Thursday 16 December 2010

Hanya Dia 45

BAB 45

SEPANJANG hari Zack berkurung di rumah. Fikirannya masih tidak menentu. Setiap pergerakan dan tindakannya hanya membayangkan seraut wajah Maisara di samping Fariz. Dia keliru, mengapa Maisara sanggup berbohong padanya? Kan lebih baik Maisara berterus terang dengannya. Kenapa perlu Maisara mengatakan Fariz itu abang iparnya? Apa niat Maisara sebenarnya?

Bosan tinggal di rumah dengan fikiran yang berserabut, Zack mengambil keputusan untuk keluar.

Sepanjang perjalanan dia terus memandu tanpa tujuan adakalanya fikirannya terus melayang dan hampir hilang tumpuan di jalan. Akhirnya, dia berhenti berehat dan singgah di sebuah gerai mamak.

Setelah menghabiskan sepinggan mee goreng dan segelas teh panas, dia terus memandu tanpa tujuan kembali.

Hampir waktu senja. Dia melirik jam sebentar lalu memutuskan untuk kembali semula ke rumah.

Tiba sahaja di rumah teres miliknya, dia menjadi keget sebentar apabila sebuah Mazda 6 bewarna putih tersadai di pintu pagar. Dia memakirkan Honda City miliknya di tepi lalu melangkah keluar dan menghampiri seorang lelaki.

“Apa..... tuan ini Syed Zikri?” tanya lelaki yang berpakaian seragam putih.

Zack mengangguk seraya matanya liar memandang ke tempat duduk belakang untuk melihat siapakah gerangan yang bertandang ke rumahnya. Tetapi cermin yang serba hitam itu menghalang pandangannya.

Lelaki yang berpakaian seragam itu menuju ke pintu belakang dan membuka pintu sambil kepalanya di tundukkan tanda hormat kepada majikannya. Sepasang kaki yang bersepatu hitam kelihatan lalu sebatang tubuh berdiri tegak di depannya.

Kelihatan seorang lelaki yang separuh umur dan sebahagian rambutnya keputihan tanda sudah di makan usia. Namun susuk tubuh lelaki itu masih tegap dan kelihatan begitu berkarisma bersama suit hitamnya.

Tajam lelaki yang berkaca mata itu merenung ke arahnya. Zack tersenyum sinis bersama sebuah hembusan nafas di lepaskan.

“Ada hajat apa Tuan Syed datang ke pondok buruk saya?” soalan yang kedengaran merendah diri namun disampaikan Zack dengan nada yang begitu sinis sekali.

Walaupun Zack tidak pernah bersua muka secara berdepan dengan satu-satunya saudara ayahnya, namun dia cukup mengenali seraut wajah itu yang begitu persis dengan Syed Hakim. Ketika dia berusia dua belas tahun, Syed Hakim pernah datang ke rumahnya untuk berjumpa dengan mereka sekeluarga.

Syed Hakim menawarkan peluang kepada Syed Zarkasyi untuk kembali semula ke rumah warisan keturunannya. Tetapi tawaran itu perlukan sebuah pengorbanan. Memandangkan Syed Zarkasyi dan Nurul Anis dikurniakan zuriat lelaki maka Syed Hakim mahukan Syed Zarkasyi dan Syed Zikri kembali semula ke Rumah Warisan.

Dan Nurul Anis perlu kekal berjauhan dengan mereka. Malah Nurul Anis boleh memilih sama ada mahu mulakan hidup baru bersama lelaki lain atau kekal menjadi isteri Syed Zarkasyi. Seandainya, Nurul Anis memilih Syed Zarkasyi kekal sebagai suaminya, wanita itu perlu rela melepaskan Syed Zarkasyi dan Syed Zikri tinggal berjauhan dengannya kerana Syed Hakim tidak mahu Nurul Anis kembali ke Rumah Warisan. Syed Zarkasyi pula perlu menuruti kemahuan Syed Hakim untuk memperisterikan sepupu kepada Syarifah Nurain, Syarifah Sahara memandangkan di ketika itu Syarifah Nurain sudah dijodohkan dengan Syed Hussin.

Syed Zarkasyi berkeras tidak akan kembali semula ke rumah warisan dan menuruti semua kemahuan Syed Hakim. Dia rela dibuang dari keturunan Syed Hakim daripada perlu berpisah dengan Nurul Anis dan memisahkan Nurul Anis dengan anaknya.

Kerana penolakan Syed Zarkasyi dahulu, maka Syarifah Nurain dijodohkan dengan Syed Hussin. Syed Hakim agak merasa kecewa kerana mereka berdua tidak dikurniakan zuriat lelaki. Macam-macam cara telah dilakukan oleh Syed Hussin dan Syarifah Nurain untuk mendapatkan seorang zuriat lelaki namun rezeki tidak pernah berpihak pada mereka. Mereka hanya dikurniakan seorang zuriat perempuan, Syarifah Ilyana.

Syed Hussin mengerling sekilas rumah teres lelaki itu lalu memandang Zack semula. Dengan wajah yang tenang dan renungan yang mengandungi seribu makna, Syed Hussin menghampiri Zack sehingga jarak yang memisahkan mereka hanya dua kaki sahaja.

Memang Syed Hussin agak tercabar apabila Zack berkeras tidak mahu berjumpa dengannya dan mengarahnya sendiri untuk datang berjumpa dengan Zack. Namun, apabila mengingatkan kembali Syed Hakim sendiri pernah merendahkan diri datang berjumpa dengan Syed Zarkasyi dan Nurul Anis, akhirnya dia memutuskan untuk datang juga berjumpa dengan Zack.

“Tiga puluh tiga tahun.....” Suara garau Syed Hussin akhirnya keluar jugak. “ Seumur hidup kamu selama tiga puluh tiga tahun kita tidak pernah bersua. Tetapi wajah kamu tidak jauh berbeza dengan Syed Zarkasyi. Begitu melihat kamu, aku teringat pada satu-satunya saudara yang pernah aku miliki dulu!”



SYED HUSSIN yang sudah membontoti Zack ke dalam rumahnya hanya berdiri tegak tanpa duduk di kerusi setelah dipelawa Zack. Zack hanya membiarkan sahaja Syed Hussin yang keberatan untuk melabuhkan punggungnya di kerusi dan dengan selamba dia duduk di situ.

Syed Hussin merenung Zack yang kelihatan langsung tidak menghormatinya.

“Kamu tidak ubah seperti Syed Zarkasyi yang tidak hormat pada orang yang lebih tua!” Perlahan tetapi keras nada yang dilemparkan Syed Hussin.

Zack menggelengkan kepalanya mendengar tuduhan itu.

“Tuan Syed, apa yang Tuan Syed mahukan? Saya dah pelawa Tuan Syed duduk, tapi Tuan Syed menolak. Saya faham rumah saya tiada ‘kelas’ bagi Tuan Syed. Tapi Tuan Syed tak berhak menuduh saya macam tu!” Agak keras nada yang dilemparkan Zack.

“Syed Zikri!” Syed Hussin menempik apabila lelaki itu meninggi suara begitu.

“Zack!!” Zack berdiri dan bertentang mata dengan Syed Hussin. “Just.....Zack.....Tak perlu pangil saya dengan nama tu. Saya lebih selesa kalau Tuan Syed panggil saya, Zack!”

Syed Hussin menarik nafas yang panjang. Belum pernah lagi ada orang yang lebih muda darinya meninggikan suara seperti itu. Berdepan dengan Zack, dia perlu kesabaran yang tinggi. Jika bukan kerana amanat arwah walid, Syed Hakim, tak mungkin dia membiarkan dirinya dihina seperti ini.

“Aku tahu, kamu berdendam pada aku dan Syed Hakim, tetapi aku mahu kamu tahu satu perkara. Dan aku mahu kamu dengar dengan teliti apa yang mahu aku katakan. Aku tidak mahu jawapannya sekarang. Aku beri tempoh untuk kamu berfikir sehingga kamu benar-benar tahu apa yang kamu mahu lakukan dalam hidup kamu!”

Setelah berkata begitu, Syed Hussin memberi arahan kepada pemandunya untuk mengambil beberapa fail di dalam kereta. Setelah itu dia memberikan kepada Zack dan menerangkan tujuan kedatangannya.

Hampir tiga jam mereka berbincang. Setelah selesai urusannya, Syed Hussin terus berlalu pergi dan Zack masih termangu dengan fikiran yang berserabut.

Wednesday 24 November 2010

Hanya Dia 44

BAB 44


MAISARA kembali bertugas seperti biasa namun suasana kerja pada hari itu sungguh luar biasa untuknya. Sepanjang jalan dari tempat letak kereta hingga ke meja kerjanya, rata-rata teman-teman sepejabat kelihatan memberi perhatian yang sungguh istimewa. Malah-malah teman-teman yang kurang mengenalinya juga sudah mula memberi perhatian. Ada juga teguran selamat pagi yang diterimanya dari kakitangan yang kurang dikenali.

Maisara mengemas mejanya dan membedakkan kerja-kerjanya yang sudah tertunggak tiga hari. Sepatutnya kelmarin dia sudah kembali bekerja, namun rindunya pada Aiman masih belum terubat. Kerana itu dia memohon satu hari cuti kecemasan.

Sepatutnya cuti kemasan memang tidak dibenarkan tanpa sebab yang munasabah namun kerana Fariz sendiri yang menghubungi Mr. Lim, maka dengan mudahnya dia mendapat cuti. Inilah yang sebenarnya dia tidak suka jika mereka tahu siapa dia dengan Fariz. Mungkin sesetengah dari kakitangan akan mengatakan dia cuba mengambil kesempatan kerana bersuamikan Pengarah Infera Emas.

“Hai Sara!” muncul Sofea di depan mejanya.

Maisara yang sedang menunduk untuk melaksanakan kerjanya segera mengangkat kepala. Melihatkan Sofea yang berdiri di depannya bersama senyuman manis yang terukir di bibir membuatkan wajahnya bertambah kelat.

“Ada apa? Encik Zack panggil ke?”

Melihatkan Sofea, lantas dia teringat pada Encik Zack. Mungkinkah Encik Zack juga sudah mengetahui statusnya? Seandainya sudah.......alhamdulillah. tidaklah susah-susah untuk dia mencari masa yang sesuai dan memberatkan otaknya bagaimana cara mahu memberitahu Encik Zack kenapa dia tidak boleh menerima Encik Zack.

“Oh.....bukan.” Sofea menggelengkan kepala. “Encik Zack cuti hari ni. Ada hal kecemasan katanya.”

“Jadi? Ada apa-apa yang aku kena buat?”

“Eh.....tak....” Sofea menggeleng lagi. Sikap Sofea yang tiba-tiba berlembut dengannya memang menjengkelkan. “Kau belum makan pagi lagikan, kita breakfast sekali nak?”

Ajakan Sofea itu membuatkan Maisara tertawa kecil. Pasti ini semua berkaitan dengan Fariz.

“Macam nilah Sofea.......kita sama-sama tahu yang dari dulu kita memang tak sebulu. Jadi janganlah disebabkan kau dah tahu aku ni isteri Pengarah kau nak berbaik dengan aku,” ujar Maisara dengan lambut walaupun ayatnya kedengaran agak kasar. Maisara memandang wajah Sofea yang sudah berubah apabila mendengar kata-katanya.

“Kau janganlah risau, aku bukan jenis yang suka mengadu pada suami. Cuma mulai hari ini, kita akan bersikap seperti biasa dan soal kerja, aku harap kita dapat bekerjasama dengan lebih baik!”

Sofea terkaku di situ. Dia merasakan bagai dia tidak punya kekuatan untuk membalas kata-kata Maisara. Dia ingin berlalu pergi namun langkahnya terhenti apabila Maisara bersuara semula.

“Mulai dari saat ini jangan kaitkan aku dengan Encik Zack. Aku tahu, fitnah tentang hubungan aku dengan Encik Zack bermula dari kau dan Mila. Diorang yang pergi team building hari tu yang beritahu aku bila diaorang tahu aku ni isteri Encik Fariz.”

Sofea terus melangkah pergi. Mukanya terasa panas namun dia sendiri tak pasti adakah kerana dia marah ataupun dia terasa malu untuk mengangkat mukanya pada Maisara lagi selepas ini.

Maisara kembali duduk semula di kerusinya. Dia menghembus nafas yang panjang. Dia sendiri tidak pasti perasaannya kini. Di sebelah pihaknya merasa puas kerana dapat meluahkan segala kemarahannya pada Sofea tetapi di sebelah pihak yang lain dia merasa bersalah kerana terlalu mengikut perasaan.

“Heyy!!!!” Suara riang itu meyapa telinga Maisara. lantas dia menoleh dan tersenyum manis pada tuan empunya suara.

“Macam mana?” tanya Hanum.

“Macam mana?” berkerut dahi Maisara dengan soalan Hanum.

“Tak delah.....tentu hari ni berlainan untuk kau. Yelah.....sebelum ni kau hanya Maisara, kerani di bahagian kewangan. Tapi hari ni, kau adalah Maisara isteri Pengarah Infera Emas. Tentu lain, kan?”

“Tak de apa yang lain ye Hanum. Aku masih tetap pegang jawatan yang sama dan buat kerja yang sama. Tapi, itulah......layanan orang sekeliling yang rasa agak......” Maisara mengenyitkan matanya mangharapkan Hanum mengerti sendiri maksudnya.

“Ya.....ya.....aku faham. Tadi, aku nampak Sofea berborak dengan kau. Ada apa-apa ke perempuan tu?” tanya Hanum.

“Tak de apalah. Cuma dia ajak breakfast sekali,” beritahu Maisara.

“Wow!! Tak sangka betul! Tiba-tiba je dia baik dengan kau.” Hanum menggelengkan kepala beberapa kali. “Beruntung ye jadi isteri orang berpengaruh ni! Musuh pun nak jadi kawan!”

Maisara tertawa kecil dengan omongan Hanum.

“Adat dunia macam tulah. Tapi kita kena berpijak di bumi nyata. Kena tahu menilai yang mana kaca yang mana permata.”

Hanum mengangguk menyetujui kata-kata Maisara.

“Aku ni kira permatalah, kan?” usik Hanum. Maisara mencebik.

“Ye ke??”

Of course! Aku kan sahabat kau dari dulu lagi! Sejak kau masuk ke Nusmefa Emas. Cuma aku harap, kau masih seperti dulu. Maisara yang aku kenal!”

“Kau jangan risaulah!” Maisara memegang bahu Hanum. “Walau apa pun terjadi, kaulah sahabat aku dunia akhirat.”

Terharu seketika Hanum dengan kata-kata ikhlas itu. Dia yakin Maisara tidak mudah lupa diri. Jika tidak, sudah tentu sedari dulu Maisara tidak bersahabat dengan orang biasa sepertinya.

“Thanks, Sara!”

“Eh, berani pulak kau datang sini ye! Kau tak takut ke si Mila tu nanti komplen kat Mr. Lim?”

Baru Maisara tersedar tentang hal itu. biasanya, jika Hanum mahu bertemu dengannya gadis itu akan terhendap-handap takut dilihat oleh Mila atau Sofea. Tetapi kali ini gadis itu kelihatan selamba sahaja.

Well.....nak takut apa. Aku datang berjumpa dengan isteri Pengarah Infera Emas. Mr. Lim takkan marah punya. Mila dan Sofea tu dah tak boleh nak buat apa.”

Terjungkit-jungkit kening Hanum ketika berbicara. Memang di saat ini dia merasa bangga kerana menjadi sahabat Maisara.

“Iyelah tu!!!” Maisara mencubit bahu Hanum. Terjerit Hanum dengan cubitan itu sehingga membuatkan Maisara tertawa.

“Eh, sebenarnya aku datang sini nak ajak kau keluar breakfast!” Hanum yang masih menggosok-gosok bahunya baru tersedar tujuan asal kadatangannya di situ.

“Boleh jugak! Jom!!” Dengan pastas Maisara mencapai tas tangannya. Kemudian mereka berjalan bersama sambil berbual mesra.

Maisara dan Hanum yang menyedari banyak mata yang terarah pada mereka hanya berpura-pura tidak mengerti. Mungkin untuk sehari dua lagi mereka terpaksa melalui hari seperti itu. Maklum kakitangan di situ baru dihebohkan tentang status Maisara. Mungkin bila sudah lama, semuanya akan sediakala semula.

Friday 12 November 2010

Hanya Dia 43

BAB 43


“FOR what?” Zack sudah bangun dengan rasa tidak senang lalu menyelak jendela dan memerhati luar tingkap dengan pandangan kosong.

Ilyana mengetap bibir. Otaknya ligat berfikir kata-kata yang terbaik agar tidak terhambur api kemarahan yang sudah lama terpendam di dalam diri Zack. Dia tahu dia sedang bermain dengan kisah silam yang tak pernah padam.

I pun sebenarnya tak pasti. Apa kata you jumpa dulu dengan walid. Maybe he’s got something to tell you or....something to discuss about our family!”

“Our family?!” Ada nada sinis dari suaranya. “Since when your family become my family?”

Zack megerutkan keningnya. Sukar untuk dia membaca permainan yang sedang dimainkan dua beranak ini. Dia kembali semula di kerusinya lalu menongkat dagu dan memandang Ilyana dengan tepat.

“Just tell me......What it’s all about? Why Warisan Syed so desperate to take me in?”

Ilyana mengeluh lalu kembali membalas pandangan Zack. Dia benar-benar terhimpit antara walid dan Zack. Masing-masing punya keegoan yang tinggi. Dia sendiri sebenarnya tidak pasti mengapa walid berkeras mahukan Zack kembali ke Warisan Syed. Jika diikutkan kemahuannya, dia tidak mahu Warisan Syed terbahagi antara dia dan Zack. Dia lebih senang jika Zack terus terbuang dari menjadi waris Syed Hakim.

“I don’t know! I just don’t know! And I think.... you, Syed Zikri.....” Ilyana menunding jari telunjuknya pada Zack. “.........better go and face to face with my walid!”

“If he wants to see me, then ask him to come here and see me!”

“Uh?” Ilyana terkedu seketika. Kata-kata Zack yang berbaur arahan itu membuatnya terfikir sebentar.

“Well.......do you forget the Syed Hakim family’s rules? The elder will never come to see the younger! So, you the one yang akan pergi jumpa dengan walid I.”

“I think that you and your walid is the one who’s forget the past. I’m, Syed Zikri is the son of betrayer, Syed Zarkasyi and my family is no longer Syed Hakim’s family anymore!”

Zack kelihatan sudah hampir hilang sabar. Sikap Ilyana yang bagai mengarahnya untuk melakukan sesuatu yang tidak disukai mencabar keegoannya! Bukankah Ilyana yang datang berjumpa dengannya? Sepatutnya sepupunya itu patut berlembut dan bukan berkasar seperti itu. Bukan dia yang mengganggu hidup mereka sekarang ini.

“Woah....woah.....be cool man!” Ilyana cuba menyabarkan lelaki itu. “ Be cool!”

Fuh!!! Seram bulu tengkuknya melihat wajah Zack yang sudah mula menyinga. Hilang seluruh ketampanan lelaki itu. Apa lagi yang perlu dilakukan untuk memujuk Zack?

Okey....okey.....Nanti I bagitahu walid and I’ll explain to him.....”

Zack menyandarkan tubuhnya. Wajah Ilyana yang sedikir menggeletar dipandangnya. Tak sangka ada juga perasaan takut dalam diri wanita di depannya. Seingatnya wanita itu sentiasa meninggi diri dan tidak pernah gentar dengan orang di sekelilingnya. Bukankah dia anak Syed Hussin dan cucu kesayangan Syed Hakim? Siapa yang berani bermain api dengan keturunan Syed Hakim?

Ataupun mungkinkah kerana dia juga keturunan Syed Hakim dan juga cucu sulung dari anak sulung Syed Hakim membuatkan Ilyana bisa berlembut dan tidak menunjukkan belangnya?

Okeylah Ilyana.....” Zack membuka laci dan mencapai fail dan diari pejabatnya. “.......I nak keluar. Kejap lagi I ada meeting.”

Zack bangun untuk melangkah keluar.

“Nanti Zack!” Ilyana mencapai lengan lelaki itu. Tanpa sengaja sekeping gambar yang terselit di dalam diari Zack melayang keluar tanpa disedari pemiliknya.

“Nanti kita jumpa!” Zack terus menarik tangannya dan berlalu pergi.

Ilyana menghembuskan nafas yang panjang. Terduduk dia kembali di kerusi. Dengan tidak disangka-sangka dia terlihat sekeping gambar yang jatuh di hujung kakinya. Dia mencapai.

Foto Zack bersama seorang gadis sedang tersenyum mesra. Gadis ini.......Dia tahu dan dia cukup mengenali gadis ini. Berkerut dahi Ilyana cuba mengingati foto gadis di samping Zack. Apabila otaknya sudah berfungsi dan menayangkan layar ingatan tentang wajah itu, pantas Ilyana terlopong.

Suhana!!!



SOFEA terkedu seketika. Mila di sisinya sudah kelihatan bagai cacing kepanasan. Sekejap dia duduk sekejap dia bangun. Sekejap dia mundar mandir di depan Sofea. Sehingga berserabut kepala Sofea melihat dia begitu.

“Macam mana ni Sofea?! Matilah kita!”

Wajah Mila penuh dengan kerisauan di tenungnya. Dia menggelengkan kepalanya. Tak mungkin!

“Betul ke? Mana kau tahu semua ni?” tanya Sofea. Sukar untuk dia percaya dengan berita yang baru di dengarnya.

“Betullah!!” Mila kembali duduk di depan Sofea. “Budak-budak yang pergi team building, second bach tu yang bagitahu aku!” beria-ia Mila menerangkan agar Sofea mempercayainya.

Sofea menghembuskan nafasnya. Bibirnya diketap lama. Seandainya benar berita yang di bawa Mila, bermakna mereka berdua sedang menghadapi masalah.

“Takkanlah! Aku dah check dalam fail peribadi Sara. Tak de pun tertulis dia dah berkahwin. Nak-nak lagi dengan Pengarah Infera Emas!” Sofea masih menyangkal dengan berita itu.

“Betul! Budak-budak tu yang beritahu aku! Lagipun aku ramai kawan di anak syarikat yang lain. Mereka semua dah heboh tentang hal ni!” Mila pasti dengan berita itu.

“Well......well.......” satu suara mencelah perbualan mereka. Kelihatan Nisa sedang bersandar di balik dinding. Terukir wajah yang sindiran dari pandangannya.

“Kenapa korang berdua ni? Dah macam cacing kepanasan je....” sindirnya. Sememangnya Nisa sedari dulu tidak menyukai mereka berdua. Lebih-lebih lagi Mila yang sering mendapat kepercayaan Mr. Lim. Baik Mila mahupun Sofea sering berlagak seperti bos apabila pengurus masing-masing tiada di pejabat.

“Eh.....yang kau menyibuk tu apasal. Jangan jaga tepi kain oranglah!” Sofea yang sudah gusar hatinya menempik.

“Janganlah macam tu Cik Sofea. Berita gembira macam ni patut diraikan! Lebih-lebih lagi isteri Pengarah Infera Emas tu, kawan sepejabat kita. Bangga tu!!!!”

Nisa berlalu pergi namun tiba-tiba dia kembali muncul. Sengaja dia berbuat begitu untuk menyakitkan hati mereka berdua.

Sorrylah.....I bukan nak menyibuk tapi cuma nak pastikan hari yang bahagia ni dikongsi bersama.” Dia senyum penuh sinis. “Oh.....untuk kepastian, cik berdua boleh buka e-mail yang I baru send. Ada gambar Encik Fariz dan Maisara sewaktu di jamuan terakhir di sana! Kawan I yang sendkan pada I pagi tadi.”

Mila dan Sofea berpandangan. Wajah masing-masing sudah kemerahan menahan rasa malu dengan setiap sindiran Nisa.

“Ops lagi satu.....” Nisa yang berpura-pura hendak pergi kembali semula. Dia tertawa kecil melihat jelingan Mila dan Sofea. “I dengar cerita, Maisara sengaja rahsiakan siapa suami dia. Maklumlah dia tak mahu jadi perhatian. Tapi bila dah macam-macam gosip yang keluar tentang Sara, Encik Fariz buat keputusan untuk buka rahsia ni.!!”

Sengaja Nisa menokok nambah cerita yang di dengarnya untuk menakutkan Sofea dan Mila. Dia sendiri tidak tahu kesahihan ceritanya itu. Padan muka!

“Hai malang sungguhlah nasib siapa yang pernah menganiaya orang lain. Lebih-lebih lagi isteri Pengarah!!”

Nisa berlalu dengan penuh kepuasan. Di dalam hatinya mentertawakan Mila dan Sofea.

Sofea dan Mila membontoti langkah Nisa yang menjauhi dengan ekor mata. Lalu pendangan mereka jatuh menatap wajah masing-masing.

“Macam mana ni?!!” Kedua-duanya berteriak.



SEKEMBALINYA Zack dari mesyuarat, terus dia membuka laptop di atas meja kerjanya. Gossip yang baru didengarnya sewaktu di bilik mesyuarat sebentar tadi membuatnya hatinya menjadi tidak keruan.

Skrin yang memaparkan imej ‘loading’ membuatkan hati Zack menjadi tidak sabar. Terasa begitu lambat pula laptopnya untuk bergerak hari ini atau mungkin..... berita yang didengarinya itu yang membuat kesabarannya hilang.

Sebaik sahaja semua icon muncul di skrin, dengan pantas Zack sign in ke yahoo mail dan mencari tajuk e-mail yang berkaitan. Dia menekan button kiri pada tajuk ‘BERITA PANAS!!’. Terpampang sebuah imej yang meruntun jiwanya.

Zack menghembus nafas yang panjang lalu mengurut-ngurut dahinya. Kenapa semua ini perlu terjadi begini?

Maisara........

Friday 29 October 2010

Hanya Dia 42

FARIZ melirik Maisara di sebelahnya. Perjalanan yang sudah hampir separuh untuk tiba ke destinasi begitu sunyi dan sepi hingga tiada ruang untuk di mulakannya. Tali lehernya dilonggarkan lalu di buka. Tangan kemejanya di lipat hingga ke siku dan butang bajunya di buka sehingga menampakkan dada.

Suasana yang dingin di dalam kereta dengan air-conditioner yang sederhana di malam hari terasa panasnya untuk Fariz. Sedari tadi sepatah perkataan langsung tidak keluar dari bibir Maisara. Itu yang membuat harinya terasa panas di dalam suasana yang dingin ini.

“Pak Kassim, singgah di perhentian ya!” ujar Fariz seraya mengerling Maisara di sebelahnya yang hilang dalam dunianya sendiri.

“Kita turun makan ye?” ujar Fariz.

Maisara yang sedang membuang pandangannya di luar tingkap mengerling Fariz dengan ekor matanya sekejap.

“Saya tak lapar!” Maisara menolak dan kembali ke posisi seperti tadi.

Dia teringat kepada Hanum dan teman-teman yang lain. Tentu sekarang ni mereka juga masih dalam bas. Ralat dirasakan kerana tak dapat bersama-sama mereka. Walaupun dia beria-ia tidak mahu pulang bersama-sama Fariz dan mahu menyertai teman yang lain namun Hanum pula yang beria-ia memujuknya untuk pulang bersama Fariz.

“Awak marahkan saya?” Fariz cuba membuatkan Maisara meluahkan apa yang terpendam dalam hatinya.

Maisara ketawa menyindir. Rasa nak termuntah apabila Fariz bertanya begitu. Kemudian dia berpaling lalu membuang pandangannya di luar tingkap semula. Untuk apa soalan itu? Sepatutnya Fariz menyedari tindakannya telah melanggar perjanjian mereka.

“Saya dah ketepikan syarat awak!” Fariz menyambung dan cuba melihat reaksi Maisara tetapi isterinya masih tetap membatu begitu.

Fariz mengetap bibirnya. Dia tahu dan dia sedar apa yang telah dilakukannya. Dia juga sudah bersedia dengan kemarahan Maisara. Tetapi mengapa Maisara tidak mahu marah dan menengkingnya kerana membuka rahsia mereka. Sedangkan dia mahu Maisara memarahinya agar dia bisa menerangkan sebabnya. Tetapi Maisara hanya membisu dan membatu. Sikap Maisara yang sebegitu sering mendera perasaannya.

“Please.....Talk to me! I just want to know what is moving on your mind, in your heart.......so that I can explain to you!”

Maisara sudah memicit-micit kepalanya. Memang dia teramat marah pada Fariz di saat ini kerana itu dia hanya mendiamkan diri. Dia tidak mahu hilang kawalan dan bertelagah dengan Fariz di depan Pak Kassim. Walau pun ini masalah mereka berdua, mereka sepatutnya menghormati kehadiran Pak Kassim.

Pak Kassim yang sedang memandu sesekali mengerling mereka di belakang. Dia tahu Fariz dan Maisara sedari dahulu mempunyai masalah. Dia tidak mahu berada di tengah permasalahan mereka sekarang.

Pak Kassim memandang Board yang menunjukkan perhentian R&R Bukit Merah 200 km di hadapan. Dia memandu laju agar tiba di perhentian dengan cepat. Sebaik sahaja menghampiri, Pak Kassim memberi lampu kiri untuk masuk ke dalam kawasan perhentian.

Melihatkan mereka sudah tiba di perhentian, Fariz membuka pintu dan keluar dari perut kereta. Maisara masih membatu seperti tadi, cuma ekor matanya sahaja yang mengekori langkah Fariz.

Fariz yang sudah pun keluar berjalan ke sisi kereta lalu membuka pintu untuk Maisara. Maisara mengerling Fariz yang berdiri di sebelah kiri sambil memegang pintu. Fariz memberi isyarat agar Maisara turun bersamanya.

Maisara melirik Pak Kassim. Pak Kassim melarikan anak matanya. Tenyata Pak Kassim sedang memerhatikan mereka berdua. Maisara yang merasa segan dengan Pak Kassim segera turun dan menuruti langkah Fariz.

Maisara menanti di sudut meja dan Fariz yang tadinya menghilangkan diri sudah kembali dengan bungkusan kuih pau bersama dua gelas milo panas. Bungkusan pau diserahkan kepada Maisara.

“Inti apa?” tanya Maisara sambil tangannya sudah mengambil sebiji pau yang masih panas.

“Kaya. Seperti yang awak suka.” Fariz tersenyum.

Walaupun tiada ucapan terima kasih dari Maisara namun sudah terasa seperti dihargai apabila pau yang dibelinya mendapat perhatian.

“Makanlah! Masih panas lagi!”

Satu jelingan dilemparkan buat Fariz. Dia mengoyak pau berintikan kaya. Berkepul asal keluar. Dia menjamah dengan selera lalu menghirup sedikit milo panas.

Senyuman di bibir Fariz semakin melebar. Gembira dia melihat Maisara. Dahulu, sewaktu hubungan mereka masih terjalin, Maisara suka sekali membeli pau kaya yang masih panas. Setiap kali keluar bersama dan ditemani Suhana, itulah yang menjadi beliannya sekadar untuk kunyahan.

“Sekarang, kita dah jauh dari Pak Kassim. Saya mahu awak luahkan apa saja yang terbuku dalam hati awak!”

Maisara mengerling lagi. Raut wajah menyampah diukirkan. Fariz mengerti itu tetapi kelakar pula dirasakan melihat Maisara begitu hingga membuat dia ketawa kecil.

"What make it so funny?”

“Okey...okey...sorry.....” Fariz mematikan senyuman dan tawanya. “Just tell me....you make me feel guilty if you’re just sitting here without talking.”

“Tell you what? Tell you that I really mad at you! Tell you that you had break the pomise?!” Maisara mengeluh. “You suppose to know better!”

“Why don’t you just ask me, why am I doing all this!”

“Why should I?” Maisara merenung Fariz tajam.

Fariz memicit-micit kepalanya. Sukarnya berdepan dengan Maisara tatkala ini. Apa sahaja yang dilakukannya salah dari pandangan Maisara.

“Let me give you a brief explaination!” ujar Fariz. “Saya buat semua ni sebab saya nak bersihkan nama awak. Walaupun saya jarang ke Nusmefa Emas, doesn’t mean I don’t know what is going on there!”

“Tak de kena mengena dengan awak! Awak tak perlu masuk campur!”

Maisara benci apabila Fariz suka melakukan tindakan sendiri tanpa berunding dahulu dengannya. Fariz tidak adil! Hidupnya adalah haknya. Fariz tak berhak membuat keputusan sendiri berkenaan apa-apa dengannya.

“You are my wife! You are my responsibility!”

“Stop talking about responsibility!” Maisara menutup kedua-dua telinganya. “Awak tak layak bercakap tentang tanggungjawab sedangkan awak tiada sikap itu!”

Fariz mengeluh panjang. Dia meraup wajahnya. Untuk seketika dia beristighfar di dalam hati. Dia tahu Maisara tidak bermaksud untuk berkata demikian. Maisara hanya tenggelam dengan api kemarahan dan dendam.

Thursday 14 October 2010

Hanya Dia 41

BAB 41




KAKITANGAN yang bernaung di bawah Infera Emas dan anak-anak syarikat yang menyertai program berpasukan itu akhirnya kembali berkumpul di dewan setelah aktiviti mereka yang terakhir baru sahaja selesai berlangsung.

Sementara menunggu di setiap meja makan, mereka berbual sambil menikmati hidangan yang terakhir di situ untuk membiarkan masa berlalu memandangkan tetamu penting yang dikatakan petang tadi masih belum tiba.

“Perhatian kepada semua peserta!” suara fasilatator Zaidi bergema di dewan makan.

Perhatian masing-masing sudah beralih memandang fasilitator Zaidi yang sedang berdiri di ruang utama dewan.

“Saya perkenalkan kepada Pengarah Infera Emas dan anak kepada pemegang saham terbesar iaitu, Encik Fariz Haji Ismail!”

Maisara yang baru sahaja memasukkan hidangan ke dalam mulutnya hampir sahaja tersembur sebaik sahaja nama Fariz di sebut. Dia terbatuk sedikit lalu menyapu mulutnya dengan kain kuning yang disediakan dan perhatiannya mula beralih di ruang utama dewan.

Fariz!!

“Kau okey ke Sara?” tanya Hanum. Maisara mengangguk lalu perhatiannya kembali pada Fariz yang sudah mula berjalan masuk dari pintu utama dewan lalu menghampiri mikrofon di ruang utama setelah dipanggil untuk memberi sepatah dua kata.

“Eh......lelaki tu, kan.....” Hanum seperti teringatkan sesuatu. “Bukan dia yang selalu datang ke office dengan Mr. Lim?”

Hanum memandang Maisara dan mengharapkan Maisara juga masih teringatkan wajah yang pernah dilihat beberapa kali bersama dengan Mr. Lim.

Memang ramai kakitangan yang kurang mengenali Fariz kerana lelaki itu jarang sekali datang ke anak syarikat. Jika ada pun, biasanya jarang ada yang mengenalkan Fariz kepada mereka.

“Tak sangka rupanya dia Encik Fariz Haji Ismail!” Hanum sudah tersenyum.

Maisara hanya menganggukkan kepala. Dia tidak hairan mengapa ramai kakitangan bawahan jarang ada yang mengenali Fariz mahu pun Haji Ismail. Baik kedua-duanya bukanlah merahsiakan identiti mereka tetapi mereka jarang sekali memperlihatkan dan mengenalkan diri ketika melawat di setiap anak syarikat.

Setiap tahun jika ada jamuan makan malam bersama, hanya pegawai atasan sahaja yang menghadiri dan kakitangan bawahan belum pernah di lagi dianjurkan program begitu. Malah di anak syarikat sendiri hanya mempunyai carta kedudukan tanpa gambar.

Sedari dahulu, identiti mereka berdua sering menjadi tanda tanya. Malah, Maisara sendiri hampir tidak mengetahui Fariz suaminya, adalah Pengarah Infera Emas.

Maisara memandang Fariz yang sedang memberi ucapan di depan. Dia mula tertanya-tanya apa perlunya Fariz ke sini? Sedangkan mengikut jadual aktiviti yang diberikan di awalnya, kedatangan Pengarah Infera Emas tidak tersenarai.

Mungkinkah benar seperti yang dikatakan.......Dia sepi tanpa aku..........

“Sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada malam ini, saya ingin mengenalkan seseorang yang istimewa dalam hidup saya kepada anda semua. Anggaplah anda semua adalah orang paling bertuah dalam Infera Emas dan setiap anak syarikat. Buat pertama kali saya ingin memperkenalkan isteri saya kepada anda semua....”

Nafas Maisara menjadi sesak. Mulut mereka yang lain sudah ternganga luas kerana apa yang mereka ketahui melalui desas desus, pengarah muda itu masih belum berkahwin lain setelah kematian arwah isterinya dahulu.

“Perkenalkan isteri saya, Maisara binti Khalid! Salah seorang kakitangan di Nusmefa Emas!”

Dari jauh Fariz menghulurkan tangan tepat ke arah Maisara. Pandangan mereka semua jatuh kepada Maisara. Hanum yang berada di sisi Maisara melopong. Dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku.

Maisara memandang sekeliling lalu pandangannya jatuh kepada Hanum yang kelihatan benar-benar terkejut. Kemudian dia beralih semula kepada Fariz di depan. Fariz memberi isyarat agar datang kepadanya.

Dengan wajah yang pucat dan sedikit menggeletar, Maisara bangun lalu berjalan menghampiri Fariz.

Apabila tiba di sisi Fariz, lelaki itu mencapai bahunya lalu memeluk erat. Melihatkan Maisara yang kelihatan menggeletar Fariz mengeratkan lagi pelukannya. Maisara tertunduk ke bawah. Rasanya seperti dia tidak mampu memandang mata-mata yang sedang memandang padanya.



“SAMPAI hati kau Sara!” Hanum sudah menjeling sahabatnya yang sudah tertunduk di birai katil.

Maisara sudah kehilangan kata-kata. Dia sendiri tidak pasti bagaimana mahu menjelaskan semuanya kepada Hanum.

“Susah sangat ke nak mengaku yang kau tu isteri orang?”

Hanum benar-benar rasa tertipu. Mujurlah kini dia mengetahui Maisara adalah isteri Encik Fariz. Bagaimana jika dia mula jatuh hati pada Encik Fariz dan meluahkan rasa hatinya kepada Maisara tanpa mengetahui Maisara adalah isteri lelaki itu?

“Mungkin bagi orang lain tak susah! Tapi bukan aku!”

Maisara dalam kebingungan. Dia tertunduk sambil kedua-dua tangannya memegang kepala.

“Maafkan aku Hanum! Bukan aku nak berahsia dengan kau! Apa yang berlaku semuanya.................”

Maisara diam seketika. Dia sendiri tidak tahu harus bermula dari mana untuk menerangkan kepada Hanum.

Hanum yang masih berpeluk tubuh duduk membelakangi Maisara di birai katil. Lama dia menyepikan diri sambil berfikir. Dia cuba menenangkan diri dan bersikap rasional. Akhirnya, satu keluhan dilepaskan.

“Maafkan aku Sara! Aku tak sepatutnya bersikap begini! Sebagai sahabat sepatutnya aku menghormati keputusan kau. Lagi pun, kau bukan berbohong dengan aku cuma kau merahsiakan cerita hidup kau.”

Maisara berpaling ke belakang memandang Hanum. Hanum tersenyum padanya. Maisara tersenyum kembali.

“Dan setelah apa yang berlaku sebentar tadi, aku rasa aku dah tak perlu berahsia apa-apa dengan kau lagi.” Maisara telah memutuskan untuk menceritakan semuanya kepada Hanum.

Hanum menggenggam tangan Maisara erat. Rasa bersalah pula kerana tiba-tiba memarahi Maisara dengan sebab yang tidak munasabah.

Friday 1 October 2010

Hanya Dia 40

BAB 40


MAISARA dan Hanum bersama teman-teman lain berhenti berehat di pohon-pohon rendang di sisiran pantai. Melepaskan penat lelah selepas sahaja menjalani aktiviti pantai.

Kini hanya tinggal satu sahaja lagi aktiviti selepas minum petang. Kemudian, aktiviti bebas sehingga solat Isyak. Setelah itu mereka akan berangkat pulang dari hotel.

“Okey semua..........aktiviti kita petang ni berakhir di sini. Jangan lupa sambungan aktiviti kita selepas minum petang nanti. Saya nak kamu semua tunggu di dewan......” Belum sempat fasilitator Zaidi Menghabiskan ujarannya, seorang lagi pembantunya menghampiri dan membisikkan sesuatu di telinganya.

Semua pesarta kelihatan terpinga-pinga dan berpandangan sesama sendiri. Fasilitator Zaisi terangguk-angguk mendengar berita yang baru disampaikan padanya. Setelah berbual serba sedikit dengan berita yang baru di terima. Fasilitator Zaidi menghampiri para peserta semula.

“Saya ada satu berita penting untuk di sampaikan. Selepas minum petang nanti, saya mahu kamu semua tunggu di dewan sebelum jam lima petang. Aktiviti terakhir kita akan dimulakan lebih awal kerana kita akan menerima tetamu. Jadi.........”

“Siapa?” kedengaran suara seorang peserta lelaki yang memotong percakapannya.

“Nak tahu ke siapa?” tanya fasilitator Zaidi sekadar untuk mengusik para peserta. Kedengaran beberapa suara yang turut mahu mengetahui gerangan siapa yang bakal tiba.

“Rahsia.....”

Ada keluh kesah kedengaran sebaik sahaja fasilitator Zaidi keberatan untuk memberitahu gerangan tetamu yang dimaksudkan.

“Maaf semua ye.......Ini permintaan tetamu kita sendiri untuk merahsiakan. Tapi saya pasti kita semua memang tertunggu-tunggu kedatangan tetamu ini dan kita sangatlah berbesar hati kerana beliau sudi meluangkan masa untuk datang ke sini bersama-sama kita.”

“Jadi, kalau anda semua nak tahu siapa dia........petang ni, jangan lupa hadirkan diri untuk aktiviti yang terakhir! Okey, kita jumpa nanti. Boleh bersurai sekarang!”

Masing-masing sudah mengangkat punggung untuk membawa haluan masing-masing. Hanum dan Maisara beriringan untuk ke bilik semula.

“Sara, karang minum petang aku malas nak turunlah. Aku ingat aku minum tea aje kat bilik,” beritahu Hanum.

Memang dia agak malas untuk turun ke restoran. Aktiviti pagi ini yang memerlukan mereka untuk mengerah tenaga fizik memang amat meletihkan. Tatkala ini di bayangan Hanum hanya terimbas katil empuk di dalam suite untuk berbaring melepaskan segala keletihan.

Tetapi itu bukanlah isu penting mengapa dia memutuskan begitu. Semuanya kerana moodnya telah berubah setelah beberapa mendengar perkara yang tidak elok dari beberapa teman sekumpulannya tadi. Setiap bicara mereka masih terngiang-ngiang di telinga Hanum.

“Yelah. Aku pun fikir macam tu. Dah lama tak bersukan. Bila kena buat aktiviti macam ni........heh.......rasa macam nak pitam!”

Hanum tertawa kecil mendengar rungutan Maisara. memang benar kata Maisara. Bukan mudah untuk melakukan aktiviti lasak sebegini setelah lama meninggalkannya.

Sampai sahaja di suite, masing-masing sudah terbaring di katil. Hanya hembusan nafas keletihan yang kedengaran di ruang besar itu.

“Sara......”

Panggilan Hanum membuang segala kesunyian. Maisara menoleh kepalanya ke kiri memandang Hanum yang terlentang di sebelah kirinya.

“Aku sebenarnya nak minta maaf pada kau!”

“Maaf?” Berkerut kening Maisara seraya memandang tepat ke wajah Hanum. “Untuk apa?”

“Entahlah........Bagi aku, kau kawan terbaik yang pernah aku ada. Setiap kali orang bercerita yang bukan-bukan tentang kau, aku akan terasa sakitnya kembali....” Hanum sudah duduk tegak di atas katil lalu membetulkan bantal dibelakangnya untuk disandar.

Sewaktu mereka sedang menjalani aktiviti sebentar tadi, Hanum dan Maisara telah terpisah setelah beberapa kumpulan dibentuk. Ketika itulah dia terdengar beberapa suara yang asyik berbual tentang hubungan Maisara dengan Encik Zack. Kalau mereka hanya berbual biasa, mungkin dia tidak terlalu ambil peduli.

Namun, banyak kata-kata yang menyakitkan hati dilemparkan buat Maisara sehingga membuatkan dia merasa tidak senang. Ingin sahaja dia berdepan dengan mereka dan membela Maisara. Tetapi jika dia berbuat demikian tentu sesuatu yang lebih buruk akan berlaku.

“Ya......sebagai seorang sahabat, aku perlu membela sahabatnya jika sahabat itu disakiti dan dicemari namanya. Tapi aku tak dapat melakukan itu.....”

“Maksud kau?” Maisara sudah terduduk seperti Hanum. Dia cuba memberi tumpuan sepenuhnya untuk apa yang ingin dikatakan sahabatnya itu.

“Aku minta maaf kerana kadang-kadang, aku rasa kau seperti berbohong dengan aku!”

Tergamam dia dengan kata-kata Hanum. Direnung wajah Hanum dengan penuh kekeliruan.

Hanum tahu, lidahnya terlalu lancang berkata begitu. Tetapi setiap apa yang dikatakan memang lahir dari hatinya sendiri. Memang dia merasa begitu.

“Aku tahu. Aku tak patut kata macam tu pada kau! Cuma.....entahlah!” Ada nada hampa di situ.

“Tak pe.....Aku faham! Dan aku takkan pertikaikannya!” Satu keluhan keluar dari bibir Maisara. “Semuanya tentang hubungan aku dengan Encik Zack,kan?”

“Betul ke aku dengar Encik Zack selalu hubungi kau?” tanya Hanum lagi. “Look, aku bukan nak masuk campur dengan hal peribadi kau. Kalau benar kau ada hubungan dengan dia, aku tak de masalah. Cuma, aku mahu kau jangan menafikannya kalau benar. Semua orang tak suka bila kau nafikan tapi setiap hari kau berhubungan dengan Encik Zack!”

“Tak Hanum! Aku tak de apa-apa hubungan dengan Encik Zack! Memang Encik Zack ada hubungi aku tapi bagi aku, aku tak pernah menganggap Encik Zack tu lebih dah seorang bos!”

Maisara meraup mukanya dengan tapak tangan. Dia hairan dari mana mereka semua tahu tentang hal ni?

“Aku hairanlah, macam mana semua orang boleh tahu?”

Hanum memandang Maisara lalu mengangkat bahu tanda tidak tahu.

“Dari apa yang aku lihat, Encik Zack memang ada hati dengan kau. Kalau tak pernah ada rasa sayang pada dia, lebih baik kau berterus terang. Tak baik mainkan hati orang!”

Sekali lagi Maisara menghembuskan nafas panjang. Memang dia ada terfikirkan perkara itu. Tapi setiap kali dia ingin berbuat begitu, dia rasa tak punya kekuatan untuk berterus-terang dengan Encik Zack. Kerana itu dia cuba sedaya upaya untuk menjauhkan diri dari lelaki itu.

“Sebenarnya, tak de salahnya kalau kau dengan........Encik Zack. Tapi, kalau boleh janganlah terang-terangan sangat. Bukan semua orang senang melihat kebahagiaan kita!”

“Aku faham. Tapi masalahnya, aku sikit pun tak de hati dengan dia! Tapi aku tak berani nak berterus terang!” Maisara mengetap bibirnya.

Hanum melihat Maisara yang lagi berkecamuk fikirannya. Melihatkan dari penampilan dan kewibaan Encik Zack, pada dasarnya dia memang suka jika Maisara menerima lelaki itu.

“Apa kata kau cuba dulu.......” usul Hanum dengan was-was.

Maisara berpaling memandang Hanum dengan pantas. Kemudian dia ketawa kelucuan. Bagaimana dia boleh menerima lelaki lain sedangkan statusnya tidak membenarkan. Tapi, seandainya dia masih belum berkahwin dengan Fariz dia juga tidak akan menerima Encik Zack kerana lelaki itu tiada dalam hatinya.

“Apa yang lucunya?” Hanum menjeling.

“Merepek je kau ni!” Bahu Hanum ditampar mesra. “Hati tak boleh dipaksa!”

Hanum menggelengkan kepalanya beberapakali. Jawapan Maisara benar-benar mengundang persoalan di hatinya.

“Punya ramailah awek kat luar sana tu beratur nak tackle Encik Zack, yang kau dah memang ternyata dapat pikat dia boleh kau tolak mentah-mentah......”

Maisara mengangkat bahu dan hanya tersenyum.



Monday 20 September 2010

Hanya Dia 39

BAB 39

“SARA!” Hanum yang baru menamatkan panggilan masuk semula ke dalam kamar dan melihat Maisara sedang menangis. Bergegas dia mendapatkan sahabatnya itu.
“Kenapa? Kenapa kau menangis? Ada sesuatu yang terjadi?” Hanum bertanya dengan penuh riak kerisauan terlukis di wajahnya.
Maisara menyapu airmatanya dan tersenyum memandang Hanum. Rasa bersalah timbul kerana terlalu mengikutkan perasaan.
“Tak.......tak de apa,” saki baki airmatanya di sapu lagi. “Cuma rasa rindu dengan Aiman!”
“Aiman?” Berkerut dahi Hanum mendengar nama itu. Pertama kali dia mendengar nama itu dari bibir Maisara.
“Aiman tu anak arwah Kak Su. Sekarang ni dia tinggal dengan aku!”
“Oh...” Bulat sahaja muncung Hanum mendengar penjelasan Maisara. “Aiman tak sihat ke?”
Hanum terus bertanya tentang Aiman. Memang sukar benar rasanya untuk mengenali Maisara dengan dekat. Maisara sangat perahsia dan jarang bercerita tentang hal peribadinya pada sesiapa mahupun dirinya sendiri, yang diakui Maisara sebagai teman baiknya.
“Taklah.....Aiman okey, yang tak okeynya aku ni. Rindu sangat dengan dia!”
Hanum tersenyum lalu menepuk-nepuk paha Maisara seperti mahu menenangkannya.
“Esok malam kita dah nak balik, kan? Janganlah di bawa sangat hati tu. Bila dah sampai sana kau peluklah Aiman tu puas-puas!”
Maisara tertawa kecil dengan usul Hanum. Ya.....kalau Hanum tak mengusulkan begitu dia tetap pasti akan melakukannya.
“Tapi, kenapa sebelum ni kau tak pernah cerita langsung tentang Aiman? Kau ni memang perahsia sangatlah.”
“Kau nak tengok gambar Aiman?”
Hanum mengangguk laju. Maisara mencapai tas tangannya lalu mengeluarkan sekeping gambar dari dalam diari hariannya lalu menyerahkan pada Hanum.
“Comelnya!!! Ada iras anak mat salih pulak aku tengok!” bertalu-talu kucupan singgah di foto Aiman. “Tak adillah macam ni! Lain kali bawalah dia jumpa aku. Aku pun nak peluk dan cium si chubby ni!!”
Maisara hanya tertawa dengan tingkah Hanum. Tak disangka dengan hanya melihat foto Aiman, Hanum kelihatan begitu gembira untuk bertemu dengan Aiman.
“Muka dia ikut siapa? Ada iras muka Kak Su?”
Maisara mengambil foto Aiman lalu membelek. Tak lama kemudian dia menggeleng. Wajah Aiman tidak langsung mirip dengan Kak Su. Ketika Aiman masih bayi, dia memang ada iras-iras Kak Su. Tetapi semakin lama wajah Kak Su terus hilang dari raut wajahnya. Tapi.......
“Jadi dia ikut ayah dia?” Hanum bertanya lagi.
Soalan Hanum benar-benar membuatkan Maisara sedikit keliru. Dibiarkan sahaja soalan itu berlalu sendiri.
Aiman tidak mirip dengan wajah Kak Su, abah, umi dan dia sendiri. Tetapi wajah Aiman juga tidak seiras wajah Fariz atau keluarganya. Jadi, wajah yang seakan campuran yang dimiliki Aiman turun dari siapa?

FARIZ merenung seraut wajah comel yang asyik diulit mimpi. Perlahan satu kucupan singgah di dahi comel itu. Ada airmata yang menitis di matanya lalu di sapu pantas.
Secara lahiriah anak ini memang beruntung kerana dikelilingi insan-insan yang sangat menyayanginya. Tetapi di sebaliknya, nasib anak ini sangat walang. Andainya kebenaran terbukti suatu hari nanti........
Fariz memejam matanya rapat. Tak dapat dibayangkan jika perkara itu terjadi. Apa yang dapat dilakukan kini hanya memastikan Aiman terikat dengan kasih sayang mereka. Hanya dengan itu dia dapat memastikan janjinya pada Suhana tertunai.
Biar apa pun yang berlaku, dia akan pastikan Aiman membesar dengan sempurna. Kasih sayang yang diperlukan anak itu akan dicurahkan sepenuhnya sehingga anak itu tidak akan merasa haus dengan kasih sayang.
Satu tepukan yang hingga di bahunya menyebabkan Fariz pantas menyapu kering airmatanya sebelum beralih ke belakang.
“Kenapa Fariz?” tanya Maimun apabila menyedari menantunya itu murung setelah selesai berbual bersama Maisara tadi.
“Umi........tak de apa-apa. Fariz Cuma kesiankan Aiman!”
Maimun menggelengkan kepalanya. Bertanya kepada Maisara, hanya Aiman sahaja di kepalanya. Berbual dengan Fariz begitu juga. Aiman! Aiman! Aiman!
“Umi tahu, Maisara dengan Fariz sangat sayangkan Aiman. Dan kalau boleh, segala-galanya untuk Aiman diutamakan dulu. Betulkan?” Maimun memulakan bicara.
Fariz yang dapat mengagak Maimun akan berkata sesuatu segera melabuhkan punggungnya di sofa berdekatan.
“Tapi sebenarnya Fariz dan Sara silap. Dengan hanya memberi perhatian pada Aiman bukanlah satu-satunya jalan yang terbaik. Fariz dan Sara haruslah menerima diri masing-masing seikhlas hati. Perbuatan kita adalah teladan terbaik untuk anak. Kalau Fariz dengan cara Fariz, Sara dengan cara Sara, tanpa kita sedar kita dah membesarkan Aiman dengan dua dunia yang berasingan.”
“Umi tahu, Fariz dah cuba sebaik mungkin untuk menerima Sara. Tapi mungkin ada kurangnya sehingga Sara tidak dapat merasa keikhlasan itu. Fariz harus sedar posisi Sara. Sara dan Suhana sangat rapat. Mungkin dengan mengahwini Fariz, Sara merasakan dia telah merampas hak Suhana. Jadi, Fariz perlu memainkan peranan untuk membuang jauh segala kekusutan di fikiran Sara.”
Tidak umi.....bukan itu masalahnya.....masalah yang berlaku adalah lebih rumit dari itu!
“Atau.......ada sesuatu yang disembunyikan Fariz dan Sara dari pengetahuan kami semua?”
Soalan yang tiba-tiba itu membuatkan Fariz terpinga-pinga sebentar.
“Maaflah kalau umi terlalu berterus-terang. Cuma sejak Fariz berkahwin dengan Suhana dulu, umi dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Tapi umi tak pasti. Benarkah telahan umi?”
Tajam matanya merenung tepat ke wajah Fariz yang pandangannya sudah di halakan ke merata-rata. Ya.....memang ada sesuatu yang tidak kena. Dari reaksi menantunya itu Maimun membuat kesimpulan.
“Entahlah umi........” Akhirnya Fariz bersuara. “Sukar untuk Fariz terangkan. Apa yang pasti, Fariz memang menyayangi Suhana dan Fariz menyintai Maisara seikhlas hati Fariz! Fariz juga mahukan sebuah rumahtangga yang bahagia bersama Maisara.”
Maimun diam membisu. Ada keikhlasan dari raut wajah itu. Dalam soal ini dia tidak bisa membantu Fariz. Hanya sokongan sahaja yang mampu diberi untuk menantunya itu.
“Lakukan segala-galanya untuk membina cinta di hati Sara. Jangan berputus asa selagi kasih Aiman dekat dengan jiwa  Sara!”

Monday 30 August 2010

Hanya Dia 38


BAB 38



KURSUS pagi itu yang telah tamat jam dua belas tengahari tadi akan dimulakan semula pada jam lapan malam. Namun begitu, aktiviti petang akan bermula dalam jam tiga petang nanti.
Sebaik sahaja menyudahkan makan tengahari, Maisara dan Hanum membuat keputusan untuk berehat di dalam suite sahaja. Teman-teman yang lain sudah pun menghilangkan diri untuk mengisi masa lapng mereka.
Maisara memandang Hanum yang sudah membawa diri di beranda setelah menerima panggilan. Lantas dia mencapai telefon bimbitnya. Tiada pesanan atau missed call yang diterima.
Dia megeluh.
Tidak teringatkan langsung Fariz padanya? Tiada pesanan selamat pagi mahu pun bertanya khabarnya hari itu.
Malam semalam sewaktu mereka tiba di hotel, Maisara menghantar pesanan pada Fariz untuk membertitahu mereka telah selamat tiba si situ. Fariz hanya membalas, ‘Okey. Bye’. Lelaki itu langsung tidak bertanya bagaimana tentang perjalanan mereka ke sini. Sudah makan atau belum.
Pagi ini juga dia bangun dengan harapan lelaki itu akan menghantar walaupun hanya satu pesanan untuk mengucapkan selamat pagi atau apa-apa. Tetapi hampa. Setiap kali telefonnya berbunyi menunjukkan ada pesanan yang di terima, hanya nama Encik Zack yang tertera.
Hari ini sudah beberapakali lelaki itu menghantar pesanan padanya. Kalau pesanan itu berbaur pertanyaan, dia akan membalas. Jika tidak, dibiarkan sahaja pesanan itu.
Anganan Maisara mati apabila telefonnya berbunyi mengisyaratkan ada satu pesanan yang baru diterima. Flip telefon dibuka. Tertera nama Encik Zack lagi. Maisara memuncungkan bibirnya. Dia menekan punat hijau.

Hai......dah makan tengahari?

Maisara membalas. Abjat-abjat untuk membina ayat di tekan.

Dah.....Encik Zack?

Butang send ditekan lalu satu pesanan yang memberitahu pesanan yang dihantar tiba pun muncul. Tak lama kemudian, isyarat pesanan berbunyi lagi.

Makan apa?

Maisara mengeluh. Rasa malas untuk menjawap soalan ini. Tak ada soalan lain. Bila ditanya, ‘dah makan?’ Akan ada pula soalan ‘makan apa?’ Kemudian pasti ada soalan ‘sedap tak?’
Akhirnya Maisara membiarkan sahaja soalan itu berlalu. Tetapi tangannya masih menggenggam telefon. Hatinya berharap ada satu panggilan dari Fariz. Namun setelah lama menunggu, akhirnya Maisara membuat keputusan untuk menghubungi Maimun.
Sebaik sahaja panggilannya diangkat. Kedengaran suara Maimun memberi salam.
“Umi apa khabar?”
“Alhamdulillah.......Macam mana dengan Sara? Semuanya baik-baik saja?”
“Baik umi.....Aiman macam mana? Merengek tak malam-malam?”
Kedengaran suara keluhan Maimun dari hujung talian.
“Kenapa umi? Ada yang tak kena?”
“Aiman baik-baik saja. Sara janganlah terlalu risaukan Aiman seolah-olah Sara tak percaya dengan umi untuk jaga Aiman pulak.” Ada nada rajuk dari suara itu.
“Eh.....umi janganlah salah sangka. Sara bukan tak percayakan umi. Tapi, bila berjauhan dengan Aiman macam ni, macam-macam yang terlintas di fikiran Sara. Maaf ye umi.....Sara cuma rindukan Aiman....”
“Yelah......umi faham.....hati seorang ibu tak lekang dari kerisauan bila anak hilang dari pandangan. Tapi macam mana risau pun, jangan abaikan suami! Sara dah telefon Fariz?”
“Uh? Hmmm........” Otaknya kosong untuk memberi alasan. Belum sempat dia mereka alasan, Maimun bersuara.
“Sara...... sekejap ye.......” Maimun diam menyepi agak lama.
Maisara masih tertunggu-tunggu di talian. Ke mana umi? Tiba-tiba sahaja perbualan mereka tergantung begitu. Namun Maisara pasti, talian masih belum terputus.
“Sara.....” Tiba-tiba kedengaran suara garau menegurnya di hujung talian.
Fariz......??
“Sara?”
“Hmmm.....” Entah kenapa tiba-tiba sahaja terasa bagai lidahnya kelu untuk membalas panggilan itu.
“Maaf sebab tak hubungi awak! Sebenarnya, saya tunggu awak yang hubungi saya dulu....”
Hmmm? Kenapa perlu tunggu saya yang call?Kenapa bukan awak yang call dulu?
Ingin sahaja dia terus bertanya kenapa. Tapi semuanya hanya terlintas di fikiran sahaja.
“Awak tahu.......bila awak tak de.......bukan saja Aiman, saya juga rasa sepi.....”
Maisara membisu. Dia hanya mendengar setiap bait-bait itu.
“Awak mesti menyampahkan dengar semua ni,kan?!”
Kedengaran Fariz ketawa sinis di balik sana. Langsung tiada respon dari Maisara tetapi dia yakin Maisara masih lagi mendengar. Dia pasti Maisara pasti menganggapnya cuma berbohong.
“Tak kisahlah apa saja pandangan awak, saya tetap nak beritahu yang saya rindukan awak. Walaupun baru kelmarin awak pergi, tapi saya rasa terasing tanpa awak. Kadang-kadang saya rasa cemburu dengan Aiman sebab dia dapat semua perhatian awak. Bila saya sendiri macam ni, saya berharap sangat awak hubungi saya.......tapi sampai sekarang........”
Tiba-tiba sahaja Fariz membisu. Lama. Ayatnya masih tergantung membuatkan Maisara seperti terdesak untuk memaksa Fariz menyudahkan kata-katanya.Hanya hembusan nafasnya sahaja yang kedengaran.
“Bukan saya tak mahu hubungi awak. Cuma saya nak awak hubungi saya dulu. Kalau awak hubungi saya, bermakna saya masih wujud dalam hidup awak. Bermakna panggilan awak adalah iklas dari hati awak.”
Fariz menyudahkan kata-kata yang tergantung tadi.
Maisara menghembuskan nafas. Tatkala ini dia benar-benar tidak tahu untuk berkata apa. Fikirannya kosong untuk membalas setiap perkataan Fariz.
“Saya tahu dengan setiap yang berlaku antara kita, awak berhak untuk membuang saya jauh dari hidup awak. Tapi terima kasih pada Aiman, kerana dia saya dapat awak semula walaupun bukan untuk sepenuhnya. Dan saya harap ada ruang di hati awak untuk maafkan saya dan terima saya semula......”
“Tak semudah itu......” Maisara yang sedari tadi lama membisu bersuara.
“Hati dan perasaan saya dah terlalu sakit! Sakit bila awak dan Kak Su mainkan saya macam ni. Kenapa awak atau pun Kak Su tak pernah berterus terang dengan saya? Kenapa saya perlu tahu bila keluarga awak datang ke rumah untuk meminang Kak Su? Kenapa tak dari awal?”
Fariz terdiam. Kedengaran seperti esakan kecil dari suara Maisara. Kini dia pasti, luka Maisara masih belum pernah sembuh.
“Tapi itu semua cerita lama,kan? Awak dan saya sama-sama tahu kita lakukan semua ni demi Aiman dan demi amanah arwah Kak Su. Dan saya juga tak pernah lupa tentang Ilyana. Sungguhpun Kak Su dah tiada, tapi dalam hati awak kini hanya ada Ilyana, kan?”
“Tak Sara.........”
“Sudahlah Fariz! Saya tak mahu tahu tentang hati dan perasaan awak.........mahupun Ilyana! Yang penting sekarang, dalam hati saya tak mungkin ada awak! Sampai bila-bila kerana saya.......bencikan awak!!”
Fariz terdiam. Telefon bimbitnya direnung lama sebaik sahaja talian diputuskan oleh Maisara. Seperti terbayang-bayang wajah Maisara dengan linangan airmata di skrin telefon.
Maafkan aku Sara. Aku menerima Suhana bukan kerana cintaku telah beralih arah. Cinta mu tidak pernah hilang dari hati ini. Dan hati ini hanya menyintaimu. Apa yang berlaku adalah takdirNya. Kerana sifat insaniah yang ada dalam hati ini aku melakukan semuanya dan menyakiti hatimu......sesungguhnya menyakitimu, adalah sesuatu yang menyakitkan hatiku! Dan aku juga tidak pernah menyintai Ilyana! Tidak pernah!
Seluruh ruang di hati ku hanya dihiasi cinta untuk mu. Taman-taman dalam hatiku menunggu kedatangan mu untuk menyemai benih-benih cinta agar berbunga indah.