Kamu Yang Istimewa

Rabu, 23 Mei 2012

Iham Hati 5







"ALLAHU AKHBAR...ALLAHU AKHBAR.... ALLAHU AKHBAR ALLAHU AKHBAR....." Suara azan mula bergema memecah kesunyian Subuh yang dingin. Mendengar suara azan yang mendayu itu membuatkan mata Amani terbuka luas. Jiwanya meruntun hiba. Amani bingkas bangun dan duduk di atas lantai, tempat perbaringannya sambil memeluk lututnya. Dia memejam matanya rapat. Pertama kali dalam hidupnya, dia mendengar suara azan sebegini jelas dan kuat. Suatu perasaan yang tenang dan damai dirasakan. Sebaik sahaja azan habis berkumandang, Amani bingkas bangun dari perbaringannya.

Pagi ini adalah pagi pertama Amani di Syurga Ilham Hati. Pagi-pagi lagi dia sudah terbangun seperti selalu. Namun suasana pagi ini begitu berlainan sekali. Biasanya setiap pagi dia akan terjaga apabila mendengar suara Pakcik Jalil yang sedang mabuk baru pulang ke rumah. Kemudian, akan kedengaran suara Mak yang memarahi abangnya. Dan seterusnya, seperti biasa, mereka berdua akan bertengkar.

Setelah Mak ke pasar, barulah suasana akan tenang seketika. Waktu itu akan kedengaran suara Pakcik Jalil yang masih mabuk itu akan menengking anaknya, Hafiz agar bangun untuk ke sekolah. Kasihan Hafiz, dalam usia yang begitu muda dia sudah perlu menguruskan dirinya sendiri. Tapi Hafiz seorang kanak-kanak yang cekal. Dalam usianya yang baru menjangkau dua belas tahun, Hafiz sangat pandai mencari wang dan menguruskan dirinya sendiri. Malah, adakalanya dia yang perlu menguruskan ayahnya yang kaki botol itu.

Walaupun dia dah tak dapat untuk berkongsi suka dukanya dengan Hafiz, tapi dia yakin, Hafiz akan mampu untuk hidup berdikari tanpanya. Suatu hari nanti, mereka pasti berjumpa semula. Hafiz telah berjanji padanya sebelum dia meninggalkan rumah Pakcik Jalil bahawa apabila dia dewasa kelak, dia akan mencari Amani.

Amani bangun dan menuju ke jendela. Malam tadi, dia ada membasuh bajunya dan menjemur di situ. Harap-harap bajunya sudah kering. Tak banyak pakaian yang dibawa, hanya tiga persalinan. Ada keluhan dilepaskan apabila memegang pakaian yang dijemur masih lagi lembap dan basah. Amani membuka beg galasnya dan mengambil pakaian yang terakhir lalu menuju ke kamar mandi.

Usai membersihkan diri dan membasuh pakaian yang dipakainya malam tadi, dia menjemur di sebelah pakaian yang satu lagi. Kemudian, dia berjalan keluar dari rumah besar itu. Rumah itu sudah terang benderang walaupun baru jam enam tiga puluh minit pagi. Amani mencari-cari kelibat orang lain yang mungkin berada di sekitarnya.

Aneh! Tiada satu kelibat pun yang kelihatan. Tiada Tania, Izz, mahupun Tuan Helmi. Amani membawa diri ke halaman, mendongak ke dada langit yang kelam. Bulan dan bintang malam tadi masih ada di angkasa.

"Amani," kedengaran suara Tania menegurnya.

Amani berpaling. Kelihatan kelibat Tania yang sudah bersiap dengan seragam sekolahnya. Tania beruntung kerana masih bisa bersekolah, sedangkan dia? Alam persekolahan sudah hilang dalam kamus hidupnya. Yang penting sekarang, dia perlu mentuntaskan hutangnya pada Tuan Helmi dahulu. Perkara yang lain akan difikirkan kemudian.

"Awak dah bangun?" tanya Tania membuka bicara.

Amani hanya menjeling. Budak perempuan ini ke sekolah, tapi ilmu apa yang dipelajarinya sehingga bertanya soalan yang tidak sepatutnya? Jika dia berdiri tegak di depan Tania sebegini, sudah pastilah dia sudah bangun! Amani menjeling pada Tania lalu berpaling ke tempat lain.

"Awak nak sarapan?" tanya Tania lagi.

Soalan itu juga di katakan berlalu oleh Amani. Amani berlagak seolah-olah dia hanya bersendirian di ditu.

Tania mula merasa cuak. Namun, sedaya upaya dibiarkan sahaja perlakuan Amani agar tidak masuk ke hatinya. "Awak nak solat?" tanya Tania lagi.

Solat? Mata Amani terus memandang Tania. Kali ini Tania sudah mendapat perhatiannya. Dia tidak pernah bersolat! Dia tidak tahu bagaimana untuk bersolat! Azan yang berkumandang, bagaikan terngiang-nganga di telinganya. Dia ingin mendengar suara azan yang mendayu-dayu itu lagi. Dia merasa terpanggil untuk bersolat. Tapi, bagaimana caranya?

Tania mengukir senyuman. Walaupun Amani tidak berkata apa-apa namun dia yakin Amani sedang memeberi perhatian padanya. "Kalau Amani nak bersolat, Amani boleh ke ruang depan. Ruang yang depan tu, memang untuk bersolat," ujar Tania sambil menunjukkan ruang di sebelah kanan di dalam rumah besar itu. "Tania, Izz dan papa baru sahaja lepas bersolat. Biasanya, Kalau papa dan Izz tak ke surau di kampung, Tania akan berjemaah dengan mereka,” terang Tania tanpa ditanya. “Pergilah, di sana ada telekung. Amani boleh guna.”

"Siapa yang azan tadi?" tanya Amani. Tiba-tiba sahaja dia teringat tentang azan yang berkumandang. Suara azan tadi seakan tidak memakai pembesar suara. Bagaikan ianya hanya berdekatan di sini.



"Azan?" Tania berfikir seketika. "Biasanya kalau laungan azan di surau di dalam kampung, takkan sampai ke sini." Tania berfikir lagi. "Kalau awak ada dengar suara azan, mungkin itu suara Izz. Pagi tadi, Izz yang laungkan azan. Tak sangka pulak boleh dengar sampai ke bilik awak." Tania sudah tersenyum. Akhirnya, Amani mahu bersuara juga. Nada yang digunakan Amani juga tidak meninggi. Tidak seperti kelmarin, di mana dia hanya menerima jelingan yang tajam dan kata-kata yang kasar. Ini satu permulaan yang baik.

Izz? Izz yang mengalunkan azan? Suaranya sungguh merdu dan sangat sayu kedengaran di telinga. Mungkin benar kata Tania, itu suara Izz. Dia pernah mendengar Izz mengalunkan lagu bersama gitarnya. Suara Izz memang merdu.

"Awak nak bersolat?" tanya Tania kembali.

Tanpa menjawap apa-apa Amani terus berlalu. Tania hanya memandang langkah Amani dengan keluhan bersama gelengan kepala. Mungkin dia terlalu awal membuat penilaian pada Amani. Tania berlalu keluar. Pagi ini dia akan ke sekolah bersama Pak Bakar. Pak Bakar tentu sudah siap menunggunya di gerbang Ilham Hati.

Amani menghentikan langkahnya apabila tiba di depan Kamar Ilham. kamar Ilham masih gelap. Bermakna, Tuan Helmi tak ada di situ. Di mana harus dia mencari Tuan Helmi? Pagi ini, Tuan Helmi patut memberikannya kerja. Dia mahu membayar hutangnya dengan segera dan terus meninggalkan tempat ini.



"Assalamualaikum....." sapa satu suara.

Mendengar suara itu, Amani telah tahu gerangannya. Amani berpaling memandang Izz yang sudah berdiri di belakangnya bersama senyumannya. Senyuman yang dihulurkan Izz dibalas dengan jelingan oleh Amani. Dia menoleh ke depan semula, memandang pada Kamar Ilham.

Izz menggelengkan kepala apabila salamnya bersambut dengan jelingan Amani. "Awak tunggu Tuan Helmi? Tuan Helmi masih di dalam ruang solat. Bila dia selesai menyudahkan hubungannya dengan Allah, dia akan berjumpa dengan awak."

Amani menoleh pada Izz semula. Wajah lelaki itu dipandangnya. Izz kelihatan bersih dan berseri. Dengan memakai kopiah putih, baju Melayu putih bersama kain pelikat, lelaki itu nampak tenang jika dipandang terus begitu. Satu perasaan damai memutik dalam hati Amani.

"Apa yang awak nampak?" tanya Izz tiba-tiba hingga membuatkan Amani menjungkitkan keningnya. "Awak pandang saya seolah-olah awak dapat membaca dari wajah saya. Apa yang awak nampak?" Izz bertanya lagi sekadar mengusik gadis di depannya.

Amani menjelingnya dengan tajam. Dia berpusing mahu pergi namun langkahnya terhenti semula. Dia memandang Izz kembali. "Saya tak larikan diri, kan?" tanya Amani dengan penuh sinis.

Izz ketawa kecil. "Terima kasih sebab awak kotakan janji awak," ujar Izz.

Selepas Izz berkata begitu, Amani memusing tubuhnya untuk pergi.

"Awak nak ke mana?" soal Izz menyebabkan Amani tidak jadi untuk melangkah. "Jadual awak yang pertama untuk hari ini, sarapan bersama Tuan Helmi dan saya. Awak pergi dulu ke ruang dapur. Sekejap lagi saya dan Tuan Helmi akan menyusul."

Amani menoleh, memandang Izz dengan sinis. "Siapa awak nak mengarah saya?" tanya Amani. Dia tidak suka Izz bertindak begitu. Izz bukan sesiapa di sini. Dia hanya anak angkat Tuan Helmi. Tania sendiri tidak berani mengarahkannya. "Saya hanya terima arahan dari Tuan Helmi!" tegas Amani

"Saya juga terima arahan dari Tuan Helmi," ujar Izz. "Saya diberi tugas oleh Tuan Helmi untuk menguruskan awak." Satu senyuman dilemparkan buat Amani. Seperti biasa, Amani membalasnya dengan jelingan. Izz mendekati Amani. "Jaga-jaga! Saya akan sentiasa perhatikan awak!" ugut Izz. Tapi itu hanyalah gurauan. Entah kenapa dia merasa sangat suka untuk mengusik gadis yang sentiasa tegang dan dingin ini.

Amani memandang Izz dengan tajam. Dadanya sudah berombak melihat Izz. Tetapi Izz terus tersenyum sehingga membuatkan Amani berpaling ke tempat lain. Ada sesuatu yang mula terasa di dalam hatinya. Kenapa pandangan tajammya dibalas dengan senyuman oleh Izz? Sepatutnya lelaki itu menunjukkan kebencian padanya!

Dek kerana rasa tidak betah untuk berhadapan dengan lelaki itu, Sekali lagi Amani memusingkan tubuhnya untuk pergi. Namun, tiba-tiba sahaja lengannya dipegang Izz. Sepantas kilat matanya menikam wajah Izz. Biadap! Izz memang biadap! Wajah Amani berubah.

"Awak marah sebab saya pegang awak?" tanya Izz bagaikan merasai kemarahan Amani. "Jangan risau, wuduk saya tidak batal. Awak, kan berlengan panjang," usik Izz lagi. Gadis ini tahukah tentang haram halal, sedangkan menjawap salamnya sahaja tidak! "Awak nak pergi? Jadi, Assalamualaikum...."

Amani menarik lengannya dengan kasar. Semakin kasar cuba dia menarik lengannya, semakin kuat Izz menggenggam lengannya sehingga sakit dirasakan.

"Assalamualaikum.... Awak tahu, memberi salam itu sunat, tapi menjawabnya adalah wajib. Kalau awak tak tahu, anggap saja ini pelajaran awak yang pertama untuk, hari ini. Kalau awak nak saya lepaskan awak, jawab salam saya!" tegas Izz dan kali ini dia tidak main-main.

Amani cuba menarik tangannya lagi. Setelah merasakan dia tidak berupaya melawan kekuatan Izz, lantas dia berhenti dari memberontak. Dengan rasa berat hati, akhirnya dia menunaikan keinginan Izz. "Waalaikummussalam," jawabnya perlahan tanpa memandang wajah Izz.

Izz tersenyum. Amani memang degil. Mungkin dengan cara yang kasar begini saja mampu melembutkannya. Izz melepaskan Amani. Amani memegang lengannya yang sakit. "Selepas ni, saya harap awak akan belajar menjawab salam dengan lebih ikhlas dari hati awak," ujar Izz."Pergi ke ruang makan. Mak Eton dan Kak Min dah siapkan sarapan untuk kita. Sekejap lagi saya datang." Izz berlalu pergi.

Amani menghantar langkah Izz dengan jelingannya! Lengan kanannya yang sakit, dipicit-picit. Genggaman tangan Izz yang kuat dicampurkan dengan rontaannya yang mahukan Izz melepaskannya telah menambahkan kesakitan di lengan. Amani menyelak lengan bajunya yang panjang. Memang sakit! Dia berjalan dan duduk di bangku di yang terdapat di tengah Syurga Ilham Hati sambil memicit-micit lengannya.



"Amani...." panggil satu suara. "Kenapa ni?" tanya Tuan Helmi yang sudah mendekatinya. Kelihatannya Amani sedang memicit tangannya. "Tangan kamu sakit?"

Amani menurunkan kembali lengan bajunya dan hanya membuang pandangannya pada Tuan Helmi tanpa menjawap satu pun soalan Tuan Helmi.

"Mari! Kita makan!" ajak Tuan Helmi apabila merasakan yang Amani takkan memberitahu apa-apa padanya. Tuan Helmi mendahului Amani berjalan ke ruang makan.

Sampai sahaja di ruang makan, hidangan sudah siapa disediakan di atas meja. Melihat kelibat Tuan Helmi, lantas Mak Eton dan Kak Min terus menyedok nasi dan menuang air buat Tuan Helmi. Amani dibiarkan mengambil hidangannya sendiri.

"Tania dah sarapan?" tanya Tuan Helmi pada Mak Eton apabila teringatkan anak manjanya itu.

"Dah, tuan! Hari ni, Tania ke sekolah lebih awal sebab hari ni tugas dia untuk membersihkan bilik darjah," terang Mak Eton.

Terangguk-angguk kepala Tuan Helmi. Sekilas dia melirik pada Amani yang telah pun menjamah hidangannya. Kasihan Amani, sepatutnya dia ke sekolah sama seperti Amani.

Seketika kemudian, kelibat Izz pula muncul. Sekilas Amani membuang pandangan pada Izz. Izz duduk bersebelahan dengan Tuan Helmi.

"Izz, kamu ingat apa yang saya arahkan?" tanya Tuan Helmi.

Izz mengangguk. Segala arahan Tuan Helmi telah disetkan ke dalam mindanya. "Baik, tuan!"

Tuan Helmi menganggukkan kepalanya. Pandangannya dihalakan pula pada Amani yang hanya memberi perhatian pada hidangannya. "Amani, hari ini awak ikut Izz. Apa saja yang dia suruh awak lakukan, awak kena ikut," arah Tuan Helmi.

Amani melirik Tuan Helmi sekilas lalu memberi perhatian pada hidangannya semula. Kata-kata Tuan helmi bagaikan tidak masuk ke kepalanya walaupun pada hakikatnya dia telah menerima arahan itu.

Tuan Helmi kembali menjamah hidangannya apabila menerima reaksi negative dari Amani. Memang sukar untuk mendekati gadis ini!

Izz hanya tersenyum melihat reaksi Amani. Tiada seorang pun yang berani melakukan begitu pada Tuan Helmi. Bukan kerana Tuan Helmi garang, tetapi kerana Tuan Hlemi terlalu dihormati di sini. Baru pertama kali dia melihat orang yang bersikap dingin begitu pada Tuan Helmi.

Usai menyudahkan sarapan, mereka melangkah keluar dari ruang makan. Amani terus menuju ke halaman. Tuan Helmi dan Izz sedang berjalan beriringan.

"Izz, tolong tengokkan Amani. Jangan beri kerja yang terlalu berat untuk dia," ujar Tuan Helmi dengan nada berbisik. "Lagi satu, cuba hubungi Puan Zaiton. Mana tahu kalau dia nak datang sini dan jumpa Amani."

"Baik, tuan!" balas Izz. Tuan Helmi kemudiannya membawa diri ke Kamar Ilham.

Izz menghampiri Amani yang sedang menunggunya di halaman. "Jom! Kita ke Ilham Hati," Izz melangkah mendahului Amani.

Amani memandang pada suasan sekeliling yang sibuk di Ilham Hati. Beberapa pekerja lelaki sedang mengangkat kain-kain yang telah direndam dengan air panas untuk dijemur. Ada beberapa pekerja sedang merebus kain-kain yang telah dicelupkan dengan warna. Memang nampak sukat sekali kerja mereka.

Izz membawa Amani masuk ke dalam sebuah pondok besar yang sekan kilang. Mulanya, memang dia ingatkan tempat ini adalah kilang. Tetapi apabila melangkah ke dalam, kelihatan dua tentangan kain putih yang panjang. Beberapa orang pekerja yang berada ia sudut masing-masing sedang memegang berus dan mencorakkan warna-warna di atas kain mengikut warna dan corak yang ditetapkan.

"Kalau awak nak tahu, semua corak-corak di sini adalah hasil kreativiti Tuan Helmi sendiri. Sebab Itulah tempat ini dinamakan Ilhan Hati." Izz memandang Amani. "Semuanya ilham Tuan Helmi."

"Apa kerja saya?" Malas mahu memanjang cerita tentang Ilham Hati, Amani terus bertanyakan kerjanya. Sempat dia melirik jam ditangannya. Sudah hampir jam sepuluh tiga puluh minit pagi. “Awak dah banyak buang masa saya!”

Izz ketawa. Amani kelihatan tidak sabar untuk melakukan kerjanya. "Ini semua, bukan kerja awak."

Amani memandang Izz. Kalau semua ini buka kerja untuknya, kenapa di bawa ke sini? Hatinya semakin berombak dengan sikap Izz.

"Ikut saya! Kerja awak, di dalam stor," Izz membawa Amani ke sebuah lagi tempat seakan gudang. Tetapi tempat ini dipanggil stor oleh para pekerja di situ. "Dalam ni ada semua kain-kain kosong yang kita tempah dari kilang kain, dan juga kain-kain yang telah siap kita warnakan dan corakkan. Hujung sana, adalah kain putih." Izz menunjuk Pada bahagian kanan. "Yang sebelah sana pulak, adalah bahagian kain yang akan kita hantar pada pelanggan."

Izz membawa Amani ke bahagian kain yang akan dihantar kepada pelanggan. "Setiap corak telah dilabelkan dengan kod. Dalam buku ni….," Izz mengambil buku di dalam sebuah laci meja yang terdapat di situ. "…ada tempahan dari pelanggan. Di sini semua telah di catatkan nama syarikat dan tempahannya. Dalam buku ni pula," Izz mengambil satu lagi buku yang lain lalu menunjukkan pada Amani. "Ada contoh kain dan kodnya. Sekarang saya nak awak semak semua tempahan ni. Dalam setiap rak ni, mewakili satu nama syarikat yang ambil tempahan dari kita. Saya nak awak periksa setiap rak dan lihat sama ada semua tempahan telah cukup. Kalau lengkap, awak tulis lengkap dan Kalau masih belum cukup tempahannya, awak tulis kod apa yang kurang." Izz menyerahkan kedua-dua buku itu pada Amani. "Faham?"

Amani mencapai buku-buku itu. Dia melirik Izz seketika dan tanpa bicara, dia terus bergerak ke salah satu rak. Izz memandang Amani dengan senyuman di wajahnya, kemudian dia berlalu meninggalkan Amani sendirian.

Amani melakukan tugasan pertamanya tanpa melengahkan masa lagi. Setelah beberapa jam berlalu, dua dari rak tempahan telah berjaya diperiksa. Masih ada enam rak yang perlu diperiksa. Tangan kanannya yang banyak menggunakan pen mula terasa sakit. Amani kembali semula ke bahagian depan lalu duduk di kerusi yang ada di situ. Dia memicit-micit lengan tangannya yang mula terasa berdenyut. Amani menyelak lengan tangannya. Sudah ada kesan lebam di itu. Ini semua gara-gara Izz yang memegang tangannya terlalu kuat. Dan sakitnya bertambah apabila tangan yang sakit itu dipaksa menulis.

"Amani, kenapa dengan tangan awak?" Izz yang baru tiba bertanya padanya. Dia sempat melihat Amani sedang memicit tangannya.

Amani cepat-cepat menurunkan lengan tangan bajunya namun belum sempat menutup sepenuhnya, Izz pantas mencapai tangan Amani. Terkejut dia melihat lengan Amani yang ada kesan lebam. Sepantas kilat Amani menarik tangannya dengan kuat.

"Kenapa dengan tangan awak?" tanya Izz. Tak mungkin hanya dengan memberi kerja ringan sebegitu pada Amani boleh membuatkan tangannya lebam! Izz teringatkan semula kejadian pagi tadi ketika dia bersama Amani. "Saya yang buat tangan awak jadi macam tu?" tanya Izz.

Amani menjeling Izz dengan tajam. Sepatutnya Izz lebih tahu tentang itu! Izz sama saja dengan lelaki lain yang hanya tahu menggunakan kekuatan mereka untuk mencederakan wanita! Amani berlalu dari situ untuk menyambung semula tugasnya. Soalan Izz dibiarkan begitu sahaja.

Izz hanya memerhati tingkah Amani. Tentu dialah punca lengan Amani jadi begitu. Rasa bersalah mula terbit dalam hati. Izz terus bangun dan meluru keluar dari stor. Langkahnya di atur menuju ke Syurga Ilham Hati dengan niat mahu meminjam minyak urut dari Mak Eton. Belum sempat dia melangkah masuk ke dalam Syurga Ilham Hati, dia bertemu dengan Tania yang baru pulang dari sekolah.

"Tania dah balik," tegur Izz.

"Ada apa Abang Izz?" tanya Tania apabila melihat wajah Izz yang seakan kegelisahan.

"Saya nak minta tolong dengan Tania," ujarnya. Ada perasaan bersalah di situ kerana terpaksa menyusahkan Tania sedangkan Tania yang baru pulang dari sekolah. Pasti Tania keletihan. "Tangan Amani lebam. Boleh Tania tolong sapukan ubat pada tangan Amani?"

"Lebam?" terkejut Tania. "Macam mana boleh jadi macam tu?" Soalan Tania ini dibiarkan sahaja oleh Izz. "Macam mana dengan Amani?" tanya Tania lagi.

"Amani ada dalam gudang. Masih bekerja," ujar Izz.

"Masih bekerja?!" Tania sudah ternganga. "Kenapa Abang Izz biarkan dia bekerja lagi? Amani, kan tak sihat!" Tania dengan pantas meluru masuk ke dalam Syurga Ilham Hati. Dia terus menuju ke ruang dapur di mana ada sebuah bilik rawatan disediakan di situ. Terus dia mencapai kotak kecemasan dan meluru keluar.

Tania menuju ke gudang bersama kotak kecemasan di tangannya. Dia mencari-cari kelibat Amani. Akhirnya, dia melihat susuk tubuh itu di satu sudut tersorok sedang memicit tangannya. Dia menghampiri Amani. Tanpa berbicara apa-apa dia meletakkan kotak kecemasan di tepi. Dia mengeluarkan sebotol minyak.

Amani yang seakan dapat membaca tindakan Tania yang mahu menyapu minyak di tangannya, pantas merampas botol minyak itu. Dia menuang minyak di telapak tangan kirinya dan mengurut tangannya sendiri. Tania yang pada awalnya tergamam melihat Amani, akhirnya membiarkan saja.

Sebaik sahaja Amani menyapu minyak hangat pada tangannya, dia menyimpan semula botol minyak ke dalam kotak kecemasan. Dia bangun untuk menyambung semula tugasnya.

"Awak kena berehat. Jangan dipaksa tangan awak," ujar Tania. Dia tahu, Amani sedaya upaya sedang menahan kesakitannya. "Tangan awak tentu sakitkan?" Sempat dia melihat tangan Amani yang lebam sewaktu Amani menyapu minyak.

Amani pura-pura tidak dengar dan terus melakukan tugasnya.

"Awak dengar tak apa yang saya cakap?!" Nada suara Tania sudah meninggi. Amani masih seperti itu juga, berpura-pura tidak mendengar kata-kata Tania. "Awak dah banyak menyusahkan papa saya! Boleh tak jangan menyusahkan dia lagi! Jagalah diri awak elok-elok! Kalau tak, papa saya terpaksa hantar awak ke klinik lagi!" Tania sudah hilang sabar melihat sikap Amani. "Awak ni memang teruklah!!"

Mendengar kata-kata Tania yang kasar, lantas Amani berhenti melakukan tugasnya. Dia berpaling menoleh pada Tania. Raut wajah itu dipandangnya dengan sinis sehingga membuatkan Tania merasa bersalah kerana menengkingnya begitu. Amani berjalan menghampiri Tania dan berhenti di depannya. Dengan satu jelingan yang tajam, Amani menyerahkan buku-buku dan pen ditangannya pada Tania lalu berjalan pergi.

Kenapa Amani bersikap begitu? Dia sudah bersusah payah mahu menjalankan hubungan baik dengan Amani. Tapi, Amani sendiri yang menjadi penghalangnya. Tania berlalu ke depan dan menyimpan semula buku-buku itu ke dalam laci. Kemudian, dia keluar dari gudang untuk ke Syurga Ilham Hati. Dari dia sibuk memikirkan Amani, ada baiknya dia masuk ke bilik dan bersihkan diri. Perutnya juga sudah berbunyi, minta diisi.

"Tania," panggil Izz yang melihat Tania berjalan dengan rasa sedih. "Kenapa ni?"

Tania memandang Izz seakan minta simpati. "Amanilah....."Ada nada tajuk di situ.

Izz sudah ketawa kecil melihat muncung yang panjang itu. "Amani?" dia bertanya. Tania mengangguk. Pastinya Amani tak mahu Tania mengurut tangannya. "Biarkanlah dia. Pandai-pandailah dia jaga dirinya sendiri," ujar Izz sekadar mahu memujuk Tania. "Mana Amani?"

Tania memandang Izz dengan kerutan di wajahnya. Izz kata, biarkan Amani, tapi nampaknya Izz yang risaukan Amani. Ada rasa kurang senang dalam hati Tania. "Ntah..? Mana Tania tahu! Dia dah keluar dari gudang."

"Tak apalah. Saya pergi cari dia dulu," ujar Izz.

"Kenapa?"tanya Tania dengan nada kurang senang. "Kenapa Abang Izz nak cari dia?"

Bagai menyedari rasa kurang senang di hati Tania, Izz hanya tersenyum. "Saya nak hubungi ibu Amani," jelas Izz. "Saya pergi dulu." Izz pergi meninggalkan Tania.

Tania mendengus. Sejak Amani melangkah ke dalam Ilham Hati, terus sahaja gadis itu menjadi perhatian. Semua orang mengambil berat tentang dia, termasuklah Izz! Sedangkan dia?!



Khamis, 17 Mei 2012

Cinta Tak Bersuara










Mungkin terlalu awal untuknya menyatakan segala perasaan yang bermukim di dada saat ini. Masanya belum sesuai walaupun mereka telah diikat dengan satu perjanjian pertunangan yang sedang berlangsung. Ketika ini, menjaga hati orang-orang yang disayangi itu lebih penting berbanding hati sendiri.

Dia tahu, keputusannya menerima pertunangan ini akan melukan perasaan orang lain. Tapi, dia sendiri tidak pasti mengapa berat mulutnya untuk menolak permintaan kedua orang tuanya yang beria-ia bermenantukan gadis itu.

Dia pernah menyatakan kewujudan Alia kepada orang tuanya. Namun, mereka bertegas tidak mahu menerima menantu lain selain Medina.

"Ary!" kedengaran suara mana memanggilnya, seraya dengan itu pintu dibuka dari luar. Ary yang sedang mundur mandir dalam kamarnya, terus menoleh pada mamanya, Fauziah. Raut wajah mama yang kelihatan begitu ceria dan berseri sangat menggusarkan hatinya. Pasti mana pulang membawa khabar gembira bagi mereka. Namun perkara itu adalah sesuatu yang buruk padanya.

"Mereka terima pinangan kita!" Ceria sekali Fauziah menuturkan kata, lalu memeluk anak lelakinya itu.

Ary surah menelan air liurnya. Ketakutannya semakin bertambah. Sedangkan dalam hatinya mengharapkan agar Medina menolak pinangannya.

"Tahniah Ary!" Mama memandangnya setelah meleraikan pelukan.

Dengan berat hati, Ary mengukirkan senyuman semanis mungkin bagi menutup perasaan gusarnya. Apa yang perlu dilakukannya sekarang? Alia pasti mengamuk jika mengetahui berita ini.

Ary terus terduduk di katilnya sebaik sahaja Fauziah keluar dari kamar. Tak sudah-sudah dia meraup mukanya dengan tapak tangan. Seolah-olah mahu menyedarkan dia dari mimpi. Sayangnya, ini bukan satu mimpi. Tetapi ia adalah satu kenyataan yang pasti. Kini, dia bergelar tunangan orang.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

ALIA sudah terlopong menerima berita yang baru disampaikan Ary. Ary dah bertunang? Dengan pilihan orang tuanya? Terus dia merasakan dadanya terhimpit. Sebak! Dia benar-benar tak sangka hubungan mereka akan menjadi berantakan begini. Dia benar-benar tidak tahu mahu berkata apa di saat ini. Kolam matanya yang sedang bertakung, digagahkan agar airnya tidak tumpah.

"Alia, maafkan I.." Ary tahu hati Alia terluka. Melihat riak wajahnya sahaja Ary dapat membacanya.

Alia terduduk di situ.

"Maaf? Macam tu je?" itu sahajalah yang mampu dikatakan Ary? Setelah perasaannya dimainkan, hanya itu sahaja yang diterimanya? Maaf?

"I tak tahu nak buat apa! I terpaksa!" Sungguh, menolak kemahuan orang tuanya merupakan satu perkara yang sangat sukar untuk dilakukan walaupun dia sangat mencintai Alia.

"Dengan segala pengorbanan yang I beri selama ni, ini yang I dapat?" Alia memandangnya dengan seribu perasaan kesal. "I tahan hinaan keluarga you pada I, I pekakkan telinga dari kata-kata umpatan yang diberikan untuk I, ini yang I dapat?!" sungguh dia tidak menyangka ini balasan yang diterimanya untuk segala pengorbanan yang dilakukan.

Ary tertunduk di situ. Ary tahu, dia banyak menyakitkan hati Alia. Selama ni, Alia ikhlas menerimanya walaupun keluarganya tidak sukakan Alia. Namun, Alia tetap bersamanya.

"Kalau I tahu semua ni akan terjadi, tak guna I setia dengan you!" ujar Alia dengan hampa dan penuh dengan rasa kecewa. "Kalau you terus terang saja dengan I yang you akan ikut cakap orang tua you, tak adalah I buang masa I dengan you bertahun-tahun lamanya setia dengan you! Baik I cari orang lain je!"

"Please Alia, jangan cakap macam tu! I akan cari jalan untuk putuskan pertunangan I!" Ary cuba melemparkan janji walaupun dia sendiri tidak pasti jalan apa yang akan digunakan untuk memutuskan pertunangan yang telah terjadi.

"Lepas tu? Apa? you dengan I terus couple? Sampai bila? Untuk selama-lamanya?” Perasaan marah Alia sudah tidak dapat dikawal lagi.

“Tolonglah jangan cakap macam tu Alia. You tahukan I sayangkan keluarga I?! Expecially mama I! I tak sanggup nak tolak permintaan dia,” Ary cuba merayu, memohon pengertian dari Alia.

“Kalau dah macam tu, tak guna kita bersama lagi!” Alia menarik nafas panjang. “Dari dulu lagi, sepatutnya kita putuskan hubungan kita kalau you hanya mahu menjaga hati orang tua you! Mama you!” Alia airmata yang hampir mengalir. “You hanya ingat famili you, mama you! Habis, I ni tak ada famili?!”

“Alia….Alia…” Ary terus memegang kedua bahu Alia. Dia tahu, Alia benar-benar kecewa dengan sikapnya. “Tolong beri masa pada I. I akan cuba satukan you dengan mama I, dengan keluarga I! I yakin, famili I akan terima you.”

Alia merenung wajah Ary yang kelihatan bersungguh-sungguh. Selama lapan tahun dia bersama dengan Ary. Mungkin dia bodoh kerana menunggu sehingga lama begitu. Namun, cintanya pada Ary yang membuatkan dia sanggup menunggu lebih lama lagi. Tapi, sampai bila?

“Baiklah,” Akhirnya Alia menghembuskan nafasnya. “This is your last chance.”

“Terima kasih, sayang. I akan pastikan famili I akan terima you!” Ary mengangkat tangan seperti mengangkat sumpah.

“You better!” ujar Alia. “Tapi kali ni, I Cuma beri tempoh enam bulan saja untuk you putuskan pertungangan you dengan tunang you dan pastikan famili you akan terima I!” ujar Alia dengan tegas sekali. Dia tak mahu hubungan mereka hanya berada di situ tanpa ada perubahan.

Ary menelan air liurnya. Enam bulan? Bagaimana dia mempu membuka pintu hati keluarganya untuk menerima Alia sedangkan selama lapan tahun mereka bersama, jelas keluarganya tidak dapat menerima Alia.

“I promise!” Namun kata janji yang tidak pasti itu, dituturkan Ary juga.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
Medina memandang cincin pertungan di jari kanannya. Cincin belah rotan itu dipusing-pusing dijari manisnya. Bibir yang menguntumkan senyuman itu tak lekang sejak bergelar tunang kepada Hazrin Iskandar atau lebih dikenali sebagai Ary. Sesungguhnya, dia tidak pernah menyangka perkara ini akan berlaku dalam hidupnya. Kini, impiannya untuk menjadi seorang isteri buat Ary, hampir tercapai.

Sejak kecil, sedari usianya lima tahun dia membesar bersama Ary sehinggalah tamat tingkatan lima. Keluarganya dan keluarga Ary telah bersahabat sejak mereka kecil lagi. Usai habis zaman persekolahan, Ary melanjutkan pengajiannya ke luar negara dan dia pula hanya di university tempatan. Sejak dari hari itulah, mereka tidak pernah bersua hingga sekarang. Dia langsung tidak menyangka, Ary masih ingat padanya.

Sejak berpisah dengan Ary, dia tak pernah melupakan lelaki itu dan berharap, suatu hari nanti mereka akan bersua semula dan menyambung ikatan persahabatan yang telah lama wujud. Apatah lagi, dia masih ingat kata-kata Ary pada akhir pertemuan mereka. Ary mahu mereka terus bersahabat biarpun jarak telah menjauhkan mereka. Suatu hari nanti, Ary akan mencarinya semula.

Kerana itulah dia terus setia pada Ary. Walaupun hubungan mereka hanya sekadar hubungan persahabatan, tetapi dalam diam hatinya sudah terikat bersama Ary. Dia mahu hidup disamping Ary. Harapan dan impiannya semakin meninggi, apatah lagi setiap kali Acik fauziah, mama Ary dan Acik Murad bertandang ke rumah mereka, mereka selalu menyatakan yang mereka mahu bermenantukan Medina. Dan kini, dia sudah bergelar tunang kepada Ary.

Ary yang melanjutkan pengajiannya di luar negara, baharu sahaja pulang ke Malaysia dua bulan yang lalu. Memang dia teringin sangat untuk bertemu dengan Ary dan melihat raut wajah yang sudah lama tidak dilihatnya.

Lima tahun Ary diperantauan dan kemudian, menambahkan lagi tempoh selama tiga tahun untuk dia mencari pengalaman di sana sebelum pulang ke Malaysia. Sewaktu Acik fauziah memberitahu padanya tentang niat Ary yang mahu tinggal di sana untuk tempoh tiga tahun lagi, hatinya sudah tak tentu arah. Dia tak mahu berjauhan dengan Ary lagi. Tapi, dia menerima keputusan itu dengan tabah.

Setelah Ary pulang, keinginannya untuk bertemu dengan Ary semakin memuncak. Namun, dia khuatir jika keinginannya itu disalah ertikan oleh Ary. Baginya, lebih baik jika Ary yang datang menemuinya. Lagipun, Ary telah berjanji untuk mencarinya. Namun, Ary tak pernah menghubunginya walau sekali sehinggalah tibanya keluarga Ary dengan niat untuk menjadikannya menantu buat Ary.

Medina bersandar di kepala katil. Fotonya dengan Ary yang diambil bertiga dengan Acik Fauziah yang lapan tahun lalu ditenung. Wajah Ary yang sedang tersenyum di dalam foto itu dipandangnya. Adakah wajah itu masih sama? Atau angin di luar negara telah mengubah Ary? Pasti Ary telah berubah! Tentu sahaja remaja lapan tahun dahulu berubah menjadi seorang pemuda yang lebih matang penampilannya. Namun, dia yakin, dengan adanya cincin pertunangan di jarinya ini, hati Ary tak pernah berubah padanya.

Tiba-tiba satu bunyi kedengaran di pendengaran Medina. Bunyi itu datangnya dari laptopnya yang menandakan dia menerima pesanan. Senyuman Medina semakin terukir. Tentu SMB telah membaca pesanannya dan membalas semula.

Medina membuka YM.



Waalaikummussalam saudariku Medina

Gembira mendengar berita dari awak. Tahniah saya ucapkan. Semoga pertunangan ini akan ke jinjang pelamin dan seterusnya. Tentu awak gembirakan? Dah lama awak menantikan kehadiran si dia…



Medina menekan punat-punat keyboard untuk membalas pesanan itu.



Alhamdulillah….saya gembira sangat. Saya harap, ikatan ini akan terus berkekalan hingga ke syurga. Saya juga doakan perkara yang sama untuk awak.



Medina menekan punat ‘send’ dan kemudian berbaring di katilnya.

Dia mengimbas semula saat perkenalannya dengan sahabat mayanya yang hanya dikenali dengan SMB. Pada hakikatnya, dia langsung tak mengenali siapa SMB. Tiba-tiba sahaja dia menerima satu kiriman pesanan di YM yang menghantar sebuah melodi yang sangat indah padanya. Pesanan tanpa tajuk dan tanpa sebaris ayat itu sangat mengujakannya. Apatah lagi, melodi yang dimainkan itu sangat indah. Terus dia membalas pesanan itu dan bertanya siapa SMB sebenarnya dan kenapa menghantar melodi itu padanya.

SMB membalas pesanan dan bertanya sama ada dia adalah seseorang yang bernama Farah. Dan dia menafikan itu. SMB membalas dan meminta maaf. Menurutnya, alamat YM Medina hampir sama dengan kawannya yang bernama Farah itu, jadi mungkin kerana tersalah ejaan melodi itu telah dihantar kepadanya.

Entah bagaimana, sejak itu hubungan persahabatan antara mereka terus berkembang. Dari bercerita tentang melodi itu, terus mereka bercerita tentang kehidupan masing-masing. Medina senang bersahabat dengan SMB kerana sahabatnya itu tidak pernah menghantar pesanan di luar batasan. Moga-moga persahabatan ini akan terus kekal. Itulah doa Medina.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

ARY yang baru melangkah masuk ke dalam rumah, terus memandang Fauziah yang sedang berehat di ruang tamu sambil melihat foto album. Senyuman yang terukir dibibirnya, melihatkan dia senang mengimbasi kenangan lalu. Dalam tak sedar, Ary turut mengukirkan senyuman. Lalu, dia menghampiri mamanya dan duduk bertentangan dengan mamanya itu.

Fauziah yang sedang tertunduk memandang foto-foto lama terus mengangkat kepalanya apabila merasakan kehadiran seseorang. Melihatkan wajah Ary, senyuman di bibirnya semakin memekar.

“Mama tengok apa tu?” Walaupun sudah nyata di depan matanya, namun Ary masih bertanyakan soalan itu.

“Saja nak imbas kenangan lalu,” Fauziah kembali merenung foto album ditangannya.

Ary memandang foto album yang ada di tangan Fauziah. Foto album itu mengandungi foto-foto lamanya ketika masih bersekolah. Ary tersenyum. Mama memang suka melihat foto lamanya yang masih berada di bangku sekolah.

“Mama tak jemukah asyik lihat gambar Ary?” ujarnya sengaja menduga hati Fauziah.

Fauziah ketawa kecil. Helaian itu diselak hingga ke helaian yang menempatkan foto-foto Medina.

“Medina cantik orangnya. Semakin dewasa, semakin cantik,” ujarnya lalu melirik pada Ary.

Ary yang sedang tertunduk memandang foto album yang lain, mengangkat kepala dan memandang Fauziah.

“Medina?” dahi Ary berkerut. Sudah agak lama dia tidak mendengar nama itu. Kali terakhir adalah pada hari pertunangannya dengan Medina. Ary menunduk semula. Dia tak mahu memanjangkan isu Medina. Dua bulan telah berlalu. Masa yang diberikan Alia hanya tinggal empat bulan lagi. Tapi, dia masih belum memulakan langkah.

“Ary masih ingat dengan kenangan Ary dan Medina?” soal Fauziah lalu mengeluarkan sekeping gambar Ary dan Medina. Kemudian, menghulurkan foto itu pada Ary.

Ary mencapai foto itu dan memandangnya. Ary tersenyum. Dia sudah terlupa dengan kenangan lalu. Sejak dia mengenali Alia ketika di luar negara, dia tak pernah ingatkan Medina lagi sehinggalah dia pulang semula ke Malaysia.

“Ary dah lupakan Medina?” bagaikan bisa membaca perasaan Ary, Fauziah bertanya demikian.

“Mama, boleh Ary minta nombor telefon Medina?” soal Ary.

Wajah Fauziah bertukar ceria. Walaupun Ary sepatutnya bertanyakan tentang itu dari dahulu lagi, namun dia bersyukur, sekurang-kurangnya Ary bertanya sekarang dari tidak langsung. Pantas Fauziah mengangguk laju.



%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Medina hanya menundukkan kepalanya memandang tanah. Pertemuannya dengan Ary sangat berlainan berbanding lapan tahun lalu. Mereka menjadi seperti orang asing yang baru pertama kali bertemu. Ary yang sedang berdiri sambil bersandar di batang pokok, terus memandang ke depan.

Sedari tadi, dia bagai merasa tekanan dari Ary. Lelaki itu kelihatan tidak gembira dengan pertemuan mereka. Apa yang menyinggung Ary? Sepatah dia bertanya, sepatah Ary menjawabnya sedangkan Ary yang menghubunginya dan mahu bertemu dengannya. Jika ikutkan hatinya, dia hanya mahu menemui Ary pada hari mereka akan disatukan. Pasti itu akan menjadi detik terindah dalam hidup mereka.

Medina menarik nafas panjang. Pasti ada sesuatu yang tidak kena. Ary yang dikenalinya lapan tahun lepas akan bersikap seperti ini jika ada perkara yang sedang menyesakkan kepalanya. Dia tidak merasa Ary yang dahulu dan Ary yang berdiri di depannya ini terlalu berbeza.

“Ary, sebenarnya awak ada perkara yang nak dibincangkan dengan saya, kan?” soalnya. Memang pada mulanya dia menyangka pertemuan ini kerana Ary kepingin untuk bertemunya. Namun, dia tidak merasa itu sekarang. Ary mahu berbincang sesuatu padanya. Apakah kerana pertunangan mereka?

Ary memejamkan matanya seketika. Berat hatinya mahu meluahkan pada Medina. Dia tahu, dari mula lagi dia yang bersalah. Memang, mereka hanya bersahabat. Namun sebelum dia pergi, dia meminta Medina untuk terus mengingatinya. Sedangkan, apabila dia terbang pergi dari Malaysia dan bertemu dengan Alia, dia sudah lupa tentang sahabatnya Medina. Padahal dia tahu Medina sukakannya dan dia juga merasakan perkara yang sama dahulu. Kerana itulah dia meminta Medina agar terus mengingatinya.

“Mungkin…..” Medina menarik nafas yang panjang apabila Ary masih tetap membisu. “….pertunangan kita adalah satu kesalahan?” Medina cuba meneka di sebalik reaksi Ary.

Ary tergamam seketika. Namun, kemudian dia menghembus nafas dengan perlahan. Medina masih seperti dahulu. Medina sentiasa meneka tentang perasaannya dengan tepat.

Melihat kebisuan Ary, kini Medina yakin bahawa pertunangan mereka adalah sesuatu yang diluar kemahuan Ary. Medina memejam matanya rapat-rapat, cuba mencari kekuatan dirinya. Dia mengingatkan dirinya agar sentiasa percaya pada Allah. Mungkin Ary bukan untuknya.

“Siapa gadis tu?” Medina terus bertanya. Sedaya upaya dia cuba mengukirkan senyuman agar tidak menyinggung perasaan Ary. “Tentu dia istimewa untuk awak, kan?”

“Maafkan saya Medina…” Hanya itu yang mampu diucapkan Ary saat itu.



%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

MEDINA membuka YM.



Medina : Assalamualaikum…..
              Awak ada di sana?



Medina menghantar pesanan kepada SMB. Tak lama kemudian, Medina menerima satu pesanan balas.



SMB : Waalaikummussalam…..
            Mahu berkongsi cerita?



SMB memang pandai meneka. Setiap kali dia menghantar pesanan ringkas begitu, pasti SMB bertanya tentang beritanya, seakan mengerti yang dia mahu meluahkan perasaannya.



Medina : Saya bertemu dengan si dia….

SMB : Alhamdulillah…..Tentu awak gembira, kan?

Medina : Ya….saya gembira tapi apa yang terjadi tak seperti yang saya harapkan.

SMB : Maksudnya?

Medina : Dia mencintai wanita lain…

SMB : Jadi, mengapa dia menghantar pinangan untuk awak?

Medina : Kerana dia tak mahu melukakan perasaan keluarganya. Keluarganya sayangkan saya.

SMB : Dia tak berterus terang dengan keluarganya?

Medina : Dah. Tapi keluarganya tak mahu menerima wanita itu. Mungkin sayalah puncanya.

SMB : Apa yang akan awak lakukan sekarang?



Soalan SMB itu membuatkan Medina bersandar di kepala katil. Dia sendiri masih bingung dengan tindakan yang bakal diambil. Ary menyatakan yang dia tak sanggup nak melukakan hati keluarganya tapi dalam masa yang sama dia tak mampu untuk memberi cintanya pada Medina. Apakah Medina yang seharusnya mengakhiri pertunangan ini? Atas alasan apa? Kalau diberikan alasan kerana Ary mencintai wanita lain, pasti Ary yang akan terkena tempias kemarahan keluarga mereka. Tentu Acik Fauziah akan kecewa.

Medina memandang semula skrin laptopnya.



Medina : Saya tak tahu apa yang akan saya lakukan….
              Awak tak ada masalah dalam hubungan begini?
              Atau mungkin, awak masih single….?



Hampir setahun perkenalan mereka, inilah pertama kali dia mengutarakan soalan itu pada SMB.



SMB : ……………….

Medina : Apa maknanya titik-titik panjang tu?



Keliru Medina dengan balasan pesanan SMB.



SMB : Hahahah……tak de maksud apa-apa
          Tapi….mungkin cinta yang tak bersuara

Medina : Cinta yang tak bersuara?

SMB : Saya selalu mengingati seorang gadis, tapi saya tak pernah berharap dia akan mengingati 
           saya. Saya menyayangi seorang gadis, tapi saya tak pernah berharap dia akan menyayangi
           saya dan saya  menyintai seorang gadis dan tak pernah berharap dia akan membalasnya.   
          Cinta saya padanya adalah cinta tanpa suara.



Medina membaca ayat-ayat itu berulangkali. Mungkin benar kata SMB, cinta tak perlu dibalas. Cinta tak seharusnya memiliki.



Medina : Awak seorang yang baik..

SMB : thx….jangan cepat membuat kesimpulan.



Senyuman sudah terukir di bibir Medina. Mungkin dia terlalu cepat membuat kesimpulan dengan menganggap SMB adalah seseorang yang baik hatinya sedangkan perkenalan mereka hanya di alam maya.



Medina : Selagi hubungan kita terbatas, bagi saya awak adalah seorang sahabat yang baik.

SMB : Tadi awak hanya buatkan saya tersenyum. Tapi sekarang, awak dah buat saya ketawa ……



Membaca pesanan SMB itu, Medina pula yang ketawa kecil.



SMB : Jadi, apa yang akan awak lakukan?

Medina : Saya bahagia kalau si dia juga bahagia.
               Kebahagiaannya, bukan dengan saya.

SMB : Hmmm….Mungkin benar..
           Boleh saya beri cadangan ?

Medina : Boleh….Mana tahu ia akan membantu saya.

SMB : Si dia sangat menyintai kekasihnya tapi sayangnya, keluarganya hanya mahukan awak
           sebagai menantu. Mungkin awak boleh membantu mereka untuk diterima keluarganya…



Medina berfikir panjang apabila menerima pesanan itu. dia terus termenung dan berfikir. Mampukan dia melakukan pengorbanan sebegitu? Sedangkan hatinya ini sangat menyayangi Ary. Mungkin kerana membiarkan pesanan itu terlalu lama, SMB memberikannya satu lagi pesanan.



SMB : Maaf kalau cadangan saya itu melukakan perasaan awak….

Medina : Mungkin awak benar. Mana tahu dengan cara itu hati saya akan berubat sendiri….
              Tapi, saya takut kalau saya tak mampu untuk lakukannya.

SMB : Awak memang baik. Berdoalah agar hati awak sentiasa kuat. Cinta yang terpendam tanpa
           diluahkan kerana tiada ikatan suci adalah lebih baik berbanding cinta yang terus
           diungkapkan tapi entah di mana hala tujunya.

Medina : Terima kasih….dan maaf…

SMB : Sama-sama…..
           Untuk apa kemaafan itu?

Medina : Kerana hari ini baru saya tahu awak adalah seorang lelaki…..

SMB :     :)

Medina : Saya gagal untuk menjadi seorang sahabat yang baik, kan?

SMB : Mungkin…
           Tapi awak adalah seorang gadis yang sangat menjada batasannya.
          Kerana itulah perkenalan kita terbatas, kan? Dan kerana batasan itulah persahabatan kita
          kekal hingga sekarang.

Medina : Hmmm…

SMB : Berehatlah….dan berdoa apa yang terbaik untuk kamu bertiga….
           Insya-Allah…semuanya akan berakhir dengan baik…
          Assalamualaikum…

Medina: Waalaikummussalam….



Medina menutup laptopnya. Satu senyuman manis mula terukir di bibirnya.



%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Setelah berfikir panjang, akhirnya Medina membuat keputusan untuk membantu Ary dan kekasihnya. Pertama kali dia berjumpa dengan kekasih Ary, Alia, dia sudah mengerti apa yang membuatkan keluarga Ary tak mahu menerima wanita itu.

Alia menjeling padanya, seakan tidak yakin yang dia akan membantu mereka. Medina hanya tersenyum dengan jelingan alia itu. Tentu sahaja Alia tak mudah untuk percaya padanya. Tentu sahaja bersangka buruk padanya. Bukankah dia tunang Ary dan Alia adalah kekasih Ary?

“Boleh saya bercakap dengan Alia?” tanya Medina pada Ary. Ary mengangguk lalu menjauhi mereka berdua.

Pandangan mata Medina terus dihalakan pada kerongsang yang terselit di baju Alia.

“Awak tahu, kerongsang yang awak pakai tu adalah milik saya. Saya berikannya pada Ary agar Ary akan sentiasa ingat pada saya. Tapi tak sangka dia akan memberikan kerongsang itu pada awak.”

Alia memegang kerongsang yang tersemat di bajunya. Memang kerongsang itu diberikan Ary padanya. Ary tak pernah memberitahunya tentang itu. Dia sayangkan kerongsang itu. Dia sentiasa menyematkan kerongsang itu di baju yang dipakainya.

“Itu adalah kerongsang kesayangan saya. Memandangkan hubungan saya dan Ary akan berakhir tak lama lagi, jadi kalau tak keberatan saya mahu kerongsang itu semula.”

“Awak ni buruk sikulah!” Alia sudah mencebikkan mukanya.

“Kata orang, biar buruk siku. Jangan buruk sangka!” ujar Medina. Senyumannya semakin melebar apabila melihat cebikkan di wajah Alia. “Nak tak nak, awak kena percayakan saya. Hanya saya yang mengenali keluarga Ary dengan baik.”

“Alah….kalau tak gunakan pertolongan awak pun boleh! Ary-kan anak diorang. Tentu Ary lebih tahu apa yang diorang suka!” Alia menjeling lagi.

“Tapi sampai sekarang awak dan Ary masih belum berjaya, kan?” sinis sekali soalan Medina.

“Jadi, awak nak saya jadi macam awak?” Alia memandang Medina yang ayu bertudung litup.

“Awak tak perlu menjadi saya. Awak hanya perlu menjadi diri awak. Diri awak, yang mana akan disayangi oleh mertuanya.” Medina memandang Alia. “Awak cantik orangnya,” jujur dia menyatakan itu. “Tapi, perkara pertama yang membuatkan awak tak cantik adalah bahasa awak yang kasar.”

“Awak ada masalah dengan itu?” Alia memeluk tubuhnya. Mencerlung matanya memandang Medina.

“Ya! Dan saya harap dengan sedikit sikap sopan, ia dapat membantu saya untuk membantu awak,” Medina masih tersenyum.

Alia memandang wajah. Medina kelihatan ikhlas untuk membantunya. Mungkin benar yang mereka berdua perlukan Medina.

Bermula dari itu, Medina seringkali membawa Alia ke kelas-kelas agama. Bila ada ceramah agama di surau dan masjid yang berkaitan dengan rumahtangga, Medina selalu mengajak Alia untuk ikut serta.

Mulanya Alia memang keberatan, namun apabila Ary memujuknya dan Medina juga sering memaksanya dan memberikan kata-kata sinis apabila dia menolak, dia terus merasa tercabar. Kerana itulah dia sentiasa mengikut Medina ke mana sahaja yang disuruh Medina.

Sampai satu tahap, hati Alia sendiri terbuka untuk menghadiri majlis-majlis ilmu. Hubungan Alia dengan Medina juga semakin rapat. Medina sendiri tidak menyangka, akhirnya, hati Alia bisa dilembutkan. Semuanya atas pertolongan Allah. Syukur, Alhamdulillah….

Sehinggalah apabila dia merasakan Alia sudah bersedia untuk menonjolkan dirinya pada keluarga Ary, dia menyatakan hasratnya itu. siapa sangka, ketika Medina mahu membawa Alia untuk mengenali keluarga Ary sebagai kawannya, Alia tampil dengan penampilan baru.

Susuk tubuh Alia yang cantik itu telah ditutup dengan kemas dengan baju dan selendangnya. Medina tak pernah memaksa Alia untuk jadi begitu, mungkin hatinya semakin lembut apabila setiap kali menghadiri majlis-majlis ilmu bersama Medina.

Keluarga Ary juga menerima kedatangan Alia dengan baik tanpa mengetahui rancangan mereka yang telah aturkan untuk mendekatkan Alia dengan keluarga Ary.

Melihat penerimaan keluarga Ary pada Alia, Alia menjadi sangat gembira. Buruk sangkanya pada Medina, terus hilang sama sekali. Bila Alia meminta maaf pada Medina tentang buruk sangkanya itu, Medina hanya tersenyum.

“Keluarga Ary tidak memilih seseorang yang terlalu tinggi untuk Ary. Ary adalah seorang lelaki yang berjiwa lembut. Kerana itu, mereka mahukan seorang wanita seperti Alia yang lemah lembut tutur katanya, yang manis senyumannya, yang pandai menjaga perwatakannya. Yang pasti, Alia adalah seorang wanita yang menjaga hubungannya dengan Allah. Seseorang yang menjaga hubungannya dengan Allah, Insya-Allah akan menjaga hubungan antara manusia dengan baik.”

Alia menggeleng. Pujian yang dilemparkan Medina untuknya terlalu tinggi.

“Apa yang awak katakan itu adalah diri awak, Medina,” balas Alia.

“Tidak! Saya bercakap tentang awak. Saya dan awak adalah insan yang berlainan, mungkin punya sifat yang hampir sama. Tapi, tetap tidak sama!” ujar Medina dengan sedikit nada gurauan.

Alia ketawa. Medina memang baik. Semoga Medina akan menemui seorang lelaki yang baik untuknya.

“Sebenarnya Alia, Acik Fauziah sangat sayangkan Ary. Dia takut kalau Ary berkahwin nanti, isteri Ary akan menjauhkan Ary darinya.” Medina memandang Alia. “Alia seorang wanita yang baik. Syurga Alia terletak pada Ary dan syurga Ary terletak pada ibunya.”

“Saya faham, Medina,” Alia hampir menitiskan airmatanya tatkala begitu. dia merasa sangat terharu. “Bagaimana sekarang?”

“Sekarang masa yang sesuai untuk kita berterus terang. Lepas ni, saya akan berterus terang dengan keluarga saya tentang awak, saya dan Ary. Insya-Allah mereka akan faham dengan situasi kita. Lepas tu, kita biarkan keluarga saya uruskan dengan keluarga Ary.”

“Macam mana kalau keluarga awak dan keluarga Ary….”

“Insya-Allah, semuanya akan baik. Percayalah!” Pantas Medina memotong kata-kata Alia. Memang dia takkan atahu apa yang akan berlaku, namun dia sentiasa yakin pada kuasa Allah s.w.t. “Tawakal Alia….”

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Medina melangkah ke dalam kamar, lalu duduk di birai katil. Alhamdulillah….dia baharu sahaja berterus terang dengan orang tuanya tentang mereka bertiga. Syukur, keluarganya menerima keputusannya walaupun pada mulanya mereka seakan tidak boleh menerima tindakan Ary.

Setelah menyakinkan orang tuanya, mereka bersetuju untuk berjumpa dengan keluarga Ary dan dalam masanya yang sama untuk memujuk keluarga Ary menerima Alia dalam kehidupan mereka. Walaupun dia sayangkan Ary, namun dia tetap gembira. Alia memang untuk Ary!

Dalam dia sedang melayan fikirannya, bunyi beep yang menandakan dia menerima pesanan kedengaran di laptopnya. Pantas Medina mencapai.



SMB : Assalamualaikum Medina…
           Awak apa khabar?

Medina : Waalaikummussalam….
              Saya sihat. Awak?

SMB : Alhamdulillah….
           Perlukan teman untuk berbual?

Medina : 
             Saya baru saja berterus terang dengan keluarga saya tentang Alia dan Ary.
             Alhamdulillah….mereka menerima berita ini dengan tabah. Moga-moga semuanya berjalan
             dengan lancar.

SMB : Awak okey?

Medina : Ya…jangan risau. Si dia tak ditakdirkan untuk saya. Mungkin jadi seperti awak lebih baik
              untuk saya.

SMB : Seperti saya?

Medina : CINTA TAK BERSUARA…

SMB : Oh, ya..…Cinta tak bersuara…
           Tapi saya berharap suatu hari nanti cinta yang tak bersuara akan terluah juga.

Medina : Mengharap?

SMB : Tidak…. Hanya tawakal
           Cinta itu akan terlafaz jika si dia menjadi bidadari yang suci buat saya

Medina : Bagaimana? Sedangkan cinta yang ada pada awak itu adalah CINTA TANPA SUARA

SMB :  :)
            Awak akan tahu Medina

Medina : Terangkanlah…..

SMB : belum masanya lagi

Medina : Jadi, bagaimana awak akan tahu

SMB : Awak akan merasainya………tapi….

Medina : Tapi??????

SMB : Awak akan merasainya bila cinta tanpa suara awak pada Ary sudah hilang.

Medina : Saya perlu melupakan Ary?

SMB : Tidak!
           Apa yang perlu lakukan hanya melepaskan cinta Ary dan dalam masa yang sama meletakkan
          cinta yang tiada putusnya pada Allah

Medina : Ya, awak benar. Hanya Allah yang akan menunjukkan siapa cinta tanpa suara itu, kan?

SMB : Ya!

Medina : Sehingga sekarang, saya masih ingat kata-kata awak. Cinta ranpa suara itu lebih baik dari
              cinta yang terus diungkapkan namun tanpa matlamat yang pasti. Kata-kata itu
              membuatkan saya rasa terharu.

SMB : Terima kasih…
            Kata-kata itu lebih indah jika terus diucapkan jika sudah terikat dengan ikatan yang suci.

Medina : Tapi saya tak pasti, apakah saya mampu melepaskan cinta tak bersuara saya pada Ary.

SMB : Awak boleh Medina.
           Masa akan mengubatinya.

Medina : Moga masa itu cepat berlalu.

SMB : Saya berundur diri dulu Medina.

Medina : terima kasih sahabat kerana sudi berkongsi cerita dengan saya.

SMB : Semoga Allah sentiasa memberi ketabahan untuk gadis sebaik awak Medina.

Medina : Amiin…..
              Assalamualakum…..

SMB : Waalaikummussalam…..



Medina bersandar di kepala katil. Sedikit sebanyak hatinya terasa tenang apabila dapat berkongsi cerita dengan sahabat mayanya itu. Medina kembali pada laptopnya. Melodi yang telah salah dihantar oleh SMB itu masih ada dalam simpanannya.

Medina memainkan melodi itu semula. Melodi itu memang indah. Cukup romantik. Siapalah agaknya Farah yang dihantar melodi ini? Mungkin itu cinta tak bersuara SMB. Moga-moga cinta tak bersuara milik lelaki itu akan terluah juga suatu hari nanti.

Medina menarik nafas dalam-dalam dan menghembuskan nafasnya perlahan-lahan.



Bersambung……………………….








Khamis, 10 Mei 2012

Putera Arab 7






CHE ENON segera berlari ke muka pintu utama setelah pintu pagar Rumah Warisan di buka oleh Pak Rahim, sekuriti Rumah Warisan. Matanya memerhati Mazda6 bewarna putih sedang menyusuri jalan terus masuk dan berhenti di depan pintu utama.

Keluarlah Tuan Syed Zikri Syed Zarkasyi yang ditunggu-tunggu. Terus Che Enon menghampirinya. “Selamat datang, Tuan Syed!” ujar Che Enon meraikan kedatangan Zack. Kali pertama dan kali terakhir Zack datang ke rumah itu adalah ketika Tuan Syed Hussin Syed Hakim masih lagi menjadi Tuan Syed dia Rumah Warisan. Tetapi belum sempat lelaki itu berjumpa dengan Syed Hussin, dia terus keluar dari Rumah Warisan. Terimbas semula Che Enon dengan kenangan lalu.

Zack tersenyum pada Che Enon yang sudah sedia menyambutnya. “Apa khabar, makcik?” tanya Zack berbahasa.

“Baik, Alhamdulillah…..” Che Enon tersenyum dengan soalan itu. “Tuan Syed?” tanya Che Enon kembali.

“Alhamdulillah, sihat.”

“Tuan Syed boleh panggil saya Che Enon saja. Semua orang di sini panggil saya Che Enon.” Beritahu Che Eono.

Zack menganggukkan kepalanya tanda mengerti. Zack melirik kawasan Rumah Warisan yang luas dan dijaga rapi. Memang dia mengambil keputusan yang agak lama untuk menetap di sini. Sebelum ni, dia selalu merasakan tiada guna dia menginap di rumah yang serba mewah ini sedangkan dia hanya sendirian. Apatah lagi Ruman Warisan ini banyak meninggalkan kenangan pahit bagi kedua orang tuany. Dia sendiri tak punya pengalaman membesar di dalam rumah ini.

Tetapi sekarang, sejak hadirnya Audra Laily, dia merasakan dia mahu memulakan langkah pertamanya dalam penyediaan untuk membina sebuah keluarga. Mungkin terlalu awal untuk dia menyimpan harapan begitu. Tetapi hatinya begitu mendesah untuk melakukannya. Hatinya berbicara cinta tatkala dia teringatkan Audra Laily. Semoga Audra Laily adalah wanita yang dicari-carinya selama ini.

“Assalamualaikum! Apa khabar Tuan Syed?” muncul seorang lelaki agak separuh umur lantas menundukkan kepalanya tanda sapaan untuk Zack.

“Waalalaikummussalam.” Zack mendekati dan menghulurkan tangan untuk berjabat.

Pak Dollah merenung huluran tangan Zack. Mahukah Tuan Syed bersalam dengannya sedangkan selama ini Tuan Syed Hussin sangat pantang berjabat tangan dengan pekerjanya. “Tangan saya kotor Tuan Syed! Saya bantu Sudin berkebun tadi!” Memang benar, dia baru sahaja selesai membantu Sudin berkebun.

Zack menggeleng. Dia mencapai tangan kanan Pak Dollah dan bersalam juga dengannya. Bukan dia tak tahu apa yang berlaku di Rumah Warisan ini. Syed Hussin dan Syed Hakim tidak pernah menghulurkan tangan untuk bersalam dengan pekerjanya. “Tak kira pun siapa kita, kita adalah sama kecuali amalan kita di sisi Allah!” Tegas Zack.

Satu perasaan kagum menyelinap di hati Pak Dollah pada orang muda di depannya. “Saya Pak Dollah, pemandu peribadi Tuan Syed. Bila-bila masa saja Tuan Syed mahukan saya, Tuan Syed beritahu saja.” Sudah sekian lama dia hanya bergoyang kaki tanpa melakukan apa-apa. Setiap pagi, dia hanya membawa Che Enon ke pasar jika perlu dan adakalanya dia membantu Sudin, tukang kebun melakukan tugasnya. Selebihnya, dia hanya berehat. Terasa malu juga dengan Tuan Syed.

“Buat masa ni, saya masih belum perlukan khidmat Pak Dollah. Pak Dollah boleh teruskan tugas seperti biasa. Bawa Che Enon ke pasar, lepas tu tolong Pak Sudin berkebun. Insyaallah, bila sampai masanya saya perlukan khidmat Pak Dollah, saya akan beritahu,” ujar Zack.

Tercengang Pak Dollah dan Che Enon di situ. Bagaimana Tuan Syed bisa tahu apa yang dilakukan Pak Dollah selama ini? Mungkinkah Tuan Syed selalu memerhatikan mereka? “Tapi Tuan Syed, rasa tak seronoklah sebab tak dapat jalankan tugas dengan baik,” Pak Dollah meluahkan perasaan kurang senangnya.

“Tak Pak Dollah! Selama ni Pak Dollah dan semua yang ada di sini dah jalankan tugas masing-masing dengan baik! Saya sangat menghargainya.” Semakin berkerutlah wajah Pak Dollah dan Che Enon. Tuan Syed bercakap seolah-olah memang benar dia selalu memerhatikan mereka di Rumah Warisan ini.

Zack yang menyedarinya hanya tersenyum. “Insyaallah Pak Dollah, bila tiba masanya, saya akan memerlukan Pak Dollah. Cuma, buat masa ni saya masih belum mahu gunakan pemandu peribadi,” terang Zack. “Kalau Pak Dollah rasa keberatan, saya tugaskan Pak Dollah membantu Che Enon, Pak Sudin dan Pak Rahim bila mereka perlukan Pak Dollah! Macam mana?”

“Baiklah Tuan Syed!”

“Mana Pak Sudin?” tanya Zack.

“Sudin? Tadi dia ada di laman belakang.” Pak Dollah baru teringat dengan Pak Sudin. “Pagi tadi saya dah ingatkan dia yang Tuan Syed nak datang. Rasaya dia lupalah tu, Tuan Syed. Maklumlah dah orang tua, kan. Maaf ya Tuan Syed!” Ada rasa bersalah dari suaranya. “Tuan Syed tunggu kejap, biar Pak Dollah pergi panggilkan dia.”

“Tak perlu Pak Dollah! Biarlah dia buat kerja dia. Jangan ganggu dia,” halang Zack.

Pak Dollah hanya menurut.

“Hmmm….marilah masuk Tuan Syed. Saya dah siapkan kamar untuk Tuan Syed berehat,” baru Che Enon teringat untuk mengajak Zack ke dalam. Sedangkan sudah terlalu lama Zack berdiri di situ. “Tuan Syed dah sarapan? Kalau belum, biar saya siapkan sarapan dulu.”

“Terima kasih Che Enon. Saya dah bersarapan sebelum datang sini tadi,” ujar Zack. “Marilah! Kita masuk ke dalam.” Zack menjemput mereka berdua untuk menemaninya masuk ke Rumah Warisan. “Pak Dollah tolong angkat beg saya, ya.” Sebenarnya, dia sudah bersedia untuk tinggal di sini. Kerana itulah dia membawa bagasi kecil bersamanya. Barang-barang yang lain masih ada di rumah teresnya. Sengaja dia tinggalkan di sana, manalah tahu, jika dia terasa mahu bermalam di rumah teresnya.

“Baik Tuan Syed!” Pak Dollah terus mengangkat bagasi Zack dan membontoti mereka berdua yang sudah maju ke depan.

Ketika kaki Zack melangkah masuk ke ruang tamu yang mempunya empat ruangan, langkahnya terhenti. Matanya terancap pada gambar-gambar keluarganya yang tergantung di dinding. Dia memerhatikan setiap dinding yang tergantung wajah Syed Hakim dan Syarifah Hashima, arwah ayahnya, Syed Zarkasyi dan Syed Hussin. Sampai sahaja di depan wajah Syed Zarkasyi, Zack menghentikan langkahnya.

Tak disangka masih ada juga potret Syed Zarkasyi di rumah itu. Bukankah ayahnya dituduh sebagai seorang pengkhianat hanya semata-mata kerana berkahwin dengan orang gajinya sendiri? “Macam mana gambar ni masih tergantung di sini?” tanya Zack pada Che Enon.

Che Enon mendekati Zack. “Sebenarnya, sebelum ni memang tiada satu pun gambar Tuan Syed Zarkasyi.” Perlahan sahaja suara Che Enon. Bimbang hati Tuan Syed tersentuh. “Tapi semenjak kami diberitahu Tuan Syed yang akan mewarisi semua harta peninggalan Tuan Syed Hakim dan menginap di sini, jadi kami menggantungkan semula gambar ni. Kebetulan, cuma ada satu gambar ni saja yang tersimpan di stor.”

Zack menarik nafasnya. Sangkanya, Syed Hakim dan Syed Hussin masih berbaik hati menyimpan gambar ayahnya. Tetapi dia silap! Astaghfirullahal a’zim……Zack cuba beristighfar seketika bila merasakan api kemarahan sedang ditiupkan syaitan padanya. Bukankah dia sudah berjanji dengan Ilyana untuk cuba memaafkan ayahnya? “Che Enon boleh tolong saya?” tanya Zack.

Che Enon mengangguk. “Tentu saja Tuan Syed!”

“Begini,” Zack menarik nafas seketika. “Setiap sudut rumah ni saya lihat seperti….” Zack diam seakan berfikir. “….terkurung!” ujar Zack. Dia sendiri tidak pasti perkataan yang sesuai untuk menggambarkan apa yang dirasanya. Yang pasti rumah ini tidak kelihatan seperti sebuah rumah yang damai melainkan rasanya seperti sebuah kurungan! Sebaik sahaja dia melangkah masuk, dia tidak merasa ketenangan.

“Terkurung?” Berkerut dahi Che Enon. Lantas dia menoleh ke belakang memandang Pak Dollah yang masih terpaku di muka pintu. Pak Dollah hanya menjungkitkan bahunya.

“Entah….” ujar Zack sambil menggarukan keningnya yang tidak gatal. “Cuma saya tak nak rumah ni terlalu banyak……” Zack menggelengkan kepalanya. Dia masih belum dapat perkataan yang sesuai. “Rumah ni tak de kedamaian! Bila masuk saja dalam kawasan rumah ni saya rasa macam masuk ke dalam sebuah rumah kurungan. Penjara!” Benar! Itulah yang dirasakannya. Jiwanya terkunci di sini! “Saya tak bahagia di sini. Saya tak boleh tinggal di rumah yang tidak mendatangkan ketenangan pada saya.”

“Jadi, Tuan Syed mahu ubah semula rumah ni?” tanya Che Enon.

Zack memandang Che Enon. “Ya! Saya mahukan rumah ni sebagai sebuah rumah! Bukan penjara! Bukan kurungan! Saya mahu merasakan ketenangan dan kedamaian sebaik saja saya melangkah masuk ke dalam rumah ni.” Zack menghembuskan nafasnya. Bagaimana dia mahu tinggal di sini jika hatinya terhimpit begini? “Tak apalah, kita ke setiap bilik dulu! Saya nak tengok bilik yang ada. Bilik mana yang paling sesuai untuk saya?”

“Bilik utama di tingkat paling atas. Saya dah siapkan bilik itu untuk Tuan Syed,” ujar Che Enon. “Mari!”

Mereka bergerak menuju ke tingkat empat banglo itu di mana letaknya kamar utama milik setiap pewaris.

Sampai sahaja di depan ruangan kamar utama, Che Enon membukakan pintu. Zack melangkah ke dalam. Dia memerhatikan seluruh kamar besar itu. Boleh dikatakan keluasan kamar utama itu sahaja menyamai luas kawasan teres dua tingkat miliknya.

Di dalam kamar itu juga terdapat banyak gambar-gambar Syed Hussin yang masih tergantung. Bukan itu sahaja, banyak juga kepala patung yang dijadikan hiasan. Jiwa Zack menjadi resah. Dia tida tenang berada di dalam kamar ini. Bagaimana kamar ini boleh menjadi tempat peraduannya dan tempat istirehatnya?

“Saya tak suka setiap apa yang ada di rumah ni!” Dia beralih memandang Che Enon dan Pak Dollah. “Saya nak Che Enon keluarkan semua yang tak patut berada dalam rumah ni! Pak Dollah tolong bantu, ya!”

“Baik Tuan Syed!” Laju sahaja Pak Dollah mengangguk. Jelas sekali dari raut wajah yang Tuan Syed pancarkan, lelaki itu memang tidak suka dengan apa yang ada di dalam rumah ini.

“Kita mulakan dengan bilik utama dulu. Saya nak Che Enon keluarkan semua gambar-gambar ni. Saya mahukan kehidupan peribadi dalam bilik saya. Che Enon hiaskan kamar saya dengan sesuatu….” Zack masih berfikir. “….apa sajalah yang boleh mendamaikan. Kalau boleh, lepas balik kerja saja saya nak masuk ke dalam bilik ni dengan jiwa yang tenang. Jadi, Che Enon tolong larikan semua yang bersangkut paut dengan kerja dalam bilik saya. Apa-apa saja yang ada kaitan dengan urusan kerja, semuanya masukkan ke dalam pejabat di bawah!”

Zack memberi arahan. Dia memang sudah sedia tahu yang di tingkat bawah sudah ada sebuah pejabat kecil yang selalu digunakan oleh tuan-tuan Syed sebelumnya.

“Baiklah Tuan Syed!” Che Enon mengangguk namun dalam hatinya sudah pusing memikirkan cara untuk menghiaskan kamar ini seperti yang dimahukan Tuan Syed.

Zack memandang Che Enon dan Pak Dollah. “Saya tangguhkan niat saya untuk tinggal di sini dulu. Insya-Allah, bila rumah ini bawa ketenangan pada saya, saya akan tinggal di sini.”

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

BORANG ditangannya di baca sambil menyandarkan diri di birai katil bujangnya. Berkerut kening Audra membaca tawaran ditangannya. Menarik memang menarik, tapi dia masih keberatan untuk mencuba walaupun dia mendapat sokongan yang padu dari Encik Hashim.

Ketika di kolej petang tadi, Encik Hisyam memanggil sepuluh orang pelajar akaun terbaik. Kemudian dia memberi sedikit penerangan berkenaan tawaran ini. Kesepuluh mereka adalah pelajar akaun terpilih untuk datang ke temuduga jawatan kosong di Warisan Syed.

“Macam mana Audra? Kau nak cuba?” tanya Zana yang baru muncul. Zana duduk di katilnya. Dia juga menerima tawaran yang sama. Tawaran untuk datang temuduga di Warisan Syed sebagai penolong akauntan.

“Nantilah aku fikir dulu,” ujar Audra denagn berat.

“Ni peluang baik ni!” Ada sinar di wajah Zana. Dia mengharapkan persetujuan dari Audra. Dia sudah bertekad untuk menerima tawaran ini dan menghantar semula borang kepada Encik Hashim pada esoknya.

Audra memandang Zana sekilas. “Memanglah peluang baik, tapi aku tak nak tinggal di Penang lepas habis belajar! Kan, aku pernah beritahu kau dulu!” Dia mahu pulang ke kampunganya di Tanjung Karang dan mencari pekerjaan di sana.

“Aku ingat!” Memang Audra pernah memberitahunya tentang itu. Zana sudah bangun dan duduk di sisi Audra yang masih berbaring. “Rugi kalau kau tolak mentah-mentah macam tu! Bukan senang peluang macam ni nak datang!”

“Tapi aku dah rancang balik dan kerja semula di Perak.”

Zana mengetap bibir. “Apa kata, kita pergi je interview ni. Lepas tu kalau kau diterima tapi kau masih tetap dengan pendirian kau, kau tolaklah kerja ni,” usul Zana. “Sekurang-kurangnya kau dah mencuba. Dapat juga pengalaman.”

Audra mencebik. “Kalau macam tu baik tak payah pergi. Boleh jugak bagi orang lain peluang ni!” Kenapalah dia perlu bersusah payah bersedia dengan temuduga sedangkan dia memang tak mahu bekerja di syarikat itu! Lebih baik diserahkan sahaja tawaran itu untuk pelajar yang lain!

“Janganlah macam ni Audra! Bukan senang peluang macam ni nak datang bergolek pada kita!” Zana sudah menarik nafas panjang. Dia merasa sangat rugi jika Audra menolak peluang ini.

“Rezeki Allah luas. Kat mana saja ada rezeki kalau kita berusaha,” balas Audra.

“Betul. Tapi kalau kita tolak terus peluang ni, maknanya tolak rezeki!”

“Tapi…”

“Macam ni, apakata kau telefon mak kau kat kampung. Tanya pendapat dia. Mana tahu kalau dia setuju kau kerja kat sini lepas habis belajar nanti.”

Audra bangun lalu duduk seperti Zana. “Masalahnya, abah dan mak aku tak kisah. Tapi, aku nilah yang kalau boleh nak kerja kat sana. Kalau boleh aku tak nak tinggal jauh dengan famili aku lagi. Cukuplah sekadar untuk belajar saja.”

Zana duduk memeluk lututnya. “Hmm….aku ingat lepas belajar nak cari kerja kat sini jugak. Mak dengan bapa aku pun dah setuju.” Zana memandang Audra. “Kau nak tinggalkan aku ke?” sugul sahaja wajah Zana memohon simpati. Sejak dari kecil mereka bersama, tentu terasa sedih jika mereka perlu berpisah.

“Kalau kau tak nak aku tinggalkan kau, kita sama-sama balik kampunglah!’ usul Audra pula.

“Nampaknya terpaksalah aku sendiri kat sini. Kena cari kawan lain.” Ada nada rajuk dari suaranya. Bukan senang nak cari kawan seperti Audra walaupun kadang-kadang kawannya ni mereng kerana suka berangan. Tapi itulah yang membuatkan Audra istimewa walaupun adakalanya perangainya yang satu ini menyakitkan hati.

“Engkau ni kan!!” Audra sudah mencebikkan bibirnya. “Kalau dah tak de siapa nak temankan kau, kita cari kerja kat Perak saja sudahlah!”

“Tapi aku suka di sini! Sini banyak peluang pekerjaan. Banyak pengalaman yang boleh kita timba. Kat sana pun, kita tinggal di kampung. Jauh dari bandar. Kalau nak kerja pejabat terpaksalah kita menyewa di bandar jugak. Sama saja bagi aku. Lebih baik tinggal di sini. Peluang pun dah ada depan mata. Tak salah rasanya mencuba. Kalau ada rezeki, adalah. Kalau tak de…..” Zana menjungkitkan bahunya.

Wajah sugul Zana dipandang dengan senyuman. “Jangan-jangan, kau tak nak tinggalkan Zaid tak?” usik Audra.

“Ish!! Mana ada!” Pantas sahaja Zana menafikan. Sungguh! Zaid bukanlah persoalannya. “Jodoh itu datang dari Allah! Kalau ditakdirkan Zaid adalah jodoh aku, kat mana pun aku ada, sejauh mana pun kami terpisah, kami tetap akan bersatu!” suara Zana dengan yakin.

Audra tersenyum. Bangga dia punya teman seperti Zana. “Betul kata kau Zana!” sokongnya. “Zaid tahu tentang ni?”

Zana menganggukkan kepalanya.

“Apa kata Zaid?”

“Dia pun sokong kalau kita nak pergi temuduga tu!”

“Hmm….” Audra berfikir sejenak. “Tentulah Zaid sokong kalau kau ada kat sini! Dekat dengan dia.”

“Bukan macam tulah!” Zana menafikan pendapat Audra. “Dia sikit pun tak kisah kalau berjauhan dengan aku. Aku pun macam tu!” Zana menjeling. “Kalau disebabkan hubungan kami, Zaid pun boleh pelawa aku kerja di syarikat ayahnya, kan?”

Audra mengangguk. Betul juga. Ayah Zaid punya syarikatnya sendiri. Kalau benar Zaid dan Zana takut berjauhan, tentu sahaja Zaid akan memujuk ayahnya mengambil Zana bekerja dengan mereka. “Takpe ke kalau bercinta jarak jauh ni? Kesetiaan boleh bergoyang!” Audra cuba menilai hati Zana.

Zana hanya tersenyum. “Memanglah aku cintakan Zaid tapi….” Zana berfikir sejenak. “Rasanya Allah lebih mengetahui kebaikan untuk setiap hambaNYA. Kalau cinta aku dan Zaid terputus, bermakna kami memang tak dijodohkan untuk bersama!”

Audra mengetap bibir. “Aku kagum dengan kau!” Dia melirik Zana. “Zaid setuju dengan pendapat kau?” Sebenarnya, dia lebih khuatir jika cinta Zaid pada Zana hanyalah sebuah persinggahan sedangkan sebelum ini Zaid suka padanya.

“Zaid…” Zana mengetap bibirnya. “Dia, okey! Dia pun ada pendapat yang sama dengan aku. Dia dan aku dah berjanji yang hubungan kami akan berjalan sesuai dengan batas-batasnya dan menyerahkan semuanya pada takdir!”

Audra menarik nafas yang panjang. Dia tak tahu tentang hati Zaid tapi cukuplah kalau Zana berserah semuanya pada Allah. Mana tahu kalau-kalau Zaid melukakan hati Zana. Sekurang-kurangnya, dia yakin Zana akan kuat.

“So, macam mana?”

Sekali lagi Audra menarik nafas panjang apabila soalan itu berbangkit lagi. Ada benarnya juga kata Zana. Kalau pulang ke kampung pun, tiada peluang pekerjaan di sana melainkan mereka perlu juga berhijrah ke bandar. Jadi, lebih baik mereka mencuba rezeki yang sudah ada depan mata.

“Macam nilah…” Audra mengalih tubuhnya menghadap Zana. “Apa untungnya kita yang beragama Islam ni? Sebab kita ada Allah! Jadi apa kata, kita sama-sama minta pertolongan dari Allah untuk menentukan masa depan kita!”

“Hah!! Betul jugak!!” Bersinar wajah Zana memandang Audra. Benar kata Audra. “Isytiqarah!”Mereka berdua tersenyum dan menganggukkan kepala.


bersambung.........