TUAN HELMI melirik gadis muda yang terus membisu di sebelahnya. Sedari tadi, gadis itu hanya membuang pandangannya ke luar tingkap. Gadis itu seakan tenggelam bersama dunianya sendiri. Dia langsung tak pedulikan Tuan Helmi yang berada di sebelahnya.
Tuan Helmi cuba berfikir cara lain untuk menarik perhatian gadis itu. Dia mahu tahu siapa nama gadis itu, di mana dia tinggal, siapa keluarganya. Tapi soalan itu semua hanya berlegar di kepalanya. Kemudian, ingatannya teringat kembali pada anak patung beruang yang dibelikannya untuk Tania dan gadis itu.
“Nak…..” panggil Tuan Helmi. Anak patung beruang bewarna krim itu sudah ada ditangannya. Gadis itu tetap mematung seperti tadi. “Ini… " Tuan Helmi menghulurkan anak patung beruang itu. " Pakcik ada belikan anak patung untuk anak.”
Gadis itu menoleh memandang Tuan Helmi. Pandangannya silih berganti antara Tuan Helmi dan anak patung beruang itu. Kemudian, pandangannya dilemparkan semula ke luar tingkap. Sedikit pun dia tidak tertarik dengan patung yang tidak bernyawa itu.
Pak Bakar yang sedang memandu, melihat adegan itu dari cermin pandang belakang sudah tergeleng-geleng kepalanya. Perasaan marah yang sudah hilang tadi, kembali semula. Tetapi dia hanya mendiamkan diri, membiarkan Tuan Helmi cuba mendekati gadis muda itu. Selama ini, belum ada yang berani berkelakuan kurang sopan begitu pada Tuan Helmi dan keluarganya. Gadis muda inilah, orang pertama yang tidak menghormati seseorang yang terhormat seperti Tuan Helmi. Mujurlah Tuan Helmi seorang yang baik hati dan penyabar.
Tuan Helmi meletakkan anak patung beruang itu disebelah gadis muda itu. “Pakcik beli sebagai tanda maaf pakcik sebab dah langgar anak.” Dia masih berusaha untuk mendekati gadis muda itu.
“Tak perlu! Saya sakit bukan sebab pakcik!” gadis itu bersuara tanpa memandang Tuan Helmi. Dia ada mendengar perbualan doktor yang merawatnya dengan jururawat di situ. Malah dia juga tahu apa yang berlaku. Memang dia dia dilanggar, tapi sebelum dia dilanggar, dia sudah terasa pening dan mahu pitam. Dia sangat yakin, apa yang berlaku ke atasnya, Tuan Huan Helmi bukanlah puncanya!
Tuan Helmi mengukirkan senyuman. Satu perkembangan yang baik bila gadis itu sudah mahu berbicara. “Siapa nama anak?” Tuan Helmi mencuba nasibnya lagi. Mana tahu gadis itu mahu beritahunya.
“Berapa hutang saya dengan tuan? Sampai saja di rumah tuan nanti, tolong beri kerja pada saya. Lebih cepat saya dapat bayar hutang saya pada tuan, lebih cepat saya akan pergi.” Gadis muda itu terus bersuara tanpa memberi kesempatan Tuan Helmi untuk mengenalinya dulu.
Semakin penasaran Tuan Helmi dengan gadis muda ini. Begitu bertekad dia untuk membayar hutangnya sehingga dia lupa yang kesihatannya masih belum pulih sepenuhnya. Tuan Helmi membiarkan persoalan itu berlalu. Mungkin gadis ini perlukan ruang.
“Berapa hutang saya?” Kali ini pandangan gadis itu terus jatuh ke wajah Tuan Helmi apabila soalannya tidak berjawap.
Tuan Helmi memandang wajah comel yang tegang di sebelahnya. Entah kenapa, satu perasaan simpati muncul lagi. “Sampai di rumah saya nanti, saya akan beritahu.” Sebaik sahaja Tuan Helmi berkata begitu, gadis itu membuang semula pandangannya ke luar tingkap.
Kini mereka melepasi jambatan Pulau Pinang dan menyelusuri ke seberang laut. Tiga puluh minit berada di atas jalanraya, Pak Bakar mula memberi signal untuk masuk ke pedalaman Setia Sentosa.
Gadis itu memandang ke luar memerhatikan kawasan pedalaman di mana kiri dan kanannya terdapat ladang kelapa sawit yang luas. Sampai di satu papan tanda yang tertulis- SETIA SENTOSA, terdapat sebuah tasik yang kelihatan tenang dan sangat cantik pemandangannya. Gadis itu terbuai dengan keindahan yang dilihatnya sepanjang perjalanan di Setia Sentosa.
Melepasi tasik itu mereka masuk ke dalam sebuah kawasan perkampungan kecil. Terdapat satu papan tanda yang menulis nama Kampung tersebut, iaitu Kampung Indah Mentari. Tertera nama kampung itu pada lorong yang dimasuki mereka di awalnya. Melepasi sahaja kawasan kampung itu, terdapat satu gerbang besar yang tertulis – ILHAM HATI.
Sampai sahaja di gerbang Ilham Hati, Pak Bakar memakir keretanya di luar. Terdapat kawasan kosong yang sangat luas di depannya sehingga bisa memuatkan lebih dari lima buah kereta jika diparkirkan di situ.
Setelah memakir, Pak Bakar dan Tuan Helmi turun dari kereta. Melihatkan mereka berdua turun dari kereta, gadis itu mencapai beg galasnya dan mengikut langkah mereka. Dia memandang sekeliling. Tempat ini terlalu asing buatnya. Terpencil, sunyi dan sepi tetapi ada ketenangan yang dapat di rasakan di sini. Persekitaran yang menghijau membuatkan udaranya terasa nyaman dan segar.
“Marilah!!” suara Tuan Helmi mengembalikan gadis muda itu ke alam nyata semula. Dia memandang Tuan Helmi yang sedang berdiri di depan gerbang yang sudah terbuka sambil melambai-lambai padanya.
Gadis itu melangkah mengikuti Tuan Helmi. Semakin menghampiri gerbang pintu itu, semakin dia terdengar suara hikuk pikuk di dalamnya. Ketika menolak gerbang itu untuk masuk ke dalam, semakin kuat suara-suara tu kedengaran.
Melangkah sahaja ke dalam tempat yang dinamakan Ilham Hati ini, dia melihat pemandangan yang sangat sibuk. Di mana, ramai orang sedang melakukan pelbagai kerja. Kelihatannya, seperti tempat ini seakan sebuah kilang kain kerana terdapat pelbagai kain-kain yang dijemur ditengah kawasan yang luas.
“Mari!” Panggil Tuan Helmi. Gadis muda itu mengekori langkah Tuan Helmi sehingga tiba di penghujung, terdapat sebuah lagi pintu pagar yang mengasingkan tempat ini dari tempat satu lagi. Di depan pintu pagar ini, dia melihat sebuah kawasan yang sangat besar dan terdapat tiga buah rumah kayu yang sangat cantik dan unik di situ.
Setiap rumah ini terdapat alur gajah yang menyambungkan setiap satunya. Rumah yang di hujung kiri merupakan rumah yang sangat besar. Di tengah, dan hujung kanan hampir sama besar tetapi kecil sedikit berbanding rumah yang di sebelah kiri. Lanskap kawasan ini memang cantik, dipenuhi dengan pelbagai jenis bunga segar, rumput yang menghijau dan air terjun buatan di tengah kawasan. Sungguh cantik sehingga tidak bisa diungkap dengan kata-kata.
“Hei!! Mari sini!!” Pak Bakar mendekati gadis muda yang sedang terpaku di depan pagar. Gadis muda itu mengerling tajam pada Pak Bakar yang seakan mengherdiknya. “Kau buat apa kat sini? Tuan Helmi dah tunggu!!”
Gadis muda itu melemparkan satu jelingan dan meneruskan langkahnya. Matanya sempat menangkap sebuah papan yang terukir cantik, tertulis – SYURGA ILHAM HATI. Mungkin itu adalah nama tempat ini. Sampai sahaja di depan Tuan Helmi yang sedang menunggunya di depan rumah di sebelah kanan, gadis muda itu menghentikan langkahnya.
“Ini ruang makan,” Tuan Helmi menunjuk pada rumah di depan mereka.
Mata gadis muda itu terus terpaku. Ruang makan? Sebesar ini?Ternyata lelaki ini bukan orang sembarangan. Rumah yang sebegitu besar dan cantik, hanyalah dijadikan ruang makan? Gadis muda itu mendiamkan diri menunggu kata-kata selanjutnya. Memandangkan dia telah dibawa ke sini, iaitu di ruang makan, barangkali tuan ini mahu memberi tugasnya di dapur.
Belum pun Tuan Helmi berkata apa-apa muncul dua orang wanita di depannya. Seorang wanita yang sudah dimakan usia dan seorang lagi lebih muda darinya.
“Ini pembantu rumah saya. Mak Eton dan anaknya, Kak Min.” Tuan Helmi perkenalkan keduanya pada gadis muda itu. Malangnya, gadis muda itu langsung tak berminat untuk menyambut salam perkenalan dari Mak Eton dan Kak Min. Dia hanya memandang mereka sekali lalu sahaja.
Mak Eton dan Kak Min sudah berpandangan sesama mereka dengan perasaan kurang senang pada gadis muda ini.
“Saya perlu buat apa?” tanya gadis muda ini pada Tuan Helmi.
Tuan Helmi hanya menjungkitkan keningnya apabila melihat kelakuan gadis itu. Nampaknya, gadis itu sangat sukar di dekati. “Pertama sekali, kamu perlu beritahu dulu nama kamu, barulah saya boleh beri kerja pada kamu.” Tuan Helmi memandang gadis muda itu yang masih kelihatan pucat wajahnya.
Amani menjeling Tuan Helmi lalu berpaling ke tempat lain. “Amani,” jawapnya tanpa memandang sesiapa.
Tuan Helmi mengukirkan senyuman dan mula terangguk-angguk bila gadis muda ini sudah memberitahu namanya. Amani, satu nama yang indah tetapi dimiliki oleh seorang gadis comel yang tegang dan tanpa senyuman.
“Baiklah Amani, saya dan minta Mak Eton dan Kak Min sediakan makanan untuk kamu. Pertama sekali, kamu kena makan kenyang-kenyang, isi perut kamu yang lapar. Lepas tu, berehat. Lepas berehat….”
“Saya datang bukan untuk makan!"Pantas Amani memotong percakapan Tuan Helmi sebelum sempat lelaki itu menyudahkan ayatnya. "Saya datang untuk bayar hutang saya pada tuan dengan bekerja!!” Amani mendengus.
“Saya tahu! Tapi sebelum kamu bekerja, kamu perlu cergas kan fizikal kamu dulu. Kalau saya beri kamu kerja sebelum kamu makan, kamu akan pengsan sekali lagi. Bila kamu pengsan lagi, saya perlu bawa kamu ke klinik semula dan lepas tu, hutang kamu semakin bertambah.” Tuan Helmi sudah menyusun ayatnya kerana dia sudah mula merasakan gadis ini seorang gadis yang sangat berpendirian dan tegas. “Kamu mahu hutang kamu semakin bertambah?”
Amani yang sedang merenung Tuan Helmi, diam seketika. “Baiklah! Kalau macam tu, kirakan sekali apa yang saya makan sebagai hutang juga. Berikan saya kerja yang boleh saya langsaikan hutang rawatan dan hutang makan.”
Tuan Helmi semakin tersenyum. Firasatnya benar, gadis ini begitu tegar untuk tidak berhutang apa-apa dengan orang lain. “Baiklah, kalau itu yang kamu mahu." Tuan Helmi bersetuju dengan kehendak Amani. "Silakan….” Tuan Helmi menjemput Amani untuk masuk ke dalam dan menjamah hidangannya. Kak Min dan Mak Eton juga beriringan dengan Amani.
“Mak Eton…” panggil Tuan Helmi kemudiannya. Mak Eton yang sudah hampir hilang ke dalam ruang makan, kembali semula kepada Tuan Helmi dan meninggalkan Min yang menemani Amani masuk ke ruang makan.
“Ya, tuan?” Terkoncoh-kocoh dia mendapatkan Tuan Helmi.
“Layan gadis ini dengan baik. Jangan meninggi suara pada dia, ya!” pesan Tuan Helmi. Jujurnya, dia sendiri tidak tahu kenapa dia ingin mengambil berat tentang Amani yang langsung tak dikenalinya. Dia melakukan begitu, sekadar menurut kata hatinya agar menjaga anak itu dengan baik. Anak ini perlukan perlindungan! Begitulah bisik hatinya.
“Baik, tuan!” Mak Eton menggangguk tanda menerima arahan itu walaupun terdetik rasa pelik dalam dirinya. Siapa gadis ini? Belum pernah Tuan Helmi membawa orang asing masuk sehingga ke dalam Syurga Ilham Hati melainkan mereka berdua, iaitu dia dan anaknya, Min kerana mereka bekerja di situ sebagai tukang masak, dan juga seorang anak angkat Tuan Helmi iaitu, Izz.
“Assalamualaikum….” Satu suara riang menyapa mereka. “Tania dah balik!!!” Tania berlari-lari anak dan terus memeluk Tuan Helmi.
“Anak papa dah balik!!!” Gembira sekali dua beranak itu berpelukan.
Mak Eton tersenyum gembira melihat kelibat Tania di situ. “Macam mana sekolah Tania?” tanya Mak Eton.
“Boringlah Mak Eton…” ujar Tania dengan manja.
“Ish....!!... Anak papa ni!!” Tergeleng-geleng kepala Tuan Helmi. Satu cubitan sayang singgah di pipi Tanja. "Mana boleh macam tu. Sekolahkan tempat mencari ilmu!”
Tersengih-sengih Tania menerima teguran dari Tuan Helmi. “Mak Eton, Tania laparlah… “ rengek Tania. “Mak Eton masak apa hari ni?”
“Mak Eton….” Belum sempat Mak Eton membuka mulutnya untuk menjawab soalan Taniah, Tuan Helmi memanggilnya dan memberi isyarat agar Mak Eton meninggalkan mereka berdua.
Mak Eton mengangguk tanda memahami perintahnya. Setelah Mak Eton menghilang, tumpuan Tuan Helmi beralih pada Tania. Bahu anak gadisnya dipeluk. “Tania, papa nak minta tolong satu perkara dengan Tania.”
“Tolong apa, pa?” Wajah Tania sudah berkerut seribu.
“Kejap lagi, bila Tania masuk ke dalam untuk makan, Tania akan jumpa dengan seorang budak perempuan.”
“Budak perempuan?” Tania sudah berpusing tubuhnya dan memandang Tuan Helmi.
Tuan Helmi mengangguk. “Tadi, papa exident. Papa terlanggar budak tu.”
“Hah?!” Terkejut Tania dengan berita itu. “Macam mana dengan dia? Papa macam mana?” Tania memandang Tuan Helmi dari atas hingga ke bawah. Melihat pada lengan Tuan Helmi, mana tahu jika ada yang cedera.
Tuan Helmi sudah tersenyum melihat kegelisahan di wajah Tania. “Papa tak apa-apa, budak tu pun tak apa-apa,” beritahu Tuan Helmi.
Tania menghembus nafas lega.
“Kalau boleh, papa nak minta tolong agar Tania berbaik-baik dengan budak tu. Lepas tu, cari jalan, tanya pada dia, di mana dia tinggal, rumah dia di mana, siapa orang tua dia.”
“Dia tak beritahu papa?” tanya Tania.
Tuan Helmi menggeleng. “Papa rasa budak tu dalam masalah. Kita kena tolong dia.”
“Siapa nama dia?”
“Amani.”
“Amani…” Tania menyebut namanya. “Baiklah, pa. Tania akan cuba,” ujar Tania.
Tuan Helmi sudah mengagak yang Tania akan bersetuju. Selama ini, belum pernah lagi Tania menolak apa yang dipintanya. “Terima kasih sayang. Dan…. Sebagai balasannya, lepas Tania makan nanti, terus masuk bilik. Papa dah sediakan hadiah untuk Tania.”
“Betul, pa?!” Wajah Tania kelihatan ceria sekali.
Riak wajah Tania yang gembira itu membuatkan Tuan Helmi bertambah sayang padanya. Tuan Helmi menggangguk.
“Kalau macam tu, Tania masuk dulu!” Tania terus meluru masuk ke ruang makan dan meninggalkan Tuan Helmi yang tertawa melihat gelagatnya.
Buka pintu ruang makan sahaja, pandangan Tania bertaut dengan pandangan seorang gadis muda yang sebaya dengannya. Mungkin inilah gadis yang diceritakan papa. Tania mengukir sebuah senyuman padanya namun senyumannya dibalas dengan jelingan oleh gadis itu sehingga membuatkan senyuman di wajah Tania mati semula.
“Tania!!!” Kak Min muncul disitu dengan seraut wajah yang ceria untuk menyambutnya.
“Tania duduklah! Kak Min siapkan makan untuk Tania.” Kak Min mengambil beg sekolah yang masih digalas Tania dan diletakkan di tepi. Kemudian dia memimpin Tania yang masih memandang Amani agar duduk bertentangan dengan gadis itu.
Amani yang menyedari dirinya sedang diperhatikan, pura-pura tidak tahu dan meneruskan hidangannya. Dia perlu kuat untuk membayar semua hutangnya! Dan kemudian dia akan pergi dari sini. Dia tak mahu berada lebih lama di sini.
“Makanlah Tania!!” suara Kak Min membuatkan Tania yang sedang ralit memandang Amani, sedikit terkejut dan terus memandang kak Min yang berdiri di sebelahnya. Kemudian, dia melihat makanan yang sudah tersedia di hadapannya. Begitu ralit dia berbicara dengan diri sendiri sambil memandang gadis di depannya sehingga dia tidak perasan makanan sudah terhidang di depannya.
Tania menjamah hidangannya namun sesekali matanya masih menangkap seraut wajah yang cantik didepannya. Ya, gadis ini memang cantik tetapi sombong! Siapa gadis sombong yang dibawa papa ke dalam rumah mereka? Tania bermonolog sendiri dan kemudian dia teringat semula pesan papa agar berbaik-baik dengan Amani dan mencari maklumat tentang gadis itu.
“Awak dah sihat? Papa saya kata, dia terlanggar awak?” Tania cuba membuka ruang perbualan antara dia dengan Amani.
Amani yang sememangnya mendengar dengan jelas pertanyaan Tania terus menyepi dan membisu. Sedikit pun dia tidak menyahut pertanyaan itu. Mak Eton dan Kak Min yang berada berhampiran berpandangan sesama mereka dan memandang pada Amani. Terdetik rasa kurang senang pada Amani namun mereka hanya mendiamkan diri kerana arahan dari Tuan Helmi yang mahu mereka melayani Amani dengan baik.
“Nama awak Amani, kan?” tanya Tania lagi dan sekali lagi soalannya berlalu begitu sahaja.
“Hei! Kau tak dengarkah Tania bertanya pada kau?!” Kak Min yang geram melihat kebisuan Amani terus menyergah Amani dan tangannya mencuitAmani.
Terus sahaja pandangan tajam Amani jatuh pada Kak Min. Anak matanya terus menikam wajah Kak Min. Kak Min tergamam seketika menerima pandangan itu. Dia menelan air liurnya. Kemudian, dia berlalu pergi dengan rasa amarah. Tak tahu kenapa, tiba-tiba sahaja lidahnya membisu tatkala menerima pandangan sebegitu dari Amani.
Tanpa mula rasa kurang senang dengan situasi tegang di situ. Namun, dia masih cuba mewujudkan suasana yang lebih mesra seperti kehendak papa. “Maaflah, papa saya tak sengaja langgar awak.” Tania masih belum berputus asa untuk cuba membuka ruang perbualan antara dia dan Amani. “Saya harap….”
Amani mendengus. Dengusannya terus mematikan Tania dari meneruskan kata-katanya. “Awak pergi ke sekolah. Tentu awak orang yang pandai. Awak tentu tahu ketika makan, tak baik bercakap!!” Amani bersuara keras tanpa memandang pada Tania.
Tania terus tertunduk diam. Dia meneruskan suapannya. Dia tak berani bersuara lagi.
Usai menyudahkan makan tengaharinya, Amani bangun dan membawa pinggan dan cawan yang digunakan di sinki. Dia membasuh pinggan dan cawan yang digunakannya dan meletakkan bersama pinggan dan cawan bersih yang lain. Mak Eton dan Kak Min yang hanya memerhatikan segala perlakuannya, dibiarkan sahaja, berpura-pura tiada siapa di situ melainkan dirinya sendirian. Kemudian, dia mencapai beg galasnya dan meluru keluar dari situ.
Matanya meliar mencari kelibat Tuan Helmi. Dia berlegar-legar di kawasan itu. Tiba-tiba telinganya mendengar sayup-sayup suara seseorang sedang berlagu bersama petikan gitar. Amani mendiamkan diri seketika. Suara itu sungguh sedap dan petikan gitar itu mendayu-dayu sekali.
Kakinya diatur perlahan mengikuti arah suara yang sedang berlagu itu. Di balik rumah yang paling kiri, Amani terlihat sebuah rumah kecil. Di berandanya, terdapat seorang lelaki yang sedang duduk dan memetik gitar ditangannya. Mata Amani terus terpaku padanya.
“Amani….” Satu suara menegurnya.
Amani terus berpaling dan melihat Tuan Helmi berdiri di belakangnya.
“Kamu dah habis makan?” tanya Tuan Helmi.
Soalan Tuan Helmi dibalas dengan jelingan. Kalau belum sudah makan, tak mungkin dia ada di sini.
“Kamu pergilah berehat,” arah Tuan Helmi.
“Saya nak kerja!” Tegas Amani.
Tuan Helmi sudah mengangak, pasti inilah jawapannya. “Tadi sebelum pulang, Doktor Iwan ada beritahu saya, awak perlukan makanan yang cukup dan kemudian perlukan rehat yang banyak. Paling kurang pun, dalam tempoh dua belas jam!” Sengaja Tuan Helmi berkata begitu sedangkan Doktor Iwan sendiri tidak menyatakannya. Dia sudah menyimpan jawapan ini sejak dia mula merasakan ketegasan dalam diri Amani.
“Tapi…..!!”
“Saya tak nak hutang awak bertambah lagi! Doktor Iwan cakap, kalau awak tak dapat rehat yang cukup awak boleh pengsan kembali. Awak faham, kan maksud saya?!”
Amani terdiam. Dia menghela nafas. Nampaknya, masanya akan lebih lama terbuang di sini.
Tuan Helmi pulak sudah tersenyum di dalam hati melihat Amani seakan mempercayai kata-katanya. “Awak tunggu di sini, sekejap lagi Tania akan datang dan tunjukkan bilik rehat untuk awak.” Tuan Helmi terus berlalu pergi.
Amani terus berpaling semula untuk melihat pemuda yang sedang berlagu sebentar tadi. Apabila dia berpaling sahaja, pandangannya bertaut dengan pemuda tadi.
Pemuda itu melemparkan senyuman untuknya. Pemuda itu meletakkan gitarnya ditepi dan menghampiri Amani. “Assalamualaikum…. Awak Amani, kan?” tanya pemuda itu sebaik sahaja tiba di depan Amani.
Amani tidak menjawap salamnya tetapi mata Amani terus bertaut di wajahnya. Wajah pemuda itu terus dipandangnya sehingga membuatkan pemuda itu tidak tentu arah.
“Saya Izz…” Izz mengenalkan dirinya.
Amani menjeling Izz lalu berpaling meninggalkannya.
Izz pula, terpinga-pinga di situ. Salam perkenalan dihulurkan, tetapi jelingan yang tajam dibalas! Pelik betul gadis ini! Izz menggeleng kepalanya lalu berjalan semula ke rumah kecilnya.
Amani sudah kembali ke halaman depan. Kelihatan kelibat Tania menghampirinya dengan senyuman.
“Jom!!” Tania muncul mendekati Amani setelah membersihkan dirinya.
Amani hanya memandang Tania, dari bawah ke atas dan turun ke bawah semula. Dia menjeling Tania yang sudah menukar persalinannya dari seragam sekolah kepada pakaian yang lebih ringkas, kemas dan cantik itu.
“Jomlah! Saya tunjukkan tempat untuk awak berehat,” Tania masih berbaik pada Amani walaupun dia tidak dilayan dengan sepatutnya oleh gadis itu.
Tania bergerak melangkah ke dalam rumah di bahagian yang paling kiri. Amani mengikut masuk. Matanya terus memandang sekeliling rumah yang besar dan sangat cantik itu sambil langkah Tania diekorinya.
Di dalam rumah ini terdapat lapan buah kamar dan Tania membawanya ke kamar yang paling hujung. Sebaik sahaja Tania membuka pintu kamar itu dan mempelawa Amani masuk, Amani seakan tergaman melihat kamar yang luas dan cantik itu. Dia terasa bagaikan dia sedang berada dalam sebuah istana. Belum pernah lagi dia berada di dalam kamar cantik dan besar seperti ini.
“Berehatlah…” ujar Tania. “Awak boleh mandi, bersihkan diri. Di dalam ada bilik mandi. Buatlah macam rumah sendiri,” Tania berlalu meninggalkan Amani.
Mata Amani masih belum lepas menangkap segala kelengkapan yang ada di kamar ini. Dia masih berdiri tegak dan memandang sekeliling. Setelah lama berdiri begitu dia berjalan masuk menghampiri sebuah katil yang besar. Dia meletakkan beg galasnya di lantai dan mencapai sepasang baju ganti. Setelah itu, dia melangkah ke kamar mandi untuk membersihkan dirinya.
Amani kembali keluar dari kamar mandi usai membersihkan diri. Badannya terasa segar sedikit. Dia perlu berehat agar dia bisa bekerja. Amani memandang jam di kamar itu. Sudah hampir jam tiga petang. Jika dia perlu berehat selama dua belas jam, itu bermakna pukul tiga pagi pada keesokannya baru dia boleh mulai bekerja. Tapi, mana ada orang bekerja pada jam sebegitu!
Amani memandang katil besar yang ada di depannya. Tangannya memegang tilam dan yang empuk dan selimut yang tebal. Belum pernah badannya merasakan kenikmatan untuk berbaring di atasnya. Malah, dia tidak pernah bermimpi untuk berada di atas katil semewah itu. Dia tak layak dan dia tak mahu untuk membiasakan diri pada perkara yang tak bisa dicapainya! Amani mengambil keputusan untuk berehat dan berbaring di lantai sahaja.
Dia meletakkan beg galasnya di lantai. Dengan menggunakan beg galasnya sebagai bantal, Amani berbaring di situ. Dia memejam matanya rapat. Dia mahu berehat sepenuhnya.
==================================================================
Alhamdulillah....Syukur pada ALLAH s.w.t. Akhirnya, atas bantuan seorang kawan, komputer saya dapat dibaik pulih. Saya mohon maaf atas kelewatan N3 baru ini. Dan terima kasih juga kerana setia melawat blog PSB ini. Terima kasih.....Wassalam.....
Selamat membaca!
best2....sangat2 best...
ReplyDeletecepat2 la smbung!!! x sabar nk thu smbungannyerr!!!!... ^_^...
sangt suke gn amani yg misteri...tegas!!
lebih2 lagi bile dia tidur kt lantai....
>_<...
Alhamdulillah.....terima kasih....:)
ReplyDeletemcm fairytale
ReplyDelete