Dapatkan novel SENYUM TANDA SUKA
Klik link ini > (Novel ER)
HARGA
SEMENANJUNG : RM 27.00
SABAH/SARAWAK : RM 30.00
Nak baca dulu novel-novel ER, boleh klik sini ya
Jom ikuti sambungan STS
SAAT dia menolak daun pintu, terus matanya terpaku pada susuk tubuh kecil yang sedang beradu di atas lantai. Tergamam dia seketika. Kenapa dia tidur di lantai sedangkan di hadapannya sudah terbentang katil yang empuk? Tiba-tiba sahaja hati Tuan Idrus terdetik perasaan simpati melihat situasi itu.
“Amani.” Tania menepuk lembut bahu Amani yang
sedang nyenyak tidur.
Amani membuka matanya perlahan-lahan setelah
merasakan bahunya ditepuk. Sayup-sayup kedengaran namanya dipanggil. Semakin lama
semakin matanya terbuka, kelihatan susuk tubuh seorang gadis manis sedang
bersimpuh di sebelahnya.
Setelah matanya terbuka luas, seraut wajah Tania
yang sedang tersenyum menyapa pandangan. Kemudian, dia terpandang wajah
Tuan Idrus yang sedang berdiri di muka pintu yang terbuka luas. Terus dia
bangun dan duduk di situ.
“Dah
malam ni. Jom, kita makan malam,”
ajak Tania dengan mesra sekali.
Amani menggeleng, menandakan dia tidak mahu
makan. Ketika itu juga dia melihat Tuan Idrus melangkah masuk ke dalam kemudian duduk di hadapannya. Terus dia melemparkan jelingan kepada
Tuan Idrus dan berpaling ke tempat lain.
“Mari makan.
Lepas tu, Amani perlu makan ubat yang Doktor Iwan beri,” kata Tuan
Idrus seakan-akan memujuk.
“Tak
nak. Kalau saya banyak makan, saya takut saya tak mampu bayar,” balas
Amani.
Hutangnya sudah terlalu banyak dengan Tuan Idrus
dan Tania. Itu belum masuk lagi hutang budi yang dihulurkan mereka. Dia pasti dia
takkan mampu untuk membayar,
kerana itu dia merasa berat untuk
menerima bantuan daripada orang lain.
Tuan Idrus hanya tersenyum mendengar jawapan
itu. Amani masih risaukan perkara yang sama. “Kamu perlu makan
ubat. Nanti kamu sakit lagi. Nak makan ubat, kamu kena isi perut dulu. Macam
mana kalau kamu sakit balik? Duit rawatan lebih mahal daripada apa yang
kamu makan.” Mungkin hanya dengan berkata begini dapat mengumpan agar Amani mahu
mengisi perutnya.
Amani terdiam. Lama juga dia berfikir baik buruk
yang bakal diterimanya. Mungkin wang boleh dibayarnya, tapi budi mereka? Namun ada benarnya kata Tuan Idrus, dia perlu sihat untuk bekerja
dan membayar hutangnya. Untuk itu, dia perlu mengisi perutnya.
“Marilah
makan dengan saya. Kamu perlu kuatkan badan kamu. Esok kamu perlu bekerja
keras.” Tuan Idrus sudah berdiri tegak. Sengaja dia berkata begitu
untuk membuatkan Amani tidak merasa terhutang budi.
Dalam keadaan terpaksa, Amani bangun juga. Dia
menjeling Tuan Idrus lagi. Tanpa berkata apa-apa dia terus keluar mendahului
mereka.
Tuan Idrus memandang Tania. Tania menjongketkan
kening dan bahunya serentak. Tuan Idrus memeluk bahu Tania.
“Marilah, sayang.” Lalu mereka beriringan jalan
menuju ke ruang makan.
Sampai di sana, Mak Eton dan Min sudah siap
menghidangkan makan malam. Amani sudah sedia bersimpuh di depan meja makan ala
Jepun yang memerlukan mereka duduk di atas alas yang disediakan.
“Jemput
makan tuan, Tania.” Dengan penuh
rasa hormat Mak Eton menjemput mereka berdua makan.
Sekilas dia menjeling Amani dengan tajam. Rimas
dia melihat sikap gadis muda itu yang tak tahu menghormati pemilik tempat ini.
Semakin sebal dirasakan apabila Amani langsung tidak mempedulikan
jelingannya. Malah, jelingannya dibalas juga dengan jelingan.
Tuan Idrus mengambil tempat di hadapan. Manakala
Tania pula sudah bersimpuh di hadapan Amani setelah tempatnya diambil alih oleh
gadis itu. Tuan Idrus tersenyum senang. Tiba-tiba dia merasakan seolah-olah dia
mempunyai dua orang anak gadis. Dia mengerling Amani yang duduk di kanannya dan
Tania yang duduk di kirinya.
“Mak
Eton dan Min dah makan?” tanya Tuan Idrus. Perhatiannya beralih kepada Mak Eton
dan Min.
“Sudah, tuan.” Mak Eton dan Min menganggukkan
kepala.
“Izz
dah pulang?”
“Belum
lagi, tuan,” jawab Mak Eton.
“Kalau
Izz dan Pak Bakar pulang, minta Izz datang jumpa saya di Kamar Ilham.”
“Baik,
tuan.” Mak Eton mengangguk.
“Jemput makan semua,” pelawa Min.
Kemudian, Mak Eton dan Min hilang di belakang
setelah semua hidangan telah diletakkan di atas meja.
Kamar Ilham? Amani berfikir sendiri. Dia seakan-akan pernah melihat tulisan yang tertulis perkataan itu. Dia cuba
mengingati di mana dia melihat perkataan itu. Oh, baru dia teringat. Ada papan
tanda yang tertulis Kamar Ilham yang besar pada dinding
atas rumah yang terletak di bahagian tengah. Mungkin itulah tempatnya.
“Amani,”
panggil Tuan Idrus.
Sekilas pandangan Amani beralih kepada Tuan
Idrus.
“Jemput
makan.” Tuan Idrus mempersilakan tetamunya untuk makan.
Amani membasuh tangannya dan mula makan tanpa mempedulikan mereka. Sempat dilemparkan satu jelingan kepada
Tania yang sedari tadi memandangnya.
Tania menelan air liurnya apabila menerima
jelingan tajam daripada Amani. Terus dia membuang pandangannya kepada
Tuan Idrus.
Tuan Idrus memberi isyarat kepada
Tania untuk menadah tangan membaca doa. Tuan Idrus membaca doa makan dan diaminkan oleh Tania.
Amani pura-pura tidak mengambil peduli apa yang
dilakukan mereka sedangkan hati kecilnya sudah terasa sesuatu sejak dia masuk
ke dalam Syurga Ilham Hati
ini. Tempat ini memberi ketenangan dan satu perasaan asing dalam hatinya. Tempat ini
bagaikan sebuah syurga, sama seperti namanya, Syurga Ilham Hati.
Usai menyudahkan makan malamnya, Amani bangun
mengangkat pinggan dan cawannya. Seperti tadi, dia membasuh dan menyimpan
pinggan dan cawan yang digunakan. Tanpa berkata apa-apa dia terus meluru
keluar.
Tuan Idrus dan Tania hanya memandang tanpa berkata apa-apa. Kemudian, Tuan Idrus memberi
isyarat kepada Tania untuk meneruskan hidangannya.
Amani terus berpusing-pusing di halaman depan.
Melihat pada landskap Syurga Ilham Hati yang cantik dan menenangkan.
Tenang hatinya mendengar suara alam, cengkerik dan sesekali kedengaran suara
katak. Keharuman daripada wangian bunga-bunga yang segar dan tiupan angin
yang menyegarkan membelah tubuh, sangat mendamaikan. Semuanya sangat indah di
sini.
Sambil memeluk tubuh kerana kesejukan dibelah
angin malam, Amani berjalan-jalan di kawasan sekitar. Sesekali dia memandang
langit yang kelam tanpa kehadiran bulan dan bintang yang menandakan hari akan
hujan.
Sampai sahaja di rumah yang tengah, langkah
Amani terhenti. Dia memandang pada sebuah papan tanda yang tertulis Kamar Ilham di bahagian atas rumah itu. Telahannya benar.
Ruang rumah ini tidak tertutup sepenuhnya. Ia terbahagi pada
dua bahagian. Bahagian kanan mempunyai ruang tertutup seakan-akan
pejabat atau ruang peribadi. Di bahagian kiri pula ditutupi dengan cermin kaca.
Hingga mereka yang ada di luar juga bisa memandang terus ke dalam. Hanya
dinding belakang dan pintunya sahaja yang menggunakan kayu. Reka cipta Kamar Ilham ini hampir menyamai ruang makan dan ruang
dapur.
Hati Amani mendesah untuk melangkah masuk ke
dalam Kamar Ilham. Bagai terpanggil-panggil dirinya agar melihat pada kanvas
yang yang terlukis indah. Pada kertas-kertas yang bercorak cantik.
Seni! Seni yang sangat digemarinya.
Satu per
satu langkah Amani bawa
hingga dia tidak menyedari yang kini dia sudah berada di depan pintu Kamar
Ilham. Tangannya diangkat lalu tombol pintu dibuka. Pintu itu tidak berkunci.
Dia melangkah masuk dan berdiri di tengah-tengah ruang itu. Di sekelilingnya
dan di setiap sudut ruang itu penuh dengan lukisan yang indah. Dia terbuai dengan
setiap lukisan yang cantik di sekelilingnya itu.
Tiba-tiba sahaja dia terpandangkan sebuah
lukisan bercorak bunga yang masih belum siap sepenuhnya. Dia menghampiri
lukisan itu. Lukisan itu sangat cantik. Desakan hatinya bagai menyuruh dia
menyiapkan lukisan tersebut. Amani terpandangkan berus dan palet di tepi
lukisan tersebut. Lantas dicapainya berus lukisan itu.
Kebetulan, Izz yang baru pulang bersama Pak Bakar
mahu berjumpa dengan Tuan Idrus. Dia mahu terus menuju ke ruang makan untuk
bertemu dengan Tuan Idrus kerana dia pasti pada waktu
begini, Tuan Idrus dan Tania tentu sedang menikmati makan malam mereka. Ketika
melalui Kamar Ilham, terus matanya melihat susuk tubuh Amani yang sedang
melukiskan sesuatu di atas kanvas milik Tuan Idrus di situ.
Memang dia terkejut melihat keberanian Amani.
Tiada siapa yang pernah masuk ke dalam Kamar Ilham tanpa izin Tuan Idrus. Ruangan itu bagaikan sebuah tempat larangan. Apatah lagi orang baru seperti Amani. Tambahan
pula, Amani bukan sahaja masuk ke dalam Kamar Ilham, tetapi telah
merosakkan ilham Tuan Idrus. Bagaimana jika Tuan Idrus marah?
Izz menyuruh Pak Bakar ke ruang makan dahulu
sedangkan dia sendiri sudah melangkah untuk mendekati Amani. Dia mahu menyelamatkan
Amani daripada
kemarahan Tuan Idrus. Hampir sahaja
dia sampai di depan ruang masuk Kamar Ilham, namun seseorang
telah menghalangnya daripada masuk. Terus sahaja Izz berpaling ke kanan.
Terkejut dia melihat Tuan Idrus yang telah menghalang dan menarik lengannya.
“Biarkan
dia,” bisik Tuan Idrus perlahan. Tuan Idrus terus memerhatikan Amani.
Ada sesuatu dalam diri Amani,” sambungnya.
Dia pasti, Amani tidak berniat jahat. Seperti
apa yang dipercayai olehnya, bukan semua perkara bisa dinyatakan secara lahiriah.
Ada sesetengah perkara diluahkan secara seni. Amani punya keistimewaan itu. Daripada
caranya melukis, gadis itu telah meluahkan perasaannya. Anak ini punya sesuatu
yang tersimpan dalam lubuk hatinya.
“Dia
telah menyambung ilham yang saya tinggalkan dengan baik sekali.” Tuan
Idrus ternyata menyukai hasil seni Amani. Bibirnya menguntumkan senyuman.
“Kamu
dapat apa-apa maklumat?” Dia berpaling memandang Izz.
Izz mengangguk.
“Pergi
makan dulu. Lepas tu datang jumpa saya.”
“Baik, tuan.” Izz menghilangkan diri. Sempat dia
melirik Amani seketika sebelum berjalan pergi.
Dari
jauh Tania memerhatikan Tuan Idrus yang sedang asyik memerhatikan Amani secara
sembunyi. Apa keistimewaan Amani sehingga Tuan Idrus tidak marah Amani mengganggu
Kamar Ilham? Dia sendiri hanya dibenarkan masuk ke dalam Kamar Ilham jika
diizinkan. Dengan rasa kurang senang, Tania berlalu dari situ.
Tuan Idrus yang masih memandang Amani melangkah
perlahan-lahan masuk ke Kamar Ilham. Amani telah hilang di dalam dunianya
sendiri hingga dia tidak menyedari Tuan Idrus sudah berada di belakangnya.
Sikapnya sama seperti Tuan Idrus. Setiap kali Tuan Idrus melakarkan ilham, dia
juga akan hilang dalam dunianya sendiri.
“Kamu
sangat berbakat. Dari mana kamu belajarlah untuk melukis?”
Suara Tuan Idrus telah mengembalikan Amani ke
alam nyata. Pantas dia berpaling dan meletakkan palet dan berus ke tempat
asalnya. Dia berdiri berhadapan dengan Tuan Idrus. Dia tahu dia sudah melakukan
kesalahan. Dia tidak gentar untuk menerima akibat daripada
kesalahannya. Matanya bertentang dan berbalas pandang dengan Tuan Idrus tanpa
gentar.
“Kamu
pernah melukis?” Tuan Idrus membalas panahan mata Amani. Panahan
mata yang ditunjukkan Amani menunjukkan dia seorang gadis yang berani.
Begitulah telahan Tuan Idrus.
“Saya
akan bayar ganti rugi sebab dah rosakkan lukisan tuan.”
Tuan Idrus tertawa kecil sambil kepalanya
tergeleng.
“Tak
semua perkara boleh dinilai dengan wang, Amani. Kamu punya sesuatu dalam diri
kamu yang lebih bernilai daripada
itu,” katanya dengan jujur.
Amani tertawa sinis.
“Dalam
hidup saya, saya belajar wang adalah segala-galanya. Tuan jangan risau, saya
akan bayar hutang tuan dengan bekerja untuk tuan sehingga semua hutang saya
selesai.” Sebaik sahaja berkata begitu, Amani terus meninggalkan Tuan
Idrus.
Tuan Idrus hanya mengekori langkah Amani dengan sorotan
matanya. Dia yakin dengan perasaannya. Ada sesuatu tentang Amani.
Tuan Idrus memandang lukisan yang telah
disambung Amani. Lukisan ini menyatakan
Amani inginkan kebebasan, Amani
inginkan perlindungan, Amani perlukan kasih sayang. Apa yang diperlukan Amani
adalah kebahagiaan. Amani tidak sama seperti apa yang dikatakan iaitu wang
adalah segala-galanya dalam kehidupan.
“Tuan.”
Suara Izz membuatkan Tuan Idrus berpaling memandangnya.
Izz yang sedang berdiri di muka pintu memandang sekitar ruang itu. Kelibat Amani sudah tiada.
“Masuklah,
Izz.” Tuan Idrus membuka pintu ruang yang tertutup.
Ruang tertutup itu merupakan pejabat peribadi
Tuan Idrus. Di sinilah dia menguruskan Ilham Hati. Namun pejabat utama Ilham
Hati terletak bersebelahan dengan pondok melukis. Para pekerjanya termasuk Izz
menguruskan hal-hal yang berkaitan di sana.
Izz membuntuti Tuan Idrus ke dalam pejabat peribadinya.
“Macam
mana?” soal Tuan Idrus sebaik sahaja punggungnya mencecah kerusi.
Tuan Idrus memberi isyarat agar Izz duduk.
Izz menurut dengan arahan itu.
“Saya
dah selidik latar belakang Amani. Amani mempunyai seorang ibu, seorang pak cik iaitu abang kepada ibunya dan anak tiri pak ciknya.
Ibunya bernama Zaiton, pak ciknya bernama Jalil. Tiada siapa yang tahu siapa
ayah Amani. Tapi, ada juga ura-ura yang mengatakan Amani itu anak tak sah taraf,” cerita Izz.
“Jalil
merupakan seorang duda dan mempunyai seorang anak lelaki yang masih bersekolah
rendah. Budak tu bukan anak kandung tetapi anak tiri. Anak arwah isterinya
dengan suami yang lain. Jalil bekerja sebagai seorang buruh. Dia seorang kaki
botol dan kaki judi,” kata Izz lagi.
Terangguk-angguk kepala Tuan Idrus menerima
laporan daripada Izz.
“Jalil
seorang kaki ekor. Baru-baru ini, nombornya naik. Tapi, tiket itu telah
dikoyakkan Amani. Sebab itulah Amani dihalau dari rumahnya,” sambung Izz.
“Dihalau?” Kening
Tuan Idrus terjongket.
Izz mengangguk.
“Kalau begitu, Amani tidak lari dari rumah. Macam
mana pula dengan ibu Amani?”
“Puan
Zaiton bekerja di pasar. Dia membantu seorang peniaga menjual sayur. Puan
Zaiton dan Amani perlu membayar ganti rugi Jalil, barulah Jalil membenarkan
Amani pulang ke rumah. Jika hutang Jalil tidak dibayar, Puan Zaiton tidak
dibenarkan keluar dari rumah itu dan bertemu Amani dan Amani juga tidak boleh
pulang untuk bertemu dengan Puan Zaiton.”
Tergeleng-geleng kepala Tuan Idrus mendengar
cerita Izz.
“Tak
sangka, ada juga manusia yang sanggup bertindak kejam kepada keluarganya
sendiri. Apa yang boleh dilakukan oleh remaja seperti Amani? Untuk menguruskan
makannya sendiri pun dia tidak mampu.” Tuan Idrus mendengus geram.
“Menurut jiran-jiran mereka, Amani telah
berhenti belajar sejak tamat tingkatan tiga. Usianya sekarang sudah
17 tahun. Ketika Zaiton keluar bekerja, Amani yang akan
menguruskan rumah dan memasak untuk mereka.”
Tuan Idrus menghembuskan nafas kesal. Kasihan
Amani, dalam usia yang begitu muda telah diberikan tugas seberat itu. Usianya
dan Tania hanya berbeza satu tahun. Tania kini berusia 16 tahun.
Sepatutnya, Amani menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini. Apa yang perlu
dilakukan Amani adalah belajar. Amani tak sepatutnya diberikan tanggungjawab
yang berat begitu, bisik hati kecil Tuan Idrus.
“Izz, saya mahu kamu mengawasi setiap pergerakan
Amani. Saya tak mahu Amani lari dari sini.”
“Tuan takut jika Amani tidak bayar hutang?”
Kening Izz sudah terjongket.
Tuan Idrus ketawa mendengar soalan Izz. Tuan Idrus menggeleng.
“Saya tak kisah soal hutang. Saya cuma
khuatirkan Amani. Amani bukan Tania. Saya percaya, jika kita kurang awasi
Amani, dia akan lari dari sini,” kata Tuan Idrus dengan yakin.
“Oh.” Izz mengukir senyuman malu.
“Mulai esok, biarlah Pak Bakar saja yang hantar
dan menjemput Tania. Saya mahu awak uruskan soal Amani. Berikan dia kerja dan
jaga dia.”
“Baik, tuan.”
“Saya
mahu Amani terus tinggal di sini. Beritahu keluarganya, kalau mereka tak
perlukan Amani, saya yang akan menjaga dia.” Hati
Tuan Idrus terpanggil untuk bertanggungjawab ke atas diri Amani.
“Bagaimana
pula dengan Puan Zaiton?”
Mata mereka bertentang.
KELUAR sahaja dari Kamar Ilham, Izz mahu terus ke
Pondok Kecil. Namun di pertengahan jalan, dia terlihat kelibat Amani yang
sedang berdiri di hadapan Rumah Utama sambil memandang jauh ke angkasa. Izz
mengikut langkah Amani dengan memandang ke atas.
Rupanya, Amani sedang memandang pada bulan dan
ribuan bintang yang bertaburan di angkasa. Malam ini memang indah. Sebentar
tadi, langit begitu kelam seakan-akan mahu hujan. Namun, tanpa disangka muncul bulan dan bintang. Izz mendekati
Amani dan berdiri di sebelahnya.
Amani yang menyedari kehadiran Izz membuang
pandangannya kepada lelaki itu seketika. Dia merasa terganggu dengan kehadiran
Izz di situ. Dia berpusing dan melangkah untuk pergi.
“Saya
dah jumpa keluarga awak,” kata Izz tanpa memandang Amani dan masih mendongak
ke langit.
Terus sahaja langkah Amani terhenti. Dia
berpaling dan memandang Izz yang membelakangkannya dengan tajam. Sungguh, dia
terkejut dengan berita itu.
“Insya-Allah,
jika tiada aral melintang, Puan Zaiton akan ke sini menemui awak.” Saat itu dia
sudah menoleh memandang Amani.
“Kan saya dah janji, setelah hutang saya selesai
saya akan pergi dari sini!” tegas Amani.
“Ia. Tapi hutang awak takkan dapat selesai dalam
masa yang singkat. Puan Zaiton nak berjumpa dengan awak.”
“Saya
tak nak jumpa dengan dia!”
“Kenapa?
Saya fikir awak akan gembira dengan berita ni.” Izz tergaman.
“Awak
akan menyesal!” Amani berpaling semula, mahu berlalu pergi.
“Tunggu!” Dengan
pantas Izz menghalang dan berdiri di hadapan Amani.
Menikam mata Amani memandang Izz.
“Kenapa
dengan awak ni? Kami di sini cuma nak bantu awak.”
“Saya
dah beritahu, saya akan bekerja sehingga hutang saya dengan Tuan Idrus selesai.
Lepas tu saya akan pergi dari sini. Saya takkan menyusahkan sesiapa. Perlukah
saya ulang kata-kata saya?”
“Macam
mana pula hutang awak dengan Pak Cik
Jalil?”
Amani tidak menunjukkan reaksi terkejut apabila
Izz menyebut tentang Jalil. Gadis itu hanya memandang tepat kepadanya. “Saya
tiada hutang dengan sesiapa selain Tuan Idrus.”
Izz sudah ketawa sinis. “Saya tahu, awak
tak berhutang dengan pak cik awak. Tapi awak dah buat dia kerugian. 10 ribu ringgit! Selagi awak tak bayar kerugian dia
awak takkan jumpa mak awak.”
“Awak fikir awak hebat bila berjaya jejaki
keluarga saya dalam masa yang singkat? Awak fikir awak dah tahu segala-galanya?
Awak tak kenal siapa mereka. Awak tak kenal bagaimana keluarga kami.” Sinis
sekali Amani menuturkan kata.
“Huh?”
Ternyata Izz semakin terkejut dengan kata-kata Amani.
“Lebih baik awak jauhkan diri daripada
mereka.”
“Jadi,
awak memang tak nak jumpa dengan mak awak?” Izz bagaikan
tidak percaya Amani berkata begitu.
“Saya
memang tak nak jumpa dia.”
“Anak
jenis apa awak ni?” Akhirnya, terkeluar kata-kata itu dari bibir
Izz tanpa sengaja.
Amani hanya membalas kata-kata Izz dengan
jelingannya. Lalu dia berpusing untuk pergi. Untuk apa dia membuang masa
bertekak dengan orang asing yang langsung tiada kaitan dalam hidupnya?
“Jangan
sesekali awak terfikir untuk larikan diri dari sini.” Izz mengugut.
Mendengar kata-kata Izz, Amani berpaling semula
memandang lelaki itu. Satu pandangan yang tajam menikam ke dalam mata Izz. Izz
juga membalas pandangan matanya.
“Ilham Hati dikelilingi
dengan tembok yang tinggi. Satu-satunya pintu keluar dari Syurga Ilham Hati
adalah pintu yang menuju ke Ilham Hati. Untuk keluar dari Ilham Hati, hanya ada
satu pintu gerbang sahaja. Pintu gerbang itu juga dah tertutup rapat sejak jam 9.00
malam tadi.” Izz menerangkan satu fakta tentang keselamatan di situ.
Amani hanya membisu. Kata-kata Izz memang benar
kerana tadi dia telah berkesempatan mengelilingi kawasan Syurga Ilham Hati dan
Ilham Hati. Gerbang Ilham Hati telah pun ditutup pintunya pada jam 9.00
malam ketika semua pekerja selesai menjalankan tugas pada malam itu. Sekuriti
juga telah menutup pintu gerbang dengan rapat dan mula mengawal. Keselamatan di
sini memang ketat. Ditambah lagi dengan tembok tinggi yang mempunyai kawat
duri di bahagian belakang dan dua bahagian sisi.
“Saya
takkan larikan diri selagi hutang saya belum selesai.” Amani
menghadiahkan satu jelingan tajam lalu meneruskan langkahnya semula.
Izz menarik senyum melihat Amani. Benar kata
Tuan Idrus, Amani sangat berbeza dengan Tania. Amani ada sesuatu dalam dirinya.
Sesuatu yang mungkin akan menjadikannya istimewa ataupun sebaliknya.
----------------
No comments:
Post a Comment