Wednesday 16 November 2016

Misi Tawan Hati Ex - Bab 19

Hai semua...
Maraton kita cuma tinggal sehari je...sob..sob...
Jomlah, kita teruskan misi kita..
Maraton Misi Tawan Hati Ex..
Day - 10

                                   ~BuAt MuKa CoMeL~



HARI ini adalah hari pertama kumpulan kami akan mula ‘berkampung’ di Adam & Edrian Partnership. Mengikut penjelasan Arraz tempoh hari, kesemua sistem Adam & Edrian akan menggunakan khidmat kami. Kesemuanya akan diperbaharui.
Maka, Arraz mengarahkan kami semua terlibat secara langsung di sana. Tidak ada yang berkecuali kerana dia mahu kesemua sistem siap dengan sempurna dalam tempoh setahun. Walaupun kami telah mengetahui tentang itu lebih awal, namun hati aku tetap berdebar-debar untuk berada di sana. Apatah lagi mengingatkan Adam yang cuba mendekati aku.
Kami telah pun dibahagi kerja masing-masing. Aku dan Badrul akan kendalikan Sistem Informasi Pasaran.
Welcome, brother-in-law... going to be,” usik Edrian ketika menyambut ketibaan kami.
Adam sudah berada di sisinya. Melihat sahaja aku di situ, Adam cuba berdiri dekat dengan aku. Namun aku lebih pantas dan melarikan diri dan berdiri di tepi Badrul. Rasa macam nak lari berdiri sebelah Arraz tapi lain pula jadinya nanti.
“Abang Cik Dayana ke?” Yasmin berbisik di telinga.
Aku hanya mengangkat bahu. Malas mahu menjawab. Sakit hati saja.
So, guys, tak payah nak buat kenduri untuk sambut kedatangan kami. We will straight away do our job. Cuma nak tahu, kau orang nak campak kami ke mana?” tanya Arraz dengan serius walaupun kami yakin itu hanyalah satu gurauan.
Edrian sudah ketawa. Setelah itu, Edrian dan Adam membawa kami ke ruangan tetamu. Setelah mendapat tugasan daripada Arraz, kami dipisahkan mengikut bahagian yang akan dikendalikan. Aku dan Badrul dibawa ke bahagian pemasaran. Dua buah tempat kerja telah disediakan untuk kami gunakan.
“Hebat syarikat ni, kan? Serba-serbi canggih.” Badrul memandang sekeliling.
“Bolehlah,” balas aku dengan nada tidak berminat. Terus aku membuka suis komputer.
“Tak rasa bertuah ke kita dapat peluang ada di sini?”
Helo, kita ni cuma vendor. Sampai masanya nanti kita pulang ke tempat asal. Kenapa? Kau dah teringin nak tukar bidang ke?”
“Eh, taklah. Tapi, aku takut kau tu yang akan tukar bidang.” Badrul sudah tersenyum sinis.
Apa hal aku pulak?”
“Eleh, macamlah aku tak nampak tadi. Encik Adam tu bukan main usyar kau rapat.”
Usyar apa?” Aku pura-pura tak mengerti walaupun aku tahu maksud Badrul.
“Jangan duk buat lurus bendul sangatlah. Jangan berlagak innocent macam tak tahu apa. Takkanlah kau tak nampak mata dia asyik melekat kat muka kau?” kata Badrul.
Aku menarik nafas panjang.
Hai... tulah pasal. Baru first day kat sini aku dah rasa macam nak berhenti kerja.” Aku berterus terang tentang perasaan aku.
Aisy! Takkan sampai nak berhenti kerja? Apa salahnya? Kau pun dah lama solo.
“Tak ada maknanya! Stay single doesn’t mean stay lonely.
 Hello, wake up my friend. Encik Adam salah seorang pemilik syarikat ni. Bertuah kalau dapat dia, tahu! Aku tengok dia okey apa. Rupa ada, gaya ada. ” Badrul memetik jari di depan muka aku.
“Kalau aku nak cari yang handsome, dah lama dah aku pindah ke KL dan mengurat Shahrul Ridzwan tu, tau! Kalau aku nak kaya-raya, aku sanggup jadi bini nombor dua Datuk Aliff Syukri.”
Handsome ke Sharul Ridzwan tu?” tanya Badrul sekadar mengusik.
Handsomelah kalau nak dibandingkan dengan kau.” Aku ketawa dengan kata-kataku sendiri.
Badrul merungut melihat aku ketawakannya.
So, kau tak berminatlah?” tanya lagi.
“Tak nak. Langsung tak ada impian ke situ.”
Ya, memang aku akui duit memang penting. Sangat penting! Kalau orang tak faham amksud aku, tentu dia akan kata aku mata duitan. Duit bukan segala-galanya, tapi segala-galanya perlukan duit. Allah dah janji, rezeki sentiasa ada apabila kita rajin berusaha. Yang salahnya, bila kita tak berusaha. Usaha, tawakal dan doa, itu adalah janji Allah.
“Dah tu, kriteria apa yang kau nak?” tanya Badrul.
Entah kenapa mamat itu bertanya tentang hal begini hari ini. Yang peliknya, aku pula terasa nak bercerita. Memang aku perlukan seseorang untuk meluahkan perasaan aku sekarang. Malangnya, Yasmin bertugas di bahagian lain.
“Aku cuma nak cari ayah untuk anak aku.” Aku pandang Badrul. Lama. Harap dia mengerti perasaan aku.
“Yang tu masalah! Memang masalah!” Badrul menggosok dagunya.
“Eh, dah alang-alang kau cerita pasal hal ni, aku nak tanya. Anak kau tu pernah tak jumpa dengan ayah dia?” tanya Badrul.
Aku menggeleng.
“Kau tak bawa jumpa atau dia yang tak nak jumpa?”
“Masalahnya, bekas suami aku tu tak tahu langsung yang kami ada anak. Lepas aku dengan dia bercerai, dia hilang entah ke mana. Famili dia pula dah buang aku dengan anak aku. Dia orang langsung tak nak pandang cucu dia orang. Lepas tu, mereka pindah. Baru sekarang aku jumpa bekas suami aku balik.” Laju saja aku bercerita tentang kisah hidup aku secara ringkas.
So? Kau tak beritahu dia yang dia ada anak?”
“Dah, tapi dia tak percaya sebab masa aku bercerai dengan dia, aku sendiri tak tahu yang aku tengah mengandung masa tu,” terangku.
Isy! Payah macam ni.” Badrul mendengus seolah-olah sedang memikirkan masalah aku.
“Kalau kau jadi aku, apa kau nak buat?” tanya aku.
“Kalau aku? Kalau aku... Isy! Beratlah masalah kau ni. Tak pun, kau lupakan ajelah bekas suami kau tu. Encik Adam kan ada. Dia tu nampak berminat sangat dengan kau.”
“Eh, apa hal masuk Encik Adam pula ni? Memanglah aku nak teruskan hidup. Cuma, anak aku tu perempuan. Aku nak papa dia tahu yang dia ada anak. Bukannya aku nak balik dengan dia pun.” Aku pula menjadi emosi apabila Badrul mengungkit nama Adam lagi.
“Tapi, kalau bekas suami kau nak dekat kau balik, macam mana?”
“Mustahillah. Dia dah bencikan aku. Lagipun, dia dah bertunang. Dah nak kahwin dah pun.”
Ya ke? Kesian kat kau kan. Tapi tak apalah. Kau cantik, bijak. Kau boleh cari orang lain.”
“Kau puji aku ke?” Aku ubah keadaan serius itu dengan mengusik Badrul. Bukan senang nak dengar Badrul puji orang.
“Eh, kau ni. Perasan!”
Yalah. Aku kan cantik, nak siapa pun boleh. Kalau aku nak Pangeran Brunei, agak-agak kau dapat tak?” usik aku. Sebelah kening aku berjongket sambil memandang Badrul.
“Weh! Ada hati nak dengan anak raja.” Badrul menggeleng.
Aku ketawa.
“Kalau saya nak awak, awak nak saya tak?” Tiba-tiba ada suara menyampuk.
Aku menoleh ke belakang.
“Eh, Encik Adam.” Aku tergamam. Bukan sahaja dia, Arraz juga ada bersamanya.
“Tinggi cita-cita awak nak dapat anak sultan. Kalau orang biasa macam saya awak tak pandang ke?” Adam merenung aku.
“Saya bergurau aje Encik Adam,” kataku.
“Kalau macam tu, saya ada peluang, kan?” tanya Adam dengan nada playboy. Siap bersandar di meja aku lagi.
“Encik Adam mungkin tak tahu yang saya dah ada anak seorang.”
“Saya tahu dan saya juga tahu yang awak ni ibu tunggal,” balas Adam.
Tak sangka pula dia tahu pasal aku. Nak tak nak, mesti Dayana yang beritahu dia. Menyibuk sajalah! Aku mengerling Arraz. Dia menjeling lalu melarikan pandangan ke tempat lain. Aku nampak cemuhan pada jelingan itu. Sungguh! Aku benar-benar rasa terhina.
“Macam nilah, Encik Adam. Saya datang sini untuk berkerja. Untuk sara anak saya. Untuk sara kehidupan kami berdua yang papa dia tak tahu pun kewujudan dia. Yang mana, papa dia kata saya curang dan lahirkan anak orang lain tanpa beri peluang saya jelaskan semuanya. Jadi, saya rasa untuk saat ni tak ada orang yang layak untuk jadi papa bagi anak saya.” Kerana kecewa dengan sikap Arraz, aku lepaskan semuanya kepada Adam. Biar dia dengar, biar dia tahu yang aku sedang marah kepadanya.
Suasana sunyi seketika. Mungkin tiada siapa menyangka aku akan berkata begitu. Ya, aku juga tak sangka aku akan berkata begitu. Baru aku tersedar yang aku telah terlepas kata. Bergegas aku pergi dari situ. Semasa aku melintasi Arraz, sempat aku lagakan bahu aku di lengannya, tanda kecewa dengan sikapnya.
“Melati!” Aku terdengar suara Adam memanggil. Terdengar ada langkah kaki yang sedang mengekori aku.
Aduh! Kenapalah Adam ikut aku?
Sampai sahaja di lobi bangunan itu, terus aku berhenti. Aku menoleh untuk memberitahu Adam yang aku tak mahu dia mengekori aku lagi. Pusing sahaja belakang, bukan wajah Adam yang ada tapi wajah Arraz yang masam. Tergamam aku memandang wajah itu.
“Tahu berhenti?” tanya Arraz dengan nada menyindir.
Hmm, bos ikut saya kenapa?” aku bertanya kembali.
Arraz mendengus perlahan. “Apa yang awak buat ni?”
“Buat apa?” Tiba-tiba saja aku menjadi takut dengan Arraz. Tentu dia akan marahkan aku kerana tak bersikap profesional.
“Baru hari pertama kat sini awak dah buat pasal.”
“Encik Adam yang cari pasal dengan saya dulu.”
“Adam? Awak salahkan Adam? Awak belum pun mulakan kerja awak dah cari pasal dengan dia.”
“Saya cuma beritahu perkara yang betul. Bos perasan tak yang Encik Adam cuba dekat dengan saya. Saya cuma nak dia tahu saya ni janda. Takut dia tersilap ‘mengurat’ orang.”
“Dia cuba nasib. Apa salahnya? Kalau tak suka, cakap aje. Tak payah buat perangai budak-budak.”
“Apa yang saya dah buat?” tanyaku.
Arraz mendengus kuat. Tangan dikeluarkan dari poket seluar. Dia mendekati aku dengan wajah menyinga.
“Apa yang awak cuba katakan?” Dia bertanya.
“Saya cuma beritahu apa yang bos tak nak dengar.”
“Berapa kali saya nak beritahu. Saya tak nak ingat benda-benda lama. Saya dah kata, saya nak lupakan semua. Saya baru saja kenal awak.” Arraz sudah memulakan lakonan yang penuh kepura-puraan.
Baru kenal konon! Agak-agaklah kalau ya pun nak lupakan kisah silam.
See?!” Aku kembali berjalan untuk masuk ke pejabat semula. Tak tahu dah nak cakap apa dengan Arraz.
“Melati!” Dengan pantas tangan aku disentap. “Okay, I give you a last chance. Lepas ni, saya tak nak awak ungkit dah semua kisah silam kita. Lepas ni, saya akan anggap yang saya tak pernah kenal awak sebelum ni dan awak juga perlu buat macam tu.”
Mata kami bertentang seketika. Aku cuba mencari dan membaca apa yang tersirat di hatinya. Sungguh! Aku lihat Arraz benar-benar maksudkan apa yang dikatakannya.
“Sekarang, apa yang awak nak katakan?” tanya Arraz.
“Seri Dahlia binti Arraz Khair. Dia anak awak,” kataku dengan tegas sambil merenung tepat ke dalam matanya.
Nonsense! Saya tak pernah tahu pun awak mengandung.” Dia ketawa sinis dan kepalanya tergeleng perlahan.
“Saya sendiri pun tak tahu saya mengandung.”
“Bahasa apa awak cakap ni? Awak jangan main-mainkan saya. Apa bukti budak tu anak saya?”
“Saya dah mengandung masa ketika kita bercerai.”
“Saya tahu sebab budak tu sekarang dah tujuh tahun. Tapi, kenapa awak tak beritahu saya yang awak mengandung masa tu? Awak minta cerai dengan saya sebab awak nak kahwin lain, kan?”
“Bukan macam tu. Bagilah peluang saya jelaskan dulu.”
“Okey.” Arraz yang kelihatan tak berpuas hati memberi isyarat agar aku bercakap.
“Saya tak tahu langsung yang saya mengandung. Sebab masa tu, saya datang bulan macam biasa. Saya pun tak ada morning sickness. Lepas aje kita bercerai, saya tak datang period. Saya pergi klinik nak minta ubat. Tapi bila buat urine test, baru saya tahu yang saya pregnant. Saya ke rumah mama dan papa nak cari awak. Tapi awak tak balik. Dia orang tak nak terima saya lepas tahu yang kita dah bercerai.” Aku matikan cerita di situ.
Tak sampai hati untuk menceritakan tentang sikap mama dan papa yang menghalau aku ketika aku membawa Dahlia bertemu mereka.
“Wau! Hebatlah cerita awak ni.” Arraz bertepuk tangan. Wajahnya terukir dengan senyum sinis.
Kecewanya aku!
“Lepas bercerai dengan saya. Kekasih gelap awak tak nak kahwin dengan awak, jadi gunakan saya untuk bintikan anak awak?”
“Apa awak merepek ni?”
“Seri Melati, saya langsung tak termakan dengan kata-kata awak. Macam mana dah enam bulan mengandung tapi awak masih datang bulan? Awak ingat saya bodoh?”
“Saya tak tipu!” Mata aku mula berkaca-kaca.
“Simpanlah cerita awak tu. Sekarang, saya nak awak masuk pejabat dan jalankan kerja awak sebagai staf saya.” Arraz berpusing dan terus pergi.
Awak, saya tak tipu awak. Dahlia anak kita. Saya tak pernah curang. Saya setia dengan awak sampai sekarang. Kalau awak tak percaya, awak pergi tanya doktor. Memang ada ibu yang mengandung tapi masih datang bulan. Kita buat ujian DNA. Tolonglah percaya, awak! Aku merintih dan terus merintih walaupun semuanya sia-sia.
Susah sangat ke Arraz nak percayakan aku? Selama aku jadi isterinya, selalu ke aku menipu dia? Aku memang salah kerana tak tahu mengawal emosi masa itu. Sedangkan aku langsung tak ada niat nak berpisah dengannya.
“Melati?” Bahu aku disentuh.
Aku berpaling.
“Dayana.” Aku menyebut nama empunya diri.
“Kenapa awak berdiri kat tengah-tengah ni?”
“Tak ada apa. Cuma saya rasa penat. Jadi, saya berhenti sekejap kat sini.”
“Awak okey ke?” tanya Dayana. Kedua-dua tangannya sudah memegang bahu aku.
“Saya tak okey. Tapi, saya akan okey kalau awak yang tak okey,” kataku.
“Huh?” Dahi Dayana berkerut.

Tanpa berkata apa-apa, aku terus pergi meninggalkan tanda tanya di hatinya. Kalau ikutkan perasaan aku saat ini, aku mahu hancurkan sahaja hubungan Arraz dan Dayana. Biar mereka berpisah. Baru puas hati aku. Tapi aku takkan buat begitu. Aku akan pastikan Arraz tahu kebenaran. Itu sahaja. Itu sahaja yang aku mahukan. Setelah itu, aku akan bawa luka hati ini bersama Dahlia. Biar Arraz pula menderita kerana berpisah dengan anaknya.

---------------@@--------------




So, gaizzz..yang berminat untuk dapatkan Misi Tawan Hati Ex boleh aje follow cara di bawah ni. Senang aje...


MISI TAWAN HATI EX

RM 24 (Semenanjung Malaysia)
RM 27 (Sabah/Sarawak)

Tiada sebarang caj dikenakan untuk penghantaran. PERCUMA. Penghantaran melalui pos laju.

CARA-CARA MELANGGAN NOVEL-NOVEL PENERBITAN FAJAR PAKEER

1. Pembayaran boleh dibuat melalui akaun Maybank Penerbitan Fajar Pakeer - 564212503591. BAKI TIDAK AKAN DIKEMBALIKAN.

2. Whatsapp 0196128069 slip pembayaran berserta tajuk ~ "MISI TAWAN HATI EX", nama penuh, alamat & nombor telefon anda.

3.Pesanan diproses dalam masa 1-2 hari bekerja.


-----@@---



3 comments:

  1. Esok g tgk kt popular pulak..klu xxde mmg nk kena beli online la jawapnya..

    ReplyDelete
  2. Esok g tgk kt popular pulak..klu xxde mmg nk kena beli online la jawapnya..

    ReplyDelete
  3. cari...jangan tak cari...hikhik

    ReplyDelete