Thursday 24 December 2009

Saat Hati Merelakan 12


WES berjalan-jalan memandang sekitar kawasan cafe itu. Walaupun Fauzan pernah membawanya, namun keunikan cafe itu menarik minatnya untuk melihat lagi.

Selepas dirasmikan oleh Ariff, wakil dari pemilik cafe orang ramai diberi makan dan minum di bakery secara percuma. Manakala golongan remaja lebih cenderung melayari internet. Namun setiap pelanggan hanya diberi satu jam untuk menggunakan komputer, ini adalah untuk memberi peluang kepada pelanggan yang lain merasa penggunaan secara percuma.


Mata Wes liar memandang gelagat orang ramai yang berpusu-pusu mengunjungi cafe itu. Kemudian matanya terpaku pada kelibat Fauzan yang sedang berjalan menghampirinya. Dari jauh Fauzan tersenyum padanya.

“Mari, aku kenalkan dengan big boss A2-M Sdn. Bhd. yang juga merupakan abang kepada pemilik cafe ni,” ujar Fauzan setelah berada di sisinya. Wes mengekori langkah Fauzan yang menghampiri orang yang dimaksudkannya.

“Ariff, aku kenalkan. Ini Wes, pengurus Visma Corporation. Dan Wes, ini Ariff.” Ariff dan Wes bersalaman. Wes cuba mengamati wajah Ariff. Seolah-olah pernah dilihatnya sebelum ini. Tapi dia tak pasti di mana dan bila wajah itu pernah dilihatnya. Kemudian Wes juga dikenalkan dengan Almi dan Zainal serta beberapa orang tetamu penting di situ.

Setelah berbual-bual sebentar, Wes mengasingkan diri dari orang ramai. Dia berpeleseran lagi melihat-lihat sekeliling. Sesekali dia memandang jam di tangan. Terasa jemu pula berada di sana terlalu lama tanpa berbuat apa-apa.

Namun, sebaik saja dia ingin melangkah pergi, matanya terpaku pada wajah yang amat dikenali. Namun, kesesakan menyebabkan penglihatannya terhalang. Dia cuba mencari ruang untuk melihat lagi. Namun, wajah itu telah tiada. Dia memandang sekeliling. Tiada. Dia mengeluh sebentar. Mungkin hanya anganannya.

Dia seperti ternampak kelibat Farahymma di situ. Tetapi apabila ditoleh sekali lagi, bayangan itu menghilang. Mungkin kerana terlalu merindui gadis itu dia terbawa-bawa dalam jaganya.



ARIFF berjalan sambil berbuat mesra dengan wanita di sebelahnya. Dia membawa gadis itu berpusing melihat sekitar kawasan HappyWebCafe. Kemudian dia menemani gadis itu di bakery. Sambil berbual mereka bergelak ketawa bercerita mengenai kehidupan masing-masing sambil Ariff menerangkan serba sedikit mengenai cafe itu.

Manisa, gadis yang pernah ditegurnya sewaktu bersiar-siar di Persiaran Gurney. Dia tidak menyangka gadis itu adalah teman sekuliahnya sewaktu di kampus. Setelah berbual agak lama barulah mereka menyedari yang mereka pernah berkenalan sebelum ini. Namun kerana Ariff kurang bergaul dengan rakan-rakan perempuan menyebabkan mereka kurang mengenali antara satu sama lain.

Ariff tidak menyangka sama sekali pertemuan pertama kali di Persiaran Gurney membuka lambaran baru dalam hidupnya. Manisa, seorang gadis ceria yang terlalu manja. Suka dibelai dan sentiasa ingin dibelai. Mungkin bagi sesetangah orang kemanjaan Manisa boleh dikategorikan sebagai ‘mengada-ngada’. Namun dia senang dengan kemanjaan Manisa.

Walaupun baru bertemu dengan gadis itu, namun dia dapat merasakan keserasian yang nyata antara mereka berdua. Hidupnya yang dahulu sentisa dipenuhi dengan kerja, mesyuarat dan agenda kini terhibur dengan kehadiran Manisa. Manisa bagaikan permata yang tersimpan dihatinya.

Mungkin dia terlalu bodoh kerana menyanjungi wanita yang baru dikenalinya. Tapi, hanya Tuhan saja yang tahu tentang hati dan perasaannya terhadap wanita itu. Ya....cinta perlukan waktu walaupun dalam masa yang singkat.

Sedang sibuk berbual-bual, Ariff melihat langkah Fauzan yang semakin menghampirinya.

“Kau ke mana tadi?” tanyanya.

“Teman Wes hingga ke parking lot,” jawab Fauzan.

“Kenalkan. Ini Manisa,” ujar Ariff. Fauzan menghulurkan tangan. Manisa menyambut.

“Fauzan.” Fauzan mengenalkan dirinya. Manisa mengangguk. Tangan dilepaskan. “Berbuallah. Saya nak ke sana,” ujar Fauzan pada Manisa. Kemudian Fauzan merapatkan mulutnya ke telinga Ariff. “Not bad,” dia berbisik sebelum melangkah pergi.

“Itu sepupu saya. Baru tamatkan pengajian di Australia.” Manisa mengangguk. “Adik bongsu saya, Maya, pemilik cafe ni berada di Johor Bahru. Kes kecemasan,” cerita Ariff lagi.

“Adik awak yang seorang lagi tu?” tanya Manisa yang mengetahui serba sedikit latar belakang Ariff melalui ceritanya.

“Almi?” Ariff mengangkat kening. Manisa mengangguk. “Tadi dia ada. Tapi sekarang.......”Ariff memandang sekeliling. “Entahlah mana dia pergi.”

“Tak pe. Nanti bila-bila awak kenalkan dengan saya.” Manisa tersenyum. Ariff mengangguk.

“Bila sampai masanya nanti, saya akan bawa awak berkenalan dengan seluruh keluarga saya.” Ariff bersuara dengan ikhlas. “Tapi buat masa sekarang, ada baiknya kita beri sedikit masa pada kita untuk mengenali hati budi masing-masing.”

Mendengar kata-kata Ariff yang terlalu ikhlas untuk mengenalinya membuatkan Manisa sedikit sebak. Kalaulah Ariff tahu statusnya yang sebenar......

Saat Hati Merelakan 11


QISMYNA membuka jendela kamarnya. Dia membiarkan bayu pagi bermain-main mesra dengan rambutnya yang panjang dan lurus melebihi separas bahu. Dia menarik nafas panjang lalu merenung jauh ke atas bukit yang hijau.


Hatinya lega kerana segala-galanya telah berjalan dengan lancar. Walaupun ada beberapa masalah namun ia segera dapat diselesaikan. Tak sabar rasa di hati menunggu hari perasmian. Syukurlah kerana Ariff, Almi dan Fauzan banyak membantunya. Terutamanya Fauzan yang banyak bersusah payah untuk merealisasikan impiannya. Tuan Malik, ayahnya juga banyak membantu memberi cadangan dan pendapat.

Hampir enam bulan lamanya sejak dia berhenti menjadi guru tadika masanya banyak dihabiskan untuk mengejar cita-cita. Masa enam bulan agak lama baginya kerana projek ini telah dirancang lebih kurang setahun lamanya. Tetapi jika difikirkan enam bulan adalah masa yang singkat untuk melaksanakan segalanya. Namun atas bantuan yang diterima, segala-galanya menjadi mudah.

Tiga hari lagi cafe yang dinamakan HappyWebCafe akan dirasmikan secara besar-besaran. Dalam tempoh dua hari, setiap pelanggan yang mengunjungi cafe itu akan diberi makan dan melayari internet secara percuma. Itu adalah salah satu langkah promosi untuk menarik minat orang ramai untuk mengunjungi HappyWebCafe.

Promosi yang dilakukan di sekolah-sekolah serta pusat pengajian tinggi juga amat menggalakkan. Mereka yang menjadi ahli dibenarkan meminjam buku-buku dari perpustakaan selama dua minggu dan mendapat diskaun sepuluh peratus setiap kali membeli barangan atau makan di cafe.

Kelmarin dia dan Fauzan telah mengunjungi HappyWebCafe yang telah lengkap hampir sembilan puluh peratus. Hanya serba sedikit yang masih belum diselesaikan. Dia amat berpuas hati melihat perpustakaannya dilengkapi dengan bahan-bahan rujukan, meja dan kerusi serta statinary shop yang penuh dengan peralatan tulis serta buku-buku latihan, majalah dan buku-buku rujukan untuk dijual. Harga setiap unit juga telah dilebelkan.

Buku-buku untuk dijual dan buku-buku untuk dijadikan bahan rujukan diasing dan disusun dengan teratur. Malah, pekerja-pekerjanya sangat tekun berkerja memastikan segalanya telah sempurna.

Bakery juga telah siap dengan tepung, coklat, kismis serta bahan-bahan yang lain untuk membuat beberapa jenis roti sebagai hidangan. Stok-stok air gas juga telah disusun rapi di dapur belakang termasuk beberapa tin Milo serta Nescafe.

Sebanyak dua puluh biji komputer juga telah di susun rapi dan di sudut kedai juga telah diletakkan sebuah akuarium yang terdapat seekor ikan kelisa emas. Dan yang paling menarik hatinya, warna dan hiasan dalamannya yang unik. Gabungan warna oren, merah, hijau dan biru, sesuai sebagai identiti HappyWebCafe

Sekilas dia memandang jam ditangan. Hampir jam sepuluh pagi. Masih terlalu awal untuknya bersiap. Petang ini, dia dan Fauzan telah dijemput oleh Encik Wes, pengurus pemasaran Visma Corporation untuk minum petang bersama. Tidak berkaitan dengan kerja, hanya jemputan peribadi untuk berkenalan.

Kebetulan dia dan Encik Wes tidak pernah bersua muka memandangkan segala urusan bersama diuruskan oleh Fauzan. Inilah pertama kali dia akan berjumpa dengan pengurus itu.

“Qis!!” panggilan Puan Suria mengejutkannya. Dia mengurut dadanya lalu menarik nafas dan beristighfar sebentar.

“Ya, mak!” jeritnya dari dalam bilik.

“Ada telefon untuk kau!” jerit Puan Suria yang menjawab panggilan di dapur. Segera Qismyna mencapai ganggang telefon yang terletak di atas meja bersebelahan katilnya.

“Hello,” dia bersuara. Alangkah gembiranya dia mendengar suara di corong telefon itu. Zurin, adik angkatnya di Johor. Namun, setelah Zurin memberitahu tujuannya menghubungi Qismyna, nafas Qismyna menjadi sesak. Airmatanya mengalir tanpa ditahan lagi. Tiada kata yang dapat diucap.

“Kakak mesti pulang.” Itulah kata-kata terakhir Zurin sebelum meletak telefon. Lantas Qismyna membuka almari baju dan mengambil bagasinya yang disimpan di bawah katil. Baju-baju yang tergantung diambil dan dimasukkan ke dalam beg. Kemudian dia berlari turun dari tangga sambil tangannya menjinjing beg pakaian.

Tuan Malik dan Puan Suria yang sedang berbual sambil berehat di halaman depan terpaku. Begitu juga dengan Pak Mat yang sedang mencuci kereta.

“Saya nak ke Johor,” beritahu Qismyna. Tuan Malik dan Puan Suria berpandangan.

“Kenapa? Apa dah jadi?” ada riak-riak kerisauan diwajah Puan Suria sewaktu mengutarakan soalan itu.

“Makcik Badariah dan Pak cik Amin kemalangan. Dirempuh bas dari belakang,” ujar Qismyna tersekat-sekat. “Mereka ada di ICU.”

Tuan Malik dan Puan Suria yang sedia tahu siapa yang dimaksudkan Qismyna mengucap panjang. Insan-insan yang dimaksudkan Qismyna adalah insan-insan mulia yang pernah membantu Qismyna sewaktu Qismyna mengalami kemalangan ketika berada di Johor. Memandangkan Qismyna tidak mempunyai saudara di sana, merekalah yang telah bersusuh payah menjaga Qismyna dan sekaligus menjadi keluarganya. Tuan Malik dan Puan Suria juga merasa amat terhutang budi sewaktu Qismyna menceritakan pengalamannya di Johor.

“Kalau begitu, biar mak dan ayah ikut.” Tuan Malik bersuara.

“Tapi....perasmian.......” Puan Suria tidak dapat meneruskan kata-katanya.

“Ini lebih penting. Perasmian tu nanti biar Fauzan, Ariff dan Almi yang uruskan. Nak batalkan pun dah tak sempat,” ujar Tuan Malik. Qismyna mengangguk menyetujui cadangan ayahnya.

“Awak pergi kemas barang-barang.” Tuan Malik memerintah dan Puan Suria menurut. “Pak Mat!” panggilnya. Pak Mat yang berada berhampiran menoleh. “Sediakan kereta.” Pak Mat mengangguk. “Kamu Qis, tunggu di sini. Biar ayah ke dalam hubungi abang dan kakak. Ayah akan hubungi Fauzan sekali.” Tuan Malik segera berlalu.

Qismyna duduk di bangku depan. Dia cuba mententeramkan hatinya. Dia khuatir jika perkara yang sama sewaktu Mak cik Salmah meninggal, berlaku sekali lagi dalam hidupnya. Dia tak mahu terus-terusan rasa bersalah. Dia lebih rela meninggalkan masa depannya demi untuk masa sekarang. Biarlah Ariff, Almi dan Fauzan yang uruskan segala-galanya.



WES menghentikan keretanya di sisi kiri. Tingkap kereta di buka. Angin meniup hebat rambutnya. Terasa sejuk sekali berada di atas bukit ini. Wes melirik jam ditangannya. Angka menunjukkan jam sembilan malam.

Wes membuka pintu dan melangkah keluar. Dari situ dia melihat jauh Pulau Pinang yang disaluti cahaya lampu. Memang kelihatan indah walaupun bukit itu tidak setinggi Bukit Bendera yang dapat melihat segenap inci Pulau Pinang.

Sekilas fikirannya tertumpu pada tunangnya Manisa. Entah di mana tunangnya itu berada. Beberapakali cuba dihubungi namun tiada jawapan. Hanya pesanan ringkas yang diterima dari Manisa menyatakan dia sedang menjamu selera dengan temannya.

Pelik dengan kelakuan Manisa yang sejak datang ke Pulau Pinang ini menjauhkan diri darinya. Lantas dia mengekori tunangnya itu tanpa disedari. Manisa bersama dengan seorang lelaki. Lelaki yang tidak dikenalinya. Dia tidak terkejut melihat keadaan itu. Gadis secantik Manisa memang mudah menarik minat lelaki. Namun yang pasti tidak terdetik perasaan marah dalam hatinya.

Manisa bukanlah seorang gadis yang jahat atau perempuan yang suka berpeleseran. Namun, ketidakserasian mereka yang menyebabkan antara dia dan Manisa tak dapat berkomunikasi dengan baik. Cara dan pemikiran Manisa terlalu menyimpang jauh dengan cara dan pemikirannya.

Melihatkan Manisa dengan lelaki sebentar tadi membuatkan Wes menyimpan perasaan baru. Dia memohon agar hubungan Manisa dengan lelaki itu ada keserasian dan akan berjalan dengan baik. Sebenarnya, dia tidak membenci pada Manisa namun dia kasihan pada tunangnya kerana tidak pernah bahagia sejak mereka ditunangkan.

Wes mengetap bibirnya. Berfikir sejenak. Dia perlu tahu siapakah lelaki itu. Bukan untuk mencari gaduh. Hanya untuk memastikan Manisa berkawan dengan orang yang betul. Dia tak mahu Manisa terpedaya dengan janji manis seorang lelaki yang hanya ingin mengambil kesempatan ke atasnya. Jika sesuatu yang buruk berlaku pada Manisa, dia tidak dapat memaafkan dirinya kerana membiarkan Manisa jadi begitu.

Kemudian fikirannya merawang jauh pada pertemuan dengan Fauzan petang tadi. Fauzan membawanya ke HappyWebCafe. Tertarik dengan seni hiasan dan perkhidmatan yang diberikan membuatkan Wes teringin berjumpa dengan pemiliknya. Namun, sebelum mereka ke sana, Fauzan telah pun memberitahu pemiliknya terpaksa ke Johor kerana hal kecemasan.

Wes memandang ke langit merenung bulan dan bintang yang bertaburan. Tiba-tiba bayang Farahymma muncul di muka bulan yang bersinar. Wajah itu tersenyum padanya. Wes mengukir senyuman membalas senyuman bayangannya. Kemudian wajah itu hilang. Hanya yang dilihat adalah bulan yang bersinar. Dia mengeluh sebentar. Terasa kerinduan yang amat mendalam terbit lagi.

“Awak tahu tak, Farah. Kata orang-orang tua, kalau lelaki pikat perempuan ketika bulan dan bintang ada di waktu malam, pancing yang dilontar, mesti mengena,” beritahu Wes. “Macam kita sekarang.”

“Ada-ada saja.” Farahymma mencubit pinggangnya.

Wes tersenyum mengenang kisah lalu. Alangkah indahnya waktu itu. Andai masa dapat diputarkan kembali, dia akan pastikan Farahymma takkan pergi jauh darinya.

Saat Hati Merelakan 10


MALAM itu Manisa bersiar siar di sekitar Persiaran Gurney. Dia begitu kagum melihat pembangunan di kawasan elit itu. Selepas membeli belah di Gurney Plaza, Manisa mengambil angin memandang keindahan malam yang dihiasa dengan lampu-lampu yang bewarna warni. Seberang Perai nampak jelas dari sisir pantai Persiaran Gurney. Sesekali angin laut menerbangkan rambutnya yang panjang. Manisa memandang nun jauh ke seberang yang hanya dapat dilihat cahaya lampunya sahaja.


Sedang menikmati keindahan itu, dia ditegur seseorang. Dia mengamati lelaki yang bertubuh sasa di depannya.

“Awak ni siapa?” tanya Manisa. Lelaki itu duduk disebelahnya.

“Maaf, saya mengganggu awak. Saya Ariff.” Lelaki itu menghulurkan tangan. Manisa menyambut walaupun di hatinya penuh keraguan.

“Saya Manisa.” ujar Manisa. “Saya kenal awak ke?” Lelaki itu menggelengkan kepala menjawab pertanyaan Manisa.

“Maafkan saya Cik Manisa kalau menganggu.” Ariff berbahasa. “Sekarang ni dah hampir pukul 8.45 malam. Waktu Isyak pun dah nak masuk. Tak elok cik Manisa duduk sorang-sorang di sini.”

“Kenapa awak perlu masuk campur urusan saya?” Manisa menjeling lelaki di sebelahnya. Dia merasa tidak senang mendengar kata-kata lelaki itu yang seolah-olah menganggapnya perempuan sembarangan.

“Saya rasa Cik Manisa tentu bukan orang sini, kan?” Ariff mengagak. Manisa hanya mendiamkan diri dan berpaling ke tempat lain. “Saya sebenarnya bukan nak mengganggu atau mencampuri urusan Cik Manisa. Tapi untuk pengetahuan Cik Manisa, tempat ni tak elok untuk seorang gadis yang bersendirian begini. Saya harap Cik Manisa faham maksud saya. Untuk keselamatan Cik Manisa, ada baiknya Cik Manisa pulang ke rumah.” Ariff mula berdiri dan ingin melangkah pergi.

Namun langkahnya terhenti dan berpaling semula memandang Manisa.

“Cik Manisa, dengarlah nasihat saya.” Ariff terus melangkah pergi. Namun sebaik saja dia menjauhi tempat itu, dia berpaling semula ke belakang. Kelibat Manisa telah hilang. Mungkin gadis itu telah pergi. Dia menarik nafas lega.

Bukan niat di hati ntuk mencampuri urusan orang lain. Namun, sejak dari tadi dia memerhatikan Manisa yang berjalan seorang diri tanpa tujuan. Mungkin hanya sekadar berjalan-jalan. Menurut perkiraannya Manisa bukanlah orang tempatan, melainkan orang luar. Kerana prihatin, dia menghampiri Manisa dan menyuruhnya pulang kerana sekitar jam sepuluh malam, tempat itu biasanya akan dimonopoli muda mudi yang ketandusan akhlaknya.

Manisa melangkah dengan cepat lalu menahan sebuah teksi yang kebetulan lalu di hadapannya. Setelah menawar harga tambang, Manisa terpaksa jua menaiki teksi tersebut walaupun harga yang diletakkan terlalu mahal. Alasannya kerana pemandu itu dalam perjalanan pulang ke rumah dan tempat yang ditujui Manisa adalah bertentangan arahnya.

Sememangnya teksi di Pulau Pinang kebanyakannya tidak menggunakan meter. Harga diletakkan mengikut perkiraan pemandu tersebut. Yang lebih membosankan jika harga yang diletakkan gagal ditawar dengan lebih murah.

Walaupun Manisa tidak mengenali pemuda yang menegurnya tadi, namun kata-kata pemuda itu yang menasihatinya untuk pulang ke rumah meninggalkan kesan di hati. Entah kenapa dia merasa takut walaupun pemuda itu tidak memberitahu alasan yang kukuh untuk dia pulang. Kerana itu, sebaik saja pemuda itu pergi, dia terus melangkah untuk pulang ke rumah.

Saat Hati Merelakan 9


WES menyandarkan badannya dan mendongakkan kepala. Matanya dipejam sebentar. Terasa sengal-sengal badannya. Kepalanya dipicit-picit. Lantas dia melepaskan keluhan. Sehingga ke saat ini, entah berapa banyak keluhan yang telah dilepaskan.


Tiba-tiba, pintu biliknya diketuk. Rozie, setiausahanya melangkah ke dalam. Wes membetulkan badannya semula.

“Ada apa Rozie?”

“Maaf tuan. Tadi saya ada menerima panggilan dari setiausaha Encik Fauzan dari Zul Enterprise. Encik Fauzan ingin berbincang dengan tuan tentang projek terbaru mereka.” Wes berfikir sejenak. Dia menongkat dagunya.

“Siapa Encik Fauzan?” pertama kali Wes mendengar nama itu.

“Anak kepada pemilik Zul Enterprise, kontraktor yang terbesar di sini.” Wes diam seketika sebelum menbalas kata-kata. Wes mengerut keningnya.

“Tak pelah. Nanti awak tolong uruskan temujanji saya dengan dia.” Rozie mengangguk. “Ada apa-apa lagi?”

“Tadi Cik Manisa telefon. Tapi saya katakan tuan sedang mesyuarat seperti yang tuan arahkan. Dan......dia ada tinggalkan pesan,” ujar Rozie dengan hati-hati bimbang akan dimarahi. “Katanya, minggu depan dia akan ke sini.”

Argh!! Wes mengetap bibir. Dia mendengus geram. Manisa sentiasa memberi masalah padanya. Kenapa perempuan itu tidak pernah membiarkan dia tenang?

“Okey. Ada apa-apa lagi?” soal Wes.

“Itu saja Encik Wes,” ujar Rozie.

“Awak boleh keluar kalau dah tak de apa-apa.” Rozie bangun untuk melangkah keluar. Namun kemudian dia berpaling semula pada Wes.

“Maaf Tuan. Cik Manisa ada tinggalkan pesanan lagi. Katanya, dia mahu tuan on kan semula handphone tuan supaya mudah baginya untuk menghubungi tuan nanti.” Wes hanya mengangguk tanpa memandang Rozie. Rozie mengangkat keningnya dan terus berlalu pergi. Begitulah sikap tuannya setiap kali Manisa menghubungi.

Sebaik saja Rozie keluar dari biliknya, Wes terus menghembuskan keluhan yang amat panjang. Dia menelangkup wajahnya dengan kedua-dua belah tapak tangannya dan kemudian merenung ke siling pejabatnya.



FAUZAN menghirup sirap limau yang dipesannya. Mee goreng yang masih panas disuapkan ke mulut. Kesedapan hidangan yang dirasai membuatkan Fauzan tidak bersuara dan asyik menjamu selera di Restoran Selera Timur. Salah sebuah restoran milik A2-M Sdn. Bhd.

Qismyna yang berada di depannya hanya memerhati. Sesekali dia akan tersenyum melihat telatah Fauzan yang akan meniup-niup mee goreng yang masih panas itu. Begitulah Fauzan. Walaupun dia anak seorang kontraktor yang amat dikenali, namun dia tidak pernah kisah untuk menonjolkan siapa dirinya yang sebenar. Tidak seperti orang lain yang sentiasa menjaga adab di depan orang lain tetapi sikap sebenar adalah sebaliknya.

“Fauzan...” panggil Qismyna. Fauzan mengalihkan pandangannya sambil mengunyah hidangannya. “Ada apa-apa perkembangan?” Fauzan mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Ada,” jawabnya ringkas lalu meneguk sirapnya. “Aku dah jumpa lokasi yang sesuai.”

“Di mana?” tanya Qismyna dengan penuh minat.

“Seperti yang kau tahu, Penang ni bukanlah besar sangat, kan. Di kawasan barat daya sebahagian besarnya adalah kawasan perindustrian. Di kawasan Bayan Lepas adalah zon perindustrian dari fasa satu hingga ke fasa empat. Batu Maung dan Relau pulak kebanyakkannya adalah pejabat dan juga kawasan perumahan.

“Dan di kawasan timur laut pulak, memang banyak kolej-kolej yang didirikan dan juga merupakan kewasan pelancongan yang cukup terkenal. Ada juga pusat pendidikan misalnya kolej-kolej swasta yang berkerjasama dengan pihat MLVK seperti di Gelugor yang terletak bersebelahan dengan Kelab Gelugor, Batu Uban dan Sungai Dua.”

“Misalnya di Jelutong, Kolej Olympia.....kolej yang berasaskan bidang perniagaan. Lepas tu kita ada banyak kolej yang berdekatan dengan pusat bandar Komtar iaitu IPG, Kolej Rima, Sistematic. Kebanyakkan kolej-kolej ni menawarkan kursus-kursus MLVK tapi tak semua.” Fauzan meneguk sirapnya lagi. Terasa kering tekaknya apabila banyak bercakap.

“Perpustakaan negeri pula terletak di Dewan Sri Pinang bedekatan dengan Padang Kota Lama. Di sana pun terdapat beberapa buah kolej contohnya di Green Hall dan kawasan yang sama juga terdapat banyak peninggalan sejarah. Contohnya Port Convalis dan juga Galeri Lukisan atau Art Galery yang banyak memaparkan struktur Geografi Pulau Pinang sewaktu di bawah naungan Portugis.”

“Kawasan timur laut memang sesuai tapi sayangnya Perpustakaan Negeri juga terletak di sana.” Fauzan mengangkat keningnya. Qismyna memuncungkan bibir lalu bersuara.

“Ya.....kawasan tu memang sesuai disebabkan faktor pembangunan dan juga merupakan kawasan pendidikan. Tapi......aku rasa di daerah Gelugor juga mempunyai keistimewaan sendiri. Daerah Gelugor merangkumi kawasan Kampungku, Sungai Dua , Batu Uban, Minden Height, Taman Tun Sardon, Taman Brown, Bukit Gambir dan Kampung Kastam. Boleh dikatakan setiap kawasan di sana terdapat sekurang-kurangnya sebuah sekolah sama ada primary atau secondary.”

“Lagi pun kita tak boleh terlalu menumpukan pada pelajar di pusat pengajian tinggi. Kita juga perlu fokus pada pelajar sekolah. Dan yang paling penting Gelugor boleh di letakkan sebagai laluan utama memandangkan ia berdekatan dengan Jambatan Pulau Pinang. Ini memudahkan bagi mereka yang tinggal di Seberang Perai. Yang paling penting, kawasan ni terletak di antara pusat bandar dan juga bandar satelit Bayan Baru.” Fauzan menganggukkan kepalanya mendengar kata-kata Qismyna.

“Dan di situlah tempat yang aku cadangkan,” balas Fauzan. “Lagi pun USM juga berdekatan bukan?” Qismyna tersenyum begitu juga dengan Fauzan.

“Patutlah kau telalu tekankan di daerah Gelugor.” Qismyna menggelengkan kepalanya. “Cakap terus terangkan senang.”

“Saja aku nak lihat sama ada cadangan aku ni mengena dengan cadangan kau. Aku rasa Sungai Dua adalah kawasan yang paling tepat dan strategik,” balas Fauzan. “Petang nanti aku akan ke Majlis Perbandaran Pulau Pinang untuk mengetahui sama ada rumah kedai yang di sediakan adalah milik kerajaan. Kemudian aku akan uruskan penyewaan dan kontrak.”

“Minggu depan pulak aku ada urusan dengan Visma Corporation. Syarikat yang mahir dalam bidang pendidikan. Aku ke sana untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang buku-buku yang sesuai untuk dijadikan bahan rujukan dari peringkat sekolah hinggalah ke pusat pengajian tinggi. Kebetulan mereka juga membekalkan peralatan komputer pada kolej-kolej dan juga sekolah swasta. Dan mereka juga boleh membekalkan buku-buku pada kita. Aku rasa ada baiknya jika kita dapatkan kerjasama mereka.”

“Bagus juga tu. Kita boleh menjimatkan masa,” ujar Qismyna. “Aku pulak sibuk dengan pengambilan pekerja serta mencari pekerja yang mahir dalam menyediakan roti yang enak dan lazat. Petang ni aku ada temu janji dengan Syarikat Meldras Enterprise. Aku nak minta bantuan mereka dalam membekalkan alatan tulis pada kita,” beritahu Qismyna.

“Fauzan, aku nak ucapkan berbanyak-banyak terima kasih pada kau sebab kau sudi tolong aku.”

“Tak payahlah nak berterima kasih dengan aku. Apa yang aku buat ni berbayar tau,” usik Fauzan. Qismyna menjegilkan matanya.

“Tak ikhlas!”

“Tak delah. Aku gurau je.” Fauzan tersenyum. Qismyna mengerling padanya.

“Aku dengar uncle Zul nak serahkan Zul Enterprise pada kau hujung tahun ni,” ujar Qismyna. Fauzan menganggukkan kepalanya.

“Tapi aku masih belum bersedia nak pikul tanggungjawab. Tambahan pulak pengalaman yang aku ada tak mencukupi. Aku perlukan lebih banyak masa untuk mencari lebih banyak pengalaman.”

“Tentu saja Uncle Zul akan tolong kau. Takkanlah dia terus nak biarkan kau pulak. Tambahan Uncle Zul bersusuh payah bina syarikat tu dulu. Dari kontraktor kelas F sampailah sekarang syarikat tu dah membesar. Semuanya dilakukan dengan usaha.”

Fauzan mengangkat keningnya.

“Aku tahu ayah aku memang banyak berkorban demi memajukan Zul Enterprise. Kau tahu, membina kejayaan lebih mudah dari mengekalkannya. Itulah yang aku takutkan.”

“Kau takut kalau kau tak mampu nak kekalkan kejayaan yang Uncle Zul bina?” tanya Qismyna. Fauzan mengangguk.

“Insyaallah...kau mampu kekalkan kejayaan Uncle Zul.” Qismyna tersenyum. Fauzan membalas. “Bila kau masuk kerja?”

“Semalam aku dah mula berkerja,” beritahunya.

“Cepat.” Qismyna merasa hairan. “Kata nak cuti lebih lama.”

Sememangnya Fauzan ingin berehat lebih lama sejak dia pulang dari Australia. Namun demi membantu Qismyna dalam membina impian dia sanggup memulakan tugasannya lebih awal. Ini kerana membantu Qismyna melalui syarikatnya lebih mudah dari melakukan sendiri.

“Saja,” jawabnya ringkas.



WES memandu perlahan. Manisa di sebelah tidak dilayan. Manisa juga berdiam diri. Sambil berpeluk tubuh dia memandang ke luar. Sakit hatinya masih terasa. Hampir satu jam setengah dia menunggu kelibat Wes di lapangan terbang.

Sebaik saja sampai Wes langsung tidak memohon maaf dan terus bertengkar dengannya. Wes memang begitu. Sejak dulu Wes tidak pernah cuba untuk memenangi hatinya. Hanya tahu menyakitkan hati.

Wes memandu keretanya masuk ke kawasan Hotel Grand Continental. Dia kemudian menemani Manisa hingga ke bilik penginapan. Setelah itu dia terus memandu pulang ke rumahnya.

Fikiran Wes masih lagi terganggu. Perasaan marahnya pada Manisa masih belum reda.

Hari itu dia menghadiri mesyuarat tergempar yang diadakan ekoran daripada ketidakstabilan akaun bulanan Visma Corporation. Dia cuba menghubungi Manisa untuk memintanya ke hotel sendirian namun Manisa mendesak agar Wes mengambilnya dan dia akan menunggu sehingga Wes sampai.

Apabila dia terlewat, Manisa terus memarahinya dengan kata-kata yang menyakitkan hati. Sudahlah dia penat kerana terpaksa bekerja lebih masa dibakar pulak dengan api kemarahan Manisa.

Wes mengeluh panjang. Dia dan Manisa bukanlah pasangan yang sesuai. Antara mereka memang tidak ada persamaan dan keserasian. Perkahwinan dia dan Manisa nanti hanya akan menjadi racun dalam rumahtangga mereka.

Wes memberi isyarat ke kiri dan kemudian menghentikan keretanya. Dia cuba menenangkan perasaannya sebentar. Penglihatannya tiba-tiba terpaku pada sebuah banglo yang mempunyai gabungan senibina moden dan tradisional. Fikirannya mula mengimbas kisah lalu.

“Saya lebih suka tinggal dikampung berbanding bandar,” ujar Farahymma sambil tersenyum menatap wajahnya.

“Kenapa?”

“Di sana tak ada pencemaran. Udara bersih. Penuh dengan tumbuh-tumbuhan.”

“Kalau macam tu, awak ikutlah saya balik Sabah,” ajak Wes. Farahymma hanya tersenyum tanpa mengia atau menidakkan.

“Awak pulak macam mana? Awak suka tinggal kat mana?” Farahymma pula menyoalnya.

“Saya?” Wes bertanya. Farahymma mengangguk. “Saya tak kisah di mana-mana. Kampung boleh, bandar pun boleh. Tapi....saya amat tertarik dengan rumah kayu.”

“Rumah kayu?!” Farahymma kelihatan tertarik dengan kenyataannya.

“Ya. Tapi lebih cantik jika tidak diwarnakan kerana ira kayunya yang membuatkannya kelihatan menarik dan klasik.”

“Bagi saya pulak, lebih cantik kalau tradisional digabungkan dengan moden. Maksud saya dibeberapa kawasan kita bina menggunakan batu-batu yang menarik dan di setengah kawasan kita gunakan kayu yang diukir dengan pelbagai corak,” ujar Farahymma. “Kemudian, halamannya pula kita hiasi dengan bunga-bungaan seperti di taman.”

“Baiklah.....kalau macam tu, rumah kita nanti kita bina macam mana yang awak nak,” ujar Wes. Farahymma hanya tersenyum.

Wes mengukir senyuman apabila teringatkan kenangannya bersama Farahymma. Sesungguhnya gadis itu memang sentiasa membuat hari-harinya terasa bahagia. Namun kini kehilangan Farahymma benar-benar membuat jiwanya tertekan. Jauh di sudut hatinya masih mengharapkan agar dia dapat berjumpa dengan gadis itu. Dia sentiasa berdoa agar Farahymma akan menerimanya semula.

Setelah agak lama, Wes meneruskan semula pemanduannya. Petang ini dia ada temujanji dengan Encik Fauzan dari Zul Enterprise. Dia membelok keretanya menuju semula ke pejabat.

Sebaik saja tiba di pejabat dia diberitahu Encik Fauzan telah pun tiba dan sedang menunggunya di bilik tetamu. Wes bergegas ke sana bimbang kelewatannya akan menggangu urus niaga yang akan dibincangkan.

Wednesday 16 December 2009

Takkan Pernah Hilang 7


TANPA pamitan dan tanpa suara, Maisara keluar dari perut BMW 7 series milik Fariz. Laju langkahnya menuju ke lif dan menekan punat naik di situ. Setelah beberapa minit menunggu, sebuah lif terbuka. Maisara dan beberapa pekerja yang turut menunggu, masuk ke dalam lif. Maisara menekan nombor dua belas.
            Tiba sahaja di tingat dua belas, Maisara berjalan menuju ke pejabat dan menghampiri mejanya. Kelihatan beberapa kakitangan di situ sedang berbual sementara menunggu waktu kerja bermula.
            “Selamat pagi Sara!” tiba-tiba sahaja terjegul kelibat Hanum di mejanya. Wajah masam Maisara dipandangnya. “Hai....moody nampak. Datang bulan ke?” guraunya.
            Belum sempat Maisara menjawap teguran Hanum dia diserkap jarang pulak oleh wanita itu yang memang terkenal dengan sikap ‘cakap lepasnya’. “Pandai jelah kau ni!” jeling Maisara.
            Walaupun Hanum memang seorang yang adakalanya kata-katanya pedas, namun dia senang bersahabat dengan Hanum. Sekurang-kurangnya, Hanum tidak seperti mereka yang lain. Di depan semuanya kata-katanya indah, namun dibelakang hanya perkara-perkara buruk yang sering menjadi tajuk utama.
            “Apa citer? Nampak macam tak happy je?” Hanum sudah melabuhkan punggungnya di depan Maisara.
            Maisara masih lagi membisu. Masih belum mahu menceritakan apa yang menyebabkan harinya menjadi suram.
            “Cantik kau hari ni! Baju baru?” Mata Hanum memerhatikan sutera ungu yang kelihatan cantik dan sesuai di tubuh Maisara.           
            Pantas Maisara mencebikkan wajah mendengar pujian Hanum pada penampilannya yang berbaju kurung sutera ungu. Baju itulah puncanya kenapa wajahnya muram. Bukan dia tidak sudi memakai pakaian Suhana, namun hatinya akan terhiris apabila melihat apa sahaja kepunyaan Suhana apatah lagi menggunakannya. Dia tahu, berdosa untuk merasa begitu apatah lagi kepada arwah kakaknya sendiri. Namun apa yang boleh dilakukan, itulah perasaan yang dirasakan.
            “Hai.....takkanlah baju tu yang jadi punca kau tarik muka masam sampai macam ni!” Hanum menyerkap jarang lagi.
            “Ni bukan baju aku! Ni baju arwah!” balas Maisara kemudiannya.
            “Jadi?”
            “Tak...cuma...” Maisara tergamam sebentar. Perlukah dia menceritakan semuanya hanya kerana sepasang kurung itu? Tidak! “Rasa tak selesalah. Macam tak kena dengan badan aku,” ujar Maisara.
            “Betul ke sebab baju?” Hanum mengangkat kening sebelah. Macam ada yang tak kena saja dengan Maisara. “Aku tengok baju tu sesuai dan terletak elok je kat badan kau.” Kalau dilihat, baju itu memang seakan diukur di badan Maisara sendiri.
            “Itu kata kau. Tapi aku yang pakai, aku tahulah selesa ke tak!” Maisara sudah mula meninggikan suara.
            Berkerut dahi Hanum mengenangkan sikap Maisara yang kelihatan tak seperti biasa. “Yelah! Yelah! Suka hati kaulah!” Hanum sudah berdiri untuk ke tempatnya. Malas pula nak ganggu Maisara yang tengah moody ni. Namun, tiba-tiba batang tubuhnya hanya kaku di situ. Matanya pula terancap pada suatu kelibat yang memukau pandangannya.
            Maisara memandang Hanum yang tiba-tiba membatu. Kelihatan seperti gadis itu sedang memandang ke saru arah dengan mulut yang sedikit ternganga. Maisara berpaling ke arah yang diperhatikan Hanum. Kini giliran Maisara pula yang ternganga.
            “Fariz! Apa yang dia buat kat sini?!”
            “Fariz?! Kau kenal ke?” Walaupun suara Maisara perlahan, namun boleh ditangkap oleh pendengaran Hanum.
            “Sara!” tiba-tiba sahaja Mila, setiausaha Mr. Lim menghampiri mereka berdua. Terus sahaja pandangan mereka beralih pula kepada Mila. “Korong berdua borak apa kat sini? Karang Mr. Lim perasan baru korang tahu!”           
            “Eh Mila! Siapa lelaki yang berjalan dengan Mr. Lim tadi?” tanya Hanum dengan keinginan yang mendalam. Teguran Mila sikit pun tidak diendahkannya.
            “Manalah aku tahu. Kawan dia agaknya. Kenapa?”
            “Handsome gila wei!!” Hanum bersuara teruja.
            “Sudah! Sudah! Bersurai! Pergi buat kerja! Karang Mr. Lim tanya tak terjawap aku!” Mila menjeling sebelum berpaling dan berlalu pergi.
            Hanum mencebikkan wajahnya. “”Berlagak betullah perempuan ni!” Hanum menjeling. “Okeylah Sara! Aku pergi dulu,” Hanum berlalu meninggalkan Maisara.
            Maisara hanya melambai pada Hanum. Kemudian, dia kembali meneruskan tugas-tugasnya. Mengasingkan jenis-jenis surat untuk disimpan di dalam fail. Maklumat-maklumat sulit yang perlu dimasukkan ke dalam sistem, diasingkan di tempat lain. Surat-surat yang perlu di simpan di bawa ke kabinet yang terletak di balik dinding mejanya. Satu-persatu dia menyimpan dengan cermat mengikut susunan.
            Pernah suatu ketika dahulu sebelum dia benar-benar mengenali cara Mr. Lim bekerja, teruk dia dimarahi apabila surat yang formatnya hampir sama disimpan dalam satu fail. Apabila dia meneliti semula baru dia menyedari salinan surat-surat tersebut dihantar kepada syarikat yang berlainan.
            Setelah itu baru dia tahu, dia perlu menyimpan setiap surat-surat dan dokumen-dokumen mengikut nombor rujukan yang telah diberi kepada setiap syarikat yang berkerjasama dengan mereka.
            Setelah selesai menyudahkan tugasnya di situ, Maisara melangkah semula ke tempatnya. Kini, dia perlu mengemaskini dan memasukkan maklumat-maklumat yang baru di terima ke dalam komputer.
            Belum sempat dia berbuat begitu, telefon di mejanya berbunyi.
            “Sara! Mr. Lim panggil!” kedengaran suara Mila memberi arahan lalu talian dimatikan.
            Tiba-tiba sahaja dada Maisara berdegup kencang. Kenapa Mr. Lim memanggilnya? Biasanya, bosnya itu jarang memanggil pekerjanya kecuali jika ada perkara yang penting. Adakah dia telah melakukan kesilapan?
            Dengan debaran di dada dia melangkah menuju ke kamar kerja Mr. Lim. Sebalik sahaja dia melintas di hadapan Mila dia mengangkat kepala sebagai isyarat bertanyakan kenapa Mr. Lim memanggilnya. Mila hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu.
            Maisara mengetuk pintu dan setelah mendapat keizinan untuk masuk Maisara menguak daun pintu dan melangkah ke dalam. Terkaku dia di situ apabila melihat Fariz masih lagi berada di situ bersama Mr. Lim.
            “Masuk Maisara!” Mr. Lim bersuara apabila melihat Maisara masih terkaku di depan pintu. Daun pintu di tutup rapat lalu dia menghampiri dan berdiri di hadapan Mr. Lim.
            “Have a sit, please!” pelawa Mr. Lim lagi. Maisara hanya menurut.
            “Sorry if I’m disturbing you. Saya ada perkara yang perlu dibincangkan.”
            Maisara hanya tunduk membisu. Getaran di dadanya semakin terasa apabila menyedari mata Fariz sedari tadi memandangnya.
            Mangkuk betullah mamat ni! Korek biji mata baru tau!!
            “Would you mind if I transfer you to another section?” Mr. Lim terus sahaja ke titik persoalannya.
            Ternganga Maisara dengan soalan itu. Apakah dia telah melakukan kesalahan sehingga Mr. Lim mahu menukarkannya ke bahagian lain? “Why? Have I done anything wrong? Kalau ada pun, besar sangat ke kesalahan yang saya dah lakukan?” Tika ini Maisara sudah melupakan Fariz yang berada di sebelahnya. Hanya yang dia tahu, dia perlu mendapatkan penjelasan yang sewajarnya.
            “No! No! It’s not like that!” Kelihatan Mr. Lim cuba menenangkan Maisara. Terkejut dia reaksi Maisara. “Actually, there are lacks of staff in financial section. If you don’t mind, I want you to help them.”
            Lega Maisara mendengarnya. “So, macam mana dengan kerja saya di sini?  Setahu saya department ni pun kekurangan staf. Kegusaran di hati Maisara mula berkurangan. Syukurlah dia tidak melakukan apa-apa kesalahan.
            “Don’t worry about that. I’ll find another way to solve it. Financial section lebih memerlukan staf sekarang ni.” Wajah Mr. Lim kelihatan mengharap agar Maisara bersetuju dengan permintaannya. “But I’m not forcing you. It’s all up to you. I will give you time until tomorrow morning to think about it. Saya berharap sangat Maisara bersetuju untuk ke sana. Api itu tidak bermakna saya tak suka dengan kerja kamu. Semuanya tentang kepentingan Nusmefa Emas.

            “KENAPA?” tanya Hanum sebaik sahaja melihat kelibat Maisara yang baru keluar dari bilik Mr. Lim.
            Maisara melirik Hanum sebentar lalu melabuhkan punggung di kerusinya. Dia memandang Hanum dengan wajah yang sayu.
            “Ada apa Mr. Lim panggil kau?” Ada nada simpati dari pertanyaan itu. Mungkinkah Maisara telah dimarahi oleh Mr. Lim?
            “Dia nak tukarkan aku ke financial section.” Lemah benar suara Maisara ketika menuturkan kata-kata itu.
“Oo.....” Hanum terangguk-angguk sambil mengurut dagunya yang licin. “Tapi okey kot! Bukannya tukar branch. Financial sectionkan sebelah office kita je. Jadi, apa masalahnya?”
“Masalahnya, aku dah biasa di sini. Dah biasa dengan orang-orang di sini. Dah biasa dengan kerja di sini.” Maisara menarik nafas panjang.
“Tak salah rasanya bertukar angin. Kenal dengan kawan-kawan baru, belajar perkara baru!” pujuk Hanum.
“Entahlah......” Maisara menghembuskan nafas panjang. “Nantilah aku fikirkan.”
Hanum mengerutkan keningnya. Kurang mengerti dengan kata-kata yang baru keluar dari bibir Maisara. “Maksud kau, Mr. Lim bukan memaksalah?”
Maisara hanya menganggukkan kepalanya bagi menjawap pertanyaan itu. “Dia beri aku masa sehingga esok pagi untuk membuat keputusan.”
“Hek’eleh......Aku ingatkan kes terpaksa!” Bahu Maisara ditampar. Terjerit sedikit Maisara dengan tindakan Hanum yang tiba-tiba. “Kalau aku jadi kau, dah lama aku terima tawaran tu. Apatah lagi bila mengenangkan dah hampir lima tahun aku asyik buat kerja yang saaaama je!”
“Itu kalau engkau. Aku masih fresh di sini! Masih banyak lagi yang perlu aku belajar!” ujar Maisara.
Ya! Memang benar kata Maisara. Bukankah gadis itu masih baru di situ? Tapi kenapa Mr. Lim memilih dia untuk ke bahagian lain? Tentu dia ada jawapannya tersendiri. “Entahlah Sara! Pening aku dibuatnya. Mungkin kau special kot! Sebab tu dia pilih kau.”
“Special?” Hampir ketawa Maisara mendengar kesimpulan Hanum.
“Eh....tapi aku ada dengar. Financial section akan dapat bos baru,” beritahu Hanum dengan rasa teruja. “Agak-agak kau siapalah yang akan gantikan tempat Encik Zack tu?”
“Manalah aku tahu. Kalau nak tahu tanyalah bahagian HR!” Maisara sudah mencebikkan bibirnya.
Hanum tertawa kecil melihat tingkah Maisara. tentulah gadis itu takkan tahu. Apatah lagi, Maisara masih baru di situ.

Saat Hati Merelakan 8


QISMYNA melangkah laju manuju ke parkir kereta. ‘Kenapa?’ bicaranya dalam hati. Langkahnya diteruskan tanpa memperdulikan suara yang memanggilnya beberapa kali. Kenapa dia perlu bersua dengan Adam lagi? Dia tahu Adam masih mengekori jejaknya. Qismyna mengetap bibir. Bilalah lelaki ini akan berhenti mengekori langkahnya?


Dia tidak mahu bersua dengan Adam lagi! Dia tidak mahu berjumpa dengan lelaki itu. Bukan kerana dia menyimpan dendam tetapi dia masih belum bersedia mengatasi masa silam. Dia tidak mahu dibayangi masa silam.

‘Come on, Qis. You have to face it! Sampai bila kau nak lari dari kenyataan. Hadapinya! Atasinya Qis!.’ Seolah-olah kedengaran kata-kata semangat dari dalam dirinya.

‘Ya....aku perlu akhiri kenangan silam ini agar tidak terus menggangu ketenangan hidupku. Aku perlu atasinya!’ ujar Qismyna sendirian seperti membalas kata-kata tadi. Lantas Qismyna menghentikan langkahnya dan berpaling ke belakang. Adam turut menghentikan langkahnya.

“Stop following me, okey?!”

“Look, we have to talk.”Adam bersuara.

“About what? There’s nothing to talk about.” Qismyna berpusing untuk melangkah pergi namun sempat ditahan Adam.

“Apa sebenarnya yang kau mahukan dari aku?” Qismyna memeluk tubuhnya seraya memandang pada Adam. Dalam masa yang sama dia mencari kekuatan agar tidak termakan dengan pujuk rayu lelaki yang sanggup meninggalkannya semata-mata untuk mengahwini wanita lain.

“Qis, aku datang ke sini semata-mata untuk mencari kau,” ujarnya. “Aku nak tebus segala kesalahan aku pada kau. Aku nak pulangkan semula kebahagiaan pada kau.” Adam cuba untuk memegang bahu Qismyna namun Qismyna terus menepis dan mengundur selangkah ke belakang.

“Jangan sentuh aku,” ujarnya perlahan tapi tegas. “Adam, antara kita dah tak de apa-apa. Segalanya dah berakhir. Sepatutnya kita lupakan segala yang pernah kita lalui,” ujar Qismyna.

“Kau mampu untuk lupakan segala-galanya?” tanya Adam sambil merenung tajam gadis itu. Qismyna mengalihkan pandangannya dan membelakangi Adam.

“Lima tahun dah berlalu Adam! Kau sendiri tahu. Aku tak pernah berdendam dengan kau kerana meninggalkan aku. Malah aku dah maafkan segala kesilapan kau sewaktu kali terakhir kita bertemu dulu, walaupun kau banyak sakitkan hati aku di saat-saat hubungan kita hampir terputus,” ujar Qismyna.

Dia masih ingat lagi. Di saat akhir hubungan mereka Adam selalu mengelak darinya. Setiap kali dia menghubungi Adam, lelaki itu sering mematikan telefon. Adam sentiasa melarikan diri apabila bersua dengannya. Dia sendiri buntu memikirkan sikap Adam. Dia cuba mencari kesilapannya, tapi hampa.

Hampir sebulan lamanya Adam begitu sehinggalah dia mendengar berita bahawa Adam akan pulang ke Sabah untuk melangsungkan perkahwinan. Dalam diam-diam dia ke pejabat Adam. Dia meluru masuk ke pejabat lelaki itu walaupun setiausaha Adam melarangnya. Dan pada hari itulah Adam memutuskan hubungan mereka.

“Aku izinkan kau membuat keputusan kau. Aku tak memaksa walaupun aku akan kecewa. Dan sekarang, aku mohon pada kau. Aku tak mahu kau hadir dalam hidup aku. Lagi pun...........” Qismyna menarik nafas panjang untuk sebelum menyambung kata-katanya. “.... tak baik merosakkan rumahtangga orang.” Qismyna terus berlalu masuk ke dalam perut kereta tanpa memperdulikan Adam.

“Qis....kau perlu dengar penjelasan aku.” Adam mengetuk-ngetuk tingkap kereta Qismyna minta dibukakan. Namun Qismyna tidak mengendahkan dan terus memecut laju Gen-2 miliknya.

Adam berhenti dari mengekori kereta Qismyna. Dia hanya mampu mengekori pergerakan Gen-2 merah itu dengan ekor matanya. Sebaik saja hilang dari pandangan, Adam melepaskan keluhan yang mengandungi seribu kekesalan.



QISMYNA membelek-belek fail ditangannya sebelum diserahkan kepada abangnya Ariff. Kemudian salinannya diberikan pada kakaknya Almi. Almi dan Ariff membaca isi kandungannya dengan teliti dan penuh perhatian. Mereka berdua menyemak semula rancangan perangkaan yang disusun oleh Qismnya.

“Bagus idea ni,” pandangan Almi masih tertumpah pada kertas kerja yang dilampirkan. “Tapi memerlukan kos yang tinggi tambahan lagi dalam soal tapak. Sewa tapak atau kedai di Penang ni memerlukan modal yang tinggi.”

“Sebab tu Qis perlukan pertolongan abang dengan kakak,” ujar Qismyna jujur mengenai kedatangannya ke sana.

“Maksud Qis, Qis nak syarikat ni melabur dalam perniagaan Qis?” Ariff memegang dagunya. Qismyna menggeleng.

Business ni kecil je, bang. Bukan itu yang Qis mahukan. Qis cuma minta abang dan kakak bantu dalam soal modal. Maksud Qis pinjaman dari bank. Qis perlukan orang yang berpengaruh untuk pihak bank luluskan pinjaman Qis.”

“Jadi, Qis tak ada keinginan nak kembangkan perniagaan Qis? Akak rasa projek ni boleh mendatangkan keuntungan.”

“Qis perlu lakukan percubaan dulu. Kalau business ni betul-betul boleh mendatangkan keuntungan, Qis takkan ragu-ragu untuk membuka cawangan di tempat lain.”

“Abang rasa tak salah kalau syarikat ni melaburkan projek ni. Lagipun syarikat ni ada beberapa perkara yang berkaitan dengan projek yang Qis cadangkan tu. Sekurang-kurangnya ini boleh mendatangkan keuntungan pada syarikat kita.”

Correction, bukan syarikat kita,” ujar Qismyna. “Qis tak ada kaitan dengan syarikat ni.” Almi dan Ariff saling berpandangan kemudian beralih semula pada Qismyna.

“Akak tak fahamlah kenapa Qis tak mahu bekerja dengan syarikat keluarga kita. Kenapa Qis bersusah payah nak mulakan dari bawah sedangkan syarikat kita dah kukuh. Terkenal di sekitar utara. Berpuluh-puluh restoran berada dalam tanggungan kita,” Almi menghela nafas seketika.

“Betul tu Qis.” Ariff menyokong. “Macam ni, kalau Qis setuju bekerja di syarikat ni, abang akan serahkan projek yang Qis cadangkan sepenuhnya di bawah tanggungan Qis.”

“Tapi abang, kak, bukan itu yang Qis mahukan. Qis nak berdikari. Qis nak cuba sendiri.” Qismyna bersuara tegas. Sekali lagi Ariff dan Almi berpandangan. Mereka tahu sejak dari dulu Qismyna memang suka berusaha daripada meminta bantuan orang lain. Qismyna juga tak suka didesak melakukan perkara yang tidak ingin dilakukan. Mungkin kerana itu ayah mereka, Tuan Malik tidak pernah memaksa Qismyna untuk bekerja dengannya.

“Okeylah....kalau itu yang Qis mahukan. Terserah!” balas Ariff. Qismyna tersenyum melihat abang dan kakaknya. “Jadi sekarang macam mana dengan lokasi. Qis dah tentukan?” Qismyna menggelengkan kepalanya.

“Sebelum Qis memohon pinjaman dari bank, Qis perlu tahu lokasi mana yang sesuai. Perancangan perlu dilakukan dengan teliti. Kalau pihak bank dah luluskan pinjaman untuk Qis memulakan perniagaan tapi Qis masih lagi mencari lokasi yang sesuai, masa akan terbuang begitu saja dan boleh menyebabkan risiko dengan pihak bank.” Qismyna mengerutkan dahinya.

Ada benarnya kata-kata Ariff. Dengan pertolongan Ariff, permohonannya akan menjadi mudah tapi seandainya lokasi masih belum difikirkan kemungkinan pinjaman yang diluluskan akan menjadi beban seandainya lokasi yang sesuai langsung tidak ditemui. Bagaimana dia boleh lupa itu semua? Kalau perkara itu terjadi sedikit sebanyak syarikat ayahnya juga akan dikaitkan.

“Macam nilah. Soal lokasi abang cadangkan Qis berbincang dengan Fauzan. Memandangkan dia masih lagi bercuti, mungkin dia boleh membantu Qis. Abang sibuk. Banyak lagi urusan yang perlu abang selesaikan. Bila dah jumpa lokasi yang sesuai, pinjaman Qis tu abang akan uruskan.”

Sedang mereka berbincang terdengar ketukan di pintu. Setelah Ariff memberi keizinan untuk masuk, kelibat Fauzan muncul.

“What’s up? Jarang aku tengok tiga beradik berkumpul sekali. Ada apa-apa yang penting ke?” tanya Fauzan yang agak terkejut melihat mereka bertiga. Memang benar kata Fauzan, mereka bertiga memang jarang berjumpa. Apatah lagi Almi yang kini menetap bersama suaminya, Zainal. Ariff pulak sentiasa sibuk dengan urusan di pejabat.

“Hmmm.....kami tengah berbincang tentang projek baru,” beritahu Almi.

Sorry....aku mengganggu ke?” tanya Fauzan yang bimbang kehadirannya tidak tepat pada masanya.

“Tak....actually kau datang tepat pada masanya,” Ariff tersenyum. “Qis,” Ariff memanggil. Qismyna yang faham maksud Ariff segera bangun dan memberi Fauzan duduk di tempatnya.

“Thank you,” ucap Fauzan sambil melabuhkan punggungnya di sisi Almi dan berhadapan dengan Ariff.

“Kau baca.” Ariff menyerahkan proposal itu kepada Fauzan. Fauzan mencapai dan menyelak halamannya satu persatu.

“Wow!” Fauzan amat tertarik dengan projek yang diusulkan. “Sebuah cyber cafe yang mempunyai perpustakaan yang dilengkapi dengan bahan rujukan, kedai buku dan stationary shop serta sebuah bakery. Selain pelanggan boleh membeli buku serta mencari bahan rujukan, internet juga boleh digunakan sebagai maklumat tambahan. Stationary shop yang disediakan akan memudahkan pelanggan mencari peralatan tulis tanpa bersusah payah ke kedai lain. Dan, sebuah bakery untuk pelanggan menikmati hidangan yang disediakan.” Fauzan menutup fail tersebut dan memandang Ariff.

“Menarik! Projek ni tentu akan berjaya kalau kita dapat bekerjasama dengan syarikat yang memonopoli dalam bidang pendidikan dan juga pemilihan lokasi yang berdekatan dengan pusat pendidikan. Misalnya, universiti atau kolej-kolej swasta.”

“Sebab itulah aku katakan kedatangan kau tepat pada masanya,” ujar Ariff. “Aku perlukan bantuan kau untuk mencari lokasi yang sesuai bagi menjalankan projek ni.”

“Kenapa? Dah tak cukup kakitangan ke? Be the way, sejak bila syarikat kau melibatkan diri dalam bidang ni? Setahu aku syarikat ni terlalu teguh dalam pengendalian restoran di bahagian utara.”

“Projek ni asalnya bukan dari syarikat ni. Tapi, orang luar,” balas Almi. Fauzan mengerutkan dahinya tidak memahami percakapan Almi.

“Dahlah.....tak payah nak pening-pening,” ujar Qismyna yang dari tadi hanya mendiamkan diri. “Proposal ni, aku yang punya.”

“Oh.....baru aku faham.” Fauzan tersenyum. “Seseorang yang bakal bergelar usahawan.” Fauzan tidak menyangka Qismyna mempunyai cita-cita yang tinggi dan mempunyai idea yang bernas begitu. “Kalau macam tu, aku akan bantu kau.” Qismyna mengukirkan senyuman untuk Fauzan.

“Macam tulah sepupu yang baik. Selalu menolong sepupunya yang memerlukan bantuan,” usik Qismyna. Ariff dan Almi hanya menggelengkan kepala. “Aku juga perlukan pertolongan kau terutamanya sekali berkenaan bahan rujukan serta peralatan komputer. Soal bakery dan stationary shop tu, aku boleh uruskan sendiri.”

“Tak de masalah. Kebetulan aku tahu sebuah syarikat yang boleh membantu dari segi pembekalan bahan-bahan rujukan yang memenuhi syarat dan juga pembekal alatan komputer.”

Thank tou, Fauzan. Kaulah sepupu aku dunia dan akhirat.” Qismyna menepuk-nepuk bahu Fauzan.

“Memang dah kenyataan....” ujar Fauzan sambil tersenyum memandang Ariff. Ariff hanya mengangkat bahu dan menggeleng kepala.

Wednesday 2 December 2009

Takkan Pernah Hilang 6








KAKINYA melangkah menuruni anak-anak tangga sambil tangannya menggeletek Aiman. Kedengaran Aiman mengekek kegelian. Maisara menghampiri Rosnah dan Ismail di ruang tamu.

Rosnah yang melihat kelibat Maisara menghampiri mereka pantas mendapatkan gadis itu. “Macam mana dengan Aiman?” Dia meraba dahi bayi kecil itu.

“Alhamdulillah... suhunya dah turun.” Maisara tersenyum.

Kedengaran Rosnah menghembus nafas kelegaan. “Marilah, Sara. Biar mama jagakan Aiman. Sara pergilah makan. Makan malam dah sedia dari tadi.” Kasihan pula melihat Maisara yang masih belum menjamah apa-apa sejak datang tadi.

“Mak cik dengan pak cik tak makan sekali?” tanya Maisara mesra.

“Papa dan mama baru sudah makan. Sengaja tak ajak Sara sekali. Takut mengganggu pulak.” Giliran Ismail pula bersuara. “Pergilah makan. Buat macam rumah sendiri.”

Maisara mengetap bibir. Kalau sedari tadi Rosnah membahasakan dirinya mama, dia masih boleh berpura-pura tidak kisah. Tetapi sekarang Ismail pula membahasakan dirinya papa. Berdegup jantung Maisara. Nampak beria-ia benar kedua-dua mertua arwah kakaknya itu cuba memancingnya. Dia benar-benar tak selesa dengan keadaan ini.

“Kalau macam tu, Sara ke belakang dulu.” Maisara berjalan menuju ke meja makan. Cuba melarikan diri daripada mereka berdua.

Sebaik sahaja tiba, langkah kakinya terhenti. Nampaknya bukan dia sahaja yang akan berada di situ. Kelibat Fariz juga kelihatan di situ. Kalau dia menurut kehendak perutnya yang mula bernyanyi minta diisi, pasti selera makannya akan terganggu. Sangkanya Fariz seperti Ismail dan Rosnah sudah menikmati makan malam mereka sebentar tadi. Tak sangka dia akan ditemani oleh Fariz. Tiba-tiba sahaja dia sudah terasa kenyang. Dia memusingkan badannya untuk berlalu pergi.

“Eh, Non Sara!” Tarti yang baru muncul dari kamarnya untuk ke dapur menegur Maisara.

Maisara tergadah. Suara Tarti agak kuat. Risau pula jika Fariz terdengar dan perasan akan kehadirannya di situ. Pantas matanya beralih memandang Fariz yang sedang duduk di meja makan. Kekhuatirannya menjadi nyata apabila mata Fariz mula tertancap kepadanya. Tanpa menjawab teguran Tarti, Maisara melangkah.

“Sara!” Pantas Fariz bangun dari meja makan dan menghalang Maisara. Dia berdiri di hadapan gadis itu.

“Jomlah makan! Dari tadi saya tunggu awak.”

“Tak apalah, saya tak lapar.” Maisara memberi alasan. Dia melarikan diri daripada Fariz. Namun langkahnya terhenti lagi apabila kelibat Ismail pula muncul dan berdiri di depannya.

“Kenapa, Sara?” Ismail bertanya. “Fariz?”

Mata Ismail beralih memandang Fariz. Baik Maisara mahupun Fariz kedua-duanya terdiam membisu.
“Ada yang tak kenakah, Sara?” Ismail memandang Maisara kembali.

Maisara menguntumkan senyuman untuk menyembunyikan ketegangan yang timbul. “Tak ada apa-apa, pak cik.”

Ismail menarik nafas panjang. Sekilas pandang, dia tahu ada sesuatu yang tak kena antara mereka berdua. Namun melihatkan keengganan Maisara yang seakan-akan cuba menyembunyikan sesuatu, dia hanya menganggukkan kepalanya dan menerima jawapan itu.

“Kalau macam tu, Sara pergilah makan,” suruh Ismail. “Fariz.” Dia memandang Fariz pula. “Temankan Sara. Jangan biarkan tetamu makan sendirian.”

Setelah berkata begitu, Ismail berlalu pergi.

Fariz tersenyum memandang kelibat papanya yang semakin hilang di balik dinding yang memisahkan ruang tamu dan ruang makan. Terasa seolah-olah keadaan memihak kepadanya.

“Mari, Sara,” pelawa Fariz.

Tanpa memandang wajah Fariz, dia berjalan ke meja makan dan tanpa dipelawa, dia mencedok nasi dan meletak di pinggan kosong yang berada di depannya. Kemudian dia mengambil seketul ayam sambal dan sedikit sayur goreng ke dalam pinggannya. Setelah membaca bismillah dan doa makan, dia terus menyuap nasi ke dalam mulutnya tanpa mempedulikan Fariz yang sedari tadi memerhatinya.

Melihatkan ketidaksudian Maisara untuk mencedok nasi dan mengisi lauk ke dalam pinggannya, akhirnya dengan berat hati Fariz melayan dirinya sendiri. Self service!

Fariz mula terkenangkan kenangan lalu, di mana setiap kali dia dan Maisara keluar bersama, gadis itu yang sentiasa memilih dan mencedokkan lauk untuknya. Dia mula terasa rindu dengan layanan seperti itu.

Maisara melirik Fariz yang seperti hilang dari dunia nyata. Terkilankah lelaki itu dengan sikapnya? Rasa bersalah mula tumbuh dalam hatinya. Namun pantas dia mematikan perasaan itu agar tidak lagi timbul di hatinya. Untuk apa dia perlu rasa bersalah dengan perbuatannya? Fariz berhak menerima layanan seperti itu. Kenapa aku perlu bersusah hati untuk lelaki tak guna ni? He deserved it. Aku bukan isteri atau sesiapa untuk dia. Lagipun, bukankah aku tetamu di rumah ni? Sepatutnya aku yang diberi layanan istimewa!


USAI menyudahkan makan malam, Maisara melangkah ke ruang tamu tanpa menunggu Fariz yang masih belum menyudahkan hidangannya. Biarlah... Kan ada Tarti yang akan menemaninya. Memang benar, sebelum Maisara berlalu dari ruang makan tadi, Tarti ada menjengah dan bertanya jika mereka masih memerlukan apa-apa.

“Pak cik, mak cik, ” tegur Maisara. Dia duduk di samping Rosnah lalu mengambil Aiman daripada Rosnah. Pipi gebu Aiman dicium.

“Dah makan? Macam mana dengan masakan?” tanya Rosnah.

“Alhamdulillah... Sedap. Mak cik masak?” balas Maisara sekadar berbual.

“Tak! Tarti yang masak. Tak sempatlah nak masak bila Aiman dah demam macam ni. Ini pun nasib baik Sara datang. Mama dah tenggelam punca bila Aiman asyik menangis aje.”

Maisara hanya tersenyum. “Pak cik, mak cik,” panggilnya. “Dah lama benar Sara di sini. Sara nak minta diri dululah. Lagipun, esok Sara kerja.”

“Sara dah nak balik?” Tercengang Rosnah mendengarnya. “Kan dah lewat malam. Tidur sini ajelah.” Kalau boleh, dia tak mahu Maisara pulang. Aiman masih memerlukan Maisara.

“Betul kata mama, tidur sini ajelah! Nanti papa telefon abah,” ujar Ismail pula. Ismail sudah mengeluarkan telefon bimbit dari kocek seluarnya.

Maisara sudah terkejut melihat Ismail menekan punat telefon bimbitnya. Lidahnya terasa kelu. Namun pantas akalnya mengejutkan Maisara agar mencari jalan untuk melepaskan diri.

“Tak payah, papa!” Tiba-tiba sahaja terpancul perkataan papa dari bibir Maisara. Dia sendiri tergamam dengan tutur katanya.

Rosnah dan Ismail berpandangan sambil tersenyum. Mereka merasa senang dengan panggilan tersebut. Nampaknya usaha mereka sudah mula menampakkan hasilnya. Biarpun sedikit, masih boleh dibanggakan.

“Sara tak boleh! Esok Sara kerja.” Tergagap-gagap Maisara berkata.

“Macam ni...” Rosnah menepuk paha Maisara. “Malam ni, Sara tidur dengan Aiman. Esok pagi, biar Fariz hantar Sara ke tempat kerja,” usulnya.

“Tapi Sara tak bawa baju.”

“Tak apa. Banyak baju dan barang-barang Kak Su ada di sini. Nanti mama suruh Fariz bawakan semua barang Kak Su ke bilik Aiman.” Tanpa berlengah lagi, laju kakinya diayun mencari Fariz sambil tersenyum gembira.

Maisara pula tergamam di situ.


**************************************

Tuesday 1 December 2009

Saat Hati Merelakan 7


MAKAN malam itu disediakan oleh Puan Suria dan Puan Marsila. Qismyna turut membantu menyediakan hidangan walau dia tidak mahir memasak. Pembantu rumah Puan Marsila turut membantu.


Pelbagai masakan disediakan. Ayam percik, sate dan beberapa hidangan sampingan hanya dibeli diluar. Mereka duduk di meja makan beramai-ramai sambil menjamu selera.

Fauzan merenung gadis di depannya sambil mengukirkan secebis senyuman apabila dirinya dipandang. Maya menjeling. Sakit hatinya masih belum sembuh. Fauzan tak sudah-sudah mengusiknya.

Sebaik saja makan malam, Tuan Malik dan Encik Zulkarnain menghilangkan diri di bilik bacaan. Puan Suria dan Puan Marsila sedang rancak berbual mengenai masakan. Qismyna yang berada di situ merasa bosan menyertai kedua-dua wanita itu. Matanya liar mencari kelibat Fauzan. Namun tak juga dilihatnya. Mungkin Fauzan menyertai Tuan Malik dan Encik Zulkarnain.

Lantas dia berlalu meninggalkan kedua-dua wanita itu dan menuju ke halaman rumah. Halaman yang luas dihiasi dengan pokok-pokok bunga. Di satu sudut halaman itu terdapat sebuah taman kecil yang disediakan buaian dan sebuah kolam kecil.

Qismyna memanjat tangga-tangga kecil di tepi taman itu sebelum memasuki kawasannya. Lantas dia melabuhkan punggungnya di atas buaian. Kakinya menghayun perlahan buaian itu.

Dia memandang jauh di atas langit. Kelihatan butiran bintang menghiasi segenap ruang. Sungguh cantik pemandangan itu di matanya. Lantas dia memejam matanya beberapa ketika untuk menikmati keindahan sentuhan angin malam dan kesayuan kepekatan malam yang sunyi.

Di hatinya mula terdetik tentang cinta. Cinta yang menjadi subjektif mengapa Hawa diciptakan untuk Adam yang kesunyian. Kerana cinta jugalah menyebabkan Zulaikha sanggup mengkhianati suami kerana cinta yang mendalam pada Yusoff. Kerana cintalah Khadijah sanggup berkorban apa saja untuk Muhammad s.a.w. Dan kerana cinta jugalah sehingga sekarang dia tidak dapat melupakan Adam. Adam……. Satu persatu kenangan kembali menerjah di kotak ingatannya.

Fauzan yang baru selesai menolong Mak Mah di dapur bergerak ke ruang tamu utama. Hanya kelihatan ibunya dan Puan Suria di situ. Dia tertanya-tanya ke mana perginya Qismyna. Mungkin gadis itu berada di luar mengambil angin ?

Kakinya dihayun ke luar. Matanya liar mencari kelibat Qismyna. Akhirnya matanya terpaku pada susuk tubuh orang yang dicari-cari. Dia tersenyum. Lantas dia menghampiri gadis itu. Semakin hampir dia dengan Qismyna semakin jelas penglihatannya pada gadis itu.

Dia memberhentikan langkahnya yang hanya beberapa langkah bezanya dengan Qismyna. Gadis itu sedang memejam matanya rapat seolah-olah sedang tidur. Tapi dia tahu Qimyna masih berjaga. Sungguh cantik Qismyna pada pandangan matanya. Dalam cahaya bulan yang samar-samar dia menatap gadis itu. Bibirnya merah delima. Alis matanya lentik. Hidung yang sedikit mancung. Keaslian yang semulajadi tanpa secalit alatan solek.

Tiba-tiba Qismyna membuka matanya dan memandang terus pada Fauzan. Fauzan kaget sebentar lalu mengukirkan sebuah senyuman. Qismyna membalas senyumannya.

“Kau buat apa sorang-sorang kat luar ni?” tanya Fauzan sambil menuju ke arah Qismyna dan duduk disisinya.

“Kau ke mana tadi? Aku cari kau,” tanya Qismyna kembali, tidak menjawab soalan Fauzan.

“Aku tolong Mak Mah kemaskan dapur.”

“Kau?!” tanya Qismyna agak terkejut kemudian tersenyum sinis tidak mempercayai kata-kata sepupunya itu. Fauzan mengganggukkan kepalanya mengiakan kata-katanya sebentar tadi.

Enam tahun merantau di negeri orang telah banyak mengajarnya untuk hidup berdikari. Dia sudah biasa menyediakan makanan sendiri kerana di Australia makanan halal sukar untuk di cari.

“Nak buat macam mana, kan. Orang perempuan zaman sekarang dah tak mahu ke dapur lagi. Jadi terpaksalah orang lelaki yang turun ke dapur.” sindir Fauzan. Qismyna mencebikkan bibirnya. Dia tahu kata-kata itu ditujukan kepadanya.

“Tak payahlah kau nak sindir-sindir aku. Kalau kau kahwin, belum tentu isteri kau tahu memasak. Yalah......perempuan sekarang tak macam dulu, kan.” ujar Qismyna kembali. Fauzan menganggukkan kepalanya.

“Kalau isteri aku tak pandai memasak, aku boleh ajarkan.” ujar Fauzan yang sememangnya pandai memasak. “Perempuan sekarang bijak-bijak belaka. Malah lebih ramai yang melanjutkan pelajaran berbanding lelaki. Itu aku tak nafikan.” balas Fauzan. Qismyna tersenyum mendengar pujian Fauzan pada kaumnya.

“Lelaki pun tak bodoh sebenarnya. Cuma lelaki minat apa yang perempuan tak minat. Begitu juga sebaliknya. Tapi, setinggi-tinggi mana pun seorang wanita, tempat dia tetap di sisi suami kalau dia mendirikan rumahtangga suatu hari nanti. Betul tak?” tanya Fauzan lalu memandang Qismyna. Qismyna mengalihkan pandangannya. Fauzan tersenyum. Dia tahu Qismyna tidak puas hati dengan kenyataannya sebentar tadi. “Tak payahlah kau nak nafikan semua tu.” Qismyna masih lagi membatu.

Qismyna tahu kata-kata Fauzan adalah benar. Tapi dia tidak berpuas hati mendengar cara Fauzan menyatakan. Seolah-olah merendahkan martabat kaum wanita disamping lelaki.

“Kau jangan salah faham kata-kata aku Qis,” tambah Fauzan lagi apabila Qismyna masih tidak bersuara. Qismyna mengalihkan pandangannya memandang Fauzan yang berada di sebelahnya.

“Memang aku tak nafikan semua tu. Tapi, kau janganlah terlalu angkuh dengan martabat lelaki. Wanita pun mempunyai keistimewaan yang tiada pada lelaki.” Qismyna bersuara keras.

Fauzan mengerut keningnya seolah-olah keliru. Dia berfikir sebentar. Adakah dia tersilap kata-kata menyebabkan Qismyna menjadi marah. Dia berfikir sejenak.

“Kau terlalu serius dalam bab ni,” ujar Fauzan. “Aku tak merendahkan martabat kaum wanita. Malah aku tahu kaum wanita dijadikan kerana lelaki perlukan wanita dalam hidup mereka.” Fauzan tersenyum sinis. “Apa yang kau fikirkan sebelum aku datang kat sini tadi?” Sengaja dia bertanya soalan itu pada Qismyna kerana dia merasakan Qismyna sedang berfikir tentang perkara yang ada kaitannya mengenai Adam dan Hawa.

“Tak fikir apa-apa.” Qismyna berbohong. Fauzan menatap wajah Maya lama sebelum membalas kata-katanya.

“Okey. Tak pe.” Fauzan mengangkat keningnya. “Memandang tajuk ni terlalu sensitif buat kau, apa kata kita ubah topik,” cadang Fauzan. Tiba-tiba Qismyna mendapat akal.

“Kalau macam tu. Biar aku tanya soalan pada kau.” Qismyna tersenyum. Fauzan mengangguk membenarkan.

“Siapa wanita yang sanggup kau ajar memasak tu?” Qismyna bertanya penuh sindiran.

“Mestilah kau!” balas Fauzan dengan selamba. Maya mengerutkan keningnya. “Tentulah kau sebab kau kan tak pandai masak.” Kali ini Qismyna terkena lagi dengan usikan Fauzan. Kerana geram Qismyna menampar kuat bahu Fauzan. Badan Fauzan sedikit terangkat. Pedih bahunya dirasakan namun sengaja berpura-pura tidak merasa sakit. “Bukan itu maksud aku!” geram Qismyna menuturkan kata. “Maksud aku bakal isteri kau. Siapa bakal isteri kau?” Kali ni suaranya agak rendah sedikit. Fauzan tersenyum sambil menggosok bahunya yang ditampar Qismyna.

“Sakit ke?” tanya Qismyna apabila melihat Fauzan menggosok-gosok bahunya. Tiba-tiba rasa bersalah bersarang dihati.

“Tak sakit pun. Macam gigit semut je,” bohong Fauzan sedangkan tamparan Qismyna memang terasa pedih. Qismyna menjeling mendengar kata-kata Fauzan.

‘Sakitlah tu. Saja tak nak ngaku,’ bisik hati Qismyna.

“Beritahulah aku dengan siapa kau sekarang,” pinta Qismyna. Kali ni suaranya amat lembut. Fauzan memerhati Qismyna lama.

Dihatinya hanya ada satu nama. Sejak dulu hingga kini hanya nama itu saja yang bertakhta di hati. Namun, untuk menyatakan hasrat hati, waktu ini bukanlah masa yang tepat. Dia masih belum tahu apa yang tersirat di hati gadis idamannya. Qis......seandainya kau tahu.

“Belum ada calon,” balas Fauzan.

“Kau bohong,” balas Qismyna. “Beritahulah. Please.....” pujuknya lagi.

“Lelaki macam aku mana ada bidadari yang nak dekat. Kalau orang macam kau pun tak nak kat aku apatah lagi perempuan lain,” gurau Fauzan lagi.

Qismyna menolak tubuh Fauzan dan pintas bangun. Dia geram apabila lelaki itu tidak pernah serius berbicara dengannya. Dia tahu Fauzan berbohong. Mustahil jejaka sekacak Fauzan masih tiada bidadari di hatinya. Fauzan ada segala-galanya.

“Kau nak ke mana?” tanya Fauzan apabila Qismyna berlalu tanpa sebarang kata. Marah di hatinya apabila gagal membuat Fauzan membuka rahsianya.

Fauzan menggelengkan kepala lalu kembali duduk di tempatnya. Qismyna memang begitu. Sering merajuk dengannya. Sejurus dia memandang ke langit.

‘Kalaulah kau tahu dalam hati ini hanya kaulah insan yang amat ku cintai. Kalaulah kau tahu harapan yang ku sandarkan pada mu setinggi langit. Kalaulah kau tahu kaulah insan yang berjaya mencuri hati ini.’



WES meletakkan kedua-dua lengannya di belakang kepala sambil berbaring. Matanya mendongak ke syiling memandang kipas yang ligat berputar. Fikirannya melayang mengimbas kembali detik perkenalannya dengan Farahymma. Kemudian perjalanan cinta yang ditempuhi hingglah di saat perpisahan mereka.

Dia masih ingat lagi waktu itu. Pada ketika itu, Farahymma datang berjumpa dengannya secara mengejut. Mungkin kerana sering mengelak dari berjumpa dengan Farahymma menyebabkan gadis itu mengambil keputusan untuk berjumpa dengannya tanpa pengetahuannya sendiri.

Dia tahu Farahymma mencarinya kerana mendengar khabar bahawa dia akan pulang ke Sabah dan takkan kembali semula ke sini. Farahymma juga tahu kepulangannya kerana akan melangsungkan perkahwinan.

“Apa sebenarnya yang dah berlaku?” itulah soalan Farahymma sebaik saja berkunjung ke pejabatnya. Farahymma tidak terus memarahinya atau menyakiti hatinya. Malah dia meminta penjelasannya.

Sewaktu bertanya soalan itu, dia tahu Farahymma telah cuba sedaya upaya untuk mengawal emosinya. Walau pun begitu, masih terdapat getaran dalam nada suaranya. Wes masih lagi membisu membiarkan soalan Farahymma berlalu begitu.

“Saya dengar awak akan pulang ke Sabah?” tanyanya lagi. Wes mengangguk perlahan. “Untuk selamanya?” soal Farahymma lagi sambil matanya merenung Wes yang entah ke mana penglihatannya di tujukan. Wes mengangguk lagi.

“Maaf kalau kedatangan saya menganggu awak. Tapi kita perlu selesaikan segalanya sebelum awak pergi. Saya perlukan penjelasan.” Farhymma bersuara namun masih dalam kelembutan. “Jangan tinggalkan saya dengan seribu persoalan tanpa jawapan. Saya perlukan jawapan untuk ketenangan diri.”

Wes masih lagi membisu tanpa sebarang suara yang kedengaran. Dia masih lagi mencari kekuatan untuk menjelaskan segala-galanya pada gadis yang dicintainya. Bagaimana untuk dia berterus terang bahawa mereka tidak dapat bersama-sama kerana dia perlu menuruti keinginan keluarganya.

“Saya perlu tahu segala-galanya. Saya tak mahu menyimpan dendam dalam diri.”

Wes membetulkan duduknya. Menegakkan badan lalu menarik nafas dalam-dalam. Dia memandang Farahymma sebentar sebelum membuang pandangannya ke tempat lain.

“Maafkan saya sebab melarikan diri dari awak. Saya tertekan,” ujar Wes memulakan bicara. “Kenangan kita hanya setakat ni.” Mendengar kata-kata Wes, Farahymma memejam matanya sebentar. Memujuk diri agar sentiasa tenang menerima kenyataan. “Saya akan berkahwin dengan gadis pilihan keluarga.”

“Maafkan saya.” Wes menguak rambutnya ke belakang. “Saya tak bermaksud untuk mempermainkan perasaan awak. Saya terpaksa.” Wes melepaskan keluhan. Farahymma lekas menyeka airmatanya. Dia tak mahu kelihatan sedih.

“Saya maafkan awak.” Sebaik saja berkata begitu, Farahymma terus meninggalkannya. Dan sejak itu dia tidak pernah bersua dengan gadis itu sehinggalah dia berjumpa dengannya petang tiga hari lepas di atas bukit.

Wes betul-betul tidak menyangka dia akan berjumpa dengan Farahymma di sana. Dia merasa kesal kerana membiarkan Farhymma berlalu begitu saja. Sepatutnya dia bertegas agar Farahymma mendengar penjelasannya. Sekarang, di mana lagi dia akan mencari gadis itu. Selepas berjumpa dengannya mustahil Farahymma akan ke sana lagi. Inilah yang dirisaukan sekarang ini.

Saat Hati Merelakan 6


HATI Wes dibuai dengan nyanyian Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Pelangi Petang. Dia merenung kehadiran pelangi di angkasa. Berseri dengan tujuh warnanya. Kehadiran angin sepoi-sepoi bahasa selepas hujan petang itu, menambahkan lagi kesayuan di hatinya. Dia teringat semula kata-kata Farahymma.


“Hidup manusia ni ibarat alam semulajadi. Cuba awak renung. Adakalanya kita gembira, adakalanya kita berduka. Apabila awan mendung berarak menutupi mentari, hujan renyai akan turun ke bumi. Waktu tu, tiupan angin amat hebat. Hujan turun mencurah-curah tanpa memperdulikan isi alam. Dan kemudian, selepas berhentinya titisan hujan pelangi indah akan muncul menghiasi dengan tujuh warnanya. Perlahan-lahan langit menjadi cerah dan mentari muncul lagi.”

Di sinilah di mana tempat dia dan Farahymma sering menghabiskan masa bersama. Di atas bukit inilah tempat kegemaran Farahymma setiap kali keluar bersamanya. Dan di sini jugalah kenangan paling manis yang pernah diukir bersama Farahymma.

Di waktu mereka bersiar-siar di atas bukit ini, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Tatkala mereka mencari tempat perlindungan, seluruh tubuh mereka telah basah. Mereka tertawa sesama sendiri melihat keadaan mereka. Setelah hujan berhenti, pelangi muncul menyerikan kenangan bersama.

“Farah, seandainya kau ada di saat ini, pasti kau akan melihat betapa indahnya pelangi ini.” ujarnya perlahan.



QISMYNA tersenyum. Sesekali bayu datang menyentuhi paras wajahnya. Dia memejamkan mata cuba menghayati keindahan pada petang itu. Nyaman dan tenang dirasakan. Jendela kamarnya sengaja di buka untuk melihat keindahan pelangi petang. Dari jendela rumahnya saja dia dapat menikmati keindahan itu.

‘Adam.....lihatlah betapa indahnya pelangi yang muncul selepas titisan hujan gugur ke bumi. Masih ingatkah kau ingat pada kata-kataku. Hidup manusia bagai isi alam. Alam ini tersemadi seribu pengertian kepada manusia dan kita perlu merungkaikannya.’

Tiba-tiba timbul keinginan di hatinya untuk bersiar-siar di atas bukit yang tidak jauh dari rumahnya. Di bukit itulah dia sering menghabiskan masanya bersama Adam suatu ketika dulu.

Pantas dia berlari keluar dari kamarnya dan menuju ke sana.



WES mempercepatkan langkahnya. Farahymma yang berada di depannya dikejar. Farahymma mula berlari-lari anak namun langkahnya dapat diatasi oleh Wes. Wes menahannya dari terus melangkah pergi.

“Please Farah, please!” Wes memegang kemas pergelangan tangan Farahymma. Farahymma cuba menarik tangannya namun hampa.

“Lepaskan saya!” Dia terus memberontak.

“Berilah saya peluang. Kita perlu berbincang sayang....” pujuk Wes. Kata-kata sayang dari bibir Wes membuatkan Farahymma berhenti memberontak. Dia memandang Wes sebentar sebelum pandangannya beralih ke bawah memandang kaki bukit.

Wes yang melihat tindak balas dari Farahymma terus melepaskan genggamannya. Dia menarik nafas panjang untuk mencari kekuatan berhadapan dengan gadis itu.

“Farah.....”

“Untuk apa awak datang sini lagi?!” tanya Farahymma keras.

“Saya datang mencari awak. Saya nak minta maaf pada awak. Saya......”

“Awak tak perlu minta maaf dari saya. Saya dah lupakan perkara lepas. Saya dah terima dengan hati yang terbuka. Segala-galanya saya dah lupakan.”

“Segala-galanya?” Wes seolah-olah tidak percaya dengan kata-kata Farahymma. “Termasuk kenangan dan cinta kita?”

“Ya,” balasnya tegas. “Untuk apa saya ingat semua tu? Perlukah saya masih seperti dulu sedangkan awak sedang bahagia dengan kehidupan baru awak.”

“Farah......awak dah salah faham. Sebenarnya.....”

Look...saya tak nak dengar dan tak berminat nak tahu apa-apa pun tentang awak. Antara saya dengan awak dah tak de apa-apa. Bagi saya awak dah tak bermakna dalam hidup saya!” Farahymma terus berlalu meninggalkan Wes tanpa menoleh ke arahnya.

Wes terdiam kaku mendengar setiap butir kata-kata yang terkeluar dari bibir Farahymma. Dia tidak menyangka Farahymma begitu tega mengeluarkan kata-kata yang amat pedih.

Dia menarik nafas panjang. Cuba mententeramkan diri. Mungkin Farahymma tidak bermaksud untuk berkata begitu. Hatinya telah terluka sejak dia ditinggalkan. Dia tidak bersalah. Malah Wes yakin dan pasti, Farahymma masih menyayangi dirinya.

Wes berjalan memasuki perut kereta dan termenung sebentar. Dia menguakkan rambutnya ke belakang sambil menghembuskan keluhan yang panjang. Dia tidak sangka akan bersua dengan Farahymma di situ. Sedang asyik dia melihat keindahan pelangi, dia terlihat kelibat Farahymma di sana.

“Farah...... kenapa kau tak beri peluang untuk aku jelaskan?” Wes bicara perlahan.

Tiba-tiba matanya terarah kepada seorang gadis yang sedang merenungnya tajam. Dengan jelingan yang kurang menyenangkan gadis itu berlalu pergi.

‘Siapa dia?’ Wes tertanya sendirian.



PUAN SURIA yang sedang asyik menyapu halaman rumah mengalihkan pandangannya kepada Qismyna yang sedang melangkah masuk ke dalam. Dia merasa hairan. Sejak bila Qismyna keluar dari rumah sikit pun dia tidak menyedari.

“Kau dari mana Qis?” soalnya apabila Qismyna melintasinya. Qismyna menghentikan langkahnya seraya memandang ke arah Puan Suria.

“Ambil angin kat atas bukit,” ujar Qismyna terus berlalu meninggalkan Puan Suria. Sampai saja dia di ruang tamu, terus tangannya mencapai remote control lalu skrin televisyen pun terbuka. Dia mengeluh sebentar. Tiada satu yang menarik.

Sudahlah tadi ketenangannya di ganggu dek pertengkaran sepasang kekasih sewaktu dia bersiar-siar di atas bukit. Di rumah pula tiada apa-apa yang menarik untuk dilakukan. Dia mencebikkan mukanya.

‘Apalah yang dilakukan Zila sekarang.’ Fkirannya mula teringatkan sahabatnya yang sedang berbulan madu di Cameron Highland. ‘Mungkin dia sedang bersiar-siar dengan Johan sekarang.’ Dia mengeluh lagi mengenang nasibnya yang keseorangan.

“Qis.” Kedengaran suara yang memanggilnya. Qismyna berpaling.

“Kenapa mak?” tanyanya. Puan Suria melabuhkan punggungnya di sisi Qismyna sebelum bersuara.

“Pagi tadi Mak Ngah telefon, katanya Fauzan baru sampai dari Australia,” beritahu Puan Suria. Qismyna kelihatan riang mendengar berita itu.

“Fauzan dah balik?!” dia bertanya meminta kepastian dari ibunya. Puan Suria mengangguk. Lantas dia berlari menuju mencapai ganggang telefon. Tak sabar rasanya untuk berjumpa dengan sepupunya itu.

“Hello...Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam,” jawab suara di corong telefon.

“Mak Ngah ye? Qis ni,” beritahu Qismyna.

“Ah....Qis. Ada apa?” tanya Puan Marsila.

“Fauzan dah balik ye Mak Ngah. Qis nak bercakap sekejap dengan dia,” pintanya.

“Fauzan tidurlah Qis. Letih agaknya baru sampai. Nanti kalau dia bangun Mak Ngah beritahu Qis telefon cari dia.”

“Tidur?” Qismyna hampa mendengarnya. “Tak pelah Mak Ngah. Assalamualaikum.” Qismyna meletakkan ganggang telefon. Dia berpaling ke belakang.

Matanya terpaku pada susuk tubuh seorang lelaki yang berdiri di belakangnya. Qismyna memandang dari bawah dan terus ke atas. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat lelaki di hadapannya.

“Fauzan?!” dia menjerit. Kini dia tahu dirinya telah dipermainkan. Mak Ngah, ibunya dan Fauzan ternyata telah berpakat untuk mengenakannya. Dia mengetap bibir. Lelaki di hadapannya dipandang tajam.

Fauzan yang dapat menangkap tindakan Qismyna selanjutnya mengundur ke belakang beberapa tapak apabila Qismyna mula mendekatinya. Kemudian dia terus berlari mengelilingi ruang tamu apabila Qismyna terus mengejarnya.

Fauzan terus mengusik Qismyna dan mengajuknya apabila gadis itu tidak berjaya mendapatkannya. Qismyna terus mengejar sepupunya itu sambil mulutnya terkumat-kamit memarahi Fauzan kerana mempermainkannya.

Puan Suria menggeleng kepala melihat kedua-dua mereka yang saling berkejaran dan mengusik antara satu sama lain. Jauh di sudut hatinya amat menyenangi keakraban yang terjalin antara Fauzan dan Qismyna. Sejak kecil lagi hubungan kedua-dua orang muda itu memang rapat. Inilah yang diinginkan oleh Puan Suria.

Suasana yang bingit tadi menjadi sunyi apabila Qismyna dan Fauzan menyambung aktiviti kejar-mengejar mereka di halaman rumah. Lantas Puan Suria bangun menghampiri telefon dan tangannya mula mendail menghubungi Marsila adiknya. Tak sabar rasa di hati untuk berbincang dengan Marsila tentang rancangan mereka. Dia juga bertekad untuk berbincang dengan suaminya malam ini.



“BANG....” panggil Puan Suria lembut seraya matanya mengamati susuk tubuh suaminya melalui cermin besar.

“Hmmm....” lambat-lambat Tuan Malik mengangkat mukanya memandang isterinya yang sedang menyisir rambut. Tuan Malik memusing kepalanya ke kanan dan ke kiri. Terasa sengal lehernya. Kemudian jari jemari kanannya memicit lengan tangan kirinya yang terasa lenguh.

“Apa pendapat abang tentang perkara tu?”

Tuan Malik tidak menjawab pertanyaan Puan Suria. Bantal di hujung kepalanya ditepuk-tepuk lalu meletakkan kepalanya dan berbaring. Badannya terasa benar-benar letih mungkin kerana terlalu banyak masa dihabiskan di pejabat walaupun A2-M Sdn. Bhd telah diserahkan kepada anak lelaki tunggalnya yang juga merupakan anak sulungnya.

Ariff masih mentah, dia perlu banyak belajar kerana itu Tuan Malik sering memerhatikannya di pejabat.

“Abang.....saya tanya abang ni.” Puan Suria mengalihkan badannya mengadap Tuan Malik.

“Budak-budak tu dah besar Suria. Biarlah diorang tentukan hidup sendiri. Tak payahlah kita nak memaksa diorang tu,” ujar Tuan Malik yang telah tahu persoalan yang ditanya Puan Suria.

“Saya bukan nak memaksa, abang. Tapi sekurang-kurangnya kita usahakan mereka bersatu.”

“Tak perlu buat semua tu. Kalau dah jodoh mereka bersama, semuanya akan jadi sendiri. Kalau dah tak de jodoh, awak buat macam mana pun takkan jadi,” balas Tuan Malik. “Dari awak sibuk-sibuk soal Qis dengan Fauzan tu, ada baiknya awak cari menantu yang baik untuk Ariff. Anak awak yang sorang tu dah gila kerja. Langsung tak fikir umurnya yang dah meningkat.”

“Abang ni....” Puan Suria merungut. Ada nada rajuk dalam suaranya.

“Saya bukan tak suka dengan cadangan awak tu. Tapi kita kena fikir juga hati mereka. Nanti kalau jadi apa-apa, kita pulak yang disalahkan,” balas Tuan Malik. “Dahlah tu. Baik awak lupakan niat awak.” Tuan Malik mengeliatkan tubuhnya. “Bila kita nak pergi melawat Marsila?”

“Esok malam,” ujar Puan Suria ringkas lantas bangun mematikan lampu.

‘Merajuklah tu. Dah tua-tua pun merajuk lagi,’ bisik hati Tuan Malik.

Saat Hati Merelakan 5


WES membawa dulang yang berisi dua gelas air lalu diletakkan di hadapan sahabat yang telah lama tidak ditemuinya.


“Minumlah Shid. Air kosong je,” pelawanya.

“Tak pe. Aku datang ni bukan nak minum. Nak melawat kau,” ujar Rashid, teman baik Wes sewaktu di Universiti Sains Malaysia. Rashid meneguk sedikit air putih yang dihidangkan.

“Macam mana kau tahu aku ada di sini?” tanya Wes.

“Tengahari tadi aku jumpa dengan Laila. Dia yang beritahu aku kau ada kat sini,” jelas Rashid. “Aku ingatkan kau takkan balik semula kat sini.”

“Aku pun tak pernah terfikir nak datang Penang lagi. Kebetulan dah ada peluang, aku tak lepaskan,” beritahu Wes. Rashid memandang sekeliling.

“Besar juga rumah kau.”

“Ini bukan rumah aku. Rumah syarikat. Aku ni tumpang je,” jelas Wes.

“Kau datang nak cari Farah?” tanya Rashid lagi. Wes menganggukkan kepalanya. Tentu Laila telah menceritakan segalanya pada Rashid.

“Tapi aku sendiri tak tahu nak cari dia kat mana. Walaupun Penang ni kecil je, manusia kat sini dah macam ikan sardin.” Rashid ketawa kecil mendengar kata-kata Wes. Memang benar, kesesakan lalu lintas yang sering berlaku adalah buktinya.

“Aku pun dah lama tak jumpa dengan Farah. Sejak dia pindah. Tapi..... aku pernah terserempak dengan dia seminggu sebelum dia berangkat ke Negeri Sembilan. Dan selepas itu.....” Rashid menggelengkan kepalanya.

“Negeri Sembilan?!” Wes mengerutkan keningnya. “Untuk apa?”

“Sambung belajar.” Rashid meneguk air kosong yang dihidangkan.

“Farah sambung belajar?” tanya Wes perlahan lalu menghembuskan nafas yang panjang. “Mungkin dia kecewa dengan aku. Sebab itu dia ke sana.” Wes diam seketika. “Tapi, Laila ada beritahu aku yang baru-baru ni dia berjumpa dengan Farah.”

“Aku tahu. Dia ada beritahu aku juga,” terang Rashid. “Mungkin dia dah habis pengajian. Inilah peluang kau.”

“Ya. Inilah peluang aku untuk tebus kembali kesalahan aku meninggalkan Farah dulu,” kata Wes. “Tapi....aku takut kalau-kalau....... apa yang aku inginkan tak menjadi kenyataan.”

“Kenyataan masih jauh. Yang penting hampirinya dulu. Soal yang lain tu, kita serahkan pada takdir,” ujar Rashid. “Aku dengar bakal datuk mentua kau meninggal setahun sebelum majlis akad nikah kau dan Manisa. Betul ke?” Wes menganggukkan kepalanya mengiakan kebenaran.

“Ya.....setahun sebelum hari sepatutnya aku disatukan dengan Manisa. Sebulan selepas tu, aku ditawarkan untuk uruskan syarikat di sini.”

“Pernikahan kau dengan Manisa ditangguhkan hingga bila?” Wes mengangkat kedua-dua bahunya.

“Entah. Aku harap aku dapat jumpa dengan Farah secepat yang mungkin. Kalau terlewat......aku terpaksa,” ujar Wes lemah.

“Aku tak fahamlah. Kalau kau tak mahu, kenapa kau ikutkan juga kehendak keluarga kau?” tanya Rashid. Wes terdiam.

“Sebab......” dia menarik nafas. “.....aku dah berjanji dengan ibu aku yang aku akan kahwin dengan gadis pilihannya. Aku tak sangka pula ibu aku benar-benar mencari seorang calon untuk aku. Aku pernah beritahu tentang Farah pada ibu. Tapi ibu tak setuju sebab dia dah berjanji dengan Aunty Mary, ibu Manisa. Dia malu kalau tak dapat menunaikan janjinya.”

“Habis tu, untuk apa kau cari Farah pula?”

“Aku nak cari Farah untuk bersama dengan dia semula. Tapi aku takkan putuskan pertunangan aku dengan Manisa. Bila aku dah jumpa dengan Farah aku akan pujuk dia berkahwin dengan aku. Lepas tu aku akan berterus terang dengan Manisa. Terpulang pada dia sama ada dia nak jadi isteri nombor dua atau putuskan pertunangan kami.”

“Kenapa kau tak berterus terang saja dengan Manisa yang kau tak cintakan dia?”

“Dah! Tapi katanya, kalau aku tak mahu pada dia, aku yang kena putuskan hubungan kami sedangkan aku sendiri dah janji dengan ibu aku.”

“Jadi itulah perancangan kau.” Kini Rashid mengerti. “Dengarnya macam mudah. Tapi sebenarnya tak mudah seperti yang kau bayangkan. Kalau dibuatnya Manisa setuju jadi isteri nombor dua, apa perasaan Farah?”

Wes mengeluh mendengar pertanyaan Rashid. Jika itu terjadi, pasti Farahymma akan menyesal berkahwin dengannya.

“Aku hanya mampu berdoa agar Manisa putuskan hubungan kami.”

“Lima tahun lepas, kau pulang ke Sabah kerana keluarga kau dah uruskan penikahan kau dengan Manisa. Yang peliknya, macam mana hingga sekarang kau dengan dia masih belum berkahwin?” tanya Rashid yang hairan apabila mendapat tahu Wes dan Manisa masih belum mendirikan rumahtangga.

“Sewaktu sampai di sana, aku diberitahu aku akan ditunangkan dengan Manisa selama setahun. Selepas setahun, salah seorang pengurus di sana letak jawatan jadi aku dinaikkan pangkat. Kerja aku dah semakin bertambah dan ditambahkan lagi dengan kerja-kerja yang tertunggak. Sampai dah over limit.”

“Sebab tu aku minta pernikahan kami ditangguhkan hingga aku dapat stabilkan kerja-kerja aku. Lepas tiga tahun, datuk Manisa meninggal dunia,” cerita Wes.

“Sebulan lepas tu, aku ditawarkan kenaikan pangkat dan akan ditukarkan ke sini. Aku terima tawaran tu.” Rashid mengangguk-anggukkan kepalanya tanda memahami cerita Wes.

“Baru aku faham sekarang. Takdir Tuhan. Mungkin kau dan Farah akan dipertemukan sekali lagi.”

“Ya......aku pun harap begitu.”

“Sekarang aku nak kau ikut aku.” Rashid menggenggam tangan Wes sambil menariknya bangun.

“Nak pergi mana?” tanya Wes yang kelihatan ragu-ragu sambil mengusap dagunya yang dipenuhi rerambut. Rashid memandang saluruh wajah sahabatnya. Rimas!

“Dah.......tak payah banyak soal ikut je.” Dia terus menarik tangan Wes.

“Oiii, kau nak bawa aku pergi mana?” Rashid terus menarik tangan Wes tanpa memperdulikannya.

“Salon!”



HARI yang dinantikan telah tiba. Suasana kelihatan sesak dengan saudara mara serta jiran tetangga. Keriuhan suara kanak-kanak yang bermain dilaman ditambahkan lagi dengan suara ibu-ibu yang sama-sama bergotong-royong di dapur menambahkan lagi kemeriahan yang dirasakan.

Qismyna yang menemani Zila hanya tersenyum memandang sahabatnya. Dia tahu Zila sedang berperang perasaannya sendiri. Adatlah bagi orang yang akan melangkah ke alam baru.

Fikirannya melayang jauh mengingatkan Adam. Seandainya cinta mereka bertahan, tentu sekarang dia seperti Zila yang akan mendirikan rumahtangga. Kemudian, mempunyai cahayamata yang sangat comel. Dia menghembuskan nafasnya.

‘Kalaulah Adam masih bersama......’

“Qis!” panggil Zila. Maya berpaling memandangnya. “Aku nervouslah.”

“Rilekslah.” Qismyna hampir ketawa melihat wajah Zila yang gelisah.

Pada hari itu Qismyna menemani Zila dari rombongan lelaki tiba hinggalah Zila mengikut keluarga suaminya pulang. Dia merasa gembira menyaksikan upacara ijab dan qabul. Kemudian, pengantin perempuan dan lelaki diiringi untuk naik ke pelamin dan bermulalah acara merenjis air mawar.

Pengantin kemudiannya di bawa ke meja santap untuk upacara makan beradap. Dia dapat menyaksikan betapa gembiranya Zila pada hari itu dan dia turut bergembira melihat kebahagiaan sahabatnya.

Setelah majlis selesai Qismyna terus pulang bersama Puan Suria dan Tuan Malik. Badannya terasa letih satu hari suntuk berada di sana.

Sebaik saja sampai di rumah, dia berehat sebentar sebelum membersihkan dirinya. Kemudian, dia berbaring di atas katil. Fikirannya melayang mengingati majlis perkahwinan Zila. Bagaikan tayangan gambar satu persatu bermain di matanya. Tetapi pasangan pengantin bukanlah Zila dan Johan melainkan dia dan Adam.

Alangkah indahnya kalau di saat ini dia melayari bahtera bersama Adam. Mengikat janji untuk sehidup semati. Tak mungkin.....