Thursday 28 June 2012

Aku Dan Bakery











Bau wangi roti yang dibakar menyucuk ke hidung ku. Itulah aroma yang paling aku gemari setiap kali aku masuk ke ke bakery ni. Bukan sahaja aromanya yang wangi, tetapi  setiap roti dan kek yang dijual di sini memang sedap! Rasa jemu masih belum wujud dalam kamus hidup aku untuk bakery ni.

Setiap kali aku ke library, aku pasti singgah di bakery yang bernama Boulangerie ini untuk membeli roti. Kalau tak silap aku, Boulangerie adalah dalam bahasa Perancis yang membawa maksud, kedai roti atau bakery. Pekerja di sini pun sudah mengenali aku. Maklumlah, regular customer. Kalau tak de aku, mesti jualan bakery ni sedikit merosot. Hehehe….perasan je aku nih!

“Jom, kita duduk kat sana!” Ila yang baru pulang bersama ku dari library terus menunjuk pada sebuah meja yang masih kosong. Biasanya aku akan singgah di bakery ini seorang diri. Tapi tak tahulah apa angin si Ila ni, hari ni dia pula yang beria-ia nak ikut aku ke sini. Tak banyak meja yang di sediakan di bakery ni. Kalau masih ada kekosongan, walaupun hanya satu dah cukup melegakan hatiku.

“Kau jagakan tempat. Aku nak tengok kek kejap,” Aku terus meluru ke bahagian kek. Mata aku terus bersinar melihat kek-kek yang tersimpat di balik cermin. Semuanya membuatkan aku terasa air liur ku memercit di dalam mulut. Yum….yum….

“Hai Nisa!” sapa Julia, salah seorang pekerja di situ. Terus mata aku menangkap wajah ceria Julia di balik cermin yang terhidang dengan kek-kek itu. “Nak kek lagi?”

“Oh…mestilah!” ujar aku dengan lebih ceria. Sikap ceria Julia membuatkan aku semakin ceria.

“Eeiii….kau ni tak takut gemukkah?” tanya Julia.

“Aparah kau ni!” Aku sudah mencekak pinggang. “Kalau tak de orang macam aku, mana laku bakery ni!” Adakah patut Julia bertanya begitu. Nasib baik soalan itu ditujukan untuk aku. Kalau dia bertanya pada customer lain, rasanya mereka dah lari. “Kalau bos kau tahu, tentu teruk kau kena!”

Julia sudah ketawa mengekek. Sikap Julia yang ceria beginilah yang membuatkan aku cepat mesra dengannya.

“Julia, bakery ni tak nak pakai orang ke?” Dengan sedikit rasa segan aku bertanya juga pada Julia. Memang sekarang ni, aku berniat nak mencari kerja sambilan. Manalah tahu kalau bakery  ni perlukan pekerja.

“Kau nak cari kerja ke?” pandangan Julia terus jatuh pada aku.

“A’ah…aku nak cari kerja part time. Bolehlah nak cari duit belanja sikit.”

“Rasanya ada.” Julia berfikir sekejap. “Macam nilah, aku try tanya dengan bos aku dulu. Apa-apa nanti, aku call kau. Kasi nombor fon, boleh?”

Tak tunggu lama, aku pun terus kasi nombor telefon aku pada Julia. Harap-harap adalah rezeki aku untuk bekerja di bakery kesukaan aku ni.

“Nah coklat moist kau!” Julia terus menghulurkan piring kecil pada aku.  “Roti tak nak?” tanyanya.

“Kejap lagi… Masa nak balik karang, aku rembat roti pulak.” Biasaranya macam tulah. Bila nak balik baru aku akan ambil dua tiga jenis roti untuk aku makan di rumah nanti bersama mak dan ayah. “Terima kasih Julia. Jangan lupa contact aku nanti!” Aku terus menyambut huluran piring kecil dari Julia dan terus berjalan menghampiri Ila.

“Wei…kek lagikah?” Mata Ila membulat melihat ke dalam piring kecil yang aku pegang.

Tanpa menjawab apa-apa aku terus duduk di depan Ila. “Kau pergilah…biar aku pulak yang tunggu.”

Ila bangun dan terus menghilangkan diri. Kemudian, dia tiba dengan muffin di tangan bersama dua kotak teh o’ limau ais lalu menyerahkannya satu padaku.

“Thank you!”

Ila di depan ku terus menyumbat muffin ke dalam mulutnya.

“Wei….aku nampak setan kak sebelah kau!” Sengaja aku mengusik Ila.

Ila tersedak seketika.

“Mana? Mana?” Dengan gelabah dia memandang kiri dan kanannya. “Kau tipu aku?!” Dia sudah mencebik bila merasakan siri dipermainkan.

“Adalah…Aku nampak sebab kau tak baca bismillah…” Aku terus gelak sakan. Ila pulak sudah mengerling geram dekat aku. Hahaha….macam aku takut dengan jelingan dia tu! Ada aku kesah?

“Kau nak rasa coklat moist aku?” Sengaja aku bertanya walaupun aku yakin Ila akan menolaknya. Maklumlah, orang yang menjaga badan ni memang tak makan benda-benda macam ni semua.

“Tak naklah aku!!” Jawapan Ila sama seperti apa yang aku jangkakan.

“Sedap ni! betul kau tak nak?!” Aku terus membuka mulut luas-luas dan menggigit sebahagian kek. “Umm……sedapnya!!” aku memang suka menyakat Ila.

“Aku hairanlah dengan kau ni. Makan tak henti-henti, tapi badan besar tu jugak!!”

Aku cuma ketawa bila mendengar kata-kata ila yang sedikit berbaur cemburu dengan aku.

“Alah….benda ni bukan boleh fikir-fikir. Lagi di fikir, lagi naik badan kau walaupun kau makan sikit je!” Entah betul entah tidak. Aku cuma cakap je!

“Mak ooiii….handsome siut!” Tiba-tiba saja Ila bersuara dengan mata yang sudah terbeliak dan mulut yang ternganga.

Aku terus menoleh memandang ke belakang. Terus mata aku terancap pada seraut wajah seorang lelaki yang tampan dan sedang melayan seorang pelanggan dengan ramah sekali. Pekerja baru ke? Aku tak pernah nampak dia sebelum ni pun. Dalam aku asyik memandangnya, tiba-tiba sahaja dia menoleh memandang aku. Tapi aku tak pastilah sama ada dia memandang aku atau pandang Ila. Tapi, pandangannya itu sudah cukup untuk membuatkan aku menoleh kembali memandang Ila. Ila pun sudah memberi perhatian pada aku.

“Siapa tu, handsomelah!” Ila berbisik pada aku.

“Manalah aku tahu!”

“Kau pergilah merisik dekat kawan kau tu, Julia!”

“Tak naklah aku. Karang Julia ingat, aku pula yang nak berkenalan dengan budak tu!” Aku langsung tak setuju dengan cadangan Ila. Mana aku nak letak air muka aku kalau budak lelaki tu tahu yang aku bertanya pada Julia tentangnya.

Ila sudah membuat muka seposen dengan jawapan yang aku berikan.

“Aku bukan apa Ila…..aku seganlah nak tanya Julia…Lagipun, aku kenal Julia pun gitu-gitu je. Bukan rapat pun.” Aku harap Ila faham dengan situasi aku. Lagipun, aku malaslah nak masuk campur urusan perkenalan sebegini. Tak de makna!

“Yelah…yelah….” Ujar Ila walaupun kelihatannya dia agak kecewa sedikit.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Alhamdulillah….Akhirnya, rezeki aku aku memang dah ditetapkan di bakery tu. Julia baru saja telefon dan mengkhabarkan berita gembira itu. Tak tunggu lama, aku terus berlari mendapatkan mak dan terus memeluknya erat.

Mak yang pada mulanya agak terkejut dengan tindakan aku, akhirnya membalas pelukanku.

“Apa yang happy sangat ni?”

“Nisa dah dapat kerja kat bakery tu!”

“Alhamdulillah….” Wajah mak semakin ceria. “Tapi tak apakah bekerja dan belajar dalam masa yang sama?” Aku tahu, mak masih ragu dengan kemampuan aku. Bukan apa, mak pasti takut jika aku tak mampu lakukannya.

“Insya-Allah….Nisa akan lakukan yang terbaik. Kalau pelajaran Nisa merosot, Nisa akan berhenti bekerja.” Aku tak sampai hati nak menyusahkan mak dan abah.

Mak seorang suri rumahtangga dan adakalanya mengambil upah menjahit baju untuk mencari rezeki tambahan. Abah hanya seorang peniaga kecil-kecilan. Memang abah dan mak mampu untuk menanggung aku. Tapi, kalau boleh aku mahu berusaha sendiri dan tak mahu menyusahkan mereka lagi.  Aku dah terlalu banyak menyusahkan orang tua ku. Sekurang-kurangnya, bila aku bekerja mereka tak perlu lagi memikirkan biaya pelajaranku.

“Apa-apa sajalah. Asalkan Nisa bahagia. Itu yang penting.”

Sejak akhir-akhir ni, mak memang suka buat ayat jiwang. Kadang-kadang aku lemah juga dengan ayat-ayat mak. Tapi aku tetap mengukirkan senyuman dan ceria. Aku tak nak terbawa-bawa dengan perasaan.

Esok!!! Cepatlah datang! Aku dah tak sabar nak bergelar pekerja di bakery dan setiap masa menghidu bau wangi tepung-tepung yang dibakar!

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

“KAU FAHAM?!” Julia mencekak pinggang apabila berjela-jela dia menerangkan kerja-kerja yang perlu aku lakukan. Lagak macam bos je budak sorang ni!

“Faham!” Aku malas nak dengar arahan-arahan Julia yang panjang lebar walaupun aku rasa aku cuma faham setengah sahaja dari arahannya. Alah, biarlah! Karang kalau aku tak faham, aku tanyalah kan? Hehehe….lagipun, aku cuma ditugaskan untuk menjaga kaunter bayaran. Lepas tu, layan customer yang nak beli roti dan kek. Tapi yang paling tak best, setiap kali masuk kerja, aku perlu bersihkan dan lapkan cermin-cermin di bakery. Itu adalah kerja wajib bagi setiap pekerja. Tujuannya, adalah untuk memastikan bakery itu sentiasa bersih.

Jadi, untuk permulaan, aku membersihkan kawasan kaunter dan peti sejuk yang menempatkan kek-kek yang membuatkan aku kecur air liur. Sabarlah, karang lepas waktu kerja nanti, aku pasti dapatkan sepotong kek ni! Aku nak makan tiramisu. Dah lama aku tak makan. Nyum..nyum..

“Ni apa kes ni? nak kerjakah, nak curi kek?” tiba-tiba je kutukan itu singgah di cuping telinga aku. Terus aku pusing badan. Gulp! Alamak! Lelaki yang menjadi perhatian Ila ada dibelakang aku sambil membawa dulang yang penuh dengan roti.

“Nak kerjalah! Kalau nak curi kek dah lama saya ambil dan lari dari sini!” ujar aku dengan tegas. Baru sahaja aku bekerja di sini, belum pun sampai satu jam terus dituduh begitu! aku mencebik dan meneruskan kerja aku.

“Nah, ambil roti dan susun!” terus dia meletakkan dulang itu di atas kaunter bersebelahan dan kemudian hilang ke dalam.

Tanpa banyak soal, aku terus mencapai dulang itu dan menyusunnya di tempat yang sudah ditetapkan. Selesai sahaja urusan itu, aku mengerling pemuda tadi. Kalau tak silap aku, namanya Zaid. Kebetulan, aku terdengar Julia memanggil namanya ketika mereka berbual tadi.

Dari cermin yang memisahkan antara kaunter dan ruang dalam, jelas aku sedang melihat lelaki itu sedang sibuk memotong doh menjadi bersegi-segi. Hmmmm hebat juga lagaknya!

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Seminggu bekerja di sini, aku sudah mula mahir mengendalikan sebahagian besar kerja. Tak adalah Julia terus membebel di cuping telinga aku lagi. Itu tak betul, ini tak betul! Jangan nganga di kaunter, tolong orang lain sama! Hhmmm….memang macam supervisor saja Julia ni walaupun pada hakikatnya tidak.

“Wei, karang lepas kerja, kitorang semua plan nak lepak kat gerai Kak Zah depan tu. Kau nak ikut?” Tiba-tiba sahaja Julia muncul di sebelah aku. Panjang sungguh usia budak ni.

“Lain kali kot. Aku tak nak mak dan ayah aku risau pulak bila aku balik lambat.”

“Telefonlah. Minta izin diorang dulu!”

Yang sebenarnya, aku malas nak lepak dan buang masa begitu saja. Aku lebih suka cepat-cepat pulang ke rumah dan berehat. Lagipun, sejak akhir-akhir ni aku selalu rasa tak sedap badan. Nak kata demam, suhu tak tinggi. Tapi badan aku selalu letih.

“Aku malaslah. Aku nak berehat.”

“Kau ni kenapa? sejak kau kerja kat sini aku selalu tengok kau tak ceria. Kau tak sihat ke?”

Aku tak nafikan apa yang dikatakan Julia. Aku sendiri merasakan perubahan pada kesihatan aku. Nak kata aku kerja berat, taklah berat sangat. Lagipun, aku cuma bekerja empat jam sehari je.

“kau ada masalah?” tanya Julia. Aku menggeleng. Kalau ada pun, aku takkan cerita pada dia.

“Jomlah! Kitorang nak celebrate birthday Zaid.”

“Birthday Zaid?” Terus mata aku memandang Zaid yang sedang asyik menabur serondeng di atas doh yang telah siap. “Ish…tak pelah. Korang carry onlah. Aku…”

“Alah…..jomlah!!” Julia sudah membuat muka mengharap.

Aku bukan tak sudi menerima pelawaan Julia. Tapi, aku tak selesa bila tahu diorang sebenarnya nak sambut birthday Zaid. Aku dengan Zaid, bukan rapat pun.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Desakan demi desakan Julia dan teman-teman yang lain, akhirnya aku menerima pelawaan mereka untuk turut serta menyambut hari lahir Zaid. Pada mak dan ayah telah aku minta izin mereka untuk pulang lambat.

Sampai di gerai Kak Zah, dua meja panjang yang bersambung sudah diletakkan tanda ‘reserve’. Di atasnya, sudah terhidang nasi dan pelbagai lauk. Alamak! Ada kari kepala ikan pulak. Terus tekak aku terasa mual. Sungguh, sebelum ini aku suka sangat makan kari kepala ikan. Tapi sejak akhir-akhir ni, aku dah tak boleh lihat lauk kegemaranku itu. Bila terbau sahaja kari kepala ikan, pasti aku merasa loya. Mujurlah aku sentiasa menyediakan asam dalam beg galas. Terus aku seluk tangan ke dalam beg dan mencapai asam lalu menyimpan di dalam mulutku. Sekurang-kurangnya, rasa loya itu dapat aku kawal.

“Happy birthday to you…happy birthday to you…happy birthday to Zaid…Happy birthday to you!” Aku hanya tersenyum mendengar teman-teman yang lain bergembira menyanyikan lagu untuk Zaid. Julia yang membawa kek ke depan Zaid adalah orang yang paling gembira. Buat seketika, aku terkedu apabila melihat Zaid menghadiahkan satu ciuman di dahi Julia. Wow! Aku tak pernah tahu yang Julia ada affair dengan Zaid. Melepaslah Ila!

Mengingatkan Ila yang pada awalnya begitu teruja untuk mengenali Zaid, aku dapat rasakan yang zaid bukan lagi menjadi perhatian Ila. Sejak bila aku pun tak tahu, tiba-tiba sahaja aku lihat Ila berjalan berpegangan tangan dengan Johan, classmatenya di kolej.

“Nisa, marilah!” tiba-tiba sahaja Julia menarik tangan aku agar berdiri di sisi Zaid. Aku yang tergamam dengan tindakan Julia menjarakkan sedikit tubuhku apabila bahu aku berlanggaran dengan Zaid. Apasal tiba-tiba aku disuruh berdiri di depan Zaid? Ish! Memang tak menyenangkan sungguh.

“Make a wish!!” Rakan-rakan yang lain sudah bersorak pada Zaid.

“Okey…okey..” zaid yang berseri wajahnya memandang aku sekilas. Satu senyuman dilemparkan. Aku hanya membalas senyumannya.

I wish… that the angels I dreamed of,  going to be mine,” Dia memandang aku lagi. Kali ni, pandangan yang dia lemparkan untuk aku, memang nampak pelik. Tapi, biarlah…mungkin aku je yang terperasan agaknya! Teman-teman lain bersorak untuk Zaid.

Lepas Zaid potong kek, dia menyerahkan pisau padaku dan meminta tolong aku bahagikan kek pada kawan-kawan. Tak fikir banyak, aku pun mencapai pisau kek yang dihulurkannya.

“Happy birthday to you….happy birthday to you….happy birthday to Nisa…..Happy birthday to you!!” tiba-tiba saja teman-teman menyanyikan lagu itu untuk aku. Terus terang aku katakan, aku memang terkejut.
“Hari ni birthday kaulah! Kau kongsi birthday dengan Zaid!!” Julia memeluk bahu aku.

“Birthday aku?” Aku lihat hiasan kek. Ya, ada nama aku dan Zaid di atasnya. Ya Allah, macam mana aku boleh terlupa hari ni hari lahir aku?

“Come on Nisa! Takkan birthday sendiri dah lupa!” aku dengar suara Wan dari belakang. Aku hanya diam.
“Make a wish,” bisik Julia bila aku hanya kaku di situ.

Aku pandang muka teman-teman, seorang demi seorang. Mereka semua sedang menunggu kata-kata aku selanjutnya.

“I wish…..” Aku berhenti seketika. Aku memandang Zaid yang sedang memerhatikan aku. “Impian aku hanya untuk mendengar nyanyian selamat korang untuk aku.”

“Ah….” Ada nada-nada hampa kedengaran dari teman-teman.  “Mintalah benda yang lain!” Suara Wan lagi.
“Tak apa, itu permintaan birthday girl. Kita kena tunaikan,” ujar Zaid. “okey….sedia! satu….dua….tiga…”

“Allah selamatkan kamu…Allah selamatkan kamu….Allah selamatkan Nisa….Allah selamatkan kamu….” Mereka menyanyi beramai-ramai.

Aku gembira sangat! Bagi aku, itu bukan sekadar nyanyian tetapi juga doa. Apa yang aku perlukan dan lebih impikan adalah doa-doa dari orang-orang disekelilingku. Doa, itu saja yang aku perlukan!

Aku menghembuskan nafas lega bila kami semua sudah selesai menyudahkan hidangan yang disediakan. Bau kari kepala ikan sudah tidak lagi menyucuk pernafasanku. Sedari tadi aku asyik menolak pelawaan mereka yang menyerahkan mangkuk kari kepala ikan padaku. Terpaksalah aku berbohong yang aku tak suka kari kepala ikan. Aku pun tak tahu kenapa aku jadi begini.

“Untuk awak.” Tiba-tiba sahaja Zaid duduk di sebelahku lalu menyerahkan sepotong kek yang dipotong kami tadi.

“kek ni saya yang buat.” Pelik, kek itu bukan untuk aku saja, tapi untuk dia. Maknanya, kek hari lahir dia, dia yang buat sendiri? “Untuk awak…” dia menyambung.

“Untuk saya?”

“Saya tahu, awak suka sangat dengan kek coklat dan tiramisu. Jadi saya buat kedua-duanya dan dibahagikan tiba bahagian setiap satu. Lepas tu, saya susun berselang. Lastly, saya tuangkan coklat cair. Sedap tak?”

“Memang sedap!” Aku pun dah tak ingat berapa potong kek yang dah masuk ke dalam mulut aku. Yang pasti, aku tak berhenti makan kek sebab perut aku lapar. Aku tak banyak makan nasi yang disediakan. Hanya beberapa suap.

Sekarang ni, kek dan roti dah menjadi makanan rugi aku. Nasi, aku dah kurang makan. Sekarang ni, nasi dah menjadi makanan sampingan buat aku.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Pintu Bakery dibuka dari luar. Muncul Zaid dan Julia. Julia menghampiri aku dengan senyumannya.

“Nasi bungkus untuk kau!” Julia menyerahkan untuk.

“Nasi? Aku tak minta pun?” Biasanya, bila aku masuk kerja, Zaid dan Julia akan keluar sekejap untuk membeli makan buat mereka dan teman-teman yang lain. Adakalanya mereka makan terus di gerai Kak Zah. Itu memang rutin harian mereka.

“Zaid yang belikan. Aku dah kata, kau tak makan nasi. Kau tu cuma makan kek dan roti je. Tapi dia nak jugak beli dekat kau!” ujar Julia. “Makanlah! Kalau kau tak nak, kau kasi balik dekat Zaid.”

“Kau makanlah Julia. Aku tak de seleralah nak makan nasi.” Bukan niat aku tak menghargai pemberian Zaid. Tapi, aku kurang berselera dengan nasi.

“Aku dah makan dengan Zaid tadi. Kau makanlah. Sikit pun jadilah,” Julia seakan memujuk.

“Mana Zaid?”

“Ada kat setor. Bersihkan oven.”

“Kau tolong jaga kaunter jap. Aku nak jumpa Zaid.”

Melangkah sahaja ke dalam, aku lihat Zaid sedang ligat membersihkan setiap satu oven.

“Zaid!” walaupun aku mungkin mengganggu kerjanya, tapi aku tetap teruskan niat aku.

“Nisa,” Zaid menoleh padaku. Pandangannya jatuh pada bungkusan nasi di tanganku. “Tak makan lagi?”

“terima kasih untuk nasi ni,” ujar aku sekadar menghargai keikhlasannya. “Tapi, saya tak minta awak belikan untuk saya.”

Zaid meletakkan tuala di atas meja lalu memandang aku.

“Sejak awak kerja di sini, awak semakin kurus. Hari-hari awak cuma makan kek atau roti je. Awak kena jaga kesihatan awak,” tegasnya.

Salah aku jugak, setiap kali aku pulang dari kolej dan terus ke bakery, pasti aku merungut kelaparan. Setiap kali sampai di bakery, setiap kali jugaklah kek dan roti sajalah yang menjadi habuanku. Mungkin sikap aku menjadi perhatian Zaid.

“Bukan saya tak nak makan…” Aku hanya mengeluh. Aku sendiri tak pasti dengan seleraku yang tiba-tiba saja berubah. “Saya tak ada selera nak makan nasi.”

“Tak apalah…..Awak cubalah makan sikit.” Zaid bangun lalu menyambung tugasnya semula.

“kenapa awak buat semua ni?” Soalan aku membuatkan kerja Zaid terhenti lagi. “Kenapa awak ambil berat tentang saya?”

Zaid berpaling memandang aku semula.

“perlukah saya terangkan kenapa?” dia bertanya. “Awak tak dapat rasa apa yang saya rasa?” dia memandang tepat ke dalam mataku.

Mungkin dia tak berkata apa-apa. Tapi pandangannya cukup untuk membuatkan aku mengerti apa yang tersimpan dalam hatinya. Memandang matanya lama sebegitu, membuatkan persoalan aku terjawap. Patutlah dia selalu memberi perhatian pada ku.

“Awak bukan dengan Julia?”

“Julia?” Soalan aku itu mungkin mengejutkan dia. Tapi kemudian dia menggeleng. “Julia adik saya!”

“Adik?” Kenapa aku tak pernah tahu?

Aku diam seketika. Sama ada Julia kekasih, kawan atau adiknya sendiri, siapa pun Julia itu pada Zaid, aku tetap tak boleh mendekati Zaid atau membenarkan dia mendekati aku.

“Terima kasih untuk nasi ni, Zaid. Sebagai seorang kawan, saya sangat menghargainya.” Aku harap kenyataan itu membuatkan Zaid mengerti dengan jawapan aku.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Dua bulan kemudian……

Syukur alhamdulillah…..Akulah manusia yang paling gembira dengan keputusan yang baru ditetapkan. Aku, mak dan ayah berpelukan sambil mengalirkan airmata gembira. Selama tiga tahun aku mengambil masa untuk berfikir bagi mengambil tindakan ini. Akhirnya, atas dorongan mak dan ayah aku melakukannya. Kini, semuanya sudah selesai. Hati aku benar-benar lega. Terasa bagai satu bebanan yang selama ini menghimpitku di ambil dan terus tercampak keluar.

“Terima kasih, mak ayah. Nisa hanya kuat dengan mak dan ayah.” Semakin erat pelukanku untuk mereka berdua.

“Mulai dari hari ini, saat ini, ayah mahu Nisa lakukan yang terbaik untuk Nisa. Apa yang berlaku, jadikan pengajaran dan ikhtibar agar Nisa sentiasa kuat.” Nasihat demi nasihat yang abah dan mak berikan aku simpan kemas dalam ingatan. Bukan seperti dulu, di mana nasihat mereka hanya aku biarkan berlalu begitu sahaja. Nasihat mereka ibarat mencurah air di daun keladi.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Hati aku berbunga riang apabila pintu bakery sudah terlihat didepan mata. Semakin laju langkah aku agar cepat sampai di bakery.

Masuk sahaja ke dalam bakery aku lihat Julia dan Zaid sudah siap mengambil order dari kawan-kawan yang mahu memesan makan malam buat mereka. Aku terus meluru pada Julia dan merampas kepingan kertas kecil ditangan Julia.

“Tak pe, hari ni, biar aku yang beli!” Aku menawarkan diri.

“ehhh…..Nak curi tulanglah tu. Kau kan baru sampai!” usik Julia.

“Taklah!” pandai-pandai je Julia ni! “Aku nak belanja korang! Jadi biar aku yang pergi beli!”

“Wah!!!” Teman-teman lain sudah bersorak gembira. Sepasang mata milik Zaid yang terus menatap aku, hanya aku biarkan tanpa balasan. Bukan aku tak sedar mata itu tak lepas memandang aku. “Korang tunggu sini, aku pergi sekarang!” ketika keluar dari bakery, aku berselisih dengan Zaid. Namun, aku langsung tak membuang pandangan aku padanya.

“Woi pompuan!!” Beberapa tapak lagi aku akan sampai ke gerai Kak Zah, terus telinga aku menangkap jeritan suara yang aku kenal. Aku dapat rasakan, dada aku bergetar kencang. Tubuh aku menggeletar.
Ketakutan aku semakin semakin mengusai diri apabila kelibat itu muncul di depanku dengan wajah yang bengis.

“berani kau!!” Dia menunding tepat pada muka aku.

Aku sudah terpaku di situ.

Lelaki itu semakin dekat melangkah mendekatiku. Derapan kakinya sudah cukup membuatkan seluruh anggota badan aku berhenti berfungsi. Apa yang akan berlaku sekarang? Aku akan dipukul lagi? Aku akan disepak terajang lagi? Aku tak dapat bayangkan itu.

Semakin dekat dia dengan aku, dengan lebih jelas aku melihat tangannya yang sudah terangkat untuk bertindak ke atas ku. Aku terus menikus di situ dan memejam mata.

Namun pendengaran aku menangkap suara lelaki itu sedang mengerang kesakitan. Lantas aku membuka mata. Satu kelibat lain sedang berdiri di depan aku dan membelakangkan tubuhnya dari aku. Siapa? Lelaki itu, dia sudah terjelepuk ke tanah. Kemudian dia bangun dan memandang aku dengan api dendam yang membara.

Kelibat yang berdiri membelakangi aku menoleh. Zaid? Dia ada di sini? Dia selamatkan aku?

“Pompuan sial!!” lelaki itu menunding pada aku.

Jerkahannya itu semakin menakutkan. Aku menyambunyikan diri di belakang Zaid. Lengan Zaid aku pegang dengan kuat.

“Kau dah ada hero ya!!” jelas suara itu kedengaran. “Tak pe…tak pe….Tahulah aku nak mengajar kau nanti!!”

Di balik tubuh zaid, aku mengintai. Lelaki itu berlalu pergi sambil memegang perutnya. Menahan sakit, barangkali. Mungkin zaid menumbuknya di perut. Dasar pengecut! Dengan aku kau beranilah!

“Awak okey Nisa?”

Soalan Zaid itu membuatkan aku menarik genggaman tanganku yang erat memegang lengannya. Aku sekadar mengangguk.

“Macam mana awak boleh ada di sini?” Soalan itu hanyalah sekadar untuk berbasi-basi dengan Zaid. Sesungguhnya, aku amat bersyukur dengan kehadiran Zaid di sini.

“Entahlah…Cuma saya tergerak hati untuk mengikut awak. Awak tu, dahlah selalu tak sihat!”

Aku diam. Mana ada aku tak sihat? Aku sentiasa sihat, cuma badan aku je selalu rasa letih.

“Jom, saya temankan awak!” Zaid memberi isyarat agar kami meneruskan langkah. Mujurlah Zaid langsung tak bertanya siapa gerangan yang mahu menyerangku tadi.

Baru dua tiga langkah aku bergerak, terus aku terasa tekak aku mual, kepala aku pening. Aku berhenti dan cuba mengawal diri dari memuntahkan apa-apa dari perutku.

“Kenapa dengan awak ni Nisa?”

“Entahlah…..tiba-tiba je saya rasa pening.” Sungguh, aku belum pernah lagi merasa begini. Apa yang tak kena dengan aku sebenarnya.

“Kita ke klinik dulu. Klinik pun tak jauh dari sini!” Zaid mahu memegang aku, namun aku menolaknya.
“Tak apa, saya boleh jalan sendiri.” Aku menolak dengan cara yang baik. Aku tahu niat baik Zaid, tapi aku tetap perlu menjaga kelakuanku.

Zaid menghormati permintaanku dan menjarakkan dirinya denganku. Baru beberapa langkah aku teruskan, pandangan aku berpusing semula. Dan dalam masa yang sama, aku dapat merasakan sepasang tangan menyambut tubuhku.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Aku dan Zaid duduk bersebelahan. Doktor di depanku yang sedang tersenyum, menulis sesuatu dalam kad laporan. Setelah itu, dia menoleh pada aku dan Zaid.

“Puan Nisa jangan risau. Puan Nisa tak apa-apa.”

Aku menarik nafas lega. Aku lihat Zaid juga berbuat begitu.

“Cuma, saya minta Puan Nisa perlu banyak rehatkan diri sebab tekanan Puan Nisa agak rendah. Tapi itu perkara biasa. Tak perlu dirisaukan sangat. Yang penting, jaga pemakanan. Setiap hari, Puan Nisa perlu mengambil makanan seimbang dan elakkan dari makan benda-benda tajam.”

Pelik betul nasihat doktor ni! Doktor itu menoleh pada Zaid pula.

“Sebagai seorang suami, encik perlu jaga isteri encik dengan lebih lagi. Tapi encik tak perlu risau, apa yang berlaku pada Puan Nisa hanyalah diperingkat awal kehamilan……”

“Hamil??!!” Aku dan Zaid terus terbangun dari duduk kami. Seperti mana aku terkejut, seperti itu jugaklah reaksi Zaid.

Dengan reaksi seperti ini, aku yakin, apa yang ada dalam fikiranku terlalu jauh dengan apa yang ada dalam fikiran Zaid.

Jadi, lafas talak yang telah dijatuhkan lelaki itu pada aku tidak sah! Kerana aku sedang mengandungkan zuriatnya, maka aku masih bergelar isteri! Itu yang ada dalam fikiranku, sedangkan Zaid pasti sedang mengutukku. Tentu dia merasakan aku seorang wanita yang hina!

Dengan langkah yang berat, aku keluar dari klinik itu. Zaid masih di sisiku. Zaid terus membisu sepertiku. Aku pun tak mengerti mengapa Zaid hanya berdiam diri. Sedangkan, dia boleh terus mengejiku atau paling tidak bertanya padaku, anak siapa yang aku kandungkan? Apa yang berlaku dalam hidupku?

“Awak….” Aku teringat pada teman-teman di bakery. Zaid menghentikan langkahnya seperti aku. “tolong rahsiakan…..” hanya itu yang mampu aku ucapkan. Zaid mengangguk. Anggukkan itu sangat melegakan hati aku.

“mari saya hantar awak balik.” Terus aku memandang Zaid bila dia berkata begitu. Aku tak faham, kenapa Zaid tak menghujani aku dengan soalan demi soalan yang sepatutnya dia tanyakan?

 “Doktor beri awak cuti sakitkan? Biar saya hantar awak. Nanti saya beritahu dengan teman-teman lain.” Zaid meneruskan langkahnya.

“Zaid….”

Zaid menoleh padaku.

“terima kasih….”

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Sejak aku tahu diriku hamil, aku dah tak mampu berpura-pura gembira lagi di depan orang. Selama ini, aku menyembunyikan perasaan yang terpendam dengan lagak ceria. Tapi, berita yang satu ini tak dapat membuatkan aku meneruskan keceriaan yang pura-pura itu lagi!

Aku sangat berharap kisah aku dan lelaki itu tamat. Tapi, aku sedang mengandungkan bayinya! Apa akan jadi pada bayi ni? bagaimana nasibnya? Bagaimana nasib kami jika lelaki itu tahu aku sedang mengandungkan anaknya?

Mak dan ayah tak jemu-jemu memberikan sokongan demi sokongan. Ada saja nasihat yang diberikan agar aku menerima ketentuan Allah dengan hati yang sabar. Aku mampu bersabar selama ini, dan aku juga mampu untuk menerima bayi ini. Apa yang aku khuatirkan, apa akan jadi pada bayiku nanti? Bagaimana jika aku tak mampu membesarkan bayi ini dengan kehidupan yang sepatutnya? Apakah bayiku akan bahagia?

Lima tahun, aku bergelar isteri padanya. Aku menamatkan zaman remaja ku seawal usiaku sembilan belas tahun. Hanya dua tahun pertama aku bahagia. Masuk tahun ke tiga, sikapnya semakin berubah. Bermula dari berkawan dengan orang-orang yang salah, akhirnya dia terperangkap di meja judi. Mulanya hanya mahu berseronok, lama-lama keseronokan itu sudah menjadi satu ketagihan.

Hidup kami semakin sempit apabila dia dibuang kerja tetapi dia tetap meneruskan ketagihannya di kancah judi. Habis barang-barang kemas dan wang ringgit dilaburkan ke meja judi. Tak cukup dengan itu, dia sudah mula berhutang sekeliling. Hutang dengan kawan-kawan, dengan saudara maranya. Aku tetap terus bersabar dengan segala yang berlaku dan merahsiakannya dari pengetahuan keluargaku. Hanya satu perkara yang aku fikirkan, kerana dia adalah suamiku. Menceritakan keburukannya, sama seperti menceritakan keburukanku

Jiwa aku yang terluka ku pendam terus dengan sikapnya yang semakin bertukar rentak. Dia sudah tak pulang ke rumah. Kadang-kadang dua tiga hari dia tak pulang. Bila dihubungi, telefon dimatikan. Kadang-kadang, sampai seminggu dia tak pulang. Jiwaku terus merintih pilu. Di mana suamiku? Di mana suamiku yang dulu? Di mana suamiku yang selalu mencintaiku?

Sampailah di satu saat, aku dihubungi Ah Long. Dia sudah mula berhutang dengan Ah Long. Ya, Allah….Aku bisa bersabar dengan kesempitan hidupku. Tapi aku tak mampu berdiam diri bila dia mula meletakkan kehidupan kami di tangan Ah Long. Saat itu aku sudah mula berfikir untuk melarikan diri. Tapi kaki aku terikat apabila aku menyedari aku adalah seorang isteri.

Mungkin kerana tertekan dengan hutang pada Ah Long, dia mula meminta wang dariku. Manalah aku punya wang sedangkan aku tidak bekerja! Aku sendiri tak mampu mengurus makan minumku, bagaimana aku mampu memberikan wang untuknya. Akhirnya, tubuh aku menjadi mangsa kemarahannya.

Semuanya berakhir apabila mak dan ayah datang ke rumah. Ketika itu, dia sedang melampiaskan kemarahannya padaku. Mak dan ayahlah penyelamatku. Akhirnya, mereka membawa aku keluar dari situ walaupun lelaki itu menghalang mereka. Aku tahu, dia lebih berhak ke atas ku berbanding orang tuaku. Namun, setelah ayah mengugut untuk memanggul polis, barulah dia melepaskan aku.

Mak dan ayah terlalu marah kerana aku merahsiakan apa yang berlaku. Mereka mendesak aku agar membuat laporan dan berpisah dengan lelaki itu. tapi, aku sendiri pun tak pasti kenapa aku masih cuba untuk mempertahankan rumahtangga kami.

Dia…lelaki itu, aku mengenalinya sebagai seorang lelaki yang baik. Dia memang baik! dia hanya tersilap langkah. Aku masih mengaharapkan agar dia berubah menjadi suamiku yang penyayang.

Setahun berlalu, apa yang aku harapkan tak juga tiba. Sejak ayah dan mak mengambilku, aku langsung tak mendengar khabarnya. Walaupun berkali-kali mereka menyuruh aku membubarkan perkahwinan ini, aku masih berdiri di situasi yang sama. Aku tak tahu kenapa….

Sampailah suatu hari, tiba-tiba sahaja dia muncul di depanku bersama senyumannya. Sama seperti kali pertama kami berkenalan sebelum bergelar suami isteri. Dia melayaniku dengan baik, membawa aku berjalan-jalan, membawa aku makan. Perasaan aku terbuai seperti saat pertama kami berkenalan.

Kemudian, dia membawa aku pulang ke rumah dan cuba mengimbas saat-saat kami hidup bersama. Sampai sahaja di rumah, terus sikapnya berubah. Senyuman yang manis itu berubah. Dia bagaikan harimau kelaparan yang sedang menunggu mangsa. Rupanya, dia hanya mahu membalas dendamnya padaku. Dan dendamnya terbalas saat aku menjadi bodoh kerana mengharapkan perubahannya!

Bermula dari detik itu, aku mengikuti saranan mak dan ayah untuk membubarkan perkahwinan ini tanpa aku ketahui dalam perutku kini tersemadi zuriatnya.

Aku tahu, teman-teman kolej dan teman-teman di bakery menyedari sikap aku yang jauh berubah ini. Walaupun aku sedaya upaya tersenyum di depan mereka, tapi aku tak mampu untuk ketawa lagi.

Zaid, dia juga seakan menjauhiku. Walaupun dia masih pritahin padaku, namun dia sikap dia dingin pada aku. Dia tak lagi memandang aku bila berselisih dengan ku. Tetapi, makan minumku, sentiasa dijaganya.

Adakalahnya dia akan menyiapkan roti dan kek dan diletakkan buah-buahan di atasnya sebagai hiasan atau inti, lalu diserahkan pada Julia untuk diberikan  padaku. Kadang-kadang dia membelikan susu soya dan meminta Julia memberikannya padaku. Walaupun Julia tak memberitahuku yang semua itu datangnya dari Zaid, tapi aku tahu Zaid yang memberikannya pada ku.

“Kau ni kenapa?” Julia bertanya setelah memberikan sekeping pizza untukku. Pizza itu juga datangnya dari Zaid. “Zaid suruh kau buang nanas tu. Jangan makan!” Julia terus menepis tanganku apabila aku mahu menyumbat Pizza yang berisi nanas di atasnya.

Aku tahu, aku tak boleh makan nanas. Aku tak nampak nanas yang terselindung di bawah kepingan sosej.

“Zaid?” Kenapa Zaid masih prihatin dengan aku? “Aku tak de seleralah nak makan.” Aku meletakkan semula kepingan pizza itu.

“Kau ada masalah ke?” Julia bertanya lagi.

“Mana ada. Biasa je.” Itulah jawapan klise aku pada soalan klise Julia.

“Tak apalah. Kalau ada apa-apa, beritahu aku.” Jujur sekali kata-katanya pada pendengaranku. Julia, kau ni terlalu baik. Sama seperti abang kau.

Aku menyambung kerjaku, sehinggalah Zaid datang dan berdiri di sebelah.

“Kenapa awak tak makan?” tanya Zaid.

“Kalau saya lapar, saya makan.”

“Awak kena jaga makan minum awak. Dalam perut awak tu, perlukan makan juga.” Dia berbisik ketika berkata begitu. kemudian, dia berlalu.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Aku berdiri di depan bakery sambil menunggu ayah datang mengambil ku. Tadi, ayah menghubungi dan memberitahuku tentang kelewatannya. Ayah minta agar aku meminta tolong teman-teman untuk menemaniku sehingga aku datang. Jadi, aku minta bantuan Julia memandangkan Julia satu-satunya pekerja perempuan selain ku.

Kalau Julia menemaniku, pasti Zaid juga akan menemaniku kerana menunggu adiknya. Ketika ini, Julia berada didepan dan agak jauh dari tempat ku berdiri. Dia sedang berbual di telefon. Sesekali aku terdengar dia ketawa gembira. Pasti sedang berbual dengan teman lelakinya.

“Awak sihat?” Zaid mengambil kesempatan itu dan berdiri di sebelahku.

“Sihat.”

Satu soalan itu sahaja yang ditanya. Kemudian, dia terus membisu dan menyandarkan tubuhnya di dinding.
Aku masih bersoaljawab dengan diriku. Perlukah aku menjernihkan keadaan aku dan Zaid? Tak, kami tak punya masalah. Tapi apa yang menggusarkan aku, pandangan Zaid padaku. Tiada seorang pun dari kalangan temanku yang tahu aku pernah berkahwin. Baik teman kolej mahupun teman di bakery ini termasuklah Zaid.

“Saya minta maaf sebab dah menyusahkan awak dan Julia.”

Zaid mengalihkan perhatiannya padaku lalu mengangguk dan kemudian ke kembali ke posisi tadi. Aku benar-banar sebal dengan sikapnya. Adakah dia bersikap begitu kerana jijik dengan aku?

“kenapa? kenapa awak tak pernah tanya apa-apa?”

Zaid kembali memberi perhatian padaku.

“Perlukah saya bertanya?” Tepat anak matanya memandang ku.

Tentu sahaja aku akan jawap tak. Tapi bila sikapnya begini, aku rasa…..

“Awak tahu tak, saya rasa awak bencikan saya! Awak tak macam dulu!”

Zaid mengeluh.

“Tak macam dulu, macam mana maksud awak? Dulu dan sekarang sama saja. Kita pun bukannya rapat sangat.”

Betul juga apa yang dikatakan Zaid. Aku memang tak rapat dengan Zaid. Tapi, aku dapat rasa perbezaan pandangannya pada aku antara dulu dengan sekarang.

“Saya tak bencikan awak, Nisa. Kalau saya bencikan awak, saya takkan ambil berat tentang awak. Kitakan kawan?” ujarnya. Sungguh, kata-kata itu menusuk terus ke dalam hatiku.  Terus aku tertunduk. Malu dengan sikapku sendiri.

“Kalau awak percaya pada saya, awak boleh berkongsi apa-apa saja dengan saya. Saya takkan mendesak awak dengan bertanya apa-apa soalan.”

Terdiam aku dengan keikhlasannya. Percaya? Itulah satu perkataan sangat aku takuti. Kepercayaan adalah satu keistimewaan yang diberikan pada seseorang. Namun, sekali kepercayaan itu dicalari, ia tak mungkin dapat dikembalikan biar diperbaiki semua kesalahan. Ibarat segelas kaca yang bertaburan, ia tetap takkan sama biar dicantumkan semula.

Melihat kebisuan aku, Zaid kembali ke posisi tadi, barsandar pada dinding dan mendiamkan diri seperti ku.
Julia sudah mematikan perbualannya di telefon. Aku mahu menghampirinya dan menjauhi Zaid. Malangnya, ketika aku menuruni tiga anak tangga di depan bakery itu, aku tergelincir dan………………..

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Sedar-sedar je, aku sudah berada di katil hospital. Apa dah jadi sebenarnya? Perkara yang terakhir aku ingat, aku bersama Zaid dan Julia. Aku cuba bergerak, namun aku terasa begitu lemah.

Melihat aku sedar dari pembaringan, mak terus memelukku bersama linangan air mata.

“Nisa tak apa-apalah mak…” Mak perlu dipujuk. Mak memang sensitif orangnya. Kadang-kadang kesedihan yang aku tanggung, lebih banyak membuatkan mak menangis berbanding tangisanku sendiri. Setelah apa yang berlaku, barulah aku menyedari, hanya orang tua sahaja yang akan menerima anak-anaknya seadanya. Malanglah bagi anak-anak yang mengabaikan orang tuanya!

Aku mahu bangun dan bersandar. Mak membantu aku. Ketika pergerakan itu, aku merasakan tubuh aku ringan sekali. Perut aku terasa kosong. Aku memegang perutku. Sungguh, aku merasa perbezaannya!

“Mak, kenapa Nisa rasa perut Nisa kosong?”

Mak terus menangis. Mak tak menjawap soalan aku! Tapi tangisan mak sudah cukup untuk memberikan aku jawapannya.

Memang, pada mulanya aku takut untuk menerima bayi ini. Namun, semakin lama semakin janin ini membesar dalam tubuhku, rasa sayang itu semakin bercambah. Aku sudah mula merasa mahu menjadi seorang ibu. Lapan belas minggu, janin itu sedang membesar dalam rahimku. Tapi kini….

Mak menggenggam tanganku erat-erat.

“Ayah, Zaid dan kawan-kawan Nisa yang lain sedang menghantar dia untuk disimpan.” Suara mak tersangkut-sangkut.

Maknanya, teman-teman aku yang lain pasti sudah mengetahui sejarah hidupku.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Tiga minggu kemudian……..

Sebaik sahaja kesihatan aku pulih, aku kembali ke kolej. Hari ni, merupakan hari pertama aku. Mujurlah, pihak kolej banyak merahsiakan tentang diri aku. Teman-teman di sana pun masih belum tahu apa yang berlaku. Mereka hanya tahu, aku bercuti.

Balik dari kolej, aku meneruskan rutin biasaku sebagai pekerja separuh masa di Boulangerie.

Ya, aku memang sudah pulih dari kesihatan tapi mental ku masih belum-belum bersedia untuk menghadapi kehilangan bayiku. Aku baru bermimpi untuk menjadi seorang ibu. Namun, semuanya punah!

Hampir sampai sahaja di depan bakery, aku lihat teman-teman sudah sedia menunggu. Mereka melambai-lambai padaku. Termasuklah Zaid.

Lambaian mereka tiba-tiba saja mati. Aku tergamam di situ. Kenapa mereka bersikap begitu padaku? Tiba-tiba sahaja semua teman-temanku meluru. Mulanya aku sangkakan mereka meluru padaku, tetapi mereka terus melepasi ku. Aku menoleh.

Rupa-rupanya, mereka meluru kepada lelaki itu yang sedang berlari pada aku bersama sebilah pisau ditangannya.

“Lepas!! Lepas!!” lelaki itu meronta. Wan, Sham dan Viru memegang kuat lelaki itu. Zaid merampas pisau ditangannya.

Astaghfirullah……apa yang lelaki itu mahu lakukan padaku?

“Perempuan tak guna! Kau mengandungkan anak aku, tapi kau tak beritahu aku! Kau bunuh anak aku?”

Aku memandang tajam padanya.

Inikah lelaki yang pernah aku cintai satu ketika dulu? Inikah lelaki yang menyemai benih-benih cintanya bersamaku? Tidak! Ini bukan lelaki itu! Lelaki itu sudah mati saat dia mengkhianati kepercayaanku! Lelaki yang berdiri di depanku ini adalah lelaki lain! Lelaki yang aku memandangnya dengan penuh rasa benci!

“Kau pembunuh! Kau bunuh anak aku!!”

Aku? Aku yang membunuh?

“Bayi yang aku kandungkan anak aku! Bukan anak kau!” Entah dari mana aku mendapat keberanian membalas setiap kata-katanya. Yang pasti, aku benci melihat lelaki itu. sangat benci sehingga aku tak mampu untuk menyebut namanya lagi!

“Bayi tu anak aku! Kau dah lupa? Kalau kau lupa biar aku ingatkan peristiwa itu. Perempuan bodoh!!” lelaki itu ketawa berdekeh-dekeh. Sungguh, tawanya itu bagaikan bom yang sedang meletup di pendengaranku.

Aku memandang dia tanpa beralih sedikit pun pandangan aku padanya. Taman-taman masih memegangnya dengan kemas. Aku mendekati lelaki itu. lelaki yang masih dengan tawa sinisnya terus memandang aku.

Pang!! Satu tamparan aku lemparkan di pipi kirinya. Aku lakukannya sekuat hatiku. Sebesar mana bencinya aku pada lelaki ini, sebesar itu jugalah aku cuba membalas perbuatannya dengan tamparan ini. Walaupun aku tahu mungkin tamparan ini langsung tak berbekas padanya.

“Aku memang dah lama mahu lakukan ini pada kau! Aku mahu membalas setiap perbuatan kau. Tapi aku selalu mengingati kata-kata Rasulullah- ‘Jika aku mampu  menyuruh manusia bersujud pada manusia lain, pasti aku akan menyuruh seorang isteri untuk sujud pada suaminya.” Airmata aku mengalir, tapi bukan kerana sedih tetapi kerana geram. “tapi sekarang, aku bukan lagi isteri kau!”

“Aku memang perempuan bodoh bila jatuh cinta dengan kau, kerana aku seorang wanita! Aku memang perempuan bodoh bila terus mencintai walaupun dikhianati, kerana aku seorang isteri! Aku memang perempuan bodoh bila terus merahsiakan setiap kesakitan aku, kerana aku seorang isteri! Aku memang perempuan bodoh bila terus setia walaupun aku dilukai,  kerana aku seorang isteri. Tapi aku sedar dari kebodohan aku bila aku kehilangan bayi aku…..kerana aku seorang ibu!”

Wan, Shan dan Viru terus membawa lelaki itu pergi. Mungkin ke balai polis, barangkali.

“Nisa…” zaid berdiri di depanku. “Lebih baik awak buat laporan polis. Kalau dibiarkan, bahaya untuk awak!”

Kata-kata Zaid ada benarnya.

“Mari….” Julia menarik tangan aku. “Aku temankan kau buat laporan. Biar Zaid jagakan kedai buat sementara.”

Kaki aku menurut langkah Julia namun fikiran aku terus melayang jauh.

Aku tak pernah mengharapkan kesudahan yang begini. Seandainya bahagia bukan milik aku, aku redha. Tapi aku tak menjangka suatu saat nanti aku akan membuat laporan ke atas orang yang pernah hidup bersama ku. Memang lelaki itu bersalah atas setiap kesalahan yang dilakukannya.

Tapi disebalik itu, aku juga bersalah. Kesalahan aku adalah, aku terbuai dengan kehidupan dunia. Saat aku bahagia dengan kehidupan aku, aku alpa pada Sang Pencipta. Dan kini, ujian menimpaku. Namun aku bersyukur, kerana ujian ini, aku kembali padaNYA.

Cerita hidup aku takkan berakhir di sini. Sekarang, aku bergelar janda. Lebih banyak cabaran yang perlu aku lalui. Selain memikirkan kehidupan dan mengatur semula perjalanan hidupku, aku perlu menjadi lebih tegar.

Janda….bukan gelaran yang diimpikan oleh setiap wanita. Masyarakat mungkin berubah, cara hidup berubah, namun perspektif mereka pada orang sepertiku takkan pernah berubah. Janda jahat! Janda suka ganggu rumahtangga orang! Itulah yang biasa didengari.

Aku perlu lebih tegar dalam meniti hidup ini.

Zaid….Dia seorang lelaki yang baik. Segala bantuannya, sangat aku hargai. Namun pintu hati aku masih belum terbuka untuk seorang lelaki. Aku mahu memastikan orang tuaku bahagia dengan kehidupan mereka dahulu sebelum aku memikirkan kebahagiaan aku semula.

Andai ditakdirkan aku akan jatuh cinta semula, aku berdoa agar cinta itu suci dengan perasaan cinta padaNYA. Hanya cinta yang berlandaskan cinta padaNYA akan membawa aku pada kebahagiaan.

Kini, aku mahu hanya memburu cintaNYA…..


-tamat-

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%








Thursday 21 June 2012

Ratu Hati Si Putera Arab 9










SEPASANG mata milik Zack yang sedang bersembunyi di balik tembok sedang memerhati segala yang sedang berlaku di Rumah Warisan. Dia mengukirkan senyuman melihat gelagat Audra dan Zana yang sudah merajuk dengan Che Enon.
Zack bersandar di dinding. Dia langsung tidak menyangka akan menemui Audra di sini. Sebenarnya, dia datang ke sini untuk mengambil kot hitamnya yang tertinggal di sini. Dia juga mahu menemui Che Enon untuk memberitahu Che Enon yang dia akan mengambil seorang pereka dalaman untuk memperbaharui semula susunan di Rumah Warisan.
Zack ketawa kecil. Siapa sangka, Che Enon terlebih dahulu membawa pereka dalaman yang tidak bertauliah untuk membantunya. Lebih mengujakan, salah seorang darinya adalah Audra Laily. Zack mengemamkan bibirnya. Bagus! Dia mahu lihat apa yang mampu dilakukan Audra.
Ketika dia tiba di situ, Pak Rahim terlebih dahulu memohon maaf padanya kerana Che Enon membawa orang luar masuk ke dalam Rumah Warisan. Katanya, Che Enon hanya mahukan bantuan dari mereka berdua. Lantas dia menyelinap ke kawasan Rumah Warisan setelah meninggalkan keretanya di depan pintu pagar.
Dia menyuruh Pak Rahim merahsiakan kedatangannya dari yang lain. Teruja rasa hati bila Pak Rahim beritahu Che Enon bawa pulang dua orang gadis dari kolej berdekatan. Bukankah kolej berdekatan adalah kolej di mana Audra belajar? Bila mendengar sahaja kata Pak Rahim, entah kenapa jantungnya terus berdebar kencang. Dek kerana itulah dia menyelinap masuk ke dalam Rumah Warisan untuk melihat gerangan siapakah yang dibawa Che Enon.
Debarannya beralasan apabila melihat susuk tubuh Audra bersama temannya. Dia tersenyum melihat gelagat mereka. Apa yang pasti, Audra mahu hilangkan segala kenangan di rumah ini? Bolehkah gadis itu buat begitu? Dia mahu menunggu apa yang bakal dilakukan Audra. Teruja benar dirasakannya!
Namun, sebahagian dalam dirinya meragui keikhlasan hati Audra. Apakah Audra lakukan perkara ini kerana mahu menambat hati Tuan Syed Zikri setelah melihat segala kemewahan di dalam Rumah Warisan ini? Bukankah Audra mahukan seorang putera raja untuk menjadi pendampingnya? Tak mengapa, dia akan mencari jalan untuk lebih mengenali diri Audra.
Zack berjalan semula ke pondok sekuriti Pak Rahim. Kelihatan lelaki itu sudah tercegat menunggunya. Pak Dollah juga berada di sisinya. Mungkin Pak Dollah baharu pulang. Sebentar tadi dia diberitahu bahawa Pak Dollah tidak ada kerana ada urusan yang perlu diselesaikan. Ada riak kekhuatiran dari raut wajah mereka berdua. Zack hanya tersenyum. Bukan dia tak tahu mereka semua takut jika mereka akan dimarahi.
“Pak Rahim, tolong panggilkan Che Enon sekarang. Diam-diam ek! Jangan sampai dua orang budak perempuan tu tahu,” ujar Zack. “Saya tak nak mereka tahu saya ada di sini!”
“Baik, Tuan Syed!” Pak Rahim hilang dari pandangannya.
"Tuan Syed, saya dah dapat seorang sekuriti seperti yang Tuan Syed minta," ujar Pak Dollah. Sejak pagi tadi, dia menghilangkan diri dari Rumah Warisan kerana mahu menyelesaikan urusan ini.
"Bagus!" Terangkuk-angguk kepala Zack. "Siapa?"
"Saudara saya sendiri. Baharu datang pagi tadi," ujar Pak Dollah. "Maaf Tuan Syed, sebab dari pagi tadi saya keluar baru sekarang saya pulang. Sebenarnya, saya cari bilik sewa yang murah untuk saudara saya."
"Uh?" Kening Zack sudah terjongket. "Kenapa tak bawa datang sini terus? Kan bilik untuk setiap pekerja di sini dah tersedia."
"Sebenarnya, saya tak berani nak bawa dia tinggal di sini terus sebelum saya bawa dia jumpa dengan Tuan Syed. Saya rasa, lebih baik Tuan Syed jumpa dia dulu. Lepas tu, baru buat keputusan sama ada mahu ambil dia bekerja atau tidak," usul Pak Dollah.
"Baiklah. Esok pagi, bawa dia ke Warisan Syed berjumpa dengan saya."
Seketika kemudian, kelihatan bayangan yang berlari-lari anak menghampiri pondok sekuriti Pak Rahim. Muncullah Pak Rahim dan Che Enon.
“Tuan Syed!” Sapa Che Enon yang sudah kelihatan gelisah. Kedua-dua tangannya sudah tergenggam kemas. Sungguh, dia memang agak takut seandainya dimarahi oleh Tuan Syed Zikri.
Zack hanya menganggukan kepala, membalas sapaan Che Enon.
"Che Enon minta maaf Tuan Syed. Sebenarnya, Che Enon dah habis fikir." Che Enon yang ketakutan itu membuka mulut. Lebih baik dia meminta maaf terlebih dahulu sebelum Tuan Syed Zikri bertanya apa-apa tentang Audra dan Zana. "Sebab itulah Che Enon bawa mereka berdua datang ke sini untuk bantu Che Enon."
"Saya dah lihat dua orang budak perempuan yang Che Enon bawa,” ujar Zack. Dia memeluk tubuhnya.
Berubah wajah Che Enon. Wajah yang sedia takut itu semakin ketakutan. Kasihan pula Pak Rahim melihat wajah Che Enon. Jika Che Enon dimarahi, dia juga perlu dimarahi kerana dia juga bertanggungjawab membenarkan mereka berdua masuk ke situ. “Maaflah Tuan Syed sebab kami dah bawa masuk orang asing tanpa pengetahuan Tuan Syed. Sebenarnya, Che Enon cuma nak minta bantuan mereka saja.”
Zack memandang Pak Rahim pula. “Tak mengapalah,” ujar Zack dengan lembut. “Cuma, saya minta lepas ni kalau kamu semua nak buat apa-apa pun beritahu saya dulu. Jangan buat apa-apa diluar pengetahuan saya!” arah Zack dengan sopan. Biarpun mereka bertiga adalah pekarjanya, namun satu kewajipan baginya untuk menghormati orang yang lebih tua darinya.
“Baik Tuan Syed!” ujar mereka bertiga serentak.
“Saya nak minta tolong dengan Che Enon, Pak Rahim dan Pak Dollah,” ujar Zack dengan serius. Mereka bertiga memberikan perhatian kepadanya. "Untuk pengetahuan kamu semua, mereka berdua termasuk dalam calon pelajar yang akan menghadiri temuduga dengan Warisan Syed. Sekarang ni, Warisan Syed sedang memerhatikan mereka tanpa mereka sedari."
"Oh," Terangguk-angguk kepala mereka bertiga bersama dengan muncung yang panjang.
“Saya mahu di depan dua gadis yang Che Enon bawa tu, jangan ada seorang pun yang panggil saya Tuan Syed. Mereka berdua tak boleh tahu siapa saya!”
Mereka bertiga berpandangan sesama sendiri. Masing-masing tertanya dengan maksud tujuan Tuan Syed Zikri melakukan begitu.
“Maksud Tuan Syed?” Che Enon mengambil peranan untuk bertanya.
“Begini, mereka berdua adalah calon pelajar yang akan dibawa masuk ke Warisan Syed. Mereka berdua masih dalam perhatian. Jadi, saya mahu rahsiakan identiti saya! Kalau di depan mereka, saya mahu kamu semua panggil saya, Encik Zack, orang kanan Tuan Syed Zikri!” terang Zack dengan lebih jelas.
“Oh, kiranya Tuan Syed mahu menyamarlah?” Wajah Che Enon sudah bergaris dengan senyuman.
Zack menganggukkan kepalanya. “Boleh?” tanyanya.
Mereka yang lain mengangguk.
“Oh ya, jangan lupa beritahu tentang rancangan saya pada Pak Sudin!”
“Jadi, Tuan Syed tak marah saya bawa mereka berdua datang ke sini?” tanya Che Enon ragu-ragu. Tapi dia mula yakin yang Tuan Syed Zikri memang tidak marah.
“Tak, tak pe!” ujar Zack. Mana mungkin dia marah sedangkan hatinya sudah berbunga gembira. “Tapi macam yang saya beritahu, lain kali kalau nak buat apa-apa minta izin saya dulu!” arah Zack.
Mereka mengangguk laju. Masing-masing sudah menarik nafas lega.
"Cuma," Zack menggosok dagunya sekejap. “Kalau boleh, kamar utama tu, Che Enon serahkan semuanya pada Audra. Biar dia yang atur bilik saya nanti!”
“Baik, Tuan Syed!” Terangguk-angguk kepala Che Enon. Lega rasanya apabila dia terlepas dari tugas itu. Seandainya Tuan Syed Zikri tidak menyukai cara susunan Audra, sekurang-kurangnya dia tidak akan dimarahi. Nasib Audralah gamaknya! Terpaksa pulak aturkan kamar utama Tuan Syed Zikri. Mahukah dia?
"Tapi, kalau saya nak minta satu perkara dengan Tuan Syed, boleh?" Tanya Che Enon lambat-lambat. Takut jika dia dikatakan melebih-lebih pula.
"Minta apa Che Enon?"
"Che Enon rasa Tuan Syed pun tahu yang Audra cuma pelajar akaun. Jadi, kalau Tuan Syed tak berpuas hati dengan cara Audra, Che Enon harap Tuan Syed takkan marah pada Audra."
Zack hanya tersenyum.
"Nanti, janganlah pula sebab Audra tak pandai susun Rumah Warisan, Tuan Syed tolak permohonan dia untuk bekerja dengan Warisan Syed."
Zack sudah ketawa. "Kenapa Che Enon fikir macam tu?"
"Che Enon bukan apa Tuan Syed. Kalau Tuan Syed tolak permohonan Audra kerana tak berpuas hati dengan cara susunannya, Che Enon akan rasa bersalah. Sebab Che Enon yang pujuk budak-budak tu datang ke sini."
"Baiklah, saya janji dengan Che Enon segala keputusan temuduga, takkan ada kaitan dengan bantuan mereka." Zack mengerling Che Enon. "Tapi, dengan satu syarat."
Kening Che Enon sudah terjongket. Alamak! Ada syarat pulak ke?
"Syaratnya, Audra bukan sahaja kena susun bilik tidur utama, tapi juga pejabat saya. Pastikan, dia buat semua keputusan sendiri. Pak Dollah dan Che Enon hanya boleh bantu sahaja," ujar Zack. "Yang lain tu, saya akan panggil seorang pereka dalaman untuk uruskan.”
Terangguk-angguk kepala Che Enon. Tapi kenapa semuanya Audra? Tak pula Tuan Syed sebut nama Zana. Nak ditanya, tapi dia tak berani.
“Lagi satu,” ujar Zack semula. “Malam nanti, Che Enon biarkan mereka bermalam di kamar Ilyana. Baju-baju dalam almari tu, dia orang boleh pakai kalau dia orang mahu.”
Terkedu Che Enon. Semakin tertanya-tanya Che Enon di dalam hati. Tuan Syed macam tahu-tahu sahaja yang Audra dan Zana tak membawa pakaian ganti. Tuan Syed ni betul-betul macam James Bond! Apa saja yang berlaku tak pernah lari dari pandangannya.
“Nah ambil ni. Ini wang belanja kalau Che Enon perlukan apa-apa.” Zack menghulurkan berkeping-keping not lima puluh untuk Che Enon.
“Banyak ni Tuan Syed!” Terkedu Che Enon.
“Tak pe, gunakan sebaik mungkin!” balas Zack. "Kalau tak cukup, beritahu saya."
Che Enon menganggukkan kepala.
Pandangan Zack beralih pula kepada Pak Dollah. “Esok, kalau Che Enon, Audra dan kawannya nak ke mana-mana, Pak Dollah tolong hantarkan ya!”
Pak Dollah menganggukkan kepalanya tanda mengerti arahan itu.
“Tapi Tuan Syed, Cik Ilyana tak marahkah kalau mereka gunakan bilik dan baju-baju dia?” Che Enon mengetap bibrnya. Walaupun kelihatannya Cik Ilyana sudah jauh berubah tapi dia masih khuatir jika perkara itu berlaku.
“Rumah Warisan dah jadi hak saya, kan?” Wajah Che Enon dikerlingnya. “Lagipun Ilyana sendiri dah pesan, bila saya masuk ke rumah ni saya boleh buat apa yang saya suka. Dia pun tak kisah jika saya mahu buang semua barang-barangnya sebab dia sendiri dah tak perlukan itu semua.”
“Habis tu, kalau Cik Ilyana datang sini dia nak tinggal di mana?” tanya Che Enon.
“Itu Che Enon janganlah risau. Kalau dia datang sini pun, dia takkan mahu tinggal serumah dengan saya,” ujar Zack. “Lagipun, Ilyana ada apartmentnya sendiri.” Zack bangun dan berjalan selangkah ke depan. “Che Enon jangan risau. Apa saja yang saya buat, Ilyana dan uminya akan tahu terlebih dulu.”
Tenang hati Che Enon mendengar kata-kata Zack. Dia tak mahu timbul lagi salah faham di dalam keluarga Syed itu. Zack yang memakai topi dan kaca mata hitam dipandangnya. “Tapi kenapa Tuan Syed pakai topi dengan spek hitam malam-malam ni?” tanya Che Enon tiba-tiba. Dia sendiri tidak menyangka dia akan bertanyakan soalan itu. Mulutnya ditampar-tampar. “Maaf Tuan Syed. Tak sengaja.”
Tertelan air liur Zack. Terasa bagai sindiran pula di telinganya. Tapi dia tahu, Che Enon tidak sengaja berkata begitu. Lalu Zack membuka topi dan cermin gelap yang dikenakannya.
Tercengang Pak Dollah, Pak Rahim dan Che Enon melihat penampilan baru Zack. Rambut Zack yang ala-ala Shah Rukh Khan itu sudah dipotong hampir botak seperti Mawi! Tapi jambang-jambang halus di wajahnya masih kekal.
“Kenapa Tuan Syed pendekkan rambut? Kalau ada rambut kan segak,” ujar Pak Dollah.
“Saja saya nak ubah angin,” Zack memberi alasan. Sedangkan dia melakukan semua itu demi mendekati Audra Laily. Dia benar-benar mahu tahu Audra Laily tergolong dalam wanita jenis yang bagaimana.
“Yang ini pun handsome juga. Sekali pandang macam Maher Zain!” sampuk Pak Rahim pula.
Zack hanya tersenyum. Tiba-tiba dia memegang perutnya. Perutnya berbunyi minta dialas. Wajah Zack yang putih kemerahan itu semakin bertambah kemerahannya kerana menahan malu apabila perutnya berbunyi di hadapan mereka bertiga.
“Tuan Syed lapar?” tanya Che Enon. “Jomlah masuk ke dalam. Nanti Che Enon siapkan makan!” ajaknya.
“Tak perlulah masuk ke dalam, Che Enon. Bawakan saja ke sini. Saya makan malam dengan Pak Rahim saja. Boleh Pak Rahim?” Khuatir pula dia kalau bertembung dengan Audra. Haru dibuatnya nanti! “Pak Rahim masih belum makan, kan?”
Terkejut Pak Rahim mendengarnya. “Boleh, boleh Tuan Syed. Tapi tak apakah Tuan Syed makan di pondok ni?” Ada nada khuatir dalam tutur katanya. Tak kisahkah lelaki itu makan di pondok pengawal itu? Bersama pekerja pula!
Zack memandang segenap pondok pengawal itu. Pondok ini tidaklah terlalu sempit memandangkan di situ sudah disediakan bilik khas untuk para pengawal berehat dan bersolat.
Setiap pekerja di situ memang sudah disediakan kamar kecil masing-masing. Cuma yang membezakan bagi pekerja lelaki, kamar mereka sudah diasingkan di luar dan hanya pembantu wanita sahaja yang kamarnya di dalam. Biarpun di dalam disediakan tiga kamar untuk pembantu wanita, namun sejak tiada Syed Hussin, maka tiadalah jururawat peribadinya yang menghuni dua kamar yang kosong itu.
“Saya tak kisah!” ujar Zack. “Che Enon bawakan makan malam saya dan Pak Rahim di sini ya.” Zack memandang Pak Dollah. “Pak Dollah kalau nak makan di dalam, silakan.”
“Kalau semua dah makan di sini," Pak Dollah memandang Che Enon. “Che Enon pun sediakan makan malam saya di sini dengan Tuan Syed dan Rahim.” Teruja pula dia mahu makan malam bersama dengan Tuan Syed Zikri di situ. Bila lagi nak mengenali Tuan Syed Zikri dengan lebih rapat? Inilah saatnya!
Che Enon segera hilang di dalam bersama sebuah senyuman.
"Che Enon!" panggil Zana setelah melihat susuk tubuh itu yang sedang bergegas masuk ke dalam rumah.
Che Enon menghampiri mereka berdua. “Audra dengan Zana tunggu sekejap ya. Che Enon nak sediakan makan malam!” Che Enon terus meninggalkan mereka berdua tanpa sebarang kata.
Termangu Audra dan Zana seketika. Mereka berdua kemudiannya membontoti Che Enon. Sampai sahaja di dapur, sekali lagi mereka berdua terpegun. Dapurnya sahaja sangat besar dan mewah. Penuh dengan gaya moden! Kemudian mereka menghampiri Che Enon yang sedang panaskan lauk yang dibelinya di gerai Man Corner.
“Kenapa Che Enon? Kelam kabut je,” tanya Zana. Pelik betul sikap Che Enon, sudahlah tadi menghilang begitu sahaja. Bila kembali, semakin pelik pula perangai Che Enon. Macam ada yang tak kena.
Che Enon melirik Zana seketika. “Audra dan Zana tolong Che Enon siapkan pinggan. Semuanya untuk tiga orang makan.”
Audra dan Zana hanya menurut. Kemudian, Audra membantu Che Enon menyiapkan jus epal dan meletakkan semuanya ke dalam dulang. Pinggan-pinggan kosong juga sudah sedia dan juga mangkuk kosong untuk diisi lauk pauk.
Usai panaskan lauk, Che Enon menuang setengah dari setiap lauk ke dalam mangkuk kosong yang disediakan. Bakinya di tinggalkan di atas meja.
Setelah siap semuanya, Che Enon mengangkat ganggang telefon yang terdapat di dapur, lalu menghubungi pondok sekuriti Pak Rahim. Tak lama kemudian, kelibat Pak Rahim dan Pak Dollah muncul di pintu dapur. Lauk-lauk yang sudah siap diletakkan di atas dulang diserahkan kepada mereka berdua. Kemudian Che Enon melepaskan nafas kelegaan. Wajah Audra dan Zana dipandangnya.
Audra dan Zana hanya memerhatikan sahaja dua kelibat itu berlalu pergi. “Pak Dollah dan Pak Rahim nak makan di mana?” soal Audra.
“Biasanya, diorang makan di sini saja. Tapi, hari ni spesial sikit." Senyuman di bibir Che Enon meniti lagi.
“Apa yang spesial?” tanya Zana yang kelihatan teruja untuk mengetahuinya.
“Itu rahsia orang lelaki," ujar Che Enon sambil menjongket-jongketkan keningnya untuk mengusik mereka berdua.
“Kalau rahsia orang lelaki, kenapa Che Enon tahu?” balas Audra kemudian.
Senyuman di bibir Che Enon mati. Terasa malu apabila disindir begitu oleh anak-anak muda. “Che Enon dah tua, tentulah Che Enon tahu!”
“Sepatutnya, Che Enon kata, itu adalah rahsia orang-orang tua! Barulah kena!” usik Zana dan kemudian ketawa.
Audra juga tertawa mendengar usikan itu.
Che Enon menjegilkan matanya. Dia mendengus. “Dah! Jom makan!” ajaknya sekaligus mematikan perbualan mereka. Kalau dilayan budak berdua ni, ada saja yang akan diusiknya lagi.
“Che Enon dah lapar ni. Lepas makan, Che Enon tunjukkan bilik untuk kamu berdua.”
Audra dan Zana mengikut langkah Che Enon yang sudah duduk di meja makan.
“Che Enon," panggil Audra sambil tangannya menghulurkan pinggan untuk Zana. “Kenapa Che Enon sediakan makan malam untuk tiga orang?” Memang hatinya tertanya-tanya tentang itu. Sedangkan kata Che Enon, Pak Sudin tidak bermalam di Rumah Warisan walaupun Pak Sudin juga di sediakan sebuah kamar kecil untuknya. Rumah Pak Sudin tidak jauh dari Rumah Warisan dan dia tinggal bersama isteri dan dua orang anaknya. Kamar yang disediakan untuk Pak Sudin, biasanya digunakan ketika Pak Sudin dalam waktu bekerja sahaja.
“Hmmm, biasalah orang lelaki-kan banyak makan. Kalau dua orang, kita kena sediakan untuk tiga orang,” jawab Che Enon lalu menyuapkan nasi ke dalam mulutnya.
“Rumah Warisan ni besar kan Che Enon?” suara Zana pula. Matanya meliar memandang ruang makan itu. “Che Enon tak takut ke tinggal dalam rumah besar macam ni? Dahlah tak ramai orang.”
“Apa nak takut. Kan ada Pak Rahim yang jadi sekuritinya. Pak Dollah pun tinggal di sini juga.” Tiba-tiba ingatannya melayang mengingat kepada beberapa orang jururawat yang pernah bekerja di sini. “Dulu, Rumah Warisan ni ramai pekerjanya. Taklah sunyi sangat. Tapi sejak penghuninya keluar dari rumah ni, tinggal kami sajalah.” Ada nada sayu dalam suaranya.
“Pak Rahim mengawal Rumah Warisan seorang diri? Dua puluh empat jam?” tanya Audra pula. Bagaimana Pak Rahim seorang diri bisa menjaga rumah sebesar ini? Bukan sahaja rumah, tapi kawasannya juga sangat luas.
“Hmmm," Che Enon mengangguk. "Memang Pak Rahim jaga seorang diri. Dulu, ketika Syed Hussin masih menjadi Tuan Syed di Rumah Warisan, Pak Dollah dan Pak Rahim, kedua-duanya adalah sekuriti. Rumah Warisan ada empat orang sekuriti. Waktu tu, Tuan Syed Hussin selalu dibantu oleh pengawal peribadinya. Sebab tulah dia tak perlukan pemandu peribadi.” Che Enon menghabiskan dahulu kunyahannya.
“Rumah Warisan ni, dilengkapi dengan alat-alat keselamatan yang sangat ketat dan terperinci. Setiap sudut kawasan luar, hingga ke dalam, banyak alat keselamatan yang dipasang. Tapi, bila Tuan Syed Hussin ditangkap, ramai pekerja yang berhenti. Dulu, tukang kebun pun ada tiga orang. Sekarang, cuma tinggal Pak Sudin. Selepas Tuan Syed Zikri dilantik menjadi pewaris yang sah, Pak Dollah diambil sebagai pemandu peribadi.”
“Susah jugakan kalau dah terlalu kaya,” ujar Audra dengan perlahan namun bisa didengar oleh Che Enon dan Zana.
Mereka berdua terdiam seketika. Kata-kata Audra ada benarnya.
“Audra, Zana, kenapa tak makan lagi ni?” Che Enon yang sibuk bercerita terus bertanya apabila baru menyedari pinggan kedua-dua gadis itu masih lagi kosong.
Audra dan Zana terkulat-kulat lalu tersenyum. Setelah ditegur begitu, barulah mereka memenuhkan pinggan mereka dengan nasi dan lauk yang disediakan. Seraya dengan itu, mulut mereka juga terkunci.

ZANA membuka almari yang besar itu. Terbeliak biji matanya melihat pada pakaian yang begitu banyak tergantung di situ. Satu lagi pintu di bukanya. Sekali lagi matanya terbeliak. Almari yang ini penuh dengan kasut-kasut dan beg-beg tangan yang tersusun. Berjenama semuanya!
Zana menoleh pada Audra yang sudah terbaring di katil empuk itu. “Kata Che Enon, Tuan Syed tu seorang diri, kan? Habis ini semua barang-barang siapa? Tentu Tuan Syed tu simpan perempuan!” Zana sudah mengeluarkan syak wasangkanya.
Audra duduk di birai katil. “Tak mungkin! Kan Che Enon kata, Syed Zikri belum masuk lagi ke rumah ni. Mungkin barang-barang ni kepunyaan anak Syed Hussin!" Audra mengingatkan kembali cerita itu pada Zana. Malas mahu menggunakan perkataan 'tuan' di depan, akhirnya Audra hanya menyebut nama mereka.
"Hmm, betul jugak!” Zana duduk di sebelah Audra. “Agak-agak kau, tuan punya barang-barang ni marah tak kalau kita guna barang-barang dia?”
Audra berfikir sejenak. “Entahlah. Tapi kalau dah Che Enon kata Syed Zikri sendiri yang izinkan kita gunakan barang-barang dalam bilik ni, mungkin tak pe agaknya.” Audra memandang Zana. “Tak kisahlah! Yang penting, kau pernah ke tinggal di bilik yang besar macam ni?” Sekali lagi kamar yang luas itu menjadi perhatian Audra.
Zana memandang sekitar ruangan kamar mewah itu seperti Audra. “Sumpah tak pernah! Nilah first time! Gila siut rumah ni! Besar sangat! Beruntung kan ahli keluarga ni! Kaya raya! Mewah!” Kemewahan yang dilihat dengan mata kasarnya bagaikan tidak terjangkau.
Bagaimanalah agaknya mereka semua tinggal di rumah sebesar ini? Audra masih termangu di situ. Memang rumah ini terlalu besar. Biliknya sahaja sebesar dan semewah ini. Di dalam almari penuh dengan barang-barang dan pakaian berjenama. Tetapi dia tak rasa penghuni-penghuni rumah ini bahagianya semewah kekayaannya. Che Enon sendiri menyatakan yang Tuan Syed Zikri berkata rumah ini tidak mendatangkan ketenangan dalam dirinya! Mungkin itulah perasaan sebenar Tuan Syed Zikri. Lelaki itu tidak gembira dalam kehidupannya!
“Hey Audra!” Zana menyiku Audra. “Kenapa kau diam ni?”
“Aku rasakan, walaupun kita hidup di kampung dengan serba sederhana tapi jiwa kita lebih kaya dari penghuni-penghuni rumah besar ni!” suara Audra lalu memandang pada Zana. “Kau tak rasa macam tu?”
Zana memusing badannya mengadap Audra. Nampaknya Audra semakin matang sekarang!
“Walaupun rumah kita kecil, rumah kampung pulak tu! Bilik pun kecil, segala-galanya kecillah! Tapi hati kita rasa luas sangat! Sebab kita ada keluarga yang bahagia! Betul tak?” ujar Adra lagi.
“Betul! Aku setuju. Kekayaan dan kemewahan tak menjaminkan kebahagiaan. Kebahagiaan yang sebenar terletak di sini.” Zana menunjukkan dadanya. “Tenang hati kita, tenanglah kehidupan kita.”
 Audra mengangguk menyetujui kata-kata Zana.
“Aku gembira sangat dengan kau sekarang. Kau nampak lebih matang. Tak delah lepas ni kau berangan nakkan putera raja masuk meminang kau!”
Audra sudah ketawa. Zana sudah tersilap banyak tentang dirinya. “Aku memang suka berangan! Aku selalu mengimpikan ada seorang putera raja datang dalam hidup aku seperti mana cerita-cerita dongeng pari-pari. Tapi aku bukan mengharapkan kemewahan putera raja tu. Dalam cerita tu semua puteri-puterinya bukan mata duitan, kan!” Audra mengerling Zana. “Aku cuma mengharapkan seorang putera raja yang akan berikan seluruh kebahagiaan dalam hidup aku bagaikan aku ni seorang puteri raja!”
Zana tersenyum. Sangkanya selama ni Audra mengimpikan seorang putera raja yang dimana putera raja itu adalah seorang yang kaya raya. Rupanya dia silap! Putera raja yang dimahukan Audra adalah putera raja yang akan memberikan melimpahkan kemewahannya dengan kebahagiaan.
“Tapi macam mana dengan Putera William tu?” tanya Zana kembali.
“Aku sukakan Putera William sebab kali pertama aku lihat gambar dia dalam majalah, jantung aku berhenti berdegup! Betul sumpah!” ujar Audra bersungguh-sungguh. “Sebab tulah aku mahukan seorang putera raja yang boleh buat jantung aku berhenti berdegup.”
“Tapi lepas tu, semuanya berjalan dengan laju! Dup dap, dup dap!" sambung Zana sambil ketawa.
Audra juga ikut ketawa. “Jahat kau ni!!” Audra memukul Zana dengan bantal.
“Siapa pun jodoh kau nanti, putera rajakah, orang biasakah, yang penting aku nak kau bahagia!” Ikhlas kata-kata Zana.
Audra tersenyum memandang Zana. Dia tahu, Zana sayangkan dia! “Aamiin," Audra menyapu mukanya dengan kedua telapak tangannya. “Aku bukanlah minta putera raja yang betul. Siapa pun dia, dia adalah putera raja di hati aku.”