Monday 21 February 2011

Hanya Dia 50

BAB 50


DIA telah membuat keputusan nekad. Sejak malam hari itu, sesudah mereka pulang dari supermarket, fikirannya tidak bisa tenang. Fariz juga sentiasa mengelak apabila dia bertanya punca tentang pergaduhannya dengan Encik Zack.

Maisara memusing stereng kereta memasuki kawasan tempat letak kereta di Warisan Syed. Dia tahu, mungkin dia tidak sepatutnya membuat keputusan yang terburu-buru. Namun persoalan di hatinya merayu sedikit jawapan untuk ketenangan. Apatah lagi apabila kononnya maruah seorang gadis dipertikaikan. Mungkinkah gadis yang dimaksudkan itu adalah arwah Suhana? Itulah yang menjadi persoalan di hati.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke ruangan hadapan Warisan Syed dia disambut dengan senyuman oleh penyambut tetamu di pintu depan.

“Boleh saya jumpa dengan Encik Zack?” lembut suara Maisara bertanya.

“Nama cik?”

“Maisara!”

“Tunggu sekejap, cik,” gadis berkemeja putih dan berseluar slack biru mengangkat ganggan telefon lalu berkata sesuatu. Kemudian dia meletakkan ganggang semula. Pandangannya beralih memandang Maisara di depannya.

“Cik boleh masuk ke dalam. Cik jalan terus. Bilik Encik Zack yang paling hujung sekali,” gadis itu memberitahu.

“Terima kasih,” ujar Maisara sambil menundukkan sedikit kepalanya tanda hormat lalu dia melangkah terus ke tempat yang diberitahu gadis di kaunter tadi.

Sampai sahaja di depan pintu yang terlekat nama ‘SYED ZIKRI BIN SYED ZARKASYI’ terus sahaja Maisara mengangkat tangan dan mengetuk pintu.

“Maaf cik,” Maisara ditegur satu suara yang datang dari arah belakang. Dia menoleh. Kelihatan seorang gadis yang berbaju kurung merah jambu tersenyum padanya.

“Cik nak jumpa dengan Encik Zack?” tanya gadis itu.

“Ya....” Maisara menganggukkan kepalanya. “Budak perempuan yang ada di kaunter depan.....”Maisara cuba menerangkan pada gadis itu apabila gadis itu kelihatan menghalangnya untuk berjumpa dengan Encik Zack.

“Tak pe....tak pe....” Gadis itu memotong percakapan Maisara. “Saya Farah, setiausaha Encik Zack.” Farah menghulurkan salam perkenalan dan disambut Maisara.

“Maisara.”

“Memang saya dah diberitahu Encik Zack akan menerima tetamu. Tapi saya minta cik tunggu dulu sekejap. Sebab Encik Zack masih lagi ada di ruangan meeting. Cik boleh duduk dan tunggu dulu di sini!”

Di ruangan meeting? Kenapa gadis di depan tadi tidak memberitahunya dan menyuruhnya terus masuk ke dalam?

“Ah....tak pelah kalau macam tu.” Maisara tersenyum. “Mungkin lain kali bila Encik Zack tak sibuk saya akan datang balik!”

“Sebenarnya Encik Zack memang menunggu kedatangan cik Maisara!” ujar Farah.

Berkerut dahi Maisara. Pelik dirasakannya. Encik Zack berada diruangan meeting. Tetapi dalam masa yang sama dia menunggu kedatangan Maisara? Mungkinkah Farah menghubungi Encik Zack ketika lelaki itu sedang bermesyuarat dan dia disuruh tunggu di situ?

Memang pelik. Sudahlah kedatangannya tadi tidak ditanya sama ada temujanji sudah dilakukan, dia terus disuruh masuk. Tak mungkin mereka menghubungi Encik Zack untuk memberitahu kedatangannya ketika lelaki itu sedang bermesyuarat. Apatah lagi bila diberitahu Encik Zack memang menunggu kedatangannya.

Melihatkan wajah Maisara yang berkerut seribu membuatkan Farah mengukir senyuman.

“Sebenarnya cik Maisara, sejak dari minggu lepas Encik Zack dah pesan pada saya kalau cik Maisara datang dia minta cik Maisara tunggu jika dia ada urusan,” beritahu Farah.

Bukahkah itu bermakna kedatangannya sudah ditunggu-tunggu Encik Zack sejak dari minggu lalu?

“Lagipun, rasanya tak lama lagi keluarlah Encik Zack dari ruang meeting,” ujar Farah sambil melirik jam di pergelangan tangannya.

Maisara mengangguk lalu melabuhkan punggung di salah sebuah sofa yang terdapat di situ. Mungkin meeting yang dihadiri Encik Zack sudah lama berjalan, kerana itu Farah bisa mengagak dia tidak akan lama menunggu.



“TERIMA KASIH!” Zack bersalaman dengan wakil-wakil dari syarikat yang bakal bekerjasama dengan mereka. Dia menghantar wakil-wakil itu ke pintu utama lalu dia melangkah kembali ke dalam untuk ke biliknya.

Inilah projek pertama yang diserahkan kepadanya. Nampaknya, Syed Hussin menyerahkan kepercayaan yang tinggi padanya bagi menarik minat syarikat lain untuk melabur di Warisan Syed. Bisakah dia berjaya membuktikan kemampuannya? Itulah yang sering memeningkan kepalanya.

Dia perlu melakukan stratagi yang paling bijak untuk menarik syarikat lain agar berminat untuk bekerjasama dengan mereka. Di waktu ini memang agak sukar apabila nama Warisan Syed sudah sedikit tercalar kerana kejadian yang berlaku tempoh hari.

Walaupun perkara itu masih belum menjadi kes besar, namun rata-rata di majalah gossip itu sudah tersebar walaupun mereka sudah berjaya memujuk Dato’ Jamaluddin untuk membatalkan niatnya melaporkan kejadian itu kepada polis. Malah mereka juga sudah beberapakali melakukan press conference untuk membersihkan nama Warisan Syed.

Belum pun kakinya tiba di pejabat, dari jauh matanya sudah menangkap susuk tubuh seseorang. Dia tersenyum. Dia bertambah yakin dengan dirinya. Dia sudah jangka Maisara pasti akan mencarinya.

“Sara!” dia menegur.

Maisara mendongak wajahnya. Melihatkan Encik Zack di depannya, terus dia berdiri.

“Jom!” Ajak Zack tanpa banyak bicara.

Maisara menurut langkah lelaki itu. Encik Zack masih belum berubah. Tetap dengan ketegasannya seperti selalu.

“Have a seat!” Zack sudah pun melabuhkan punggungnya di kerusi begitu juga dengan Maisara.

So....awak datang sini tentu pasal hal tempoh hari,kan?” Zack berterus terang.

“Ya!” ujar Maisara sambil menarik nafasnya. “Encik Zack macam dah tahu yang saya akan datang berjumpa dengan Encik Zack.”

Dahi Zack berkerut sekejap. Dia cuba memikirkan maksud Maisara.

“Tadi, saya diberitahu oleh setiausaha Encik Zack yang Encik Zack memang menunggu kedatangan saya sejak minggu lalu,” beritahu Maisara.

Wajah Zack yang berkerut terus bertukar kepada senyuman.

“Ya...saya memang dah agak awak akan datang cari saya sebab saya tak yakin Fariz akan beritahu awak cerita yang sebenarnya!”

“Cerita sebenarnya?” Maisara tersenyum sinis. Inilah yang mengundang persoalan di hatinya. “Kalau Encik Zack tak keberatan, boleh Encik Zack ceritakan pada saya?” Maisara berterus terang tanpa membiarkan saat-saat berlalu begitu sahaja.

Zack membisu seketika. Dia berfikir sebentar. Pada awalnya, memang dia merasakan Fariz yang menjadi jelatang dalam perkara ini. Namun apabila dia terdengar maki hamun Ilyana ketika dia mahu ke kamar kerja wanita itu, barulah dia tahu perkara yang sebenarnya.



“TAK GUNA!!!” Ilyana membaling semua fail yang ada di atas mejanya.

“Firasat aku benar, Fariz memang ada hati dengan Maisara!!” Mundar-mandir Ilyana di situ bercakap seorang diri. “Tak guna!!”

“Kalau benar Fariz tak cintakan Suhana kenapa dia berkahwin dengan Suhana? Kenapa? Tentu ada sesuatu yang berlaku!! Aku perlu cari tahu!!”

Ilyana menggenggam penumbuk di mejanya. Dia perlu selidik dengan mendalam perkara ini. Apa yang membuatkan Fariz berkahwin dengan Suhana walaupun sebenarnya lelaki itu bercinta dengan Maisara!

Ilyana tenggelam dalam emosinya sehingga dia tidak menyedari Zack yang berada di depan kamar kerjanya bisa mendengar setiap butir bicara yang terkeluar dari bibirnya.

Zack yang sebenarnya mahu berjumpa dengan Ilyana akhirnya membuat keputusan pergi dari situ. Apa yang baru didengarnya membuatkan dia tersenyum sendiri.



“ENCIK ZACK!!!” Akhirnya Maisara terus berteriak nama lelaki itu yang hanyut dalam anganannya. Sudah beberapa kali dia memanggil lelaki itu tetapi tiada reaksi.

Zack terpinga seketika sebelum kembali ke alam nyata. Mukanya terasa panas kerana malu dengan lamunannya sehingga wanita di depannya terus berteriak memanggilnya.

“Maaf......saya sedang berfikir!” ujar Zack sekadar mengaburi rasa malunya.

So, sekarang Encik Zack dah habis berfikir?” tanya Maisara dengan sedikit sindiran.

Zack tersenyum mendengar. Maisara sudah pandai menyindir!

“Apa yang kelakarnya?” tanya Maisara yang melihat senyuman di wajah lelaki itu. Soalan Maisara itu membuatkan senyuman Zack semakin melebar. Wanita di depannya kelihatan benar-benar mahukan penjelasan.

Zack bangun lalu menyelak jendela di belakangnya. Sengaja dia membuat Maisara menunggu dan membiarkan masa berlalu. Maisara hanya menyoroti tingkah Zack dengan kesabaran.

“Awak tahu tak hubungan saya dengan arwah Suhana?” tanya Zack lalu memalingkan wajahnya memandang Maisara.

Maisara menggeleng. Apa yang diingatnya malam itu, memang Encik Zack ada menyebut nama Suhana. Namun sejauh mana hubungan mereka berdua, dia tidak tahu.

Zack kembali ke kerusi dan duduk semula sambil menongkat dagunya. Matanya memerhatikan Maisara sekilas.

“Dua tahun.......hubungan kami bukan sekadar teman biasa. Saya memang serius dengan dia. Tapi semuanya berakhir dengan sekelip mata. Saya tak sangka dia curang dengan saya!”

Dahi Maisara berkerut.

Kak Su? Curang dengan Encik Zack?

Arwah Suhana memang perahsia. Bukan mudah untuk dia berkongsi rahsia hidupnya walaupun dengan keluarga sendiri. Hubungan Suhana dengan Zack juga tidak pernah diketahui sedangkan mereka berdua sangat akrab satu ketika dahulu.

“Apa yang berlaku sebenarnya dalam hubungan Encik Zack dan kakak saya?” tanya Maisara.

“Saya kenal dengan Suhana ketika di kolej lagi. Tetapi hubungan kami serius selepas tamat pengajian. Dua tahun kami bersama. Sampailah satu hari dia mendesak saya mengahwini dia. Mulanya memang saya tak fikir apa-apa. Tapi akhirnya, dia berterus terang dengan saya yang dia dah hamil.”

Terlopong Maisara. Jantungnya terasa berhenti berdenyut seketika.

Tak mungkin.....tak mungkin..... Kak Su bukan begitu......

Maisara menumbuk-numbuk dadanya yang terasa sesak. Perkara begini tak mungkin berlaku. Sukar baginya menerima kata-kata Encik Zack.

“Maisara......are you okay?” Zack risau melihat Maisara yang kelihatan sukar bernafas dan menumbuk-numbuk dadanya.

“Okay.....I’m okay......” Maisara beristighfar seketika.

“I know it’s not easy for you to accept all this. But this is a fact!”

Kalau semuanya benar, jadi Aiman......Aiman anak siapa? Mungkinkah Fariz dan Kak Su......mungkin kerana itu Fariz meninggalkan aku......

“Aiman........” Maisara memejam matanya sebentar.

“Maksud Encik Zack, Fariz yang bertanggungjawab atas kandungan Kak Su?” Anak matanya memandang Zack. “Fariz yang bertanggungjawab?”

“Saya tak pasti. Tapi jika bukan Fariz, kenapa dia perlu bersusah payah untuk menjadi kambing hitam? Lagipun apa yang saya tahu, dia tak cintakan Suhana. Dan sekarang, dia hanya menggunakan Aiman untuk mendapatkan awak!”

Maisara diam berfikir seketika. Apa yang berlaku sebenarnya pada arwah Suhana? Mungkin benar Fariz yang bertanggungjawab sebab itu dia menikahi Suhana! Tapi......kenapa hatinya menyangkal? Kenapa dia tidak merasa begitu?

“Menurut saya, Fariz menikahi Suhana kerana dia tidak tahu Suhana sedang hamil ketika itu. Setelah menikah baru dia tahu Suhana sudah mengandung. Selepas Suhana meninggal, dia jatuh cinta pada awak dan menggunakan Aiman sebagai alasan. Kebetulan, keluarga awak juga mahu satukan awak dengan dia!”

“Saya......saya benar-benar tidak faham......Tadi kata Encik Zack, kalau kandungan itu bukan anak Fariz, tak mungkin dia mahu menjadi kambing hitam. Malah dia juga tak cintakan Suhana. Tapi sekarang......” Maisara benar-benar kebingungan.

Zack menggosok dagunya. Dia juga masih keliru dengan fakta dan petunjuk yang diterimanya. Dia sendiri masih berkira-kira dengan kesimpulannya.

“Di awalnya memang saya berfikir begitu. Tetapi apabila ingatkan kembali malam itu ketika saya kami berkelahi dan Fariz menuduh saya lelaki yang tidak bertanggungjawab, saya dapat rasakan Aiman bukan anak kandung Fariz. Dan yang pasti, Fariz juga tidak menyintai Suhana. Entahlah apa yang membuatkan Fariz mahu menikahi Suhana ketika itu.”

“Tapi apa yang saya pasti, selepas Suhana meninggal, Fariz jatuh cinta dengan awak dan gunakan Aiman untuk miliki awak....” Entah berapa kali Zack menyebut tentang hal ini. Sengaja dia mengulanginya agar Maisara mengerti permainan Fariz. “Sedangkan dia langsung tak punya hak atas Aiman. Kalau awak mahu, awak boleh mengambil Aiman tanpa perlu menikahi Fariz kerana Aiman adalah darah daging awak!”

Tatkala ini Maisara sudah terasa mahu menangis. Benarkah Fariz mengorbankan cinta mereka kerana perkara ini? Mungkin benar tetapi dia perlukan bukti yang kukuh sebelum dia terus-terusan menerima Fariz tanpa menyelidiki dahulu kesahihannya. Terima kasih buat Encik Zack kerana meleraikan sedikit persoalan di hatinya.

“Bagaimana kalau saya katakan, Fariz memang tak menyintai Suhana. Di saat dia mengambil keputusan untuk menikahi Suhana, dia telah pun mengetahui Suhana hamil. Kerana mahu menjaga kehormatan Suhana, dia menerima Suhana walaupun dia tidak menyintainya. Sedangkan Encik Zack, kekasih Suhana sendiri sudah tidak mahu menerimanya. Semuanya kerana sifat insaniah yang ada dalam dirinya membuatkan dia mengambil keputusan begitu,” Ada nada sayu ketika Maisara menerangkan pendapatnya. “Bagaimana? Encik Zack setuju dengan saya?”

“Saya setuju dengan pendapat awak. Cuma bukan saya tak mahu mengorbankan diri saya sepertimana yang dilakukan Fariz untuk menjaga maruah Suhana. Tetapi saya tidak mahu bertanggungjawap atas sesuatu yang bukan dilakukan saya. Lagipun hati saya sakit bila cinta dan perasaan saya dimainkan. Dia bukan perempuan yang baik bila dia sanggup menyerahkan tubuhnya pada lelaki.”

Menitis airmata Maisara mendengar cemuhan itu. tetapi dia tidak menyalahkan Encik Zack jika berpendapat begitu. Dia sendiri tidak menyangka Suhana sanggup melakukan perkara keji begitu! Tetapi mengapa Fariz sanggup meninggalkannya semata-mata untuk menjaga maruah Suhana sedangkan kakaknya itu sendiri tidak pandai menjaga maruah dirinya?!

“Perkara yang lepas biarlah lepas. Lagipun, Suhana dah tak ada. Tak elok bercakap keburukannya,” ujar Zack. “Apa yang penting sekarang, saya tak mahu awak terjerat dalam permainan Fariz. Kalau awak tak cintakan dia awak boleh tinggalkan dia! Lagipun, Aiman bukan anak kandung dia! Awak boleh mengambil Aiman dari dia!”

“Apa yang membuatkan Encik Zack fikir saya menerima Fariz hanya kerana Aiman?”

Dahi Zack berkerut dengan soalan Maisara.

“Bukankah itu yang berlaku? Selepas arwah Suhana meninggal, dia mewasiatkan Aiman untuk awak dan keluarga awak juga mahukan awak menikahi Fariz kerana Aiman. Tetapi ketika itu, Fariz sudah pun bersama dengan Ilyana dan dalam masa yang sama dia juga sudah mula jatuh cinta pada awak. Kerana tidak mahu menghampakan keluarga, awak bersetuju bernikah dengan Fariz walaupun ketika itu Fariz masih lagi bersama Ilyana. Akhirnya, Fariz berterus terang dengan Ilyana dan Ilyana bagaikan nak gila bila dapat tahu Fariz cintakan awak.” Itulah kesimpulan Zack tentang kisah ini.

Maisara tersenyum sambil menggelengkan kepalanya.

“Kesimpulan Encik Zack memang tidak salah. Cuma Encik Zack tertinggal satu fakta.” Maisara berdiri sambil memegang tas tangannya. “Fakta yang satu itu, adalah saya dan Fariz saling menyintai antara satu sama lain. Saya juga menyintai suami saya!”

Selepas berkata begitu, Maisara terus berlalu pergi meninggalkan Zack yang dalam kebingungan.

Apa yang sedang berlaku? Maisara dan Fariz saling menyintai? Lain yang diharapkan, lain pula pula yang diterimanya! Zack tersandar di kerusi.

Maisara......

Wednesday 9 February 2011

Hanya DIa 49

BAB 49


MAISARA melajukan langkahnya. Dia melirik jam di tangan. Pasti Fariz sedang menunggunya. Menyesal dia kerana terlupa untuk membeli barang-barang keperluan Aiman kelmarin. Jika tidak, sudah pasti dia tidak perlu menyusahkan Fariz seperti ini.

Balik sahaja dari pejabat petang tadi, baru dia teringat dia perlu membeli barang keperluan untuk Aiman. Lepas solat Maghrib, dia mahu membawa Aiman keluar ke supermarket bersamanya. Tetapi umi membantah. Umi memang tidak suka dia membawa Aiman keluar malam-malam. Umi takut ada ‘benda’ yang mengganggu nanti.

Fariz pula menegahnya untuk keluar bersendiri. Kebetulan Fariz perlu keluar berjumpa dengan temannya berdekatan dengan supermarket. Kerana itulah dia ke sini bersama Fariz. Selepas Fariz menurunkannya di depan supermarket, Fariz terus pergi. Katanya lepas satu jam dia akan kembali semula dan menunggu Maisara di tempat letak kereta.

Maisara melirik lagi jam di pergelangan tangannya. Sudah satu jam lebih, pasti Fariz sudah lama menunggu.

Dalam tergesa-gesa tanpa sengaja Maisara terlanggar bahu seseorang. Dia berhenti berjalan dan berpaling untuk memohon maaf. Tetapi dia terus terkelu di situ apabila mendapati orang yang dilanggarnya adalah Encik Zack.

Zack juga terpaku dan memandang terus wajah Maisara tanpa kata-kata. Agak lama mereka berpandangan sebegitu sehinggalah mereka terganggu dengan pengumuman DJ di supermarket itu yang meminta salah seorang pengujung mengalihkan keretanya.

Maisara mengukir senyuman untuk Zack. Kemudian dia berpaling untuk pergi.

“Tunggu! Maisara!!” panggil Zack. Zack menghampiri Maisara yang sudah menghentikan langkahnya.

“Awak apa khabar?” tanya Zack.

“Saya okey!” Maisara tersenyum lagi. “Saya pergi dulu, Encik Zack!”

“Awak tak nak tanya kenapa saya tinggalkan Nusmefa Emas?”

Langkah Maisara terhenti dengan pertanyaan itu. Dia memandang wajah Zack seketika.

“Ada apa-apa yang perlu saya tahu Encik Zack?” tanya Maisara.

Zack ketawa kecil. Maisara masih formal dengannya seperti selalu. Lupakah wanita ini yang mereka bukan sepejabat lagi?

“Saya bukan bos awak lagi, Sara!” ujarnya. Maisara tersenyum.

“Saya dah biasa.”

“Sebenarnya saya tak sangka awak sanggup menipu saya......” ujar Zack berterus terang dengan rasa kecewa yang masih belum bersisa. “Waktu saya tanya hubungan awak dengan Fariz, awak cuma beritahu saya yang dia abang ipar awak. Kenapa awak tak berterus terang je?”

Wajah Zack yang benar-benar kelihatan memerlukan penjelasan itu dipandang seketika lalu menghembuskan nafas perlahan.

“Saya tak berbohong pada Encik Zack,” ujar Maisara. “Waktu tu, hubungan saya dan Fariz hanya setakat itu.”

Zack terdiam seketika. Maknanya, sebelum hari itu, Maisara masih belum berkahwin dengan Fariz. Jadi benarlah seperti kata Ilyana.

Maisara memandang wajah itu yang seakan masih berfikir. Dia tahu ada perkara yang Encik Zack mahu katakan padanya. Tetapi lelaki itu masih diam membisu.

“Ada apa-apa yang Encik Zack nak beritahu saya?” tanya Maisara dengan ragu-ragu.

Zack mengangkat wajahnya dan memandang Maisara.

“Suhana......” Nama wanita itu meniti dibibirnya.

Ada riak persoalan yang terukir di wajah Maisara mendengarkan nama itu disebut Zack. Kenalkah lelaki ini dengan arwah kakaknya?

“Apa......Suhana kakak awak?” tanya Zack lalu menunjukkan foto Suhana yang masih dalam simpanannya kepada Maisara. Maisara mencapai lalu mengangguk melihat foto itu.

“Encik Zack kenal dengan arwah kakak saya?” Maisara mula merasa teruja. Zack menganggukkan kepalanya. Ada garis-garis kasayuan terukir di wajah lelaki itu.

“Saya simpati untuk keluarga awak,” ujar Zack tanpa menjawab soalan Maisara. “Maaf, saya baru tahu Suhana dah meninggal dunia.”

Maisara mengganggukkan kepalanya. Tak sangka Encik Zack merupakan teman arwah Kak Su.

“Jadi......awak berkahwin dengan Fariz kerana Aiman?” tanya Zack lagi.

Soalan itu membuatkan kepala Maisara dan terangkat. Matanya tajam memandang wajah lelaki di depannya.

“Siapa yang beritahu Encik Zack semua ni?” Maisara kurang senang dengan pertanyaan itu. Baginya itu adalah hal peribadi yang tidak pernah mahu dikongsi dengan sesiapa jua.

“Sara!” Satu suara dari belakang mengejutkan mereka berdua.

Kelihatan langkah Fariz semakin menghampiri. Zack sudah kelihatan tidak menyenangi kehadiran Fariz di situ.

“Hai.....” Fariz menegur Zack. Zack hanya menganggukkan kepalanya.

“Kalau tak keberatan, saya nak bawa ‘isteri’ saya pulang,” Sengaja Fariz menekan perkataan isteri ketika berbicara. Zack hanya tersenyum sinis. Dia seperti tahu Fariz seolah-olah mahu memberitahunya bahawa Maisara adalah kepunyaannya.

Maisara hanya menganggukkan kepala tanda perpisahan buat Zack. Lalu dia beriringan mengatur langkah bersama Fariz.

“Nanti dulu Encik Fariz!” Zack tiba-tiba menghalang lalu menghampiri pasangan itu semula.

Sampai sahaja di depan Fariz, mereka bertentangan mata. Bagai ada perasaan dendam antara satu sama lain. Maisara sudah tidak enak melihat kelakuan keduanya.

Bagi Zack, Fariz adalah dalang punca perpisahan dia dengan Suhana. Walaupun dia masih belum pasti tentang itu, tetapi dia yakin Fariz adalah lelaki yang bertanggungjawab menghancurkan hidup Suhana.

Bagi Fariz pula, Zack adalah lelaki durjana yang tidak bertanggungjawab atas perbuatannya sendiri. Memang pada mulanya dia seakan tidak percaya dengan berita yang disampaikan Ilyana bahawa lelaki itu adalah kekasih Suhana. Tetapi apabila Ilyana menunjukkan foto Suhana bersama Zack, baru dia mempercayainya.

“Hey!!!!Kenapa ni??!!!” Suara Maisara itu mematikan renungan tajam mereka berdua.

“Sara....saya nak awak tunggu saya di kereta. Ada hal yang saya perlu selesaikan!” ujar Fariz dengan renungan matanya masih belum lepas memandang Zack.

“Baguslah....kita berdua memang ada urusan yang perlu diselesaikan!” jawab Zack pula.

Hati Maisara sudah tidak enak. Dia tidak akan pergi dari situ jika tidak bersama-sama dengan Fariz. Dia takut jika terjadi sesuatu apabila dia pergi sendiri.

“Tak.......saya akan tunggu di sini!” tekadnya.

“Ini hal orang lelaki. Awak tak boleh masuk campur!” Fariz memandang Maisara meminta pengertian. Dia tidak mahu jika Maisara masih di sini, isterinya itu bakal tahu rahsia yang selama ini cuba disimpan.

“Kenapa? Kau takut dia tahu hal yang sebenar?” Zack bersuara tiba-tiba.

Maisara beralih memandang Zack. Apa sebenarnya?

“Kenapa ni? Apa yang sebenarnya dah berlaku?” Berkerut dahinya memandang kedua-dua lelaki yang sedang berdiri di antaranya.

“Apa maksud kau?” Fariz semakin tidak berpuas hati dengan omongan Zack yang seakan menunding jari padanya. “Sepatutnya kau yang tahu malu dengan perbuatan kau sehingga menghancurkan hidup seorang gadis yang tak berdosa!!”

“Kurang ajar!!” Zack hampir sahaja menghadiahkan penumbuk di muka Fariz tetapi di tahan Maisara.

“Apa ni??!!” Wajah Maisara sudah pucat. Dia kelihatan panik.Kenapa dengan mereka berdua. Adakah dia menjadi punca permusuhan mereka berdua?

Zack dan Fariz sama-sama terdiam dengan jeritan Maisara. Dengan rasa yang masih menggunung Zack berlalu pergi. Dia tidak mahu perkara itu diselesaikan di depan Maisara. Biar masa menentukan. Suatu hari nanti Maisara tetap akan tahu perkara sebenarnya.