Wednesday 29 June 2011

Saat Hati Merelakan 9

WES menyandarkan badannya dan mendongakkan kepala. Matanya dipejam sebentar. Terasa sengal-sengal badannya. Kepalanya dipicit-picit. Lantas dia melepaskan keluhan. Sehingga ke saat ini, entah berapa banyak keluhan yang telah dilepaskan.

Tiba-tiba, pintu biliknya diketuk. Rozie, setiausahanya melangkah ke dalam. Wes membetulkan badannya semula.

“Ada apa Rozie?”

“Maaf tuan. Tadi saya ada menerima panggilan dari setiausaha Encik Fauzan dari Zul Enterprise. Encik Fauzan ingin berbincang dengan tuan tentang projek terbaru mereka.” Wes berfikir sejenak. Dia menongkat dagunya.

“Siapa Encik Fauzan?” pertama kali Wes mendengar nama itu.

“Anak kepada pemilik Zul Enterprise, kontraktor yang terbesar di sini.” Wes diam seketika sebelum menbalas kata-kata. Wes mengerut keningnya.

“Tak pelah. Nanti awak tolong uruskan temujanji saya dengan dia.” Rozie mengangguk. “Ada apa-apa lagi?”

“Tadi Cik Manisa telefon. Tapi saya katakan tuan sedang mesyuarat seperti yang tuan arahkan. Dan......dia ada tinggalkan pesan,” ujar Rozie dengan hati-hati bimbang akan dimarahi. “Katanya, minggu depan dia akan ke sini.”

Argh!! Wes mengetap bibir. Dia mendengus geram. Manisa sentiasa memberi masalah padanya. Kenapa perempuan itu tidak pernah membiarkan dia tenang?

“Okey. Ada apa-apa lagi?” soal Wes.

“Itu saja Encik Wes,” ujar Rozie.

“Awak boleh keluar kalau dah tak de apa-apa.” Rozie bangun untuk melangkah keluar. Namun kemudian dia berpaling semula pada Wes.

“Maaf Tuan. Cik Manisa ada tinggalkan pesanan lagi. Katanya, dia mahu tuan on kan semula handphone tuan supaya mudah baginya untuk menghubungi tuan nanti.” Wes hanya mengangguk tanpa memandang Rozie. Rozie mengangkat keningnya dan terus berlalu pergi. Begitulah sikap tuannya setiap kali Manisa menghubungi.

Sebaik saja Rozie keluar dari biliknya, Wes terus menghembuskan keluhan yang amat panjang. Dia menelangkup wajahnya dengan kedua-dua belah tapak tangannya dan kemudian merenung ke siling pejabatnya.



FAUZAN menghirup sirap limau yang dipesannya. Mee goreng yang masih panas disuapkan ke mulut. Kesedapan hidangan yang dirasai membuatkan Fauzan tidak bersuara dan asyik menjamu selera di Restoran Selera Timur. Salah sebuah restoran milik A2-M Sdn. Bhd.

Qismyna yang berada di depannya hanya memerhati. Sesekali dia akan tersenyum melihat telatah Fauzan yang akan meniup-niup mee goreng yang masih panas itu. Begitulah Fauzan. Walaupun dia anak seorang kontraktor yang amat dikenali, namun dia tidak pernah kisah untuk menonjolkan siapa dirinya yang sebenar. Tidak seperti orang lain yang sentiasa menjaga adab di depan orang lain tetapi sikap sebenar adalah sebaliknya.

“Fauzan...” panggil Qismyna. Fauzan mengalihkan pandangannya sambil mengunyah hidangannya. “Ada apa-apa perkembangan?” Fauzan mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Ada,” jawabnya ringkas lalu meneguk sirapnya. “Aku dah jumpa lokasi yang sesuai.”

“Di mana?” tanya Qismyna dengan penuh minat.

“Seperti yang kau tahu, Penang ni bukanlah besar sangat, kan. Di kawasan barat daya sebahagian besarnya adalah kawasan perindustrian. Di kawasan Bayan Lepas adalah zon perindustrian dari fasa satu hingga ke fasa empat. Batu Maung dan Relau pulak kebanyakkannya adalah pejabat dan juga kawasan perumahan.

“Dan di kawasan timur laut pulak, memang banyak kolej-kolej yang didirikan dan juga merupakan kewasan pelancongan yang cukup terkenal. Ada juga pusat pendidikan misalnya kolej-kolej swasta yang berkerjasama dengan pihat MLVK seperti di Gelugor yang terletak bersebelahan dengan Kelab Gelugor, Batu Uban dan Sungai Dua.”

“Misalnya di Jelutong, Kolej Olympia.....kolej yang berasaskan bidang perniagaan. Lepas tu kita ada banyak kolej yang berdekatan dengan pusat bandar Komtar iaitu IPG, Kolej Rima, Sistematic. Kebanyakkan kolej-kolej ni menawarkan kursus-kursus MLVK tapi tak semua.” Fauzan meneguk sirapnya lagi. Terasa kering tekaknya apabila banyak bercakap.

“Perpustakaan negeri pula terletak di Dewan Sri Pinang bedekatan dengan Padang Kota Lama. Di sana pun terdapat beberapa buah kolej contohnya di Green Hall dan kawasan yang sama juga terdapat banyak peninggalan sejarah. Contohnya Port Convalis dan juga Galeri Lukisan atau Art Galery yang banyak memaparkan struktur Geografi Pulau Pinang sewaktu di bawah naungan Portugis.”

“Kawasan timur laut memang sesuai tapi sayangnya Perpustakaan Negeri juga terletak di sana.” Fauzan mengangkat keningnya. Qismyna memuncungkan bibir lalu bersuara.

“Ya.....kawasan tu memang sesuai disebabkan faktor pembangunan dan juga merupakan kawasan pendidikan. Tapi......aku rasa di daerah Gelugor juga mempunyai keistimewaan sendiri. Daerah Gelugor merangkumi kawasan Kampungku, Sungai Dua , Batu Uban, Minden Height, Taman Tun Sardon, Taman Brown, Bukit Gambir dan Kampung Kastam. Boleh dikatakan setiap kawasan di sana terdapat sekurang-kurangnya sebuah sekolah sama ada primary atau secondary.”

“Lagi pun kita tak boleh terlalu menumpukan pada pelajar di pusat pengajian tinggi. Kita juga perlu fokus pada pelajar sekolah. Dan yang paling penting Gelugor boleh di letakkan sebagai laluan utama memandangkan ia berdekatan dengan Jambatan Pulau Pinang. Ini memudahkan bagi mereka yang tinggal di Seberang Perai. Yang paling penting, kawasan ni terletak di antara pusat bandar dan juga bandar satelit Bayan Baru.” Fauzan menganggukkan kepalanya mendengar kata-kata Qismyna.

“Dan di situlah tempat yang aku cadangkan,” balas Fauzan. “Lagi pun USM juga berdekatan bukan?” Qismyna tersenyum begitu juga dengan Fauzan.

“Patutlah kau telalu tekankan di daerah Gelugor.” Qismyna menggelengkan kepalanya. “Cakap terus terangkan senang.”

“Saja aku nak lihat sama ada cadangan aku ni mengena dengan cadangan kau. Aku rasa Sungai Dua adalah kawasan yang paling tepat dan strategik,” balas Fauzan. “Petang nanti aku akan ke Majlis Perbandaran Pulau Pinang untuk mengetahui sama ada rumah kedai yang di sediakan adalah milik kerajaan. Kemudian aku akan uruskan penyewaan dan kontrak.”

“Minggu depan pulak aku ada urusan dengan Visma Corporation. Syarikat yang mahir dalam bidang pendidikan. Aku ke sana untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang buku-buku yang sesuai untuk dijadikan bahan rujukan dari peringkat sekolah hinggalah ke pusat pengajian tinggi. Kebetulan mereka juga membekalkan peralatan komputer pada kolej-kolej dan juga sekolah swasta. Dan mereka juga boleh membekalkan buku-buku pada kita. Aku rasa ada baiknya jika kita dapatkan kerjasama mereka.”

“Bagus juga tu. Kita boleh menjimatkan masa,” ujar Qismyna. “Aku pulak sibuk dengan pengambilan pekerja serta mencari pekerja yang mahir dalam menyediakan roti yang enak dan lazat. Petang ni aku ada temu janji dengan Syarikat Meldras Enterprise. Aku nak minta bantuan mereka dalam membekalkan alatan tulis pada kita,” beritahu Qismyna.

“Fauzan, aku nak ucapkan berbanyak-banyak terima kasih pada kau sebab kau sudi tolong aku.”

“Tak payahlah nak berterima kasih dengan aku. Apa yang aku buat ni berbayar tau,” usik Fauzan. Qismyna menjegilkan matanya.

“Tak ikhlas!”

“Tak delah. Aku gurau je.” Fauzan tersenyum. Qismyna mengerling padanya.

“Aku dengar uncle Zul nak serahkan Zul Enterprise pada kau hujung tahun ni,” ujar Qismyna. Fauzan menganggukkan kepalanya.

“Tapi aku masih belum bersedia nak pikul tanggungjawab. Tambahan pulak pengalaman yang aku ada tak mencukupi. Aku perlukan lebih banyak masa untuk mencari lebih banyak pengalaman.”

“Tentu saja Uncle Zul akan tolong kau. Takkanlah dia terus nak biarkan kau pulak. Tambahan Uncle Zul bersusuh payah bina syarikat tu dulu. Dari kontraktor kelas F sampailah sekarang syarikat tu dah membesar. Semuanya dilakukan dengan usaha.”

Fauzan mengangkat keningnya.

“Aku tahu ayah aku memang banyak berkorban demi memajukan Zul Enterprise. Kau tahu, membina kejayaan lebih mudah dari mengekalkannya. Itulah yang aku takutkan.”

“Kau takut kalau kau tak mampu nak kekalkan kejayaan yang Uncle Zul bina?” tanya Qismyna. Fauzan mengangguk.

“Insyaallah...kau mampu kekalkan kejayaan Uncle Zul.” Qismyna tersenyum. Fauzan membalas. “Bila kau masuk kerja?”

“Semalam aku dah mula berkerja,” beritahunya.

“Cepat.” Qismyna merasa hairan. “Kata nak cuti lebih lama.”

Sememangnya Fauzan ingin berehat lebih lama sejak dia pulang dari Australia. Namun demi membantu Qismyna dalam membina impian dia sanggup memulakan tugasannya lebih awal. Ini kerana membantu Qismyna melalui syarikatnya lebih mudah dari melakukan sendiri.

“Saja,” jawabnya ringkas.



WES memandu perlahan. Manisa di sebelah tidak dilayan. Manisa juga berdiam diri. Sambil berpeluk tubuh dia memandang ke luar. Sakit hatinya masih terasa. Hampir satu jam setengah dia menunggu kelibat Wes di lapangan terbang.

Sebaik saja sampai Wes langsung tidak memohon maaf dan terus bertengkar dengannya. Wes memang begitu. Sejak dulu Wes tidak pernah cuba untuk memenangi hatinya. Hanya tahu menyakitkan hati.

Wes memandu keretanya masuk ke kawasan Hotel Grand Continental. Dia kemudian menemani Manisa hingga ke bilik penginapan. Setelah itu dia terus memandu pulang ke rumahnya.

Fikiran Wes masih lagi terganggu. Perasaan marahnya pada Manisa masih belum reda.

Hari itu dia menghadiri mesyuarat tergempar yang diadakan ekoran daripada ketidakstabilan akaun bulanan Visma Corporation. Dia cuba menghubungi Manisa untuk memintanya ke hotel sendirian namun Manisa mendesak agar Wes mengambilnya dan dia akan menunggu sehingga Wes sampai.

Apabila dia terlewat, Manisa terus memarahinya dengan kata-kata yang menyakitkan hati. Sudahlah dia penat kerana terpaksa bekerja lebih masa dibakar pulak dengan api kemarahan Manisa.

Wes mengeluh panjang. Dia dan Manisa bukanlah pasangan yang sesuai. Antara mereka memang tidak ada persamaan dan keserasian. Perkahwinan dia dan Manisa nanti hanya akan menjadi racun dalam rumahtangga mereka.

Wes memberi isyarat ke kiri dan kemudian menghentikan keretanya. Dia cuba menenangkan perasaannya sebentar. Penglihatannya tiba-tiba terpaku pada sebuah banglo yang mempunyai gabungan senibina moden dan tradisional. Fikirannya mula mengimbas kisah lalu.

“Saya lebih suka tinggal dikampung berbanding bandar,” ujar Farahymma sambil tersenyum menatap wajahnya.

“Kenapa?”

“Di sana tak ada pencemaran. Udara bersih. Penuh dengan tumbuh-tumbuhan.”

“Kalau macam tu, awak ikutlah saya balik Sabah,” ajak Wes. Farahymma hanya tersenyum tanpa mengia atau menidakkan.

“Awak pulak macam mana? Awak suka tinggal kat mana?” Farahymma pula menyoalnya.

“Saya?” Wes bertanya. Farahymma mengangguk. “Saya tak kisah di mana-mana. Kampung boleh, bandar pun boleh. Tapi....saya amat tertarik dengan rumah kayu.”

“Rumah kayu?!” Farahymma kelihatan tertarik dengan kenyataannya.

“Ya. Tapi lebih cantik jika tidak diwarnakan kerana ira kayunya yang membuatkannya kelihatan menarik dan klasik.”

“Bagi saya pulak, lebih cantik kalau tradisional digabungkan dengan moden. Maksud saya dibeberapa kawasan kita bina menggunakan batu-batu yang menarik dan di setengah kawasan kita gunakan kayu yang diukir dengan pelbagai corak,” ujar Farahymma. “Kemudian, halamannya pula kita hiasi dengan bunga-bungaan seperti di taman.”

“Baiklah.....kalau macam tu, rumah kita nanti kita bina macam mana yang awak nak,” ujar Wes. Farahymma hanya tersenyum.

Wes mengukir senyuman apabila teringatkan kenangannya bersama Farahymma. Sesungguhnya gadis itu memang sentiasa membuat hari-harinya terasa bahagia. Namun kini kehilangan Farahymma benar-benar membuat jiwanya tertekan. Jauh di sudut hatinya masih mengharapkan agar dia dapat berjumpa dengan gadis itu. Dia sentiasa berdoa agar Farahymma akan menerimanya semula.

Setelah agak lama, Wes meneruskan semula pemanduannya. Petang ini dia ada temujanji dengan Encik Fauzan dari Zul Enterprise. Dia membelok keretanya menuju semula ke pejabat.

Sebaik saja tiba di pejabat dia diberitahu Encik Fauzan telah pun tiba dan sedang menunggunya di bilik tetamu. Wes bergegas ke sana bimbang kelewatannya akan menggangu urus niaga yang akan dibincangkan.

Saat Hati Merelakan 8

QISMYNA melangkah laju manuju ke parkir kereta. ‘Kenapa?’ bicaranya dalam hati. Langkahnya diteruskan tanpa memperdulikan suara yang memanggilnya beberapa kali. Kenapa dia perlu bersua dengan Adam lagi? Dia tahu Adam masih mengekori jejaknya. Qismyna mengetap bibir. Bilalah lelaki ini akan berhenti mengekori langkahnya?

Dia tidak mahu bersua dengan Adam lagi! Dia tidak mahu berjumpa dengan lelaki itu. Bukan kerana dia menyimpan dendam tetapi dia masih belum bersedia mengatasi masa silam. Dia tidak mahu dibayangi masa silam.

‘Come on, Qis. You have to face it! Sampai bila kau nak lari dari kenyataan. Hadapinya! Atasinya Qis!.’ Seolah-olah kedengaran kata-kata semangat dari dalam dirinya.

‘Ya....aku perlu akhiri kenangan silam ini agar tidak terus menggangu ketenangan hidupku. Aku perlu atasinya!’ ujar Qismyna sendirian seperti membalas kata-kata tadi. Lantas Qismyna menghentikan langkahnya dan berpaling ke belakang. Adam turut menghentikan langkahnya.

“Stop following me, okey?!”

“Look, we have to talk.”Adam bersuara.

“About what? There’s nothing to talk about.” Qismyna berpusing untuk melangkah pergi namun sempat ditahan Adam.

“Apa sebenarnya yang kau mahukan dari aku?” Qismyna memeluk tubuhnya seraya memandang pada Adam. Dalam masa yang sama dia mencari kekuatan agar tidak termakan dengan pujuk rayu lelaki yang sanggup meninggalkannya semata-mata untuk mengahwini wanita lain.

“Qis, aku datang ke sini semata-mata untuk mencari kau,” ujarnya. “Aku nak tebus segala kesalahan aku pada kau. Aku nak pulangkan semula kebahagiaan pada kau.” Adam cuba untuk memegang bahu Qismyna namun Qismyna terus menepis dan mengundur selangkah ke belakang.

“Jangan sentuh aku,” ujarnya perlahan tapi tegas. “Adam, antara kita dah tak de apa-apa. Segalanya dah berakhir. Sepatutnya kita lupakan segala yang pernah kita lalui,” ujar Qismyna.

“Kau mampu untuk lupakan segala-galanya?” tanya Adam sambil merenung tajam gadis itu. Qismyna mengalihkan pandangannya dan membelakangi Adam.

“Lima tahun dah berlalu Adam! Kau sendiri tahu. Aku tak pernah berdendam dengan kau kerana meninggalkan aku. Malah aku dah maafkan segala kesilapan kau sewaktu kali terakhir kita bertemu dulu, walaupun kau banyak sakitkan hati aku di saat-saat hubungan kita hampir terputus,” ujar Qismyna.

Dia masih ingat lagi. Di saat akhir hubungan mereka Adam selalu mengelak darinya. Setiap kali dia menghubungi Adam, lelaki itu sering mematikan telefon. Adam sentiasa melarikan diri apabila bersua dengannya. Dia sendiri buntu memikirkan sikap Adam. Dia cuba mencari kesilapannya, tapi hampa.

Hampir sebulan lamanya Adam begitu sehinggalah dia mendengar berita bahawa Adam akan pulang ke Sabah untuk melangsungkan perkahwinan. Dalam diam-diam dia ke pejabat Adam. Dia meluru masuk ke pejabat lelaki itu walaupun setiausaha Adam melarangnya. Dan pada hari itulah Adam memutuskan hubungan mereka.

“Aku izinkan kau membuat keputusan kau. Aku tak memaksa walaupun aku akan kecewa. Dan sekarang, aku mohon pada kau. Aku tak mahu kau hadir dalam hidup aku. Lagi pun...........” Qismyna menarik nafas panjang untuk sebelum menyambung kata-katanya. “.... tak baik merosakkan rumahtangga orang.” Qismyna terus berlalu masuk ke dalam perut kereta tanpa memperdulikan Adam.

“Qis....kau perlu dengar penjelasan aku.” Adam mengetuk-ngetuk tingkap kereta Qismyna minta dibukakan. Namun Qismyna tidak mengendahkan dan terus memecut laju Gen-2 miliknya.

Adam berhenti dari mengekori kereta Qismyna. Dia hanya mampu mengekori pergerakan Gen-2 merah itu dengan ekor matanya. Sebaik saja hilang dari pandangan, Adam melepaskan keluhan yang mengandungi seribu kekesalan.



QISMYNA membelek-belek fail ditangannya sebelum diserahkan kepada abangnya Ariff. Kemudian salinannya diberikan pada kakaknya Almi. Almi dan Ariff membaca isi kandungannya dengan teliti dan penuh perhatian. Mereka berdua menyemak semula rancangan perangkaan yang disusun oleh Qismnya.

“Bagus idea ni,” pandangan Almi masih tertumpah pada kertas kerja yang dilampirkan. “Tapi memerlukan kos yang tinggi tambahan lagi dalam soal tapak. Sewa tapak atau kedai di Penang ni memerlukan modal yang tinggi.”

“Sebab tu Qis perlukan pertolongan abang dengan kakak,” ujar Qismyna jujur mengenai kedatangannya ke sana.

“Maksud Qis, Qis nak syarikat ni melabur dalam perniagaan Qis?” Ariff memegang dagunya. Qismyna menggeleng.

Business ni kecil je, bang. Bukan itu yang Qis mahukan. Qis cuma minta abang dan kakak bantu dalam soal modal. Maksud Qis pinjaman dari bank. Qis perlukan orang yang berpengaruh untuk pihak bank luluskan pinjaman Qis.”

“Jadi, Qis tak ada keinginan nak kembangkan perniagaan Qis? Akak rasa projek ni boleh mendatangkan keuntungan.”

“Qis perlu lakukan percubaan dulu. Kalau business ni betul-betul boleh mendatangkan keuntungan, Qis takkan ragu-ragu untuk membuka cawangan di tempat lain.”

“Abang rasa tak salah kalau syarikat ni melaburkan projek ni. Lagipun syarikat ni ada beberapa perkara yang berkaitan dengan projek yang Qis cadangkan tu. Sekurang-kurangnya ini boleh mendatangkan keuntungan pada syarikat kita.”

Correction, bukan syarikat kita,” ujar Qismyna. “Qis tak ada kaitan dengan syarikat ni.” Almi dan Ariff saling berpandangan kemudian beralih semula pada Qismyna.

“Akak tak fahamlah kenapa Qis tak mahu bekerja dengan syarikat keluarga kita. Kenapa Qis bersusah payah nak mulakan dari bawah sedangkan syarikat kita dah kukuh. Terkenal di sekitar utara. Berpuluh-puluh restoran berada dalam tanggungan kita,” Almi menghela nafas seketika.

“Betul tu Qis.” Ariff menyokong. “Macam ni, kalau Qis setuju bekerja di syarikat ni, abang akan serahkan projek yang Qis cadangkan sepenuhnya di bawah tanggungan Qis.”

“Tapi abang, kak, bukan itu yang Qis mahukan. Qis nak berdikari. Qis nak cuba sendiri.” Qismyna bersuara tegas. Sekali lagi Ariff dan Almi berpandangan. Mereka tahu sejak dari dulu Qismyna memang suka berusaha daripada meminta bantuan orang lain. Qismyna juga tak suka didesak melakukan perkara yang tidak ingin dilakukan. Mungkin kerana itu ayah mereka, Tuan Malik tidak pernah memaksa Qismyna untuk bekerja dengannya.

“Okeylah....kalau itu yang Qis mahukan. Terserah!” balas Ariff. Qismyna tersenyum melihat abang dan kakaknya. “Jadi sekarang macam mana dengan lokasi. Qis dah tentukan?” Qismyna menggelengkan kepalanya.

“Sebelum Qis memohon pinjaman dari bank, Qis perlu tahu lokasi mana yang sesuai. Perancangan perlu dilakukan dengan teliti. Kalau pihak bank dah luluskan pinjaman untuk Qis memulakan perniagaan tapi Qis masih lagi mencari lokasi yang sesuai, masa akan terbuang begitu saja dan boleh menyebabkan risiko dengan pihak bank.” Qismyna mengerutkan dahinya.

Ada benarnya kata-kata Ariff. Dengan pertolongan Ariff, permohonannya akan menjadi mudah tapi seandainya lokasi masih belum difikirkan kemungkinan pinjaman yang diluluskan akan menjadi beban seandainya lokasi yang sesuai langsung tidak ditemui. Bagaimana dia boleh lupa itu semua? Kalau perkara itu terjadi sedikit sebanyak syarikat ayahnya juga akan dikaitkan.

“Macam nilah. Soal lokasi abang cadangkan Qis berbincang dengan Fauzan. Memandangkan dia masih lagi bercuti, mungkin dia boleh membantu Qis. Abang sibuk. Banyak lagi urusan yang perlu abang selesaikan. Bila dah jumpa lokasi yang sesuai, pinjaman Qis tu abang akan uruskan.”

Sedang mereka berbincang terdengar ketukan di pintu. Setelah Ariff memberi keizinan untuk masuk, kelibat Fauzan muncul.

What’s up? Jarang aku tengok tiga beradik berkumpul sekali. Ada apa-apa yang penting ke?” tanya Fauzan yang agak terkejut melihat mereka bertiga. Memang benar kata Fauzan, mereka bertiga memang jarang berjumpa. Apatah lagi Almi yang kini menetap bersama suaminya, Zainal. Ariff pulak sentiasa sibuk dengan urusan di pejabat.

“Hmmm.....kami tengah berbincang tentang projek baru,” beritahu Almi.

Sorry....aku mengganggu ke?” tanya Fauzan yang bimbang kehadirannya tidak tepat pada masanya.

“Tak....actually kau datang tepat pada masanya,” Ariff tersenyum. “Qis,” Ariff memanggil. Qismyna yang faham maksud Ariff segera bangun dan memberi Fauzan duduk di tempatnya.

“Thank you,” ucap Fauzan sambil melabuhkan punggungnya di sisi Almi dan berhadapan dengan Ariff.

“Kau baca.” Ariff menyerahkan proposal itu kepada Fauzan. Fauzan mencapai dan menyelak halamannya satu persatu.

“Wow!” Fauzan amat tertarik dengan projek yang diusulkan. “Sebuah cyber cafe yang mempunyai perpustakaan yang dilengkapi dengan bahan rujukan, kedai buku dan stationary shop serta sebuah bakery. Selain pelanggan boleh membeli buku serta mencari bahan rujukan, internet juga boleh digunakan sebagai maklumat tambahan. Stationary shop yang disediakan akan memudahkan pelanggan mencari peralatan tulis tanpa bersusah payah ke kedai lain. Dan, sebuah bakery untuk pelanggan menikmati hidangan yang disediakan.” Fauzan menutup fail tersebut dan memandang Ariff.

“Menarik! Projek ni tentu akan berjaya kalau kita dapat bekerjasama dengan syarikat yang memonopoli dalam bidang pendidikan dan juga pemilihan lokasi yang berdekatan dengan pusat pendidikan. Misalnya, universiti atau kolej-kolej swasta.”

“Sebab itulah aku katakan kedatangan kau tepat pada masanya,” ujar Ariff. “Aku perlukan bantuan kau untuk mencari lokasi yang sesuai bagi menjalankan projek ni.”

“Kenapa? Dah tak cukup kakitangan ke? Be the way, sejak bila syarikat kau melibatkan diri dalam bidang ni? Setahu aku syarikat ni terlalu teguh dalam pengendalian restoran di bahagian utara.”

“Projek ni asalnya bukan dari syarikat ni. Tapi, orang luar,” balas Almi. Fauzan mengerutkan dahinya tidak memahami percakapan Almi.

“Dahlah.....tak payah nak pening-pening,” ujar Qismyna yang dari tadi hanya mendiamkan diri. “Proposal ni, aku yang punya.”

“Oh.....baru aku faham.” Fauzan tersenyum. “Seseorang yang bakal bergelar usahawan.” Fauzan tidak menyangka Qismyna mempunyai cita-cita yang tinggi dan mempunyai idea yang bernas begitu. “Kalau macam tu, aku akan bantu kau.” Qismyna mengukirkan senyuman untuk Fauzan.

“Macam tulah sepupu yang baik. Selalu menolong sepupunya yang memerlukan bantuan,” usik Qismyna. Ariff dan Almi hanya menggelengkan kepala. “Aku juga perlukan pertolongan kau terutamanya sekali berkenaan bahan rujukan serta peralatan komputer. Soal bakery dan stationary shop tu, aku boleh uruskan sendiri.”

“Tak de masalah. Kebetulan aku tahu sebuah syarikat yang boleh membantu dari segi pembekalan bahan-bahan rujukan yang memenuhi syarat dan juga pembekal alatan komputer.”

Thank tou, Fauzan. Kaulah sepupu aku dunia dan akhirat.” Qismyna menepuk-nepuk bahu Fauzan.

“Memang dah kenyataan....” ujar Fauzan sambil tersenyum memandang Ariff. Ariff hanya mengangkat bahu dan menggeleng kepala.

Saat Hati Merelakan 7

MAKAN malam itu disediakan oleh Puan Suria dan Puan Marsila. Qismyna turut membantu menyediakan hidangan walau dia tidak mahir memasak. Pembantu rumah Puan Marsila turut membantu.

Pelbagai masakan disediakan. Ayam percik, sate dan beberapa hidangan sampingan hanya dibeli diluar. Mereka duduk di meja makan beramai-ramai sambil menjamu selera.

Fauzan merenung gadis di depannya sambil mengukirkan secebis senyuman apabila dirinya dipandang. Maya menjeling. Sakit hatinya masih belum sembuh. Fauzan tak sudah-sudah mengusiknya.

Sebaik saja makan malam, Tuan Malik dan Encik Zulkarnain menghilangkan diri di bilik bacaan. Puan Suria dan Puan Marsila sedang rancak berbual mengenai masakan. Qismyna yang berada di situ merasa bosan menyertai kedua-dua wanita itu. Matanya liar mencari kelibat Fauzan. Namun tak juga dilihatnya. Mungkin Fauzan menyertai Tuan Malik dan Encik Zulkarnain.

Lantas dia berlalu meninggalkan kedua-dua wanita itu dan menuju ke halaman rumah. Halaman yang luas dihiasi dengan pokok-pokok bunga. Di satu sudut halaman itu terdapat sebuah taman kecil yang disediakan buaian dan sebuah kolam kecil.

Qismyna memanjat tangga-tangga kecil di tepi taman itu sebelum memasuki kawasannya. Lantas dia melabuhkan punggungnya di atas buaian. Kakinya menghayun perlahan buaian itu.

Dia memandang jauh di atas langit. Kelihatan butiran bintang menghiasi segenap ruang. Sungguh cantik pemandangan itu di matanya. Lantas dia memejam matanya beberapa ketika untuk menikmati keindahan sentuhan angin malam dan kesayuan kepekatan malam yang sunyi.

Di hatinya mula terdetik tentang cinta. Cinta yang menjadi subjektif mengapa Hawa diciptakan untuk Adam yang kesunyian. Kerana cinta jugalah menyebabkan Zulaikha sanggup mengkhianati suami kerana cinta yang mendalam pada Yusoff. Kerana cintalah Khadijah sanggup berkorban apa saja untuk Muhammad s.a.w. Dan kerana cinta jugalah sehingga sekarang dia tidak dapat melupakan Adam. Adam……. Satu persatu kenangan kembali menerjah di kotak ingatannya.

Fauzan yang baru selesai menolong Mak Mah di dapur bergerak ke ruang tamu utama. Hanya kelihatan ibunya dan Puan Suria di situ. Dia tertanya-tanya ke mana perginya Qismyna. Mungkin gadis itu berada di luar mengambil angin ?

Kakinya dihayun ke luar. Matanya liar mencari kelibat Qismyna. Akhirnya matanya terpaku pada susuk tubuh orang yang dicari-cari. Dia tersenyum. Lantas dia menghampiri gadis itu. Semakin hampir dia dengan Qismyna semakin jelas penglihatannya pada gadis itu.

Dia memberhentikan langkahnya yang hanya beberapa langkah bezanya dengan Qismyna. Gadis itu sedang memejam matanya rapat seolah-olah sedang tidur. Tapi dia tahu Qimyna masih berjaga. Sungguh cantik Qismyna pada pandangan matanya. Dalam cahaya bulan yang samar-samar dia menatap gadis itu. Bibirnya merah delima. Alis matanya lentik. Hidung yang sedikit mancung. Keaslian yang semulajadi tanpa secalit alatan solek.

Tiba-tiba Qismyna membuka matanya dan memandang terus pada Fauzan. Fauzan kaget sebentar lalu mengukirkan sebuah senyuman. Qismyna membalas senyumannya.

“Kau buat apa sorang-sorang kat luar ni?” tanya Fauzan sambil menuju ke arah Qismyna dan duduk disisinya.

“Kau ke mana tadi? Aku cari kau,” tanya Qismyna kembali, tidak menjawab soalan Fauzan.

“Aku tolong Mak Mah kemaskan dapur.”

“Kau?!” tanya Qismyna agak terkejut kemudian tersenyum sinis tidak mempercayai kata-kata sepupunya itu. Fauzan mengganggukkan kepalanya mengiakan kata-katanya sebentar tadi.

Enam tahun merantau di negeri orang telah banyak mengajarnya untuk hidup berdikari. Dia sudah biasa menyediakan makanan sendiri kerana di Australia makanan halal sukar untuk di cari.

“Nak buat macam mana, kan. Orang perempuan zaman sekarang dah tak mahu ke dapur lagi. Jadi terpaksalah orang lelaki yang turun ke dapur.” sindir Fauzan. Qismyna mencebikkan bibirnya. Dia tahu kata-kata itu ditujukan kepadanya.

“Tak payahlah kau nak sindir-sindir aku. Kalau kau kahwin, belum tentu isteri kau tahu memasak. Yalah......perempuan sekarang tak macam dulu, kan.” ujar Qismyna kembali. Fauzan menganggukkan kepalanya.

“Kalau isteri aku tak pandai memasak, aku boleh ajarkan.” ujar Fauzan yang sememangnya pandai memasak. “Perempuan sekarang bijak-bijak belaka. Malah lebih ramai yang melanjutkan pelajaran berbanding lelaki. Itu aku tak nafikan.” balas Fauzan. Qismyna tersenyum mendengar pujian Fauzan pada kaumnya.

“Lelaki pun tak bodoh sebenarnya. Cuma lelaki minat apa yang perempuan tak minat. Begitu juga sebaliknya. Tapi, setinggi-tinggi mana pun seorang wanita, tempat dia tetap di sisi suami kalau dia mendirikan rumahtangga suatu hari nanti. Betul tak?” tanya Fauzan lalu memandang Qismyna. Qismyna mengalihkan pandangannya. Fauzan tersenyum. Dia tahu Qismyna tidak puas hati dengan kenyataannya sebentar tadi. “Tak payahlah kau nak nafikan semua tu.” Qismyna masih lagi membatu.

Qismyna tahu kata-kata Fauzan adalah benar. Tapi dia tidak berpuas hati mendengar cara Fauzan menyatakan. Seolah-olah merendahkan martabat kaum wanita disamping lelaki.

“Kau jangan salah faham kata-kata aku Qis,” tambah Fauzan lagi apabila Qismyna masih tidak bersuara. Qismyna mengalihkan pandangannya memandang Fauzan yang berada di sebelahnya.

“Memang aku tak nafikan semua tu. Tapi, kau janganlah terlalu angkuh dengan martabat lelaki. Wanita pun mempunyai keistimewaan yang tiada pada lelaki.” Qismyna bersuara keras.

Fauzan mengerut keningnya seolah-olah keliru. Dia berfikir sebentar. Adakah dia tersilap kata-kata menyebabkan Qismyna menjadi marah. Dia berfikir sejenak.

“Kau terlalu serius dalam bab ni,” ujar Fauzan. “Aku tak merendahkan martabat kaum wanita. Malah aku tahu kaum wanita dijadikan kerana lelaki perlukan wanita dalam hidup mereka.” Fauzan tersenyum sinis. “Apa yang kau fikirkan sebelum aku datang kat sini tadi?” Sengaja dia bertanya soalan itu pada Qismyna kerana dia merasakan Qismyna sedang berfikir tentang perkara yang ada kaitannya mengenai Adam dan Hawa.

“Tak fikir apa-apa.” Qismyna berbohong. Fauzan menatap wajah Maya lama sebelum membalas kata-katanya.

“Okey. Tak pe.” Fauzan mengangkat keningnya. “Memandang tajuk ni terlalu sensitif buat kau, apa kata kita ubah topik,” cadang Fauzan. Tiba-tiba Qismyna mendapat akal.

“Kalau macam tu. Biar aku tanya soalan pada kau.” Qismyna tersenyum. Fauzan mengangguk membenarkan.

“Siapa wanita yang sanggup kau ajar memasak tu?” Qismyna bertanya penuh sindiran.

“Mestilah kau!” balas Fauzan dengan selamba. Maya mengerutkan keningnya. “Tentulah kau sebab kau kan tak pandai masak.” Kali ini Qismyna terkena lagi dengan usikan Fauzan. Kerana geram Qismyna menampar kuat bahu Fauzan. Badan Fauzan sedikit terangkat. Pedih bahunya dirasakan namun sengaja berpura-pura tidak merasa sakit. “Bukan itu maksud aku!” geram Qismyna menuturkan kata. “Maksud aku bakal isteri kau. Siapa bakal isteri kau?” Kali ni suaranya agak rendah sedikit. Fauzan tersenyum sambil menggosok bahunya yang ditampar Qismyna.

“Sakit ke?” tanya Qismyna apabila melihat Fauzan menggosok-gosok bahunya. Tiba-tiba rasa bersalah bersarang dihati.

“Tak sakit pun. Macam gigit semut je,” bohong Fauzan sedangkan tamparan Qismyna memang terasa pedih. Qismyna menjeling mendengar kata-kata Fauzan.

‘Sakitlah tu. Saja tak nak ngaku,’ bisik hati Qismyna.

“Beritahulah aku dengan siapa kau sekarang,” pinta Qismyna. Kali ni suaranya amat lembut. Fauzan memerhati Qismyna lama.

Dihatinya hanya ada satu nama. Sejak dulu hingga kini hanya nama itu saja yang bertakhta di hati. Namun, untuk menyatakan hasrat hati, waktu ini bukanlah masa yang tepat. Dia masih belum tahu apa yang tersirat di hati gadis idamannya. Qis......seandainya kau tahu.

“Belum ada calon,” balas Fauzan.

“Kau bohong,” balas Qismyna. “Beritahulah. Please.....” pujuknya lagi.

“Lelaki macam aku mana ada bidadari yang nak dekat. Kalau orang macam kau pun tak nak kat aku apatah lagi perempuan lain,” gurau Fauzan lagi.

Qismyna menolak tubuh Fauzan dan pintas bangun. Dia geram apabila lelaki itu tidak pernah serius berbicara dengannya. Dia tahu Fauzan berbohong. Mustahil jejaka sekacak Fauzan masih tiada bidadari di hatinya. Fauzan ada segala-galanya.

“Kau nak ke mana?” tanya Fauzan apabila Qismyna berlalu tanpa sebarang kata. Marah di hatinya apabila gagal membuat Fauzan membuka rahsianya.

Fauzan menggelengkan kepala lalu kembali duduk di tempatnya. Qismyna memang begitu. Sering merajuk dengannya. Sejurus dia memandang ke langit.

‘Kalaulah kau tahu dalam hati ini hanya kaulah insan yang amat ku cintai. Kalaulah kau tahu harapan yang ku sandarkan pada mu setinggi langit. Kalaulah kau tahu kaulah insan yang berjaya mencuri hati ini.’



WES meletakkan kedua-dua lengannya di belakang kepala sambil berbaring. Matanya mendongak ke syiling memandang kipas yang ligat berputar. Fikirannya melayang mengimbas kembali detik perkenalannya dengan Farahymma. Kemudian perjalanan cinta yang ditempuhi hingglah di saat perpisahan mereka.

Dia masih ingat lagi waktu itu. Pada ketika itu, Farahymma datang berjumpa dengannya secara mengejut. Mungkin kerana sering mengelak dari berjumpa dengan Farahymma menyebabkan gadis itu mengambil keputusan untuk berjumpa dengannya tanpa pengetahuannya sendiri.

Dia tahu Farahymma mencarinya kerana mendengar khabar bahawa dia akan pulang ke Sabah dan takkan kembali semula ke sini. Farahymma juga tahu kepulangannya kerana akan melangsungkan perkahwinan.

“Apa sebenarnya yang dah berlaku?” itulah soalan Farahymma sebaik saja berkunjung ke pejabatnya. Farahymma tidak terus memarahinya atau menyakiti hatinya. Malah dia meminta penjelasannya.

Sewaktu bertanya soalan itu, dia tahu Farahymma telah cuba sedaya upaya untuk mengawal emosinya. Walau pun begitu, masih terdapat getaran dalam nada suaranya. Wes masih lagi membisu membiarkan soalan Farahymma berlalu begitu.

“Saya dengar awak akan pulang ke Sabah?” tanyanya lagi. Wes mengangguk perlahan. “Untuk selamanya?” soal Farahymma lagi sambil matanya merenung Wes yang entah ke mana penglihatannya di tujukan. Wes mengangguk lagi.

“Maaf kalau kedatangan saya menganggu awak. Tapi kita perlu selesaikan segalanya sebelum awak pergi. Saya perlukan penjelasan.” Farhymma bersuara namun masih dalam kelembutan. “Jangan tinggalkan saya dengan seribu persoalan tanpa jawapan. Saya perlukan jawapan untuk ketenangan diri.”

Wes masih lagi membisu tanpa sebarang suara yang kedengaran. Dia masih lagi mencari kekuatan untuk menjelaskan segala-galanya pada gadis yang dicintainya. Bagaimana untuk dia berterus terang bahawa mereka tidak dapat bersama-sama kerana dia perlu menuruti keinginan keluarganya.

“Saya perlu tahu segala-galanya. Saya tak mahu menyimpan dendam dalam diri.”

Wes membetulkan duduknya. Menegakkan badan lalu menarik nafas dalam-dalam. Dia memandang Farahymma sebentar sebelum membuang pandangannya ke tempat lain.

“Maafkan saya sebab melarikan diri dari awak. Saya tertekan,” ujar Wes memulakan bicara. “Kenangan kita hanya setakat ni.” Mendengar kata-kata Wes, Farahymma memejam matanya sebentar. Memujuk diri agar sentiasa tenang menerima kenyataan. “Saya akan berkahwin dengan gadis pilihan keluarga.”

“Maafkan saya.” Wes menguak rambutnya ke belakang. “Saya tak bermaksud untuk mempermainkan perasaan awak. Saya terpaksa.” Wes melepaskan keluhan. Farahymma lekas menyeka airmatanya. Dia tak mahu kelihatan sedih.

“Saya maafkan awak.” Sebaik saja berkata begitu, Farahymma terus meninggalkannya. Dan sejak itu dia tidak pernah bersua dengan gadis itu sehinggalah dia berjumpa dengannya petang tiga hari lepas di atas bukit.

Wes betul-betul tidak menyangka dia akan berjumpa dengan Farahymma di sana. Dia merasa kesal kerana membiarkan Farhymma berlalu begitu saja. Sepatutnya dia bertegas agar Farahymma mendengar penjelasannya. Sekarang, di mana lagi dia akan mencari gadis itu. Selepas berjumpa dengannya mustahil Farahymma akan ke sana lagi. Inilah yang dirisaukan sekarang ini.

Saat Hati Merelakan 6

HATI Wes dibuai dengan nyanyian Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Pelangi Petang. Dia merenung kehadiran pelangi di angkasa. Berseri dengan tujuh warnanya. Kehadiran angin sepoi-sepoi bahasa selepas hujan petang itu, menambahkan lagi kesayuan di hatinya. Dia teringat semula kata-kata Farahymma.

“Hidup manusia ni ibarat alam semulajadi. Cuba awak renung. Adakalanya kita gembira, adakalanya kita berduka. Apabila awan mendung berarak menutupi mentari, hujan renyai akan turun ke bumi. Waktu tu, tiupan angin amat hebat. Hujan turun mencurah-curah tanpa memperdulikan isi alam. Dan kemudian, selepas berhentinya titisan hujan pelangi indah akan muncul menghiasi dengan tujuh warnanya. Perlahan-lahan langit menjadi cerah dan mentari muncul lagi.”

Di sinilah di mana tempat dia dan Farahymma sering menghabiskan masa bersama. Di atas bukit inilah tempat kegemaran Farahymma setiap kali keluar bersamanya. Dan di sini jugalah kenangan paling manis yang pernah diukir bersama Farahymma.

Di waktu mereka bersiar-siar di atas bukit ini, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Tatkala mereka mencari tempat perlindungan, seluruh tubuh mereka telah basah. Mereka tertawa sesama sendiri melihat keadaan mereka. Setelah hujan berhenti, pelangi muncul menyerikan kenangan bersama.

“Farah, seandainya kau ada di saat ini, pasti kau akan melihat betapa indahnya pelangi ini.” ujarnya perlahan.



QISMYNA tersenyum. Sesekali bayu datang menyentuhi paras wajahnya. Dia memejamkan mata cuba menghayati keindahan pada petang itu. Nyaman dan tenang dirasakan. Jendela kamarnya sengaja di buka untuk melihat keindahan pelangi petang. Dari jendela rumahnya saja dia dapat menikmati keindahan itu.

‘Adam.....lihatlah betapa indahnya pelangi yang muncul selepas titisan hujan gugur ke bumi. Masih ingatkah kau ingat pada kata-kataku. Hidup manusia bagai isi alam. Alam ini tersemadi seribu pengertian kepada manusia dan kita perlu merungkaikannya.’

Tiba-tiba timbul keinginan di hatinya untuk bersiar-siar di atas bukit yang tidak jauh dari rumahnya. Di bukit itulah dia sering menghabiskan masanya bersama Adam suatu ketika dulu.

Pantas dia berlari keluar dari kamarnya dan menuju ke sana.



WES mempercepatkan langkahnya. Farahymma yang berada di depannya dikejar. Farahymma mula berlari-lari anak namun langkahnya dapat diatasi oleh Wes. Wes menahannya dari terus melangkah pergi.

“Please Farah, please!” Wes memegang kemas pergelangan tangan Farahymma. Farahymma cuba menarik tangannya namun hampa.

“Lepaskan saya!” Dia terus memberontak.

“Berilah saya peluang. Kita perlu berbincang sayang....” pujuk Wes. Kata-kata sayang dari bibir Wes membuatkan Farahymma berhenti memberontak. Dia memandang Wes sebentar sebelum pandangannya beralih ke bawah memandang kaki bukit.

Wes yang melihat tindak balas dari Farahymma terus melepaskan genggamannya. Dia menarik nafas panjang untuk mencari kekuatan berhadapan dengan gadis itu.

“Farah.....”

“Untuk apa awak datang sini lagi?!” tanya Farahymma keras.

“Saya datang mencari awak. Saya nak minta maaf pada awak. Saya......”

“Awak tak perlu minta maaf dari saya. Saya dah lupakan perkara lepas. Saya dah terima dengan hati yang terbuka. Segala-galanya saya dah lupakan.”

“Segala-galanya?” Wes seolah-olah tidak percaya dengan kata-kata Farahymma. “Termasuk kenangan dan cinta kita?”

“Ya,” balasnya tegas. “Untuk apa saya ingat semua tu? Perlukah saya masih seperti dulu sedangkan awak sedang bahagia dengan kehidupan baru awak.”

“Farah......awak dah salah faham. Sebenarnya.....”

Look...saya tak nak dengar dan tak berminat nak tahu apa-apa pun tentang awak. Antara saya dengan awak dah tak de apa-apa. Bagi saya awak dah tak bermakna dalam hidup saya!” Farahymma terus berlalu meninggalkan Wes tanpa menoleh ke arahnya.

Wes terdiam kaku mendengar setiap butir kata-kata yang terkeluar dari bibir Farahymma. Dia tidak menyangka Farahymma begitu tega mengeluarkan kata-kata yang amat pedih.

Dia menarik nafas panjang. Cuba mententeramkan diri. Mungkin Farahymma tidak bermaksud untuk berkata begitu. Hatinya telah terluka sejak dia ditinggalkan. Dia tidak bersalah. Malah Wes yakin dan pasti, Farahymma masih menyayangi dirinya.

Wes berjalan memasuki perut kereta dan termenung sebentar. Dia menguakkan rambutnya ke belakang sambil menghembuskan keluhan yang panjang. Dia tidak sangka akan bersua dengan Farahymma di situ. Sedang asyik dia melihat keindahan pelangi, dia terlihat kelibat Farahymma di sana.

“Farah....... kenapa kau tak beri peluang untuk aku jelaskan?” Wes bicara perlahan.

Tiba-tiba matanya terarah kepada seorang gadis yang sedang merenungnya tajam. Dengan jelingan yang kurang menyenangkan gadis itu berlalu pergi.

‘Siapa dia?’ Wes tertanya sendirian.



PUAN SURIA yang sedang asyik menyapu halaman rumah mengalihkan pandangannya kepada Qismyna yang sedang melangkah masuk ke dalam. Dia merasa hairan. Sejak bila Qismyna keluar dari rumah sikit pun dia tidak menyedari.

“Kau dari mana Qis?” soalnya apabila Qismyna melintasinya. Qismyna menghentikan langkahnya seraya memandang ke arah Puan Suria.

“Ambil angin kat atas bukit,” ujar Qismyna terus berlalu meninggalkan Puan Suria. Sampai saja dia di ruang tamu, terus tangannya mencapai remote control lalu skrin televisyen pun terbuka. Dia mengeluh sebentar. Tiada satu yang menarik.

Sudahlah tadi ketenangannya di ganggu dek pertengkaran sepasang kekasih sewaktu dia bersiar-siar di atas bukit. Di rumah pula tiada apa-apa yang menarik untuk dilakukan. Dia mencebikkan mukanya.

‘Apalah yang dilakukan Zila sekarang.’ Fkirannya mula teringatkan sahabatnya yang sedang berbulan madu di Cameron Highland. ‘Mungkin dia sedang bersiar-siar dengan Johan sekarang.’ Dia mengeluh lagi mengenang nasibnya yang keseorangan.

“Qis.” Kedengaran suara yang memanggilnya. Qismyna berpaling.

“Kenapa mak?” tanyanya. Puan Suria melabuhkan punggungnya di sisi Qismyna sebelum bersuara.

“Pagi tadi Mak Ngah telefon, katanya Fauzan baru sampai dari Australia,” beritahu Puan Suria. Qismyna kelihatan riang mendengar berita itu.

“Fauzan dah balik?!” dia bertanya meminta kepastian dari ibunya. Puan Suria mengangguk. Lantas dia berlari menuju mencapai ganggang telefon. Tak sabar rasanya untuk berjumpa dengan sepupunya itu.

“Hello...Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam,” jawab suara di corong telefon.

“Mak Ngah ye? Qis ni,” beritahu Qismyna.

“Ah....Qis. Ada apa?” tanya Puan Marsila.

“Fauzan dah balik ye Mak Ngah. Qis nak bercakap sekejap dengan dia,” pintanya.

“Fauzan tidurlah Qis. Letih agaknya baru sampai. Nanti kalau dia bangun Mak Ngah beritahu Qis telefon cari dia.”

“Tidur?” Qismyna hampa mendengarnya. “Tak pelah Mak Ngah. Assalamualaikum.” Qismyna meletakkan ganggang telefon. Dia berpaling ke belakang.

Matanya terpaku pada susuk tubuh seorang lelaki yang berdiri di belakangnya. Qismyna memandang dari bawah dan terus ke atas. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat lelaki di hadapannya.

“Fauzan?!” dia menjerit. Kini dia tahu dirinya telah dipermainkan. Mak Ngah, ibunya dan Fauzan ternyata telah berpakat untuk mengenakannya. Dia mengetap bibir. Lelaki di hadapannya dipandang tajam.

Fauzan yang dapat menangkap tindakan Qismyna selanjutnya mengundur ke belakang beberapa tapak apabila Qismyna mula mendekatinya. Kemudian dia terus berlari mengelilingi ruang tamu apabila Qismyna terus mengejarnya.

Fauzan terus mengusik Qismyna dan mengajuknya apabila gadis itu tidak berjaya mendapatkannya. Qismyna terus mengejar sepupunya itu sambil mulutnya terkumat-kamit memarahi Fauzan kerana mempermainkannya.

Puan Suria menggeleng kepala melihat kedua-dua mereka yang saling berkejaran dan mengusik antara satu sama lain. Jauh di sudut hatinya amat menyenangi keakraban yang terjalin antara Fauzan dan Qismyna. Sejak kecil lagi hubungan kedua-dua orang muda itu memang rapat. Inilah yang diinginkan oleh Puan Suria.

Suasana yang bingit tadi menjadi sunyi apabila Qismyna dan Fauzan menyambung aktiviti kejar-mengejar mereka di halaman rumah. Lantas Puan Suria bangun menghampiri telefon dan tangannya mula mendail menghubungi Marsila adiknya. Tak sabar rasa di hati untuk berbincang dengan Marsila tentang rancangan mereka. Dia juga bertekad untuk berbincang dengan suaminya malam ini.



“BANG....” panggil Puan Suria lembut seraya matanya mengamati susuk tubuh suaminya melalui cermin besar.

“Hmmm....” lambat-lambat Tuan Malik mengangkat mukanya memandang isterinya yang sedang menyisir rambut. Tuan Malik memusing kepalanya ke kanan dan ke kiri. Terasa sengal lehernya. Kemudian jari jemari kanannya memicit lengan tangan kirinya yang terasa lenguh.

“Apa pendapat abang tentang perkara tu?”

Tuan Malik tidak menjawab pertanyaan Puan Suria. Bantal di hujung kepalanya ditepuk-tepuk lalu meletakkan kepalanya dan berbaring. Badannya terasa benar-benar letih mungkin kerana terlalu banyak masa dihabiskan di pejabat walaupun A2-M Sdn. Bhd telah diserahkan kepada anak lelaki tunggalnya yang juga merupakan anak sulungnya.

Ariff masih mentah, dia perlu banyak belajar kerana itu Tuan Malik sering memerhatikannya di pejabat.

“Abang.....saya tanya abang ni.” Puan Suria mengalihkan badannya mengadap Tuan Malik.

“Budak-budak tu dah besar Suria. Biarlah diorang tentukan hidup sendiri. Tak payahlah kita nak memaksa diorang tu,” ujar Tuan Malik yang telah tahu persoalan yang ditanya Puan Suria.

“Saya bukan nak memaksa, abang. Tapi sekurang-kurangnya kita usahakan mereka bersatu.”

“Tak perlu buat semua tu. Kalau dah jodoh mereka bersama, semuanya akan jadi sendiri. Kalau dah tak de jodoh, awak buat macam mana pun takkan jadi,” balas Tuan Malik. “Dari awak sibuk-sibuk soal Qis dengan Fauzan tu, ada baiknya awak cari menantu yang baik untuk Ariff. Anak awak yang sorang tu dah gila kerja. Langsung tak fikir umurnya yang dah meningkat.”

“Abang ni....” Puan Suria merungut. Ada nada rajuk dalam suaranya.

“Saya bukan tak suka dengan cadangan awak tu. Tapi kita kena fikir juga hati mereka. Nanti kalau jadi apa-apa, kita pulak yang disalahkan,” balas Tuan Malik. “Dahlah tu. Baik awak lupakan niat awak.” Tuan Malik mengeliatkan tubuhnya. “Bila kita nak pergi melawat Marsila?”

“Esok malam,” ujar Puan Suria ringkas lantas bangun mematikan lampu.

‘Merajuklah tu. Dah tua-tua pun merajuk lagi,’ bisik hati Tuan Malik.

Saat Hati Merelakan 5

WES membawa dulang yang berisi dua gelas air lalu diletakkan di hadapan sahabat yang telah lama tidak ditemuinya.

“Minumlah Shid. Air kosong je,” pelawanya.

“Tak pe. Aku datang ni bukan nak minum. Nak melawat kau,” ujar Rashid, teman baik Wes sewaktu di Universiti Sains Malaysia. Rashid meneguk sedikit air putih yang dihidangkan.

“Macam mana kau tahu aku ada di sini?” tanya Wes.

“Tengahari tadi aku jumpa dengan Laila. Dia yang beritahu aku kau ada kat sini,” jelas Rashid. “Aku ingatkan kau takkan balik semula kat sini.”

“Aku pun tak pernah terfikir nak datang Penang lagi. Kebetulan dah ada peluang, aku tak lepaskan,” beritahu Wes. Rashid memandang sekeliling.

“Besar juga rumah kau.”

“Ini bukan rumah aku. Rumah syarikat. Aku ni tumpang je,” jelas Wes.

“Kau datang nak cari Farah?” tanya Rashid lagi. Wes menganggukkan kepalanya. Tentu Laila telah menceritakan segalanya pada Rashid.

“Tapi aku sendiri tak tahu nak cari dia kat mana. Walaupun Penang ni kecil je, manusia kat sini dah macam ikan sardin.” Rashid ketawa kecil mendengar kata-kata Wes. Memang benar, kesesakan lalu lintas yang sering berlaku adalah buktinya.

“Aku pun dah lama tak jumpa dengan Farah. Sejak dia pindah. Tapi..... aku pernah terserempak dengan dia seminggu sebelum dia berangkat ke Negeri Sembilan. Dan selepas itu.....” Rashid menggelengkan kepalanya.

“Negeri Sembilan?!” Wes mengerutkan keningnya. “Untuk apa?”

“Sambung belajar.” Rashid meneguk air kosong yang dihidangkan.

“Farah sambung belajar?” tanya Wes perlahan lalu menghembuskan nafas yang panjang. “Mungkin dia kecewa dengan aku. Sebab itu dia ke sana.” Wes diam seketika. “Tapi, Laila ada beritahu aku yang baru-baru ni dia berjumpa dengan Farah.”

“Aku tahu. Dia ada beritahu aku juga,” terang Rashid. “Mungkin dia dah habis pengajian. Inilah peluang kau.”

“Ya. Inilah peluang aku untuk tebus kembali kesalahan aku meninggalkan Farah dulu,” kata Wes. “Tapi....aku takut kalau-kalau....... apa yang aku inginkan tak menjadi kenyataan.”

“Kenyataan masih jauh. Yang penting hampirinya dulu. Soal yang lain tu, kita serahkan pada takdir,” ujar Rashid. “Aku dengar bakal datuk mentua kau meninggal setahun sebelum majlis akad nikah kau dan Manisa. Betul ke?” Wes menganggukkan kepalanya mengiakan kebenaran.

“Ya.....setahun sebelum hari sepatutnya aku disatukan dengan Manisa. Sebulan selepas tu, aku ditawarkan untuk uruskan syarikat di sini.”

“Pernikahan kau dengan Manisa ditangguhkan hingga bila?” Wes mengangkat kedua-dua bahunya.

“Entah. Aku harap aku dapat jumpa dengan Farah secepat yang mungkin. Kalau terlewat......aku terpaksa,” ujar Wes lemah.

“Aku tak fahamlah. Kalau kau tak mahu, kenapa kau ikutkan juga kehendak keluarga kau?” tanya Rashid. Wes terdiam.

“Sebab......” dia menarik nafas. “.....aku dah berjanji dengan ibu aku yang aku akan kahwin dengan gadis pilihannya. Aku tak sangka pula ibu aku benar-benar mencari seorang calon untuk aku. Aku pernah beritahu tentang Farah pada ibu. Tapi ibu tak setuju sebab dia dah berjanji dengan Aunty Mary, ibu Manisa. Dia malu kalau tak dapat menunaikan janjinya.”

“Habis tu, untuk apa kau cari Farah pula?”

“Aku nak cari Farah untuk bersama dengan dia semula. Tapi aku takkan putuskan pertunangan aku dengan Manisa. Bila aku dah jumpa dengan Farah aku akan pujuk dia berkahwin dengan aku. Lepas tu aku akan berterus terang dengan Manisa. Terpulang pada dia sama ada dia nak jadi isteri nombor dua atau putuskan pertunangan kami.”

“Kenapa kau tak berterus terang saja dengan Manisa yang kau tak cintakan dia?”

“Dah! Tapi katanya, kalau aku tak mahu pada dia, aku yang kena putuskan hubungan kami sedangkan aku sendiri dah janji dengan ibu aku.”

“Jadi itulah perancangan kau.” Kini Rashid mengerti. “Dengarnya macam mudah. Tapi sebenarnya tak mudah seperti yang kau bayangkan. Kalau dibuatnya Manisa setuju jadi isteri nombor dua, apa perasaan Farah?”

Wes mengeluh mendengar pertanyaan Rashid. Jika itu terjadi, pasti Farahymma akan menyesal berkahwin dengannya.

“Aku hanya mampu berdoa agar Manisa putuskan hubungan kami.”

“Lima tahun lepas, kau pulang ke Sabah kerana keluarga kau dah uruskan penikahan kau dengan Manisa. Yang peliknya, macam mana hingga sekarang kau dengan dia masih belum berkahwin?” tanya Rashid yang hairan apabila mendapat tahu Wes dan Manisa masih belum mendirikan rumahtangga.

“Sewaktu sampai di sana, aku diberitahu aku akan ditunangkan dengan Manisa selama setahun. Selepas setahun, salah seorang pengurus di sana letak jawatan jadi aku dinaikkan pangkat. Kerja aku dah semakin bertambah dan ditambahkan lagi dengan kerja-kerja yang tertunggak. Sampai dah over limit.”

“Sebab tu aku minta pernikahan kami ditangguhkan hingga aku dapat stabilkan kerja-kerja aku. Lepas tiga tahun, datuk Manisa meninggal dunia,” cerita Wes.

“Sebulan lepas tu, aku ditawarkan kenaikan pangkat dan akan ditukarkan ke sini. Aku terima tawaran tu.” Rashid mengangguk-anggukkan kepalanya tanda memahami cerita Wes.

“Baru aku faham sekarang. Takdir Tuhan. Mungkin kau dan Farah akan dipertemukan sekali lagi.”

“Ya......aku pun harap begitu.”

“Sekarang aku nak kau ikut aku.” Rashid menggenggam tangan Wes sambil menariknya bangun.

“Nak pergi mana?” tanya Wes yang kelihatan ragu-ragu sambil mengusap dagunya yang dipenuhi rerambut. Rashid memandang saluruh wajah sahabatnya. Rimas!

“Dah.......tak payah banyak soal ikut je.” Dia terus menarik tangan Wes.

“Oiii, kau nak bawa aku pergi mana?” Rashid terus menarik tangan Wes tanpa memperdulikannya.

“Salon!”



HARI yang dinantikan telah tiba. Suasana kelihatan sesak dengan saudara mara serta jiran tetangga. Keriuhan suara kanak-kanak yang bermain dilaman ditambahkan lagi dengan suara ibu-ibu yang sama-sama bergotong-royong di dapur menambahkan lagi kemeriahan yang dirasakan.

Qismyna yang menemani Zila hanya tersenyum memandang sahabatnya. Dia tahu Zila sedang berperang perasaannya sendiri. Adatlah bagi orang yang akan melangkah ke alam baru.

Fikirannya melayang jauh mengingatkan Adam. Seandainya cinta mereka bertahan, tentu sekarang dia seperti Zila yang akan mendirikan rumahtangga. Kemudian, mempunyai cahayamata yang sangat comel. Dia menghembuskan nafasnya.

‘Kalaulah Adam masih bersama......’

“Qis!” panggil Zila. Maya berpaling memandangnya. “Aku nervouslah.”

“Rilekslah.” Qismyna hampir ketawa melihat wajah Zila yang gelisah.

Pada hari itu Qismyna menemani Zila dari rombongan lelaki tiba hinggalah Zila mengikut keluarga suaminya pulang. Dia merasa gembira menyaksikan upacara ijab dan qabul. Kemudian, pengantin perempuan dan lelaki diiringi untuk naik ke pelamin dan bermulalah acara merenjis air mawar.

Pengantin kemudiannya di bawa ke meja santap untuk upacara makan beradap. Dia dapat menyaksikan betapa gembiranya Zila pada hari itu dan dia turut bergembira melihat kebahagiaan sahabatnya.

Setelah majlis selesai Qismyna terus pulang bersama Puan Suria dan Tuan Malik. Badannya terasa letih satu hari suntuk berada di sana.

Sebaik saja sampai di rumah, dia berehat sebentar sebelum membersihkan dirinya. Kemudian, dia berbaring di atas katil. Fikirannya melayang mengingati majlis perkahwinan Zila. Bagaikan tayangan gambar satu persatu bermain di matanya. Tetapi pasangan pengantin bukanlah Zila dan Johan melainkan dia dan Adam.

Alangkah indahnya kalau di saat ini dia melayari bahtera bersama Adam. Mengikat janji untuk sehidup semati. Tak mungkin.....

Saat Hati Merelakan 4

Wes memandu perlahan. Seawal jam tujuh pagi begini, jalan raya masih lengang. Mudah baginya memandu dalam keadaan begitu. Sesekali matanya melirik, memandang matahari yang mula kelihatan di balik bukit. Dia tersenyum. Wajah Farahymma bermain di ruang mata. Dia bukanlah seorang pecinta alam sebenarnya. Namun, Farahymma yang membuka matanya untuk melihat jauh keindahan alam ciptaan Illahi.

Farahymma memang gemar bercerita tentang keindahan bulan dan bintang. Dia juga gemar melihat matahari terbit dan terbenam. Secara tidak langsung hatinya juga tertarik pada unsur alam.

Wes memerhati keadaan sekeliling. Sebaik saja sampai di simpang Jalan Sultan Azlan Shah, Wes membelok ke selekoh kiri menuju ke arah yang ingin ditujunya. Setelah sampai dia mematikan enjin.

“Assalamualaikum.......” Dia memberi salam sambil terjengok-jengok ke dalam untuk memastikan rumah itu ada penghuninya.

Laila yang kebetulan sedang menyiapkan anaknya ke sekolah, bangun lalu membuka pintu.

“Waalaikumsalam.........Wes!!” jerit Laila. Sebentar kemudian Danial, anak Laila yang berusia tujuh tahun datang dan mencium tangan ibunya. Kemudian dia berlalu memasuki perut bas sekolah yang berhenti di hadapan rumahnya.

Laila melambai-lambai kepada anaknya sehingga bas sekolah itu hilang dari pandangannya. Kemudian dia beralih kepada Wes.

“Masuklah Wes,” jemputnya. “Tapi kita duduk di luar saja yek. Suami aku tak de kat rumah.”

“Tak pe. Kat sini pun dah cukup,” ujar Wes sambil melabuhkan punggungnya di kerusi halaman. Setelah itu, Laila masuk ke dalam dan kembali dengan secawan kopi di tangannya. Wes mengucapkan terima kasih.

“Bila kau pulang dari Sabah?” tanya Laila.

“Baru seminggu. Maaflah, tak sempat nak beritahu. Busy!” Laila menganggukkan kepalanya.

“So, macam mana dengan kau?”

“Macam yang kau lihat sekarang.” balas Wes. Laila memerhatikan Wes dari atas ke bawah. Lelaki ini sudah jauh berubah. Semakin kurus dan tak terurus. Jika dulu, misai dan janggutnya sentiasa dicukur bersih, tapi kini dibiarkan begitu sahaja.

“Kenapa kau sebenarnya? Kau dah tak macam dulu.”

“Kau tanya pada aku soalan yang sememangnya kau dah tahu.” Wes tersenyum sinis.

“Setelah lima tahun kau masih tak boleh terima pilihan keluarga kau dan tak dapat lupakan Farah?” soal Laila sambil merenung tajam lelaki di hadapannya.

“Aku dah cuba Laila. Tapi aku tak mampu nak tukar kasih sayang Farah dengan wanita lain. Aku masih sayangkan dia. Aku cintakan dia Laila!” Dia memandang Laila sayu. “Melakukan sesuatu tanpa ada kerelaan, takkan ada kebahagiaan menanti di hadapan.” Wes menarik nafas sebentar. “Aku dah cuba untuk rela.”

Laila memandang jauh ke dalam anak mata Wes. Ada garis-garis kelukaan. Ada sinar keredupan yang terselindung dibalik wajah yang bersahaja.

Wajah kemurungan dan kekecewaan yang sama dilihat dalam diri Qismyna sewaktu mereka terserempak di kedai buku.

“Aku kembali ke sini pun untuk cari dia Laila. Tapi, dia dah pindah. Aku tak tahu kat mana lagi nak cari dia.” Wes bersuara kesal.

Dua hari lepas dia ke Taman Metropolitan untuk mencari Farahymma. Tapi malangnya penduduk di situ memberitahu Farahymma telah lama berpindah ke tempat lain.

“Minggu lepas aku jumpa dengan Farah.” Pantas sahaja Wes memandang wajah Laila sebaik sahaja dia berkata begitu. Laila memandang wajah Wes yang penuh dengan harapan.

“Kat mana dia sekarang?”

“Aku tak tahu. Aku ingatkan dia masih tinggal di Taman Metropolitan. Aku tak tahu yang dia dah berpindah. Dia pun tak cakap apa-apa dengan aku. Nombor telefon pun dia tak beri pada aku.”

“Kenapa?” tanya Wes.

“Entahlah. Mungkin juga dia tak mahu diganggu.” balas Laila. “Tapi, untuk apa kau nak cari dia lagi. Sedangkan kau sendiri tak mampu menolak pilihan orang tua kau.”

“Aku bukan macam dulu. Aku akan berjuang demi cinta aku. Aku perlu jumpa dengan Farah.” Kenyataan Wes membuat Laila sedikit keliru.

“Kau dah berkahwin, kan?” soal Laila.

“Tak. Aku masih belum berkahwin.” Laila kelihatan terkejut dengan kenyataan Wes. Dia menyangka Wes sudah pun mendirikan rumahtangga. Malah, semua orang menganggap begitu termasuk Farahymma.

“Kau masih belum berkahwin?!” Laila menghembuskan nafas yang panjang. “Kalau aku tahu lebih awal, pasti aku beritahu Farah.” Mereka diam sebentar.

“Kau tak ubah macam adik angkat aku.” Wes mengerling Laila.

“Ya, dia pun macam kau juga. Pecinta setia yang kecewa. Kebetulan dia baru balik dari Johor, aku terserempak dengan dia. Masih setia dengan cinta lama. Kalau kau tak dapat Farah, kau kahwin saja dengan dia.” seloroh Laila.

“Boleh juga. Tapi dia nak ke kahwin dengan aku?” Laila ketawa kecil mendengar seloroh Wes.

“Kau dengan dia kena register dalam persatuan orang-orang yang kecewa bercinta.”sambung Laila lagi.

“Yelah tu. Aku tengah frust tak dapat cari Farah kau buat lawak pulak. Ada ke patut.” Laila diam seketika. Kasihan melihat Wes. Dia teringat pada Qismyna. Ya, gadis itu juga menderita kerana cinta. Betapa besarnya kekuatan cinta pada manusia.

“Dari dulu aku dapat rasakan yang.....Farah tak dijodohkan dengan aku. Tapi, aku tak tahu kenapa sampai sekarang aku masih belum dapat melupakan cintanya. Gila! Tapi itulah yang aku rasakan. Cinta yang tak pernah padam.” Ada sayu dari nadanya.

Memang benar, selama dia bersama dengan Farahymma sehinggalah sekarang, dia tak pernah merasakan yang mereka berdua akan bersama. Tetapi dia tetap mahu berusaha untuk mencapai cita-citanya yang ingin sehidup semati dengan gadis itu. Setiap malam dia sentiasa berdoa memohon kepada Illahi agar ditemukan semula dengan gadis itu.

“Kalau macam tu, kenapa kau masih mengharap pada dia?” Laili mengerutkan keningnya tidak memahami apa yang dirasakan lelaki itu.

Wes mengalihkan pandangannya kepada Laila sambil tersenyum lalu mengangkat kedua-dua bahunya tanda tidak tahu.

“Mungkin kerana aku terlalu cintakan dia.”



QISMYNA memicit-micit belakang tengkuknya yang terasa lenguh. Satu persatu buku-buku anak muridnya diperiksa. Macam-macam yang tertulis. Ada juga yang melukis. Dia menggelengkan kepalanya.

‘Lain yang diajar, lain yang dibuat.’

Baru sebulan Qismyna bergelar guru tadika di Sri Permai. Maya senang mendidik anak-anak kecil. Baginya, mendidik mereka lebih mudah berbanding mereka yang telah pandai berfikir. Dia mengajar di tadika itu sekadar untuk mengisi masa lapangnya buat sementara. Sebenarnya, dia mempunyai agenda lain untuk masa depannya.

Kehidupan Qismyna lebih tenang sekarang. Sedikit sebanyak, dia sudah melupakan kisah cinta yang lalu. Dia lebih senang menghabiskan masa bersama anak-anak muridnya yang nakal tetapi pintar. Hatinya terhibur melihat keletah mereka walaupun adakalanya mencabar kesabaran.

“Bagaimana kau sekarang?” soal Zila pada suatu hari sewaktu mereka beriadah bersama di pantai Seagate. Zila dapat melihat perubahan pada diri Qismyna. Sahabatnya itu kelihatan lebih ceria. Dia hairan bagaimana anak-anak kecil itu mampu membuat hidup Qismyna labih bermakna sedangkan lima tahun berada di Johor Bahru Qismyna belum mampu untuk melupakan kenangan silam.

“Aku gembira. Hidup aku lebih bermakna berbanding dulu.” Qismyna tersenyum sambil memandang jauh keindahan pantai yang terbentang di depan matanya. “Aku tak sangka aku betul-betul bahagia sejak aku kenal pelajar-pelajar cilik di Sri Permai. “

“Baguslah kalau macam tu. Aku pun tumpang bahagia,” ujar Zila.

Qismyna mendepakan tangannya. Membiarkan angin pantai yang bertiup melanggar tubuhnya. Begitu juga dengan Zila.

“Tapi....takkanlah kau nak terus mengajar di tadika tu?” soalan Zila menyebabkan Qismyna membuka matanya dan berpaling menghadap Zila.

“Tak. Aku dah ada perancangan sendiri. Cuma.....aku perlukan waktu lebih sikit,” balas Qismyna. “Mungkin.....hujung bulan depan aku akan berhenti dari mengajar di tadika tu. Kau macam mana pulak?” tanya Qismyna kembali.

“Macam mana apa?”

“Maksud aku......pernikahan kau dengan Johan. Macam mana?” tanya Qismyna. Zila tersenyum.

“Minggu depan keluarga Johan akan datang,” ujarnya dengan penuh makna. “Berdebar-debar rasanya.”

“Yelah. Tak lama lagi nak jadi tunang orang. Lepas tu isteri orang,” usik Qismyna.

“Eiii.....jahat.” Zila mencucuk pinggang Qismyna. Qismyna menjerit kegelian lalu mengejar Zila yang telah pun melarikan diri darinya.

Saat Hati Merelakan 3

Zila memandang jam yang tergantung di dinding ruang tamu kemudian beralih memandang jam di tangannya. Sudah hampir satu jam setengah dia menunggu Qismyna di situ. Rasa malu dan segan mula menguasai diri. Mujurlah Puan Suria ramah orangnya.

Sedari tadi juga dia cuba menghubungi Qismyna namun gadis itu tidak menjawab panggilannya..

“Kenapa? Risau je nampaknya,” tegur Puan Suria walaupun dia tahu kegusaran Zila.

“Eh, tak delah mak cik. Cuma.......dah lama saya kat sini. Qis pun tak balik-balik.” Zila memaksa dirinya mengukirkan senyuman. “Saya rasa saya nak minta diri dulu.”

“Assalamualaikum….” Terdengar suatu suara dari luar.

“Waalaikumsalam.” Mereka berdua menjawab serentak.

“Zila tunggu dulu. Mak cik pergi tengok. Rasanya Qis tu......” Puan Suria melangkah bangun. Jangkaannya tepat. Kelihatan Qismyna berada di muka pintu sedang membuka kasut. Di tanggannya menggenggam beberapa beg plastik.

“Pergi mana tadi?” Qismyna berpaling mendengar suara di belakangnya.

“Ah, mak,” dia tersenyum. “Pergi kubur arwah Mak Cik Salmah.......lepas tu singgah kedai buku,” ujarnya sambil menunjuk buku-buku yang dibelinya. Puan Suria menggelengkan kepalanya. Memang dari dulu anak gadisnya minat membaca.

“Engkau ni. Baru sampai tu, bawak-bawaklah berehat dulu. Ini tidak.” Puan Suria menggelengkan kepalanya.

“Alah mak ni. Qis tak ke mana-mana mak. Lepas melawat kubur arwah Mak Cik Salmah, Qis singgah kedai buku je. Kan Qis dah minta izin semalam.”

“Zila ada di dalam. Dah lama dia tunggu kau.”

“Zila?” keningnya berkerut. Qis bangun mengangkat punggung lalu beredar ke ruang tamu. Puan Suria membontotinya di belakang.

“Zie!” panggil Qismyna. “Kenapa kau tak call aku dulu? Kalau tak aku dah balik awal.”

“Apasal pulak aku tak call? Engkau yang tak jawab fon!” beritahu Zila. Qismyna segera mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam beg galas.

“Empat belas missed call!!” Qismyna tercengang. “Sorry…aku on silentlah.” Qismyna memohon maaf setelah menyedari kesilapannya.

Puan Suria berlalu meninggalkan mereka berdua. Maya menghampiri Zila dan duduk berhampirannya.

“Ada apa kau datang cari aku ni?”

“Tak de apa yang penting. Cuma……Adam,” ayat Zila mati di situ. Wajah Qismyna mula kelihatan garis-garis kekeliruan.

“Apa sebenarnya ni?”

“Tadi, aku pergi shopping di Gama. Aku singgah Prangine Mall. Aku nampak Adam.” Kali ni, Qismyna memang benar-benar terkejut. Mulutnya ternganga sedikit.

“Kau nampak Adam di Prangine Mall?!” Dia terdiam seketika. Bibirnya ditarik cekang. “Aku ingatkan dia takkan datang ke sini lagi,” ujarnya perlahan namun masih boleh didengar.

“Aku pasti, lelaki yang aku nampak di sana tadi adalah Adam,” tegas Zila. “Dia masih macam dulu. Tak berubah.” Qismyna hanya terdiam tidak membalas kata-kata Zila. “Sebab tu aku datang sini. Nak beritahu kau.”

“Kau jumpa dengan dia?” tanya Qismyna. Zila menggelengkan kepala.

“Hanya dari jauh.” Zila memandang wajah sahabatnya yang mula kelihatan murung. “Maaf, aku bukan sengaja nak tambahkan penderitaan kau. Cuma, aku rasa kau perlu tahu. Aku nak kau bersedia.”

“Tak pe, Zie. Kau tak perlu nak minta maaf. Cuma, kalau boleh aku nak jauhkan Adam dari minda aku.” Qismyna memandang wajah Zila.

Zila menghembuskan nafasnya. Bolehkah Qismyna buang Adam dalam ingatannya? Sedangkan lima tahun dia membawa diri ke negeri orang pun, Adam masih belum hilang dari kenangannya.

“Ah.....sebenarnya kau ke mana tadi Qismyna?” tanya Zila mengubah tajuk perbincangan apabila melihat Qismyna kelihatan sedikit runsing.

“Aku ke kedai buku Popular. Saja beli buku sikit,” jelasnya.

“Kat mana?” tanya Zila lagi.

“Prangine Mall,” jawab Qismyna ringkas.

“Kau tak terserempak dengan Adam?” tanya Zila pantas. Tak sangka Qismyna jugak ada di tempat yang sama. Qismyna menggeleng. Mujur dia tak terserempak dengan Adam di sana. Dia belum bersedia menghadapi kenangan silamnya sekali lagi.

“Zie!” Qismyna menarik nafasnya. “Aku dah tak nak ingat pasal Adam. Kerana dia aku jauh dari keluarga aku!” Qismyna bersuara sedih. “Aku menyesal sebab terlalu ikutkan perasaan.” Zila mula rasa bersalah melihat keadaan Qismyna.

Kalaulah dari dulu Qismyna bertegas untuk melupakan Adam, sudah tentu perkara sebegini takkan berlaku.

“Maafkan aku Qismyna.” Dia menyentuh tangan Qismyna. Cuba untuk menenangkan sahabatnya itu. “Aku sentiasa menyokong kau dan keputusan kau untuk melupakan Adam memang tepat! Tak guna kau masih ingatkan Adam. Nanti kau juga yang merana.”

“Aku benar-benar menyesal. Mujurlah keluarga aku masih terima aku walaupun aku dah banyak lukakan perasaan mereka.”

“Baiklah Qis. Aku janji. Aku takkan sebut apa-apa tentang Adam.” Qismyna mengukirkan senyuman padanya. “Okeylah. Aku balik dulu. Kalau ada apa-apa, call aku.” Qismyna mengangguk.

Setelah menghantar Zila hingga ke muka pintu, lantas Qismyna berlalu ke kamar tidurnya di tingkat atas. Dia menutup pintu dengan rapat lalu merapati tilam empuknya dan berbaring. Setiap butir kata-kata oleh Zila satu persatu terngiang-ngiang di telinganya.

‘Kenapa Adam perlu kembali lagi?’ Dia melepaskan keluhan. Sekilas dia teringat kembali pertemuannya dengan Kak Laila sebentar tadi sewaktu di kedai buku. Laila adalah kakak angkat dan juga teman rapatnya sewaktu dia berkerja separuh masa di sebuah pasar mini yang terletak di Bandar Bayan Baru.

Sedang dia membelek buku-buku yang terdapat di kedai tersebut, dia ditegur oleh seseorang.

“Eh, Kak Laila!” ujar Qismyna separuh menjerit. Terpancar cahaya kegembiraan diwajahnya. Sudah lama dia tidak bertemu dengan Laila.

“Akak ingat kau dah lupakan akak.”

“Mana boleh saya lupakan akak,” balas Qismyna. Setelah penat berpusing-pusing sambil bergelak ketawa di sekitar pameran, mereka berhenti rehat di sebuah gerai berhampiran.

“Kau hilang macam tu je. Kau balik pun tak beritahu. Sampai kenduri akak pun akak tak tahu macam mana nak jemput kau,” ujar Laila. “Akak ke rumah kau, tanya dengan mak kau. Katanya, kau dah lama tak balik Penang.”

“Saya bukan tak nak balik kak. Tapi saya sibuk.” Qismyna memberi alasan.

“Sibuk sampai langsung tak de masa nak balik?! Banyak sangat ke kertas kerja yang kau kena buat?” Laila menggelengkan kepalanya. Qismyna hanya mendiamkan diri. Mungkin ini adalah balasan padanya yang menghilangkan diri selama lima tahun. Ke mana-mana saja dia pergi, pasti orang yang mengenalinya akan mengutarakan pelbagai persoalan. “Atau.....kau masih ingat peristiwa lama?” Laila cuba menjerat Qismyna.

“Perkara tu dah lama berlaku, kak. Saya dah tak ingat lagi tentang semua tu.”

“Betul ke?” Laila cuba merenung mata Qismyna. Qismyna memandang ke arah lain. “Tapi.......Qismynaa yang ada di depan akak sekarang adalah Qismyna yang akak jumpa lima tahun dulu. Sikit pun tak berubah.” Qismyna membatu. “Akak tahu apa yang ada dalam hati kau, Qis.”

“Kak,” Qismyna mengetap bibir menahan perasaan. “Saya tak nak ungkit kisah silam. Semuanya dah berakhir. Antara saya dan Adam tak mungkin lagi. Saya pasrah,” ujarnya. “Biarlah yang lepas tu lepas.”

Laila memerhatikan Qismyna yang sedang merenung ke tempat lain. Dia tahu dan dia yakin dengan gerak hatinya bahawa gadis itu masih kecewa dengan kisah lalu.

“Apa rancangan Qis?” Laila menukar topik perbualan.

“Buat masa ni, saya nak rehat dulu. Lepas tu baru saya nak atur perjalanan hidup saya,” balasnya.

Qismyna meletakkan tangannya di atas kepala. Otaknya masih ligat memikirkan tentang Adam. Dia tahu, dia tak berhak lagi untuk berfikir tentang lelaki itu. Namun, fikirannya masih diganggu dengan percintaan mereka.

Dia menghembuskan nafas sebentar. Dia memandang sekitar bilik tidurnya. Tiada satu pun peninggalan Adam yang masih tersimpan. Semuanya telah dibuang sebelum dia berangkat ke Johor Bahru. Tapi kenangan bersama Adam masih tersimpan kemas dilubuk hatinya.

Dia beristighfar sebentar.

‘Qis! Kau harus bakar semua kenangan kau dengan Adam! Mesti! Mesti! Mesti!’ Hati kecilnya memberi semangat.