Thursday, 18 October 2012

Ratu Hati Si Putera Arab 12





ZACK menekan punat interkom. "Farah, masuk jumpa saya." Kemudian, kedengaran ketukan di pintu pejabatnya. "Masuk!"

Muncul Farah di situ dengan penuh gaya keyakinan. Memang sesuai sebagai seorang pembantu peribadi Tuan Syed Zikri. “Ya, Tuan Syed?” Kini, dia sudah bersedia menunggu setiap arahan dari majikannya. Buku nota di tangan kiri dan pen di tangan kanannya. Siap untuk mencatat arahan.
Zack membelek-belek fail yang memuatkan maklumat peribadi para pelajar yang telah ditawarkan untuk menghadiri temuduga di Warisan Syed. "Puan Syariza dah tetapkan tarikh untuk temuduga?"
Mata Farah melirik maklumat peribadi yang ada dipegang Zack. Berkerut dahi Farah. Masakan Tuan Syed yang begitu teliti boleh lupa? Pertama kali dalam hidup Tuan Syed bertanya soalan yang tak masuk akal! “Hari ini. Jam sepuluh pagi nanti.”
“Hari ni?!” Bagaikan magnet Zack terus terbangun dari duduknya. Dia terus menyelongkar fail-fail yang memiliki maklumat lengkap tentang perlaksanaan perlantikan kakitangan baru itu. "Saya dah luluskan kah?"
"Dah! Tuan Syed sendiri yang tetapkan tarikhnya." Semakin kusut wajah Farah.
Mata Zack mati di wajah Farah. “Hari ni?" Terlopong Zack sekejap. Matanya sudah membulat. Macam mana dia boleh tak tahu? Kenapa dengan dia ni? Zack memicit dahinya. Terasa malu pula dengan Farah apabila dia tertinggal satu perkara di dalam syarikat ini. Dia menyemak semula maklumat berkenaan perlantikan pekerja baru itu.
Seram sejuk dirasakan Farah apabila melihat Zack dalam keadaan begitu. Nasibnya memang tak baik hari ni. Angin apa pula yang datang melanda Tuan Syed Zikri? Biasanya Tuan Syed Zikri tak pernah begitu. “Ya, ya, ya, Tuan Syed! Memang jadual temuduga bermula hari ini.” Tergagap-gagap Farah. Jantungnya sudah berdegup pantas.
Zack menepuk dahinya. Aduh! Macam mana perkara macam ni boleh terjadi? “Berapa haribulan hari ni?” Zack sudah menyelak kalendernya bersama kerutan di dahinya. “Aik, ni baru enam haribulan? Interview-kan lapan haribulan.” Kalendernya dihulurkan pada Farah.
Dahi Farah semakin berkerut. Dia mencapai kalender yang dihulurkan Zack dan melihatnya. Tiba-tiba sahaja dia rasa mahu ketawa tetapi ditahannya. Takut pula jika Zack naik angin jika tawanya terhambur nanti. “Ini kalender bulan sudah, Tuan Syed.” Dalam nada takut-takut bercampur geli hati, Farah menghulurkan semula kalender pada Zack setelah membuka helaian kelendar untuk bulan ini.
“Eh, ye ke?” Zack sudah terasa malu sendiri.
Farah menyimpan tawanya di dalam hati. Buku nota di tangannya diangkat lalu menutup mulutnya dengan buku nota itu. Dia khuatir jika tawa yang cuba di tahan dapat dilihat Zack. Entah apa pulak yang tak kena dengan Tuan Syed. Jarang sekali Tuan Syed melakukan kesilapan begitu. Nak kata fikirannya bercelaru, tak nampak macam tu pulak. Mungkin, Tuan Syed sedang dilamun cinta. Barangkali! Perasaan orang yang dilamun cinta memang macam tu. Semuanya serba tak kena. Tapi dengan siapa? Takkan Cik Emily kot! Sangat tak masuk akal!
“Sekarang pukul berapa?” tanya Zack.
Sekilas Farah melirik jam ditangan Zack sebelum beralih memandang jam di tangannya. Hairan dirasakan. Mengapa pula Tuan Syed bertanya sedangkan Tuan Syed sendiri memakai jam ditangan? Sah! Memang benar, tahap normal Tuan Syed di luar kawalan. Eh, tapi kalau tahap normal di luar kawalan, maknanya Tuan Syed dalam tahap yang tidak normal! “Hampir jam lapan, Tuan Syed.” Farah memandang wajah Zack semula. “Ada yang tak kenakah?” Farah mengecilkan matanya saat memandang Zack. Memang Tuan Syed nampak aneh hari ini. Lelaki itu serba tak kena!
Soalan Farah itu memang kedengaran asing di telinga Zack. Tapi, Farah benar. Dia tak pernah lalai dan cuai seperti ini. Sejak berjumpa dengan Audra hidupnya memang tak tentu arah. Dia benci sikapnya ini. Sepatutnya, dia lebih tenang dan mengawal situasi dengan baik! Bukankah dia pewaris Warisan Syed? Zack membisu seketika membiarkan Farah menunggunya di situ.
“Begini, Farah,” Zack memandang wajah Farah dengan serius. “Saya nak kamu dengar arahan saya baik-baik. Saya tak nak ada kesilapan nanti.”
Mendengar kata-kata itu, Farah terus bersiap sedia untuk mendengar arahan yang bakal diberikan. Apabila Tuan Syed Zikri berkata begitu dengan nada suara yang tegas, bermakna, perhatian sepenuhnya perlu diberikan.
“Saya nak kamu minta semua staf di setiap bahagian dan unit, simpan semua majalah yang ada wajah saya! Now! Sekarang!” Dia sudah kesuntukan masa. Hanya tinggal dua jam lagi sebelum semua pelajar dibenarkan masuk ke Warisan Syed untuk temuduga.
“Uh?” Wajah Farah sudah berkerut seribu. Dia langsung tak mengerti dengan arahan itu.
“Saya tak mahu ada satu pun gambar-gambar saya di syarikat ini!” Zack memandang Farah dengan tajam. “Tiada satu pun, walau sekeping! Simpan semua majalah dan apa sahaja yang ada gambar saya!”
“Simpan?” Berkerut dahi Farah. Nyata, Farah masih tidak mengerti arahan Zack. Simpan majalah yang ada wajah Tuan Syed? Apa maknanya tu?
“Ya! Simpan! Atau dengan erti kata lain, sembunyikan semuanya. Nak lagi cepat, buang! Semuanya!” Zack memandang tepat ke wajah Farah.
“Baik Tuan Syed!” Farah mengangguk tanda mengerti. Tapi, kenapa? Apa tujuannya? Soalan itu hanya mati di dalam hati Farah.
“Lagi satu, semua pelajar-pelajar ni tak boleh kenal langsung siapa Tuan Syed Zikri! Semua sudut, board atau apa saja yang ada gambar saya dengan title saya, tolong keluarkan. Saya mahu mereka kenali saya sebagai orang kanan Tuan Syed Zikri, Encik Zack!"
Farah tercengang seketika. Kini barulah dia mengerti. Tapi, mengapa Tuan Syed tak memberitahu rancangannya dari awal. Kenapa di saat-saat akhir? “Baiklah Tuan Syed!” Farah sudah bersedia untuk melaksanakan perintah yang diberikan. Dia sudah memusingkan tubuhnya.
“Nanti, Farah!” Zack masih khuatir jika Farah belum benar-benar menangkap maksud dan tujuannya. “Do I make myself clear?”
“Definitely!” Dengan yakin Farah menganggukkan kepalanya. Tuan Syed nak menyamar rupanya!
“Good! Now go! Please do it fast and tell everyone about this,” ujar Zack.
“Baik Tuan Syed!” Farah mengangguk dan memusing tubuhnya.
“Nanti Farah!” panggil Zack sekali lagi dan sekali lagi jugalah langkah Farah terhenti.
‘Siapa yang akan handle temuduga nanti?”
“Puan Sariza, akauntan kita dan saya sendiri!” Rasanya, Tuan Syed telah dimaklumkan tentang hal itu ketika mesyuarat tempoh hari. Tak sepatutnya Tuan Syed lupa tentang hal itu. Hmm, mesti ada yang tak kena dengan Tuan Syed. Tuan Syed bukan begini orangnya! Farah masih terus berteka teki dengan sikap Zack yang sangat pelik pada pandangannya.
“Okey! Di sini saya ada dua orang pelajar yang saya rasa kamu berdua perlu lebih beri perhatian.” Zack menyerahkan rekod tentang Audra dan Zana. Kemudian, baharulah dia menyerahkan rekod pelajar yang lain. “Tapi, walau apa pun saya tetap akan ambil kira keputusan kamu berdua. Pilih orang yang benar-benar layak.” Tegas Zack. Memang dia mahu Audra terpilih, namun dia perlu utamakan kelayakan berbanding perasaannya. “Tegaskan juga pada setiap calon bahawa peperiksaan akhir mereka juga akan diambil kira selain dari kelulusan temuduga ini.”
“Baiklah, Tuan Syed!” Farah mengangguk. Sudah sekian kali Zack menekankan hal itu. “Kenapa Tuan Syed saja yang tak uruskan? Mungkin Tuan Syed akan lebih berpuas hati.” Sudah lama mahu ditanyakan hal ini pada Zack tetapi tak berkesempatan. Dah kebetulan Zack membuka topik itu pagi ini, dia mengambil kesempatan untuk bertanya sekali.
Zack diam seketika. Dia mengetap bibirnya. “Mungkin lain kali,” balas Zack akhirnya. Farah tak perlu tahu perancangannya dengan jelas. Memang dia tak mahu menguruskan temuduga ini kerana buat masa ini dia tidak mahu menemui Audra. Biar pegawai lain yang uruskan. Lagipun, dia tidak mahu pemilihan ini berlandaskan perasaannya pada Audra walaupun Audra sememangnya mempunyai kelayakan itu.
Farah mengangguk lalu berpusing untuk pergi.
“Hmmm, Farah!” Sekali lagi langkah Farah terhenti apabila Zack memanggilnya semula.
Farah yang sudang membelakangkan Zack sudah menarik mukanya. Tetapi bila dia menoleh memandang Zack, satu senyuman manis dilemparkan.
“Ya Tuan Syed?” Sebenarnya dia sudah penat beberapakali berpusing untuk pergi tetapi kemudian dipanggil kembali. Apa-apa ntah Tuan Syed ni! Sikap Tuan Syed hari ini sangat mengelirukan. Dia tidak mengenali Tuan Syed Zikri yang ada di hadapannya sekarang.
“Apa pendapat kamu tentang penampilan baru saya?” tanya Zack. Dia berjalan keluar dari tempat duduknya dan berdiri di depan Farah sambil bersandar di mejanya.
Tercengang Farah apabila Zack bertanyakan tentang itu pada dia. Betulkah itu yang ditanya Tuan Syed? Sangat pelik soalan Tuan Syed! Farah memandang Zack dari atas hingga ke bawah dan sebaliknya. Kemudian, matanya memandang rambut Zack yang sudah dipotong rapat. Sebenarnya, dia lebih suka penampilan Zack yang lama. Tapi, penampilan yang baru ini tak kurang kacaknya.
“Okey!”
“Okey? Itu aje?” Kening Zack sudah terangkat. Jawapan yang diberikan Farah terlalu ringkas berbanding soalan yang ditanya. Takkan itu saja!
“Okey! Yang ini pun okey! Tapi saya lebih suka penampilan yang dulu!” ujar Farah yang seakan mengerti Zack tidak berpuas hati dengan jawapannya.
“Bukan itu maksud saya.” Jawapan yang diberikan Farah terlalu menyimpang dari jawapan yang mahu diketahui. “Kalau awak tengok saya sekarang, adakah saya yang sekarang akan dikenali oleh awak?”
Dahi Farah semakin berkerut. Bahasa apa yang digunakan Tuan Syed ni? Ya, memang bahasa Melayu tapi kenapa susah sangat nak faham? Dia menggaru-garu dagunya yang tidak gatal. Kenapa dengan Tuan Syed hari ni? Risau hatinya melihat sikap Zack yang memang pelik.
Melihatkan wajah Farah yang kebingungan, Zack menggelengkan kepalanya. “Macam ni, katakanlah awak belum pernah lihat saya dengan gaya yang macam ni, tiba-tiba saya muncul depan awak. Awak akan cam saya sebagai Tuan Syed atau orang lain?”
“Oh!” Terangguk-angguk kepala Farah. Kini dia mengerti soalan Zack. “Rasanya tak! Sebab penampilan dulu dan sekarang jauh bezanya!” Sungguh, pertama kali melihat Zack dalam keadaan begini, dia memang tak mengenalinya. Mahu sahaja dia bertanya siapa sempunya diri ketika melihat Zack. Tapi bila Zack terus menghampiri dan minta dia membawa secawan kopi dan bertanyakan jadual hariannya, baharulah Farah menyedari itu adalah Pengarah Warisan Syed.
Dah macam Maher Zain pulak dilihatnya. Yang pasti, walau bagaimana pun penampilan Zack, lelaki itu tetap kacak.
“Betul?” tanya Zack yang mahu kepastian.
Farah mengangguk.
“Bagus! Kalau macam tu, untuk hari ini dan hari-hari seterusnya, kenali saya sebagai Encik Zack. Dan, bila pelajar-pelajar tu dah mula bekerja di sini, saya mahu semua staf mengenali saya sebagai Encik Zack, orang kanan Tuan Syed! Tiada siapa pun di antara mereka yang boleh tahu siapa Tuan Syed Zikri yang sebenarnya sehinggalah masa yang sesuai.”
“Tapi, bukankah peraturan di dalam Warisan Syed, setiap pengarah syarikat perlu dipanggil dengan gelaran Tuan Syed?” Tuan Syed mahu mengubah sistem yang telah lama dipraktikkan di Warisan Syed? Setiap kakitangan sudah terbiasa dengan panggilan itu untuk setiap pewaris Warisan Syed.
“Saya tahu tentang peraturan itu. Saya tidak mengubah apa-apa. Tapi awak perlu ingat, sekarang, saya adalah pemegang saham terbesar yang sah. Warisan Syed di bawah pengurusan saya yang sah. Dan saya boleh mengubah peraturan selagi peraturan itu tidak merugikan syarikat. Betul?” Soalan Farah telah dijawab Zack dan lelaki itu membalikkan semula soalan pada Farah.
Farah tersenyum lega. “Betul!” Tuan Syed Zikri tidak salah. Memang Tuan Syed Zikri sangat arif dengan perkara-perkara sebegini.
“Dan untuk peraturan yang sementara ini, saya tak perlukan persetujuan dari pemegang saham yang lain, kan?” Zack cuba menguji Farah.
Sekali lagi Farah mengangguk. “Tak perlu.” Farah juga sangat arif dengan selok belok dan peraturan Warisan Syed. Mungkin kerana itulah Farah masih kekal sebagai setiausaha peribadi sejak dari Syed Hussin sebagai menjadi Pengarah Warisan Syed.
“Saya tetap Tuan Syed. Hanya, saya mahu mereka mengenali saya sebagai Encik Zack, orang kanan Tuan Syed. Biarlah identiti Tuan Syed itu menjadi rahsia.” Dengan cara itu, dia tidak melanggar peraturan yang di tetapkan Warisan Syed di mana setiap pengurus perlu dipanggil dengan gelaran Tuan Syed kerana Tuan Syed tetap Tuan Syed. Hanya, dia mahu menjadi Encik Zack buat sementara waktu.
“Baiklah Tuan Syed! Arahan Tuan Syed diterima,” ujar Farah tanpa soalan lagi. Entah apalah yang mahu dilakukan Tuan Syed kali ni! “Hmm, kalau dah tak ada apa-apa, boleh saya keluar?”
“Silakan,” ujar Zack.
“Dah tak de apa-apa lagi?” tanya Farah sekali lagi. Manalah tahu kalau-kalau ada benda yang Tuan Syed terlupa. Tak perlulah dia memusing tubuhnya berkali-kali.
“Awak boleh keluar sekarang, Farah!” Tegas Zack. “Laksanakan arahan saya dengan segera!”
“Baik, Tuan Syed!”
Sebaik sahaja Farah hilang, Zack menurunkan semua gambar-gambarnya hang tergantunh di dalam pejabat itu. Temuduga nanti bukan akan dilakukan olehnya dan bukan juga di pejabatnya. Semuanya akan diuruskan di bilik temuduga. Dia sekadar mahu berhati-hati dan lebih bersedia agar rancangannya tidak sia-sia. Dia tidak mahu walau satu kesilapan pun berlaku.
Setelah itu, maklumat peribadi Audra yang sudah difotokopi dipandangnya dengan senyuman. Satu lagi rancangan sedang berlegar di kepalanya. Dia sudah mendapatkan alamat Audra di kampung. Dia akan cari tahu siapa sebenarnya Audra Laily.

Friday, 5 October 2012

Ilham Hati 9








AMANI mundur mandir di kamarnya. Sedari tadi, ketika kedengaran suara Izz melaungkan azan Subuh, dia sudah terbangun. Di saat ini, hanya laungan merdu azan sahaja yang bisa membuat hatinya tenang. Laungan di waktu Subuh, terasa begitu berlainan dengan azan pada waktu yang lain. Jiwanya terasa damai dan begitu tenang.

Pada waktu begini, dengan udara yang nyaman dan sedikit kedinginan, ditambahkan lagi dengan kokokan ayam dan kesunyian dari kesibukan, segalanya kelihatan sempurna. Amani mengerling Zaiton yang masih nyenyak tidur di atas katil besar yang empuk itu. Dia menarik nafas panjang. Entah apa yang perlu dilakukannya sekarang? Kehadiran Zaiton di sini menyulitkan lagi keadaan.

Dia bangun dan berjalan keluar dari kamarnya. Baju kemejanya di tarik sedikit di bahagian tangan untuk menutup sedikit lengannya yang kesejukan apabila udara melalui tingkap yang terbuka menyentuh tubuhnya. Dia berjalan hingga tiba di ruang depan.

"Assalamualaikumwarahmatullah...." Kedengaran ucapan salam itu sebanyak dua kali. Amani mengintai ke dalam ruang solat di bahagian depan itu. Namun daun pintu yang hanya terbuka sedikit itu menghalang pandangannya. Namun telinganya masih menangkap suara-suara yang sedang berzikir. Apabila dia tidak dapat melihat apa-apa, dia terus menuju ke halaman.

Amani pantas memeluk tubuhnya. Bayu pagi yang menyegarkan terasa begitu dingin hingga terasa hingga ke urat sarafnya. Rambutnya yang masih basah setelah mandi, melayang ditiup angin.

"Amani...." Satu suara garau menegurnya.

Amani hanya terpaku di situ. Dia tidak mahu berpaling dan memandang empunya suara yang menegurnya dari belakang. Kedengaran derapan langkah kaki yang sedang menghampirinya. Dia hanya mengerling dengan ekor matanya pada susuk tubuh yang sudah berdiri di sebelahnya.

"Cantikkan bulan tu," ujar Tuan Helmi sambil kedua-dua tangannya di letakkan ke belakang. Kepalanya pula, didongakkan ke langit yang masih kelam.

Sejurus kemudian, Amani juga mendongak ke atas. Melihat pada bulan penuh yang sedang bercahaya indah pada awal pagi. Benar, bulan penuh itu kelihatan begitu indah sekali. Cahayanya memancar dengan terang. Amani terus memandang bulan yang menyuluh cahayanya itu. Dia seakan tenggelam dalam keasyikan semulajadi. Bulan yang terang bercahaya di langit yang begitu kelam, bagaikan harapan yang sedang sedang menyuluh di laluan yang penuh liku. Ya, harapan itu masih ada biarpun di balik kegelapan!

Tuan Helmi memandang Amani yang kelihatan ralit memandang bulan di langit. Dia mengukir senyuman, lalu pandangannya di tuju semula pada bulan yang masih terang. "Dalam hidup ini, kita diberi dua pilihan. Iaitu jalan menuju kejayaan dan jalan yang menuju kepada kehancuran. Setiap perjalanan yang masih belum tiba dipenghujung masih dibayangi dengan persimpangan. Persimpangan yang mana? Itu terletak pada pilihan kita.  Jalan kejayaan takkan sunyi dari ujian dan perangkap. Sedangkan jalan kehancuran sangat indah dipandang mata."

Amani menoleh pada Tuan Helmi. Kata-kata Tuan Helmi penuh dengan maksud tersirat.

"Setiap nafas kita adalah satu perjuangan. Tak ada yang senang dalam hidup ini. Hanya di penghujungnya sahaja yang menentukan di arah mana yang telah kita tuju. Sekarang, kita masih di persimpangan antara menuju kejayaan atau kehancuran. Bila menoleh ke belakang, pangkalnya telah jauh kita tinggalkan. Bila pandang ke depan, perjalanan kita masih jauh ke tampat tujuan." Tuan Helmi menoleh pada Amani.

 Pandangan mereka bertaut seketika sebelum Amani membuang pandangannya ke hadapan semula.

"Kenapa perlu keluarkan wang yang banyak hanya untuk kami yang tuan tak kenali?" tanya Amani sekaligus menghilangkan topik tentang bulan yang dimulakan Tuan Helmi.

Satu senyuman kecil memekar di wajah Tuan Helmi. Tuan Helmi beralih memandang ke depan. Kemudian, pandangannya beralih semula kepada bulan di langit. "Betul! Saya tak mengenali kamu. Dan saya tak lakukan ini kerana kamu atau ibu kamu. Apa yang saya lakukan adalah kewajipan saya sebagai seorang hamba Allah."

Benar, dia tidak mengenali Amani saat kali pertama dia bersua dengan gadis itu. Namun, desakan hatinya membuatkan dia membawa Amani ke sini. Siapa sangka, takdir yang ditentukan Allah pastinya punya alasan sendiri. Rupanya, Amani adalah anak Zaiton. Sekali lagi, dia bertemu dengan wanita itu. Kehadiran Zaiton mengungkitkan kembali kisah lalu. Tetapi bukan itu sahaja, pertemuan kali ini penuh dengan pertanyaan demi pertanyaan.

Tuan Helmi menarik nafas panjang dan menghembuskannya perlahan. Untuk jangka waktu yang terdekat ini, biarlah dia menyimpan semua titik persoalan itu. Apa yang penting sekarang, adalah memberikan kehidupan yang lebih terjamin kepada Amani dan Zaiton.

Amani terdiam. Masih adakah orang sebegitu dalam dunia ini? Orang yang membantu orang lain hanya kerana Tuhan? Dia tak percaya masih ada orang begitu. Tentu ada sesuatu yang dipandang Tuan Helmi sehingga sanggup menghulurkan bantuan sebegitu. Mungkin mak-lah puncanya. Mak memang bijak menjerat hati lelaki.

Amani melirik Tuan Helmi. "Mungkin tuan merasakan apa yang tuan lakukan semua ini adalah satu kewajipan. Tapi, tak semua orang akan berfikir begitu."

Tuan Helmi ketawa kecil mendengarnya. Dia menunggu kata-kata Amani selanjutnya.

"Tuan orang yang berjaya, tentu tuan pernah mendengar dibalik kejayaan seorang lelaki pasti ada wanita di belakangnya." Amani masih memandang Tuan Helmi yang senyumannya semakin lebar. "Mungkin saya tak sekolah tinggi, tapi saya pernah belajar tentang pepatah itu. Hanya," Amani membuang pandangannya ke tempat lain pula. "Perlu ditambah akan sesuatu agar lebih jelas."

"Maksud kamu?"

"Bukan saja kejayaan, tetapi dibalik kehancuran seorang lelaki juga pasti ada perempuan di belakangnya!" Apa yang cuba dikatakan Amani adalah satu pesanan agar Tuan Helmi berhati-hati dengan ibunya, Zaiton.

Tuan Helmi sudah ketawa besar. "Ya! Kamu tak salah!" Tuan Helmi mengangguk. "Tapi, kamu juga tidak benar!" sambungannya.

Amani memandang Tuan Helmi dengan kerutan. Maksudnya, Tuan Helmi cuba menyatakan pendapatnya tidak salah dan juga tidak benar? Jadi, pendapatnya berada di tengah-tengah?

"Lelaki diciptakan Allah untuk menjadi seorang pemimpin. Jika ada lelaki yang terlalu mengikut telunjuk wanita, memang dia telah salah dalam langkahnya. Mungkin, wanita boleh menjadi salah satu sebab kehancuran seorang lelakinya. Tetapi hakikatnya, lelaki itu yang gagal dahulu sebelum wanita itu menjadi punca kegagalannya. Kerana, dia telah gagal dalam memimpin seorang wanita dibawah jagaannya."

"Lelaki adalah pemimpin?" Di saat ini, Amani sudah terbayangkan pada Pakcik Jalil yang sering bermabukkan, bermain judi dan tidak ada sikap tanggungjawab dalam dirinya. "Tapi tak semua lelaki layak menjadi pemimpin!"

Tuan Helmi menarik nafas yang panjang lalu dilepaskannya perlahan. Dia tahu, Amani pasti sedang memikirkan pakciknya yang bermasalah itu. "Tipu daya syaitan ada di mana-mana. Hanya manusia yang meletakkan iman pada setiap langkahnya yang berjaya menepis segala fitnah dunia."

Dalam dunia ni, tak ada perkara yang baik. Semuanya hanya sandiwara. Yang kuat akan menindas yang lemah. Yang kaya akan semakin dilimpahi kemewahan. Si miskin terus mengemis untuk sesuap nasi! Amani bermonolog sendiri. Yang bodoh akan terus diperbodohkan. Semuanya hanya dengan satu tujuan, untuk hidup senang!

"Hanya ilm,." Tuan Helmi menyambung semula kata-katanya. "Ilmu sahaja yang dapat membezakan antara nafsu dan iman. Carilah ilmu, kerana dengan ilmu dunia ini akan menjadi milik kamu."

"Dengan menjadi kaya?" Amani memandang Tuan Helmi dengan sinis.

"Orang yang kaya dengan ilmu, takkan pernah miskin biarpun hidupnya berbekalkan sekeping roti setiap hari," balas Tuan Helmi. Seketika kemudian, dia melirik jam tangannya. "Bersiaplah, nanti Izz akan hantar kamu dan Tania ke sekolah. Buat masa ni, kamu pakailah seragam Tania dan barang-barangannya. Hujung minggu nanti, saya minta Tania  temankan  kamu membeli barang sekolah." Tuan Helmi terus berlalu pergi.

Amani hanya memerhatikan langkahnya tanpa berkata apa. Benarkah ilmu akan membuatkan manusia itu sentiasa kaya biarpun hanya adengan sekeping roti? Amani cuba memikirkan logikal kata-kata Tuan Helmi itu.

Amani memusingkan tubuhnya untuk pergi. Belum sempat langkahnya dihayun, kelihatan sepasang kaki berada di depannya. Amani mengangkat wajahnya dan terpandanglah dia pada seraut wajah yang sedang mengukirkan senyuman manis untuknya. Izz yang berbaju Melayu dan berkain pelikat, serta bersongkok di kepalanya, dipandang Amani agak lama.

Izz yang sedari tadi memerhatikan Amani dan Tuan Helmi dari jauh, terus mendekati Amani sebaik sahaja Tuan Helmi telah berlalu pergi. Pandangan Amani yang bertaut padanya itu terus membuatnya kakinya melangkah mendekati gadis yang dingin dan kaku itu. Tetapi kemudian, belum sempat dia mendekati Amani, gadis itu menjelingnya dengan tajam dan langkah kakinya sudah diatur untuk pergi.

"Assalamualaikum....." dengan pantas dia memberi salam. Nyata, salamnya telah membuatkan Amani berhenti dan berpaling memandangnya.

Wajah Izz yang masih memekar dengan senyuman terus dipandang Amani. Dia masih berkira-kira untuk menjawap salam Izz. Tetapi di dalam hatinya sudah gusar jika Izz akan melukakan  tangannya lagi seandainya salam itu tidak bersambut..

"Waalaikummussalam...." Dalam rasa terpaksa, Amani menjawabnya dengan perlahan.

Semakin lebar senyuman Izz mendengar jawap salam Amani. Dia mendekati gadis itu. "Nampaknya, awak dah belajar sesuatu," usiknya. Dia tertawa kecil apabila melihat Amani melemparkan pandangan kurang senang bersama satu jelingan. "Lepas ni, kamu perlu belajar menjawapnya dengan ikhlas!" Dia tahu, apa yang Amani lakukan adalah kerana rasa terpaksa.

"Kamu dah bersihkan diri?" tanya Izz lagi. Soalan Izz dibalas dengan satu jelingan lagi dari Amani. Izz menggeleng kepala. Amani gemar menjeling orang sebegitu! "Kamu tahu tak yang kamu perlu ke sekolah hari ni?"

Amani terus kaku di depan Izz. Dia memeluk tubuh.

"Pergilah bersiap. Lepas tu, ikut Tania. Kita sarapan bersama sebelum ke sekolah." Izz melembutkan nada suaranya. Dia tahu, adakalanya bercakap dengan Amani perlu menggunakan sedikit kelembutan walaupun dari apa yang dilihat Amani hanya akan menurut bila rasa terpaksa. Jika boleh, dia mahu Amani meletakkan keikhlasan pada setiap langkahnya.

Izz mendongak, memandang bulan yang masih dipagari bintang.

Setelah Izz berkata begitu, Amani terus memusingkan tubuhnya untuk pergi.

"Awak hanya pandang bulan di langit tapi awak tak pandang bintang di sekelilingnya." Kata-kata Izz itu membuatkan Amani memandangnya semula.

 Izz menjatuhkan pandangannya dari langit kepada Amani. "Itu yang awak lakukan tadi, betul tak?"

Amani hanya kaku di situ sambil matanya masih terus merenung wajah Izz.

"Memang bulan itu sangat indah dipandang. Tapi, bintang yang telah menaikkan serinya bulan." Izz memandang kembali ke angkasa.

Amani membuang pandangannya ke angkasa seperti Izz. "Kalau tak ada bintang sekali pun, bulan tetap cantik."

"Betul! Bulan memang cantik bila bersendiri. Tapi kehadiran bintang menyempurnakan lagi keserian yang ada pada bulan. Begitulah juga dengan persoalan hidup," ujar Izz lagi."Kita tak boleh hidup bersendiri. Kita perlukan mereka yang ada di sekeliling kita. Adakalanya, kita akan fikir, lebih baik kita hidup sendiri dari hidup mereka yang sering mendatangkan masalah pada kita. Tapi kita lupa, orang sekeliling kita adalah pelengkap pada kehidupan kita. Hidup kita, perlu jadi seperti bulan yang dipagari bintang."

Amani terus memandang bintang yang berkerlipan di langit. Ya, memang sedari tadi dia hanya memerhatikan bulan penuh itu sehingga dia tidak menyedari bintang yang bertaburan di dada langit.

"Awak pernah lihat, cahaya matahari yang muncul dibalik awan selepas hujan?" tanya Izz pada Amani dengan tiba-tiba.

Amani memandang Izz namun tiada satu perkataan pun yang keluar dari bibirnya. Mereka sedang berbual tentang bulan dan bintang, tetapi dengan tiba-tiba sahaja Izz membicarakan tentang matahari dan hujan.

"Saya suka sangat bila lihat pandangan macam tu. Bila hujan turun dengan lebatnya, matahari hilang dari pandangan. Bila hujan berhenti, kita akan lihat lubang-lubang cahaya matahari yang muncul di celahan awan. Bila saya lihat pemandangan seperti itu, saya akan kata pada diri saya. Cahaya yang muncul di celahan awan itu ibaratkan satu harapan. Bila diri kita dipenuhi dengan kegelapan, kita juga mengharapkan cahaya dari celahan itu akan menyuluh kita pada jalan yang terang."

Amani terus memandang Izz. Setiap satu perkataan yang disampaikan Izz sungguh menyentuh hatinya. Di simpan kata-kata itu dalam ingatannya. Izz benar! Sungguh, kini dia berada dalam kegelapan. Awan sedang menyelindungi cahaya matahari dari memancarkan terang. Suatu hari nanti, dia mengharap cahaya itu dapat membolosi lindungan awan gelap dan menjadi lubang cahaya. Lubang cahaya itu, adalah harapan!

Tapi, tetap ada satu perkara yang akan dipegangnya. Iaitu, jangan pernah memberi kasih sayang dan juga menyayangi. Kasih sayang akan membuatkan manusia lemah dalam kehidupan. Manusia takkan pernah menghargai kasih sayang. Orang bodoh sahaja akan tertipu dengan kasih sayang yang akhirnya akan memakan dirinya sendiri.

"Lebih baik awak pergi bersiap sekarang." Izz memandang Amani. "Ingat! Jangan cuba larikan diri."

Amani mengerling Izz dengan tajam. Dia tidak suka bila Izz mengungutnya begitu. Amani mengorak langkahnya.

"Saya memang maksudkannya Amani! Awak takkan dapat lari dari saya!" ujar Izz dengan agak kuat pada Amani yang masih terus melangkah. Seketika apabila terdengar suara Izz, Amani menoleh dan kemudian tetap meneruskan langkahnya.

Masuk sahaja ke dalam rumah, Amani terserempak dengan Tania. Ketika itu, Tania baru keluar dari kamarnya dengan memegang seragam sekolah yang tergantung di penyangkut baju. Amani memandang pada Tania yang sudah siap untuk ke sekolah.

"Nah! Ini baju awak." Tania menghulurkan baju seragam di tangannya pada Amani bersama sebuah senyuman.

Amani mencapainya dengan kasar. Satu jelingan dihadiahkan buat Tania. Dia terus meluru masuk ke dalam kamarnya.

Tania hanya menghembuskan nafas panjang melihat sikap Amani yang masih dingin. Lama juga dia berdiri di depan kamar Amani sambil memikirkan sikap gadis itu. Tiba-tiba sahaja dia terdengar suara Zaiton dan Amani.  Terdetik di hatinya untuk menguping apa yang sedang dibualkan kedua beranak itu.

"Amani!" melihat sahaja kelibat Amani yang baru masuk, terus sahaja Zaiton meluru mendapatkannya. "Kau dah bangun dari tadi? Kenapa kau tak kejutkan mak?"

Amani hanya menjeling Zaiton baru bangun dari tidur. Amani terus menukar pakaiannya kepada seragam sekolah tanpa menghiraukan Zaiton.

"Habislah! Apa kata Tuan Helmi nanti kalau tahu mak bangun lewat," ujarnya pada Amani. Hatinya sudah gundah. Entah apalah yang akan difikirkan Tuan Helmi tentangnya jika mengetahui sikapnya yang sebenar. Memang sukar untuk membuang sikapnya yang suka bangun lewat dalam masa satu hari.

"Tentu mereka semua dah sembahyangkan?" Zaiton mengeluh. Dari malam tadi dia sudah pasang niat untuk bangun awal dan solat berjemaah dengan lain setelah Tania menceritakan keluarga mereka yang sering berjemaah di ruang solat yang terletak di bahagian depan rumah itu.

Amani hanya menjeling melihat sikap Zaiton. Malas mahu melayan kerenah Zaiton yang suka berpura-pura itu.

"Kamu dengar tak apa yang mak cakap, Amani?" Zaiton mula memandang Amani yang tidak mempedulikannya. "Patutnya, waktu kamu bangun tadi, kamu kejutkan mak sekali!" Zaiton mula mendengus.

Amani yang sudah siap memakai seragam yang diberikan Tania berpaling memandang Zaiton. Mak sikit pun tak memberi komen tentang seragam yang baru dipakainya buat pertama kali setelah tiga tahun tidak ke sekolah. Mak tak mahukah bertanya padanya bagaimana persiapannya? Apa perasaannya? Yang mak tahu, hanya mahu menunjukkan watak baiknya yang hanya berpura-pura itu.

"Kenapa kau pandang mak macam tu?" Zaiton yang sudah berang, memarahi Amani. "Malu mak pada Tania! Mak dah janji nak sembahyang bersama mereka pagi ni!"

"Mak ada telekung?" Amani yang sedari tadi ya hanya membisu, kini bersuara.

Zaiton terdiam. Soalan Amani itu terus masuk ke otaknya.

"Kalau mak sendiri tak pernah ada telekung, jangan bermimpi nak jadi orang baik. Mak akan lebih malu jika sembahyang bersama mereka, sedangkan mak langsung tak tahu macam mana nak bersembahyang!"

Zaiton terdiam sebentar. Kata-kata Amani ada benarnya. "Habis tu, apa yang mak nak buat sekarang?" Alasan apa yang akan diberikan pada Tania? Apa pulak pandangan Tuan Helmi jika mengetahui dia tidak tahu bersolat.

"Mak kan pandai putar belit! Pandai lepaskan diri! Kenapa nak tanya saya pulak?!" Amani terus ke meja solek dan menyikat rambutnya yang panjang dan lurus itu.

"Susah betul kalau bercakap dengan kau ni!" Zaiton bangun dari pembaringannya dan mencapai tuala. Kenapakah dia dikurniakan anak seperti Amani yang selalu memprotes apa saja keputusan dan tindakannya. Kenapakah Amani tak ditakdirkan menjadi seorang anak yang sentiasa bersetuju dengan apa yang dilakukannya?!

Tania yang sedang menguping perbualan antara Amani dan Zaiton menjauhkan telinganya dari daun pintu setelah suara Zaiton yang melangkah ke dalam bilik mandi sudah tidak kedengaran lagi. Satu nafas panjang ditariknya dalam-dalam.Dia terus melangkah pergi, menuju ke ruang makan.

Ketika tiba di halaman, dia berselisih dengan Izz. Tudung yang dikenakan di kepalanya dibetulkan agar nampak cantik pada pandangan Izz.

"Tania dah bersiap?" tegur Izz.

Tania tersenyum lalu mengangguk. "Dah!" Tania terus mendekati Izz. "Abang Izz nak bersarapan?"

"A'ah..." Izz mengangguk. "Amani dah bersiap?" Mata Izz meliar memandang ke dalam.

"Entah!" Tania menjungkitkan bahunya. "Kenapa?"Tania merasa tidak senang dengan pertanyaan Izz.

"Tak apalah! Jom kita sarapan dulu," ajak Izz.

Amani kembali tersenyum. Mereka berdua beriringan menuju ke ruang makan. Di sana, kelihatan kelibat Tuan Helmi yang sudah memulakan sarapannya dahulu.

"Mari makan Izz, Tania!" jemput Tuan Helmi yang sedang memecahkan telur setengah masak ke dalam mangkuk.

"Silakan tuan!" Izz berbahasa.

Amani sudah menempatkan dirinya di sebelah Tuan Helmi.

"Mana makcik Zaiton dan Amani?" tanya Tuan Helmi pada Tania.

"Kejap lagi datanglah." Tania mencapai mangkuk kosong dan dua biji telur setengah masak lalu dihulurkan pada Izz. Kemudian, di ambilnya lagi untuk dirinya pula. "Jemput makan Kak Min!" ujar Tania apabila melihat kelibat Kak Min masuk ke ruang makan.

“Jemputlah Tania. Kak Min dah makan tadi dengan Mak Eton." Biasanya memang begitu. Tuan Helmi sendiri yang mengarahkan mereka berdua untuk makan terlebih dahulu sebelum menyajikan pada keluarganya. Tetapi Tania dan Tuan Helmi memang seorang yang berbudi bahasa. Setiap kali di ruang makan, mereka pasti menjemput untuk makan bersama mereka. Seketika kemudian, Kak Min hilang semula ke ruang dapur.

"Assalamualaikum..." suara Zaiton yang memberi salam membuatkan pandangan mereka beralih.

"Makcik," tegur Tania dengan ramah. "Mari makan!"

Zaiton tersenyum melihat Tania yang begitu ramah sekali. Pandangannya di buang kepada Tuan Helmi pula. Tuan Helmi menganggukkan kepalanya sebagai tanda sapaan. Zaiton membalas anggukan itu dengan anggukan juga.

Sejurus di belakang Zaiton, muncul Amani dengan wajah tegangnya. Melihat sahaja kelibat Amani, terus sahaja wajah Izz menguntumkan senyuman. Amani yang menyedari pandangan mata Izz, memandang lelaki itu sekilas lalu menjelingnya sebelum duduk bersebelahan dengan Zaiton.

"Amani dah bersedia nak ke sekolah?" Tuan Helmi sangat gembira melihat Amani yang berseragam putih itu. Entah mengapa, dia sangat senang hati apabila Amani menurut juga rancangannya agar kembali bersekolah.

Amani mengerling Tuan Helmi sekilas. Akhirnya, kata-kata yang ditunggu oleh Amani dari bibir Zaiton, keluar dari seorang lelaki asing yang langsung tiada kaitan dengan hidupnya. Amani tidak membalas pertanyaan itu. Dia mengambil sekeping roti dan menyapunya dengan mentega.

Tuan Helmi hanya menghembus nafas perlahan. Zaiton yang melihat reaksi Amani itu sudah berubah wajahnya. Kalaulah hanya dia dan Amani sahaja saat ini, pasti akan dimarahi Amani dengan teruk. Dia sedang berusaha untuk memikat ahli keluarga ini, tetapi Amani pula sengaja mahu menggagalkan rancangannya!

"Balik dari sekolah nanti, Izz akan ambil Amani dan Tania," ujar Tuan Helmi dan membiarkan sahaja sikap dingin Amani. "Izz akan bawa Amani dan Tania ke kedai buku. Di sana nanti, Izz dan Tania tolong Amani belikan barang keperluan sekolah." pandangan mata Tuan Helmi jatuh kepada Izz dan Tania.

Mereka berdua menganggukkan kepala tanda menerima arahan itu.

"Amani, untuk hari ni, Amani guna dulu barang-barang Tania yang lamanya. Balik nanti, Amani ikut Tania dan Izz beli barang-barang yang baru."

Zaiton sudah tersenyum lebar mendengar arahan dari Tuan Helmi. Nampaknya, Tuan Helmi sangat mengambil berat tentang Amani. Beruntungnya! Tapi, memang sepatutnya begitu dari dahulu lagi!

Berlainan pula dengan Amani. Dia menganggap arahan itu bagaikan satu bebanan berat. Dia lebih rela menggunakan barang-barang lama milik Tania dari membeli yang baru. Menerima kebaikan dari mereka, membuatkan mereka lebih banyak terhutang dengan Tuan Helmi dan keluarganya. Semuanya hanya menyusahkan!

Amani menghirup sedikit kopi di dalam cawannya. Seperti biasa, dia terus bangun bersama piring dan cawan yang digunakan. Setelah mencuci, dia mencapai beg galas Tania yang diberikan padanya.

"Amani dah habis makan?" tanya Tuan Helmi. Dia kurang senang apabila melihat Amani yang hanya makan sedikit sahaja.

Tanpa bersuara sedikit pun Amani terus meluru keluar dari ruang makan dan meninggalkan mereka yang lain. Izz dan Tania berpandangan seketika. Izz mengerti Tania terasa hati dengan sikap Amani. Amani memang melampau! Langsung tak menghormati perasaan orang lain.

"Maaf semua," Zaiton merendahkan suaranya dan memohon maaf bagi pihak Amani. "Amani memang macam tu. Dia belum biasa dengan suasana di sini."

"Tak mengapa," ujar Tuan Helmi dengan lembut. "Darah muda memang cepat memberontak. Kita sebagai orang tua, perlulah lebih banyak bersabar menahan kerenah anak-anak. Kalau kita pun kurang sabar, anak-anak semakin kuat melawan."

Zaiton terdiam. Kata-kata Tuan Helmi itu bagaikan terkena batang hidungnya sendiri.

Usai bersarapan, Tuan Helmi menemani Tania dan Izz keluar dari Syurga Ilham Hati. Sempat dia berpesan kepada mereka. Dari jauh, kelihatan kelibat Amani sudah menunggu mereka di gerbang Ilham Hati.

"Ingat pesan papa," ujar Tuan Helmi pada Tania.

Tania mengangguk lalu menyalami Tuan Helmi. "Tania pergi dulu, pa. Assalamualaikum."

"Waalaikummussalam," jawab Tuan Helmi.

"Pergi dulu, tuan!" ujar Izz pula.

"Hati-hati," pesan Tuan Helmi lagi.

Izz dan Tania mendekati Amani yang sedang bersandar di gerbang Ilham Hati. Sampai sahaja di gerbang Ilham Hati, Izz yang membuka pintu, dan menolak gerbang besar itu. Amani melangkah keluar.

Tania berpusing semula ke belakang dan melambai Tuan Helmi yang memerhatikan mereka dari jauh. Kemudian, barulah dia mengekori langkah Amani. Setelah Amani dan Tania keluar, Izz menutup kembali gerbang Ilham Hati.

Izz menghidupkan enjin kereta. Tania sudah memboloskan diri di sisi Izz. Amani pula, membuka pintu di belakang dan duduk mendiamkan diri. Setelah enjin kereta sudah panas, Izz mula memandu.

Tania menoleh pada Amani yang sedang duduk di belakang. "Maaf ya Kak Amani sebab Tania berikan barang-barang lama Tania untuk akak pakai. Balik nanti, kita beli barang-barang lain ya."

Amani hanya menjeling Tania. Sejak bila pula Amani membahasakan dia sebagai kakak? Dia tidak suka panggilan Tania padanya. Dia tak mahu mewujudkan hubungan saudara dengan sesiapa!

Tania dengan wajah suramnya, memandang Izz. Izz turut memandang Tania seakan menyuruh Tania agar bersabar. Kalau bukan kerana pesanan papa yang mahu dia hormatkan Amani yang hanya tua setahun sahaja darinya, pasti dia takkan memanggil Amani begitu.

"Kak.." panggil Tania lagi.

"Aku bukan kakak kau!" Amani terus bercakap dengan kasar.

Tania terdiam. Izz pula menjadi panas melihat sikap Amani pada Tania. Namun dia cuba untuk bersabar.

"Apa salahnya dia panggil awak, kakak? Awak kan berpangkat kakak pada dia." Izz masih cuba berlembut.

"Saya tak keluar dari perut mak Tania," ujar Amani dengan begitu sinis sekali.

Ketika ini, Izz terasa seperti mahu menghentikan kereta dan menyuruh Amani keluar. Dia menarik nafas panjang dan menghembusnya perlahan dan terus memandu kereta hingga tiba di depan pintu pagar sekolah.