AUDRA melirik jam ditangan. Dia memandang ke arah daun pintu bilik
fail yang tertutup rapat. Sudah satu jam lebih Zana meninggalkannya sendirian
di bilik fail itu.
Zana yang baru sahaja keluar dari kemar pejabat
Tuan Syed, terhendap-hendap masuk semula ke dalam unit fail. Pintu dibuka
perlahan-lahan agar Audra tidak menyedari kehadirannya. Kemudian, dengan perlahan
dia mendekati Audra yang sedang asyik menunduk menulis sesuatu di atas buku
notanya. Dengan senyuman di wajahnya yang tidak lekang sejak keluar dari
pejabat Tuan Syed Zikri, terus dia berfikir mahu menyakat Audra.
“Audra!” Terus dia menyergah.
Audra yang sememangnya tidak menyedari kehadiran
Zana pantas terkejut. Hampir sahaja buku notanya dibaling. Apabila melihat kelibat Zana, terus dia
mengurut dadanya. Dia menjeling Zana dengan tajam.
“Ish! Kau ni!” Satu jelingan tajam dilemparkan
untuk Zana. Geram melihat ketawa Zana yang berjaya menyakatnya. “Gelak! Gelak!”
Audra sudah mencekak pingganganya.
Semakin galak tawa Zana melihat reaksi Audra. Usai
tawanya reda, Zana yang masih tersengih-sengih itu duduk di depan Audra. Salah
satu fail yang bertaburan di atas meja di ambil. Dia membuka fail sambil
menongkat dagu. Wajahnya masih terukir dengan senyuman. Gembira sekali dia
sejak bertemu dengan Tuan Syed Zikri. Rasanya, inilah putera raja yang paling
ideal untuk Audra.
“Kau ke mana Zana?” tanya Audra dengan penasaran.
“Dengan siapa?”
“Aku jumpa dengan Putera Arab! Handsome giler!” Zana sudah memejamkan
matanya, membayangkan wajah kacak Zack. Kedua-dua tangannya sudah tergenggam
erat.
Geram melihat reaksi Zana, akhirnya Audra
mencapai sebuah fail lalu memukulnya ke lengan Audra. Beranganlah tu!
Pantas Zana membuka matanya. “Apa kau ni!” Dia
sudah mengurut lengannya yang pedih dipukul Audra. Bibirnya sudah muncung ke
depan, pura-pura merajuk dengan tingkah Audra.
“Wah! Berangan nampak! Engkau ni, kalau dah
ambil alih hobi aku yang suka berangan tu, mesti angan-angan kau jauh lebih
teruk dari aku.” Audra sudah mengherotkan bibirnya. “Putera Arab konon! Habis
tu, Zaid kau nak letak kat mana?” Audra sudah mencekak sebelah pinggangnya.
Zana ketawa kecil melihat reaksi Audra yang
kelihatan seperti ibu tiri yang comel. “Ish! Mana boleh bandingkan Putera Arab
dengan Zaid. Walau apa pun, Zaid tetap di hati aku! Zaid tu, putera hati aku! Cuma,
aku rasa Putera Arab ni sesuai jadi putera hati untuk kau!”
“Aku?!” Wajah Audra sudah ketat. Entah apa-apa
ntah Zana ni! “Apasal aku pulak?”
“Betul! Putera Arab ni memang kacak! Sesuai
sangat nak jadi putera raja kau!” ujar Zana. “Tapi, bukan Putera Arab betullah.
Putera Arab versi Melayu.”
“Putera Arab versi Melayu? Dah ada nama Arab,
ada pulak Melayunya?” Kening Audra berkerut.
“Cuba cakap betul-betul dengan aku. Dengan siapa
kau jumpa sebenarnya?!” Malas Audra mahu bermain teka-teki dengan Zana.
Zana ketawa kecil. Gembira dapat mainkan Audra.
“Cubalah teka?”
Audra diam seketika. Seingatnya, gelaran Putera
Arab hanya diberikan mereka bedua untuk lelaki yang ditemuinya di tepi tasik
setahun yang lalu. Tetapi, hanya dia sahaja yang kenal wajah Putera Arab. Zana
tak pernah melihat wajah Putera Arab. Maknanya, lelaki ini bukan Putera Arab
yang sama.
“Kadang-kadang,” balas Audra.
Kepala Zana sudah terangguk-angguk. Nampaknya,
Audra juga tidak pernah melupakan Putera Arabnya. “Cubalah teka!” suruhnya
lagi.
“Manalah aku tahu!” Audra bersuara. Malas mahu
meneka lagi.
Zana mendengus apabila Audra tidak mahu meneka. “Aku
jumpa dengan Tuan Syed Zikri,” ujar Zana sambil matanya melihat Audra dengan
tajam untuk melihat reaksi Audra tatkala dia menyebut nama Tuan Syed Zikri.
“Kau jumpa dengan Syed Zikri?” Audra sudah
terlopong. Oh, patutlah Zana katakan Putera Arab versi Melayu. “Kenapa dia tak
nak jumpa dengan aku?”Kenapa hanya Zana seorang sahaja yang dipanggil untuk
berjumpa dengan Tuan Syed Zikri? Sedangkan, dia mahu sangat berjumpa dengan lelaki
itu.
“Tuan Syed-lah! Dia dah jadi bos kau. Jadi, kau
tak boleh panggil dia sekadar ‘Syed Zikri’!” tegur Zana.
“Ada aku kisah? Aku hanya akan panggil ‘Tuan
Syed’ bila dia mahu berjumpa dengan aku!” tegas Audra.
Dengan perasaan marah yang mula bermukim di
hatinya, Audra menamatkan perbualan mereka. Lalu, dia menyambung semula
tugasannya untuk menyenarai sedikit maklumat berkenaan Warisan Syed untuk pengetahuannya.
Walaupun matanya fokus pada fail di hadapannya, namun hatinya terasa sebal.
Semakin membara marahnya pada Pengarah Warisan Syed itu.
Tapi, tak mengapa. Apa yang dilakukan Tuan Syed
Zikri ada sebabnya. Sebab yang pasti akan berakhir dengan kebahagiaan buat
Audra. Zana tersenyum lebar. Akhirnya, dia dapat juga melihat Putera Arab yang
menemui Audra di tepi tasik setahun yang lalu.
Dalam kesenyapan Audra melakukan tugasnya,
sesekali dia mengerling Zana. Keningnya berkerut apabila melihat senyuman Zana
masih terus melekat di wajah itu. Pelik benar sikap Zana. Sejak keluar dari
pejabat Tuan Syed Zikri, senyuman itu terus melekat diwajahnya. Dia pernah
melihat senyuman sebegitu menguntum di bibir Zana ketika Zaid melamarnya untuk
menjadi kekasih hati. Tapi senyuman yang terukir sekarang, untuk apa? Takkan
Zana jatuh cinta dengan Tuan Syed Zikri pulak.
“Kau ni kenapa? Dah buang tebiat?” tegur Audra
sambil menyiku Zana yang sudah tenggelam di dunianya sendiri.
Zana memandang Audra. “Kenapa?” Dia menjeling. Bibirnya
yang menguntum senyuman terus diketatkan. Bukan dia tidak tahu maksud
pertanyaan Audra, sengaja dia bertanya kembali.
“Sejak kau balik dari jumpa dengan Syed Zikri,
asyik tersegih-sengih!” ujar Audra. “Ni mesti ada apa-apa ni!”
“Apahal kau ni?” Faham benar dia sikap Zana.
Kalau begitu reaksinya, pasti dia sedang mengolah alasan. “Cuba cakap terus
terang. Ada apahal kau dengan Syed Zikri ni?!” Lagak bagaikan ibu tiri, Audra
terus bersuara keras. “Apa yang dia nak dengan kau?”
Zana menutup fail di tangannya. Dia menongkat
dagu dan melirik pada Audra seketika. “Audra, kau janganlah marah sebab Tuan
Syed tak panggil kau jumpa dengan dia,” pujuk Zana. Takut juga dia kemarahan
Audra pada Putera Arab itu semakin menggunung. “Dia cuma nak tanya aku, sama
ada kau masih marahkan dia atau tidak.”
Audra memandang Zana. Langsung tak boleh nak
percaya. “Kau jangan nak buat cerita. Takkanlah dia jumpa kau sebab nak tanya
tentang aku!” Alasan Zana ni memang di luar paras kewarasan.
“Betullah!” Wajah Zana bertukar serius. “Tak de
sebab aku nak tipu kau. Memang dia panggil aku sebab nak tanya tentang kau. Dia
pesan, supaya kau lupakan terus hal kot hitam tu.”
“Kot hitam tu, hal aku dengan dia. Kenapa dia
perlu jumpa dengan kau dan bukan dengan aku?” Bagaimana persis sikap Tuan Syed
Zikri ini? Kenapa tidak bertentang mata sahaja untuk menyelesaikan hal ini? Kenapa
lelaki itu perlu berjumpa dengan Zana dan bukan dengan dia?
“Uh?”
“Kan hari tu sebab marahkan Emily kau babitkan
dia sekali. Mungkin, Emily dah beritahu dia tentang hal tu. Jadi, untuk elakkan
masalah berlanjutan dengan kau, jadi dia ambil jalan pintas agar aku jadi orang
tengah antara kau dengan dia.”
“Hah?!” Kepala Audra sudah tergeleng-geleng.
Nampak jelas yang dia tidak berpuas hati dengan alasan Zana. “Aku sikit pun tak
ambil hati kalau dia tak nak jumpa dengan aku sebab aku sendiri pun tak sudi
nak jumpa dengan dia!” Audra menggeleng. Itu kata-kata yang lahir dari mulutnya.
Tapi jauh di sudut hati, dia mahu menamatkan perang dingin antara dia dengan
Tuan Syed Zikri. Biar mata bertentang mata tanpa orang tengah!
Bila difikirkan, tak ada masalah yang berat
timbul antara mereka. Cuma, masalah itu menjadi berat bila masing-masing tak
dapat berbual dengan cara yang lebih baik. Tuan Syed Zikri menyampaikan pesan
dari Che Enon, sekarang ni dari Zana pula. Dia pula, balas semua kemarahannya
yang wujud pada Che Enon, dan tempoh hari kepada Emily pula dan sekarang kepada
Zana.
“Kenapa dia tak tanya aku sendiri? Takut?” Audra
menggeleng. “Tak profesionallah Syed Zikri ni!” Kan lebih baik jika mereka
dapat bertentang mata dan menamatkan apa saja perasaan yang kurang senang dalam
hati. Hati pun akan terasa tenang.
Zana menarik nafas panjang lalu mengherotkan
bibirnya. “Tak baiklah kau ni! Sebab dia profesionallah dia panggil aku dulu.
Kalau dia terus jumpa kau, manalah tahu kau naik angin pulak.”
Audra mencekak pinggang. “Apa benda yang kau
merepek ni? Takkanlah aku nak buat macam tu! Dia tu, pengarah Warisan Syed! Aku
ni, pekerja dia!” Tak masuk akal betul omongan Zana. Dia yang ibarat semut
kecil boleh naik angin dengan Tuan Syed Zikri? Memanglah dia sakit hati dengan
Tuan Syed Zikri, tapi dia perlu hormatkan majikannya sendiri.
“Whatever-lah!!”
Zana mengambil jalan selamat. Dia sendiri pun merasakan apa yang dikatakannya
itu tak masuk akal. Tapi, takkanlah dia nak berterus terang dengan Audra yang
Tuan Syed Zikri memanggilnya kerana meminta bantuannnya untuk mengenali Audra.
“By the way, Tuan Syed pesan, mulai
dari saat ini lupakan kisah kot hitam tu. Dia sendiri pun dah lupakan hal tu,
jadi kau jangan nak ungkit-ungkit lagi!” Zana memberi amaran.
“Amboi-amboi! Baru jumpa Tuan Syed, terus dah
jadi assistant dia nampak!” sindir
Audra. Cepat betul Tuan Syed jerat hati Zana! Satu lagi perasaan kurang enak
muncul buat insan yang bernama Tuan Syed Zikri.
“Tak adalah macam tu. Cuma, Tuan syed tu baik
orangnya. Cakapnya pun lemah lembut dan menghormati orang lain.” Itu pandangan
pertamanya buat Tuan Syed Zikri.
Audra menarik nafas panjang lalu menghembusnya
perlahan. “Sebenarnya Zana, aku berharap sangat dapat berjumpa dengan Syed
Zikri. Kalau boleh, aku nak minta maaf dengan dia sebab dah rosakkan kot hitam
dia. Lagipun, aku nak hilangkan semua prasangka yang tak baik antara aku dengan
dia. Barulah tenang hati aku setiap kali datang kerja.” Nada suara Audra sudah
menurun.
Zana mengukirkan senyuman. Bahu Audra
dipeluknya. “Percayalah, Tuan Syed tu baik orangnya. Cuma, mungkin masanya
belum sampai untuk kau jumpa dengan dia. Tapi, dia pesan pada aku yang dia pun
nak minta maaf kalau ada sakitkan hati kau dan dia ucapkan terima kasih sebab
kau dah bantu Che Enon siapkan Rumah Warisan. Dia mahu kau lupakan apa saja
yang terjadi antara kau dengan dia.” Zana diam seketika. “Satu hari nanti, kau
akan jumpa juga dengan dia.”
“Masalahnya, selagi aku tak selesaikan masalah
aku dengan Syed Zikri, hati aku takkan tenang! Mungkin bagi dia, masalah ini cuma
masalah kecil je. Tapi tak bagi aku. Kot hitam Syed Zikri mahal harganya. Orang
biasa macam kita, takkan anggap perkara yang melibatkan barang yang mahal
sebagai satu perkara remeh.”
Zana terdiam. Audra betul! Orang kaya seperti
Tuan Syed Zikri mungkin menganggapnya ia perkara kecil. Tapi, bukan orang
kampung seperti mereka.
“Tapi, waktu aku berjumpa dengan Tuan Syed tadi,
aku rasa itu kali pertama dan kali terakhir aku akan berjumpa dengan dia. Kau
pula, kau takkan berpeluang untuk berjumpa dengan Tuan Syed.”
“Maksud kau?”
“Encik Zack?” Wajah Audra berubah. “Lelaki yang
kita jumpa di Rumah Warisan tu?”
Zana mengangguk.
Satu keluhan Audra. “Kalau boleh, aku tak nak
jumpa dengan dia lagi. Lelaki tu, memang menyakitkan hati!”
Zana tersenyum. “Jangan lebih-lebih sangat sakit
hatinya tu. Karang, sakit hati tu bertukar jadi sakit rindu pulak,” usiknya.
_________________________________________
Persahabatan.....sukar untuk mencari sahabat seperti Zana, kan? Jika ada satu, jangan lepaskan....Enjoy reading ya.....Salam Jumaat
------------@@-----------
best2.....cepat tau smbgkan lg cite ni......
ReplyDeletetq so much dear......^^
Delete