Qashaf melirik jendela. Di
kawasan rumah bertentangan, kelihatan seorang gadis sedang menjemur pakaian di
halaman tepi rumah. Qashaf tersenyum. Barangkali inilah gadis yang dikatakan
ibunya. Qashaf membuka laci lalu menarik keluar sampul yang pernah dikirimkan
ibunya ketika dia masih menuntut di Korea.
Dia menarik keluar sekeping
gambar dari sampul itu. Seraut wajah comel sedang tersenyum memandangnya.
Qashaf memandang semula kepada gadis yang sedang menjemur pakaian itu. Memang
benar, inilah orangnya.
--------------@@--------------
Sarah memasukkan tiga ketul ayam
seperti yang diminta pelanggannya. “Terima kasih, ya. Datang lagi,” ujar Sarah
sambil menyerahkan tiga ketul ayam percik yang telah siap dibungkus. “Saya
jual, ya.”
“Sama-sama,” Plastik itu bertukar
tangan. “Saya beli,” pelanggan itu terus berlalu.
“Assalamualaikum,” sapa Qashaf
yang baru tiba di situ.
“Waalaikummussalam.....” jawab
Sarah. “Ya cik, nak beli ayam percik?” soal Sarah.
“Ya, hmmmm.....bagi paha dua ya,”
pinta Qashaf.
Sarah mengangguk lalu melakukan
seperti permintaan pelanggannya. Setelah siap, dia menghulurkan bungkusan itu
kepada Qashaf.
“Saya ni, dah lama tak makan ayam
percik,” ujar Qashaf sambil menghulurkan not lima puluh kepada Sarah. Sarah
hanya tersenyum namun senyumannya menjadi kelat saat melihat not lima puluh
yang diberikan Qashaf.
“Tak ada duit kecik ke?” soal
Sarah dengan lembut.
Qashaf membuka semula dompetnya
dan mencari wang pecah. “Maaflah, saya ada yang tu aje,” Qashaf menyimpan
semula dompetnya.
“Mail, ada tukar duit kecil tak?”
tanya Sarah kepada peniaga air di gerai sebelah.
“Ada tu, ada. Tapi, maaflah
kak.... Saya ada sikit je duit kecil,” ujar Mail. “Itu pun nak guna. Akak cuba
minta dengan orang lain.”
“Tak apalah,” balas Sarah.
Sarah mengeluh. Sedari tadi, para
pelanggannya asyik memberi wang yang besar. Sudah beberapakali juga dia
bertukar wang kecil dengan gerai sebelah. Nak diminta dengan gerai lain, tak
ada orang nak tolong tengokkan gerainya pula. Hanya dia seorang sahaja yang menjaga
gerai ini sehingga raya nanti. Kak Suri, rakan niaga yang sepatutnya menjaga
gerai bersamanya sepanjang bulan Ramadhan ni, terpaksa pulang ke kampung lebih
awal. Jadi, tinggallah dia sendirian sehingga raya nanti.
Sarah menyelak bekas yang
menyimpan duit jualan. Semuanya not lima puluh. Hanya yang ada, dua keping not
sepuluh. Duit syiling pun hanya tinggal beberapa keping. Mujurlah pasar Ramadan
itu sudah lengang. Waktu berbuka juga hampir tiba.
“Tak apalah. Saya halalkan,”
Sarah menghulur semula not lima puluh itu kepada Qashaf.
“Eh, mana boleh. Saya dah beli
ni,” tolak Qashaf.
“Mungkin encik boleh beli di
gerai lain dulu. Bila dah ada duit tukar, encik bayar pada saya,” cadang Sarah.
Qashaf diam seketika. Dia
langsung tak berminat nak membeli makanan yang lain. Dia datang ke sini hanya
mahu membeli ayam percik di gerai ini.
“Kalau encik tak nak, tak apalah.
Saya halalkan,” ujar Sarah apabila melihat wajah keberatan di depannya itu.
“Macam ni sajalah. Cik simpan
sajalah duit tu. Bakinya saya halalkan untuk cik,” balas Qashaf pula.
“Eh, banyak ni encik. Saya tak
boleh terima,” tolak Sarah.
“Tak apa. Anggap sajalah ini
rezeki cik.” Qashaf tersenyum. “Kalau esok saya datang lagi beli ayam percik di
sini, cik bagi free-lah pada saya ya,” usik Qashaf.
Sarah mengangguk sambil
tersenyum. “Esok datang lagi ya,” pesan Sarah.
“Saya balik dulu.
Assalamualaikum,” Qashaf berlalu pergi.
“Waalaikummussalam,” balas Sarah.
“Syukurlah...” Sarah sudah menarik nafas yang panjang. Mujurlah pelanggan tadi
mahu beralah dengannya.
---------------------@@--------------
Dari jauh, Sarah memerhatikan
seorang lelaki yang sedang tegak memerhatikan pelan bangunan yang di kompleks
itu. Di kompleks ini, memang telah diletakkan pelan dan lokasi kedai agar untuk
memudahkan semua pengunjung yang datang.
“Assalamualaikum,” sapa Sarah.
Lelaki yang sedang ralit itu menoleh memandangnya.
“Eh, cik....cik...” Qashaf agak
tergamam seketika melihat gadis yang berniaga di pasar Ramadhan berdekatan
rumahnya.
“Nama saya Sarah,” beritahu
Sarah.
“Cik Sarah....” Terngguk-angguk
kepala Qashaf memasukkan nama itu di dalam ingatannya. “Saya Qashaf,” Qashaf
memperkenalkan dirinya. “Cik Sarah buat apa di sini?”
“Saya beli barang-barang sikit
untuk persiapan raya nanti,” balas Sarah. “Dah kebetulan Encik Qashaf ada di
sini, dan saya pun ada wang tukar, jadi...” Sarah sudah membuka beg tangannya.
“Eh, tak apalah Cik Sarah. Saya dah
halalkan duit itu untuk Cik Sarah,” Qashaf menolak.
“Tak bolehlah macam tu,” Sarah
sudah menghulurkan baki wang yang sepatutnya diberikan semula kepada Qashaf.
“Hari tu, Encik Qashaf kata nak beli ayam percik. Dah seminggu saya tunggu,
Encik Qashaf tak muncul jugak,” kata Sarah.
Qashaf tersenyum lebar. “Tak
apalah, petang ni saya datang gerai Cik Sarah. Cik Sarah beri ayam free untuk saya ya.”
Sarah sudah menghembuskan nafas
kecewa. “Nanti Encik Qashaf tak datang pula,” rungutnya.
“In Sha Allah, petang ni saya
datang.” Qashaf sudah memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam poket seluar.
“Boleh percaya?” Sebelah kening
Sarah sudah terangkat.
Qashaf tersenyum lalu ketawa
kecil. “In Sha Allah Cik Sarah. Kalau bukan hari ni, mungkin hari lain.”
-------------@@-----------
Allahu Akhbar....Allahu
Akhbar..... Kedengaran lauangan azan berkumandang. Sarah berhenti dari mengemas
gerainya. Dia mengeguk sedikit air sebaik sahaja membaca doa. Kemudian, dia
mengisi perutnya dengan sebiji kurma. Lalu, dia menyambung semula mengemas
barang-barangnya.
Kuah kacang yang masih berbaki
sedikit di masukkan semula ke dalam bekas.
“Makcik balik dulu, nak,” sapa
seorang warga tua yang mula menjadi sebahagian dari mereka sejak bulan Ramadan.
“Makcik, ambillah ni. Masih ada
baki.....boleh makan sahur nanti.” Sarah menyerahkan dua ketul ayam percik yang
masih tinggal.
“Terima kasih,” Makcik itu
menyambut huluran tangan Sarah lalu pergi.
Sarah hanya menggelengkan kepalanya melihat
makcik itu. Tak pastilah sama ada makcik itu memang seorang yang susah sehingga
sanggup mengemis di situ atau makcik itu sebahagian dari mangsa sindiket yang
tak bertanggungjawab. Namun, Sarah selalu memandang semuanya secara positif.
Biarlah makcik itu sebahagian dari sindiket atau tidak, dia memberi secara
ikhlas. Selebihnya diserahkan kepada Allah sahaja untuk menentukannya.
“Nak saya bantu?” tegur satu
suara.
Sarah pantas menoleh kebelakang. “Oh, Encik
Qashaf,” Sarah sudah tersenyum.
“Dah nak balik?” soal Qashaf. Tadi,
sempat dia melihat Sarah memberikan beberapa ketul ayam kepada seorang warga
tua. Tentu sahaja saat ini kesemua ayam percik Sarah sudah habis. “Tentu saya
tak dapat ayam free hari ni, kan?”
Sarah mengangguk. “Kenapa
lambat?” tanya Sarah.
“Saya ke town tadi. On the way
balik, tersangkut dalam traffic. Tak
sempatlah nak berbuka. Dah tu, teringat pula dengan Cik Sarah, sebab tu saya
terus ke sini,” beritahu Qashaf
“Saya ada kurma aje. Boleh?” Sarah
menghulurkan bekas kurma kepada Qashaf. Qashaf menyambut lalu membaca basmallah
dan membuka puasa.
“Maaflah, ayam percik dah habis.
Tak sempat nak beri pada Encik Qashaf,” ujar Sarah dengan hampa.
“Tak apa. Ada gerai yang masih
belum ditutup. Nak saya belikan apa-apa?” soal Qashaf kembali.
“Eh, tak perlu. Saya dah nak
balik ni. Lepas solat nanti, saya sambung makan dengan keluarga saya,” beritahu
Sarah.
“Sempat ke?” tangan Qashaf sudah
ligat membantu Sarah mengemas gerainya.
“Sempat. Rumah saya di sini juga.
Dekat aje,” jelas Sarah.
“Oh, kalau macam tu tak apalah.
Saya pun nak singgah masjid depan tu dulu. In Sha Allah, esok saya datang
lagi,” beritahu Qashaf.
“Esok, saya simpan ayam percik
untuk Encik Qashaf. Jangan lambat ya,”
ujar Sarah. Selagi dia tidak membalas pemberian Qashaf dengan ayam percik
percumanya, selagi itulah dia tidak merasa tenang dengan pemberian wang lebihan
Qashaf itu.
Qashaf hanya tersenyum. “In Sha
Allah. Tapi, saya ada satu permintaan.”
“Apa?” tanya Sarah.
“Jangan panggil saya encik. Rasa
macam bos besar pulak,” ujar Qashaf merendah diri.
Sarah ketawa kecil. “Kalau macam
tu, Encik Qashaf pun jangan panggil saya cik,” kata Sarah semula.
“Tu, silap cakap tu,” tunding
Qashaf untuk mengusik.
“Eh, maaf.” Sarah menutup
mulutnya.
“Saya minta diri dulu ya, Sarah,”
ujar Qashaf. “Assalamualaikum,”
“Waalaikummussalam..”
---------------@@--------------
“Assalamualaikum,” sapa Qashaf
yang baru tiba di Pasar Ramadan itu.
“Waalaikummussalam,” tersenyum
lebar Sarah melihat Qashaf. Terus dia mencapai bungkusan ayam percik yang telah
diasingkan.
Qashaf menyambut bungkusan itu.
Dia tersenyum sambil membelek bungkusan itu. “Banyak ni,” katanya.
“Tak apa. Kalau nak di tolak
harga ayam percik tu dengan baki duit awak, masih jauh bezanya,” balas Sarah
semula.
“Ish! Tak payahlah nak dikira
lagi. Cukup yang ini sudahlah ye. Ini pun dah banyak. Takut tak terhabis,”
balas Qashaf.
Sarah mengangguk. Lega hatinya
dengan penerimaan Qashaf. Segala hutang yang terasa di hatinya, bagaikan
melayang begitu sahaja. “Makanlah dengan keluarga awak. Makan ramai-ramai ni
seronok.”
Qashaf ketawa. “Saya memang
tinggal dengan keluarga saya,” balas Qashaf. “Keluarga saya taklah besar
sangat. Cuma, empat orang aje.”
“Oh...” Terangguk-angguk kepala
Sarah.
Kemudian, datang seorang
pelanggan. Sarah melayan dahulu
pelanggan yang mahu membeli ayam perciknya. Baharulah dia berpaling semula
kepada Qashaf yang masih menanti di situ.
“Awak baru balik kerja ke?”
soalnya.
“A’ah. Saya kerja di kedai runcit
depan tu,” Qashaf menunding salah sebuah kedai runcit yang berderetan di
simpang jalan.
“Oh....” Sarah mengangguk. “Kedai
awak? Saya tak pernah nampak pun.”
“Taklah. Kedai pakcik saya. Sementara tak dapat kerja lagi ni, sajalah
bantu-bantu di situ,” kata Qashaf. “Saya baru je kerja di situ.”
“Jadilah tu. Janji halal buat
anak isteri makan,” balas Sarah.
Qashaf ketawa kecil. “Saya bujang
lagi, Sarah.”
“Oh, yakah?” Sarah ikut ketawa
kecil. “Maaf. Jadi, tinggal dengan orang tualah ye?”
Qashaf mengangguk. “Saya nak
minta tolong Sarah sikit, boleh?” soal Qashaf.
“In Sha Allah, kalau saya mampu,”
balas Sarah.
“Macam ni, hujung minggu ni ada
sambutan majlis berbuka puasa di Rumah Kasih Seroja. Jadi, saya nak minta Sarah
buatkan ayam percik untuk seratus anak-anak yatim di sana. Saya akan bayar
wangnya. Sarah beritahu saja berapa harganya,” terang Qashaf.
Sarah berfiir seketika. “Anjuran
siapa ya?” tanya Sarah.
“Oh, bukan mana-mana persatuan.
Cuma, dah menjadi satu rutin bagi keluarga saya dan saudara mara. Setiap kali
bulan Ramadan, kita orang akan pilih salah satu pusat kebajikan anak yatim atau
rumah orang-orang tua untuk adakan majlis berbuka puasa,” jelas Qashaf.
“Alhamdulillah...mudah-mudahan
Allah limpahkan rezeki yang melimpah
ruah buat keluarga awak,” doa Sarah.
“Amin.” Qashaf meraup mukanya
dengan tapak tangan. “Jadi, awak setuju nak bantu saya?” tanya Qashaf.
Sarah mengangguk laju. “In Sha
Allah.”
“Boleh saya minta nombor telefon
Sarah. Bukan apa, senang untuk saya hubungi kalau ada apa-apa nanti,” pinta
Qashaf.
“Nanti ya,” Sarah mengoyak
sedikit kertas pembalut yang digunakan untuk membungkus ayam percik, lalu
menulis nombor telefon di atasnya. “Ini nombor telefon saya. Nanti kalau ada
apa-apa, awak boleh call saya.”
“Terima kasih,” Qashaf sudah
tersenyum lebar.
-----------@@---------------
Rumah Kasih Seroja..........
Qashaf terjenguk ke jalan. Memerhatikan
kepada kenderaan-kenderaan yang melalui jalan itu. Kemudian, terlihat sebuah
van biru masuk ke perkarangan Rumah Kasih Seroja. Kelihatan seraut wajah Sarah
yang tersenyum memandangnya.
Sarah memakirkan vannya dan terus
membuka pintu belakang van. Qashaf menghampirinya.
“Amir, panggil yang lain tolong
bawa masuk ke dalam ya,” suruh Qashaf kepada salah seorang penghuni dan juga
pekerja di Rumah Kasih Seroja.
“Baik, bang,” Amir terus
menghilang ke dalam untuk mencari bantuan. Kemudian, kelihatan kelibat beberapa
orang pemuda mula membantu Sarah mengangkat semua hidangan ayam percik yang
ditempah Qashaf.
Qashaf beralih memandang Sarah.
“Terima kasih ya, Sarah.”
“Tak apa,” Sarah hanya tersenyum.
“Betul ni tak nak bayaran?” soal
Qashaf lagi.
“Tak mengapalah Qashaf. Lagipun,
semua ni untuk mereka,” Sarah memandang sekumpulan anak-anak perempuan yang
berusia sekitar 3 tahun sehingga 12 tahun yang sedang bermain-main tidak jauh
dari situ. “Awak dan keluarga awak berniat baik membantu mereka. Jadi, biar saya
bantu awak dan keluarga awak yang mana termampu.” Sarah beralih semula
memandang Qashaf.
Qashaf menarik nafas lega. “Kalau
macam tu, jemputlah sekali meriahkan majlis ni.” Sebenarnya, sudah beberapa
hari Qashaf mengajak Sarah untuk menyertai mereka, namun Sarah menolak kerana
segan untuk menyertai keluarganya.
“Ish, tak payahlah. Lagipun, ini
majlis awak dengan keluarga awak, kan,” tolak Sarah. Bukan dia tak mahu
menerima pelawaan itu, namun majlis itu dianjurkan Qashaf sekeluarga. Apakata
keluarga Qashaf pula bila dia tiba-tiba sahaja dia menyertai mereka.
“Dia orang okey-lah,” balas
Qashaf. “Saya pasti, awak tentu suka dengan keluarga saya.”
“Hmmm....tak apalah, ya,” tolak
Sarah lagi.
“Awak tak suka dengan anak
yatim?”
“Ish! Nauzubillah....” Sarah menarik
nafa panjang.
“Maaf, saya Cuma bertanya,” balas
Qashaf.
“Tak apa. Saya tak marah,” Sarah
hanya tersenyum. “Siapalah yang tak sayang dengan anak yatim. Mengusap kepala
mereka saja pun, dah dapat banyak pahala.” Sarah merenung jauh seorang
kanak-kanak yang usianya dalam lingkungan 3 tahun dan masih memakai lampin
pakai buang.
“Kadang-kadang sedih tengok
mereka. Kita yang membesar dengan penuh dengan kasih sayang orang tua, takkan
bisa dapat merasai apa yang mereka rasa, kan?” Sarah melirik Qashaf.
“Ujian Allah itu tak sama pada
setiap hambaNYA. In Sha Allah, disebalik kekurangan mereka, tentu Allah
memberikan kekuatan yang luar biasa yang tak ada pada kita,” balas Qashaf.
Sarah mengangguk setuju.
“Jomlah. Boleh awak kenali dan
rapatkan diri dengan mereka. Mungkin dengan cara ini, awak dapat berkongsi
perasaan dengan mereka,” ajak Qashaf lagi.
Kata-kata Qashaf itu menarik
minat Sarah. “Famili awak macam mana?” tanya Sarah lagi yang masih khuatir
dengan penerimaan keluarga Qashaf.
“Dia orang tentu gembira jumpa
awak,” Qashaf tersenyum.
“Betul?” tanya Sarah. Qashaf
mengangguk. “Jom!”
------------------@@-------------
“Mak Lang?” terkejut Sarah
melihat wajah di depannya itu. Mak Lang hanya tersenyum memandang Sarah. Sarah
menoleh pula kepada Qashaf.
“Kak Sarah!” Terdegar satu suara
yang memanggil. Muncul kelibat Rini si situ. Semakin berkerut wajah Sarah.
Tergamam dia di situ.
“Janganlah terkejut. Sebenarnya,
Qashaf ni anak sulung Mak Lang,” beritahu Mak Lang.
“Astaghfirullahalazim....” Sarah
meraup mukanya. “Tak sangka ya,” Sarah menarik nafas panjang. Kemudian, dia
bersalaman dengan Mak Lang. Dia menoleh pula kepada Qashaf. “Kalau awak nak
tahu, saya ni jiran depan rumah keluarga awak,” beritahu Sarah kepada Qashaf.
“Owh... ya kah?” Qashaf pura-pura
tidak mengetahuinya. Qashaf melirik Mak Lang yang sudah tergeleng memandangnya.
“Qashaf langsung tak beritahu
yang dia anak Mak Lang?” soal Mak Lang. Sarah menggeleng.
“Abang memang macam tu,” Rini
memuncungkan bibirnya seolah-olah mengajuk Qashaf. “Sajalah tu!”
“Eh, Sarah pun ada?” Muncul pula
Pak Lang di situ. Mereka semua menoleh padanya.
“Pak Lang,” Sarah menundukkan
sedikit kepalanya tanda sapaan buat Pak Lang. “Sarah datang hantar ayam percik
tadi,” beritahunya.
“Oh....ayam percik tu datangnya
dari Sarah?” Wajah Pak Lang bertukar ceria.
Sarah mengangguk laju.
“Terima kasih ya Sarah sebab
sponsor ayam percik tu. Jadi, baki wang yang ada pakcik suruh Qashaf belikan
bunga api untuk budak-budak ni.”
“Alhamdulliah...” Sarah menarik
nafas lega.
“Sarah, jom kita ke dapur. Banyak
yang perlu disiapkan lagi,” ajak Mak Lang.
------------------@@----------
Nasi beriani, ayam goreng, kuah
dalca, sayur goreng, nasi impit, kuah kacang, sate, kuih muih dan air soya telah
dihidangkan mereka buat semua anak-anak yatim di Rumah Kasih Seroja. Semuanya
telah siap diatas tiga barisan meja panjang yang disusun untuk seramai seratus
penghuni di situ termasuk juga para penjaga.
Sebaik sahaja kedengaran lauang
azan, Ustaz Ahmad yang menjadi pengetua di Rumah Kasih Seroja meminta mereka
membuka puasa dengan kurma dan menghirup sedikit air setelah membacakan doa.
Kemudian, kesemuanya diminta untuk ke surau untuk solah berjemaah.
Usai sahaja bersolat jemaah,
mereka kembali ke dewan makan. Riuhlah suasana malam itu dengan suara
kanan-kanak yang sedang bergembira.
Kanak-kanak yang sudah
menghabiskan hidangan berbuka, terus sahaja meluru mendapatkan Qashaf apabila
ternampak lelaki itu mengeluarkan sekotak besar bunga api.
“Anak-anak, habiskan makan dulu.
Siapa yang belum sudahkan makanan, tak boleh ambil bunga api,” tegas Uztaz
Ahmad. Maka, ramailah kanak-kanak yang berlari semula ke tempat duduk untuk
menghabiskan sisa makanan.
Qashaf dengan senang hati
membahagikan bunga api kepada anak-anak yang sedang beratur di depannya.
“Nak saya tolong?” Sarah
menghampiri Qashaf.
“Boleh,” Qashaf memberi ruang
kepada Sarah untuk berdiri di sebelahnya dan mengagihkan bunga api.
“Akak, nanti simpan untuk kita
orang sikit boleh?” seorang gadis yang berusia dalam linkungan 16 tahun
berbisik di telinga Sarah. Mungkin kerana usia yang telah remaja membuatkan
gadis ini malu untuk beratur bersama adik-adiknya yang lain.
“Berapa orang?” tanya Sarah.
“Dua belas orang,” beritahu gadis
itu. Sarah terus menyerahkan kepada gadis itu untuk diberikan kepada rakan
seusianya.
Kelihatan seorang anak kecil yang
dilihat Sara ketika di luar tadi, menghampirinya dan menghulurkan tangan untuk
meminta bunga api di tangan Sarah.
“Subhanallah, comelnya adik ni,”
Sarah duduk melutut untuk menyamakan ketinggiannya dengan anak kecil itu.
“Siapa nama?” tanya Sarah. Anak
keci itu sudah menunjukkan kepada bunga api di tangan Sarah.
“Sayang nak bunga api?” tanya
Sarah sekadar mahu berbual. Anak kecil itu menoleh ke arah seorang budak
perempuan yang beratur di dalamnya. Dia sudah menarik-narik baju budak
perempuan itu.
“Ini, adik?” tanya Sarah kepada
budak perempuan itu.
“Ini adik saya,” ujar budak
perempuan itu sambil memeluk adiknya.
“Nama adik siapa dan umur
berapa?” tanya Sarah.
“Nama saya Sufi, umur saya enam
tahu dan ini adik saya, Hana umurnya tiga tahun,” ujar budak perempuan itu
dengan lancar.
“Oh....” Sarah menghulurkan bunga
api buat Sufi. “Hana ambil, mercun pop-pop ya. Hana kecil lagi, tak boleh main
bunga api.” Sarah menghulurkan sekotak mercun pop-pop kepada Hana.
Hana mula merengek kerana mahukan
bunga api seperti kakaknya.
“Kenapa ni sayang?” pujuk Qashaf
yang sedari tadi hanya memerhatikan mereka. “Hana nak bunga api?” tanya Qashaf.
Hana mengangguk sambil menyapu airmatanya.
“Boleh, tapi Hana kena main
dengan pakcik, boleh?” tanya Qashaf. Hana mengangguk dengan pantas. “Jom, ikut
pakcik,” Qashaf menghulurkan tangannya. Hana menyambut. Terkedu Sarah di situ
melihat Qashaf yang berjaya mendekati Hana.
Qashaf hilang ke halaman bersama
Hana dan Sufi. Mak Lang menghampiri Sarah dan menepuk bahunya. “Biar Mak Lang
dan Pak Lang saja yang bahagikan bunga api ni. Kamu pergilah tengok budak-budak
di luar. Rini pun ada di luar,” ujar Mak Lang.
“Baiklah, Mak Lang,” Sarah
menyerahkan baki bunga api yang ada di tangannya.
---------------@@-----------
Langit yang kelam itu kelihatan
berwarna warni dengan cahaya dari bunga-bunga api. Sarah melirik Qashaf yang
sedang mendukung Hana dan di tangan mereka berdua, masing-masing memegang bunga
api.
Di sudut yang lain, kelihatan
Sufi sedang bermain dengan kawan-kawannya. Sarah menghampiri Sufi.
“Akak nak main?” tanya Sufi
sebaik saja melihat Sarah menghampirinya.
“Hihihi,” Sarah ketawa. “Bukan
akaklah. Makcik,” ujar Sarah.
“Makcik?” tanya Sufi.
“Kak Rini marah bila Sufi panggil
dia makcik,” beritahu Sufi.
“Tentulah sebab Kak Rini tu muda
lagi. Makcik Sarah dah....erhmmm.... tak berapa nak muda,” gurau Sarah.
Sufi ketawa. “Tak berapa nak
muda?” kepalanya terangguk-angguk. “Berapa umur makcik Sarah?” tanya Sufi lagi.
Sarah agak tergamam dengan
pertanyaan Sufi. “Dua puluh tujuh tahun,” beritahu Sarah kemudiannya. “Sufi ada
berapa beradik?”
“Dua beradik aje,” Sufi membuang
batang bunga api di dalam tong sampah lalu mendekati Sarah semula.
“Sufi Cuma berdua dengan Hana?”
tanya Sarah. Sufi mengangguk. “Dah berapa lama Sufi tinggal di sini?”
Sufi tertunduk. “Baru aje.”
Melihatkan Sufi yang sudah
tertunduk sedih itu, Sarah tidak jadi untuk bertanya lagi. Dia memeluk bahu
Sufi dan mengusap lengannya.
Entah apalah perasaan anak itu
sekarang. Baru berusia enam tahun, namun sudah berada di sini bersama adiknya.
Sarah yang sudah bertakung airmatanya cuba menyeka sebelum ia mengalir di pipi.
“Mak dah tak ada. Ayah pula,
entah ke mana.” Tiba-tiba sahaja Sufi bersuara.
Sarah menoleh memandang Sufi.
“Ayah Sufi masih ada?”
“Dulu, ayah selalu marah dan
pukul mak. Mak sakit, badan semua lebam, berdarah,” cerita Sufi. “Bila ayah
marah-marah, mak suruh Sufi bawa adik sorok dalam bilik dan kunci pintu. Jangan
bagi ayah masuk. Bila ayah dah tak ada, baru Sufi bawa adik keluar.”
“Habis tu, ayah selalu pukul Sufi
dan Hana?” Nafas Sarah sudah tersekat-sekat.
Sufi menggeleng. “Tak. Ayah cuma
pukul mak.” Sufi sudah tertunduk tetapi tidak menangis.
Sarah terus memeluk Sufi dengan
erat. Bagaimana tabahnya seorang anak kecil bernama Sufi menceritakan kisahnya
tanpa mengalirkan airmata. Sedangkan, Sarah sendiri sudah beberapakali menyapu
airmatanya.
“Sekarang ni macam mana? Sufi
gembira tinggal di sini?” Sarah melepaskan pelukan dan mengukirkan senyuman
buat Sufi.
“Mak pesan, Sufi kena jaga Hana.
Jangan berpisah. Tapi, Sufi takut kalau ada orang pisahkan kami,” sayu suara
Sufi menuturkan kata.
“Kenapa?”
“Uztazah beritahu, ada orang nak
ambil Hana. Sufi tak nak berpisah dengan Hana,” Tatkala itu airmata Sufi sudah
tumpah.
“Betulkah ni Sufi?” Sarah
memegang wajah Sufi agar memandangnya. Sufi hanya menangis. Sarah terus memeluk
Sufi lagi. Kali ini lebih erat.
“Ya Allah, janganlah dipisahkan
Sufi dengan adiknya.”
---------------------@@----------------
“Kenapa ni Sarah?” Qashaf menghampiri Sarah yang sedang
termenung bersendirian. Sebentar tadi, dia melihat Sarah berbual dengan Sufi
dan sekarang wanita itu sedang termenung di sini.
Sarah menoleh memandang Qashaf.
“Mana Hana?”
“Dia dah mengantuk. Saya minta
Sufi bawa dia ke dalam,” balas Qashaf.
“Pandai Sufi jaga adiknya, kan,” Ujar
Sarah. Kemudian, dia tertunduk mengetap bibirnya.
“Kenapa dengan awak ni? Macam tak
okey je,” tanya Qashaf lagi.
Sufi mengeluh. “Betulkah ada
orang akan ambil Hana?” tanya Sufi.
“Erk....mana awak tahu?” tanya
Qashaf kembali.
“Sufi beritahu. Dia kata ada
orang datang tengok Hana hari tu,” beritahu Sarah.
“Alhamdulillah...baguslah.
sekurang-kurangnya, ada juga orang nak jaga dia.” Qashaf sudah menarik kerusi
dan duduk bertentangan dengan Sarah.
“Bagus tu, memanglah bagus. Macam
mana dengan Sufi dan Hana? Mereka akan terpisah.” Sarah memegang kepalanya.
“Saya tak boleh biarkan mereka terpisah.” Bisik hatinya mengatakan dia perlu
melakukan sesuatu.
“Habis tu?” tanya Qashaf pula.
“Macam mana kalau awak minta
uztaz dan ustazah pujuk orang tu agar ambil Hana dan Sufi sekali. Saya tak
sanggup nak bayangkan perasaan mereka bila terpisah,” Sarah mengeluh lagi.
Qashaf menarik senyuman kelat.
“Nanti saya cuba bincang dengan ustaz ya,” janji Qashaf.
MALAM itu, sebelum mereka pulang,
Hana meminta izin kepada Ustaz Ahmad dan Ustazah Sakinah untuk menemui Hana
yang sudah tidur di asrama dan Sufi yang menemani adiknya itu.
Hana menjenguk ke dalam bilik
yang hampir gelap itu. Kelihatan Sufi sedang menepuk adiknya tidur.
“Ya Allah Sufi, pandainya kau menjaga
adikmu,” sekali lagi airmata Sarah bertakung. Sarah melangkah ke dalam.
“Assalamualaikum,” sapa Sufi dengan perlahan kerana tak mahu mengejutkan Hana
yang nyenyak tidur.
“Waalaikumsalam. Eh, makcik
Sarah.” Berseri wajah Sufi melihat Sara di situ. “Makcik buat apa di sini?”
“Makcik nak jumpa Sufi dan Hana,”
Sarah mengusap kepala Sufi. “Makcik dah nak balik.”
“Oh,” Sufi mengangguk. Dia
tertunduk.
“In Sha Allah, jika diizinkan
Allah, makcik datang balik melawat Sufi dan Hana,” janji Sarah.
“Betul?” wajah Sufi bertukar
ceria kembali.
Sarah mengangguk laju. Dia
mengucup dahi Sufi dan kemudian, mengucup pula dahi Hana. Lama sekali bibirnya
melekat di dahi Hana yang masih kecil itu. Dalam masa sesingkat ini, dia terasa
begitu sayang kepada kedua-dua anak itu.
“MACAM MANA?” tanya Qashaf sebaik
sahaja melihat kelibat Sarah keluar dari asrama perempuan. Sarah hanya
tersenyum.
“Ayah mereka ada di mana
sekarang?” tanya Sarah.
Qashaf menjongketkan bahu. “Sejak
arwah ibu Sufi dan Hana meninggal, ayah mereka terus tak balik. Jiran-jiran
yang bawa mereka ke sini. Saudara mereka yang lain pun.....” Kepala Qashaf
tergeleng lalu dia mengeluh.
“Macam mana kalau saya nak ambil
mereka berdua sebagai anak angkat saya?” Sarah sudah menghentikan langkahnya
dan terus memandang Qashaf.
Tercengang Qashaf memandang
Sarah. “Biar betul awak ni.”
“Saya.....saya tak tahulah.
Saya....” Sarah memejamkan matanya seketika. “Saya dapat rasakan yang mereka
perlukan saya.”
“Banyak prosedur dan syaratnya. Tambahan
pula, awak belum berkahwin. Susah jika nak dibandingkan awak dengan pasangan
yang datang tengok Hana hari tu. Saya dapat tahu dari uztaz, mereka itu ahli
perniagaan yang kaya. Mereka mampu dan layak untuk berikan kehidupan yang
terbaik buat Hana.”
“Tapi, saya tak nak mereka berdua
terpisah,” Sarah menggigit bibir bawahnya untuk menahan airmatanya tumpah.
“Beginilah. Awak balik, bincang
dulu dengan keluarga awak, boleh?” usul Qashaf.
Sarah memandang Qashaf, kemudian
dia mengangguk.
“Jom kita balik, dah malam,” ajak
Qashaf.
-----------------@@---------------
“Assalamualaikum.....” sapa
Qashaf yang baru keluar dari pintu pagar rumahnya.
Sarah yang sedang menjemur
pakaian terus menoleh kepadanya. “Waalaikummussalam...” Sarah meletakkan kain
di tangannya ke dalam bakul semula dan menghampiri pintu pagar rumahnya. “Bila
awak balik rumah mak awak ni?”
“Uh?” Terjongket kening Qashaf.
“Bila saya beritahu awak yang saya tinggal berasingan? Kalau tak silap saya,
saya pernah beritahu awak yang saya tinggal dengan keluarga,” beritahu Qashaf.
“Iyakah?” Kening Sarah berkerut.
“Tapi, saya tak pernah nampak awak pun.”
“Awak yang tak pernah nampak
saya. Sejak saya balik dari Korea dua bulan lepas, selalu saya nampak awak
jemur baju,” kata Qashaf.
“Oh, awak curi pandang saya
eh....” usik Sarah sambil matanya sudah tercengang memandang Qashaf.
Qashaf ketawa.
“Awak tak jaga kedai pakcik awak
hari ni?” tanya Sarah apabila melihat Qashaf segak memakai sut hitam. “Awak nak
ke mana pagi-pagi ni?”
“Hmm, sebenarnya saya datang sini
nak beritahu awak yang saya dah tak kerja di kedai runcit pakcik saya lagi,”
kata Qashaf. Sebenarnya, Qashaf bekerja di kedai runcit milik pakciknya itu
bukan hanya untuk mengisi masanya, namun lebih kepada untuk mencari pengalaman
tersendiri.
“Oh yakah.... awak dah dapat
kerja. Syukur Alhamdulillah....” Ceria wajah Sarah menerima berita itu. “Kerja
di mana?”
“kerja dengan Pak Lang-lah....”
ujar Qashaf. “Biasalah, Pak Lang dah mula merungut sebab saya lajakkan masa
untuk ambil alih bisnes dia tu.”
“Oh,” kepala Sarah terangguk.
Memang dia tahu Pak Lang mempunyai bisnes dalam pembuatan herba dan ubat-ubatan
tradisional. Tak kurang juga dengan produk minuman yang berkonsepkan makanan
sunnah. “Pak Lang dah nak pencen?” terkedu Sarah seketika.
“Taklah. Cuma, syarikat akan
tambahkan cawangan di bahagian timur. Pak Lang mahu saya uruskan cawangan di
sini. Sebab tulah, dia beria-ia mahu saya mulakan kerja hari ni.”
“Jadi, awak akan berpindahlah
dalam masa yang terdekat ni?” tanya Sarah.
Qashaf menggeleng. “Cawangan di
sana nanti akan diteraju sendiri oleh Pak Lang. Saya akan uruskan cawangan di
sini,” beritahu Qashaf, mengulangi semula kata-katanya tadi. “In Sha Allah. Mungkin
tahun depan, bangunan akan siap dibina,” jelas Qashaf lagi. Sarah mengangguk.
“Sarah, saya ada berita untuk
awak.” Nada suara Qashaf sudah berubah.
“Berita apa?”
“Sufi dan Hana. Dah ada orang
yang ambil mereka berdua sebagai anak angkat,” jelas Qashaf.
“Siapa? Pasangan yang datang
tengok Hana hari tu?” Sarah benar-benar terkejut dengan berita itu.
“Tak. Pasangan lain.” Qashaf
memandang wajah suram di depannya.
“Saya baru rancang nak jumpa dia
orang petang ni, lepas tutup gerai,” keluh Sarah. “Saya dah beli baju raya
untuk mereka berdua.” Sarah tertunduk sedih. “Tapi, tak apalah. Asalkan mereka
berdua tetap bersama dan tidak berpisah, dah cukup buat saya,” Sarah cuba
tersenyum walaupun berat untuknya menerima berita itu.
“Kita doakan yang baik-baik untuk
mereka ya, Sarah,” balas Qashaf pula.
----------------@@------------
1 Syawal....
Pagi yang tenang, damai dan penuh
kesyahduan tatkala berkumandang takbir raya disetiap pelusuk kawasan perumah
itu. Sarah yang berpakaian cantik sudah membelek-belek wajah dan penampilannya
di cermin.
Jubah hitam yang disulami dengan
bunga kuning keemasan dan diberikan sentuhan moden dengan manik-manik kecil di
tengahnya kelihatan begitu anggun bila dikenakan dengan selendang hitam dari
Dubai oleh Sarah.
“Sarah!” Kedengaran suara ibunya,
Sarlin bersama ketukan di pintu kamar.
Bergegas Sarah mencapai kain
telekungnya dan terus membuka pintu.
“Dah siap?” soal Sarlin.
“Dah, jom!” ajak Sarah.
Pagi itu, seperti tahun-tahun
sebelumnya, Sarah pasti ke masjid bersama-sama Sarlin dan ayahnya, Khairul
untuk bersolat sunat Hari Raya Aidilfitri. Masjid terletak tidak jauh sahaja
dari rumah mereka. Mereka lebih senang berjalan kaki ke sana.
Sebaik sahaja usai menunaikan
ibadah di masjid, mereka akan singgah sebentar di rumah teman baik Sarah, Aton.
Tetapi kemudian, Sarlin dan
Khairul pulang terlebih dahulu kerana khuatir memikirkan jika ada tetamu yang
datang bertandang. Manakala, Sarah masih terus berada di rumah Aton dan
bergurau senda dengan sahabatnya itu. Sarah juga sangat rapat dengan keluarga
Aton menjadikan dia tidak kekok berada di sana sehingglah dia mendapat
panggilan dari Khairul yang menyuruhnya pulang.
“Sarah balik dulu makcik. Ada
tetamu di rumah,” Sarah bersalaman dengan ibu Aton.
“Nanti, kau datang rumah
aku tau. Banyak lauk yang aku masak tahu!” ujar Sarah.
“Eh, ada lontong tak?” tanya Aton
dengan teruja.
“Ada! Datang tahu!” pesan Sarah
dan terus berjalan menuju ke rumahnya.
“Assalamualaikum,” Sarah memberi
salam apabila tiba di rumahnya.
“Waalaikummussalam,” kedengaran
suara-suara yang menjawab salamnya.
“Oh, Pak Lang, Mak Lang,” Sarah
terus bersalaman dengan jiran depan rumahnya. “Selamat hari raya, maaf zahir
batin ya.”
“Sama-sama,” jawab Mak Lang dan
Pak Lang.
Sarah menoleh memandang Qashaf.
“Selamat hari raya Qashaf.”
“Selamat hari raya, Sarah,” balas
Qashaf. “Saya ada kejutan dan berita gembira untuk Sarah,” beritahu Qashaf.
“Kejutan untuk saya?” Sarah duduk
di samping Sarlin sambil melirik Mak Lang yang sudah tersenyum memandangnya.
“Tapi, awak kena ikut saya ke
rumah sekarang,” pinta Qashaf.
Tergamam Sarah dengan permintaan Qashaf. Terus
wajah Sarlin dan Khalid di pandanganya.
“Pergilah Sarah. Rini dan
kawan-kawannya ada di rumah. Lagipun, Qashaf dah minta izin tadi,” beritahu
Sarlin.
“Oh,” Sarah menarik nafas lega.
“Jomlah,” ajak Qashaf yang sudah
bangun ke muka pintu.
Sarah melemparkan senyuman buat
tetamunya dan orang tuanya dan terus mengikut langkah Qashaf.
“Awak buruk sangka dengan saya ek
tadi?” usik Qashaf.
“Mana ada!” Wajah Sarah sudah
memerah. Qashaf ketawa.
“Assalamualaikum,” Qashaf memberi
salam sebelum melangkah ke dalam rumahnya.
“Waalaikummussalam,” jawab Rini
dan teman-temannya.
“Marilah Sarah,” ajak Qashaf.
Sarah melangkah ke dalam.
“Mama!!” Kedengaran suara
anak-anak menjerit. Tatkala itu terlihat Sufi dan Hana berlari mendapatkan
Sarah. Sarah tergamam. Dia terus terkedu di situ tatkala Sufi memeluk pinggangnya.
Apatah lagi mendengar mereka memanggilnya mama.
“Sufi?” Sarah melutut untuk
melihat wajah itu. “Hana?” Hana terkedek-kedek berjalan ke arahnya. “Macam
mana?” Sarah menoleh memandang Qashaf. Airmatanya sudah berlinangan melihat dua
beradik itu di depan matanya. Suaranya bergetar. Dia terus memeluk Sufi dan
Hana tanpa menunggu jawapan dari Qashaf.
“Makcik nak jadi mama Sufi?”
tanya Sufi. Sarah merungkaikan pelukan. Dia memandang Sufi. Lalu, beralih
memandang Hana. Wajah comel itu diusapnya.
Rini dan teman-temannya beralih
ke ruang tamu yang lain untuk memberikan ruang kepada mereka.
Sarah bangum dan mengangkat tubuh
kecil Hana di dalam pelukannya. “Apa semua ni Qashaf?”
Qashaf menarik nafas panjang.
“Sebenarnya, Pak Lang dan Mak Lang yang bantu saya ambil mereka untuk dijadikan
anak angkat. Saya pun, tak sampai hati nak biarkan mereka terpisah.”
“Terima kasih Qashaf.” Sarah
mengusap kepala Sufi yang memeluknya.
“Jadi, sekarang ni, saya dah jadi
ayah angkat mereka. Cuma, satu aje,” Qashaf menghulurkan tangan kepada Hana.
Hana masuk ke dalam pelukan Qashaf. “Saya perlukan seorang ibu untuk mereka.”
“Saya boleh jadi ibu mereka,”
balas Sarah laju.
“Bukan ibu setakat ibu aje,” kata
Qashaf yang menyedari bahawa Sarah tidak mengerti maksudnya. “Saya perlukan
seorang ibu dua puluh empat jam yang boleh menjaga mereka bersama-sama saya,”
ulang Qashaf sekali lagi.
Kali ini Sarah tertunduk.
Tiba-tiba sahaja tubuhnya menjadi dingin.
Qashaf meletakkan Hana di bawah
dan memberi isyarat agar Sufi membawa adiknya pergi. Qashaf menyeluk kocek dan
mengeluarkan sebentuk cincin. “Saya pasti dan yakin, hanya ada seorang wanita
sahaja yang akan menyayangi mereka dengan tulus. Sarah, sudi tak awak jadi isteri
saya?”
Sarah mengangkat wajahnya. Mereka
bertentang mata seketika.
------------@@----------------
Setahun kemudian.............
Sarah membetulkan baju kurung
yang dipakai Hana.
“Mama, hari ni kita nak pergi
jalan-jalan kutip duit raya?” tanya Hana.
“Bukanlah dik. Kita raya hari ni.
Kita kena salam dan minta maaf dengan semua orang,” sampuk Sufi. Sarah ketawa.
Sufi memang bijak berkata-kata.
Sarah memusing tubuh Hana agar
memandang cermin. Dia memeluk Hana dari belakang. “Sufi dan Hana gembira tak?”
Sufi memeluk leher Sarah.
“Gembira sangat!” Sufi menberikan satu ciuman buat Sarah. Sarah membalas ciuman
itu dan kemudian, mencium pula pipi Hana.
“Apa yang anak-anak papa buat
dalam bilik ni? Tak siap lagi?” muncul Qashaf di situ sambil memandang isteri
dan anak-anaknya yang segak berbaju kurung dari warna merah jambu. Itulah tema
pilihan Sufi dan akhirnya, kerana mahu menyamakan tema yang dipilh, Qashaf
sendiri juga terpaksa membeli sehelai baju kurung Melayu yang berwarna merah jambu.
“Dah siaplah ni papa,” Sarah
menjawab bagi pihak anak-anak dan bangun dari duduknya sambil menggenggam
tangan Sufi dan Hana.
“Sufi dan Hana pergi makan kuih
raya dulu. Mama ada perkara sikit nak bincang dengan papa,” suruh Sarah. Sufi
dan Hana berlari keluar dari kamar.
“Ada hal apa ni sayang?” tanya
Qashaf.
Hana membelakangkan Qashaf dan
berpusing memandang cermin. “Abang mesti tak nampak apa yang Sarah letak atas briefcase abang malam tadi,” ujar Sarah
dengan nada rajuk. Masakan tidak, kerana terlalu sibuk dengan kerja, sehingga
malam tadi suaminya itu berada di pejabat. Pukul satu pagi baru suaminya pulang
ke rumah.
“A’ahlah.....Abang lupa,” Qashaf
sudah tersenyum sumbing lalu memeluk isterinya dari belakang sambil memandang
wajah itu di dalam cermin. “Takkanlah pagi-pagi raya ni pun nak merajuk dengan
abang. Abang kenalah kerja kuat untuk isteri dan anak-anak. Apatah lagi, baby baru akan lahir nanti.” Qashaf
memegang perut Sarah yang telah mengandung dua minggu.
Wajah kelat Sarah bertukar dengan
senyuman.
Qashaf memegang bahu Sarah dan
memusing tubuhnya agar memandang kepada Qashaf. “Syawal ini adalah anugerah
yang terindah buat kita sekeluarga. Semoga anak yang bakal lahir ini, akan
menjadi anak yang soleh dan taat pada orang tua.”
“Amiin,” balas Sarah.
Qashaf menarik tangan Sarah ke
ruang tamu. Di situ, mereka melihat Sufi dan Hana sedang berkejaran dengan
riang. Qashaf memeluk bahu Sarah.
“Sufi, Hana,” panggil Qashaf.
Mereka berdua terus mendekati Qashaf. “Sufi dan Hana akan dapat adik.”
“Adik?” Wajah Sufi bertukar ceria.
“Betul papa?”
“Betul. Jadi, Sufi dan Hana kena
rajin tolong mama, boleh?” tanya Qashaf. Sufi mengangguk laju.
“Tapi, bila dapat adik nanti,
papa dan mama takkan sayang kami lagi?” Wajah Sufi bertukar muram.
Sufi melutut untuk menyamakan
ketinggian mereka. “Tak sayang. Sufi dan Hana takkan dapat digantikan oleh
sesiapa dalam hati mama dan papa. Sufi dan Hana adalah kurnia dari Allah untuk
papa dan mama. Hidup mama dan papa takkan bermakna tanpa Sufi dan Hana. Dan
adik Sufi ni....” Sarah memegang perutnya. “...adalah adik Sufi dan Hana.”
“Papa dan mama takkan membezakan
anak-anak papa dan mama,” sampuk Qashaf yang juga sudah melutut di depan Hana. “Hana dan Sufi adalah kurnia
dan baby dalam perut mama adalah
anugerah.” Qashaf mengusap rambut Hana.
“Anugerah Aidilfitri ya papa?”
tanya Hana.
Qashaf dan Sarah berpandangan.
Mereka tersenyum. Qashaf mengangguk.
“Betul sayang. Anugerah
Aidilfitri.”
Sarah terus menarik Sufi ke dalam
pelukannya dan Qashaf pula memeluk Hana dengan erat.
~TAMAT~
----------------------------------------
Salam ingatan tulus ikhlas dari saya.....Dengan segala kerendahan hati, sejuta keampunan dipohon buat semua pembaca blog PSB di atas segala kekurangan sepanjang diri ini bergelar penulis.
Pena menari mengganti diri
Ucapan buat teman dan taulan
Di sepanjang kewujudan blog PSB
Terlebih, terkurang harap diampunkan
Dengan ingatan yang tulus
Disampaikan buat anda semua
Tersilap komen tersalah status
Harap diampunkan semuanya
Tak sungguh tak ku kata
Ku hanya penulis biasa
Jika tak ikhlas, tidaklah diri meminta
Agar diampunkan dari segala dosa
(maaf ya untuk pantun yang tak seberapa ni. saya tak pandai berpantun....hihihihi)
Terakhir sekali,
*Untuk anda semua yang akan pulang ke kampung, hati-hati di jalanraya. Pastikan kereta anda dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan. Biar lambat asal selamat. Jangan lupa double check barang-barang yang perlu anda bawa pulang ke kampung ya....
*Untuk anda yang tak ada kampung (macam saya)....hihihi... Semoga Aidilfitri tahun ini membawa seribu kegembiraan buat anda dan keluarga.
*Untuk yang dah berjaya kurangkan berat badan di bulan Ramadhan ni, jangan lupa dengan diet anda ketika seronok menjamah juadah hari raya. Takut berganda pula bila timbang nanti...
SaLaM aIdIlFiTri
MaAf ZaHiR & bAtIn
Salam tulus ikhlas dari,
EmMa RuSdI
No comments:
Post a Comment