ni?!” Tanya ku. Mak menyerahkan sepucuk surat padaku.

Ternyata surat itu adalah catatan terakhir Kak Long. Katanya Abang Zul telah memutuskan pertungangan mereka sedangkan tarikh penikahan mereka Cuma tinggal beberapa bulan saja lagi. Kerana tertekan dan malu dengan keputusan Abang Zul, Kak Long pergi dari sini.

Aku sedih dengan nasib Kak Long tetapi aku lebih marah. Kalau ye pun Abang Zul tinggalkan dia, kenapa perlu dia meninggalkan keluarganya? Takkan hanya kerana seorang lelaki yang tak tahu menghargai perasaannya dia sanggup meninggalkan keluarga yang sanggup berkorban apa saja untuknya? Kak Long!!!!

“Abah ke mana mak?” Tanya aku bila teringatkan abah.

“Abah ke rumah Pak Manap! Mengamuk betul dia bila baca surat Kak Long. Entah apalah sebabnya Abang Zul putuskan pertunangan mereka. Kau tolong Yan! Pergi cari abah kau! Kau bukan tak tahu perangai abah bila dah mengamuk macam tu!” Mak sudah menangis.

Bergegas aku berlari mencari abah. Sampai sahaja di depan kawasan rumah Pak Manap aku lihat abah sedang bertengkar dengan Pak Manap.

“Anak kaulah punca semua ni!” marah abah.

“Kau jangan suka-suka hati nak tuduh-tuduh anak aku!” balas Pak Manap.

“Abah! Abah!” Aku menarik tangan abah.

Abah menjegil pada aku. Kecut rasanya! Tapi aku tetap juga terus memegang tangan abah.

“Anak bertuah! Apa kau buat kat sini?! Pergi balik! Jangan masuk campur hal orang tua-tua!!” marah abah.

“Sudahlah bah! Mari kita balik!” aku terus menarik tangan abah.

“Bagus sangatlah kau datang ni Yan! Bawa balik abah kau ni. Datang rumah orang mengamuk tak tentu pasal!!” marah Pak Manap.

“Kurang ajar kau Manap!!” Abah sudah melangkah untuk menghampiri Pak Manap. Aku terus menarik tangan abah.

“Malik! Manap!” Muncul tok ketua bersama beberapa orang kampung. Aku menarik nafas lega. Mujurlah tok ketua sampai.

Sebaik saja ditenangkan oleh tok ketua, aku memimpin tangan abah pulang ke rumah. Kesian abah dan mak. Kerana Kak Long pergi, mereka berdua mendapat malu. Orang tua mana yang tidak malu dan sedih bila anak mereka melarikan diri. Aku harap perkara yang sama tidak akan berlaku pada aku. Aku tak mahu melarikan diri dari masalah seperti mana yang dilakukan Kak Long. Masalah itu perlu kita hadapi!



SUDAH beberapa hari aku lihat abah dan mak masih bersedih. Adakalanya aku terdengar mereka berbual tentang Kak Long. Kata mak, dia malu dengan orang-orang kampung. Ada diantara mereka yang mengejek-ngejek mak bila mak ke kedai membeli barang dapur. Kesian mak!

Abah pula walaupun aku lihat emosinya sudah stabil, tapi aku tahu jauh di dasar hatinya dia juga kecewa dengan apa yang berlaku. Apa yang boleh aku lakukan untuk meringankan beban mereka. Ah…Kak Long kenapa kau terlalu menurut kata hatimu?! Kenapa kau tak fikirkan dulu perasaan mak dan abah sebelum kau buat keputusan begitu?!

Petang itu aku mengambil angin di tepi sungai. Cuba memikirkan cara yang terbaik untuk aku menceriakan keluarga ku semula.

Lepas satu batu aku campakkan ke dalam sungai, satu batu lagi ku ambil. Habis batu-batu di tepi sungai itu menjadi mangsaku.

“Assalamualaikum…..”sapa satu suara asing.

Aku berpaling. Susuk tubuh seorang lelaki yang aku tidak pernah lihat berjalan meredah batu-batu untuk menghampiriku. Sampai sahaja berdekatan dengan ku, lelaki itu duduk di atas batu yang tak jauh dari batu yang aku duduk. Aku sudah mula merasa tak sedap hati. Lantas aku bangun untuk pergi.

“Salam masih belum berjawab, tapi tuan punya badan dah nak pergi. Kalau ye pun jawablah dulu salam tu. Tahu tak, beri salam tu sunat tapi menjawab salam tu wajib.”

‘Waalaikumussalam…..’ aku menjawab dalam hati. Lalu bergerak untuk pergi.

“Opss…..cinderellah dah tertinggal kasutnya!”

Aku berpaling. Lelaki itu menunjukkan pada sandal yang ku tinggalkan atas batu yang ku duduk tadi. Dengan rasa cuak aku kembali semula ke batu tadi dan mengambil sandal ku.

“Rasanya cinderellah masih belum jawab salam saya!” lelaki itu berkata lagi.

Aku menjeling memandangnya.

“Saya dah jawab dalam hati!” ujar aku lalu berlalu pergi.

Siapa lelaki tadi? Aku tak pernah lihat dia sebelum ni. Apa dia buat di sini?

Aku berjalan pulang ke rumah. Sampai di rumah aku lihat sebuah kereta terpakir di halaman. Aku terus memanjat anak tangga ke dalam. Kelihatan Pak Ngah Hassan, sepupu kepada mak datang bersama isterinya. Aku menunduk dan bersalam dengan mereka berdua.

“Ini anak bongsu saya, Diana,” ujar abah memperkenalkan aku.

“Oh…ini Diana! Dah besar panjang rupanya anak dara kamu ni!” ujar Pak Ngah Hassan. “Dah boleh masuk minang ni!” Merah muka aku menahan malu bila Pak Ngah Hassan berkata begitu. Lantas aku menghilangkan diri di dapur untuk membantu mak menyiapkan hidangan untuk tetamu.

Aku meletakkan seteko teh o bersama ubi merah yang baru digoreng di dalam dulang. Bau wangi menerjah hidungku. Ubi merah goreng ni memang favourite aku ni!

Dengan melangkah perlahan-lahan aku pun membawa hidangan ke ruang tamu dan meletakkan di atas meja kopi. Abah masih lagi sedang berbual dengan para tetamu. Kemudian mak muncul menyertai mereka dan aku sedang sibuk menuang air ke dalam cawan. Tapi entah kenapa aku merasakan seolah-olah diri aku sedang menjadi perhatian.

Aku pun mendongakkan kepala. Terkejut aku melihat kelibat yang ada di depan ku. Bukankah itu lelaki tadi yang aku jumpa di tepi sungai? Apa dia buat di rumah aku pulak ni?!

“Hah Lukman! Inlah anak bongsu Pak Lang kamu ni. Diana namanya!” Pak Ngah Hassan mengenalkan aku pada lelaki tu.

Lelaki itu menganggukkan kepala. Aku pun turut berbuat begitu. Kemudian aku terus masuk ke dalam kamar ku. Rasa tak enaklah pulak nak sertai mereka. Apatah lagi dengan kehadiran lelaki tu. Bukan aku tak suka dengan dia, tapi aku rasa semacam bila dia melihat pada aku.

Masuk dalam kamar, aku ingatkan nak sambung baca novel tapi telinga ni asyik sangat nak mencuri dengar perbualan tetamu-tetamu tu.

Dari apa yang aku dengar, kata Pak Ngah Hassan Kak Long sekarang ada di rumah mereka di Kuala Lumpur. Tujuan Pak Ngah Hassan datang ke sini pun sebab nak khabarkan tentang Kak Long. Diorang tak mahu abah dan mak terus susah hati mengingatkan Kak Long. Aku dengar entah berapa kali abah dan mak menyebut syukur……Ya, aku pun bersyukur dengan berita itu. Sekurang-kurangnya kami tahu yang Kak Long selamat.



MALAM tu suasana makan malam di rumah aku memang terasa lainnya. Lain sangat. Tetiba je aku yang biasanya cekap bila di dapur jadi macam tak tentu arah. Nak keluar suara pun aku fikir dua tiga kali. Semuanya gara-gara seorang lelaki yang tak habis-habis memandang aku. Ikutkan hati ni, rasanya macam nak je aku pergi depan dia dan minta dia jangan pandang aku.

Usai makan malam mereka semua menghilangkan diri di ruang tamu. Tinggal aku seorang di dapur mengemas dan membersihkan ruang makan. Lega rasanya. Bebas sikit pergerakan aku. Lepas habis mengemas, aku ke ruang tamu menyertai yang lain. Ikutkan hati memang nak terus je berkurung dalam bilik. Tapi tak manislah pulak rasanya.

Walaupun aku menyertai mereka tapi otakku entah ke mana. Tang pasti aku rimas dengan mata yang memandang aku!

“Diana…” satu suara menegur aku.

Aku memandang Mak Ngah Piah.

“Itu tak de lain berangan le tu!” ujar mak kemudiannya.

Terkebil-kebil mata aku. Ada orang bercakap dengan aku ke?

“Ni hah! Mak Ngah Tanya Diana tak buat apa-apa ke lepas habis SPM?” ujar mak.

“Oh…..” Aku menggaru-garukan pipi yang tak gatal.

“Itulah budak ni. Bukannya tak pandai. Pandai! Result SPM dia pun bagus. Tu hah, surat tawaran masuk university pun ada kat atas TV tu. Tapi dia tak nak pergi! Takut katanya!”

“Aish….mak ni!” Aku sudah menarik muka masam. Kalau ye pun janganlah kasi tahu dekat orang. Memanglah aku tak nak sambung belajar sebab aku takut. Takut kalau aku tak bisa melawan apa saja yang berlaku diluar sana bila keluarga ku tak disamping ku.

Lukman sudah tersengih-sengih memandang aku. Aku menjeling tajam. Mak ni! Buat malu aku je!

“Anak manja, macam tulah!” ujar abah sambil ketawa. “Dari kecik tak pernah berenggang. Bila dah besar takut dengan dunia luar!”

Adus…..terkena lagi aku. Aku rasa macam nak lari masuk bilik je sekarang ni. Aku lihat si Lukman masih lebar senyuman dia.

“Baguslah macam tu Malik. Anak dara memang kena rapat dengan keluarga. Kang terbiar bebas, lain pulak jadinya!” ujar Pak Ngah Hassan.

Aku semakin tak enak bila diri aku menjadi topic perbualan mereka.

“Diana nak minta diri kejap. Nak ambil angin luar,” ujar ku lantas pergi meninggalkan mereka.

Lega rasanya dapat bersendirian begini. Aku duduk bersandar di buaian di kawasan rumah. Melihat ke langit yang penuh dengan bintang-bintang yang berkedipan. Angin malam membelah wajahku. Aku memejamkan mata cuba menikmati keindahan ciptaal Illahi.

“kenapa takut nak hadapi dunia luar?” satu suara menyapa aku. Lantas aku membuka mata.

Berdiri Lukman di depan ku. Hai…..kenapalah dia perlu ada tatkala ini? Aku mahu bersendiri!

Aku bangun untuk berlalu pergi.

“Kenapa? Awak tak suka kitorang datang sini?” tanyanya.

Aku menghentikan langkah. Kata-katanya bagai terhiris dengan sikap kurang mesraku. Tak, bukan aku tak suka mereka ada di sini. Tapi aku tak selesa dengan pandangan matanya padaku.

“Maaf kalau saya dah buat awak rasa macam tu,” ujar ku.

Aku lihat dia tersenyum.

“Jadi kenapa awak macam tak suka je sejak mula kami melangkah di sini?’ dia bertanya lagi.

“Saya tak bermaksud macam tu. Tapi saya tak suka cara awak pandang saya!” aku rasa mungkin dengan berterus terang adalah lebih baik.

Aku lihat keningnya terjungkit dengan kata-kataku.

“Maaf sebab dah buat awak rasa tak selesa.”

“Tak pe,” balas ku dan ingin berlalu pergi.

“Kata orang keribadian wanita boleh dilihat dari matanya!”

Langkah aku terhenti dengan kata-katanya. Aku berpaling dan memandangnya semula.

“hati seorang wanita dilambangkan melalui matanya. Dan saya cuba membaca apa yang mungkin tersirat di balik mata awak!”

Aku rasa macam nak muntah je bila dia cakap macam tu.

“Apa hak awak nak cuba baca apa yang ada dalam hati saya?” aku memang tak senang dengan kelakuannya.

“Memang saya tak berhak. Tapi tak salahkan kalau saya mencuba.”

“Cuba? Cuba apa?”

“Maaflah….tapi saya ni memang tak pandai menipu dan lebih suka berterus terang!” ujarnya. “Saya nak kenal dengan awak dengan lebih rapat.”

Aku diam. Aku pun tak tahu nak kata apa. Mengangguk atau menggeleng? Kalau menggeleng nampak sangat aku ni sombong! Dia kan saudara aku jugak. Apa salahnya berbaik dengan saudara sendiri?

“Ya. Kenapa tak? Kitakan bersaudara.”

Dia tersenyum dengan jawapan ku. Dengan senyumannya itu dia terus memandang aku.

“Ikhlas?”

Aku kelihatan tak ikhlas ke? Memanglah aku ragu-ragu tapi aku ikhlas!

“Apa yang awak baca dari mata saya?” aku bermain tarik tali dengannya.

Dia hanya senyum tanpa berkata apa-apa.

“Kak Long saya macam mana? Sihat?” Tanya aku mengubah topik. Mungkin aku perlu lebih santai berbual dengannya.

“Alhamdulillah….saya lihat dia okey je. Mungkin dia perlu masa untuk tenangkan diri. Biarlah dia di sana.”

“Awak dengan family awak ada di sini. Jadi siapa yang ada di sana dengan Kak Long saya?” aku bertanya. Mushykillah jugak takkan diorang tinggalkan Kak Long sendiri kat sana.

“Awak jangan risau, ada pembantu rumah yang temankan Kak Long awak!” ujarnya.

“Kalau awak balik sana, kirim salam dengan Kak Long. Kata pada dia, kalau dia dah okey, baliklah kampung. Kesian kat mak dan abah.”

Aku mula rasa ada keserasian dalam perbualan kami. Mungkin aku yang terlalu berfikiran negatif bila pertama kali berjumpa dengannya.

“Awak ni memang susah nak didekati,kan,” katanya.

“kenapa pulak?”

“saya rasa kalau saya bukan saudara awak, tentu sampai sekarang awak buat tak tahu je dengan saya.”

Aku tersenyum. Mungkin ada benarnya. Aku bukan sombong, tapi aku memang sukar mewujudkan kemesraan dengan orang yang berlainan jantina apatah kalau aku baru mengenalinya.

“Awak tahu tak yang papa dengan mama saya datang sini bukan hanya kerana nak beritahu tentang Kak Long awak?”

“Ada tujuan lain?” aku lihat Lukman mengangguk. “Sebab apa?”

“Papa nak jadikan Kak Long awak sebagai menantunya!” ujar Lukman sehingga membuatkan mulut aku sedikit ternganga.

“Untuk awak?” Tanya aku.

“Eh…..taklah!!” Pantas dia menafikannya. “Untuk abang saya!”

“Kak Long setuju?” Tanya aku ragu-ragu. Lukman mengangguk.

Biar betul! Secepat itu Kak Long setuju! Bukankah Kak Long baru je kecewa dengan Abang Zul? Ni mesti Kak Long sedang bercelaru fikirannya sebab tulah dia bersetuju.

“Saya tak setuju!”

“Kenapa pulak?” Dahi Lukman berkerut.

“Kak Long saya baru je putus tunang. Dia mungkin tak fikir panjang untuk terima semua ni!”

“Saya tahu! Tapi mama dan papa tak paksa Kak Long. Masa kitorang Tanya dulu, mama dan papa nasihatkan dia supaya fikir dulu. Kalau tak yakin, buat sembahyang istiqarah. Lepas tulah dia setuju!”

Aku mengeluh. Kalau dah kata begitu apa hak aku pula menghalang. Bukankah itu sudah menjadi petunjuk dariNya. Aku doakan Kak Long bahagia.

“Kenapa awak tak nak sambung belajar?” Tanya Lukman.

“Bukan tak nak…………dan bukan juga saya anak manja!” pantas aku bertegas sebaik sahaja melihat mulutnya terbuka untuk berkata sesuatu.

Dia ketawa. Mungkin itu yang mahu dikatakannya. Aku pasti itu!

“Jadi kenapa?”

“Perlukah saya beritahu?” Aku memang tak suka bila ada soalan yang agak peribadi ditanyakan padaku.

Dia hanya tersenyum. Dia ni memang suka tersenyum.



Xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx



SELEPAS keluarga Pak Ngah Hassan pulang dua minggu yang lalu, Kak Long pulang dengan dihantar oleh Pak Ngah Hassan. Tapi kali ini Lukman tidak ikut serta. Kata Pak Ngah Hassan, Lukman ada di Langkawi atas urusan kerja.

Aku lihat ada perubahan ketara dari sikap dan tingkah laku Kak Long. Dia nampak lebih gembira dan ceria dari sebelumnya. Mungkinkah ini yang dikatakan seri pengantin.

Malam itu sebelum Pak Ngah Hassan pulang, aku dengar mereka mahu majlis pernikahan Kak Long dan Abang Nazim dijalankan pada tarikh yang dirancang untuk pernikahan Kak Long dan Abang Zul dulu. Maknanya hanya tinggal sebulan lebih dari sekarang untuk melakukan persiapan.

Selepas menemankan Pak Ngah Hassan hingga ke laman, aku naik dan mencari Kak Long di kamarnya. Sesungguhnya hati ini penuh dengan persoalan yang perlukan jawapannya. Aku lihat Kak Long sedang tersenyum sendiri sambil menyisirkan rambutnya.

“Kenapa tiba-tiba ni Kak Long? Kak Long dah fikir masak-masak ke?” aku Tanya inginkan penjelasan dari Kak Long sendiri.

Kak Long beralih memandang aku. Dia tersenyum. Tangan aku ditarik agar aku duduk di sebelahnya.

“Mungkin bagi Yan semua ni tak logik, kan?” Tanya Kak Long. Aku mengangguk. “Kak Long pun rasa macam tu?”

“Huh?” aku terpinga-pinga. Kak Long ketawa.

“Taklah! Akak gurau je!” ujarnya.

“Kenapa Kak Long buat keputusan terburu-buru sangat ni?” aku bertanya semula.

“Masa Abang Zul putuskan pertungan kami, kak Long memang kecewa sangat. Tapi Kak Long tak tahu nak luahkan macam mana.”

“Yan, mak dengan abah, kan ada! Kenapa tak cerita dengan kami? Kenapa perlu larikan diri?” aku bertanya lagi.

“Kak Long tahu Kak Long salah. Kak Long minta maaf.” Ada penyesalan dari kata-katanya.

Aku mengeluh. Biarlah….semuanya dah jadi. Abah dan mak pun tak mengungkit pada kak Long kenapa aku pulak yang lebih?!

“Jadi, macam mana dengan Abang Nazim? Kak Long dah kenal hati budi dia?”

Aku bertanya sedangkan hati aku sudah pun menjawab. Baru je kenal macam mana boleh tahu hati budi? Memanglah kitorang bersaudara dengan keluarga Pak Ngah Hassan. Tapi kitorang kenal Pak Ngah Hassan dengan Mak Ngah Piah pun hanya dari foto lama mak. Itu pun waktu pernikahan mereka. Lepas tu kitorang langsung tak tahu tentang diorang.

Yang peliknya, macam mana Kak Long boleh sesat kat rumah diorang?

“Masa akak sampai KL, takdir Tuhan, Pak Ngah Hassan tegur akak. Dia Tanya sama ada akak ni anak mak dengan abah. Bila dia tahu terus dia bawa akak balik rumah.” Ujar Kak Long macam tahu-tahu je apa yang ada dalam fikiranku.

Tak mustahillah kalau Pak Ngah Hassan menegur Kak Long. Sebab wajah Kak Long memang serupa sangat dengan mak. Mungkin hanya dengan melihat wajah, Pak Ngah Hassan terus mengecamnya.

“Jadi macam mana pulak dengan Abang Nazim?”aku bertanya sekali lagi.

“Bila Pak Ngah tahu tentang apa yang dah jadi, Pak Ngah Tanya sama ada Kak Long mahu berkahwin dengan Abang Nazim. Mula-mula tu memanglah Kak Long terkejut. Tapi, Kak Long cuba fikir positif. Kak Long buat istiqarah berturut-turut. Dan kerana itulah Kak Long terima Abang Nazim.”

Aku tersenyum melihat Kak Long tersenyum. Mungkin inilah jodoh yang tepat buat Kak Long! Aku mendoakan kebahagiaan yang kini aku lihat terpancar di mata Kak Long akan kekal hingga ke syurga. Amin….



Xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx



ALHAMDULILLAH…….akhirnya tamat juga pengajian aku di salah sebuah kolej di Kuala Lumpur. Memang aku mengambil masa yang panjang untuk menyambung semula pengajianku apatah lagi di kota besar ini. Kerana aku tidak yakin iman aku begitu kuat untuk menepis apa saja godaan di kota metropolitan. Sesungguhnya aku hanya hamba ALLAH yang lemah dek kerana itulah aku hanya bersetuju setelah Kak Long memulakan hidup barunya dengan Abang Nazim di sana. Aku tinggal bersama mereka sehinggalah tamat pengajianku.

Minggu depan aku akan akan menghadiri temuduga. Sementara itu aku membuang masa di rumah dan adakalanya aku keluar dengan Alia, teman sekolej ku yang sudah berumahtangga dan memiliki seorang cahaya mata. Alia berkahwin ketika masih belajar lagi. Mulanya memang aku tak setuju dengan keputusan Alia yang mahu berkahwin walaupun ketika masih belajar. Tetapi syukurlah, aku lihat Alia kini bahagia dengan keputusannya.

Ketika di kolej aku berkenalan dengan seorang lelaki yang bernama Faiz. Mula-mula memang aku ralat menerima salam perkenalan darinya. Tetapi melihatkan kesungguhannya, aku mula membuka peluang untuknya. Sudah hampir dua tahun tempoh perkenalan kami. Aku bahagia bersamanya.



PETANG minggu aku keluar berjongging berdekatan dengan rumah. Aku mengajak Faiz untuk menemaniku tapi katanya dia ada urusan kerja yang perlu diselesaikan. Jadi terpaksalah aku pergi sendiri. Tak kisahlah.....aku pun dah biasa berjongging sendirian.

Ketika sedang beriadah mata aku menangkap sepasang kekasih yang seakan ku kenal. Dari jauh aku lihat sepasang kekasih itu sedang bermesraan tanpa memperdulikan mata-mata yang memandang. Mulanya aku ingatkan aku dah tersalah lihat. Tetapi bila semakin dekat aku dengan pasangan itu, perasaan ku menjadi kacau. Memang benar, itu adalah Faiz. Faiz bersama seorang gadis yang tidak ku kenali. Sungguh mesra. Kemesraan yang melampau di tempat awam!

Aku tergamam dan terkaku di situ. Aku hanya memerhati tingkah mereka berdua sehinggalah Faiz tersedar dengan kehadiran aku. Melihat sahaja kelibat aku dia terus menghampiri. Aku cuba melarikan diri tapi dihalangnya.

“Awak jangan salah sangka Diana! Saya dengan dia tak de apa-apa,” ujar Faiz bersungguh-sungguh.

Aku menggelangkan kepala. Bagaimana aku boleh percaya sedangkan aku melihat dengan mataku sendiri.

“Faiz, awak tak perlu menegakkan benang yang basah. Kalau awak sukakan dia, kita putuskan saja hubungan kita.”

“Tapi saya cintakan awak Diana. Awak tak perlulah cemburu dengan perempuan macam tu!” Faiz menunding jari pada temannya yang sedang memerhatikan kami berdua.

“perempuan macam tu?” sinis sungguh bahasa yang digunakan Faiz sehingga membuatkan aku tertanya apakah maksud di sebalik kata-katanya.

“Saya Cuma suka-suka saja dengan dia,” ujar Faiz. Aku melirik temannya yang bersingle sendat dan berlegging separas lutut.

“Apa maksud awak ni?’ aku memeluk tubuh.

“Saya cuma cintakan awak seorang. Perempuan macam tu cuma isi masa lapang je. Takkanlah saya nak perempuan macam tukan,” ujarnya seakan merayu. “Hanya awak yang betul-betul saya suka! Yang lain tu, awak jangan cemburu, saya suka-suka je.”

Wah!!!melampau betul cara dia mendefinasikan seorang perempuan! Tak kisahlah siapapun perempuan tu, bagaimana cara hidupnya, sama ada social atau solehah, dia tetap seorang manusia yang perlu dihormati. Begitukah caranya lelaki yang aku sayangi selama ini melihat perempuan dari sudut pandangannya?

Tanpa sepatah kata aku terus berlalu membiarkan Faiz memekik namaku. Biarkan jelah!!

Sampai sahaja aku di rumah aku terus berkurung di dalam kamar. Hati aku sebak, sedih, marah dan semuanya bercampur baur. Aku menangis! Menangis kerana hatiku terluka! Aku teringat semula kata-kata Faiz ketika aku bertanya kenapa dia mahu berkenalan dengan ku.

“Saya tertarik dengan awak. Saya selalu lihat awak dan kawan awak ke surau. Kadang-kadang bila saya lalu depan surau, saya dengar awak mengaji. Wanita macam awak yang saya mahukan sebagai teman hidup saya.”

Itulah kata-katanya yang membuatkan aku bersetuju menyambut salam perkenalan yang dihulurkannya.

Ya, aku tahu Faiz tidak salah, memang di dalam agama pun meletakkan agar seorang lelaki memilih seorang isteri berdasarkan agamanya. Tetapi itu tidak bermakna lelaki boleh menjadikan perempuan yang dirasakannya tidak layak untuk menjadi isterinya sebagai barang mainannya!

Kenapa lelaki hanya mahukan seorang wanita yang baik untuk menjadi isteri mereka sedangkan mereka sendiri tidak mempersiapkan diri mereka untuk menjadi seorang pemimpin?

Sejurus kemudian aku menerima panggilan dari Alia. Dalam tangisannya, dia memberitahuku yang dia kini sudah pulang ke kampungnya. Satu jam lebih aku berbual dengannya. Mendengar luahan perasaannya. Aku simpati dengan nasibnya. Aku sikit pun tak pernah menyangka rumahtangga yang dibina Alia dan suaminya akan berakhir begini.

Menurut Alia sudah tiga bulan suaminya tidak pulang ke rumah. Suaminya sudah ada perempuan lain sebagai gantinya. Ah…..begitu mudah sekali seorang lelaki mengantikan tempat seorang isteri. Aku menjadi semakin kurang mengerti dengan insan yang bernama lelaki. Apa sebenarnya yang ada dalam hati mereka?

Bukankah wanita dijadikan dari tulang rusuk kiri lelaki yang bengkok? Jadi mengapa tulang yang bengkok ini tidak cuba diluruskan? Kenapa perlu diambil kesempatan? Dan mengapa tulang yang bengkok ini dilepaskan tanggngungjawab dan amanah kepadanya sehingga tulang yang bengkok ini bukan sahaja perlu cuba meluruskan tulangnya sendiri malah juga zuriat yang ditinggalkan.

Aku belum pernah merasa sekecewa ini. Kecewa yang teramat sangat. Mungkin beginilah perasaan Kak Long ketika Abang Zul memutuskan pertunangan mereka dahulu. Tapi nasib aku lebih baik, kerana masih belum ada ikatan rasmi dengan Faiz. Jika tidak, mungkin aku juga melarikan diri seperti Kak Long kerana terlalu kecewa. Nauzubillah….

Lamunan aku terhenti bila pintu kamarku dibuka. Kak Long muncul dan dan duduk di depanku.

“kenapa dengan adik akak ni?” Tanya Kak Long.

Aku mengeluh. Aku lihat kak Long berubah riak wajahnya. Belum pernah dia melihat aku selemah itu.

“Yan lihat Faiz dengan perempuan lain,” ujarku. “alia pun baru telefon. Dia dah pulang ke kampung dengan anaknya.” Aku pun menceritakan apa yang telah berlaku padaku dan juga Alia sehingga aku menjadi selemah itu.

“Yan…. Kita kena realistik. Dalam hidup kita, jika kita mahukan kebahagiaan dan cinta sejati semuanya hanya dari Allah. Segala kebahagiaan di dunia ini datang dengan izinNya. Yan kena terima yang cinta Faiz bukan milik Yan dan apa yang berlaku pada Alia anggaplah itu dugaan dariNya buat Alia. Janganlah kerana dugaan yang sedikit macam tu kita dah rasa lemah sedangkan selama ni Allah dah banyak beri rahmatNya pada kita.”

Berbekas juga kata-kata Kak Long di hati aku. Kak Long lebih dulu makan garam dariku. Dia lebih banyak menimba pengalaman dariku. Apa yang berlaku dulu juga menjadi pengalaman berharga buat Kak Long.

Kak Long keluar sebentar lalu dia kembali semula padaku. Dia menyerahkan tiga buah buku dan sebuah majalah solusi keluaran yang terbaru padaku. Aku membelek buku-buku itu.

“Ini Kak Long pinjamkan pada Yan. Bacalah dan ambil pedoman dari kisah hidup mereka. Sesungguhnya, hidup kita lebih indah jika tahu dimana kita perlu meletakkan hati kita.”

Aku membaca tajuk buku-buku itu. Yang pertama adalah kisah Saidatina Khadijah r.a yang kedua riwayat hidup Fatimah Al-Zahra dan yang ketiga adalah Zulaikha isteri Yusuff a.s.

Aku membaringkan badanku. Buku yang pertama ku ambil dan ku selak helaiannya yang pertama.

Demi Allah sesungguhnya satu perasaan asing menyelinap jauh dalam lubuk hatiku. Sayu, terharu dan damai ku rasakan. Begitu agungnya kisah percintaan antara Saidatina Khadijah dan Rasullallah.

Belum sempat ku habiskan bacaanku, aku terdengar azan Maghrib berkumandang. Bergegas aku membersihkan diri dan bersolat. Aku mahu membaca kisah wanita tegar ini semula.

Helain demi helain ku selak akhirnya aku menghabiskan semua buku-buku yang telah dipinjamkan Kak Long padaku setelah tiga hari berkepit dengan buku-buku itu walau di mana saja ku berada.

Sesungguhnya, walaupun selama ini aku menutup aurat, mengerjakan setiap kewajipanku sebagai seorang muslim dengan bersembahyang dan mengaji namun aku masih alpa dalam meletakkan hatiku sendiri.

Setiap kali aku mengadap Tuhan baru aku sedar betapa banyak kelemahan, kekhilafan dan kesalahanku selama ini.

Sesungguhnya, Al-Quran dan Al-Sunnah yang telah ditinggalkan Rasullullah sudah lengkap untuk kita hidup berpandukannya tetapi kita masih alpa dengan dunia yang sementara ini. Jika hati kita meragui sesuatu perkara, bukankah kita telah diajar untuk mendirikan sunat istiqarah, jika kita berhajatkan sesuatu dan sangat mahukan ia bukankah kita diajarkan untuk mendirikan sunat Hajat? Jadi mengapa kita tidak mengikutnya sehingga kita selalu membuat pilihan yang salah?

Ya Allah….ampunkan dosaku Ya Allah….kini aku benar-benar sedar di mana hatiku perlu diletakkan. Kisah cinta tiga wanita ini, Khadijah r.a, Fatimah Al-Zahra dan Zulaikha telah menyedarkan aku betapa besarnya kuasa Allah dalam setiap cinta di hati hambaNYa.

“Bagaimana? Apa perasaan Yan sekarang?” Tanya Kak Long. Aku tersenyum.

“Alhamdulillah…..Yan dah sedar sekarang Kak Long. Tak sepatutnya bila hati Yan terluka Yan menyalahkan lelaki!”

KaK Long tersenyum senang dengan jawapanku.

“Kalau ada seorang lelaki yang mahukan Yan, bagaimana?” Tanya Kak Long. Aku hanya tersenyum. Kak Long….Kak Long…….seperti biasa dia tetap mahu tahu apa yang ada dalam hatiku.

“Sebagai seorang wanita Yan memang mahukan seorang lelaki sebaik Rasulullah…..tapi semuanya mustahilkan, Kak Long? Rasullulah tiada galang gantinya!”

Kak Long mengangguk menyetujui kata-kataku.

“Yan tak minta seorang lelaki sesempurna Rasullullah kerana Yan buka Saidatina Khadijah yang sanggup menyerahkan seluruh hartanya mahupun tulangnya sendiri demi agamanya. Yan juga tak minta seorang lelaki seperti Saidina Ali kerana Yan bukan Fatimah Al Zahra yang tinggi darjatnya di sisi Allah dan Yan juga tak minta seorang lelaki yang sangat kacak seperti Yusuff a.s kerana Yan tak secantik Zulaikha. Yan cuma mahukan seorang lelaki biasa yang mencintai Yan kerana cintanya pada Allah dan Yan juga bisa menerima cintanya kerana cinta Yan pada Allah.”

Kak Long tersenyum puas dengan jawapanku.



Xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx



Setahun berlalu. Aku juga sudah punya kerjaya di Kuala Lumpur dan aku masih tetap tinggal bersama Kak Long. Mujurlah Abang Nazim baik orangnya. Dia menjaga aku umpama seorang ayah yang menjaga anak gadisnya. Beruntung Kak Long punya suami sebaik Abang Nazim.

Minggu itu aku pulang ke kampung. Aku mohon cuti lebih lama. Terasa rindu pula dengan kampung kelahiranku ini. Rindu pada kedamaiannya dan udaranya yang segar. Namun terjadi sesuatu yang mengejutkan aku.

Pagi itu Pak Ngah Hassan datang ke kampung untuk merisikku buat anak lelakinya.

Memang aku terkejut sedangkan Abang Nazim dan Kak Long tak pernah berkata apa-apa. Anak Pak Ngah Hassan, bukankah itu bermaksud adik Abang Nazim, Lukman? Minggu sudah aku menemui Pak Ngah Hassan tetapi dia tidak memberitahu apa-apa padaku.

“Betul ke Kak Long?” aku meminta kepastian pada Kak Long yang juga datang bersama bapa mertuanya.

“Betullah! Takkan mak nak bohong pulak,” ujar Kak Long.

Riak wajahku berubah. Mengapa Pak Ngah Hassan tiba-tiba masuk meminang tanpa pengetahuan aku. Dan Kak Long dan Abang Nazim juga merahsiakannya!

“Yan…..” Kak Long duduk di sisi dan memeluk bahuku seolah-olah mengerti dengan kemarahanku.

“Yan dah lupa dengan cinta Yan. Di mana sepatutnya Yan meletakkan hati Yan?”

“Tak Kak Long…..Yan tak pernah lupa!”

“jadi apa yang buatkan Yan marah? Pak Ngah Hassan hanya menghantar rombongan merisik. Ingat….minta petunjuk dariNYa. Insyaallah……kita akan mendapat pilihan yang tepat!” Kak Long mengingatkan aku.

Tiga malam berturut-turut aku melakukan sunat Istiqarah memohon petunjuk darinya. Dan akhirnya, aku pasti dengan keputusan ku. Aku menerima lamaran Lukman untuk menjadi isterinya.



PETANG yang damai hari itu, aku berjalan-jalan di tepi sungai. Aku duduk di atas batu yang menjadi batu kesayanganku. Setiap kali aku ke sungai, di atas batu inilah akan ku duduk dan bermain air sungai.

“Asaalamualaikum…..” sapa satu suara.

Aku berpaling melihat empunya diri. Kelihatan kelibat yang telah lama aku tidak jumpa sedang berdiri di tebing. Jika dikira, hampir enam tahun lamanya aku tidak melihat Lukman. Kali terakhir aku melihatnya adalah ketika pernikahan Kak Long.

“Waalaikummussalam….” Jawabku. Ada rasa malu menyelinap ke dalam hatiku.

“Terima kasih kerana menerima lamaran saya,” ujarnya. “Maafkan saya kalau menganggu awak. Tapi ada sesuatu yang perlu saya beritahu.” Ujarnya yang masih berdiri di tebing.

Aku mendiamkan diri menunggu kata-kata seterusnya.

“Saya tidak sehebat Rasulullah dalam menegakkan agamaNya, saya juga bukan Saidina Ali yang menjadi kunci ilmu bagi Rasullullah. Saya juga tidak kacak dan tampan seperti Yusuff a.s. Saya hanyalah seorang lelaki biasa yang mencintai awak kerana cinta saya pada Allah. Dan saya berjanji akan melindungi dan menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang suami.”

Aku tersenyum dengan kata-katanya.

“Cinta saya ikhlas keranaNYa.” Sambungnya lagi.

Ya, aku juga ikhlas mencintai dia kerana cintaku pada Allah. Tapi biarlah ianya menjadi rahsia. Akan ku bisikkan padanya pada hari kami sah menjadi suami isteri. Aku mahu berbisik di telinganya sama seperti yang dikatakannya.

‘cintaku Ikhlas keranaNYA.’

Tuesday, 3 May 2011

Lukisan Cinta 2



IZZ yang sedang mendengar lagu sepanyol mengikut bait-bait lagu yang dipasangnya sambil memerhatikan sekeliling. Sambil menghiburkan hatinya yang sedang kebosanan dia masih tidak lupa untuk menjalankan kewajipannya.

Matanya dilirikkan sebentar memandang jam ditangan. Kenapa hari ini Tania lambat sekali tiba di situ?

Sepatutnya memang sudah menjadi tugasnya untuk mengambil Tania pulang dari sekolah. Namun, hari ini Tania sudah berjanji dengan kawan-kawannya untuk keluar menonton wayang. Tetapi kemudian, Tuan Helmi menelefonnya dan menyuruhnya mengambil Tania di terminal bas.

Tadi dia sudah menghubungi Tania. Tania memintanya untuk menunggu di tempat letak kereta.

Sedang matanya meliar memandang ke kiri mencari-cari kelibat Tania, cermin pintunya di ketuk. Lantas dia berpaling ke kanan.

Kelihatan wajah Tania sudah tersenyum memandangnya. Cermin tingkap di turunkan.

“Kenapa lambat?” tanya Izz.

Tanpa menjawap soalan itu Tania berjalan ke kiri kereta dan membuka pintu. Tubuhnya di loloskan ke dalam.

Berkerut kening Izz melihat beg pakaian di ribaan Tania.

“Beg siapa ni?” tanya Izz.

Seingatnya, pagi tadi ketika dia menghantar Tania ke sekolah, tidak pula dia melihat beg pakaian itu.

Tania memandang beg pakaian itu. Dia teringat semula kepada budak perempuan tadi. Dia berdoa semoga budak perempuan itu selamat.

“Ini beg kawan. Dia suruh Tania simpan!” Tania mengukir senyuman manis.

Izz disebelahnya turut tersenyum. Tania memang seorang gadis yang ceria dan murah dengan senyuman. Walaupun Tania adalah anak majikannya, namun dia terasa seperti Tania adalah adiknya. Gadis itu sentiasa baik dengan sesiapa sahaja.

Rata-rata pekerja di Ilham Hati sangat menyenangi anak tunggal Tuan Helmi itu. Sikap Tania yang merendah diri dan ramah dengan semua pekerja sama seperti arwah ibunya, Sufi.

Puan Sufi meninggal dunia tiga tahun lalu kerana menghidapi barah. Kasihan Tania. Tania ketika itu baru berusia tiga belas tahun. Memang sukar bagi Tania menerima kenyataan ibunya sudah pergi meninggalkannya. Namun lama kelamaan, Tania sudah bisa menerima kenyataan itu.

Tania memandang Izz dengan senyuman yang tidak pernah lekang. Sejak hari pertama lelaki itu di bawa pulang oleh papa, dia sudah menyenangi Izz. Dia tidak pasti perasaannya pada Izz namun dia cukup senang bila disamping Izz.

Di sekolah, dia juga meminati seorang kawan lelakinya, Faiz. Dia juga merasakan yang dia menyayangi Faiz sama seperti dia menyayangi Izz. Entahlah…...Yang penting dia tidak mahu kehilangan kedua-duanya sehingga dia benar-benar pasti tentang perasaannya.

“Apa yang senyum-senyum ni?” tegur Izz.

Semakin melebar senyuman yang terukir di bibir Tania dengan teguran itu.

“Kau tahu Izz……Kau milik aku! Ingat! Jangan cari perempuan lain tau!” kata Tania. “Tunggu aku sampai aku habis belajar!”

Izz ketawa dengan kata-kata Tania. Ini bukan pertama kali Tania berkata begitu. Mulanya memang dia agak terkejut, lama kelamaan dia sudah terbiasa dengan usikan Tania. Sekejap Tania akan memberi amaran padanya agar setia pada dia tetapi dalam masa yang sama Tania masih bisa bercerita tentang perasaannya pada Faiz, rakan sekolahnya.

“Betullah!! Aku tak main-main!!”

“Baiklah tuan puteri…..” Izz masih tersenyum.

Izz memang sayangkan Tania. Namun sayangnya pada Tania hanya terbatas sebagai sayang seorang abang pada adiknya. Tania masih muda dan masih mentah. Dunia yang dijelajahinya masih belum luas. Tania masih belum jumpa dengan ramai orang. Setiap hari, Tania hanya di sekolah dan Ilham Hati.

Suatu hari nanti Tania pasti menyedari perasaannya pada Izz hanyalah perasaan yang sementara. Gadis itu akan melanjutkan pelajaran dan akan berjumpa dengan ramai orang. Di saat itu, gadis itu pasti sudah bijak berfikir tentang masa depannya.

Tania masih mentah untuk mengetahui apa itu cinta……



SAMPAI sahaja di gerbang Ilham Hati, Tania meluru keluar dari kereta dan membuka pintu gerbang yang memisahkan Ilham Hati dengan dunia luar.

“Tania dah balik!!” jeritnya seperti selalu.

Biasanya apabila dia menjerit begitu, ramailah pekerja-pekerja di Ilham Hati yang akan menyambutnya. Namun berlainan sekali pada hari ini. Suasana di Ilham hati begitu sunyi dan sepi.

“Tania dah balik!!” jeritnya lagi sambil matanya liar memerhati perkarangan Ilham Hati yang begitu luas.

Dari jauh kelihatan seorang wanita tua berlari-lari anak menghampiri Tania. Sampai di depan Tania dia sudah tercungap-cungap.

“Kenapa Mak Eton?” Tania bertanya pada tukang masak di Ilham Hati.

Izz sudah berdiri di sebelah Tania bersama beg pakaian yang dibawa pulang Tania. Dia juga merasa asing dengan suasana sunyi itu. Biasanya apabila masuk sahaja ke gerbang Ilham Hati, akan terdengarlah suara-suara dan bunyi-bunyi bising pekerja-pekerja itu ketika melaksanakan tugasan mereka.

“Tuan Helmi naik angin! Habis semua pekerja-pekerja di marahinya!” Mak Eton bersuara berselang seli dengan nafasnya yang masih tercungap-cungap. “Cepat Tania! Hanya kamu saja yang boleh tenangkan dia!”

Tania berlari mencari papanya di kawasan jemuran. Agak susah untuk melalui kawasan itu kerana berpuluh-puluh helaian kain di jemur setelah direndam dengan warna sebelum digulung untuk dijual sebagai kain kosong. Ada sesetengahnya pula diambil untuk dilukiskan dengan corak-corak yang direka oleh Tuan Helmi sendiri.

Sebaik sahaja melihat kelibat papanya yang sedang memarahi pekerja-pekerja di situ, pantas Tania berlari mendapatkan Tuan Helmi.

“Papa! Papa! Sudahlah!” Tangan Tuan Helmi digenggam erat.

Tuan Helmi kelihatan sedikit terkejut melihat kelibat Tania di situ. Namun pandangannya kembali beralih memandang semua pekerjanya yang sudah tertunduk ke tanah.

“Mereka semua dah rosakkan kain-kain papa! Habis semua ilham yang papa cipta!!” jerit Tuan Helmi.

Tania memeluk tubuh di depannya dengan erat. Dia tahu, papa masih tertekan. Walaupun arwah mama sudah meninggalkan mereka hampir tiga tahun tetapi papa masih belum bisa membiasakan diri tanpa mama disisinya.

“Sudahlah papa…..” dia merayu lalu menatap wajah Tuan Helmi dengan wajah yang memohon simpati. “Mereka semua tak sengaja!!” Tania terus-terusan memujuk.

Tuan Helmi melepaskan keluhan panjang. Wajah simpati anaknya itu sering menjadi kelemahannya. Dialah satu-satunya permata hati Tuan Helmi. Peninggalan arwah yang sangat dicintai.

“Papa masuk berehat ye…..” Tania menarik tangan Tuan Helmi agar meninggalkan kawasan jemuran itu. “Papa mesti letih!!”

Tanpa banyak bicara, Tuan Helmi menuruti kehendak Tania. Lalu dia membawa Tuan Helmi ke ruang pejabat peribadinya.

Tania sudah kembali ke kawasan jemuran. Dia membantu para pekerja mengutip dan mengemas kain-kain dan bahan-bahan mewarna yang bertaburan.

“Kamu semua tak apa-apa?” tanya Tania.

Dia khuatir jika ada pekerja yang jauh hati dengan ketegasan papa. Sejak arwah mama meninggal, memang Tuan Helmi menjadi pendiam dan sedikit baran. Ada sahaja yang tidak kena dengan para pekerjanya.

“Tak pe…..Kami semua okey!!” Terangguk-angguk Pak Bakri menjawap bagi pihak pekerja yang lain.

“Terima kasih kerana sudah membantu kami!” Pak Syuib pula berterima kasih.

Sikap Tania tak ubah seperti arwah Puan Sufi. Mereka semua senang dengan kelembutan dua beranak itu.

Ketika Puan Sufi masih hidup, dialah yang sering membantu Tuan Helmi menguruskan perniagaan kain Ilham Hati. Puan Sufi juga pernah mereka beberapa corak untuk Ilham Hati. Rekaannya memang cantik dan eksklusif. Tetapi sayangnya, Tania tidak mempunyai bakat seperti Puan Sufi dan Tuan Helmi.

Dari jauh Izz memerhatikan Tania dengan senyuman. Gadis itu memang baik dengan sesiapa sahaja. Dia pasti kesemua mereka sangat sayangkan Tania.