Suara azan mula bergema memecah kesunyian subuh
yang dingin. Mendengar suara azan yang mendayu itu membuatkan mata Amani
terbuka luas. Jiwanya meruntun hiba.
Amani bingkas bangun dan duduk di atas lantai,
tempat perbaringannya sambil memeluk lututnya. Dia memejam matanya rapat sambil
meletakkan dahinya di atas kepala lutut. Pertama kali dalam hidupnya, dia
mendengar suara azan sebegini jelas dan kuat. Suatu perasaan yang tenang dan
damai dirasakan. Sebaik sahaja azan habis berkumandang, Amani bingkas bangun daripada
duduknya.
Pagi ini adalah pagi pertama Amani di Syurga
Ilham Hati. Pagi-pagi lagi dia sudah terbangun seperti selalu. Namun,
suasana pagi ini begitu berlainan sekali. Biasanya setiap pagi dia akan terjaga
apabila mendengar suara Jalil yang sedang mabuk baru pulang ke rumah. Kemudian,
akan kedengaran suara Zaiton yang memarahi abangnya. Dan seperti biasa, mereka
berdua akan bertengkar.
-------@@------
HARGA
Jom ikuti sambungan STS
-------@@------
Dapatkan novel SENYUM TANDA SUKA
Klik link ini ==> (Novel ER)
HARGA
SEMENANJUNG : RM 27.00
SABAH/SARAWAK : RM 30.00
Nak baca dulu novel-novel ER, boleh klik sini ya
Jom ikuti sambungan STS
-------@@-------
Setelah Zaiton ke pasar, barulah suasana akan tenang
seketika. Waktu itu akan kedengaran suara Jalil yang masih mabuk itu akan
menengking anak tirinya, Hafiz agar bangun untuk ke sekolah. Kasihan Hafiz. Dalam
usia yang begitu muda dia sudah perlu menguruskan dirinya sendiri. Tapi Hafiz
seorang kanak-kanak yang cekal. Dalam usianya yang baru menjangkau 12
tahun, Hafiz sudah pandai mencari wang. Malah, ada kalanya dia
yang perlu menguruskan ayah tirinyanya yang kaki botol itu.
Walaupun dia sudah tidak bisa berkongsi suka
dukanya dengan Hafiz, namun dia yakin Hafiz akan mampu untuk hidup berdikari
tanpanya. Suatu hari nanti, mereka pasti berjumpa semula. Hafiz telah berjanji kepadanya
sebelum dia meninggalkan rumah Jalil bahawa apabila dia dewasa kelak, dia akan
mencari Amani.
Amani bangun dan menuju ke jendela. Malam tadi,
dia ada membasuh bajunya dan menjemur di situ. Harap-harap bajunya sudah
kering. Tak banyak pakaian yang dibawa, hanya tiga persalinan. Ada keluhan
dilepaskan apabila memegang pakaian yang dijemur masih lagi lembap dan basah.
Amani membuka beg galasnya dan mengambil pakaian yang terakhir lalu menuju ke
kamar mandi.
Usai membersihkan diri dan membasuh pakaian yang
dipakainya malam tadi, dia menjemur di sebelah pakaian yang satu
lagi. Kemudian, dia berjalan keluar dari rumah besar itu. Rumah itu sudah terang-benderang walaupun baru jam 6.30 minit pagi.
Amani mencari-cari kelibat orang lain yang mungkin berada di sekitarnya.
Aneh! Tiada satu kelibat pun yang kelihatan.
Tiada Tania, Izz mahupun Tuan Idrus. Amani membawa diri ke halaman,
mendongak ke dada langit yang kelam. Bulan dan bintang malam tadi masih ada di
angkasa.
“Amani.” Kedengaran suara Tania menegurnya.
Amani menoleh. Kelihatan kelibat Tania yang
sudah bersiap dengan pakaian seragam sekolahnya. Tania beruntung kerana masih
bersekolah, sedangkan dia? Alam persekolahan sudah hilang daripada kamus hidupnya. Namun itu semua tidak penting buat masa
ini. Yang penting sekarang, dia perlu melunaskan hutangnya kepada Tuan Idrus
dahulu. Perkara yang lain akan difikirkan kemudian.
“Awak
dah bangun?” Tania membuka bicara.
Amani menjeling kepada Tania lalu
berpaling ke tempat lain. Budak perempuan ini ke sekolah, tapi ilmu apa yang
dipelajarinya sehingga bertanya soalan yang tidak sepatutnya? getus hati
kecil Amani.
“Awak
nak bersarapan?” tanya Tania lagi.
Soalan itu juga dibiarkan berlalu sepi oleh
Amani. Amani berlagak seolah-olah dia hanya bersendirian di situ.
Tania
mula merasa kesal. Namun, sedaya upaya dibiarkan sahaja perlakuan Amani agar
tidak masuk ke hatinya.
“Awak
nak solat?” tanya Tania lagi.
Solat? Pantas Amani memandang Tania. Kali ini Tania
sudah mendapat perhatiannya. Dia tidak pernah bersolat. Dia tidak tahu
bagaimana untuk bersolat. Azan yang berkumandang bagaikan terngiang-ngiang di telinganya. Dia ingin mendengar suara azan yang
mendayu-dayu itu lagi. Dia merasa terpanggil untuk bersolat. Tapi, bagaimana
caranya?
Tania mengukirkan senyuman.
“Kalau
Amani nak bersolat, Amani boleh ke ruang depan. Ruang depan tu adalah ruang
solat. Kalau Amani nak solat di bilik saja pun boleh.” Jari telunjuk Tania menuding ke arah ruang yang dimaksudkan.
“Tania,
Abang Izz dan papa baru sahaja lepas bersolat. Biasanya, kalau papa dan Abang Izz
tak ke surau di kampung, Tania akan berjemaah dengan mereka.” Tania cuba
mengajak Amani berbicara. Sayangnya, Amani masih juga membisu.
“Pergilah. Di sana ada telekung. Amani boleh
guna.”
“Siapa
yang azan tadi?”
“Azan?”
“Ya. Saya dengar suara orang azan dalam rumah
ni.”
“Biasanya
kalau laungan azan dari surau di kampung, jarang sampai ke sini. Kalau awak ada
dengar suara azan, mungkin itu suara Abang Izz. Pagi tadi, Abang Izz yang
laungkan azan. Tak sangka pulak boleh dengar sampai ke bilik awak.” Senyuman
Tania semakin melebar apabila Amani sudah mahu bersuara. Nada yang digunakan
Amani juga tidak meninggi. Tidak seperti kelmarin, di mana dia hanya menerima
jelingan yang tajam dan kata-kata yang kasar.
Ini satu permulaan yang baik.
“Izz?”
Tania mengangguk. “Merdu kan suara Abang Izz?”
Tania sudah tersengih. Terasa seperti Amani
sedang memuji suara Izz daripada soalannya.
Amani tidak membalas soalan Tania. Dia berpaling
semula ke tempat lain.
“Awak
nak bersolat?” Tania bertanya soalan itu kembali apabila Amani
sudah membuka langkah untuk pergi. Tanpa menjawab apa-apa
Amani terus berlalu.
Tania hanya memandang langkah Amani dengan
keluhan bersama gelengan kepala. Mungkin dia terlalu awal membuat penilaian
terhadap Amani. Tania bergerak pergi. Pagi ini dia akan ke sekolah bersama Pak
Bakar. Pak Bakar tentu sudah siap menunggunya di Gerbang Ilham Hati.
Amani menghentikan langkahnya apabila tiba di
depan Kamar Ilham. Kamar Ilham masih gelap. Bermakna, Tuan Idrus tiada di situ.
Di mana harus dia mencari Tuan Idrus! Hari ini, dia perlu mula bekerja untuk membayar
hutangnya. Dia mahu membayar hutangnya dengan segera dan terus meninggalkan
tempat ini.
“Assalamualaikum,” sapa
satu suara.
Mendengar suara itu, Amani telah tahu
gerangannya. Amani berpaling memandang Izz yang sudah berdiri di belakangnya
bersama senyuman yang terukir di bibir. Senyuman yang dihulurkan Izz dibalas
dengan jelingan oleh Amani. Dia menoleh ke depan semula, memandang pada Kamar
Ilham.
Kepala Izz tergeleng melihat sikap Amani. “Awak
tunggu Tuan Idrus? Tuan Idrus masih di dalam ruang solat. Bila dia selesai
menyudahkan hubungannya dengan Allah, dia akan berjumpa dengan awak.”
Amani menoleh kepada Izz
semula. Wajah lelaki itu dipandang. Wajah Izz kelihatan bersih dan berseri. Dengan
memakai kopiah putih, baju Melayu putih bersama kain pelekat,
lelaki itu nampak tenang jika dipandang terus begitu. Satu perasaan damai
memutik dalam hati Amani.
“Apa
yang awak nampak?”
Amani terkaku dengan soalan Izz. Dia berpaling
semula ke tempat lain. Terasa wajahnya panas dan memerah. Mujurlah langit masih
kelam. Jika tidak, pasti wajahnya yang merah dapat dilihat dengan jelas.
“Awak
pandang saya seolah-olah awak dapat membaca perasaan saya. Apa yang awak nampak?” Izz
bertanya lagi sekadar untuk mengusik gadis di depannya.
Amani mendengus halus. Dia berpusing mahu pergi
namun langkahnya terhenti semula. Dia memandang Izz kembali.
“Saya
tak larikan diri, kan?” Sinis sekali dia menuturkan kata.
“Terima
kasih sebab awak kotakan janji awak.” Izz ketawa kecil.
Amani memusing semula tubuhnya untuk meneruskan
langkah.
“Awak
nak ke mana?” Izz berjalan mendekati Amani dan berdiri di hadapannya. “Jadual
awak yang pertama untuk hari ini ialah sarapan bersama Tuan Idrus dan saya.
Awak pergi dan tunggu kami di ruang makan. Sekejap lagi saya dan Tuan Idrus
akan menyusul.”
“Siapa
awak nak mengarah saya?”
“Kenapa? Awak tak mahu terima arahan daripada
saya?” Izz agak terkejut dengan soalan itu.
“Saya
hanya terima arahan daripada Tuan Idrus.”
“Saya
juga terima arahan daripada Tuan Idrus.”
Kening Amani terjongket sedikit. Bibirnya
semakin ditarik kelat.
“Saya
diberi tugas oleh Tuan Idrus untuk menguruskan awak.” Satu senyuman
dilemparkan Izz buat Amani.
Seperti biasa, Amani membalasnya dengan
jelingan.
“Jaga-jaga.
Saya akan sentiasa perhatikan awak!” ugut Izz. Tapi itu hanyalah gurauan. Entah
kenapa dia merasa sangat suka untuk mengusik gadis yang sentiasa tegang dan
dingin ini.
Amani mengerling Izz dengan tajam. Izz masih terus tersenyum
sehingga membuatkan Amani berpaling ke tempat lain. Ada sesuatu yang mula
terasa dalam hatinya. Kenapa pandangan tajammya dibalas dengan
senyuman oleh Izz? Sepatutnya lelaki itu menunjukkan kebencian kepadanya.
Dek merasa tidak betah untuk berhadapan dengan lelaki itu, sekali
lagi Amani memusingkan tubuhnya untuk pergi. Namun, tiba-tiba sahaja lengannya
dipegang Izz. Sepantas kilat matanya menikam wajah Izz.
“Berani awak?!” Wajah Amani berubah.
“Awak
marah sebab saya pegang awak? Jangan risau, wuduk saya tidak batal. Awak kan
berlengan panjang.” Matanya dilirikkan pada lengan baju Amani yang panjang.
Gadis ini tahukah tentang halal haram? Sedangkan menjawab salamnya
sahaja tidak.
“Lepaskan!”
“Awak
nak pergi? Baiklah. Assalamualaikum.”
Amani menarik lengannya dengan kasar. Semakin
kasar cuba dia menarik lengannya, semakin kuat Izz menggenggam lengannya
sehingga sakit dirasakan.
“Assalamualaikum.
Awak tahu tak yang memberi salam itu sunat, tetapi menjawabnya adalah wajib? Kalau awak tak tahu, anggap saja ini pelajaran awak yang
pertama untuk hari ini. Kalau awak nak saya lepaskan awak, jawab salam saya!” tegas
Izz dan kali ini dia tidak main-main.
Amani cuba menarik tangannya lagi. Setelah
merasakan dia tidak berupaya melawan kekuatan Izz, lantas dia berhenti daripada
memberontak. Dengan rasa berat hati, akhirnya dia menunaikan keinginan Izz.
“Waalaikumussalam,”
jawabnya dengan perlahan tanpa
memandang wajah Izz.
Izz tersenyum puas. Lengan Amani dilepaskan. Amani
memang degil. Mungkin dengan cara yang kasar begini sahaja mampu melembutkannya.
Amani memegang lengannya yang sakit.
“Lepas ni, saya harap awak akan belajar menjawab
salam dengan lebih ikhlas daripada hati awak,” tegas Izz.
Amani hanya menjeling sambil mengurut lengannya.
“Pergi ke ruang makan. Mak Eton dan Kak Min dah
siapkan sarapan untuk kita. Sekejap lagi saya datang.” Izz berlalu
pergi.
Amani menghantar langkah Izz dengan jelingannya.
Lengan kanannya yang sakit dipicit-picit. Dia berjalan dan duduk di bangku yang terdapat di tengah taman kecil yang terletak di hadapan Kamar Ilham.
Amani menyelak lengan bajunya yang panjang. Ada
kesan lebam pada lengannya.
“Amani,
kenapa ni?” Kebetulan, ketika Tuan Idrus keluar dari rumah dia melihat
Amani sedang memicit tangannya.
Dengan pantas Amani menurunkan kembali lengan
bajunya dan menutup semula lengannya yang terdedah.
“Tangan
kamu sakit?” Ada riak kerisauan terlukis pada wajah itu.
Tiada reaksi yang diterima daripada
Amani. Tuan Idrus menarik nafas panjang apabila soalannya tidak bersambut. Satu
dengusan kehampaan kedengaran.
“Marilah.
Kita sarapan bersama.” Tuan Idrus bergerak pergi dan Amani mengekori di
belakang.
Hidangan sudah siap terhidang di atas meja.
Melihat kelibat Tuan Idrus, lantas Mak Eton dan Min terus mencedok nasi dan menuang secawan kopi panas buatnya. Amani
dibiarkan mengambil hidangannya sendiri.
“Tania
dah sarapan sebelum ke sekolah?”
tanya Tuan Idrus.
“Dah,
tuan. Hari ni Tania ke sekolah lebih awal sebab dia bertugas untuk membersihkan
bilik darjah,” terang Mak Eton.
Terangguk-angguk kepala Tuan Idrus. Sekilas dia
melirik kepada Amani yang telah pun menjamah hidangannya.
Kasihan Amani, sepatutnya dia juga ke sekolah seperti Tania.
Seketika kemudian, kelibat Izz pula muncul.
“Assalamualaikum.” Izz menyapa.
“Waalaikumussalam. Mari duduk Izz.” Tuan Idrus
memanggil dengan anggukan kepala.
Izz mengambil tempat duduk bertentangan dengan
Amani. Walaupun sudah bertahun lamanya Izz tinggal di Syurga Ilham Hati, namun
layanan Tuan Idrus tidak pernah berkurang. Ada kalanya dia
terasa malu apabila dilayan terlalu baik.
Izz mengerling Amani yang tidak menjawab
salamnya. Malah, gadis itu mendahului mereka bersarapan tanpa
menunggu untuk berdoa. Ternyata, Amani juga sedang mengerling kepadanya.
Mungkin Amani sengaja mahu melihat reaksinya apabila salam yang diberikan tidak
bersambut.
Tuan Idrus memberi isyarat kepada Izz untuk
membacakan doa. Mereka menadah tangan dan doa pun dibaca oleh Izz.
Dengan tak semena-mena Amani terhenti daripada
mengunyah roti bakarnya apabila mendengar doa yang dibacakan Izz. Walaupun dia
tidak ikut menadah tangan, namun dia menunggu sehingga mereka selesai berdoa
barulah dia kembali menjamah semula hidangannya.
--------------@@--------------
--------------@@--------------
SALAM CERIA - EMMA RUSDI
--------------@@--------------
--------------@@--------------
No comments:
Post a Comment