Monday 30 August 2010

Hanya Dia 38


BAB 38



KURSUS pagi itu yang telah tamat jam dua belas tengahari tadi akan dimulakan semula pada jam lapan malam. Namun begitu, aktiviti petang akan bermula dalam jam tiga petang nanti.
Sebaik sahaja menyudahkan makan tengahari, Maisara dan Hanum membuat keputusan untuk berehat di dalam suite sahaja. Teman-teman yang lain sudah pun menghilangkan diri untuk mengisi masa lapng mereka.
Maisara memandang Hanum yang sudah membawa diri di beranda setelah menerima panggilan. Lantas dia mencapai telefon bimbitnya. Tiada pesanan atau missed call yang diterima.
Dia megeluh.
Tidak teringatkan langsung Fariz padanya? Tiada pesanan selamat pagi mahu pun bertanya khabarnya hari itu.
Malam semalam sewaktu mereka tiba di hotel, Maisara menghantar pesanan pada Fariz untuk membertitahu mereka telah selamat tiba si situ. Fariz hanya membalas, ‘Okey. Bye’. Lelaki itu langsung tidak bertanya bagaimana tentang perjalanan mereka ke sini. Sudah makan atau belum.
Pagi ini juga dia bangun dengan harapan lelaki itu akan menghantar walaupun hanya satu pesanan untuk mengucapkan selamat pagi atau apa-apa. Tetapi hampa. Setiap kali telefonnya berbunyi menunjukkan ada pesanan yang di terima, hanya nama Encik Zack yang tertera.
Hari ini sudah beberapakali lelaki itu menghantar pesanan padanya. Kalau pesanan itu berbaur pertanyaan, dia akan membalas. Jika tidak, dibiarkan sahaja pesanan itu.
Anganan Maisara mati apabila telefonnya berbunyi mengisyaratkan ada satu pesanan yang baru diterima. Flip telefon dibuka. Tertera nama Encik Zack lagi. Maisara memuncungkan bibirnya. Dia menekan punat hijau.

Hai......dah makan tengahari?

Maisara membalas. Abjat-abjat untuk membina ayat di tekan.

Dah.....Encik Zack?

Butang send ditekan lalu satu pesanan yang memberitahu pesanan yang dihantar tiba pun muncul. Tak lama kemudian, isyarat pesanan berbunyi lagi.

Makan apa?

Maisara mengeluh. Rasa malas untuk menjawap soalan ini. Tak ada soalan lain. Bila ditanya, ‘dah makan?’ Akan ada pula soalan ‘makan apa?’ Kemudian pasti ada soalan ‘sedap tak?’
Akhirnya Maisara membiarkan sahaja soalan itu berlalu. Tetapi tangannya masih menggenggam telefon. Hatinya berharap ada satu panggilan dari Fariz. Namun setelah lama menunggu, akhirnya Maisara membuat keputusan untuk menghubungi Maimun.
Sebaik sahaja panggilannya diangkat. Kedengaran suara Maimun memberi salam.
“Umi apa khabar?”
“Alhamdulillah.......Macam mana dengan Sara? Semuanya baik-baik saja?”
“Baik umi.....Aiman macam mana? Merengek tak malam-malam?”
Kedengaran suara keluhan Maimun dari hujung talian.
“Kenapa umi? Ada yang tak kena?”
“Aiman baik-baik saja. Sara janganlah terlalu risaukan Aiman seolah-olah Sara tak percaya dengan umi untuk jaga Aiman pulak.” Ada nada rajuk dari suara itu.
“Eh.....umi janganlah salah sangka. Sara bukan tak percayakan umi. Tapi, bila berjauhan dengan Aiman macam ni, macam-macam yang terlintas di fikiran Sara. Maaf ye umi.....Sara cuma rindukan Aiman....”
“Yelah......umi faham.....hati seorang ibu tak lekang dari kerisauan bila anak hilang dari pandangan. Tapi macam mana risau pun, jangan abaikan suami! Sara dah telefon Fariz?”
“Uh? Hmmm........” Otaknya kosong untuk memberi alasan. Belum sempat dia mereka alasan, Maimun bersuara.
“Sara...... sekejap ye.......” Maimun diam menyepi agak lama.
Maisara masih tertunggu-tunggu di talian. Ke mana umi? Tiba-tiba sahaja perbualan mereka tergantung begitu. Namun Maisara pasti, talian masih belum terputus.
“Sara.....” Tiba-tiba kedengaran suara garau menegurnya di hujung talian.
Fariz......??
“Sara?”
“Hmmm.....” Entah kenapa tiba-tiba sahaja terasa bagai lidahnya kelu untuk membalas panggilan itu.
“Maaf sebab tak hubungi awak! Sebenarnya, saya tunggu awak yang hubungi saya dulu....”
Hmmm? Kenapa perlu tunggu saya yang call?Kenapa bukan awak yang call dulu?
Ingin sahaja dia terus bertanya kenapa. Tapi semuanya hanya terlintas di fikiran sahaja.
“Awak tahu.......bila awak tak de.......bukan saja Aiman, saya juga rasa sepi.....”
Maisara membisu. Dia hanya mendengar setiap bait-bait itu.
“Awak mesti menyampahkan dengar semua ni,kan?!”
Kedengaran Fariz ketawa sinis di balik sana. Langsung tiada respon dari Maisara tetapi dia yakin Maisara masih lagi mendengar. Dia pasti Maisara pasti menganggapnya cuma berbohong.
“Tak kisahlah apa saja pandangan awak, saya tetap nak beritahu yang saya rindukan awak. Walaupun baru kelmarin awak pergi, tapi saya rasa terasing tanpa awak. Kadang-kadang saya rasa cemburu dengan Aiman sebab dia dapat semua perhatian awak. Bila saya sendiri macam ni, saya berharap sangat awak hubungi saya.......tapi sampai sekarang........”
Tiba-tiba sahaja Fariz membisu. Lama. Ayatnya masih tergantung membuatkan Maisara seperti terdesak untuk memaksa Fariz menyudahkan kata-katanya.Hanya hembusan nafasnya sahaja yang kedengaran.
“Bukan saya tak mahu hubungi awak. Cuma saya nak awak hubungi saya dulu. Kalau awak hubungi saya, bermakna saya masih wujud dalam hidup awak. Bermakna panggilan awak adalah iklas dari hati awak.”
Fariz menyudahkan kata-kata yang tergantung tadi.
Maisara menghembuskan nafas. Tatkala ini dia benar-benar tidak tahu untuk berkata apa. Fikirannya kosong untuk membalas setiap perkataan Fariz.
“Saya tahu dengan setiap yang berlaku antara kita, awak berhak untuk membuang saya jauh dari hidup awak. Tapi terima kasih pada Aiman, kerana dia saya dapat awak semula walaupun bukan untuk sepenuhnya. Dan saya harap ada ruang di hati awak untuk maafkan saya dan terima saya semula......”
“Tak semudah itu......” Maisara yang sedari tadi lama membisu bersuara.
“Hati dan perasaan saya dah terlalu sakit! Sakit bila awak dan Kak Su mainkan saya macam ni. Kenapa awak atau pun Kak Su tak pernah berterus terang dengan saya? Kenapa saya perlu tahu bila keluarga awak datang ke rumah untuk meminang Kak Su? Kenapa tak dari awal?”
Fariz terdiam. Kedengaran seperti esakan kecil dari suara Maisara. Kini dia pasti, luka Maisara masih belum pernah sembuh.
“Tapi itu semua cerita lama,kan? Awak dan saya sama-sama tahu kita lakukan semua ni demi Aiman dan demi amanah arwah Kak Su. Dan saya juga tak pernah lupa tentang Ilyana. Sungguhpun Kak Su dah tiada, tapi dalam hati awak kini hanya ada Ilyana, kan?”
“Tak Sara.........”
“Sudahlah Fariz! Saya tak mahu tahu tentang hati dan perasaan awak.........mahupun Ilyana! Yang penting sekarang, dalam hati saya tak mungkin ada awak! Sampai bila-bila kerana saya.......bencikan awak!!”
Fariz terdiam. Telefon bimbitnya direnung lama sebaik sahaja talian diputuskan oleh Maisara. Seperti terbayang-bayang wajah Maisara dengan linangan airmata di skrin telefon.
Maafkan aku Sara. Aku menerima Suhana bukan kerana cintaku telah beralih arah. Cinta mu tidak pernah hilang dari hati ini. Dan hati ini hanya menyintaimu. Apa yang berlaku adalah takdirNya. Kerana sifat insaniah yang ada dalam hati ini aku melakukan semuanya dan menyakiti hatimu......sesungguhnya menyakitimu, adalah sesuatu yang menyakitkan hatiku! Dan aku juga tidak pernah menyintai Ilyana! Tidak pernah!
Seluruh ruang di hati ku hanya dihiasi cinta untuk mu. Taman-taman dalam hatiku menunggu kedatangan mu untuk menyemai benih-benih cinta agar berbunga indah.

Hanya Dia 37

BAB 37
ZACK berlari-lari anak cuba untuk menyaingi langkah Maisara. Bila sahaja dia beriringan dengan Maisara langkah Maisara pula terhenti. Dia agak kaget melihat Zack di sebelahnya.
“Ada apa Encik Zack?” tanya Maisara sambil matanya tak pernah alpa memandang sekeliling kerana khuatir dengan persekitarannya.
Zack yang memahami sikap Maisara yang suka liar memandang sekeliling ketika bersamanya tertawa kecil sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Kamu ni tak sudah-sudah takut dengan kata-kata orang ye.....” ujar Zack dengan nada sindiran.
Maisara mengerling lelaki itu. Encik Zack bisa berkata apa sahaja kerana bukan dia yang perlu menanggung segala tuduhan tentang mereka berdua.
“Ya......bukankah dalam agama juga ada menyatakan perkara-perkara yang yang boleh mendatangkan fitnah walaupun perkara itu hanyalah kecil, maka ianya perlu dielakkan.”
“Saya tahu....” Zack menyeluk kedua-dua tangannya ke dalam kocek seluar. “Tapi yang pasti, kita berada di tempat awam dan bukan secara bersembunyi.”
“Encik Zack ada sesuatu nak bercakap dengan saya?” tanya Maisara langsung untuk mengubah topik mereka.
Zack memberi isyarat agar mereka meneruskan langkah. Mereka berjalan beriringan ke tempat letak kereta. Sebaik sahaja mereka menghampiri Swift biru Maisara, langkah mereka terhenti.
“Saya cuma nak ucapkan selamat pergi dan selamat kembali.”
Maisara tersenyum mendengar ucapan itu. Rasa kelakar mencuit hati namun dia hanya terus mengukir senyuman. Dia hanya perlu menghadiri team building selama dua hari, itupun hanya di Pulau Pangkor. Tetapi Encik Zack sudah mengucapkan kata perpisahan seperti dia mahu pergi ke tempat yang jauh dan dalam jangka masa yang panjang.
“Terima kasih Encik Zack!”
Walau apa pun dia tetap berterima kasih dengan perhatian Encik Zack. Setelah memberi kata perpisahan, Maisara terus berlalu.
“Maisara!”
Langkah Maisara terhenti. Tangannya yang sudah mencapai pintu kereta di letakkan kembali lalu berpaling memandang Zack.
“Kalau tak keberatan, bawa pulang ole-ole untuk saya!”
Tanpa membalas kata-kata itu, Maisara membuka pintu kereta lalu meloloskan diri ke dalam. Swift biru dipandu laju meninggalkan Zack yang masih terpaku memandang swift yang semakin mengecil dan akhirnya hilang di balik selekoh.
Maisara......walaupun cuma untuk dua hari.....aku pasti akan merindui mu. Tatkala ini saja, melihat kau pergi rasa rindu sudah mula hadir di hatiku........

MAISARA memeluk dan mengucup pipi Aiman bertalu-talu. Terasa sukar benar untuk berpisah dengan Aiman. Aiman pula seperti tahu-tahu Maisara akan meninggalkannya. Tak henti-henti dia menangis sambil menarik-narik leher baju Maisara.
“Mama pergi sekejap je sayang ye...... Nanti mama balik, mama bawa hadiah untuk Aiman......” pujuk Maisara. Maisara tahu walaupun Aiman tidak bisa membalas setiap katanya, namun anak itu memahami pasti kata-katanya.
“Mari Aiman.......” Maimun mengambil Aiman dari pangkuan Maisara lalu membawanya ke dalam.
Maisara menyapu airmata yang menitis. Berat benar rasanya untuk meninggalkan Aiman.
“Mari Sara!”
Tangan Maisara di capai dan dia membawa Maisara ke pintu pagar. Swift biru Maisara sudah tersedia di situ.
“Betul awak tak nak saya hantarkan?” tanya Fariz.
Berat rasa hati membiarkan Maisara pergi sendirian. Tetapi kemahuan Maisara perlu dihargai.
Maisara menggelang. Dia sudah berjanji dengan Hanum untuk pergi bersama-sama dengan Hanum ke pejabat. Dari pejabat, bas untuk menghantar mereka ke Pulau Pangkor akan menunggu di sana.
“Tak. Biar saya pergi sendiri. Lagipun, saya nak ambil Hanum dulu,” beritahunya.
Fariz menghembus nafasnya. Sukar benar untuk memujuk Maisara. Jika itu keputusannya, Fariz merelakan. Asalkan dia tahu di mana dan dengan siapa Maisara berada.
“Baiklah kalau macam tu. Sampai sana nanti telefon saya, okey?”
Maisara melirik Fariz sebentar. Walaupun pada asalnya dia ingin menjawap dia tidak mahu namun akhirnya dia mengangguk juga. Tersenyum Fariz melihat anggukan itu.
Bagasi Maisara di angkat Fariz masuk ke dalam bonet. Setelah semuanya siap, dia menghampiri Maisara yang masih bersandar di pintu depan.
“Awak tolong tengok-tengokkan Aiman,” pesan Maisara.
“Awak janganlah risau. Dia takkan apa-apa. Semua orang ada untuk menjaga Aiman!”
Fariz merenung wajah di hadapannya. Walaupun dia tahu dia tidak berhak untuk merasa cemburu apatah lagi dengan Aiman namun adakalanya perasaan itu hadir juga apabila merasakan dia seperti tidak wujud dalam dunia Maisara melainkan Aiman.
“Kalau ada apa-apa awak telefon saya!”
Sebaik sahaja berkata begitu, Maisara menyalami Fariz lalu meloloskan diri di dalam kereta.
Fariz hanya memerhati Swift biru yang berlalu meninggalkannya.
Sara.......bilakah bisa aku hadir dalam hidupmu sekali lagi? Biarpun jauh kau pergi, aku di sini setia menanti......Menunggu kau datang padaku kembali.....

Thursday 19 August 2010

Hanya Dia 36


TERBELIAK biji mata Syarifah Hashima melihat barang yang ditemuinya di dalam tong sampah di yang terletak di dapur itu. Bibirnya diketap menahan rasa marah. Dia mencapai barang bewarna putih yang panjangnya sejengkal tapak tangan dan melihat garisan merah yang berada di tengahnya.
Di benaknya sudah terbayangkan seraut wajah yang tidak asing. Hanya dia yang terlintas di fikiran Syarifah Hashima. Tak mungkin ada orang lain selain dia.
“Nurul! Nurul!” jeritnya sambil langkahnya panjang mencari Nurul Anis.
Nurul Anis yang kebetulan berada di kamarnya sendiri dan baru menyudahkan solat Asar, bergegas melipat sejadah dan telekungnya. Pantas dia melangkah keluar.
“Ya puan!”
Tertunduk Nurul Anis memandang lantai saat berhadapan dengan majikannya itu. Terasa benar pandangan Syarifah Hashima yang tajam merenungnya. Kesalahan apa pula yang dilakukannya kini?
Bergetar jantung Syarifah Hashima. Rasa seperti mahu menikam gadis di depannya itu. Biar apa pun, dia perlu bertanya dahulu dengan tuan empunya badan sebelum membuat tuduhan yang melulu..
“Ni apa? Siapa punya?” Syarifah Hashima menunjukkan barang yang digenggamnya.
Tercengang Nurul Anis melihat pregnancy test yang dipegang Syarifah Hashima. Bagaimana wanita itu boleh menjumpainya? Nurul Anis mengetap bibirnya. Gusar, takut dan pelbagai perasaan lain mula menguasai dirinya.
Terasa air mata mula bergenang di kelopak matanya. Mahu sahaja dia lari dari situ. Tetapi kakinya kaku tidak bermaya.
“Kenapa diam?! Cakap!”
Bagai panahan halilintir Syarifah Hashima memekik di telinganya. Air mata yang bertakung tumpah juga akhirnya.
“Kenapa menangis? Memang betullah ‘benda’ ni kau punya!”
Melihatkan Nurul Anis yang sudah tersedu sedan, membuat Syarifah Hashima bertambah yakin memang pregnancy test itu kepunyaan Nurul Anis.
“Tak guna! Memalukan!”
Bertalu-talu pukulan dihadiahkan kepada Nurul Anis. Tangisan gadis itu semakin kuat sambil tak henti-henti dia merayu kepada Syarifah Hashima agar menghentikan perbuatannya. Tangannya diangkat cuba menghalang setiap pukulan yang singgah di tubuhnya.
Syarifah Hashima yang sudah hilang kesabarannya, terus memukul tubuh kecil milik Nurul Anis untuk melempiaskan marahnya. Dia benar-benar tidak menyangka gadis selembut dan sesopan Nurul Anis sanggup menconteng arang di mukanya.
Nurul Anis seorang gadis kampung yang sudah kehilangan kedua orang tuanya, di ambil bekerja dan dijaganya dengan baik sanggup memalukannya sedemikian rupa!
“Aku jaga kau dengan baik! Ini yang kau balas pada aku!”
Tak henti-henti mulut Syarifah Hashima menengking dan memarahi Nurul Anis. Begitu jugalah tak henti-henti tangannya memukul-mukul tubuh itu.
“Umi! Umi! Sudah Umi!”
Syed Zarkasyi yang baru pulang dari kerja terus menerpa sebaik sahaja mendengar suara uminya yang memekik dan menjerit bagaikan orang gila. Terkejut dia melihat tubuh Nurul Anis yang sudah lemah terjelepuk ke lantai.
“Nurul!”
Tubuh Nurul Anis dipangkunya. Layu mata itu merenung padanya seolah-olah memohon simpati darinya.
“Jangan sentuh dia! Dia perempuan kotor!”
Syarifah Hashima menarik tangan Syed Zarkasyi agar menjauhkan dirinya dari Nurul Anis. Tetapi Syed Zarkasyi menolak.
“Kasihan Nurul, umi!”
Wajah Nurul Anis terus direnungnya dengan pandangan simpati. Lantas tubuh Nurul Anis di angkat dan di letakkan tubuh itu di dalam kamar kecil Nurul Anis yang letaknya di sudut dapur.
“Kita ke klinik, Nurul!” usul Syed Zarkasyi.
Nurul Anis menggelengkan kepalanya. Air matanya menitis ke pipi. Sedih Syed Zarkasyi melihat tubuh yang lemah itu. Air mata Nurul Anis disapunya.
“Nurul tak apa-apa,” Nurul Anis cuba mengukirkan senyuman walaupun dalam keadaan begitu. Dia tidak mahu Syed Zarkasyi merasa susah hati kerananya.
“Zar!”
Tiba-tiba Syarifah Hashima tercongok di muka pintu. Tajam matanya merenung Syed Zarkasyi yang memegang erat tangan Nurul Anis. Syed Zarkasyi yang terkejut, pantas meleraikan genggaman tangannya.
Dia berdiri tegak dan bertentang mata dengan uminya.

SYED HAKIM berdiri tegak sambil kedua tangannya bertemu di belakang. Perkhabaran yang baru didengarinya dari isterinya membuatkan dia pulang ke rumah lebih awal dari selalu. Sepanjang perjalanan dia berfikir dan terus berfikir.
Mundar mandir dia berjalan sambil matanya tak hilang dari merenung wajah sugul Nurul Anis. Tak disangka, gadis yang di sangkanya baik rupanya berperangai iblis!
Nurul Anis yang perasan renungan jijik yang dilemparkan Syarifah Hashima dan Syed Hakim hanya menundukkan kepalanya seolah-olah bersedia untuk menerima hukuman. Tak sanggup rasanya untuk bertentang mata dengan mereka berdua. Apatah lagi di saat ini di mana Syed Hussin dan Syed Zarkasyi juga berada di situ.
“Kita buang saja dia, walid! Tak guna kita simpan perempuan kotor macam ni!” Syed Hussin meluahkan rasanya sambil jelingan tajam dileparkan pada Nurul Anis yang masih tertunduk.
“Hussin!”
Syed Zarkasyi cuba membela Nurul Anis. Kasihan dia melihat gadis itu yang tak sudah-sudah dihina oleh mereka. Dia mula rasa bersalah. Di telan mati emak, di luah mati bapak. Perlukah dia terus berdiam diri begini dan membiarkan Nurul Anis menanggung segalanya seorang diri?
Syed Hussin yang dijerkah abangnya itu terus terdiam. Walaupun rasa tidak puas hati bergunung di dalam diri, namun dia tidak melawan. Bukan kerana dia takut pada Syed Zarkasyi tetapi kerana umi dan walid ada di situ. Dia tidak mahu walid memarahinya kerana melanggar tatasusila mereka yang pantang saudara yang muda meninggikan suara pada saudara yang tua.
“Saya mahu kamu berterus terang dengan saya? Anak siapa yang kamu kandungkan itu?”
Nurul Anis yang sudah tertunduk semakin menundukkan kepalanya. Soalan itu benar-benar membuatkan dirinya terhimpit. Airmatanya semakin mengalir deras. Syed Hakim yang terpacak di depannya tidak dipandang. Takut dia untuk memandang wajah lelaki itu yang sudah berubah air mukanya.
“Kenapa kamu diam?!” Tempik Syed Hakim lagi.
Nurul Anis menutup matanya rapat. Takut dia mendengar suara nyaring Syed Hakim.
“Walid! Sabar walid! Kasihan Nurul!”
Syed Zarkasyi bangun lalu memegang lengan walidnya. Syed Hakim menolak Syed Zarkasyi. Tiada siapa yang bisa menyabarkannya andainya tatasusila yang diwujudkan di rumah ini dilanggar.
“Kamu ni kenapa Zar? Kenapa ayik membela perempuan kotor tu?” Syarifah Hashima menjeling Nurul Anis.
Syed Zarkasyi terdiam. Rasanya tak mampu dia menjawap soalan umi.
“Sejak kamu menjejakkan kaki ke dalam rumah ini, saya dah beritahu kamu adat dan tatasusila yang patut dipatuhi oleh semua penghuni rumah ini tidak terkecuali kamu! Tapi kenapa kamu melanggarnya?!”
Nurul Anis tahu, malah dia tidak pernah lupa tentang adat itu. Walaupun untuk mereka dia bersalah, tetapi kenyataan sebenarnya dia tidak bersalah dan tidak melanggar adat dan tatasusila yang ditetapkan. Kesalahan yang dilakukan hanyalah kerana dia telah jatuh cinta. Jatuh cinta pada seseorang yang tidak sepatutnya dicurahkan rasa cinta itu.
“Saya mohon maaf Tuan Syed!”
“Maaf! Maaf! Mudahkan untuk kamu ucapkan maaf bila sudah melakukan kesilapan?”
Syarifah Hashima yang sememangnya sudah hilang sabar menarik rambut Nurul Anis agar memandang wajahnya.
“Sekarang beritahu siapa bapa kepada anak haram yang kamu kandungkan itu!”
Nurul Anis sudah mengerang kesakitan kerana rambutnya ditarik dengan begitu kuat. Airmatanya semakin mengalir. Bagaimana untuk dia menjelaskan semuanya?
“Anak saya bukan anak haram, Puan!”
Syarifah Hashima sudah melepaskan rambut Nurul Anis. Wajah itu dipandang penuh kebencian.
“Maksud kamu, kamu sudah bernikah?” Syed Hakim bertanya.
Nurul Anis mengangguk sambil kepalanya tertunduk.
“Kalau benar begitu, kenapa kamu rahsiakan? Dan kenapa kamu tidak mahu beritahu siapa bapa kepada anak yang kamu kandungkan?”
“Pasti ada sebabnya walid.....Jangan dipaksa! Kasihan Nurul dan kandungannya!” Syed Zarkasyi memainkan peranan lagi.
“Diam Zar! Kamu jangan masuk campur lagi!” Tengking Syarifah Hashima.
“Nurul, kalau kamu tidak bersalah seperti apa yang kamu katakan dan kalau kamu masih mahu terus tinggal di sini, lebih baik kamu beritahu siapa bapa bayi itu!” Syed Hakim cuba berdiplomasi.
Nurul Anis mengganggam tangannya dengan kuat. Hatinya berbolak balik. Setelah berfikir agak lama, perlahan-lahan Nurul Anis menggelangkan kepalanya. Biar apa pun yang berlaku dia tetap akan merahsiakan siapa suaminya. Begitulah janjinya kepada suaminya yang memintanya agar merahsiakan pernikahan mereka selagi belum sampai waktunya.
Syed Zarkasyi yang sedari tadi hanya memerhati sudah mula merasa sebak. Walau sudah teruk Nurul Anis dihina dan diperlakukan dengan kejam, gadis itu masih tetap menjaga rahsianya. Begitu kental hati wanita ini!
Rasanya sudah sampai masanya untuk dia berterus terang dengan umi dan walid walaupun dia tahu selepas dia membuat akuan, dia tidak akan diterima lagi dalam keluarga ini, dia rela. Rela demi sebuah pengorbanan yang dicurahkan Nurul Anis. Pengorbanan besar Nurul Anis perlu dibayar dengan sebuah pengorbanan juga.

Tuesday 10 August 2010

AH LAN WA-SAHLAN YA RAMADHAN


ASSALAMUALAIKUM......


SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAKH. SYUKUR KE HADRAT ILLAHI KERANA KITA MASIH DIBERIKAN KESEMPATAN UNTUK MENUNAIKAN IBADAH PUASA DAN MENJALANI KEHIDUPAN DI BULAN YANG PENUH PENGAMPUNAN DAN KEMULIAAN INI. SEMOGA UMUR KITA MASIH PANJANG DAN BERTEMU SEMULA DENGAN RAMADHAN YANG AKAN DATANG.


SEMOGA KASIH SAYANG ALLAH MASIH BERSAMA KITA......

Monday 9 August 2010

Hanya Dia 35


BAB 35


MAISARA mengetap bibir menahan perasaan yang terluka di hatinya. Kenapa Ilyana tidak mahu mengerti? Wanita itu sentiasa menyakitkan hati! Setiap kali mereka berjumpa ada saja perkara yang akan menyakitkan hati dilakukan wanita itu.
Foto Aiman yang terlekat di partition ambil dan direnungnya lama. Apa yang dilakukan semuanya demi masa depan Aiman. Bukan Fariz yang menjadi persoalannya sekarang. Tapi Aiman! Mana mungkin dia melepaskan Aiman kepada Ilyana!
“Baguslah kalau macam tu. Walau apa pun terjadi, Fariz tetap akan jadi milik I. Dan I tak suka berkongsi ‘sesuatu’ yang menjadi milik I dengan orang lain. So, you kena bersedia untuk kehilangan Fariz.......dan Aiman!”
Kata-kata itu terngiang-ngiang terus di telinganya. Kata-kata yang menunjukkan betapa bertekadnya Ilyana ingin merampas Fariz darinya. Dia yakin, hanya Fariz yang diinginkan Ilyana tetapi gadis itu begitu pentingkan diri sendiri hingga perasaan orang lain diabaikan. Hanya kerana mahukan Fariz dan tidak mahu berkongsi, dia akan kehilangan Aiman!
Perasaan amarah yang bermukim di hati Maisara bertukar gusar! Bagaimana jika perkara itu benar-benar terjadi? Kenapa sukar benar untuk Ilyana berkongsi kasih dengannya.
Dia rela seandainya kasih Fariz terus diberi pada Ilyana tetapi kasih Aiman.....Dia tidak rela kehilangan Aiman. Namun, apa yang dilihatnya sekarang keadaan lebih berpihak pada Ilyana.
Fariz dan Ilyana saling menyintai. Satu hari nanti mereka pasti akan hidup bersama dan di saat itulah Ilyana akan membuat onar sehingga dia dan Aiman dipisahkan. Pasti itulah yang dirancang Ilyana. Begitulah telahan Maisara.
Jadi apa yang perlu dilakukan sekarang? Memisahkan Ilyana dan Fariz? Patut ke? Tapi bagaimana caranya?
Belum sempat pun Maisara habis berfikir, telefon di atas mejanya berbunyi. Pantas dia menangkat. Tak tahan rasanya mendengar deringan yang membingitkan telinganya.
“Hello......Nusmefa Emas. Selamat petang,” ucapan klise setiap kakitangan di situ.
Kedengaran suara Hanum menyapa dari talian di sebelah sana. Berdekeh-dekeh dia ketawa.
“Apahal kau ni?”
Maisara sudah memotong tawa Hanum. Entah apa saja yang membuatkan gadis itu ketawa langsung tidak diketahui.
“Tak de....aku senang hati sebab nama kita berdua tersenarai!”
Girang sahaja bunyinya. Tetapi dahi Maisara sudah berkerut. Keliru dia dengan kenyataan yang baru di dengarnya tadi. Terdiam dia seketika.
“Kau tu mesti tak buka e-mail ni! E-mail ni baru saja masuk dalam inbox aku dua minit yang lalu. Kalau kau nak tahu, bukalah cepat! Bye!”
Kedengaran berdentum bunyi ganggang diletakkan. Maisara sudah menekan-nekan telinga kirinya yang terkejut kerana hentakkan itu. Dia menggelang kepalanya mengenangkan sikap kalut Hanum itu. Memang begitulah sikap sahabatnya. Kalau orang tidak mengenali Hanum, pasti sudah salah faham dengan sikapnya yang begitu.
Maisara sudah memegang tetikus dan icon ‘e’ yang mewakili internet explorer ditekannya. Laman web yahoo sudah terpampang lalu dia menekan tab sign in untuk masuk ke e-mailnya.
Ya...memang benar kata Hanum. Namanya dan nama Hanum tersenarai sebagai pasukan kedua yang akan menghadiri team building yang dianjurkan Infera Emas selaku syarikat utama. Anak syarikat Infera Emas yang lain termasuk Nusmefa Emas akan menghantar setiap wakil ke aktiviti tersebut yang akan beroperasi di Pulau Pangkor.
Maisara sudah melepaskan keluhan. Nampaknya dia akan berpisah sementara dengan Aiman. Mujurlah hanya dua hari.

ZACK termangu seketika. Fikirannya masih merewang sejak kedatangan Ilyana petang tadi ke pejabatnya. Beria-ia benar wanita itu menawarkan pekerjaan kepadanya di Warisan Syed. Memang dia agak hairan kenapa tiba-tiba Ilyana menawarkan jawatan itu kepadanya. Permainan apakah yang dirancang Ilyana dan Syed Hussin? Bukankah keturunan Syed Zarkasyi telah dibuang dari kaum keluarga Syed Hakim?
Syed Hakim.....nama yang suatu ketika dulu pernah membingit di telinganya. Seandainya boleh, dia tidak mahu mengenang lelaki yang bernama Syed Hakim. Nama itu sudah dibuangnya terlalu jauh. Tapi hari ini bayangan lelaki itu menghantuinya kembali. Terlalu banyak kepahitan yang ditinggalkan lelaki itu dalam hidupnya.
Kenapa Ilyana perlu lagi mengungkit nama Syed Hakim di depannya? Sedangkan Ilyana sudah tahu apa yang berlaku di dalam keluarga mereka. Sejak Ilyana menyebut kembali nama Syed Hakim, perasaan Zack sudah tidak tenang. Apa sahaja yang dilakukan, dia akan terkenangkan lelaki itu.
Dia menatap potret keluarganya di dinding. Melihat pada senyuman arwah kedua orang tuanya, Syed Zarkasyi dan Nurul Anis. Tatkala di jiwanya timbul rasa walang seperti ini, kerinduannya pula merantai pada kedua-dua orang tuanya. Seandainya mereka masih hidup, tentu mereka tahu apa yang perlu dilakukannya. Pasti mereka akan menasihatinya untuk melakukan perkara yang benar dan mengelakkan dari diri dipermainkan.
Dia melirik potret Nurul Anis yang tersenyum memangkunya yang masih kecil tatkala itu.
Ibu......rindu benar rasanya untuk merasa belaian seorang ibu.
Matanya beralih memandang potret Syed Zarkasyi.
Rindu benar rasanya untuk mendengar nasihat seorang ayah....
Senyuman ibunya, Nurul Anis begitu manis sekali. Senyuman yang dihiasi dengan dua lesung pipi di pipi kiri dan kanan. Kerana senyuman itulah Syed Zarkasyi jatuh cinta pada Nurul Anis sehingga sanggup berkorban demi cintanya pada Nurul Anis walaupun cinta mereka dihalang.
Ayah.....besar sungguh pengorbananmu demi cinta suci yang agung....
Zack menghenbuskan nafas kekecewaan. Kenapa cinta ibu dan ayahnya menjadi pertaruhan sehingga mereka tersingkir dari keluarga masing-masing. Begitu pentingkah gelaran Syed dan Syarifah di pangkal depan sehingga cinta mereka berdua dihalang?
Menitis air mata Zack. Mengenangkan kedua orang tuanya yang sudah pergi dijemput Illahi. Ya Allah, tempatkanlah mereka di kalangan orang-orang yang beriman kepadaMu. Doa Zack di dalam hatinya.
Fikirannya merewang teringat pula kepada Maisara. Dia berharap cinta yang bermukim di hatinya pada wanita itu suci dan seagung cinta Syed Zarkasyi kepada Nurul Anis. Cinta yang sejati sehingga di bawa sampai mati.
Maisara bukanlah wanita pertama yang pernah singgah di hatinya. Tetapi, Maisara sangat berlainan dari wanita-wanita yang pernah mendampinginya. Pertama kali dia melihat Maisara, hatinya sudah terusik sehingga dia sanggup memohon pertukarannya ke cawangan yang lain dibatalkan.
Sebelum Maisara ditukarkan ke bahagian kewangan, sudah beberapa kali dia memohon ke pihak atasan untuk bertukar ke cawangan yang lain. Alih-alih bila permohonannya diterima, Maisara muncul.
Hari-harinya kacau bilau sejak kedatangan Maisara dan setelah dia menyedari dia sudah jatuh cinta pada gadis itu, dengan pantas dia memohon terus kepada pihak atasan untuk membatalkan permohonannya.
Di awalnya, pihak atasan tidak membenarkan. Setelah berkali-kali dia merayu baik secara bertulis mahu pun peribadi, barulah permohonannya ditarik kembali. Jika tidak, sudah tentu sekarang dia telah berjauhan dengan Maisara.
Dia sendiri tidak pasti apa lebihnya Maisara sehingga dia bisa menjadi gila mengingatkan gadis itu. Cinta memang aneh. Cinta tidak perlukan alasan untuk jatuh cinta. Hanya.....cinta.....