Friday 27 September 2013

Senyumlah Sayang 20



Assalamualaikum....N3 untuk SS dah ada. Tapi, maaf ya sebab saya tak sempat baca semula pos kali ni. So, kalau ada kesilapan dan kekurangan tolong2 tegurlah ye...

-------@@-------


Melangkah masuk sahaja ke Syurga Ilham Hati, terlihatlah kelibat Zaiton yang sedang menjemur pakaian. Wajah Tania sudah bertukar ceria apabila melihat wanita itu.

            “Assalamualaikum, makcik.” Dari jauh lagi Tania sudah memberi salam.

            Zaiton yang sedang ralit mengepit baju di ampaian, menoleh tatkala kedengaran suara Tania memanggilnya. Dia tersenyum melihat wajah ceria itu yang baru tiba bersama Amani dan Izz. Dia mengerling Amani seketika. Amani hanya menjeling kepadanya.

            “Macam mana Tania? Penat?” soal Zaiton.

            “Penatlah makcik. Letih badan Tania,” rungutnya. Dia mendekati Zaiton lalu memeluk bahu Zaiton dengan tangan kanannya. Kepalanya pula dilentokkan di bahu kiri Zaiton. Dia mengerling Amani yang hanya berdiri di hadapan mereka.

            Amani memerhatikan Tania dan Zaiton silih berganti. Melihat sahaja wajah Tania yang sedang memandangnya, pantas Amani menjeling. Namun, dia masih kaku berdiri di situ. Izz yang masih berdiri di pintu masuk Syurga Ilham Hati hanya memerhatikan mereka bertiga. Namun, dia lebih tertumpu kepada Amani dan Zaiton.

            “Tania penat ye,” Zaiton bersama sikap kepura-puraannya itu menepuk tangan Tania yang melingkari bahunya. “Tania pergilah masuk dan minum. Tentu Kak Min dan Mak Eton ada buatkan kuih untuk Tania.”

             Amani yang masih tercegat di situ memerhatikan Zaiton yang sedang memegang tangan Tania. Dia menjeling geram.

            “Jomlah makcik…..” Tania menarik tangan Zaiton. Sesekali matanya mengerling Amani. Memang sengaja dia melakukan begitu.

            “Tak bolehlah Tania. Makcik banyak kerja ni,” pujuk Zaiton. Memang dia terasa malas untuk melayan kerenah Tania pagi itu.

            “Ala….makcik.” Tania menarik muncungnya panjang. Jari jemari Zaiton digenggamnya. “Jomlah teman Tania makan. Malam nanti, papa balik dari Singapore. Tania dah pesan minta papa belikan hadiah untuk makcik tahu. Lepas tu, papa nak bawa kita keluar makan malam ni.”

            Sebenarnya, Tania hanya berbohong. Dia langsung tak berkesempatan untuk berbicara dengan Tuan Helmi. Suaranya sengaja dikuatkan agar didengar Izz. Izz pasti tahu apa yang perlu dilakukan apabila mendengar pembohongannya itu.

            “Betulkah?” Mata Zaiton membulat memandang Tania. Dia sudah terbayangkan hadiah yang bakal diterimanya. Pastinya mahal dan berjenama!

            “Betul!” Pantas Tania mengangguk.

            Amani mendenaus geram. Dengusannya itu membuatkan Tania berpaling memandangnya.

            “Kak Amani janganlah risau. Papa akan bawa Kak Amani sekali. Abang Izz pun akan ikut kita.” Sengaja dia berkata begitu untuk menyakitkan lagi hati Amani. Untuk seketika Tania mengerling Izz yang masih tercegat di pintu pagar Syurga Ilham Hati. Izz hanya melemparkan senyuman buatnya. “Papa akan bawa kita ke tempat yang istimewa. Tania suka pergi sana.” Tania kembali memandang Zaiton.

            “Dengar tu Amani. Bertuahnya kita!” Zaiton sudah tersenyum gembira. Namun kemudian, senyuman mati di bibirnya. Dia memandang wajah Tania dengan sayu.

Kening Tania mula berkerut apabila menerima pandangan itu. “Kenapa ni, makcik?” soalnya.

“Mungkin, Amani tak boleh ikut kita,” kata Zaiton.

“Kenapa?” soal Tania. Sekilas dia memandang Amani dan beralih semula kepada Zaiton.

“Masa makcik datang sini, makcik lupa nak bawa baju Amani yang cantik-cantik. Makcik cuma bawa dua tiga helai baju saja untuk dia. Tania sendiri pun lihat, kan? Baju Amani asyik berulang yang itu jugak.” Dia mula menagih simpati Tania.

Amani sudah mengetatkan wajahnya. Tanpa berkata apa-apa dia berlalu dari situ. Mereka bertiga hanya memerhatikan gerak langkah Amani yang berlalu pergi.

Tania tertunduk seketika. Memang benar kata Zaiton. Amani hanya berulang baju yang sama. Tiba-tiba sahaja rasa simpati menusuk tangkai hatinya. “Tak apalah makcik. Tania banyak baju. Nanti Tania pinjamkan untuk Kak Amani ya,” pujuk Zaiton. Tak sampai hati untuknya melihat wajah sayu Zaiton.

“Betulkah Tania?” Wajah Zaiton terus bertukar ceria. Namun kemudian, wajahnya bertukar sayu semula. “Tapi, Amani mesti tak nak. Tania tahulah perangai Amani tu.”

Tania tertunduk. Dia berfikir sesuatu. “Hah! Kalau macam tu, Abang Izz sajalah pujuk Kak Amani untuk pinjam baju Tania. Boleh?” tanya Tania.

Izz mengetatkan bibirnya. Dia mendekati Tania dan Zaiton. Dia menarik nafas seketika lalu mengangguk perlahan. Satu senyuman dilemparkan buat Tania. Kemudian, dia berlalu pergi. Tadi, dia melihat Amani bergeraj ke halaman belakang. Lalu, dia juga membawa diri ke situ.

Sampai sahaja di pondok kecilnya, dia melihat Amani yang sudah bersandar di bawah pohon sambil duduk di atas tanah. Izz menarik senyumannya lalu bergerak mendekati Amani. Tanpa berkata apa-apa Izz melabuhkan punggungnya di sisi Amani. Namun, jaraknya agak jauh dari tempat Amani.

Amani yang menyedari kehadiran Izz, langsung tak menganggak wajahnya. Namun, dari ekor matanya dia bisa melihat Izz yang sedang merenung lukisan Tania. Untuk beberapa detik berlalu tak ada sesiapa di antara mereka yang bersuara.

Izz menarik nafas panjang dan menghembusnya perlahan. Dia menoleh memandang Amani.

“Kalau saya tanya apa-apa pada awak, mesti awak tak nak jawab, kan?” kata Izz. Izz menjongketkan keningnya apabila Amani tidak memberi respon terhadapnya.

“Awak tahu, setiap manusia di dunia ini ada ujian. Allah memberikan ujian kepada semua hambaNya agar kita mendekatkan diri kepadaNya. Tak ada seorang manusia di dunia ini yang terlepas dari ujian. Awak ada masalah, saya ada masalah dan semua orang ada masalah,” kata Izz.

“Saya tahu, hubungan awak dan mak awak memang tak baik. Saya tak minta awak ceritakan atau berkongsi semuanya dengan saya. Tapi, kalau awak merasa bebanan di bahu awak, carilah sesiapa yang awak percaya untuk berkongsi cerita dengan awak.”

Amani mencebikkan bibirnya. Jari telunjuk kanannya menguis-nguis tanah. Sesekali dia akan menarik rumput di situ. “Awak dah siasat tentang Faiz?” Tiba-tiba Amani mengelurkan isu itu.

Izz tersentap seketika. Dia tidak menyangka Amani akan bertanya soal itu. “Saya dah hantar orang untuk selidik tentang Faiz. Awak jangan risau,” balas Izz. Kemudian, Izz tersenyum. “Saya bercakap tentang awak, dan awak sedang fikir tentang Tania?”

“Faiz,” Amani membetulkan kenyataan Izz. Dia menoleh kepada Izz. “Saya berfikir tentang Faiz.”
Izz ketawa kecil. Bukankah itu menunjukkan yang Amani sebenarnya sedang berfikir tentang Tania? “Awak memang lain dari perempuan lain yang pernah saya kenal,” ujar Izz dengan jujur. “Susah nak meramal sikap awak.”

“Awak tak perlu lakukan itu. Tuan Helmi bayar gaji awak bukan untuk meramal dan mengenali saya,” balas Amani. Nadanya mendatar seperti manusia yang tidak punya perasaan.

Izz menjongketkan keningnya. “Saya pernah berkata yang saya mengenali awak lebih dari Tania walaupun Tania membesar di hadapan saya. Tapi, untuk waktu sekarang ni memang banyak tentang awak yang saya tak tahu berbanding Tania.” Izz menoleh lagi kepada Amani. Dia tidak pasti apakah Amani mengerti apa yang dimaksudkannya. Namun, sayangnya Amani langsung tidak bertindak balas terhadap kata-katanya itu.

“Amani,” panggil Izz dengan perlahan. “Saya tak tahu apa pandangan awak terhadap saya. Tapi, tujuan hidup saya dari kecil hingga sekarang adalah untuk melindungi keluarga Tuan Helmi. Dalam hidup Tuan Helmi, Tania adalah segala-galanya. Kerana itu saya sangat mengambil berat tentang Tania. Dia, saya dah anggap seperti adik saya sendiri. Jadi, apa yang berlaku di tasik tadi, saya harap awak tak salah faham,” kata Izz lagi. Dia yakin Amani marah kepadanya kerana sikap Tania yang memaksanya menyuapkan sandwich kepada Tania.

Amani ketawa sinis. Namun, dia tidak bersuara untuk menafikan atau mengiakan apa-apa tentang kenyataan Izz.

“Awak masih ingat tentang bulan yang dipagari bintang?” soal Izz. Kali ini dia tidak mengharapkan apa-apa balasan atau reaksi dari Amani. Namun dia yakin, Amani sentiasa mendengar setiap bicaranya.

 “Saya mempunyai seorang adik yang sama usianya dengan Tania. Dia lahir pada hari yang sama Tania dilahirkan. Waktu itu, saya berusia lapan tahun adik saya meninggal ketika dilahirkan. Saya tak sempat melihat wajahnya dan saya tak tahu di mana kuburnya kerana arwah mak dan abah saya merahsiakannya dari saya. Saya tak pasti kenapa mereka tak benarkan saya tahu dimana adik saya berada. Sehinggalah mereka pergi meninggalkan dunia ini, saya tetap tidak diberitahu tentang adik saya. Cuma, apa yang mereka selalu pesan kepada saya, jaga Tania seperti adik sendiri,” kata Izz sambil diingatannya sudah terbayangkan wajah kedua-dua orang tuanya yang telah meninggal.

“Saya masih ingat lagi kata-kata arwah mak. Anggap Tania seperti bulan dan kamu seperti bintang yang berserakan. Di mana saja ada bulan, bintang perlu ada. Kalau tidak bertaburan, bintang tetap perlu menunjukkan dirinya walau sebutir. Jangan sesekali bintang meninggalkan bulan kerana satu saat nanti, bulan memerlukan bintang.” Izz menarik nafas panjang. Saat itu itu jiwanya terasa sedih.

Amani terdiam. Izz menuturkan kata-katanya dengan penuh perasaan sehingga kata-kata itu menyentuh kalbunya. Izz bukan hanya mempunyai amanah untuk menjaga Tania dari Tuan Helmi, namun amanah itu telah diberikan juga oleh kedua orang tuanya. Saat itu, Amani mula terbayangkan Hafiz, adik sepupunya. Bagaimana keadaan Hafiz sekarang.

“Jauh atau dekat, bintang pasti ada untuk bulan,” tiba-tiba Amani bersuara sehingga menyebabkan Izz menoleh kepadanya.

“Tentu sekarang awak faham bentuk hubungan saya dengan Tania. Tapi, antara saya dan Tania terbatas. Semakin Tania membesar dan dewasa, semakin terbatas perhatian saya kepada dia,” jelas Izz. “Mungkin, satu saat nanti saya perlukan awak untuk perhatikan Tania.”

Amani menoleh kepada Izz. “Tania bukan sesiapa dengan saya,” ujarnya. “Jangan sangkutkan saya dengan Tania. Sampai masanya, saya akan pergi dari sini.”

Izz terdiam seketika. “Adakalanya manusia tidak akan faham jika dinyatakan berkali-kali. Namun, ada juga manusia yang faham walaupun tanpa bicara,” balas Izz. Dia tahu, sebenarnya Amani mengambil berat tentang Tania. Mungkin tak banyak, tapi sedikit sebanyak gadis itu mengambil berat juga perihal Tania.

“Pagi tadi, pihak sekolah hubungi saya. Esok, saya akan ke sekolah bersama Tuan Helmi,” beritahu Izz.

“Kenapa?” soal Amani.

Izz mengjongketkan bahunya. “Saya harap hukuman kamu berdua dipendekkan. Dua minggu….sangat lama. Banyak pelajaran yang perlu dikejar,” katanya.

Amani memejamkan matanya. Dia juga mengharapkan perkara yang sama.

“Amani,” panggil Izz lagi. “Malam ni, saya akan minta kebenaran Tuan Helmi untuk kita semua keluar makan malam di tempat kegemaran Tania,” kata Izz. Izz membisu seketika untuk melihat apakah Amani bisa mengerti maksud di sebalik kata-katanya.

Amani ketawa sinis setelah agak lama mendiamkan diri. Memang dia terasa aneh dengan kata-kata Izz. “Tania berbohong?” soalnya.

Izz hanya menjongketkan keningnya. “Banyak perkara tentang Tania yang tak boleh saya urus. Tapi, awak jangan salah sangka kepada Tania. Tania punya hati yang baik. Tapi, dia sangat keanak-anakkan. Saya tak tahu apa tujuan dia berbohong begini,” ujarnya.

“Tania mahukan perhatian dari awak dan mak saya,” balas Amani. “Kalau betullah awak bintang untuk Tania. Perkara pertama yang patut awak jauhkan dari Tania selain Faiz adalah mak saya.”

Izz terus terkejut dengan kata-kata Amani. “Saya tak fahamlah kenapa awak terus memburukkan mak awak? Saya tahu awak ada masalah dengan mak awak. Tapi, cubalah untuk berbuat baik dengan dia!”

Amani ketawa sinis melihat reaksi Izz. “Memang betul, adakalanya manusia tidak perlu terlalu bercakap dengan banyak untuk menerangkan sesuatu,” sindir Amani.

“Baiklah, saya tak nak bercakap soal ni lagi.” Izz menarik nafas yang panjang.

Amani bangun dari duduknya. Izz turut bangun dan berdiri sambil memandang Amani. Amani membalas pandangan matanya.

"Sapalah angin yang menderu, minta ia melayangkan perasaanmu. Sapalah kunang-kunang yang berterbangan hinggap di bahu mu, minta ia terbangkan kesakitanmu. Sapalah awan yang berarak lalu, minta ia bawa pergi airmatamu.” Amani membacakan bait-bait putis yang ditulis Izz untuknya. “Sekuat mana pun angin, dia tidak akan membawa pergi perasaan di hati. Setinggi mana pun kunang-kunang itu terbang, dia tak bisa membawa kesakitan itu. Biarpun bergumpulan awan gemawan berlalu, hati itu tetap tertinggal. Lalu, untuk siapa awak berikan puisi itu?” tanya Amani.

“Uh?” Kening Izz berkerut. “Saya tak faham.”

Amani ketawa sinis lagi. “Adakalanya, manusia terlalu banyak berbicara tapi tetap tidak difahami,” sindir Amani.

Kali ini Izz mengerti apa yang cuba disampaikan Amani. “Untuk seseorang yang tidak banyak bercakap, memang agak sukar untuk memahami apabila kata-kata menjadi luahannya. Kemaafan…. Itulah dendam yang paling indah,” balas Izz.

Amani menarik nafas panjang. Dia tidak menyangka Izz akan mengerti apa yang dikatakannya. Dia berpusing dan bergerak pergi.

“Amani!” panggil Izz lagi apabila Amani mahu membelok ke halaman hadapan. Langkah Amani terhenti. Izz bergerak menghampiri Amani yang sedang membelakangkannya. “Seandainya, saya hilang dalam hidup awak. Apakah saya tetap akan berada di hati awak?” Izz menuturkan kata-kata itu dengan perlahan dan seakan berbisik si telinga Amani.

Amani pantas memusingkan tubuhnya. Nyata, tubuh Izz berada begitu dekat dengannya. Dia memandang jauh ke dalam mata Izz.

“Saya tak bermaksud apa-apa dengan kata-kata saya. Tapi, dari hari pertama saya mengenali awak…” Izz manarik nafas panjang. Berat hatinya untuk meluahkan apa yang telah terpendam.

“Abang Izz!” tiba-tiba sahaja Tania muncul di situ. Mencerlung wajahnya memandang Izz. Sikit lagi, Izz akan mengeluarkan kata-kata yang tidak bisa diterimanya. Dia tidak rela melepaskan Izz walau apa pun yang berlaku.

“Tania!” Izz agak terkejut melihat Tania yang tiba-tiba hadir di situ.

Dengan perasaan yang marah, Tania menolak tubuh Amani agar menjauhi Izz. Dia merampas lukisannya dan lukisan Amani yang berada di genggaman Izz. Terus dia mengoyakkan lukisan Amani bersama lukisannya sendiri. Dia sedikit pun tidak kisah tentang lukisannya. Namun, dia tahu perkara itu akan menyakitkan hati Amani.

Amani tergamam. Dia hanya mampu melihat cebisan-cebisan lukisannya yang bertaburan di tanah. Dia memandang Tania semula.

“Kau ingat kau siapa?” Dia menolak-nolak tubuh Tania. Tania terkebelakang dengan tolakan yang kuat dari Amani.

“Amani!” jerita Izz lalu mencapai tangan Amani untuk menghalang Amani.

Amani terhenti apabila mendengar jeritan Izz. Dia menoleh semula kepada Tania yang terus memandangnya. “Kau bukan sekadar bulan. Tetapi bulan sabit yang hanya menampakkan separuh sahaja wajahnya!” Amani terus berlalu dari situ.


Izz tertunduk di situ sambil menggelengkan kepalanya.


-------------@@------------

Terima kasih kerana sudi membaca kisah ini...
Sampai saat ini saya masih model yang sesuai sebagai watak Tania....
Tapi, belum jumpa...
 :)

Friday 20 September 2013

Biarkan Aku Sendiri- episod 2




Hai...Assalamualaikum semua...
Sambungan spesial N3 minggu ini....
Selamat membaca...
Apa yang kurang harap di tegur ya...

---------------------@@



ENAM BULAM KEMUDIAN....



Miza tergamam tatkala melihat semua beg pakaiannya dan Alia bertaburan di depan pintu pagar. Dia melangkah keluar dari Kelisa-nya. Tertera papan tanda yang menyatakan rumah itu telah dijual.

“Puan Miza,” tegur satu suara.

Miza berpaling memandang kelibat yang menegurnya. Kelihatan seorang wanita yang anggun bersama sut hitam sedang membawa fail di tangan. Di sisinya berdiri sepasang suami isteri yang sedang berpegangan tangan.

“Ya, saya,” kata Miza.

“Saya Maria, peguam Tuan Jeffry,” wanita itu menghulurkan salam perkenalan dan disambut Miza.

“Pertama sekali saya nak minta maaf kepada puan. Rumah ini telah dijual oleh Tuan Jeffry. Puan tidak dibenarkan lagi tinggal di sini,” ujar Maria.

“Memang rumah ini atas nama Jeffrey. Tapi, ini rumah saya. Saya yang membayar semua pembelian rumah ni!” tegas Miza. Setelah Jeffry meninggalkan mereka, dia yang menyambung pembayaran rumah ini.

“Saya minta maaf, puan. Walaupun puan yang membayar pinjaman rumah, tapi nama di surat perjanjian adalah atas nama Tuan Jeffrey seorang. Dia berhak menjual rumah ini dan puan tidak ada hak ke atasnya,” kata Maria.

Miza menggigit bibir bawahnya. Sampai hati Jeffrey buat begini kepada mereka. Dia tahu, Jeffrey tentu mahu membalas dendam kepadanya kerana telah menfailkan penceraian. Setelah perbicaraan mahkamah, perkahwinan mereka telah dibubarkan.

“Rumah ini dah ada pembelinya. Hari ini juga mereka berdua akan tinggal di sini,” beritahu Maria.

“Tapi, kenapa Jeffrey langsung tak beritahu saya?” soal Miza.

“Maaf puan, saya cuma jalankan kerja saya. Saya tak boleh masuk campur hal peribadi puan dan Tuan Jeffrey.” Setelah berkata begitu, Maria terus membuka kunci rumah dan menyerahkan kepada pembeli baru yang datang bersamanya.

Dengan perasaan yang sangat kecewa, Miza mengangkat  beg-beg pakaiannya dan masukkan ke dalam kereta.

“Kita nak ke mana?” soal Miza sendirian setelah dia duduk di tempat pemandu. Dia menoleh memandang wajah Alia. Alia mengenjakkan tubuhnya sedikit dan memegang pipi Miza.

“Mama jangan nangis.” Bagaikan mengetahui airmata Miza akan tumpah bila-bila masa sahaja, Alia terus memujuk ibunya.

Miza mencapai tangan kecil Alia dan menggenggamnya erat. “Selagi Alia bersama mama, mama akan kuat demi Alia.” Dia mencium pipi Alia.

Tapi, ke mana harus di bawa Alia? Mahu menghubungi Aina, dia tak mahu menyusahkan Aina. Apatah lagi mahu menumpang di rumah Aina. Tentu sahaja akan mengganggu Aina dan suaminya.

----------------@@------------

KETIKA Dany memandu melalui Restoran Masakan Melayu Asli, dia melihat kelibat Miza dan Alia sedang tertidur di atas ribaan Miza. Hatinya mula tertanya apa yang dilakukan Miza dan Alia di restoran itu pada jam sebelas malam.

“Tentu ada sesuatu yang tidak kena!” Dany terus memusing stereng kereta dan memakirkan kereta di bahu jalan. Dia melintasi jalan yang sesak itu dan terus menghampiri Miza dan Alia.

“Assalamualaikum Miza,” Dany terus menarik kerusi dan duduk di kerusi bertentangan.

“Waalaikummussalam,” jawab Miza yang agak terkejut dengan kehadiran Dany di situ.

“Miza bawa Alia keluar makan?” tanya Dany membuka kata.

“Ya,” tergagap-gagap Miza menjawab sambil menganggukkan sedikit kepalanya.

Sekilas mata Dany memandang meja makan itu. Ada segelas air di atas meja Miza. Namun, tiada pinggan di situ. “Dah sudah makan?” tanya Dany.

Miza hanya mengangguk berat sambil kepalanya tertunduk. Tak tahu kenapa tatkala Dany bertanya begitu, dia terasa mahu menangis. Namun dia tetap cuba menahannya.

Melihat wajah Miza, Dany tahu ada yang tidak kena. “Kasihan Alia. Biar saya dukung dia.” Tanpa menunggu keizinan dari Miza, Dany terus mengangkat tubuh Alia dari ribaan Miza. Dany menegakkan tubuh Alia dan mendukungnya di bahu. Miza hanya membiarkan sahaja Dany mengambil Alia.

“Kenapa tak balik lagi?” tanya Dany. Miza membisu.

“Kereta rosak?” tanya Dany lagi. Miza menggeleng perlahan.

“Nak saya hantarkan?” soal Dany lagi. Miza memandang wajah Dany.

“Awak boleh tolong saya?” Akhirnya Miza bersuara. “Saya nak minta tolong makcik Leha, pakcik Deris dan awak jagakan Alia.”

Berkerut kening Dany mendengar permintaan Miza. “Kenapa Miza? Beritahu saya,” kata Dany seakan mendesak.

“Saya tak boleh jaga Alia buat masa sekarang. Saya akan ambil Alia nanti. Tolong jaga Alia,” rayu Miza. Dia terus bangun untuk pergi.

Namun, dengan pantas tangan kanan Dany mencengkam kemas pergelangan tangan Miza. “Awak tak boleh pergi macam tu saja, Miza,” kata Dany. “Saya tahu awak ada masalah. Tapi, awak tak boleh tinggalkan Alia macam tu saja.”

“Tolonglah saya Dany. Saya perlukan bantuan awak sekeluarga untuk jagakan Alia. Saya akan datang ambil Alia semula.” Miza cuba menarik tangannya dari genggaman Dany.

“Berapa lama? Sehari? Dua hari?” tanya Dany.

“Saya tak pasti! Tapi, saya akan ambil Alia bila saya dah dapat rumah sewa.” Dalam tak sedar, Miza sudah terlepas kata.

“Kenapa dengan rumah awak?” tanya Dany tanpa melepaskan tangan Miza walaupun Miza masih cuba sedaya upaya untuk menarik tanganya. “Saya tak boleh biarkan awak pergi. Awak dan Alia kena ikut saya balik!” tegas Dany.

“Saya boleh jaga diri saya sendiri. Cuma, tolong jagakan Alia untuk saya,” rayu Miza. Kali ini dia sudah berhenti dari cuba menarik tangannya.

Dany memandang jauh ke dalam mata Miza. Kemudian, dia menggeleng. “Saya tak boleh biarkan awak pergi sendirian.”

“Percayalah, saya boleh jaga diri saya sendiri.” Miza masih bertegas tidak mahu mengikut Dany.

“Saya tak tahu sama ada awak boleh jaga diri awak sendiri atau tidak. Tapi, saat ini, saya tak boleh biarkan awak pergi. Awak ikut saya dengan rela atau dengan paksa? Awak pilihlah sebab saya takkan lepaskan awak!” tegas sekali Dany memberi keputusannya.

“Ada masalah apa di sini, ya?” tiba-tiba muncul pemilik restoran di situ bersama seorang pekerjanya.

Dany dan Miza terus menoleh memandang mereka berdua. Dany semakin erat menggenggam tangan Miza kerana khuatir Miza akan mengambil kesempatan itu untuk pergi.

“Tak ada apa-apa,” balas Dany.

“Ini siapa?” tanya pemilik restoran itu kepada Miza sambil menunding kepada Dany.

“Saya suami dia.” Dengan pantas Dany memberi jawapan selamat. Miza pula seakan terkejut dengan jawapan Dany.

“Betul?” tanya pemilik restoran itu lagi kepada Miza.

Miza mengangguk dengan perlahan. Dany menarik nafas lega apabila Miza mengiakan pembohongannya.

“Encik jangan risau. Saya bukan orang jahat. Biasalah, suami isteri kadang-kadang bertengkar juga. Saya cuma nak pujuk isteri dan anak saya balik rumah,” kata Dany.

“Oh,” Terangguk-angguk kepala pemilik restoran itu. “Baliklah puan, kasihan anak tu.”

“Berapa semua?” tanya Dany apabila teringat kemungkinan yang Miza masih belum membayar minuman yang dipesannya.

“Tak mengapa. Saya beri percuma. Puan, ikutlah suami puan balik,” balas pemilik restoran itu.

“Terima kasih, ya. Kami minta diri dulu.” Dany membawa Miza dan Alia pergi dari situ. Tangan kirinya masih mendukung tubuh Alia yang terlentok di bahunya. Tangan kanannya pula terus kemas memegang tangan Miza sehingga sampai di kereta.


-----------------@@--------------

MIZA melipat kemas telekungnya. Dia bangun dari sejadah dan duduk di birai katil. Wajah Alia yang sedang nyenyak dipandang lama. Satu kucupan singgah di dahi comel itu. Pintu kamar itu dibuka dari luar. Muncul kelibat Zaleha di situ. Zaleha memberi isyarat kepada Miza agar mengikutnya.

Miza menurut langkah Zaleha. Sampai di ruang tamu, Zaleha menarik tangan Miza agar duduk di sebelahnya.

“Hari ni, Miza tak payah ke pejabatlah. Berehatlah dulu,” kata Zaleha. Dia tahu, sepanjang malam Miza tidak dapat melelapkan matanya.

Miza menundukkan kepala, memandang tangannya yang tergenggam kemas. “Saya tak sangka Abang Jeffrey sanggup buat macam ni. Tiga tahun dia tinggalkan kami macam tu aje,” Miza mengangkat kepala memandang Zaleha. “Salahkah saya minta dilepaskan?”

Zaleha menggelang. “Tak!” Zaleha menarik bahu Miza agar rapat dengannya. “Jeffrey tu  yang dah tak betul. Sudahlah tinggalkan kamu dan Alia. Rumah tu pun dia ambil. Padahal bukan dia yang membayar rumah tu.” Zaleha turut merasa pedih dengan tindakan Jeffrey. “Selagi kamu tak ada rumah, kamu tinggal dengan makcik.”

“Saya dah hantar pesanan kepada Aina dan beritahu dia yang saya tak masuk pejabat. Hari ni, saya akan cari rumah sewa.” Satu senyuman dilemparkan kepada Zaleha.

“Tak perlulah tergesa-gesa Miza. Kasihan Alia tu. Kalau ada rumah dekat-dekat sini, barulah Miza pergi. Kalau tidak susah Miza nak hantar Alia ke sini nanti,” kata Zaleha.

“Seganlah saya dengan makcik dan pakcik. Makcik dan pakcik dah banyak tolong saya. Dany pun sama. Lagipun, apa kata jiran-jiran kita nanti? Tentu diorang akan fikir yang bukan-bukan tentang saya dengan Dany,” beritahu Miza.

“Miza perempuan, Dany tu lelaki. Biarlah dia yang cari tempat lain buat sementara ni. Lagipun, lepas bawa Miza dan Alia ke sini, Dany dah pun pergi. Dia sewa di hotel murah di jalan besar tu,” kata Zaleha.

“Ya Allah,” Miza menangkup mulutnya. “Miza ni menyusahkan Dany saja.”

“Tak Miza, Miza dan Alia langsung tak menyusahkan. Lagipun, Dany sendiri dah pesan dengan makcik. Katanya, dia mahu Miza dan Alia tinggal di sini. Dia yang akan cari rumah sewa. Sementara tu, dia akan tinggal di hotel.” Zaleha mengusap belakang. “Jangan sesekali fikir yang Miza dan Alia menyusahkan kami. Ingat!”

------------------------------@@-----------------


KRINGGG....Kringg....

Loceng yang berbunyi itu menarik perhatian Alia yang sedang bermain buaian. “Wah! Aiskrim!” Alia menahan buaiannya dengan tapak kaki dari berhayun.

Dany menoleh memandang ke belakang. Kelihatan seorang apek aiskrim berhenti di bahu jalan yang tidak jauh dari mereka. Ramai kanak-kanak yang berada di taman permainan itu mula mengerumuninya.

“Alia nak aiskrim?” tanya Dany. Alia mengangguk. “Jom!”

“Alaa...Pakcik belikanlah untuk Alia,” rayu Alia.

“Iyalah, pakcik nak belikan untuk Alia-lah ni,” balas Dany.

“Tak.....bukan....” Alia menggeleng apabila Dany tak mengerti maksudnya. “Pakcik belikan aiskrim, Alia tunggu sini.”

“Jomlah kita pergi sekali. Alia pilih aiskrim yang Alia nak,” ajak Dany lalu menghulurkan tangan.

“Tak nak! Alia tunggu sinilah. Kalau Alia bangun, orang lain nanti ambil buaian Alia,” ujar Alia.

Dany menoleh pula kepada apek aiskrim yang hanya sepuluh langkah di hadapannya. “Okey, Alia tunggu sini, pakcik belikan aiskrim mangkuk untuk Alia. Jangan pergi mana-mana tahu!” pesannya.

“Alia tunggu sini!” Alia sudah tersenyum lebar.

Dany meninggalkan Alia untuk membelikan aiskrim. Setelah membelikan semangkuk aiskrim buat Alia dan aiskrim Magnum untuk dirinya sendiri, dia kembali semula ke tempat Alia bermain buaian.

“Alia, aiskrim dah sampai,” dia memandang Alia.

Namun, kelibat Alia tidak ada di buaian itu. Hanya yang ada buaian kosong yang sedang terhayun sendiri. Dany berlari si sekeliling padang dan memerhatikan semua kanak-kanak yang berada di situ. Namun, kelibat Alia tetap tidak kelihatan.

“Alia!!!”


------------------@@--------------

MIZA menekan brek dengan kuat apabila tiba di hadapan rumah Zaleha sehingga bahunya terenjak ke depan. Terus dia meluru keluar dari kereta dan masuk ke dalam rumah Zaleha.

“Astaghfirullah...” Aina di sebelahnya sudah mengucap panjang. 

“Mana Alia?” soal Miza sebaik sahaja kakinya menjejakkan kaki  ke dalam rumah.

Zaleha, Deris dan Dany terus menoleh kepadanya. Dany membalas menelan air liur dan matanya terus bertentangan dengan Miza. Melihat ke dalam mata Miza, dia dapat merasakan perasaan takut wanita itu.

Miza mendekati Dany. “Mana Alia?!” Suaranya di tahan namun dengan nada yang keras.

“Miza, saya minta maaf. Saya....” Dany tak tahu untuk berkata apa. Betapa menyesalnya dia dengan kelalaiannya. Kalaulah dia bertegas membawa Alia bersamanya untuk membeli aiskrim, tentu semua ini takkan terjadi.

“Ya Allah...” Akhirnya, tangisan yang sedari tadi di tahan Miza berguguran. Tersekat-sekat nafasnya bersama tangis esaknya.

“Maafkan saya Miza, maafkan saya...” Hanya itu yang mampu dikatakan Dany. Pedih hatinya melihat kesengsaraan Miza kerana kecuaiannya.

Zaleha terus meluru memeluk Miza. Dia juga khuatir dengan keselamatan Alia.

“Kita buat laporan polis,” usul Aina.

“Tak boleh selagi tak cukup dua puluh empat jam,” ujar Deris pula. “Jangan buang masa di sini. Lebih baik kita keluar dan cari Alia.”

“Betul!” Aina juga bersetuju. “Kau ada gambar Alia?” tanya Aina kepada Miza. Miza mengangguk. “Kau send gambar Alia, biar aku upload di FB dan twitter. Untung-untung ada orang nampak dia.”

Dengan pantas Miza menghantar gambar Alia kepada Aina melalui emailnya sambil tangannya menekan punat-punat telefonnya.

“Awak perlu beritahu Jeffrey. Mungkin dia boleh bantu kita untuk cari Alia,” cadang Dany.

“Saya tak perlukan bantuan dia!” tegas Miza.

“Ini soal Alia. Mungkin Jeffey boleh bantu,” pujuk Dany lagi. “Demi Alia....Miza, beritahu Jeffrey.”


---------------------@@------------------

“ADA apa kau cari aku?” Jeffrey menyeluk kocek seluarnya tanpa memandang Miza.

“Alia hilang,” sayu Miza menuturkan kata.

“Habis tu?” Sedikit pun Jeffrey tidak menunjukkan riak kerisauan seperti yang di harapkan Miza.

“Kita memang dah tak ada apa-apa hubungan. Tapi Alia anak awak!” Ujar Miza separuh menjerit. Dia sudah tidak membahasakan Jeffrey sebagai ‘abang’.

Jeffery mengerling Dany yang sedang bersandar di sebuah kereta tidak jauh dari tempat dia dan Miza berada. “Sebab awak dah ada orang lain awak minta cerai dari saya?” soal Jeffrey.

“Ini bukan masa yang sesuai untuk bercakap tentang kita,” balas Miza.

Jeffrey mendengus dengan jawapan Miza. “Kalau dah ada orang baru, tak perlu cari saya!”

“Kan saya dah cakap, ini bukan soal kita! Soal Alia! Alia tu anak awak!” Nada suara Miza sudah meninggi.

“Mentang-mentanglah aku bukan suami kau lagi, kau dah pandai nak jerit-jerit?!” Jeffrey kelihatan bengang dengan sikap Miza. “Sudah! Kau dah tak ada apa-apa hubungan dengan aku. Aku pun tak pernah anggap Alia anak aku!” tegas Jeffrey. Jeffrey menendang tayar keretanya sendiri untuk menunjukkan perasaan marahnya. Dia terus membuka pintu dan memandu pergi.

Tatkala kereta Jeffrey berlalu di hadapan Miza, mata Miza menangkap sesuatu di belakang kereta Jeffrey. Sebuah anak patung beruang. Dan di sebelah kiri telinga anak patung itu, terikat sebuah reben warna biru yang dijahit khas oleh Miza sendiri.

Melihat Jeffrey yang telah pergi, Dany terus mendekati Miza.

“Macam mana Miza?” tanya Dany.

“Saya tahu siapa yang ambil Alia,” ujar Miza dengan getaran di dada. Dany terdiam. Miza mengamnbil telefon dan mencari nama Jeffrey dalam senarai dan terus menghubungi lelaki itu.



“Saya tahu Alia ada dengan awak,” kata Alia. Kedengaran tawa sindir dari Jeffrey. “Apa yang awak mahu dari saya?” suaranya sudah bergetar hebat.....


~bersambung......

------------------------------@@---------------------

Allah s.w.t tidak menciptakan wanita dari kepala lelaki untuk dijunjung. Tidak juga Allah s.w.t menciptakan wanita dari kaki lelaki untuk diinjak-injak. Tetapi Allah s.w.t menciptakan wanita dari tulang rusuk lelaki, dekat dengan lengannya untuk dilindungi dan dekat dengan hatinya untuk dicintai...


---------------------------@@-------------------


Terima kasih kerana membaca sambungan spesial N3 Minggu ini. Cerita ini akan tamat pada N3 seterusnya ya....