Showing posts with label ILHAM HATI. Show all posts
Showing posts with label ILHAM HATI. Show all posts

Friday, 6 September 2013

Senyumlah Sayang 19





----------@@------


HARI INI adalah hari kedua Amani dan Tania akan menjalani hukuman. Seawal jam 6.30 pagi Izz telah membawa mereka keluar berjongging. Bermula dari syurga Ilham Hati, mereka menyusuri Ilham Hati. Sampai sahaja di gerbang Ilham Hati, Izz membuka gerbang itu dengan luas. Kebetulan pula, pekerja-pekerja Ilham Hati akan memulakan tugas mereka beberapa detik sahaja lagi.

         “Assalamualaikum, Izz,” sapa Burhan yang baru tiba di situ.
     “Waalaikummussalam.” Mereka berjabat tangan. Kemudian, Izz meneruskan langkah dan Burhan menghilangkan diri di dalam Ilham Hati. Satu persatu para pekerja Ilham Hati yang mahu ke sana bertembung dengan mereka.

         Ketika menyusuri Kampung Indah Mentari, pandangan mata Amani terus memerhatikan setiap pelusuk kampung itu. Lebih-lebih lagi kepada penduduknya yang sudah mula bergerak memulakan hari mereka. Ada ibu-ibu yang sedang menyapu di laman, memimpin anak-anak yang baru bangun tidur ke bilik mandi yang terletak di luar rumah. Ada juga bapa-bapa yang masih berkopiah dan berkain pelikat sedang bersenam di hadapan rumah mereka.

          Di kampung itu juga, terdapat sebuah kedai kopi. Pemiliknya, Wak Mail pula sedang sibuk menyusun meja dan kerusi untuk memulakan perniagaannya. Kopi Pak Mail memang sudah menjadi satu ketagihan bagi penduduk kampung. Setiap kali mereka usai bersolat di masjid, masing-masing akan singgah di gerai Wak Mail untuk ‘membuka mata’ dengan kopinya.

          “Abang Izz! Penatlah….” Tania sudah berhenti dari terus berlari. Dia tercungap-cungap di situ.

          Izz yang mendengar panggilan itu juga menghentikan lariannya. Dia menoleh ke belakang. Amani yang berada di belakang Izz tidak pula menghentikan langkahnya. Dia menoleh sekilas kepada Tania namun langkahnya diteruskan.

        “Amani, tunggu!” Izz terus mencapai tangan Amani sebelum sempat gadis itu berlalu pergi meninggalkan mereka. “Kita tunggu Tania.” Izz melepaskan tangan Amani dan bergerak mendekari Tania. Amani menjeling kerana menyampah, namun dia tetap menurut langkah Izz.

     “Tania penatlah Abang Izz,” ujar Tania setelah lelaki itu berada di hadapannya. Dia menegakkan tubuhnya dan mencekak pinggang.

      “Sikit aje lagi. Sampai di hujung tasik, kita berhenti dan berehat,” Izz menghulurkan botol air mineral kepada Tania.

       “Terima kasih.” Tania mencapai botol air itu dan meneguknya sedikit. Kemudian dia meyerahkan semula kepada Izz. Botol air itu disimpan semula di dalam beg yang digalas Izz.

        Amani bergerak menjauhi mereka sedikit. Dia membuang pandangan kepada kawasan kampung yang mula kelihatan sibuk. Sekumpulan pelajar perempuan sekolah rendah sedang mengayuh basikal keluar dari selekoh untuk menuju ke jalan besar. Amani menarik nafas panjang. Dia begitu merindui sekolahnya. Entah berapa banyak pelajaran yang sudah tertinggal. Namun begitu, setiap malam Amani tetap mengulangkaji pelajarannya.

         “Kita nak buat apa di tasik tu, Abang Izz?” tanya Tania lagi.

         “Sampai sana nanti saya beritahu,” ujar Izz. “Kita berjogging sikit lagi, ya.”

         “Alah…..Tania penatlah,” Tania menarik muncung panjangnya.

        Izz hanya tersenyum sambil menggelengkan kepalanya. Adakalanya kemanjaannya Tania membuatkan Tania malas mahu membuat banyak perkara walaupun perkara itu bukanlah sesuatu yang membebankan.

        “Lambat lagikah?” Amani sudah menoleh kepada mereka berdua. “Kalau lambat saya nak jalan dulu.” Tanpa menunggu balasan dari Izz dan Tania, Amani meneruskan langkahnya.

      Izz hanya menarik nafas panjang melihat Amani berjogging pergi. Dia menoleh kepada Tania semula. “Jomlah,” ajaknya.

     “Kita jalan boleh tak?” soal Tania. Dia sudah tidak mampu berjongging. Bersenam dan bersukan, bukanlah aktiviti yang digemarinya.

       “Marilah,” Izz meneruskan  langkah dan berjalan seiringan dengan Tania. Dalam perjalanan, Tania begitu sibuk berceloteh. Macam-macam perkara yang dibualkan. Namun, ingatan Izz hanya tertumpu kepada Amani yang sudah meninggalkan mereka.

        “Boleh tak Abang Izz?” tanya Tania. Tatkala itu, mereka telah keluar dari Kampung Indah Mentari dan tiba di tasik.

       Izz berjalan sambil tertunduk memandang tanah. Dia belum sempat berbual secara berdua dengan Amani. Apa kata Amani tentang lukisan Amani yang telah dibingkaikannya? Apakah Amani telah membaca bait-bait puitis yang ditulisnya?

       Tania mendengus apabila soalannya tidak berjawab. “Abang Izz dengar tak?!” Nada suara Tania sedikit meninggi. Langkahnya di matikan. Dia menoleh kepada Izz lalu memeluk tubuh.

        Izz yang agak terkejut dengan suara Tania turut menghentikan langkahnya. Pipinya digosok seketika. Dia memang tidak mendengar apa yang telah dikatakan Tania. “Maaf, saya tengah fikir perkara lain tadi,” jelas Izz.

         “Tania bercakap dengan Abang Izz dan Abang Izz tengah fikir perkara lain?” Ada nada tidak puas hati dari omongan Tania. Namun, suaranya tidak meninggi.

       “Maaflah,” Izz merenung wajah Tania dengan harapan agar Tania memaafkannya.

        Tania menarik nafas panjang dan menghembusnya perlahan. Bagaimana dia bisa marah dengan lelaki di depannya ini? “Okey,” balas Tania dan kembali meneruskan langkah.

        Izz menarik nafas lega. Dia memandang ke tasik. “Itu Amani.” Izz menunjuk ke arah Amani yang sedang berdiri di depan tasik sambil memerhatikan bias cahaya matahari dari celahan bukit. Izz dan Tania bergerak mendekati Amani.

       Amani yang menyedari kehadiran seseorang di situ terus menoleh ke belakang. Melihat sahaja kelibat Izz dan Tania, dia berpaling semula ke hadapan.

         “Jom, Amani. Kita ke sebelah sana.” Izz bergerak menuju ke tempat yang dimaksudkan. Amani dan Tania mengikuti langkahnya. Setelah sampai di pertengahan tasik, Izz berhenti. Dia membuka beg galasnya yang besar dan meletakkannya di tanah. Dia membuka beg dan mengeluarkan blok lukisan. Sekeping kertas lukisan diserahkan kepada Tania dan sekeping juga diberikan kepada Amani.

Wajah Tania sudah berubah. “La… Nak melukis lagikah?” Muncungnya ditarik sambil pandangan simpati dilemparkan kepada Izz.

Izz hanya ketawa kecil. Dia tahu Tania tidak berminat dengan lukisan. Dia menghamparkan tikar getah di atas tanah. Dia mempelawa mereka untuk duduk di atas tikar. Amani dan Tania hanya menurut. Dia menoleh pula kepada Amani. “Awak ada masalah dengan lukisan?” tanya Izz.

“Tania yang ada masalah dengan lukisan, Abang Izz. Bukan Kak Amani. Kak Amani ambil lukisan di sekolah,” pantas Tania memintas. Hatinya menjadi sebal apabila Izz lebih menumpukan perhatian kepada Amani.

Amani sedikit pun tidak ambil peduli tentang kata-kata Tania. Dia hanya memerhatikan kertas lukisannya yang kosong dan mula berfikir apa yang patut dilakukannya.

Tanpa memanjangkan isu itu, Izz mengeluarkan pula dua kotak pensil warna. Satu diserahkan kepada Amani dan satu diserahkan kepada Tania. “Cuba perhatikan sekeliling. Lihat pada matahari yang baru menunjukkan  diri. Lihat pada tasik yang tenang. Lihat pada sekumpulan itik yang sedang berenang.” Kebetulan, memang waktu itu terdapat sekumpulan itik yang sedang berenang di tasik. Izz memandang pula ke langit biru. “Lihat pada burung yang berterbangan.”

Amani dan Tania memanjangkan leher memerhatikan setiap satu yang disebutkan Izz. Pandangan mereka terhala kepada matahari, tasik, itik dan burung.

“Apa perasaan yang kamu berdua rasa melihat semua ini?” ujar Izz seterusnya. “Lihat, perhati dan luahkan di dalam bentuk lukisan.”

Amani sudah mula melakarkan lukisannya dengan pensel terlebih dahulu. Tania pula masih membelek-belek pensil warnanya. Dia termenung seketika sambil memandang kertas lukisannya. Dia mengeluh. Dia memeluk lututnya. “Tania tak tahu nak lukis apa. Tania tak pandailah, Abang Izz.” Tania menundukkan kepalanya di kepala lutut.

“Cubalah,” pujuk Izz. “Demi papa Tania, Tania kena cuba. Hanya Tania-lah satu-satunya harapan Tuan Helmi. Dia dah tak ada siapa-siapa lagi melainkan Tania,” sambung Izz.

Hanya Tania satu-satunya anak Tuan Helmi. Lelaki itu sangat menaruh harapan agar Tania mengambil alih kerja-kerja seninya setelah dia tidak ada lagi. Namun sayangnya, Tania tidak mewarisi bakat yang dimiliki Tuan Helmi. Izz tahu, Tuan Helmi merasa hampa apabila Tania tidak meminati seni. Tetapi Tuan Helmi tidak putus harapan  dan berharap agar Tania mahu berusaha dan bersedia mengambil alih tempatnya nanti.

Tania mengangkat kepalanya. Fikirannya mula terkenangkan Tuan Helmi. “Bila papa balik?” tanya Tania.

“In Sha Allah, kalau tak ada aral melintang, malam ni Tuan Helmi sampai. Pak Bakar akan jemput Tuan Helmi di airport,” beritahu Izz sambil tangannya sudah mengeluarkan sebekas besar sandwich yang telah disediakan Mak Eton.

“Wah! Abang Izz bawa sandwich.” Mata Tania sudah membulat. Air liurnya ditelan.

Izz hanya ketawa melihat wajah Tania. “Tania dah sarapan dengan Amani, kan pagi tadi,” ujar Izz. “Saya belum sarapan lagi.”

“La… Tania nak satu jugak.” Tania mengoyang-goyang tangan Izz, memujuk agar lelaki itu berkongsi dengannya.

“Baiklah. Kita kongsi, ya.” Izz mahu membahagikan sandwich itu kepada dua. Namun, dengan pantas Tania mencapai tangan kanan Izz yang memegang sandwich lalu dia mendekatkan ke mulutnya. Lantas, dia menggigit sedikit sandwich itu.

Mulanya, Izz agak tergamam dengan tingkah Tania. Apatah lagi dengan kehadiran Amani di situ. Namun kemudian, dia hanya tersenyum kelat. Dia sudah menganggap Tania seperti adiknya sendiri dan Tania memang tahu perkara itu dari dahulu. Tania memang sangat manja dengannya. Sikap manja dan inginkan perhatian dari Tania adalah satu perkara biasa baginya. Tetapi mungkin sesuatu yang luar biasa bagi Amani.

Izz terus melirik Amani. Ternyata, Amani sedang memandang mereka berdua. Izz cuba mengukirkan senyuman namun dibalas dengan jelingan yang tajam dari Amani. Amani memusing tubuhnya dan terus membelakangkan mereka. Kemudian, Amani meneruskan lukisannya. Izz hanya tersenyum kelat.







SATU jam telah berlalu. Amani dan Tania masih belum menyiapkan lukisan mereka. Tania masih terkial-kial melukis. Sesekali dia memanjangkan leher melihat lukisan Amani. Apa sahaja yang di lukis Amani, akan diikutnya tanpa pengetahuan Amani.

            Amani pula, begitu ralit bermain dengan warna. Dia melukis pemandangan yang terbentang di depan mata. Lukisannya mengikut apa yang dikatakan Izz. Ada matahari, tasik, itik dan burung. Semuanya di masukkan di dalam lukisan itu. Namun, hanya satu warna sahaja yang digunakannya untuk mewarnai lukisannya. Iaitu, jingga.

          Izz pula sudah menghilangkan di di kawasan sekitar. Sengaja dia meninggalkan Amani dan Tania kerana tidak mahu menganggu tumpuan mereka. Apatah lagi Tania. Selagi dia ada di situ, pastinya Tania hanya akan mengajaknya berbual dan lukisannya tidak akan siap.

        “Kak, macam mana nak lukis itik?” Tania bersuara setelah beberapa kali memadam itik yang dilukisnya hingga kertas lukisannya mula kehitaman.

       Amani menoleh kepadanya. Dia memandang lukisan Tania. “Kau tiru aku?” Mencerlung matanya memandang Amani.

         Tania menikus. “Tania tak pandailah, kak. Tania tak tahu nak lukis apa. Tania ikut ajelah apa yang akak lukis,” dia bersuara dengan perlahan.

        Amani menjeling. Dia melihat lukisan Tania. Memang benar, Tania tidak punya bakat dalam lukisan. Walaupun dia melukis apa yang dilukis Amani, namun lukisannya tidak secantik lukisan Amani. Gambar burung yang dilukiskan Tania juga hanyalah burung yang berbentuk ‘M” seperti yang dilukis pelajar tabika.

        “Kau lukis bulatan bujur melintang. Kemudian, kau lukis nombor tiga di dalamnya. Kau lukis segitiga di hujung untuk jadikan ekornya dan buat bulatan panjang di kepalanya. Kau tambahkan paruh dan bulat kecil sebagai matanya. Siaplah itik tu,” ujar Amani. Mana mungkin dia melukis untuk Tania. Tentu sahaja Tuan Helmi akan tahu.

         Tania mengikut apa yang dikatakan Amani. “Tapi, nampak macam robot saja.” Muncungnya ditarik panjang lagi.

     Tanpa berkata apa, Amani mengambil lukisan Tania. Gambar itik robot yang dilukiskan Tania dibentukkan agar lebih sempurna. Dia menyerahkan semula kepada Tania dan terus mewarnakan lukisannya semula.

        “Ni baru cantik,” Tania tersenyum lebar. “Abang Izz, Lukisan Tania dah siap!” jerit Tania apabila terlihat kelibat Izz yang baru muncul di tepi tasik.

        Izz menghampiri Tania. “Mana?” soalnya.

        Tania menunjukkan lukisannya kepada Izz. “Cantik tak? Tapi, Tania belum warna lagi,” ujar Tania yang tidak lekang dengan senyuman.

      “Tania warnakan dulu. Saya nak beri itik makan,” Izz mengambil roti kosong yang dibawanya dan menuju ke tepi tasik. Sempat dia mengerling Amani yang ralit dengan lukisan jingganya.

         Setengah jam berlalu, lukisan Amani telah siap sepenuhnya. Dia bangun lalu bergerak menghampiri Izz yang sibuk memberi itik-itik di tasik itu makan. Tanpa mengeluarkan suara, dia menguis Izz dengan sikunya.

        Izz yang tidak menyedari kehadiran Amani terus berpaling apabila lengannya disiku. Kelihatan Amani berdiri di situ sambil menghulurkan lukisannya. Sedikit pun Amani tidak memandang kepadanya dan hanya membuang pandangannya ke tasik.

       Izz menyambut lukisan Amani. Setelah itu, Amani mula berpusing untuk pergi dari situ. “Awak marahkan saya?” tanya Izz sebelum sempat Amani melangkah jauh darinya. Amani menghentikan langkah namun tidak menoleh memandang Izz. “Saya tahu awak marahkan saya,” kata Izz.

       Kali ini, Amani menoleh kepadanya. “Awak terlalu ‘perasan’ yang awak begitu mengenali saya,” katanya.

          “Lukisan kelmarin dan hari ni sangat berbeza. Lukisan kelmarin penuh dengan ceria. Tapi, bukan yang ini.” Izz mengangkat semula lukisan Amani dan menunjukkan  kepadanya. “Warnanya panas,” ujar Izz.

         Tanpa berkata apa-apa, Amani terus berlalu dari situ meninggalkan mereka.

      “Kakak nak ke mana?!” jerit Tania apabila Amani berlalu pergi. Dia menoleh pula kepada Izz yang sedang menghampirinya. “Kak Amani nak ke mana?”

       “Biarkan dia pergi. Dia dah siapkan lukisan dia.” Izz mengerling lukisan Tania yang masih belum siap. “Tania perlu siapkan lukisan Tania.” Izz melabuhkan punggungnya di sisi Tania.    Tania sudah tersenyum lebar apabila hanya ada mereka berdua sahaja di situ.

"Abang Izz tak nak tolong Tania?” tanya Tania sambil tangannya sibuk mewarna dengan cepat. Jika ikutkan hati, mahu sahaja dia mewarna dengan lambat agar bisa dia meluangkan masa yang lebih panjang bersama Izz. Namun, matahari yang semakin meninggi membuatkan dia semakin rimas.

“Tania kena jujur dengan diri Tania,” ujar Izz sambil memerhatikan lukisan Amani yang dipegangnya.
“Hmmm,” balas Tania tanpa mengangkat kepala. Dia melajukan lagi gerak tangannya. “Dah siap!” Tania bersorak dengan gembira sambil menepuk tangannya.

Izz ketawa melihat tingkah Tania.

“Cantik tak, Abang Izz?” Tania mengangkat lukisannya dan menunjukkan kepada Izz.

“Cantik,” puji Izz. “Tapi, masih perlu diperbaiki.”

Tania memandang lukisan Amani yang berada di tangan Izz. Sedari tadi, Izz hanya memerhatikan lukisan Amani.

“Dah, jom! Kita balik. “Izz mula sibuk mengemaskan barang-barang. “Jom!” ujarnya lagi dan terus menggalas beg di belakangnya. Lukisan Amani di capainya.

Tania yang memegang lukisannya hanya mengikut langkah Izz dengan perasaan kecawa. Dia dapat merasakan, Izz lebih menyukai lukisan Amani berbanding lukisannya.

Seketika kemudian, telefon bimbit Izz berbunyi. Dia menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan telefon. “Tania, tolong pegang.” Izz menyerahkan lukisan Amani kepada Tania dan bergerak menjauhi Tania untuk menjawab panggilan.

Tania memerhatikan lukisan Amani dan Izz silih berganti. Sejak Amani datang ke Ilham Hati, bukan sahaja perhatian Tuan Helmi beralih arah kepadanya. Namun, Izz juga kelihatan begitu mengambil berat terhadap Amani.

Lukisan Amani terus dipandangnya dengan perasaan geram. Amani cantik, Amani bijak, Amani pandai melukis. Semua cirri-ciri yang disukai Tuan Helmi ada pada Amani. Sedangkan dia, anak kandung Tuan Helmi sendiri tidak punya bakat seperti Amani. Mungkin kerana itu Tuan Helmi lebih menumpukan perhatiannya terhadap Amani.

Dia terus merenung lukisan Amani. Hatinya mula berbelah bahagi. Jika diikutkan perasaan cemburunya, mahu sahaja dia merenyuk lukisan Amani dan mencampakkannya ke dalam lopak air. Namun, sebelah lagi hatinya melarang kerana itu bukan sikap seorang gadis yang baik. Tuan Helmi, mahupun ustaz dan ustazahnya, tidak pernah mengajarnya menyimpan perasaan dendam begitu.

“Tania,” Izz mendekati Tania semula. Tania yang tersedar dari lamunannya terus memandang Izz. “Jom, kita balik.” Izz mengambil kedua-dua lukisan Amani dan Tania dan bergerak beriringan dengan Tania.

Kali ini Tania sudah  mengukirkan senyuman. Dia merasa cukup adil apabila Izz memegang kedua-dua lukisan itu. Dia yang bertangan kosong, mula melangkah dengan ceria di sisi Izz.

Tak mengapa. Kalau papa lebih sayangkan Amani, aku masih ada makcik Zaiton. Makcik Zaiton lebih sayang pada aku berbanding Amani. Kalau kau boleh ambil papa aku, aku akan ambil mak kau.


Senyuman Tania terukir lebih lebar.

-------------@@------------

TeRiMa KaSiH kerana sudi mengikuti kisah ini...
Sebarang komen sangat dialu-alukan...

(^_____^)

-----------@@----


Friday, 5 July 2013

Senyumlah Sayang 17





Assalamualaikum.....N3 kali ini saya tujukan kepada pencinta bulan...Happy Reading ya...

------------****----------


“AMANI!” panggil Zaiton seraya bergerak laju untuk menyaingi langkah Amani. Tuan Helmi hanya melihat kedua-dua beranak itu sudah hilang di balik pintu keluar dari pejabat pengetua. Kemudian dia mengerling Tania yang masih lagi tertunduk.

            “Terima kasih cikgu sebab hubungi saya,” kata Tuan Helmi. Pengetua hanya menganggukkan kepalanya. “Saya minta izin cikgu untuk membawa Amani dan Tania pulang sekarang.”

            “Silakan Tuan Helmi. Dan sebagai pengetua saya merasa menyesal kerana perlu menjatuhkan hukuman ini,” ujar pengetua setelah memberitahu kepada Tuan Helmi bahawa Tania dan Amani telah digantung sekolah selama seminggu.

            “Setelah pulang semula ke sekolah, sekali lagi Amani akan saya panggil bersama-sama dengan Faiz untuk menyiasat kedudukan sebenar gambar ini.” Pengetua menolak naskah buletin sekolah kepada Tuan Helmi.

            Tuan Helmi mencapai buletin tersebut dan hanya mampu menganggukkan kepala.

            “Saya harap Tuan Helmi dapat kendalikan perkara ini dengan baik,” ujar pengetua.

            Setelah bersalaman dengan pengetua, Tuan Helmi bergerak pergi bersama-sama Tania. Tiada satu butir bicara yang keluar dari bibirnya. Tania yang terus tertunduk, sesekali memerhatikan wajah Tuan Helmi. Dia tahu, papanya tentu sangat marah dengan apa yang telah berlaku.

            “Mana Amani?” soal Tuan Helmi apabila melihat Zaiton sedang menanti mereka di sisi kereta dan kelibat Amani tidak ada di situ.

            “Amani, dia….” Wajah Zaiton kelihatan serba salah.

            “Amani dah balik tuan,” sampuk Izz bagi pihak Zaiton.

            Tanpa berkata lebih banyak, Tuan Helmi lantas masuk ke dalam kereta dan mengambil kedudukan di sebelah pemandu. Melihat Tuan Helmi sudah masuk, Izz juga mengambil langkah yang sama.

            “Mari Tania.” Zaiton memegang tangan Tania dan membuka pintu untuknya.

            “Makcik,” Tania memandang wajah Zaiton dengan wajah yang memohon simpati.

            “Tak apa. Tania tak salah,” pujuk Zaiton lalu memeluk Tania seketika. Kemudian, dia mengarahkan agar Tania terus masuk ke dalam kereta. Tania menurut.

            Melihatkan semuanya berada di dalam kereta, Izz terus meluncur kereta dengan laju. Tiada satu suara pun kedengaran di antara mereka. Masing-masing sudah tenggelam dengan dunia sendiri sehinggalah mereka tiba di Ilham Hati.

            “Izz, tolong carikan Amani,” ujar Tuan Helmi apabila Zaiton dan Tania sudah berlalu dan masuk ke dalam gerbang Ilham Hati.

            “Baik, tuan.” Izz kembali masuk ke dalam kereta dan terus meluncur melalui perkampungan Indah Mentari.

            ZAITON mundar mandir di pintu masuk Syurga Ilham Hati. Sesekali dia memerhatikan matahari yang sudah mencondong ke arah barat. Sekejap-sekejap dia menggosok tapak tangannya, sekejap-sekejap dia menggaru jari jemarinya kerana keresahan.

            Pada masa yang sama, Amani sedang melalui Ilham Hati. Langkah kakinya yang perlahan dilajukan apabila semua pekerja Ilham Hati sudah memandang kepadanya. Tentu sahaja berita tentang dirinya sudah dibicarakan oleh mereka. Sampai sahaja di depan pintu Syurga Ilham Hati, langkahnya menjadi perlahan semula tatkala dia melihat kelibat Zaiton di situ.

            “Amani!” Zaiton menjerit nama Amani apabila menyedari kepulangan anaknya itu. Dia terus menghampiri Amani yang sudah kaku di situ.

            “Kau memang anak yang tak guna! Penat aku membesarkan kau!” tempik Zaiton. Bergoyang bahu Amani digoncangnya dengan kasar. “Kau memang menyusahkan aku!”  
   
            Amani diam membisu. Matanya terus memandang wajah Zaiton.

            “Kau tahu tak apa yang kau dah buat memalukan aku!” Terus Zaiton menolak tubuh Amani sehingga Amani terkebelakang. Zaiton mengurut-ngurut dahinya mengenangkan sikap Amani.

            “Mak malu dengan sikap saya?” soal Amani. Mendatar sahaja suaranya seolah-olah apa sahaja yang berlaku langsung tidak berbekas di hatinya.

            Zaiton kembali memandang kepada Amani.

            “Tentulah aku malu dengan sikap kau! Aku tak pernah ajar kau buat perangai macam tu! Dari mana kau belajar semua ni?” Pandangan mata Zaiton menikam wajah Amani, bagaikan singa yang sedang menunggu mangsanya untuk diterkam.

            Amani ketawa sinis. “Di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?” soal Amani begitu sinis. “Mak dah lupa dengan lelaki-lelaki yang menjadi teman mak?”

            “Amani!” Pantas sahaja Zaiton mengangkat tangan untuk menampar Amani.

            “Zaiton!” Tuan Helmi yang kebetulan baru melalui kawasan itu, terus menjerit nama Zaiton apabila melihat wanita itu sudah mengangkat tangan ke atas Amani.

            Zaiton tergamam. Tangannya terus di jatuhkan. Amani yang sudah memejamkan matanya, terus membuka mata dan berpaling melihat Tuan Helmi. Zaiton hanya tertunduk apabila Tuan Helmi tiba di depannya.

            “Awak pergilah berehat. Saya tahu, dari tadi awak menunggu Amani. Biar saya bercakap dengan Amani,” ujar Tuan Helmi. Zaiton menundukkan kepalanya sedikit tanda menerima arahan itu.

            Sebaik sahaja Zaiton hilang ke dalam Syurga Hati, Tuan Helmi mengalihkan pandangannya kepada Amani. Satu nafas yang panjang dihela.

            “Berterus terang dengan saya Amani. Betulkan kamu melakukan apa perkara yang tidak elok itu?” soal Tuan Helmi. Nada yang digunakan tidak lembut dan juga tidak meninggi. Namun, ada nada kecewa di situ.

            Amani mendiamkan diri. Wajah Tuan Helmi tidak di pandangnya. Dia hanya memeluk tubuh dan memandang terus ke depan.

            “Saya bercakap dengan kamu Amani,” ujar Tuan Helmi lagi. Satu keluhan dilepaskan apabila Amani tetap tidak mengendahkannya.

            Amani memusingkan badannya menghadap Tuan Helmi apabila terdengar keluhan itu. Wajah Tuan Helmi diperhatikannya. “Tuan menyesal sebab hantar saya ke sekolah?” soalnya

            “Tak! Bukan itu maksud saya,” dengan pantas Tuan Helmi menafikan. Tuan Helmi menarik nafasnya lagi. “Kamu cuba mengelak dari menjawab soalan saya?” sambung Tuan  Helmi.

            Amani ketawa sinis. “Kenapa saya perlu mengelak?” tanya Amani kembali.

          “Kalau begitu, lebih baik kamu jawab soalan saya. Betul atau tidak berita yang tertulis di dalam buletin sekolah? Betul atau tidak itu gambar kamu dan lelaki itu?” Kali ini nada suara Tuan Helmi sudah meninggi.

          “Faiz,” ujar Amani. “Faiz nama lelaki tu.” Semakin keras nada Tuan Helmi semakim membuatkan hati Amani menjadi keras.

       “Saya tahu namanya Faiz.”  Tuan Helmi sudah mendengus. “Jawab soalan saya, Amani!”

       “Perlukah saya jawab? Tuan tak ada apa-apa hubungan dengan saya. Tuan tak perlu ikut campur dalam masalah saya,” kata Amani.

     Tuan Helmi mengetap bibir menahan rasa marah. Dadanya sudah berombak. Bibirnya mahu saja menuturkan kata. Namun, otaknya berputar dan meminta agar dia bersabar.

          “Orang yang patut Tuan Helmi risaukan adalah anak kandung Tuan, Tania!” sambung Amani.

          “Tania?” Tuan Helmi memandang Amani dengan tajam. “Justeru Tania menyerang kamu kerana marah dengan sikap buruk kamu! Dan kamu menyalahkan Tania?” Walaupun nadanya keras, namun Tuan Helmi cuba menahan diri daripada menguatkan suaranya.

            Amani ketawa mendengar kata-kata Tuan Helmi. Begitu sinis sekali tawa Amani. “Heh, saya tak fikir tuan seorang ayah yang baik.”

         Terkedu Tuan Helmi di situ. Mulutnya terkunci rapat. Aku bukan ayah yang baik? Ya, memang dia bukan ayah yang baik. Fikiran Tuan Helmi sudah beralih ke perkara yang lain dan bukan tentang masalah yang sedang berlaku.

            “Tuan tahu Tania berkawan dengan Faiz, kan? Tapi, kenalkah tuan dengan lelaki yang bernama Faiz itu?” soalan Amani membuatkan Tuan Helmi mengangkat kepalanya dan memandang tepat ke wajah Amani.

            “Maksud kamu?” Tuan Helmi mula menangkap apa yang cuba dimaksudkan Amani.

          “Tuan tak kenal siapa Faiz? Maknanya, tuan tak kenal lelaki yang bersama saya di dalam gambar itu.” Amani mengorak langkah hingga ke hadapan Tuan Helmi. Wajah lelaki tua yang masih tegap dan bertenaga itu dipandangnya. “Kenal diri anak tuan dahulu sebelum tuan masuk campur urusan saya!” usai berkata begitu Amani terus melangkah masuk ke dalam kawasan Syurga Ilham Hati meninggalkan Tuan Helmi yang sudha tenggelam dengan perasaannya sendiri.

AMANI duduk di anak tangga. Sesekali matanya meliar memandang sekeliling. Angin malam menghembus perlahan membelah tubuhnya. Rambutnya yang lurus separas bahu melayang-layang ditiup angin.

      Amani memeluk tubuh dan membetulkan cardigan yang dikenakannya apabila angin malam mendinginkan tubuhnya.

           Sejak pulang tadi, dia tidak melihat kelibat Izz. Di manakah lelaki itu berada? Tidakkah lelaki itu risau atau tertanya-tanya dengan apa yang telah berlaku antara dia, Tania dan Faiz.

            Amani menarik nafas yang panjang. Bosan menunggu di situ, Amani bergerak ke kawasan belakang. Dia berhenti di hadapan pondok Izz yang masih kelam, menandakan penghuninya masih belum pulang.             Dia duduk di anak tangga Izz dan menantikan lelaki itu di situ. Amani mendongak, memandang bulan yang sedang bercahaya.

Bulan memang cantik bila bersendiri. Tapi kehadiran bintang menyempurnakan lagi keserian yang ada pada bulan. Begitulah juga dengan persoalan hidup. Kita tak boleh hidup bersendiri. Kita perlukan mereka yang ada di sekeliling kita. Adakalanya, kita akan fikir, lebih baik kita hidup sendiri dari hidup mereka yang sering mendatangkan masalah pada kita. Tapi kita lupa, orang sekeliling kita adalah pelengkap pada kehidupan kita. Hidup kita, perlu jadi seperti bulan yang dipagari bintang.

            Tiba-tiba sahaja kata-kata Izz terngiang-ngiang di mindanya. Amani memerhatikan pula bintang-bintang yang mengelilingi bulan. Siapakah bulan itu? Siapakah bintang-bintang itu?

            Ketika Amani tenggelam dalam keindahan bulan, Izz muncul di situ. Langkahnya terhenti tatkala melihat Amani ada di situ.

            Petang tadi, dia mencari Amani di tepi tasik, di tempat yang Amani selalu berada. Namun, kelibat gadis itu langsung tak kelihatan. Dek kerana terlalu risaukan Amani, dia terus mencari dan mengelilingi tasik untuk mencari Amani. Setelah pasti Amani tak ada, dia mencari Amani di seluruh Kampung Indah Mentari sampailah ke hari ini.

            Namun, ketika dia berjumpa dengan Tuan Helmi untuk menyatakan yang dia tidak berjumpa dengan Amani, dia diberitahu Amani telah pulang petang tadi. Walaupun dia marah dengan Amani namun dia bisa menarik nafas lega.

            Izz terus memerhatikan Amani yang leka memandang bulan di langit. Apa yang perlu di lakukan kini? Menegur Amani atau membisu begitu sedangkan jiwanya sendiri merasa sebal dengan tingkah laku Amani sehingga gadis itu digantung sekolah.

            Bagaikan menyedari dirinya sedang diperhatikan, lantas Amani menoleh ke belakang. Matanya dan mata Izz bersatu. Amani bangun dari duduknya dan terus memandang Izz.

            Tanpa sebarang bicara, Izz berjalan untuk masuk ke pondoknya. Ketika dia ingin melangkah anak-anak tangga, tubuh Amani yang sedang menghalang langsung tidak berganjak. Izz menarik nafas yang panjang. Ini bermakna, dia harus membuka bicara dengan Amani.

            “Tolong beri laluan,” ujar Izz. Sedikit pun wajah Amani tidak dipandangnya.

            Amani melangkah ke tepi sedikit untuk memberi laluan kepada Izz. Dia hanya terus memerhatikan tingkah lelaki itu yang terus menyepikan diri. Izz membuka kasutnya dan jeketnya. Dia membuka pintu dan terus melangkah ke dalam. Daun pintu ditutup rapat.

            Amani terus memandang daun pintu yang sudah tertutup. Izz langsung tak pedulikannya. Apakah lelaki itu marah dengannya? Amani memegang dadanya. Dadanya terasa bergetar dan ketat, bagaikan dia tidak bisa bernafas dengan betul. Hatinya terasa pedih.   Dia terus duduk di anak-anak tangga itu semula.

            Izz yang baru selesai mandi, membuka tirai. Dia memandang keluar. Tiba-tiba matanya memandang kelibat Amani. Amani masih lagi belum pulang ke kamarnya. Sangkanya AMani telah pergi dari situ. Izz mula risau jika Amani jatuh sakit kerana membiarkan angin malam terus menyapa tubuhnya. Lantas mengenakan pakaian dan membuka daun pintu.

            “Amani,” panggilnya.

            Amani yang masih termenung di situ, lantas berpaling ke belakang, memandang kepada Izz. Dia bengun dari duduknya dan memusing tubuhnya agar berhadapan dengan lelaki itu.

            “Awak kena balik bilik dan tidur sekarang. Esok pagi, awak akan mulakan hukuman awak.” Izz bersandar di beranda tanpa memandang Amani.    Amani diam, tunduk membisu.

            “Saya dapat perintah daripada Tuan Helmi. Selama satu minggu ni, saya akan awasi awak dan Tania. Kamu berdua perlu membantu pekerja Ilham Hati kerana kesalahan bergaduh di sekolah. Itu belum masuk kesalahan kamu yang melakukan….” Kata-kata Izz mati di situ.

            Amani memandang Izz, menantikan kata-kata selanjutnya. “Kenapa?” tanya Amani. “Kesalahan saya yang mana?” tanya Tania.

            “Awak lebih tahu apa yang awak lakukan,” ujar Izz tegas. “Awak pergilah masuk tidur. Banyak perkara awak dan Tania perlu lakukan esok.” Izz mahu menamatkan perbualan mereka.

            “Awak percaya apa yang awak lihat?” tanya Amani.

 Izz yang sudah membuka daun pintu untuk melangkah ke dalam menoleh kepada Amani. Dia memandang Amani. Dia melangkah turun dari anak-anak tangga dan berdiri di depan Amani. Matanya terus merenung sepasang mata yang dingin itu. Gadis seperti Amani tak mungkin melakukan seperti apa yang terpamer di dalam buletin itu. Namun, gambar itutelah disahkan gambar yang asli oleh pihak sekolah.

“Apa yang awak mahu saya percaya Amani?” Izz berpaling ke tempat lain.

“Seperti mana awak tak mengenali saya, begitulah juga awak tak mengenali Tania,” kata Amani.

Izz kembali berpaling memandang Amani. “Saya kenal Tania dari kecil. Dia sangat sayangkan Faiz, tapi awak dah rampas Faiz dari dia. Apa yang awak mahu Amani?” soal Izz.

Amani tersenyum sinis. Maknanya, Izz tahu siapa Faiz. “Awak mungkin kenal siapa Faiz, tapi awak tak tahu sikap dia. Bukan saja Tania yang buta, tapi awak juga gagal menjaga dia.”

“Uh?” tergeleng-geleng kepala Izz mendengar kata-kata Amani. “Awak yang tak tahu menjaga diri, dan awak menuduh orang lain?”

“Saya tak pandai jaga diri?” Amani ketawa kecil. “Jika diri saya rosak sekali pun, tak akan ada kesannya kepada sesiapa. Tetapi, jika Tania yang rosak, seluruh Ilham Hati juga akan rosak. Saya tahu menjaga diri saya. Tapi Tania, dia yang tidak tahu menjaga dirinya kerana terlalu dimanjakan dan mengharapkan orang lain yang menjaga dirinya.”

“Awak!” Amani menunding kepada Izz. “Awak orang yang bertanggungjawab untuk menjaga Tania, juga gagal dalam tugas awak. Awak dan Tuan Helmi sama-sama gagal mengajar Tania untuk menjaga dirinya sendiri.”

Amani memandang Izz tanpa berkelip. Kedengaran desah nafasnya yang kuat kerana menahan rasa marah. Kemudian, Amani berpaling untuk pergi dari situ. Namun, pantas tangan Izz mencapai pergelangan tangannya.

“Saya mungkin tak kenal Tania dengan baik. Saya tak pandai menduga hatinya.” Izz memandang jauh ke dalam anak mata Amani. “Tapi saya kenal awak. Saya percaya awak tak melakukan perkara itu. Tentu ada sebabnya,” sambung Izz.

Amani terus tergamam.

Izz melepaskan tangan Amani. “Pergilah berehat. Saya janji, saya akan selidik latar belakang Izz.”
Amani yang terpegun dengan kata-kata Izz, berpaling dan melangkah pergi. Dia memagang pergelangan tangannya yang dipegang Izz. Ada sesuatu yang sedang menyelinap masuk ke dalam hatinya.

--------------@@@------------

Terima kasih kerana membaca. semoga N3 kali ini tidak mengecewakan anda. sudi2lah kiranya meninggalkan jejak anda di kolum komen di bawah ya....