Seperti yang pernah dijanjikan, ER up bab yang kena deleted ya...untuk tatapan sahaja. Bila-bila masa sahaja ER akan padamkan semula dari blog..
------------@@------------
Tajam matanya
memerhatikan setiap lukisan yang tergantung di setiap sudut pameran. Dia
berpuas hati dengan cara susun atur di situ termasuk lanskap yang dihias untuk
menarik minat pengunjung.
Galeri Emerald yang telah mula dirasmikan tiga tahun yang
lalu semakin mendapat sambutan hangat dari peminat lukisan. Malah penggunaan
internet memudahkan baginya untuk mempromosikan lagi hasil kreativiti yang
dihasilkan oleh Gelari Emerald. Malah, Tuan Idrus memberi kepercayaan kepadanya
untuk sama-sama meletakkan hasil lakarannya di situ.
Hari ini merupakan hari terakhir Galeri Emerald
menawarkan lukisan-lukisan dengn harga promosi. Berbanding hari lain, hari ini
merupakan hari yang paling ramai pengunjung. Dia berpuas hati dengan para
pekerja yang dilantik untuk menjaga galeri ini sepanjang kempen promosi yang
dijalankan.
Amani berhenti di bahagian lukisan yang menempatkan hasil
kerja dan ilham Tuan Idrus. Dia memerhatikan lukisan yang jarang dapat
diluangkan masa untuk diperhatikan.
Lukisan-lukisan yang berjaya menarik perhatiannya akan
diperhatikan lebih lama dan dia akan cuba menjiwai setiap mesej yang
disampaikan melalui lukisan tersebut. Lukisan abstrak adalah lukisan yang
paling digemarinya, lukisan yang meluahkan perasaan secara tersembunyi.
Kebanyakan lukisan abstrak melambang dirinya. Sepi, dingin dan kaku. Atau lebih
tepat lagi, lukisan itu melambangkan diri pelukis itu sendiri.
Kemudian, Amani ditegur oleh salah seorang pekerjanya untuk
bertanya sesuatu.
Tanpa disedari olehnya, dirinya telah menjadi perhatian sejak dari
kakinya melangkah masuk ke dalam Galeri Emerald. Sepasang mata itu tidak lekang
dari melihatnya. Hanya menunggu masa yang sesuai untuk bersuara. Apatah lagi
melihat dirinya yang sedang berbual dengan pekerja di situ berkenaan
lukisan-lukisan yang dipamerkan.
Melihat sahaja kelibat
pekerja itu berlalu pergi dan kini tinggal Amani sendirian, lantas tubuh milik
sepasang mata yang sedang memerhatikan Amani bergerak menghampirinya. Dia
berdiri di di depan sebuah lukisan yang bersebelahan dengan lukisan yang sedang
diperhatikan oleh Amani. Pandangannya di halakan ke depan, pada lukisan yang
dipamerkan.
“Lukisan tu memang cantik,kan?”
Teguran itu mengalihkan
tumpuan Amani. Kelibat seorang gadis muda yang bertudung litup membuatkan Amani sedikit terkejut. Gadis itu
menoleh pada Amani. Amani memandangnya sekilas dan kemudian kembali memandang
lukisan tadi tanpa memperdulikan gadis muda itu. Dia memang sudah mengagak yang
Tania akan mencarinya di sini.
Tania mengetap bibirnya
rapat. Matanya mengecil sambil merenung Amani tajam. Wajah itu sentiasa begitu.
Tegang dan tidak pernah menyenangkan. Memang sukar untuk mendekati Amani. Lebih
sukar lagi untuk mendapat perhatiannya.
Tania memang sengaja datang
ke sini apabila dia mendapat tahu dari Ismail, pengawal di Ilham Hati tentang
kedatangan Amani di situ. Kakak tirinya itu memang kuat semangat dan bekerja
keras. Adakalanya dia sendiri merasa cemburu dengan Amani. Walaupun dia adalah
waris tunggal dan anak kandung Tuan Idrus, namun Tuan Idrus kelihatannya lebih
mempercayai kemampuan Amani berbanding dirinya sendiri. Kerana jauh hati dengan
sikap Tuan Idrus, dia membawa diri ke bandar. Dia mahu berdikari dan
membuktikan yang dia juga boleh berjaya seperti Amani.
Tetapi belum sampai dua
bulan sahaja dia menginap sendirian di bandar, dia merasa tewas untuk mengejar
cita-citanya sendiri. Segala kemewahan yang sudah Tuan Idrus sediakan,
digunakan dengan sewenang-wenangnya.
Kelmarin, Tuan Idrus
menghubunginya. Tuan Idrus sangat marah apabila bil kad kredit yang digunakan
melambung tinggi. Kerana itu dia datang ke mari apabila mendapat tahu kehadiran
Amani di sini. Hanya Amani yang bisa membantunya sekarang.
Tania mencebikkan wajahnya
apabila melihat Amani yang langsung tidak mengambil peduli dengan kehadirannya
di situ. Matanya menyoroti langkah Amani yang menghampiri salah seorang pengunjung
di situ dan berbual seketika dengannya. Kelihatannya pengunjung itu begitu
berminat dengan salah satu lukisan yang dilukis Amani. Amani pula kelihatan
bersungguh-sungguh menerangkan sesuatu kepada pengunjung itu.
Setelah pengunjung itu
bersetuju untuk membeli lukisan yang dilukis Amani, Amani memanggil salah
seorang pekerjanya agar melayan pengunjung tersebut dan dia kembali berjalan
dan memerhatikan lukisan yang lain. Dia berlagak seolah-olah kelibat Tania
tiada di situ.
“Kakak!” Tania mengeraskan
sedikit suaranya. Namun tidak terlalu kuat agar dirinya tidak menjadi
perhatian. Amani masih dingin dan berpura-pura tidak mendengar panggilan Tania.
Tania mendengus perlahan lalu mendekati Amani dengan sebal.
“Kakak sengaja, kan?” Desah
nafas Tania kuat menahan rasa marah.
Amani menghentikan
langkahnya lalu berpaling memandang wajah Tania dengan pandangan kurang senang.
Namun dia langsung tidak bersuara. Hanya pandangan mata kurang senang
dilemparkan untuk Tania. Wajah manja Tania yang masam itu dipandangnya
“Lukisan tu langsung tak
menarik. Apa yang saya lihat cuma contengan semata-mata.” Tania menerangkan pendapatnya
sekaligus memberikan komen negatif pada hasil kerja Amani.
“Apa yang kau faham tentang
lukisan? Kau tak pernah faham apa-apa.” Kata Amani dengan nada sindiran. Dia
mengalihkan pandangannya dari melihat Tania.
Kedengaran tawa sinis Tania.
Tania bergerak dua langkah ke hadapan. Ini membuatkan dia berdiri selari dengan
Amani. Tetapi wajah itu tidak dipandangnya. Sengaja dia membuang pandangannya
ke lukisan yang tergantung di depannya.
“Macam-macam yang saya dah
belajar tentang lukisan. Abang Izz yang ajar saya tentang semua ni.” Ujar Tania.
Seraya dengan itu pandangannya beralih memandang Amani. Tania sengaja berbohong
untuk menyakitkan hati Amani. Dia tidak pernah dan tidak minat untuk mengetahui
tentang lukisan. Malah Izz juga sudah lama tidak ditemui. Sengaja dia menyebut
nama itu untuk melihat reaksi Amani.
Mendengar sahaja nama Izz
disebut, pantas mata Amani kembali menangkap wajah Tania. Izz? Sudah lama dia
tidak mendengar nama itu. Lapan tahun lamanya nama itu berkubur dari
pendengarannya. Kenapa tiba-tiba hari ini nama itu kedengaran lagi? Itu pun
dari Tania? Apakah selama ini Izz menghubungi Tania?
Tania menoleh pada Amani
yang berdiri di kanannya. Mata Amani masih melekat di wajahnya. Dia cuba
membaca reaksi Amani. Tiada satu suara yang kedengaran dari bibir Amani. Amani
masih diam dan kaku seperti tadi. Apa yang bermain di fikiran Amani? Wajah itu
masih kelihatan dingin dan kaku seperti selalu. Reaksi yang diharap-harapkan
dari Amani tidak langsung kelihatan. Amani sentiasa tegang, dingin dan kaku.
Entah apa yang tersirat di balik sikap dinginnya itu.
Amani kembali menjeling
lukisan di depannya. Pandangan Tania tidak dipedulikan lagi. Dia perlu lupakan
Izz sebagaimana Izz melupakannya. Malah Izz sudah tiada dalam hidupnya sejak
lapan tahun lalu. Itu yang cuba ditanamnya. Namun hakikat sebenarnya dia tidak
mampu melupakan Izz.
“Kenapa? Kakak dah lupakan Abang
Izz? Sejak Abang Izz pergi, dia tidak pernah lupakan saya. Dia sentiasa hubungi
saya. Saya tak sangka kakak boleh lupakan dia. Atau, dia tak pernah hubungi
kakak?” Tania masih cuba untuk bermain dengan perasaan Amani.
Pedih hati Amani mendengar
pertanyaan Tania. Namun dia tetap berlagak biasa. Dia tidak suka menunjukkan
perasaannya kepada orang lain. Dia sudah terbiasa begitu. Baginya, perasaan
orang lain juga tidak perlu di ambil tahu. Masing-masing hanya perlu menjaga
perasaan sendiri.
Namun hakikatnya, hati Amani
yang pernah terluka dahulu berdarah kembali. Izz meninggalkannya tanpa berita. Sedangkan
Izz masih terus menghubungi Tania. Izz telah membuktikan kepercayaannya selama
ini benar iaitu kasih sayang dan cinta tidak pernah wujud. Kasih sayang hanyalah
suatu penderitaan. Pemergian Izz membuktikan semua pendapatnya tentang kasih
sayang dan cinta adalah benar sama sekali.
Ternganga sedikit mulut
Tania apabila tiada apa-apa reaksi yang ditunjukkan Amani. Tidak terdetik
langsungkah perasaan Amani dengan kata-katanya? Bukankah Amani punya hubungan
yang istimewa dengan Izz? Tak mungkin Amani bisa melupakan Izz dengan begitu
mudah. Sedangkan dia sendiri tak pernah melupakan lelaki itu. Dia tidak pernah
melupakan segala peristiwa yang berlaku.
Sejak Izz pergi lapan tahun
lalu, tiada seorang pun yang tahu tentang khabarnya temasuklah Tania sendiri.
Sengaja dia berkata begitu untuk menyakiti hati Amani. Tetapi Amani, dia begitu
kosong. Tiada perasaankah perempuan itu? Amani tetap seperti selalu. Dingin,
kaku dan beku! Hatinya pula yang terasa sakit melihat Amani yang kelihatan
biasa begitu. Dia sentiasa merasa kalah dengan Amani.
Tanpa
sebarang bicara dan reaksi yang ditunjukkan, Amani melangkah pergi.
"Kakak!" Tania
mengekori langkah Amani. "Kakak kena tolong Tania!" Persoalan tentang
Izz terus hilang.
Amani menghentikan
langkahnya dan menoleh ke belakang, memandang pada wajah Tania yang sudah
berubah seakan meraih simpati darinya. Bukan dia tak tahu apa yang dilakukan
Tania hingga menyebabkan Tuan Idrus marah. Tania perlu belajar menerima hukuman
di atas kesalahannya sendiri. Amani berpusing dan berjalan semula meninggalkan
Tania. Dia menghampiri salah seorang pekerjanya dan memberitahu bahawa dia mahu
pulang dan meminta mereka menutup galeri ini tepat pada waktunya.
"Kakak!" Tania
berlari-lari anak membontoti langkah Amani.
Amani melajukan langkahnya
menuju ke kereta.
"Kakak, tolonglah
Tania, kak.” Rayu Tania. Kali ini tangan Amani ditariknya. "Tania lakukan semua
ni sebab kakak, sebab mama." Tania meluahkan perasaannya yang terpendam.
Air matanya bergenang.
Amani buat endah tidak
endah.
"Kakak sikit pun tak
hargai apa yang Tania lakukan. Kakak memang kejam!" Dia memang dia salah
kerana mengambil kesempatan atas kemewahan yang Tuan Idrus sediakan. Namun bukan
semua wang yang dibelanjakan untuk dirinya sahaja. Malah dia sering berbelanja
untuk Zaiton dan Amani.
"Jangan salahkan orang
lain pada kesalahan sendiri." Tegas Amani.
"Tania tak bohong.
Tania berbelanja untuk mama, untuk kakak." Tania bersuara sayu.
“Mak yang suruh kau buat
macam tu?” Tanya Amani. Sudah menjadi kebiasaan, Amani akan memanggil ‘mak’
pada Zaiton, ibu kandung Amani dan Tania akan memanggil ‘mama’.
Tania menggeleng sambil
tertunduk.
Amani memandang wajah muram
itu. Dia tahu, Tania akan lakukan apa sahaja untuk melihat Zaiton gembira,
untuk membuat Zaiton memberi perhatian padanya. Hanya Zaiton yang suka
mengambil kesempatan atas kebaikan dan kepolosan hati Tania. "Kau percaya
pada Tuhan, kan?" Tanya Amani.
Tania mengangguk dan terus tertunduk.
Dia tidak berani mengangkat wajah dan bertentang mata dengan Amani.
"Kalau kau percaya pada
Tuhan tentu kau adalah manusia yang mempunyai akal. Gunakan akal kau. Jangan
sampai dipergunakan orang." Amani membuka pintu kereta. "Masuk!"
Arahnya. Tania mengikut arahan Amani dan masuk ke dalam kereta. Amani terus
memandu laju.
"Kakak, tolonglah pujuk
papa. Tania janji, Tania takkan buat lagi. Kalau Tania nak apa-apa, Tania akan
berterus terang pada papa.” Rayu Tania lagi.
“Kenapa sebelum kau buat,
kau tak fikir macam tu?”
Tania tertunduk membisu.
"Mak yang suruh kau beli
semua barang-barang tu?" Sekali lagi Amani bertanya.
Tania tetap menggelengkan
kepalanya. “Mama tak pernah suruh Tania buat macam tu. Tania buat macam tu
sebab Tania tahu mama suka dengan barang-barang berjenama. Tania cuma nak mama
gembira. Tania berbelanja untuk kakak juga. Tania cuma nak kakak suka dengan
hadiah-hadiah yang Tania beli.” Tania bersuara perlahan.
“Aku tak pernah suruh kau
buat macam tu.” Amani memandangnya sekilas. Sangkaannya langsung tidak meleset.
Tania terlalu terpengaruh dengan Zaiton sehingga sanggup melakukan apa saja
asalkan Zaiton memberikan perhatian kepadanya. Betapa bodoh dan polosnya Tania.
Tania tetap Tania yang dahulu. Sikit pun tidak berubah. Kerana kebodohannya
ini, dirinya sendiri ditimpa masalah. "Sampai bila kau baru nak sedar dari
kebodohan kau?" Tempik Amani.
“Apa maksud kakak?” Tania
mula tidak berpuas hati dengan kata-kata Amani.
“Kalau kau nak
berdikari bukan ini caranya. Di mana pun kau tinggal, walaupun di Syurga Ilham
Hati kau masih boleh berdikari. Untuk berdikari, tak semestinya kau perlu jauh
dari keluarga kau.”
Tania mengeluh.
“Tania tahu Tania salah.” Tania tersandar ke belakang.
Amani menggigit
bibir bawah. Mahu diomelnya juga tidak guna kerana perkara itu telah pun
berlaku. Namun dia tahu, marah Tuan Idrus tak ke mana. Kesalahan Tania pasti
dimaafkan.
No comments:
Post a Comment