Friday 25 October 2013

Ratu Hati Si Putera Arab 26







Assalamualaikum....Ada satu pengumuman penting di sini...
Ini adalah N3 terakhir bagi Ratu Hati Si Putera Arab...Saya akan hentikan kisah ini sementara menunggu manuskrip ini diluluskan...
Ini juga adalah N3 terakhir di blog PSB...Blog PSB akan bersawang mulai dari hari ini untuk menyiapkan manuskrip Senyumlah Sayang...In Sya Allah, target saya untuk membuka semula blog PSB adalah pada tahun hadapan setelah manuskrip SS siap sepenuhnya.
Terima kasih untuk semua kengkawan yang mengunjungi blog ini...Walaupun SS dan RHSPA sudah tidak ada di blog PSB, kengkawan semua masih boleh mengikuti semula kisah SS dan RHSPA dari mula di blog maiafrenzy.blogspot.com ya.....
Terima kasih semua....love uollss ketat2...

---------------@@------


ZACK menghampiri Audra yang sedang termenung di tepi sungai. Dia memanjat batu besar di mana Audra berada dan kemudian melabuhkan punggungnya tidak jauh dari gadis itu.

Audra yang menyedari kehadiran seseorang di situ, lantas menoleh. Dia menjeling dan kembali membuang pandangannya kepada sungai yang sedang mengalir tatkala dia melihat wajah Zack. Zack hanya tersenyum melihat reaksi itu.

“Kuah rojak yang awak buat tu memang sedap,” puji Zack sebagai permulaan bicara. “Pagi tadi, saya makan lagi kuah rojak tu. Kali ni, dengan belimbing besi pulak. Memang sedap,” sambung Zack.

Audra hanya membisu. Sedikit pun pujian itu tidak menambat hatinya untuk berbalas bicara dengan Zack.

“Hm terakhir untuk Ratu Hati Si Putera Arab mmm…kalau saya nak minta awak buatkan lagi boleh? Saya nak bawa balik Penang nanti,” pinta Zack. Audra tetap membisu. Semakin rapat bibirnya diketap.

“Saya kacau awak ke?” tanya Zack. Wajah Audra terus diperhatikan. Namun, masih tiada reaksi positif yang diberikan. Audra tetap membisu tanpa membalas persoalan itu. Zack mengetap bibirnya melihat kedinginan Audra.

“Rasanya, lepas lamaran malam tadi, banyak perkara yang awak nak tanya pada saya, kan?” Zack masih tidak berputus asa dan terus mencuba memancing Audra agar berbicara.

Audra menundukkan pandangannya. Memang banyak perkara yang perlu diketahuinya. Tetapi, dia tahu jawapan yang sama akan diberikan Zack. Lebih baik jika dia bertentang mata dengan Syed Zikri sendiri.

“Kenapa awak tak nak terima lamaran Tuan Syed?” soal Zack lagi. Audra masih mendiamkan diri. Namun, kedengaran dengusan halus dari bibir mungil itu.

“Tuan Syed tu, orangnya kaya-raya. Dah tu, segak pula. Ramai wanita yang mahu jadi pendamping dia. Tapi dia dah pilih awak. Awak pulak, tolak dia mentah-mentah sedangkan awak belum pernah melihat dia,” sambung Zack lagi. “Saya takut awak menyesal nanti.” Dia melirik Audra yang sedang menongkat dagunya dengan tangan.

“Saya malaslah nak bercakap tentang Syed Zikri,” Audra sudah membuka mulutnya sehingga membuatkan Zack mengukir senyuman. Usahanya sudah berhasil. Audra sudah mula berbicara.

“Kenapa? sedangkan, malam tadi banyak perkara yang awak mahu tahu dari saya,” ujar Zack. Matanya masih terus melirik Audra yang sedang memerhatikan arus-arus sungai yang mengalir. Audra menarik nafas yang panjang lalu menghembunya perlahan.

“Kalau saya bertanya pada Encik Zack pun, setiap soalan saya takkan terjawab. Lebih baik saya bertanya terus dengan Syed Zikri,” Audra sudah meluahkan pendapatnya.

“Mana awak tahu saya tak boleh jawab? Cuba tanya dulu,” balas Zack. Audra mengetap bibirnya rapat. Tiada balasan darinya.

“Okey, awak memang tak nak tahu apa-apa dari saya,” Zack membuat kesimpulan sendiri. “Jadi, boleh saya tahu kenapa awak tak mahu terima Tuan Syed?” tanya Zack yang tidak sabar menunggu.

“Sebab, saya tak pernah lihat dialah saya tak nak terima dia!” tegas Audra. Dia menjeling Zack dengan tajam. “Macam mana saya nak terima orang yang saya tak kenal?” tanya Audra kembali.

Senyuman di bibir Zack semakin mekar apabila melihat jelingan itu. “Pentingkah untuk awak lihat dia? Awak-kan mahu seorang putera raja? Nah! Tuan Syed-lah orang yang paling layak. Kalau awak terima dia, hidup awak akan dilimpahi dengan kemewahan. Awak akan menjadi permaisuri di Rumah Warisan. Kehidupan awak akan berubah sepenuhnya,” ujar Zack lagi.

Audra mendengus kasar. Dia menoleh, memandang Zack dengan tajam. “Saya bukan meterealistik!” tegasnya. Dia memang tidak suka apabila ada orang yang menganggapnya begitu.

“Tapi awak mahukan seorang putera raja, kan?” tanya Zack kembali.

“Itu tak bermakna saya hanya mahukan orang kaya! Putera raja yang saya maksudkan adalah seorang lelaki yang akan melimpahkan kebahagiaan dalam hidup saya sehingga saya tak pernah merasa miskin dengan kasih sayangnya,” jelas Audra. Satu keluhan dilepaskan. Dia sudah penat membuatkan orang-orang sekeliling memahami kehendaknya.

“Perkataan ‘putera raja’ yang awak gunakan boleh buat orang salah sangka dengan awak. Pertama kali saya mendengar angan-angan awak tu, saya sendiri menyangka yang awak seorang gadis yang meterealistik,” beritahu Zack tanpa berselindung.

Audra mengetap bibirnya. “Ada saya kisah dengan pandangan orang tentang saya?” tanya Audra dan kepalanya sudah tergeleng. “Orang berhak bercakap apa saja tentang saya. Saya hanya mengikut kata hati saya,” sambungnya lagi.

“Kalau putera raja yang awak maksudkan itu bukanlah seorang lelaki kaya, jadi, apakah maksudnya putera raja itu bagi awak?” soal Zack.

“Tak penting untuk Encik Zack tahu,” balas Audra yang malas mahu menjelaskan dengan lebih lanjut.

“Sangat penting. Sekurang-kurangnya saya akan membuat penilaian sama ada Tuan Syed layak untuk awak atau tidak,” kata Zack sehingga Audra berpaling memandangnya.

“Tuan Syed layak atau tidak untuk saya?” Mulut Audra ternganga sedikit. Ada tawa halus dari bibir itu. “Tuan Syed itu sangat kaya orangnya. Saya cuma seorang gadis kampung. Saya yang tak layak untuk Tuan Syed,” balas Audra. “Walaupun angan-angan saya tinggi melangit, tapi saya tak hanyut dengan khayalan,” sambungnya. Dia tidak mahu Zack salah sangka terhadapnya.

Zack mengangguk. “Saya tahu. Tapi, situasi di sini, awak yang menolak lamaran Tuan Syed. Jadi, dia yang tak layak untuk awak.” Zack memandang kepada Audra. “Apa makna putera raja itu bagi awak?” tanya Zack sekali lagi.
Audra mengetap bibirnya. Wajah Zack dikerling seketika sebelum dia membuang kembali pandanganya kepada arus-arus sungai yang tidak pernah berhenti mengalir. “Seorang lelaki adalah putera kepada kedua orang tuanya. Dilahirkan sebagai lelaki perlu mempunyai sifat kepimpinan. Seorang putera raja, perlu mempunyi sifat itu untuk mentadbir naungannya agar sentiasa berada dalam keadaan yang baik. Sifat kepimpinan itu yang saya maksudkan tentang seorang putera raja,” Audra menerangkan kembali perihal yang pernah diberitahu kepada Zana dan Farah.

Zack tergamam seketika. Sifat kepimpinan itukah yang dimaksudkan Audra sebagai seorang putera raja? Dia mula merasa kagum dengan cara Audra menzahirkan keinginannya. Mereka diam seketika. Sengaja Zack membiarkan Audra tenggelam dalam dunianya sendiri.

“Audra, ada tak sesiapa yang pernah buatkan jantung awak pernah berhenti berdegup?” tanya Zack setelah agak lama suasana sepi di antara mereka. Audra terkesima seketika dengan soalan itu. Dia memandang Zack. Lama.

“Tak ada,” jawab Audra.

Zack mendengus perlahan. “Siapa?” tanya Zack walaupun Audra menjawab tak ada sesiapa yang berjaya membuatkan jantungnya berhenti bedegup.

“Tak adalah Encik Zack,” tegas Audra lagi.

“Saya belum pekak lagi Audra. Saya dengar sewaktu awak beritahu mak, Along dan Miza tentang jantung awak yang telah berhenti berdegup itu. Awak telah jumpa putera raja awak, kan?” soal Zack seakan mendesak.

“Kenapa nak tahu?” Kerling Audra dengan tajam.

Zack memusing tubuhnya agar menghadap ke arah Audra. “Sebab, saya boleh beritahu Tuan Syed yang dah ada orang lain yang membuatkan jantung awak berhenti berdegup. Jadi, Tuan Syed boleh melupakan hasratnya untuk memperisterikan awak,” jelas Zack.

---------@@-----





-----------@@-------


Audra diam. Tatkala ini Zack sudah terasa bagai mahu menarik tangan Audra dan memaksanya untuk berterus terang. Siapakah lelaki yang berjaya membuatkan jantungnya berhenti berdegup? Tolonglah jangan diam, Audra!

“Kalau awak nak saya bantu awak, awak kena berterus terang dengan saya,” kata Zack lagi.

Audra menggigit bibir bawahnya lalu menjeling Zack. Sejak bila pula dia minta bantuan dari Zack? “Saya main-main ajelah waktu tu,” dalih Audra untuk menamatkan topik itu.

Zack menghembuskan nafas kehampaan. Tak mengapalah. Suatu hari nanti, aku pasti tahu kebenaran tentang itu. Zack memujuk dirinya sendiri. “Awak serius tentang itu?” Zack berpaling semula memandang Audra.

“Uh?” Audra berbalas pandangan dengan Zack.

“Tentang mencari putera raja yang boleh membuatkan jantung awak berhenti berdegup,” jelas Zack apabila Audra kelihatan tidak mengerti maksud soalannya.

“Ya.” Audra mengangguk. “Sebab tu saya perlu lihat Syed Zikri,” sambungnya.

“Awak nak pastikan sama ada jantung awak boleh berdegup bila lihat dia?” soal Zack lagi.

“Hmm,” jawab Audra ringkas sambil mengangguk.

Kening Zack terjongket. “Tapi, kenapa saya rasa seolah-olah jantung awak pernah berhenti berdegup ketika awak berjumpa dengan saya hari tu?” Zack cuba mencungkil lagi rahsia hati Audra.

Gulp! Audra menelan air liurnya. “Jangan perasanlah!” Audra cuba menyembunyikan wajahnya yang mula terasa panas. Dia memegang pipinya. Pasti saat ini pipinya sudah kemerahan.

Zack ketawa kecil melihat Audra yang sudah termalu itu. “Awak memang berani, kan?” Zack mengubah persoalan.

“Uh?” Kening Audra terjongket memandang Zack.

“Awak satu-satunya manusia yang panggil Tuan Syed dengan nama tanpa panggilan ‘tuan’,” ujar Zack. “Awak tak takut ke kalau Tuan Syed marah?” soalnya.

Audra mendengus halus. “Dia takkan marah,” ujar Audra dengan selamba.

“Yakinnya awak!” Ada nada terkejut dari suara Zack.

“Tentulah!” kata Audra dengan tegas. “Sebab, saya sebut nama dia tanpa pengetahuan dia. Kalau di depan dia nanti, saya panggillah ‘Tuan Syed’.” Audra memandang Zack. “Itu pun kalau dia nak jumpa dengan saya-lah,” sambungnya. Keningnya sudah terjongket-jongket seakan mempermainkan Zack. Dia mahu tahu apa kata Zack apabila dia berkata begitu.

Zack sudah ketawa melihat tingkah Audra. “Awak ingat, kalau dia tak jumpa awak dia takkan tahu apa yang awak buat?” soal Zack kemudiannya.

Audra hanya menjongketkan bahunya sambil tersenyum mengejek. Zack hanya ketawa kecil. Dia memandang Audra semula. “Memang awak tak pernah jumpa dia. Tapi, kalau dia tak pernah lihat awak takkanlah dia berani meminang awak,” kata Zack lagi.

Audra terdiam. Wajah Zack terus menjadi perhatiannya. “Jadi, Syed Zikri memang kenal dengan saya?” soalnya terkejut.

Zack mengangguk. “Kan saya dah beritahu awak,” balas Zack.

Audra kembali menongkat dagunya. “Patutlah Che Enon selalu kata Syed Zikri tu macam James Bond,” ujar Audra sendirian tanpa bermaksud menyatakannya kepada Zack.

Zack ketawa besar. “Che Enon kata macam tu?” Zack menyambung semula tawanya.

Audra mengeluh. “Entahlah. Saya malaslah nak fikir tentang Syed Zikri. Misteri sangat!” Audra bangun dari duduknya. Dia sudah berpusing mahu pergi. Namun, dengan tidak di sangka kaki Audra tergelincir. “Mak!” Hampir sahaja dia terhumban masuk ke dalam sungai.

Dengan pantas Zack terus berdiri dan menangkap pinggang Audra. Audra terus memegang leher Zack dengan erat. Mata mereka bertentang. Terus sahaja Audra merungkai lingkaran tangannya di leher Zack tatkala tubuhnya sudah berdiri dengan stabil. Zack juga melepaskan pelukannya.

“Lain kali berhati-hati,” bisik Zack perlahan di telingan Audra kerana jarak mereka bergitu dekat sekali. Zack berpusing dan terus meninggalkan Audra dengan getaran di dada.


Audra memegang dadanya. Jantungnya berdegup dengan laju. “Ah Encik Zack! Kenapa engkau yang selalu membuatkan jantung aku bergetar?!” Audra terduduk semula di situ. 

------------------@@------------

terima kasih semua.... harap tahun depan blog ini boleh beroperasi semula.... :)




Friday 18 October 2013

Ratu Hati Si Putera Arab 25




Assalamualaikum semua....sebelum anda scroll di bawah untuk baca sambungan RHSPA...minta anda baca info di sebelah kiri dulu ya....terima kasih semua ya....

--------@@--------

AUDRA yang sedang termenung di pangkin, memandang jauh kelibat yang masih bersila di beranda. Ketika ini, Pak Aji, Mak Aji, Zack dan Along sedang berbual di serambi. Entah apa yang dibincangkan mereka. Tetapi kelihatannya begitu serius. Sehingga anak-anak dilarang untuk mencampuri perbincangan mereka. Iman sudah dibawa oleh Apit ke rumah Miza. Mulanya, dia juga mahu mengikut mereka. Tetapi Pak Aji tidak membenarkan.

Audra melirik lagi kumpulan yang sedang bersila di serambi itu. Dia pun tidak pasti mengapa dia perlu dipulaukan. Bukan sahaja Pak Aji tidak membenarkan dia menyertai mereka tetapi dia juga tak dibenarkan mengikut Apit. Dia bukan anak kecil seperti Iman atau remaja seperti Apit. Kalau benar dia tidak diperlukan, mengapa Pak Aji mahu dia menunggu di situ?

Dia memerhatikan satu persatu wajah-wajah yang serius di depannya dari jauh. Lalu, pandangannya terhenti pada wajah Zack. Dia memerhatikan wajah itu, lama. Dia sendiri pun tidak tahu mengapa dia bersikap dingin dengan Zack. Sedangkan, Zack langsung tak punya apa-apa kesalahan padanya. Kalau ada pun, dia yang bersalah kepada Zack kerana pernah mencederakan lelaki itu.

Mungkin rasa malu yang menebal pada lelaki itu menyebabkan dia bersikap begitu. Dia malu apabila mengenangkan perbuatannya pada Zack pada pertemuan pertama mereka. Dia malu apabila Zack menjadi lelaki yang ditunggu-tunggunya selama ini. Iaitu, lelaki yang telah berjaya membuatkan jantungnya berhenti berdegup. Dia malu, apabila mengenangkan dirinya jatuh dan menjadi separa sedar kerana Zack. Dia malu apabila mengetahui orang yang berbual dengannya dan menjadi anak angkat keluarganya adalah Zack.

“Ara!” suara abah yang menjerit memanggilnya membuatkan fikirannya kembali terbang ke alam nyata.

Audra mendongak memandang abah yang sudah melambai-lambai tangannya pada Audra. Audra bangun dari pankin dan terus ke serambi. Kelibat Zack sudah hilang dari situ.

“Mari!” Pak Aji memberi isyarat agar Audra duduk di hadapannya.

Dada Audra sudah berdegup kencang. Ada apa sebenarnya? Kenapa dia perlu duduk berhadapan dengan Pak Aji, Mak Aji dan Along? Firasatnya mengatakan ada sesuatu yang tidak kena. Tiba-tiba sahaja dia merasakan seperti seorang pesalah yang sedang menanti hukumannya.

Pak Aji menarik nafas panjang sebelum membuka mulutnya. “Abah tahu, Ara baru habis belajar. Ara pun baru dapat kerja. Tapi, tujuan hidup kita di sini bukan sekadar dunia. Tujuan hidup kita juga adalah persediaan ke alam akhirat.” Pak Aji memulakan bicaranya.

Audra melirik Pak Aji seketika lalu menundukkan wajahnya. Air liurnya ditelan. Abah memulakan kata-katanya dengan topik yang serius. Pasti tujuannya juga serius. Debaran di dadanya semakin kencang. Dia melirik Mak Aji dan Along. Tapi, kenapa wajah Along dan mak berseri dengan senyuman?

“Hidup kita takkan sempurna jika kita masih belum berumahtangga. Berkahwin dan mempunyai keluarga adalah sebahagian dari sunnah Rasulullah s.a.w,” sambung Pak Aji lagi.

Mata Audra terus membulat. Abah berbicara soal kahwin? Semakin laju debaran di dada Audra. Dia sudah merasakan sesuatu yang kurang enak dari ayat Pak Aji. Tetapi dia tetap membisu, membenarkan Pak Aji untuk menjelaskan lebih lanjut.

“Ara sudah mendapat pinangan,” beritahu Pak Aji.

Jangkaannya benar. Audra terus melangut memandang Pak Aji. “Dari siapa?” soal Audra dengan pantas. Encik Zack? Tak mungkin! Tapi, hanya lelaki itu yang berada di sini.

“Dari Syed Zikri,” ujar Pak Aji bersama satu hembusan nafas. Pandangannya jatuh pada wajah Audra.

Mak Aji dan Along sudah berpandangan. Sebenarnya, mereka telah mengetahui hal sebenarnya tentang diri Zack. Malah, mereka sendiri tidak bersetuju dengan cara Zack lakukan untuk mengenali Audra. Setelah berbincang dengan lebih serius, maka Zack terus menyatakan hasratnya untuk memperisterikan Audra. Namun, Zack meminta masa kepada mereka untuk berterus terang tentang perkara yang sebenarnya kepada Audra.

“Syed Zikri?!” Audra sudah ternganga luas. Benarkah apa yang di dengar? Macam mana Syed Zikri boleh menghantar pinangan sedangkan mereka langsung tak pernah bertentang mata? “Tak mungkin!”

“Mengapa pulak?” Dahi Mak Aji sudah berkerut. “Syed Zikri itukan majikan Ara?” ujar Mak Aji lagi.

“Ya, tapi,” Audra masih tidak dapat menerima apa yang sedang terjadi. Bagaimana Tuan Syed Zikri boleh meminangnya? Tak masuk akal!

“Mungkin cinta pandang pertama agaknya,” usik Along.

“Tak mungkin cinta pandang pertama! Kami tak pernah berjumpa walau sekali pun!” ujar Audra. Tak ada istilah pandang pertama dalam hubungannya dengan Tuan Syed Zikri. “Ara tak boleh terima pinangan ni!” Laju Audra membuat keputusan.

Along menjongketkan keningnya. Betul jugak! Ara memang tak pernah kenal siapa Syed Zikri. Dia menggosokkan dagunya.

“Ara sudah ada pilihan lain?” tanya Pak Aji seraya memandang Audra.

Tiba-tiba sahaja wajah Zack muncul dalam ingatan Audra. “Tak,” jawab Audra perlahan. “Tapi, Ara tak boleh terima semua ni.” Tegas Audra lagi. “Encik Zack menjadi wakil bagi Syed Zikri?” tanya Audra kepada Pak Aji. Siapa lagi yang ada jika bukan Encik Zack? Bukankah lelaki itu adalah orang kepercayaan Syed Zikri? Audra mengeluh.

Pak Aji menganggukkan kepala. “Beginilah,” ujar Pak Aji kemudiannya. “Simpan saja keputusan Ara dulu sehingga Ara benar-benar pasti. Pulang ke Pulau Pinang dan cuba mengenali Syed Zikri dengan baik. Setelah itu, baharulah Ara buat keputusan,” putus Pak Aji.

Audra terdiam. Dia tidak mahu mengenali Syed Zikri dengan baik. Apatah lagi, Syed Zikri sendiri menjauhinya!

“Kenapa Ara tak pernah beritahu kami yang Ara kenal dengan Zack?” soalan Mak Aji membuatkan pandangan mata Audra beralih kepadanya. Kemudian, dia tertunduk diam di situ.

“Patutlah Ara lain macam je bila Zack ada!” ujar Along. “Jangan-jangan Ara memang dah janji nak jumpa dengan Zack di sini  tak?” Along sudah mengiku Audra untuk mengusiknya.

“Along ni! Pandai-pandai je!” Audra sudah menjegilkan matanya memandang Along.

“Ara nak tolak Syed Zikri sebab Zack?” Along bertanya lagi. Sengaja dia bertanya begitu untuk mengetahui perasaan Audra terhadap Zack. “Zack pun nampak baik orangnya. Apa salahnya jika Ara pilih Zack,” usul Along. Walaupun Zack lebih tua tujuh tahun darinya, namun dia lebih selesa memanggil Zack tanpa perkataan ‘abang’ di depan. Apatah lagi bila mengetahui perasaan Zack terhadap Audra.

“Along!” Wajah Audra sudah memerah. Paha Along dicubitnya.

“Auh….” Along menggosok-gosok pahanya yang kepedihan. “Sakitlah!”

“Along jangan pandai-pandai ek! Encik Zack sendiri tak pernah cakap apa-apa!” Dia menjeling geram. Wajahnya memerah kerana malu. “Ara dengan Encik Zack tak ada apa-apalah! Ara pun tak tahu yang Encik Zack tu anak angkat abah dan mak. Tiba-tiba aje sampai di kampung, jumpa dengan Encik Zack,” jelas Audra.

“Ara tu yang terlalu berahsia. Kenapa tak beritahu Ara kenal dengan Zack dari awal lagi?” tanya Along.

“Sudah! Sudah!” Mak Aji bersuara. Tergeleng kepalanya dengan sikap Along dan Audra. Masing-masing dah dewasa tapi ada masanya masih bersikap keanak-anakkan.

Kepala Pak Aji juga tergeleng melihat anak-anaknya. Kemudian, satu nafas perlahan dilepaskan. Zack telah menceritakan segala-galanya dari mula dia datang ke kampung sehinggalah pada hari ini. Dia langsung tak bersetuju dengan tindakan Zack. Sepatutnya dari awal lagi, Zack tidak melakukan perkara sebegini. Tapi, perkara dah berlaku. Jadi, dibiarkan sahaja Zack yang mencari jalan penyelesaiannya. Dia kenal benar sikap Audra. Pantang sungguh anak gadisnya itu jika dibohongi.

“Begini sahajalah Ara,” Pak Aji bersuara semula. “Apakata Ara tanya sendiri dengan Zack. Minta penjelasan darinya.” Pak Aji mencapai secawan teh o di hadapannya dan menghirupnya perlahan. Tekaknya terasa lega apabila kepanasan teh o itu melalui anak tekaknya. Namun, kelegaan itu tidak berakhir apabila mengenangkan penerimaan Audra jika dia telah mengetahui perkara yang sebenarnya tentang Zack.

Audra melirik Pak Aji. Betul jugak! “Mana Encik Zack?” Kepala Audra sudah terjengul ke dalam mencari Zack. Jiwanya yang keresahan menuntut jawapan dari lelaki itu.

“Dia dah pergi rumah Pak Abu,” balas Pak Aji.

Audra mengetap bibir. “Ara nak minta izin abah dan mak, Ara nak pergi jumpa dengan Encik Zack,” pintanya.

Pak Aji diam seketika. Agak lama dia membisu begitu. Kemudian, dia memandang wajah Audra. “Esok pagi sajalah. Dah malam sangat ni. Karang, timbul pulak fitnah pada kamu berdua.” Kegusaran Pak Aji ada benarnya. Tak mungkin dia membenarkan anak daranya berjumpa dengan seorang lelaki ajnabi di waktu malam sebegini.

“Along!” Satu panggilan dari Apit membuatkan mereka semua memandangnya. Kelihatan Apit sedang menggendong Iman yang sudah terlena. Di belakangnya, berdiri Zack yang sedang menjinjit dua kampit guni.

--------@@-----



-------@@-----

“Laa, dah tidur anak aku.” Along mendekati Apit, lalu mengambil Iman dari gendongan Apit dan terus menghilang ke dalam.

Langkah kaki Zack terhenti di situ. Dia memandang Audra yang turut memandangnya. Pandangan mereka bertaut seketika. Apakah luahan hatinya telah disampaikan oleh Pak Aji? Apakah reaksi Audra apabila mendapat pinangan dari Syed Zikri?

“Apa tu, Zack?” tanya Mak Aji sambil pandangannya terhala kepada dua kampit guni di tangan Zack. Suara Mak Aji mengejutkan Zack, lantas pandangannya beralih memandang Mak Aji.

“Ini, buah rambutan dan manggis. Pak Abu beri,” kata Zack. Terus kampit guni itu diserahkan kepada Mak Aji. Dua kampit guni itu beralih tangan. Mak Aji meletakkan kampit guni ke lantai dan membuka ikatannya. Wajah Mak Aji bertukar ceria apabila melihat buah-buahan itu.

“Wah! Banyaknya!” Mak Aji memandang Zack. “Menjadi tanaman Pak Abu kali ni, ya! Sampaikan ucapan terima kasih kepada Pak Abu ya,” pesannya.

“In Sha Allah, mak.” Zack menganggukkan kepala.

“Apit, bantu mak bawa semua ni ke belakang,” arah Mak Aji.

Tanpa banyak soal, Apit membawa buah-buahan itu masuk kedalam. Mak Aji membontotinya di belakang. Kini, tinggallah Pak Aji bersama Audra dan Zack.

Pak Aji memandang mereka berdua. “Alang-alang dah kamu berdua ada di sini, baik kita berbincang,” ujarnya sambil memandang Zack. “Mari Zack!” panggilnya. Zack mengambil tempat di samping Pak Aji. Audra masih dengan kedudukannya iaitu di hadapan Pak Aji.

“Apa yang kamu mahu katakan pada Zack?” soal Pak Aji kepada Audra.

Audra tertunduk. Memang dia mahu bertentang mata dengan Zack. Banyak soalan yang mahu ditanyakan kepada lelaki itu. Tetapi bukan di depan abahnya sendiri. Kalau dalam keadaan sekarang, tentu sahaja lidahnya kelu untuk berbicara.

Melihatkan Audra yang terus tertunduk membuatkan Zack merasa bersalah. Dia melirik pada Pak Aji seketika. Pak Aji memberikan isyarat agar dia memulakan bicara. Zack mengancing giginya. Walaupun Pak Aji tidak menyukai caranya, mujurlah Pak Aji masih bertimbang rasa. Pak Aji mahu dia menyelesaikan segera masalah ini dengan Audra dan Pak Aji tak mahu Audra terus-menerus di tipu dengan menyamar diri seperti ini.

“Sebenarnya, Audra. Syed Zikri dah lama sukakan awak. Sejak dari hari pertama dia berjumpa dengan awak,” kata Zack.

Audra mengangkat kepalanya dan memandang Zack. “Apa Encik Zack cakap ni? Saya tak pernah jumpa dengan Syed Zikri!” bantah Audra. Dia melirik Pak Aji seketika kemudian dia kembali menundukkan pandangan matanya.

Zack terdiam. Memang dia perlu jelaskan pada Audra mengenai kedudukan yang sebenarnya. Tapi bukan dalam keadaan mendesak begini. Biarlah dia mencari jalan agar semuanya berakhir dengan sempurna. Kalau dia berterus terang begini, Audra akan semakin membenci padanya.

Bagaikan memahami keberatan Zack untuk meluahkan kata, maka Pak Aji menepuk-nepuk belakang tubuh lelaki itu. Dia tahu, Zack perlukan waktu untuk meleraikan semuanya secara perlahan. Perkara begini tidak boleh dinyatakan  terus kepada Audra.

“Beginilah, perkara begini perlu diselesaikan secara berperingkat dan lebih tersusun,” Pak Aji cuba berkias kepada Zack. “Ara, Ara pulang ke Pulau Pinang dan cuba kenali dahulu siapa Syed Zikri yang sebenarnya. Lagipun, perkara ni bukan satu paksaan buat Ara, kan?” Pak Aji melirik kepada Zack menandakan persoalan itu sebenarnya ditujukan kepada Zack.

Zack yang mengerti soalan itu sebenarnya ditujukan untuknya hanya menganggukkan kepalanya. “Ya, Audra. Ini bukan satu paksaan. Audra berhak membuat keputusan. Tapi, berilah peluang pada diri Audra dan Syed Zikri untuk mengenali antara satu sama lain,” ujarnya seakan merayu.

Audra menjeling Zack. Patutkah Encik Zack berkata begitu? Berhakkah dia? Dia cuma anak angkat sahaja di sini. Zack tak berhak untuk masuk campur urusannya dan menasihatinya. Apa yang perlu dijelaskan adalah tindakan yang telah dilakukan oleh Syed Zikri!

“Cuba awak jelaskan, bagaimana Syed Zikri boleh lakukan ini semua? Awak tak tahu yang keluarga saya adalah keluarga angkat awak. Pertemuan kita di sini juga satu kebetulan. Jadi, bagaimana awak  boleh sampaikan hasrat Syed Zikri?” Tiba-tiba sahaja Audra meluahkan soalan yang ditakuti Zack. Namun, Zack telah pun menyiapkan jawapan itu seandainya Audra bertanya.

“Sebenarnya, Tuan Syed dah lama minta saya merisik awak sejak dari hari pertama dia mengenali awak. Dah kebetulan bila saya datang sini dan dapati awak adalah anak kepada keluarga angkat saya, jadi saya ambil kesempatan ni untuk luahkan hasrat Tuan Syed kepada keluarga awak,” dalih Zack.

Pak Aji hanya menggelengkan kepalanya mendengar jawapan Zack. Lebih banyak pertanyaan dari Audra lebih banyak jawapan pembohongan yang akan diberikan Zack.

“Sudah-sudahlah tu,” Pak Aji menepuk paha Zack agar mendiamkan diri. Satu keluhan dilepaskan. “Begini, Ara pulang dahulu ke sana dan selesaikan perkara ini dengan Syed Zikri perlahan-lahan. Jangan cepat melata dan jangan terlalu cepat membuat keputusan,” Pak Aji mengulangi lagi nasihat yang sama.

Cepat melata? Audra melopong. Tahukah abah bukan mudah untuk bertemu dengan Syed Zikri? Apatah lagi setiap setiap kali dia mahu bertemu dengan lelaki itu, Zack yang akan mengambil alih tempatnya. Jadi, bagaimana dia mahu selesaikan perkara ini?

Pak Aji memandang wajah Audra yang ternyata tidak berpuas hati dengan kata-katanya. Sekali lagi Pak Aji mengeluh. Dia melirik Zack yang hanya tertunduk. “Lupakan seketika hal ini untuk malam ini sehingga kamu berdua pulang semula ke sana. Dan, apabila kamu berdua di tiba di sana nanti, tolong selesaikan perkara ini sebelum semuanya menjadi lebih sukar,” katanya.

Mendengarkan arahan itu, kepala Zack semakin tertunduk. Dia tahu, kata-kata itu lebih ditujukan untuknya. Semuanya berpunca dari dia. Jika dia berada di tempat Pak Aji, dia juga tidak akan suka jika anak gadisnya dibohongi begitu.

“Audra, masuk ke dalam dan berehat,” suruh Pak Aji. Dengan wajah yang membungkam Audra masuk ke dalam.

 “Minum Zack,” Pak Aji memberikan secawan teh o yang telah dituangnya ke dalam cawan yang masih kosong lalu diserahkan kepada Zack. Zack menyambut dan hanya tersenyum kelat.


-------@@----

Terima kasih kepada semua yang membaca.... Untuk anda yang dah baca Info di sebelah kiri paling atas, saya minta tolong bantuan semua ya dalam proses menyiapkan manuskrip Senyumlah Sayang... ^^