Tuesday, 1 December 2009

Saat Hati Merelakan 4


Wes memandu perlahan. Seawal jam tujuh pagi begini, jalan raya masih lengang. Mudah baginya memandu dalam keadaan begitu. Sesekali matanya melirik, memandang matahari yang mula kelihatan di balik bukit. Dia tersenyum. Wajah Farahymma bermain di ruang mata. Dia bukanlah seorang pecinta alam sebenarnya. Namun, Farahymma yang membuka matanya untuk melihat jauh keindahan alam ciptaan Illahi.


Farahymma memang gemar bercerita tentang keindahan bulan dan bintang. Dia juga gemar melihat matahari terbit dan terbenam. Secara tidak langsung hatinya juga tertarik pada unsur alam.

Wes memerhati keadaan sekeliling. Sebaik saja sampai di simpang Jalan Sultan Azlan Shah, Wes membelok ke selekoh kiri menuju ke arah yang ingin ditujunya. Setelah sampai dia mematikan enjin.

“Assalamualaikum.......” Dia memberi salam sambil terjengok-jengok ke dalam untuk memastikan rumah itu ada penghuninya.

Laila yang kebetulan sedang menyiapkan anaknya ke sekolah, bangun lalu membuka pintu.

“Waalaikumsalam.........Wes!!” jerit Laila. Sebentar kemudian Danial, anak Laila yang berusia tujuh tahun datang dan mencium tangan ibunya. Kemudian dia berlalu memasuki perut bas sekolah yang berhenti di hadapan rumahnya.

Laila melambai-lambai kepada anaknya sehingga bas sekolah itu hilang dari pandangannya. Kemudian dia beralih kepada Wes.

“Masuklah Wes,” jemputnya. “Tapi kita duduk di luar saja yek. Suami aku tak de kat rumah.”

“Tak pe. Kat sini pun dah cukup,” ujar Wes sambil melabuhkan punggungnya di kerusi halaman. Setelah itu, Laila masuk ke dalam dan kembali dengan secawan kopi di tangannya. Wes mengucapkan terima kasih.

“Bila kau pulang dari Sabah?” tanya Laila.

“Baru seminggu. Maaflah, tak sempat nak beritahu. Busy!” Laila menganggukkan kepalanya.

“So, macam mana dengan kau?”

“Macam yang kau lihat sekarang.” balas Wes. Laila memerhatikan Wes dari atas ke bawah. Lelaki ini sudah jauh berubah. Semakin kurus dan tak terurus. Jika dulu, misai dan janggutnya sentiasa dicukur bersih, tapi kini dibiarkan begitu sahaja.

“Kenapa kau sebenarnya? Kau dah tak macam dulu.”

“Kau tanya pada aku soalan yang sememangnya kau dah tahu.” Wes tersenyum sinis.

“Setelah lima tahun kau masih tak boleh terima pilihan keluarga kau dan tak dapat lupakan Farah?” soal Laila sambil merenung tajam lelaki di hadapannya.

“Aku dah cuba Laila. Tapi aku tak mampu nak tukar kasih sayang Farah dengan wanita lain. Aku masih sayangkan dia. Aku cintakan dia Laila!” Dia memandang Laila sayu. “Melakukan sesuatu tanpa ada kerelaan, takkan ada kebahagiaan menanti di hadapan.” Wes menarik nafas sebentar. “Aku dah cuba untuk rela.”

Laila memandang jauh ke dalam anak mata Wes. Ada garis-garis kelukaan. Ada sinar keredupan yang terselindung dibalik wajah yang bersahaja.

Wajah kemurungan dan kekecewaan yang sama dilihat dalam diri Qismyna sewaktu mereka terserempak di kedai buku.

“Aku kembali ke sini pun untuk cari dia Laila. Tapi, dia dah pindah. Aku tak tahu kat mana lagi nak cari dia.” Wes bersuara kesal.

Dua hari lepas dia ke Taman Metropolitan untuk mencari Farahymma. Tapi malangnya penduduk di situ memberitahu Farahymma telah lama berpindah ke tempat lain.

“Minggu lepas aku jumpa dengan Farah.” Pantas sahaja Wes memandang wajah Laila sebaik sahaja dia berkata begitu. Laila memandang wajah Wes yang penuh dengan harapan.

“Kat mana dia sekarang?”

“Aku tak tahu. Aku ingatkan dia masih tinggal di Taman Metropolitan. Aku tak tahu yang dia dah berpindah. Dia pun tak cakap apa-apa dengan aku. Nombor telefon pun dia tak beri pada aku.”

“Kenapa?” tanya Wes.

“Entahlah. Mungkin juga dia tak mahu diganggu.” balas Laila. “Tapi, untuk apa kau nak cari dia lagi. Sedangkan kau sendiri tak mampu menolak pilihan orang tua kau.”

“Aku bukan macam dulu. Aku akan berjuang demi cinta aku. Aku perlu jumpa dengan Farah.” Kenyataan Wes membuat Laila sedikit keliru.

“Kau dah berkahwin, kan?” soal Laila.

“Tak. Aku masih belum berkahwin.” Laila kelihatan terkejut dengan kenyataan Wes. Dia menyangka Wes sudah pun mendirikan rumahtangga. Malah, semua orang menganggap begitu termasuk Farahymma.

“Kau masih belum berkahwin?!” Laila menghembuskan nafas yang panjang. “Kalau aku tahu lebih awal, pasti aku beritahu Farah.” Mereka diam sebentar.

“Kau tak ubah macam adik angkat aku.” Wes mengerling Laila.

“Ya, dia pun macam kau juga. Pecinta setia yang kecewa. Kebetulan dia baru balik dari Johor, aku terserempak dengan dia. Masih setia dengan cinta lama. Kalau kau tak dapat Farah, kau kahwin saja dengan dia.” seloroh Laila.

“Boleh juga. Tapi dia nak ke kahwin dengan aku?” Laila ketawa kecil mendengar seloroh Wes.

“Kau dengan dia kena register dalam persatuan orang-orang yang kecewa bercinta.”sambung Laila lagi.

“Yelah tu. Aku tengah frust tak dapat cari Farah kau buat lawak pulak. Ada ke patut.” Laila diam seketika. Kasihan melihat Wes. Dia teringat pada Qismyna. Ya, gadis itu juga menderita kerana cinta. Betapa besarnya kekuatan cinta pada manusia.

“Dari dulu aku dapat rasakan yang.....Farah tak dijodohkan dengan aku. Tapi, aku tak tahu kenapa sampai sekarang aku masih belum dapat melupakan cintanya. Gila! Tapi itulah yang aku rasakan. Cinta yang tak pernah padam.” Ada sayu dari nadanya.

Memang benar, selama dia bersama dengan Farahymma sehinggalah sekarang, dia tak pernah merasakan yang mereka berdua akan bersama. Tetapi dia tetap mahu berusaha untuk mencapai cita-citanya yang ingin sehidup semati dengan gadis itu. Setiap malam dia sentiasa berdoa memohon kepada Illahi agar ditemukan semula dengan gadis itu.

“Kalau macam tu, kenapa kau masih mengharap pada dia?” Laili mengerutkan keningnya tidak memahami apa yang dirasakan lelaki itu.

Wes mengalihkan pandangannya kepada Laila sambil tersenyum lalu mengangkat kedua-dua bahunya tanda tidak tahu.

“Mungkin kerana aku terlalu cintakan dia.”



QISMYNA memicit-micit belakang tengkuknya yang terasa lenguh. Satu persatu buku-buku anak muridnya diperiksa. Macam-macam yang tertulis. Ada juga yang melukis. Dia menggelengkan kepalanya.

‘Lain yang diajar, lain yang dibuat.’

Baru sebulan Qismyna bergelar guru tadika di Sri Permai. Maya senang mendidik anak-anak kecil. Baginya, mendidik mereka lebih mudah berbanding mereka yang telah pandai berfikir. Dia mengajar di tadika itu sekadar untuk mengisi masa lapangnya buat sementara. Sebenarnya, dia mempunyai agenda lain untuk masa depannya.

Kehidupan Qismyna lebih tenang sekarang. Sedikit sebanyak, dia sudah melupakan kisah cinta yang lalu. Dia lebih senang menghabiskan masa bersama anak-anak muridnya yang nakal tetapi pintar. Hatinya terhibur melihat keletah mereka walaupun adakalanya mencabar kesabaran.

“Bagaimana kau sekarang?” soal Zila pada suatu hari sewaktu mereka beriadah bersama di pantai Seagate. Zila dapat melihat perubahan pada diri Qismyna. Sahabatnya itu kelihatan lebih ceria. Dia hairan bagaimana anak-anak kecil itu mampu membuat hidup Qismyna labih bermakna sedangkan lima tahun berada di Johor Bahru Qismyna belum mampu untuk melupakan kenangan silam.

“Aku gembira. Hidup aku lebih bermakna berbanding dulu.” Qismyna tersenyum sambil memandang jauh keindahan pantai yang terbentang di depan matanya. “Aku tak sangka aku betul-betul bahagia sejak aku kenal pelajar-pelajar cilik di Sri Permai. “

“Baguslah kalau macam tu. Aku pun tumpang bahagia,” ujar Zila.

Qismyna mendepakan tangannya. Membiarkan angin pantai yang bertiup melanggar tubuhnya. Begitu juga dengan Zila.

“Tapi....takkanlah kau nak terus mengajar di tadika tu?” soalan Zila menyebabkan Qismyna membuka matanya dan berpaling menghadap Zila.

“Tak. Aku dah ada perancangan sendiri. Cuma.....aku perlukan waktu lebih sikit,” balas Qismyna. “Mungkin.....hujung bulan depan aku akan berhenti dari mengajar di tadika tu. Kau macam mana pulak?” tanya Qismyna kembali.

“Macam mana apa?”

“Maksud aku......pernikahan kau dengan Johan. Macam mana?” tanya Qismyna. Zila tersenyum.

“Minggu depan keluarga Johan akan datang,” ujarnya dengan penuh makna. “Berdebar-debar rasanya.”

“Yelah. Tak lama lagi nak jadi tunang orang. Lepas tu isteri orang,” usik Qismyna.

“Eiii.....jahat.” Zila mencucuk pinggang Qismyna. Qismyna menjerit kegelian lalu mengejar Zila yang telah pun melarikan diri darinya.

Wednesday, 18 November 2009

Takkan Pernah Hilang 5









SAMBIL menjinjit briefcase di tangan, pantas langkah Fariz diayun memasuki bangunan tinggi itu. Kemudian, dia hilang di dalam lif dan muncul semula apabila tiba di tingkat 25. Ketika bergegas untuk tiba di pejabat, sempat juga dia menjawab panggilan daripada mamanya.

“Ya…Ya… Baik, ma. Fariz akan cuba. Tapi paling awal pun dalam pukul 3.00 petang karang.” Setelah berjaya memujuk dan menenangkan mama yang kedengaran cemas, Fariz mematikan talian.

Siti, setiausaha Fariz yang melihat kelibat bosnya menghampiri pantas bangun lalu menegur ketuanya itu. Fariz hanya membalas dengan anggukan lalu daun pintu bilik pejabatnya diselak. Tubuhnya dihempas ke kerusi bagi menghilangkan rasa letihnya. Nafas yang panjang dihembus. Sesekali kepalanya ditelengkan ke kanan dan kiri bagi menghilangkan rasa lenguh. Kemudian dia duduk bersandar sambil fikirannya kembali teringat pada panggilan mama sebentar tadi. Mamanya menelefon dan menyuruh agar dia pulang lebih awal kerana badan Aiman kembali panas.

Sudah empat hari Aiman begitu. Sekejap badannya sejuk dan sekejap badannya akan kembali panas. Dia khuatir mengingatkan keadaan Aiman. Namun menurut Doktor Usman, seorang pakar kanak-kanak, tiada apa yang perlu dirisaukan. Demam Aiman hanya demam biasa.

Mama pula tak sudah-sudah menyuruhnya berjumpa dengan Maisara. Kata mama, Aiman mungkin rindukan Maisara kerana itu demamnya sukar untuk kebah. Abah juga mengiakan kata-kata mama. Mungkin ada benarnya kerana kali terakhir Maisara datang di rumahnya adalah sebulan yang lalu. Tapi sekiranya dia memberitahu Maisara, mahukah gadis itu mempercayai kata-katanya?

Walaupun dalam hati dia yakin Maisara amat menyayangi Aiman, namun dia khuatir jika permintaannya agar Maisara datang ke rumah untuk melawat Aiman ditolak. Dia tahu, selama ini dialah puncanya yang menyebabkan perhatian Maisara terhadap Aiman terbatas. Kerana dia, Aiman menjadi mangsa. Maafkan papa, Aiman…

Fariz menarik nafas, cuba menguatkan hatinya yang berbelah bahagi. Walau apa pun yang terjadi, dia perlu berjumpa dengan Maisara. Demi Aiman!


MAISARA ralit menyusun pasu-pasu bunga di laman belakang sambil menyanyi perlahan, sekadar menghiburkan hati. Sesekali peluh di dahi yang menitik dikesat dengan belakang tangannya. Sejak akhir-akhir ini memang dia agak sibuk setelah dia mula bekerja di sebuah syarikat pembinaan. Walaupun hanya sekadar menjadi kerani dengan gaji yang tidak seberapa, namun dia senang bekerja di situ. Malah, pekerja-pekerja yang lain juga ramah dan senang bekerjasama.

Sedang dia asyik mengangkat pasu-pasu kecil dan menyusunnya, tiba-tiba sahaja jantungnya berdegup pantas. Dia merasakan seolah-olah dirinya diperhatikan. Pantas tubuhnya dialih ke belakang. Terkesima dia sebentar melihat wajah itu. Wajahnya dipalingkan semula. Pasu di tangan diletakkan ke bawah. Langkah kaki diayun untuk masuk ke dalam rumah.

“Tunggu, Sara!” halang Fariz.

Langkah Maisara terhenti. Namun dia tetap tidak berpaling memandang wajah itu.

“Maaf kalau saya mengganggu.”

Maisara melirik kelibat Fariz dengan ekor matanya. Kelihatan lelaki itu masih berkemeja dan berseluar hitam. Mungkin lelaki itu baru pulang dari pejabat.

“Awak tak kerja ke hari ni?” tanya Fariz sekadar berbasa-basi.

Maisara mengherotkan bibirnya lalu memeluk tubuh.

“Sekarang dah pukul 7.00 petang, Encik Fariz.” Sengaja dia berkata begitu untuk menyakiti hati Fariz. Untuk apa lelaki itu datang ke mari? “Kenapa awak datang? Kalau awak nak cari abah, dia ada di depan dengan umi!”

“Saya tahu…” Perlahan suara Fariz. Setibanya tadi, dia telah pun berjumpa dengan mereka dahulu untuk menerangkan tujuannya.

“Dia orang yang beritahu awak ada di sini,” ujar Fariz lagi.

“Untuk apa awak ke sini? Rasanya, antara awak dan saya dah lama tak ada kaitan! Jadi, saya rasa...”

“Ada!” pintas Fariz. “Antara kita masih ada kaitan!”

Maisara ketawa sinis mendengar kata-kata Fariz.

Fariz sedar, ketawa itu penuh dengan sindiran dan dendam.

“Sejak awak dan keluarga awak datang ke sini untuk Suhana, antara awak dan saya telah terputus hubungan. Walaupun pada hakikatnya kini awak adalah abang ipar saya!” Air mata Maisara bagaikan hendak mengalir sewaktu berkata begitu. Bagaimana dia bisa melupakan semuanya?

“Hubungan sebegitu memang telah lama putus.” Fariz mengeluh. “Dan kalau awak tak mahu beriparkan saya juga, saya tak kisah. Tapi masih tetap ada kaitan antara kita!” Fariz memandang Maisara dengan renungan yang mendalam. “Aiman!”

Baru sahaja Maisara hendak membuka mulut pantas nama Aiman keluar dari bibir Fariz sehingga menyebabkan Maisara terdiam. Aiman…

Sudah lama Maisara tidak mendengar nama Aiman. Tiba-tiba sahaja nama Aiman kini bermain di cuping telinganya. Bukan dia tidak merindui bayi itu. Namun setiap kali dia ingin menemui Aiman, hanya wajah Fariz terbayang di ruang ingatan, menyebabkan hatinya berat untuk bertemu dengan Aiman. Tiba-tiba sahaja hatinya dirundung sayu dan rindu. Sudah lama dia tidak menatap wajah comel itu. Rasa rindu tiba-tiba mencucuk tangkai hatinya.

“Aiman sakit, Sara!”

Bagai terkena renjatan elektrik, pantas Maisara berpaling memandang Fariz dan merenungnya dengan mata yang berkaca. “Aiman sakit apa?” Hatinya dirundung gelisah.

“Dia demam,” kata Fariz. “Kata mama, dia rindukan awak.”

Air mata yang ditahan mengalir perlahan ke pipi Maisara. Perasaan bersalah mula menguasai diri. “Aiman…”


“AIMAN!” Tanpa dipelawa masuk, pantas Maisara berlari memanjat anak-anak tangga dan terus meluru masuk ke kamar bayi. “Aiman!” Langkahnya terhenti di muka pintu.

Rosnah, mama Fariz, yang baru menidurkan Aiman berpaling memandangnya.

“Mak cik!” Maisara menghampiri wanita itu lalu tunduk menyalami tangannya.

Rosnah tersenyum lalu mengusap lembut rambut Maisara.

“Alhamdulillah... Syukurlah Sara dah ada di sini.” Rosnah bersuara. “Mama risau. Takut Fariz tidak ke sana dan membawa Sara.”

Maisara hanya diam mendengarnya. Rupa-rupanya, mama Fariz yang menyuruh lelaki itu ke sana dan membawanya datang untuk berjumpa dengan Aiman. Bukan kerana kehendak Fariz sendiri. Tiba-tiba rasa kecewa muncul di balik hati. Namun pantas dimatikan rasa kecewa itu. Untuk apa dia perlu merasa begitu? Bukankah dia mahu melupakan Fariz daripada hidupnya?

“Sara duduklah di sini. Temankan Aiman. Dari tadi dia asyik menangis aje. Risau mama.”

Pandangan mata Maisara jatuh ke wajah Aiman yang sedang terlena.

“Dia baru saja terlena. Sara tolong temankan dia ya...” pinta Rosnah. “Mama turun dulu ya.” Rosnah berlalu pergi.

Mata Maisara kembali tertancap pada wajah Aiman. Dia menghampiri bayi itu dan duduk di sebelahnya. Perlahan-lahan Maisara melekapkan tapak tangannya di dahi bayi itu. Panas! Tubuh Aiman bergerak-gerak. Mungkin sentuhan itu mengganggu lenanya. Tiba-tiba sahaja tangisan Aiman bergema. Pantas Maisara mencapai tubuh kecil itu ke dalam dakapannya.

“Aiman… Aiman…” panggil Maisara.

Tangisan Aiman terhenti sebentar. Kemudian bayi itu membuka matanya setelah mendengar namanya dipanggil. Seperti dia mengenali suara itu.

“Aiman sayang…” panggil Maisara lagi.

Mata Aiman tertancap pada wajah itu lama, sebelum dia kembali menangis. Namun tangisannya kali ini perlahan dan manja, seolah-olah sedang memberitahu Maisara yang dia merinduinya. Tiba-tiba sahaja Maisara turut menangis bersama sambil memeluk bayi itu erat-erat.

“Maafkan mak su, sayang... maafkan mak su…” Maisara yakin dengan naluri hatinya. Memang bayi itu merinduinya!

Di sebalik pintu, senyap-senyap Fariz mengintai ke dalam. Hati lelakinya tersentuh dengan kasih sayang yang terikat antara mereka berdua. Sara…

*************************************

Takkan Pernah Hilang 4









MAISARA membelek-belek dirinya di cermin besar itu. Dia berpusing ke kanan dan ke kiri untuk melihat penampilannya. Setelah berpuas hati dia bergerak mencapai tas tangan dan fail di atas meja. Kemudian kakinya melangkah menuruni anak tangga, satu per satu. Langkahnya diayun menuju ke meja makan.

Khalid dan Maimun yang hampir menyudahi sarapan pagi mereka lantas membuang pandangan kapada Maisara yang sudah pun duduk di sisi mereka.

“Kenapa lama sangat bersiap?” tanya Maimun. Maisara di sisinya hanya tersenyum.

Memang pagi itu Maisara agak terlambat untuk bersarapan bersama mereka. Dia perlu memastikan penampilannya kemas untuk menghadiri temu duga. First impression is important.

“Kejap lagi Pak Kassim akan hantar Sara ke sana,” beritahu Khalid.

“Tak payahlah, abah, Sara boleh pergi sendiri,” bantah Maisara. Dia tidak mahu menyusahkan abah. Dia boleh berdikari sendiri.

“Naik apa? Nak naik Kancil Sara yang selalu meragam tu?” Khalid menggeleng. “Entah-entah belum sampai setengah jalan buat hal lagi.”

Maimun sudah ketawa apabil Khalid berkata begitu.

Maisara mencebik. Dia tahu Kancil yang dibelinya ketika di Perlis itu memang selalu meragam. Maklumlah, kereta second hand. Tetapi itulah harta pertama yang dibeli dengan titik peluhnya sendiri.

“Dah berapa kali abah suruh Sara tolak Kancil tu. Tapi Sara degil!”

“Abah janganlah cakap macam tu. Kancil tu masih boleh digunakan lagi. Bukan selalu dia meragam. Kadang-kadang aje. Itu pun kalau perjalanan jauh,” bidas Maisara.

“Kalau diikutkan, Pantai Miami dengan pusat bandar memanglah tak jauh mana. Tapi abah takut kalau-kalau Sara tersangkut, macam mana? Bila dah tersangkut, perjalanan yang dekat tetap mengambil masa yang lama. Kalau Kancil tu buat hal, bila jammed, jammed teruslah nampaknya Kancil tu,” omel Khalid.

“Betul cakap abah tu, Sara. Karang temu duga ke mana, Kancil ke mana. Tanam anggur lagilah nampaknya,” usik Maimun sambil tersengih.

“Habis, kalau Pak Kassim hantar Sara, abah pergi kerja dengan apa?”

“Kita pergi sekalilah. Lepas dia hantar abah ke pejabat, dia hantar Sara pulak.” Khalid menghirup kopi yang masih berbaki. “Nanti Pak Kassim tunggu sampai habis temu duga.”

Maisara hanya terdiam. Ada betulnya jugak saranan abahnya. Tak perlulah dia bersusah payah pergi sendiri.
“Dah, jom!” Sekilas Khalid melihat jam di pergelangan tangannya. “Temu duga pukul 9.00, kan? Nanti lambat pula.”


MAISARA menarik nafas lega. Setelah mengucapkan terima kasih dia berlalu keluar. Daun pintu ditutup perlahan. Segala-galanya dipastikan sempurna. Sebelum keluar dari pejabat yang terletak di Bangunan Syed Putra itu, sempat dia berbual sebentar dengan seorang staf perempuan, Noni nama timangannya.

“Terima kasih ya, Noni,” ucapnya seraya memandang kepada seorang perempuan dan dua orang lelaki yang masih berada di kerusi menunggu. “Ramai ke yang datang temu duga?”

“Banyak permohonan, tapi cuma empat orang sahaja yang dipanggil. Tapi itu pun untuk jawatan berbeza.”

“Jawatan berbeza? Jawatan yang saya pohon ni?” Maisara mula melebarkan senyuman.

Noni yang memahami apa yang tersirat di hati Maisara mendekatkan bibirnya dengan telinga gadis itu.

“Antara awak dengan perempuan yang sorang lagi tu.” Dia memuncungkan bibirnya, menunjuk ke arah seorang lagi perempuan yang sedang duduk bersama Maisara sebentar tadi.

Maisara mengangguk-anggukkan kepalanya lalu tersenyum memandang Noni. Gadis yang memakai skirt pendek separas lutut dan berkemeja biru lembut ini memang peramah dan mudah mesra.

“Tapi saya harap, awak yang akan diserap masuk. Sebab dari tadi saya tengok perempuan tu langsung tak senyum. Tak mesra alam!”

Maisara tertawa kecil. Ayat Noni yang terakhir itu menggeletek hatinya.

“Saya pun harap macam tu.” Maisara bersuara riang. “Belum dah kerja dah dapat kawan!”

Setelah berbual-bual seketika, Maisara meminta izin untuk pulang. Sebelum dia keluar dari ruangan pejabat, sempat Noni memberitahu segala keputusan akan dimaklumkan selewat-lewatnya tujuh hari berkerja bermula dari esok hari.


DALAM perjalanan pulang ke Pantai Miami, sekali lagi Maisara membelek-belek fail di tangannya. Sijil-sijil penghargaan yang disimpan, dibelek satu per satu. Sengaja dia berbuat begitu untuk menghilangkan rasa bosannya. Sampai sahaja di muka terakhir fail, tangannya terhenti di situ. Matanya tertancap pada foto yang terselit di situ. Pantas wajahnya berubah. Foto Aiman yang diambilnya ketika bayi itu dalam jagaannya, diambil dan ditatap lama. Terasa ada takungan di kelopak matanya.

Aiman…

Perasaan rindu terhadap bayi itu semakin membuak-buak. Lebih dua minggu dia tidak melihat wajah comel itu setelah Fariz mengambilnya. Rindunya kepada tangisan dan senyuman manja Aiman terbayang di ruang ingatannya. Maisara mengerling jam di tangan. Baru jam 11.00. Tentu Fariz masih lagi di pejabat. Inilah masanya!

“Hari ni abah ada meeting di mana-mana tak? Atau keluar berjumpa dengan klien?”

“Tak,” jawab Pak Kassim ringkas. “Kenapa? Sara nak ke mana-mana ke?”

“Kalau tak keberatan boleh tak Pak Kassim hantar Sara ke rumah Fariz? Sara rindukan Aiman.” Sebak suara itu menuturkan kata.

Lantas, Pak Kassim memandu keretanya memasuki pekarangan rumah mewah di Bandar Tanjung Bungah itu. Setibanya di pintu depan banglo tiga tingkat itu, Maisara memberanikan diri. Loceng ditekan. Apabila pintu pagar terbuka, Maisara melangkah masuk ke halaman lalu berhenti di situ menanti orang datang menjemputnya.

“Non Sara!” Kelibat pembantu rumah warganegara Indonesia muncul setelah pintu utama dibuka dari dalam.

“Tarti, ada orang di rumah?” tanya Maisara.

Tarti membuka luas pintu utama lalu menjemputnya masuk. “Jemput duduk, non. Non datang pasti mahu jumpa sama Aiman, kan?”

“Tak ada orang di rumah ke, Tarti?” tanya Maisara sekali lagi kerana soalannya masih belum dijawab. Suasana di rumah besar itu sunyi dan sepi. Maisara mengetap bibir. Rugi seandainya Aiman tidak ada sedangkan dia sudah pun tiba di situ.

“Non duduk bentar ya… Tarti bikin minumannya.” Kelibat Tarti hilang tanpa menjawab soalannya.

Maisara berjalan-jalan sambil matanya memerhati ruang tamu yang luas dan dihiasi indah dengan pelbagai barangan seramik. Terdapat berbagai tulisan khat yang terlekat pada dinding. Terdapat juga pasu-pasu bunga yang Maisara pasti tentu mahal harganya menghiasi sudut-sudut ruangan tamu itu. Tetapi bukan perhiasan rumah itu yang menjadi perhatiannya. Dia masih tertanya-tanya ke mana perginya penghuni di rumah besar itu.

Setelah yakin dan pasti penghuni rumah itu tidak ada, pantas Maisara berlalu pergi tanpa menunggu Tarti datang semula.

“Sara!”

Suara garau itu mematikan langkah Maisara. Maisara cukup kenal dengan suara itu. Tanpa berpaling dan bersuara, langkah diteruskan semula. Namun sekali lagi langkahnya terhenti apabila dia terdengar tangisan Aiman. Dia berpaling. Aiman yang berada dalam dukungan Fariz menangis kuat. Kakinya ditendang-tendang dan tangannya yang digenggam, terkapai-kapai. Aiman menangis sambil memandangnya, seolah-olah bayi itu mahu Maisara mengambilnya.

Sebak mendengar tangisan itu, air mata Maisara juga tumpah dan mengalir ke pipi. Tanpa mempedulikan Fariz, Maisara terus menerpa Aiman dan mengambilnya daripada Fariz. Maisara berpura-pura tidak mengendahkan lelaki itu saat tangan mereka bersentuhan ketika Aiman bertukar tangan. Aiman dipeluk erat dan wajah bayi itu dicium sepuasnya. Tangisan Aiman terus terhenti sebaik sahaja Maisara mengusap dan membelainya.

“Aiman dah minum susu ke?” tanya Maisara walaupun dia tahu Aiman tidak akan menjawab soalan itu. Soalan itu lebih ditujukan kepada Fariz, tetapi dia tidak mahu bertanya terus kepada lelaki itu.

Fariz yang memahami soalan itu ditujukan kepadanya hanya tersenyum. Lalu dia menghenyak tubuhnya berhadapan dengan Maisara.

Maisara mula kelihatan tak tentu arah tetapi dia cuba bersikap selamba. Sesekali matanya mencari kelibat Tarti yang hilang sedari tadi. Mana Tarti ni? Kata nak buat air, tapi tak muncul-muncul pulak!

“Dia baru lepas minum susu,” jawab Fariz. “Sara sihat?”

Soalan Fariz tak bersambut. Maisara terus mengacah-acah Aiman hingga bayi itu tertawa mengekek. Satu perubahan baru bagi Maisara. Sewaktu bersamanya dahulu Aiman hanya tersenyum, tetapi kini bayi itu sedah pandai mengekek. Maisara makin terhibur mendengar Aiman mengekek.

Fariz yang menjadi pemerhati juga ikut tersenyum melihat Aiman yang terhibur dengan acahan Maisara.

Tiba-tiba sahaja Aiman berhenti mengekek. Acahan Maisara tidak bersambut. Kemudian Maisara melihat wajah Aiman berubah merah. Sesekali Aiman meneran. Maisara ketawa kecil.

“Aiman uk-uh ke, sayang?”

“Kenapa? Dia melepas ke?” tanya Fariz.

Maisara menyelak sedikit lampin Aiman. Memang benar telahannya. Mahu tak mahu Maisara terpaksa juga bertanya kepada Fariz.

“Mana lampin Aiman?” tanya Maisara tanpa memandang lelaki di depannya itu.

“Di bilik atas. Marilah saya tunjuk.” Fariz mendahului Maisara ke tingkat atas. Pintu bilik dibuka untuk memberi laluan kepada Maisara.

Maisara melangkah masuk. Sempat matanya melirik setiap sudut kamar itu. Luas dan ringkas hiasannya. Aiman diletakkan di birai katil. Setelah membuka pakaian Aiman, Maisara membawanya ke bilik air. Tak lama kemudian Maisara muncul dan melihat segala persiapan Aiman telah diletakkan di atas katil. Maisara mengerling Fariz yang berdiri di muka pintu. Bukan dia tidak tahu, sedari tadi mata itu sentiasa memerhatikan pergerakannya. Memang dia agak gemuruh namun sengaja dia berpura-pura tidak mengambil peduli pandangan lelaki itu.

Usai menyiapkan bayi itu, pantas Maisara membawa Aiman turun semula. Sesekali mata Maisara melirik mencari kelibat lain jika ada.

“Awak cari siapa?”tanya Fariz yang menyedari kelakuan Maisara.

“Mana semua orang?”

“Dia orang semua tak ada.” Ringkas sahaja jawapan Fariz. “Sebab tulah saya terpaksa ambil cuti, jaga Aiman. Nasib baik awak datang.”

Fariz bersuara manis. Dia ingin sekali bermesra dengan gadis itu seperti waktu lalu. Mendengar suaranya, jelingan manjanya dan senyumannya. Namun semua itu hanya impian. Dia tahu semua yang dirinduinya itu telah hilang semenjak dia memilih untuk bersama Suhana.

Maisara melirik jam di pergelangan tangannya. Sudah terlalu lama dia di situ. Dia khuatir jika terlalu lama, dia akan menyusahkan Pak Kassim yang sedari tadi masih menunggunya. Lagipun, Pak Kassim perlu menjemput abahnya pulang jam 6.00 nanti.

Setelah meminta diri kepada Fariz, Maisara menyerahkan Aiman kepada lelaki itu. Sebelum itu Maisara sempat memeluk dan mencium Aiman.

“Sara…” Fariz mencapai pergelangan tangan Maisara sebelum sempat dia melangkah pergi. “Selalulah datang ke mari. Saya pasti, Aiman akan rindukan awak!”

Sebaik Fariz berkata begitu Maisara menarik tanggannya dan berlalu pergi. Dia hilang di dalam perut kereta yang kemudiannya pergi dari pekarangan rumah.

Saya juga akan rindukan awak, Sara...

********************************