Monday 30 November 2015

Senyum Tanda Suka (Bab 7)





Dapatkan novel SENYUM TANDA SUKA            
Klik link ini ==> (Novel ER)

HARGA
SEMENANJUNG : RM 27.00
SABAH/SARAWAK : RM 30.00

Nak baca dulu novel-novel ER, boleh klik sini ya

jangan lupa follow ER di wattpad...ngeengee..

https://www.wattpad.com/emmarusdi

Jom ikuti sambungan STS

--------------@@------------

Usai menyudahkan sarapan, mereka melangkah keluar dari ruang makan. Amani terus menuju ke kawasan taman di tengah halaman. Sedang Tuan Idrus dan Izz berjalan beriringan dengan perlahan untuk menjarakkan diri mereka daripada Amani.

Izz, tolong tengokkan Amani. Jangan beri kerja yang terlalu berat untuk dia. Lagi satu, cuba hubungi Puan Zaiton. Mana tahu kalau dia nak datang sini dan jumpa Amani.      

Baik, tuan.”

Tuan Idrus kemudiannya membawa diri dan menghilang ke Kamar Ilham. Izz menghampiri Amani yang sedang menunggunya di taman.

Jom. Kita ke Ilham Hati. Izz melangkah mendahului Amani ke Ilham Hati.


“Selamat datang ke Ilham Hati. Saya akan kenalkan tempat ini kepada awak supaya awak tak sesat di sini,” gurau Izz ketika mereka masuk ke dalam kawasan itu. “Tempat ini adalah tempat kain-kain diproses. Daripada melukis, mewarna sehinggalah kain direbus. Tapi, orang-orang di sini cuma panggil tempat ini Pondok Mewarna.”

“Pondok? Bukan kilang?” Amani terkedu. Namanya tidak sesuai dengan saiznya yang besar sehingga dia menyangka tempat itu adalah kilang.

“Bukan. Ilham Hati bukan kilang kain. Di sini, kami menjual corak kain dengan melukis.”

Amani memandang suasana sekeliling yang sibuk di Pondok Mewarna. Terdapat enam kain rentang yang panjang di situ dan tiga hingga empat orang sedang mewarna di setiap rentangan. Beberapa orang pekerja lelaki sedang mengangkat kain-kain yang telah direndam dengan air panas untuk dijemur. Ada beberapa pekerja sedang merebus kain-kain yang telah dicelupkan dengan warna. Kerja mereka kelihatan begitu sukar.

Izz membawa Amani masuk ke dalam untuk melihat dengan lebih jelas.

Kalau awak nak tahu, semua corak-corak di sini adalah hasil kreativiti Tuan Idrus sendiri. Sebab itulah tempat ini dinamakan Ilham Hati.

“Semuanya ilham Tuan Idrus?” Amani teringat semula pada lukisan-lukisan Tuan Idrus yang dilihatnya di Kamar Ilham.

Ya, semuanya ilham Tuan Idrus.

Apa kerja saya? Malas mahu memanjang cerita tentang Ilham Hati, Amani terus bertanyakan kerjanya.

“Awak dah banyak buang masa saya!” Sempat dia melirik jam di tangannya. Sudah hampir jam 8.30 minit pagi.

Ini semua bukan kerja awak. Kerja awak bukan di sini.”

“Kalau semua ini bukan kerja untuk saya, kenapa saya dibawa ke sini?” Amani mendengus kasar.
Izz hanya tersenyum halus.

Ikut saya. Kerja awak di dalam gudang,” katanya.

Kemudian, mereka melalui kawasan jemuran yang luas lalu menuju ke gudang yang bertentangan dengan Pondok Mewarna. Gudang itu dibuka kuncinya lalu ditolak daun pintunya. Masuklah cahaya mentari ke dalam gudang yang gelap itu.

“Sekejap lagi lori-lori kita akan sampai untuk menghantar tempahan,” kata Izz sambil meletakkan selak kunci ke dalam lubang lantai untuk menahan pintu daripada tertutup. Kemudian, dia membuka jendela yang ada di situ.

Melihat Izz membuka jendela, tanpa disuruh Amani juga melakukannya. Dia membuka jendela kayu yang mempunyai gerigi besi bersilang di sisi kanan. Bermula dari hadapan sehingga ke belakang. Manakala Izz membuka jendela di sisi yang bertentangan. Gudang yang kelam tadi menjadi terang-benderang.

Dalam ni ada semua kain-kain kosong yang kita tempah dari kilang kain dan kain-kain yang telah siap kita warnakan dan corakkan.” Izz membuka suiz lampu. “Di bahagian belakang adalah rak yang menyimpan kain-kain putih. Di bahagian depan ni adalah bahagian kain yang telah siap untuk dihantar keluar kepada pelanggan.”

Di sudut hadapan bahagian kanan gudang itu terdapat sebuah meja. Izz membuka laci lalu menarik keluar dua buah buku log setebal satu inci.

Setiap corak telah dilabelkan dengan kod. Dalam buku ni, ada tempahan daripada pelanggan. Di sini telah dicatatkan nama syarikat dan tempahannya. Dalam buku ni pula.” Izz mengambil satu lagi buku yang lain lalu menunjukkan kepada Amani.

Ada contoh kain dan kodnya. Sekarang saya nak awak semak semua tempahan ni. Dalam setiap rak ni, mewakili satu nama syarikat yang ambil tempahan daripada kita. Saya nak awak periksa setiap rak dan lihat sama ada semua tempahan telah cukup. Kalau lengkap, awak tulis lengkap dan kalau masih belum cukup tempahannya, awak tulis kod apa yang kurang. Izz menyerahkan kedua-dua buku itu kepada Amani.

Faham? Ada nada tegas daripada suaranya.

Amani mencapai buku-buku itu. Dia melirik Izz seketika dan tanpa bicara dia terus bergerak ke salah satu rak. Izz memandang Amani dengan senyuman pada wajahnya sambil kepalanya tergeleng. Kemudian dia berlalu meninggalkan Amani sendirian.

Amani melakukan tugasan pertamanya tanpa melengahkan masa lagi. Setelah beberapa jam berlalu, dua daripada rak tempahan telah berjaya diperiksa. Masih ada enam rak yang perlu diperiksa. Tangan kanannya yang banyak menggunakan pen mula terasa sakit.

Tidak sukar untuk menyemak tempahan. Apa yang menjadikannya sukar apabila rak-rak di sini terlalu tinggi. Di bahagian bawah sangat mudah untuk diperiksa. Namun, kain-kain yang ditempatkan di bahagian rak atas, membuatkan dia terpaksa memanjat. Mujurlah dia melihat tangga kayu yang tersandar di tepi dinding. Jika tidak, mahu sahaja dia memanjat rak-rak itu sahaja.

Amani kembali semula ke bahagian hadapan lalu duduk di kerusi yang ada di situ. Dia memicit-micit lengan kanannya yang mula terasa berdenyut. Amani menyelak lengan kanannya. Kesan lebam semakin hitam. Ini semua gara-gara Izz yang menggenggam tangannya terlalu kuat. Kesakitannya bertambah apabila dia perlu menulis dan menggunakan kekuatan tangan untuk memanjat tadi.

Amani, kenapa dengan tangan awak?Izz yang kembali semula untuk melihat keadaan Amani segera bertanya.

Amani cepat-cepat menurunkan lengan tangan bajunya. Namun belum sempat dia menutup seluruh tangannya, Izz pantas mencapai. Terkejut dia melihat kesan lebam yang terdapat di lengan Amani. Sepantas kilat Amani menarik tangannya dengan kasar.

Kenapa dengan tangan awak? tanya Izz. Tak mungkin hanya dengan memberi kerja ringan sebegitu kepada Amani boleh membuatkan tangannya lebam. Izz teringatkan semula kejadian pagi tadi ketika dia bersama Amani.

Saya yang buat tangan awak jadi macam tu? tanya Izz. Matanya sudah membulat memandang Amani.

Amani menjeling Izz dengan tajam. Sepatutnya Izz lebih tahu tentang itu. Izz sama saja dengan lelaki lain yang hanya tahu menggunakan kekuatan mereka untuk mencederakan wanita. Amani berlalu dari situ untuk menyambung semula tugasnya. Soalan Izz dibiarkan begitu sahaja.

Izz memerhati langkah Amani. Izz mengeluh kecewa setelah pasti dia adalah dia adalah puncanya.

Amani, cukuplah setakat ini awak semak tempahan. Saya tak nak awak cedera.” Izz membuntuti Amani.

Amani membisu dan terus menyemak buku log di tangannya.

“Rak-rak di sini terlalu tinggi. Saya tak nak awak panjat tangga untuk semak rak yang di atas.”

“Saya dah buat pun.”

“Hah? Cukuplah tu. Biar saya berikan kerja yang seterusnya.” Izz yang terkejut terus merampas buku log di tangan Amani.

Dia menarik tangan Amani ke bahagian hadapan. Izz menyerahkan beberapa keping delivery order lalu mengajarnya untuk membuka invois. Sementara Amani menyudahkan kerjanya, Izz bangun dan meluru keluar dari gudang. Langkahnya diatur menuju ke Syurga Ilham Hati dengan niat mahu meminjam minyak urut daripada Mak Eton.

Belum sempat dia melangkah masuk ke dalam Syurga Ilham Hati, dia bertembung dengan Tania yang baru pulang dari sekolah.

Tania dah balik? Tak ada kelas tambahan hari ni?” tegur Izz.

Tania menggeleng. Ada apa Abang Izz? Kelam-kabut aje Tania tengok.

Tak ada apa.” Izz tertunduk seketika memandang tanah sebelum memandang semula wajah Tania. “Kalau saya minta tolong Tania, boleh tak?”

“Tolong apa?”

Hmm, tak mengapalah. Tania pun baru sampai. Tentu Tania nak berehat.” Izz menarik kembali pertolongan mahu yang dipintanya.

“Kenapa ni Abang Izz? Cuba beritahu Tania.” Tania sedikit mendesak.

Tangan Amani lebam. Boleh Tania tolong sapukan minyak?”

Lebam? Macam mana boleh jadi macam tu? Macam mana dengan Amani? Tania sudah terlopong.
Amani ada dalam gudang. Masih bekerja.”

Masih bekerja? Tania mendengus lalu memeluk tubuhnya. Kenapa Abang Izz biarkan dia bekerja lagi? Amani kan sakit.

Izz mengunci mulutnya.

“Tak apalah. Tania pergi ambil ubat dulu.” Tania menuju masuk ke dalam Syurga Ilham Hati dan terus ke ruang dapur di mana kotak kecemasan ada di simpan di situ. Kotak itu diambil bersamanya lalu dia menuju ke gudang.

Dia mencari-cari kelibat Amani. Akhirnya, dia melihat susuk tubuh itu di satu sudut yang agak tersorok. Amani sedang duduk di atas lantai sambil memicit tangannya. Dia menghampiri Amani. Tanpa berbicara apa-apa, dia meletakkan kotak kecemasan di tepi. Dia mengeluarkan sebotol minyak urut.

Amani yang seakan-akan dapat membaca tindakan Tania yang mahu menyapu minyak di tangannya, pantas merampas botol minyak itu. Wajah Tania langsung tidak dipandangnya. Dia menuang minyak urut di telapak tangan kirinya dan mengurut tangannya sendiri.

Tania yang pada awalnya tergamam melihat Amani, akhirnya membiarkan saja.

Sebaik sahaja Amani menyapu minyak hangat pada lengannya, dia menyimpan semula botol minyak ke dalam kotak kecemasan. Dia bangun untuk menyambung semula tugasnya.

Awak kena berehat. Jangan dipaksa tangan awak. Tangan awak tentu sakit, kan?” Dia tahu, Amani sedaya upaya sedang menahan kesakitannya. Sempat dia melihat tangan Amani yang lebam sewaktu Amani menyapu minyak urut.

Amani pura-pura tidak dengar dan terus melakukan tugasnya.

Awak dengar tak apa yang saya cakap? Nada suara Tania sudah meninggi.

Amani masih seperti itu juga, berpura-pura tidak mendengar kata-kata Tania.

Awak dah banyak menyusahkan papa saya. Boleh tak jangan menyusahkan dia lagi? Jagalah diri awak elok-elok. Kalau tak, papa saya terpaksa hantar awak ke klinik lagi. Awak ni memang teruklah! Tania sudah hilang sabar melihat sikap Amani.

Mendengar kata-kata Tania yang sudah meninggi itu, lantas Amani berhenti melakukan tugasnya. Dia berpaling, menoleh kepada Tania. Raut wajah itu dipandangnya dengan sinis sehinggakan Tania merasa bersalah kerana menengkingnya begitu. Amani berjalan menghampiri Tania dan berhenti di depannya. Dengan satu jelingan yang tajam, Amani menyerahkan buku-buku dan pen di tangannya dengan kasar kepada Tania lalu berjalan pergi.

Tania mengetap bibirnya. Kenapa Amani bersikap begitu? Dia sudah bersusah payah mahu menjalinkan hubungan baik dengan Amani. Tapi, Amani sendiri yang menjadi penghalangnya. Tania berlalu ke hadapan dan menyimpan semula buku-buku itu ke dalam laci. Kemudian, dia keluar dari gudang itu.

Daripada aku sibuk fikirkan Amani, lebih baik aku mandi. Perut pun dah lapar,” dengus Tania.

Tania! panggil Izz yang datang dari pejabat bersebelahan Pondok Mewarna. Melalui tingkap pejabat dia bisa melihat Tania berjalan dengan wajah yang masam. Dia berlari-lari anak menghampiri Tania.

Kenapa ni? soalnya setelah tiba di hadapan Tania.

Tania memandang Izz. Raut wajahnya berubah. Wajah yang mengharapkan simpati dihulurkan.

Amanilah...” Nama Amani disebut dengan nada rajuk.

“Amani?” Izz sudah ketawa kecil melihat muncung yang panjang itu.

“Biarkanlah dia. Pandai-pandailah dia jaga dirinya sendiri,” ujar Izz sekadar mahu memujuk Tania.

Yalah. Tania pun dah malaslah nak fikir pasal Amani.”

“Tania pergilah makan, berehat. Maaflah, saya dah menyusahkan Tania.”

“Tak apa. Tania tak kisah pun.” Tania menarik senyuman manis.

“Amani masih ada di gudang?” tanya Izz.

“Tak. Amani dah keluar tadi.”

“Dia ke mana?” Kening Izz berkerut.

Tania menjongketkan bahunya.

Tak apalah. Saya pergi cari dia dulu.”

Kenapa Abang Izz nak cari dia?Ada nada kurang senang di situ.

“Kalau dia hilang, saya juga yang susah.” Izz hanya tersenyum. Dia tahu apa yang sedang bermain dalam fikiran Tania.

“Dia nak pergi mana lagi? Tentu dia ada sekitar sini saja.” Tania tidak berpuas hati.

“Saya perlu pastikan yang dia tidak lari dari sini. Itu arahan Tuan Idrus,” terang Izz.

“Oh.” Mulut Tania membulat.

“Tania marahkan Amani?” tanya Izz.

Tania mencebikkan bibirnya. Memang dia marahkan Amani tapi dia tak mahu menyatakannya.

“Dahlah. Tania masuk mandi. Jangan biarkan kemarahan menguasai diri. Kalau dah Amani begitu perangainya, janganlah kita pun jadi macam dia.” Izz memujuk.

Ya. Tania faham.” Tania menghela nafas panjang.

Saya pergi dulu.Izz berlalu pergi meninggalkan Tania.

Tania mendengus. Sejak Amani melangkah ke dalam Ilham Hati, terus sahaja gadis itu menjadi perhatian. Semua orang mengambil berat tentang Amani. Dia mula merasa tidak dipedulikan.


Selama ini, Izz yang akan menghantar dan mengambilnya pulang kecuali jika lelaki itu ada urusan penting. Tapi sekarang, Pak Bakar pula yang mengambil alih tugas itu. Tania menyepak batu kecil yang ada di hadapannya untuk melepaskan marah. Dengan sebal, dia meneruskan langkah.


No comments:

Post a Comment