Thursday 18 October 2012

Ratu Hati Si Putera Arab 12





ZACK menekan punat interkom. "Farah, masuk jumpa saya." Kemudian, kedengaran ketukan di pintu pejabatnya. "Masuk!"

Muncul Farah di situ dengan penuh gaya keyakinan. Memang sesuai sebagai seorang pembantu peribadi Tuan Syed Zikri. “Ya, Tuan Syed?” Kini, dia sudah bersedia menunggu setiap arahan dari majikannya. Buku nota di tangan kiri dan pen di tangan kanannya. Siap untuk mencatat arahan.
Zack membelek-belek fail yang memuatkan maklumat peribadi para pelajar yang telah ditawarkan untuk menghadiri temuduga di Warisan Syed. "Puan Syariza dah tetapkan tarikh untuk temuduga?"
Mata Farah melirik maklumat peribadi yang ada dipegang Zack. Berkerut dahi Farah. Masakan Tuan Syed yang begitu teliti boleh lupa? Pertama kali dalam hidup Tuan Syed bertanya soalan yang tak masuk akal! “Hari ini. Jam sepuluh pagi nanti.”
“Hari ni?!” Bagaikan magnet Zack terus terbangun dari duduknya. Dia terus menyelongkar fail-fail yang memiliki maklumat lengkap tentang perlaksanaan perlantikan kakitangan baru itu. "Saya dah luluskan kah?"
"Dah! Tuan Syed sendiri yang tetapkan tarikhnya." Semakin kusut wajah Farah.
Mata Zack mati di wajah Farah. “Hari ni?" Terlopong Zack sekejap. Matanya sudah membulat. Macam mana dia boleh tak tahu? Kenapa dengan dia ni? Zack memicit dahinya. Terasa malu pula dengan Farah apabila dia tertinggal satu perkara di dalam syarikat ini. Dia menyemak semula maklumat berkenaan perlantikan pekerja baru itu.
Seram sejuk dirasakan Farah apabila melihat Zack dalam keadaan begitu. Nasibnya memang tak baik hari ni. Angin apa pula yang datang melanda Tuan Syed Zikri? Biasanya Tuan Syed Zikri tak pernah begitu. “Ya, ya, ya, Tuan Syed! Memang jadual temuduga bermula hari ini.” Tergagap-gagap Farah. Jantungnya sudah berdegup pantas.
Zack menepuk dahinya. Aduh! Macam mana perkara macam ni boleh terjadi? “Berapa haribulan hari ni?” Zack sudah menyelak kalendernya bersama kerutan di dahinya. “Aik, ni baru enam haribulan? Interview-kan lapan haribulan.” Kalendernya dihulurkan pada Farah.
Dahi Farah semakin berkerut. Dia mencapai kalender yang dihulurkan Zack dan melihatnya. Tiba-tiba sahaja dia rasa mahu ketawa tetapi ditahannya. Takut pula jika Zack naik angin jika tawanya terhambur nanti. “Ini kalender bulan sudah, Tuan Syed.” Dalam nada takut-takut bercampur geli hati, Farah menghulurkan semula kalender pada Zack setelah membuka helaian kelendar untuk bulan ini.
“Eh, ye ke?” Zack sudah terasa malu sendiri.
Farah menyimpan tawanya di dalam hati. Buku nota di tangannya diangkat lalu menutup mulutnya dengan buku nota itu. Dia khuatir jika tawa yang cuba di tahan dapat dilihat Zack. Entah apa pulak yang tak kena dengan Tuan Syed. Jarang sekali Tuan Syed melakukan kesilapan begitu. Nak kata fikirannya bercelaru, tak nampak macam tu pulak. Mungkin, Tuan Syed sedang dilamun cinta. Barangkali! Perasaan orang yang dilamun cinta memang macam tu. Semuanya serba tak kena. Tapi dengan siapa? Takkan Cik Emily kot! Sangat tak masuk akal!
“Sekarang pukul berapa?” tanya Zack.
Sekilas Farah melirik jam ditangan Zack sebelum beralih memandang jam di tangannya. Hairan dirasakan. Mengapa pula Tuan Syed bertanya sedangkan Tuan Syed sendiri memakai jam ditangan? Sah! Memang benar, tahap normal Tuan Syed di luar kawalan. Eh, tapi kalau tahap normal di luar kawalan, maknanya Tuan Syed dalam tahap yang tidak normal! “Hampir jam lapan, Tuan Syed.” Farah memandang wajah Zack semula. “Ada yang tak kenakah?” Farah mengecilkan matanya saat memandang Zack. Memang Tuan Syed nampak aneh hari ini. Lelaki itu serba tak kena!
Soalan Farah itu memang kedengaran asing di telinga Zack. Tapi, Farah benar. Dia tak pernah lalai dan cuai seperti ini. Sejak berjumpa dengan Audra hidupnya memang tak tentu arah. Dia benci sikapnya ini. Sepatutnya, dia lebih tenang dan mengawal situasi dengan baik! Bukankah dia pewaris Warisan Syed? Zack membisu seketika membiarkan Farah menunggunya di situ.
“Begini, Farah,” Zack memandang wajah Farah dengan serius. “Saya nak kamu dengar arahan saya baik-baik. Saya tak nak ada kesilapan nanti.”
Mendengar kata-kata itu, Farah terus bersiap sedia untuk mendengar arahan yang bakal diberikan. Apabila Tuan Syed Zikri berkata begitu dengan nada suara yang tegas, bermakna, perhatian sepenuhnya perlu diberikan.
“Saya nak kamu minta semua staf di setiap bahagian dan unit, simpan semua majalah yang ada wajah saya! Now! Sekarang!” Dia sudah kesuntukan masa. Hanya tinggal dua jam lagi sebelum semua pelajar dibenarkan masuk ke Warisan Syed untuk temuduga.
“Uh?” Wajah Farah sudah berkerut seribu. Dia langsung tak mengerti dengan arahan itu.
“Saya tak mahu ada satu pun gambar-gambar saya di syarikat ini!” Zack memandang Farah dengan tajam. “Tiada satu pun, walau sekeping! Simpan semua majalah dan apa sahaja yang ada gambar saya!”
“Simpan?” Berkerut dahi Farah. Nyata, Farah masih tidak mengerti arahan Zack. Simpan majalah yang ada wajah Tuan Syed? Apa maknanya tu?
“Ya! Simpan! Atau dengan erti kata lain, sembunyikan semuanya. Nak lagi cepat, buang! Semuanya!” Zack memandang tepat ke wajah Farah.
“Baik Tuan Syed!” Farah mengangguk tanda mengerti. Tapi, kenapa? Apa tujuannya? Soalan itu hanya mati di dalam hati Farah.
“Lagi satu, semua pelajar-pelajar ni tak boleh kenal langsung siapa Tuan Syed Zikri! Semua sudut, board atau apa saja yang ada gambar saya dengan title saya, tolong keluarkan. Saya mahu mereka kenali saya sebagai orang kanan Tuan Syed Zikri, Encik Zack!"
Farah tercengang seketika. Kini barulah dia mengerti. Tapi, mengapa Tuan Syed tak memberitahu rancangannya dari awal. Kenapa di saat-saat akhir? “Baiklah Tuan Syed!” Farah sudah bersedia untuk melaksanakan perintah yang diberikan. Dia sudah memusingkan tubuhnya.
“Nanti, Farah!” Zack masih khuatir jika Farah belum benar-benar menangkap maksud dan tujuannya. “Do I make myself clear?”
“Definitely!” Dengan yakin Farah menganggukkan kepalanya. Tuan Syed nak menyamar rupanya!
“Good! Now go! Please do it fast and tell everyone about this,” ujar Zack.
“Baik Tuan Syed!” Farah mengangguk dan memusing tubuhnya.
“Nanti Farah!” panggil Zack sekali lagi dan sekali lagi jugalah langkah Farah terhenti.
‘Siapa yang akan handle temuduga nanti?”
“Puan Sariza, akauntan kita dan saya sendiri!” Rasanya, Tuan Syed telah dimaklumkan tentang hal itu ketika mesyuarat tempoh hari. Tak sepatutnya Tuan Syed lupa tentang hal itu. Hmm, mesti ada yang tak kena dengan Tuan Syed. Tuan Syed bukan begini orangnya! Farah masih terus berteka teki dengan sikap Zack yang sangat pelik pada pandangannya.
“Okey! Di sini saya ada dua orang pelajar yang saya rasa kamu berdua perlu lebih beri perhatian.” Zack menyerahkan rekod tentang Audra dan Zana. Kemudian, baharulah dia menyerahkan rekod pelajar yang lain. “Tapi, walau apa pun saya tetap akan ambil kira keputusan kamu berdua. Pilih orang yang benar-benar layak.” Tegas Zack. Memang dia mahu Audra terpilih, namun dia perlu utamakan kelayakan berbanding perasaannya. “Tegaskan juga pada setiap calon bahawa peperiksaan akhir mereka juga akan diambil kira selain dari kelulusan temuduga ini.”
“Baiklah, Tuan Syed!” Farah mengangguk. Sudah sekian kali Zack menekankan hal itu. “Kenapa Tuan Syed saja yang tak uruskan? Mungkin Tuan Syed akan lebih berpuas hati.” Sudah lama mahu ditanyakan hal ini pada Zack tetapi tak berkesempatan. Dah kebetulan Zack membuka topik itu pagi ini, dia mengambil kesempatan untuk bertanya sekali.
Zack diam seketika. Dia mengetap bibirnya. “Mungkin lain kali,” balas Zack akhirnya. Farah tak perlu tahu perancangannya dengan jelas. Memang dia tak mahu menguruskan temuduga ini kerana buat masa ini dia tidak mahu menemui Audra. Biar pegawai lain yang uruskan. Lagipun, dia tidak mahu pemilihan ini berlandaskan perasaannya pada Audra walaupun Audra sememangnya mempunyai kelayakan itu.
Farah mengangguk lalu berpusing untuk pergi.
“Hmmm, Farah!” Sekali lagi langkah Farah terhenti apabila Zack memanggilnya semula.
Farah yang sudang membelakangkan Zack sudah menarik mukanya. Tetapi bila dia menoleh memandang Zack, satu senyuman manis dilemparkan.
“Ya Tuan Syed?” Sebenarnya dia sudah penat beberapakali berpusing untuk pergi tetapi kemudian dipanggil kembali. Apa-apa ntah Tuan Syed ni! Sikap Tuan Syed hari ini sangat mengelirukan. Dia tidak mengenali Tuan Syed Zikri yang ada di hadapannya sekarang.
“Apa pendapat kamu tentang penampilan baru saya?” tanya Zack. Dia berjalan keluar dari tempat duduknya dan berdiri di depan Farah sambil bersandar di mejanya.
Tercengang Farah apabila Zack bertanyakan tentang itu pada dia. Betulkah itu yang ditanya Tuan Syed? Sangat pelik soalan Tuan Syed! Farah memandang Zack dari atas hingga ke bawah dan sebaliknya. Kemudian, matanya memandang rambut Zack yang sudah dipotong rapat. Sebenarnya, dia lebih suka penampilan Zack yang lama. Tapi, penampilan yang baru ini tak kurang kacaknya.
“Okey!”
“Okey? Itu aje?” Kening Zack sudah terangkat. Jawapan yang diberikan Farah terlalu ringkas berbanding soalan yang ditanya. Takkan itu saja!
“Okey! Yang ini pun okey! Tapi saya lebih suka penampilan yang dulu!” ujar Farah yang seakan mengerti Zack tidak berpuas hati dengan jawapannya.
“Bukan itu maksud saya.” Jawapan yang diberikan Farah terlalu menyimpang dari jawapan yang mahu diketahui. “Kalau awak tengok saya sekarang, adakah saya yang sekarang akan dikenali oleh awak?”
Dahi Farah semakin berkerut. Bahasa apa yang digunakan Tuan Syed ni? Ya, memang bahasa Melayu tapi kenapa susah sangat nak faham? Dia menggaru-garu dagunya yang tidak gatal. Kenapa dengan Tuan Syed hari ni? Risau hatinya melihat sikap Zack yang memang pelik.
Melihatkan wajah Farah yang kebingungan, Zack menggelengkan kepalanya. “Macam ni, katakanlah awak belum pernah lihat saya dengan gaya yang macam ni, tiba-tiba saya muncul depan awak. Awak akan cam saya sebagai Tuan Syed atau orang lain?”
“Oh!” Terangguk-angguk kepala Farah. Kini dia mengerti soalan Zack. “Rasanya tak! Sebab penampilan dulu dan sekarang jauh bezanya!” Sungguh, pertama kali melihat Zack dalam keadaan begini, dia memang tak mengenalinya. Mahu sahaja dia bertanya siapa sempunya diri ketika melihat Zack. Tapi bila Zack terus menghampiri dan minta dia membawa secawan kopi dan bertanyakan jadual hariannya, baharulah Farah menyedari itu adalah Pengarah Warisan Syed.
Dah macam Maher Zain pulak dilihatnya. Yang pasti, walau bagaimana pun penampilan Zack, lelaki itu tetap kacak.
“Betul?” tanya Zack yang mahu kepastian.
Farah mengangguk.
“Bagus! Kalau macam tu, untuk hari ini dan hari-hari seterusnya, kenali saya sebagai Encik Zack. Dan, bila pelajar-pelajar tu dah mula bekerja di sini, saya mahu semua staf mengenali saya sebagai Encik Zack, orang kanan Tuan Syed! Tiada siapa pun di antara mereka yang boleh tahu siapa Tuan Syed Zikri yang sebenarnya sehinggalah masa yang sesuai.”
“Tapi, bukankah peraturan di dalam Warisan Syed, setiap pengarah syarikat perlu dipanggil dengan gelaran Tuan Syed?” Tuan Syed mahu mengubah sistem yang telah lama dipraktikkan di Warisan Syed? Setiap kakitangan sudah terbiasa dengan panggilan itu untuk setiap pewaris Warisan Syed.
“Saya tahu tentang peraturan itu. Saya tidak mengubah apa-apa. Tapi awak perlu ingat, sekarang, saya adalah pemegang saham terbesar yang sah. Warisan Syed di bawah pengurusan saya yang sah. Dan saya boleh mengubah peraturan selagi peraturan itu tidak merugikan syarikat. Betul?” Soalan Farah telah dijawab Zack dan lelaki itu membalikkan semula soalan pada Farah.
Farah tersenyum lega. “Betul!” Tuan Syed Zikri tidak salah. Memang Tuan Syed Zikri sangat arif dengan perkara-perkara sebegini.
“Dan untuk peraturan yang sementara ini, saya tak perlukan persetujuan dari pemegang saham yang lain, kan?” Zack cuba menguji Farah.
Sekali lagi Farah mengangguk. “Tak perlu.” Farah juga sangat arif dengan selok belok dan peraturan Warisan Syed. Mungkin kerana itulah Farah masih kekal sebagai setiausaha peribadi sejak dari Syed Hussin sebagai menjadi Pengarah Warisan Syed.
“Saya tetap Tuan Syed. Hanya, saya mahu mereka mengenali saya sebagai Encik Zack, orang kanan Tuan Syed. Biarlah identiti Tuan Syed itu menjadi rahsia.” Dengan cara itu, dia tidak melanggar peraturan yang di tetapkan Warisan Syed di mana setiap pengurus perlu dipanggil dengan gelaran Tuan Syed kerana Tuan Syed tetap Tuan Syed. Hanya, dia mahu menjadi Encik Zack buat sementara waktu.
“Baiklah Tuan Syed! Arahan Tuan Syed diterima,” ujar Farah tanpa soalan lagi. Entah apalah yang mahu dilakukan Tuan Syed kali ni! “Hmm, kalau dah tak ada apa-apa, boleh saya keluar?”
“Silakan,” ujar Zack.
“Dah tak de apa-apa lagi?” tanya Farah sekali lagi. Manalah tahu kalau-kalau ada benda yang Tuan Syed terlupa. Tak perlulah dia memusing tubuhnya berkali-kali.
“Awak boleh keluar sekarang, Farah!” Tegas Zack. “Laksanakan arahan saya dengan segera!”
“Baik, Tuan Syed!”
Sebaik sahaja Farah hilang, Zack menurunkan semua gambar-gambarnya hang tergantunh di dalam pejabat itu. Temuduga nanti bukan akan dilakukan olehnya dan bukan juga di pejabatnya. Semuanya akan diuruskan di bilik temuduga. Dia sekadar mahu berhati-hati dan lebih bersedia agar rancangannya tidak sia-sia. Dia tidak mahu walau satu kesilapan pun berlaku.
Setelah itu, maklumat peribadi Audra yang sudah difotokopi dipandangnya dengan senyuman. Satu lagi rancangan sedang berlegar di kepalanya. Dia sudah mendapatkan alamat Audra di kampung. Dia akan cari tahu siapa sebenarnya Audra Laily.

2 comments: