Showing posts with label HANYA DIA. Show all posts
Showing posts with label HANYA DIA. Show all posts

Monday, 25 April 2011

Hanya Dia 54

PERLAHAN-lahan Maisara melangkah ke dalam kamarnya setelah mengemas kamar Suhana. Dia duduk di birai katil lalu melepaskan satu keluhan berat.

Fariz yang kebetulan baru keluar dari kamar mandi bersiap untuk keluar. Dia melirik Maisara yang terpaku di birai katil dengan wajah yang sugul. Fariz menghampiri Maisara dan duduk di sebelahnya.

“Kenapa ni?” tanya Fariz.

Maisara mengangkat wajah lalu beralih memandang Fariz disebelahnya. Wajah Fariz ditatapnya lama. Ada airmata yang masih bertakung di kolam matanya. Renungan Maisara kelihatan begitu lemah.

“Kenapa ni sayang?” tanya Fariz membalas renungan itu. Dia pasti ada sesuatu yang mengusik emosi isterinya itu.

Tanpa membalas pertanyaan itu, Maisara melentokkan kepalanya ke bahu Fariz. Fariz terkedu seketika namun kemudian dia memeluk bahu Maisara.

“Ada apa ni sayang?”

Pertanyaan dari Fariz sekali lagi dengan perkataan sayang dihujungnya membuatkan airmata Maisara tumpah. Sayu hatinya mendengar. Dia menyembamkan mukanya di dada lelaki itu dan memeluk erat pinggang Fariz disebelahnya.

Fariz terkedu lagi namun dia terus memeluk Maisara dengan erat. Apa yang menganggu emosi Maisara?

Bagaimana harus aku luahkan segala kekesalan di hati ini? Bagaimana untuk aku berterus terang tentang apa yang telah aku ketahui sedangkan kau mahu keadaan lalu dilupakan saja? Begitu mulia hatimu suamiku untuk menjadi ayah kepada anak bukan dari zuriatmu sendiri. Dan untuk itu, aku berjanji aku akan setia berada di sisi mu tanpa kau ketahui yang aku telah mengetahui segala-galanya. Aiman, akan menjadi anakmu sehingga ke akhirnya....Biarlah semuanya menjadi rahsia demi kebahagiaan Aiman.

“Hei.......kenapa ni sayang?” Fariz mengangkat dagu Maisara agar bisa dia memandang mata itu.

Maisara memandang Fariz lalu menyapu airmatanya. Dia mengukirkan senyuman lalu menggelengkan kepalanya menandakan tiada apa-apa yang berlaku. Maisara memerhatikan Fariz yang seakan sudah bersiap untuk keluar.

“Abang nak ke mana?” tanya Maisara.

Ternganga Fariz seketika dengan perkataan ‘abang’ yang ditujukan Maisara untuknya. Tetapi kemudian dia tersenyum. Rasa syukur dipanjatkan di dalam hatinya. Walaupun Maisara tidak menerangkan kenapa tiba-tiba sahaja dia bersikap begitu dengannya, namun dia tetap bersyukur kerana Maisara sudah mahu menerimanya sebagai suami. Biarlah jika Maisara merahsiakan asalkan mereka bisa hidup bahagia.

“Abang ingat nak keluar sekejap,” beritahu Fariz dan membahasakan dirinya ‘abang’ juga.

“Kalau abang keluar, Sara tinggal seoranglah....” ujar Maisara manja.

Fariz tersenyum mendengar suara manja yang sudah lama tidak didengarinya. Begitu dia merindui suara itu. Fariz memandang sekeliling lalu memandang Maisara semula.

“Mana Aiman?” Baru dia sedar Aiman tiada bersama mereka.

“Umi dengan abah bawa Aiman pergi kenduri,” beritahu Maisara. “Kalau abang pun nak keluar, tinggal Sara seoranglah.”

Fariz memandang Maisara sambil tersenyum bahagia.

Syukur padaMu Ya Allah.....Hari ini merupakan hari yang paling bahagia dalam hidupku. Tiada apa yang lebih bererti bagiku selain dari diri ini diterima semula oleh isteri yang sangat ku cintai...

“Kalau macam tu, abang tak jadi keluarlah. Abang temankan Sara.” Tangan Maisara dicapai dan digenggam erat lalu dia mengucup jari jemari itu.

Maisara hanya tersenyum sayu melihat perlakuan Fariz. Dia sedar, selama ini Fariz tentu terluka dengan sikapnya. Tetapi dalam masa yang sama melukai hati Fariz dengan sikap dinginnya, dia juga sebenarnya merasa terluka.

“Sara minta ampun kerana selama ni Sara berkelakuan buruk dengan abang.” Ada airmata yang mengalir.

Fariz menggeleng kepala seraya menyapu airmata yang mengalir.

“Jangan mengangis, sayang. Sara berhak marah pada abang. Sara melakukan itu semua kerana hati Sara terluka.” Genggaman tangan Fariz semakin erat. “Hari ini, abang rasa bahagia sangat. Sangat, sangat bahagia bila Sara sudi memaafkan abang dan terima abang semula.”

“Abang......” Maisara menarik nafasnya. “Sara janji, walau apa pun yang berlaku suatu hari nanti, Sara akan setia berada di sisi abang dan membesarkan Aiman bersama abang. Sara akan tunaikan amanah arwah Kak Su dengan sebaik mungkin. Selama ini, Sara dah banyak sakitkan hati abang dengan sikap Sara sedangkan Sara sendiri tidak tahu punca sebenarnya apa yang berlaku.”

Terharu Fariz mendengar luahan hati itu. Tetapi kenapa Maisara berkata begitu? Hati Fariz tertanya namun persoalan itu dimatikan sahaja. Biarlah, suatu saat nanti jika Maisara mahu menceritakan padanya, dia akan mengetahui juga. Jika tidak, biarlah segalanya menjadi rahsia Maisara. Asalkan Maisara bisa menerima dia semula itu sudah memadai.

Fariz memegang bahu Maisara dan membawa Maisara berdiri bersamanya. Wajah Maisara ditatap lama dengan penuh kerinduan yang bersarang di hati. Kedua-dua tangannya memegang wajah Maisara.



MAISARA tersenyum melihat Fariz yang sudi membantunya di dapur untuk menyediakan makan malam untuk mereka berdua. Terkial-kial lelaki itu memotong buah tembikai untuk dijadikan jus. Hari ini memang merupakan hari bahagia mereka berdua. Segala-galanya indah apabila dia akhirnya menunaikan kewajipannya sebagai seorang isteri.

Selepas menunaikan solat Maghrib berjemaah bersama, Fariz menyatakan kesudiannya menolong Maisara di dapur. Mulanya Maisara ragu-ragu dengan Fariz namun melihatkan kesungguhan Fariz untuk menolongnya, dia membiarkan sahaja. Siapa percaya, Pengarah Infera Emas masuk ke dapur. Maisara tertawa kecil mengingatkan itu.

“Hei......kenapa ni sayang ketawa sorang-sorang ni!” Fariz yang tiba dari belakang terus memeluknya.

“Tak......tak de apa,” ujar Maisara. “Dah siap ke jus tembikai tu?” sindir Maisara.

“Oh mesti! Ingat abang tak pandai ke?” Fariz mencuit hidung Maisara. “Hari ni kita makan di luar, okey?”

“Makan di luar. Habis, yang penat-penat Sara siapkan makan malam ni untuk siapa? Umi dah telefon tadi beritahu diorang akan balik lambat!”

Maisara sudah menarik muncung panjang. Fariz tersenyum mesra. Sudah lama dia tidak melihat muncung panjang itu. Kini dia sedar, sudah berapa lama dia tidak melihat segala-galanya tentang Maisara. Senyuman tawanya, belaian manjanya, rajuknya dan semuanya. Betapa dia merindui Maisara.

“Bukan macam tulah sayang!” Pelukannya dieratkan. “Abang dah siapkan makan malam kita di laman. Semuanya abang dah siapkan!”

Maisara menjungkitkan keningnya. Fariz menyediakan makan malam mereka di laman? Tentu malam ini akan menjadi kenangan yang terindah. Tetapi bila masa pula suaminya itu menghilangkan diri dan sediakan itu semua?

“Kalau hujan nanti macam mana?” tanya Maisara.

“Takkan hujan! Abang dah tengok langit. Ada bulan, ada bintang. Maknanya, malam ni takkan hujan! Believe me!”

Maisara tersenyum. Pelukan Fariz dileraikan. Kemudian dia menyerahkan dua pinggan chicken chop untuk dihidangkan Fariz.

“Makan dah siap, minum dah siap. So, sekarang Sara naik atas, abang nak Sara berdandan cantik-cantik kemudian turun. Biar abang hidangkan semua ni!”

“Betul ke ni?” tanya Maisara, mengusik.

“You still don’t believe me? Believe me, dear! I will do anything for you.” Fariz benar-benar maksudkannya.

“So sweet.....” Hidung Fariz dicuit Maisara dengan manja.

Fariz mencapai dua pinggan chicken chop yang disediakan Maisara. Dia mengambil bau harum itu lalu tersenyum. Seleranya terbuka. Walaupun hanya chicken chop yang disediakan Maisara namun dia kelihatan benar-benar teruja. Chicken chop itu dirasakan begitu istimewa. Mungkin rasa gembira dihatinya yang membuatkan semuanya kelihatan sempurna.

Kemudian dia membawa dua pinggan chicken chop itu bersamanya dan hilang ke laman rumah. Maisara pula terus membawa diri ke tingkat atas.

Alamarinya di buka. Baju-baju yang tergantung diselaknya. Dia memilih-milih pakaian yang sesuai untuk dipakai malam ini. Tiga helai gaun yang berkenan di hati di keluarkan dan diletakkan di atas katil. Setelah mencuba ketiga-tiga gaun itu dia memilih untuk mengenakan gaun ungu gelap separas betis.

Wajahnya disolek ringkas dengan warna yang sesuai dengan gaunnya. Rambutnya yang lurus dan panjang di sikat rapi. Separuh rambutnya diikat dan disepit kemas. Kemudian dia membelek dirinya di dalam cermin. Secalit lip gloss bewarna pink lembut dikenakan untuk sentuhan terakhir. Dia mengukirkan senyuman. Ringkas dan menarik. Setelah berpuas hati dia keluar dan menuruni anak tangga sambil berlagu riang.

Langkahnya terhenti apabila melihat Fariz yang segak memakai jeans hitam dan kemeja T berjenama Guess Sport. Ringkas dan bergaya.

Fariz menghampiri Maisara dan menghulurkan tangannya. Maisara tersenyum lalu menyambut huluran tangan itu. Mereka berdua beriringan melangkah ke halaman. Pinggang Maisara dipeluk erat.

Sampai sahaja di laman, Maisara tergaman seketika sehingga langkahnya terhenti. Di depannya kini terdapat sebuah meja makan yang beralas cantik. Di tengahnya pula diletakkan tiga batang lilin. Hidangan yang disediakan bersama Fariz sebentar tadi tersusun kemas.

Walaupun ringkas namun semuanya kelihatan indah apabila membayangkan mereka akan menikmati makan malam bersama di bawah bintang-bintang yang bertaburan di langit kelam dan hanya disinari cahaya lilin dan bulan. Fariz memang romantik!

“Mari sayang!” Dengan penuh kasih sayang Fariz menggenggam jari jemari Maisara dan menarik tangan Maisara dan membawanya ke meja makan.

Fariz menarik kerusi buat Maisara dan membantunya untuk duduk. Kemudian dia duduk bertentangan dengan Maisara. Gembira dia melihat Maisara yang berseri wajahnya. Wajah yang bersolek sederhana itu kelihatan begitu jelita di bawah sinaran bulan begini.

“Terima kasih abang!” Terharu Maisara dengan setiap layanan dan pengorbanan Fariz selama ini.

“Anything will do for you, sayang!”

Masing-masing menatap wajah dan bertentangan mata. Terpancar sinar kebahagiaan dan kasih sayang yang selama ini terpendam.

Monday, 4 April 2011

Hanya Dia 53

TUAN SYED menyandarkan diri di kerusi. Matanya dipejam sekejap setelah merasa kering dan letih kerana terlalu mengadap fail-fail yang bertimbun di atas mejanya.

Memang hari itu dia sengaja pulang awal untuk berehat. Namun keinginannya untuk berehat sering kali terpaksa dilupakan.

Guruh yang membelah bumi dan cahaya kilat yang memancar-mancar di luar jendela membuatkan Tuan Syed membuka matanya kembali. Dia menyelak langsir. Hujan turun mencurah-curah. Tuan Syed kembali menutup jendela.

Matanya terpandangkan potretnya bersama Syarifah Nurain. Dia mengeluh. Di sebelah potret itu tergantung potret walidnya, Syed Hakim yang kelat dan masam wajahnya. Memang dia akui, walaupun ketika mahu bergambar walidnya itu tidak pernah sedikit pun mengukir senyuman. Wajahnya sentiasa bengis dan tidak mesra. Menurutnya, sikap Syed Hakim memang banyak diwarisi olehnya dibanding abang sulungnya.

Mengingatkan arwah abangnya itu, dia kembali menatap potret isterinya. Pada asalnya, memang abangnya yang akan dijodohkan dengan isterinya itu. Namun, kerana cinta abangnya membawa diri bersama gadis yang dicintai.

Memang dia merasa bertuah setelah merasakan abangnya itu telah dibuang dari keluarga. Namun tuah tidak menyebelahinya. Syarifah Nurain gagal memberikan zuriat lelaki untuknya. Sebaliknya, Syed Zarkasyi dan Nurul Anis pula yang dikurniakan zuriat lelaki.

Sedangkan di dalam rumah ini, seorang zuriat lelaki diperlukan untuk mewarisi Warisan Syed. Setelah lima tahun berkahwin mereka hanya memiliki Syarifah Ilyana sebagai pewaris. Walau dicuba pelbagai cara, namun tanda-tanda Syarifah Nurain hamil lagi tetap tiada. Sehinggalah pada suatu saat, Syarifah Nurain mengidap kanser rahim sehingga menyebabkan isterinya perlu membuang rahim untuk menyelamatkan nyawanya.

Sejak dari itu dia meletakkan jurang antara mereka. Dia sangat kecewa kerana harapannya untuk memiliki zuriat lelaki dan pewaris untuk Syed Hakim tidak kesampaian. Sejak itu dia tahu, Warisan Syed tak mungkin akan diwarisinya. Pastinya walid akan menyerahkan Warisan Syed pada Syed Zarkasyi.

Memikirkan perkara itu, dia telah memberi amaran kepada Syarifah Nurain agar merahsiakan tentang kanser rahim yang dihidapinya dan pembedahan yang telah dijalankan. Dia tidak mahu harapan yang diletakkan Syed Hakim agar mereka berdua dikurniakan zuriat lelaki hancur begitu sahaja. Sudahlah dia sendiri sukar diterima oleh Syed Hakim pada mulanya.

Tuan Syed menarik nafas perlahan. Memang dia jauh hati apabila mengetahui perkara sebenarnya. Kenyataan memang pahit. Lebih pahit jika mengetahui dia adalah anak yang tidak diperlukan dan tanpa sengaja telah lahir ke dunia ini.

Dia mengetahuinya pun ketika itu usianya baru menjangkau tujuh belas tahun. Tanpa sengaja dia terdengar perbalahan antara umi dan walid tentangnya. Memang walid sedang marahkannya kerana pelajarannya yang merosot. Tetapi itu semua berlaku kerana walid juga. Dia sering diabaikan dan dipinggirkan. Sedangkan abangnya sentiasa mendapat perhatian yang lebih dan sering menjadi kebanggaan.

Dalam perbalahan itu, baru dia mengetahui setelah walid dan umi dikurniakan Syed Zarkasyi, mereka berdua telah membuat keputusan tidak mahukan zuriat lagi. Walaupun Syarifah Hashima mengambil pil perancang namun kuasa Tuhan, dia disahkan hamil ketika Syed Zarkasyi berusia enam tahun. Syed Hakim mahukan Syarifah Hashima menggugurkan kandungannya, namun dihalang arwah atuk dan nendanya. Jika tidak, pasti dia tidak wujud di dunia ini.

Sejak dia mengetahui perkara itu, timbullah perasaan bencinya pada Syed Zarkasyi. Memang sedari dulu dia cemburukan kasih sayang yang diterima Syed Zarkasyi namun kerana abangnya itu selalu bersikap baik dan sentiasa menyebelahinya, dia tidak pernah menyimpan rasa dendam. Tetapi, di ketika itu juga perasaan bencinya pada Syed Zarkasyi meruap-ruap.

Dia sangat gembira setelah Syed Zarkasyi dibuang dari keturunan Syed Hakim. Dia sangat berpuas hati. Akhirnya, dia yang akan menjadi kebanggaan dan satu-satunya waris keturunan Syed Hakim. Tetapi kebahgiaannya tidak lama setelah Syed Hakim mendapat tahu yang dia dan Syarifah Nurain tak mungkin memiliki zuriat lagi selain Syarifah Ilyana.

Hatinya begitu sakit di saat dia menemani walid ke rumah Syed Zarkasyi. Mereka ke sana untuk menjemput semula Syed Zarkasyi ke Rumah Warisan. Tetapi syaratnya, hanya Syed Zarkasyi dan Syed Zikri sahaja yang akan dibawa bersama. Nurul Anis tidak dibenarkan menjejakkan kaki ke Rumah Warisan.

Tersenyum lebar dia setelah Syed Zarkasyi menolak untuk kembali ke Rumah Warisan dan meninggalkan Nurul Anis.

Lapan tahun yang lalu, apabila mendapat berita tentang kemalangan yang meragut nyawa Syed Zarkasyi dan Nurul Anis, dia bertambah yakin Warisan Syed akan diserahkan padanya. Namun dia silap! Syed Hakim mencari lagi Syed Zikri dan mangajaknya untuk kembali ke Rumah Warisan. Mujurlah, Syed Zikri yang nampaknya sangat membenci Syed Hakim menolak mentah-mentah. Ketika itu Syed Zikri baru berusia dua puluh tiga tahun. Tetapi api kebencian yang ditunjukkannya sangat mendalam pada Syed Hakim.

Enam tahun berlalu sehinggalah Syed Hakim menghembuskan nafasnya yang terakhir, Warisan Syed masih belum diketahui statusnya. Sebulan selepas pemergian Syed Hakim, dia ke pejabat peguam yang bertanggungjawab menguruskan harta-harta pusaka Syed Hakim.

Menurut wasiat Syed Hakim, untuk mewarisi saham Syed Hakim sebanyak empat puluh tiga persen dan terus menjadi pemegang saham terbesar, dia mahukan Syed Hussin menikah seorang lagi dan dapatkan seorang zuriat lelaki. Setelah bayi itu selamat dilahirkan, isteri keduanya itu perlu diceraikan dan bayi itu perlu diambil dan dipelihara oleh Syarifah Nurain kerana dia tidak mahu menantu selain dari Syarifah Nurain. Seandainya Syed Hussin tidak menceraikan isteri keduanya itu, dia tidak akan menerima apa-apa dari harta peninggalannya melainkan saham yang menjadi miliknya kini iaitu saham Warisan Syed sebanyak lima belas persen.

Seandainya Syed Hussin tidak berbuat begitu, saham Syed Hakim yang sebanyak empat puluh tiga persen akan diserahkan kepada waris berikutnya iaitu Syed Zikri. Mendengarkan wasiat itu, dia menjadi takut. Tetapi dia diberi kesempatan sehingga Syed Zikri berusia tiga puluh lima tahun. Seandainya, Syed Zikri sudah berusia tiga puluh lima tahun dan Syed Hussin masih belum punya waris lelaki, maka saham itu akan diserahkan kepada Syed Zikri.

Tuan Syed mengeluh. Kini cuma tinggal empat tahun sahaja lagi sebelum Syed Zikri berusia tiga puluh lima tahun. Tetapi dia masih belum melakukan apa yang disuruh Syed Hakim. Sekarang, Warisan Syed diambil alih oleh peguam yang diamanatkan untuk menjaga harta-harta Syed Hakim sehingga tiba waktunya. Sahamnya yang sebanyak lima belas persen dicampur dengan saham Syarifah Nurain sebanyak sepuluh persen tidak memungkinkan suaranya di terima dalam setiap mesyuarat yang diadakan.

Dalam tempoh yang singkat ini dia masih berkira-kira untuk melakukan arahan Syed Hakim. Mengapalah walidnya, walaupun sudah meninggal masih mengarahnya untuk melakukan perkara yang tidak jelas. Kenapalah perkara seperti ini perlu berlaku dalam hidupnya?

Tuan Syed memicit kepalanya yang tiba-tiba terasa berdenyut. Dia kembali ke kerusi dan bersandar untuk menenangkan fikiran. Diluar, hujan masih turun mencurah-curah. Entah kenapa tiba-tiba dia merasakan dia memerlukan seorang teman. Dia terasa sunyi dan tertekan. Dia mahu seseorang menemaninya. Dia melirik foto Syarifah Nurain. Kalaulah isterinya itu berada di sisi saat ini, pasti dia tidak keseorangan.

Semuanya salah dia! Tak sepatutnya dia menghukum Syarifah Nurain hanya kerana tidak dapat memberikannya zuriat lelaki. Perlukah dia mengikuti saranan Syed Hakim untuk menikah satu lagi? Tetapi bukankah itu dia akan menghancurkan hidup isterinya itu apabila diceraikan dan bayinya diambil?

Sedang berfikir sendirian, kamar kerjanya diketuk dari luar dan muncul jururawat peribadinya, Suhana dengan senyuman yang manis.

Seperti biasa, Suhana menghampiri dan memeriksa kesihatannya. Tekanannya diambil, degupan jantungnya di dengar. Bau harum dari minyak wangi yang dipakai gadis itu membuatkan Tuan Syed rasa tenang seketika. Terasa jiwanya dibelai dengan haruman itu.

Gadis itu meletakkan ubat di tapak tangannya lalu menyerahkan segelas air kosong bersama senyuman yang mempersonakan. Segala-galanya tampak indah di mata Tuan Syed.

“Awak sangat cantik!” Tuan Syed berbicara romantis.

“Uh?” Terkedu Suhana.

Tuan Syed mendekati Suhana. Suhana yang kebetulan berdiri membelakangi dinding terpaku di situ. Lidahnya kelu apabila Tuan Syed semakin menghampiri.

Kenapa dengan Tuan Syed?

“Makan ubat Tuan Syed?” ujar Suhana lalu menghulurkan tangannya yang berisi beberapa biji ubat yang perlu dimakan lelaki itu. Tuan Syed memandang ubat-ubat itu sekali lalu kemudian pandangannya beralih memandang semula wajah Suhana dengan senyuman yang penuh mengharap.

Suhana menelan air liur beberapa kali. Dadanya berdegup pantas. Langkahnya semakin ke belakang apabila Tuan Syed menghampiri Namun langkahnya mati apabila tubuhnya menyentuh dinding. Tiada jalan untuknya melarikan diri.

Kenapa dengan Tuan Syed?

Satu langkah sahaja dengan Suhana, Tuan Syed menghentikan langkahnya. Dia mengangkat tangan lalu membelai pipi Suhana yang licin itu. Suhana memejamkan matanya. Dia tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Melihat kebisuan Suhana Tuan Syed semakin berani. Kali ini kedua-dua tangannya diangkat dan menyentuh pipi itu.

Tak! Aku tak boleh menyerah begitu sahaja!!

Suhana membuka mata lalu menolak tubuh Tuan Syed. Tuan Syed terkebelakang sedikit. Suhana memandang pintu. Seperti dapat mengagak yang gadis itu akan melarikan diri, dengan pantas Tuan Syed berlari ke pintu. Suhana juga berbuat begitu. Dia mahu menyelamatkan diri. Tetapi Tuan Syed tiba dahulu lalu mengunci pintu itu. kemudian dia berpaling dan menyandarkan tubuhnya di daun pintu sambil melihat Suhana dengan senyuman.

Bibir Suhana terketar-ketar. Apa yang perlu dilakukan kini? Terasa seluruh tubuhnya dingin dan kesejukan. Dia memerhatikan Tuan Syed yang kembali melangkah untuk menghampirinya. Sambil melangkah, satu persatu butang bajunya di buka.

Syikin!!! Mana kau syikin?? Kenapa kau tak sampai lagi??!!

Airmata Suhana mengalir di pipi. Dia memandang ruang kerja yang besar itu. Bagaimana dia bisa melarikan diri?

“Tolong Tuan Syed! Jangan buat saya macam ni?!” Suhana cuba menjauhkan dirinya dari lelaki itu.

Melihatkan respon Tuan Syed yang hanya tersenyum memandangnya, dia yakin Tuan Syed tidak makan dengan rayuannya sebegitu.

“Che Enon!! Tolong!! Syikin!! Che Enon!!! Tolong!!” Jerit Suhana.

Suhana menjerit dan terus menjerit meminta tolong. Namun jeritannya tenggelam dengan dentuman guruh dan hujan lebat di luar sana. Tiada seorang pun yang mendengar jeritannya.



SUHANA berlari dan terus berlari keluar dari perkarangan Rumah Warisan. Dalam kedinginan hujan yang lebat itu dia tetap terus berlari dengan mengharapkan hujan lebat yang turun mencurah-curah itu bisa membasuh tubuhnya yang kotor. Di saat ini dia sendiri merasa jijik dengan dirinya.

Dia berlari dan terus berlari sehingga dia tidak perasankan sebuah kereta sedang meluncur di jalanraya.

Melihatkan cahaya dan bunyi brek yang ditekan kuat, langkah Suhana terhenti. Dia terkedu melihat kereta itu semakin menghampirinya. Dia kaget dan hanya terdiam begitu.

Kereta itu meluncur semakin dekat. Suhana yang kaku di tengah jalan memejam matanya. Namun matanya dibuka kembali apabila merasakan kereta itu sempat berhenti. Memang benar, kereta itu berhenti betul-betul di depannya. Kenapalah kereta itu tidak terus melanggarnya? Alangkah baiknya jika hayatnya sampai di situ sahaja.

Dalam kesamaran cahaya jalan dan cahaya lampu dari kereta itu, Suhana melihat pemandunya. Seraut wajah yang dikenali.

Fariz??



Adikku, itulah yang berlaku pada kakakmu ini. Hanya Fariz sahaja yang bisa membantu kakak sedangkan teman lelaki yang kakak harap-harapkan terus menerus menyalahkan diri ini. Biar pun hatimu terluka, tetapi akak mengharapkan ada sedikit kemaafan darimu buat akak dan Fariz.

Di saat akak menulis lembaran ini, akak dapat rasakan umur akak tidak akan panjang. Berkemungkinan akak juga tidak berkesempatan melihat wajah bayi ini. Seandainya benar gerak hati ini, akak mahu serahkan bayi ini dalam jagaan Sara. Hanya Saralah harapan akak.

Peliharalah bayi akak dengan penuh kasih sayang. Hanya kepada Saralah dapat akak sandarkan harapan. Satu saat nanti, dunia pasti mengetahui siapa bayi akak sebenarnya. Akak mohon, apabila tiba saat itu, Sara berdiri teguh dibelakangnya. Kerana dia akan lemah dengan setiap kata-kata mereka. Akak merayu dan pohon pada Sara, terimalah bayi akak seadanya. Tolonglah.......



Suhana, kakak yang sentiasa menyayangimu.....



“Kak Su......Kak Su......” Maisara menangis tersedu sedan.

Maisara menangis tersedu-sedu sambil mendakap lembaran itu di dadanya.

“Maafkan Sara, Kak Su!!”

Dia menyesali prasangka yang buruknya terhadap Kak Su. Dia tidak menyangka begitu hitam sejarah yang dilalui Kak Su. Jika dia tahu apa yang berlaku, dia sedikit pun tidak akan menyesal sekiranya Fariz memilih Kak Su. Malah dengan rela dia akan melepaskan Fariz untuk Kak Su asalkan Kak Su bahagia.

Namun segala-galanya sudah terlambat. Penyesalannya tidak dapat mengubah apa-apa kerana Kak Su sudah tiada.

Maisara memandang katil yang menjadi peraduan Suhana. Dia memandang katil itu dan membayangkan Suhana sedang berbaring di situ sambil tersenyum memandangnya. Tetapi wajah itu semakin lama semakin menghilang.

Maisara memanjat katil dan berbaring di situ.

“Maafkan Sara, Kak Su.....”

Seandainya dia dapat menatap wajah Suhana buat kali terakhir, dia akan memeluk erat tubuh itu dan memohon keampunan kerana sudah menjauhi Suhana. Tentu selama ini Suhana terkilan dengan sikapnya.

Kini, hanya yang mampu dilakukan adalah menyayangi Aiman dan melindungi anak itu. Dia sedikit pun tak menyangka hati Fariz begitu besar sehingga sanggup memberikan anak itu berbinkan namanya.

Terima kasih Fariz......

Monday, 14 March 2011

Hanya Dia 52

BAB 52


TANGAN Maisara menggenggam erat anak kunci ditangannya. Dia berdiri tegak di depan pintu kamar Suhana. Sejak kamar itu menjadi kamar beradu Suhana dan Fariz, dia tidak pernah menjejak ke kamar itu lagi. Malah, dia tidak pernah terlintas di fikirannya untuk masuk ke situ.

Tetapi malam kelmarin, Maimun telah memberi kunci kamar Suhana dan memintanya untuk mengemaskan kamar itu. Biasanya, Maimun yang akan membersihkan kamar arwah Suhana sebulan sekali. Tetapi Maimun akan menghadiri kenduri kesyukuran bersama Khalid. Jadi dia menyerahkan tugas itu untuk dilakukan Maisara.

Maisara menarik nafas panjang. Anak kunci dimasukkan ke dalam tombol. Dengan lafas bismillah dia menolak daun pintu dan melangkah ke dalam.

Kamar itu kelihatan bersih dan susun aturnya masih belum berubah. Tetap sama ketika kali terakhir dia melangkah ke kamar ini sebelum pernikahan Suhana dan Fariz.

Maisara meletakkan kunci di atas meja lalu memulakan kerja untuk membersihkan kamar itu.

Cadar dan sarung bantal dibuka dan dilipat lalu di letakkan di tepi. Almari kayu dibukanya untuk mengambil cadal dan sarung bantal baru. Maisara memilih dan membelek cadar dan sarung bantal untuk digunakan.

Sedang dia menyelak susunan cadar dan sarung bantal di dalam almari, dia terperasankan sebuah buku yang terselit di antara lipatan cadar dan sarung bantal.

Dia merenung buku itu dan hatinya berkira-kira untuk mengambilnya atau tidak. Namun perasaan yang melonjak-lonjak di dalam hati menyuruhnya untuk mengambil buku itu. Tanpa berfikir lagi buku itu ditarik keluar. Sebuah diari merah berada ditangannya.

Maisara membawa diari merah itu dan duduk dihujung katil. Kulit diari itu dibeleknya. Dengan perasaan yang teruja dan ingin tahu dia membuka dan menyelak terus ke halaman tengah.



9 April 2008.......

Sekali pun tidak pernah terlintas difikiran perkara ini berlaku pada aku. Ya Allah.....apa yang perlu aku lakukan?? Aku buntu!!

Bayi ini......apa yang harus aku lakukan? Banyak kali aku cuba menggugurkannya......Tapi aku tak sampai hati membunuh anakku sendiri walaupun bayi ini tidak ku pinta! Dia tetap anakku!

Kalau aku terus membiarkannya membesar di dalam rahimku.....argh!!!! pasti masyarakat akan menghina keluargaku!!!

Ya Allah!!! Ujian ini terlalu berat untukku. Bagaimana untuk aku hadapinya. Aku bisa kuat jika maruahku dinodai. Tetapi kenapa perlu Kau menambahkan bebanku dengan kandungan ini??!!

Maisara menyelak beberapa muka surat ke depan lagi.



13 April 2008



Sara......Maafkan akak kerana menghancurkan impian indahmu. Akak tak mampu menolak pertolongan Fariz. Hanya itu satu-satunya jalan untuk menyelamatkan maruah keluarga kita dan bayi ini.

Kalau akak seorang sahaja yang di hina dan dicerca, akak sanggup. Tetapi keluarga kita juga akan terkena tempiasnya kalau akak tidak menerima pertolongan Fariz. Bayi akak akan merana seumur hidupnya!

Zack, sampai hati kau tidak mempercayaiku. Setelah bertahun-tahun kita bersama, rupanya kau masih belum benar-benar mengenaliku! Aku tak mungkin berlaku curang padamu. Apa yang berlaku bukan kehendakku! Aku benar-benar mengharapkan kabahagiaan kita bersama. Tetapi apalah gunanya jika kau tak bisa menerima bayi ini....

Anakku, tabahlah.....kerana ujian yang lebih getir akan mengekori dalam setiap langkahmu. Ibu akan sentiasa mendoakan agar kecekalan dan ketabahan akan kukuh dihatimu, anakku.......



Kak Su dinodai? Bermakna......Kak Su hanyalah mangsa keadaan?

Maisara memberhentikan bacaannya. Rasanya dia perlu lebih keberanian untuk terus membaca. Pasti pelbagai lagi kejutan yang akan terkandung di dalamnya. Dia menutup diari itu. tanpa disangka sepucuk surah terjatuh di atas ribaannya.

Sampul yang berwarna merah jambu dan tertulis ‘Buat Maisara’ di depannya di belek Maisara.

Surat ini untukku....??

Dengan perasaan yang berbelah bahagi, Maisara mengoyak sampul dan menarik lembaran di dalamnya. Lipatan lembaran itu di bukanya.

Helaian pertama dibacanya dengan linangan airmata.....



Salam buat adik kesayanganku.........

Pertama sekali akak mohon ampun dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Akak juga mohon adik ampunkan Fariz. Bukan niat kami untuk menghancurkan perasaanmu adikku. Ketahuilah adikku, Fariz sangat menyintaimu. Adik beruntung kerana lelaki sebaik dan sesempurna Fariz sangat sayangkan adik.

Lembaran ini bukanlah bertujuan untuk mengganggu emosimu. Untuk meleraikan kekusutan di fikiranmu, lembaran ini bertujuan untuk menceritakan segala-galanya yang terjadi pada akak sehinggakan akak sanggup menghancurkan kebahagiaanmu. Dan akak berharap selepas ini, ada kemaafan darimu, adikku.....



SUHANA yang merupakan jururawat peribadi yang dihantar oleh Doktor Helmi telah ditugaskan untuk menjaga seorang pesakit yang sudah separuh umurnya dan mengalami sakit jantung. Hampir tiga bulan setelah tamat latihan di hospital kerajaan, dia diterima bekerja dengan Doktor Helmi yang mempunyai sebuah klinik dan dalam masa yang sama Doktor Helmi juga bekerja di hospital swasta.

Jika pihak hospital memerlukannya, mereka akan menghubunginya. Jika tidak, biasanya dia hanya di klinik merawat pesakit yang biasanya juga berisiko untuk mendapat serangan jantung. Doktor Helmi merupakan seorang pakar sakit jantung dan bercita-cita untuk membuka hospitalnya sendiri.

Sudah sebulan Suhana berada di banglo besar itu dan menjaga pesakit Doktor Helmi. Kali pertama Suhana melangkah ke dalam banglo ini hatinya berdebar-debar kerana inilah pertama kali dia ditugaskan untuk menjadi jururawat peribadi kepada orang kaya itu.

Satu pengalaman yang sukar dilupakan saat kakinya menjejak kawasan rumah mewah itu. Banglo itu memang cantik dan sangat mengagumkan tetapi dari pandangan yang lain banglo itu boleh diibaratkan seperti sangkar emas.

Walau baru sebulan dia di situ, dia dapat merasakan kesunyian dan kesepian di setiap isi rumahnya. Di sana juga terdapat ramai pekerja tetapi para pekerja tidak bisa bergerak bebas tanpa arahan dari tuannya. Rumah mewah yang didengarinya dari perbualan pekerja di situ sebagai Rumah Warisan itu, sangat menyentuh jiwanya. Setiap kali berada di situ, serta merta jiwa Suhana akan menjadi sayu. Sayu pada kesepian, sayu kerana ianya terhias indah tetapi tidak terhias bersama bahagia.

Itulah firasat Suhana. Malah menurut cerita pekerja di situ, Tuan Syed yang menghuni di Rumah Warisan mempunyai seorang anak perempuan yang tinggal berasingan dengannya. Isteri Tuan Syed pula sering keluar negara meninggalkan suaminya.

Kata mereka lagi, isteri Tuan Syed baik dan lemah lembut orangnya, namun kerana tidak tahan dengan sikap baran Tuan Syed isterinya itu kerap membawa diri. Sikap Tuan Syed semakin dingin dengan isterinya apabila isterinya itu masih belum bisa memberi zuriat lelaki untuknya.

Pernah juga beberapakali isterinya mengajaknya untuk keluar melancong bersama, tetapi Tuan Syed sering menolak. Apa yang penting untuk Tuan Syed adalah kerjayanya dibandingkan dengan keluarganya sendiri. Mungkin kerana bosan dengan keluarganya yang suka membawa diri masing-masing, akhirnya anak perempuannya juga meninggalkan rumah itu dan tinggal sendirian. Anak perempuannya itu juga sering berkecil hati dengan Tuan Syed kerana kurang diberi perhatian semata-mata kerana dia adalah anak perempuan.

Namun sesekali ada juga anak perempuan mereka datang ke Rumah Warisan. Tetapi biasanya jika dia datang, Tuan Syed jarang menghabiskan masanya dengan anak perempuannya itu. Jika isterinya ada di rumah, hanya si ibu itu yang melayani anaknya.

Entah apalah nak jadi dengan dunia sekarang. Manusia zaman sekarang sudah tidak ambil peduli tentang orang lain walaupun anak sendiri. Masing-masing begitu pentingkan diri. Mujurlah dia memiliki keluarga yang bahagia. Walaupun sederhana tetapi cukup sempurna.

Seperti biasa pagi itu Suhana ke Rumah Warisan. Sampai sahaja di sana dia terus melakukan rutin hariannya.

Dia ke kamar yang disediakan untuk keperluannya dan rakan sekerjanya, Syikin yang juga merupakan jururawat peribadi Tuan Syed. Tetapi Syikin hanya menjaga Tuan Syed dari jam enam petang hingga keesokan pagi. Pagi esokknya, dia akan mengambil alih semula tugas menjaga Tuan Syed dari Syikin.

Setelah mengambil ubat-ubatan yang perlu diberikan untuk Tuan Syed, dia meletakkan di dalam dulang dan terus meluru ke kamar mewah yang terletak di tingkat atas.

Belum sempat kaki memanjat anak-anak tangga, Che Enon, tukang masak di rumah itu menahannya.

“Tuan ada di bilik kerja!” beritahunya.

Suhana mengangguk lalu mengucapkan terima kasih. Langkahnya diatur ke kamar kerja Tuan Syed yang terletak di sebelah ruang tamu. Tuan Syed memang kerap menghabiskan masanya di kamar kerja itu. Kadang-kala dia sering melihat Tuan Syed tertidur di kamar kerja semalaman. Entah apalah yang difikirkan lelaki itu. tiadakah ruang rehat dalam kamus hidupnya?

Setelah mengetuk pintu beberapakali, Suhana melangkah ke dalam. Dia mengetap bibir melihat Tuan Syed yang sedang terlena di meja kerjanya.

Suhana meletakkan dulang ubat-ubatan di kabinet tepi lalu dengan perlahan mengejutkan lelaki itu. Tentu Tuan Syed melakukan kerja hingga lewat malam sehingga tertidur di situ. Dia melirik sekejap jam ditangan yang menunjukkan angka lapan. Sekali lagi dia mengeluh.

Memang dia sedikit kesal dengan cara hidup penghuni Rumah Warisan ini. Adakalanya kerana terlalu mengejar dunia sehingga mereka mengambil mudah amalan yang wajib. Kalau jam sebegini masih belum bangun dari tidur, pastinya Tuan Syed juga tidak bangun untuk bersolat pagi tadi.

Sebelum syak wasangkanya kian berlanjutan, Suhana beristighfar lalu kembali mengejutkan Tuan Syed.

Pantas Suhana menginjak ke belakang sedikit setelah dia melihat Tuan Syed sudah membuka matanya. Dalam keadaan mamai Tuan Syed mengangguk padanya.

Melihatkan anggukan itu, Suhan meneruskan rutinnya dengan mengambil tekanan dan mendengar degupan jantung Tuan Syed. Setelah menulis sesuatu dalam buku laporannya, Suhana kembali dengan membawa dulang ubat-ubatan yang perlu dimakan Tuan Syed pagi itu.

Tetapi kemudian langkahnya terhenti apabila menyedari sudah pastinya Tuan Syed masih belum mengambil sarapan paginya.

“Tuan Syed tunggu sekejap nanti saya minta Che Enon bawakan sarapan untuk Tuan Syed.”

“Tak perlulah! Saya tak ada selera nak makan. Biar saya bersihkan badan dulu. Nanti saya sarapan.”

“Maaf, Tuan Syed. Tapi Tuan Syed perlu mengambil ubat mengikut waktu. Kalau Tuan Syed tak mahu bersarapan dulu, nanti saya bawakan milo dulu ye. Lepas makan ubat, Tuan Syed boleh naik ke atas dan bersihkan diri,” cadang Suhana.

Melihatkan anggukan Tuan Syed pantas Suhana menghilang dan muncul kembali bersama segelas milo ditangannya. Milo itu diserahkan kepada Tuan Syed. Setelah habis segelas milo itu, satu persatu ubat yang perlu diambil diberi pada Tuan Syed untuk dimakan bersama segelas air kosong.

Setelah itu Tuan Syed terus meninggalkan kamar kerjanya dan naik ke kamarnya untuk membersihkan diri. Suhana mengemas meja Tuan Syed yang bertaburan dengan fail. Memang itu bukan kerjanya, namun kerjanya adalah untuk menjaga dan memastikan Tuan Syed dalam keadaan baik. Secara tak langsung dengan membantu meringankan kerja Tuan Syed bermakna dia telah menjaga Tuan Syed seperti yang diperintahkan Doktor Helmi.

Kemudian, dia membawa dulang ubat-ubatan itu keluar dan menyimpannya semula. Langkahnya diatur menuju ke dapur. Tugasnya di rumah itu juga adalah untuk memastikan pengambilan makanan Tuan Syed mengikut diet seimbang yang disediakan Doktor Helmi. Jadi setiap pemakanan Tuan Syed harus dijaganya.

“Sarapan apa pagi ni Che Enon?” tanya Suhana.

Che Enon tersenyum sumbing dengan raut wajah bersalah. Berkerut kening Suhana.

“Pagi ni Che Enon buatkan nasi lemak untuk Tuan Syed....” Malu-malu dia berkata. “Sebenarnya, Tuan Syed yang minta Che Enon buatkan nasi lemak. Teringin agaknya.”

“Nasi lemak?” Suhana mengeluh. “Okey.....tapi jangan bagi Tuan syed makan banyak ye. Tak bagus untuk kesihatan dia. Bukan saja dia, kita yang tak sakit ni pun tak boleh kerap-kerap makan nasi lemak, tau!”

“Faham Su....” Che Enon tersenyum. Lega hatinya kerana Suhana tidak marah padanya.

“Che Enon letak sikit je tau!” Tegas Suhana. “Lepas tu, bancuhkan oat untuk Tuan Syed ye...”

“Baik Su!” Turut Che Enon tanpa banyak soal.

Che Enon menghidangkan sarapan di atas meja sebaik sahaja melihat Tuan Syed sudah kembali dari tingkat atas.

“Mari sarapan bersama saya!” ujar Tuan Syed sehinggakan ucapan yang kedengaran biasa itu membuatkan Suhana terbeliak biji matanya dan Che Enon tergamam.

“Kenapa? Ada yang tak kena?” Tuan Syed memandang Suhana dan Che Enon silih berganti.

Suhana menggeleng dan Che Enon terus berlalu ke dapur semula.

“Mari....” pelawa Tuan Syed sekali lagi. Suhana menggeleng.

“Tak mengapa, Tuan Syed. Saya dah bersarapan,” tolak Suhana.

Tuan Syed mengangguk lalu menikmati sarapannya sambil diperhatikan Suhana yang berdiri di sisinya.

Satu perkara ajaib buat Suhana apabila Tuan Syed mempelawanya duduk bersarapan bersama. Selama sebulan berada di sini belum pernah Tuan Syed mengajaknya atau mana-mana pekerja untuk duduk semeja dengannya. Biasanya, dia hanya akan berdiri di sebelah Tuan Syed untuk menemani lelaki itu menikmati hidangannya.

Usai bersarapan, Suhana mengikuti Tuan syed ke pejabat. Memang sudah menjadi tugasnya untuk mengikut ke mana sahaja Tuan syed pergi untuk memastikan kesihatan Tuan Syed terjaga.

Biasanya di pejabat, ketika Tuan Syed sibuk dengan kerjanya, dia akan menghabiskan masa di perpustakaan yang berada di dalam pejabat itu. Bila sampai waktu untuk dia memeriksa Tuan Syed, baru dia akan ke kamar kerja lelaki itu atau bila-bila masa dia diperlukan Tuan Syed, dia akan segera ke sana.

Jam enam petang, Syikin masih belum menampakkan batang hidungnya. Lima minit kemudian, dia menerima pesanan dari Syikin yang memberitahu dia akan terlewat sedikit. Dia akan datang jam lapan malam nanti namun sebabnya tidak dinyatakan. Malang benar nasib Suhana. Dia baru berniat untuk pulang dan singgah di kompleks sekejap.

Suhana dihubungi pembantu peribadi Tuan Syed. Setelah itu dia terus ke kamar kerja Tuan Syed. Tuan Syed mahu pulang lebih awal pada hari itu. Biasanya selagi angka tidak menunjukkan angka lapan malam, lelaki itu masih belum mahu berganjak pulang dan kemudian meneruskan kerjanya di rumah. Tetapi hari ini, lelaki itu mahu pulang lebih awal.

Tanpa banyak soal, Suhana pulang ke Rumah Warisan bersama Tuan Syed. Dalam perjalanan pulang Suhana memberitahu tentang kelewatan Syikin dan dia akan menggantikan Syikin sehingga jururawat itu tiba di Rumah Warisan.

Setelah melaporkan pada Tuan Syed tentang kelewatan Syikin, Suhana kembali ke ruangan ubat. Sementara menunggu untuk memeriksa Tuan Syed sekejap nanti, dia mengambil kesempatan untuk memeriksa setiap ubatan dan multivitimin yang disediakan Doktor Helmi. Dia masih baru dalam bidang ini, jadi walaupun dia telah menamatkan pengajian dia tetap perlu belajar.

Sedang ralit membaca label di setiap botol, Suhana sedikit terkejut apabila mendengar jam dinding berbunyi tujuh kali. Dia beristigahfar sebentar. Sekejap lagi waktu Maghrib akan menyusul. Jadi dia terus ke dapur mencari Mak Enon.

Biasanya Che Enon dengan senang hati untuk membenarkan mereka tumpang membersihkan diri dan bersolat di bilik kecilnya. Setelah meminta keizinan, Suhana terus membersihkan diri dan dan bersolat setelah sampai waktunya.

Usai mengerjakan yang wajib, dia kembali ke bilik ubatan. Dia mengatur ubat-ubatan dan mengambil peralatan yang perlu dan melangkah untuk ke kamar kerja Tuan Syed setelah mendapat tahu Tuan Syed berada di situ.

Namun secara tak sengaja dia terlanggar bucu kabinet sehingga membuatkan botol-botol ubat yang berada di dalam dulang bertaburan. Jantung Suhana tiba-tiba sahaja berdegup kencang. Satu perasaan aneh menyelinap. Setelah beristighfar beberapakali dan memujuk hati untuk tenang, dia kembali mengutip botol-botol yang bertaburan.

Entah mengapa dia merasakan ada sesuatu yang buruk bakal berlaku. Dalam hati, dia bermohon pada Tuhan agar sentiasa melindungi mereka sekeluarga.

Thursday, 3 March 2011

Hanya Dia 51

BAB 51


TANGAN Maisara menepuk lembut bahu Aiman untuk menidurkannya. Sambil melagukan zikir-zikir munajat, matanya tidak lekang memandang Fariz yang sedang membaca di beranda.

Setelah mata Aiman terpejam rapat, Maisara mengambil bantal dan menyekat di sekeliling katil, agar Aiman tidak akan terjatuh ke bawah. Dengan perlahan dia turun dari katil dan menghampiri Fariz. Kerusi yang kosong bersebelahan Fariz diisinya.

Fariz mengerling Maisara yang baru melabuhkan punggung di tepinya.

“Awak masih nak berahsia dengan saya?” tanya Maisara.

Fariz menarik nafas dan menghembusnya perlahan. Buku di tangannya ditutup. Dia sendiri tidak pernah terfikir untuk mengungkit kisah silam. Baginya, apa yang terjadi hanyalah sejarah dan takdirNya. Maisara tidak perlu mengetahui apa-apa. Cukuplah sekadar kalau isterinya itu bisa memaafkan dan menerimanya semula.

“Kalau benar saya tak pernah hilang dari hati awak, saya nak tahu kenapa awak nikahi Kak Su?” tanya Maisara dengan penuh sebak di dada. Dia benar-benar berharap agar Fariz bisa berterus terang dengannya.

“Cukuplah kalau awak tahu itu dah jodoh saya dengan dia. Tak perlulah diungkit kisah lalu.....”

Jawapan Fariz memang menghampakan. Kenapa sukar benar untuk Fariz memberitahu sebabnya kenapa dia perlu menikahi Kak Su. Dia tahu dan dia pasti, setelah berjumpa dengan Encik Zack, dia amat yakin Fariz menikahi Suhana kerana untuk menjaga maruah Suhana. Tapi kenapa? Kalau Kak Su yang bersalah kenapa dia yang perlu merana seorang diri setelah Fariz memutuskan untuk bersama Kak Su?

“Awak tahu, setiap kali saya lihat dan tenung wajah Aiman......Saya rasa sesuatu,” ujar Maisara. “Saya tak nampak wajah Kak Su atau mana-mana saudara saya. Raut wajah dia ikut mana-mana famili awak ke?”

Terkedu Fariz seketika dengan soalan itu. Maisara melirik wajah yang sedikit terkejut itu. Selama ini memang dia tidak pernah mengesyaki apa-apa. Tetapi sejak Hanum menegurnya tempoh hari, barulah dia terperasankan hal ini.

“Kenapa awak tanya macam tu? Penting sangatkah raut wajah seorang anak untuk mengikut wajah ibu bapa?”

No.....bukan macam tu! I’m just curious!” Maisara menjeling lalu bangun dan meninggalkan Fariz.

Kenapa tiba-tiba Maisara membangkitkan isu itu? Kening Fariz berkerut. Dia mengetahui sesuatu ke? Fariz mengeluh. Dia bangun lalu berdiri di beranda.

Malam yang pekat dan kelam itu ditenungnya. Setitik air jatuh ke tangannya. Setitik lagi dan beberapa titik lagi. Kemudian, hujan renyai-renyai mula menitik terus ke bumi. Fariz mencapai bukunya lalu melangkah ke dalam kamar. Pintu gelonsor di tutupnya rapat.

Dia menghampiri Aiman yang sudah nyenyak mengulir mimpi. Hujan diluar semakin lebat. Fariz tertunduk memandang lantai. Di saat hujan lebat beginilah, segala-galanya bermula. Sejak itulah dia terperangkap di dalam situasi sekarang.



DALAM kepekatan malam dan hujan lebat yang turun mencurah-curah, Fariz tetap meredah dengan keretanya untuk pulang ke rumah setelah usai menghadiri mesyuarat sebentar tadi.

Sedang memberi tumpuan dalam pemanduannya, telefonnya berbunyi menandakan satu pesanan ringkas di terima. Dia pasti, pesanan ringkas itu pasti datangnya dari Maisara. Dengan mata yang masih memandang jalan, dia meraba-raba poket seluarnya lalu mencapai telefon.

Tangannya menekan punat-punat telefon untuk membaca pesanan ringkas itu. Sesekali matanya terarah antara jalan raya dan telefon di tangannya. Tersenyum dia membaca pesanan yang sememangnya datang dari Maisara.

Namun senyumannya berakhir di saat dia terlihat bayang-bayang melintas di depannya. Dengan terkejut dan kaget, dia menekan brek. Mujurlah ketika dia menyedari bayang itu, bayang itu masih jauh. Dalam keadaan hujan dan jalan yang licin keretanya sempat berhenti betul-betul di depan susuk tubuh yang terhenti di tengah jalan.

Lampu keretanya yang menyala dalam kepekatan malam itu, menunjukkan jelas wajah seorang gadis yang dikenali dalam keadaan yang tak terurus dan masih berpakaian seragam kerja yang serba putih itu. Gadis itu kebasahan dalam hujan yang lebat.

“Suhana.....” Walaupun kelam dan cahaya disinari cahaya lampu keretanya, dia masih bisa menangkap wajah yang kusut itu.

Melihat sahaja Suhana dalam keadaan begitu, dia meluru keluar dan mendapatkan Suhana dalam hujan lebat itu.

“Su.....kenapa Su??” tanyanya sambil kedua tangannya memegang bahu Suhana.

Dengan wajah yang sugul dan rambutnya yang basah menutupi hampir separuh wajahnya, dia melirik Fariz lalu menangis.

“Tolong aku Fariz!” dia merintih.

“Mari!” Fariz membawa Suhana masuk ke tempat duduk sebelahnya. Kemudian dia berlari kembali masuk ke tempat pemandu.

Fariz mencapai kot di yang tergantung di tempat duduk belakang lalu menutupi tubuh Suhana yang kebasahan. Dia mematikan penghawa dingin kerana kesejukan. Bajunya yang basah membuatkan dirinya kedinginan.

“Kenapa Su? Apa yang dah berlaku?” tanya Fariz kembali. Pelik, tiba-tiba sahaja Suhana muncul entah dari mana dalam keadaan begitu.

Tanpa menjawap soalan dan menerangkan apa-apa, Suhana terus menangis dan menangis. Akhirnya, dia membawa wanita itu pulang ke rumah temannya.

Setelah meninggalkan Suhana di rumah temannya, dia cuba untuk menghubungi Maisara dan menerangkan apa yang baru berlaku sebentar tadi. Namun niatnya dimatikan setelah mengingatkan kembali pesanan Suhana agar merahsiakan pertemuan mereka di malam itu dari sesiapa jua.

Seminggu selepas itu, ketika dia terserempak dengan Suhana di sebuah kedai makan, dia menghampirinya. Kebetulan ketika itu Suhana bersendirian. Wajahnya benar-benar kelihatan lesu dan kelihatan seperti dia sedang menanggung beban yang berat.

“Sebenarnya, apa yang terjadi pada kau malam tu?” dia bertanya lagi tentang kejadian itu.

Seperti malam itu juga, bertanya sahaja soalan itu Suhana terus mengalirkan airmata. Tetapi kali ini dia seakan-akan cuba mengawal dirinya. Mungkin kerana mereka berada di tempat awam.

Tanpa menerangkan apa-apa, Suhana terus berlalu meninggalkannya terpinga-pinga di situ. Ingin sahaja dia bertanya pada Maisara sama ada gadis itu tahu tentang masalah Suhana. Tetapi setiap kali dia bertemu Maisara, gadis itu kelihatan ceria dan seperti tiada apa-apa yang berlaku padanya atau keluarga mereka. Kerana itu dia mendiamkan diri dan tidak pernah bertanya apa-apa tentang Suhana.

Dua hari selepas itu dia membawa Siti, setiausahanya ke klinik ibu mengandung. Wanita itu mengalami pendarahan ketika mereka sedang berbincang tentang hal kerja. Walaupun ada pekerja lain yang menawarkan diri untuk membawa Siti yang ketika itu mengandung lapan bulan, tetapi dia mahu membawa sendiri Siti ke klinik. Dia mahu memastikan Siti selamat dan sempat dia berpesan kepada pekerjanya agar mengubungi suami Siti dengan segera.

Setelah Siti di bawa masuk ke dalam wad dan suaminya telah tiba, Fariz berlalu untuk keluar dari situ. Ketika itulah dia melihat Suhana di situ.

Suhana pada mulanya tidak menyedari kehadiran Fariz. Setelah dia terlihat wajah Fariz, bergegas dia keluar. Kerana perasaan tidak enak sudah membelengunya sejak malam itu, Fariz mengekori langkah Suhana sehingga gadis itu mengalah dan berhenti dari melarikan diri.

Sekali lagi dia bertanya soalan yang sama dan bertanya tujuan Suhana ke klinik itu.

Dengan tangisan yang masih lagi kedengaran, akhirnya Suhana menerangkan juga keadaannya yang sebenar.

“Aku datang ke sini untuk mengugurkan kandungan aku!”

Tercengang Fariz tatkala Suhana berkata begitu. Setelah itu barulah Suhana mahu menceritakan satu persatu kejadian hitam yang menimpanya di malam itu.

Suhana diperkosa! Berkali-kali Fariz mendesak agar Suhana melaporkan perkara itu ke pihak polis. Tetapi Suhana keras menolak, bukan hanya kerana dia malu tetapi demi kerana maruah keluarganya juga. Dia mengambil keputusan untuk menggugurkan kandungan yang baru berusia dua minggu itu ketika itu.

Fariz melarang tetapi melihatkan kesungguhan Suhana akhirnya dia membuat keputusan untuk memperisterikan Suhana. Mulanya Suhana menolak kerana dia tidak sanggup meruntuhkan kebahagiaan adiknya sendiri. Tapi setelah dipujuk dan ditegaskan Fariz tentang keputusannya, Suhana bersetuju juga.

Bagi Fariz, dia tidak pernah menyesal dengan keputusan yang diambilnya. Malah dia cukup bahagia memiliki Aiman sebagai anaknya. Kerana Aiman juga dia bisa mendapatkan Maisara kembali. Biar beribu tahun, dia pasti cinta Maisara akan kembali padanya. Pasti!!

Monday, 21 February 2011

Hanya Dia 50

BAB 50


DIA telah membuat keputusan nekad. Sejak malam hari itu, sesudah mereka pulang dari supermarket, fikirannya tidak bisa tenang. Fariz juga sentiasa mengelak apabila dia bertanya punca tentang pergaduhannya dengan Encik Zack.

Maisara memusing stereng kereta memasuki kawasan tempat letak kereta di Warisan Syed. Dia tahu, mungkin dia tidak sepatutnya membuat keputusan yang terburu-buru. Namun persoalan di hatinya merayu sedikit jawapan untuk ketenangan. Apatah lagi apabila kononnya maruah seorang gadis dipertikaikan. Mungkinkah gadis yang dimaksudkan itu adalah arwah Suhana? Itulah yang menjadi persoalan di hati.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke ruangan hadapan Warisan Syed dia disambut dengan senyuman oleh penyambut tetamu di pintu depan.

“Boleh saya jumpa dengan Encik Zack?” lembut suara Maisara bertanya.

“Nama cik?”

“Maisara!”

“Tunggu sekejap, cik,” gadis berkemeja putih dan berseluar slack biru mengangkat ganggan telefon lalu berkata sesuatu. Kemudian dia meletakkan ganggang semula. Pandangannya beralih memandang Maisara di depannya.

“Cik boleh masuk ke dalam. Cik jalan terus. Bilik Encik Zack yang paling hujung sekali,” gadis itu memberitahu.

“Terima kasih,” ujar Maisara sambil menundukkan sedikit kepalanya tanda hormat lalu dia melangkah terus ke tempat yang diberitahu gadis di kaunter tadi.

Sampai sahaja di depan pintu yang terlekat nama ‘SYED ZIKRI BIN SYED ZARKASYI’ terus sahaja Maisara mengangkat tangan dan mengetuk pintu.

“Maaf cik,” Maisara ditegur satu suara yang datang dari arah belakang. Dia menoleh. Kelihatan seorang gadis yang berbaju kurung merah jambu tersenyum padanya.

“Cik nak jumpa dengan Encik Zack?” tanya gadis itu.

“Ya....” Maisara menganggukkan kepalanya. “Budak perempuan yang ada di kaunter depan.....”Maisara cuba menerangkan pada gadis itu apabila gadis itu kelihatan menghalangnya untuk berjumpa dengan Encik Zack.

“Tak pe....tak pe....” Gadis itu memotong percakapan Maisara. “Saya Farah, setiausaha Encik Zack.” Farah menghulurkan salam perkenalan dan disambut Maisara.

“Maisara.”

“Memang saya dah diberitahu Encik Zack akan menerima tetamu. Tapi saya minta cik tunggu dulu sekejap. Sebab Encik Zack masih lagi ada di ruangan meeting. Cik boleh duduk dan tunggu dulu di sini!”

Di ruangan meeting? Kenapa gadis di depan tadi tidak memberitahunya dan menyuruhnya terus masuk ke dalam?

“Ah....tak pelah kalau macam tu.” Maisara tersenyum. “Mungkin lain kali bila Encik Zack tak sibuk saya akan datang balik!”

“Sebenarnya Encik Zack memang menunggu kedatangan cik Maisara!” ujar Farah.

Berkerut dahi Maisara. Pelik dirasakannya. Encik Zack berada diruangan meeting. Tetapi dalam masa yang sama dia menunggu kedatangan Maisara? Mungkinkah Farah menghubungi Encik Zack ketika lelaki itu sedang bermesyuarat dan dia disuruh tunggu di situ?

Memang pelik. Sudahlah kedatangannya tadi tidak ditanya sama ada temujanji sudah dilakukan, dia terus disuruh masuk. Tak mungkin mereka menghubungi Encik Zack untuk memberitahu kedatangannya ketika lelaki itu sedang bermesyuarat. Apatah lagi bila diberitahu Encik Zack memang menunggu kedatangannya.

Melihatkan wajah Maisara yang berkerut seribu membuatkan Farah mengukir senyuman.

“Sebenarnya cik Maisara, sejak dari minggu lepas Encik Zack dah pesan pada saya kalau cik Maisara datang dia minta cik Maisara tunggu jika dia ada urusan,” beritahu Farah.

Bukahkah itu bermakna kedatangannya sudah ditunggu-tunggu Encik Zack sejak dari minggu lalu?

“Lagipun, rasanya tak lama lagi keluarlah Encik Zack dari ruang meeting,” ujar Farah sambil melirik jam di pergelangan tangannya.

Maisara mengangguk lalu melabuhkan punggung di salah sebuah sofa yang terdapat di situ. Mungkin meeting yang dihadiri Encik Zack sudah lama berjalan, kerana itu Farah bisa mengagak dia tidak akan lama menunggu.



“TERIMA KASIH!” Zack bersalaman dengan wakil-wakil dari syarikat yang bakal bekerjasama dengan mereka. Dia menghantar wakil-wakil itu ke pintu utama lalu dia melangkah kembali ke dalam untuk ke biliknya.

Inilah projek pertama yang diserahkan kepadanya. Nampaknya, Syed Hussin menyerahkan kepercayaan yang tinggi padanya bagi menarik minat syarikat lain untuk melabur di Warisan Syed. Bisakah dia berjaya membuktikan kemampuannya? Itulah yang sering memeningkan kepalanya.

Dia perlu melakukan stratagi yang paling bijak untuk menarik syarikat lain agar berminat untuk bekerjasama dengan mereka. Di waktu ini memang agak sukar apabila nama Warisan Syed sudah sedikit tercalar kerana kejadian yang berlaku tempoh hari.

Walaupun perkara itu masih belum menjadi kes besar, namun rata-rata di majalah gossip itu sudah tersebar walaupun mereka sudah berjaya memujuk Dato’ Jamaluddin untuk membatalkan niatnya melaporkan kejadian itu kepada polis. Malah mereka juga sudah beberapakali melakukan press conference untuk membersihkan nama Warisan Syed.

Belum pun kakinya tiba di pejabat, dari jauh matanya sudah menangkap susuk tubuh seseorang. Dia tersenyum. Dia bertambah yakin dengan dirinya. Dia sudah jangka Maisara pasti akan mencarinya.

“Sara!” dia menegur.

Maisara mendongak wajahnya. Melihatkan Encik Zack di depannya, terus dia berdiri.

“Jom!” Ajak Zack tanpa banyak bicara.

Maisara menurut langkah lelaki itu. Encik Zack masih belum berubah. Tetap dengan ketegasannya seperti selalu.

“Have a seat!” Zack sudah pun melabuhkan punggungnya di kerusi begitu juga dengan Maisara.

So....awak datang sini tentu pasal hal tempoh hari,kan?” Zack berterus terang.

“Ya!” ujar Maisara sambil menarik nafasnya. “Encik Zack macam dah tahu yang saya akan datang berjumpa dengan Encik Zack.”

Dahi Zack berkerut sekejap. Dia cuba memikirkan maksud Maisara.

“Tadi, saya diberitahu oleh setiausaha Encik Zack yang Encik Zack memang menunggu kedatangan saya sejak minggu lalu,” beritahu Maisara.

Wajah Zack yang berkerut terus bertukar kepada senyuman.

“Ya...saya memang dah agak awak akan datang cari saya sebab saya tak yakin Fariz akan beritahu awak cerita yang sebenarnya!”

“Cerita sebenarnya?” Maisara tersenyum sinis. Inilah yang mengundang persoalan di hatinya. “Kalau Encik Zack tak keberatan, boleh Encik Zack ceritakan pada saya?” Maisara berterus terang tanpa membiarkan saat-saat berlalu begitu sahaja.

Zack membisu seketika. Dia berfikir sebentar. Pada awalnya, memang dia merasakan Fariz yang menjadi jelatang dalam perkara ini. Namun apabila dia terdengar maki hamun Ilyana ketika dia mahu ke kamar kerja wanita itu, barulah dia tahu perkara yang sebenarnya.



“TAK GUNA!!!” Ilyana membaling semua fail yang ada di atas mejanya.

“Firasat aku benar, Fariz memang ada hati dengan Maisara!!” Mundar-mandir Ilyana di situ bercakap seorang diri. “Tak guna!!”

“Kalau benar Fariz tak cintakan Suhana kenapa dia berkahwin dengan Suhana? Kenapa? Tentu ada sesuatu yang berlaku!! Aku perlu cari tahu!!”

Ilyana menggenggam penumbuk di mejanya. Dia perlu selidik dengan mendalam perkara ini. Apa yang membuatkan Fariz berkahwin dengan Suhana walaupun sebenarnya lelaki itu bercinta dengan Maisara!

Ilyana tenggelam dalam emosinya sehingga dia tidak menyedari Zack yang berada di depan kamar kerjanya bisa mendengar setiap butir bicara yang terkeluar dari bibirnya.

Zack yang sebenarnya mahu berjumpa dengan Ilyana akhirnya membuat keputusan pergi dari situ. Apa yang baru didengarnya membuatkan dia tersenyum sendiri.



“ENCIK ZACK!!!” Akhirnya Maisara terus berteriak nama lelaki itu yang hanyut dalam anganannya. Sudah beberapa kali dia memanggil lelaki itu tetapi tiada reaksi.

Zack terpinga seketika sebelum kembali ke alam nyata. Mukanya terasa panas kerana malu dengan lamunannya sehingga wanita di depannya terus berteriak memanggilnya.

“Maaf......saya sedang berfikir!” ujar Zack sekadar mengaburi rasa malunya.

So, sekarang Encik Zack dah habis berfikir?” tanya Maisara dengan sedikit sindiran.

Zack tersenyum mendengar. Maisara sudah pandai menyindir!

“Apa yang kelakarnya?” tanya Maisara yang melihat senyuman di wajah lelaki itu. Soalan Maisara itu membuatkan senyuman Zack semakin melebar. Wanita di depannya kelihatan benar-benar mahukan penjelasan.

Zack bangun lalu menyelak jendela di belakangnya. Sengaja dia membuat Maisara menunggu dan membiarkan masa berlalu. Maisara hanya menyoroti tingkah Zack dengan kesabaran.

“Awak tahu tak hubungan saya dengan arwah Suhana?” tanya Zack lalu memalingkan wajahnya memandang Maisara.

Maisara menggeleng. Apa yang diingatnya malam itu, memang Encik Zack ada menyebut nama Suhana. Namun sejauh mana hubungan mereka berdua, dia tidak tahu.

Zack kembali ke kerusi dan duduk semula sambil menongkat dagunya. Matanya memerhatikan Maisara sekilas.

“Dua tahun.......hubungan kami bukan sekadar teman biasa. Saya memang serius dengan dia. Tapi semuanya berakhir dengan sekelip mata. Saya tak sangka dia curang dengan saya!”

Dahi Maisara berkerut.

Kak Su? Curang dengan Encik Zack?

Arwah Suhana memang perahsia. Bukan mudah untuk dia berkongsi rahsia hidupnya walaupun dengan keluarga sendiri. Hubungan Suhana dengan Zack juga tidak pernah diketahui sedangkan mereka berdua sangat akrab satu ketika dahulu.

“Apa yang berlaku sebenarnya dalam hubungan Encik Zack dan kakak saya?” tanya Maisara.

“Saya kenal dengan Suhana ketika di kolej lagi. Tetapi hubungan kami serius selepas tamat pengajian. Dua tahun kami bersama. Sampailah satu hari dia mendesak saya mengahwini dia. Mulanya memang saya tak fikir apa-apa. Tapi akhirnya, dia berterus terang dengan saya yang dia dah hamil.”

Terlopong Maisara. Jantungnya terasa berhenti berdenyut seketika.

Tak mungkin.....tak mungkin..... Kak Su bukan begitu......

Maisara menumbuk-numbuk dadanya yang terasa sesak. Perkara begini tak mungkin berlaku. Sukar baginya menerima kata-kata Encik Zack.

“Maisara......are you okay?” Zack risau melihat Maisara yang kelihatan sukar bernafas dan menumbuk-numbuk dadanya.

“Okay.....I’m okay......” Maisara beristighfar seketika.

“I know it’s not easy for you to accept all this. But this is a fact!”

Kalau semuanya benar, jadi Aiman......Aiman anak siapa? Mungkinkah Fariz dan Kak Su......mungkin kerana itu Fariz meninggalkan aku......

“Aiman........” Maisara memejam matanya sebentar.

“Maksud Encik Zack, Fariz yang bertanggungjawab atas kandungan Kak Su?” Anak matanya memandang Zack. “Fariz yang bertanggungjawab?”

“Saya tak pasti. Tapi jika bukan Fariz, kenapa dia perlu bersusah payah untuk menjadi kambing hitam? Lagipun apa yang saya tahu, dia tak cintakan Suhana. Dan sekarang, dia hanya menggunakan Aiman untuk mendapatkan awak!”

Maisara diam berfikir seketika. Apa yang berlaku sebenarnya pada arwah Suhana? Mungkin benar Fariz yang bertanggungjawab sebab itu dia menikahi Suhana! Tapi......kenapa hatinya menyangkal? Kenapa dia tidak merasa begitu?

“Menurut saya, Fariz menikahi Suhana kerana dia tidak tahu Suhana sedang hamil ketika itu. Setelah menikah baru dia tahu Suhana sudah mengandung. Selepas Suhana meninggal, dia jatuh cinta pada awak dan menggunakan Aiman sebagai alasan. Kebetulan, keluarga awak juga mahu satukan awak dengan dia!”

“Saya......saya benar-benar tidak faham......Tadi kata Encik Zack, kalau kandungan itu bukan anak Fariz, tak mungkin dia mahu menjadi kambing hitam. Malah dia juga tak cintakan Suhana. Tapi sekarang......” Maisara benar-benar kebingungan.

Zack menggosok dagunya. Dia juga masih keliru dengan fakta dan petunjuk yang diterimanya. Dia sendiri masih berkira-kira dengan kesimpulannya.

“Di awalnya memang saya berfikir begitu. Tetapi apabila ingatkan kembali malam itu ketika saya kami berkelahi dan Fariz menuduh saya lelaki yang tidak bertanggungjawab, saya dapat rasakan Aiman bukan anak kandung Fariz. Dan yang pasti, Fariz juga tidak menyintai Suhana. Entahlah apa yang membuatkan Fariz mahu menikahi Suhana ketika itu.”

“Tapi apa yang saya pasti, selepas Suhana meninggal, Fariz jatuh cinta dengan awak dan gunakan Aiman untuk miliki awak....” Entah berapa kali Zack menyebut tentang hal ini. Sengaja dia mengulanginya agar Maisara mengerti permainan Fariz. “Sedangkan dia langsung tak punya hak atas Aiman. Kalau awak mahu, awak boleh mengambil Aiman tanpa perlu menikahi Fariz kerana Aiman adalah darah daging awak!”

Tatkala ini Maisara sudah terasa mahu menangis. Benarkah Fariz mengorbankan cinta mereka kerana perkara ini? Mungkin benar tetapi dia perlukan bukti yang kukuh sebelum dia terus-terusan menerima Fariz tanpa menyelidiki dahulu kesahihannya. Terima kasih buat Encik Zack kerana meleraikan sedikit persoalan di hatinya.

“Bagaimana kalau saya katakan, Fariz memang tak menyintai Suhana. Di saat dia mengambil keputusan untuk menikahi Suhana, dia telah pun mengetahui Suhana hamil. Kerana mahu menjaga kehormatan Suhana, dia menerima Suhana walaupun dia tidak menyintainya. Sedangkan Encik Zack, kekasih Suhana sendiri sudah tidak mahu menerimanya. Semuanya kerana sifat insaniah yang ada dalam dirinya membuatkan dia mengambil keputusan begitu,” Ada nada sayu ketika Maisara menerangkan pendapatnya. “Bagaimana? Encik Zack setuju dengan saya?”

“Saya setuju dengan pendapat awak. Cuma bukan saya tak mahu mengorbankan diri saya sepertimana yang dilakukan Fariz untuk menjaga maruah Suhana. Tetapi saya tidak mahu bertanggungjawap atas sesuatu yang bukan dilakukan saya. Lagipun hati saya sakit bila cinta dan perasaan saya dimainkan. Dia bukan perempuan yang baik bila dia sanggup menyerahkan tubuhnya pada lelaki.”

Menitis airmata Maisara mendengar cemuhan itu. tetapi dia tidak menyalahkan Encik Zack jika berpendapat begitu. Dia sendiri tidak menyangka Suhana sanggup melakukan perkara keji begitu! Tetapi mengapa Fariz sanggup meninggalkannya semata-mata untuk menjaga maruah Suhana sedangkan kakaknya itu sendiri tidak pandai menjaga maruah dirinya?!

“Perkara yang lepas biarlah lepas. Lagipun, Suhana dah tak ada. Tak elok bercakap keburukannya,” ujar Zack. “Apa yang penting sekarang, saya tak mahu awak terjerat dalam permainan Fariz. Kalau awak tak cintakan dia awak boleh tinggalkan dia! Lagipun, Aiman bukan anak kandung dia! Awak boleh mengambil Aiman dari dia!”

“Apa yang membuatkan Encik Zack fikir saya menerima Fariz hanya kerana Aiman?”

Dahi Zack berkerut dengan soalan Maisara.

“Bukankah itu yang berlaku? Selepas arwah Suhana meninggal, dia mewasiatkan Aiman untuk awak dan keluarga awak juga mahukan awak menikahi Fariz kerana Aiman. Tetapi ketika itu, Fariz sudah pun bersama dengan Ilyana dan dalam masa yang sama dia juga sudah mula jatuh cinta pada awak. Kerana tidak mahu menghampakan keluarga, awak bersetuju bernikah dengan Fariz walaupun ketika itu Fariz masih lagi bersama Ilyana. Akhirnya, Fariz berterus terang dengan Ilyana dan Ilyana bagaikan nak gila bila dapat tahu Fariz cintakan awak.” Itulah kesimpulan Zack tentang kisah ini.

Maisara tersenyum sambil menggelengkan kepalanya.

“Kesimpulan Encik Zack memang tidak salah. Cuma Encik Zack tertinggal satu fakta.” Maisara berdiri sambil memegang tas tangannya. “Fakta yang satu itu, adalah saya dan Fariz saling menyintai antara satu sama lain. Saya juga menyintai suami saya!”

Selepas berkata begitu, Maisara terus berlalu pergi meninggalkan Zack yang dalam kebingungan.

Apa yang sedang berlaku? Maisara dan Fariz saling menyintai? Lain yang diharapkan, lain pula pula yang diterimanya! Zack tersandar di kerusi.

Maisara......