Friday, 14 June 2013

Senyumlah Sayang 16








Jika N3 sebelum ni saya wujudkan watak Amsyar, N3 kali ini saya cuba wujudkan watak Zafran pula. Entah kenapa, setiap kali menulis SS, saya mahukan wujudkan ramai lelaki yang layak untuk dihormati walaupun hanya watak sampingan.




***********************

WAJAH Tania yang sudah monyok dan matanya yang sudah semakin kuyu kerana mengantuk kembali segar tatkala terdengar loceng waktu rehat berbunyi.

            “Baiklah semua. Kita berhenti berehat dan sambung pelajaran semula nanti. Jangan lambat masuk kelas!” Suara Cikgu Jasmin hampir menjerit apabila para pelajar terus meluru keluar tanpa menghiraukannya. Tergeleng-geleng kepala Cikgu Jasmin dengan sikap pelajarnya.

            Tania melirik Amani yang masih kaku di meja. Sudah menjadi kebiasaan Amani akan menggunakan waktu rehat untuk menelaah pelajaran. Adakalanya dia tetap duduk di dalam kelas sehingga waktu rehat tamat. Adakalanya pula, dia akan ke perpustakaan.

            “Kak, kakak nak apa-apa tak? Boleh Tania belikan,” pelawa Tania.

            Amani yang sebenarnya mendengar pertanyaan Tania itu tidak memberi respon. Dia terus membaca baris-baris ayat di dalam buku rujukannya.

            Tania menarik nafas panjang. Seperti biasa, Amani tetap dingin. Tania terus melangkah keluar apabila terlihat kelibat Hani melambai-lambai padanya.

            “Apa hal yang kau masih nak dekat dengan anak orang gaji tu?” Hani sudah mencekak pinggang sambil matanya menjeling ke arah Amani. “Sudahlah sombong, tak reti berterima kasih pula dengan kebaikan orang!” Suara Hani semakin tinggi. Memang sengaja dia meninggikan suara agar didengar oleh Amani yang sedang tertunduk melihat bukunya.

            Tania melirik Amani seketika. Kemudian, dia pandang Hani. “Tak baiklah kau cakap macam tu,” ujar Tania perlahan, cuba merendahkan suaranya agar tidak kedengaran oleh Amani.

            “Engkau tu, baik sangat tahu! Sebab tu lah Amani tu pijak kepala kau. Kau kena ingat, kau tu anak Tuan Helmi. Dia tu cuma anak orang gaji,” ujar Hani terus. Bukan niatnya untuk merendah-rendahkan maruah Amani. Namun, Amani sikap Amani yang sombong itu membuatkan dia tidak sukakan Amani.

            “Memanglah Makcik Zaiton bekerja di rumah aku. Tapi, untuk aku dia bukan orang gaji. Makcik Zaiton tu baik!” Tak sanggup dia mendengar gelaran yang diberikan kepada Makcik Zaiton walaupun itulah hakikat yang sebenar. “Makcik Zaiton dah macam mak aku sendiri.”

            Tatkala Tania berkata begitu, pembacaan Amani terhenti seketika. Bukan dia tidak mendengar perbualan mereka berdua. Lagipun, Tania dan Hani masih berdiri di depan kelas. Tania memang bodoh jika menganggap begitu. Amani meneruskan pembacaannya.

            “Kalau Makcik Zaiton tu baik, takkanlah Amani tu begitu perangainya. Kau kena hati-hati Tania!” kata Hani yang risau dengan kebaikan dan kejujuran Tania. Dia khuatir jika Amani mengambil kesempatan di atas kebaikan Tania.

            “Kau ni merepeklah. Dahlah, jom!” Tania terus menarik tangan Hani agar pergi dari situ.

            Ketika dalam perjalanan ke kantin, mereka terlihat salah seorang pelajar lelaki yang menjadi ahli kelab sidang redaksi sekolah sedang mengedarkan buletin.

            “Awal pulak mereka edarkan buletin sekolah kali ni,” ujar Hani. Biasanya, buletin sekolah akan diedarkan pada setiap Rabu minggu terakhir setiap bulan. Namun, kali ini buletin diedarkan pada pertengahan bulan.

            “Ah’ah lah,” setuju Tania. “Kejap lagilah kita ambil. Aku dah lapar ni. Kita pergi makan dululah.” Tania sudah memegang perutnya yang kelaparan. Bagaimanalah Amani bisa menahan lapar sehingga pulang dari sekolah? Tania menghela nafas panjang apabila terkenangkan Amani. Mungkin, dia patut membeli sesuatu untuk Amani walaupun gadis itu tidak mahu.

            “Jomlah!” Hani menyetujui cadangan Tania.

            “Biar betul! Anak orang gaji rampas kekasih tuan rumah!” Kedengaran suara dari seorang pelajar yang sedang memegang buletin ketika sekumpulan pelajar junior melintasi mereka berdua.

            “Kau dengar tak apa yang aku dengar?” soal Hani sambil mereka berjalan menuju ke kantin.

            Tania hanya mengangguk. Namun, dia langsung tak ambil peduli dengan isu yang sedang dibangkitkan. Semuanya gossip yang dibuat-buat. “Apalah yang nak dihairankan. Kau bukan tak tahu budak sidang redaksi ni memang suka mereka-reka cerita. Baca boleh, percaya jangan!” tegas Tania.

            “Tapi kebanyakan tulisan mereka berserta dengan bukti, kan,” balas Hani.

            Tania menghentikan langkahnya. Wajah Hani dipandang. “Kau ni nak bercakap tentang Faiz kah?” Sudah beberapa kali Faiz dikaitkan dengan hubungan cinta beberapa pelajar perempuan. Namun, dia yakin dengan Faiz. Semua itu hanya gossip. Apatah lagi, ramai pelajar perempuan yang cuba merampas Faiz daripadanya.

            Hani menggaru-garu telinganya yang dilitupi dengan tudung sekolah. Tania memang baik sehingga tidak melihat langsung keburukan dan niat jahat orang lain. Kononnya, jika dia baik dengan orang, orang akan baik dengannya.

            “Entahlah Tania. Kau lebih kenal siapa Faiz.” Dia pernah menegur tentang sikap Faiz namun sedikit pun Tania tidak ambil kisah. Setiap kali dia cuba membuka mata Tania untuk melihat permainan Faiz, Faiz akan menutupi kesalahannya dengan kata-kata manis. Kadang-kadang dia tidak pasti, apakah dia patut kategorikan kasih sayang Tania kepada Faiz sebagai buta hati atau buta cinta. Mungkin juga kedua-duanya. Begitu mudah Tania percayakan Faiz. Akhirnya, dia mengambil jalan mendiamkan diri dan dia berharap Tania akan sedar suatu hari nanti.

            Mereka sambung berjalan semula.

            “Setahu aku, anak orang gaji dan anak tuan rumah yang bersekolah sekali dalam sekolah ni, cuma kau dengan Amani saja,” sambung Hani.

            Tania menghentikan langkahnya sambil memandang lantai. Kata-kata Hani memang benar. Hanya dia dan Amani di dalam sekolah ini yang mempunyai hubungan seperti itu. Apakah gossip kali ini tentang Amani? Amani dan Faiz? Tak mungkin!

            Melihatkan langkah Tania yang sudah terhenti, Hani juga menghentikan langkahnya. “Kau kenapa Tania?” tanya Hani.

            “Kau rasa, Amani kah yang menjadi isu buletin?” Tania mendongak memandang wajah Hani.

            Tiba-tiba sahaja hati Hani dihambat rasa sayu melihat pandangan mata Tania. Namun, akhirnya dia mengangguk juga.

            Tanpa sebarang bicara, Tania terus menghampiri pelajar lelaki yang sedang mengedarkan buletin sekolah itu. Dia cuba meloloskan diri di celahan para pelajar yang sudah berhimpun di sekeliling pelajar lelaki tersebut.

            Sayangnya, apabila dia berjaya meloloskan diri dan tiba di hadapan pelajar itu, buletin sekolah hanya tinggal satu sahaja lagi dan yang satu itu telah pun diserahkan kepada pelajar lain.

            “Maaf dah habis,” ujarnya. Maka, terdengarlah keluhan daripada pelajar yang tidak berjaya mendapatkan buletin sekolah. Mereka semua terus bersurai dengan rasa kecewa.

            Pelajar lelaki itu tersenyum kepada Tania yang masih kaku berdiri di depannya sedangkan pelajar lain sudah pun beredar. Tanpa sebarang bicara, dia terus berjalan untuk pergi.

            “Nanti! Takkan tak ada satu pun yang tinggal?” tanya Tania.

            Pelajar lelaki tersebut menggelengkan kepalanya.

            “Inilah jadinya bila buletin diedarkan secara percuma! Peruntukan yang diberikan oleh pihak sekolah sangat terhad. Kan lebih baik, kamu semua buat laporan kepada pihak sekolah agar setiap pelajar menerima setiap satu naskhah buletin. Tak kisahlah walaupun kena bayar!” Tania yang diserang perasaan marah terus melampiaskan kepada pelajar tersebut.

            “Oh, untuk pengetahuan awak pihak sidang redaksi sudah pun membuat cadangan tentang itu. Sayangnya, tak mendapat maklumbalas yang baik dari pelajar lain. Ramai pelajar kita tak sanggup mengeluarkan wang semata-mata untuk membeli buletin sekolah. Awak sepatutnya maklum, rata-rata pelajar sekolah kita adalah anak kampung ini yang mana ibu bapa mereka hanyalah melakukan pekerjaan kampung. Jadi, mereka lebih selesa berkongsi untuk membaca buletin percuma yang disediakan pihak sekolah daripada mengeluarkan wang semata-mata untuk membaca buletin yang kebanyakkannya tidak ada kaitan dengan diri mereka,” balas pelajar lelaki itu dengan panjang lebar sehingga membuatkan mulut Tania terkunci.

            “Memandangkan Cik Tania adalah anak kepada Tuan Helmi, well….Siapalah yang tak kenal dengan Tuan Helmi, kan?” sambung pelajar itu. “Apa kata Cik Tania buat amal kebajikan sikit. Mungkin Cik Tania boleh minta Tuan Helmi untuk memberikan sumbangan kepada kelab sidang redaksi. Mungkin dengan bantuan Tuan Helmi, setiap pelajar akan mendapat buletin dengan percuma termasuklah Cik Tania.”

            Lidah Tania terus terkedu apabila menerima serangan balas dari pelajar tersebut.

            “Saya rasa lebih baik Cik Tania cari buletin sekolah dan pinjam dari pelajar lain. Rasanya, Cik Tania perlu lihat isu utama kali ini. Mungkin ada kaitan dengan Cik Tania. Saya minta diri dulu,” pelajar lelaki itu sudah berpusing ke belakang dan mengatur langkah untuk pergi.

            “Nanti!” Dengan pantas Tania menghalang.

            Pelajar lelaki itu memandang Tania yang sudah berada di belakangnya dengan kening yang terjongket. Mungkin terkejut kerana Tania masih terus memanggilnya.

            “Siapa nama awak?” tanya Tania.

            Pelajar lelaki itu ketawa sinis. Dia mengalihkan seluruh tubuhnya untuk memandang Tania. “Kenapa? Awak nak mengadu dengan Tuan Helmi?” sinis sekali bunyi soalannya.

            “Bukan. Saya cuma nak minta maaf,” ujar Tania dengan perlahan dan merendah diri. Dia benar-benar rasa bersalah kerana memarahi pelajar lelaki itu tanpa sebab.

            “Uh?” pelajar lelaki tersebut agak tergamam. “Oh, saya Zafran.”

            Tania mengukirkan senyuman hambar. “Saya minta maaf ya Zafran.” Sekali lagi Tania meminta maaf.

            Zafran mengetap bibirnya. Tiba-tiba sahaja dia merasa bersalah kerana mengeluarkan kata tanpa berlapis. Walaupun dia marah dengan tindakan Tania, namun dia tidak sepatutnya membalas perbuatan Tania sedemikian rupa.

            Tania sudah memusingkan tubuhnya untuk pergi.

            “Tania!” Zafran memanggil lalu mendekati Tania yang sudah kembali menoleh kepadanya. Bersama helaan nafas yang panjang, Zafran membuka beg hitamnya lalu mengeluarkan senaskhah buletin sekolah. “Ini saya punya. Saya berikan kepada awak.”

            Wajah Tania sudah berseri. “Betul?”

            “Ambillah. Awak lebih perlukan isu buletin kali ini berbanding saya,” Zafran mengukirkan senyuman lalu bergerak pergi meninggalkan Tania.

            Tanpa membuang masa Tania terus memandang muka depan buletin sekolah. “Anak orang gaji rampas kekasih tuan rumah!” Tania membaca tajuk utama. Tanpa membaca artikel tersebut, Tania terus menyelak ke halaman sebelah untuk melihat gambar yang dilampirkan.

            Terbeliak biji mata Tania apabila melihat gambar Amani sedang mencium pipi Faiz. Dadanya sudah berombak. Dengan perasaan marah, Tania mengoyak halaman tersebut dan terus merenyuknya.

            “Tania! Kau okey,” Hani yang sedari tadi hanya memerhatikan dari jauh terus menghampiri Tania. Tania sudah mengalirkan airmata namun tidak kedengaran esak tangisnya. Melihatkan keadaan Tania yang begitu tertekan Hani terus mencapai renyukan kertas dari tangan Tania. Hani juga tergamam melihat gambar itu.

            “Tania, sabarlah Tania.” Hani terus memeluk Tania. Dia tahu, Tania tak dapat menerima berita itu. Apatah lagi apabila disertakan gambar yang sangat memalukan sebegitu.

            “Amani!” Tania terus menjerit nama Amani dengan perasaan yang teramat marah. Dia menolak tubuh Hani yang sedang memeluknya dan terus berlari ke kelas.

            “Tania!” Hani turu berlari mengekori Tania.

            Sampai sahaja di pintu kelas, Tania memandang Amani dengan yang sedang kusyuk menelaah. Tajam matanya menikam seraut wajah yang dingin itu.

            “Amani!” jerit Tania.

            Amani terus mengangkat wajahnya memandang tepat ke dalam anak mata Tania. Pandangan mata Tania yang sarat dengan kemarahan dan kebencian itu jelas kelihatan. Amani tersenyum sinis. Amani pasti, masa yang ditunggu olehnya sudah sampai. Tentu sahaja Tania sudah melihat gambar intimnya bersama Faiz. Tanpa memperdulikan Tania, Amani kembali menunduk memandang bukunya.

            Sikap Amani itu sangat menjengkelkan Tania. Lantas dia menghampiri Amani yang langsung tidak memperdulikannya.

            “Eeiiiii…!” Tania terus menarik rambut Amani yang bebas mengurai sehingga ke bahunya. “Kau pekak ke aku panggil kau!” Dia menarik rambut Amani dengan lebih kasar.

            Ternyata, Amani agak terkejut dengan tindakan Tania. Dia menarik semula rambutnya dari genggaman Tania. Namun, genggaman Tania sangat kuat. Akhirnya, tangannya beralih memegang tudung putih Tania. Dia cuba mencapai sanggul yang diikat Tania di sebalik tudungnya.

            “Auh!!” Tania menjerit apabila Amani berjaya menarik rambutnya. Genggaman tangannya di rambut Amani dilepaskan. Dia cuba menghalang tangan Amani yang menarik rambutnya yang tersembunyi.

            Dengan kasar, Amani menolak Tania dengan seraya itu, tubuh Tania bergerak ke belakang sehingga menyentuh dinding kelas. Amani melemparkan senyuman sinis kepada Tania.

            “Tania!” Hani yang hanya tercengang dengan apa yang baru berlaku terus menghampiri Tania yang sudah menitiskan airmatanya sambil berbalas pandang dengan Amani. “Apa kau buat ni hah?!” tempik Hani kepada Amani.

            “Begini rupanya penangan cinta,” sindir Amani.

            Pandangan mata Tania terus menikam jauh ke dalam mata Amani. Benci! Dia benci Amani! Itulah yang dirasakan saat ini.  “Kau memang jahat!”

            “Apalah yang kau nak sedih sangat?” tanya Amani lagi. “Kau bukan satu-satunya perempuan yang mendampingi Faiz.”

            “Kau!!” Tania mengetap bibir.

            Hani hanya terdiam. Perlukah dia masuk campur atau membiarkan sahaja Tania mendengar hakikat diri Faiz dari mulut Amani sendiri. Mungkin perkara yang berlaku  ini akan menyedarkan Tania tentang Faiz. Lebih baik dia berdiam diri dahulu.

            “Memang aku ada hubungan dengan Faiz. Tapi, bukan hubungan yang serius. Kami cuma nak berseronok macam dia berseronok dengan perempuan lain. Kenapa? Salah?” sambung Amani.

            Mengecil mata Tania mendengar kata-kata Amani. Langsung tak boleh dipercayai! Amani yang kaku dan dingin itu tahu erti berseronok? “Apa kau cakap ni?”

            Amani tergeleng-geleng. Dia mengangkat tubunya dan duduk di atas meja. Kakinya pula diletakkan di atas kerusi. “Kenapa?” soal Amani yang masih tetap melemparkan pandangan sinisnya kepada Tania.

            “Aku cintakan Faiz dan Faiz cintakan aku!” tegas Tania. “Apa yang kau tahu tentang erti cinta? Dalam hati kau tu cuma dipenuhi dengan perasaan benci!”

            Tawa sinis Amani semakin kuat kedengaran. “Aku tak tahu nak bercinta? Jadi, apa yang kau faham tentang gambar tu? Siapa yang kau percaya? Aku yang tak tahu bercinta ni, atau Faiz?”

            Tania terdiam.

            “Betul kata Amani tu!” Hani menyampuk. “Faiz cuma nak mainkan kau. Sebelum ni dah banyak cerita tentang Faiz yang keluar dalam buletin. Kau langsung tak percaya,” kesal sungguh di hati Hani.

            “Kau sokong dia?” Terkejut Tania memandang Hani. Sanggup Hani bersetuju dengan Amani yang kononnya dibenci oleh Hani sendiri? “Kau ni kawan jenis apa?” tempik Tania.

            “Kenapa kau tak tanya Faiz sendiri?” kata Amani.

            Tania dan Hani berpaling memandang Amani yang masih lagi tersenyum sinis itu. Hani menarik tubuh Tania agar memandang padanya lalu berbisik di telinga Tania. “Kau selalu kata pada aku yang Amani kaku, dingin, tak tahu nak berbaik-baik dengan orang. Kalau dia jenis macam tu, tentu Faiz yang mulakan dulu.”

            Terus Tania menolak tubuh Hani. “Aku langsung tak percaya!” Pandangan mata Tania beralih kepada Amani. “Kau! Kau yang cuba nak rampas Faiz dari aku!” Tania terus meluru ke arah Amani.

            Amani yang sememangnya sudah bersedia terus melompat turun dari meja. Dia menahan tubuh Tania yang cuba menyerangnya.

            “Kau memang tak guna Amani!” tangan Tania cuba mencapai rambut Amani.

            Pantas Amani memegang kedua-dua lengan Tania. “Apa yang kau boleh buat? Kau tu cuma tahu menangis!”

            Semakin tinggi marah Tania dengan kata-kata Amani. Dia cuba mencekik Amani pula. Namun tangan Amani yang menghalangnya dari meyerang cukup kuat.

            “Tania! Amani!” Terdengar jeritan suara Cikgu Haqq yang kebetulan melalui kawasan itu.

          Tania dan Amani masing-masing melepaskan tangan mereka. Sepantas kilat pandangan mereka tertala kepada Cikgu Haqq.


            Hani menelan air liurnya.


***********************

Apa yang akan berlaku selepas ini ya.....saya masih belum ada idea....Tapi, next n3 maybe nak banyakkan cerita tentang Izz dan Amani....  

**********************

Kenapa saya katakan layak dihormati? Rasanya ramai wanita boleh terima cara Zafran menegur. Kannnn… (lelaki yang saya maksudkan di sini bukanlah ayah atau suami) Pengalaman saya sendiri, ramai lelaki suka menegur dengan cara yang akan membuatkan wanita hilang rasa hormat kepada mereka. (mungkin ada ramai lelaki yang berjaya membuatkan wanita lain menghormati mereka, cuma saya menulis berdasarkan pengalaman saja dan ini hanya pendapat saya saja ya. pendapat saya tak semestinya betul....hihihi… jangan marah ya lelaki)         

*****************************  

           








Friday, 7 June 2013

Ratu Hati Si Putera Arab 19



AUDRA melirik jam ditangan. Dia memandang ke arah daun pintu bilik fail yang tertutup rapat. Sudah satu jam lebih Zana meninggalkannya sendirian di bilik fail itu.

Zana yang baru sahaja keluar dari kemar pejabat Tuan Syed, terhendap-hendap masuk semula ke dalam unit fail. Pintu dibuka perlahan-lahan agar Audra tidak menyedari kehadirannya. Kemudian, dengan perlahan dia mendekati Audra yang sedang asyik menunduk menulis sesuatu di atas buku notanya. Dengan senyuman di wajahnya yang tidak lekang sejak keluar dari pejabat Tuan Syed Zikri, terus dia berfikir mahu menyakat Audra.

“Audra!” Terus dia menyergah.

Audra yang sememangnya tidak menyedari kehadiran Zana pantas terkejut. Hampir sahaja buku notanya dibaling.  Apabila melihat kelibat Zana, terus dia mengurut dadanya. Dia menjeling Zana dengan tajam.

“Ish! Kau ni!” Satu jelingan tajam dilemparkan untuk Zana. Geram melihat ketawa Zana yang berjaya menyakatnya. “Gelak! Gelak!” Audra sudah mencekak pingganganya.

Semakin galak tawa Zana melihat reaksi Audra. Usai tawanya reda, Zana yang masih tersengih-sengih itu duduk di depan Audra. Salah satu fail yang bertaburan di atas meja di ambil. Dia membuka fail sambil menongkat dagu. Wajahnya masih terukir dengan senyuman. Gembira sekali dia sejak bertemu dengan Tuan Syed Zikri. Rasanya, inilah putera raja yang paling ideal untuk Audra.

“Kau ke mana Zana?” tanya Audra dengan penasaran.

Zana beralih memandang Audra. Soalan Audra itu membuatkan senyuman Zana semakin lebar. “Kau nak tahu tak aku jumpa dengan siapa?”

“Dengan siapa?”

“Aku jumpa dengan Putera Arab! Handsome giler!” Zana sudah memejamkan matanya, membayangkan wajah kacak Zack. Kedua-dua tangannya sudah tergenggam erat.

Geram melihat reaksi Zana, akhirnya Audra mencapai sebuah fail lalu memukulnya ke lengan Audra. Beranganlah tu!

Pantas Zana membuka matanya. “Apa kau ni!” Dia sudah mengurut lengannya yang pedih dipukul Audra. Bibirnya sudah muncung ke depan, pura-pura merajuk dengan tingkah Audra.

“Wah! Berangan nampak! Engkau ni, kalau dah ambil alih hobi aku yang suka berangan tu, mesti angan-angan kau jauh lebih teruk dari aku.” Audra sudah mengherotkan bibirnya. “Putera Arab konon! Habis tu, Zaid kau nak letak kat mana?” Audra sudah mencekak sebelah  pinggangnya.

Zana ketawa kecil melihat reaksi Audra yang kelihatan seperti ibu tiri yang comel. “Ish! Mana boleh bandingkan Putera Arab dengan Zaid. Walau apa pun, Zaid tetap di hati aku! Zaid tu, putera hati aku! Cuma, aku rasa Putera Arab ni sesuai jadi putera hati untuk kau!”

“Aku?!” Wajah Audra sudah ketat. Entah apa-apa ntah Zana ni! “Apasal aku pulak?”

“Betul! Putera Arab ni memang kacak! Sesuai sangat nak jadi putera raja kau!” ujar Zana. “Tapi, bukan Putera Arab betullah. Putera Arab versi Melayu.”

“Putera Arab versi Melayu? Dah ada nama Arab, ada pulak Melayunya?” Kening Audra berkerut.

“Hmmm,” Zana mengangguk. Suka sangat melihat wajah keliru Audra.

“Cuba cakap betul-betul dengan aku. Dengan siapa kau jumpa sebenarnya?!” Malas Audra mahu bermain teka-teki dengan Zana.

Zana ketawa kecil. Gembira dapat mainkan Audra. “Cubalah teka?”

Audra diam seketika. Seingatnya, gelaran Putera Arab hanya diberikan mereka bedua untuk lelaki yang ditemuinya di tepi tasik setahun yang lalu. Tetapi, hanya dia sahaja yang kenal wajah Putera Arab. Zana tak pernah melihat wajah Putera Arab. Maknanya, lelaki ini bukan Putera Arab yang sama.

“Yang aku tahu, Putera Arab tu lelaki yang aku jumpa di tasik. Selain dari tu, aku tak kenal.”

Zana terlopong. “Kau masih ingat dengan dia?”

“Kadang-kadang,” balas Audra.

Kepala Zana sudah terangguk-angguk. Nampaknya, Audra juga tidak pernah melupakan Putera Arabnya. “Cubalah teka!” suruhnya lagi.

“Manalah aku tahu!” Audra bersuara. Malas mahu meneka lagi.

Zana mendengus apabila Audra tidak mahu meneka. “Aku jumpa dengan Tuan Syed Zikri,” ujar Zana sambil matanya melihat Audra dengan tajam untuk melihat reaksi Audra tatkala dia menyebut nama Tuan Syed Zikri.

“Kau jumpa dengan Syed Zikri?” Audra sudah terlopong. Oh, patutlah Zana katakan Putera Arab versi Melayu. “Kenapa dia tak nak jumpa dengan aku?”Kenapa hanya Zana seorang sahaja yang dipanggil untuk berjumpa dengan Tuan Syed Zikri? Sedangkan, dia mahu sangat berjumpa dengan lelaki itu.

“Tuan Syed-lah! Dia dah jadi bos kau. Jadi, kau tak boleh panggil dia sekadar ‘Syed Zikri’!” tegur Zana.

“Ada aku kisah? Aku hanya akan panggil ‘Tuan Syed’ bila dia mahu berjumpa dengan aku!” tegas Audra.

Dengan perasaan marah yang mula bermukim di hatinya, Audra menamatkan perbualan mereka. Lalu, dia menyambung semula tugasannya untuk menyenarai sedikit maklumat berkenaan Warisan Syed untuk pengetahuannya. Walaupun matanya fokus pada fail di hadapannya, namun hatinya terasa sebal. Semakin membara marahnya pada Pengarah Warisan Syed itu.

Melihatkan Audra yang sudah terdiam dan menyambung semula kerjanya, Zana juga memusing tubuhnya dan menyambung semula tugasnya. Dia tahu Audra sedang marah. Kalau dia berada di tempat Audra, dia juga akan marah kerana dipulaukan begitu. Mungkin sekarang ni Audra merasakan yang dirinya telah dipinggirkan.

Tapi, tak mengapa. Apa yang dilakukan Tuan Syed Zikri ada sebabnya. Sebab yang pasti akan berakhir dengan kebahagiaan buat Audra. Zana tersenyum lebar. Akhirnya, dia dapat juga melihat Putera Arab yang menemui Audra di tepi tasik setahun yang lalu.

Dalam kesenyapan Audra melakukan tugasnya, sesekali dia mengerling Zana. Keningnya berkerut apabila melihat senyuman Zana masih terus melekat di wajah itu. Pelik benar sikap Zana. Sejak keluar dari pejabat Tuan Syed Zikri, senyuman itu terus melekat diwajahnya. Dia pernah melihat senyuman sebegitu menguntum di bibir Zana ketika Zaid melamarnya untuk menjadi kekasih hati. Tapi senyuman yang terukir sekarang, untuk apa? Takkan Zana jatuh cinta dengan Tuan Syed Zikri pulak.

“Kau ni kenapa? Dah buang tebiat?” tegur Audra sambil menyiku Zana yang sudah tenggelam di dunianya sendiri.

Zana memandang Audra. “Kenapa?” Dia menjeling. Bibirnya yang menguntum senyuman terus diketatkan. Bukan dia tidak tahu maksud pertanyaan Audra, sengaja dia bertanya kembali.

“Sejak kau balik dari jumpa dengan Syed Zikri, asyik tersegih-sengih!” ujar Audra. “Ni mesti ada apa-apa ni!”

Zana terkedu seketika. “Hmmm.” Jari jemarinya sudah mula mengetuk-ngetuk atas meja hingga mengeluarkan bunyi. Terasa malulah pula bila Audra perasan akan senyuman di bibirnya. Dalam masa yang sama otaknya mula ligat menyusun ayat untuk menyampaikan pesanan yang diterimanya dari Tuan Syed Zikri.

“Apahal kau ni?” Faham benar dia sikap Zana. Kalau begitu reaksinya, pasti dia sedang mengolah alasan. “Cuba cakap terus terang. Ada apahal kau dengan Syed Zikri ni?!” Lagak bagaikan ibu tiri, Audra terus bersuara keras. “Apa yang dia nak dengan kau?”

Zana menutup fail di tangannya. Dia menongkat dagu dan melirik pada Audra seketika. “Audra, kau janganlah marah sebab Tuan Syed tak panggil kau jumpa dengan dia,” pujuk Zana. Takut juga dia kemarahan Audra pada Putera Arab itu semakin menggunung. “Dia cuma nak tanya aku, sama ada kau masih marahkan dia atau tidak.”

Audra memandang Zana. Langsung tak boleh nak percaya. “Kau jangan nak buat cerita. Takkanlah dia jumpa kau sebab nak tanya tentang aku!” Alasan Zana ni memang di luar paras kewarasan.

“Betullah!” Wajah Zana bertukar serius. “Tak de sebab aku nak tipu kau. Memang dia panggil aku sebab nak tanya tentang kau. Dia pesan, supaya kau lupakan terus hal kot hitam tu.”

“Kot hitam tu, hal aku dengan dia. Kenapa dia perlu jumpa dengan kau dan bukan dengan aku?” Bagaimana persis sikap Tuan Syed Zikri ini? Kenapa tidak bertentang mata sahaja untuk menyelesaikan hal ini? Kenapa lelaki itu perlu berjumpa dengan Zana dan bukan dengan dia? 

Zana terdiam seketika. Alasan apa yang perlu diberikan kepada Audra. “Mungkin sebab dia tak nak kau marahkan dia lagi tak.”

“Uh?”

“Kan hari tu sebab marahkan Emily kau babitkan dia sekali. Mungkin, Emily dah beritahu dia tentang hal tu. Jadi, untuk elakkan masalah berlanjutan dengan kau, jadi dia ambil jalan pintas agar aku jadi orang tengah antara kau dengan dia.”

“Hah?!” Kepala Audra sudah tergeleng-geleng. Nampak jelas yang dia tidak berpuas hati dengan alasan Zana. “Aku sikit pun tak ambil hati kalau dia tak nak jumpa dengan aku sebab aku sendiri pun tak sudi nak jumpa dengan dia!” Audra menggeleng. Itu kata-kata yang lahir dari mulutnya. Tapi jauh di sudut hati, dia mahu menamatkan perang dingin antara dia dengan Tuan Syed Zikri. Biar mata bertentang mata tanpa orang tengah!

Bila difikirkan, tak ada masalah yang berat timbul antara mereka. Cuma, masalah itu menjadi berat bila masing-masing tak dapat berbual dengan cara yang lebih baik. Tuan Syed Zikri menyampaikan pesan dari Che Enon, sekarang ni dari Zana pula. Dia pula, balas semua kemarahannya yang wujud pada Che Enon, dan tempoh hari kepada Emily pula dan sekarang kepada Zana.

“Kenapa dia tak tanya aku sendiri? Takut?” Audra menggeleng. “Tak profesionallah Syed Zikri ni!” Kan lebih baik jika mereka dapat bertentang mata dan menamatkan apa saja perasaan yang kurang senang dalam hati. Hati pun akan terasa tenang.

Zana menarik nafas panjang lalu mengherotkan bibirnya. “Tak baiklah kau ni! Sebab dia profesionallah dia panggil aku dulu. Kalau dia terus jumpa kau, manalah tahu kau naik angin pulak.”

Audra mencekak pinggang. “Apa benda yang kau merepek ni? Takkanlah aku nak buat macam tu! Dia tu, pengarah Warisan Syed! Aku ni, pekerja dia!” Tak masuk akal betul omongan Zana. Dia yang ibarat semut kecil boleh naik angin dengan Tuan Syed Zikri? Memanglah dia sakit hati dengan Tuan Syed Zikri, tapi dia perlu hormatkan majikannya sendiri.

“Whatever-lah!!” Zana mengambil jalan selamat. Dia sendiri pun merasakan apa yang dikatakannya itu tak masuk akal. Tapi, takkanlah dia nak berterus terang dengan Audra yang Tuan Syed Zikri memanggilnya kerana meminta bantuannnya untuk mengenali Audra. “By the way, Tuan Syed pesan, mulai dari saat ini lupakan kisah kot hitam tu. Dia sendiri pun dah lupakan hal tu, jadi kau jangan nak ungkit-ungkit lagi!” Zana memberi amaran.

“Amboi-amboi! Baru jumpa Tuan Syed, terus dah jadi assistant dia nampak!” sindir Audra. Cepat betul Tuan Syed jerat hati Zana! Satu lagi perasaan kurang enak muncul buat insan yang bernama Tuan Syed Zikri.

“Tak adalah macam tu. Cuma, Tuan syed tu baik orangnya. Cakapnya pun lemah lembut dan menghormati orang lain.” Itu pandangan pertamanya buat Tuan Syed Zikri.

Audra menarik nafas panjang lalu menghembusnya perlahan. “Sebenarnya Zana, aku berharap sangat dapat berjumpa dengan Syed Zikri. Kalau boleh, aku nak minta maaf dengan dia sebab dah rosakkan kot hitam dia. Lagipun, aku nak hilangkan semua prasangka yang tak baik antara aku dengan dia. Barulah tenang hati aku setiap kali datang kerja.” Nada suara Audra sudah menurun.

Zana mengukirkan senyuman. Bahu Audra dipeluknya. “Percayalah, Tuan Syed tu baik orangnya. Cuma, mungkin masanya belum sampai untuk kau jumpa dengan dia. Tapi, dia pesan pada aku yang dia pun nak minta maaf kalau ada sakitkan hati kau dan dia ucapkan terima kasih sebab kau dah bantu Che Enon siapkan Rumah Warisan. Dia mahu kau lupakan apa saja yang terjadi antara kau dengan dia.” Zana diam seketika. “Satu hari nanti, kau akan jumpa juga dengan dia.”

“Masalahnya, selagi aku tak selesaikan masalah aku dengan Syed Zikri, hati aku takkan tenang! Mungkin bagi dia, masalah ini cuma masalah kecil je. Tapi tak bagi aku. Kot hitam Syed Zikri mahal harganya. Orang biasa macam kita, takkan anggap perkara yang melibatkan barang yang mahal sebagai satu perkara remeh.”

Zana terdiam. Audra betul! Orang kaya seperti Tuan Syed Zikri mungkin menganggapnya ia perkara kecil. Tapi, bukan orang kampung seperti mereka.

“Tapi, waktu aku berjumpa dengan Tuan Syed tadi, aku rasa itu kali pertama dan kali terakhir aku akan berjumpa dengan dia. Kau pula, kau takkan berpeluang untuk berjumpa dengan Tuan Syed.”

“Maksud kau?”

“Tuan Syed tak pernah peruntukkan waktunya untuk para pekerja. Setiap urusan akan diambil alih oleh Encik Zack.”

“Encik Zack?” Wajah Audra berubah. “Lelaki yang kita jumpa di Rumah Warisan tu?”

Zana mengangguk.

Satu keluhan Audra. “Kalau boleh, aku tak nak jumpa dengan dia lagi. Lelaki tu, memang menyakitkan hati!”

Zana tersenyum. “Jangan lebih-lebih sangat sakit hatinya tu. Karang, sakit hati tu bertukar jadi sakit rindu pulak,” usiknya.

“Apa benda kau ni?” Audra tidak senang dengan usikan Zana.

Audra hanya membisu. Dia kurang mengerti kenapa Tuan Syed Zikri tak mahu berjumpa dengannya. Kalau benar Tuan Syed Zikri baik orangnya dan tidak menyimpan rasa marah padanya, kenapa Tuan Syed Zikri tak mahu berjumpa dengannya? Suatu hari nanti, dia akan bertemu juga dengan lelaki itu walaupun tanpa kerelaannya!


_________________________________________

Persahabatan.....sukar untuk mencari sahabat seperti Zana, kan? Jika ada satu, jangan lepaskan....Enjoy reading ya.....Salam Jumaat

------------@@-----------