Tuesday 25 August 2015

Takkan Pernah Hilang (Excerpt)


TAJUK : 

TAKKAN PERNAH HILANG

PENERBITAN FAJAR PAKEER
HARGA : RM21 / RM24


Suasana yang begitu indah sekali. Malam yang kelam ditemani cahaya bulan yang terang. Bintang-bintang bertaburan di langit. Alangkah indahnya jika malam ini dapat dikongsi bersama yang tersayang.
Senyuman di bibir Fariz tiba-tiba sahaja hilang. Kotak ingatannya mula menayangkan memori lalu. Suasana malam seperti ini memang indah, namun dalam suasana beginilah cintanya pada Maisara terkubur.
Walaupun keputusannya untuk mengambil Suhana sebagai isteri adalah sesuatu yang bertentangan dengan kehendaknya, namun dia tidak pernah menyesal membuat keputusan besar seperti itu. Apa yang dikesalkan hanya kerana dia perlu melukakan hati Maisara.
Cintanya pada Maisara tidak pernah terkubur sehingga hari ini. Tetapi Suhana dipilih atas dasar tanggungjawab yang tidak mungkin diketahui oleh sesiapa melainkan dia dan Suhana sendiri.
Malam sebelum dia menghantar rombongan untuk meminang Suhana, dia telah menghubungi  Maisara.
“Waalaikumsalam.....” terdengar suara Maisara menjawap salamnya. Sungguh ceria suara itu kedengaran di telinganya.
Biasanya, setiap kali mereka berhubung di telefon, ada sahaja cerita-cerita lucu dan lawak jenaka yang disampaikan sehingga Maisara akan ketawa tidak berhenti. Tetapi malam itu berlainan sekali. Dia lebih banyak mendiamkan diri dan membiarkan Maisara menguasai komunikasi.
“Kenapa ni? Apa yang tak kena?” lembut suara Maisara bertanya kepadanya.
“Sara, I ada perkara penting nak beritahu you!
“Kenapa ni?” suara Maisara yang mulanya riang kedengaran resah.
I.....I harap apa yang akan I beritahu you nanti, takkan membuatkan you terluka! But...but.... I know it will hurt you. Tapi I harap sangat you akan terima keputusan I dengan hati yang terbuka!
“What are you trying to tell me?!” Intonasi suara Maisara sudah tidak ada lembutnya.
“I’m sorry. I think our relationship will not last long!”
“What?! You mean...” suara Maisara bergetar. Fariz tahu, tentu gadis itu sedang menahan sebak di dada. “..it’s over, isn’t it?”
“I’m sorry, Sara!”
“No...no....you saja nak main-mainkan? Maisara sudah hilang punca namun dia cuba untuk bertenang. “Tell me, it’s just a joke, right?”

“I’m sorry......I’m sorry.....” Talian dimatikan. Entah berapa kali telefonnya berbunyi kembali. Namun tidak diendahkan. Tak henti-henti kata maaf lahir dari hatinya walaupun dia tahu Maisara tidak akan mendengarnya.

--------------@@-------------------

KULIT BELAKANG

MAISARA tidak pernah menjangka cintanya pada Fariz akhirnya telah dirampas oleh kakak kesayangannya sendiri, Suhana. Kepedihan hati terus dipendam sehinggalah arwah Suhana menghembuskan nafas yang terakhir ketika melahirkan anak sulungnya. Namun, penderitaan Maisara tidak berakhir di situ apabila Suhana meninggalkan amanah buatnya. Amanah itu benar-benar menghimpit dirinya.

“Tiada siapa yang boleh menggantikan tempat Su melainkan Sara.”

FARIZ tahu dia telah melukakan perasaan Maisara. Namun, dia terpaksa meninggalkan Maisara demi sebuah rahsia. Namun, cinta yang tak pernah hilang itu membuatkan Fariz bertekad untuk mendapatkan Maisara semula walaupun dalam hati Maisara sudah hilang cinta untuknya. Kerana kebencian Maisara, akhirnya dia menggunakan Aiman untuk menagih semula cinta Maisara.

“Untuk menjadi satu-satunya mama Aiman, awak perlu menjadi isteri saya.”


BAGI Maisara segala pengorbanan yang dilakukannya hanya kerana Aiman. Cintanya pada Fariz tak mungkin datang kembali. Cinta di hatinya telah hilang untuk Fariz.



--------------@@---------
NOTE: 

Jika berminat untuk mendapatkan novel ini, pilih medium yang mudah untuk hubungi saya.

Klik link di bawah:

Lakaran Emma Rusdi

Terima kasih.

------------@@------------
TERIMA KASIH - ER

------------@@------------








Monday 24 August 2015

Anugerah Penghargaan PFP

Page "Klik Klik ER" diwujudkan untuk ER share citer2 Er yang tak seberapa dengan geng yang ada di sini.

Ramaikan yang tahu pada 22 Ogos baru-baru ni Syarikat Penerbitan Fajar Pakeer telah mengadakan Malam Anugeran Penghargaan PFP.

Walaupun ER memang dah tahu dari awal nama ER takkan tercalon dalam top 5,  hikhikhik...Tapi ER tetap nak datang juga pada malam tu. Memang xcited dan teruja yang amat.

Macam biasa, ke mana2 ER akan pergi dengan kakak, mak & 2 orang puteri kesayangan ER. Tapi kali ni, mak ER tak dapat nak temankan kerana kurang sihat. Tapi ER bawa seorang lagi anak sedara ER bersama.

Friday 21 August 2015

Senyum Tanda Suka - Bab 3





TUAN IDRUS yang sedang sibuk menyemak bil-bil yang masih belum dibayar terus mengangkat kepala tatkala pintu pejabatnya dibuka. Muncul Tania bersama dulang di tangan. Dulang yang diisi dengan teko kecil teh panas, cawan dan sepiring kuih-muih diletakkan di hadapan Tuan Idrus yang sedang duduk di sofa.

“Macam mana?” Tuan Idrus memandang Tania.

Tania menarik nafas panjang dan menghembusnya perlahan. Dia menuang teh panas ke dalam cawan kosong lalu diserahkan cawan itu kepada Tuan Idrus. “Tania dah hantar dia pergi ke bilik tetamu untuk berehat.”

“Baguslah. Terima kasih, sayang.” Tuan Idrus menghirup sedikit teh panas yang masih berkepul-kepul asapnya.

“Siapa dia papa? Sombong sangatlah. Kita dah buat baik dengan dia, boleh pulak dia jeling-jeling dekat kita,” rungut Tania. Bibirnya sudah dimuncungkan.

Tuan Idrus ketawa kecil mendengar rungutan Tania. 

“Biarkanlah. Dia tu ada masalah. Jangan ambil hati sangat. Orang kalau ada masalah, macam tulah,” pujuknya lalu kembali menunduk dan melihat bil-bil di tangan.

“Macam mana papa tahu yang dia ada masalah?”

Tuan Idrus melangut semula memandang Tania. “Ada perkara yang boleh kita fahami tanpa berkata apa-apa. Ada perkara yang tetap kita tak akan faham walaupun dinyatakan secara terang dan diulang-ulang.”

Tania hanya menjongketkan kening tanpa memahami kata-kata itu.

“Papa minta, Tania berbaik-baik dengan dia supaya dia akan beritahu kita siapa keluarga dia. Kemudian, kita akan hantar dia pulang.”

“Jangan-jangan, budak tu lari rumah tak papa!” Mukanya sudah menunjukkan riak terkejut.

“Kita siasat dulu, baru kita akan tahu. Tania akan tolong papa, kan?”

“Tentulah.” Jika permintaan papanya, tentu saja dia akan turuti.

“Tania dah masuk bilik Tania?” Tuan Idrus mengubah topik perbualan mereka.

“Belum lagi, pa. Kenapa?” tanya Tania kembali.

Tuan Idrus memandang Tania yang sudah berganti baju.

“Tania mandi di mana?” soalnya.

“Tania tumpang bilik Kak Min.” Tania sudah tersengih-sengih.
Begitulah kebiasaan Tania. Menumpang kasih daripada para pekerja sejak ibunya meninggal dunia. Apatah lagi, Tuan Idrus juga tak punya banyak masa untuk diluangkan bersama Tania.

“Jadi, Tania belum tengoklah hadiah yang papa beli untuk Tania?”

Tania sudah ternganga luas. Bagaimana dia boleh lupa tentang itu? Ini semua kerana dia sibuk berfikir tentang Amani.

“Tania pergi tengok sekarang!” Tania sudah berlari keluar dari situ.

Tergeleng-geleng kepala Tuan Idrus. Dia bangun dan mengekori langkah Tania dengan perlahan. Pintu pejabat peribadinya ditutup rapat.

Tania sudah berlari masuk ke dalam kamarnya yang bertentangan dengan kamar di mana Amani berada. Sampai di dalam kamarnya, dia melihat dua anak patung beruang berada di atas kabinet. Wajahnya bersinar ceria.

“Wah!” Matanya membulat memandang kedua-dua anak patung beruang itu. Kedua-duanya sama cantik.

Tania mengambil anak patung beruang yang bewarna merah jambu. Comelnya! Hatinya sudah bersorak girang. Warna kesukaannya.

“Tania suka?” Tuan Idrus sudah muncul di situ.

“Suka sangat. Terima kasih, papa,” soraknya dengan girang. Pandangan Tania jatuh pula pada sebuah lagi anak patung beruang lalu mengambilnya.

“Yang ini pun cantik,” pujinya.

“Yang itu, papa nak hadiahkan untuk Amani. Tapi dia tak nak,” beritahu Tuan Idrus tanpa berselindung.

Tania menggeleng kepalanya mengenang sikap Amani. Langsung tak tahu menghargai pemberian orang. Apa salahnya dia ambil? Papa dah susah payah beli untuk dia!

“Biarlah papa. Kalau dia tak nak, biar Tania yang ambil.” Tania cuba menyedapkan hati Tuan Idrus.

Tuan Idrus sudah ketawa. “Mana boleh sayang, buruk siku namanya. Papa beri kepada dia.

Lepas tu, terpulang pada dia nak buat apa.”


Tania mengetap bibirnya dengan rapat. Benar juga kata papa. Tania meletakkan kembali anak patung beruang itu.

“Nanti, kalau Amani sudah mahu berbaik dengan Tania, Tania berikan anak patung ini kepada dia, boleh?”

“Baiklah, papa.” Tania mengiakan juga walaupun hatinya.

“Okey, sayang. Papa keluar dulu. Papa nak cari ilham.” Satu ciuman sayang hinggap di dahi Tania lalu dia menghilangkan diri.

Tania duduk di birai katil. Dia menarik nafas panjang.

“Kau tahu apa maknanya Pinky?” Tania berbicara dengan anak patuang beruang barunya dan sekali gus telah memberikannya nama.

“Papa nak melukis untuk corak baru. Papa tak suka kalau kita kacau papa sampailah papa siapkan corak baru untuk kain papa.” Sekali lagi Tania menarik nafas panjang lalu meletakkan Pinky di tepi. Dia memandang pula pada anak patung beruang yang sepatutnya diberikan kepada Amani.

“Apa kata, kalau aku namakan kau... hmm...” Tania mengetuk-ngetuk jari telunjuk kirinya di dagu sambil berfikir nama yang sesuai untuk diberikan pada anak patung beruang itu.

“Kalau yang ini Pinky, aku panggil kau, Krimy!” Tania mengangkat Krimy ke dalam pelukannya.

Ingatan Tania terimbas semula kepada Amani. Lalu dia bangun dan menuju ke kamar yang bertentangan dengan kamarnya. Perlahan-lahan dia membuka pintu. Sebaik sahaja pintu dibuka, Tania terus terlopong. Di hadapannya kini, Amani sedang tidur di atas lantai berbantalkan beg galasnya.

Tania terus terpaku di situ. Dia tertanya-tanya sendiri, mengapa Amani tidak tidur di atas katil? Kalau dia merasa tidak selesa di atas katil, dia masih boleh tidur di atas sofa. Tapi kenapa dia perlu berbaring di atas lantai?

Amani bergerak-gerak sedikit lalu kepalanya terjatuh ke lantai. Tetapi itu tidak membuatkan Amani bangun daripada tidurnya. Ternyata, Amani benar-benar keletihan.

Tania mahu berpusing dan meninggalkan Amani, tetapi kemudian dia teringat semula permintaan Tuan Idrus yang mahu dia mencari di mana Amani tinggal. Dia pasti, Amani tak mungkin berbaik dengannya dan memberitahu di mana tempat tinggalnya. Bisikan hatinya berkata begitu.

Tania berpaling semula memandang Amani. Matanya terus melekap pada beg galas Amani. Pasti ada sesuatu di dalamnya yang boleh memberi maklumat kepada mereka. Perlahan-lahan Tania menghampiri Amani dan duduk di tepinya. Krimy diletakkan di lantai. Wajah Amani yang tenang dalam tidurnya diperhatikan. Setelah merasakan Amani tidak akan terganggu dengan kedatangannya, perlahan-lahan Tania mengambil beg gelas Amani dan membukanya. Dia membuka dengan begitu berhati-hati agar tidak terkeluar walau satu bunyi pun.

Di dalam beg itu terdapat beberapa helai baju Amani dan barang-barang keperluannya yang lain. Dia menyelongkar lagi sambil matanya sesekali akan memerhatikan Amani. Apabila dia membuka satu lagi zip yang paling depan, dia terjumpa sebuah buku nota kecil. Di depannya tertulis, Amani dan Hafiz. Di situ juga tertulis satu alamat.

Mungkin inilah alamat rumah Amani, bicara hati Tania. Tanpa membuang masa Tania terus mengoyak sekeping kertas daripada buku nota itu. Kebetulan, memang terdapat sebatang pen di dalam beg Amani. Terus dia menyalin alamat tersebut. Kemudian, dengan perlahan dia meletakkan kembali beg galas Amani di sebelah gadis itu semula. Terjengket-jengket dia berjalan keluar setelah dia mencapai Krimy. Pintu ditutup rapat-rapat dengan penuh hati-hati.

Tania sudah tersenyum gembira. Akhirnya, dia dapat juga satu petunjuk tentang Amani. Dia mahu menemui Tuan Idrus walaupun dia tahu Tuan Idrus sedang mencari ilham. Dia pasti, Tuan Idrus akan gembira dengan maklumat yang dijumpainya. Ketika Tania keluar dari rumah, dia berselisih dengan Izz.

“Abang Izz!”

Izz yang baru keluar dari Kamar Ilham setelah berjumpa dengan Tuan Idrus tersenyum melihat wajah ceria Tania. “Ada apa ni? Nampak happy aje.”

“Tania dah dapat alamat Amani,” ujar Tania separuh berbisik. Tania mengibas-ngibas kepingan kertas yang terdapat alamat Amani di depan muka Izz.

Mata Izz membulat sambil senyumannya semakin lebar. Terus dirampas kepingan kertas itu daripada Tania. Dia membaca alamat yang tertulis.

“Hebatnya Tania,” pujinya.

Tania hanya tersengih-sengih menerima pujian itu.

“Nampaknya senanglah kerja saya macam ni. Saya simpan alamat ni, ya.”

Huh? Tapi Tania nak beri kepada papa.” Wajah Tania sudah berkerut.

“Saya baru berjumpa dengan Tuan Idrus. Dia minta saya siasat tentang Amani.”

“Oh.” Terangguk-angguk kepala Tania. “Abang Izz dah jumpa dengan Amani?”

“Dah. Saya yang sebenarnya terlanggar dia,” beritahu Izz.

“Oh.” Bibir Tania membulat. Betul juga, bukankah Abang Izz yang menemani papa tadi?

“Jadi?” Sebelah kening Tania terangkat.

“Jadi?” tanya Izz kembali. Keningnya berkerut kerana tidak memahami maksud pertanyaan Tania.

“Apa pendapat Abang Izz tentang dia?” Ada satu perasaan ingin tahu berputik dalam hati Tania.

Izz sudah tertawa besar mendengar soalan itu. Seraut wajah Amani menerpa di ruang ingatan Izz. “Mana dia?” tanya Izz sambil matanya meliar memandang ke dalam Rumah Utama.

“Ada di dalam. Berehat,” jawab Tania. Tiba-tiba sahaja satu perasaan cemburu menerpa dalam hatinya.

Kepala Izz terangguk-angguk. Bibirnya masih lagi menguntum dengan senyuman.

“Tania tahu, Amani tu cantik. Tapi Abang Izz dah janji akan jaga Tania, kan,tegas Tania sambil menjeling Izz.

Izz ketawa lagi sambil menggeleng-geleng kepalanya. Sudah sering kali Tania berbicara tentang janji yang pernah dilafazkannya dulu. Tapi Izz tak pernah menganggap perkara itu serius kerana dia yakin Tania hanya menganggapnya sebagai seorang abang. Apatah lagi Tania sudah mempunyai teman lelaki di sekolah. “Saya ingat. Tania dah macam adik saya tentulah saya akan jaga Tania.”

Tania mendengus perlahan. Setiap kali dia bercakap begitu, pasti Izz akan menjawab benda yang sama.

“Faiz sihat?”

Faiz, itulah nama teman lelaki Tania. Izz juga sering menjadi tempat Tania meluahkan perasaannya jika Tania mempunyai masalah dengan Faiz.

“Dia sihat, bang,” jawab Tania acuh tidak acuh.

“Okeylah, saya keluar dulu dengan Pak Bakar. Saya perlu cari maklumat tentang Amani.” Izz berlalu pergi.

Tania hanya mengekori langah Izz dengan sorotan matanya.

-----------@@-------------
TERIMA KASIH - ER
------------@@-----------



Thursday 20 August 2015

Dup Dap! Jantungku Berhenti (excerpt)

ZANA membuka almari yang besar itu. Terbeliak biji matanya melihat pada pakaian yang begitu banyak tergantung di situ. Satu lagi pintu di bukanya. Sekali lagi matanya terbeliak. Almari yang ini penuh dengan kasut-kasut dan beg-beg tangan yang tersusun. Berjenama semuanya!

Audra pula teru bergerak ke katil. Terpaku dia melihat pada katil empuk yang bersaiz king di depannya. Dia meletakkan tangan di atas tilam dan menyentuhnya dari kaki katil hingga ke kepala katil. Terasa kelembutan tilam di hujung jarinya. Tak pernah dia bermimpi untuk berbaring di atas tilam empuk ini.

Dengan perlahan, Audra melabuhkan punggungnya di atas katil. “Lembutnya tilam ni,” Audra bersuara perlahan sambil tangan kanannya masih lagi meraba-raba tilam itu untuk merasakan kelembutannya. Tiba-tiba, matanya terlihat sekuntum bunga orkid yang terletak di tengan katil. Audra mencapai bunga itu. Terdapat juga sekeping nota dan sebatang pen.

“Selamat malam Audra Laily,” Ternganga mulut Audra membaca nota itu. Siapa yang letakkan nota ini? Hatinya berdebar kencang. Audra melihat pula pen yang di tinggalkan bersama nota itu. Dia kenal dengan pen ini. Walaupun pen ini banyak terjual di kedai, namun apabila dia memegang pen itu dia dapat merasakan pen itu pernah menjadi miliknya. Maka, Audra membelek-belek tudung pen. Ada tanda ‘A’!

Pantas Audra menangkup mulutnya dengan tapak tangan apabila dia merasakan dia hampir menjerit. Sekilas dia melirik Zana yang masih sibuk membelek pakaian yang tergantung di dalam almari.

Ya Allah, ini adalah pen yang sama aku tinggalkan pada tayar kereta yang aku pancitkan. Dan nota ini, ditujukan untukku. Dari siapa? Apakah penulis nota ini adalah orang yang sama dengan pemilik kereta putih itu? Tapi, bagaimana dia kenal dengan aku?


Dengan pantas Audra membuka beg dan menyimpan di dalam begnya. Audra tidak pernah menceritakan kepada Zana tentang kereta putih yang telah dibocorkan tayarnya. Dia tidak mahu Zana tahu tentang itu. Kalau Zana tahu, tentu Zana akan menyuruhnya mencari pemilik kereta itu dan meminta maaf kepadanya.

---------------@@-----------------


*Berminat untuk mengikuti kisah ini dari awal bab sehingga bab 15?


*Berminat untuk dapatkan novel ini? 

Hubungi saya di sini http://emmarusdi.blogspot.com/p/diri-saya.html. Pilih media sosial yang
memudahkan anda untuk hubungi saya.

*Nak tahu lebih tentang kisah ni?

Jom baca review di bawah :





Friday 14 August 2015

Senyum Tanda Suka - Bab 2






TUAN IDRUS melirik gadis muda yang terus membisu di sebelahnya. Sejak tadi, gadis itu hanya membuang pandangannya ke luar tingkap. Gadis itu tenggelam bersama dunianya sendiri.

Tuan Idrus cuba berfikir cara lain untuk menarik perhatian gadis itu. Dia mahu tahu siapa nama gadis itu, di mana dia tinggal dan siapa keluarganya. Tapi soalan itu semua hanya berlegar di kepalanya. Kemudian, ingatannya teringat kembali pada anak patung beruang yang dibelikan untuk Tania dan gadis itu. Terus dia menghulur tangannya dan mencapai anak patung beruang yang diletakkan di tempat duduk belakang.

“Nak,” panggil Tuan Idrus. Anak patung beruang berwarna krim itu sudah ada di tangannya.

Gadis itu tetap mematung seperti tadi.

“Ini, pak cik ada belikan teddybear untuk anak.” Tuan Idrus menghulurkan anak patung beruang itu.

Kali ini, gadis itu menoleh memandang Tuan Idrus. Pandangannya silih berganti antara Tuan Idrus dan anak patung beruang itu. Kemudian, dia memandang semula ke luar tingkap. Sedikit pun dia tidak tertarik dengan patung beruang yang dihulurkan.

Izz mencuri melihat gadis itu melalui cermin pandang belakang. Gadis itu menarik perhatiannya.

Tuan Idrus meletakkan anak patung beruang itu di sebelah gadis muda itu. “Pak cik beli sebagai tanda maaf pak cik sebab dah langgar anak.”

“Tak perlu. Saya sakit bukan sebab tuan.” Gadis itu bersuara tanpa memandang Tuan Idrus.
Tuan Idrus mengukirkan senyuman. Satu perkembangan yang baik bila gadis itu sudah mahu berbicara.

“Siapa nama anak?” tanya Tuan Idrus.

Gadis itu menjeling Tuan Idrus dengan ekor matanya.

“Berapa hutang saya dengan tuan? Sampai saja di rumah tuan nanti, tolong beri kerja kepada saya. Lebih cepat saya dapat bayar hutang saya kepada tuan, lebih cepat saya akan pergi.” Gadis muda itu terus bersuara tanpa memberi kesempatan kepada Tuan Idrus untuk mengenalinya terlebih dahulu.

Izz yang hanya membisu menguntumkan senyuman mendengar bicara gadis itu. Gadis itu benar-benar telah menarik perhatiannya.

Semakin penasaran Tuan Idrus dengan gadis muda ini. Begitu bertekad sekali gadis itu untuk membayar hutangnya sehingga dia terlupa yang kesihatannya masih belum pulih sepenuhnya. Tuan Idrus membiarkan sahaja persoalan itu berlalu.

“Berapa hutang saya?” Kali ini, gadis itu menoleh memandang Tuan Idrus.

Tuan Idrus membalas pandangan gadis itu. Wajah comel itu diperhatikan. Entah kenapa, satu perasaan simpati muncul lagi.

“Sampai di rumah saya nanti, saya akan beritahu,” balas Tuan Idrus.

Sebaik sahaja Tuan Idrus berkata begitu, gadis itu membuang semula pandangannya ke luar tingkap, memerhatikan kawasan pedalaman di mana kiri dan kanannya terdapat ladang kelapa sawit yang luas. Sampai di satu papan tanda yang tertulis nama Setia Sentosa, terdapat sebuah tasik yang kelihatan tenang dan sangat cantik pemandangannya.

Melepasi sahaja tasik itu, Izz memberi signal untuk masuk ke kawasan pendalaman Setia Sentosa. Mereka masuk ke dalam sebuah kawasan perkampungan kecil. Terdapat satu papan tanda yang menulis nama kampung tersebut iaitu Kampung Indah Mentari. Tertera nama kampung itu pada lorong yang dimasuki mereka di awalnya. Melepasi sahaja kawasan kampung itu, terdapat satu pintu gerbang yang besar. Tertera perkataan Gerbang Ilham Hati si situ.

Sampai sahaja di Gerbang Ilham Hati, Izz memarkirkan kereta di luar. Terdapat kawasan kosong yang sangat luas di depannya sehingga bisa memuatkan lebih daripada 10 buah kereta jika diparkirkan di situ.

Tuan Idrus dan Izz keluar dari perut kereta setelah enjin dimatikan.

Melihatkan mereka berdua turun dari kereta, gadis itu mencapai beg galasnya dan mengikut langkah mereka. Dia memandang sekeliling. Tempat ini terlalu asing buatnya. Terpencil, sunyi dan sepi tetapi ada ketenangan yang dapat dirasakan di sini. Persekitaran yang menghijau membuatkan udaranya terasa nyaman dan segar.

“Marilah.”

Suara Tuan Idrus mengembalikan gadis muda itu ke alam nyata semula. Dia memandang Tuan Idrus yang sedang berdiri di hadapan gerbang yang sudah terbuka sambil melambai-lambai kepadanya.

“Selamat datang ke Ilham Hati.” Tuan Idrus menyambut kedatangan gadis itu dengan senang hati.

Gadis itu membuntuti Tuan Idrus.

Izz membuka pintu gerbang setelah seorang pengawal lelaki membuka kuncinya. Kedengaran suara hiruk-piruk dari kawasan dalam saat pintu gerbang di buka. Melangkah masuk sahaja ke dalam tempat yang dinamakan Ilham Hati ini, kelihatan sebuah pemandangan yang sangat sibuk. Di mana ramai orang sedang melakukan pelbagai kerja. Tempat itu kelihatan seakan-akan sebuah kilang kain kerana terdapat pelbagai kain-kain yang dijemur di tengah kawasan yang luas.

Di sebelah kanan mereka terdapat sebuah bangunan kayu yang besar seperti sebuah gudang. Bertentangan dengan bangunan besar itu terdapat sebuah lagi bangunan besar, namun bangunannya lebih terbuka sehingga dia bisa melihat begitu ramai orang sedang bekerja di situ. Di tengah-tengah kawasan itu adalah ruang kosong yang penuh dengan jemuran-jemuran kain.

“Mari,” panggil Tuan Idrus lagi.

Gadis muda itu mengekori langkah Tuan Idrus sehingga tiba di penghujung jalan. Terdapat sebuah lagi pintu pagar pemisah dari kawasan itu dengan sebuah kawasan lagi. Pintu pagar tu agak kecil dan rendah sehingga kawasan di sebelah bisa dilihat terus dari situ. Di depan pintu pagar ini, dia melihat sebuah kawasan yang sangat besar dan terdapat tiga buah rumah kayu yang sangat cantik dan unik.

Setiap rumah ini terdapat alur gajah yang menyambungkan setiap satunya. Rumah yang di hujung kiri merupakan rumah yang paling besar. Di tengah dan hujung kanan hampir sama besar tetapi kecil sedikit berbanding rumah yang di sebelah kiri. Landskap kawasan ini memang cantik, dipenuhi dengan pelbagai jenis bunga segar, rumput yang menghijau dan air terjun buatan di tengah kawasan.

Pokok bunga kertas yang berwarna-warni ditanam di sepanjang sudut kawasan. Begitu juga dengan pokok bunga tabebuia rosea yang berwarna merah jambu, ungu dan putih tumbuh merimbun membuatkan ia kelihatan seperti bunga sakura yang cantik.

“Pergilah.” Izz sudah berdiri di sebelah gadis itu apabila melihat gadis itu hanya terpaku.

Gadis muda itu melemparkan satu jelingan dan meneruskan langkahnya. Matanya sempat menangkap sebuah papan yang terukir cantik di tepi pintu pagar kecil itu. Syurga Ilham Hati. Itulah perkataan yang tertulis di atas papan tanda itu.

“Tempat ini dinamakan Syurga Ilham Hati,” beritahu Tuan Idrus sekali gus menjawab persoalan yang bermain di minda gadis muda itu.

“Ini ruang makan.” Tuan Idrus menunjuk pada rumah yang paling kanan di hadapan mereka.
Mata gadis muda itu terus mengerling di sebuah rumah yang berkonsepkan terbuka di bahagian hadapannya. Di sisi kanan dan kiri, ruang makan itu hanya berdindingkan cermin yang tebal. Manakala di bahagian belakang ditutupi dengan kayu ukiran yang cantik dan mempunyai sebuah pintu yang memisahkan ruang makan dan dapur.

Ruang makan? Sebesar ini? Gadis itu terpaku melihat ruang makan yang begitu mewah. Ruang yang sebegitu besar dan cantik hanya dijadikan ruang makan? Ternyata lelaki ini bukan orang sembarangan.

Kemudian, muncul dua orang wanita menghampiri mereka.

“Ini pembantu rumah saya. Mak Eton dan anaknya, Min.” Tuan Idrus perkenalkan mereka kepada gadis muda itu.

“Apa khabar?” sapa Mak Eton.

Min hanya melemparkan senyuman buat gadis itu.

Malangnya, gadis itu langsung tak berminat untuk menyambut salam perkenalan daripada Mak Eton dan Min. Dia hanya memandang mereka sekali lalu sahaja. Mak Eton dan Min sudah berpandangan sesama mereka dengan perasaan kurang senang.

“Kerja apa yang perlu saya lakukan?” Gadis itu mengalih semula perhatiannya kepada Tuan Idrus.

“Kamu berdua sediakan makanan untuk tetamu saya.” Tuan Idrus memberi arahan kepada Mak Eton dan Min tanpa terlebih dahulu menjawab pertanyaan gadis itu.

Mereka berdua berlalu pergi. Dia kembali menoleh kepada gadis itu.

“Pertama sekali, kamu perlu beritahu dulu nama kamu. Barulah saya boleh beri kerja untuk kepada kamu,kata Tuan Idrus. Wajah pucat gadis itu dipandangnya.

Satu dengusan kecil bersama jelingan dilemparkan gadis itu kepada Tuan Idrus.

“Amani.” Suaranya mendatar dan tegang.

Jawapan yang diberikan membuatkan Tuan Idrus tersenyum. Amani, sebuah nama yang indah tetapi dimiliki oleh seorang gadis yang dingin tanpa senyuman. “Yang kedua, kamu perlu makan lebih dahulu. Saya dah minta Mak Eton dan Min sediakan makanan untuk kamu. Yang seterusnya, saya beritahu setelah kamu selesai makan.”

“Saya datang bukan untuk makan!” tegas Amani.

“Saya tahu. Tapi sebelum kamu bekerja, kamu perlu cergaskan fizikal kamu. Kalau saya beri kamu kerja sebelum kamu makan, kamu akan pengsan sekali lagi. Bila kamu pengsan lagi, saya perlu bawa kamu ke klinik semula dan lepas tu, hutang kamu akan semakin bertambah. Kamu mahu hutang kamu semakin bertambah?” Keningnya sudah terjongket menunggu jawapan daripada Amani.

Amani yang sedang merenung Tuan Idrus terdiam seketika. “Baiklah. Kalau macam tu, kirakan sekali apa yang saya makan sebagai hutang juga. Berikan saya kerja yang boleh saya langsaikan hutang rawatan dan hutang makan.”

Senyuman Tuan Idrus semakin lebar. Satu sikap yang sangat disukainya. Gadis yang bertubuh kecil molek itu kelihatan sangat berbeza dengan remaja lain.

“Baiklah, kalau itu yang kamu mahu. Silakan.” Tuan Idrus menjemput Amani untuk masuk ke dalam dan menjamah hidangan yang disediakan.

Amani mengikut Tuan Idrus masuk ke dalam ruang makan yang serba indah itu. Dia dijemput duduk di atas alas duduk yang disediakan. Sama seperti cara makan orang-orang Jepun. Tuan Idrus sudah menghilang ke ruang sebelah yang tertutup iaitu ruang dapur.

“Mak Eton? Tuan Idrus mendekati Mak Eton.

“Layan gadis ini dengan baik. Jangan meninggikan suara dengan kepada dia ya,” pesan Tuan Idrus.

Jujurnya, dia sendiri tidak tahu kenapa dia ingin mengambil berat tentang Amani yang langsung tak dikenalinya. Dia melakukan begitu sekadar menurut kata hatinya agar menjaga anak itu dengan baik. Anak ini perlukan perlindungan. Begitulah bisik hatinya.

“Baik, tuan.” Mak Eton mengangguk tanda menerima arahan itu walaupun terdetik rasa sangsi dalam dirinya.

Mak Eton sudah mengangkat dulang untuk diberikan kepada Amani.

“Assalamualaikum!” Kedengaran satu suara dengan riang menyapa mereka dengan nada yang agak kuat.

Tuan Idrus melangkah semula ke ruang terbuka. Wajahnya bertukar ceria.

“Tania dah balik!” Tania, anak tunggal Tuan Idrus berlari-lari anak dan terus masuk ke dalam ruang makan. Kelibat Amani yang sedang duduk di situ tidak disedari.

“Rindu papa!” Terus Tania memeluk Tuan Idrus.

Tuan Idrus ketawa dengan gembira sambil mengusap kepala Tania yang bertudung.

“Papa pun rindukan Tania,” katanya.

“Macam mana sekolah hari ni, Tania?” tanya Mak Eton yang sudah meletakkan dulang makan kepada Amani.

Beberapa hari ini Tania ada mengadu yang guru kelasnya sering mengadakan soalan-soalan kuiz. Jika soalan tidak berjaya dijawab, pelajar akan didenda. Sudah dua kali Tania didenda.

“Bosanlah, Mak Eton. Hari ni ada soalan kuiz lagi. Tania kena denda lagi.” Muncung Tania sudah panjang sedepa.

Isy!” Tuan Idrus mencubit manja hidung Tania.

“Mana boleh cakap macam tu. Sekolah tu tempat mencari ilmu. Guru-guru Tania buat begitu pun untuk Tania. Supaya Tania berjaya dengan cemerlang.” Tuan Idrus menegur sikap Tania. Sekilas dia terpandangkan Amani yang hanya memerhatikan mereka.

Yalah papa. Tania minta maaf.” Tania menarik semula senyumannya.

“Tania tentu dah lapar, kan? Mak Eton siapkan makan untuk Tania, ya.” Mak Eton sudah hilang ke ruang dapur semula.

Tuan Idrus menarik tangan Tania agar mengikutnya masuk ke ruang dapur.

“Tania, papa nak minta tolong satu perkara dengan Tania,” ujarnya. Suaranya diperlahankan seakan-akan berbisik.

“Tolong apa, pa?” Wajah Tania sudah berkerut seribu. Walaupun dia tidak mengerti mengapa, namun dia juga memperlahankan suaranya.

“Di ruang makan nanti, Tania akan bertemu dengan seorang budak perempuan.”

“Budak perempuan?” Tania mengerling ke dalam ruang makan. Kelihatan seorang gadis sedang tertunduk menjamu selera. Dia memandang Tuan Idrus semula.

“Tadi, papa kemalangan. Papa terlanggar budak tu. Nasib baiklah dia tak apa-apa,” cerita Tuan Idrus sambil menghembus nafas lega.

“Hah?! Papa macam mana?” Tania memandang Tuan Idrus dari atas hingga ke bawah. Melihat pada lengan Tuan Idrus, mana tahu jika ada yang cedera. Riak kerisauan mula terpancar pada wajahnya.

“Papa tak apa-apa. Budak tu pun tak apa-apa,” beritahu Tuan Idrus.

Tania menarik nafas lega.

“Kalau boleh, papa nak minta tolong agar Tania berbaik-baik dengan budak tu. Lepas tu, tanya kepada dia di mana dia tinggal, rumah dia di mana, siapa orang tua dia,” pinta Tuan Idrus.

“Dia tak beritahu papa?”

“Tak.” Tuan Idrus menggeleng. “Papa rasa budak tu dalam masalah. Kita kena tolong dia.”

“Siapa nama dia?”

“Amani.”

“Amani.” Tania menyebut namanya. Sekilas dia melirik Amani yang masih ada di ruang makan. “Baiklah, pa. Tania akan cuba.”

“Terima kasih, sayang. Sebagai balasannya, lepas Tania makan nanti terus masuk bilik. Papa dah sediakan hadiah untuk Tania.” Sebentar tadi dia telah mengarahkan Izz agar menyerahkan anak patung beruang kepada Min untuk diletakkan di dalam kamar Tania.

“Betul, pa?!” Wajah Tania kelihatan ceria sekali. Matanya bersinar. Wajah comel ditunjukkannya.

Riak wajah Tania yang comel itulah yang membuatkan Tuan Idrus bertambah sayang kepadanya.

“Betul, sayang.” Tuan Idrus mengangguk.

“Tania pergi dulu, ya.”

Tania terus meluru masuk ke ruang makan dan meninggalkan Tuan Idrus yang tertawa kecil melihat gelagatnya. Tuan Idrus sudah meninggalkan ruang dapur melalui pintu belakang.

Melangkah masuk ke dalam ruang makan sahaja, pandangan Tania bertaut dengan pandangan Amani. Tania mengukir sebuah senyuman namun senyumannya dibalas dengan jelingan oleh Amani. Senyuman pada wajah Tania mati semula.

“Tania.” Min muncul di situ dengan seraut wajah yang ceria untuk menyambutnya. “Tania duduklah. Ini, Kak Min dah siapkan makanan untuk Tania.”

Dulang yang dibawanya diletakkan di atas meja. Dia mengambil beg sekolah yang masih digalas Tania dan diletakkan di tepi. Kemudian dia memimpin Tania yang masih memandang Amani agar duduk di situ.

Amani yang menyedari dirinya sedang diperhatikan, pura-pura tidak tahu dan terus menjamah hidangannya. Dia perlu kuat untuk membayar semua hutangnya. Dia mahu pergi dari tempat ini secepat mungkin. Itulah bisikan hatinya.

“Makanlah Tania.”

Suara Min membuatkan Tania yang sedang ralit memandang Amani sedikit terkejut dan terus memandang Min yang berada di sebelahnya. Dia menguntumkan senyuman memandang wajah Min.

“Kak Min dah makan?” soal Tania. Dia membasuh tangannya dengan air yang disediakan di dalam mangkuk. Setelah membaca basmallah, dia menjamah hidangan yang disediakan.

“Dah. Tania makanlah.” Min tersenyum menongkat dagu memandang Tania.

“Tuan Idrus baru balik dari bandar. Tentu dia bawakan hadiah untuk Tania,” ujar Min. Walaupun Min sedia maklum sememangnya ada hadiah untuk Tania, namun sengaja dia berkata begitu untuk melihat reaksi Tania.

Hmm...” Tania mengangguk sambil mengunyah makanan yang masih ada di dalam mulut.

“Tania makan dululah, ya. Kak Min nak ke belakang dulu. Kalau ada apa-apa panggil Kak Min, ya.” Setelah merasakan dia seakan-akan mengganggu Tania yang sedang makan, Min bangun daripada duduknya. Sempat dia mengerling Amani di hadapan.

Sekilas Amani memandang Min. Kerlingan Min dibalas juga dengan kerlingan yang tajam oleh Amani. Min mendengus perlahan lalu berlalu pergi. Dia tidak mahu mencari gaduh dengan Amani di hadapan Tania.

Sesekali mata Tania masih memandang seraut wajah yang cantik di depannya. Ya, gadis ini memang cantik tetapi sombong! Siapa gadis sombong yang dibawa papa ke dalam rumah mereka? Tania bermonolog sendiri kemudian dia teringat semula pesan Tuan Idrus agar berbaik-baik dengan Amani dan mencari maklumat tentang gadis itu.

“Awak dah sihat?” Tania memulakan bicara.

Amani mengerling Tania seketika dan kembali menghabiskan hidangannya yang masih berbaki sedikit sahaja lagi.

“Papa saya kata, dia terlanggar awak.” Tania menyambung lagi walaupun soalannya tidak berbalas. “Nama awak, Amani, kan?”

Amani diam.

Tania mengeluh. Kemudian, muncul Mak Eton dan Min yang membawa hidangan tambahan untuk mereka.

“Nama awak, Amani, kan?” Sekali lagi Tania mengulangi pertanyaan itu. Tetap tiada juga jawapan daripada Amani.

“Hei! Kau tak dengarkah Tania tanya kepada kau?!” Min yang geram melihat kebisuan Amani terus menyergah Amani. Tangannya sudah menepuk-nepuk meja di hadapan Amani namun tidak kuat. Sekadar untuk mendapatkan perhatian Amani.

Dengan pantas pandangan tajam Amani jatuh kepada Min. Anak matanya terus menikam wajah Min.

Min tergamam seketika menerima pandangan itu. Dia menelan air liurnya. Kemudian, dia berlalu pergi dengan rasa amarah. Tak tahu kenapa, tiba-tiba sahaja lidahnya membisu tatkala menerima pandangan sebegitu daripada Amani.

“Kamu berdua sambung makan. Tania, kalau nak makan apa-apa lagi bagi tahu dengan Mak Eton, ya? Mak Eton masuk dapur dulu.” Melihat Min berlalu pergi, Mak Eton juga mengekori langkah anaknya itu.

Tania membasuh tangannya. Seleranya sudah hilang dengan situasi itu. Dia mengetatkan bibir. Matanya memandang semula Amani. Dia cuba beristighfar seketika. Tuan Idrus perlukan bantuannya. Sebagai anak, dia perlu bantu Tuan Idrus untuk mencari tahu tentang Amani.
“Maaflah, papa saya tak sengaja langgar awak tadi.”

Amani mendengus kasar. Dengusannya terus mematikan Tania daripada meneruskan kata-katanya.

“Awak pergi ke sekolah. Tentu awak orang yang pandai. Awak tentu tahu ketika makan, tak baik bercakap.” Tiba-tiba sahaja Amani bersuara tanpa memandang Tania. Dia sedang menggigit tembikai susu yang dipotong tirus.

Tania terus tertunduk diam. Dia tak berani bersuara lagi.

Usai menyudahkan makan tengah harinya, Amani bangun dan membawa dulang makanannya ruang dapur. Dia membasuh pinggan, mangkuk, dulang dan gelas yang digunakannya.

Mak Eton dan Min yang hanya memerhatikan segala perlakuan Amani. Masing-masing tidak bersuara.

Amani membiarkan sahaja mata-mata yang sedang memandangnya. Dia melangkah semula ke ruang makan lalu mencapai beg galasnya dan meluru keluar dari situ tanpa mempedulikan Tania yang memerhatikan segala kelakuannya.

Mata Amani meliar mencari kelibat Tuan Idrus. Dia berlegar-legar di kawasan itu. Tiba-tiba telinganya mendengar sayup-sayup suara seseorang sedang berlagu bersama petikan gitar. Amani mendiamkan diri seketika. Suara itu sungguh sedap dan petikan gitar itu mendayu-dayu sekali.

Kakinya diatur perlahan mengikuti arah suara yang sedang mendendangkan lagu itu. Di belakang rumah yang paling kiri dan yang paling besar itu, Amani terlihat sebuah rumah kecil. Di berandanya, kelihatan kelibat Izz yang sedang duduk dan memetik gitar di tangannya. Mata Amani terus terpaku kepadanya.

Saat ini, angin sepoi-sepoi bahasa menghembus lalu. Keharuman bunga melur menyapa bersama hembusan angin. Amani menarik nafas sedalam-dalamnya. Wangian melur begitu menyenangkan.

“Amani.”

Satu suara menegurnya. Amani terus berpaling dan melihat Tuan Idrus sedang berdiri di belakangnya.

“Kamu dah habis makan?” tanya Tuan Idrus.

Soalan Tuan Idrus dibalas dengan jelingan. Kalau belum sudah makan, tak mungkin dia ada di sini.

“Kamu pergilah berehat,” arah Tuan Idrus.

“Saya nak kerja,” tegas Amani.

“Tadi sebelum pulang, Doktor Iwan ada beritahu saya yang awak perlukan makanan yang cukup kemudian perlukan rehat yang banyak. Paling kurang pun, dalam tempoh 12 jam.” Tuan Idrus sudah mengagak, pasti inilah jawapan yang bakal diterimanya. Sengaja dia berkata begitu sedangkan Doktor Iwan sendiri tidak menyatakannya. Dia sudah menyimpan jawapan ini sejak dia mula merasakan kedinginan dalam diri Amani.

“Tapi...”

“Saya tak nak hutang awak bertambah lagi. Doktor Iwan cakap, kalau awak tak dapat rehat yang cukup awak boleh pengsan kembali.”

Amani terdiam. Dia menghela nafas. Nampaknya, masanya akan lebih lama terbuang di sini. Tuan Idrus pula sudah tersenyum dalam hati melihat Amani seakan-akan mempercayai kata-katanya.

“Ini adalah Rumah Utama. Awak tunggu di sini, sekejap lagi Tania akan datang dan tunjukkan bilik rehat untuk awak. “ Tuan Idrus menunjuk pada rumah paling besar yang berada di hadapan mereka. Usai berkata begitu, Tuan Idrus terus berlalu pergi.

Amani terus berpaling semula untuk melihat Izz yang sedang berlagu sebentar tadi. Apabila dia berpaling sahaja, pandangannya bertaut dengan Izz. Izz melemparkan senyuman untuk Amani. Lantas, gitarnya diletakkan di atas beranda dan menghampiri Amani.

“Selamat datang ke pondok saya. Pondok ni namanya, Pondok Kecil sebab saiznya yang kecil.”

 Izz cuba bergurau sebaik sahaja dia tiba di hadapan Amani.

Amani diam.

“Pondok Kecil saya tak jauh saja dari Rumah Utama. Kalau ada apa-apa, bolehlah awak cari saya di sini,” sambung Izz.

Pondok Kecil itu memang bersebelahan sahaja dengan Rumah Utama. Namun, kedudukannya agak tersorok menyebabkan Amani tidak menyedari kewujudan pondok itu tadi.

“Saya dah tahu nama awak. Awak Amani, kan?” tanya Izz.

Amani tidak menjawab, tetapi mata Amani terus bertaut pada wajahnya sehingga Izz menjadi tidak keruan. Pandangan mata Amani yang sejuk beku itu bisa meluluhkan hatinya.

“Saya Izz.” Izz mengenalkan dirinya dan cuba mengawal perasaan.

Amani menjeling Izz dengan tajam lalu berpaling pergi.

Izz terkedu lalu menghela nafas panjang. Salam perkenalan dihulurkan, tetapi jelingan yang tajam dibalas. Amani memang aneh. Izz menggeleng kepalanya lalu berjalan semula ke Pondok Kecil.

Amani sudah kembali ke halaman hadapan. Kelihatan kelibat Tania di situ. Sebaik sahaja terpandangkan Amani, Tania melebarkan senyuman sambil melambai kepadanya.

“Awak dari mana?” tanya Tania.

Amani diam.

“Awak dari belakang? Awak jumpa Abang Izz?” Tania mendekati Amani.

Amani diam.

“Jom. Saya tunjukkan awak bilik. Bolehlah awak berehat dengan selesa.”

Amani memandang Tania yang sudah berganti bajunya. Pakaian seragam sekolah yang dipakainya tadi sudah berganti dengan baju-T labuh dan legging bersama selendang yang diselepang di kepalanya. Tentu sahaja Tania sudah membersihkan diri. Wajahnya kelihatan segar. Pakaiannya juga cantik.

“Jomlah! Saya tunjukkan tempat untuk awak berehat.” Tania mahu menarik tangan Amani namun dia khuatir jika Amani marah dengan tindakannya. Lalu dia berjalan mendahului Amani lalu masuk ke dalam Rumah Utama.

Melangkah masuk sahaja ke rumah itu, pandangan Amani meliar memandang setiap sudutnya. Penuh dengan gaya moden dan tradisonal yang digabungkan. Sampai sahaja di dinding kayu yang berukiran cantik, Amani menghentikan langkah. Tangannya diangkat dan disentuhnya kayu itu. Terpegun dia dengan corak ukiran yang begitu halus dan unik.

“Amani?”

Amani berpaling memandang Tania.

“Itu ruang solat. Bilik tidur di sebelah sini.” Tania menuding ke arah kiri.

Amani bergerak mengekori langkah Tania. Sempat dia mengira jumlah bilik yang ada di situ sebelum mereka berhenti di bilik yang paling hujung sambil dia mendengar Tania menerangkan serba ringkas tentang Rumah Utama.

Di dalam Rumah Utama terdapat lima buah bilik tidur dan tiga daripadanya adalah bilik utama yang mempunyai bilik air di dalam. Tania membawanya ke kamar yang paling hujung. Sebaik sahaja Tania membuka pintu kamar itu dan mempelawa Amani masuk, sekali lagi Amani tergamam melihat kamar yang luas dan cantik itu.

“Berehatlah. Awak boleh mandi, bersihkan diri. Buatlah macam rumah sendiri.” Tania berlalu meninggalkan Amani sendirian di dalam kamar itu.

Mata Amani masih belum lepas menangkap segala kelengkapan yang ada di kamar ini. Dia meletakkan beg galasnya di lantai dan mencapai sepasang baju ganti. Setelah itu, dia melangkah ke kamar mandi untuk membersihkan dirinya.

Amani kembali keluar dari kamar mandi usai membersihkan diri. Badannya terasa segar sedikit. Dia perlu berehat agar dia bisa bekerja. Amani memandang jam pada dinding. Sudah hampir jam 3.00 petang. Jika dia perlu berehat selama 12 jam, itu bermakna pukul 3.00 pagi pada keesokannya baru dia boleh mulai bekerja. Tapi, mana ada orang bekerja pada jam sebegitu!

Amani membuka jendela untuk membiarkan udara segar masuk ke dalam kamar itu. Apabila jendela dibuka, terlihat Pondok Kecil di situ. Jarak Pondok Kecil dan kamar itu tidak terlalu jauh. Aroma bunga melur sekali lagi dihidunya. Rupa-rupanya, terdapat sepohon bunga melur yang tumbuh bersebelahan dengan Pondok Kecil.

Kemudian, dia berpaling memandang katil yang bersaiz queen di hadapannya. Tangannya memegang tilam yang empuk itu. Belum pernah badannya merasakan kenikmatan untuk berbaring di atas tilam selembut ini. Malah, dia tidak pernah bermimpi untuk berada di situ. Dia tak layak dan dia tak mahu untuk membiasakan diri pada perkara yang tak bisa dicapainya. Amani mengambil keputusan untuk berehat dan berbaring di lantai sahaja.


Dia meletakkan beg galasnya di lantai. Dengan menggunakan beg galasnya sebagai alas kepala, Amani berbaring di situ. Dia memejam matanya rapat. Dia mahu berehat sepenuhnya sebelum kembali mengerah tenaga untuk melakukan kerja bagi membayar segala hutangnya.


-------------@@-------------
TERIMAS KASIH - ER
------------@@--------------