Friday, 16 March 2012

Ilham Hati 2









TUAN HELMI melirik gadis muda yang terus membisu di sebelahnya. Sedari tadi, gadis itu hanya membuang pandangannya ke luar tingkap. Gadis itu seakan tenggelam bersama dunianya sendiri. Dia langsung tak pedulikan Tuan Helmi yang berada di sebelahnya.


Tuan Helmi cuba berfikir cara lain untuk menarik perhatian gadis itu. Dia mahu tahu siapa nama gadis itu, di mana dia tinggal, siapa keluarganya. Tapi soalan itu semua hanya berlegar di kepalanya. Kemudian, ingatannya teringat kembali pada anak patung beruang yang dibelikannya untuk Tania dan gadis itu.

“Nak…..” panggil Tuan Helmi. Anak patung beruang bewarna krim itu sudah ada ditangannya. Gadis itu tetap mematung seperti tadi. “Ini… " Tuan Helmi menghulurkan anak patung beruang itu. " Pakcik ada belikan anak patung untuk anak.”

Gadis itu menoleh memandang Tuan Helmi. Pandangannya silih berganti antara Tuan Helmi dan anak patung beruang itu. Kemudian, pandangannya dilemparkan semula ke luar tingkap. Sedikit pun dia tidak tertarik dengan patung yang tidak bernyawa itu.

Pak Bakar yang sedang memandu, melihat adegan itu dari cermin pandang belakang sudah tergeleng-geleng kepalanya. Perasaan marah yang sudah hilang tadi, kembali semula. Tetapi dia hanya mendiamkan diri, membiarkan Tuan Helmi cuba mendekati gadis muda itu. Selama ini, belum ada yang berani berkelakuan kurang sopan begitu pada Tuan Helmi dan keluarganya. Gadis muda inilah, orang pertama yang tidak menghormati seseorang yang terhormat seperti Tuan Helmi. Mujurlah Tuan Helmi seorang yang baik hati dan penyabar.

Tuan Helmi meletakkan anak patung beruang itu disebelah gadis muda itu. “Pakcik beli sebagai tanda maaf pakcik sebab dah langgar anak.” Dia masih berusaha untuk mendekati gadis muda itu.

“Tak perlu! Saya sakit bukan sebab pakcik!” gadis itu bersuara tanpa memandang Tuan Helmi. Dia ada mendengar perbualan doktor yang merawatnya dengan jururawat di situ. Malah dia juga tahu apa yang berlaku. Memang dia dia dilanggar, tapi sebelum dia dilanggar, dia sudah terasa pening dan mahu pitam. Dia sangat yakin, apa yang berlaku ke atasnya, Tuan Huan Helmi bukanlah puncanya!

Tuan Helmi mengukirkan senyuman. Satu perkembangan yang baik bila gadis itu sudah mahu berbicara. “Siapa nama anak?” Tuan Helmi mencuba nasibnya lagi. Mana tahu gadis itu mahu beritahunya.

“Berapa hutang saya dengan tuan? Sampai saja di rumah tuan nanti, tolong beri kerja pada saya. Lebih cepat saya dapat bayar hutang saya pada tuan, lebih cepat saya akan pergi.” Gadis muda itu terus bersuara tanpa memberi kesempatan Tuan Helmi untuk mengenalinya dulu.

Semakin penasaran Tuan Helmi dengan gadis muda ini. Begitu bertekad dia untuk membayar hutangnya sehingga dia lupa yang kesihatannya masih belum pulih sepenuhnya. Tuan Helmi membiarkan persoalan itu berlalu. Mungkin gadis ini perlukan ruang.

“Berapa hutang saya?” Kali ini pandangan gadis itu terus jatuh ke wajah Tuan Helmi apabila soalannya tidak berjawap.

Tuan Helmi memandang wajah comel yang tegang di sebelahnya. Entah kenapa, satu perasaan simpati muncul lagi. “Sampai di rumah saya nanti, saya akan beritahu.” Sebaik sahaja Tuan Helmi berkata begitu, gadis itu membuang semula pandangannya ke luar tingkap.

Kini mereka melepasi jambatan Pulau Pinang dan menyelusuri ke seberang laut. Tiga puluh minit berada di atas jalanraya, Pak Bakar mula memberi signal untuk masuk ke pedalaman Setia Sentosa.

Gadis itu memandang ke luar memerhatikan kawasan pedalaman di mana kiri dan kanannya terdapat ladang kelapa sawit yang luas. Sampai di satu papan tanda yang tertulis- SETIA SENTOSA, terdapat sebuah tasik yang kelihatan tenang dan sangat cantik pemandangannya. Gadis itu terbuai dengan keindahan yang dilihatnya sepanjang perjalanan di Setia Sentosa.

Melepasi tasik itu mereka masuk ke dalam sebuah kawasan perkampungan kecil. Terdapat satu papan tanda yang menulis nama Kampung tersebut, iaitu Kampung Indah Mentari. Tertera nama kampung itu pada lorong yang dimasuki mereka di awalnya. Melepasi sahaja kawasan kampung itu, terdapat satu gerbang besar yang tertulis – ILHAM HATI.

Sampai sahaja di gerbang Ilham Hati, Pak Bakar memakir keretanya di luar. Terdapat kawasan kosong yang sangat luas di depannya sehingga bisa memuatkan lebih dari lima buah kereta jika diparkirkan di situ.

Setelah memakir, Pak Bakar dan Tuan Helmi turun dari kereta. Melihatkan mereka berdua turun dari kereta, gadis itu mencapai beg galasnya dan mengikut langkah mereka. Dia memandang sekeliling. Tempat ini terlalu asing buatnya. Terpencil, sunyi dan sepi tetapi ada ketenangan yang dapat di rasakan di sini. Persekitaran yang menghijau membuatkan udaranya terasa nyaman dan segar.

“Marilah!!” suara Tuan Helmi mengembalikan gadis muda itu ke alam nyata semula. Dia memandang Tuan Helmi yang sedang berdiri di depan gerbang yang sudah terbuka sambil melambai-lambai padanya.

Gadis itu melangkah mengikuti Tuan Helmi. Semakin menghampiri gerbang pintu itu, semakin dia terdengar suara hikuk pikuk di dalamnya. Ketika menolak gerbang itu untuk masuk ke dalam, semakin kuat suara-suara tu kedengaran.

Melangkah sahaja ke dalam tempat yang dinamakan Ilham Hati ini, dia melihat pemandangan yang sangat sibuk. Di mana, ramai orang sedang melakukan pelbagai kerja. Kelihatannya, seperti tempat ini seakan sebuah kilang kain kerana terdapat pelbagai kain-kain yang dijemur ditengah kawasan yang luas.


“Mari!” Panggil Tuan Helmi. Gadis muda itu mengekori langkah Tuan Helmi sehingga tiba di penghujung, terdapat sebuah lagi pintu pagar yang mengasingkan tempat ini dari tempat satu lagi. Di depan pintu pagar ini, dia melihat sebuah kawasan yang sangat besar dan terdapat tiga buah rumah kayu yang sangat cantik dan unik di situ.

Setiap rumah ini terdapat alur gajah yang menyambungkan setiap satunya. Rumah yang di hujung kiri merupakan rumah yang sangat besar. Di tengah, dan hujung kanan hampir sama besar tetapi kecil sedikit berbanding rumah yang di sebelah kiri. Lanskap kawasan ini memang cantik, dipenuhi dengan pelbagai jenis bunga segar, rumput yang menghijau dan air terjun buatan di tengah kawasan. Sungguh cantik sehingga tidak bisa diungkap dengan kata-kata.

“Hei!! Mari sini!!” Pak Bakar mendekati gadis muda yang sedang terpaku di depan pagar. Gadis muda itu mengerling tajam pada Pak Bakar yang seakan mengherdiknya. “Kau buat apa kat sini? Tuan Helmi dah tunggu!!”

Gadis muda itu melemparkan satu jelingan dan meneruskan langkahnya. Matanya sempat menangkap sebuah papan yang terukir cantik, tertulis – SYURGA ILHAM HATI. Mungkin itu adalah nama tempat ini. Sampai sahaja di depan Tuan Helmi yang sedang menunggunya di depan rumah di sebelah kanan, gadis muda itu menghentikan langkahnya.

“Ini ruang makan,” Tuan Helmi menunjuk pada rumah di depan mereka.

Mata gadis muda itu terus terpaku. Ruang makan? Sebesar ini?Ternyata lelaki ini bukan orang sembarangan. Rumah yang sebegitu besar dan cantik, hanyalah dijadikan ruang makan? Gadis muda itu mendiamkan diri menunggu kata-kata selanjutnya. Memandangkan dia telah dibawa ke sini, iaitu di ruang makan, barangkali tuan ini mahu memberi tugasnya di dapur.

Belum pun Tuan Helmi berkata apa-apa muncul dua orang wanita di depannya. Seorang wanita yang sudah dimakan usia dan seorang lagi lebih muda darinya.

“Ini pembantu rumah saya. Mak Eton dan anaknya, Kak Min.” Tuan Helmi perkenalkan keduanya pada gadis muda itu. Malangnya, gadis muda itu langsung tak berminat untuk menyambut salam perkenalan dari Mak Eton dan Kak Min. Dia hanya memandang mereka sekali lalu sahaja.

Mak Eton dan Kak Min sudah berpandangan sesama mereka dengan perasaan kurang senang pada gadis muda ini.

“Saya perlu buat apa?” tanya gadis muda ini pada Tuan Helmi.

Tuan Helmi hanya menjungkitkan keningnya apabila melihat kelakuan gadis itu. Nampaknya, gadis itu sangat sukar di dekati. “Pertama sekali, kamu perlu beritahu dulu nama kamu, barulah saya boleh beri kerja pada kamu.” Tuan Helmi memandang gadis muda itu yang masih kelihatan pucat wajahnya.

Amani menjeling Tuan Helmi lalu berpaling ke tempat lain. “Amani,” jawapnya tanpa memandang sesiapa.

Tuan Helmi mengukirkan senyuman dan mula terangguk-angguk bila gadis muda ini sudah memberitahu namanya. Amani, satu nama yang indah tetapi dimiliki oleh seorang gadis comel yang tegang dan tanpa senyuman.

“Baiklah Amani, saya dan minta Mak Eton dan Kak Min sediakan makanan untuk kamu. Pertama sekali, kamu kena makan kenyang-kenyang, isi perut kamu yang lapar. Lepas tu, berehat. Lepas berehat….”

“Saya datang bukan untuk makan!"Pantas Amani memotong percakapan Tuan Helmi sebelum sempat lelaki itu menyudahkan ayatnya. "Saya datang untuk bayar hutang saya pada tuan dengan bekerja!!” Amani mendengus.

“Saya tahu! Tapi sebelum kamu bekerja, kamu perlu cergas kan fizikal kamu dulu. Kalau saya beri kamu kerja sebelum kamu makan, kamu akan pengsan sekali lagi. Bila kamu pengsan lagi, saya perlu bawa kamu ke klinik semula dan lepas tu, hutang kamu semakin bertambah.” Tuan Helmi sudah menyusun ayatnya kerana dia sudah mula merasakan gadis ini seorang gadis yang sangat berpendirian dan tegas. “Kamu mahu hutang kamu semakin bertambah?”

Amani yang sedang merenung Tuan Helmi, diam seketika. “Baiklah! Kalau macam tu, kirakan sekali apa yang saya makan sebagai hutang juga. Berikan saya kerja yang boleh saya langsaikan hutang rawatan dan hutang makan.”

Tuan Helmi semakin tersenyum. Firasatnya benar, gadis ini begitu tegar untuk tidak berhutang apa-apa dengan orang lain. “Baiklah, kalau itu yang kamu mahu." Tuan Helmi bersetuju dengan kehendak Amani. "Silakan….” Tuan Helmi menjemput Amani untuk masuk ke dalam dan menjamah hidangannya. Kak Min dan Mak Eton juga beriringan dengan Amani.

“Mak Eton…” panggil Tuan Helmi kemudiannya. Mak Eton yang sudah hampir hilang ke dalam ruang makan, kembali semula kepada Tuan Helmi dan meninggalkan Min yang menemani Amani masuk ke ruang makan.

“Ya, tuan?” Terkoncoh-kocoh dia mendapatkan Tuan Helmi.

“Layan gadis ini dengan baik. Jangan meninggi suara pada dia, ya!” pesan Tuan Helmi. Jujurnya, dia sendiri tidak tahu kenapa dia ingin mengambil berat tentang Amani yang langsung tak dikenalinya. Dia melakukan begitu, sekadar menurut kata hatinya agar menjaga anak itu dengan baik. Anak ini perlukan perlindungan! Begitulah bisik hatinya.

“Baik, tuan!” Mak Eton menggangguk tanda menerima arahan itu walaupun terdetik rasa pelik dalam dirinya. Siapa gadis ini? Belum pernah Tuan Helmi membawa orang asing masuk sehingga ke dalam Syurga Ilham Hati melainkan mereka berdua, iaitu dia dan anaknya, Min kerana mereka bekerja di situ sebagai tukang masak, dan juga seorang anak angkat Tuan Helmi iaitu, Izz.

“Assalamualaikum….” Satu suara riang menyapa mereka. “Tania dah balik!!!” Tania berlari-lari anak dan terus memeluk Tuan Helmi.

“Anak papa dah balik!!!” Gembira sekali dua beranak itu berpelukan.

Mak Eton tersenyum gembira melihat kelibat Tania di situ. “Macam mana sekolah Tania?” tanya Mak Eton.

“Boringlah Mak Eton…” ujar Tania dengan manja.

“Ish....!!... Anak papa ni!!” Tergeleng-geleng kepala Tuan Helmi. Satu cubitan sayang singgah di pipi Tanja. "Mana boleh macam tu. Sekolahkan tempat mencari ilmu!”



Tersengih-sengih Tania menerima teguran dari Tuan Helmi. “Mak Eton, Tania laparlah… “ rengek Tania. “Mak Eton masak apa hari ni?”

“Mak Eton….” Belum sempat Mak Eton membuka mulutnya untuk menjawab soalan Taniah, Tuan Helmi memanggilnya dan memberi isyarat agar Mak Eton meninggalkan mereka berdua.

Mak Eton mengangguk tanda memahami perintahnya. Setelah Mak Eton menghilang, tumpuan Tuan Helmi beralih pada Tania. Bahu anak gadisnya dipeluk. “Tania, papa nak minta tolong satu perkara dengan Tania.”

“Tolong apa, pa?” Wajah Tania sudah berkerut seribu.

“Kejap lagi, bila Tania masuk ke dalam untuk makan, Tania akan jumpa dengan seorang budak perempuan.”

“Budak perempuan?” Tania sudah berpusing tubuhnya dan memandang Tuan Helmi.

Tuan Helmi mengangguk. “Tadi, papa exident. Papa terlanggar budak tu.”

“Hah?!” Terkejut Tania dengan berita itu. “Macam mana dengan dia? Papa macam mana?” Tania memandang Tuan Helmi dari atas hingga ke bawah. Melihat pada lengan Tuan Helmi, mana tahu jika ada yang cedera.

Tuan Helmi sudah tersenyum melihat kegelisahan di wajah Tania. “Papa tak apa-apa, budak tu pun tak apa-apa,” beritahu Tuan Helmi.

Tania menghembus nafas lega.

“Kalau boleh, papa nak minta tolong agar Tania berbaik-baik dengan budak tu. Lepas tu, cari jalan, tanya pada dia, di mana dia tinggal, rumah dia di mana, siapa orang tua dia.”

“Dia tak beritahu papa?” tanya Tania.

Tuan Helmi menggeleng. “Papa rasa budak tu dalam masalah. Kita kena tolong dia.”

“Siapa nama dia?”

“Amani.”

“Amani…” Tania menyebut namanya. “Baiklah, pa. Tania akan cuba,” ujar Tania.

Tuan Helmi sudah mengagak yang Tania akan bersetuju. Selama ini, belum pernah lagi Tania menolak apa yang dipintanya. “Terima kasih sayang. Dan…. Sebagai balasannya, lepas Tania makan nanti, terus masuk bilik. Papa dah sediakan hadiah untuk Tania.”

“Betul, pa?!” Wajah Tania kelihatan ceria sekali.

Riak wajah Tania yang gembira itu membuatkan Tuan Helmi bertambah sayang padanya. Tuan Helmi menggangguk.

“Kalau macam tu, Tania masuk dulu!” Tania terus meluru masuk ke ruang makan dan meninggalkan Tuan Helmi yang tertawa melihat gelagatnya.

Buka pintu ruang makan sahaja, pandangan Tania bertaut dengan pandangan seorang gadis muda yang sebaya dengannya. Mungkin inilah gadis yang diceritakan papa. Tania mengukir sebuah senyuman padanya namun senyumannya dibalas dengan jelingan oleh gadis itu sehingga membuatkan senyuman di wajah Tania mati semula.

“Tania!!!” Kak Min muncul disitu dengan seraut wajah yang ceria untuk menyambutnya.

“Tania duduklah! Kak Min siapkan makan untuk Tania.” Kak Min mengambil beg sekolah yang masih digalas Tania dan diletakkan di tepi. Kemudian dia memimpin Tania yang masih memandang Amani agar duduk bertentangan dengan gadis itu.

Amani yang menyedari dirinya sedang diperhatikan, pura-pura tidak tahu dan meneruskan hidangannya. Dia perlu kuat untuk membayar semua hutangnya! Dan kemudian dia akan pergi dari sini. Dia tak mahu berada lebih lama di sini.

“Makanlah Tania!!” suara Kak Min membuatkan Tania yang sedang ralit memandang Amani, sedikit terkejut dan terus memandang kak Min yang berdiri di sebelahnya. Kemudian, dia melihat makanan yang sudah tersedia di hadapannya. Begitu ralit dia berbicara dengan diri sendiri sambil memandang gadis di depannya sehingga dia tidak perasan makanan sudah terhidang di depannya.

Tania menjamah hidangannya namun sesekali matanya masih menangkap seraut wajah yang cantik didepannya. Ya, gadis ini memang cantik tetapi sombong! Siapa gadis sombong yang dibawa papa ke dalam rumah mereka? Tania bermonolog sendiri dan kemudian dia teringat semula pesan papa agar berbaik-baik dengan Amani dan mencari maklumat tentang gadis itu.

“Awak dah sihat? Papa saya kata, dia terlanggar awak?” Tania cuba membuka ruang perbualan antara dia dengan Amani.

Amani yang sememangnya mendengar dengan jelas pertanyaan Tania terus menyepi dan membisu. Sedikit pun dia tidak menyahut pertanyaan itu. Mak Eton dan Kak Min yang berada berhampiran berpandangan sesama mereka dan memandang pada Amani. Terdetik rasa kurang senang pada Amani namun mereka hanya mendiamkan diri kerana arahan dari Tuan Helmi yang mahu mereka melayani Amani dengan baik.

“Nama awak Amani, kan?” tanya Tania lagi dan sekali lagi soalannya berlalu begitu sahaja.

“Hei! Kau tak dengarkah Tania bertanya pada kau?!” Kak Min yang geram melihat kebisuan Amani terus menyergah Amani dan tangannya mencuitAmani.

Terus sahaja pandangan tajam Amani jatuh pada Kak Min. Anak matanya terus menikam wajah Kak Min. Kak Min tergamam seketika menerima pandangan itu. Dia menelan air liurnya. Kemudian, dia berlalu pergi dengan rasa amarah. Tak tahu kenapa, tiba-tiba sahaja lidahnya membisu tatkala menerima pandangan sebegitu dari Amani.

Tanpa mula rasa kurang senang dengan situasi tegang di situ. Namun, dia masih cuba mewujudkan suasana yang lebih mesra seperti kehendak papa. “Maaflah, papa saya tak sengaja langgar awak.” Tania masih belum berputus asa untuk cuba membuka ruang perbualan antara dia dan Amani. “Saya harap….”

Amani mendengus. Dengusannya terus mematikan Tania dari meneruskan kata-katanya. “Awak pergi ke sekolah. Tentu awak orang yang pandai. Awak tentu tahu ketika makan, tak baik bercakap!!” Amani bersuara keras tanpa memandang pada Tania.

Tania terus tertunduk diam. Dia meneruskan suapannya. Dia tak berani bersuara lagi.

Usai menyudahkan makan tengaharinya, Amani bangun dan membawa pinggan dan cawan yang digunakan di sinki. Dia membasuh pinggan dan cawan yang digunakannya dan meletakkan bersama pinggan dan cawan bersih yang lain. Mak Eton dan Kak Min yang hanya memerhatikan segala perlakuannya, dibiarkan sahaja, berpura-pura tiada siapa di situ melainkan dirinya sendirian. Kemudian, dia mencapai beg galasnya dan meluru keluar dari situ.

Matanya meliar mencari kelibat Tuan Helmi. Dia berlegar-legar di kawasan itu. Tiba-tiba telinganya mendengar sayup-sayup suara seseorang sedang berlagu bersama petikan gitar. Amani mendiamkan diri seketika. Suara itu sungguh sedap dan petikan gitar itu mendayu-dayu sekali.

Kakinya diatur perlahan mengikuti arah suara yang sedang berlagu itu. Di balik rumah yang paling kiri, Amani terlihat sebuah rumah kecil. Di berandanya, terdapat seorang lelaki yang sedang duduk dan memetik gitar ditangannya. Mata Amani terus terpaku padanya.

“Amani….” Satu suara menegurnya.

Amani terus berpaling dan melihat Tuan Helmi berdiri di belakangnya.

“Kamu dah habis makan?” tanya Tuan Helmi.

Soalan Tuan Helmi dibalas dengan jelingan. Kalau belum sudah makan, tak mungkin dia ada di sini.

“Kamu pergilah berehat,” arah Tuan Helmi.

“Saya nak kerja!” Tegas Amani.

Tuan Helmi sudah mengangak, pasti inilah jawapannya. “Tadi sebelum pulang, Doktor Iwan ada beritahu saya, awak perlukan makanan yang cukup dan kemudian perlukan rehat yang banyak. Paling kurang pun, dalam tempoh dua belas jam!” Sengaja Tuan Helmi berkata begitu sedangkan Doktor Iwan sendiri tidak menyatakannya. Dia sudah menyimpan jawapan ini sejak dia mula merasakan ketegasan dalam diri Amani.

“Tapi…..!!”

“Saya tak nak hutang awak bertambah lagi! Doktor Iwan cakap, kalau awak tak dapat rehat yang cukup awak boleh pengsan kembali. Awak faham, kan maksud saya?!”

Amani terdiam. Dia menghela nafas. Nampaknya, masanya akan lebih lama terbuang di sini.

Tuan Helmi pulak sudah tersenyum di dalam hati melihat Amani seakan mempercayai kata-katanya. “Awak tunggu di sini, sekejap lagi Tania akan datang dan tunjukkan bilik rehat untuk awak.” Tuan Helmi terus berlalu pergi.

Amani terus berpaling semula untuk melihat pemuda yang sedang berlagu sebentar tadi. Apabila dia berpaling sahaja, pandangannya bertaut dengan pemuda tadi.

Pemuda itu melemparkan senyuman untuknya. Pemuda itu meletakkan gitarnya ditepi dan menghampiri Amani. “Assalamualaikum…. Awak Amani, kan?” tanya pemuda itu sebaik sahaja tiba di depan Amani.

Amani tidak menjawap salamnya tetapi mata Amani terus bertaut di wajahnya. Wajah pemuda itu terus dipandangnya sehingga membuatkan pemuda itu tidak tentu arah.

“Saya Izz…” Izz mengenalkan dirinya.

Amani menjeling Izz lalu berpaling meninggalkannya.

Izz pula, terpinga-pinga di situ. Salam perkenalan dihulurkan, tetapi jelingan yang tajam dibalas! Pelik betul gadis ini! Izz menggeleng kepalanya lalu berjalan semula ke rumah kecilnya.

Amani sudah kembali ke halaman depan. Kelihatan kelibat Tania menghampirinya dengan senyuman.

“Jom!!” Tania muncul mendekati Amani setelah membersihkan dirinya.

Amani hanya memandang Tania, dari bawah ke atas dan turun ke bawah semula. Dia menjeling Tania yang sudah menukar persalinannya dari seragam sekolah kepada pakaian yang lebih ringkas, kemas dan cantik itu.

“Jomlah! Saya tunjukkan tempat untuk awak berehat,” Tania masih berbaik pada Amani walaupun dia tidak dilayan dengan sepatutnya oleh gadis itu.

Tania bergerak melangkah ke dalam rumah di bahagian yang paling kiri. Amani mengikut masuk. Matanya terus memandang sekeliling rumah yang besar dan sangat cantik itu sambil langkah Tania diekorinya.

Di dalam rumah ini terdapat lapan buah kamar dan Tania membawanya ke kamar yang paling hujung. Sebaik sahaja Tania membuka pintu kamar itu dan mempelawa Amani masuk, Amani seakan tergaman melihat kamar yang luas dan cantik itu. Dia terasa bagaikan dia sedang berada dalam sebuah istana. Belum pernah lagi dia berada di dalam kamar cantik dan besar seperti ini.

“Berehatlah…” ujar Tania. “Awak boleh mandi, bersihkan diri. Di dalam ada bilik mandi. Buatlah macam rumah sendiri,” Tania berlalu meninggalkan Amani.

Mata Amani masih belum lepas menangkap segala kelengkapan yang ada di kamar ini. Dia masih berdiri tegak dan memandang sekeliling. Setelah lama berdiri begitu dia berjalan masuk menghampiri sebuah katil yang besar. Dia meletakkan beg galasnya di lantai dan mencapai sepasang baju ganti. Setelah itu, dia melangkah ke kamar mandi untuk membersihkan dirinya.

Amani kembali keluar dari kamar mandi usai membersihkan diri. Badannya terasa segar sedikit. Dia perlu berehat agar dia bisa bekerja. Amani memandang jam di kamar itu. Sudah hampir jam tiga petang. Jika dia perlu berehat selama dua belas jam, itu bermakna pukul tiga pagi pada keesokannya baru dia boleh mulai bekerja. Tapi, mana ada orang bekerja pada jam sebegitu!

Amani memandang katil besar yang ada di depannya. Tangannya memegang tilam dan yang empuk dan selimut yang tebal. Belum pernah badannya merasakan kenikmatan untuk berbaring di atasnya. Malah, dia tidak pernah bermimpi untuk berada di atas katil semewah itu. Dia tak layak dan dia tak mahu untuk membiasakan diri pada perkara yang tak bisa dicapainya! Amani mengambil keputusan untuk berehat dan berbaring di lantai sahaja.

Dia meletakkan beg galasnya di lantai. Dengan menggunakan beg galasnya sebagai bantal, Amani berbaring di situ. Dia memejam matanya rapat. Dia mahu berehat sepenuhnya.


==================================================================

Alhamdulillah....Syukur pada ALLAH s.w.t. Akhirnya, atas bantuan seorang kawan, komputer saya dapat dibaik pulih. Saya mohon maaf atas kelewatan N3 baru ini. Dan terima kasih juga kerana setia melawat blog PSB ini. Terima kasih.....Wassalam.....

Selamat membaca!







Wednesday, 7 March 2012

Isteri Untuk Suami








Dari kejauhan, Nea memandang seorang wanita yang kelihatan ayu bertudung litup, sedang duduk di sebuah bangku panjang sambil melihat anak perempuannya bermain-main di taman permainan itu. Sesekali kedengaran suaranya yang menjerit kuat apabila si anak cuba memanjat permainan dengan cara yang kurang selamat. Nea tersenyum.

Nea memakir keretanya di tepi. Lalu dia berjalan keluar untuk menghampiri wanita yang dikenalinya sejak enam bulan yang lepas.

Enam bulan lepas, ketika dia baru keluar dari sebuah klinik setelah menerima rawatan, tanpa sengaja dia telah melanggar seorang wanita. Namun malangnya, dia terjatuh dan kakinya terseliuh. Kerana kebaikan wanita berkenaan, dia dibawa ke klinik semula dan setelah itu, wanita itu berbaik hati mahu menghantarnya pulang. Sejak itu, hubungan mereka berdua menjadi semakin rapat.

Dia sendiri tidak pasti bagaimana hubungan yang bermula tanpa sengaja itu berkembang menjadi hubungan saudara. Perkenalan yang hanya memakan masa selama enam bulan telah membuatkan dia mempunyai seorang kakak. Insyirah, nama yang sangat indah milik seorang wanita ayu yang sangat baik perilakunya. Entah mengapa, kerjayanya yang menjadi seorang model iklan, kini dia terasa teringin menjadikan Insyirah sebagai model hidupnya pula.

Nea mengorak langkah terus menghampiri Insyirah bersama anaknya yang sedang bermain di taman mainan.

"Akak!" Nea terus menyergah Insyirah. Seraut wajah ceria terukir.

"Ya Allah!!!" Insyirah yang terkejut, terus menjerit. Kemudian, dia mencebik apabila terlihatkan kelibat Nea yang sedang tersenyum sumbing memandangnya. "Nea!! Terkejut akak tahu!" Dia menjeling pada Nea. Satu hembusan nafas dilepaskan. Kemudian, terserlah pula senyuman di bibirnya.

Nea sudah ketawa kecil. Dia tahu, Insyirah tidak akan marah padanya. "Lily.....!!" Nea menghulurkan tangan pada anak Insyirah yang berusia tiga tahun. Lily terus berlari dan mendapatkan Nea. Satu ciuman singgah di pipi gebu Lily. "Rindunya aunty dekat Lily ni.....!!" Cubitan halus singgah pula di pipi Lily.

"Nea.... Nea...” Insyirah menggelengkan kepalanya. “Lain kali, beri salam dulu! Jangan main sergah je! Kalau dibuatnya akak ni ada sakit jantung, macam mana?" soal Insyirah. Nea hanya tersengih-sengih. "Macam mana Nea tahu akak dengan Lily ada dekat sini?" tanya Insyirah menukar perbualan mereka. Hampir seminggu dia tidak melihat kelibat Nea, tup-tup Nea datang ke sini pula.

"Akak, kan selalu bawa Lily main di sini," balas Nea. "Sebenarnya, tadi Nea ke rumah akak, tapi akak tak de. Jadi Nea datanglah dekat taman mainan ni. Tengok-tengok, akak dengan Lily ada kat sini. Tu yang terus Nea ke sini,” jelasnya bersama sebuah senyuman.

Insyirah turut tersenyum. Mengenangkan kembali perkenalan mereka enam bulan lalu, membuatkan banyak persoalan yang timbul tenang model itu. Mungkin Nea tidak terlalu glamor berbanding model antarabangsa yang lain, namun dia juga menempah nama dalam bidangnya sendiri. Banyak iklan-iklan di televisyen yang menjadikannya model, begitu juga dengan iklan di majalah. Malah, Nea pernah berlakon dalam sebuah filem.

Suaminya, Ezani merupakan antara komposer yang terkenal di Malaysia. Ketika mereka berdua melangsungkan perkahwinan mereka, majlis resepsi mereka digelar sebagai Wedding Of The Year. Penuh berita tentang perkahwinan mereka di majalah hiburan mahupun di berita hiburan. Tapi, sejak enam bulan lalu ketika dia berjumpa dengan Nea, Nea sudah tidak pulang lagi ke Kuala Lumpur. Apa yang dilakukan model itu seorang diri di sini tanpa ditemani suaminya?

"Nea dah berhenti dalam dunia modelling?" Insyirah yang sememangnya ingin mengetahui, terus bertanya.

Nea hanya tersenyum. "Tak! Nea masih lagi terikat dengan sebuah syarikat pengiklanan. Hujung tahun ni, baru kontrak berakhir."

"Tapi, apa yang Nea buat dekat sini?" Insyirah semakin bingung. "Dah lebih enam bulan Nea di sini. Diorang kat KL tu tak cari Nea?"

"Nea balik sana jugaklah kak! Kalau diorang call Nea suruh balik sana, Nea pergilah. Lepas habis fotoshoot, Nea balik sini semula," balas Nea. Memang benar, banyak pertunjukkan fesyen yang diterima ditolak mentah-mentah. Hanya iklan yang berkaitan syarikat pengiklanan yang masih ada kontrak dengannya sahaja diterima. Itupun kerana dia terikat dengan kontrak mereka.

"Suami Nea?" tanya Insyirah lagi. Nea tunduk membisu. Apa yang sebenarnya berlaku dalam hidup Nea? Dia dan Ezani punya masalah? "Akak risaulah tengok Nea sorang-sorang kat Penang ni. Kalau Nea perlu tenangkan diri, kenapa Nea tak balik kampung je. Jumpa dengan mak-ayah," cadang Insyirah.

"Akak tak suka ek Nea dekat sini?" gurau Nea sekaligus cuba melarikan diri dari menjawap pertanyaan Insyirah.

"Ish! Mana ada!" nafi Insyirah. "Akak suka sangat dengan Nea. Nea ni baik orangnya. Cuma, akak risaukan Nea. Nea tak de keluarga dekat sini. Kalau sesuatu yang buruk berlaku pada Nea, macam mana?" raut wajah Insyirah benar-benar kelihatan ikhlas. "Apa kata, Nea tinggal dengan akak. Itu pun Kalau Nea sudi lah. Sebab rumah akak kecil je. Tak adalah besar macam banglo Nea tu!"

Nea sudah ketawa apabila melihat kerendahan hati Insyirah. "Akak ni memang baiklah! Sebab tulah, Nea sayang sangat dengan akak." Mereka berdua berbalas senyuman. "Tapi, Nea tak nak menyusahkan akak." Memang, dia takut dia akan menyusah Insyirah.

"Susah apanya! Nea pernah cakap yang Nea dah anggap akak macam kakak Nea sendiri dan akak pun dah anggap Nea macam adik akak sendiri." Tangan Nea dicapai dan digenggam erat. “Dalam hubungan saudara, susah senang sama dirasa.”

"Akak tak kisah kalau Nea tinggal dengan akak?"

"Akak gembira sangat! Nea yang akak risaukan. Takut Nea tak selesa tinggal kat rumah akak." Nea seorang wanita yang berkerjaya. Kemewahan dusah sebati dalam hidupnya. Insyirah hanya risau jika Nea tidak betah tinggal bersamanya.

Nea mengangguk gembira, tanda setuju menerima pelawaan Insyirah.

"Nea, akak nak tanya sikit boleh?"

Mendengar sahaja Insyirah bertanya begitu, hati Nea sudah tak tenteram. Dia takut Insyirah akan bertanya soalan yang tak mampu di jawabnya.

"Keluarga Nea, suami Nea, diorang semua tahu yang Nea ada di sini?"

Nea mengeluh perlahan. "Diorang tahu. Nea beritahu diorang Nea ada di sini." Memang benar, dia tak pernah merahsiakan di mana keberadaannya.

"Suami Nea tak kisah Nea sendirian di sini?"

"Ezani tu sibuk orangnya kak. Sekarang ni, dia sedang sibuk menyiapkan lagu-lagu untuk artis-artis yang perlukan khidmat dia. Hujung bulan ni, dia ada program dengan televisyen. Diorang ambil dia jadi juri dalam satu program realiti."

Terangguk-angguk kepala Insyirah menerima berita dari Nea. "Nea jadi ikut akak?" tanya Insyirah sekali lagi dengan harapan yang berbunga.

Pantas Nea mengangguk laju. Pucuk dicita, ulam pun tiba. Memang dalam hatinya teringin benar untuk melihat cara hidup Insyirah dan anaknya, sekaligus belajar dari kehidupan seorang wanita yang sederhana ini. Maklumlah, sedari kecil dia terbiasa dengan kehidupan mewah. Papa dan mama merupakan ahli perniagaan yang berjaya. Dia tidak pernah merasa susah seumur hidupnya. Mengenali Insyirah dan Lily, bagaikan satu kebahagiaan yang tak mampu diucapkan dengan lisannya.



"NEA....! Nea!!" Insyirah mengetuk pintu kamar Nea. "Jom makan! Akak dah sediakan makan malam ni!"

Nea membuka pintu dari dalam. Tergamam dia apabila melihat seorang wanita yang cantik berdiri di depannya. Ternganga dia seketika. Dia memandang seraut wajah yang biasanya dilihat hanya separuh wajahnya, pada rambut yang lurus lembut yang sentiasa tersembunyi di sebalik hijab.

"Nea! Kenapa pandang akak macam tu?" Bingung dia melihat Nea yang seperti tidak pernah melihatnya.

"Ini, akak Insyirah?" Nampaknya memang benar Nea bagaikan tidak mempercayai apa yang dilihatnya.

"Akaklah! Nea ni kenapa?" Insyirah menggeleng lalu berjalan ke ruang makan.

Nea mengikuti jejak Insyirah dengan senyuman. Siapa sangka, wanita yang sentiasa menutup ini, mempunyai seraut wajah yang cantik disebaliknya. Kalau nak dibandingkan kecantikan Insyirah dengan mana-mana teman modelnya, termasuk juga diri sendiri, kecantikan Insyirah jauh meninggalkan mereka. Insyirah punya kecantikan asli yang semulajadi. Mereka pula, hanya kelihatan lebih cantik dan lebih anggun jika bersolek. Jika solekan hilang dari wajah, pasti wajah mereka akan kelihatan sangat pucat.

"Lily!" panggil Nea dengan ceria apabila melihat anak kecil itu sudah siap menunggu mereka di meja makan. "Lily nak makan ek?" Nea menarik kerusi di sebelah Lily. "Akak, hari ni, biar Nea yang suapkan Lily." ujarnya pada Insyirah. "Lily nak aunty suap?" Lily mengangguk.

"Terima kasih Nea," ucap Insyirah. "Lily, hari ni Lily bacakan doa ya." Insyirah sudah menadah tangan. Nea yang melihat tingkah Insyirah, turut menurutnya.

"Bismillahirrahmanirrahim....." Lily membaca doa makan sehingga habis. Kemudian, mereka menyapu muka dengan telapak tangan. Jauh di sudut hati Nea, dia terasa satu debaran sedang berdenyut di setiap urat nadinya.

Usai makan malam, Nea membantu Insyirah mengemas di dapur. Kemudian, ketika Insyirah membawa Lily masuk ke dalam bilik untuk tidur, Nea mengambil kesempatan untuk mengambil udara di luar.

Pertama kali dalam hidup Nea, tinggal di sebuah rumah klaster yang sederhana besarnya. Tapi entah mengapa, rumah yang kecil ini terasa luas. Sungguh! Dia memang tak tahu mengapa dia merasakan begitu. Sedangkan, selama ini dia tinggal di banglo yang mewah, tapi dia tidak merasa begitu lapang sebegini.

"Nea," tegur Insyirah yang baru tiba di lama. "Nea buat apa malam-malam kat luar ni?"

"Saja, ambil angin kak." Nea mengukirkan senyuman buat Insyirah yang sudah berdiri di sisinya. "Akak, boleh Nea tanya sesuatu?"

"Tanya apa?"

"Selama Nea kenal akak, Nea tak pernah lihat pun suami akak. Mana dia?"

Senyuman yang terukir di wajah Insyirah tiba-tiba mati. Dia mengetap bibirnya seketika. Dia menarik nafas panjang dan memandang Nea. Satu senyuman pahit terukir di wajahnya. "Jodoh akak dengan dia tak panjang," ujar Insyirah perlahan.

"Maksud akak?" dia tidak mengerti. Adakah itu membawa maksud, mereka telah berpisah. Wanita sebaik Insyirah, yang kelihatan begitu sempurna juga bercerai dengan suami? Kalau wanita sepertinya, memang banyak perkara begitu yang terjadi. Malah dia sendiri dah terbiasa mendengar cerita teman-temannya yang berpisah dengan suami kalau mereka sudah tidak sefahaman. Kalau dah tak bahagia, buat apa menunggu lagi, kan? Tapi, takkanlah wanita seperti Insyirah juga sama seperti mereka?

“Nea, tak ada wanita yang berkahwin dengan tujuan untuk berpisah, kan?” dia bertanya pada Nea. Nea mengangguk. “Akak juga berharap untuk terus bahagia hingga hujung nyawa.” Satu nafas yang panjang dihela perlahan. “Ini takdir hidup akak. Ini ujian Allah pada akak. Akak redha.” Dia memandang jauh ke dalam mata Nea. Mungkinkah Nea juga punya masalah rumahtangga? Insyirah memandang ke depan semula.

"Dulu, akak berkahwin ketika usia akak dua puluh satu tahun. Tak sampai dua bulan kahwin akak terus menggandungkan Lily. Tapi, sejak itu sikap suami akak dah berubah. Sebenarnya, dia tak bersedia nak menjadi ayah. Katanya, dia mahu stabilkan hidup kami dulu. Dia mahu berjaya dalam hidup, dia mahu hidup mewah, barulah dia mahukan anak." Insyirah memandang pada Nea. "Dia mahu akak gugurkan kandungan. Cuba Nea bayangkan, ibu mana yang sanggup gugurkan anaknya sendiri? Berkali-kali akak beritahu dia, setiap anak itu ada rezeki yang dibawanya bersama. Dia takkan menyusahkan ibu bapanya. Akhirnya, dia ceraikan akak bila akak berkeras mahukan Lily." Insyirah memejam matanya.

Nea tertunduk. Kasihan Kak Insyirah. "Jadi, akak kahwin tak sampai setahun?"

"Talak jatuh setelah akak melahirkan Lily, tapi dia dah tinggalkan akak lebih dari tu. Kami bersama hanya untuk tempoh lima bulan saja."

"Maaf, kak. Nea tak tahu....." Nea mula rasa bersalah kerana bertanya soalan begitu pada Nea. Dia terimbas pula pada si kecil Lily. Kasihan Lily, dia tak pernah merasa kasih seorang ayah selama dia membesar.

"Tak mengapa Nea. Nea bertanya sebab Nea tak tahu, Kalau Nea tahu, tentu Nea takkan tanya, kan?" Insyirah mengukirkan senyuman indah agar dapat menghapuskan rasa bersalah dalam diri Nea.

“Setiap manusia akan menerima ujiannya sendiri. Masing-masing punya masalah sendiri. Semuanya terpulang pada kita, jalan mana yang mahu kita ikuti. Jalan yang benar, adalah jalan menuju kepada Allah.” Dia tak tahu apa masalah Nea, tapi yang pasti Nea punya masalah sehingga membawa dia merantau jauh ke negeri asing yang tidak ada pertalian dengannya.

“Kenapa akak tak carikan ayah lain untuk Lily?” tanya Nea. “Lily tak pernah tanya siapa ayah dia?”

Insyirah menggeleng. “Lily masih kecil. Dia tak tahu pun erti ‘ayah’. Mungkin kalau dia ke sekolah nanti, baru dia akan tahu.” Insyirah mengeluh. “Akak takut sangat bila terfikirkan hal itu. Apa yang akak akan jawap pada dia? Akak takkan pernah beritahu dia yang ayah dia tinggalkan kami kerana tak mahu dia lahir ke dunia. Akak tak nak Lily simpan rasa dendam dia dalam hati.” Insyirah yang merasakan airmatanya mengalir, cepat-cepat menyeka.

Nea memeluk erat bahu Insyirah. Siapa sangka, wanita yang penuh dengan senyuman dan keramahan itu, rupanya menyimpan episod duka dalm hidupnya. “Sabarlah, kak…” pujuknya.

“Akak tak pernah terfikir pun nak cari ayah baru untuk Lily. Akak risau, kalau ayah dia sendiri tak boleh terima kehadiran dia, apatah lagi seorang lelaki yang langsung tak ada kaitan dengan Lily.” Insyirah menenangkan diri seketika. “Biarlah kami berdua sahaja. Akak dah cukup bahagia dengan Lily. Cerita hidup akak dah berakhir. Sekarang ni, akak mahu lakarkan perkara-perkara yang indah saja dalam hidup Lily. Akak tak nak dia terima nasib yang sama macam akak.”

Nea terus memeluk Insyirah dengan erat. Kini dia mengerti apa yang dikatakan dengan ketabahan dan kesabaran. Tabahnya seorang wanita, bukan kerana dirinya, tapi untuk orang-orang yang disayanginya. Sabarnya seorang wanita bukan kerana dirinya, tapi juga untuk kebahagiaan orang-orang yang disayanginya.



DALAM kepekatan malam, terdengar satu suara yang merdu sedang mendayu-sayu mengalunkan lagu. Nea yang masih memejamkan matanya, membuka matanya perlahan. Suara itu kedengaran lagi. Semakin didengar, semakin merdu suaranya. Nea membuka matanya luas. Setelah sedar sepenuhnya, Nea bangun dan duduk bersandar di kepala katil.

Itu adalah suara Insyirah yang sedang mengalun ayat-ayat Al-Quran. Nea melirik jam loceng yang ada di atas kebinet. Sudah jam empat pagi. Insyirah masih beribadah pada waktu begini? Tak mengantuk dan penatkah dia setelah seharian menjalani kehidupan.

Nea menyelesaikan posisi duduknya. Telinganya terus mendengar ayat-ayat suci Al-Quran itu. Memang sungguh menenangkan! Sangat tenang! Malah, Insyirah memiliki suara yang merdu. Sungguh! Insyirah pernah berkata padanya rehat yang terbaik adalah dengan beribadah dan berzikir. Dia tidak pernah mengerti apa yang dimaksudkan Insyirah.

Namun kini, setelah mendengar alunan zikir Inyirah pada tabir malam begini, membuatkan dia mengerti apa yang dikatakan rehat bersama ibadah.



“ASSALAMUALAIKUM…..” sapa Nea yang baru keluar dari kamarnya dan menuju ke ruang makan. Di situ, Lily sudah sedia menunggu Insyirah yang sedang menyiapkan sarapan pagi.

“Waalakikummussalam.....” Insyirah sudah tersenyum apabila mendengar salam Nea. Namun matanya tidak memandang Nea. Dia sedang sibuk melihat ikan goreng di dalam kuali. “Kan sedap bila dengar Nea beri salam dulu.” Dia berpaling untuk melihat Nea. Tergamam dia seketika apabila melihat seraut wajah jelita itu sedang mengenakan selendang di kepalanya. Ikan goreng diangkat ke dalam pinggan. Api dapur ditutup. Dia berjalan menghampiri Nea yang sudah tersenyum dengan wajah yang berseri-seri.

“Nea…..”

“Maaf, kak. Nea pinjam selendang akak,” ujar Nea.

“Tak apa. Nea nampak cantik sangat!” Benar, Nea kelihatan ayu dalam keadaan begitu. Kemudian, Insyirah ketawa apabila melihat seluruh penampilan Nea dari atas ke bawah. Manakan tidak, Nea memakai T-shirt sendat berlengan pendek dan berlegging separas lutut. Hanya dia menutup kepalanya dengan selendang milik Insyirah. “Nea memang cantik. Tapi, kalau begini, tak sempurna cara dia, Nea!”

Nea ikut ketawa. Dia menarik selendang dari kepalanya. “Nea nak cuba saja, kak,” ujarnya. Manalah dia punya baju yang menutup seluruh tubuhnya seperti insyirah.

“Marilah makan Nea!” Insyirah menyuruh Nea duduk di sisinya.

Nea menurut. Nasi goreng yang disediakan Insyirah dicedok masuk ke dalam pinggan setelah membaca doa makan. Lalu, ikan goreng pula diambilnya. Dia melirik Lily yang sedang menyuap makanannya sendiri. “Pandainya anak aunty ni makan sendiri!”

Lily sudah tersengih memandangnya. “Akak, apa pendapat akak kalau Nea pakai macam akak?” tanya Nea setelah lama mereka tenggelam menikmati hidangan.

Insyirah mendongak kepala memandang Nea. “Pakai apa?!”

“Maksud Nea….” Nea menghentikan kunyahannya lalu memandang Insyirah. “Nea rasa, Nea nak berubah. Nea nak jadi macam akak!”

Insyirah terlopong. Ya Allah!!! Hanya Engkaulah Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana. Hanya Engkaulah yang mengenali hambaMu dari mereka mengenali diri mereka sendiri. Hanya Engkaulah yang bisa mengubah hati hambaMu. Hanya Engkaulah Yang Maha Berkuasa atas segala-galanya. Mahasuci Engkau …..Ya Rabb….


%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%



Ezani memandu masuk ke perkarangan banglo miliknya bersama Nea. Sebaik sahaja dia memakirkan kereta, dia bersandar seketika di kerusi, menghembuskan nafas keletihan setelah seharian menjalani kesibukan duniawi.

Dia mematikan enjin lalu meningglkan kereta dan masuk ke dalam banglonya. Banglo yang kelihatan samar-samar cahayanya, ditekan suis agar menjadi terang benderang. Ketika dia menaiki anak-anak tangga, dia terpandang susuk tubuh seseorang yang sedang berdiri di ruang tamu sambil memandangnya dengan senyuman.

Dia turun kembali dari anak-anak tangga yang telah dinaiki. Dengan langkah yang perlahan, dia menghampiri kelibat itu sambil matanya tidak lepas dari memandang wajah yang berseri itu.

“Nea?!” suaranya setelah berada di hadapan Nea. Sekali lagi dia memandang Nea yang sudah jauh berubah dari Nea, isterinya yang dulu. Nea yang berdiri di depannya ini, bukan lagi seorang model yang seksi bersama potongan badan yang menggiurkan. Tetapi seorang wanita muslimah, yang berbaju kurung dan bertudung. Wajahnya bersih tanpa secalit solekan.

“Abang,” Nea mencapai tangan Ezani dan menciumnya. “Ampunkan Nea bang, ampunkan Nea!” Nea sudah teresak-esak di situ. Selama ini, dia telah banyak mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Dia terlalu sibuk dengan dunia modeling sehingga dia terlupa untuk berbakti pada suaminya. Seribu penyesalan dirasakan. Syukur pada Allah kerana telah memberikan dia ujian sehingga dia membawa diri jauh dari hidupnya. Syukur pada Allah kerana telah menemukan dia dengan Insyirah dan Lily.

Ezani terus memeluk isterinya itu. “Nea tak bersalah apa-apa pada abang, sayang. Nea tak salah apa-apa!” Entah apa yang membuatkan isterinya berubah terus begitu. Sebenarnya, dia tak kisah langsung sama ada Nea menutup aurat atau tidak. Apa yang dia mahukan , hanyalah Nea sentiasa ada di sisinya.



DENGAN satu dengusan kasar, Ezani bersandar pada kerusi. Tajam matanya menikan wajah milik Insyirah yang sedang duduk bertentangan dengannya. Ini semua pasti kerja perempuan ni!

Insyirah pulak, sudah tergamam di situ. Dia sendiri tidak tahu apa yang sedang berlaku. Kenapa Nea lakukan semua ini? Itupun tanpa berbincang dengannya, tanpa persetujuannya!

“Abang, akak…” Nea memandang kedua-dua insan yang disayangi. “Cubalah faham apa Nea katakan.”

“Faham?!” Berdetum meja di tumbuk Ezani. “Faham apa? Nea nak abang kahwin dengan perempuan ni?” Dia menunjuk pada Insyirah yang sudah tertunduk di situ. “Apa yang perempuan ni dah buat dengan Nea sampai sanggup Nea serahkan suami Nea pada dia?”

Insyirah yang kaku di situ sudah merasa sangat terhina. Dia tak tahu mahu melakukan apa. Perlukah dia bangun dari situ, atau terus di situ?

“Abang! Kak Insyirah tak salah. Dia tak tahu apa-apa. Ni semua, kemahuan Nea.”

"Eh, perempuan!" Ezani menengking pada Insyirah. Dia sudah tak pedulikan mata-mata yang sedang menoleh memandangnya. "Kau dah buat apa dengan isteri aku ni hah?!!" Tajam matanya menikam wajah terus menunduk.

"Abang!!" Nea bertindak cuba mempertahankan Nea. "Abang.... Abang dengar,ah dulu cakap Nea!" rayunya.

Ezani menghentak meja dengan kuat bersama dengusan kasar. Lalu, dia bangun dan terus meninggalkan Nea dan Insyirah di situ. Nea tidak berniat mahu mengekori Ezani. Dia hanya melihat bayangan suaminya yang semakin menghilang. Dia menoleh pula pada Insyirah. "Kak...." dia menepuk bahu Insyirah yang masih tertunduk lesu.

"Ini tujuan Nea datang sini dengan suami Nea?!" Insyirah mendongakkan kepalanya memandang Nea. Kolam matanya mula bertakung. Bukan kerana dia sedih dengan apa yang telah terjadi, tetapi dia sedih kerana terasa dihina oleh Ezani. Ezani tidak salah, dia berhak marah begitu. Sesiapa pun, pastinya akan marah seperti Ezani. "Sanggup Nea malukan akak depan suami Nea!"

"Kak.... Tolonglah faham kak!"

"Tolong faham apa? Tolong faham permintaan Nea yang tak masuk akal ni?" Tergeleng-geleng kepalanya. Dia langsung tak menyangka ini rupanya tujuan Nea dan suaminya datang ke sini berjumpa dengannya. Nea memang gila! Gila! Nea datang ke sini bawa Ezani, semata-mata mahu mengenalkan dia dengan Ezani sekaligus mahu mereka berdua berkahwin dan hidup sebagai suami dan isteri?! Gila!!

"Nea ikhlas, kak...." Nea terus merayu. "Berilah peluang untuk Nea jelaskan semua ni!"

"Nea! Nea jangan jadi gila boleh tak?! Nea nak akak kahwin dengan Ezani, untuk apa?! Akak tak perlukan sesiapa dalam hidup akak. Akak tak perlukan simpati sesiapa mahu pun Nea sendiri. Selama ni hidup akak dah cukup sempurna. Akak mampu menjaga dan membesarkan Lily tanpa seorang lelaki."

"Tapi Lily perlukan seorang ayah!"

"Lily tak perlukan ayah bila dia ada akak!" bentak Insyirah. Entah apalah yang difikirkan Nea sehingga sanggup menyerahkan suaminya untuk wanita lain. "Kalau Lily perlukan seorang ayah sekali pun, bukan dari seorang lelaki yang sudah beristeri!"

"Tapi Nea sanggup bermadu kalau orang itu adalah akak!"

"Nea!!" Insyirah memegang kepala. "Ya Allah Nea..... Apa yang Nea buat ni??" Sungguh, dia bingung dengan apa yang sedang terjadi.

"Akak, Ezani seorang suami yang baik, kak." Dia memandang Insyirah yang tertunduk menongkat kepalanya dengan kedua-dua tangannya. "Dia seorang lelaki yang bertanggungjawab. Nea yakin, dia akan menjaga dan melindungi akak dan Lily."

Insyirah menarik nafas panjang. "Nea, cuba dengar cakap akak. Akak tak perlukan simpati Nea. Akak tahu, Nea bersimpati dengan akak, sebab tu Nea buat semua ni, kan?" Insyirah menarik tangan Nea. "Terima kasih untuk kebaikan Nea. Tapi, akak tak setuju dengan permintaan Nea. Nea dah lihat, kan bagaimana reaksi Ezani? Akak percaya, dia sendiri pun terkejut dengan permintaan Nea. Sekarang ni, akak mahu Nea balik, jumpa Ezani dan minta maaf dengan dia." Insyirah bangun. Dia berpaling untuk pergi.

"Mungkin akak tak perlukan orang lain dalam hidup akak, tapi Nea dan Ezani perlukan akak!"

Mendengarkan suara Nea, Insyirah menghentikan langkah dan berpaling semula.

"Akak tengok Nea..." Nea menunjukkan dirinya pada Insyirah. Insyirah memandang Nea yang sememangnya sudah jauh berubah dari Nea yang dulu. "Nea berubah sebab akak. Nea mahu, Ezani juga berubah dengan menjadi seorang suami dan pemimpin menurut Islam. Kami berdua perlukan akak?"

"Nea tak perlu berubah kerana akak, begitu juga dengan Ezani. Nea dan Ezani perlu berubah kerana Allah!"

"Tapi kami perlukan pertolongan akak!"

"Insya-Allah! Tapi bukan dengan merampas kebahagiaan Nea dan Ezani!"

"Nea akan lebih bahagia kalau akak dan Lily jadi sebahagian dari kami!"

Insyirah menghembus nafas panjang. Dia memandang Nea lalu menggelengkan kepala. Dia berpusing dan berlalu pergi.



INSYIRAH meluru keluar dari kereta. Dia berlari masuk ke dalam kawasan apartment dan terus meluru ke naik ke tingkat atas di mana Nea dan Ezani tinggal. Sampa sahaja di depan apartment yang diberikan alamatnya oleh Ezani sebentar tadi, Insyirah terus menolak daun pintu.

"Ya Allah, Nea!!!! Terus sahaja dia menjerit apabila melihat Nea sudah berdiri di hujung beranda.

"Nea nak terjun!" Jerit Nea apabila melihat kelibat Insyirah sudah kelihatan di situ. "Nea nak terjun dari sini, akak!!"

"Bawa mengucap Nea! Apa yang Nea buat ni." Insyirah sudah mengalirkan air mata di situ.

"Sayang.... Sabar sayang...." sedari tadi Ezani sudah berusaha memujuk Nea. "Turun Nea..." Dia takkan pernah berhenti merayu sebegitu pada isteri yang tersayang.

"Nea takkan turun selagi abang dan Akak Nea tak janji akan tunaikan permintaan Nea!" jeritnya.

Ezani berpaling memandang Insyirah. Entah apalah agaknya yang telan dilakukan oleh wanita ini pada Nea? Satu perasaan benci mula berputik dalam hatinya untuk Insyirah.

"Nea.... Tolonglah Nea jangan buat perkara yang bukan-bukan. Tak masuk syurga Nea!" pujuk Insyirah.

"Tolonglah kak.....abang.... Tolonglah!" Nea sudah teresak-esak.

Ezani menarik nafas panjang. Enam tahun melayari bahtera rumahtangga sudah membuatkan dia masak dengan sikap degil Nea yang tak akan mengalah selagi apa yang dihajatinya, ditunaikan. "Baiklah Nea," suara Ezani perlahan. Dia memandang Nea. "Abang akan tunaikan permintaan Nea. Abang akan menikahi Insyirah!"

Dengan rasa terkejut, Insyirah terus memandang Ezani. Tak! Dia tak setuju! Kenapa dia perlu berkahwin dengan Ezani! Dia tak mengenali Ezani begitu juga sebaliknya! Dia tak mencintai Ezani begitu jugak sebaliknya! Dia tak pernah setuju dengan semua ni! Insyirah terus memprotes. Sayangnya, semua itu hanya tersangkut di kerongkongnya tanpa dapat diluahkan apabila melihat Nea yang masih berdiri di hujung beranda.



"SAYA tak setuju dengan semua ni!!!" bentuk Insyirah.

Ezani menjelingnya. "Awak ingat, saya sengaja setuju nak menikah dengan awak?"

"Habis tu, kenapa nak diteruskan juga?"

Ezani berdiri di depan Insyirah. "Semuanya sebab awak dengan anak awak! Saya hairan, macam mana Nea boleh berdegil mahu saya nikahi awak. Mesti awak ada buat apa-apa dengan dia!"

"Awak jangan menuduh saya yang bukan-bukan! Saya sendiri tak pernah terfikir tentang hal ni. Jauh sekali nak jadi isteri awak! Dunia awak dengan Nea, terlalu berbeza dengan saya!"

"Awak dah musnahkan kebahagiaan saya dengan Nea!" Dada Ezani semakin berombak. "Nea dah jauh berubah. Dia dah tak macam dulu. Sekarang ni, dia selalu ada di sisi saya. Tapi, awak dah musnahkan semuanya!"

"Kalau awak rasa macam tu, kita tak perlu teruskan semua ni! Lagipun, saya sendiri," Insyirah menunjukan pada dirinya. "..... Tak pernah kata saya setuju dengan permintaan Nea. Hanya awak yang setuju melulu!"

"Jadi, sekarang ni semua salah saya? Bagusnya anak menunding jari pada saya. Kalau bukan kerana awak, Nea takkan buat semua ni!"

"Sudahlah Encik Ezani. Penat saya bercakap dengan awak. Kalau awak tak suka saya, saya pun tak suka awak, jadi, apa masalahnya di sini. Awak pergi pertahankan rumahtangga awak, dan saya akan teruskan kehidupan saya bersama anak saya!" Insyirah terus berpusing untuk pergi.

Dengan pantas, Ezani menangkap lengan Insyirah. "Setelah awak 'basuh' fikiran isteri saya cukup-cukup, awak nak tinggal masalah ni macam tu saja!" Ezani sangat tidak berpuas hati dengan Insyirah. "Saya akan setuju dengan permintaan Nea. Bila awak dah jadi isteri saya, tahulah saya macam mana nak ajar awak!!" Ezani melepaskan lengan Insyirah dengan kasar. Kemudian, dia berlalu pergi.




"AKAK!!" Nea terus meluru mendapatkan Insyirah dan memeluknya. Insyirah yang terkejut dengan tindakan drastik Nea yang datang entah dari mana hanya membiarkan tubuhnya dipeluk dengan erat.

"Nea....." Dia menepuk-nepuk belakang Nea dengan lembut. Sungguh, dia memang marah pada Nea. Tapi dia juga sayangkan Nea.

"Tolonglah Nea, kak...." Airmatanya semakin laju mengalir.

"Kenapa ni Nea? Nea sakitkan?" Dia memandang wajah cengkung Nea.

"Tolonglah kahwin dengan Ezani," pujuknya terus.

"Nea!!" Insyirah tidak menyangka, Nea masih ingin meneruskan niatnya.

"Apa yang Nea buat ni bersebab kak. Berilah peluang untuk Nea jelaskan sebabnya," ujarnya dengan tersangkut-sangkut kerana esak tangisnya.

Insyirah memandang Nea. Sebab? Sebab apa? Hatinya mula tertanya.

"Nea mahu akak dan bernikah sebab......" dia terus memanjang wajah Insyirah yang sedang terpaku memandangnya bersama satu pandangan yang penuh dengan pertanyaan.


%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%



SUDAH dua minggu dia bergelar isteri pada Ezani. Selama itu jugalah, setiap hari dia menerima cercaan dan hinaan, bukan sahaja dari Ezani sendiri, malah keluarga dia dan juga keluarga Nea. Pernah juga wartawan menyerbu ke rumahnya apabila mendengar berita Nea telah dimadukan. Dia tidak biasa dengan situasi begitu. Nea yang banyak membantu meredakan keadaan. Ezani pula, hanya membiarkan sahaja apa yang sedang berlaku. Dia tak pernah peduli dengan kehadiran Insyirah dan Lily.

Nea sering mempertahankannya, namun siapakah yang mahu mendengarnya? Semuanya menuduh dia menggunakan sihir untuk menjinakkan hati Nea. Astaghfirullahala'zim.......
Kenapakah dia menurut juga kehendak Nea. Memang Nea telah menerangkan tujuannya mahu Ezani menikahinya, tapi kenapa dia terlalu lekas menyatakan persetujuannya? Kalaulah dia berfikir dahulu dan cuba mencari jalan lain agar Nea mengerti, pasti hidupnya takkan jadi begini.

Ya Allah.... Jalan apa yang telah dipilihnya untuk Lily? Bisakah Lily membesar dalam keadaan dihina terus begini? Maafkan mama, Lily.... Rambut Lily diusapnya lembut. Setitis Airmatanya berguguran.

"Assalamualaikum.....Akak!!" Kedengaran suara Nea sudah memanggil di depan rumah.

Insyirah memimpin tangan Nea ke depan. "Waalaikummussalam...." Insyirah mengukirkan senyuman. Sejak dia berpindah ke Kuala Lumpur dan tinggal di sini bersama Ezani, hanya Nea sahaja teman yang dia ada. Mungkin kerana memahami situasinya, Nea meminta Ezani membelikan sebuah rumah untuknya bertentangan dengan banglo Nea.

“Lily…!!” Nea terus mengangkat tubuh kecil lily ke dalam pelukannya, lalu menuju ke bangku di tengah laman. Insyirah hanya mengekornya dari belakang. Sejak Nea berhenti dari dunia modeling, Nea ada terfikir untuk membuka sebuah butik. Dia mahu Insyirah ikut bersamanya, namun Insyirah meminta sedikit masa untuk berfikir dahulu. “Jadi, macam mana kak? Akak dah fikir?” tanya Nea terus kepada persoalannya.

“Abang tahu Nea datang sini?” soalnya pada Nea kembali. Ketika Nea meminta Ezani membelikan sebuah rumah yang bertentangan dengan mereka, Ezani memberi syarat, agar Nea menjarakkan dirinya dengan Insyirah.

Nea mengeluh. “Nea minta maaf sebab…” Sungguh, dia tak tahu apa yang perlu dikatakan pada Insyirah. Ezani belum tahu, siapa Insyirah yang sebenarnya. Kalau Ezani tahu, pasti dia takkan mensia-siakan Insyirah begini. Sejak menjadi suami Insyirah, hanya beberapakali sahaja Ezani pulang ke rumah Insyirah. Itu pun setelah didesaknya. Suatu saat nanti, Ezani akan berterima kasih padanya kerana memaksa Ezani menikahi Insyirah.

Untuk Insyirah pula, dia telah berikan seorang suami yang sangat baik. Suatu hari nanti, setelah Insyirah mula wujud di hati Ezani, Insyirah pasti mengakui kebenaran itu, iaitu Ezani adalah suami yang baik dan ayah yang terbaik buat Lily.

“Tak apalah Nea….” Tangan Nea digenggam erat. “Yang penting sekarang ni, Nea perlu jaga diri Nea. Kalau Ada apa-apa, cepat-cepat hubungi akak, tahu!”

“Baik, kak.” Nea sudah mengukir senyuman. “Nea bersyukur sangat sebab ada akak. Walaupun setiap kali abang marah pada akak sebab rapat dengan Nea, akak tetap juga ada di sisi Nea.”

“Tentang rancangan Nea nak buka butik tu….” Insyirah menarik nafas panjang. “Akak kena tanya dengan abang dulu. Walaupun dia bencikan akak, dia tetap suami akak. Akak kena tanya dia dulu.”

“Kalau akak tanya, abang mesti tak bagi!”

“Dia bagi atau tak, itu hak dia! Dia tetap suami akak jugak.” Setiap kali dia menyebut perkataan suami pada Ezani, setiap kali itu jugalah dia terasa dadanya terhimpit. “Tapi akak yakin, abang mesti tak setuju. Nea pun tahu abang tak nak Nea rapat lagi dengan akak!” Insyirah memandang Nea yang sudah tertunduk sayu. “Tak apalah, kalau abang balik sini malam ni, akak cuba tanya pada dia.”

“Terima kasih, kak. Nea pun akak cuba pujuk abang.”



INSYIRAH yang masih termangu sendirian bangun dengan perlahan apabila mendengar bagaikan seseorang sedang masuk ke dalam rumahnya. Itu pasti Ezani. Dia melirik Lily yang sudah terlena. Kemudian, dia berjalan keluar dari kamar dan menuju ke kamar Ezani. Sempat dia mencapai tudung kepalanya. Walaupun mereka telah menikah, namun tetap tidur berasingan dan Insyirah sentiasa menjada auratnya dari Ezani.

Insyirah menarik nafas panjang bila tiba di kamar Ezani yang dibuka lampunya. Setelah membaca bismillah, Insirah mengetuk pintu.

Ezani yang sedang menyalin pakaian mendengus geram apabila mendengar ketukan di pintu. Dengan kasar dia terus membuka pintu dengan kasar, dan melihat wajah Insyirah yang sudah tegak di depannya. Dia mengerling Insyirah tajam lalu berjalan semula ke katil sambil mengutip baju-baju kotornya. “Awak nak apa?!”

Insyirah menelan air liurnya. Biasanya, jika baru berjumpa dengan seseorang dia akan memberi salam terlebih dahulu. Namun kali ini, ucapan salam itu hanya tersangkut dikerongkong.

“Awak nak apa?!” Ezani sudah berpaling memandangnya dengan geram.

Insyirah yang masih tegak di depan pintu memandang Ezani seketika. Memang Ezani tak pernah mengizinkan Insyirah masuk ke dalam kamarnya. “Nea ada cakap apa-apa dengan awak tentang butik….”

“Oh…. Jadi, ini semua rancangan kau?!” Baju-baju yang telah dikutipnya dibaling semula atas katil. “Aku dah agak!!” Ezani memicit kepalanya. Ketika di luar, sering kali dia ditanya tentang rumahtangganya. Suratkhabar pula masih belum reda dengan kisah mereka bertiga. Nea pula terus mendesak agar dia pulang ke rumah Insyirah. Dia benar-benar tertekan!! “Kau ni memang perempuan tak guna!!” Ezani mencapai akhbar yang termuat berita tentang mereka lalu dilemparkannya pada Insyirah. “Kalau kau nak glomor macam Nea, kenapa kau tak jadi model, artis? Eh buanglah tudung yang kau pakai tu! Kau tak layak pakai tudung tu tahu!!”

Insyirah menunduk dan menelan semua kata-kata Ezani. Dia beristighfar di dalam hati.

“Kalau kau nak hidup mewah, kenapa kau tak usaha saja sendiri? Apa yang kau buat ni, lebih hina dari pengemis tahu!!”

“Saya cuma minta keizinan awak. Kalau awak tak izinkan, saya akan beritahu Nea.” Insyirah bersuara perlahan.

“Kau nak tanya aku?!” Ezani ketawa mengejek. “Aku ni siapa? Suami kau?” dia memandang terus pada Insyirah. “Aku ni, cuma composer biasa. Bukannya popular sangat pun! Nea pun cuma model iklan, taklah glomor mana sangat. Kau tahu tak, kalau kau buka sikit aurat kau tu dan masuk ke dalam dunia modeling, kau mesti popular lebih dari model yang ternama dekat Malaysia ni. Kecantikan yang kau ada ni, dah cukup untuk satu Malaysia kenal dengan kau! Dah cukup untuk beri kemewahan pada kau! Tak perlulah kau meragut kebahagiaan aku dengan Nea!!”

“Kecantikan seorang wanita hanya untuk suaminya! Bukan untuk tatapan umum!!” ketika Insyirah berkata begitu, dia terlupa yang Ezani adalah suaminya.

“Untuk suami? Kalau macam tu, apa guna kau menutup habis satu badan dalam rumah ni. Aku bukan suami kau?! Kau yang gatal nak kahwin dengan aku, kan?! Sekarang ni, kau tak mengaku aku ni suami kau?!”

Setelah Ezani berkata begitu, barulah dia tersedar Ezani adalah suaminya. “Awak memang suami saya. Suami hanya pada nama, bukan dari hati.” Insyirah terus berlalu degan hati yang terluka. Tabahlah wahai hati……



INSYIRAH yang baru menyudahkan solat Maghrib terus bangun dari sejadah apabila mendengar suara yang kuat dari bawah meneriak namanya. Terus dia meluru turun. Kelihatan Nea sedang menangis teresak-esak seakan cuba menahan Ezani.

Melihat sahaja tubuh Insyirah yang sedang menuruni anak tangga, terus Ezani meluru padanya walau cuba dihalang Nea. Kesabarannya semakin teruji. Dia semakin tertekan apabila Nea tetap juga berkeras mahu membuka butik itu bersama dengan Insyirah. Entah apalah yang telah dilakukan Insyirah pada Nea sehingga Nea sanggup menyerahkan segala haknya pada Insyirah.

“Kau memang perempuan tak guna!!” Terus sahaja dia menampar Insyirah sekuat tenaganya.

Insyirah yang masih lagi bertelekung tidak dapat menstabilkan dirinya apabila ditampar dengan kuat begitu. Dia terus tergolek hingga ke bawah tangga. Dahinya terhantuk di bucu yang terakhir.

“Ya Allah!!” Nea berteriak dan terus meluru pada Insyirah. Dahi Insyirah sudah berdarah dengan banyak. “Akak!!”

“Tak apa Nea…sikit sahaja!” Insyirah menguatkan diri walaupun pandanganya sudah semakin kelam.

Nea membuka telekung yang pakai Insyirah denagn perlahan. “Kita ke klinik kak!” ujarnya apabila melihat luka di dahi Insyirah.

“Akak tak apa-apa!!” Insyirah memegang dahinya.

“Abang!! Apa yang abang dah buat ni!!” Nea terus meluru pada Ezani dan meninggalkan Insyirah. Tajam matanya memandang Ezani bersama genangan airmata. “Abang dah melampau!!” Dia tidak menyangka Ezani sanggup bertindak begitu. Tiba-tiba sahaja dia merasa sakit dipangkal rahimnya. “Auwh!!!” Dia terus memegang ari-arinya.

“Ya Allah…!! Nea…!!” Insyirah yang sedaya upaya menahan kesakitan terus merasa kesakitannya hilang tatkala terpandangkan darah yang mula mengalir laju di celahan kangkang Nea. “Nea!!”

Ezani yang pada mula tergamam, terus meluru mendapatkan Nea. Dia memangku Nea. “Nea, kenapa ni sayang? Ya Allah… Nea!!” Airmata lelakinya tumpah apabila melihat keadaan isteri yang disayanginya begitu. “Kita ke hospital!!”

“Jangan bang!! Jangan!!” Dengan menahan kesakitannya, Nea bersuara. “Masanya dah sampai. Nea akan ‘pergi’.” Suaranya kedengaran perlahan.

“Nea…” Insyirah tidak dapat menahan kesedihannya. Airmatanya turun mencurah-curah.

“Akak… Terima kasih kerana menjaga Nea selama ni. Beritahu Lily, Nea sayang pada dia. Tolong jagakan abang.” Dia memandang Insyirah lalu beralih kepada Ezani. “Ampunkan Nea bang. Nea tak dapat temankan abang lagi. Tapi Nea dah hadiahkan abang seorang isteri yang baik untuk temankan abang. Hargainya, bang. Kalau tidak, abang akan menyesal.”

Mendengar kata-kata Nea, semakin laju airmata Insyirah mengalir. Begitu juga dengan Ezani.

“Laa ila ha illallah….” Nea menutup matanya dengan perlahan bersama sebuah senyuman.

“Nea!!!” Ezani terus memeluk tubuh yang kaku itu dengan erat.

“Mama Nea!!!” Tiba-tiba sahaja Lily muncul dari atas dan meluru pada Nea. “Mama Nea!!” Dia terus menangis teresak-esak bagaikan mengetahui apa yang telah terjadi.

Insyirah mengambil Lily dan membawanya erat dalam pelukan. “Dari Dia kita datang, kepada Dia juga kita kembali…. ”



DENGAN langkah yang longlai, Ezani berjalan masuk ke dalam banglo miliknya dan arwah Nea. Pengebumian Nea baru sahaja selesai. Rupanya, Nea mempunyai kanser pangkal rahim. Dan kerana dia telah tahu usianya tidak panjang, kerana itu dia mendesak Ezani menikahi Insyirah.

“Ampunkan Nea bang. Nea tak dapat temankan abang lagi. Tapi Nea dah hadiahkan abang seorang isteri yang baik untuk temankan abang. Hargainya, bang. Kalau tidak, abang akan menyesal.”

Kata-kata Nea terus terngiang-ngiang di telinganya. Nea hadiahkan seorang isteri yang baik untuk temankan abang.

“Nea…. Maafkan abang..” Bagaikan seorang anak kecil, dia terus menangis teresak-esak di situ sendirian.

Dalam masa yang sama, Insyirah sudah siap menunggu di rumahnya bersama bagasi. Sungguh, dia tak tahu apa yang perlu dilakukan sekarang. Nea sudah tidak ada. Dia sudah tak punya sesiapa lagi di sini. Dia mahu pulang semula ke tempatnya. Kuala Lumpur, bukan tempatnya!

Sesekali dia menyeka airmatanya apabila mengenangkan Nea. Nea terlalu baik. Dia tak sepatutnya hadir dalam hidup Nea dan Ezani. Hubungan dia dengan Ezani tidak berjalan seperti apa yang dimahukan Nea. Pengakhiran hidup Nea, dia melihat Ezani melukai Insyirah. Satu pengakhiran hidup yang sangat menyedihkan buat wanita sebaik Nea. Kalaulah dia tak pernah mengenali Nea, mungkin Nea akan bahagia bersama Ezani sehingga nafas yang terakhir.

Insyirah menyeka airmatanya lagi. Dia melirik Lily yang sedang bermain dengan mainannya. Lily, kita akan kembali ke dunia lama kita semula. Dunia yang hanya ada Lily dan mama. Hanya kita berdua! Airmatanya diseka lagi.

Dia mahu menunggu Ezani pulang. Memang dia ada terniat untuk keluar terus sahaja dari rumah itu. Tetapi Ezani masih tetap suaminya. Dia akan berbincang dengan Ezani dengan cara yang baik agar dia dilepaskan.

Satu kuakan dari pintu utama membuatkan Insyirah berpaling. Kelihatan kelibat Ezani yang kelihatan lemah masuk ke dalam rumah.

Ezani yang terpandangkan Insyirah dan Lily bersama bagasi di sampingnya, sudah dapat mengagak apa yang akan berlaku. Dia berjalan perlahan dan duduk di bertentangan dengan Insyirah. Sungguh, dia memang tak tahu untuk berkata apa dengan Insyirah dan Lily.

“Maafkan saya,” ujar Insyirah apabila melihat kebisuan Ezani. “Nea selalu percaya yang awak akan jadi suami yang baik untuk saya, dan ayah yang terbaik untuk Lily. Dia juga selalu yakin, saya akan menjadi peneman awak bagi menggantikan tempatnya." Insyirah terus menyapu airmatanya lagi. "Saya tak rasa apa yang difikirkannya betul. Tapi saya sangat percaya awak adalah seorang suami yang penyayang. Melihat kasih sayang awak pada Nea, itu membuktikan cinta awak sangat agung pada Nea.” Insyirah menyeka lagi airmatanya yang semakin laju mengalir. Sesekali dia menarik nafasnya yang tersumbat.

"Nea sangat sayangkan awak. Kerana sayang yang terlalu tinggi, dia melakukan begini, mencari seorang isteri untuk suaminya agar tidak keseorangan setelah ketiadaannya."

"Nea pernah berkata pada saya, dia mahu mengubah cara hidupnya bersama awak. Sayangnya, umur dia tak panjang. Sebab tu dia pilih saya untuk mengubah cara hidup awak. Tapi saya rasa itu keputusan yang tak betul, kan?" Dia bertanya pada Ezani yang hanya tertunduk membisu. "Saya bersetuju dengan permintaan Nea untuk menjadi isteri awak, hanya kerana saya tahu usia Nea sudah tidak panjang lagi.” Dia menarik nafas panjang. “Nea dah tak ada lagi.... Saya rasa, dengan ketiadaan Nea, hubungan kita juga sudah tidak bermakna."

"Insyirah.... " Tiba-tiba sahaja Ezani yang sedari tadi ya membisu, mula bersuara. "Saya minta maaf pada awak. Saya banyak berbuat salah pada awak. Awak tak layak di hukum atas permintaan Nea. Apa yang awak lakukan hanyalah untuk membahagiakan Nea di hujung nafasnya. Hanya saya yang tak mengerti tentang itu." Airmata Ezani tumpah juga di depan Insyirah.

"Mungkin awak merasakan permintaan Nea tidak betul. Tapi, yang tidak betul itu adalah saya, bukan permintaan Nea. Saya yang tidak pernah membuka ruang untuk membuktikan permintaan Nea adalah betul atau tidak."

Insyirah memandang Ezani yang terus bersuara. Dia hanya mendiamkan diri dan memberi peluang pada Ezani untuk meluahkan segala perasaannya.

"Saya tahu, awak dah membuat keputusan untuk meninggalkan saya dan sekaligus menamatkan permintaan Nea. Tapi, saya harap awak akan memberi peluang pada kita berdua untuk membuktikan permintaan Nea adalah sesuatu yang benar." Ezani memberanikan diri untuk bertentang mata dengan Insyirah.

"Berilah peluang kedua dalam hubungan kita demi untuk Nea, demi Lily. Kalau bukan kerana mereka sekalipun, buatlah kerana Allah. Kita adalah suami isteri yang sah!" Ezani memandang memejam matanya seketika dan memandang Insyirah. "Please......"



%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%



Tiga tahun kemudian....



"Lily....!! Tolong tengok kan adik tu! Nanti jatuh!!" jerita Ezani pada Lily yang sudah berusia enam tahun.

"Baik papa!!" Lily sudah berlari-lari mendapatkan adiknya yang berusia dua tahun.

Ezani dan Insyirah berpandangan seketika, lalu mereka berbalas senyuman. Ezani mencapai jari jemari Insyirah dan menggenggamnya erat. Bagi Ezani, tidak susah sebenarnya untuk jatuh cinta pada Insyirah. Insyirah seorang isteri yang baik dan pandai mengambil hati.

Cinta Nea yang telah melengkapi hidupnya sebelum ini telah disempurnakan oleh Insyirah dan Lily. Hidupnya juga telah jauh berubah seperti apa yang diinginkan Nea. Jika tidak kerana Nea, mereka tak mungkin mengecap nikmat kebahagiaan ini. Walaupun dia memiliki Insyirah pada masa ini, namun cinta agung Nea tidak pernah dilupakan walau sedetik pun.

Insyirah membalas genggaman jari jemari Ezani. Nea benar, Ezani adalah seorang suami yang baik. Dia juga bertindak sebagai seorang ayah yang terbaik buat Lily. Biarpun Nea sudah tidak ada di samping mereka, namun Nea sentiasa ada di setiap tadahan doa mereka. Malah, menziarahi pusara Nea telah menjadi satu kebiasaan pada mereka setiap hujung bulan pada hari Jumaat.

Nea..... terima kasih atas segala kebaikanmu. Semoga dirimu tenang di alam sana. Suatu hari nanti, kami akan menyusulmu, Nea.

Al-fatihah....

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Tabahnya seorang wanita, bukan kerana dirinya, tapi untuk orang-orang yang disayanginya. Sabarnya seorang wanita bukan kerana dirinya, tapi juga untuk kebahagiaan orang-orang yang disayanginya.


%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%