Friday, 23 August 2013

Ratu Hati Si Putera Arab 22





----------------------@@-----------

SALAM JUMAAT, SALAM CERIA UNTUK ANDA YANG SENTIASA MENGIKUTI KISAH INI....... ENJOY READING..... :)


---------------@@-----------



DENGAN membawa bakul rotan yang berisi kuih gelang dan karipap di tangan kanannya, Audra melalui lorong kecil ke kawasan kebun. Di tangan kirinya pula, memegang termos air yang berisi air teh dan dua gelas plastik. Ketika tiba di situ, dia terlihat Pak Aji sedang duduk berehat di pondok sambil mengelap peluh yang meleleh di tubuhnya dengan tuala kecil yang tergantung di lehernya.

“Assalamualaikum, abah!” sapa Audra bersama senyumannya. Lega hatinya apabila kelibat Zack tiada di situ. Bakul rotan dan termos air di letakkan di atas lantai pondok. Di pula sudah melabuhkan punggungnya di situ.

“Waalaikummussalam,” Pak Aji sudah tersenyum menerima kedatangan Audra. “Ara bawa apa ni?” soalnya sambil menyelak kain yang menutup bakul yang  dibawa Audra.

“Ni hah! Ada kuih sikit. Ara dengan Along yang buat!” ujarnya sambil membuka penutup termos lalu menuang air ke dalam gelas plastik lalu diserahkan kepada Pak Aji.

Pak Aji sudah tersenyum. Sesekali bila anak-anak perempuannya balik, pasti mereka akan membuat kuih. Terasalah juga air tangan mereka. Hilanglah sedikit rindunya pada mereka.

“Iman mana, bah?” Audra sudah tercari-cari anak buahnya itu. Pagi tadi, Iman berkeras mahu mengikut Pak Aji ke kebun seperti hari-hari sebelumnya. Tapi, kenapa bayang Iman tidak kelihatan?

“Ada dekat hujung sana,” Pak Aji memuncungkan bibirnya ke arah yang dimaksudkan. “Sibuk bermain dengan Zack,” sambung Pak Aji. “Pandai betul budak Zack tu ambil hati Iman. Kalau tidak, Iman tu bukan main susah nak rapat dengan orang yang baru dia kenal.” Pak Aji sudah tersenyum apabila berceritakan perihal anak angkatnya itu. Ah, Zack memang pandai mengambil hati!

Audra sudah mencebik. Bukan hati Iman sahaja yang pandai di ambilnya, tapi hati abah juga! Timbul rasa kurang senang dalam hati Audra. Bagaimana Zack boleh jadi begitu rapat dengan keluarganya?

“Kamu tolong panggilkan Zack. Suruh dia datang sini dan makan kuih ni bersama abah!” perintah Pak Aji.

Terkedu Audra seketika. Namun dia tetap bangun untuk melaksanakan perintah Pak Aji walaupun hatinya berat untuk melakukan begitu. Jika ditolak, pasti abah akan tertanya-tanya pulak. Audra berjalan masuk ke dalam kawasan kebun yang berpagar itu. Dari jauh, kedengaran suara gelak tawa Iman. Ceria sekali bunyinya. Abah benar, Encik Zack memang pandai mengambil hati Iman.

“Assalamualaikum,” sapa Audra apabila sudah hampir dengan Zack dan Iman.

Zack yang sedang tertunduk bermain guli dengan Iman sudah mengangkat kepalanya memandang kelibat yang baru tiba di situ. “Waalaikummussalam!” Berseri wajahnya apabila melihat Audra.

“Angah!” Iman ketawa riang apabila melihat Audra. Terlompat-lompat Iman di situ sambil menunjukkan guli-guli yang berada dalam genggamannya.

“Iman main apa ni?” Tumpuan Audra terus kepada Iman dan guli-guli di tangannya. “Iman main guli? Inikan permainan budak lelaki!” Nada suara Audra menjadi serius.

“Tapi ami kata, Iman boleh main!” pantas Iman membela dirinya sambil menunjukkan pada Zack. “Seronoklah angah!”

“Ami?” Berkerut dahi Audra. Siapa pulak ami yang dimaksudkan Iman? Encik Zack? Pandangan Audra beralih memandang Zack. Wah, wah, wah, bukan main Encik Zack ya!

Zack hanya tersenyum melihat pandangan itu. “Saya yang surah dia panggil saya, ami. Lebih mesra.” Zack mencuit hidung Iman. Iman ketawa gembira.

Whatever! Entah kenapa Audra merasa kurang senang dengan situasi itu. Cepat benar Zack menambat hati keluarganya. Dia bisa melihat bagaimana rapatnya Apit dengan Zack. Sehinggakan Apit mahu menemani Zack bermalam di rumah Pak Abu malam tadi. Apabila berbual dengan Mak Aji, baharulah Audra tahu bahawa Zack sudah beberapakali bertandang ke sini.

“Awak janganlah risau. Permainan ni tak bahaya pun,” ujar Zack seakan membela tindakannya yang mengajar Iman bermain guli.

Audra hanya menjongketkan keningnya sambil melemparkan jelingan kepada Zack. Dia akui, bermain guli bukan sesuatu yang membahayakan.

“Abah panggil makan kuih!” ujar Audra dengan sedikit kasar. Entah kenapa dia merasa kurang senang apabila melihat Zack berjaya menambat hati hampir keseluruhan keluarganya.

Zack melirik jam ditangannya. Sudah jam sepuluh pagi. Perutnya masih terasa penuh setelah bersarapan pagi tadi sebelum ke kebun. “Saya masih kenyang,” balasnya.

“Kata orang, rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari!” balas Audra bersama jelingannya.

“Saya tak mencari musuh. Tapi, saya dapat rasakan yang musuh sedang mencari saya,” sindir Zack sambil matanya menikam anak mata Audra.

 Audra mengetatkan bibirnya. Pastinya Zack maksudkan dirinya! Audra menarik tangan kanan Iman agar mengikutnya. Dua langkah dia meninggalkan tempat itu, kakinya terhenti apabila teringatkan sesuatu. Sebenarnya, sejak bertemu dengan ‘anak angkat’ Pak Aji dan Mak Aji itu, banyak persoalan yang bermain di minda. Namun, tiada kesempatan untuk bertentang mata dengan Zack. Dia menoleh semula ke belakang dan memandang Zack. Inilah peluangnya untuk berbicara dengan lelaki itu.

“Encik Zack, macam mana Encik Zack boleh kenal dengan keluarga saya?” tanya Audra dengan penuh tanda tanya.

Zack tersenyum. Dia sudah mengagak Audra pasti bertanya tentang itu apabila berkesempatan. “Ketika saya di sini dulu, saya pernah berbual dengan salah seorang anak perempuan Pak Aji melalui telefon. Saya lupa namanya.” Sengaja Zack berkata begitu sedangkan peristiwa itu masih kekal diingatannya. Zack memeluk tubuhnya sambil tersenyum memandang Audra. “Malam tu dia telefon dan mahu bercakap dengan seorang lelaki asing yang menginap di rumahnya. Siap beri amaran pada saya lagi!” ujar Zack dengan nada mengusik.

Audra tergamam seketika. Rupanya, inilah lelaki yang berbual dengannya pada malam dia menghubungi lelaki asing itu. Jika begitu, sangat jelas bagaimana Zack boleh mengenali mereka kerana dia masih ingat peristiwa itu.

Zack menghampiri Iman. Zack mencapai tangan kiri Iman dan memegangnya sehingga berkerut dahi Audra dengan perlakuan Zack. “Boleh saya dukung Iman?” tanya Zack. Audra yang pada mulanya merasa keberatan, mengangguk dan membenarkan. Tangan kanan Iman yang dipegangnya, dilepaskan.

Zack mengangkat tubuh kecil Iman. “Maaflah, saya cuma mahu menumpang kasih keluarga awak. Saya teringin benar  nak ada keluarga sendiri dan punya anak seperti Iman.” Pipi Iman dicubit. Iman ketawa manja.

“Kalau macam tu, kenapa Encik Zack tak kahwin aje?” tanya Audra sekadar berbasi.

“Awak nak kahwin dengan saya tak?” soalnya dengan spontan.

Terkedu Audra di situ. Wajahnya sudah terasa panas. “Encik Zack jangan main-main boleh tak?!” Audra menjeling, cuba menyembunyikan getaran di dadanya.

“Awak tak suka dengan saya?” soal Zack lagi. Audra terlalu dingin dengannya. Adakah Audra menyimpan rasa benci kepadanya?

Audra mendengus perlahan. Dia berpusing mahu pergi. Malas mahu melayan! Sudahlah hatinya tidak keruan dengan kedatangan Zack di kampung ini.

“Audra!” panggil Zack sehingga membuatkan Audra tidak jadi untuk melangkah. “Saya suka dengan keluarga awak. Saya tak berniat jahat! Percayalah!” Zack tak mahu Audra menyimpan perasaan buruk sangka kepadanya.

Sekali lagi Audra menoleh memandang Zack. Dia sendiri tidak pasti mengapa dia terasa sukar menerima kedatangan Encik Zack di sini. Tetapi dia tidak lupa jasa baik Zack yang sudah meluluskan cutinya.

“Terima kasih, Encik Zack,” kata Audra.

“Uh?” Zack terkedu seketika. “Untuk apa?” tanya Zack.

“Sebab dah luluskan permohonan cuti saya. Walaupun saya tak layak untuk menerimanya.” Audra kembali berpusing dan berlalu mendahului mereka.

Zack hanya tersenyum melihat Audra yang sedang pergi. Dia memandang Iman. “Angah baik, tak?” soal Zack.

“Baik sangat!” jawap Iman dengan senyuman lebar. “Ami pun baik jugak!”

Senyuman Zack semakin melebar mendengar pujian Iman. Iman anak yang cerdik! “Pandainya anak ami ambil hati,” satu cubitan sayang singgah di pipi Iman. Kemudian, Zack melangkah kaki mengikuti langkah Audra yang sudah agak jauh sambil mendukung Iman.

Melihat Iman, terus ingatannya melayang kepada Aiman dan Ayla yang sudah lama tidak ditemuinya. Pulang semula ke Penang nanti, dia pasti menemui keluarga angkatnya di sana. Begitu juga dengan Aiman dan Ayla yang sudah lama tak ditemuinya.





Dari jauh, kelihatan Pak Aji sudah melambai-lambai pada Zack apabila melihat susuk itu semakin menghampiri. Zack sudah tersenyum lebar sambil mendekati pondok itu. Tubuh Iman sudah diletakkan ke bawah. Iman terus berlari-lari mendapatkan atuknya.

“Duduk sini cucu atuk!” Tubuh kecil Iman diangkat Pak Aji agar duduk di sampingnya. “Mari makan, Zack!” Perhatiannya beralih pula pada Zack yang semakin menghampiri dan kemudian duduk di bawah pondok bersamanya. “Ara, tuangkan air untuk Zack,” arah Pak Aji.

Tanpa banyak bicara, Audra hanya menurut. Satu lagi gelas yang kosong dituang air kopi ke dalamnya. Kemudian, Audra meletakkannya di depan Zack.

“Terima kasih,” Zack mencapai gelas itu dan menghirup kopi yang masih berkepul asapnya. Tekaknya terasa nyaman sekali.

“Makanlah Zack. Anak-anak perempuan abah yang buat,” Pak Aji menolak kuih-muih yang sudah disusunnya di atas pinggan plastik kepada Zack.

Zack terkedu sektika. Abah? Pak Aji bahasakan dirinya abah? Baharu kali ini dia mendengarnya. “Baiklah, Pak Aji. Eh, abah.” Sungguh hati Zack merasa terharu dengan penerimaan itu. “Terima kasih, abah.” Dia merasa terlalu bertuah kerana diberi peluang untuk merasa dirinya dihargai. Memang, dia sudah punya keluarga Fariz dan keluarga Maisara sebagai keluarga angkatnya. Namun situasinya berlainan jika keluarga dari gadis yang dikasihi dalam diam menganggapnya seperti anak sendiri.

Pak Aji hanya menganggukkan kepalanya seolah-olah mengetahui atas tujuan apa ucapan terima kasih itu ditujukan. Dari riak wajah dan reaksi Zack, dia sudah mengetahuinya. “Kamu juga anak abah. Sama seperti Apit,” katanya.

Audra sudah menjongketkan keningnya. Bibirnya terjuih ke depan. Nampaknya, hubungan antara Zack dan keluarganya sudah naik satu paras lagi. Kalau abah sampai membahasakan dirinya sebagai abah kepada orang asing, itu bermakna abah benar-benar menerima kehadiran orang itu. Dalam diam Audra melepaskan keluhan.

Pak Aji menyumbat kuih gelang ke dalam mulutnya. Rasa kasihnya dan percayanya pada Zack sudah semakin meninggi apabila Zack dengan sendirinya menawarkan diri untuk tinggal di rumah jiran mereka, Pak Abu. Selama ini Pak Abu yang tinggal berjiran dengan mereka hidup sendirian di kampung itu.

Sebenarnya, dia memang mahu bersuara agar Zack tinggal di rumah Pak Abu kerana kedua-dua anak perempuannya ada di sini. Tidak manis apabila membiarkan lelaki dan perempuan yang bukan mahram tinggal serumah walaupun masih ada orang lain di dalamnya. Lepas solat Isyak di surau semalam, Zack sendiri bersuara untuk menginap di rumah Pak Abu dan lelaki itu sendiri telah berjumpa dengan Pak Abu dan meminta keizinannya.

Apit yang kebetulan juga ada di situ, terus menyatakan kehendaknya untuk mengikut Zack. Apit memang senang dengan kehadiran Zack. Maklumlah, dia anak lelaki tunggal. Selama ini, dia hanya bersendiri ketika di rumah. Tiada teman untuk berkongsi cerita. Pabila adanya Zack, Apit semakin kerap meluangkan masanya di rumah bersama mereka.

“Hmmm, sedapnya! Angah yang buat?” Iman menunjukkan kuih gelang di tangannya pada Audra.

Audra mengangsuk sambil tersenyum. “Angah buat kuih ni dengan mama. Iman suka?” Gembira hatinya menerima pujian dari seorang anak kecil yang tulus hatinya. Itu menandakan kuih itu memang sedap.

“Suka! Iman lapar ni! Iman nak makan banyak-banyak!” ujar Iman dengan gembira sekali.

Pak Aji sudah ketawa dengan keletah Iman. Keluarganya menjadi ceria dengan kehadiran Iman. Namun, nasib cucunya itu sendiri agak malang. Tapi dia percaya, apa sahaja yang berlaku ada kebaikan yang tersembunyi di sebaliknya. Pak Aji mengusap-ngusap kepala Iman dengan penuh kasih sayang.

“Ami, sedap tak kuih ni?” soal Iman pada Zack.

Sekilas Zack melirik Audra lalu dia memandang Iman semula. Audra yang pura-pura tidak ambil peduli tetap memasang telinga. Hatinya sudah penasaran apakah jawapan yang bakal diberikan Zack.

“Sedap sangat!” Ikhlas pujian itu diberikan tanpa maksud yang tersembunyi disebaliknya. Kuih gelang itu memang sedap! Pandai Audra membuatnya.

Pak Aji gembira sekali mendengar panggilan dari Iman untuk Zack. Tentu sekali Zack yang menyuruhnya memanggil begitu.

Usai sahaja kuih-kuih yang dibawa Audra habis semua di makan, pantas Audra mengemas dan membersihkan semula. “Iman ikut angah balik rumah ya,” ajaknya.

“Alah, Iman nak main dengan ami!” Iman sudah membuat mukanya. Dia masih belum puas bermain dengan aminya itu.

“Matahari dah tinggi ni! Panas!” ujar Audra. Geram hatinya bila melihat Iman terus memegang lengan Zack.

Zack dan Pak Aji sudah ketawa. Senang sekali Zack melihat penerimaan Iman kepadanya. “Iman, Iman anak yang baik, kan?” soal Zack. Iman mengangguk laju. “Kalau macam tu, Iman kenalah dengar cakap angah,” pujuk Zack.

“Tapi, Iman nak main guli dengan ami!” Iman buat muka rajuknya sambil memandang Zack.

Zack mencuit hidung Iman. “Sekarang ni, ami nak bantu atuk dulu. Tengahari nanti, ami dan atuk balik jumpa dengan Iman. Nanti bila ami dan atuk balik dari kebun, kita main lagi nak?” soal Zack.

Iman mengangguk dengan pantas sambil tersenyum lebar.

“Kalau macam tu, sekarang ni, Iman ikut angah balik. Ami nak tolong atuk tebas semak kat hujung sana. Nanti kalau ada ular, dia patuk Iman macam mana?” Sengaja Zack mahu mengusik Iman.

Tapi usikannya itu sudah membuatkan Audra mengerutkan keningnya kerana kurang senang. Budak sekecil Iman tak sepatutnya ditakutkan begitu walaupun mungkin perkara yang dikatakan Zack itu ada benarnya.

“Encik Zack ni mendoakan ke?” soalnya dengan nada sedikit keras.

Zack terus memandang Audra. “Nauzubillah!” laju sahaja perkataan itu keluar dari bibirnya. “Saya cuma,”

“Tak apalah Zack,” Pak Aji terus menyampuk. Bukan dia tidak perasan akan sikap dingin Audra pada Zack. Sedari kelmarin, wajah itu cemerlut apabila berhadapan dengan Zack. Entah apalah tidak disukainya dengan lelaki itu. “Ara, Ara bawalah Iman balik,” arahnya kepada Audra.

“Baiklah, bah!” Audra terus bangun dan keluar dari pondok. Tangannya dihulurkan pada Iman. Satu jelingan dilemparkan untuk Zack.

Iman memandang kepada Zack. Zack menganggukkan kepala, tanda menyuruh Iman mengikut Audra. Kemudian, Iman melepaskan pegangannya pada Zack dan menyambut huluran tangan Audra. Mereka berdua menyusuri lorong untuk keluar dari kebun itu.

Pak Aji memandang Zack yang masih memandang kelibat Iman dan Audra yang sedang menjauhi mereka. “Siapa yang kamu lihat? Anak dara yang kecil atau yang besar?” gurau Pak Aji.

Pantas sahaja pandangan Zack bertukar kepada Pak Aji. Terasa wajahnya memerah. “Saya lihat Iman Pak Aji. Eh, abah!” Soalan Pak Aji membuatkan Zack gelabah dan terus tersalah kata.

Pak Aji ketawa besar melihat reaksi Zack. Memang, penglihatan Zack sebenarnya jatuh pada Iman. Sedari tadi dia memerhatikan Zack. Sengaja dia mahu mengusik anak angkatnya itu. “Cuba terangkan pada abah,” sambung Pak Aji setelah tawanya reda. “Ara sangat susah untuk berkelakuan begitu.” Pandangan Pak Aji terus terarah pada Zack.

Zack terdiam. Mungkinkah Pak Aji menyedari sesuatu antara dia dan Audra? Zack membalas pandangan Pak Aji seketika sebelum kembali tertunduk memandang tanah. “Sebenarnya,” Zack terhenti semula. Dia masih berkira-kira untuk menerangkan perkara sebenarnya pada Pak Aji.

“Sebenarnya, kamu mengenali Ara?” tanya Pak Aji berterus terang. Zack kelihatan terlalu berat untuk berterus-terang kepadanya. Mungkin apabila dia bertanya begitu akan memudahkan Zack untuk berbicara dengannya. Dia dapat merasakan panahan mata Audra yang jelas kurang menyenangi kehadiran Zack. Tapi kenapa? Sedangkan Audra tak punya alasan yang jelas untuk merasakan demikian. Melainkan, mereka telah mengenali antara satu sama lain.

Zack menarik nafas yang panjang. Mungkin dia perlu berterus terang apa yang membuatnya datang ke sini dari mula lagi.

“Abah, mula-mula sekali saya nak minta maaf,” Zack memulakan kata-katanya.


Maaf? Pak Aji menjongketkan keningnya. Namun kemudian, kepalanya terangguk perlahan. “Ceritakanlah,” ujarnya. 



BERSAMBUNG......

---------------@@-------------------

SEMOGA ANDA ENJOY DENGAN N3 KALI INI. APA AGAKNYA REAKSI PAK AJI DENGAN PENGAKUAN ZACK? NANTIKAN SAMBUNGANNYA YA.....


--------------@@-------------


JOM LAYAN LAGU JAP......





----------------


3 comments:

  1. adakah ini merupakan sessi meluah perasaan yg ada dalam jiwanya pada bakal pak mertuanya..menyatakan yg dia mmg telah jatuh hati pada anak dara pak haji dan ingin melamarnya saebagai suri dihati dan menceritakan bahawa dia adalah empunya tempat dimana zara berkerja...

    ReplyDelete
  2. Ohoo zack dh mula nk bterus trg...bgus2 nk tgok rekreasi abahnya plk..

    ReplyDelete
  3. TERIMA KASIB @IDA, @ EIJA...

    (^____^)

    ReplyDelete