Monday 16 November 2015

Deleted scene 1 (Senyum Tanda Suka)






Seperti yang pernah dijanjikan, ER up bab yang kena deleted ya...untuk tatapan sahaja. Bila-bila masa sahaja ER akan padamkan semula dari blog..

------------@@------------

Tajam matanya memerhatikan setiap lukisan yang tergantung di setiap sudut pameran. Dia berpuas hati dengan cara susun atur di situ termasuk lanskap yang dihias untuk menarik minat pengunjung.

            Galeri Emerald yang telah mula dirasmikan tiga tahun yang lalu semakin mendapat sambutan hangat dari peminat lukisan. Malah penggunaan internet memudahkan baginya untuk mempromosikan lagi hasil kreativiti yang dihasilkan oleh Gelari Emerald. Malah, Tuan Idrus memberi kepercayaan kepadanya untuk sama-sama meletakkan hasil lakarannya di situ.

            Hari ini merupakan hari terakhir Galeri Emerald menawarkan lukisan-lukisan dengn harga promosi. Berbanding hari lain, hari ini merupakan hari yang paling ramai pengunjung. Dia berpuas hati dengan para pekerja yang dilantik untuk menjaga galeri ini sepanjang kempen promosi yang dijalankan.


            Amani berhenti di bahagian lukisan yang menempatkan hasil kerja dan ilham Tuan Idrus. Dia memerhatikan lukisan yang jarang dapat diluangkan masa untuk diperhatikan.

Lukisan-lukisan yang berjaya menarik perhatiannya akan diperhatikan lebih lama dan dia akan cuba menjiwai setiap mesej yang disampaikan melalui lukisan tersebut. Lukisan abstrak adalah lukisan yang paling digemarinya, lukisan yang meluahkan perasaan secara tersembunyi. Kebanyakan lukisan abstrak melambang dirinya. Sepi, dingin dan kaku. Atau lebih tepat lagi, lukisan itu melambangkan diri pelukis itu sendiri.

Kemudian, Amani ditegur oleh salah seorang pekerjanya untuk bertanya sesuatu.

Tanpa disedari olehnya, dirinya telah menjadi perhatian sejak dari kakinya melangkah masuk ke dalam Galeri Emerald. Sepasang mata itu tidak lekang dari melihatnya. Hanya menunggu masa yang sesuai untuk bersuara. Apatah lagi melihat dirinya yang sedang berbual dengan pekerja di situ berkenaan lukisan-lukisan yang dipamerkan.

Melihat sahaja kelibat pekerja itu berlalu pergi dan kini tinggal Amani sendirian, lantas tubuh milik sepasang mata yang sedang memerhatikan Amani bergerak menghampirinya. Dia berdiri di di depan sebuah lukisan yang bersebelahan dengan lukisan yang sedang diperhatikan oleh Amani. Pandangannya di halakan ke depan, pada lukisan yang dipamerkan.

“Lukisan tu memang cantik,kan?”

Teguran itu mengalihkan tumpuan Amani. Kelibat seorang gadis muda yang bertudung litup  membuatkan Amani sedikit terkejut. Gadis itu menoleh pada Amani. Amani memandangnya sekilas dan kemudian kembali memandang lukisan tadi tanpa memperdulikan gadis muda itu. Dia memang sudah mengagak yang Tania akan mencarinya di sini.

Tania mengetap bibirnya rapat. Matanya mengecil sambil merenung Amani tajam. Wajah itu sentiasa begitu. Tegang dan tidak pernah menyenangkan. Memang sukar untuk mendekati Amani. Lebih sukar lagi untuk mendapat perhatiannya. 

Tania memang sengaja datang ke sini apabila dia mendapat tahu dari Ismail, pengawal di Ilham Hati tentang kedatangan Amani di situ. Kakak tirinya itu memang kuat semangat dan bekerja keras. Adakalanya dia sendiri merasa cemburu dengan Amani. Walaupun dia adalah waris tunggal dan anak kandung Tuan Idrus, namun Tuan Idrus kelihatannya lebih mempercayai kemampuan Amani berbanding dirinya sendiri. Kerana jauh hati dengan sikap Tuan Idrus, dia membawa diri ke bandar. Dia mahu berdikari dan membuktikan yang dia juga boleh berjaya seperti Amani.

Tetapi belum sampai dua bulan sahaja dia menginap sendirian di bandar, dia merasa tewas untuk mengejar cita-citanya sendiri. Segala kemewahan yang sudah Tuan Idrus sediakan, digunakan dengan sewenang-wenangnya.

Kelmarin, Tuan Idrus menghubunginya. Tuan Idrus sangat marah apabila bil kad kredit yang digunakan melambung tinggi. Kerana itu dia datang ke mari apabila mendapat tahu kehadiran Amani di sini. Hanya Amani yang bisa membantunya sekarang.

Tania mencebikkan wajahnya apabila melihat Amani yang langsung tidak mengambil peduli dengan kehadirannya di situ. Matanya menyoroti langkah Amani yang menghampiri salah seorang pengunjung di situ dan berbual seketika dengannya. Kelihatannya pengunjung itu begitu berminat dengan salah satu lukisan yang dilukis Amani. Amani pula kelihatan bersungguh-sungguh menerangkan sesuatu kepada pengunjung itu.

Setelah pengunjung itu bersetuju untuk membeli lukisan yang dilukis Amani, Amani memanggil salah seorang pekerjanya agar melayan pengunjung tersebut dan dia kembali berjalan dan memerhatikan lukisan yang lain. Dia berlagak seolah-olah kelibat Tania tiada di situ.

“Kakak!” Tania mengeraskan sedikit suaranya. Namun tidak terlalu kuat agar dirinya tidak menjadi perhatian. Amani masih dingin dan berpura-pura tidak mendengar panggilan Tania. Tania mendengus perlahan lalu mendekati Amani dengan sebal.

“Kakak sengaja, kan?” Desah nafas Tania kuat menahan rasa marah.

Amani menghentikan langkahnya lalu berpaling memandang wajah Tania dengan pandangan kurang senang. Namun dia langsung tidak bersuara. Hanya pandangan mata kurang senang dilemparkan untuk Tania. Wajah manja Tania yang masam itu dipandangnya

“Lukisan tu langsung tak menarik. Apa yang saya lihat cuma contengan semata-mata.” Tania menerangkan pendapatnya sekaligus memberikan komen negatif pada hasil kerja Amani.

“Apa yang kau faham tentang lukisan? Kau tak pernah faham apa-apa.” Kata Amani dengan nada sindiran. Dia mengalihkan pandangannya dari melihat Tania.

Kedengaran tawa sinis Tania. Tania bergerak dua langkah ke hadapan. Ini membuatkan dia berdiri selari dengan Amani. Tetapi wajah itu tidak dipandangnya. Sengaja dia membuang pandangannya ke lukisan yang tergantung di depannya.

“Macam-macam yang saya dah belajar tentang lukisan. Abang Izz yang ajar saya tentang semua ni.” Ujar Tania. Seraya dengan itu pandangannya beralih memandang Amani. Tania sengaja berbohong untuk menyakitkan hati Amani. Dia tidak pernah dan tidak minat untuk mengetahui tentang lukisan. Malah Izz juga sudah lama tidak ditemui. Sengaja dia menyebut nama itu untuk melihat reaksi Amani.

Mendengar sahaja nama Izz disebut, pantas mata Amani kembali menangkap wajah Tania. Izz? Sudah lama dia tidak mendengar nama itu. Lapan tahun lamanya nama itu berkubur dari pendengarannya. Kenapa tiba-tiba hari ini nama itu kedengaran lagi? Itu pun dari Tania? Apakah selama ini Izz menghubungi Tania?

Tania menoleh pada Amani yang berdiri di kanannya. Mata Amani masih melekat di wajahnya. Dia cuba membaca reaksi Amani. Tiada satu suara yang kedengaran dari bibir Amani. Amani masih diam dan kaku seperti tadi. Apa yang bermain di fikiran Amani? Wajah itu masih kelihatan dingin dan kaku seperti selalu. Reaksi yang diharap-harapkan dari Amani tidak langsung kelihatan. Amani sentiasa tegang, dingin dan kaku. Entah apa yang tersirat di balik sikap dinginnya itu.

Amani kembali menjeling lukisan di depannya. Pandangan Tania tidak dipedulikan lagi. Dia perlu lupakan Izz sebagaimana Izz melupakannya. Malah Izz sudah tiada dalam hidupnya sejak lapan tahun lalu. Itu yang cuba ditanamnya. Namun hakikat sebenarnya dia tidak mampu melupakan Izz.

“Kenapa? Kakak dah lupakan Abang Izz? Sejak Abang Izz pergi, dia tidak pernah lupakan saya. Dia sentiasa hubungi saya. Saya tak sangka kakak boleh lupakan dia. Atau, dia tak pernah hubungi kakak?” Tania masih cuba untuk bermain dengan perasaan Amani.

Pedih hati Amani mendengar pertanyaan Tania. Namun dia tetap berlagak biasa. Dia tidak suka menunjukkan perasaannya kepada orang lain. Dia sudah terbiasa begitu. Baginya, perasaan orang lain juga tidak perlu di ambil tahu. Masing-masing hanya perlu menjaga perasaan sendiri.

Namun hakikatnya, hati Amani yang pernah terluka dahulu berdarah kembali. Izz meninggalkannya tanpa berita. Sedangkan Izz masih terus menghubungi Tania. Izz telah membuktikan kepercayaannya selama ini benar iaitu kasih sayang dan cinta tidak pernah wujud. Kasih sayang hanyalah suatu penderitaan. Pemergian Izz membuktikan semua pendapatnya tentang kasih sayang dan cinta adalah benar sama sekali.

Ternganga sedikit mulut Tania apabila tiada apa-apa reaksi yang ditunjukkan Amani. Tidak terdetik langsungkah perasaan Amani dengan kata-katanya? Bukankah Amani punya hubungan yang istimewa dengan Izz? Tak mungkin Amani bisa melupakan Izz dengan begitu mudah. Sedangkan dia sendiri tak pernah melupakan lelaki itu. Dia tidak pernah melupakan segala peristiwa yang berlaku.

Sejak Izz pergi lapan tahun lalu, tiada seorang pun yang tahu tentang khabarnya temasuklah Tania sendiri. Sengaja dia berkata begitu untuk menyakiti hati Amani. Tetapi Amani, dia begitu kosong. Tiada perasaankah perempuan itu? Amani tetap seperti selalu. Dingin, kaku dan beku! Hatinya pula yang terasa sakit melihat Amani yang kelihatan biasa begitu. Dia sentiasa merasa kalah dengan Amani.

Tanpa sebarang bicara dan reaksi yang ditunjukkan, Amani melangkah pergi.

"Kakak!" Tania mengekori langkah Amani. "Kakak kena tolong Tania!" Persoalan tentang Izz terus hilang.

Amani menghentikan langkahnya dan menoleh ke belakang, memandang pada wajah Tania yang sudah berubah seakan meraih simpati darinya. Bukan dia tak tahu apa yang dilakukan Tania hingga menyebabkan Tuan Idrus marah. Tania perlu belajar menerima hukuman di atas kesalahannya sendiri. Amani berpusing dan berjalan semula meninggalkan Tania. Dia menghampiri salah seorang pekerjanya dan memberitahu bahawa dia mahu pulang dan meminta mereka menutup galeri ini tepat pada waktunya.

"Kakak!" Tania berlari-lari anak membontoti langkah Amani.

Amani melajukan langkahnya menuju ke kereta.

"Kakak, tolonglah Tania, kak.” Rayu Tania. Kali ini tangan Amani ditariknya. "Tania lakukan semua ni sebab kakak, sebab mama." Tania meluahkan perasaannya yang terpendam. Air matanya bergenang.

Amani buat endah tidak endah.

"Kakak sikit pun tak hargai apa yang Tania lakukan. Kakak memang kejam!" Dia memang dia salah kerana mengambil kesempatan atas kemewahan yang Tuan Idrus sediakan. Namun bukan semua wang yang dibelanjakan untuk dirinya sahaja. Malah dia sering berbelanja untuk Zaiton dan Amani.

"Jangan salahkan orang lain pada kesalahan sendiri." Tegas Amani.

"Tania tak bohong. Tania berbelanja untuk mama, untuk kakak." Tania bersuara sayu.

“Mak yang suruh kau buat macam tu?” Tanya Amani. Sudah menjadi kebiasaan, Amani akan memanggil ‘mak’ pada Zaiton, ibu kandung Amani dan Tania akan memanggil ‘mama’.

Tania menggeleng sambil tertunduk.

Amani memandang wajah muram itu. Dia tahu, Tania akan lakukan apa sahaja untuk melihat Zaiton gembira, untuk membuat Zaiton memberi perhatian padanya. Hanya Zaiton yang suka mengambil kesempatan atas kebaikan dan kepolosan hati Tania. "Kau percaya pada Tuhan, kan?" Tanya Amani.

Tania mengangguk dan terus tertunduk. Dia tidak berani mengangkat wajah dan bertentang mata dengan Amani.

"Kalau kau percaya pada Tuhan tentu kau adalah manusia yang mempunyai akal. Gunakan akal kau. Jangan sampai dipergunakan orang." Amani membuka pintu kereta. "Masuk!" Arahnya. Tania mengikut arahan Amani dan masuk ke dalam kereta. Amani terus memandu laju.

"Kakak, tolonglah pujuk papa. Tania janji, Tania takkan buat lagi. Kalau Tania nak apa-apa, Tania akan berterus terang pada papa.” Rayu Tania lagi.

“Kenapa sebelum kau buat, kau tak fikir macam tu?”

Tania tertunduk membisu.

"Mak yang suruh kau beli semua barang-barang tu?" Sekali lagi Amani bertanya.

Tania tetap menggelengkan kepalanya. “Mama tak pernah suruh Tania buat macam tu. Tania buat macam tu sebab Tania tahu mama suka dengan barang-barang berjenama. Tania cuma nak mama gembira. Tania berbelanja untuk kakak juga. Tania cuma nak kakak suka dengan hadiah-hadiah yang Tania beli.” Tania bersuara perlahan.

“Aku tak pernah suruh kau buat macam tu.” Amani memandangnya sekilas. Sangkaannya langsung tidak meleset. Tania terlalu terpengaruh dengan Zaiton sehingga sanggup melakukan apa saja asalkan Zaiton memberikan perhatian kepadanya. Betapa bodoh dan polosnya Tania.  Tania tetap Tania yang dahulu. Sikit pun tidak berubah. Kerana kebodohannya ini, dirinya sendiri ditimpa masalah. "Sampai bila kau baru nak sedar dari kebodohan kau?" Tempik Amani.

“Apa maksud kakak?” Tania mula tidak berpuas hati dengan kata-kata Amani.

            “Kalau kau nak berdikari bukan ini caranya. Di mana pun kau tinggal, walaupun di Syurga Ilham Hati kau masih boleh berdikari. Untuk berdikari, tak semestinya kau perlu jauh dari keluarga kau.”      

            Tania mengeluh. “Tania tahu Tania salah.” Tania tersandar ke belakang.

            Amani menggigit bibir bawah. Mahu diomelnya juga tidak guna kerana perkara itu telah pun berlaku. Namun dia tahu, marah Tuan Idrus tak ke mana. Kesalahan Tania pasti dimaafkan.


           


No comments:

Post a Comment