Tuesday 31 May 2011

Lukisan Cinta 4

ZAITON memerhatikan ke dalam kawasan sekolah menengah yang di maksudkan. Budak perempuan yang bernama Tania yang dihubunginya semalam menyuruhnya tunggu di depan pintu pagar sekolah selepas waktu tamat persekolahan.

Zaiton melihat jam di tangan. Masih ada sepuluh minit lagi sebelum loceng sekolah berbunyi. Dia berjalan menghampiri sebuah kerusi panjang yang terdapat di hadapan pintu pagar sekolah.

Fikirannya melayang mengingatkan Amani. Memang di awalnya, Amani berkeras agar dia yang pergi berjumpa dengan Tania. Tetapi bila memikirkan Amani mungkin terus melarikan diri, maka dia membuat keputusan, dia yang akan pergi berjumpa dengan Tania dan meninggalkan Amani bersama Jalil sebagai tebusan.

Sebelum dia keluar dari rumah dia sudah memberi amaran pada Jalil agar jangan pernah menyentuh Amani. Dia pasti, Jalil tidak akan berani mempermainkan amarannya. Malah, Hafiz juga telah di amanahkan untuk menjaga Amani.

Walaupun Hafiz itu baru berusia dua belas tahun tetapi Hafiz sangat matang seperti Amani. Mungkin kesusahan mereka yang menyebabkan anak-anak muda itu matang sebelum waktunya.

Mujurlah ada Hafiz, anak tiri Jalil. Anak Arwah isteri Jalil dengan suami pertamanya dulu memang kelihatan mengambil berat tentang Amani. Walaupun dia tidak rapat malah tidak bergaul mesra dengan budak itu, tetapi kelihatannya Hafiz menjaga Amani umpama abang menjaga adiknya.

Setelah sepuluh minit berlalu, kedengaran loceng sekolah berbunyi nyaring. Deringan loceng itu membuatkan hati Zaiton menjadi lebih tidak sabar. Kelihatan berduyun-duyun budak-budak sekolah keluar dari bangunan sekolah.

Dia memandang setiap budak perempuan dan berkira-kira yang mana satu adalah Tania. Bagaimana dia bisa mengenali Tania sedangkan kesemua mereka berpakaian seragam sekolah dan wajah Tania juga tidak pernah dilihatnya.

Dia mengeluarkan telefon bimbit dari koceknya lalu mendail nombor telefon Tania.

Tania yang masih mengemas buku-bukunya segera mencapai telefon bimbit yang disembunyikan dalam beg sekolahnya. Kalaulah pengawas atau guru-guru tahu kesalahannya itu, pasti telefonnya akan dirampas.

“Hello…..Assalamualaikum……” ramah Tania menjawap panggilan asing itu.

Zaiton yang tidak pernah mengucapkan kata salam apatah lagi untuk menjawapnya tergamam seketika. Telefon bimbitnya diperhatikan seketika lalu dibawa ke telinganya semula.

“Tania……Mak cik dah ada depan pintu pagar ni. Tania masih ada di sekolah, kan?” tanya Zaiton yang sudah gusar sekiranya Tania sudah pulang.

“Ah……” melebar senyuman Tania. Walaupun dia tidak mengenali wanita itu, namun memandangkan wanita itu adalah ibu budak perempuan yang ditemuinya, dia menjadi tidak gusar untuk membawa wanita itu ke rumahnya.

“Mak cik tunggu dulu ye. Tania baru nak keluar kelas ni. Nanti sampai depan pintu sekolah Tania pergi pada Mak cik!”

Tania mematikan telefon bimbitnya setelah memberi salam. Segera dia mencapai beg sekolahnya lalu berlari menuruni bangunan dan terus menuju ke pintu pagar. Liar matanya mencari orang yang ditunggu-tunggu.

Dari jauh matanya menangkap seorang wanita cantik yang sedang duduk di kerusi panjang di bawah pohon rendang bertentangan dengan pagar sekolah. Dia tersenyum. Pasti itulah orangnya kerana tiada wanita lain yang berada di situ.

“Mak cik!!” Tania menegur.

Wanita itu mengangkat wajahnya dan memandangnya. Dia berdiri dan terus memandang Tania yang masih mengukirkan senyuman manis.

“Tania?” tanya Zaiton. Tania menganggukkan kepalanya.

“Mari Mak cik! Tania bawa Mak cik ke rumah Tania!”

Tania terus berjalan dengan gembira di samping Zaiton. Zaiton yang sememangnya kurang mesra hanya mendiamkan diri dan tidak banyak bercakap sambil langkahnya terus membontoti langkah Tania.



HAFIZ memandang Amani yang masih dalam amarahnya. Dia tahu Amani marah pada Zaiton kerana meninggalkannya kepada Jalil sebagai jaminan.

“Kakak……” panggilnya.

Amani menjeling Hafiz. Hafiz tahu di dalam mood Amani yang sebegini tiada satu pun yang bisa menarik perhatiannya. Lantas Hafiz berdiri di depan Amani. Dia mengukirkan senyuman.

“Profesor Klon!! Ya!! Saintis termashyur!! Kebanggaan rakyat warga terunggul!! Profesor Klon! Ya!! Tokoh contoh Metrofulus Profesor Klon!!” Hafiz menyanyikan lagu Profesor Klon dari filem Cicak-Man kegemarannya sambil dia meniru watak itu.

Amani memerhatikan Hafiz yang sedang meniru Profesor Klon dan hanya bait-bait korus itu diulangnya. Dengan tubuhnya yang bulat dan pipi tembam Hafiz, memang dia merasa lucu dengan tingkat comel Hafiz itu. Walaupun dia berusaha tidak mahu senyum, namun akhirnya terukir juga senyuman buat Hafiz.

Melihatkan senyuman yang terukir, Hafiz semakin ligat menari untuk menghiburkan hati Amani. Dia akan melakukan apa sahaja agar di wajah yang sentiasa tegang, dingin dan beku itu bisa mengukirkan sedikit senyuman.



ZAITON yang masih membontoti Amani sudah mula merasa keletihan. Dia melirik sebentar tasik yang berada di kirinya. Sedari tadi mereka asyik berjalan tetapi masih belum juga tiba di rumah Tania. Kalau bukan kerana cincin itu, mahu sahaja dia menghamburkan kemarahan pada Tania. Kalau rumahnya masih jauh, kenapa tidak naik teksi sahaja?

“Tania…..” panggil Zaiton berlagak sopan.

Tania menghentikan langkahnya dan berpaling ke belakang memandang Zaiton.

“Jauh lagi ke?” tanya Zaiton. “Kalau jauh, kita tahan teksi je….” pujuk Zaiton.

“Ah…..dah nak dekat dah Mak cik! Sikit lagi! Lagi pun biasanya teksi dan bas tak masuk ke kawasan rumah saya!” beritahu Tania.

Memang benar, kenderaan awam hanya akan berhenti di jalan besar. Walaupun ada jalan masuk ke kawasan Setia Sentosa namun rata-rata pemandu teksi enggan masuk sehingga ke kawasan itu.

Setia Sentosa memang sebuah pertempatan yang besar. Perjalanan selama lima minit dari jalan besar menggunakan kenderaan, mereka akan bertemu dengan sebuah tasik yang sangat luas dan indah. Melepasi tasik itu, baru mereka akan menemui perkampungan Setia Sentosa.

Kampung Indah Mentari, itulah nama kampung yang di beri. Ilham hati juga terletak di dalam Kampung Indah Mentari. Ilham Hati terletak di hujung sekali perkampungan itu. Malah keluasan Ilhan Hati adalah setengah dari keluasan Kampung Indah Mentari.

“Setiap hari kamu berjalan pulang dari sekolah?” tanya Zaiton.

“Tak!”

Tania kembali meneruskan langkahnya dan diikuti Zaiton dari belakang.

“Biasanya pekerja papa yang hantar dan ambil saya pulang. Tapi hari ni papa hantar dia ke bandar. Pasti ada urusan yang penting. Jadi sebab itulah kita kena berjalan. Maaf ye Mak cik!” tanpa sebab yang utuh, Tania tetap memohon maaf.

Zaiton yang mendengar menjadi teruja. Pekerja papa? Siapa papa budak ini? Pasti orangnya kaya dan berpengaruh kerana mempunyai pekerja. Mungkin juga seorang ahli perniagaan. Tapi jika ahli perniagaan, perniagaan apa yang dijalankan di kawasan perkampungan seperti itu?



“TANIA dah balik!!” jerit Tania seperti selalu.

Mak Eton dan Kak Min segera menyambut Tania di gerbang Ilham Hati. Mereka melayan dan menyambut Tania dengan mesra. Zaiton yang berdiri agak jauh dari mereka hanya memerhati setiap layanan yang diterima gadis muda itu.

Tania yang ralit berbual dengan mak Eton dan Kak Min akhirnya teringat kepada Zaiton. Dia dengan rasa bersalah menghampiri Zaiton semula.

“Maaf Mak cik, saya terlupa pula dengan Mak cik.” Tania memohon maaf dengan menundukkan sedikit kepalanya pada Zaiton. “Marilah, Mak cik kita ke rumah saya!”

“Mak Eton dan Kak Min tolong sediakan makanan buat tetamu kita,” ujar Tania.

Mak Eton memandang Zaiton dengan pandangan kurang senang. Firasatnya, wanita itu bukan jenis wanita golongan baik-baik. Dari caranya berpakaian dan pandangan wanita itu menyatakan firasatnya.

Mak Eton menarik Tania menjauhi Zaiton.

“Siapa dia? Dari mana Tania jumpa dia?”

“Oh…..dia tu mak kawan Tania. Kebetulan, hari tu kawan Tania minta Tania jagakan barangnya dan sekarang Mak cik ni nak ambil semula barang kawan Tania tu,” Tania menjelaskan perkara yang sebenarnya.

Zaiton yang meyedari pandangan kurang senang Mak Eton padanya mula merasa tidak senang. Tak guna punya perempuan tua!! Di dalam hatinya sudah memaki hamun Mak Eton.

“Mak Eton dan Kak Min boleh siapakan makanan ye…..” suruh Tania. Mereka berdua mengangguk lalu pergi.

“Argh!!!” jeritan Zaiton membuatkan mereka bertiga menoleh.

Kelihatan Zaiton sudah tercengang dengan baju yang basah. Berdiri di depan Zaiton adalah Jamal yang sedang memegang tong besar di tangannya.

“Maaf…..maaf…… Saya tak sengaja!!” Jamal mengulangi kata-katanya untuk menunjukkan kekesalannya kerana cuai.

Sebenarnya, Jamal sedang membawa tong itu untuk membuang air bekas rendaman kain-kain yang sudah dicelupkan warna. Tanpa sengaja, dia tersepak batu lalu terjatuh dan air di dalam tong itu tertumpah membasahkan pakaian Zaiton.

“Mak cik tak apa-apa?!!” Dengan wajah yang penuh rasa bersalah Tania menghampiri Zaiton. “Maafkan dia, dia tak sengaja!!” Tania memohon maaf bagi pihak Jamal lalu memberi isyarat kepada Jamal untuk pergi.

Mak Eton dan Kak Min juga sudah berlalu untuk menyediakan makanan setelah menerima isyarat dari Tania.

“Mari Mak cik kita ke dalam salin pakaian!!”

Tania menarik tangan Zaiton lalu membawa Zaiton berjalan masuk ke dalam. kawasan Ilham Hati yang luas itu.

Zaiton memandang kawasan sekeliling. Kawasan yang luas itu penuh dengan kain-kain yang dijemur. Di belakang kawasan itu terdapat sebuah pondok yang besar. Dan di dalam pondok itu dia melihat ramai pekerja lelaki yang sedang memasukkan kain-kain yang bewarna di dalam kawah air panas yang mendidih.

Ada pula sesetengah dari mereka sedang mengecap pelbagai corak kain di atas bentangan kain yang terbentang dan beberapa pekerja lelaki dan perempuan sedang mewarnakan corak-corak yang sudah di tekap di atas kain-kain kosong. Begitu kusyuk Zaiton melihat sambil kakinya melangkah mengikut Tania.

Sampai sahaja di hujung kawasan yang dikelilingai dinding kayu tersebut terdapat sebuah pintu kecil yang membawa mereka ke satu kawasan yang lain.

Sebaik sahaja melepasi pintu kecil itu, langkah Zaiton terhenti dan mulutnya ternganga luas. Dia seoalah-olah tidak percaya apa yang dilihat olah matanya sekarang.

“Besarnya!!!”

Di depannya kini terdapat tiga buah rumah kayu yang besar dan kawasan yang sangat luas dan cantik. Sebuah darinya adalah sangat besar. Dan tiga rumah kayu itu dihubungi dengan laluan seperti jambatan. Dan di bawah setiap laluan itu terdapat kolam-kolam kecil dan ada taman kecil mengelilinginya.

Walaupun ianya adalah rumah kayu, tetapi ia bukanlah rumah kayu biasa. Ukiran kayu-kayu di segenap ruang menyatakan segalanya. Ini bukan rumah kampung biasa! Hanya orang-orang tertentu sahaja yang mampu memiliki rumah seperti ini.

“Marilah Mak cik!!” panggil Tania apabila menyedari Zaiton tidak mengekorinya.

Zaiton yang tersedar dari keterujaannya lantas mengekori langkah Tania yang menuruni anak tangga untuk masuk ke kawasan rumah besar itu. Kawasan Ilham hati memang berbukit-bukit. Dan mereka perlu menuruni anak-anak tangga yang dibina untuk sampai di pintu depan rumah kayu itu.

Sampai sahaja di depan pintu pagar, Zaiton memerhatikan papan tanda kayu yang dipacakkan di depannya.

“Syurga Ilham Hati?!” Zaiton membaca papan tanda kayu itu.

Tania tersenyum lalu tangannya membuka pintu pagar dan melangkah masuk ke perkarangan rumah besar itu.

“Syurga Ilham Hati adalah nama rumah ini. Arwah mama yang berikan nama tu!” ujar Tania.

Arwah mama?

Cepat benar Zaiton memangkap perkataan itu dan memprosesnya ke otak. Dia tersenyum.

“Yang hujung sebelah kanan adalah pejabat papa. Di situlah papa habiskan masanya dan melakukan kerja-kerjanya.” Tania menunjuk ke bangunan kayu yang paling hujung.

“Yang tengah ni adalah rumah untuk para tetamu khas dan juga ruang ketika membuat apa-apa keraikan di rumah ni,” terang Tania lagi. “Dan yang ini adalah rumah kami.” Tania menunding pada rumah kayu yang paling besar. “Mari kita ke bilik saya!”

Melangkah sahaja di dalam rumah kayu yang besar itu, Zaiton begitu teruja melihat rumah itu mepunyai lapan buah bilik yang besar dan cantik. Sampai sahaja di kamar Tania, dia mempersilakan Zaiton duduk di atas katilnya. Dia mencapai sebuah beg di bawah katil.

Zaiton yang masih dalam keterujaan memandang terus ruang di kamar itu. Kamar Tania jauh lebih besar dari mana-mana rumah lelaki-lelaki yang pernah disinggahi. Malah kamar itu juga lebih besar tiga kali ganda dari rumah setinggan Jalil. Bertuahnya dia dan Amani jika mereka bisa masuk ke sini.

“Mak cik…..” Tania menyerahkan sepasang pakaian yang berlipat di ambil dari beg di bawah katilnya. “Pergilah gantikan pakaian. Tania ke luar dulu nak cari papa.”

Tania menutup semula beg itu dan ditolaknya masuk ke bawah katil semula. Kemudian dia berjalan keluar untuk mencari papanya.

Wednesday 25 May 2011

Mencari Syurga Dalam Senang?

Diceritakan pada satu malam, seorang raja bernama Ibrahim Adham, sedang berehat dan bersenang-senangdi tilam empuk dalam istananya, sementara menunggu melelapkan mata. Tiba-tiba dia terdengar bunyi yang menunjukkan sesuatu sedang bergerak-gerak di atas siling istananya. Makin lama, makin jelas.

"Siapa di atas tu?' bentak Ibrahim Adham.
"Saya pengembala kambing," sahut satu suara dari atas dengan jelas.
"Apa yang kau buat di atas istana ku?" tanya raja lagi.
"Aku mencari kambingku yang hilang." jawab suara itu.
"Cis! Pelik sungguh! Masukkah akal bahawa kau mencari kambing yang hilang di atas atap istanaku?"

Dengan tegas suara itu menjawab, "Begitulah wahai Ibrahim! Adalah pelik kalau kau inginkan keredhaan Allah hanyan dengan bersenang-senang di atas tilammu yang empuk? Itu sama saja dengan mencari kambing di atas atap!"

Selepas insiden itu, Raja Ibrahim Adham tersedar daripada kelalaiannya. Suara itu telah menyentak kelalaiannya dalam buaian nikmat sebagai seorang raja, tanpa memikirkan kesusahan rakyat.

Tidak lama selepas itu, baginda menyerahkan takhtanya kepada orang kepercayaannya manakala baginda sendiri mula mengembara mencari ilmu dan bermujahadah sebagai seorang sufi. Bertahun-tahun baginda mendidik diri, darjat ketakwaan semakin meningkat, hingga terkenallah baginda sebagai seorang waliullah yang tersohor.


Pengajaran:
Tidak ada jalan mudah untuk mencari keredhaan Allah. Sesungguhnya, syurga sentiasa dipagari oleh kesusahan manakala neraka sentiasa dihiasi oleh kesenangan. Justeru, hadapilah kesusahan yang sementara di dunia demi kesenangan yang abadi di syurga.

Friday 20 May 2011

Bingkisan An-Nur





Aku tak pernah merasa sebahagia ini dalam hidupku. Berdebar-dan penuh dengan degupan jantung yang aku sendiri pasti kadar denyutannya tidak sama dalam sesuatu situasi. Sesekali jam didinding akan ku perhatikan. Ada masanya terasa lambat dan ada masanya aku terasa cepat benar ianya berlalu. Agaknya beginilah perasaan setiap wanita yang akan bergelar isteri.

Telefon bimbitku berbunyi. Panggilan masuk dari Farihin. Aku menekan punat hijau.

“assalamualaikum….”

“waalaikumsalam….” Salamku bersambut seperti selalu.

“Lambat lagikah nak sampai?” aku bertanya.

Sememangnya rombongan lelaki yang telah dijadualkan tiba sejam jam lalu masih belum nampak bayangnya.

Belum sempat aku bertanya apa yang menyebabkan kelewatan mereka pantas telefon ditanganku beralih ke tangan mak.

“Assalamualaikum…..Farihin…” aku mendengar mak berbual seketika. Walaupun aku tak pasti apa yang dibalas Farihin namun kelihatannya seperti mereka menghadapi sedikit masalah. Seketika kemudian mak mematikan talian dan menyerahkan telefon semula padaku.

“Kejap lagi sampailah tu…” ujar mak. Aku hanya mengangguk.Dalam hati aku berdoa agar semuanya berjalan dengan lancar.

Tak sampai setengah jam sesudah itu, suasana menjadi kecoh. Rombongan lelaki telah pun tiba. Hati aku semakin berdebar. Senyuman di wajah aku semakin terukir indah. Akhirnya tiba juga kedatangan orang yang dinantikan.

Tiba-tiba dengan tidak semena-mena satu dentuman kuat kedengaran. Berakhirnya dentuman kuat itu suasana sepi untuk beberapa saat sebelum aku terdengar ada suara wanita menjerit dan kemudian timbullah kekecohan.

Hatiku berdegup kencang. Apa yang telah berlaku? Debaran di dadaku semakim kuat. Aku ingin melangkah ke tingkap namun di tahan Angah yang baru melangkah ke dalam kamar. Wajahnya pucat dan terlukis satu perasaan yang membuatkan jiwaku terhimpit.

“Apa yang berlaku Ngah?” Jiwaku semakin tak tenteram.

Aku dapat rasakan ada sesuatu yang telah berlaku. Kekecohan di luar masih lagi kedengaran. Aku ingin melangkah semula ke tingkap.

“Along jangan!” tegah Angah.

“Apa yang berlaku Angah?” aku bertanya. Walaupun aku sendiri tidak tahu apa yang sedang terjadi di luar namun entah kenapa airmata ini mengalir di pipi.

“Apa yang berlaku Angah?” Dalam sedu sedan aku bertanya lagi.

Ya Allah…..Apa yang sedang terjadi sebenarnya.???

Angah yang melihat airmataku lantas memelukku erat dan turut menangis bersama ku.

“Tabahlah Along. Tabahlah…..” Dia memelukku dengan lebih erat.

“Apa yang berlaku Angah?” Aku bertanya lagi walaupun gerak hatiku mengatakan sesuatu. Sesuatu yang aku rasakan walaupun aku belum pasti ianya berlaku.

Seketika kemudian aku terdengar suara ambulans berbunyi dan berhenti betul-betul di depan rumahku. Aku mahu melangkah ke tingkap lagi namun kali ini mak pula yang masuk dan menghalang. Aku lihat matanya bengkak dan merah. Ada sedu dari suaranya.

“Apa yang berlaku mak?” Entah berapa kali aku sudah bertanya soalan yang sama. Namun tiada seorang pun yang mahu menjawab soalan ku itu.

Seketika kemudian aku mendengar ambulans berlalu pergi. Suasana yang kecoh sebentar tadi sunyi sepi.

Mak datang dan memelukku bersama sedu sedannya. Aku yang masih belum mengetahui apa sebenarnya yang terjadi masih terus menangis dan mengangis untuk sesuatu yang tidak ku ketahui.

“Sabarlah nak……sabarlah…….Kita menyayangi Farihin tapi Allah lebih sayangkan dia,” ujar mak kemudiannya.

Tangisan ku terhenti. Aku melepaskan pelukan dan memandang mak dengan penuh persoalan. Matanya yang kesedihan yang tiada sinarnya membuatkan aku mengerti apa yang telah terjadi.

“Farihin…..Farihin ke yang kemalangan tadi?”

Mak mengangguk.

Tiada kata yang dapat ku lafazkan lagi. Hatiku hancur. Terasa bagai ada suatu beban yang tiba-tiba menghempap hatiku. Aku tak berupaya untuk menarik nafas ku. Hanya airmata yang tek henti-henti mengalir.

Ya Allah…..Kenapa Kau mengambilnya sebelum sempat aku menjadi miliknya? Kenapa Kau mengambilnya sebelum sempat aku mencurahkan kasih sayang ku padanya? Kenapa Kau mengambilnya sebelum sempat dia menjadi suamiku? Kenapa Ya Allah? Kenapa? Kenapa?



AKU berdiri sayu sambil menadah tangan mengaminkan talkin dan doa buat Farihin. Airmata masih belum kering di pipi. Setiap masa dan ketikanya ia mengalir tanpa henti.

Angin yang berlalu lembut, mendung awan yang mengiringi bagai turut menyampaikan kesedihan atas perpisahan ini.



Pertemuan kita di suatu hari menitikan ukhwah yang sejati

Bersyukur ku ke hadrat Illahi di atas pertemuan ini

Namun kini perpisahan yang terjadi dugaan yang menimpahi diri

Bersabarlah di atas suratan kan tetap pergi jua….

Kan ku utuskan salam ingatanku dalam doa kudus ku sepanjang waktu

Ya Allah bantulah hambaMu di atas perpisahan ini…



SEJAK ketiadaan Farihin hidupku menjadi sunyi. Hati ku kosong. Kosong dan tak bermaya. Hanya kenangan bersamanya yang terus menyinggah di layar ingatanku.

Aku tahu dan aku sedar mak, abah, angah dan adik risaukan aku. Sering mereka menasihatiku agar menerima pemergian Farihin dengan sabar. Tapi aku belum bisa menerima yang aku telah kehilangannya di saat kebahagiaan itu berada di hujung jariku.

Tangan ku hulur hampir menyentuhnya. Belum sempat jari bertaut aku kehilangan semuanya. Kebahagiaan yang aku dambakan selama ini bersamanya hilang sekelip mata. Hidupku tidak bermakna. Kosong….

Setiap saat, setiap detik yang berlalu dalam ingatan ku hanyalah Farihin. Ada masanya aku terasan ingin mengikutnya di sana. Aku mahu berada bersamanya.



SUATU petang sedang aku duduk mengambil angin dan mengenangkan Farihin dalam setiap kenangan kami, Abang Man, posmen yang selalu menghantar surat di kawasan perumahan ini berhenti di depanku.

“assalamualaikum Wina…” Dia tersenyum.

Aku hanya menganggukkan kepala. Aku ingin membalas senyuman untuknya tetapi aku sendiri dah lupa bagaimana untuk tersenyum sejak kehilangan Farihin.

“waalaikumsalam,” aku menjawab semula.

“Ni ada bungkusan untuk Wina,” ujarnya sambil menyerahkan bungkusan coklat padaku. Borang penerimaan diserahkan untuk aku tandatangani. Sempat aku melihat pengirimnya.

Firdaus….dan alamatnya dari Mesir.

Siapa Firdaus? Aku tak pernah mengenali mana-mana lelaki yang bernama Firdaus. Seketika kemudian aku teringat. Farihin pernah memberitahu yang dia mempunyai seorang abang yang sedang melanjutkan pelajarannya di Mesir. Mungkin dia orangnya.

Sesudah menyerahkan borang penerimaan aku melangkah ke dalam dan terus masuk ke kamar. Bungkusan coklat itu menarik perhatianku.

Aku membuka balutan coklat itu perlahan. Terdapat satu lagi bungusan yang berwarna merah jambu dan tertulis di atasnya….’Bingkisan An-Nur’

“Bingkisan An-Nur?” Aku semakin penasaran untuk membukanya.

Pembalut yang bewarna merah jambu itu aku koyakkan dan terdapat sebuah kotak di dalamnya. Kotak itu aku buka.

Subhanallah……..Maha Suci Engkau Ya Allah…

Aku mengangkat Tafsir Al-Quran yang hanya sebesar tapak tanganku. Bukan itu sahaja malah tasbih yang bewarna coklat juga ada di situ.

“Ya Allah…..Ya Allah……..Ya Allah…..” Hanya itu yang bisa aku ucapkan.

Airmata yang tak pernah kering ini mengalir lagi. Tapi tangisan yang ku lahirkan berlainan sekali. Tangisan ini bukan tangisan kesedihan kerana kehilangan Farihin. Tetapi tangisan ini adalah tangisan kekesalan ku kerana meninggalkan DIA di saat jiwa ku lara.



Ku menatap dalam gelap

Tiada yang bisaku lihat selain namaMU….YA ALLAH..

Esok ataukah nanti ampuni semua salahku…

Lindungi aku dari segala fitnah….

Kau tempatku meminta, KAU beriku bahagia…

Jadikan aku selamanya hambaMU yang selalu bertaubat

Ampuni aku YA ALLAH yang sering melupakanMU

Saat KAU limpahkan kurniaMU

Dalam sunyinya aku bersujud….



Aku menyelak helaian Tafsir yang diberikan Firdaus. Dalam selitan helaian itu aku terlihat sepucuk warkah yang bewarna merah jambu, warna kesukaan ku.

Aku membuka lipatannya dan membaca setiap bait-bait kata yang tertulis.



Assalamualaikum saudaraku…..

Aku mendengar dari sekaliannya rintihan demi rintihanmu atas kehilangan adikku..

Terima kasih kerana menyayangi adikku dengan tulus dan setia. Tetapi terimalah dan berimanlah dengan rukun iman. Yakni rukun iman yang keenam adalah ‘percaya pada Qado’ dan Qodarnya’ Sesuatu yang berlaku adalah atas kehendakNya. Pasrahlah pada takdirNya. Sesungguhnya Allah menyayangi orang-orang yang beriman padaNya.

Bersabarlah dengan kesedihanmu. Pasti ada kebahagiaan menyusul kemudian.



Doa menghilangkan dukacita

‘Ya Allah hilangkan dukacita. Singkapkanlah kesedihan Tuhan yang mengabulkan doa bagi orang-orang di dalam kesusahan. Tuhan yang memberi rahmat di dunia dan akhirat dan Tuhan yang mengasihi kedua-duanya.’

Isikanlah jiwamu yang kosong dengan cinta kepadaNYA. Insyaallah kau akan mendapat ketenangan dan cinta yang abadi. Cinta datangnya dari Allah. Dekat kita dengan Dia, dekatlah Dia dengan kita. Jauh kita dari Dia, jauhlah Dia dari kita.

‘ Imam Ali a.s : Barangsiapa yg memperbaiki hubungan dirinya dgn Allah, pasti Allah akan memperbaiki hubungan dia dan manusia. Barangsiapa yg memperbaiki urusan akhiratnya, pasti Allah akan memperbaiki urusan dunianya. Barangsiapa selalu menjadi penasihat yg baik bagi dirinya sendiri, pasti Allah akan menjaga dari segala bencana.’

Ketahuilah Saudaraku, Allah Maha Mengetahui apa yang lebih baik untuk hamba-hambaNya. Dengan mengingatiNya, kau akan menemui ketengangan yang abadi.

Aku mendoakan semoga kau diberi hidayat dan kebaikan dan semoga Allah memberkati hidupmu dan keluargamu…..

Assalamualaikum…..



Aku melipat semula warkah merah jambu itu. Aku meletakkan semula Tafsir Al-Quran dan tasbir coklat itu di dalam kotaknya.



Bingkisan An-Nur itu aku tatap lama.



Ya Allah…..Ampunilah aku kerana menyintai hambamu lebih dari cintaku padaMu. Ampunilah aku kerana tidak meredhai kehendakMu. Ampunilah aku kerana melupakanMu. Ampuni aku….ampuni aku Ya Rabb…



Aku berjalan ke bilik air dan mengambil wuduk. Sesungguhnya air wuduk yang mambasuh setiap anggotaku terasa sejuk dan nyaman sekali. Ketenangan yang hilang terasa kembali semula.







SUBHANALLAH….ketenangan yang aku cari selama ini kembali mengisi ruang hati ku. Jiwa ku tidak kosong lagi. Ianya penuh dengan cinta untukNYA. Memang benar, menyintainya akan memberi ketenangan pada diri.



Senyuman di bibirku yang hilang di saat hilangnya Farihin dalam hidupku kembali menghiasi wajah.



Terima kasih yang tidak terhingga untuk Firdaus. Bingkisan An-Nur yang diberikannya benar-benar membuka mataku tentang kekhilafanku selama ini.



Aku membuka buka radio. Kebetulan Azan Subuh sedang berkumandang. Sebaik sahaja azan Subuh dilaungkan di radio aku mendengar Doa Buat Kekasih. Doa ini telah sering di mainkan di radio sehingga aku sendiri sudah bisa menghafal bait-baitnya. Namun aku tetap mahu mendengarnya sekadar untuk mengingatkan diriku sendiri agar tidak terpesong dari cintaNya.



“Ya ALLAH jika aku jatuh cinta, cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya padaMU agar bertambah kekuatanku untuk menyintaiMU. Ya MUHAIMIN….jika aku jatuh hati izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut padaMU agar tidak terjatuh aku dalam jurang cinta nafsu. Ya RABBANA, jika aku jatuh hati, jagalah hati aku padanya agar tidak berpaling dari hatiMU. Ya RABBUL iZZATI, jika aku rindu, rindukanlah aku pada seseorang yang merindui syahid di jalanMU. Ya ALLAH, jika aku menikmati cinta kekasihMU janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhirMU. Ya ALLAH, jika aku jatuh hati pada kekasihMU, jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepadaMU. Ya ALLAH, jika Kau halalkan aku merindui kekasihMU jangan biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepadaMU….Amin Ya Rabbal Alamin.”



Aku turut menadah tangan dan mengaminkan doa itu.



Usai aku menyudahkan solat Subuh ku, aku ke dapur dan membantu mak menyediakan sarapan.



Hujung minggu yang indah. Semuanya berkumpul di rumah. Abah, mak, aku, angah dan adik. Dahulu ketika aku masih alpa dengan kenangan Farihin, aku tidak akan berkumpul begini melainkan berkurung di dalam kamar dan melihat foto-foto Farihin.



Aku lihat mak dan abah gembira dengan perubahan ku. Mereka senang aku sudah bisa melepaskan Farihin dalam hatiku.



Angah dan adik juga kelihatan ceria semula. Barulah aku sedar kini, tatkala aku murung dahulu, mereka turut bermurung melihatku. Dalam tak sedar, kesedihanku juga sedang digalas mereka.



“Alhamdulillah……abah gembira lihat along sekarang,” ujar abah. “Keluarga kita dah kembali ceria macam dulu. Insyaallah…..Allah akan memberikan pengganti Farihin yang lebih baik untuk along.”



Aku hanya tersenyum. Mak di depanku terus menatap wajahku. Ada airmata gembira yang bergenangan dalam kolam matanya.



“Mak…..sudahlah mak. Ampunkan along. Along bersalah pada semua orang,” ujarku lalu memeluk mak.



“Mak menangis sebab gembira lihat perubahan along. Hanya Tuhan saja yang tahu berapa sedihnya mak melihat keadaan along.”



Ku lihat angah dan adik juga menangis. Mereka bangun lalu memeluk aku dan mak. Dan kami berempat berpelukkan. Abah hanya tersenyum.



“Sudah-sudahlah…..abah dah lapar. Kamu semua nak peluk berapa lama lagi?”



Suara abah membuatkan kami ketawa.







SELESAI sarapan dan membersihkan dapur aku minta izin dari abah dan mak untuk keluar berjalan di sekitar taman.


Matahari yang masih belum muncul sudah menampakkan sedikit cahayanya. Namun bulan masih kelihatan di awanan. Sesekali bayu pagi menyentuh tubuhku. Tenang dan mendamaikan.


Bingkisan An-Nur ditangan ku pandang sekilas. Aku tersenyum sendiri.



Aku melabuhkan punggungku di sebuah kerusi panjang yang terdapat di padang berdekatan dengan rumahku. Setiap helaian ku selak. Aku membaca makna dan cuba merungkaikan maksudnya.



Aku menutup Tafsir Al-Quran sebaik sahaja kilauan matahari yang memancar menyilaukan pandanganku. Tasbih coklat itu ku selitkan di helaian yang ku baca. Tiba-tiba sahaja aku terpandangkan warkah merah jambu yang ku selitkan di helaian Tafsir itu. Aku tersenyum.



Terima kasih Firdaus….







XXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX



Pagi itu aku lihat Abang Man menghentikan lagi motornya di depan rumah. Aku menghampiri. Abang Man tersenyum. Aku membalas dengan ikhlas.

“Ada surat buat Wani. Jauh ni! Dari Mesir!” ujar Abang Man lagi.

Terus nama Firdaus terlintas di ingatanku. Aku mencapai sampul merah jambu yang di beri Abang Man lantas kaki ku hayun masuk ke kamar. Hatiku berdegup kencang. Aku tertanya-tanya, apa agaknya isi kandungannya.



Assalamualikum saudaraku…….

Semoga hidupmu dilimpahi perlindungan dariNYA

Syukur pada Allah kerana telah membuka hijab hatimu untuk merelakan dan pasrah atas segalanya. Insyaallah, kau akan menemui kebahagiaan itu lagi.

Cinta memang indah lebih indah jika kita sedar cinta hakiki itu adalah untukNYA. Demikianlah saudaraku, cintailah DIA kerana kau juga akan dicintai. DIA tidak pernah menghampakan hamba-hambaNya yang mencintaiNya.

Ilmu adalah cahaya di saat kita kegelapan. Berpeganglah dengan Ilmu AgamaMu. Insyaallah, DIA akan menunjukkan jalan buatmu.

Aku mendoakan semoga kau diberi hidayat dan kebaikan dan semoga Allah memberkati hidupmu dan keluargamu…..Ameen…


Assalamualaikum…….



Aku melipat semula warkah itu. Memang benar kata Firdaus. CintaNya adalah cinta yang hakiki. MencintaiNya, kita akan dicintai.

“Terima kasih Firdaus…”


Ku memohon dalam sujudku padaMU

Ampunkanlah segala dosa dalam diri…

Ku percaya Engkau bisa melakukan..

Pendirianku…Keimananku….

Engkau satu cinta yang selamanya cari

Tiada waktu ku tinggalkan demi cintaku kepadaMU

Walau seribu rintangankan menggagal dalam diri ku teguhkan hati ini

Hanya padaMU…Ku pasrahkan….

Oh Tuhan selamatkanlah hamba ini dari segala fatamorgana dunia…

Oh Tuhan jauhkanlah hamba ini dari hidup yang sia-sia….



AKU lihat mak sedang berbual di telefon. Dengan siapa aku tak pasti. Tapi serius saja lihat dia bercakap. Seolah-olah ada sesuatu yang penting.

“Kenapa mak?” aku bertanya sebaik sahaja mak meletakkan ganggang telefon.

“Keluarga Farihin telefon. Mereka jemput datang kenduri sempena menyambut kedatangan abang Farihin, Firdaus.”

“Firdaus?” Entah kenapa ada satu perasaan bahagia menyelinap dalam diri mendengar nama itu.

“BIla Firdaus pulang?”

“Insyaallah, minggu depan katanya,” ujar mak. “Along macam mana? Nak pergi?” Tanya mak.

Aku tersenyum. Aku tahu mak gusar jika hati aku terusik kembali dengan arwah Farihin.

“Insyaallah……” Aku tersenyum.

Entah kenapa aku teringin benar untuk melihat wajah Firdaus. Seseorang yang tidak aku kenali bagaimana wajahnya dan peribadinya. Tetapi aku ingin sangat melihat seseorang yang telah menghantar bingkisan An-Nur untukku.



HARI yang dinantikan telah tiba. Entah kenapa aku ingin sangat kelihatan cantik hari itu. Aku mengenakan kurungan merah jambu, warna kesukaanku dan mengenakan tudung yang juga dasar warnanya sama.

Entah berapa kali aku membelek penampilanku dalam cermin. Aku sendiri pun tidak menyedari yang aku terlalu lama berdiri di depan cermin sehinggalah angah dan adik menegur.

“Kak Long ni kenapa asyik pusing-pusing depan cermin? Teringin nak jadi model muslimah ke?” Adik mengusik. Angah sudah ketawa.

Wajah terasa panas. Mungkin sekarang ni sudah bertukar merah kerana malu ditegur adik-adik.

“Kenapa? Tak boleh ke Along nak cantik-cantik sikit?” Tanya aku.

“Boleh Along. Tapi kalau kena tempatnya. Bukankah seorang wanita wajib berhias hanya untuk suaminya dan bukan untuk tatapan umum?” ujar adik yang kini berada di tingkatan empat dan mengambil jurusan agama. Sejak dia mendalami bidang ini dia mula petah berkata-kata.

“Tapi along menutup aurat,kan?” ujarku.

Dia tersenyum dan mengangguk.

“Adakalanya menutup aurat tak sempurna kalau tak disertai dengan niat yang betul,” balas adik lagi.

Aku duduk disebelahnya lalu tersenyum.

“Adik Kak Long sekarang ni makin bijak!” Pipinya ku cubit manja.



SAMPAI sahaja di rumah Firdaus, orang ramai sudah mula memenuhi ruang. Aku difahamkan, penerbangan Firdaus ditangguhkan sehingga esok. Firdaus yang sepatutnya tiba pagi tadi akan pulang pada keesokkan harinya. Ada sedikit rasa kesal kerana tak dapat melihat Firdaus.

Tak mengapalah semuanya sudah kehendakNya. Aku memujuk diri. Ah…kenapalah aku sering alpa dengan kehendak hati?

Walaupun firdaus tiada namun kenduri yang dirancang untuk menyambutnya tetap diteruskan. Bukan itu sahaja, kenduri yang diadakan ini juga disatukan sekali dengan kenduri arwah untuk Farihin. Begitulah yang aku dengar dan semuanya atas permintaan Firdaus.

Walaupun aku tak mengenali insan yang bernama Firdaus ini, sedikit sebanyak aku sudah mula mengaguminya. Aku sudah mula menghormatinya. Semoga Allah akan sentiasa memberi kebaikan untuk Firdaus dan menghindarkan dia dari sebarang keburukan. Semoga Allah sentiasa melindungi Firdaus walau di mana jua dia berada.



SUBUH itu usainya aku mengerjakan solat, bingkisan An-Nur ku ambil lagi. Aku membacanya dan mendalami maksudnya. Sungguh asyik dan menenangkan sehinggalah pintu kamarku di buka dari luar. Muncul Angah di depan pintu.

Angah melihat aku sedang memegang Tafsir Al-Quran itu memohon maaf kerana menggangguku.

“Lepas akak dah selesai, akak jumpa mak,” ujar angah sebelum hilang.

Usai aku menyudahkan rutin harian ku pagi itu, aku terus ke dapur mencari mak. Aku lihat mak dan abah sedang berbual sambil bersarapan.

“Mak cari Along?” tanyaku. “Maaflah Along lambat sikit pagi ni,” ujar aku apabila merasakan mak mencariku kerana aku masih belum keluar untuk bersarapan.

“Tak pe,” ujar mak. “Firdaus dah sampai pagi tadi. Dia singgah di masjid dan jumpa dengan abah.”

“Firdaus?” aku tercengang seketika. Perasaan bahagia itu hadir lagi.

Apa Firdaus buat di sini? Kenapa dia tidak terus pulang ke rumahnya?

“Dia dalam perjalanan balik rumah. Singgah kejap di masjid, solat Subuh. Lepas solat dia jumpa abah kejap lepas tu dia pergi.”

Abah ni macam tahu-tahu je persoalan di hati aku.

“macam mana Firdaus boleh kenal abah?” aku tertanya-tanya sedangkan selama ini kami tidak pernah bersua dengannya.

“Itulah….abah pun keliru jugak. Tapi dia beritahu yang arwah Farihin pernah kirimkan foto kita sekeluarga padanya sewaktu majlis pertunangan along dengan arwah dulu. Sebab tulah dia boleh kenal dengan abah.”

Aku mengganggukkan kepala. Barulah aku mengerti. Maknanya selama ini Firdaus telah mengenali wajah aku dan keluargaku.

“Kata Firdaus, insyaallah……esok dia dan keluarganya akan datang ke rumah.”

Aku mengangguk lagi. Tiba-tiba sahaja hati aku berdebar. Tak sabar rasanya menunggu tibanya esok hati. AKu sendiri tidak mengerti mengapa hatiku berdebar begitu.



KEESOKANNYA, keluarga Firdaus datang ke rumah seperti yang dijanjikan. Sangkaku kedatangnya hanya sekadar lawatan persaudaraan biasa. Tetapi aku sama sekali tidak menyangka ada maksud di sebaliknya.

Patutlah Firdaus tidak ikut serta. Rupa-rupanya dia keluarganya datang untuk merisikku. Tiba-tiba sahaja perasaan bahagia dan keinginan yang menggunung untuk melihat Firdaus, mati begitu sahaja. Bagaimana aku bisa menerima insan yang tidak aku kenali?

Ya….memang aku menghormati dan menyanjungi Firdaus dalam diam tetapi adakah itu wajar untuk aku menerimanya dalam hidupku?

Lepas keluarga Firdaus pulang abah menemuiku. Dia menyerahkan sampul bewarna merah jambu padaku. Sebelum abah beritahu, aku sudah sedia tahu tentu warkah itu datangnya dari Firdaus.

Sampulnya ku koyak dan aku membaca tulisannya.

Warkah ini bukan warkah biasa yang ku terima. Melainkan di dalamnya hanya tertulis Hadis Qudsi.



“Daripada Abu Muslim al-Khaulani daripada Mu’az bin Jabal r.a, ia berkata: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. menceritakan kepada Tuhannya dengan sabdanya:’Orang yang bercinta kerana Allah berada di atas mimbar daripada cahaya dalam naungan Arasy pada hari yang tiada naungan kecuali naungannya.’”

Abu Muslim menyambung: “kemudian aku keluar hingga bertemu Ubadah bin al-Samit, lalu aku menyebut kepadanya hadis Mu’az bin Jabal, maka ia menyatakan;

‘Aku dengar Rasulullah s.a.w menceritakan kepada Tuhannya yang berfirman: ‘Cinta-Ku berhak untuk orang yang bercinta kerana-Ku, cinta-Ku berhak untuk orang yang saling tolong menolong kerana-Ku dan cinta-Ku berhak untuk orang yang saling berkunjung kerana-Ku.” Orang yang bercinta kerana Allah berada di atas mimbar daripada cahaya dalam naungan Arasy pada hari yang tiada naungan kecuali naungannya.”



Sejak hari itu aku sering bangun di sepertiga malam dan bersujud memohon hidayah dariNya. Aku berada dalam kekeliruan dan aku mahu petunjuk dan jalan yang benar.

Alhamdulillah jawapan pada setiap kekeliruanku terungkai juga. Aku semakin yakin dan pasti sehingga akhirnya aku memberitahu abah dan mak tentang persetujuanku menerima lamaran Firdaus, lelaki yang tidak pernah ku kenali wajahnya.

Biarlah…..biar apa pun wajahnya, akan ku terima dengan seikhlasnya. Aku akan belajar untuk menerima dirinya seadanya dia.



XXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX



AKHIRNYA saat yang dinantikan tiba juga. Aku berdiri di depan cermin melihat diriku dalam persalinan pengantin yang serba putih. Aku mengharungi hari ini sekali lagi dalam hidupku. Hatiku tak henti-henti berdoa agar Allah mempermudahkan segala urusan kami. Aku juga tak henti berdoa agar peristiwa lalu tak berulang kembali.

Aku membuka laci mencapai bingkisan An-Nur yang dihadiahkan Firdaus untukku. Aku tersenyum. Tafsir Al-Quran dan tasbir coklat itu ku bawa ke dada dan memeluknya erat.

Firdaus…..lelaki yang tidak pernah ku kenal wajahnya, tidak pernah ku dengar suaranya, tidak pernah aku menatap matanya. Lelaki itu yang tidak pernah mengungkapkan kata cinta walaupun di ketika dia melamarku. Malah setiap kata-katanya datang dari hadis-hadis dan doa-doa.

Aku menarik nafas dan melepaskannya perlahan. Semoga aku akan menemui kebahagiaan abadi dengan Firdaus.

Dalam tenggelam lamunanku aku terdengar keriuhan di laman. Kedengaran suara orang ramai yang sedang menyambut kedatangan rombongan lelaki yang tiba. Namun dalam keriuhan itu tiba-tiba aku terdengar dentuman yang kuat. Kuatnya hampir menyamai peristiwa lalu.

Dada aku sudah bergetar kencang. Ya Allah….apa yang telah berlaku?

Nafas aku sudah semakin sesak. Aku mendengar suara-suara yang semakin riuh. Ya Allah….adakah ia berulang kembali?

Aku terjelepuk ke lantai. Aku menangis dan menangis.

“Kak Long?” angah masuk ke dalam.

“Kenapa Kak Long menangis?” Tanya angah lalu duduk di sebelahku.

“Apa yang berlaku?” Tanya ku sambil menggoncangkan bahu angah. “Bunyi apa tadi?”

Aku sudah tidak keruan. Angah mengeluh.

“Kak Long, tak de apa yang berlaku. Bunyi tadi tu sebab periuk yang besar-besar tu dah jatuh bertimpa-timpa. Itu yang berdetum kuat!”

“Betul ke?”

“Betul!!!” Angah menyakinkan.

Alhamdulillah………Alhamdulillah…..

“Apalah Kak Long nangis ni. Kan dah nak kena make-up lain pulak!” ujar angah pura-pura merajuk namun dia tersenyum semula.

“Insyaallah……….tak de apa akan berlaku. Abang Firdaus dah ada kat bawah,” ujarnya yang mengerti ketakutanku.

Alhamdulillah………



SEGALA-GALANYA sudah selesai. Kata angah sebentar nanti, Firdaus akan naik dan sarungkan cincin di jari manis ku untuk membatalkan air sembahyang.

Dalam gembira hatiku berdebar kencang. Bagaimanalah agaknya Firdaus yang sudah menjadi suamiku kini?

Dalam keresahan hatiku, angah berbisik di telinga katanya Firdaus sudah ada di depan pintu kamar. Bermakna setapak sahaja dia melangkah kami akan bertemu.

Pintu kamarku terbuka. Beberapa pasang kaki ku lihat melangkah ke dalam. Dan sepasang darinya adalah milik Firdaus. Aku dapat merasakan wajahku sedang merona merah. Aku malu untuk mengangkat wajahku untuk melihat wajahnya.

Jari jemari kananku dicapainya. Debaran di dadaku semakin kencang. Jari manis ku disarungkan cincin. Beberapa kelipan cahaya kamera memancar. Kemudian aku dapat rasakan satu ciuman singgah di dahiku. Lama dan sangat lama supaya detik kenangan itu bisa dirakam oleh kamera.

Aku memberanikan diri untuk melihat wajahnya. Aku tergamam.

“Farihin?”

Farihinkah itu? Atau aku sedang bermimpi?

Firdaus menarik tanganku dan menyuruh aku bangun. Aku menuruti permintaannya. Aku bangun dan berdiri bertentangan dengannya.

“Saya nak berbual sekejap dengan pengantin perempuan,” ujarnya.

Seraya dengan itu, semua yang berada di situ berjalan keluar. Firdaus menutup daun pintu dan berpaling memandangku.

“Saya Firdaus. Abang kembar kepada Farihin…..” ujarnya.

“Kembar?” aku seakan-akan tidak percaya.

“Ya…kembar seiras. Tapi kami masih insan yang berlainan,” ujarnya.

Ya aku akui kata-katanya. Memang benar wajah mereka benar-benar mirip tetapi secara lahiriah, penampilan mereka jauh berbeza. Sangat berbeza. Aku dapat rasakan itu.

Secara peribadi, perbezaan mereka bukan sekadar dari penampilan tetapi juga dalam hati ku. Farihin adalah kenanganku dan Firdaus adalah masa depanku dan…..suamiku.

Aku mahu taat dan setia pada Firdaus. Aku hanya mahu menyimpan Firdaus dalam hatiku saat ini. Kerana dia adalah suamiku.

Tiba-tiba aku teringat semula Doa Buat Kekasih yang sering berkumandang di radio setiap pagi. Semoga cinta kami sentiasa diiringi cinta kepadaNya. Semoga cinta kami akan sampai ke syurga…..ameen…


“Ya ALLAH jika aku jatuh cinta, cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya padaMU agar bertambah kekuatanku untuk menyintaiMU. Ya MUHAIMIN….jika aku jatuh hati izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut padaMU agar tidak terjatuh aku dalam jurang cinta nafsu. Ya RABBANA, jika aku jatuh hati, jagalah hati aku padanya agar tidak berpaling dari hatiMU. Ya RABBUL iZZATI, jika aku rindu, rindukanlah aku pada seseorang yang merindui syahid di jalanMU. Ya ALLAH, jika aku menikmati cinta kekasihMU janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhirMU. Ya ALLAH, jika aku jatuh hati pada kekasihMU, jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepadaMU. Ya ALLAH, jika Kau halalkan aku merindui kekasihMU jangan biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepadaMU….Amin Ya Rabbal Alamin.”










































Monday 16 May 2011

KRS AKAN DITERBITKAN!!!

Assalamualaikum buat semua pembaca....
Alhamdulillah dan syukur kepadaNYA. Akhirnya karya saya Ku Relakan Segalanya telah diterima untuk diterbitkan dalam edisi cetak. Insyallah, jika tiada aral melintang akan diterbitkan pada bulan Oktober tahun ini oleh Fajar Pakeer Sdn Bhd. Jadi dengan ini saya menghentikan N3 untuk Ku Relakan Segalanya.

Dan ada beberapa perkara saya ini memberitahu dan meminta sedikit pertolongan dan idea dari pembaca. Atas permintaan pihak penerbit, watak Maya akan ditukarkan dengan nama keduanya iaitu Qismyna. Manakala Farahymma akan digunakan nama 'Farah' sebagai pengganti diri Emma. Dan satu lagi, tajuk karya ini perlu diubah.

Saya meminta jasa baik kalian, jika boleh sudi-sudilah kiranya kalian mencadangkan tajuk baru bagi menggantikan KRS. Tolong ye.....
Memandangkan Hanya Dia dan Ku Relakan Segalanya telah dihentikan N3nya, saya akan mengurangkan sedikit N3 baru untuk Lukisan Cinta. Mungkin 2 minggu sekali untuk mengelakkan blog ini sunyi dan sepi. dan Insyaallah, jika ada idea menulis cerpen saya akan postkan. atau mungkin selingan cerita atau kisah-kisah yang mahu saya kongsi akan saya postkan.

Yang penting sekarang ni, saya mohon jasa baik kalian membantu saya untuk memberi beberapa tajuk menggantikan Ku Relakan Segalanya....

Lukisan Cinta 3


WAJAH bengis Jalil merenung Zaiton dengan tajam. Zaiton dan Amani masing-masing sudah duduk bersimpuh di depannya.

“Ha!!Ha!!Ha!!” Kedengaran tawa Jalil bergema.

Amani merenung wajah itu dengan pandangan yang menjengkelkan. Dia benci mendengar tawa itu. Tawa yang sering mengganggu hari-harinya.

Sambil melepaskan tawanya yang sengaja di buat-buat dia memandang Zaiton seakan-akan mengejek. Lalu pandangannya beralih memandang Amani. Melihatkan renungan tajam gadis muda itu, tawa Jalil terhenti.

Walaupun Amani masih muda dan mentah, tetapi entah mengapa renungan tajam Amani yang sebegitu sering membuatnya terganggu. Dia tidak takut dengan Amani, dia pasti itu! Tetapi renungan dan setiap pandangan Amani padanya bagaikan memberitahunya bahawa hidupnya akan hancur. Adakalanya, dia merasakan Amani bisa menjadi lebih kejam dari Zaiton.

“Lepaskan kami!!” tegas Zaiton.

“Kau ingat aku akan lepaskan macam tu je?” Jalil menjeling Zaiton.

“Dulu kau janji dengan aku kau akan kahwin dengan aku. Tapi kau tipu!! Kau sama je dengan semua jantan-jantan tu!!” nafas Zaiton turun naik.

Jalil menggaru-garu kepalanya. Tujuh tahun dia bersama dengan Zaiton. Memang dia pernah berjanji untuk berkahwin dengan Zaiton. Tetapi perempuan seperti Zaiton yang sering mengambil kesempatan terhadap lelaki memang tidak layak dinikahi!

“Bukan aku tak nak kahwin dengan kau….. Tapi ketika bersama dengan aku pun, kau masih cuba nak cari lelaki lain!!” Jalil membetulkan rambut Zaiton. “Kau bukan perempuan baik!!”

“Kau pun bukan lelaki baik!!”

Jalil ketawa kuat. Memang dia akui dia bukan lelaki baik. Tetapi sekurang-kurangnya dia tidak seperti Zaiton yang sentiasa cuba mengambil kesempatan. Dia dengan caranya. Walaupun dia hidup serba kekurangan di kawasan setinggan ini, tetapi dia menyara hidupnya dengan wangnya sendiri.

“Aku perlu pasti hidup kami berdua terjamin! Makanan, tempat tinggal!! Kau tak kahwin dengan aku seperti apa yang kau janjikan. Kalau kau kahwin dengan aku, aku takkan cuba cari peluang lain dengan lelaki lain!”

Memang begitulah cara hidup Zaiton. Setiap lelaki yang dijumpainya sering menjanjikannya status seorang isteri. Tetapi apabila mereka tidak berbuat begitu, dia perlu mencari tempah berteduh yang lain agar mereka punya arah tuju sebelum dia dan Amani ditendang keluar dari kehidupan mereka. Begitu hinanya mereka memperlakukannya!

“Ye…ye…..” Jalil menghembuskan nafas panjang. “Kau tentu dah jumpa lelaki lainkan? Sebab tu kau nak lari dari sini!!”

“Tak!!” sangkal Zaiton. “Aku dan Amani akan mulakan hidup baru!!” Zaiton melirik Amani di sebelahnya dengan ekor mata.

Amani menarik nafas kelegaan mendengar kata-kata Zaiton. Walaupun dia sendiri tidak pasti adakah ibunya itu bercakap benar atau tidak namun sedikit sebanyak dia merasa senang.

Jalil terdiam seketika. Dia seakan tidak percaya apa yang didengarnya. Bolehkah Zaiton mulakan hidup baru tanpa mengambil kesempatan dengan kecantikannya?

“Baiklah!!” Jalil mengangguk. “Aku boleh lepaskan kau pergi!” dia memandang Zaiton yang sudah mengukir senyuman. “Tapi dengan syarat!”

Wajah Zaiton yang sudah tersenyum kembali kelat. Hatinya sudah berdebar-debar. Takkanlah Jalil dah sedar tentang kehilangan cincin arwah isterinya itu!

“Pulangkan cincin isteri aku!!” Tajam sekali renungan itu menusuk ke anak mata Zaiton.

Zaiton dan Amani berpandangan seketika. Sekarang, Amani baru teringatkan sesuatu. Beg pakaiannya!!

“Mana cincin tu?” tanya Zaiton pada Amani.

“Beg……” suara Amani dengan lemah. Kini harapannya untuk keluar dari penjara Jalil punah dengan hilangnya cincin itu.

Zaiton sudah kalut memandang sekeliling mencari beg pakaian Amani. Tetapi hanya yang ada beg pakaiannya. Matilah dia kali ini! Tentu Jalil akan mengamuk jika tahu cincin itu dah hilang.

Jalil sekadar merenung adegan dua beranak itu. Zaiton kelihatan sudah tidak tentu arah, Amani pula tertunduk lemah.

“Mana cincin aku!!!” jeritnya.

Zaiton terkedu. Bagaimana dia mahu beritahu pada Jalil yang cincin itu sudah tiada. Amani yang tertunduk tiba-tiba mengangkat wajahnya apabila teringatkan sesuatu. Dia menyeluk kocek seluarnya lalu mengeluarkan sehelai kertas.

“Mana cincin tu?” Jalil memandang Amani apabila Amani kelihatan tahu sesuatu.

Amani terus memandang kertas itu. Dia pasti gadis itu tentu membawa beg pakaiannya bersama. Cincin itu selamat!

Jalil dan Zaiton yang tidak mengerti apa-apa sama-sama melihat kertas itu. Apa yang cuba disampaikan Amani?



TANIA menyerungkan cincin itu ke jari manisnya. Sesuai sekali! Muat dengan jarinya. Dia tersenyum. Bukan niatnya untuk menyelongkar barang yang bukan miliknya. Tetapi bungkusan sapu tangan itu terjatuh ketika dia mahu menyimpan beg itu di atas almari.

Tania membuka semula cincin itu lalu membalutnya dan menyimpannya semula. Walaupun dia tidak pasti, namun dia yakin perempuan itu pasti menghubunginya. Pasti!!

Wednesday 4 May 2011

Cinta Ku Ikhlas Kerana-NYA









“YAN!!!! Yan!!! Diana!!!”

Aku yang masih enak bergolek-golek atas katil sambil membaca novel yang baru ku beli kelmarin terkejut dengan panggilan mak yang nyaring tu. Satu macam je bunyinya. Apahal pulak ni? Aku dah mula rasa tak sedap hati.

“Yan!!!” Kali ni pintu bilik aku diketuk bertalu-talu.

Dengan pantas aku bangun dan membuka pintu. Terjegul wajah mak di depan sambil memegang dadanya. Semput barangkali.

“Ada apa mak?” Tanya ku.

“Apa kau buat dalam bilik ni! Orang kat luar dah kecoh benar. Kau sedap-sedap membuta lagi!” marah mak. Marah benar nampak gayanya. Hilang semua kelembutannya.

“Taklah mak! Yan dah bangun dari tadi. Ada ni hah……baca novel ni!” aku menunjukkan novel di tangan ku.

“Engkau tu tak de lain ayik novel, novel, novel….makan novel, tidur novel! Dah tak de kerja lain agaknya!!” Mak marah-marah terus.

Ishhh…apahallah pulak tetiba je mak marah-marah ni?! Tak pasal-pasal novel aku pulak yang jadi mangsanya.

“Kenapa ni mak? Ada apa ni?” aku bertanya takut-takut. Kang silap tanya makin menyingalah emak kesayangan ku. Kenal betul aku dengan mak. Payah sangat nak marah, tapi kalau dah marah, bergegar dunia ni. Abah yang garang tu pun nanti terdiam kalau mak naik angin. Hehehe…..hebat betul mak aku!!!

Mak masuk ke dalam bilik aku dan terus duduk atas katil. Dia masih mengurut-ngurut dadanya. Aku duduk di sebelah mak dan menggosok belakang mak untuk mengurangkan rasa marahnya. Biasalah orang tua bila dah marah-marah susah le nak bernyawa.

“Tulah mak……kan dah semput dah….” Aku terus menggosok belakang mak.

“Abah kau mengamuk!!” ujar mak.

“Abah mengamuk? Kenapa?” Tanya aku.

“Tu hah…..Kak Long dah hilang!” ujar mak.

“Kak Long hilang??!!!” Aku terus terbangun. Baru malam tadi aku berbual dengan Kak Long. Aku tengok dia biasa-biasa je. Masih boleh bergelak ketawa dengan aku. Kenapa pulak ni?

Tak tunggu lama aku terus redah bilik Kak Long. Memang benar kata mak, baju-baju Kak Long hanya tinggal beberapa helai je. Aku terduduk atas katil Kak Long. Kenapa boleh jadi macam ni? Kenapa tiba-tiba Kak Long menghilang.

Aku kembali mendapatkan mak di bilikku.

“Macam mana boleh jadi macam ni?!” Tanya ku. Mak menyerahkan sepucuk surat padaku.

Ternyata surat itu adalah catatan terakhir Kak Long. Katanya Abang Zul telah memutuskan pertungangan mereka sedangkan tarikh penikahan mereka Cuma tinggal beberapa bulan saja lagi. Kerana tertekan dan malu dengan keputusan Abang Zul, Kak Long pergi dari sini.

Aku sedih dengan nasib Kak Long tetapi aku lebih marah. Kalau ye pun Abang Zul tinggalkan dia, kenapa perlu dia meninggalkan keluarganya? Takkan hanya kerana seorang lelaki yang tak tahu menghargai perasaannya dia sanggup meninggalkan keluarga yang sanggup berkorban apa saja untuknya? Kak Long!!!!

“Abah ke mana mak?” Tanya aku bila teringatkan abah.

“Abah ke rumah Pak Manap! Mengamuk betul dia bila baca surat Kak Long. Entah apalah sebabnya Abang Zul putuskan pertunangan mereka. Kau tolong Yan! Pergi cari abah kau! Kau bukan tak tahu perangai abah bila dah mengamuk macam tu!” Mak sudah menangis.

Bergegas aku berlari mencari abah. Sampai sahaja di depan kawasan rumah Pak Manap aku lihat abah sedang bertengkar dengan Pak Manap.

“Anak kaulah punca semua ni!” marah abah.

“Kau jangan suka-suka hati nak tuduh-tuduh anak aku!” balas Pak Manap.

“Abah! Abah!” Aku menarik tangan abah.

Abah menjegil pada aku. Kecut rasanya! Tapi aku tetap juga terus memegang tangan abah.

“Anak bertuah! Apa kau buat kat sini?! Pergi balik! Jangan masuk campur hal orang tua-tua!!” marah abah.

“Sudahlah bah! Mari kita balik!” aku terus menarik tangan abah.

“Bagus sangatlah kau datang ni Yan! Bawa balik abah kau ni. Datang rumah orang mengamuk tak tentu pasal!!” marah Pak Manap.

“Kurang ajar kau Manap!!” Abah sudah melangkah untuk menghampiri Pak Manap. Aku terus menarik tangan abah.

“Malik! Manap!” Muncul tok ketua bersama beberapa orang kampung. Aku menarik nafas lega. Mujurlah tok ketua sampai.

Sebaik saja ditenangkan oleh tok ketua, aku memimpin tangan abah pulang ke rumah. Kesian abah dan mak. Kerana Kak Long pergi, mereka berdua mendapat malu. Orang tua mana yang tidak malu dan sedih bila anak mereka melarikan diri. Aku harap perkara yang sama tidak akan berlaku pada aku. Aku tak mahu melarikan diri dari masalah seperti mana yang dilakukan Kak Long. Masalah itu perlu kita hadapi!



SUDAH beberapa hari aku lihat abah dan mak masih bersedih. Adakalanya aku terdengar mereka berbual tentang Kak Long. Kata mak, dia malu dengan orang-orang kampung. Ada diantara mereka yang mengejek-ngejek mak bila mak ke kedai membeli barang dapur. Kesian mak!

Abah pula walaupun aku lihat emosinya sudah stabil, tapi aku tahu jauh di dasar hatinya dia juga kecewa dengan apa yang berlaku. Apa yang boleh aku lakukan untuk meringankan beban mereka. Ah…Kak Long kenapa kau terlalu menurut kata hatimu?! Kenapa kau tak fikirkan dulu perasaan mak dan abah sebelum kau buat keputusan begitu?!

Petang itu aku mengambil angin di tepi sungai. Cuba memikirkan cara yang terbaik untuk aku menceriakan keluarga ku semula.

Lepas satu batu aku campakkan ke dalam sungai, satu batu lagi ku ambil. Habis batu-batu di tepi sungai itu menjadi mangsaku.

“Assalamualaikum…..”sapa satu suara asing.

Aku berpaling. Susuk tubuh seorang lelaki yang aku tidak pernah lihat berjalan meredah batu-batu untuk menghampiriku. Sampai sahaja berdekatan dengan ku, lelaki itu duduk di atas batu yang tak jauh dari batu yang aku duduk. Aku sudah mula merasa tak sedap hati. Lantas aku bangun untuk pergi.

“Salam masih belum berjawab, tapi tuan punya badan dah nak pergi. Kalau ye pun jawablah dulu salam tu. Tahu tak, beri salam tu sunat tapi menjawab salam tu wajib.”

‘Waalaikumussalam…..’ aku menjawab dalam hati. Lalu bergerak untuk pergi.

“Opss…..cinderellah dah tertinggal kasutnya!”

Aku berpaling. Lelaki itu menunjukkan pada sandal yang ku tinggalkan atas batu yang ku duduk tadi. Dengan rasa cuak aku kembali semula ke batu tadi dan mengambil sandal ku.

“Rasanya cinderellah masih belum jawab salam saya!” lelaki itu berkata lagi.

Aku menjeling memandangnya.

“Saya dah jawab dalam hati!” ujar aku lalu berlalu pergi.

Siapa lelaki tadi? Aku tak pernah lihat dia sebelum ni. Apa dia buat di sini?

Aku berjalan pulang ke rumah. Sampai di rumah aku lihat sebuah kereta terpakir di halaman. Aku terus memanjat anak tangga ke dalam. Kelihatan Pak Ngah Hassan, sepupu kepada mak datang bersama isterinya. Aku menunduk dan bersalam dengan mereka berdua.

“Ini anak bongsu saya, Diana,” ujar abah memperkenalkan aku.

“Oh…ini Diana! Dah besar panjang rupanya anak dara kamu ni!” ujar Pak Ngah Hassan. “Dah boleh masuk minang ni!” Merah muka aku menahan malu bila Pak Ngah Hassan berkata begitu. Lantas aku menghilangkan diri di dapur untuk membantu mak menyiapkan hidangan untuk tetamu.

Aku meletakkan seteko teh o bersama ubi merah yang baru digoreng di dalam dulang. Bau wangi menerjah hidungku. Ubi merah goreng ni memang favourite aku ni!

Dengan melangkah perlahan-lahan aku pun membawa hidangan ke ruang tamu dan meletakkan di atas meja kopi. Abah masih lagi sedang berbual dengan para tetamu. Kemudian mak muncul menyertai mereka dan aku sedang sibuk menuang air ke dalam cawan. Tapi entah kenapa aku merasakan seolah-olah diri aku sedang menjadi perhatian.

Aku pun mendongakkan kepala. Terkejut aku melihat kelibat yang ada di depan ku. Bukankah itu lelaki tadi yang aku jumpa di tepi sungai? Apa dia buat di rumah aku pulak ni?!

“Hah Lukman! Inlah anak bongsu Pak Lang kamu ni. Diana namanya!” Pak Ngah Hassan mengenalkan aku pada lelaki tu.

Lelaki itu menganggukkan kepala. Aku pun turut berbuat begitu. Kemudian aku terus masuk ke dalam kamar ku. Rasa tak enaklah pulak nak sertai mereka. Apatah lagi dengan kehadiran lelaki tu. Bukan aku tak suka dengan dia, tapi aku rasa semacam bila dia melihat pada aku.

Masuk dalam kamar, aku ingatkan nak sambung baca novel tapi telinga ni asyik sangat nak mencuri dengar perbualan tetamu-tetamu tu.

Dari apa yang aku dengar, kata Pak Ngah Hassan Kak Long sekarang ada di rumah mereka di Kuala Lumpur. Tujuan Pak Ngah Hassan datang ke sini pun sebab nak khabarkan tentang Kak Long. Diorang tak mahu abah dan mak terus susah hati mengingatkan Kak Long. Aku dengar entah berapa kali abah dan mak menyebut syukur……Ya, aku pun bersyukur dengan berita itu. Sekurang-kurangnya kami tahu yang Kak Long selamat.



MALAM tu suasana makan malam di rumah aku memang terasa lainnya. Lain sangat. Tetiba je aku yang biasanya cekap bila di dapur jadi macam tak tentu arah. Nak keluar suara pun aku fikir dua tiga kali. Semuanya gara-gara seorang lelaki yang tak habis-habis memandang aku. Ikutkan hati ni, rasanya macam nak je aku pergi depan dia dan minta dia jangan pandang aku.

Usai makan malam mereka semua menghilangkan diri di ruang tamu. Tinggal aku seorang di dapur mengemas dan membersihkan ruang makan. Lega rasanya. Bebas sikit pergerakan aku. Lepas habis mengemas, aku ke ruang tamu menyertai yang lain. Ikutkan hati memang nak terus je berkurung dalam bilik. Tapi tak manislah pulak rasanya.

Walaupun aku menyertai mereka tapi otakku entah ke mana. Tang pasti aku rimas dengan mata yang memandang aku!

“Diana…” satu suara menegur aku.

Aku memandang Mak Ngah Piah.

“Itu tak de lain berangan le tu!” ujar mak kemudiannya.

Terkebil-kebil mata aku. Ada orang bercakap dengan aku ke?

“Ni hah! Mak Ngah Tanya Diana tak buat apa-apa ke lepas habis SPM?” ujar mak.

“Oh…..” Aku menggaru-garukan pipi yang tak gatal.

“Itulah budak ni. Bukannya tak pandai. Pandai! Result SPM dia pun bagus. Tu hah, surat tawaran masuk university pun ada kat atas TV tu. Tapi dia tak nak pergi! Takut katanya!”

“Aish….mak ni!” Aku sudah menarik muka masam. Kalau ye pun janganlah kasi tahu dekat orang. Memanglah aku tak nak sambung belajar sebab aku takut. Takut kalau aku tak bisa melawan apa saja yang berlaku diluar sana bila keluarga ku tak disamping ku.

Lukman sudah tersengih-sengih memandang aku. Aku menjeling tajam. Mak ni! Buat malu aku je!

“Anak manja, macam tulah!” ujar abah sambil ketawa. “Dari kecik tak pernah berenggang. Bila dah besar takut dengan dunia luar!”

Adus…..terkena lagi aku. Aku rasa macam nak lari masuk bilik je sekarang ni. Aku lihat si Lukman masih lebar senyuman dia.

“Baguslah macam tu Malik. Anak dara memang kena rapat dengan keluarga. Kang terbiar bebas, lain pulak jadinya!” ujar Pak Ngah Hassan.

Aku semakin tak enak bila diri aku menjadi topic perbualan mereka.

“Diana nak minta diri kejap. Nak ambil angin luar,” ujar ku lantas pergi meninggalkan mereka.

Lega rasanya dapat bersendirian begini. Aku duduk bersandar di buaian di kawasan rumah. Melihat ke langit yang penuh dengan bintang-bintang yang berkedipan. Angin malam membelah wajahku. Aku memejamkan mata cuba menikmati keindahan ciptaal Illahi.

“kenapa takut nak hadapi dunia luar?” satu suara menyapa aku. Lantas aku membuka mata.

Berdiri Lukman di depan ku. Hai…..kenapalah dia perlu ada tatkala ini? Aku mahu bersendiri!

Aku bangun untuk berlalu pergi.

“Kenapa? Awak tak suka kitorang datang sini?” tanyanya.

Aku menghentikan langkah. Kata-katanya bagai terhiris dengan sikap kurang mesraku. Tak, bukan aku tak suka mereka ada di sini. Tapi aku tak selesa dengan pandangan matanya padaku.

“Maaf kalau saya dah buat awak rasa macam tu,” ujar ku.

Aku lihat dia tersenyum.

“Jadi kenapa awak macam tak suka je sejak mula kami melangkah di sini?’ dia bertanya lagi.

“Saya tak bermaksud macam tu. Tapi saya tak suka cara awak pandang saya!” aku rasa mungkin dengan berterus terang adalah lebih baik.

Aku lihat keningnya terjungkit dengan kata-kataku.

“Maaf sebab dah buat awak rasa tak selesa.”

“Tak pe,” balas ku dan ingin berlalu pergi.

“Kata orang keribadian wanita boleh dilihat dari matanya!”

Langkah aku terhenti dengan kata-katanya. Aku berpaling dan memandangnya semula.

“hati seorang wanita dilambangkan melalui matanya. Dan saya cuba membaca apa yang mungkin tersirat di balik mata awak!”

Aku rasa macam nak muntah je bila dia cakap macam tu.

“Apa hak awak nak cuba baca apa yang ada dalam hati saya?” aku memang tak senang dengan kelakuannya.

“Memang saya tak berhak. Tapi tak salahkan kalau saya mencuba.”

“Cuba? Cuba apa?”

“Maaflah….tapi saya ni memang tak pandai menipu dan lebih suka berterus terang!” ujarnya. “Saya nak kenal dengan awak dengan lebih rapat.”

Aku diam. Aku pun tak tahu nak kata apa. Mengangguk atau menggeleng? Kalau menggeleng nampak sangat aku ni sombong! Dia kan saudara aku jugak. Apa salahnya berbaik dengan saudara sendiri?

“Ya. Kenapa tak? Kitakan bersaudara.”

Dia tersenyum dengan jawapan ku. Dengan senyumannya itu dia terus memandang aku.

“Ikhlas?”

Aku kelihatan tak ikhlas ke? Memanglah aku ragu-ragu tapi aku ikhlas!

“Apa yang awak baca dari mata saya?” aku bermain tarik tali dengannya.

Dia hanya senyum tanpa berkata apa-apa.

“Kak Long saya macam mana? Sihat?” Tanya aku mengubah topik. Mungkin aku perlu lebih santai berbual dengannya.

“Alhamdulillah….saya lihat dia okey je. Mungkin dia perlu masa untuk tenangkan diri. Biarlah dia di sana.”

“Awak dengan family awak ada di sini. Jadi siapa yang ada di sana dengan Kak Long saya?” aku bertanya. Mushykillah jugak takkan diorang tinggalkan Kak Long sendiri kat sana.

“Awak jangan risau, ada pembantu rumah yang temankan Kak Long awak!” ujarnya.

“Kalau awak balik sana, kirim salam dengan Kak Long. Kata pada dia, kalau dia dah okey, baliklah kampung. Kesian kat mak dan abah.”

Aku mula rasa ada keserasian dalam perbualan kami. Mungkin aku yang terlalu berfikiran negatif bila pertama kali berjumpa dengannya.

“Awak ni memang susah nak didekati,kan,” katanya.

“kenapa pulak?”

“saya rasa kalau saya bukan saudara awak, tentu sampai sekarang awak buat tak tahu je dengan saya.”

Aku tersenyum. Mungkin ada benarnya. Aku bukan sombong, tapi aku memang sukar mewujudkan kemesraan dengan orang yang berlainan jantina apatah kalau aku baru mengenalinya.

“Awak tahu tak yang papa dengan mama saya datang sini bukan hanya kerana nak beritahu tentang Kak Long awak?”

“Ada tujuan lain?” aku lihat Lukman mengangguk. “Sebab apa?”

“Papa nak jadikan Kak Long awak sebagai menantunya!” ujar Lukman sehingga membuatkan mulut aku sedikit ternganga.

“Untuk awak?” Tanya aku.

“Eh…..taklah!!” Pantas dia menafikannya. “Untuk abang saya!”

“Kak Long setuju?” Tanya aku ragu-ragu. Lukman mengangguk.

Biar betul! Secepat itu Kak Long setuju! Bukankah Kak Long baru je kecewa dengan Abang Zul? Ni mesti Kak Long sedang bercelaru fikirannya sebab tulah dia bersetuju.

“Saya tak setuju!”

“Kenapa pulak?” Dahi Lukman berkerut.

“Kak Long saya baru je putus tunang. Dia mungkin tak fikir panjang untuk terima semua ni!”

“Saya tahu! Tapi mama dan papa tak paksa Kak Long. Masa kitorang Tanya dulu, mama dan papa nasihatkan dia supaya fikir dulu. Kalau tak yakin, buat sembahyang istiqarah. Lepas tulah dia setuju!”

Aku mengeluh. Kalau dah kata begitu apa hak aku pula menghalang. Bukankah itu sudah menjadi petunjuk dariNya. Aku doakan Kak Long bahagia.

“Kenapa awak tak nak sambung belajar?” Tanya Lukman.

“Bukan tak nak…………dan bukan juga saya anak manja!” pantas aku bertegas sebaik sahaja melihat mulutnya terbuka untuk berkata sesuatu.

Dia ketawa. Mungkin itu yang mahu dikatakannya. Aku pasti itu!

“Jadi kenapa?”

“Perlukah saya beritahu?” Aku memang tak suka bila ada soalan yang agak peribadi ditanyakan padaku.

Dia hanya tersenyum. Dia ni memang suka tersenyum.



Xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx



SELEPAS keluarga Pak Ngah Hassan pulang dua minggu yang lalu, Kak Long pulang dengan dihantar oleh Pak Ngah Hassan. Tapi kali ini Lukman tidak ikut serta. Kata Pak Ngah Hassan, Lukman ada di Langkawi atas urusan kerja.

Aku lihat ada perubahan ketara dari sikap dan tingkah laku Kak Long. Dia nampak lebih gembira dan ceria dari sebelumnya. Mungkinkah ini yang dikatakan seri pengantin.

Malam itu sebelum Pak Ngah Hassan pulang, aku dengar mereka mahu majlis pernikahan Kak Long dan Abang Nazim dijalankan pada tarikh yang dirancang untuk pernikahan Kak Long dan Abang Zul dulu. Maknanya hanya tinggal sebulan lebih dari sekarang untuk melakukan persiapan.

Selepas menemankan Pak Ngah Hassan hingga ke laman, aku naik dan mencari Kak Long di kamarnya. Sesungguhnya hati ini penuh dengan persoalan yang perlukan jawapannya. Aku lihat Kak Long sedang tersenyum sendiri sambil menyisirkan rambutnya.

“Kenapa tiba-tiba ni Kak Long? Kak Long dah fikir masak-masak ke?” aku Tanya inginkan penjelasan dari Kak Long sendiri.

Kak Long beralih memandang aku. Dia tersenyum. Tangan aku ditarik agar aku duduk di sebelahnya.

“Mungkin bagi Yan semua ni tak logik, kan?” Tanya Kak Long. Aku mengangguk. “Kak Long pun rasa macam tu?”

“Huh?” aku terpinga-pinga. Kak Long ketawa.

“Taklah! Akak gurau je!” ujarnya.

“Kenapa Kak Long buat keputusan terburu-buru sangat ni?” aku bertanya semula.

“Masa Abang Zul putuskan pertungan kami, kak Long memang kecewa sangat. Tapi Kak Long tak tahu nak luahkan macam mana.”

“Yan, mak dengan abah, kan ada! Kenapa tak cerita dengan kami? Kenapa perlu larikan diri?” aku bertanya lagi.

“Kak Long tahu Kak Long salah. Kak Long minta maaf.” Ada penyesalan dari kata-katanya.

Aku mengeluh. Biarlah….semuanya dah jadi. Abah dan mak pun tak mengungkit pada kak Long kenapa aku pulak yang lebih?!

“Jadi, macam mana dengan Abang Nazim? Kak Long dah kenal hati budi dia?”

Aku bertanya sedangkan hati aku sudah pun menjawab. Baru je kenal macam mana boleh tahu hati budi? Memanglah kitorang bersaudara dengan keluarga Pak Ngah Hassan. Tapi kitorang kenal Pak Ngah Hassan dengan Mak Ngah Piah pun hanya dari foto lama mak. Itu pun waktu pernikahan mereka. Lepas tu kitorang langsung tak tahu tentang diorang.

Yang peliknya, macam mana Kak Long boleh sesat kat rumah diorang?

“Masa akak sampai KL, takdir Tuhan, Pak Ngah Hassan tegur akak. Dia Tanya sama ada akak ni anak mak dengan abah. Bila dia tahu terus dia bawa akak balik rumah.” Ujar Kak Long macam tahu-tahu je apa yang ada dalam fikiranku.

Tak mustahillah kalau Pak Ngah Hassan menegur Kak Long. Sebab wajah Kak Long memang serupa sangat dengan mak. Mungkin hanya dengan melihat wajah, Pak Ngah Hassan terus mengecamnya.

“Jadi macam mana pulak dengan Abang Nazim?”aku bertanya sekali lagi.

“Bila Pak Ngah tahu tentang apa yang dah jadi, Pak Ngah Tanya sama ada Kak Long mahu berkahwin dengan Abang Nazim. Mula-mula tu memanglah Kak Long terkejut. Tapi, Kak Long cuba fikir positif. Kak Long buat istiqarah berturut-turut. Dan kerana itulah Kak Long terima Abang Nazim.”

Aku tersenyum melihat Kak Long tersenyum. Mungkin inilah jodoh yang tepat buat Kak Long! Aku mendoakan kebahagiaan yang kini aku lihat terpancar di mata Kak Long akan kekal hingga ke syurga. Amin….



Xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx



ALHAMDULILLAH…….akhirnya tamat juga pengajian aku di salah sebuah kolej di Kuala Lumpur. Memang aku mengambil masa yang panjang untuk menyambung semula pengajianku apatah lagi di kota besar ini. Kerana aku tidak yakin iman aku begitu kuat untuk menepis apa saja godaan di kota metropolitan. Sesungguhnya aku hanya hamba ALLAH yang lemah dek kerana itulah aku hanya bersetuju setelah Kak Long memulakan hidup barunya dengan Abang Nazim di sana. Aku tinggal bersama mereka sehinggalah tamat pengajianku.

Minggu depan aku akan akan menghadiri temuduga. Sementara itu aku membuang masa di rumah dan adakalanya aku keluar dengan Alia, teman sekolej ku yang sudah berumahtangga dan memiliki seorang cahaya mata. Alia berkahwin ketika masih belajar lagi. Mulanya memang aku tak setuju dengan keputusan Alia yang mahu berkahwin walaupun ketika masih belajar. Tetapi syukurlah, aku lihat Alia kini bahagia dengan keputusannya.

Ketika di kolej aku berkenalan dengan seorang lelaki yang bernama Faiz. Mula-mula memang aku ralat menerima salam perkenalan darinya. Tetapi melihatkan kesungguhannya, aku mula membuka peluang untuknya. Sudah hampir dua tahun tempoh perkenalan kami. Aku bahagia bersamanya.



PETANG minggu aku keluar berjongging berdekatan dengan rumah. Aku mengajak Faiz untuk menemaniku tapi katanya dia ada urusan kerja yang perlu diselesaikan. Jadi terpaksalah aku pergi sendiri. Tak kisahlah.....aku pun dah biasa berjongging sendirian.

Ketika sedang beriadah mata aku menangkap sepasang kekasih yang seakan ku kenal. Dari jauh aku lihat sepasang kekasih itu sedang bermesraan tanpa memperdulikan mata-mata yang memandang. Mulanya aku ingatkan aku dah tersalah lihat. Tetapi bila semakin dekat aku dengan pasangan itu, perasaan ku menjadi kacau. Memang benar, itu adalah Faiz. Faiz bersama seorang gadis yang tidak ku kenali. Sungguh mesra. Kemesraan yang melampau di tempat awam!

Aku tergamam dan terkaku di situ. Aku hanya memerhati tingkah mereka berdua sehinggalah Faiz tersedar dengan kehadiran aku. Melihat sahaja kelibat aku dia terus menghampiri. Aku cuba melarikan diri tapi dihalangnya.

“Awak jangan salah sangka Diana! Saya dengan dia tak de apa-apa,” ujar Faiz bersungguh-sungguh.

Aku menggelangkan kepala. Bagaimana aku boleh percaya sedangkan aku melihat dengan mataku sendiri.

“Faiz, awak tak perlu menegakkan benang yang basah. Kalau awak sukakan dia, kita putuskan saja hubungan kita.”

“Tapi saya cintakan awak Diana. Awak tak perlulah cemburu dengan perempuan macam tu!” Faiz menunding jari pada temannya yang sedang memerhatikan kami berdua.

“perempuan macam tu?” sinis sungguh bahasa yang digunakan Faiz sehingga membuatkan aku tertanya apakah maksud di sebalik kata-katanya.

“Saya Cuma suka-suka saja dengan dia,” ujar Faiz. Aku melirik temannya yang bersingle sendat dan berlegging separas lutut.

“Apa maksud awak ni?’ aku memeluk tubuh.

“Saya cuma cintakan awak seorang. Perempuan macam tu cuma isi masa lapang je. Takkanlah saya nak perempuan macam tukan,” ujarnya seakan merayu. “Hanya awak yang betul-betul saya suka! Yang lain tu, awak jangan cemburu, saya suka-suka je.”

Wah!!!melampau betul cara dia mendefinasikan seorang perempuan! Tak kisahlah siapapun perempuan tu, bagaimana cara hidupnya, sama ada social atau solehah, dia tetap seorang manusia yang perlu dihormati. Begitukah caranya lelaki yang aku sayangi selama ini melihat perempuan dari sudut pandangannya?

Tanpa sepatah kata aku terus berlalu membiarkan Faiz memekik namaku. Biarkan jelah!!

Sampai sahaja aku di rumah aku terus berkurung di dalam kamar. Hati aku sebak, sedih, marah dan semuanya bercampur baur. Aku menangis! Menangis kerana hatiku terluka! Aku teringat semula kata-kata Faiz ketika aku bertanya kenapa dia mahu berkenalan dengan ku.

“Saya tertarik dengan awak. Saya selalu lihat awak dan kawan awak ke surau. Kadang-kadang bila saya lalu depan surau, saya dengar awak mengaji. Wanita macam awak yang saya mahukan sebagai teman hidup saya.”

Itulah kata-katanya yang membuatkan aku bersetuju menyambut salam perkenalan yang dihulurkannya.

Ya, aku tahu Faiz tidak salah, memang di dalam agama pun meletakkan agar seorang lelaki memilih seorang isteri berdasarkan agamanya. Tetapi itu tidak bermakna lelaki boleh menjadikan perempuan yang dirasakannya tidak layak untuk menjadi isterinya sebagai barang mainannya!

Kenapa lelaki hanya mahukan seorang wanita yang baik untuk menjadi isteri mereka sedangkan mereka sendiri tidak mempersiapkan diri mereka untuk menjadi seorang pemimpin?

Sejurus kemudian aku menerima panggilan dari Alia. Dalam tangisannya, dia memberitahuku yang dia kini sudah pulang ke kampungnya. Satu jam lebih aku berbual dengannya. Mendengar luahan perasaannya. Aku simpati dengan nasibnya. Aku sikit pun tak pernah menyangka rumahtangga yang dibina Alia dan suaminya akan berakhir begini.

Menurut Alia sudah tiga bulan suaminya tidak pulang ke rumah. Suaminya sudah ada perempuan lain sebagai gantinya. Ah…..begitu mudah sekali seorang lelaki mengantikan tempat seorang isteri. Aku menjadi semakin kurang mengerti dengan insan yang bernama lelaki. Apa sebenarnya yang ada dalam hati mereka?

Bukankah wanita dijadikan dari tulang rusuk kiri lelaki yang bengkok? Jadi mengapa tulang yang bengkok ini tidak cuba diluruskan? Kenapa perlu diambil kesempatan? Dan mengapa tulang yang bengkok ini dilepaskan tanggngungjawab dan amanah kepadanya sehingga tulang yang bengkok ini bukan sahaja perlu cuba meluruskan tulangnya sendiri malah juga zuriat yang ditinggalkan.

Aku belum pernah merasa sekecewa ini. Kecewa yang teramat sangat. Mungkin beginilah perasaan Kak Long ketika Abang Zul memutuskan pertunangan mereka dahulu. Tapi nasib aku lebih baik, kerana masih belum ada ikatan rasmi dengan Faiz. Jika tidak, mungkin aku juga melarikan diri seperti Kak Long kerana terlalu kecewa. Nauzubillah….

Lamunan aku terhenti bila pintu kamarku dibuka. Kak Long muncul dan dan duduk di depanku.

“kenapa dengan adik akak ni?” Tanya Kak Long.

Aku mengeluh. Aku lihat kak Long berubah riak wajahnya. Belum pernah dia melihat aku selemah itu.

“Yan lihat Faiz dengan perempuan lain,” ujarku. “alia pun baru telefon. Dia dah pulang ke kampung dengan anaknya.” Aku pun menceritakan apa yang telah berlaku padaku dan juga Alia sehingga aku menjadi selemah itu.

“Yan…. Kita kena realistik. Dalam hidup kita, jika kita mahukan kebahagiaan dan cinta sejati semuanya hanya dari Allah. Segala kebahagiaan di dunia ini datang dengan izinNya. Yan kena terima yang cinta Faiz bukan milik Yan dan apa yang berlaku pada Alia anggaplah itu dugaan dariNya buat Alia. Janganlah kerana dugaan yang sedikit macam tu kita dah rasa lemah sedangkan selama ni Allah dah banyak beri rahmatNya pada kita.”

Berbekas juga kata-kata Kak Long di hati aku. Kak Long lebih dulu makan garam dariku. Dia lebih banyak menimba pengalaman dariku. Apa yang berlaku dulu juga menjadi pengalaman berharga buat Kak Long.

Kak Long keluar sebentar lalu dia kembali semula padaku. Dia menyerahkan tiga buah buku dan sebuah majalah solusi keluaran yang terbaru padaku. Aku membelek buku-buku itu.

“Ini Kak Long pinjamkan pada Yan. Bacalah dan ambil pedoman dari kisah hidup mereka. Sesungguhnya, hidup kita lebih indah jika tahu dimana kita perlu meletakkan hati kita.”

Aku membaca tajuk buku-buku itu. Yang pertama adalah kisah Saidatina Khadijah r.a yang kedua riwayat hidup Fatimah Al-Zahra dan yang ketiga adalah Zulaikha isteri Yusuff a.s.

Aku membaringkan badanku. Buku yang pertama ku ambil dan ku selak helaiannya yang pertama.

Demi Allah sesungguhnya satu perasaan asing menyelinap jauh dalam lubuk hatiku. Sayu, terharu dan damai ku rasakan. Begitu agungnya kisah percintaan antara Saidatina Khadijah dan Rasullallah.

Belum sempat ku habiskan bacaanku, aku terdengar azan Maghrib berkumandang. Bergegas aku membersihkan diri dan bersolat. Aku mahu membaca kisah wanita tegar ini semula.

Helain demi helain ku selak akhirnya aku menghabiskan semua buku-buku yang telah dipinjamkan Kak Long padaku setelah tiga hari berkepit dengan buku-buku itu walau di mana saja ku berada.

Sesungguhnya, walaupun selama ini aku menutup aurat, mengerjakan setiap kewajipanku sebagai seorang muslim dengan bersembahyang dan mengaji namun aku masih alpa dalam meletakkan hatiku sendiri.

Setiap kali aku mengadap Tuhan baru aku sedar betapa banyak kelemahan, kekhilafan dan kesalahanku selama ini.

Sesungguhnya, Al-Quran dan Al-Sunnah yang telah ditinggalkan Rasullullah sudah lengkap untuk kita hidup berpandukannya tetapi kita masih alpa dengan dunia yang sementara ini. Jika hati kita meragui sesuatu perkara, bukankah kita telah diajar untuk mendirikan sunat istiqarah, jika kita berhajatkan sesuatu dan sangat mahukan ia bukankah kita diajarkan untuk mendirikan sunat Hajat? Jadi mengapa kita tidak mengikutnya sehingga kita selalu membuat pilihan yang salah?

Ya Allah….ampunkan dosaku Ya Allah….kini aku benar-benar sedar di mana hatiku perlu diletakkan. Kisah cinta tiga wanita ini, Khadijah r.a, Fatimah Al-Zahra dan Zulaikha telah menyedarkan aku betapa besarnya kuasa Allah dalam setiap cinta di hati hambaNYa.

“Bagaimana? Apa perasaan Yan sekarang?” Tanya Kak Long. Aku tersenyum.

“Alhamdulillah…..Yan dah sedar sekarang Kak Long. Tak sepatutnya bila hati Yan terluka Yan menyalahkan lelaki!”

KaK Long tersenyum senang dengan jawapanku.

“Kalau ada seorang lelaki yang mahukan Yan, bagaimana?” Tanya Kak Long. Aku hanya tersenyum. Kak Long….Kak Long…….seperti biasa dia tetap mahu tahu apa yang ada dalam hatiku.

“Sebagai seorang wanita Yan memang mahukan seorang lelaki sebaik Rasulullah…..tapi semuanya mustahilkan, Kak Long? Rasullulah tiada galang gantinya!”

Kak Long mengangguk menyetujui kata-kataku.

“Yan tak minta seorang lelaki sesempurna Rasullullah kerana Yan buka Saidatina Khadijah yang sanggup menyerahkan seluruh hartanya mahupun tulangnya sendiri demi agamanya. Yan juga tak minta seorang lelaki seperti Saidina Ali kerana Yan bukan Fatimah Al Zahra yang tinggi darjatnya di sisi Allah dan Yan juga tak minta seorang lelaki yang sangat kacak seperti Yusuff a.s kerana Yan tak secantik Zulaikha. Yan cuma mahukan seorang lelaki biasa yang mencintai Yan kerana cintanya pada Allah dan Yan juga bisa menerima cintanya kerana cinta Yan pada Allah.”

Kak Long tersenyum puas dengan jawapanku.



Xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx



Setahun berlalu. Aku juga sudah punya kerjaya di Kuala Lumpur dan aku masih tetap tinggal bersama Kak Long. Mujurlah Abang Nazim baik orangnya. Dia menjaga aku umpama seorang ayah yang menjaga anak gadisnya. Beruntung Kak Long punya suami sebaik Abang Nazim.

Minggu itu aku pulang ke kampung. Aku mohon cuti lebih lama. Terasa rindu pula dengan kampung kelahiranku ini. Rindu pada kedamaiannya dan udaranya yang segar. Namun terjadi sesuatu yang mengejutkan aku.

Pagi itu Pak Ngah Hassan datang ke kampung untuk merisikku buat anak lelakinya.

Memang aku terkejut sedangkan Abang Nazim dan Kak Long tak pernah berkata apa-apa. Anak Pak Ngah Hassan, bukankah itu bermaksud adik Abang Nazim, Lukman? Minggu sudah aku menemui Pak Ngah Hassan tetapi dia tidak memberitahu apa-apa padaku.

“Betul ke Kak Long?” aku meminta kepastian pada Kak Long yang juga datang bersama bapa mertuanya.

“Betullah! Takkan mak nak bohong pulak,” ujar Kak Long.

Riak wajahku berubah. Mengapa Pak Ngah Hassan tiba-tiba masuk meminang tanpa pengetahuan aku. Dan Kak Long dan Abang Nazim juga merahsiakannya!

“Yan…..” Kak Long duduk di sisi dan memeluk bahuku seolah-olah mengerti dengan kemarahanku.

“Yan dah lupa dengan cinta Yan. Di mana sepatutnya Yan meletakkan hati Yan?”

“Tak Kak Long…..Yan tak pernah lupa!”

“jadi apa yang buatkan Yan marah? Pak Ngah Hassan hanya menghantar rombongan merisik. Ingat….minta petunjuk dariNYa. Insyaallah……kita akan mendapat pilihan yang tepat!” Kak Long mengingatkan aku.

Tiga malam berturut-turut aku melakukan sunat Istiqarah memohon petunjuk darinya. Dan akhirnya, aku pasti dengan keputusan ku. Aku menerima lamaran Lukman untuk menjadi isterinya.



PETANG yang damai hari itu, aku berjalan-jalan di tepi sungai. Aku duduk di atas batu yang menjadi batu kesayanganku. Setiap kali aku ke sungai, di atas batu inilah akan ku duduk dan bermain air sungai.

“Asaalamualaikum…..” sapa satu suara.

Aku berpaling melihat empunya diri. Kelihatan kelibat yang telah lama aku tidak jumpa sedang berdiri di tebing. Jika dikira, hampir enam tahun lamanya aku tidak melihat Lukman. Kali terakhir aku melihatnya adalah ketika pernikahan Kak Long.

“Waalaikummussalam….” Jawabku. Ada rasa malu menyelinap ke dalam hatiku.

“Terima kasih kerana menerima lamaran saya,” ujarnya. “Maafkan saya kalau menganggu awak. Tapi ada sesuatu yang perlu saya beritahu.” Ujarnya yang masih berdiri di tebing.

Aku mendiamkan diri menunggu kata-kata seterusnya.

“Saya tidak sehebat Rasulullah dalam menegakkan agamaNya, saya juga bukan Saidina Ali yang menjadi kunci ilmu bagi Rasullullah. Saya juga tidak kacak dan tampan seperti Yusuff a.s. Saya hanyalah seorang lelaki biasa yang mencintai awak kerana cinta saya pada Allah. Dan saya berjanji akan melindungi dan menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang suami.”

Aku tersenyum dengan kata-katanya.

“Cinta saya ikhlas keranaNYa.” Sambungnya lagi.

Ya, aku juga ikhlas mencintai dia kerana cintaku pada Allah. Tapi biarlah ianya menjadi rahsia. Akan ku bisikkan padanya pada hari kami sah menjadi suami isteri. Aku mahu berbisik di telinganya sama seperti yang dikatakannya.

‘cintaku Ikhlas keranaNYA.’