Alhamdulillah....Allah memberikan rahmatNYA buat saya lagi. Saya baru sahaja menerima berita gembira dari penerbitan Fajar Pakeer. Perkara pertama yang terlintas di fikiran adalah untuk berkongsi kegembiraan ini bersama pembaca di blog. Manuskrip Hanya Dia telah diluluskan dan akan masuk ke proses editing. Banyak kerja yang perlu dilakukan. Terima kasih tak terhingga saya ucapkan untuk semua pembaca dan mereka yang memberi komen-komen dan teguran yang membina. Tanpa anda, saya tak mungkin capai apa yang saya impikan. Buat pembaca Hanya Dia, nantikan kemunculannya ya. Saya harap karya kali ini tidak akan mengecewakan anda. Shukran Jazilan....Semoga Allah merahmati anda semua. Terima kasih...
Friday, 9 December 2011
Wednesday, 7 December 2011
Saat hati Merelakan
Sedikit sedutan Bab 41
“Happy Birthday, sayang!” Wes menyarungkan sebentuk cincin di jari manis kiri Qismyna lalu mengucup keningnya. Qismyna terpempam sebentar dengan tindakan Wes.
“Yeah!!” Zurin bersorak gembira di belakang dan dengan pantas mengambil gambar mereka berdua. Pantas anganan Qismyna terhenti. Walaupun dia tahu tindakan Wes itu sekadar di depan keluarganya, namun ciuman itu terlalu bermakna untuknya.
“Hello birthday girl!” Tiba-tiba suatu suara kedengaran dari belakang. Mereka yang lain berpaling melihat kelibat itu.
“Fauzan!” Qismyna yang kelihatan gembira dengan kehadiran lelaki itu lantas menghampirinya.
Dari jauh Wes hanya memerhatikan keakraban antara Qismyna dan Fauzan. Walaupun dia tahu mereka berdua hanya bersaudara tetapi apabila mengingatkan bahawa Fauzan adalah bakal tunangan Qismyna, hatinya menjadi tak keruan.
Tiba-tiba terdetik di hatinya untuk merancang sesuatu sekadar untuk memberitahu kepada Fauzan, Qismyna adalah miliknya. Kakinya dihayun mendekati pasangan yang sedang rancak berbual itu.
Tiba sahaja di sisi Qismyna, lantas Wes memeluk bahu gadis itu dan tersenyum pada Fauzan.
“Sorry....Aku pinjam Qis sekejap.” Fauzan mengangguk laju.
“She’s yours.”
“Minta perhatian! Minta perhatian!!” Wes cuba menarik perhatian yang lain. Setelah memastikan seluruh perhatian terarah padanya Wes memandang Qismyna sekejap lalu mengemaskan pelukannya.
Qismyna yang berada di sisinya merasa tidak keruan. Permainan apakah yang bakal dimainkan Wes?
“Di sempena harijadi isteri saya yang ‘tercinta’.....” sengaja dia menekankan suaranya ketika berkata ‘tercinta’ supaya Fauzan tahu Qismyna adalah miliknya.
Fauzan yang seolah-olah memahami Wes menujukan ayat itu kepadanya tersenyum sinis sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Saya ingin memberitahu semua yang pada malam ini saya akan membawa isteri saya untuk makan malam bersama di Restoran The Ship.” Wes menggenggam jari jemari Maya. “Just two of us, sayang,” Wes mengucup jari jemari Qismyna.
Tatkala ini Qismyna terasa hendak pitam. Benarkah semua ini berlaku dalam hidupnya?
TAJUK : SAAT HATI MERELAKAN
PENERBIT : FAJAR PAKEER SDN BHD
HARGA : RM20.00
Friday, 2 December 2011
Lukisan Cinta 9
MENDENGAR sahaja berita kepulangan Izz dan Bakri, Zaiton terus ke gerbang utama Ilham Hati. Tak sabar rasanya untuk bertemu dengan Amani. Tiba sahaja di gerbang, dia melihat Izz sedang memujuk Amani untuk masuk ke dalam. Zaiton melangkah keluar dan menghampiri mereka.
Izz menundukkan kepalanya tanda hormat sebaik sahaja kelibat Zaiton menghampiri. Dia berlalu masuk ke dalam Ilham Hati dan membiarkan dua beranak itu bersendirian.
“Kenapa kau tak mahu masuk ke dalam?” tanya Zaiton.
Amani melirik Zaiton sebentar lalu menjeling dan membuang pandangannya ke kawasan perkampungan yang tidak jauh dari Ilham Hati.
Baru sahaja bertemu, itu yang ditanya Zaiton. Tanpa sedikit pun kelembutan dan sikap mesra Zaiton menyambutnya. Mungkin dengan sedikit pelukan atau bertanya khabar. Apa gunanya Zaiton bersusah payah membawanya, seandainya dirinya langsung tidak dihargai sebagai seorang anak.
“Ini bukan tempat saya!” ujar Amani keras.
Zaiton menghembus nafas kurang senang.
“Cubalah dengar cakap aku! Di sini kita akan dapat kehidupan yang lebih sempurna! Dia kaya dan banyak harta! Semua ni kepunyaan dia!”
Amani memeluk tubuh dan mencebik bibirnya tanda meluat.
“Kalau mak nak tinggal di sini, silakan. Tapi bukan saya!” Ada airmata yang bergenang di kolam matanya. “Mak dah berjanji nak mulakan hidup baru tanpa lelaki!”
Amani mencapai beg galasnya untuk melangkah pergi.
“Nanti!!” Zaiton mencapai tangan Amani.
“Aku janji, ini yang terakhir. Kalau kita gagal, kita akan pergi dan tak akan ada lelaki lagi dalam hidup kita!”
Amani mengetap bibirnya. Ini bukan pertama kali Zaiton berjanji dengannya. Perlukan dia mempercayai janji Zaiton lagi? Amani menggeleng kepala dan berlalu. Zaiton menahan lagi.
“Kali ini saja!! Ini yang terakhir!!” Bahu Amani dipegang. Nampak kesungguhan dari sinar matanya. Amani merenung Zaiton lama.
“Baiklah….” Akhirnya dia bersetuju juga dengan Zaiton. Walau apa pun, Zaiton tetap ibunya!
Izz yang bersandar masih bersandar di balik dinding menunggu Amani dan Zaiton. Sebaik sahaja dia melihat Zaiton melangkah masuk Ke Ilham Hati bersama Amani, dia tersenyum.
Selangkah sahaja masuk ke Ilham Hati, Amani terasa seseorang sedang memerhatikannya. Dia menoleh ke kiri. Kelihatan Izz sedang berdiri di situ sambil tersenyum padanya. Amani melemparkan jelingan kurang senang dan mengekori langkah Zaiton.
Pelik betul perempuan tu……
Izz menjungkitkan keningnya. Amani memang misteri!
ZAITON menarik tangan Amani dan membawa gadis itu ke pejabat Tuan Helmi. Setelah mengetuk pintu dan diberi keizinan untuk masuk ke dalam, Zaiton menarik tangan Amani untuk masuk. Dengan berat hati Amani mengikut juga langkah Zaiton.
Tuan Helmi yang sedang kusyuk menyemak kerjanya mengangkat kepala. Melihat sahaja kelibat Zaiton bersama seorang gadis muda, Tuan Helmi lantas menutup fail dan bangun menghampiri mereka. Gadis itu pasti Amani!
Ya, persis benar wajah mereka berdua. Amani mewarisi kecantikan ibunya! Tetapi gaya dan penampilannya kelihatan tidak feminin berbanding ibunya yang kelihatan lembut dan lebih kewanitaan.
“Tuan, ini anak saya, Amani,” beritahu Zaiton. Tuan Helmi mengangguk dan memandang Amani.
Amani memandang lelaki itu sekilas lalu menundukkan wajahnya tanpa secalit senyuman walaupun lelaki itu kelihatan tersenyum mesra padanya.
“Amani….” panggil Tuan Helmi.
Amani mendongak lalu melemparkan pandangan kurang senang lalu memandang ke tempat lain. Tuan Helmi agak tergamam sedikit dengan layanan dingin gadis itu. Zaiton yang memahami ketidakselesaan Tuan Helmi menjeling Amani.
“Maaf, Tuan! Anak saya tak biasa dengan orang asing. Maklumlah, kami orang miskin selalu dipandang hina oleh orang ramai. Amani pun tak ke sekolah lagi. Dah tak bercampur dengan orang. Sebab tulah……dia tak suka dengan orang lain!” Zaiton cuba membela Amani dan menjernihkan keadaan.
Tuan Helmi mengangguk tanda mengerti. Bukan dia tidak sukakan Amani. Amani kelihatan seperti gadis baik-baik. Cuma sikapnya dingin dan beku. Dari firasat orang tua sepertinya, kehidupan dan cara gadis itu dibesarkan yang membuatkan dia bersikap demikian. Mungkin kehidupannya yang terlalu sukar dan penuh dengan penderitaan menyebabkan dia kelihatan sukar untuk didekati.
“Tak pelah. Kejap lagi Tania pulang dia akan tunjukkan bilik kamu,” ujar Tuan Helmi.
Tania? Tentu dia budak perempuan tempoh hari.
Terbayang seraut wajah yang ayu bersama senyuman di bibirnya di ruang mata Amani. Walaupun baru pertama kali berjumpa, wajah yang sudi membantunya tempoh hari tidak pernah dilupakan.
Amani memandang sekeliling kamar kerja Tuan Helmi yang besar itu. Sepanjang usianya tujuh belas tahun, belum pernah dia melihat tempat semewah ini. Ini hanyalah pejabat Tuan Helmi tetapi sudah mewah begini. Bagaimana keadaan rumahnya? Mungkin kerana kemewahan inilah Zaiton melupakan janjinya pada Amani untuk hidup tanpa lelaki.
“Papa! Papa!” kedengaran suara Tania yang semakin menghampiri. Derapan kasutnya jelas menunjukkan dia sedang berlari.
Pintu pejabat dibuka dari luar. Wajah Tania muncul di balik pintu dengan nafas yang tercungap-cungap. Tetapi wajah itu tetap manis dengan senyuman yang tidak pernah lekang diwajahnya.
Sejak kelmarin lagi setelah papa membawa Mak Cik Zaiton pulang dia sudah tidak sabar untuk berjumpa lagi dengan perempuan itu. Perempuan yang ditemuinya di terminal bas. Amani, itulah nama yang diberitahu padanya.
Dengan wajah yang ceria dia menghampiri mereka.
Tuan Helmi tersenyum melihat Tania yang semakin ceria sejak kedatangan Zaiton di Ilham Hati. Hati Tania suci dan bersih. Dia tidak tahu berdendam dan membenci. Ketika dia meberitahu Zaiton mempunyai seorang anak perempuan dan mereka akan menjemputnya, Tania kelihatan begitu teruja dan tidak sabar menunggu Amani.
Walaupun mereka mengetahui Zaiton dan Amani bukanlah berasal dari kalangan yang berhormat dan hanya tinggal di kawasan setinggan bersama seorang saudara mereka, Tania tetap menerima mereka seadanya. Pada Tania, hanya kasih sayang yang penting dalam hidup ini. Mungkin kerana kasih seorang ibu telah hilang dari kehidupannya, maka dia begitu mesra dengan Zaiton.
Melihatkan keakraban Zaiton dan Tania, Tuan Helmi memutuskan untuk menerima Zaton seadanya walaupun dia masih sangsi dengan perasaannya. Memang diakui dia juga sukakan Zaiton, tetapi tempoh perkenalannya dengan Zaiton terlalu singkat sehingga dia memutuskan untuk membawa Zaiton dan anaknya tinggal di sini bersama mereka.
Demi Tania juga, dia telah berjanji akan memperisterikan Zaiton kerana anaknya itu begitu khuatir jika Zaiton akan melarikan diri sekali lagi. Tania benar-benar tidak mahu kehilangan Zaiton Demi Tania, dia akan melakukan apa sahaja. Asalkan dia bisa melihat keceriaan terus terpancar di wajah comel itu.
Tania tersenyum memandang Amani. Amani merenung Tania tanpa kelip lalu menjeling tajam. Bibirnya diketatkan. Melihatkan sikap dingin Amani, Tania mengalihkan pandangannya pada Zaiton dan duduk di sisinya.
Zaiton tersenyum lalu mengusap rambut Tania. Amani menjeling tingkah Zaiton yang mesra dengan Tania. Hatinya terusik. Selama ini Zaiton tak pernah sekali pun memegangnya begitu. Tetapi kenapa dengan Tania?
“Macam mana dengan sekolah?” tanya Zaiton lembut. Penuh kesopanan.
Sejenak Amani merasa Zaiton yang berada di depannya kini bukanlah ibunya. Berlainan benar sikap dan tutur katanya.
Belum pernah kata-kata selembut itu diucapkan pada Amani. Setiap kali mereka berbicara Zaiton sering membahasakan dirinya ‘aku’ pada Amani. Tatkala ini hati Amani benar-benar terluka!
“Tania, pergi mandi. Lepas solat, kita makan sama-sama. Bawa Amani sekali!” perintah Tuan Helmi.
Tania memangguk lalu memandang Amani.
“Mari!” ajaknya. Amani mengerling Zaiton sekilas. Zaiton melemparkan jelingan yang tajam dan memberi isyarat agar Amani mengikut Tania.
Dengan berat hati Amani mencapai beg galasnya dan membontoti langkah Tania.
Subscribe to:
Posts (Atom)
