Monday 20 September 2010

Hanya Dia 39

BAB 39

“SARA!” Hanum yang baru menamatkan panggilan masuk semula ke dalam kamar dan melihat Maisara sedang menangis. Bergegas dia mendapatkan sahabatnya itu.
“Kenapa? Kenapa kau menangis? Ada sesuatu yang terjadi?” Hanum bertanya dengan penuh riak kerisauan terlukis di wajahnya.
Maisara menyapu airmatanya dan tersenyum memandang Hanum. Rasa bersalah timbul kerana terlalu mengikutkan perasaan.
“Tak.......tak de apa,” saki baki airmatanya di sapu lagi. “Cuma rasa rindu dengan Aiman!”
“Aiman?” Berkerut dahi Hanum mendengar nama itu. Pertama kali dia mendengar nama itu dari bibir Maisara.
“Aiman tu anak arwah Kak Su. Sekarang ni dia tinggal dengan aku!”
“Oh...” Bulat sahaja muncung Hanum mendengar penjelasan Maisara. “Aiman tak sihat ke?”
Hanum terus bertanya tentang Aiman. Memang sukar benar rasanya untuk mengenali Maisara dengan dekat. Maisara sangat perahsia dan jarang bercerita tentang hal peribadinya pada sesiapa mahupun dirinya sendiri, yang diakui Maisara sebagai teman baiknya.
“Taklah.....Aiman okey, yang tak okeynya aku ni. Rindu sangat dengan dia!”
Hanum tersenyum lalu menepuk-nepuk paha Maisara seperti mahu menenangkannya.
“Esok malam kita dah nak balik, kan? Janganlah di bawa sangat hati tu. Bila dah sampai sana kau peluklah Aiman tu puas-puas!”
Maisara tertawa kecil dengan usul Hanum. Ya.....kalau Hanum tak mengusulkan begitu dia tetap pasti akan melakukannya.
“Tapi, kenapa sebelum ni kau tak pernah cerita langsung tentang Aiman? Kau ni memang perahsia sangatlah.”
“Kau nak tengok gambar Aiman?”
Hanum mengangguk laju. Maisara mencapai tas tangannya lalu mengeluarkan sekeping gambar dari dalam diari hariannya lalu menyerahkan pada Hanum.
“Comelnya!!! Ada iras anak mat salih pulak aku tengok!” bertalu-talu kucupan singgah di foto Aiman. “Tak adillah macam ni! Lain kali bawalah dia jumpa aku. Aku pun nak peluk dan cium si chubby ni!!”
Maisara hanya tertawa dengan tingkah Hanum. Tak disangka dengan hanya melihat foto Aiman, Hanum kelihatan begitu gembira untuk bertemu dengan Aiman.
“Muka dia ikut siapa? Ada iras muka Kak Su?”
Maisara mengambil foto Aiman lalu membelek. Tak lama kemudian dia menggeleng. Wajah Aiman tidak langsung mirip dengan Kak Su. Ketika Aiman masih bayi, dia memang ada iras-iras Kak Su. Tetapi semakin lama wajah Kak Su terus hilang dari raut wajahnya. Tapi.......
“Jadi dia ikut ayah dia?” Hanum bertanya lagi.
Soalan Hanum benar-benar membuatkan Maisara sedikit keliru. Dibiarkan sahaja soalan itu berlalu sendiri.
Aiman tidak mirip dengan wajah Kak Su, abah, umi dan dia sendiri. Tetapi wajah Aiman juga tidak seiras wajah Fariz atau keluarganya. Jadi, wajah yang seakan campuran yang dimiliki Aiman turun dari siapa?

FARIZ merenung seraut wajah comel yang asyik diulit mimpi. Perlahan satu kucupan singgah di dahi comel itu. Ada airmata yang menitis di matanya lalu di sapu pantas.
Secara lahiriah anak ini memang beruntung kerana dikelilingi insan-insan yang sangat menyayanginya. Tetapi di sebaliknya, nasib anak ini sangat walang. Andainya kebenaran terbukti suatu hari nanti........
Fariz memejam matanya rapat. Tak dapat dibayangkan jika perkara itu terjadi. Apa yang dapat dilakukan kini hanya memastikan Aiman terikat dengan kasih sayang mereka. Hanya dengan itu dia dapat memastikan janjinya pada Suhana tertunai.
Biar apa pun yang berlaku, dia akan pastikan Aiman membesar dengan sempurna. Kasih sayang yang diperlukan anak itu akan dicurahkan sepenuhnya sehingga anak itu tidak akan merasa haus dengan kasih sayang.
Satu tepukan yang hingga di bahunya menyebabkan Fariz pantas menyapu kering airmatanya sebelum beralih ke belakang.
“Kenapa Fariz?” tanya Maimun apabila menyedari menantunya itu murung setelah selesai berbual bersama Maisara tadi.
“Umi........tak de apa-apa. Fariz Cuma kesiankan Aiman!”
Maimun menggelengkan kepalanya. Bertanya kepada Maisara, hanya Aiman sahaja di kepalanya. Berbual dengan Fariz begitu juga. Aiman! Aiman! Aiman!
“Umi tahu, Maisara dengan Fariz sangat sayangkan Aiman. Dan kalau boleh, segala-galanya untuk Aiman diutamakan dulu. Betulkan?” Maimun memulakan bicara.
Fariz yang dapat mengagak Maimun akan berkata sesuatu segera melabuhkan punggungnya di sofa berdekatan.
“Tapi sebenarnya Fariz dan Sara silap. Dengan hanya memberi perhatian pada Aiman bukanlah satu-satunya jalan yang terbaik. Fariz dan Sara haruslah menerima diri masing-masing seikhlas hati. Perbuatan kita adalah teladan terbaik untuk anak. Kalau Fariz dengan cara Fariz, Sara dengan cara Sara, tanpa kita sedar kita dah membesarkan Aiman dengan dua dunia yang berasingan.”
“Umi tahu, Fariz dah cuba sebaik mungkin untuk menerima Sara. Tapi mungkin ada kurangnya sehingga Sara tidak dapat merasa keikhlasan itu. Fariz harus sedar posisi Sara. Sara dan Suhana sangat rapat. Mungkin dengan mengahwini Fariz, Sara merasakan dia telah merampas hak Suhana. Jadi, Fariz perlu memainkan peranan untuk membuang jauh segala kekusutan di fikiran Sara.”
Tidak umi.....bukan itu masalahnya.....masalah yang berlaku adalah lebih rumit dari itu!
“Atau.......ada sesuatu yang disembunyikan Fariz dan Sara dari pengetahuan kami semua?”
Soalan yang tiba-tiba itu membuatkan Fariz terpinga-pinga sebentar.
“Maaflah kalau umi terlalu berterus-terang. Cuma sejak Fariz berkahwin dengan Suhana dulu, umi dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Tapi umi tak pasti. Benarkah telahan umi?”
Tajam matanya merenung tepat ke wajah Fariz yang pandangannya sudah di halakan ke merata-rata. Ya.....memang ada sesuatu yang tidak kena. Dari reaksi menantunya itu Maimun membuat kesimpulan.
“Entahlah umi........” Akhirnya Fariz bersuara. “Sukar untuk Fariz terangkan. Apa yang pasti, Fariz memang menyayangi Suhana dan Fariz menyintai Maisara seikhlas hati Fariz! Fariz juga mahukan sebuah rumahtangga yang bahagia bersama Maisara.”
Maimun diam membisu. Ada keikhlasan dari raut wajah itu. Dalam soal ini dia tidak bisa membantu Fariz. Hanya sokongan sahaja yang mampu diberi untuk menantunya itu.
“Lakukan segala-galanya untuk membina cinta di hati Sara. Jangan berputus asa selagi kasih Aiman dekat dengan jiwa  Sara!”