Hai awaks!
ER post-kan sambungan STS ya.
Untuk dapatkan novel ini boleh hubungi PFP di :- Penerbitan Fajar Pakeer
Untuk dapatkan semua novel ER, boleh klik sini :- NOVEL EMMA RUSDI
INshaAllah, minggu depan ER akan mula post deleted scene ya!
Salam ceria!
ER post-kan sambungan STS ya.
Untuk dapatkan novel ini boleh hubungi PFP di :- Penerbitan Fajar Pakeer
Untuk dapatkan semua novel ER, boleh klik sini :- NOVEL EMMA RUSDI
INshaAllah, minggu depan ER akan mula post deleted scene ya!
Salam ceria!
------------@@-----------
PAK BAKAR pemandu Tuan Idrus telah sedia menunggu Izz di dalam kereta. Melihat kelibat Izz, lantas Pak Bakar menghidupkan enjin kereta. Sebentar tadi, Izz telah menghantar pesanan ringkas kepada Pak Bakar agar menunggunya di Gerbang Ilham Hati. Kata Izz, dia telah memperolehi alamat tempat tinggal Amani daripada Tania.
PAK BAKAR pemandu Tuan Idrus telah sedia menunggu Izz di dalam kereta. Melihat kelibat Izz, lantas Pak Bakar menghidupkan enjin kereta. Sebentar tadi, Izz telah menghantar pesanan ringkas kepada Pak Bakar agar menunggunya di Gerbang Ilham Hati. Kata Izz, dia telah memperolehi alamat tempat tinggal Amani daripada Tania.
“Macam mana?” soal Pak Bakar
sebaik sahaja Izz masuk ke dalam kereta.
“Ini alamat dia.” Izz menunjukkan kepingan kertas
itu kepada Pak Bakar.
“Kita
siasat dulu. Saya pun tak pasti sama ada itu alamat Amani ataupun tidak. Sekurang-kurangnya kita ada petunjuk.” Izz memakai tali
pinggang keledar.
“Tak perlu ke balai polis dulu?” Pak Bakar bertanya
lagi kerana pada asalnya, mereka berdua sudah merancang untuk ke balai polis
bagi mendapatkan sedikit info berkenaan Amani. Kebetulan salah seorang pegawai
polis di balai yang terdekat merupakan kenalan Tuan Idrus.
“Tak perlulah, Pak Bakar. Kita terus ke alamat
ni dulu. Manalah tahu kalau alamat ni memang betul tempat tinggal Amani.”
Pak Bakar mengangguk setuju. Lantas, kereta Perodua
Kembara yang telah diamanahkan kepada Pak Bakar dipandu keluar dari kawasan
Setia Sentosa menuju ke pusat bandar dan terus ke jalan yang tertera pada kertas yang ditulis Tania.
Sampai sahaja tiba di hadapan pekarangan sebuah
rumah pangsa kos rendah, Pak Bakar menghentikan keretanya. Dia membaca
kembali alamat rumah Amani.
“Pak Bakar rasa flat ni dah betul. Jalan pun jalan
yang sama,” ujar Pak Bakar sambil matanya memerhatikan nama
jalan yang terdapat di pintu pagar kawasan rumah pangsa itu.
“Jalan Selubung. Hmm, nama jalan
pun memang dah sesuai dengan tempatnya.” Izz memerhatikan rumah pangsa yang kelihatan suram dan kusam.
Pak Bakar hanya ketawa kecil.
“Mari.” Izz sudah keluar dari perut kereta.
Pak Bakar mengekori langkahnya. Mereka terus
menuju ke lif dan naik ke tingkat lima. Sampai sahaja di depan pintu kuning
yang tertulis nombor tujuh, mereka menghentikan langkah.
“Inilah rumahnya,” tunjuk Izz pada daun pintu.
Pak Bakar mengangguk.
“Assalamualaikum!” Izz memberi salam seraya
mengetuk pintu. Tidak kedengaran suara yang menyambut salamnya.
“Assalamualaikum!” Sekali lagi Izz memberi salam
dan mengetuk pintu. Kali ini, suaranya lebih kuat daripada tadi.
Pak Bakar sudah mengintai di balik tingkap nako
yang sedikit terbuka.
“Kau nak apa?!” Tiba-tiba muncul seorang lelaki
yang membuka pintu dengan kasar dari dalam. Dia kelihatan kusut dengan rambut
yang tidak bersikat dan tanpa pakaian. Hanya berkain pelekat.
Wajah bengisnya terus memandang tajam kepada Izz.
Izz memandang lelaki itu dari atas dan ke bawah,
kemudian ke atas semula. Lelaki di hadapannya ini kelihatan mencurigakan.
“Boleh saya jumpa dengan Amani?” Sebelum dia
menerangkan yang Amani ada dengannya, adalah lebih baik dia pura-pura mencari
Amani.
“Kau siapa?” tanya lelaki itu.
“Saya kawan Amani. Boleh saya jumpa dia?”
“Kau kawan Amani? Budak tak guna tu mana ada
kawan.” Jelas sekali lelaki itu tidak mempercayai kata-kata Izz.
Terkejut Izz mendengar kata-kata kesat lelaki
itu kepada Amani.
“Saya memang kawan dia!” Izz bertegas dan terus
memainkan peranannya.
“Kau jangan nak kelentong aku. Aku kenal dia sejak
dia keluar dari perut mak dia, tahu? Orang macam dia tak ada kawan.
Tambah-tambah lagi, kawan lelaki macam kau ni!” Jari telunjuknya menuding ke dada Izz.
Dia mengerling pula Pak Bakar yang berdiri di
sisi Izz. “Nak-nak orang tua macam kau
pula.”
Pak Bakar sudah mengetatkan bibirnya.
“Pak cik, saya memang kawan dia.” Izz cuba berlembut.
“Sejak bila aku jadi pak cik kau ni,
hah? Kau datang sini nak apa? Kau ni siapa?”
“Saya kawan Amani.”
“Amani?!” Tiba-tiba kedengaran suara seorang
wanita mencelah.
Pandangan mereka tertoleh. Kelihatan seorang wanita cantik yang sedang berdiri di koridor sambil
menjinjit beg plastik yang berisi sayur-sayuran.
“Kamu kawan Amani?” Wanita yang baru tiba di
situ itu bertanya lagi. Matanya sudah melekat pada wajah Izz.
Izz menganggukkan kepalanya. Wanita itu mungkin
ibu Amani. Wajahnya mempunyai iras wajah Amani.
“Kamu jumpa Amani? Di mana dia? Saya mak Amani.” Mata
wanita itu tersimpan seribu harapan. Dia mendekati Izz.
Izz dan Pak Bakar berpandangan. Mereka kini
berbelah bahagi sama ada mahu berterus terang ataupun tidak.
“Kamu jumpa Amani tak? Amani dah banyak hari tak
balik. Entah apa jadi dengan dia.” Riak kerisauan terlukis pada
wajahnya.
“Kau jangan pandai-pandai nak bawa budak tu
balik sini lagi. Aku dah halau budak tu keluar. Aku tak benarkan dia datang
sini lagi!” Semakin bengis wajah yang ditunjukkan lelaki itu sambil nafasnya
kedengaran begitu kuat kerana menahan rasa marah.
“Kau memang kejam!” Wanita itu pula membentak
sambil berbalas pandang dengan lelaki itu. Kemudian, wajah wanita itu bertukar
muram pula.
“Entah mana Amani tinggal sekarang.” Dia memejam matanya
seketika.
“Yang kau ambil berat sangat pasal dia kenapa?
Kau pun bukan sayang sangat dengan dia!” ujar lelaki itu kepada
wanita itu.
“Aku suka ke, aku benci ke
dekat dia, dia tetap anak aku!”
“Peduli apa aku! Kalau kau nak bawa Amani
tinggal di sini, kau minta dia bayar balik duit aku. Kau ingat senangkah nombor
aku nak naik?! Boleh pulak budak tu koyakkan tiket aku! Jahanam betul budak
tu!” Dia mendengus geram dan dengan itu satu tumbukan dilepaskan pada
pintu rumahnya.
Pak Bakar dan Izz sempat beristighfar mendengar kata-kata lelaki itu. Mereka berdua langsung
tidak mempedulikan kelibat Izz dan Pak Bakar yang tegak di situ
sambil memerhatikan setiap tindak-tanduk dan perbualan mereka.
“Eh, yang kau orang berdua
tunggu apa lagi? Amani tak ada di sini. Dia dah berambus pergi mampus!” bentak
lelaki itu lalu menutup pintunya dengan kuat.
Dentuman yang kuat itu menyebabkan bahu mereka terjongket.
“Maaf ya, encik. Encik berdua ada jumpa Amani?” Lembut
suara wanita itu menuturkan kata.
“Puan ni ibu Amani?” tanya Izz.
“Ya. Nama saya Zaiton. Amani tak beritahu
tentang saya kepada encik berdua?”
Izz menggeleng.
“Lelaki tadi, ayah Amani?” Izz mengerling pintu
kuning yang telah tertutup itu.
“Bukan. Dia abang saya, pak cik Amani.”
Zaiton menggeleng perlahan.
“Puan nak jumpa dengan Amani?”
“Saya tak boleh.” Zaiton tertunduk hampa.
“Kenapa?” tanya Izz.
“Pak cik Amani dah halau Amani keluar dari rumah sebab
Amani koyakkan tiket nombornya. Nombor tu menang 10 ribu
ringgit. Kalau Amani nak pulang semula ke sini, kami berdua perlu bayar kepada
dia 10 ribu ringgit dulu. Selagi saya tak dapat bayar harga tiket
tu, saya tak boleh jumpa Amani,”
terang Puan Zaiton.
Pak Bakar dan Izz berpandangan. Timbul perasaan
kurang senang dengan keluarga ini.
“Begini, encik tinggalkan alamat rumah encik.
Esok pagi, waktu saya keluar ke pasar saya akan ke sana,” ujar Zaiton dengan
nada berbisik. “Bukan apa, abang saya larang saya mencari Amani. Kalau tak,
teruk saya kena pukul nanti.”
Izz sudah menjongketkan keningnya. Kalau wanita
itu takut dipukul abangnya, mengapa dia tidak mengikut Amani keluar dari rumah
ini? Mengapa dibiarkan Amani keluar dari rumah ini sendirian? Tidak takutkah
wanita itu jika sesuatu yang buruk menimpa Amani?
“Macam nilah, puan. Puan bagi nombor telefon
yang boleh saya hubungi.” Izz mengeluarkan telefonnya lalu mereka saling bertukar
nombor. “Kalau ada apa-apa, puan boleh hubungi saya.”
“Jadi, betullah Amani ada dengan encik?” tanya
Zaiton sekali lagi.
“Ya.” Izz mengangguk.
“Tolong
jagakan Amani, ya. Katakan pada dia, kalau saya dapat kumpul wang untuk bayar kepada pak cik dia, saya akan bawa dia balik. Kalau boleh, minta dia
hubungi saya, ya,” pinta Zaiton. Wajahnya kelihatan mengharap.
“Amani
tak hubungi puan?” tanya Izz pula.
Zaiton menggeleng. “Boleh saya tahu
macam mana Amani boleh ada dengan encik berdua?”
Izz menarik nafas panjang. Berat hatinya untuk
menerangkan perkara yang sebenarnya.
“Amani kemalangan. Saya tak sengaja terlanggar dia,” beritahu Izz.
“Apa? Kemalangan? Macam mana keadaan dia?” Wajah
Zaiton berubah. Dia sudah tak tentu arah mengenangkan keadaan Amani.
“Puan jangan risau. Amani tak apa-apa. Dia
sihat.”
“Dia tak apa-apa?” Zaiton merenung Izz dengan
resah. Dia mahu melihat Amani dengan matanya sendiri. Jiwanya resah memikirkan
keadaan Amani.
“Amani tak apa-apa. Dia tak cedera dan dia
sihat.”
Zaiton menghembus nafas kelegaan. Tangan
kanannya sudah mengurut dada. Namun dia masih belum puas jika tidak melihat
keadaan Amani dengan matanya sendiri.
“Menurut doktor, Amani pengsan bukan sebab
kemalangan tetapi kerana tidak makan selama beberapa hari,” sambung Izz lagi.
“Amani
tak makan?” Zaiton menahan sebak.
“Puan
tak perlu risau. Amani dah sihat. Sekarang dia sedang berehat di penginapan
Tuan Idrus. Kami akan menjaganya dengan baik,” janji Izz.
“Tuan
Idrus?” Kening Zaiton berkerut. Mendengar begitu, tahulah Zaiton
bahawa mereka berdua hanyalah pekerja kepada lelaki itu.
Izz mengangguk.
“Saya
nak minta tolong dengan Tuan Idrus. Boleh sampaikan kepada dia?” tanya
Zaiton.
“Insya-Allah. Tolong apa?”
“Minta
dia jaga Amani. Tolong jangan halau Amani. Saya akan cari kerja dan kumpul duit.
Berapa saja yang Tuan Idrus minta upah untuk jaga Amani, saya akan usahakan.
Sekurang-kurangnya sehingga saya bayar duit pak cik dia.
Kasihanlah kepada Amani. Kalau Tuan Idrus halau dia, ke mana lagi
dia harus pergi?”Air mata Zaiton mengalir di pipi.
Simpati melihat air mata itu, Pak
Bakar menghulurkan sapu tangannya kepada Zaiton. Sejak tadi, lelaki itu hanya
mendiamkan diri. Dia lebih suka membiarkan Izz menguruskan hal itu. Izz lebih
tahu apa yang patut dilakukan.
“Terima kasih.” Zaiton menyapu air mata
yang mengalir.
“Sabarlah puan,” kata Pak Bakar.
“Kalau
Amani dihalau, saya tak akan tahu di mana anak saya lagi. Sejak Amani pergi,
hati saya tidak pernah tenang. Biarlah Amani jauh asalkan saya tahu dia
selamat. Kedatangan encik berdua benar-benar melegakan hati saya.” Memang
benar, sejak Amani dihalau keluar Zaiton tidak pernah tenang. Malamnya sering
terganggu mengenangkan Amani.
“Insya-Allah, saya akan sampaikan kepada Tuan Idrus. Tuan Idrus pasti
akan bantu Amani. Puan jangan risau.” Izz mengukirkan senyuman.
“Terima
kasih.” Zaiton menundukkan sedikit kepalanya kepada Izz dan Pak Bakar.
“Kami
minta diri dulu, puan. Assalamualaikum,” kata Izz.
“Waalaikumussalam.”
Izz dan Pak Bakar turun semula ke kereta yang
diparkir di tepi jalan. Mereka tidak terus masuk ke dalam kereta dan hanya
berdiri di sisi.
“Izz, pak cik
tak rasa yang keluarga mereka ni orang baik-baik.” Pak Bakar
meluahkan apa yang terbuku di hatinya.
“Mungkin
pak cik Amani saja yang kurang baik. Saya rasa Amani dan Puan
Zaiton sekadar mangsa.” Begitulah yang difikirkan Izz.
“Kalau
Puan Zaiton seorang ibu yang mengambil berat tentang anaknya, mesti dia dah
ikut Amani keluar sekali dari rumah tu.”
Izz membatu seketika. Pak Bakar tidak salah. Dia
juga sependapat dengan Pak Bakar.
“Mungkin juga Puan Zaiton telah diugut oleh
lelaki tu. Atau, mungkin juga Puan Zaiton ada anak yang lain sebab itulah dia
tak dapat ikut Amani.” Izz membuat kesimpulan.
Pak Bakar menjongketkan bahunya.
“Saya
rasa lebih baik kita siasat latar belakang keluarga mereka,” cadang Izz.
“Pak cik setuju.”
“Jom!” Mereka kembali masuk ke dalam kawasan rumah pangsa kos rendah itu.
-------@@-------
EMMA RUSDI
-------@@-------
-------@@-------
EMMA RUSDI
-------@@-------
No comments:
Post a Comment