Friday 27 April 2012

Aku Maafkan Kamu 2








Alhamdulillah….Syukur atas setiap nikmat yang telah Allah kurniakan padaku. Walaupun perancangan yang dilakukan tidak kesampaian, namun akulah manusia yang paling bertuah atas segala yang telah terjadi. Benarlah, Allah lebih Mengetahui apa yang terbaik untuk setiap hambaNYA. Memang aku dan keluargaku, begitu juga dengan keluarga Mak Su akan kehilangan harta peninggalan arwah atuk. Tapi Allah memberikan aku ‘sesuatu’ yang lebih bernilai dari itu. Iaitu, Yusuf…..

“Subahanallah….” Tiba-tiba suara mak menyapa angananku. “Cantiknya anak mak ni!” Mak memelukku dari belakang. Aku hanya tersenyum malu dengan pujiannya.

Aku beralih memandang mak. Ada airmata yang bertakung di kolam matanya. “Mak gembira?” aku bertanya walaupun aku yakin benar airmata itu adalah airmata kegembiraan untukku.

Mak menghadiahkan satu ciuman buat ku di dahi. “Ibu mana yang tak gembira melihat anak perempuannya akan menjadi isteri orang.” Mak terus tersenyum manis.

“Mak rasa, pilihan Lisa betul?” Memang aku sangat yakin dengan Yusuf. Tapi aku mahu tahu apa yang ada dalam hati mak. Apakah mak juga merasakan begitu?

“Insya-Allah….Mak yakin, Yusuf adalah lelaki yang diciptakan Allah untuk Lisa.” Mak mengukirkan senyuman dan sekali lagi memelukku. “Mak percaya Yusuf akan menjaga puteri mak dengan baik……dunia dan akhirat…”

Mendengar kata-kata mak membuatkan aku menarik nafas lega. “Mak, abang dan Kak Maziah datang tak?” aku mengajukan soalan yang agak sensitif untuk mak. Walaupun aku tahu mak masih marahkan abang dan Kak Maziah tapi jauh di sudut hatinya perasaan sayang seorang ibu untuk anak menantunya masih utuh di hati. Hanya mereka yang tidak tahu menilai kasih sayang yang diberi.

Ada satu keluhan yang keluar dari bibir mak. “Entahlah Lisa….” Mak cuba mengukirkan senyuman buat aku. Namun senyuman mak ini tidak kelihatan berseri seperti tadi.

Sebenarnya, aku telah menghubungi abang malam tadi dan memintanya untuk pulang menghadiri majlis pernikahan ku dan majlis resepsiku malam nanti. Walaupun aku juga masih marahkan abang dan Kak Maziah, namun atas pujukan Yusuf aku tetap menghubungi mereka. Yusuf benar, sejauh mana pun aku menyimpan rasa marah terhadap mereka namun hubungan darah yang mengalir dalam tubuhku dan abang tetap takkan berubah.

“Assalamualaikum……” satu suara halus menyapa dari balik pintu. Pandangan aku dan mak terus beralih pada suara itu sambil kami menjawab salam yang diberikan.

Terlihatlah seraut wajah yang aku dan mak nantikan. Kak Maziah sedang tegak berdiri di muka pintu bersama senyuman manisnya. Aku mengukirkan senyuman buat Kak Maziah. Walaupun ada peritnya tetapi aku cuba untuk tersenyum seikhlas yang mampu. Aku menghampiri Kak Maziah dan mencapai tangannya. “Terima kasih kak sebab sudi datang majlis Lisa.”

“Lisa, kan adik ipar akak. Tentulah akak datang.” Kak Maziah terus tersenyum. Dari raut wajahnya, kelihatan dia ikhlas menutur begitu. Tapi entah kenapa aku masih tidak dapat merasai keikhlasannya dari hati. Ah….mungkin aku yang terlalu menyimpan dendam dan marah padanya! Akhirnya, aku menyalahkan diri aku sendiri.

“Dah alang-alang Maziah ada di sini, mak nak minta Maziah temankan Lisa. Mak nak turun bawah. Nak layan tetamu,” ujar mak. Reaksi mak menunjukkan seolah-olah tiada apa yang pernah berlaku di dalam keluarga kami. Betapa bijaknya mak mengawal keadaan. Nampak jelas ketabahan yang ada padanya.

“Baik, mak!” Kak Maziah menyambut permintaan mak dengan senang hati. Aku gembira dengan situasi itu.

Agak lama juga kami menyepikan diri di dalam kamar apabila berdua begitu. Tetapi, apa yang aku perasan, Kak Maziah sentiasa berbalas pesanan ringkas di telefon bimbitnya. Telefon di tangannya tergenggam kemas. Setiap saat, telefon itu yang mendapat perhatiannya. Hati aku merasakan sesuatu namun aku pantas menepis bisikan-bisikan syaitan yang sedang membisikka kata-kata fitnah di telingaku. Buruk sangka, adalah suatu perkara yang tidak baik! Itulah pesan Yusuf padaku.

“Kak, abang tak datangkah?” aku bertanya apabila teringat tentang abang. Abang langsung tak datang menjengukku di kamar ini. Ada sedikit rasa terkilan dalam hatiku. Tak mahukah abang melihat adiknya ini?

“Ada. Dia ada di bawah,” balas Kak Maziah. Aku hanya mengangguk. Tak apalah, sekurang-kurangnya abang tetap hadirkan diri di hari pernikahanku. “Lisa, ikut akak kejap, boleh?”

“Pergi mana, kak?” Dahi aku sudah berkerut seribu dengan permintaan Kak Maziah.

“Alah…..ikutlah akak kejap. Akak ada surprise untuk Lisa.” Kak Maziah menarik tangan aku. Tapi aku tetap masih kaku di situ. Aku memandang jam yang tergantung di kamar. Yusuf akan datang tak lama lagi. Perlukah aku mengikut Kak Maziah?

“La….akak bukan nak bawa Lisa keluar ke mana-mana. Kita ke belakang kejap. Akak ada benda nak tunjuk dekat Lisa.”

“tapi….” Ada rasa ragu yang menghimpit diriku ini.

“Jomlah!” Kak Maziah terus menarik tangan aku. Aku bangun dan mengikut langkahnya walaupun penuh dengan keraguan.

Kak Maziah membawa aku hingga ke laman belakang. Di situ memang tak ramai tetamu. Kebanyakan tetamu semuanya ada di depan melainkan pekerja-pekerja catering yang diambil mak untuk menyediakan hidangan.

“Itu pun!” Kak Maziah menunding pada abang yang sedang bersandar di keretanya. “Akak dan abang ada benda nak tunjuk dekat Lisa.”

“Benda apa, kak?” aku bertanya sambil melihat abang yang sudah melambai-lambai pada kami.

“Benda tu, ada dalam kereta. Jomlah!”

“Kenapa tak bawa masuk je?!” Aku masih terus bertanya.

Kak Maziah mengeluh. “Lisa! Lisa ni banyak tanyalah!” ujar Kak Maziah. Mungkin kerana rimas dengan soalan-soalan aku akhirnya Kak Maziah berkata begitu. “Kalau dah bawa keluar, tak supriselah! Lagipun, benda yang akak dan abang nak tunjuk pada Lisa tu, besar!” Kak Maziah terus menarik tangan aku lagi.

Aku mengikut saja langkahnya hingga menghampiri abang.

“Cantiknya adik abang ni!” puji abang dengan senyuman. Dah lama aku tak melihat senyuman dari abang untukku. Hari ni, merupakan hari yang paling bertuah untuk aku kerana dapat melihat senyuman abang yang telah lama mati untukku, adiknya. “Sebab tulah, abang nak beri hadiah istimewa untuk adik abang ni.”Dia mencubit pipiku.

“Hadiah apa, bang?” Aku sangat gembira melihat abang dalam keadaan gembira begitu. Aku memang merindui kemesraan abang yang telah lama hilang itu.

“Ada di tempat duduk belakang. Lisa tengoklah!” ujar abang.

Aku menjenguk di tempat duduk penumpang. Apa yang aku lihat ada sebuah kotak besar yang dibalut dengan kemas dan cantik. “Apa tu, bang?”

Abang membukakan pintu. “Sebelum abang bawa keluar hadiah ni dari dalam kereta, abang nak adik abang tengok dulu apa yang ada dalam kotak ni.”

Mungkin kerana terlalu gembira dengan kebaikan abang yang secara mendadak ni, aku yang tidak meletakkan sedikit pun rasa curiga padanya, terus membongkok ke dalam kereta untuk membuka pembalut kotak besar itu. Dengan tak semena-mena, ketika aku membongkok, mulutku ditekup dari belakang. Aku cuba menolak tangan yang sedang menekup mulutku. Aku pasti, itu adalah tangan abangku sendiri!

Baru kini aku teringat pesanan Yusuf padaku. Tak baik berburuk sangka pada orang…..tetapi sentiasa berhati-hati dalam setiap langkah. Aku ingat pada baris yang depan, tetapi aku lupa pada baris yang kemudian. Dan, inilah natijahnya!

Walaupun aku telah mencuba sedaya upaya untuk melepaskan tangan itu tapi lama kelamaan, nafas aku menjadi sesak. Aku kehilangan tenaga dan akhirnya…..pandangan aku terus kelam……



%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Perlahan-lahan aku membuka mata apabila aku merasakan wajah aku tiba-tiba sahaja basah. Aku mengerdipkan mata beberapa kali sehinggalah pandangan aku jelas. Terus sahaja aku menangkap wajah Kak Maziah yang sedang tersenyum memandangku. Ada timba kecil ditangannya. Apa yang telah berlaku sebenarnya? Adakah aku disimbah dengan air?

Aku memandang sekeliling. Kini, aku berada di sebuah rumah usang. Aku pandang wajah Kak Maziah. “Lisa kat mana ni, kak?” Dalam keadaan yang sedikit lemah aku bertanya. Aku masih terasa seakan-akan dunia ini sedang berputar. Ubat apa yang telah diberikan mereka padaku hingga aku merasakan begini?

“Lisa berada di tempat sepatutnya Lisa berada!” ujarnya dengan begitu sinis sekali.

Aku memejamkan mata seketika. Cuba menyedarkan diri agar kembali pada hakikat dunia. Agak lama aku berbuat begitu, barulah aku membuka mataku semula. Pandangan aku lebih jelas kini. Barulah aku menyedari dengan keadaanku yang sedang terikat di sebuah kerusi kayu.

“Apa ni, kak?” Wajah Kak Maziah ku pandang dengan penuh persoalan. Jujur aku katakan, melihat wajahnya tatkala ini membuatka aku bertambah benci dengannya.

“Akak cuma buat apa yang sepatutnya berlaku. Lisa sepatutnya berkahwin dengan Razali. Bukan dengan Yusuf!”

Yusuf? Ya Allah…..Yusuf!! aku baru teringat tentang lelaki itu. sepatutnya aku kini berada di rumah. Yusuf tentu sedang menungguku. “Akak, akak lepaskan Lisa, kak….” Kali ini nada yang aku gunakan seakan merayu. “Tolonglah kak, lepaskan Lisa…”

“Untuk apa? Lisa nak balik dan kahwin dengan Yusuf?” soalnya bersama gelak tawa yang sengaja dibuat-buat. “Lisa tahu tak, apa saja yang berlaku sekarang, semuanya salah Lisa. Kalau Lisa kahwin dengan Razali, semua ni takkan terjadi!”

“Kak…..tolonglah kak….Lepaskan Lisa…” Aku terus merayu dan meronta-ronta dengan niat untuk melonggarkan sedikit tali yang membelit tubuhku.

Tiba-tiba sahaja pintu rumah usang itu terbuka dari luar. Kelibat abang muncul. Aku terus memandangnya dengan tajam. “Abang!!” Mungkin kerana geram dan marah, aku terus berteriak padanya. “Tergamak abang buat Lisa macam ni!! Lisa adik abang!!” Aku cuba mengingatkan dia tentang hubungan darah kami.

“Kalau kau adik aku, kenapa kau tak dengar cakap aku?!” Dia terus membentak.

“Lepaskan Lisa bang!! Abang memang tak guna!! Setan!! Kau bukan abang aku!!” Aku terus menjerit kepadanya. Pang!! Satu tamparan hinggap di pipi kiriku. Mungkin dia bengang dengan aku yang terus berteriak padanya begitu.

Sungguh!! Aku sikit pun tak merasa sakit atau terkilan dengan tindakan abang seperti yang aku rasa sebelum ini. Yang ada dalam fikiran aku, hanyalah Yusuf!! Hari ini sepatutnya menjadi hari pernikahan aku dengan Yusuf! Hari ini sepatutnya menjadi hari bersejarah buat kami berdua!

Abang memegang pipi aku dengan kuat dan mendekatkan wajahnya dengan wajahku. “Kau dengar sini, kalau kau nak Yusuf selamat, lebih baik kau tutup mulut kau rapat-rapat!!” Apa maksud abang dengan ugutan itu? adakah Yusuf juga telah diculik mereka berdua?

“Mana Yusuf?” Aku terus bertanya.

“Ha..ha..ha..!!!” Abang terus ketawa mendengar soalan aku. “Lisa….Lisa…” dia menggeleng dan terus ketawa. Aku benar-benar bengang melihat abang.

“Mana Yusuf??!!!” Aku terus menjerit hingga tawanya terus terhenti. Abang diam seketika. Kemudian, aku lihat Kak Maziah menarik tangan abang dan mereka berlalu pergi meninggalkan aku sendirian di situ.

“Ya Allah…….tolonglah aku Ya Allah….” Bila berkata begitu, aku terus merasa sebak. Di saat ini, aku tahu, tiada siapa yang bisa menolong aku melainkan Allah Yang Esa. Hanya Dia yang bisa menyelamatkan aku. Hanya dia yang mendengar suara rintihanku.

Belum habis aku berfikir tentang keadaanku, abang dan Kak Maziah melangkah semula ke dalam rumah usang itu. Abang mendekatiku. Dia terus berlutut di hadapanku. Tangannya diletakkan di atas pahaku. Helah apa pula ini?

“Lisa, hanya Lisa yang boleh tolong abang sekarang,” ujarnya dengan nada yang perlahan. Dia meletakkan dahinya di pahaku. Aku memejamkan mata, mentarbiahkan diriku agar tidak termakan dengan rayuan abang lagi.

Abang mengangkat kepalanya dan memandang aku semula. “Lisa kena tolong abang. Lisa kena kahwin dengan Razali. Abang perlukan harta peninggalan arwah atuk.”

“Tapi Lisa tak perlukan harta tu! Lisa hanya perlukan Yusuf!”

“Lisa….” Abang terus memandang wajahku seakan meminta simpati. “Hutang abang pada Ah Long terlalu banyak. Abang perlukan harta arwah atuk untuk langsaikan hutang abang. Tolonglah Lisa….Kahwinlah dengan Razali.”

“Abang hutang Ah Long?” aku seakan tidak percaya dengan kenyataan abang itu. Abang seorang pegawai berpangkat tinggi di syarikatnya. Gajinya sahaja, mencecah ribuan ringgit. Untuk apa abang berhutang sedangkan abang hanya perlu menanggung dirinya dan Kak Maziah sahaja. Kak Maziah juga bekerja. “Untuk apa abang hutang Ah Long?” soalan yang terdetik dihatiku, ku ajukan padanya.

“Lisa….hanya Lisa saja yang boleh tolong abang…” tanpa menjawab pertanyaan aku, abang terus merayu.

“Berapa banyak abang hutang?” Aku bertanya lagi.

“Banyak! Banyak!! Abang sendiri tak mampu nak membayarnya.” Abang terus melayangkan pandangan yang menagih simpati itu. “Tolonglah Lisa…..orang-orang Ah Long sedang cari abang. Bunga dah naik! Lisa saja yang boleh tolong abang.” Entah berapa kali abang mengulang kata-kata itu.

“Berapa banyak abang pinjam?! Abang guna duit tu untuk apa?!” Kalau sekali pun dia minta aku mengorbankan diri aku, sekurang-kurangnya aku perlu pastikan pengorbanan itu tidak sia-sia!

“Kau banyak tanyalah Lisa!!” Kak Maziah terus menempelak. “Kau suka tengok abang kau kena cincang sebab tak dapat bayar hutang?!” Kak Maziah menjegilkan biji matanya. “Kalau abang kau mati kena bunuh dengan Ah Long, semuanya salah kau!!”

Aku pulak yang disalahkan?! Aku pasti, ini semua angkara Kak Maziah. Tentu abang berhutang dengan Ah Long kerana mahu memenuhi segala kehendak Kak Maziah.

“Kak Maziah yang kejam!! Akak gunakan abang untuk kepentingan diri akak sendiri!!” Aku telah memendam perasaan terlalu lama. Aku sudah tidak peduli lagi tentang hati orang. Yang penting bagiku kini, aku perlu selamatkan diriku sendiri! “Abang yang bodoh!! Ikut telunjuk isteri!! Abang memang bodoh!!” memang aku biadap kerana berkata begitu. Tapi itulah hakikatnya.

“Kurang ajar!!” Satu lagi tamparan hinggap di pipiku. Kali ini di pipi kanan pula. Abang mendengus geram. “Aku dah guna cara lembut untuk kau, kau tak nak!!” Abang bangun. “Tak pe!! Kalau kau tak nak, aku akan paksa kau dengan cara yang lebih kasar!!”

Apa yang abang mahu lakukan? Aku lihat abang terus membuka sebuah lagi pintu yang ada di sebelah kiriku. Aku memandang, cuba melihat apa yang ada di balik pintu itu.

Aku benar-benar terkejut apabila melihat seraut wajah Razali sedang tersenyum sinis sambil memegang sebatang kayu ditangannya. Razali melayangkan ciuman buatku. Aku berpaling dari melihatnya. Jijik!

“Lisa!!” Abang memanggil aku semula. Aku memandangnya. Abang membuka daun pintu itu dengan lebih luas. Aku menjenguk ke dalam.

“Ya Allah….!!!” AKu sudah terjerit di situ. “Yusuf!!” Yusuf yang kelihatan lemah sedang terikat di kerusi sepertiku. Di wajahnya ada kesan lebam. “Yusuf….!!” Ya Allah….apa yang telah mereka lakukan pada Yusuf? Yusuf kelihatan begitu lemah. Untuk membuka matanya dan memandang aku pun, dia kelihatan tidak bermaya.

“Setan!!! Apa yang kau dah buat dengan dia??!!” Aku terus menjerit pada Razali. Aku memandang Yusuf semula. “Yusuf….” Ya Allah…Yusuf….kasihan dia. Sungguh, aku tak tahu bagaimana mahu menggambarkan perasaanku tatkala melihat dia dalam keadaan begitu. Hanya airmata yang mula mengalir di pipiku ini yang bisa menggambarkan perasaan pedihku melihat Yusuf.

“Kau jangan salahkan aku. Apa saja yang berlaku, semuanya salah kau. Kau yang batalkan pernikahan kita!!” tempik Razali padaku semula.

“Keputusan aku memang betul! Aku takkan berkahwin dengan binatang macam kau!!” Aku terus meluahkan rasa marahku. “Lepaskan Yusuf!!”

“Lepaskan?” Razali membuat memek muka mengejek. “Lepaskan Yusuf?!!” terus ditariknya rambut Yusuf dengan kuat.

“Auch….!!” Kedengaran suara lemah dari bibir Yusuf.

“Lepaskan dia!! Lepaskan dia!!” Sungguh aku tidak tahan melihat Yusuf dalam keadaan begitu. “Tolonglah…..lepaskan dia….” Akhirnya nada yang aku gunakan semakin lemah dan semakin menagih sedikit simpati mereka. Airmataku semakin mengalir melihat darah-darah yang mengalir di wajah dan tubuh Yusuf. “Kasihankanlah dia….lepaskan dia….” Aku terus merayu bersama esak tangisku.

Mungkin tangisanku bagaikan sebuah irama yang indah di pendengaran mereka hingga mereka ketawa teebahak-bahak apabila melihat keadaanku itu. Dan yang paling galak sedang mentertawakan aku adalah Kak Maziah. Aku benci melihat wanita yang bergelar kakak iparku itu!

“Lisa….lisa…..” Kak Maziah menunduk sedikit dan mendekatkan bibirnya di telingaku. “Kalau Lisa nak Yusuf selamat, Lisa kenalah ikut cakap akak dan abang. Lisa kena berkahwin dengan Razali.”

Aku memejamkan mata dengan rapat. Tergamaknya mereka melakukan ini hanya kerana menurut hawa nafsu mereka yang mahukan harta peninggalan arwah itu. Sifat perikemanusiaan itu telah hilang dari dalam diri mereka.

“Tak apa. Lisa boleh ambil masa untuk berfikir. Akak dan abang pun dah nak pergi. Kami nak lihat bagaimana reaksi mak dan abah bila Lisa dan Yusuf tiada…..” Kak Maziah terus ketawa gembira. “Bila akak dan abang balik nanti, kami mahu Lisa beri jawapan, okey.”

“Kau jaga diorang ni. Jangan sampai terlepas pula!” kedengaran suara abang memberi arahan pada Razali.

“Jangan lupa belikan makan untuk aku!” ujar Razali pada mereka yang sedang keluar dari rumah usang itu.

Kini, tinggallah aku, Yusuf dan syaitan yang bertopengkan manusia itu. Aku mula berfikir cara untuk menyelamatkan Yusuf dan lari dari sini. Belum sempat aku habis berfikir, aku merasakan ikatan tanganku semakin longgar. Aku melirik susuk tubuh yang berada di belakangku sambil membukakan ikatan tanganku. Razali?

Aku terus mengurut pergelanganku yang terasa sakit setelah ikatanku terbuka sepenuhnya. Bekas-bekas merah melekat di pergelangan tangan yang terikat. Razali berdiri di depanku bersama senyumannya. Aku memandangnya. Apa yang berlaku sebenarnya? Tak mungkin Razali cuba menyelamatkan aku! Walaupun kelihatannya seperti aku diselamatkan, tapi hati aku menolak kuat pendapat itu.

“Saya lepaskan awak,” ujarnya sambil tersenyum padaku.

Sungguh! Aku langsung tak percaya dengan omongannya. Apatah lagi apabila melihat senyuman di bibirnya itu. tanpa menunggu lebih lama, aku terus bangun untuk mendekati Yusuf.

“Nanti!” Tiba-tiba sahaja tudung yang ku pakai di tarik dari belakang. Hingga tertanggal tudung yang terletak di kepalaku dan aku pula, terus terlantang di lantai.

Cepat-cepat aku mengangkat tubuhku dan duduk di lantai. Razali tertawa besar melihat aku. Dia berpusing-pusing di kelilingku. Aku benar-benar merasa takut memikirkan tindakan yang bakal diambilnya. Ya Allah….selamatkan aku! Ekor mataku terus memerhatikan langkah Razali.

“Kau tahu tak, kau ni cantik,” ujarnya lantas duduk bertinggung di depanku. “Sepatutnya, kau jadi hak aku. Bukannya Yusuf!” dia menguis anak rambut yang terjuntai di ubun kepalaku. Aku menepis tangannya. Dia hanya tertawa dengan tindakanku.

“Kalau kau kahwin dengan aku, aku akan hiaskan seluruh tubuh kau dengan pakaian yang cantik-cantik dan mahal. Aku balutkan emas-emas yang berkilauan di seluruh tubuh kau.”

“Aku tak perlukan itu semua!” Aku memandangnya dengan tajam.

“Kau tetap mahukan Yusuf?” Razali kembali bangun dan berpusing-pusing di kelilingku. “Apa yang dia boleh berikan untuk kau? Dia tak mampu berikan kau apa-apa. Kau lihat dia sekarang…..” Razali menunding pada Yusuf. “lembik……!!” Yusuf menghentikan langkahnya di depanku. “Kalau aku apa-apakan kau sekarang ni, di depan dia sekalipun, dia takkan boleh selamatkan kau!”

Terus aku memandang tepat ke arah Razali. Apa maksud Razali? Dada aku sudah bergetar kencang. Aku mula menghidu bau-bau malang.

“Yusuf!!!” Razali menjerit dengan kuat pada Yusuf. Perlahan-lahan, Yusuf membuka matanya. “Bangun Yusuf!!!” Razali sudah tertawa besar apabil melihat Yusuf yang sudah membuka matanya. “Buka mata kau besar-besar! Lihat apa yang akan aku lakukan pada bakal isteri kau!!” Dia terus tertawa terbahak-bahak. Terus dia menarik lenganku agar berdiri di sisinya.

“Yusuf…” Aku memanggil namanya dengan nada ketakutan. Airmata ku sudah membasahi pipi.

Terus Razali menarik aku dan memeluk pinggangku.

“Lepaskan aku!!!” aku terus menolak tubuhnya. Namun sedikit pun tubuh Razali tidak berganjak. “Yusuf!!!” Aku terus menjerit nama sambil meronta-ronta agar Razali melepaskan diriku.

“Lepaskan dia!!!” Tiba-tiba aku mendengar suara Yusuf menjerit. Yusuf….

Pandangan Razali berganti pada Yusuf. Yusuf memandangnya dengan tajam. Satu senyuman sinis terus terukir di bibir Razali. Dan seraya itu, tubuh aku dirangkul lagi.

“Lepaskan aku!!!” Aku terus menjerit dan berjuang untuk menyelamatkan diri.

“Lepaskan dia!!!” Dalam usaha aku melepaskan diri, aku mendengar suara Yusuf yang menjerit-jerit agar aku dilepaskan. “Lepaskan dia!!!”

Sungguh, aku tak punya kekuatan dan daya melebihi kekuatan seorang lelaki yang sedang dalam kekuasaan syaitan dan nafsunya. Hingga aku bisa merasakan kekuatan dan tenagaku semakin berkurangan. Aku tahu, Yusuf sedang mencuba sedaya upaya untuk melepaskan ikatan yang terbelit di tubuhnya. Semakin lama, kekuatanku semakin menurun.

“Allahu Akhbar!!!!” Tiba-tiba sahaja aku mendengar Yusuf melaungkan kebesaranNYA. Aku terngadah seketika. Untuk apa aku berputus harapan, sedangkan DIA sentiasa ada di sisi hambaNYA.

“Allahu Akhbar!!” Aku menyahut seruan itu. Tiba-tiba sahaja aku rasakan seolah-olah tenagaku datang semula. Aku terus menerus menolak tubuh sasa Razali yang semakin menyesakkan itu. Dalam masa yang sama bibirku terkumat-kamit menyebut namaNYA.

Entah macam mana, sedang aku dan Razali saling menarik dan menolak, tiba-tiba sahaja tubuh aku terpelanting ke belakang. Malangnya, kepalaku terhentuk kuat pada tembok. Terus aku merasakan tubuhku rebah di lantai. Mataku mula berbinau. Sesekali pandanganku kelam. Aku memegang belakang kepalaku yang terasa nyilu dan sakit.

Dalam kesamaran pandangan, aku melihat seakan bayangan dua orang pemuda sedang bergelut. Namun aku tak pasti, siapakah gerangannya kerana kesakitan dikepalaku membuatkan pandanganku kabur. Aku pasti, seorang darinya adalah Razali, namun siapa seorang lagi?

Setelah lama, aku terbaring sendirian dalam keadaan separa sedar, aku merasakan seseorang mengahmpiriku dan mengangkat tubuhku. Tiba-tiba sahaja aku merasa nyaman, tenang dan hilang segala ketakutan yang menyelubungiku. Aku memejamkan mataku rapat-rapat. Sempat aku mendengar suara seseorang yang aku sayangi berbisik di telingaku.

“Sabar Lisa. Saya akan bawa Lisa pergi dari sini. Sabar sayang…..”

Sungguh, kata-kata itu terus melenyapkan semua keresahanku hingga aku bisa menutup mata dengan tenang dan membiarkan keadaan terus begitu sehinggalah aku hilang dalam sedarku.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

“Aku terima nikahnya Lisa Auni binti Hassan dengan mas kahwin senaskhah Al-Quran dan persalinan sembayang.”

Tiba-tiba sahaja kata-kata itu menangkap cuping telingaku. Suara itu, aku kenal suara itu. Dengan keadaan lemah, aku cuba gagahkan diri membuka mataku.

“Sah!” Aku dengar beberapa suara yang menyusuli pula.

Aku cuba menggerakkan tanganku untuk memegang kepalaku yang masih terasa sakit dan berdenyut-denyut itu.

“Panggil doktor! Panggil doktor! Lisa dah sedar!!” sekali lagi telinga aku menangkap suara-suara yang ada di sekelilingku. Kedengaran suara itu seperti milik mak.

Aku cuba membuka mataku. Tapi aku tak berdaya. Aku terasa lemah sekali. Akhirnya, aku gagahkan diri untuk membuka bibirku. “Mak!” Aku mendengar suara mak. Aku rindukan mak. Aku mahu melihat mak.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%



Alhamdulillah…Tiada apa yang dapat aku nyatakan melainkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah s.w.t yang telah menyelamatkan aku dan Yusuf. Sungguh, aku langsung tak menyedari apa yang telah berlaku sehinggalah aku membuka mata dan melihat diriku kini berada di atas katil hospital dan dikelilingi orang-orang yang aku sayangi dan juga……Yusuf…..lelaki yang aku rindui.

Sedari tadi, mak dan abah sibuk menyuapkan aku makan, dan Yusuf…..dia hanya memandang aku dari jauh bersama senyumannya. Terlalu banyak ingin aku bertanya padanya. Namun masih belum berkesempatan.

Dalam keadaan gembira menerima suapan demi suapan dari mak dan abah aku teringat semula mimpiku yang seolah-olah mendengar Yusuf melafazkan ucapan ijab dan Kabul ke atas ku. Bahagianya aku jika yang aku mimpikan itu adalah satu kenyataan.

“Mak, abah….” Aku mengalihkan perhatian mereka yang sibuk menguruskan aku. Terlalu banyak persoalan yang bermain di minda ini yang memerlukan jawapan agar hatiku bisa tenang. Mak dan abah memberi perhatian mereka pada ku. “Apa yang jadi bila Lisa dan Yusuf tak ada masa hari pernikahan tu?” Aku melirik Yusuf seketika.

Mak melabuhkan punggungnya di sebelahku. “Bila mak sedar Lisa dah hilang dan Yusuf pun tak datang-datang, mak dan abah mula risau. Bila imam sampai rumah, kami masih tak dapat menghubungi Lisa dan Yusuf. Sampailah seorang dari pekerja catering datang dan jumpa mak dan abah. Katanya dia ada lihat Lisa dengan seorang lelaki dan perempuan masuk dalam kereta,” mak menarik nafas panjang. “Dia minta maaf pada mak dan abah sebab tak beritahu pada awal. Katanya, dia langsung tak syak apa-apa. Dia cuma sedar ada perkara yang tak elok berlaku bila tengok mak dan abah tak tentu arah. Waktu pekerja tu beritahu tentang itu, dalam fikiran mak tak fikirkan orang lain. Mak terus syak abang dan Maziah. Bila mak tunjukkan gambar abang dan Kak Maziah, dia mengakui itulah orang yang bersama dengan Lisa.”

“Tentang majlis resepsi tu?”

“Majlis tu berlangsung macam biasa. Kita pun dan panggil ramai tetamu, jadi mak dan abah teruskan majlis tu sebagai satu jamuan untuk para tetamu. Tapi majlis tu, mak tinggalkan pada Pak Abu dan keluarganya untuk bantu. Mak dan abah pula, terus ke balai polis untuk buat laporan. Mak buat laporan kehilangan Lisa dan Yusuf. Tapi pihak polis cuma terima laporan kehilangan Lisa sebab ada saksi. Tapi Yusuf…..” Mak menoleh memandang Yusuf. “Mak dan abah perlu tunggu sehingga dua puluh empat jam, barulah mereka benarkan untuk buat laporan tentang kehilangannya.”

Aku menarik nafas panjang.

“Dahlah tu…..Lisa berehatlah dulu,” abah menyampuk. “Abah dan mak minta diri dulu. Esok pagi, mak dan abah datang tengok Lisa ya.” Abah menoleh kepada Yusuf. “Yusuf, tolong temankan Lisa ya.

Aku mengerti, mak dan abah pasti keletihan menjagaku seharian. Tapi, apa yang aku mushkilkan, kenapa mereka meminta Yusuf menjagaku? Di malam hari pula! Walaupun aku tertanya-tanya namun lidah ku kelu untuk menyuarakannya.

Mak dan abah telah melangkah keluar dari setelah mencium dahiku. Namun, pandanganku terus tertaut pada Yusuf. Yusuf juga terus memandangku bersama senyumannya. Setelah agak lama pandangan kami bertaut, barulah dia bengun dan menghampiriku. Dia melabuhkan punggungnya di atas katil bersebelahan dengan ku.

Kemudian, dia mencapai tanganku dan digenggamnya erat. Yusuf memegang tanganku? Aku langsung tak percaya dia akan menyentuhku begitu. Sungguh, aku terasa mahu menarik tanganku yang berada dalam genggamannya namun, entah kenapa aku tak melakukan itu. Aku hanya membiarkan Yusuf mengelus lembut tanganku dan mencium tanganku.

“Yusuf…..” hanya satu perkataan saja yang keluar dari bibirku tatkala itu.

Yusuf memandangku. Matanya terus memandang tepat ke dalam anak mataku. Terus aku terasakan sesuatu…..sesuatu yang mendamaikan, yang menyejukkan, yang membahagiakan dan satu perasaan yang membuatkan aku merasa selamat dan dilindungi.

“Sayang…..” ujarnya. Ya Allah….sungguh aku merasa terharu mendengar ucapan sayang dari bibirnya. Terasa diri ini begitu dihargai dan disayangi. “Lisa mahu tahu apa yang berlaku?”

Aku menganggukkan kepala.

Yusuf mengeratkan genggaman tangannya. “Waktu Lisa rebah kerana terhentuk di tembok, terus terang abang katakan, kekuatan abang terus melonjak naik. Entah dari mana kekuatan itu datang. Yang pasti, abang terlalu risau melihat Lisa yang sudah terbaring. Syukur pada Allah, abang berjaya membuka ikatan dan terus bergelut dengan Razali untuk menyelamatkan Lisa.”

“Lisa tahu tak, ketika itu, abang sebenarnya dah tak punya daya untuk menyelamatkan diri abang sendiri. Teruk abang dibelasah dengan Razali sebelum mereka membawa Lisa ke rumah usang tu. Benarlah, jika sentiasa meletakkan segala harapan pada Allah……Allah akan membantu kita,” ujarnya lagi.

“Setelah abang berjaya menumpaskan Razali, tiba-tiba saja Kak Maziah dan abang Lisa datang. Syukurlah, tak lama lepas tu, polis datang menyerbu rumah usang itu. Kita terselamat.”

Aku menarik nafas panjang mendengar cerita Yusuf. “Macam mana dengan Kak Maziah dan abang?”

“BIla dengar siren polis, mereka terus lari. Abang dah tak peduli tentang diorang. Apa yang abang fikirkan adalah keselamatan Lisa.” Yusuf diam seketika. “Kak Maziah berjaya larikan diri dari pihak polis. Entah di mana dia berada sekarang.”

“Kak Maziah berjaya larikan diri?” Aku bertanya sekali lagi. Yusuf mengangguk. “Abang?”

Yusuf memandangku. “Razali telah berjaya di tahan pihak polis. Sekrang ni, Razali berada dalam tahanan. Abang Lisa pula……” Yusuf menarik nafas pula. “Jom, abang bawa Lisa ke satu tempat.” Yusuf cuba mengangkatku.

“Nanti!” Aku menolak bantuannya yang mahu mengangkat aku turun dari katil. “Saya boleh bangun sendiri.”

Yusuf tersenyum. Dia memandang aku. “Abang tahu apa yang ada dalam fikiran Lisa,” ujarnya sambil menyelak rambut di dahiku. Kemudian, dia mencapai selendang yang tergantung di kepala katil lalu membaluti rambutku yang terdedah. “Lisa tahu tak, Lisa dah sebulan tak sedarkan diri.”

“Sebulan?” Aku benar-benar terkejut. Selama itukah aku hilang dari dunia ini?

“Hentakkan yang kuat pada kepala Lisa, menyebabkan darah membeku. Alhamdulillah, doktor berjaya mengeluarkan darah beku itu. Tapi, Lisa tetap terus tidur hingga sebulan lamanya. Abang tak dapat nak ceritakan betapa menderitanya mak dan abah melihat keadaan Lisa. Sampailah malam Jumaat yang lepas. Tak tahulah kenapa, abang rasa Lisa sepatutnya menjadi hak abang. Mungkin dengan cara itu, Lisa akan membuka semula mata Lisa. Bila abang luahkan perasaan abang pada mak, mak bersetuju. Katanya, dia pun merasakan apa yang abang rasa. Bila abang luahkan pada abah, abah juga setuju. Dan akhirnya…..” Sekali lagi Yusuf mencapai jari jemariku dan menggenggamnya erat. “Abang menikahi Lisa di dalam kamar ini.” Yusuf memandang seluruh ruang kamar hospital itu. begitu juga dengan aku. “Di ruang yang sempit inilah, kita sah menjadi suami isteri.” Yusuf memejamkan matanya seketika. “Dan setelah abang melafazkan akad dan menerima Lisa sebagai isteri, terus Lisa memberi respon pada dunia ini.”

Subhanallah….Walhamdulillah….Walailahaillallah…Wallahuakhbar……Rupa-rupanya apa yang aku alami itu bukanlah suatu mimpi. Aku memandang pada Yusuf dengan penuh rasa cinta. Ada airmata yang mengalir di pipi. Sungguh, walaupun aku hanya menjadi seorang isteri di dalam kamar ini, tetapi aku adalah wanita yang paling bahagia dalam dunia ini kerana memiliki suami sebaik Yusuf. Aku sikit pun tidak kisah jika tidak berada di majlis indah untuk memeteraikan kami sebagai suami isteri. Apa yang penting, aku telah menjadi milik Yusuf dan Yusuf adalah suamiku kini.

“Jom….Abang nak bawa Lisa ke suatu tempat,” Yusuf memegang bahuku. Kali ini aku tidak menolak lagi. Malah aku terasa sangat bahagia dengan sentuhannya.

Agak lama kami berjalan hingga membawa kami ke pintu depan unit rawatan rapi. Yusuf menunjuk ke dalam dinding kaca yang memisahkan kami dengan ruangan itu. Aku memandang ke dalam. Kelihatan mak sedang duduk di kerusi tetamu di sebelah katil seorang pesakit. Siapa itu? Siapa yang sedang ditunggu mak? Aku terus memandang pesakit yang penuh dengan wayar-wayar yang tersambung padanya.

“Itu abang Lisa.”

“Abang?” Terus pandangan aku memandang suamiku. Aku cuba meminta penjelasan darinya.

“Ketika melarikan diri dari pihak polis, abang Lisa terhantuk pada pokok dan kemudian terus terjatuh ke dalam jurang. Dia cedera parah,” ujar suamiku. “Lisa dan abang Lisa, sama-sama menerima rawatan di hospital ini. Abang tak tahu bagaimana nak ceritakan keperitan yang mak dan abah tanggung apabila kedua-dua anaknya cedera parah. Kini, abang Lisa hanya bergantung pada mesin hayat untuk menyambung nyawanya. Selama sebulan Lisa tak sedarkan diri, selama itu jugalah mesin hayat terus tersambung pada abang Lisa.” Suamiku menarik nafas yang panjang sambil menyapu juntaian airmata yang sudah mengaburkan pandanganku ini. “Setiap malam, mak dan abah akan bersilih ganti menemani abang Lisa. Setiap malam juga mereka membacakan Yaasin buatnya. Tapi, akhirnya, mak dan abah dah membuat keputusan untuk mengikut nasihat doktor. Doktor menyarankan agar mesin hayat dicabut dari abang Lisa kerana Abang Lisa sudah tidak mampu untuk bertahan. Bermakna, Abang Lisa sebenarnya sudah tidak ada lagi. Hanya mesin itu yang membuatkannya hidup.”

“Ya Allah…..” Tanpa mendapat menahan airmata ini aku terus menyembankan mukaku ke dada suamiku. Terus esak tangisku kedengaran. Sungguh, memang aku marah pada abang. Tetapi dia adalah abang ku. Hingga saat ini, aku masih terbayangkan kemesraan kami ketika kecil yang bermain bersama dan bergurau senda bersama. Bagaimana bisa aku lupakan abangku yang menjadi pelindungku selama ini. Ketika aku di bangku sekolah, kerap aku diganggu dengan pelajar-pelajar lelaki. Dan abang, bertindak sebagai pelindung ku. Setiap masa dan ketika, abang sentiasa menjagaku hinggalah dia bernikah dengan Kak Maziah. Di saat mereka bersatu, di saat itu jugalah aku kehilangan pelindung yang sentiasa melindungi, menyayangi dan memanjakan aku.

“Lisa….apa saja kesalahannya, ampunkanlah dia. Abang Lisa sudah berada dihujung nyawanya. Minggu depan, doktor akan menarik mesin hayat dari tubuhnya.”

Tangisanku semakin bergema tatkala suamiku berkata begitu. Pelukan aku di dada suamiku semakin erat.

“Biar apa pun yang berlaku….biar apa pun yang terjadi antara Lisa dan abang….Lisa akan maafkan segala kesalahan abang….kerana…..abang adalah satu-satunya abang yang Lisa ada….dunia…dan akhirat….” Sungguh, aku ikhlas berkata begitu. Kini, aku mengerti mengapa suamiku selalu menasihati aku agar memaafkan dan terus memaafkan……kerana memaafkan itu adalah satu perbuatan mulia.

Setiap manusia tidak akan lekang dari melakukan kesalahan sesama sendiri. Hanya kemaafan yang dapat membersihkan diri dari dosa dengan insan lain yang akan menyelamatkan kita kelak. Begitulah juga dengan diri kita yang takkan lepas dari kesilapan. Tentu juga kita perlukan kemaafan dari orang yang telah kita lakukan kesilapan padanya itu.

Buat abang…..adikmu ini tidak akan menyimpan sekelumit pun rasa dendam dan marah pada mu lagi. Walau apa yang pernah kita lalui adalah pengalaman yang sangat perit, namun aku tetap takkan melupakan segala kebaikanmu menjagaku selama ini. Akan aku hapuskan segala kenangan pahit itu kerana masih banyak kenangan manis yang akan ku kenang. Tenanglah kamu di sana….aku akan sentiasa menghadiahkan sebanyak-banyak doa buatmu.

“Abang….” Aku mendongak memandang suamiku. “Terima kasih atas segalanya, abang….” Satu ciuman singgah di dahiku.

“sama-sama sayang….. Terima kasih pada Allah yang telah melindungi kita….” Ujarnya semula.



Subhanallah…Walhamdulillah…Astaghfirullah….Wallahuakhbar….

Subhanallah….Walhamdulillah….Astaghfirullah…..Hasbiallah……






Thursday 19 April 2012

Ratu Hati Si Putera Arab 6







ZAID melangkah keluar dari kafe. Dia menuruni anak-anak tangga untuk ke kelas Zana. Walaupun dia digantung kolej selama dua minggu, namun dia datang ke sini untuk mencari Zana. Belum pun sampai ke anak tangga yang terakhir, matanya menangkap susuk tubuh Zana yang sedang berbual dengan temannya. Lantas langkah kakinya terhenti. Zana juga baharu sahaja selesai pengajiannya pada pagi itu.
Sepanjang malam dia tidak tidur kerana memikirkan kata-kata Audra tentang perasaan Zana terhadapnya. Dia tidak pasti apakah dia harus mengikut saranan Audra. Tapi, bukankah dia sendiri yang menyatakan, jika tidak mencuba kita tidak akan tahu?
Akhirnya, dia menghayunkan langkah kaki mendekati Zana dan temannya.
Zana yang kebetulan sedang berbual dengan Aisyah melihat Zaid sedang menghampiri mereka. Dari jauh, Zaid sudah melemparkan sebuah senyuman untuknya.
"Sha, aku nak jumpa Zaid kejap. Nanti, kalau kau jumpa dengan Audra suruh dia balik asrama dulu. Tak payah tunggu aku."
"Okey," Aisyah berlalu dari situ."Bye."
Zana berpaling memandang Zaid yang sudah berada di sisinya. "Hai," sapanya.
"Hai," Zaid membalas. Matanya meliar memandang sekeliling. "Mana Audra?" Tanya Zaid yang agak hairan apabila tidak melihat kelibat Audra di sisi Zana.
"Awak cari Audra ke? Audra dia jumpa dengan prof Bahar," beritahu Zana.
Kelmarin, sebaik sahaja Audra pulang dari berjumpa dengan Zaid, dia terlupa mahu bertanya tentang Zaid kepada Audra. Semuanya gara-gara Putera Arab yang ditemui Audra. Balik sahaja dari tasik, Audra tak henti-henti meluahkan kegusarannya tentang Putera Arab itu sehingga dia terlupa tentang Zaid.
"Tak. Saya cari awak," ujar Zaid.
"Cari saya?" tanya Zana yang agak terkejut dengan jawapan Zaid. Tentu berkenaan Audra. "Macam mana? Apa yang berlaku kelmarin?" tanya Zana lagi.
Zaid memandang wajah Zana dengan bingung. "Audra tak cerita apa-apa pada awak?"
Zana menggeleng.
Zaid memandang terus wajah Zana. Zana langsung tak menunjukkan apa-apa reaksi yang memungkinkan dia bisa merasa tentang perasaan gadis itu. Dari lagak Zana, tidak kelihatan langsung rasa cemburu atau suka padanya. Zaid melepaskan keluhan dan memandang ke tempat lain.
"Saya dah jumpa dengan Audra. Saya dah luahkan perasaan saya pada Audra. Dan," Zaid melirik Zana dengan ekor matanya. "Audra menolak saya seperti yang sepatutnya."
Zana menarik nafas panjang dan menggelengkan kepalanya. Dia sudah menjangkakan perkara itulah yang telah berlaku. "Tak apalah, Zaid. Awak jangan putus asa. Saya yakin, awak adalah lelaki terbaik untuk Audra."
Zaid ketawa perlahan. "Macam mana awak boleh begitu yakin yang saya ni lelaki terbaik untuk Audra?"
"Saya kenal awak dan saya kenal Audra." Walaupun mereka berdua berlainan jurusan, namun kerana minat Zaid kepada Audra membuatkan hubungan mereka bertambah rapat.
"Masalahnya, Audra tak mengenali saya dengan baik seperti mana awak mengenali saya." Zaid sudah menyelitkan sedikit tujuannya datang berjumpa dengan Zana.
"Berilah peluang kepada Audra. Bila dia kenal diri awak yang sebenar, pasti dia akan terima awak," Zana masih terus memujuk.
"Awak tahu tak Zana, di kalangan pelajar perempuan, awak adalah kawan saya yang terbaik dan kawan yang paling memahami diri saya."
Zana tersenyum. Dia gembira dengan perhatian yang diberikan Zaid kepadanya. Seandainya dia tidak bisa menjadi seorang gadis yang istimewa di hati Zaid, menjadi sahabat lelaki itu sahaja sudah memadai.
"Audra benar," Zaid menganggukkan kepalanya. "Bila saya berbual dengan Audra, baru saya sedar yang kami berdua tidak serasi."
"Uh?" Terbeliak biji mata Zana.
"Audra tak memahami diri saya dan saya juga tak memahami dia. Macam mana kami nak faham diri masing-masing jika kami tak pernah berkawan?" Zaid menyeluk kedua-dua tangannya ke dalam kocek seluar. "Wanita yang paling layak untuk berada di sisi saya adalah wanita yang memahami diri saya."
Zana memandang wajah Zaid. Kenapa dadanya terasa bergetar tatkala ini? Pandangan Zaid bagai menyimpan maksud yang tersirat.
"Zana, awak lah orang itu."
Zana tercengang. Benarkah apa yang sedang berlaku ini? Atau, dia hanya bermimpi di siang hari? Zana menampar pipi kanannya. Sakit! Dia di alam nyata. Dia memandang Zaid. Tatkala ini, otaknya sudah berhenti berfungsi.
Zaid tersenyum melihat reaksi Zana. "Sudi tak awak menjadi teman istimewa saya?"
"Awak ni kenapa Zaid? Awak," Zana masih sukar mempercayai kata-kata Zaid. Adakah Zaid sedang bercanda dengannya?
"Saya tak main-main Zana. Antara awak dan Audra, hanya awak yang memahami saya. Saya baru sedar bila saya bertemu dengan Audra. Saya berterima kasih pada Audra. Kalau bukan kerana Audra, saya takkan sedar tentang ini."
Zana membisu.
Zaid mula tak kerutan melihat kebisuan Zana. "Macam mana, Zana? Saya tak paksa awak. Awak fikirlah dulu."
Zana memandang Zaid. "Beri masa untuk kita lebih mengenali diri masing-masing. Lagi pun, kita masih belajar. Saya tak nak janji apa-apa. Saya pun tak nak ada hubungan jika tak ada matlamat untuk hidup bersama."
"Tapi," Zaid sudah tergamam. Zana juga menolaknya?
"Awak jangan salah sangka. Saya tidak menolak awak. Cuma, saya nak awak lebih bersedia. Jika niat awak hanya untuk bercinta, saya tak bersedia untuk itu."
Kini, Zaid mengerti kehendak Zana. Gadis itu tidak mahu bercinta jika tidak punya matlamat.
"Takkanlah kita nak terus berkahwin. Kita masih belajar."
"Sebab itu saya kata, beri peluang kepada awak dan juga saya. Kalau ada jodoh, kita pasti bersama." Zana mengetap bibir. “Saya mahu bercinta dengan lelaki yang menjadi suami saya.”
Zaid tersenyum. Rasa hormatnya untuk gadis seperti Zana semakin meninggi. "Tapi kita akan terus berkawan baik, kan?"
"Tentu! Lebih baik dan lebih rapat dari biasa." Zana mengukirkan senyuman indah di bibirnya.
“Saya hormat dengan keputusan awak. In Sha Allah, jika ada jodoh kita, kita pasti bersatu.” Zaid menarik nafas panjang. Dia puas dengan jawapan Zana. Mereka berbalas senyuman. "Saya minta diri dulu," Zaid berpaling ke belakang dan bergerak pergi. "Yes!"
Zana sudah tertawa kecil. Perkataan Zaid yang terakhir itu, sempat di dengarnya. Zana mengecap bibir. Dia seakan tidak percaya dengan apa yang baru berlaku. Hati dan perasaan ni memang pelik. Kadang-kadang, boleh jadi kelakar juga!
Zana terus berjalan menuruni anak-anak tangga dan keluar dari bangunan kolej. Sampai sahaja di kawasan taman kecil di hadapan parkir kereta, dia terlihat kelibat Audra sedang duduk di bangku panjang. Audra masih belum pulang? Zana sudah tersenyum gembira. Dia sudah tidak sabar untuk bertemu dengan Audra. Dia terus berlari ke situ.
“Audra!" Zana berlari-lari sambil memanggil Audra.
Audra berpaling melihat Zana yang kini sudah tercungap-cungap di sebelahnya. Dahinya berkerut. “Kau ni kenapa? Malulah lari-lari dalam kolej ni. Macam budak-budak!” sindir Audra. Sengaja mahu menyakitkan hati Zana. Selalunya, Zana yang suka berleter padanya, kali ini biar dia pula kenakan Zana.
Mencerlung mata Zana memandang Audra. Pantas bahu Audra ditamparnya. “Macam budak-budak? Kau tu yang macam budak-budak! Tak sedar diri!” Zana duduk di sebelah Audra yang sudah tersengih-sengih memandangnya. “Berangan nak kahwin dengan putera raja yang boleh buatkan jantung kau berhenti berdegup. Lepas tu, berdegup semula dengan pantas, dup dap, dup dap. Yang tu, tak macam budak-budak?" Zana menjeling. “Aku rasa budak-budak pun tak berangan macam kau!” Zana sudah menarik kakinya naik ke atas bangku dan memeluk lututnya.
“Sebab budak-budak tu, budak-budak! Hanya orang dewasa akan berangan macam aku!” Gurau Audra sambil ketawa kecil. Senang hatinya dapat mengenakan Zana.
Zana sudah mengherotkan mulutnya. “Dewasa sangatlah kau tu!” sindirnya bersama satu jelingan.
Sengihan di wajah Audra semakin lebar. “Kenapa yang kau lari-lari ni?” tanya Audra. Zana tak pernah bersikap seperti ini. Biasanya Zana lebih santai dan relaks.
Zana mula tersenyum lebar mendengar pertanyaan Audra. Namun, soalan Audra tidak dijawapnya. Dia terus hilang di dalam dunianya. Jari telunjukkan kanannya sudah berpusing-pusing melukis bulatan di atas lututnya.
Dahi Audra berkerut. Sikap Zana agak berlainan dari selalu.
“Ni mesti ada apa-apa ni,” Audra mencuit Zana dengan sikunya. Tentu ada sesuatu telah berlaku. Jika tidak, masakan Zana mengambil alih hobinya yang suka berangan itu.
“Mana ada! Tak de apalah!” ujar Zana pantas, cuba menyembunyikan rahsia hati. Terus ditarik mukanya menjadi kelat.
Walaupun Zana sudah menarik mukanya, tetapi keserian di wajahnya masih terserlah sehingga membuatkan Audra pantas meneka. “Ni mesti ada something. Jangan nak sembunyi dari akulah!” Audra terus memandang wajah Zana tegang. “Something happen in your heart? Dup dap! Dup dap?” usik Audra sambil meniru gaya Saiful Apek.
Zana ketawa kecil. Audra ni tak habis dengan dup dap, dup dap. Wajah Audra yang kelihatan penasaran dipandang dengan senyuman. “Taklah! Mana ada!” Zana masih bermain tarik tali.
“Tak de! Tak de!” Audra menjeling. “Macamlah aku tak kenal kau! Ni mesti tentang Zaid ni,” Audra menyerkap jarang. Sebentar tadi, ketika keluar dari pejabat Profesor Bahar, dia terserempak dengan Aisyah. Aisyah memberitahu tentang pesanan Zana kepadanya. Kata Aisyah lagi, Zaid datang ke kolej dan berjumpa dengan Zana. Kerana itu dia mengambil keputusan untuk menunggu Zana di sini. Manalah tahu kalau Zaid menurut saranannya untuk mendekati Zana. Dia mahu tahu tentang itu.
Terkedu Zana sekejap. Wajah Audra dipandangnya. Macam mana Audra boleh tahu?
“Tak payahlah nak buat muka terkejut sampai macam tu sekali!” usik Audra sambil ketawa kecil. Reaksi Zana itu bagai membenarkan pertanyaannya.
Zana mengetapkan bibirnya. Dia mula rasa bersalah dengan Audra.
“Kau ingat aku tak tahu tentang kau dengan Zaid?” soal Audra. “Zaid datang jumpa kau, kan?”
“Macam mana kau tahu?” tanya Zana perlahan. Wajahnya berubah. Perasaannya benar-benar kacau. Dia yang beria-ia nak satukan Zaid dengan Audra, alih-alih lain pula jadinya.
Audra tersenyum melihat wajah yang tiba-tiba berubah itu. “Kau ni kenapa ni?” Audra tahu apa yang tersirat di hati Zana. “Kau janganlah risau. Aku tumpang gembira untuk kau dan Zaid!” ujar Audra. Bersungguh dia menyakini sahabatnya itu. “Lagipun, aku rasa dia lebih sesuai dengan kau dari aku. Aku dengan Zaid, tak ada chemistry.”
Pantas Zana berpaling memandang Audra. “Betulkah Audra? Kau tak,”
“Taklah! Aku tak kisahlah. Aku pun tumpang gembira! Aku dah bagitahu banyak kali dekat kau yang aku tak sukakan Zaid! Jadi buat apalah aku nak marah,” ujar Audra. Sungguh, Audra tahu yang Zana gusar jika dia marah.
Ada senyuman terukir di bibir Zana. “Thanks Audra!” Zana sudah kembali ceria.
“Apa pulak yang nak berterima kasih ni? Aku tak buat apa-apa pun!” ujar Audra. Dia turut merasa gembira melihat Zana. “So, apa yang jadi sebenarnya? Zaid jumpa kau?” Audra sudah menongkat dagunya untuk mendengar cerita Zana.
Zana sudah tersengih-sengih macam kerang busuk. “A’ah, dia datang jumpa aku tadi!” Zana menarik nafasnya. “Tapi, aku tak fahamlah. Kenapa tiba-tiba saja semua jadi macam ni?” Wajah Audra dipandangnya. “Apa yang terjadi sebenarnya?”
Audra menjongketkan bahunya. Sampai ke mati pun, dia takkan beritahu dia yang mengusulkan Zaid agar berbuat begitu setelah membaca diari Zana. “Mungkin, lepas kami berbual petang kelmarin dia mula sedar yang kami berdua tak sesuai bersama. Aku rasa, dia lebih selesa berada disamping kau berbanding aku!” Audra cuba menyakinkan Zana. “Apa dia cakap dengan kau?”
“Dia nak couple dengan aku.”
Kening Audra sudah terangkat. Memang dia suka jika perkara itu terjadi namun dalam masa yang sama, dia ragu-ragu dengan keikhlasan Zaid. “So, best of luck. Cuma, aku minta kau jangan simpan harapan yang tinggi. Tambahan pula, kita masih study. Apa saja boleh jadi.”
Zana mengukirkan senyuman. “Aku tahu dan faham sebab tu aku tolak.”
“Kau tolak?!” Terkebil-kebil mata Audra memandang Zana. “Kenapa pulak? Jangan kata aku puncanya!” Audra sudah memberi amaran.
Zana ketawa kecil melihat sikap Audra yang seakan-akan takut jika dia mengatakan yang dia melakukan semua itu untuk Audra. “Taklah! Bukan!”tegas Zana.
Audra menghembuskan nafas kelegaan.
“Kau kenal aku dari kecil lagi. Kita membesar bersama. Kau tentu tahu dengan prinsip aku selama ni. Aku mahu bercinta selepas berkahwin. Kalau ada jodoh aku dengan Zaid, kami tak perlu bercinta sekarang.”
Audra menganggukkan kepalanya. Dia cukup tahu tentang prinsip Zana itu. Mungkin itulah puncanya mengapa Zana merahsiakan perasaannya terhadap Zaid. “Jadi, apa kata Zaid?”
“Dia terima keputusan aku.”
Audra mengangguk. Kini dia perlu mengakui kata-kata Zana bahawa Zaid memang seorang lelaki yang baik.
 “Tapi kau tak adil dengan aku!” Audra menarik muncung panjang melihat Zana.
“Apa?!” Berkerut dahi Zana.
“Kau nak bercinta selepas kahwin, tapi boleh pulak kau paksa aku jumpa dengan Zaid!” Audra menjegilkan matanya sambil mencekak pinggang. Sengaja dia berpura-pura marah.
Zana tersengih-sengih. Tawa kecilnya kedengaran. “Tapi kalau aku tak paksa tak delah kau jumpa Putera Arab yang nyaris-nyaris buat jantung kau berhenti berdegup tu!” usik Zana.
“Ish! Tak de maknanya! Lagi bagus kalau aku tak jumpa dia, tahu!” Audra menjeling tajam. Tapi entah kenapa, dalam hatinya merasakan pertemuan dengan lelaki itu bagaikan satu kenangan yang indah untuk dikenang.
“Iyalah, iyalah. Sorrylah, aku silap!” Zana memeluk bahu Audra. “Tapi sebagai sahabat, kita akan saling tegur menegur jika ada di antara kita yang tersalah jalan, kan?”
Audra mengukirkan senyuman, lalu menganggukkan kepalanya. Tentu sahaja mereka berdua akan saling tegur menegur untuk kebaikan bersama! “Okey, part tu dah settle! Sekarang ni kita settle masalah aku pulak!”
“Masalah kau?!” Zana termangu.
Wajah Audra yang sudah berubah melihatkan reaksi Zana. “Hah! Lupalah tu!” Audra menjeling. “Kan petang ni kau nak temankan aku ke tasik. Nak cari Putera Arab tu!” Sebenarnya, Audra sudah tidak sabar untuk ke sana. Dia sudah merindui diarinya. Harap-harap, diarinya masih ada di bangku panjang itu.
“Oh!” Zana menepuk dahinya. Memang dia telah terlupa tentang itu. “Okey! Jom!” Lantas mereka berdua mengatur langkah menuju ke tasik.
Sampai sahaja di tepi tasik, mereka berpusing sekitar kawasan pokok di mana Audra menemui Zaid dan berjumpa dengan lelaki itu. Mereka cuba mencari dairi Audra. Mana tahu kalau diari Audra yang ditinggalkan di atas bangku panjang masih ada di situ. Tapi diarinya tiada. Kini yakinlah Audra yang diarinya pasti telah diambil Putera Arab itu.
Audra duduk di bangku panjang dengan perasaan hampa. Dia menongkat dagu. “Macam mana ni Zana?” Satu hembusan nafas dilepaskan. “Aku rasa, Putera Arab tu dah ambil diari aku.”
Zana ikut duduk di sebelahnya. “Kita tunggu sekejap lagi. Mana tahu dia datang.”
Audra mengangguk. Mereka berdua menunggu dan menanti lelaki itu. Mana tahu jika lelaki itu datang seperti petang kelmarin. Sambil membuat ulangkaji mereka berbual. Sesekali Audra melirik jam ditangan dan memandang sekeliling, menanti susuk tubuh lelaki itu. Tapi sayangnya sehingga senja, bayang lelaki itu tetap tidak muncul seperti yang diharapkan.
“Aku rasa dia tak datanglah,” ujar Zana sambil memandang wajah kehampaan Audra.
Audra memandang Zana dengan sayu. “Diari aku!” dia sudah menangkup mukanya.
“Laaa, nak buat macam mana? Kalau ada jodoh, kau akan jumpa lagi dengan Putera Arab tu!” Zana cuba menyedapkan hati Audra.
Audra memandang Zana. “Kau ingat aku nak sangat jumpa dengan Putera Arab tu?! Yang aku risaukan sekarang ni, yang aku mahukan sekarang ni ialah diari aku!”
“Aku tahulah. Tapi aku confident sangat yang Putera Arab tu yang dah ambil diari kau. Kalau kau nak jugak diari kau, kau kena jumpa dengan dia dulu.”
“Kali ni kalau aku jumpa dia, siap! Bukan saja hidung, telinga dia pun nanti aku pulas-pulas!”
Zana menjeling Audra. “Iyalah tu! Kang bukan telinga dan hidung dia yang kau bedal. Tapi hati dia pulak,” Zana sudah tertawa kecil.
Audra mengerutkan dahi sambil memandang Zana. “Apa maksud kau?”
“Tak, .tak de apa-apa. Dahlah! Jom! Nak dekat Maghrib ni!” Zana terus menarik tangan Audra untuk pergi dari situ.
Walaupun kaki Audra melangkah mengikut Zana, namun sesekali dia masih menoleh ke belakang mengharapkan lelaki itu akan muncul sekali lagi.

ZACK mengenakan cermin hitam. Sekilas dia melirik cermin pandang belakang untuk memastikan penampilannya. Lalu, dia membuka pintu Mazda 6 yang berwarna putih itu dan melangkah keluar.
Dia memandang sekeliling kolej. Suasana kolej itu kelihatan sunyi. Hanya terdapat beberapa kelibat yang berjalan di kawasan itu. Dia berdoa moga-moga dia tidak akan bertembung dengan Audra. Audra tidak boleh melihatnya di sini. Jika tidak, musnahlah segala rancangannya.
Pantas Zack melangkah mencari pejabat pengurusan setelah bertanya pada sekuriti ketika di pintu masuk tadi. Sedang dia berjalan menuju ke pejabat pengurusan, tiba- tiba sahaja bahunya ditepuk dari belakang. Zack menoleh, memandang kepada susuk tubuh seorang lelaki yang agak gempal dan lebih rendah darinya.
“Assalamualaikum," lelaki tersebut menegurnya sedaya menghulurkan tangan untuk bersalam.
"Waalaikumussalam," Zack menyambut huluran tangan itu dan menggenggamnya erat.
"Saya Hisyam, pensyarah di sini. Boleh saya bantu, tuan?" tanya Hisyam sambil melepaskan genggaman tangan mereka.
Zack terus memerhatikan wajah di depannya itu. Dia seakan pernah melihat wajah itu. Apakah lelaki di hadapannya ini adalah teman sekolahnya dahulu? “Awak ni,” Zack membuka cermin mata hitamnya. "Hisyam, kan?” Lelaki di hadapannya ini memang kelihatan seperti teman lamanya.
Lelaki itu terlopong seketika melihat wajah Zack apabila cermin mata hitamnya di buka. “Zack?!” Wajah lelaki itu bertukar ceria. Wajah Zack yang mengenakan kaca mata hitam tadi kurang dikenalinya. “Kau apa khabar? Lama sungguh tak jumpa kau. Padahal, Penang ni kecil je!” Dia terus memeluk tubuh Zack sambil ketawa gembira.
“Alhamdulillah," Zack membalas pelukan itu sambil menepuk-nepuk belakang Hisyam. "Memang betul. Sekecil-kecil Penang ni pun, kita jarang berjumpa. Kau sihat?"
"Alhamdulillah." Masih kedengaran sisa tawa dari Hisyam. "Ada apa kau datang sini?” tanya Hisyam setelah meleraikan pelukan.
“Kau kerja di sini?” soalan Hisyam dibalas dengan soalan oleh Zack.
“Aku pensyarah di sini!” ujar Hisyam sekali lagi dengan penuh rasa bangga.
Terjongket kening Zack. Dia tersenyum penuh makna. Hari ini adalah hari yang bertuah untuknya. Bukan sahaja dia ditemukan dengan teman lamanya, namun Allah telah membuka jalan kepadanya untuk mendekati Audra dengan lebih mudah.
“Wah! Tahniah! Akhirnya tercapai juga cita-cita kau nak jadi pensyarah.” Zack tumpang gembira dengan kejayaan Hisyam.
Terdekeh-dekeh tawa Hisyam dengan pujian itu.
“Dah kebetulan kau pensyarah di sini, ada perkara yang aku nak minta tolong dari kau.”
“Minta tolong?” Kening Hisyam terjongket.
Zack mengangguk.
Raut wajah Zack kelihatan serius. “Marilah! Kita bincang di pejabat," ajak Hisyam.
Hisyam membawa Zack ke pejabatnya. “Duduklah Zack,” pelawa Hisyam setelah mereka berada di dalam pejabat Hisyam. “Maaf, pejabat ni kecil je. Tentu tak sama dengan pejabat kau di Warisan Syed, kan?” ujar Hisyam merendah diri.
Zack yang tersenyum, duduk sambil menggelengkan kepalanya. Hisyam masih seperti dulu. Penuh dengan sifat merendah diri dalam dirinya. “Apa ke situ pulak. Aku kagum dengan kau berbanding dengan diri aku sendiri,” ujarnya ikhlas dari hati.
Hisyam menjongketkan keningnya. “Pelik betul ayat kau tu. Apalah sangat nak dibandingkan aku dengan kau. Jauhnya macam langit dengan bumi!” Bukan dia tak tahu kawannya itu kini sudah menjadi Pengarah Warisan Syed dan memiliki warisan pusaka Syed Hakim. Malah cerita-cerita tentang Zack dan keluarga Warisan Syed itu sangat terkenal dan sering menjadi topik hangat dalam majalah-majalah korporat. Apatah lagi Zack juga kini tersenarai sebagai ahli perniagaan yang menjadi kegilaan para wanita.
“Kau salah tu. Memang jauh langit dengan bumi! Tapi aku adalah bumi dan engkau adalah langit. Apa yang aku kecapi sekarang, semuanya warisan dari keluarga. Tapi engkau," Zack menunjukkan diri Hisyam. “Apa yang kau kecapi sekarang semuanya atas usaha kau sendiri!”
Hisyam hanya tersenyum. Tak dinafikan kata-kata Zack ada benarnya. Kejayaan dan kekayaan yang dikecapi Zack adalah dari warisan. “Itu semua kehendak Allah. Setiap dari kita ada takdir sendiri. Tapi, kedudukan kau sekarang lebih sukar berbanding Tuan Syed yang sebelum ini.”
“Sebab?”
“Membina kejayaan memang sukar, tetapi lebih sukar lagi untuk mengekalkannya. Dan cabaran untuk mengekalkan kejayaan di Warisan Syed terletak dibahu kau sekarang.” Jelas kelihatan kewibawaan Hisyam sebagai seorang pensyarah melalui kata-katanya. Hisyam yakin, Zack mampu memimpin dan memajukan lagi Warisan Syed. Sikap kepimpinan Zack sudah terserlah sejak mereka belajar di sekolah menengah lagi.
Kepala Zack sudah terangguk-angguk. Kata-kata Hisyam ada benarnya.
Back to the point! Kau nak minta tolong apa?” Hisyam kelihatan tidak sabar lagi untuk mengetahui maksud tujuan Zack datang ke sini.
“Well,” Zack menggosok dagunya. “It’s about business.”
“Okey,” Hisyam sudah meletakkan kedua tangannya di atas meja, memberi tumpuan sepenuhnya kepada Zack. Sahabat lamanya itu kelihatan membawa hajat yang besar.
“Begini, Warisan Syed mempunyai kekosongan jawatan sebagai pembantu akauntan. Aku bercadang, nak cari graduan yang fresh!” ujar Zack. “Sebab itulah aku datang ke mari.”
Hisyam bersandar di kerusi bersama satu senyuman yang ceria. “You come to right place!” Ternyata, Hisyam gembira dengan tujuan itu. “Cadangan yang baik! Jawatan tetap atau sementara? Berapa kekosongan yang kau perlukan?” Hisyam mula menunjukkan keterujaannya.
Zack berfikir sambil mengetap bibirnya. “Aku mahu pekerja sementara. Dua kekosongan. Tapi posisinya adalah jawatan tetap. Kalau pelajar tu menunjukkan potensi dan kualiti kerja yang baik, aku tak ragu-ragu mengambilnya sebagai pekerja tetap di Warisan Syed.”
Terjongket-jongket kening Hisyam mendengar rancangan Zack. Satu peluang besar bagi pelajar-pelajarnya. Warisan Syed bukan calang-calang syarikat. Satu penghormatan besar untuk kolej ini apabila diberi peluang sebegini. “Aku ada seorang pelajar yang selalu mendapat pointer yang tinggi. Dia adalah antara calon pelajar terbaik tahun akhir! Always in the top five and be the first!"
“Aku tak kisah siapa pun. Aku cuma nak kau suggest beberapa pelajar untuk datang interview. Dan kemudian aku akan pilih dua darinya. Lepas diorang habis exam, diorang boleh terus datang ke Warisan Syed. Tapi dengan syarat, keputusan peperiksaan akhir haruslah cemerlang!”
“Aku setuju. Tapi, aku perlu usulkan perkara ini kepada pengarah kolej dulu. Tapi aku yakin, rancangan ni pasti diterima dengan baik!" Terangguk-angguk kepala Hisyam kerana yakin.
“Tapi aku ada satu permintaan," ujar Zack lambat-lambat. Mungkin inilah masa yang sesuai untuk menyatakan keinginannya yang sebenar. “Aku nak tahu tentang seorang pelajar yang bernama Audra Laily binti Hj. Ashaari.” Memang dia agak khuatir untuk bertanyakan soalan itu. Mana tahu Hisyam akan salah sangka kepadanya. Tapi keinginannya untuk mengenali Audra Laily lebih mengatasi perasaan khuatirnya.
Hisyam diam seketika. Dahinya berkerut. Wajah Zack ditenungnya. “Dari mana kau kenal dengan pelajar ni? Kenapa dengan dia?” tanya Hisyam yang mula khuatir jika Audra terlibat dalam apa-apa masalah dengan Zack. Atau mungkinkah kebijaksanaan Audra sudah sampai ke telinga Zack?
“Dia pelajar tahun akhir?” tanya Zack lagi.
Hisyam mengangguk.
Anggukan Hisyam itu membuatkan Zack tersenyum dan menarik nafas lega. “Kalau boleh aku nak kau senaraikan sekali nama dia untuk datang interview.”
Hisyam ketawa kecil. Dia menarik nafas kelegaan. Garis kerisauan mula hilang dari wajahnya. “Macam mana kau boleh kenal dia? Dia ni tersenarai dalam calon pelajar terbaik. Pointer dia selalu tinggi! Kalau kau choose dia," Tergeleng-geleng kepala Hisyam. “Terbaik! Always in the top!" Hisyam mengangkat ibu jarinya menunjukkan tanda 'terbaik'.
“Biar betul kau?!” Kening Zack sudah terjongket. Gadis yang suka berangan entah apa-apa itu tersenarai dalam calon pelajar terbaik? First place pulak tu! Macam tak masuk akal je! “Tak salah kau ni?”
“Audra, she’s the best student in account! For real!” ujar Hisyam dengan yakin sekali. “By the way, kalau kau tak tahu tentang ni kenapa kau mahu aku calonkan dia?” Pelik juga, jika Zack tidak tahu tentang Audra yang selalu menjadi pelajar akaun terbaik, bagaimana dia boleh mencadangkan nama Audra?
Zack diam seketika, berfikir sejenak. Satu pengajaran yang dibelajarnya hari ini tentang Audra Laily. Audra, dia bukan gadis sembarangan. Jika benar kata Hisyam, tentu ada sesuatu yang istimewa tentang Audra. Jika tidak, tak mungkin dia menjadi terbaik biarpun dia suka berangan. Kesimpulannya, dia seorang gadis yang suka berangan tetapi anganannya tidak pernah menenggelamkan dunia nyata!
"Macam mana kau boleh kenal Audra?" tanya Hisyam.
Zack terkedu seketika. "Hmm, biarlah rahsia." Zack sudah tersenyum simpul. "Tapi percayalah, aku tak berniat jahat pada Audra."
Hisyam mengangguk sambil ketawa kecil. Dia percaya pada Zack. Dia kenal sikap Zack. Zack tak mungkin melakukan perkara yang akan menjatuhkan maruah atau memburukkan orang lain. "Atau kau dah mula tertarik dengan Audra?" usik Hisyam. Tidak dinafikan, Audra mempunyai raut wajah yang cantik dan menarik. Zack pula, masih belum berkahwin walaupun usianya sudah di hujung 30-an.
Zack ketawa besar dengan usikan Hisyam. “Okeylah. Kau tolong uruskan, ya. Bila dan di mana interview akan dijalankan, aku akan update. Deal?” Soalan Hisyam dibiarkan menyepi.
Deal! Aku akan uruskan semuanya.” Terangguk-angguk kepala Hisyam.
“Tapi aku ada satu syarat," ujar Zack sambil memandang Hisyam dengan serius. “Semua pelajar-pelajar tak boleh tahu siapa aku. Tak ada siapa yang akan kenal dengan Tuan Syed Zikri Syed Zarkasyi. Mereka hanya perlu mengenali aku sebagai Zack, orang kanan Tuan Syed!”
Tercengang Hisyam dengan syarat yang dikenakan. “How come? You’re the famous Tuan Syed!" Terpinga-pinga Hisyam di situ. “Dalam akhbar, majalah, semuanya ada muka kau!”
“Tak pe, dalam majalah dengan luar tak sama! Pandai-pandailah aku ubah apa-apa yang patut. I’ll change my style!" tegas Zack. “Pelajar-pelajar tu tak mungkin akan kenal aku! And for time being, aku akan batalkan semua fotoshoot dengan majalah dan akhbar!” ujar Zack. “Yang penting, aku mahu mencari pekerja terbaik dan boleh dipercayai!"
Kini mengertilah Hisyam dengan tujuan Zack. Mungkin dengan menyamar sebagai orang kanan Tuan Syed Zikri, dia boleh menyiasat dan mencari pekerja-pekerja yang berpotensi dengan lebih teliti dan bukan pekerja yang hanya suka mencuri tulang.
Tetapi berlainan pula dengan Zack. Dia mahu mengenali siapa Audra Laily yang berjaya membuatkan hari-hari suramnya menjadi ceria. Adakah Audra Laily seorang gadis yang lain dari perempuan yang dikenalinya? Atau adakah dia juga seperti mereka yang hanya mahukannya kerana mahukan kemewahan dunia? Atau mungkin seperti mereka yang tertarik hanya kerana ketampanannya?