Monday 19 September 2011

Lukisan Cinta 8



AMANI mengintip Jalil dibalik dinding. Malam tadi Jalil mabuk lagi. Seperti biasa, Hafiz akan mengambilnya dari kedai Ah Chong dan membawanya pulang. Amani bersandar pada dinding.

Dia bertekad. Dia tak mahu menunggu lebih lama. Hari ni telah masuk hari kelima Zaiton tidak pulang. Jika dia terus menunggu lebih lama, dia khuatir jika Jalil akan mengambil kesempatan terhadapnya.

Setelah yakin dengan keputusannya, Amani mengemas pakaiannya yang masih ada sedikit di dalam almari. Kebanyakkan pakaiannya berada di dalam bagasi yang hilang itu. Setelah mengemas, dia ke dapur dan menyediakan sarapan pagi buat Jalil dan Hafiz. Ini adalah sarapan terakhir yang akan disediakan.

Mengingatkan Hafiz dia sedikit ralat. Bukan dia mahu mementingkan diri dan meninggalkan Hafiz, tetapi dia perlu mementingkan dirinya sendiri. Masa depannya perlu ditentukan sendiri. Dia juga yakin Hafiz bisa bertahan tanpanya. Selama ini Hafiz yang menjaganya bukan sebaliknya.

Setelah menghidangkan sarapan di atas meja, Amani kembali ke kamar Jalil dan melihatnya masih belum sedarkan diri. Inilah peluang terbaik untuk dia keluar dari situ. Amani mencapai beg galasnya dan melangkah keluar.

Hafiz yang kebetulan baru keluar dari kamar mandi melihat Amani melangkah keluar dengan beg dibelakangnya.

“Kakak! Kakak nak ke mana?” dia terus menarik beg Amani apabila gadis itu membisu dan terus berlalu.

“Lepaslah Hafiz! Aku nak pergi dari sini!”

“Kakak! Kakak jangan pergi!” Hafiz terus menahannya.

“Aku perlu pergi dari sini. Kau jaga diri kau! Aku yakin kau mesti dapat masuk sekolah asrama lepas ni!”

“Tapi kak…..macam mana kalau mak cik balik?” Tanya Hafiz yang khuatir jika Zaiton pulang dan mendapati Amani sudah tiada.

“Dah lima hari dia pergi. Kau ingat lagikan? Tempoh lagi tiga hari yang aku beri pada dia dah tamat. Sama ada dia akan pulang atau tak, aku tetap akan pergi!”

Amani terus berjalan keluar. Hafiz pula membontotinya sambil memujuknya agar jangan pergi meninggalkannya. Hafiz tidak kisah jika Amani meninggalkannya asalkan ada Zaiton bersama. Dia tidak boleh membiarkan Amani keluar sendirian.

“Kakak!!” jeritan Hafiz dibiarkan berlalu begitu sahaja. Amani bertekad, dia tidak akan berpaling lagi. Belum sempat dia hilang dari pandangan Hafiz, dua orang lelaki menghalang dan berdiri di depan Amani.

Amani merenung kedua-dua lelaki itu. Seorang lelaki separuh umur dan seorang lelaki muda. Lelaki muda itu mengukir senyuman melihatnya sambil memeluk tubuh dan menatap wajahnya.

Hafiz yang masih ada di belakang kaget melihat kedua-dua lelaki itu. Siapa mereka? Hatinya tertanya. Dia menghampiri dan berdiri bersebelahan dengan Amani.

Amani mengerutkan keningnya memandang lelaki muda itu dengan renungan kurang senang. Terjungkit kening lelaki muda itu menerima pandangan yang menggerunkan itu. Tiada sekelumit sikap mesra dan senyuman yang ditunjukkan gadis di depannya. Pertama kali dia menerima pandangan sebegitu dari seorang gadis.

“Awak Amani?” Lelaki muda itu bertanya.

“Puan Zaiton menghantar saya ke sini,” beritahunya setelah tiada balasan pada soalannya sebentar tadi. “Saya, Izz….” Dia menghulurkan salam perkenalan.

Huluran tangannya dipandang sekali lalu sahaja oleh Amani. Wajah sinis Izz dipandang tajam. Izz menelan air liurnya.

Gadis ini begitu…….kosong…

Pandangan pertama yang terlintas di fikiran Izz. Kosong…..dia sendiri tidak mengerti mengapa perkataan itu yang terlintas di fikirannya. Tetapi itulah yang di rasakan pada gadis itu. Cantik walaupun dalam pakaian yang kurang terurus, tetapi kosong.

“Izz….” Panggil lelaki yang separuh umur di sebelahnya sekaligus membuatkan pandangannya yang kaku pada Amani beralih.

“Pak Bakri pergilah jumpa dengan saudara Puan Zaiton. Saya tunggu Amani di sini,”ujar Izz. Pak bakri mengangguk kepalanya tanda mengerti dengan arahan itu.

Izz melihat Pak Bakri menghampiri Hafiz dan berkata sesuatu padanya.

Pak Bakri mengangguk faham apabila Hafiz memberitahu Jalil tiada di rumah dan sudah keluar untuk bekerja. Bukan niat Hafiz mahu berbohong. Rasanya tidak enak apabila orang lain mengetahui Jalil masih dalam keadaan mabuk dan tertidur di dalam. Apatah lagi apabila dia mendengar mereka mengatakan Jalil adalah saudara Mak Cik Zaiton.

Tentu pandangan serong akan mereka lemparkan pada Mak Cik Zaiton apabila mengetahui keadaan Jalil. Sekaligus, Amani juga akan terkena tempiasnya. Apa yang dikhuatirkannya adalah Amani. Dia tidak mahu Amani terus terusan terluka hati dan perasaannya.

Pak Bakri menyerahkan semula cincin yang dikirim Puan Zaiton kepada Hafiz. Hafiz sedikit tergamam melihat cincin itu. Tetapi dia menarik nafas lega kemudiannya. Pasti mereka berdua datang ke sini untuk membawa Amani kepada Zaiton. Jadi, tiada apa yang perlu dirisaukan lagi.

Amani menjeling Izz yang masih lagi merenung wajahnya. Tajam jelingan itu hingga membuatkan Izz tersenyum sinis. Dia benar-benar tidak pernah menerima salam perkenalan yang begitu dingin dan sedikit panas. Gadis yang tanpa senyuman ini benar-benar menarik perhatiannya.

Amani melepasi Izz untuk berlalu pergi. Dia tidak mahu tahu apa tujuan mereka datang ke mari. Hanya yang dia tahu dan apa yang perlu dilakukan adalah pergi dari situ.

Belum pun sempat Amani melepasi Izz, lelaki itu pantas memegang pergelangan tangannya. Tindakan yang drastik itu pantas membuatkan Amani beralih memandang tepat wajah Izz. Izz masih seperti tadi dengan senyuman diwajahnya.

“Saya akan bawa awak kepada ibu awak!”

“Lepaslah!!!” jerit Amani betul-betul di telinga Izz sehinggakan Izz terus melepaskan tangannya dan menutup telinga. Terkejut dia dengan suara itu.

Amani tersenyum sinis melihat lelaki itu menggosok-gosok telinganya. Satu lagi jelingan tajam dilemparkan bersama senyuman sinis dan dia berlalu pergi. Tetapi sekali lagi pergelangan tangannya dicapai Izz.

“Awak fikir saya akan lepaskan awak pergi?”





IZZ yang berada di sebelah Pak Bakri yang sedang memandu kereta melirik Amani dengan cermin pandang belakang. Sedari tadi gadis itu mendiamkan diri. Tiada satu perkataan yang keluar dari bibirnya. Tidakkah gadis itu mahu bertanya apa-apa tentang ibunya?

Izz kembali membuang pandangannya ke depan. Walaupun gadis itu dingin dan beku tetapi ada sesuatu yang menarik tentang gadis itu. Bukan kerana wajahnya yang cantik dan kulit yang bersih, tetapi ada sesuatu yang bisa membuatkan dia teruja untuk mendekati gadis itu dengan lebih dekat.

“Saya nak ke tandas!” Izz memandang Amani yang tiba-tiba bersuara melalui cermin depan .

Pak Bakri memandang Izz. Izz menganggukkan kepalanya tanda membenarkan permintaan Amani.

Tiba sahaja di stesen minyak berdekatan, Pak Bakri terus memandu masuk dan berhenti bersebelahan dengan bangunan tandas. Amani turun dari kereta tanpa membawa beg galasnya. Dia terus hilang dari pandangan mereka.

Setelah sepuluh minit berlalu, kelibat Amani masih belum kelihatan. Izz sudah mula kelihatan gusar. Sebelum mereka keluar dari Ilham Hati untuk menjemput Amani, Puan Zaiton ada berpesan, kemungkinan Amani akan cuba untuk melarikan diri kerana Amani tidak mudah percaya dengan orang yang tidak dikenali.

“Pak Bakri tunggu sini, saya nak cari Amani!”

Izz terus berlalu ke bangunan tandas. Sampai sahaja di depan tandas perempuan kelihatan seorang wanita baru berjalan keluar dari situ.

“Cik….” Dia memanggil. “Maaf!” Izz menundukkan sedikit kepalanya. “Ada orang lain di dalam tandas?”

Wanita itu menggeleng dan terus berlalu pergi. Bibir Izz sudah di ketap. Memang benar gadis itu melarikan diri.

Izz memandang sekeliling dan meninjau kawasan berdekatan. Gadis itu tak mungkin boleh pergi jauh. Izz menuruni bukit di belakang bangunan itu. Firasatnya mengatakan, hanya ini satu-satunya jalan yang boleh menutup perhatiannya dari parkir tadi. Jadi, inilah jalan yang di ambil Amani.

Sampai sahaja di laluan kecil di bawah kaki bukit Izz terhenti. Dia ragu-ragu jalan mana yang harus diambil. Kanan atau kiri. Setelah agak lama berkira-kira sendiri, dia memilih untuk mengikut laluan kanan. Dia berlari-lari anak sambil matanya liar mencari kelibat Amani.

Hampir lima minit terus berlari matanya menangkap susuk tubuh seorang gadis yang sedang berjalan seratus meter di depannya. Dia tersenyum. Walaupun dia tidak dapat melihat wajah itu namun dari pakaian dan cara berjalannya, dia pasti itu adalah Amani. Sukar untuk melupakan perkara tentang Amani yang dingin itu.

Dia terus berlari mendapatkan Amani. Jaraknya dan Amani kini hanya lima puluh meter.

“Amani…..”panggilnya.

Amani yang berjalan sambil terunduk pantas menoleh. Terkejut dia melihat Izz yang semakin menghampiri. Tanpa menunggu lebih lama dia terus berlari. Melihatkan Amani yang semakin laju meninggalkannya, Izz terus memecut.

Amani terus berlari. Sesekali dia menoleh ke belakang untuk memastikan kedudukan Izz. Rambutnya yang panjang dan lurus itu melayang ketika berlari.

Izz mengejar dan terus mengajar. Beberapa langkah sahaja lagi dia akan dapat mencapai Amani. Tangan kanannya dihulurkan ke depan untuk mencapai tubuh Amani. Tetapi masih belum sampai. Amani terus berlari dan Izz terus mengejar. Larian Amani semakin laju.

Sukar untuk mencapai Amani. Izz melajukan lariannya dan hampir sahaja dengan Amani dia terus melompat dan mencapai tubuh itu. Mereka berdua terjatuh dan bergolek turun turun dari bukit. Izz memeluk Amani dengan erat. Mereka menutup mata sehinggalah tubuh mereka berhenti bergolek.

Izz membuka matanya dan memandang Amani yang sedang di peluknya. Dengan perlahan, Amani membuka matanya dan memandang Izz yang berada di atas tubuhnya. Perasaannya berdegup kencang. Perasaan yang tidak pernah dirasakan sebelum ini.

“Awak….takkan dapat lari dari saya!”

1 comment: