Tuesday 4 September 2012

Ratu Hati Si Putera Arab 11








AUDRA melepaskan keluhan. Dia sudah kepenatan. Pejabat Tuan Syed Zikri yang sudah diubah semula kedudukan perabotnya dan dikeluarkan semua barang-barang milik Tuan Syed yang lama sudah selesai. Akhirnya, tugasnya untuk membantu Che Enon sudah berakhir. Dia berjalan keluar dan melihat semula barang-barang lama yang sudah dilonggokkan.
“Che Enon, barang-barang ni nanti jangan dibuang dulu. Tengok-tengoklah dulu mana tahu kalau ada barang yang masih dipakai. Nanti Syed Zikri marah pulak!” ujar Audra pada Che Enon.
“Hah, tahulah Che Enon. Terima kasih ya Audra sebab dah bersusah payah tolong Che Enon!” Che Enon merasa gembira tetapi sedikit rasa bersalah kerana menyusahkan Audra.
“Jangan terima kasih dulu Che Enon! Kang Tuan Syed tak puas hati, Che Enon jugak yang kena marah!” usik Zana yang sedang berehat di sofa sambil menikmati snek.
Audra menghampiri Zana dan duduk di sebelahnya. Kata-kata Zana langsung tidak dihiraukan. Zana menghulurkan snek kepada Audra. Audra menolak.
“Bagus kau ni! Aku kat dalam setengah nak mati dengan Pak Dollah dan Pak Sudin, kau bersenang lenang kat sini!” Audra menjeling. Mujur juga Pak Sudin datang membantu. Kerjanya menjadi mudah dengan bantuan dari Pak Sudin dan Pak Dollah.
Zana ketawa kecil melihat jelingan itu. “Lantaklah! Kau yang pandai-pandai nak sangat buat semua tu!” Zana membidas.
Audra menjeling geram melihat senyuman sinis Zana. Pandangannya beralih pula pada Che Enon yang baru muncul setelah hilang ke dapur. Dulang di tangan diletakkan di depan Audra dan Zana.
"Wah! Sedapnya! Puding susu!” Audra sudah menjilat bibirnya. Terliurnya!
“Ni special buat Audra. Audra suka makan puding, kan?” tanya Che Enon.
“Macam mana Che Enon tahu?” tanya Audra yang sudah bersinar matanya.
“Akulah beritahu Che Enon!” ujar Zana dengan pantas. “Kalau tak, tak merasalah kau puding susu ni!” Zana mengerling. “Aku pun tolong Che Enon siapkan makanan kesukaan kau. Termasuk,” Zana bangun lalu berlari menghilangkan diri ke belakang.
Audra sudah tidak sabar menanti kehadiran Zana. Entah apalah agaknya yang disediakan Zana dan Che Enon lagi?
“Jeng, jeng, jeng!” Zana muncul bersama semangkuk besar speggetti.
“Wah! Speggeti!” Wajah Audra semakin berseri-seri. Semuanya makanan kesukaannya!
“Terima kasih Che Enon! Terima kasih Zana!”
“Sama-sama!” Gembira hati Che Enon melihat wajah ceria Audra. Dia tahu Audra keletihan. Kasihan Audra kerana sudah bersusah payah membantunya menyusun kamar dan pejabat Tuan Syed Zikri. Memang Zana ada menyuarakan niatnya untuk membantu Audra. Tetapi dia memberi alasan yang dia lebih perlukan Zana untuk menyediakan hidangan. Ini semua kerana arahan Tuan Syed Zikri.
Dia melihat Zana dan Audra sudah menyedok spegetti masuk ke dalam mangkuk. Kemudian mereka berdua diam sambil menyuapkan speggeti dengan menggunakan chopstick. Pandai juga budak berdua ni menggunakan chopstick. Satu perkara baru yang dibelajarnya tentang mereka berdua adalah mereka berdua tidak akan bersuara ketika sedang makan!
Usai hidangan petang, Zana mengangkat semua piring-piring dan mangkuk-mangkuk yang sudah digunakan masuk ke dapur dan membersihkannya. Setelah itu, dia kembali semula bersama mereka.
“Che Enon, rumah ni beeeeesar sangat!” ujar Audra sambil matanya meneliti segenap ruang di situ. “Macam mana Che Enon jaga seorang diri?” tanya Audra.
“Sebelum ni, bukan Che Enon seorang sahaja yang bekerja di sini. Ada lagi pembantu lain selain Che Enon tetapi dia balik ke Indonesia!” terang Che Enon.
“Nasib baiklah ketika Che Enon tinggal seorang, Tuan Syed Zikri tak mahu tinggal di sini. Jadi tak susah sangatlah Che Enon nak jaga. Hari ni Che Enon kemaskan bilik yang tu, esok yang lain pulak! Kira tak ‘kalut’ sangatlah!” sambung Che Enon. “Tapi, kalau Tuan Syed dah masuk nanti, bilik dia hari-hari nak kena kemas. Lepas tu nak siapkan makan lagi. Eeii! Entahlah Che Enon! Harap-harap Tuan Syed akan cari pembantu lagi!”
“Hmm, betul Che Enon. Kalau Che Enon seorang, memang tak larat!” ujar Audra mengiakan kata-kata Che Enon.
“Che Enon,” kuis Zana perlahan. “Che Enon dah tengok bilik dan pejabat Tuan Syed? Manalah tahu kalau-kalau nak bagi komen sikit.” Zana mengusik Audra lagi.
“Nanti-nanti ajalah Che Enon tengok. Tak kisahlah macam mana pun. Janji dah berubah!” balas Che Enon. Memang dia tidak takut jika Tuan Syed Zikri tidak berpuas hati sebab Tuan Syed Zikri sendiri mengarahkan agar dia membenarkan Audra menyusun mengikut caranya sendiri.
“Dalam rumah ni, ada gambar Syed Zikri tak? Syed Zikri tu, macam mana orangnya?” Penasaran juga hati Audra untuk mengetahui siapa gerangan pemilik nama Tuan Syed Zikri ini.
“Tuan Syed kan baru nak berpindah ke sini. Manalah ada barang-barang dia!” ujar Zana dengan fahaman sendiri.
“Itu aku tahulah. Tapi kenapa dia tak bawa barang-barang dia? Yang aku nampak kat atas tu cuma satu beg je!” balas Audra.
“Che Enon rasa dia cuma bawa barang-barang yang penting je. Yang lain tu mungkin ditinggalkan di rumah lamanya,” sampuk Che Enon.
“Macam mana rupa Syed Zikri tu, Che Enon? Macam ayah dia atau ibu dia?” tanya Audra lagi.
“A’ah, Tuan Syed tu kacak tak?” Zana juga kelihatan teruja mahu tahu tentang pemilik rumah besar itu.
Che Enon tersenyum melihat keletah mereka berdua. “Kacak! Wajah dia lebih mirip dengan ibunya. Dari semua segi, mata, mulut dan bentuk wajah. Cuma, warna kulit dan hidung sahaja yang mengikut ayahnya. Tuan Syed, kulitnya putih kemerahan dan hidungnya mancung. Macam orang Arab. Rambut dan matanya berwarna perang.”
“Wah! Putera Arab tu! Audra, kau tak nak try ke?” usik Zana yang sudah tersengih-sengih.
"Putera Arab?" Terus Audra terbayangkan pemuda yang ditemuinya di tepi tasik. Dia sendiri tidak pasti mengapa dia tidak pernah melupakan seraut wajah itu sehingg saat ini.
"Eh, kau ni kenapa?" Zana menyiku Audra yang sudah tenggelam dalam khayalan. "Ni mesti tengah bayangkan wajah Tuan Syed. Nak try-lah tu," usiknya lagi.
“Banyaklah! Kau tak payahlah nak sindir-sindir. Aku sedar diri lagi tau!” Wajah Audra sudah berubah. “Tapi di ruang tamu ni masih banyak gambar-gambar keluarga ni dan perhiasan yang tak sepatutnya ada.” Mata Audra sudah memandang sekeliling.
“Ah sudah! Takkan kau nak kemas jugak?!” Zana bagai sudah dapat dibaca fikiran kawannya itu.
Audra tersengih-sengih memandangnya.
“Apalah yang kau susahkan sangat tentang Tuan Syed ni?!” Zana sudah mencebikkan mukanya.
“Kau nak tahu sesuatu?” tanya Audra.
“Apa?”
“Aku rasakan, Tuan Syed ni pemilik syarikat Warisan Syed!” Audra meneka.
“Mana kau tahu?” tanya Zana. Kata-kata Audra itu menarik minatnya.
“Rumah ni saja bernama Rumah Warisan. Pemilik rumah ni, digelar Tuan Syed dan syarikat yang kita nak pergi temuduga tu Warisan Syed. Kau tak rasa ke ada sangkut paut?” Audra menjungkitkan keningnya. “Betul tak Che Enon?” Kali ini pandangan mereka berdua jatuh pada Che Enon.
Sebenarnya, ketika Audra menyusun pejabat Tuan Syed Zikri dia terlihat beberapa fail yang tertulis nama 'Warisan Syed'. Sengaja dia mahu mendengar dari mulut Che Enon sendiri.
Wajah Che Enon sudah berubah. Apa yang perlu diterangkan? Dia sendiri kurang pasti adakah ini juga perlu dirahsiakan atau tidak. Tapi, seingatnya Tuan Syed Zikri hanya mahu dia dikenali sebagai Encik Zack, orang kanan Tuan Syed Zikri. Tapi dia tak ada minta untuk merahsiakan yang Tuan Syed Zikri adalah Pengarah Warisan Syed.
“Ya, ya, betul!” Akhirnya Che Enon bersuara. “Audra dan Zana ada temuduga dengan Warisan Syed?” Che Enon pura-pura tidak tahu.
“Hmmm,” Zana menganggukkan kepala. “Dah kebetulan hari ini kami berdua banyak membuat jasa di rumah ni, apa kata kalau Che Enon masukkan jarum kat Tuan Syed untuk ambil kami berdua berkerja di sana.”
Audra menyiku Zana. “Banyak sungguhlah jasa kau ek,” Audra mengejek.
Zana sudah tersengih.
“Tak pe, tak pe. Lepas ni aku tolong! Janji!” Zana mengangkat tangannya.
Audra hanya menjeling. “Pukul berapa pembantu Syed Zikri akan datang?” tanya Audra apabila teringat semula tentang itu.
“Encik Zack?” Che Enon menggaru-garukan dagunya. Kata Tuan Syed Zikri dia akan sampai sebelum jam enam petang. Tapi, sekarang sudah jam 5.15 petang.
“Tunggu kejap! Che Enon keluar sekejap. Nak jumpa dengan Pak Sudin. Mungkin Pak Sudin tahu. Nanti Che Enon datang balik.” Che Enon terus bergegas dari situ.
Audra dan Zana berpandangan.
Dup dap! dup dap! Tiba-tiba sahaja jantung Audra bergerak dengan pantas. Audra terdiam. Dia memegang dadanya. Perasaan apakah ini? Tiba-tiba sahaja debaran ini datang?
“Kau agak-agak, apa tujuan Encik Zack datang ke sini dan nak jumpa kita?” tanya Zana.
Memang sebentar tadi, Che Enon ada beritahu yang dia telah memberitahu Tuan Syed Zikri tentang kedatangan Audra dan Zana di sini untuk membantunya. Tapi, perlukah dihantar pembantu ke sini? Untuk apa? Untuk melihat apa yang telah mereka lakukan pada Rumah Warisan? Atau untuk mengucapkan terima kasih?
Zana memandang Audra apabila soalannya dibiarkan sepi. Audra sedang memegang dadanya. “Kau kenapa Audra?” Cemas Zana melihat wajah Audra yang kelihatan tegang.
“Entahlah,” Audra memandang Zana. “Tetiba je aku rasa jantung aku berdebar.” Audra masih lagi memegang dadanya. Perasaan apakah ini?
“Assalamualaikum," Satu suara garau menegur mereka. Pandangan Audra dan Zana serentak beralih memandang pintu utama. Di situ, berdiri tegak susuk tubuh seorang lelaki yang tinggi, bercermin mata hitam dan bertopi. Bahagian depan topi, dipakai agak rendah sehingga wajahnya tidak dapat dilihat. Cermin mata gelapnya menambahkan lagi kesukaran untuk mengecam wajahnya.
Che Enon berdiri di sebelah lelaki itu. Senyuman Che Enon melebar hingga ke telinga.
“Audra, Zana, perkenalkan Encik Zack, orang kanan Tuan Syed.”
Mata Audra terus terancap pada lelaki tinggi yang tidak dapat dilihat wajahnya itu. Lelaki itu terus berjalan mendekati Audra dan berhanti betul-betul di depannya. Mata Audra masih terus memandang. Dia seolah-olah kenal dengan lelaki ini.
“Kamu Audra?” tanya Zack.
Audra hanya mengangguk perlahan. Suara lelaki itu bagai pernah di dengarnya. Pernahkah mereka bersua sebelum ini? Tak mungkin! Dia tak mengenali mana-mana lelaki melainkan jika lelaki itu juga adalah pelajar kolejnya.
“Tuan Syed Zikri sampaikan ucapan terima kasih kerana membantu Che Enon.”
“Sama-sama.” Setelah agak tenang, baharulah Audra dapat mengeluarkan suaranya.
“Saya kenal kamu berdua. Kamu berdua adalah calon pelajar untuk pekerja baru di Warisan Syed. Saya dah siasat latar belakang kamu bila Che Enon beritahu tentang kamu berdua.”
Zack berjalan menuju ke pejabat setelah memberi isyarat kepada mereka agar mengikut langkahnya. Membuka pintu pejabat sahaja, hidung Zack sudah menghidu wangian citrus yang lembut. Zack memerhatikan ruang pejabat itu. Sangat kemas dan selesa. Buku-buku tersusun kemas di rak. Kedudukan perabot telah bertukar tempat. Kebersihannya juga dititik beratkan.
“Siapa yang kemas pejabat ni?” tanya Zack. Sengaja dia bertanya walaupun Che Enon telah maklumkan Audra yang melakukan semuanya, seperti arahannya sendiri. Zana pula, membantu Che Enon sediakan hidangan buat mereka semua.
“Saya,” jawab Audra sambil matanya masih cuba mengintai wajah di sebalik topi dan cermin mata hitam itu. Hatinya penasaran dengan gerangan di depannya kini. Siapa dia? Bagaimana wajahnya?
Zack hanya mengangguk lalu meneruskan langkah menaiki ke tingkat atas, ke kamar utama. Mereka yang lain, masih membontoti langkahnya. Sampai di depan pintu kamar utama, mata Zack terus terpaku pada longgokan barang-barang di situ.
“Barang-barang ni semua untuk apa?”
“Barang-barang ni semua milik Syed Hussin. Saya rasa barang-barang tu semua tak diperlukan oleh Syed Zikri,” jawab Audra. “Hmmm, saya rasalah.” Audra mula menggaru-garu pipinya. Takut tersilap kata.
Zack terus mendekati longgokan barang-barang itu dan perhatikan satu-persatu. Tiba-tiba matanya terpandang pada sehelai kot hitam. Kot hitamnya juga tersadai di sini,\ bersama longgokan barang yang tak diperlukan! Zack biarkan sahaja kot hitam itu dan masuk ke dalam kamar utama. Namun, hatinya sudah tak senang apabila kot hitamnya kelihatan seperti barang buruk yang kotor.
Zack sangat berpuas hati dengan hasil kerja Audra. Walaupun tiada perhiasan yang menarik, namun cara susunannya kemas dan selesa. Memadailah dengan apa yang dilakukan Audra.
Zack berpaling memandang Che Enon. “Berita baik,” Dia tersenyum pada Che Enon. “Saya pasti Tuan Syed dah bersedia untuk masuk ke Rumah Warisan malam ini jugak!”
“Betulkah?!” Wajah Che Enon berseri-seri. Bukankah itu bermakna Tuan Syed Zikri suka dengan kerja Audra? Bertuahlah Audra!
Excuse me, awak yang datang tengok, jadi, macam mana awak tahu Syed Zikri akan datang dan tinggal di sini?” Audra cuba memandang mata yang berselindung di balik cermin mata hitam itu. Saat ini, memang Audra tidak tahu di mana pandangan mata lelaki itu.
“Apa yang saya suka, Tuan Syed pasti suka. Mata saya adalah mata Tuan Syed. Kalau saya kata ya, maka jawapannya juga ya.”
Terkedu Audra dan Zana. Masing-masing sudah berpandangan. Masing-masing menghantar isyarat dengan pandangan mata. Wah! Rapat benar Encik Zack dan Tuan Syed Zikri! Pandangan mata mereka seolah-olah sedang berinteraksi dalam diam.
“Dan saya juga ada berita baik untuk kamu berdua,” sambung Zack. “Saya suka dengan hasil kerja kamu berdua. Mungkin, peratus untuk kamu berdua datang ke temuduga juga tinggi.”
Zana sudah tersenyum lebar. Dia memang bercita-cita untuk bekerja di syarikat ini. Kata-kata Zack itu merupakan satu harapan untuknya.
Berlainan pula dengan Audra. Dia tidak suka dengan cara Zack. Lelaki itu berkata seolah-olah mereka berdua sedang menyogok Tuan Syed Zikri dengan jasa mereka. Patutkah?  Hello Encik Zack, kami bukan kaki bodek, okey!
“Itu memang satu berita yang baik,” Audra mengakuinya. “Tapi, F.Y.I, Encik Zack, waktu kami berdua datang ke sini niat kami hanya mahu membantu Che Enon. Kami langsung tak tahu yang Rumah Warisan ini adalah milik Warisan Syed. Jadi, apa yang kami lakukan ini bukan untuk meminta jasa kami di pulangkan. Biarlah Warisan Syed menilai kelayakan kami melalui perstasi bukan melalui jasa ikhlas kami.”
Zack memusing badannya dan bertentangan dengan Audra lalu memeluk tubuh. Memerhatikan Audra melalui cermin gelapnya. Matanya terus menatap wajah itu tanpa Audra ketahui yang dia sentiasa memandang Audra.
“Tidak! Saya tak kata pun macam tu. Awak ingat dengan menyusun rumah ni dengan tak seberapa macam ni, Tuan Syed akan ambil awak bekerja?” Sengaja Zack berkata begitu. “Awak dan Zana diterima untuk temuduga. Saya ulang, temuduga! Bukan diterima bekerja.” Zack menekankan pada perkataan ‘temuduga’. “Awak dan Zana dipilih untuk temuduga atas kelayakan. Tiada kena mengena dengan jasa ikhlas awak berdua.”
Huh! Audra sudah merasa meluat dengan sikap Zack. Dia menjeling lelaki itu. Syed Zikri memang seseorang yang sangat menyedihkan apabila setiap keputusan hanya bergantung pada orang kanannya! Orang kanan yang berlagak! “Apa? Susunan yang tak seberapa?” Terguris hati Audra dengan kata-kata itu. Sudahlah penat dia menyusun kamar ini, membuang waktu dan tenaga, hanya itu sahaja yang mampu dikatakan Zack? Sangat menyakitkan hati! “Terima kasih atas pujiannya,” sindir Audra.
Zana dan Che Enon hanya menghulurkan pandangan simpati pada Audra. Tahu benar mereka yang perasaan Audra sedang terguris.
Zack berpaling dari memandang Audra. Dia tersenyum. Audra pasti tengah bengang dengan sikapnya. Dia mahu tahu setakat mana tahap kesabaran Audra. Zack berbual-bual dengan Che Enon tanpa memperdulikan Audra dan Zana. Dia dan Che Enon berpusing-pusing dalam kamar utama, melihat pada susunan kamar itu.
Audra hanya memerhati dengan geram.
“Audra, kau dengar tak apa kata Encik Zack tadi?” Zana berbisik di telinga Audra. Audra memandang Zana. “Dia kata, apa yang dia suka, Tuan Syed pasti suka. Matanya adalah mata Tuan Syed.”
Audra mengangguk. Memang Zack ada berkata begitu.
“Kau tak rasakah yang Encik Zack dan Tuan Syed tu, ’gitu-gitu’?” Zana sudah menggoyangkan badannya, kegelian.
Audra tengarnga apabila dapat menangkap maksud Zana. “Diorang berdua tu ada gitu-gitu?” Gitu-gitu yang dimaksudkan Audra adalah hubungan yang istimewa.
Zana sudah terangguk-angguk. Mata Audra pula sudah terbeliak dan mulutnya ternganga luas. Takkanlah!
“Ehemm!” Zack berdehem dengan kuat. Walaupun mereka berdua berbisik, sangat jelas di telinganya perbualan mereka. Adakah patut mereka membuat andaian begitu? Tercabar jiwa maskulinnya!
Audra dan Zana serentak memandang Zack yang sudah terpaku di depan mereka. Macam mana Zack boleh ada di sini? Tadi, lelaki itu sedang berbual dengan Che Enon.
“Saya adalah orang ke-per-ca-ya-an Tuan Syed.” Perkataan ‘kepercayaan’ diucap dengan ketegasan dan lambat-lambat. “Jangan suka simpan prasangka buruk!” Seraya itu Zack berlalu di tengah-tengah antara mereka. Sehingga bahunya melanggar bahu Audra.
Audra sudah membuat muka. Menyampah! Dia menyapu-nyapu bahunya yang bersentuhan dengan Zack. Terasa berdosa walaupun mereka tidak bersentuhan kulit kerana berlapik dengan pakaian.
Che Enon sudah tertawa pada Audra dan Zana apabila Zack sudah keluar dari kamar utama.
Audra dan Zana sudah menjeling Che Enon.
“Apalah kamu berdua ni! boleh pulak syak yang bukan-bukan!” Che Enon ketawa lagi.
“Sudah-sudahlah ketawakan kami Che Enon!” wajah Zana sudah berkerut.
Che Enon menghentikan tawanya walaupun dia masih terasa mahu berbuat begitu. “Tuan Syed tu, lelaki sejati tahu! Apatah lagi Encik Zack.” Che Enon berlalu pergi.
“Dahlah! Jom!” Audra yang sudah kehilangan mood terus menarik tangan Zana agar keluar dari kamar utama. Lalu, mereka berhenti di tempat longgokan barang di mana Zack sedang menanti.
Zack memandang Audra dan Zana yang baru tiba di situ. “Awak yakin semua barang ni tak diperlukan?”
“Saya tak tahu Encik Zack. Sebab tulah saya letakkan semuanya di sini. Manalah tahu kalau ada barang-barang yang Syed Zikri mahukan. Bolehlah dia ambil barang tu dan simpan semula.” Langsung tak ada tanda-tanda mesra dari nada suaranya.
“Okey!” Zack memerhatikan satu persatu barang itu. “Che Enon, nanti Che Enon minta Pak Dollah atau Pak Sudin buangkan semua barang-barang ni.” Dia juga merasakan perkara yang sama. Memang dia tak perlukan semua barang itu. “Cuma," Zack mencapai kot hitam yang sudah kotor kerana bercampur dengan barang-barang yang lain. “Saya tak rasa kot ni kepunyaan Tuan Syed Hussin.”
Che Enon sudah terbeliak matanya apabila Zack mengangkat kot hitam itu. Dia pernah melihat Tuan Syed Zikri membawa kot hitam yang sama ketika datang ke Rumah Warisan tempoh hari. Mampus!
Zack memandang Audra. “Awak rasa ini milik siapa?”
Audra menelan air liurnya. Rasanya, dia sudah tahu siapa pemiliknya. "Syed Zikri?” Dengan rasa bersalah, dia cuba meneka.
Zack mengetatkan senyumannya lalu mengangguk.
Segara Audra mencapai kot hitam itu dari Zack. “Saya akan bersihkannya. Saya janji!” Audra menepuk-nepuk kot itu dengan niat untuk membuang kotoran yang sudah terlekat. Tapi, perbuatannya itu sia-sia sahaja.
“Tak mengapalah, cik Audra. Awak boleh simpan kot itu dan bersihkannya nanti,” ujar Zack. “Jangan rosakkannya! Lagi satu, kenapa awak panggil Tuan Syed hanya dengan panggilan Syed Zikri?” Pada hemat Zack, Audra sepatutnya lebih menghormati panggilan itu memandangkan gadis itu adalah calon pekerja di Warisan Syed.
“Tentang panggilan Syed Zikri, saya rasa sebelum saya jadi pekerja Warisan Syed tak salah saya panggil dia hanya dengan nama.” Audra hanya menjeling. Menyampah!
Zack hanya menjongketkan keningnya. Audra benar!
“Kalau kot ni rosak, saya akan ganti balik!” sambung Audra.
“Awak nak ganti balik? Kot tu sangat mahal tau! Mampukah awak nak bayar?” Zack menunding pada kot hitam itu.
Audra mendengus. Encik Zack ni, memang menyakitkan hati! “In Sha Allah Encik Zack, saya akan jaga kot hitam ni macam saya jaga nyawa saya sendiri.” Sinis sekali senyuman yang diukirkan Audra pada Zack. Senyuman menyindir!
“Hmm, bagus!” Bukan dia tak mengerti senyuman yang penuh dengan rasa meluat diukir Audra itu. Tapi sengaja dia berpura-pura tak tahu. “Tuan Syed tentu akan berterima kasih dengan awak.”
“Sepatutnya macam tu lah. Tapi bila lihat Encik Zack, saya dah jadi tak pasti.” Audra memandang pada cermin hitam itu dengan harapan dapat melihat mata Zack. Memang agak janggal apabila berbual dengan orang tanpa melihat terus ke dalam matanya.
“Apa maksud awak?” Dahi Zack berkerut.
“Orang kepercayaan Syed Zikri pun dah bersikap macam ni. Apatah lagi tuannya, kan?” Audra melemparkan pandangan yang tajam kepada Zack.
“Berani awak cakap macam tu? Awak tak takut saya tarik balik keputusan saya untuk kamu berdua datang temuduga nanti?” ugut Zack. Memang dia tidak menjangka yang Audra akan seberani itu.
Zana pula, sudah menyiku Audra. Hatinya sudah risau dengan sikap Audra.
“Sangatlah tidak professional kalau Encik Zack buat begitu!” Pandangan mereka masih bertaut. “Encik Zack janganlah risau. Kot ni, saya akan bersihkan seperti keadaan asalnya. Kalau tak, saya akan ganti yang lain walaupun memakan masa yang lama untuk saya kumpulkan wang.” Audra ingin bergerak pergi namun pantas tangan Zack mencapai pergelangan tangannya yang ditutupi dengan kemeja panjang.
“Bersihkan kot tu dan,” Zack mengembuskan nafasnya. “Terima kasih untuk apa yang awak dah lakukan.”
Usai Zack berkata begitu, Audra menarik tangannya dan berlalu pergi bersama Zana.
Zack melirik Che Enon. “Dia,” ujar Zack sambil matanya memerhati langkah Audra yang menuruni tangga. “Sangat berani!”
Che Enon hanya mengukirkan senyuman. Hati tuanya menyatakan sesuatu. Pujian yang dilemparkan Zack pada Audra, bukan satu pujian kosong. Hati lelaki itu telah tercuit dengan Audra.

3 comments:

  1. salam tuan rumah,puteri selendang kuning datang bertandang,hehe

    salam perkenalan...:)

    ReplyDelete
  2. Terima kasih onion ring.
    Salam prkenalan puterh jalanan.....terima kasih rudi singgah

    ReplyDelete