(Ramadan 1)
Mata Zehra terpaku pada sepasang kekasih yang sedang berpegangan tangan sambil bergurau senda. Sesekali kedengaran tawa mereka bergema. Dia terus memerhati sehingga mata Si gadis itu bertaut dengannya. Gadis itu memerhatikannya agak lama lalu menjelingnya sinis. Bagaikan gadis itu sedang mentertawakannya. Gadis itu kembali bergurau senda dengan kekasihnya. Zehra, langsung tak dipedulikannya.
Zehra yang masih bingung dengan apa yang dilihatnya
terus berlalu. Sungguh, saat ini dia terasa seperti dipermainkan. Begitu mudah
si gadis itu melupakan apa yang telah berlaku? Tak mungkin! Ada sesuatu yang
tidak kena di sini!
Dahulu, Ain begitu berkeras menyatakan dia menyintai
dan menyayangi Fattah dan Fattah juga menyintai Ain. Namun, apabila bertanya
pada Fattah, Fattah sentiasa menidakkan perkara itu. Bagaimana cinta Ain pada
Fattah? Telah berubah?
Sekembalinya ke rumah, Zehra terus membisu. Otaknya
ligat memutarkan apa yang telah dilihatnya tadi sehingga Limah sendiri
tertanya-tanya mengapa Zehra bersikap begitu.
"Ada apa Zehra?"
Zehra memandang ibunya. "Tadi, Zehra lihat
Ain."
Berkerut dahi Limah. "Ain? Kenapa dengan
Ain?"
"Ain dengan lelaki lain!"
"Takkanlah!" Limah tercengang. Masih
terbayang di wajah Limah wajah Ain yang tersedu sedan, meminta dan merayu pada
Zehra agar memutuskan pertunangannya dengan Fattah. Bukankah Ain terlalu
menyintai Fattah sehingga sanggup merendahkan dirinya dan merayu sebegitu?
Apakah kerana Fattah dituduh sebagai seorang penagih
membuatkan cinta Ain berubah. Tapi, bukankah Ain telah mengetahuinya dahulu dan
memberitahu pada Zehra?
------------------------------------------------------------
(9 bulan lalu)
Zehra memandang wajah Fattah dan Ain silih berganti.
Tiada terpalit senyuman diwajah Zehra. Ain sudah menjeling pada Zehra dengan
pandangan yang penuh meluat. Zehra selalu tiba di saat dia mahu mendekatkan
diri dengan Fattah! Menyibuk!
“Zehra, Zehra jangan salah sangka dulu,” pantas Fattah
bersuara sebelum sempat Zehra berkata apa-apa. Dia tak mahu Zehra salah sangka
dengan apa yang dilihatnya.
Zehra memandang terus pada Fattah. “Zehra tak cakap
apa-apa pun, Abang Fattah.” Memang sedari tadi dia hanya membisu dan
memerhatikan layanan Fattah pada Ain tanpa mereka berdua sedari. Namun, setelah
Fattah menyedari kehadirannya di situ, lantas Fattah terus menghampirinya.
Zehra memandang Ain pula. Ain yang sedang berdiri di
sebelah Fattah sambil memegang basikalnya sudah membuat memek muka meluat
apabila melihat Zehra. Apa yang Fattah buat bersama Ain dalam keadaan
berdua-duaan begini? Dia tidak mahu curiga pada Fattah, namun dia sebagai
tunang Fattah sendiri pun tak pernah berdua-duaan dengan Fattah sebegini.
“Abang cuma bantu Ain. Rantai basikal Ain terkeluar.
Jadi, abang tolong betulkan. Betulkan Ain?” Fattah memandang Ain supaya Ain
membenarkan kata-katanya. Hatinya resah jika Zehra salah sangka padanya. Dia
tak mahu kepercayaan Zehra padanya tercalar. Apatah lagi Zehra sudah sering
terserempak dia dan Ain ketika bersama. Dia sendiri sudah penat memberitahu Ain
yang hatinya hanya untuk Zehra. Namun, Ain terus-terusan merayu padanya.
Ain sudah tidak senang dengan kenyataan Fattah.
“Abang! Kita memang dah janji nak jumpa di sini, kan?” tegas Ain pada Fattah
lalu menjeling Zehra sekali lagi.
Hati Zehra semakin meruntun. Wajah Fattah
ditatapnya. Ain berbohong atau Fattah yang cuba berselindung?
“Ain?! Apa Ain cakap ni?!” Fattah kelihatan terkejut
dengan kenyataan Ain.
Tanpa banyak bicara, Ain meninggalkan mereka berdua.
“Zehra, abang…..”
“Tak apalah, Abang Fattah. Tak perlu terangkan
apa-apa.” Zehra terus memusingkan badannya dan berlalu. Bukan dia tak perlukan
penjelasan Fattah, namun saat ini dia tak boleh menerima bulat-bulat apa yang
keluar dari bibir Fattah. Biarlah, suatu hari nanti kebenaran pasti terbukti jua.
Sehari kemudian…..
“Aku tak peduli! Aku tetap nak kau putuskan
pertunangan kau dengan Abang Fattah!” Ain memandang Zehra dengan tajam.
“Kenapa aku perlu putuskan. Abang Fattah tunang
aku,” balas Zehra.
“Abang Fattah sayangkan aku! Kami dah lama bercinta.
Kau tu yang jadi batu api!” Jelas kelihatan dada Ain berombak menahan rasa
marahnya. Dia dah lama memendam perasaan pada Fattah. ALih-alih, Zehra yang
menjadi tunang Fattah.
“Kalau betul Abang Fattah cintakan kau, kenapa dia
bertunang dengan aku?” Sikit pun kata-kata AIn tak masuk ke dalam hati Zehra.
“Kau macam tak kenal Abang Fattah. Dia kan anak yang
baik. Apa kata orang tua, semua dia ikut. Pakcik Hassan dan Makcik Zainab
sukakan kau, sebab tulah dia orang nak jodohkan Abang Fattah dengan kau. Tapi
Abang Fattah cintakan aku.”
Zehra tertunduk. Memang benar, dia dan Fattah
bertunang bukan kerana cinta. Namun, dalam hatinya sudah lama jatuh kasih pada
Fattah. Fattah seorang pemuda yang baik. Sentiasa menjalankan tanggungjawabnya
pada keluarga dan orang-orang kampung. Lebih-lebih lagi, pada agama. Hati siapa
yang tak gembira bila keluarga Fattah datang merisiknya. Tak fikir panjang, dia
terus setuju dengan pinangan itu.
“Macam nilah, Ain. Kalau benar kau bercinta dengan
Abang Fattah, kau minta Abang Fattah putuskan pertunangan kami. Aku akan
terima.” Dia tak sanggup memutuskan pertunangan ini. Biarlah Fattah sahaja yang
melakukannya.
“Abang Fattah takkan putuskan pertunangan korang!
Sebab dia nak jaga hati Pakcik Hassan dan Makcik Zainab. Kau sajalah yang
putuskan!”
“Aku tak boleh.” Zehra menolak. “Aku pun mahu
menjaga hati mereka termasuk hati mak dan ayah aku.” Zehra menarik nafas
panjang. “Insya-Allah, kalau ada jodoh kau dengan Abang Fattah, Allah akan
membukakan jalan.” Zehra berlalu pergi membawa hati yang walang.
------------------------------------------------------------
(Ramadan 2)
Dari jauh, Zehra memerhatikan susuk tubuh Makcik Zainab sedang menunduk, menyapu halaman rumahnya. Sudah lama dia tidak melawat Makcik Zainab dan Pakcik Hasan. Kali terakhir adalah pada ketika Fattah melangkah keluar dari kampung ini. Entahkan mereka akan menerimanya atau tidak.
"Assalamualaikum, makcik." sapa Zehra.
Zainab mengangkat tubuhnya tegak.
"Waalaikummussalam." Pandangannya terus terpaku pada wajah Zehra yang
sedang mengukirkan senyuman. Sudah lama Zehra tidak ke sini. Dia terasa kekok
pula menerima kehadiran Zehra. Namun dia tetap mengukir kan senyuman.
Zehra segera menghulurkan salam apabila melihat
senyuman itu. Nyata, Makcik Zainab masih menerimanya di sini. Salamnya
bersambut. "Makcik apa khabar?"
"Alhamdulillah...." ujar Zainab.
"Zehra?"
"Alhamdulillah, Zehra sihat."
"Mak dan ayah?"
"Mereka pun sihat," balas Zehra.
"Ini, Zehra ada bawakan lauk untuk berbuka nanti."
"Terima kasih, Zehra. Susah-susah saja Zehra
ni." Zainab menyambut bungkusan makanan dari Zehra. "Marilah Zehra.
Kita berbual dulu. Zehra pun dah lama tak ke sini." Seraya berkata begitu,
Zainab melangkah dan duduk di pankin, di bawah pohon rambutan. Zehra mengikut
langkah Zainab.
"Dah lama, kan?" ujar Zainab tanpa
menjelaskan dengan lebih dalam.
Namun, Zehra pantas menangkap maksud itu. Zehra
menarik nafas yang panjang. Entah kenapa dia merasakan dia telah melakukan
kesilapan pada keluarga ini. "Zehra minta maaf makcik."
Terus Zainab memerhatikan Zehra. "Kenapa nak
minta maaf pulak? Zehra tak salah apa-apa." sungguh, Itulah yang ada dalam
hatinya. Dia tak salahkan Zehra jika gadis itu memutuskan pertunangannya dengan
Fattah. Zehra berhak berbuat begitu. Namun, apa yang dikesalkan adalah kerana
Zehra telah hilang kepercayaan pada Fattah. Sedangkan, dia kenal siapa Fattah.
Fattah tak mungkin lakukan semua itu.
Sebak dada Zehra mendengar kata-kata itu. "Maafkan Zehra sebab putuskan pertunangan dengan Abang Fattah."
Zainab hanya mengukir senyuman hampa. "Tak
mengapalah Zehra. Bukan jodoh kamu berdua. Jodoh itu kan, Allah yang
menentukan." Dia menerima segalanya dengan redha. Namun, siapa yang tak
kepingan untuk bermenantukan gadis seperti Zehra. Lemah lembut tutur katanya
apabila berbicara dengan orang tua. Pandai membaca Al-Quran. Tubuhnya, sentiasa
mengenakan pakaian yang menutup aurat.
"Abang Fattah sihat?" tanya Zehra.
Tiba-tiba sahaja dia merindui bekas tunangnya itu.
"Alhamdulillah.....Fattah sihat." Walaupun
Fattah telah meninggalkan kampung ini kira-kita lapan bulan yang lalu, namun
anak lelakinya itu sering menghubungi mereka. Sekalipun, mereka tak pernah
dibiarkan risau tentang dirinya. Setiap kali menghubungi mereka, pasti dia akan
berkata, 'Fattah baik, Fattah sihat, Fattah bahagia di sini. Mak dan abah
jangan risau, pandai-pandailah Fattah jaga diri.' Namun, hanya naluri seorang
ibu yang mengetahui betapa kecewanya anaknya itu.
"Abang Fattah balik beraya nanti?" Dia
sangat mengharapkan kepulangan Fattah, walaupun mereka sudah tidak punya
apa-apa hubungan. Dia tahu, dia tak sepatutnya merasa begitu.
"Fattah dah terlalu kecewa. Mungkin dia takkan
pulang ke sini."
Kata-kata Zainab itu membuatkan Zehra menitiskan air
mata. Dia sendiri tidak menjangkakan airmatanya akan mengalir untuk Fattah.
Zainab yang sedar ada tangisan dari Zehra, terus
memandang Zehra.
"Kenapa Zehra? Zehra sendiri yang tak mahu
dengan Fattah, kan?" tanya Zainab. "Zehra dah tak percayakan Fattah,
kan?" dia mahu mendengar dari mulut Zehra sendiri. Apa benar Zehra sudah tidak
boleh menerima Fattah lagi?
Hati Zehra terguris mendengar soalan itu walaupun
dia sebenarnya tidak patut merasakannya. "Tak mengapalah, makcik."
Pantas Zehra menyeka air matanya lalu mengukirkan senyuman. Zehra pulang
dulu." Zehra terus mencapai tangan Zainab dan mencium tangan itu. Pantas
Zehra bangun untuk pergi. Dia tak mahu memanjangkan perkara itu lagi.
"Zehra!" Langkah Zehra terhenti dengan
panggilan Zainab. "Datanglah selalu di sini. Makcik suka Zehra
datang." Dia sayangkan Zehra. Mungkin Fattah tidak dijodohkan dengan
Zehra, namun dia tetap tak mahu kehilangan Zehra.
Zehra mengukir senyuman manis dan mengangguk. Pasti!
Dia pasti datang melawat Makcik Zainab dan Pakcik Hassan lagi. Apatah lagi
apabila Fattah telah meninggalkan kampung ini.
Zehra berpusing lalu pergi. Dia sendiri tak mengerti
tentang perasaannya. Gerak hatinya menyatakan, dia berada di situasi yang
salah. Dia telah memilih jalan yang salah! Keputusan yang salah! Tak sepatutnya
dia putuskan pertunangannya dengan Fattah.
-----------------------------------------------------------
(9 bulan yang lalu......)
"Betul Zehra! Aku tak tipu!" Sedaya upaya Ain cuba menyakinkan Zehra. "Kau tengok aku!" Ain memegang kedua bahu Zehra agar gadis itu memandangnya. "Aku serius!"
Zehra mengeluh. Ain memang serius. Tapi dia tak
percaya dengan cerita yang disampaikan Ain. "Maaflah Ain. Tapi aku lebih
percayakan Abang Fattah."
“Kau percayakan Abang Fattah? AKu lebih kenal siapa
Abang Fattah jika dibandingkan dengan kau!” tegas Ain.
Zehra hanya menarik nafas panjang. “Abang Fattah
hanya tunangan aku. Jika dia menjadi suami aku nanti, Insya-Allah aku akan jadi
orang yang paling mengenalinya.” Sungguh, tuduhan Ain pada Fattah sangat berat.
Namun, dia malas untuk bertegang urat dengan Ain. Ain berbicara tanpa bukti.
Jadi, dia tak perlu terlalu memikirkan soal itu.
“Kau masih mahu Abang Fattah jadi suami?!” Ain bagai
tak percaya dengan kata-kata Zehra. “Kalau aku jadi kau, dah lama aku
tinggalkan Abang Fattah.”
“Tapi kau sendiri yang merayu pada aku agar berikan
Abang Fattah pada kau, kan?”
Ain terdiam seketika. Giliran Ain pula mengeluh.
"Terpulang lah..." wajah Zehra dipandangnya dengan rasa terkilan.
"Kau jangan menyesal pulak!"
Sedikit sebanyak, kata-kata Ain itu berbekas juga di
hak Zehra sehingga dia langsung memberitahu Limah tentang itu.
"Biarkanlah Zehra. Kata-kata orang ni adakalanya
tak boleh dipercayai. Selagi tak ada bukti yang Fattah melakukan itu,
biarkan. Tapi, dalam masa yang sama jangan simpan harapan yang terlalu tinggi
pada Fattah. Mak takut Zehra akan terluka nanti."
Walaupun Limah berkata begitu, namun riak kurang senang
jelas terukir di wajahnya.pasti Limah juga tidak senang dengan berita yang
dibawa Zehra. Siapa yang tidak resah jika bakal menantu dikaitkan dengan
penyalahgunaan dadah?
"Tapi Zehra tak percaya Abang Fattah
begitu," ujar Zehra. Kalau dilihat dari sikap Fattah, langsung tidak
menunjukkan begitu.
Limah setuju dengan pendapat Zehra. Setiap solat
Fardhu, Fattah sentiasa di masjid bersama Ziyad, ayah Zehra. Setiap kali hujung
minggu, Fattah selalu ambil kesempatan mengaji Al-Quran setelah selesai
menunaikan solat Subuh. Tak ada yang kurang pada lelaki itu. Lelaki sebeginikah
yang dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah?
----------------------------------------------------------
(Ramadan 3)
Berkerut dahi Zehra memandang pada Ain yang
terhendap-hendap. Gelagat Ain mencurigakan hati Zehra. Apa Ain buat di hutan
kecil, di hujung jalan kampung ini? Zehra bersembunyi di belakang pokok untuk
mengelak Ain dari melihatnya. Hatinya begitu mendesah agar dia mengikuti
langkah Ain yang semakin jauh ke dalam hutan. Dengan langkah berjaga-jaga,
Zehra terus mengintip langkah Ain walaupun dia sedar, mungkin dia berada dalam
keadaan yang membahayakan.
Sampai di sebuah pondok kecil di tengah hutan itu, Ain menghentikan langkah. Zehra bersembunyi lagi di belakang pokok apabila mata Ain meliar memandang sekeliling.
Sampai di sebuah pondok kecil di tengah hutan itu, Ain menghentikan langkah. Zehra bersembunyi lagi di belakang pokok apabila mata Ain meliar memandang sekeliling.
Setelah memerhatikan agak lama, Ain mengetuk pintu
pondok kecil itu. Pondok kecil itu terbuka. Ain masuk ke dalam.
Apa yang dilakukan Ain di dalam? Zehra ingin
mendekati untuk melihat apa yang berlaku di dalam pondok itu. Namun, sebelah
pihak dalam dirinya menegah dan memintanya hanya menunggu di situ. Akhirnya,
Zehra kekal di situ.
Setengah jam Zehra di situ, baharulah kelihatan
pintu itu dibuka semula. Muncul Ain bersama dua orang lelaki. Seorang dari
lelaki itu adalah teman Ain yang dilihatnya bersama Ain tempoh hari. Seorang
lagi lelaki.....Zehra terus memerhatikan susuk tubuh yang sedang
membelakangkannya. Zehra berdoa di dalam hati agar dia bisa melihat raut wajah
itu.
Dengan izin Allah, Tiba-tiba lelaki itu menukar
tempat dengan teman lelaki Ain ketika mereka sedang berbual. Wajahnya jelas di
mata Zehra sehingga Zehra ternganga di situ. Bukankah itu Abang Kamal? Sepupu
dan teman baik Fattah? Dada Zehra berdegup laju. Seingatnya, Abang Kamal sangat
bermusuhan dengan Ain. Tetapi, apa yang dilihatnya ini? Sandiwara apakah ini?
Apatah lagi melihat mereka berita sedang memegang bungkusan tepung di tangan.
Tidak! Itu bukan tepung. Bungkusan itu pernah dilihatnya!
----------------------------------------------------
(8 bulan lalu)
Terpempam Zehra dengan berita yang dibawa sekumpulan pemuda yang juga orang kampung di situ. Masing-masing sudah kelihatan bengang dengan apa yang berlaku. Sebentar tadi, Zehra sekeluarga telah dipanggil ke rumah ketua kampung. Siapa sangka, tunang yang disayangi telah melakukan perkara yang diluar dugaan.
Fattah telah ditangkap oleh orang kampung setelah
mereka terjumpa bungkusan dadah di dalam beg galasnya. Fattah sedang
bermati-matian membela dirinya, menyatakan dirinya tidak bersalah. Namun, apa
gunanya cuba menegakkan benang yang basah seandainya bukti nyata sudah di depan
mata.
"Percayalah! Saya tak lakukan itu semua!"
Fattah masih terus membela diri.
"Tok, ini semua salah faham! Saya yakin ada
orang yang cuba perangkap Fattah. Fattah takkan lakukan semua ni!" Hanya
Abang Kamal sekeluarga termasuk keluarga Fattah yang cuba membela Fattah.
"Tapi kami jumpa dadah ni dalam beg Fattah
waktu di surau tadi," ujar Bidin, salah seorang pemuda kampung yang
melihat bungkusan itu.
"Betul tok! Kami pun ada waktu tu!" sampuk
beberapa orang pemuda lagi. Kononnya, ketika di surau, sewaktu mereka baharu
selesai menunaikan solat Isyak, Fattah meminta Bidin mengambil beg galasnya.
Sewaktu mengambil beg itu, beg itu dalam keadaan terbuka. Ketika Itulah bungkusan
dadah itu terjatuh saat Bidin mengangkat beg galas milik Fattah.
“Ini dah melampau. Kau bawa najis dadah tu masuk ke
dalam surau! Kau nak permainkan agama!!” Pak Mail mengangkat tangannya lalu
menampar pipi Fattah dengan kuat.
Zehra memejam matanya saat itu. tak sanggup melihat
adegan itu. kecewa! Sedih! Segala perasaan wujud dalam dirinya. Bagaikan
hatinya telah berkecai menjadi debu. Kenapa Abang Fattah sanggup buat begini?
Lupakh dia pada Allah?
Ketua kampung terdiam agak lama. Sukar untuk
menerima keadaan itu. Tiada siapa menyangka Fattah akan melakukan perkara
begitu.
"Kita laporkan sahaja pada polis. Ini kes berat
ni tok!" cadang Pak Mail.
"Jangan tok! Saya rasa ini semua perangkap. Ada
orang yang mahu perangkap Fattah!" Abang Kamal masih terus membela.
Hasan hanya terdiam sambil tangannya mengusap bahu
Zainab yang sudah tersedu-sedu. Hati ibu dan bapa mana yang tak berkecai
apabila anak yang menjadi harapan menconteng arang ke muka mereka.
“Saya kenal Fattah! Dia anak saya. Fattah takkan
buat begitu!” Zainab masih terus pertahankan Fattah.
“Demi Allah tok! Saya tak lakukan perkara macam
ni!" Fattah bersuara lagi. “Mak, ayah…” Fattah memandang orang tuanya.
“Fattah tak buat perkara terkutuk macam ni!”
“Mak percaya nak. Mak percaya!” ujar Zainab dengan linangan
airmata.
"Kamu ada musuh?" tanya ketua kampung.
Lama Fattah terdiam, lalu dengan perlahan dia
mengelengkan kepalanya. Dia memang tak punya musuh, tetapi memang ada orang
yang memusuhinya dalam diam.
Ketika itu Zehra hanya memerhati tanpa berkata apa-apa.
Namun, resah dan hiba hatinya hanya Allah yang mengetahui. Kata-kata Ain tempoh
hari tentang Fattah terus terngiang-nganga di telinganya. Apakah ini buktinya
kata-kata Ain itu benar?
Sejak kejadian itu, akhirnya ketua kampung
memutuskan agar Fattah keluar dari kampung ini. Itu pun atas desakan orang
kampung. Kononnya, pemuda seperti Fattah yang suka mempermainkan agamaNya perlu
keluar dari kampung ini. Jika tidak, mereka akan membuat laporan polis. Ketua
kampung yang masih belum menerima bulat-bulat tuduhan pada Fattah, menurut
kemahuan orang kampung.
-------------------------------------------------
(Ramadan 3)
“Kau biar betul Ain! Kau nak kahwin dengan jantan
tu?” tanya Kamal sebaik sahaja teman lelaki Ain pergi.
“Kenapa tak boleh?” Ain menjeling.
“Bukankah kau suka dengan Fattah? Bila Fattah dah
tak ada, kau gantikan dia dengan budak tak guna tu?”
“Apa aku nak buat lagi? Aku memang suka sangat
dengan Abang Fattah. Tapi Abang Fattah tak suka pada aku.” Ain mendengus.
“Entah apa yang ada pada Zehra tu pun aku tak tahu! Aku lagi cantik dari
Zehra!”
“Kan sekarang mereka dah putus tunang. Kenapa kau
tak cuba ambil kesempatan pikat Fattah? Kau kan tahu kat mana Fattah tinggal.”
Ain tertunduk. Memang dia sangat cintakan Fattah.
Tapi Fattah tak pernah beri kesempatan padanya untuk mendekati Fattah. Kerana
kecewa, dia bertemu dengan Mizal, teman lelakinya sekarang. Bersama Mizal, dia
menemui kebahagiaannya dan dalam masa yang sama dia juga menemui kehancuran
hidupnya. Dia mengenali dadah dari Mizal. Dan akhirnya, dadah menjadi kecintaan
padanya.
“Abang Fattah takkan terima aku lagi. Kau ingat,
lelaki sebaik Abang Fattah tu akan terima perempuan macam aku? Seorang
penangih?” Ain memandang Kamal.
“Tapi, Fattah juga macam kita. Kita dan dia,
sama-sama hamba dadah. Jadi?” tanya Kamal.
“Kau jangan bercakap buruk tentang Fattah! Abang
Fattah bukan penagih!” Walaupun dia bencikan Fattah sebab menolak cintanya.
Namun, dia tak suka bila nama Fattah diburukkan.
“Agaknya kau dah lupa. Fattah dihalau keluar dari
kampung sebab dadah!”
“Aku yang perangkap dia!” ujar Ain dengan tegas.
“Aku benci bila Abang Fattah tetap tolak aku. Jadi,aku minta Mizal perangkap
Abang Fattah. Dadah dalam beg galas Fattah tu, milik Mizal!” Tanpa berselindung
lagi, Ain terus menerangkan perkara yang sebenar.
“Astaghfirullahal a’zim……..” Zehra yang masih
bersembunyi di situ terus terduduk. Ya Allah, betapa berdosanya dia kerana
mencurigai Fattah yang tidak bersalah itu. “Abang Fattah….” Airmata Zehra terus
mengalir apabila mengingatkan Fattah.
------------------------------------------------------
(8 bulan lalu)
Zehra mendekati Fattah yang sedang menunggu di bawah
pohon cermai. Ada bagasi di sisi Fattah. Tentu lelaki itu sudah bersedia untuk
melangkah pergi dari kampung ini.
“Assalamualaikum…” sapa Zehra.
“Waalaikummussalam,” balas Fattah seraya menoleh
memandang Zehra. Fattah mengukirkan senyuman pahit buat Zehra.
“Ada apa Abang Fattah nak jumpa dengan Zehra?” hati
Zehra seakan tertutup untuk bertemu dengan Fattah.
“Abang akan pergi Zehra.” Ada nada sedih dari
suaranya. “Zehra percayakan abang, kan?”
“Entahlah bang. Zehra tak tahu…” dalih Zehra.
“Zehra tak percayakan abang.” Nampak jelas di wajah
Zehra. “Terpulanglah pada Zehra sama ada nak percayakan abang atau tak.” Tiada
gunanya mendesak Zehra agar percaya padanya. Insya-Allah, suatu hari nanti
Zehra akan tahu sendiri. “Cuma, abang minta Zehra tunggu abang. Boleh?”
Zehra diam.
“Boleh tak Zehra tunggu abang?” Sekali lagi Fattah
bertanya. Besar harapannya agar Zehra sanggu menanti kepulangannya.
“Entahlah, bang. Tapi, Zehra….” Zehra serba salah.
Melihatkan Zehra, Fattah sudah dapat mengagak apa
yang ada dalam hati Zehra. Dia telah hilang kepercayaan Zehra.
“Tak apalah. Abang faham.” Sugul sahaja wajah
Fattah.
“Abang,” Zehra menarik nafas yang panjang.
Perlahan-lahan dia menarik cincin pertungannya yang terlekat di jari lalu dia
menghulurkan pada Fattah. “Mungkin, jodoh bukan milik kita.”
Fattah yang sudah sebak di dada, mencapai juga
cincin yang dihulurkan Zehra. “Tak mengapalah Zehra. Biarlah masa depan kita,
Allah yang tentukan. Abang akan mendoakan kebahagiaan Zehra.”
“Terima kasih, bang.”
-------------------------------------------------------------
(Ramadan 3)
Perlahan-lahan Zehra menyusup keluar dari hutan itu. Dengan hati-hati, akhirnya dia tiba di lorong kecil. Namun, malang tak berbau. Tiba-tiba sahaja sebuah motorsikal berhenti di depannya.
Lelaki yang menunggang motorsikal itu memandangnya.
Tentu lelaki itu kehairanan kenapa dia baharu keluar dari hutan itu. Zehra
terus memandang lelaki itu. Rasa hatinya sudah terdetik rasa kurang enak.
Lelaki itu memerhatikannya dengan tajam. Dia tak kenal siapa lelaki itu. Lelaki
itu, bukan orang kampung ini. Lelaki itu seakan mahu menuju ke dalam hutan di
mana dia baharu keluar tadi.
"Kau buat apa dalam hutan tu?" tanya
lelaki itu dengan sedikit ada keras.
"kau siapa?" Zehra terus bertanya tanpa
rasa takut.
Lelaki itu turun dan motorsikal ya. Zehra pasti,
tentu lelaki tentu salah seorang dari mereka. Tentulah lelaki itu takut
rahsianya mereka terbongkar jika dia tahu apa yang berlaku di dalam hutan itu.
Dengan berani, Zehra terus berpandangan dengan
lelaki itu. Lelaki itu yang terus memerhatikan Zehra ketawa sinis melihat
keberaniannya.
"kau tu perempuan je. Kau ingat kau boleh lawan
aku?"
"huh! Kau kau benar anak jangan. Jangan hanya
berdiri dan tahu mengugut!" Zehra membalas. Mujurlah dia sentiasa
berseluar panjang di dalam walaupun dia sering mengenakan baju kurung. Ilmu
silat yang dipelajari masih tersimpan kemas di dadanya.
Lelaki itu ketawa terbahak-bahak seakan
mempermainkan Zehra. “Kau tentu dah lihat apa yang ada di dalam tu, kan?”
Isyarat mata lelaki itu menunjukkan kepada hutan itu.
Zehra tersenyum sinis. “Aku tahu, dan aku dalam
perjalanan ke rumah ketua kampung.” Sinis sekali Zehra melemparkan senyumannya
buat lelaki itu.
Lelaki itu mendengus. “Kau ingat aku akan biarkan
sahaja. Sebelum sempat kau hancurkan kami, aku akan hancurkan kau dulu.”
“Dengan segala hormatnya,” Zehra hanya memerhatikan
langkah lelaki itu yang berpusing-pusing di kelilingnya. Dia hanya menunggu
bila lelaki itu akan bertindak. Ilmu silatnya hanya akan digunakan untuk
mempertahankan diri bukan untuk memulakan pergaduhan.
“Iyah!!!” lelaki itu cuba menerkam Zehra. Pantas
Zehra mengelak dan menghadiahkan satu tumbukan di belakang badan lelaki itu
sehingga dia terjatuh. Nampak jelas lelaki yang sedang berhadapan dengannya ini
tidak punya ilmu persilatan.
Dek kerana geram dengan tindakan Zehra dan juga
kerana malu dijatuhkan oleh seorang perempuan, lelaki itu bangkit semula. Dia
terus terusan menyerang Zehra. Sayangnya, Zehra lebih pantas pergerakannya
sehingga lelaki itu rabah ke tanah dan tak mampu untuk mengangkat tubuhnya
lagi.
Kini, Zehra merasa bersyukur kerana abah dan mak
menghantarnya untuk mempelajari ilmu pertahankan diri. Kata-kata abah benar,
seorang gadis perlukan ilmu persilatan untuk mempertahankan dirinya!
“Beritahu pada aku. Siapa kau dan apa yang kau buat
di sini? Mereka di dalam tu, semua kawan kau?” Zehra mencekak baju lelaki itu.
“Kami tak buat apa-apa. Kami tak kacau orang
kampung. Aku datang sini sebab nak ambil barang aku!” ujar lelaki itu.
“Barang kau? Dadah?!” Tempik Zehra lagi.
Dengan tidak berdaya, lelaki itu mengangguk.
Jadi, benarlah apa yang dilihatnya itu dadah? Ain
dan Abang Kamal juga terbabit? Astaghfirullahal A’zim…..
“Zehra!” Tiba-tiba satu suara menegurnya. Hassan
tiba di situ dengan menaiki motosikalnya. “Ada apa ni?” Terkejut Hassan melihat
pemuda yang sudah terbaring ke tanah di sisi Zehra itu.
“Mereka ni semua dah burukkan nama kampung kita.
Dia!” Zehra menunjukkan pada lelaki itu. “Kawan-kawannya ada di dalam.”
“Tak apa…..Zehra pergi jumpa tok penghulu dan
beritahu. Biar Pakcik tunggu di sini,” ujar Hassan walaupun dia tidak tahu
hujung pangkal apa yang dikatakan Zehra.
“Baiklah, pakcik.”
------------------------------------------------------
(Ramadan 3)
Kecoh satu kampung dengan penangkapan Ain, Kamal dan beberapa pemuda dari luar. Tiada siapa pun yang percaya kampung mereka telah dicemari dengan najis dadah. Tambahan pula, Ain dan Kamal juga terbabit.
“Terima kasih Zehra. Kalau bukan kerana kamu, tentu
kita semua takkan tahu tentang perkara ni,” ujar ketua kampung. Kedengaran
suara-suara dari orang kampung yang turut mengiayakan kata-kata ketua mereka.
Zehra hanya tersenyum. Dia gembira dengan
penangkapan mereka namun dalam masa yang sama, peristiwa ini mengingatkannya
pada Fattah. Abang Fattah, masihkah ada
kemaafan untuk Zehra?
Mata
Zehra menangkap susuk tubuh Zainab dan Hassan disebalik keramaian orang kampung
yang membanjiri rumah ketua kampung. Zehra mendekati mereka.
“Pakcik,
terima kasih sebab bantu Zehra.”
Hassan
hanya tersenyum dan mengangguk. “Pakcik tak buat apa-apa pun Zehra.”
“Pakcik,
makcik, Zehra nak minta maaf.” Aimata Zehra bergenang lagi. “Zehra dah tahu.
Abang Fattah tak bersalah.” Airmata Zehra terus tumpah. “Makcik, boleh tak
kalau Zehra nak jumpa dengan Abang Fattah?” Zehra memandang wajah Zainab.
“Tolonglah makcik………….”
“Nantilah.
Makcik tanya dengan Fattah dulu.” Kasihan pula melihat Zehra. Tapi, dia tak
akan beritahu di mana Fattah berada tanpa keizinan Fattah.
Zehra
terus memeluk Zainab dengan erat. Sebak hatinya mengingatkan segala
kesalahannya pada Fattah. “Makcik, tolong beritahu Abang Fattah, Zehra minta
maaf pada dia. Zehra menyesal.”
Zainab
mengusap-ngusap belakang Zehra. “Insya-Allah….”
-------------------------------------------------------------
(25 Ramadan)
Fattah dah maafkan Zehra. Namun,
Fattah tak mahu berjumpa dengan Zehra. Itulah yang dikhabarkan Zainab pada
Zehra. Hancur luluh perasaan Zehra saat mendengar keputusan Fattah. Tentu hati
Fattah terlalu hancur dengan keputusannya yang memutuskan pertunangan mereka.
Abang Fattah, maafkanlah Zehra!
Hatinya terus meraung namun dia masih cuba mengawal diri dan menerima kenyataan
hidup. Fattah, masih belum melupakan apa yang berlaku.
“Zehra,” Limah menepuk bahu
Zehra. “Jom!” Limah menarik tangan Zehra.
Hari ini, mereka akan ke pekan
untuk membeli persiapan raya. Jauh di sudut hati Zehra, dia langsung tidak
merasa gembira untuk menyambut perayaan kali ini. Semuanya suram tanpa Fattah.
Kalaupun Fattah tak mahu menerimanya semula, cukuplah jika Fattah pulang. Biar
dia melihat Fattah dari jauh.
Tapi, kata makcik Zainab, Abang
Fattah tak mahu pulang. Pulanglah Abang Fattah….
Di pekan……………
Matanya memangkap susuk tubuh
Fattah yang sedang memilih baju Melayu bersama seorang wanita. Kaku langkah
Zehra di depan kedai itu. Abang Fattah dengan wanita lain? Wanita pengganti
dirinya?
Fattah yang sedang sibuk
membelek-belek baju Melayu, terpandang susuk tubuh Zehra yang terpaku di depan
kedai di mana dia berada. Pandangan Zehra terus mati padanya.
“Zehra?”
“Siapa?” tanya Safiyyah.
Fattah menoleh seketika pada
Safiyyah.
“Zehra,” ujar Fattah sekali lagi.
Langkah Fattah terus menghampiri Zehra dan berdiri di depannya.
Safiyyah mengikut Fattah dari
belakang.
“Zehra?” Sekali lagi Fattah
menyebut nama Zehra. “Zehra datang dengan siapa?”
Zehra menunduk seketika. Dia
memujuk hatinya agar mengukirkan senyuman dan cuba mengawal perasaannya. Zehra
mengangkat semula wajahnya. Satu senyuman dilemparkan buat wanita di sebelah
Fattah.
“Zehra datang dengan mak dan
ayah.” Ketika berkata begitu, Ziyad dan Limah muncul.
“Fattah!!” Ziyad terus memeluk
tubuh itu. Dia begitu rindu pada Fattah. Ketika di kampung, Fatta sering
menjadi penemannya ke surau dan ke mana-mana sahaja. Sejak Fattah pergi, dia
sendirian.
“Pakcik apa khabar?” tanya Fattah
setelah pelukan dileraikan.
“Alhamdulillah,” Ziyad menyapu
air jernih yang bergenang di kolam matanya. “Siapa ni?” tanya Ziyad apabila
melihat wanita di sebelah Fattah.
“Ini Safiyyah. Safiyyah, kenalkan
ini Zehra, Pakcik Ziyad dan Makcik Limah.”
Sempat Zehra menyambut huluran
tangan Safiyyah sebelum dia terus tenggelam bersama perasaannya. Benar, Fattah
telah menemui penggantinya.
-------------------------------------------------------------
(30 Ramadan-Petang)
Zainab memeluk Zehra dengan erat.
Sebak hatinya melihat kesugulan wajah Zehra. Tiada apa yang bisa dilakukan lagi
untuk memujuk Zehra.
“Abang Fattah takkan balik?”
tanya Zehra sekali lagi. Sudah sering dia bertanya soalan itu.
Zainab menggeleng kepala.
“Tak mengapalah.” Zehra cuba
mengukirkan senyuman. “kasihan pakcik dan makcik. Hanya beraya berdua saja.”
Kasihan pada dirinya juga. Orang yang ditunggu, takkan pulang untuk menyambut
Syawal bersama.
“Tak mengapalah. Biarlah Fattah
sejukkan dirinya dulu. Marahnya pada orang kampung masih belum reda.”
Zehra hanya membisu. Bukan sahaja
pada orang kampung, dia tahu marah Fattah lebih pada dirinya. Fattah kecewa
kerana dia tidak percaya pada Fattah.
“Nanti pagi raya, Zehra datang
rumah makcik ya. Sekurang-kurangnya hilanglah rindu makcik pada Fattah.”
Zehra mengangguk. Dia pasti
datang ke sini. Walaupun Fattah tiada, cukuplah dia dapat melihat orang tua
Fattah.
-----------------------------------------------------------
(1 Syawal)
Takbir bergema. Syahdu dan sayu
menyusup ke dalam jiwa. Zehra terus menitiskan airmatanya. Di pagi mulia ini,
insan bergembira menyambut Syawal. Kanak-kanak tertawa riang. Namun, hatinya di
runtun duka.
Benar, bukan dia seorang sahaja
yang mungkin berduka. Ramai lagi manusia yang tidak bernasib baik sedang
menitiskan air mata. Namun, airmata ini terus mengalir walaupun tanpa paksaan.
Dia berduka atas kebodohannya sendiri.
Jauh dalam sudut hatinya, dia
masih mengharapkan kepulangan Fattah. Dia menantikan kepulangan Fattah walaupun
kepulangan Fattah nanti melukakan perasaannya. Dia masih ingat pada wanita yang
bersama Fattah tempoh hari. Biarlah dia tidak dapat bersama dengan Fattah,
asalkan Fattah pulang semula ke kampung. Itu sudah cukup baginya.
“Zehra!” Limah mengetuk pintu.
Pantas Zehra menyeka airmatanya. Dia
berdiri di depan cermin dan membetulkan pakaiannya. Lantas, dia membuka pintu.
“Ada orang cari Zehra.”
Zehra melangkah keluar. Terkejut dia
melihat Safiyyah berdiri bersama senyumannya.
“Zehra,” Safiyyah bersalam dengan
Zehra.
“Safiyyah buat apa dekat sini?”
“Saya datang dengan Abang Fattah,”
ujar Safiyyah.
“Abang Fattah balik?” terpancar
keceriaan di mata Zehra. Namun, keceriannya itu hilang semula apabila menyedari
Fattah pulang bersama Safiyyah.
“Saya datang sini sebab Makcik
Zainab yang suruh.”
“kenapa?”
“Makcik Zainab kata, dia ada
pesan ketupat dekat Zehra. Dia minta saya ambilkan.”
Zehra terangguk-angguk. Memang dia
berniat untuk ke rumah Makcik Zainab untuk menghantar ketupat, sekali gus
beraya dengannya.
“Marilah. Kita pergi sekali. Saya
pun memang nak jumpa dengan makcik dan pakcik sebab saya dah janji.” Zehra
mengambil ketupat Makcik Zainab dan beriringan dengan Safiyyah.
Sampai sahaja di rumah Makcik
Zainab, Zehra terus ke pintu belakang manakala Safiyyah sudah masuk melalui
pintu depan.
“Makcik, ini ketupat makcik,”
ujar Zehra usai memberi salam dan beraya dengan Zainab.
“Zehra dah jumpa Abang Fattah?”
tanya Zainab.
Zehra menggeleng. Kemudian, dia
membantu Zainab menyediakan hidangan.
“Makcik, Zehra balik dululah.”
Zehra memintya diri sebaik sahaja dia selesai membantu Zainab.
“Dah nak balik?”
“Zehra nak tolong mak pulak.
Lagipun, Abang Fattah dengan safiyyah kan ada.” Zehra mengukirkan senyuman.
“Kiram salam dengan mak ya.
Insya-Allah, kalau tak ada apa-apa, nanti makcik sekeluarga datang melawat.”
“Zehra balik dulu, ya.” Zehra
bersalam dengan Zainab lalu melangkah keluar. Bukan dia tidak sudi berada lebih
lama di rumah itu. namun, dia tidak sangka Fattah akan pulang bersama dengan
Safiyyah. Kepulangan Fattah yang dinanti sudah berubah. Memang dia gembira
dengan kepulangan Fattah. Tetapi dalam masa yang sama hatinya turut berduka.
“Zehra,” satu suara menegurnya.
Fattah!
Zehra pantas menoleh memandang
Fattah. Namun kemudian dia tertunduk memandang tanah.
“Zehra tak gembira abang dah
pulang?” tanya Fattah.
Zehra mengukirkan senyuman. Dia memandang
Fattah. “Tentulah Zehra gembira.” Fattah yang berbaju Melayu hitam kelihatan
begitu segak di matanya. Tentu Fattah baharu pulang dari menunaikan sembahyang
raya.
“Tentulah Zehra gembira.” Ringkas
sahaja jawapan Zehra. “Abang Fattah, maafkan semua kesalahan Zehra. Zehra
banyak buat salah dengan abang.”
“Tak, Zehra,” ujar Fattah. “Zehra
tak salah apa-apa dengan abang. Cuma, kalau boleh abang nak minta tolong dengan
Zehra.”
“Tolong apa?”
“Tolong terima abang semula.”
Zehra sudah ternganga. Betulkah apa
yang didengarnya.
“Zehra boleh terima abang semula,
kan?” tanya Fattah sekali lagi.
“Tapi…. Safiyyah….” Lidah Zehra
kelu.
“Safiyyah?” Fattah ketawa kecil. “Sejak
kita bertemu di pecan tempoh hari, abang yakin Zehra masih sayangkan abang.
Betulkan?”
Zehra tidak menjawab. Dia hanya
menundukkan wajahnya.
“Sebenarnya, Safiyyah tu saudara
susuan abang. Waktu abang kecil, mak Safiyyah yang menjaga dan menyusukan abang
sehingga abang berusia dua tahun. Waktu tu, mak abang sakit sebab tulah dia
serahkan abang pada mak Safiyyah.”
“Makcik sakit apa?”
“Entahlah. Tapi dari cerita abah,
mak terkena perbuatan orang. Siapa, abang tak tahu sebab mak dan abah tak
beritahu apa-apa pada abang,” cerita Fattah. “Ketika abang keluar dari kampung
ni, abang tinggal bersama keluarga Safiyyah,” sambung Fattah. “Jadi, Zehra
boleh terima abang semula?”
Dengan rasa malu, Zehra megangguk
perlahan. Fattah sudah mengukirkan senyuman.
“Tapi kali ni, abang tak nak
bertunang lagi. Kita kahwin terus. Dugaan masa bertunang ni….” Fattah
menggeleng. “Abang takut kita tak mampu hadapinya lagi. Abang tak nak kita
terputus lagi! Abang nak Zehra jadi milik abang yang sah. Nanti abang akan
minta mak dan abah berbincang dengan mak dan ayah Zehra.”
“Assalamualaikum….” Sapa satu
suara.
Zehra dan Fattah berpaling
memandang empunya suara sambil menjawab salam.
“Abang Kamal?” Terkedua Zehra
melihat kelibat itu. “Bukan Abang Kamal….”
Kamal sudah tersengih-sengih
melihat Zehra. Tentu sahaja Zehra terkejut dengan kehadirannya.
“Begini, Zehra. Sebenarnya, abang
yang minta pertolongan Abang Kamal untuk mencari siapa yang cuba perangkap
abang. Tapi, tak sangka pulak Zehra yang berjaya bongkarkan rahsia tu sebelum
Abang Kamal bertindak.” Memang Fattah berbangga apabila diberitahu tentang
tindakkan Zehra itu.
“Patutlah!” Zehra hanya
tersenyum. Baharulah dia tahu perkara yang sebenar. Memang dia langsung tak
dapat percaya bila melihat Kamal bersama Ain ketika di hutan.
“Zehra memang berani!” puji
Kamal.
“Abang Kamal lagi berani!” balas
Zehra.
“Demi untuk sahabat dan sepupu
abang, Fattah, abang akan lakukan apa sahaja untuk membersihkan namanya!”
Zehra tertunduk. Abang Kamal
sangat percaya pada Fattah. Dia membela Fattah apabila nama Fattah tercalar. Sedangkan
dia? Dia sebagai tunang Fattah pun tidak percayakan Fattah.
“Maafkan Zehra sebab tak
percayakan Abang Fattah sebagaimana Abang Kamal percayakan Abang Fattah.”
“Tak mengapalah Zehra. Zehra
patut curiga pada abang. Itu membuktikan cinta Zehra pada abang bukan cinta yang
membabi buta sehingga keburukkan juga dianggap baik. mungkin kerana itu, Allah
menyatukan kita semula.”
Kamal yang berdiri di sisi Fattah
sudah terangguk-angguk.
Zehra hanya tersenyum. Mungkin,
tak keterlaluan jika dia katakan inilah Syawal yang paling bermakna dalam
hidupnya. Fattah sudah pulang. Bukan sahaja pulang ke kampung, malah pulang
kepadanya. Syukur, Ya Rabb atas segala pertolongMU.
-tamat-
------------------------------------------------------------
Terima kasih buat semua pembaca
blog dan followers. Ini adalah N3 yang terakhir sehingga cuti raya nanti, ya.
Insya-Allah, bila pulang dari cuti raya nanti saya akan postkan N3 baru utk
Ilham Hati dan Putera Arab. Untuk pengetahuan semua, saya sedang mencari tajuk
baru bagi menggantikan Ilham Hati kerana tajuk itu sama dengan karya penulis
Damya Hanna dan novel itu telah ada di pasaran.
Selamat menyambut Lebaran. Saya
mohon berjuta kemaafan jika ada salah dan silap saya sepanjang saya membuka
blog ini. Buat teman Fb, terima kasih kerana sudi menjadi teman saya walaupun
saya hanyalah seorang penulis biasa………
SaLaM aIdiLfItRi
MaAf ZaHiR dAn BaTiN
-dari saya sekeluarga-
----------------------------------------------------------------------
No comments:
Post a Comment