Klik link ini (Novel ER)
HARGA
SEMENANJUNG : RM 27.00
SABAH/SARAWAK : RM 30.00
Nak baca dulu novel-novel ER, boleh klik sini ya
jangan lupa follow ER di wattpad...ngeengee..
Jom ikuti sambungan STS
----------@@---------------
IZZ masuk ke dalam kawasan Syurga Ilham Hati. Dia mencari Amani di kawasan sekitar tetapi kelibat Amani tak kelihatan di mana-mana. Izz kembali semula ke Ilham Hati. Setelah berpusing-pusing di sekitarnya, Izz menegur Hasyim, salah seorang pekerja di situ yang sudah beusia lebih 40 tahun. Dia bertanyakan tentang Amani.
Menurut Hashim, dia melihat kelibat Amani
berjalan keluar dari Gerbang Ilham Hati. Lantas Izz ke pondok pengawal dan bertanya kepada Badri yang mengawal tempat itu pada siang hari. “Pak cik,
nampak Amani?”
“Amani?” Dahi Badri berkerut.
“Budak perempuan semalam yang saya dan tuan bawa
balik sini.” Izz mengingatkan.
“Oh. Ada. Tadi pak cik nampak
dia keluar dari sini. Mungkin dia ke kampung agaknya.”
“Dia ada bawa beg?” Izz mula khuatir jika Amani
melarikan diri dari sini.
“Tak ada pula. Nampak dia jalan melenggang tak
bawa apa-apa pun.”
“Saya pergi cari dia dulu.” Izz menarik nafas
lega.
“Kenapa ni? Ada hal apa?” Wajah gelisah Izz
mudah dibaca oleh Badri.
“Tak ada apa, pak cik. Tak
apalah. Saya pergi dulu.” Dia melangkah keluar dari Gerbang Ilham Hati.
Sepanjang perjalanan di Kampung Indah Mentari,
kelibat Amani tidak juga kelihatan. Habis setiap orang kampung yang berselisih
dengannya ditanya. Hatinya dilanda kerisauan apabila tiada maklumat tentang
Amani. Dia mula kembali khuatir jika Amani benar-benar melarikan diri.
Kini, langkah kaki Izz sudah tiba di tasik yang
terletak di hujung Kampung Indah Mentari. Di pertengahan tasik, dia terlihat
kelibat Amani sedang berdiri di situ sambil merenung jauh ke tasik yang tenang.
Akhirnya, dia menemui juga gadis itu. Satu nafas lega dilepaskan. Izz
mengeluarkan telefon, lalu menghubungi Zaiton. Kemudian, dia berjalan mendekati
Amani.
Amani yang sedang tenggelam bersama perasaannya
terus menoleh sebaik sahaja merasakan ada jejak-jejak yang semakin menghampirinya.
Melihat sahaja kelibat Izz, dia terus berpusing untuk meninggalkan tasik itu.
“Amani,
mak awak nak bercakap dengan awak!”
panggil Izz dengan kuat sambil
langkah kakinya masih diayun untuk menghampiri gadis itu.
Langkah kaki Amani terhenti. Dia menoleh dan
memandang Izz yang semakin menghampiri. Sampai di depannya, Izz menyerahkan
telefon bimbit miliknya kepada Amani. Amani memandang lama telefon ditangan Izz
sebelum dia mencapainya. Lalu, telefon itu diletakkan di telinganya.
“Helo?”
sapa Amani.
“Amani.
Mak ni.” Kedengaran suara Zaiton di hujung talian.
Amani melirik Izz sekilas lalu berjalan
menjauhinya.
“Ada
apa?” soal Amani.
“Kau
macam mana? Kau bekerja dengan Tuan Idrus?” Ada cemas daripada nada suaranya. Setiap soalannya tiada balasan daripada
Amani.
“Nasib
baiklah kau dapat kerja.” Satu hembusan kelegaan kedengaran. “Kalau
tak, macam mana dengan makan minum kau? Mak dengar kau tinggal dengan Tuan
Idrus. Tuan Idrus tu tentu baik orangnya, kan?”
Izz yang sedang memerhatikan Amani yang telah
menjauhkan diri daripadanya mula merasakan keanehan. Suara Amani tidak
kedengaran, malah tiada reaksi langsung daripadanya.
Amani seakan-akan model patung
yang sedang memegang telefon di tangan.
“Kau
dengar sini, Amani. Kau kerja elok-elok dengan Tuan Idrus. Kita kumpul duit
untuk bayar duit pak cik kau tu. Lepas hutang kita selesai dengan Jalil,
kau tolong minta kerja untuk mak kepada Tuan Idrus. Mak dah tak sanggup nak tinggal
dengan pak cik kau. Pak
cik kau dah makin teruk perangai
dia!” Satu dengusan kasar
daripada Zaiton kedengaran.
“Tak,
mak.” Setelah lama mendiamkan diri, barulah Amani mencelah. “Saya takkan lama
di sini. Saya hanya bekerja sehingga hutang saya kepada Tuan Idrus
langsai. Lepas tu, saya akan pergi. Kita tak perlu langsaikan hutang dengan Pak Cik Jalil sebab saya tak nak balik sana lagi.”
“Hah?!
Apa kau cakap? Kalau kita tak bayar, macam mana aku nak pergi dari sini? Kau
dah gila? Inilah masanya kita ubah hidup kita. Selama ni kita terpaksa
bergantung hidup dengan pak cik kau,”
ujar Zaiton.
Amani terus membisu. Hanya kedengaran nafas
halusnya.
“Kau
nak tinggalkan mak?!” Bagaikan dapat meneka apa yang tersirat di hati kecil
Amani, Zaiton terus bertanya.
Amani masih terus membisu. Zaiton sudah tahu
tentang rancangannya. Bukan niatnya untuk meninggalkan Zaiton. Namun, dia telah
lama memikirkan tentang itu. Dia tak sanggup lagi untuk terus berada di sisi
Zaiton. Sedangkan, setiap detik, setiap hari dia akan terbayangkan kehidupan
lalunya. Setelah berpisah daripada Zaiton, barulah dia merasakan dadanya bisa
bernafas sedikit daripada terus dibelenggu dengan keperitan hidup yang
masih kekal di benaknya.
“Amani!
Kau dengar sini. Kau nak tinggalkan mak? Selama ni mak yang jaga kau. Anak tak
mengenang budi!” Zaiton terus memarahi Amani.
Amani menarik telefon dari telinganya dan
menyerahkannya kepada Izz.
Izz yang baru menyambut telefon daripada
Amani terus membawa telefon itu ke telinganya apabila mendengar suara Zaiton
yang terjerit-jerit di hujung talian. Talian masih belum terputus, jadi mengapa
Amani sudah tak mahu berbicara dengan ibunya?
Amani berlalu ke tepi tasik. Dia berdiri seperti
tadi. Sekilas dia melirik kepada Izz yang sedang berbual di telefon bersama
Zaiton. Apa yang perlu dilakukannya sekarang? Dia tidak boleh biarkan Zaiton
mendekati keluarga ini. Dia tahu bagaimana sikap ibunya.
Kata Zaiton ada benarnya. Memang mereka sudah
tidak sanggup hidup bersama Jalil. Tapi dalam masa yang sama, mereka berdua
perlu akui Jalil telah menjadi orang yang penting dalam hidup mereka. Namun, ada
perkara lain yang membuatkan Amani menjadi kurang senang jika Zaiton
menjejakkan kakinya di Ilham Hati.
“Amani,
awak okey?” soal Izz yang sudah ada di belakang Amani.
“Jangan
benarkan mak saya datang ke sini,” tegas Amani.
Izz mengeluh. Memang dia tidak tahu apa yang berlaku dalam keluarga Amani. Tapi permintaan Amani terlalu pelik kepadanya. Seorang anak tak mahu menemui ibunya? Kenapa Amani mahu menjauhi
ibunya? Dia terus tertanya sendiri.
Dia tidak pasti bagaimana hubungan Amani dan
Zaiton. Namun sebentar tadi, dia ada mendengar kata-kata amarah berhambur daripada
Zaiton sewaktu Amani menyerahkan semula telefon kepadanya. Walau bagaimana sekalipun hubungan mereka, Amani tidak sepatutnya menjauhi ibunya.
Air dicincang tidak akan putus.
“Mak
awak mahu bekerja dengan Tuan Idrus. Saya akan beritahu tentang itu kepada Tuan
Idrus.”
Amani memejam matanya seketika. “Awak
akan menyesal kalau mak saya datang ke sini!”
Amani terus berlalu pergi. Izz mengekorinya dari
belakang.
“Kenapa saya perlu menyesal? Awak tak sayangkan
mak awak? Kan bagus kalau Tuan Idrus dapat bebaskan awak dan mak awak daripada pak cik awak? Awak tak nak jumpa dengan mak awak?”
Bertalu-talu persoalan dihambur.
Amani menghentikan langkahnya. “Banyak
perkara yang lebih baik daripada hubungan kasih sayang. Awak tak kenal keluarga
saya.”
Dengan rasa marah Amani terus melangkah pergi.
Sempat dia menghadiahkan satu jelingan yang penuh dengan kemarahan buat Izz.
Dia tidak mahu Zaiton bertemu dengan Tuan Idrus.
Izz menarik nafas panjang lalu menghembusnya perlahan-lahan.
Dia menggelengkan-gelengkan kepala apabila mengingatkan sikap Amani. Izz
berjalan semula menuju ke Ilham Hati setelah berdiri di situ agak lama. Di
hadapannya, dalam jarak 50 meter kelihatan Amani yang juga sedang
melangkah pulang ke Ilham Hati.
“Siapa Amani yang sebenarnya?” Izz tertanya
sendiri.
Dia tak pernah jumpa gadis seperti itu yang
sangat keras hatinya. Bagaimana pula hubungan Amani dan ibunya? Zaiton
kelihatan begitu mengambil berat tentang Amani tetapi kenapa Amani bagaikan
tidak mempedulikan ibunya?
Mereka sudah masuk ke dalam Ilham Hati. Terus
Izz mengekori langkah Amani yang membawa diri ke Syurga Ilham Hati. Ketika
Amani berdiri di tangga rumah, dia menoleh ke arah Izz yang
sudah berada di depan Kamar Ilham. Izz juga sedang memerhatikannya. Pandangan
mereka bertaut seketika. Kemudian, satu jelingan dilemparkan buat Izz lalu Amani
menghilangkan diri ke dalam.
Izz ketawa kecil sambil menggeleng. Amani memang
aneh. Namun Amani mempunyai satu daya tarikan. Ya, memang Amani cantik orangnya.
Tapi dia tidak pandai berhias dan berpakaian kemas seperti Tania. Pakaiannya
hanya baju-T longgar dan jean lusuh. Tiada
apa yang menarik tentang gadis itu. Tapi gadis itu seakan-akan punya aura yang membuatkan dia mahu mendekatinya. Seperti
kata Tuan Idrus, ada sesuatu dalam diri Amani.
SAAT dia membuka jendela, terus sahaja aroma wangian
melur menyapa hidungnya. Terus dia merasa tenang dan damai. Hatinya mula
terdetik untuk memetik bunga melur yang tumbuh segar bersebelahan
Pondok Kecil. Niatnya diteruskan apabila melihat Pondok Kecil yang tidak
bercahaya menandakan tiada penghuni di dalamnya.
Amani berjalan keluar dari Rumah Utama dan
menuju ke halaman belakang. Dia mendekati pokok bunga melur lalu memetik
beberapa kuntum bunganya. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya untuk menikmati
kesegaran aroma bunga itu.
“Tuan
Idrus dah setuju.” Satu suara menyapa dari belakang.
Amani terus menoleh.
“Awak terkejut? Kalau saya beri salam pun, belum
tentu awak akan jawab, kan?” kata Izz dengan sinis. Matanya melirik kuntuman
bunga melur di tapak tangan Amani. “Awak suka bunga jasmine?”
Amani berjalan ke pangkin lalu
duduk di situ. Dia memandang pada tiang lampu klasik yang menerangi kawasan itu
sambil melur di tangannya dibawa dekat ke hidung untuk menikmati aromanya. Tiang
lampu klasik itu menarik perhatiannya. Dia suka pada seni reka klasik yang kreatif
dan mempunyai lebih nilai seni.
“Amani?” Izz duduk di sebelahnya.
Amani menyepi. Kehadiran Izz tidak
dipedulikannya.
“Mak awak akan diberikan kerja,” kata
Izz.
“Kan
saya dah beritahu, saya akan langsaikan hutang Tuan Idrus secepat mungkin.
Lepas tu saya akan pergi dari sini. Tak guna kalau Tuan Idrus ambil dia
bekerja.” Amani menarik bibirnya rapat.
“Tapi
Tuan Idrus dah bersetuju.”
“Bertahun
masa yang diperlukan untuk melangsaikan hutang Pak Cik Jalil. Dia
takkan benarkan mak saya pergi selagi hutangnya tak dibayar. Saya
akan pergi dari sini sebelum waktu itu tiba.”
“Siapa
kata? Hutang pak cik awak akan terlangsai esok hari.” Izz tersenyum
nipis.
Terus mata Amani terpaku pada
wajah Izz yang masih memandangnya. Bagaikan mimpi kata-kata itu menyapa
ditelingnya.
“Esok,
saya akan bawa Tuan Idrus bertemu dengan pak cik awak,” kata
Izz. Tidak perlu untuk dia menerangkan keputusan Tuan Idrus dengan lebih
terperinci. Amani pasti akan tahu sendiri.
“Kamu
semua memang bodoh.” Tajam matanya memandang Izz.
“Apa?!” Izz memusing tubuhnya memandang Amani.
“Kami semua sedaya upaya membantu awak dan mak awak. Tapi niat baik kami
dibalas dengan ucapan bodoh?”
“Saya
dah beri amaran. Jangan libatkan diri dengan keluarga saya.”
Amani terjerit sedikit.
“Huh!
Awak tahu tak? Awak ni perempuan pertama saya jumpa yang penuh dengan sikap sombong. Awak lihat Tania. Awak lihat dia! Dia kehilangan
ibu ketika usianya lapan tahun. Dia membesar tanpa kasih seorang ibu. Awak yang
ada ibu langsung tak hargai ibu awak,”
marah Izz.
Amani menoleh ke tempat lain. Patutlah dia tidak
melihat kehadiran wanita lain selain Tania dan tukang masak dan anaknya.
“Saya
menjadi yatim piatu sejak umur saya 10 tahun. Sejak itu, Tuan Idrus yang menjaga saya.”
Suara Izz sudah bertukar sayu. “Ibu dan ayah saya adalah pekerja Tuan Idrus.
Sebelum mereka meninggal, Tuan Idrus sendiri dah banyak membantu keluarga kami.
Kami bukan orang senang. Segala perbelanjaan sekolah, Tuan Idrus dan Puan Sufi
yang uruskan. Sampailah kedua-dua orang tua saya meninggal dunia pun saya tak
mampu membayar budi mereka.”
Suasana sunyi seketika.
“Awak
masih ada ibu. Sepatutnya awak hargai ibu awak selagi ada hayatnya.” Izz
bersuara semula.
“Awak beruntung.
Awak dan Tania beruntung kerana pernah merasa kasih sayang orang tua.” Amani
bangun daripada duduknya.
“Apa
maksud awak Amani?”
Amani menoleh memandang Izz. “Kalau
awak dan keluarga awak berhutang budi dengan Tuan Idrus, itu tiada kaitan
dengan saya. Kalau saya berada di tempat orang tua awak, saya takkan biarkan
keluarga saya berhutang budi dan mengharap bantuan daripada orang
lain.”
Amani melangkah.
“Amani!” Terus
sahaja Izz bangun dan menggenggam bahu kanan Amani dengan kuat. “Awak memang
melampau. Sudahlah awak tak hargai mak awak, awak hina pula orang tua saya.”
Hanya dia sahaja yang tahu kesusahan dan
keperitan yang dialami keluarga mereka. Hanya dia saja yang tahu bagaimana
usaha yang dilakukan untuk meneruskan kehidupan. Ditambahkan lagi dengan
kesihatan arwahnya ayah yang menghidap sakit jantung dan arwah emaknya yang
menghidap asma.
“Saya
memang kejam.” Amani mengakuinya dengan sinis. Tangan Izz
ditepis kasar. “Tak guna awak bersyarah kepada saya tentang
menghargai kasih sayang. Saya tak perlu menghargai sesiapa sebab saya memang
yatim piatu sejak lahir ke dunia.”
“Huh?
Apa maksud awak?” Kali ini lengan kanan Amani yang dipegangnya untuk menghalang
Amani daripada pergi.
“Auuu!” Amani mengerang perlahan.
“Awak
sakit?” Dengan pantas Izz menarik tangannya. Dia terlupa tentang
lengan Amani yang lebam.
“Biar
saya tengok.” Izz cuba mencapai tangan Amani.
Amani mengelak. “Saya tak suka
terhutang budi dengan orang.”
Amani terus melangkah pergi. Izz mengeluh.
“Abang
Izz.” Tania memanggil Izz apabila melihat kelibat Amani telah pergi dari situ.
Baru beberapa minit dia berada di situ dan mengintai mereka dari balik dinding
Pondok Kecil.
“Tania?” Izz agak terkejut melihat Tania. Dia
kembali duduk di pangkin.
“Apa
yang berlaku?” soal Tania sambil menoleh ke belakang walaupun
kelibat Amani telah hilang dari situ.
“Kenapa Tania ke sini?” Izz menepuk lantai pangkin
di sebelahnya, mengajak Tania duduk di situ.
“Ada apa?” soal Izz.
Persoalan Tania sebentar tadi tidak dijawabnya.
“Saja
Tania datang sini.” Tania menarik zip baju sejuknya ke atas untuk menutup
tubuhnya yang kesejukan dihembus angin malam.
“Ada apa-apa yang Tania nak beritahu saya?”
Tania menggeleng. Namun, wajah masamnya
mudah dibaca Izz.
“Kenapa Tania tak masuk tidur lagi ni? Esok kan sekolah?”
“Kejap
lagilah Tania tidur. Lagipun, Tania tak mengantuk lagi ni. Tania rasa sunyi.
Semua orang asyik bercakap tentang Amani. Semua orang ambil berat tentang
Amani. Abang Izz pun sama. Tania rasa diri Tania ni dah tak dipedulikan.” Tania
meluahkan apa yang tersimpan dalam hatinya.
“Baru dua
hari lepas Amani datang ke dunia kita. Macam mana pulak dia boleh buatkan Tania
tak dipedulikan?” Izz ketawa. Namun di sebaliknya,
Izz turut merasakan begitu.
“Entahlah.
Tiba-tiba saja Tania rasa cemburu dengan Amani. Papa pun sibuk tentang Amani.” Muncung
Tania sudah panjang.
Izz hanya tersenyum. Begitulah sikap Tania, kalau
terasa hati muncungnya akan panjang sedepa. “Tuan Idrus cuma
nak bantu Amani. Cuba Tania beritahu saya, siapa dalam dunia ni yang Tuan Idrus
kenal, tapi dia tak bantu? Ada?”
Tania menggeleng. Kalau nak dihitung, hampir
semua orang yang dalam kesusahan ditolong Tuan Idrus. Termasuklah orang Kampung
Indah Mentari. Ilham Hati terletak di dalam perkampungan Indah Mentari.
Keluasan Ilham Hati adalah hampir separuh daripada Kampung
Indah Mentari. Kebanyakan pekerja di Ilham Hati adalah penduduk kampung itu
sendiri.
Sebelum ini, Ilham Hati dikenali sebagai Husin
Kraf. Setelah Husin Kraf jatuh muflis, Tuan Idrus dan arwah Puan Suri membangunkan
semula Ilham Hati untuk membantu orang kampung dengan memberi pekerjaan kepada
mereka.
“Macam
mana Tuan Idrus bantu orang lain dan keluarga saya, macam tu jugaklah dia mahu bantu
Amani.”
Senyuman sudah terukir semula di bibir Tania.
Hatinya sudah terpujuk. Dia bersetuju dengan kata-kata Izz itu.
“Macam
mana dengan sekolah? Tania ada masalah dengan Faiz lagi?” Izz
mengubah topik bicara.
“Tania
dengan Faiz, okey. Cuma, sejak akhir-akhir ni Faiz selalu sibuk dengan kelas
tambahan. Tania dah jarang jumpa dia. Kalau ada pun, kita orang cuma SMS aje.” Senyuman
Tania semakin lebar apabila mendengar nama Faiz.
Izz terangguk-angguk perlahan. “Faiz kan
nak ambil SPM tahun ni. Tania kenalah faham situasi dia. Tania kena contohi Faiz.”
“Hmm, Tania nak belajar rajin-rajin macam Faiz. Macam
Abang Izz. Tania nak masuk universiti.” Terasa semangat yang membara dalam diri
Tania.
“Baguslah
kalau macam tu. Tania beruntung sebab Tania tak perlu bersusah payah cari duit
nak sambung belajar. Saya pun beruntung jugak. Walaupun dah yatim piatu, Tuan
Idrus ambil dan jaga saya. Segala perbelanjaan di universiti, Tuan Idrus yang
tanggung. Cuba bandingkan nasib kita berdua dengan Amani. Bagaimana hidup dia
dengan kita? Walaupun dia masih muda tapi dia terpaksa bertungkus lumus untuk
hidup. Dah tu, terpaksa berhenti sekolah lepas ambil PMR.”
“Betulkah
ni Abang Izz? Tania tak tahu,”
tuturnya perlahan. Hatinyan
diruntun rasa sayu.
“Mungkin
kerana kesusahan dan penderitaan dalam hidup dia, Amani jadi begitu. Kasar,
sombong.” Izz menoleh kepada Tania. “Tania tak rasa
yang kita patut bantu dia?”
Tania diam
lama.
“Kita
perlu bantu dia.” Kemudian dia mengangguk.
“Kalau
macam tu, Tania jangan ambil hati sangat bila tuan ambil berat pasal Amani.”
“Abang
Izz betul. Tania pun akan bantu papa untuk bantu Amani.” Tania tersenyum lebar
sehingga matanya yang besar menjadi kecil.
Izz hanya tersenyum. “Dah lewat ni.
Tania pergilah masuk tidur. Saya pun nak masuk tidur.”
“Tania pun dah rasa mengantuk. Tania masuk dulu.
Selamat malam, Abang Izz.”
“Selamat
malam, Tania.”
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.” Tania melangkah masuk ke dalam rumah.
Izz menunggu sehingga kelibat Tania hilang.
Kemudian, dia melirik jendela kamar Amani.
“Selamat malam, Amani.” Izz bergerak masuk ke
dalam Pondok Kecil.
No comments:
Post a Comment