Wednesday, 1 August 2012

Izinkan Aku Pulang









Bila cinta merajai hati, manusia mudah menjadi alpa. Tenggelam dalam nafsu yang bermaharajalela hingga lupa pada hukum Allah. Memang, dia bukan Fatimah Az-Zahra a.s atau Khadijah a.s, namun dia hanya wanita biasa yang masih tahu halal dan haram dalam agamaNYA.

Biar dikeji, biar dicaci, kenyataan takkan bisa dilengkapkan dengan sekali ungkapan maaf atau penyesalan. Ya, dia cuba untuk tidak menyimpan rasa dendam dan benci dalam diri. Tetapi tak mudah untuk melupakan segala yang telah terjadi.

Dia, seorang gadis suci yang pernah cuba dinodai oleh seorang lelaki ajnabi. Lelaki itu, yang berdiri di depannya kini adalah bekas teman sekolahnya. Bukan sahaja dia hampir dinodai, malah dia telah difitnah tentang maruahnya. Hanya dia dan lelaki itu sahaja yang tahu, bahawa dia telah berjaya menyelamatkan maruahnya. Tetapi, apa yang dikhabarkan setiap orang adalah dirinya sudah tidak suci lagi.

"Amni..l" Seorang wanita yang sudah hampir usianya, terus mendakap tubuh yang kaku itu.

Zafran terus tertunduk. Tak tertanggung menahan panahan mata Amni yang mengandungi seribu kemarahan dan kebencian padanya. Memang, Amni berhak untuk merasakan begitu.

"Mak Uda rindu sangat pada Amni. Dah lama Mak Uda tak jumpa dengan Amni." Mak Uda mengeratkan lagi pelukannya pada Amni. Air matanya mengalir. Sudah terlalu lama perkara itu terjadi, namun sekarang baharu dia mengetahui kebenarannya. Kesal, itu yang dirasakannya. "Amni sihat?" Mak Uda merungkai kan pelukannya dan memandang Amni.

Pandangan mata Amni yang asalnya menikam wajah Zafran, beralih memandang Mak Uda. "Alhamdulillah, Mak Uda. Amni sihat dan masih waras akalnya." Dia masih tak lupa. Kata-kata terakhir Mak Uda lima tahun dahulu. Mak Uda menuduhnya tidak waras! Dia dituduh tidak waras hanya kerana Mak Uda tak dapat menerima kebenaran.

Air mata Mak Uda tumpah lagi. Seribu penyesalan pada keterlanjuran katanya lima tahun lalu. Amni masih tidak lupa tentang itu.

"Mak Uda minta maaf Amni. Mak Uda tak tahu," ujar Mak Uda dengan nada tersangkut-sangkut. "Mak Uda baru tahu dari Zafran."

Amni memandang Zafran semula. Lalu dipandangnya dijatuhkan kembali kepada Mak Uda. Lima tahun dah berlalu, mengapa mereka perlu pulang semula ke sini?

"Uda!" tiba-tiba sahaja muncul Dijah di muka pintu. "Bila kau sampai?" Dijah sudah melangkah turun dari tangga untuk mendekati mereka. "Kenapa Amni tak jemput Mak Uda dengan Zafran naik?" Dijah bertanya pada Amni.

Melihat Dijah yang semakin mendekat, Mak Uda menyapu air matanya. Satu senyuman diukir kan buat Dijah. Mereka berpelukan agak lama.

"Dah lama kau tak balik kampung. Aku rindu dengan kau." Dijah yang tak pernah mengetahui apa-apa mengalirkan air mata. Sungguh, dia rindu pada sahabat lamanya itu.

"Dijah, kau tak marah pada aku?" Pelik dengan dengan sikap Dijah yang tenang seakan tidak menyimpan kemarahan padanya, Mak Uda bertanya begitu.

"Marah?" Dijah melepaskan pelukan lalu memandang wajah Mak Uda. "Kenapa aku perlu marah pada kau?"

Soalan Mak Uda di balas dengan soalan oleh Dijah. Pandangannya penuh dengan persoalan.

Mak Uda memandang Amni. Apakah Amni tak pernah menceritakan apa-apa pada ibunya? Terus rasa bersalah pada Amni semakin menebal.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Dia dah bertunang? Zafran masih tak dapat mempercayai apa yang baharu sahaja didengarnya. Dia pulang ke kampung dengan harapan untuk menebus kesalahannya pada Amni. Tapi dia tidak menjangka dia akan menerima berita ini. Harapannya hancur.

Mak Uda memegang erat tangan Zafran, tahu anak bujangnya itu terluka. Mungkin juga kesal kerana tidak dapat menebus kesalahannya pada Amni.

“Kamu dah terlambat Uda, Zafran.” Hardi memandang kedua beranak di depannya. “Baru saja sebulan yang lalu Amni dipinang. Kalau kamu cepat sikit, kami takkan teragak-agak menerima pinangan kamu.”

“Dengan siapa pakcik?” tanya Zafran ingin tahu. Siapa lelaki yang bertuah itu?

“Halim.”

“Halim?!” Terkejut Zafran mendengar nama itu. “Halim anak tok penghulu?” Ya Allah, janganlah kau berikan Amni kepada lelaki bangsat itu!

“Ya. Halim anak tok penghulu,” ujar Hardi.

Zafran sudah resah. Tak guna! “Amni setuju?”

Hardi menghembus nafasnya. “Amni tak setuju awalnya. Tapi, kamu tahulah, sejak peristiwa tu, kami sekeluarga dipulaukan. Mungkin dengan menerima pinangan tok penghulu orang kampung akan mula menerima kami semula.”

Zafran menunduk kesal. Kalaulah dia tidak meninggalkan kampung ini, tentu semua perkara ni takkan berlaku. Kalaulah dia menerangkan perkara yang sebenar. Kalaulah dia tidak menjadi pengecut! Kalaulah dia cepat berfikir secara matang. Kalaulah…kalaulah..kalaulah…. Tapi semuanya dah terlambat. Amni dah menjadi tunangan orang.

“Tapi, Amni tak bersalah. Amni berhak membuat keputusan.”

“Apa maksud kamu Zafran?” tanya Hardi.

“Zafran!!” Tiba-tiba Amni sudah tegak di depan mereka.

Tengkingan itu membuatkan Zafran terbangun dari duduknya. Matanya dan mata Amni bertentang. Terpancar kemarahan dari mata Amni.

Amni terus merenung wajah Zafran. Sejak lima tahu dahulu dia memendam duka ini sendirian. Untuk apa Zafran cuba mengungkit kisah lalu yang hanya akan menambahkan kekeruhan yang tak pernah reda ini? Dia mahu mulakan hidup baru bersama Halim. Sama ada dia benar atau tidak, itu sudah tidak penting!

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Amni melirih kulit ubi di bawah pankin. Sedari tadi mulutnya hanya membisu namun telinganya terus mendengar bicara Mak Uda dan ibunya, Dijah.

Derapan tapak kaki yang semakin menghampiri membuatkan kepala Amni terangkat dan memandang pada pemiliknya. Kelihatan Zafran sedang menghampiri mereka bersama Hardi. Sejak pulang ke kampung, Mak Uda dan Zafran kerap bertantang ke rumah mereka. Amni memang tak betah dengan keadaan begitu. Apatah lagi memandang wajah Zafran yang meninggalkan parut hitam dalam hidupnya.

Lepas berkata sesuatu pada Dijah, Hardi melangkah masuk ke dalam rumah. Zafran masih di situ. Kemudian, Zafran ikut duduk di pankin bersama mereka. Amni meneruskan kerjanya.

Melihat Mak Uda dan Dijah yang leka berborak, Zafran mengambil kesempatan untuk berbual dengan Amni.

“Amni,” Perlahan dan lembut Zafran menuturkan kata. Dia tak mahu luka Amni berdarah semula dengan kehadirannya.

Amni memekakkan telinganya.

“Saya minta maaf pada awak atas apa yang dah berlaku. Saya tahu saya dah banyak menyusahkan hidup awak dan keluarga awak. Saya sepatutnyanya bertanggungjawab atas apa yang dah berlaku pada awak. Tapi, saya terpaksa tinggalkan kampung ni. Saya…”

“Kenapa awak balik?” tangan Amni berhenti dari melakukan kerjanya dan matanya terus menangkap wajah Zafran.

Zafran memandang Amni. Kemarahan itu takkan pernah reda! “Saya rasa bersalah…”

“ Setelah lima tahun? Tak ada apa yang boleh dilakukan sekarang.” Amni meneruskan kerjanya semula.

“Ada! Masih ada peluang untuk awak bersihkan semula nama awak dan membuatkan orang kampung terima awak dan keluarga awak semula tanpa perlu awak berkahwin dengan Halim.”

“Apa yang sebenarnya awak mahukan dari saya Zafran?” Kerja Amni terhenti lagi.

“Putuskan pertunangan awak dengan Halim dan terima saya!”

Amni menarik nafas yang panjang, cuba menenangkan diri. Amni berhenti dari melakukan kerjanya dan terus masuk ke dalam. Zafran memang melampau! Semudah itu? Putuskan pertunangannya dengan Halim dan terima Zafran? Tak sedarkah dia yang dialah punca semua masalah ini?! Biar seumur hidup mereka tidak diterima orang, dia tetap takkan menerima seorang lelaki yang ternyata menghancurkan hidupnya!

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

 1 Ramadan…..

Ramadan tiba lagi. Syukur pada Allah, Ramadan kali ini dapatlah Zafran menyambutnya di kampung bersama Mak Uda. Dah lama dia merindui suasana kampung ini.

Zafran memerhatikan Amni yang sedang menjemur pakaian. Pagi tadi, usai waktu Subuh, ketika pulang dari surau dia melalui kawasan rumah Amni. Kedengaran sayup-sayup suara gadis itu melagukan ayat-ayat Al-Quran. Sangat mendamaikan. Bertuahlah sesiapa yang mendapatkan Amni sebagai isterinya. Tapi Halim, Halim tak berhak mendapatkan Amni! Kalaulah Amni tahu siapa Halim sebenarnya.

Patutkah dia berterus terang pada keluarga Amni walaupun Amni begitu keras melarangnya? Halim, sejak pulang ke kampung dia tidak bertemu dengan Halim lagi. Dia mahu membuat perhitungan dengan Halim. Kini, dia tidak mahu menjadi pengecut dan terus tunduk dengan ugutan Halim. Dia rela dipenjarakan kerana cuba melakukan perbuatan terkutuk pada Amni. Tapi dia sudah tidak rela membiarkan terus nama Amni dan keluarganya busuk. Mereka sekeluarga pasti sudah banyak menderita.

“Zafran?” Satu tepukan lembut dibahunya membuatkan Zafran berpaling.

Hardi melirik Amni yang sedang menjemur pakaian. Anak gadisnya itu yang menjadi perhatian Zafran rupanya. “Mari.” Hardi melangkah dan diikuti Zafran di belakangnya. Sampai sahaja di pankin, mereka duduk di situ.

“Macam mana hari pertama berpuasa di kampung?” soal Hardi.

Zafran ketawa kecil. Lima tahun dia tidak merasakan berpuasa di kampung tapi itu tidak bermakna dia tidak tahu bagaimana suasananya. Dia anak jati kampung ini. Apa sahaja yang ada di kampung ini, sudah sebati dalam dirinya.

“Saya rindu sangat dengan suasana di sini. Saya rindu pada tazkirah Ustaz Hamdan. Solat Subuh berjemaah. Pengajian Al-Quran. Beriftar sama-sama. Sahari bersama. Tarawih bersama.” Zafran memandang Hardi. “Saya rindukan semuanya.” Namun ada satu persoalan dalam minda Zafran. Bagaimana Hardi masih bisa menampilkan dirinya di kalangan orang kampung walaupun mereka memulaukannya? Tabahnya Pakcik Hardi menerima pandangan sinis dari mereka.

“Syukurlah…..Pakcik gembira kamu ada di sini.” Hardi menarik nafas yang panjang lalu menghembusnya perlahan. “Sejak lima tahun, selain Ustaz Hamdan dan tok penghulu, hanya kamu yang mahu berbual dengan pakcik.”

Terkedu Zafran di situ. Kepalanya terus tertunduk. Malu untuk menatap wajah lelaki yang terpaksa menangggung segala kesalahan yang dilakukan oleh Zafran.

“Kenapa kamu dan mak kamu tinggalkan kampung?” tanya Hardi.

Zafran semakin tertunduk dengan pertanyaan itu. Apa yang perlu dijawapnya?

“Tadi, pakcik lihat kamu asyik tengok Amni.” Melihatkan kebisuan Zafran, Hardi menukar cerita. “Tak baik lihat tunang orang lama-lama.”

Zafran membisu lagi.

“Dah lima tahun kamu tak balik. Hari pertama kamu jejak kaki ke sini, kamu terus bertanyakan Amni. Kamu tak tahu apa yang berlaku pada Amni?” Tak ada orang tua di kampung itu yang mahu bermenantukan Amni. Amni gadis yang tidak suci. Mungkin Zafran tidak tahu tentang itu.

“Saya tahu semuanya tentang Amni, pakcik.” Ya, pakcik! Sayalah yang bertanggungjawab merosakkan nama baik Amni dan pakcik sekeluarga. Sayalah lelaki itu! Kenapa dia hanya mampu meluahkan semuanya di dalam hati?!

“Kamu tahu? Kamu tahu yang Amni…..” Hardi terhenti di situ.

“Tapi Amni tak salah pakcik,” ujar Zafran.

Hardi menarik nafas yang panjang. “Memang Amni tak salah. Amni hanya mangsa. Tapi masyarakat tak nampak begitu. Bagi mereka, Amni tak suci!” Ada airmata yang menitis. Pantas disapunya dengan tangan.

“Tapi Amni masih suci. Amni masih seorang gadis yang suci.” Belas hati Zafran melihat titisan airmata itu sehingga dia terlupa yang telah dikatakannya.

“Apa maksud kamu?” Hardi sudah mengalihkan perhatiannya kepada Zafran dengan penuh kebingungan.

Zafran tertunduk membisu. Patutkah dia menerangkan perkara yang sebenarnya pada Hardi sekarang? Tapi……dia sudah tak mampu bersuara saat dia tahu Amni sudah menjadi tunangan orang.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Lima tahun lalu ketika Amni dan Zafran masih menuntut di tingkatan lima, bersekolah di sekolah yang sama. Begitu juga dengan Halim.

Amni, seorang gadis yang periang dan lemah lembut bicaranya. Senyuman tidak pernah mati di wajahnya. Amni sentiasa menjadi perhatian pelajar-pelajar lelaki. Namun, tak ada siapa yang berani mendekatinya. Amni ibarat seorang gadis muslimah yang hanya bisa dipandang dari jauh tapi tak pernah dibiarkan seorang lelaki pun menghampirinya.

Zafran, Halim dan beberapa pelajar yang lain memang sudah lama menyimpan perasaan pada Amni. Tetapi, dalam ramai-ramai pelajar lelaki, hanya Zafran dianggap bertuah kerana ibunya, Mak Uda adalah sahabat baik ibu Amni, Dijah.

Dijah dan Mak Uda ibarat tangan kanan dan tangan kiri. Apa sahaja tentang Amni pasti diceritakan Dijah pada Mak Uda. Secara tak langsung, Zafran juga akan mengetahui apa-apa sahaja tentang Amni.

Tahun terakhir persekolahan, banyak kelas tambahan yang diadakan oleh pihak sekolah sebagai persediaan bagi pelajar-pelajar untuk menghadapi SPM. Amni dan Zafran juga tidak ketinggalan menghadiri setiap kelas tambahan yang diadakan.

Suatu hari, Amni menghadiri kelas tambahan bagi pelajaran Kimia. Kelas yang bermula dari jam lima petang itu sepatutnya tamat pada jam enam tiga puluh petang. Namun kerana uji kaji praktikal yang dilakukan Amni tidak menjadi, Mr. Ooi meminta Amni mengulanginya. Pelajar lain yang sudah berjaya dalam ujikaji mereka, dibenarkan pulang. Akhirnya, dia berjaya juga dalam ujikajinya dan dibenarkan pulang.

Namun nasib Amni tidak baik, ketika mahu melangkar keluar, langit bertukar kelam. Angin kencang menendang-nendang pintu dan tingkap sehingga mengeluarkan bunyi yang kuat. Langit dipanah petir dan guruh berdentum kuat. Hujan lebat turun mencurah-curah dari langit.

Amni membuat keputusan untuk menunggu sehingga hujan kembali reda. Dia menunggu di dalam makmal sendirian. Mr. Ooi sudah pulang tatkala ujikajinya berjaya. Dia mengambil kesempatan itu dengan membuat ulangkaji tanpa dia sedari sepasang mata sedang memerhatikan setiap tindak tanduknya.

Zafran yang turut menghadiri kelas tambahan dalam subjek lukisan terus memerhatikan Amni. Mungkin inilah peluang Zafran untuk mendekati Amni. Mungkin dengan menghulurkan sedikit bantuan untuk menemani Amni sehingga hujan berhenti, akan membuatkan Amni lebih terbuka dengannya. Lagipun, makcik Dijah pasti akan berterima kasih padanya kerana tolong menjada Amni.

Perlahan-lahan Zafran menghampiri Amni yang tertunduk memandang bukunya.

“Amni,” panggilnya perlahan.

Amni yang agak sedikit terkejut dengan panggilan itu terus bangun dan memandang kepada Zafran. Zafran menghulurkan satu senyuman buat Amni.

“Apa awak buat dekat sini Zafran?” tanya Amni yang sedikit takut dengan kehadiran Zafran. Sesekali dia memandang sekeliling, gelisah jika ada orang yang salah anggap dengan mereka berdua.

“Janganlah takut. Saya Cuma nak temankan awak,” ujar Zafran untuk meredakan sedikit rasa kekok Amni. “Di luar masih hujan. Tak elok awak sendirian di sini. Lebih baik saya temankan awak. Nanti saya hantar awak balik ke rumah. Lagipun, hari dah malam.

Lama Amni berfikir tentang kata-kata Zafran. Di sebelah pihaknya mencurigai Zafran. Di sebelah pihaknya pula menyatakan Zafran hanya mahu membantu.

“Tak apa. Awak duduklah di sini. Saya akan tunggu di hujung sana.” Zafran menunjuk pada meja yang paling hujung di dalam makmal itu.

Belum sempat Zafran melangkah ke meja tersebut, tiba-tiba sahaja angin bertiup kencang. Sehinggakan kerusi-kerusi kayu yang berhampiran dengan pintu yang terbuka luas itu terbalik. Dengan tak disangka-sangka, tudung yang dipakai Amni tersingkap. Dengan pantas Amni menutup bahagian dadanya yang sudah tersingkap.

Zafran tidak menyangka dia akan melihat diri Amni dalam keadaan begitu. Dia sempat menangkap sebahagian tubuh Amni yang sedikit terdedah ketika tudung sekolahnya tersingkap sehingga menampakkan dadanya. Sungguh, Amni mempunyai bentuk tubuh yang menarik yang tersembunyi di balik tudung sekolahnya yang agak labuh itu.

Dadanya bergetar kencang. Pandangannya masih menikam tubuh Amni walaupun tubuh itu telah tertutup kembali. Bagaikan dia bisa melihat terus ke dalamnya. Dia bukan anak kecil yang tidak memahami debaran di dadanya.

Melihatkan Zafran yang masih terus memandang tubuhnya, dengan pantas Amni mengambil beg sekolah dan memeluknya erat untuk menutup tubuhnya yang dipandang Zafran.

Tindakan Amni itu membuatkan Zafran tersedar dari keterlanjurannya. Astaghfirullahal a’zim ….Berkali-kali Zafran beristighfar di dalam hatinya. Amni yang sedikit ketakutan itu dipandang.

“Amni…” panggilnya.

Panggilan dari Zafran itu membuatkan Amni melangkah satu kaki ke belakang. Dia mula merasa takut pada Zafran.

“Amni, maafkan saya. Saya tak berniat…” Tak berniat? Memang dia sudah berniat hanya niatnya itu sudah dimatikan. Mujurlah dia cepat sedar. Zafran cuba mendekati Amni dengan perlahan dengan niat untuk memujuk Amni. Dia bisa melihat ketakutan gadis itu dari matanya.

Amni semakin ke belakang. Matanya tak lepas dari memandang Zafran. Takut-takut Zafran melakukan tindakan di luar kawalan.

“Amni, saya….” Zafran terus menghampiri. Tapi niatnya hanya untuk menenangkan Amni yang ketakutan itu.
“Pergi! Pergi! Jangan dekat dengan saya!” Amni sudah menepis tangan Zafran yang mahu menyentuhnya. “Pergi!!” Amni berteriak dengan kuat lalu terus berlari keluar. Dia sudah tak peduli pada angin yang masih kencang, pada hujan yang terus melampiaskan amarahnya, pada guruh yang berdentum, pada kilat yang sesekali menyambar. Yang penting, dia perlu menyelamatkan maruahnya.

Amni terus berlari dan berlari seolah-olah Zafran mengejarnya dari belakang. Apa sahaja dikelilingnya di redah asalkan dia selamat tiba di rumah. Sehinggalah tubuhnya melanggar seseorang.

“Mak Uda?!” Amni terus memandang wajah Mak Uda yang kebasahan.

“Kenapa ni Amni? Kenapa balik dalam hujan ni?” tanya Mak Uda sedangkan dia sendiri sudah kebasahan.

Amni masih terkaku memandang Mak Uda. Patutkah dia memberitahu tentang perbuatan Zafran kepada Mak uda. Mahukah Mak Uda percaya dengan ceritanya. Sudah pasti! Mak Uda baik padanya dan mak. Tentu sahaja Mak Uda percaya padanya.

Melihatkan Amni, Mak Uda menjadi gelisah. “Ada apa Amni?”

“Zafran….” Nama anak bujang Mak Uda terpancul dari bibir Amni.

“Zafran? Kenapa dengan Zafran?”

“Zafran…. Dia cuba buat perkara tak elok pada Amni.” Amni sudah menangis. Namun tangisannya pergi bersama hujan yang masih membasahi bumi.

“Apa?!” Terkejut Mak Uda. “Apa Amni katakan ni. Zafran masih ada di sekolah.” Tak mungkin Zafran melakukan perkara itu pada Amni. Zafran seorang anak yang baik. Zafran sangat memuja Amni dalam diam. Tak mungkin Zafran sanggup melakukan perbuatan tidak elok pada gadis pujaannya!

“Betul Mak Uda. Zafran…”

“Amni!!” Memang dia sayang pada Amni. Namun tuduhan Amni itu keterlaluan. “Apa Amni cakap ni? Amni dah tak waras?!”

“Mak Uda….Mak Uda…Dengar dulu kata Amni.” Amni menarik tangan Mak Uda yang mahu pergi bersama kemarahannya.

“Amni! Mak Uda tak suka Amni buat fitnah pada Zafran! Mak Uda tak suka!!”

“Tak Mak Uda. Mak Uda dengar Amni dulu.” Amni terus merayu pada Mak Uda. Namun Mak Uda tanpa belas meninggalkan Amni yang terus merayu padanya. Amni terus menangis tersedu-sedu di situ. Jika Mak Uda tak percaya padanya, siapa lagi yang akan percaya pada kata-katanya. Mak? Mak juga pasti tak akan percaya. Kalau mak percaya sekalipun, apakah Mak dan Mak Uda akan bermusuhan? Dia tidak mahu perkara itu terjadi. Dia sayang pada Mak Uda.

Keesokannya…….

Dunia tanpa sempadan. Internet, masih belum popular di kampung itu. Namun, berita tentang Amni pantas tersebar. Masuk sahaja ke dalam kawasan sekolah, pandangan sinis dan kata-kata cercaan dan penghinaan terus menerjah telingan Amni.

Sungguh, awalnya dia memang tidak tahu kenapa dia dilayan begitu. Namun, semuanya terjawap apabila dia dipanggil pengetua. Masuk sahaja ke dalam bilik pengetua, kelihatan orang tuanya sudah sedia menunggu. Dia masih ingat nyalaan api di dalam mata ayah dan mak! Mereka sangat kecewa dengannya.

“Kau buat perkara tak elok?” Hardi terus menampar pipinya. “Kau kata kau nak ke kelas tambahan. Tapi, apa yang kau dah buat?!”

“Amni tak buat apa-apa.” Amni sudah memegang pipinya yang kesakitan. Dia memandang Dijah, cuba meminta simpati. Namun Dijah memalingkan wajahnya dari Amni.

“Kami dapat laporan tentang itu. Namun, dengan siapa kami tak pasti kerana wajanya tidak jelas,” ujar pengetua lalu menyerahkan sekeping gambar pada Hardi dan Dijah.

Amni terkedu di situ. Jika dia dan Zafran ada di dalam gambar itu, bermakna ada orang ketiga yang melihat kejadian itu. Tapi siapa?

Sejak itu, hidup Amni mula dipenuhi dengan kata-kata kesat dan keluarganya di pulaukan. Zafran? Dia sudah meninggalkan kampung sejak dua minggu selepas kejadian itu. Biarlah orang menghina dan mengejinya dan menyatakan yang dia sudah tidak suci. Walaupun sudah beribu kali dinyatakan dia masih suci, tak akan ada orang yang percaya. Biarlah, suatu saat nanti jika ada insan yang sudi menerimanya sebagai isteri, hanya insan itu sahaja yang akan tahu kebenaran tentangnya. Mulai dari detik itu, senyuman Amni mati, gelak tawa Amni mati, keriangan remajanya mati. Pelajarannya….entah ke mana. Cita-citanya…. Hanya tinggal impian.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

“Jadi, kau yang bertanggungjawap?” Hardi mencekak kolar baju Zafran. Patutlah Zafran keluar dari kampung ini. Rupanya mahu melarikan diri.

Zafran hanya kaku di situ menunggu tindakan Hardi. Hardi layak melakukan apa sahaja. Dia sedia menerimanya.

“Kenapa kau balik sini? Kenapa baru hari ini kau datang dan beritahu perkara yang sebenar?! Kenapa?!!” Hardi terus bersuara lantang. Kesal hatinya tidak terkira. Selama ini mereka semua menyalahkan Amni, menghina Amni. Amni hanya diam. Dia juga melampiaskan marahnya pada Amni walaupun dia yakin dengan kata-kata Amni bahawa dia tidak melakukan apa-apa. Namun sekeping gambar yang diberikan  pengetua itu membuatkan kepercayaannya pada Amni hilang.

“Maafkan saya pakcik.” Biar beribu tahun dia perlu mengungkapkan kata maaf, dia tetap akan lakukannya sehinggalah Amni sekeluarga memaafkannya. Memang dia pengecut kerana menunggu lima tahun untuk pulang ke kampung dan menyatakan kebenaran.

“Kenapa Zafran?!!!” Hardi menempik lagi.

Tempikannya yang kuat itu membuatkan Amni, Dijah dan Mak Uda yang ada di dalam meluru keluar. Masing-masing tertanya-tanya apabila melihat Hardi yang sudah bersedia dengan penumbuknya di muka Zafran.

“Abang!!” Dijah terus menjerit. Dia terkejut melihat situasi itu. apa yang berlaku di sini?

Jeritan itu membuatkan Hardi berhenti dari melakukan apa yang sudah terlintas di fikirannya.

“Amni tak salah pakcik. Zafran tak lakukan apa-apa pada Amni. Amni suci dari sebarang fitnah yang dilemparkan orang kampung padanya. Memang salah Zafran. Memang Zafran ada terlintas untuk lakukan perkara tidak baik pada Amni. Tapi Zafran cepat sedar dari kesilapan Zafran.”

“Zafran? Jadi kamu lelaki dalam gambar tu?” Dijah bagai tidak percaya apa yang baharu sahaja diucapkan Zafran. Kenapa Amni berdiam diri setiap kali mereka bertanya lelaki di dalam gambar itu? kenapa Amni tak berterus terang bahawa lelaki itu adalah Zafran? “Amni, kenapa Amni tak pernah beritahu mak dan ayah yang Zafran bertanggungjawab atas semua ni? kenapa Amni tak beritahu Zafran adalah lelaki tu?”

“Bila Amni beritahu mak dan ayah yang Amni masih suci, mak dan ayah langsung tak percaya. Kalau Amni beritahu yang lelaki itu adalah Zafran, mak dan ayah akan percaya?” Amni sudah menitiskan airmatanya.

Hardi dan Dijah terkaku di situ. Amni benar, mereka langsung tidak percaya bila Amni menyatakan dia masih suci. Tentu mereka juga tidak akan percaya jika Amni menyatakan lelaki itu adalah Zafran.

“Lebih baik kau pergi dari sini Zafran.” Hardi menunding pada Zafran tanpa memandang wajahnya. “Uda, baik kau bawa anak kau. Aku benci tengok muka dia! Jangan sesekali kamu berdua jejakkan kaki ke rumah aku!”

“Hardi…aku minta maaf.” Mak Uda bersuara.

“Uda, selama ni kau tahu tentang ni? tapi kenapa kau rahsiakan? Sebab Zafran anak kau?” Dijah menggelengkan kepalanya. “sampai hati kau buat begini pada Amni! Pada aku!”

“Sudah!! Pergi Uda!” Hardi menempik lagi.

Zafran menarik tangan Mak Uda yang sudah berlinang airmatanya.

Amni hanya mengikut langkah Mak Uda dan Zafran dengan pandangan matanya. Sebelum pergi, Zafran sempat memandangnya. Pandangan itu, sarat dengan kepedihan dan bagaikan Zafran benar-benar mahukan kemaafan darinya.

Dalam diam dan tanpa disedara Hardi dan Dijah, Amni mengekori langkah Mak Uda dan Zafran. Sampai sahaja di hujung jalan, Amni memanggil Zafran.

“Zafran!”

Mak Uda dan Zafran berpaling. Melihatkan susuk tubuh Amni, Mak Uda tahu ada perkara yang mahu dikatakan Amni pada Zafran. Lalu, dia meninggalkan mereka berdua di situ.

“Apa yang awak cuba buktikan Zafran?” tanya Amni. Walaupun hatinya sedikit lega dengan pengakuan Zafran, namun dia tidak senang apabila hubungan akrab Dijah dan Mak Uda terputus.

“Tinggalkan Halim.”

Amni mendengus. “Semudah itu? awak mahu saya terima awak, orang yang membuatkan diri saya difitnah.”
“Tapi bukan saya yang fitnah awak! Bukan saya yang sebarkan berita ni!”

“Jadi kenapa awak tak tampilkan diri awak bila orang menuduh saya? Kenapa awak diamkan diri dan kemudian tinggalkan kampung ni?!”

“Sebab saya seorang yang pengecut!” ujar Zafran dengan nada kesal. “Gambar tu, gambar yang diberikan pada pengetua.” Zafran memandang Amni. “Halim yang bertanggungjawab. Dia yang ambil gambar tu dan berikan pada pengetua. Dia yang sebarkan berita yang awak dah tak suci.”

Dahi Amni berkerut, memikirkan di mana logiknya kata-kata Zafran.

“Awak tahu tak, Halim memang suka pada awak. Dia yang buat cerita tentang awak agar tak ada lagi lelaki yang akan suka pada awak. Dia mahu awak jadi miliknya seorang. Dia ambil gambar tu dan ugut saya. Dia mahu saya tinggalkan kampung ni. jika tidak dia akan beritahu orang kampung yang saya bertanggungjawab pada awak.”

“dan awak bertindak pengecut dengan merahsiakan kebenaran dan melarikan diri?”

“saya memang pengecut Amni! Lagipun, saya takut jika Mak Uda jatuh sakit. Awak tahu, waktu itu arwah ayah saya baharu sahaja meninggal. Saya tak nak Mak Uda bertambah tertekan dengan perbuatan saya.”

Amni menggelengkan kepala. Benar, peristiwa itu berlaku selang sebulan dari peninggalan arwah ayah Zafran.

“Awak boleh sahaja beritahu pada orang kampung dan orang tua awak yang lelaki itu adalah saya. Saya yang bertanggungjawab. Tapi, kenapa awak rahsiakan?”

Amni memandang Zafran. “saya tidak merahsiakan. Tapi itu adalah kebenaran. Mereka menuduh saya tidak suci, sedangkan itu tidak benar. Jadi, bagaimana saya akan beritahu yang awak bertanggungjawab sedangkan saya masih suci dan awak,” Amni memandang Zafran. “awak tidak menyentuh saya sedikit pun.” Namun rasa bencinya pada Zafran tetap ada kerana Zafran meninggalkan kampung saat dirinya difitnah sedangkan lelaki itu sepatutnya tampilkan diri dan membuktikan yang dia tidak bersalah.

“Amni….tolong putuskan pertunangan awak dengan Halim. Dia bukan lelaki yang baik untuk awak.”

“jadi, lelaki seperti awak layak untuk saya?!” Amni menghadiahkan satu jelingan buat Zafran.

Zafran terkedu di situ. Amni benar, jika Halim tidak layak buat Amni, dia juga tidak layak. Malah dia lebih tidak layak kerana telah membuatkan hidup Amni menderita.

“Lupakan tentang Halim, awak tak punya bukti untuk salahkan dia.”

“Tapi saya tak menipu! Memang…”

“Saya tahu. Saya tak kata awak menipu. Tapi, awak tak ada bukti tentang Halim. Untuk bersuara, awak perlukan bukti.”

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

15 Ramadan…..

Sejak Zafran berterus terang dengan Hardi, sejak itulah Hardi sekeluarga tidak pernah memberi kesempatan pada Zafran dan Mak Uda mendekati mereka. Namun, Zafran sentiasa cuba mendekati Hardi. Di surau, di majlis-majlis ilmu, pasti Hardi bertemu dengan Zafran. Setiap kali bertemu, Zafran pasti memohon maaf padanya.

Begitu juga dengan Mak Uda. Setiap hari menghantarkan juadah berbuka untuk Dijah dan keluarganya. Minggu pertama, semua juadah yang diberikan Mak Uda dilemparkan Dijah ke dalam reban ayam. Namun Mak Uda tetap meneruskan apa yang dilakukannya. Sampai Amni tidak tega melihat situasi itu. Dia tahu, dalam hati Dijah, masih merindui teman baiknya itu.

"Mak, sudah-sudahlah bermasam muka dengan Mak Uda." Amni memandang Dijah yang merenung jauh ke luar jendela.

"Hati mak masih sakit dengan apa yang berlaku." Selama lima tahun! Lima tahun Mak Uda dan Zafran merahsiakan perkara yang sebenar. Selama itu jugalah Amni menderita dengan umpatan orang kampung. Dia tidak kisah jika dirinya menjadi umpatan mereka. Tapi dia tak sanggup mendengar kata-kata kesat yang dilemparkan buat Amni. Apatah lagi di saat ini dia sudah mengetahui yang Amni tidak bersalah.

"Amni faham. Tapi Mak Uda tak salah apa-apa. Dia pun tak tahu perkara yang sebenar." Amni cuba memujuk lagi. "Mak tak kasihan kan Mak Uda? Susah payah dia siapkan juadah untuk kita, tapi mak buang macam tu je. Rezeki Allah tu mak."

"Mak dah tak sudi terima apa-apa dari Mak Uda kamu!"

Amni tahu, kata-kata itu adalah kata-kata terkilan berbaur amarah. Kata-kata itu bukan keluar dari hati Dijah yang sebenar. Amni percaya, jauh dari sudut hati Dijah, ibunya itu masih sayangkan persahabatannya dengan Mak Uda. "Mak, bulan mulia macam ni, kita maafkan saja sesiapa yang pernah berbuat salah pada kita. Tak baik kita berdendam."

"Jadi, Amni dah maafkan Zafran dan Mak Uda?" Dijah terus menikam wajah Amni.

Amni menarik nafas yang panjang lalu mengangguk. "Ya. Amni maafkan Zafran." Dia sudah memaafkan Zafran. Namun, untuk melupakan perbuatan Zafran tak semudah memaafkan kesalahannya. "Mak berbaik-baiklah dengan Mak Uda semula. Lupakanlah apa yang telah berlaku. Lagipun, Amni dah jadi tunang Halim. Insyaallah-Allah jika jodoh Amni dan Halim kuat, kami akan bernikah. Waktu tu, Halim akan tahu kesucian Amni." sungguh, berat hatinya berkata begitu sedangkan dia sudah mengetahui bahawa orang ketiga yang berada di tempat kejadian adalah Halim. Sudah pasti Halim tahu kebenarannya tanpa perlu dia menunggu untuk menjadi isteri Halim. Tapi dia tak mahu mendedahkan perkara itu pada Dijah dan Hardi kerana dia khuatir perkara itu akan bertambah besar. Tambahan pula, Halim adalah anak tok ketua. Tentu perkara itu akan menjadi semakin sulit.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

20 Ramadan….

Usai Uztaz Hamdan menyudahkan tazkirahnya, dia memandang pada Zafran. Zafran telah menceritakan segala-galanya pada Uztaz Hamdan. Zarfan memohon jasa baiknya agar membenarkan Zafran memberitahu perkara yang sebenar pada orang kampung. Permintaan itu akan ditunaikannya. Zafran berhak diberi kesempatan untuk memohon maaf dan membersihkan semula nama seorang gadis suci seperti Amni.

“Sebelum kita bersurai, saya minta penduduk kampung semua meluangkan sedikit masa. Saudara kita, Zafran….” Uztaz Hamdan memberi isyarat agar Zafran duduk di sebelahnya.  Zafran menurut. “Ada perkara yang akan disampaikan Zafran pada kita semua. Saya harap, berita yang dibawanya akan diterima kita semua dengan hati yang terbuka. Sesungguhnya, di bulan mulia ini kita diminta untuk memaafkan sesama kita. Semoga kita sama-sama beroleh keberkatan.” Uztas Hamdan memandang Zafran. “Silakan Zafran.”

“Assalamualaikum semua…” dada Zafran berdebar. Kedengaran salamnya bersambut semua jemaah yang hadir. Sekilas Zafran memandang Hardi yang turut hadir di situ. “Pertama sekali saya memohon maaf secara terbuka buat pakcik Hardi dan keluarganya.” Ada mata-mata yang sudah memandang Hardi. “Lima tahun lalu, anak gadis pakcik Hardi dikatakan sudah tidak suci lagi.”

Hal itu dibangkitkan lagi? Sudah mula kedengaran suara-suara sumbang di antara yang hadir.

“Di sini saya tegaskan, Amni adalah seorang gadis yang suci. Apa yang dikatakan tentang Amni, semuanya hanyalah fitnah. Saya minta maaf pada semua kerana merahsiakan hal ini selama ini.” Airmata lelaki Zafran tumpah. “Saya rela jika diri saya dihukum atas kesalahan saya.”

“Apa yang kamu rahsiakan tentang Amni?” salah seorang dari mereka bertanya.

“Apa yang berlaku pada Amni semuanya berpunca dari saya. Lelaki yang dikatakan bersama Amni adalah saya.”

Orang ramai sudah bersuara semula sehingga Ustaz Hamdan terpaksa meminta mereka bersabar dan menenangkan diri. Kemudian, Zafran diminta menyambung semula kata-katanya.

“Sebenarnya, tidak ada apa yang berlaku pada saya dan Amni. Benar, memang ada terlintas dalam diri saya untuk menyentuh Amni. Namun, Allah telah menyelamatkan maruah Amni. Amni masih suci. Tidak terpalit noda padanya.” Zafran memandang Hardi. “Maafkan saya pakcik. Saya bersalah. Saya mohon pada pakcik agar ampunkan dosa saya.”

“Jadi, kamu yang buat fitnah tentang Amni. Kamu yang sebarkan berita tentang Amni yang dah tak suci tu?”
“Bukan saya. Tapi orang lain. Orang itu adalah orang yang sama mengedarkan gambar Amni dan saya pada pengetua sekolah. Saya diugut agar meninggalkan kampung jika tidak mahu saya dipersalahkan. Waktu tu, saya memang takut jika perkara tu diketahui mak saya. Saya tak nak dia tertekan kerana arwah ayah baru sahaja meninggal. Sebab itu, saya pujuk mak agar tinggalkan kampung ni.”

Sekali lagi kedengaran suara yang melontarkan kata-kata kasar buat Zafran.

“Tenang semua! Saya minta anda bertenang. Jangan dicemari bulan yang mulia ini dengan sikap amarah kita! Sabar!” Uztaz Hamdan terpaksa ikut campur lagi.

“Saya tahu saya salah. Sebab itu saya pulang untuk bersihkan nama Amni dan keluarganya. Kalau saya perlu dihukum, hukumlah saya. Saya rela. Apa yang saya minta Cuma satu, izinkan saya pulang ke sini dan menetap di sini. Saya mahu tinggal di sini dan menebus semua kesalahan saya. Terutamanya buat Pakcik Hardi.”

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Kesungguhan Zafran dan Mak Uda akhirnya mencairkan kemarahan Hardi dan Dijah. Betapa bersyukurnya Zafran dengan perkara itu. sejak dari itu, dia mula berbaik semula dengan Hardi. Adakalanya, selepas solat Subuh dia akan belajar membaca Al-Quran. Hardi juga senang hati menerima Zafran sebagai anak muridnya. Sesekali, ada juga Zafran bertandang ke rumah untuk belajar jika Hardi tidak berkesempatan untuk ke surau.

Sungguh, terdetik rasa damai di hati Amni melihat perubahan Zafran. Zafran bukanlah pemuda nakal yang dikenalinya dulu. Mungkin peristiwa lalu, banyak mengajarnya erti kehidupan. Hanya dia khuatir adalah tentang masa depannya bersama Halim. Semoga Allah membuka jalan kebenaran untuknya. Tidak lekang doa itu dari Amni.

Zafran, walaupun dia begitu senang kerana diterima semula di kampung itu dan juga di dalam keluarga Hardi, namun jiwanya tetap resah mengingatkan Halim yang sudah menjadi tunangan Amni. Halim sudah lama tidak pulang ke kampung.

Ketika di Bandar, ada juga dia terserempak dengan Halim. Halim memang bukan lelaki yang sesuai untuk Amni. Di kampung, ramai orang memuji sikap Halim yang sangat menghormati orang lain, namun hakikatnya akan terlihat ketika di Bandar. Setiap kali terserempak dengan Halim, pasti Halim sedang mengusung wanita bersamanya. Dan setiap kali jugalah, wanita pendampingnya itu tidak akan sama. Bertukar setiap masa. Apa akan jadi pada Amni? Perlukah dia berterus terang dengan Hardi tentang itu sedangkan Amni sendiri tidak mahu tahu apa-apa tentang Halim jika dia tidak punya bukti.

“Ya Allah, semoga Engkau memberikan hanya yang terbaik buat Amni.”

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

27 Ramadan….

“Macam mana Zafran?” Hardi bertanya pada Zafran yang masih bertinggung di depan lemang yang sedang di bakar.

“Okey je pakcik. Kejap lagi nak masak ni.” sesekali Zafran memusing batang buluh itu. “jadi tak nak buat dodol esok?” tanya Zafran.

“Jadi! Wajib tu! Kalau tak de dodol tak lengkap pagi raya pakcik.” Hardi sudah ketawa. Zafran hanya tersenyum. Tahu sangat dia dengan kesukaan Hardi. “Esok datang tolong pakcik ya.”

“Insya-Allah. Pagi esok saya datang.”

Dari jauh, Amni hanya melihat keakraban Zafran dan Hardi. Setiap kali melihat mereka, pasti senyuman itu meniti dibibirnya. Amni turun dari serambi dan mula menyalakan pelita sepanjang jalan masuk ke rumahnya.

Zafran hanya memerhatikan tubuh itu yang sedang memegang lilin dan berjalan di sepanjang jalan masuk untuk menyalakan pelita. Zafran bangun dan meminta izin Hardi untuk membantu Amni. Setelah diizinkan, Zafran mendekati Amni dan menyalakan pemetik apinya. Amni hanya  menoleh pada Zafran sekilas.

“Dah siap biskut raya?” tanya Zafran. Dah seminggu Mak Uda, Dijah dan Amni membuat biskut raya. Macam-macam jenis.

“Dah siap,” balas Amni dengan senyuman.

“Pakcik Hardi! Pakcik Hardi!!” Azlan, seorang pemuda di kampung itu yang masih menuntut di menengah rendah berlari mendapatkan Hardi dengan tercungap-cungap.

Amni dan Zafran sudah menoleh memandang Azlan yang masih termengah di depan Hardi. Zafran menghampiri mereka.

“Ada apa Azlan?” tanya Azlan.

“Tok ketua…. Tok ketua panggil!”

“Kenapa?”

“Abang Halim….” Azlan menarik nafas yang panjang. “Abang Halim kena tangkap basah di Bandar.”

“Astaghfirullahal A’zim….” Hardi dan Zafran mengucap panjang. “Mari Zafran!” Mereka bertiga berlalu pergi.

Amni masih kaku di situ. Adakah ini petanda yang diberikan Allah padanya?

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Malam itu juga, Tok Penghulu memutuskan pertunangan Halim dengan Amni. Katanya, dia malu dengan apa yang berlaku. Baginya, Halim tak layak untuk menjadi suami Amni. Amni sepatutnya bersuamikan orang yang lebih baik dari Halim.

Hardi menerima keputusan Tok Penghulu dengan hati yang terbuka. Memang sudah bukan jodoh Amni dan Halim barangkali. Sebelum balik, dia dan Zafran sempat memujuk Tok Penghulu agar tabah dengan ujian Allah. Dia pernah berada dalam situasi yang sama sewaktu Amni difitnah. Dia tahu bagaimana rasanya apabila maruah keluarga sudah tercalar.

Setelah menenangkan Tok Penghulu, barulah dia dan Zafran meninggalkan rumah Tok Penghulu. Mujurlah, Ustaz Hamdan masih ada di situ. Dapatlah Ustaz Hamdan memberikan sedikit motivasi buat Tok Penghulu.

Dalam perjalanan pulang, Hardi dan Zafran, masing-masing membisu. Masing-masing masih terkenangkan berita yang baru didengar. Namun, dalam hati Zafran sudah menarik nafas lega. Kini, Amni bukan lagi tunangan Halim. Syukurlah…

“Zafran…” Hardi memecahkan kesunyian di antara mereka. Hardi menghentikan langkahnya. Zafran ikut berbuat begitu. Hardi memandang Zafran. “Mungkin sudah takdir semua ini berlaku. Halim bukan jodoh Amni. Masih ada ruangkah dalam hati kamu jika pakcik mahu kamu menjadi menantu pakcik?”

Zafran sudah ternganga. Bagaikan bulan jatuh ke riba. Siapa yang tak mahu seorang isteri sebaik Amni? Namun keriangan yang terpancar di wajahnya hilang.

“Amni sudi terima saya?” soal Zafran. Memang Amni sudah melayannya dengan baik. Tapi, layakkah dia berdampingan dengan Amni?

“Pakcik akan tanya.”

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Malam raya….


Zafran memandang jam di tangannya. Masih ada lima belas minit sebelum masuknya waktu Maghrib. Dia sudah menunggu Hardi agak lama di tangga itu. Namun, kelibat Hardi tak kelihatan. Sesekali dia menjenguk ke dalam rumah Hardi untuk mencarinya. Namun, matanya terpaku apabila terlihat Amni yang sedang membuka televisyen dan menukarkan siaran yang tertera kepada siaran yang sedang melaungkan azan yang menandakan waktu Maghrib sudah masuk di Kuala Lumpur.

Dia berpaling dari memandang ke dalam. Takut dikatakan cuba mengintip Amni. Sejak malam di mana Hardi bertanya padanya tentang Amni, dia masih belum menerima apa-apa jawapan. Mahu ditanya, dia malu jika dia ditolak oleh Amni.

“Assalamualaikum…” tiba-tiba satu suara halus menyapa Zafran. Pantas Zafran mengalih.

Kelihatan Amni yang ayu bertelekung, sedang berdiri di serambi. Zafran mengalihkan perhatiannya dari terus memandang Amni.

“Waalaikummussalam….” Balas Zafran yang agak tergagap-gagap.

“Maaf, sebab dah buat awak menunggu lama untuk mendapat jawapan tentang kita,” ujar Amni. “saya perlu bertanya pada Sang Pencipta apakah perasaan saya pada awak merupakan satu hikmah atau ia hanya permainan hati semata,” ujar Amni. “Alhamdulillah, saya yakin dengan perasaan saya.”

Zafran masih menunduk tanpa memandang Amni yang juga tidak memandangnya.

“Zafran, saya izinkan awak berada dalam hati saya.” Sungguh, itulah ucapan yang terindah buat Zafran. Sebaik sahaja Amni berkata begitu, kedengaran takbir raya yang sedang bergema di stesen televisyen yang dibuka Amni. Ya Allah…begitu besarnya kuasaMU. Takbir raya itu begitu mendayu-dayu sekali sehingga membuatkan Zafran menitiskan airmatanya.

“Terima kasih Amni.”

“Zafran!” suara Hardi menyelit di antara keduanya. “Kamu berdua dah selesaikan. Mari Zafran, Kuala Lumpur dah laungkan takbir. Sekejap lagi, azan Maghrib pula akan berkumandang di kampung kita. Malam ni, kita meriahkan dengan takbir.”

“Mari pakcik. Saya dah sedia.” Zafran membalas senyuman Hardi yang terpancar cahaya di wajahnya.


-Tamat-

Wednesday, 25 July 2012

Harapan Cinta Ramadan




"Allahuakhbar!!" Melelong motosikal yang dibawa Uzma. Tangannya menggenggam kuat pemegang seraya cuba mengawal motosikal dari melanggar sebuah kereta jenama tempatan yang terpakir di tepi jalan.

”Ya Allah!!" Wajahnya sudah bertukar pucat apabila dia tergeser badan kereta itu sehingga meninggalkan bekas goresan di badan kereta itu. Uzma memberhentikan motosikalnya.

Alamak! Mampus! Bibirnya digigit. Badan kereta itu sudah bergaris panjang! Uzma memandang sekeliling, memerhati pada orang ramai yang masih sibuk mengunjungi pasar Ramadan. Untuk membeli juadah berbuka nanti. Nampaknya, pemilik kereta ni tiada. Pengunjung di pasar Ramadan itu pun, tiada seorang pun yang perasan apa yang baru berlaku sebentar tadi. Macam mana kalau dia terus melarikan diri sahaja?

Tapi......

Sebelah lagi pihak dalam dirinya melarang keras pendapatnya itu. Tak baiklah! Dah rosakkan kereta orang, nak larikan diri pulak! Mana tanggungjawab? Tambah-tambah dalam bulan mulia ni pulak! Astagfirullah.....mengucap Uzma!
"Ya Allah!!!"

Belum sempat Uzma habis bertelagah dengan dirinya sendiri, satu suara mengejutkan Uzma.

Seorang pemuda yang sedang membawa bungkusan plastik di tangannya, terus menerpa kereta yang baru sahaja dilanggarnya. Terus perhatian lelaki itu terarah pada badan keretanya yang sudah bergaris panjang. Sudah pasti lelaki itu baru sahaja pulang dari membeli juadah di pasar Ramadan itu juga.

Mangkuk betullah! Siapa pulak yang buat naya pada kereta ni? Hati Iris sudah membengkak! Lantas matanya terpaku pada susuk tubuh seorang gadis yang berada di atas motosikal di sebelah keretanya.

"Assalamualaikum cik adik," sapa Iris.

Uzma dengan nada yang takut-takut dan sedikit gelabah, menjawab salam pemuda itu. "Waalaikummussalam...."

"Cik adik dah lamakah ada di sini?"

"Lamalan jugak," jawab Uzma.

"Ada nampak tak siapa-siapa yang toreh kereta saya?" Iris sudah memandang tepat ke wajah gadis itu. Minta-mintalah gadis itu tahu siapa pelakunya! Siaplah budak tu nanti kena ganyang! Tak de kerja betul! Bulan mulia macam ni, ada saja nak buat jahat!

Gulp! Uzma menelan air liurnya. Pemuda itu bertanya tapi nadanya sudah membuatkan Uzma merasa pemuda itu tahu bahawa dialah yang telah menyebabkan kereta pemuda itu bergores panjang begitu.

"Sebenarnya, kereta awak bukan kena gores. Tapi, kereta awak bergores atas sebab yang tak disengajakan. Accident!"

"Awak nampak?" Mata Iris sudah terbeliak. Accident tak accident, orang tu sepatutnya bertanggungjawab!
Uzma sudah mengukir wajah bersalah bercampur takut. Pemuda itu nampaknya sangat sayang dengan kereta tu. Orang kalau dah tahap tangkap cintan dengan kereta macam bini nombor dua, memang payah nak bawa berbincang. Patutkah dia mereka cerita dan melepaskan diri. Lagipun, tak ada siapa yang nampak kejadian tu!

Nauzubillah! Tak baik Uzma. Jangan buat macam tu. Berdosa bohong ni. Apatah lagi bulan puasa macam ni! Uzma sudah tergaru-garu dahinya dengan nasihat diri sendirinya itu. Aduh! Macam mana ni?!

"Sebenarnya...." Uzma memandang pemuda itu. Pemuda itu terus memandangnya bagaikan menyimpan harapan agar dia dapat memberitahu siapa yang mencalarkan keretanya. "Sebenarnya......" Uzma menghembuskan nafasnya. "Saya minta maaf.....saya tak sengaja!" walaupun sukar, akhirnya Uzma mengaku jugak kesalahannya.

"Awak?! Awak yang calarkan kereta saya?!" Pemuda itu memandang keretanya dan mengusap lembut dengan riak sedih campur simpati. Mungkin simpati pada kereta yang 'terluka' tu, kononnyalah!

Uzma hanya menjeling. Betullah pemuda ini sangat sayangkan keretanya! Mampus!

"Macam mana awak bawa motor sampai boleh langgar kereta saya! Awak tengok kereta ni!" pemuda itu menunjuk pada badan keretanya yang tercalar. " awak tengok apa yang awak dah buat!"

"Saya betul-betul tak sengaja. Saya minta maaf," Bersungguh-sungguh Uzma meminta maaf.

“Awak bawa motor guna mata ke hidung? Tak nampakkah kereta ni ada kat tepi jalan sini? Saya dah parking elok dalam kotak. Mana mata awak?” Iris masih belum berpuas hati. Sakit hatinya melihat kereta kesayangnnya tercalar begini.

“Saya minta maaf,” Sekali lagi Uzma menekankan kenyataan maafnya itu. “Saya tak sengaja.” Aishhh mamat ni! Dia dah minta maaf pun masih nak bising bising lagi! “Macam nilah, kereta awak bukannya teruk sangat pun. Cuma tercalar sikit…..” ujar Uzma. Namun kata-katanya mati apabila satu renungan tajam menikam matanya.

“Sikit?!” Iris menjongketkan keningnya, garang.

“Eerk….” Uzma memandang badan kereta itu semula. Rasanya kenyataannya tentang ‘sikit’ tu salah sebab badan kereta itu memang sah-sah tergores panjang dan agak dalam. “Taklah sikit, teruk juga.” Tak delah teruk mana pun, tapi mungkin bagi orang yang terlebih sayang pada keretanya akan merasakan ia adalah sesuatu yang teruk. “Kita ke bengkel dan cat semula. Saya akan bayar ganti ruginya.”

“Awak ingat saya ada masa nak ke bengkel semua? Ni dah jam enam tau! Lagi sejam lebih je nak berbuka. Mana sempat!”

“Kalau macam tu, awak agak-agak jelah berapa ganti ruginya. Saya bayar!” Amboi! Cepat sungguh dia buat keputusan. Namun, bila sedar dalam dompetnya yang hanya ada dua helai not merah dan lima helai not hijau dan beberapa keeping syiling, dia menelan air liur semula. Mampus!

Iris mendengus geram. “Saya taklah harap sangat awak bayar ganti rugi tu! Tapi, lain kali gunalah mata bila bawa motor. Tak delah menyusahkan orang.”

Of courselah saya gunakan mata. Takkan saya nak gunakan hidung pulak!” Makin meminta maaf, makin menjadi pulak mamat ni! Lama-lama kesabaran pun hilang. Sudahlah matahari petang sayik menyuluh ke matanya. Bengang! “Awak nampak tak kat motor saya ni ada pelekat ‘P’? Uzma menunding pada pekelat ‘P’ yang ada di motosikalnya.

Mata Iris melirik pelekat yang ditunjukkan gadis di depannya. Patutlah! Baru belajar bawa motor! “Hairan saya, macam mana awak boleh dapat pelekat P tu? Kalau bawa motor macam ni, sampai calarkan kereta orang, sepatutnya awak guna pelekat L saja.”

Amboi! Sedapnya mulut mamat ni bercakap! “Eh, apa masalah awak ni ek?! Saya dah minta maaf kat awak tahu! Saya nak bayar ganti rugi, awak tak nak! Awak ingat, kereta awak tu hebat sangat ke?!” Uzma menunding pada kereta pemuda itu. “Setakat Viva second hand ni pun, nak berlagak macam kereta import!”

“Kereta second hand? Memandai je awak ni! Viva sekali pun, saya beli dengan duit tau, bukan dengan air liur!”

“Sudahlah! Sakit hatilah cakap dengan awak ni! Bulan-bulan puasa ni saja nak cari pasal. Setan dah kena belenggu, kang awak jumpa setan yang bertudung pulak!” Setan yang bertudung tu, dialah! Manalah tahu, kalau kesabaran dah hilang, kan. “Dari saya kat sini tumbuh tanduk setan dan puasa pun batal, saya minta diri dululah. Assalamualaikum…”Uzma terus memulas pedal dan bergerak meninggalkan pemuda yang tak faham bahasa itu.

Terkebil-kebil mata Iris memerhatikan seorang setan bertudung yang berlalu pergi. Eh, boleh dikatakan seorang ke kalau untuk setan? Astaghfirullah….Iris mengucap panjang. Entah apa yang merasuknya sehingga perkara yang kecil itu diperbesarkan. Iris menggelengkan kepala. Dia tak sepatutnya bertegas begitu sedangkan gadis itu sudah meminta maaf padanya.

Ni semua kereta ni punya pasal!

Hmmm….alih-alih, kereta pulak yang disalahkan.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

“Assalamualaikum nek….!” Uzma menjegul ke dalam kawasan rumah Nek Embun disebelahnya rumahnya. Rumah mereka hanya dipisahkan oleh tembok sehinggi tiga kaki sahaja.

“Waalaikummussalam….” Nek Embun membuka pintu. Senyumannya sudah melebar apabila melihat Uzma yang sudah berdiri bersama piring di tangannya. Sudah menjadi adat berjiran. Pasti ada sahaja juadah berbuka puasa yang dihantar buat merasa.

“Apa ni Uzma?” Nek Embun menghampiri.

“Ni Uzma buatkan lepat pisang. Nek Embun rasalah. Baru belajar buat dengan mama.” Uzma menghulurkan piring itu buat Nek Embun. “Nek Embun masak apa hari ni?”

“Hari ni, Nek Embun masak gulai nangka dan tempe goreng je. Tapi, Nek Embun ada buatkan laksa.” Nek Embun sudah tersenyum-senyum. Bagai ada perkara yang membahagiakan sedang berlaku padanya.

“Banyaknya Nek Embun masak hari. Mesti ada apa-apa ni,” Uzma mengusik.

“Hari ni, cucu Nek Embun nak datang. Dia suka sangat makan laksa. Sebab tu Nek Embun buatkan.” Ada sinar kebahagiaan dari matanya.

“Cucu Nek Embun yang selalu Nek Embun cerita tu?” Uzma juga kelihatan gembira. Selama ni, Nek Embun suka sangat bercerita tentang cucunya.

Kononnya, cucunya itu tinggal di Kota Amsterdam dengan keluarganya. Namun, cucunya telah berjanji akan pulang ke Malaysia untuk berpuasa bersama neneknya sehinggalah menjelang raya nanti. Kemudian, baru berangkat semula ke Amsterdam bersama keluarganya.

Di sini, Nek Embun tinggal sendirian. Nek Embun baru enam bulan menetap di sini. Sebelumnya, Nek Embun juga tinggal dengan anak dan cucunya di Amsterdam. Namun, kerinduannya pada tanah kelahiran membuatkan dia pulang semula ke sini dan menetap seorang diri walaupun dibantah keras oleh anak dan cucunya.

“Cucu Nek Embun tentu baik orangnya, kan?” tanya Uzma. Kalau tak, takkanlah dia sanggup pulang ke sini untuk berpuasa dengan neneknya?

“Memang baik.” Nek Embun tampak gembira sekali apabila berbicara mengenai cucunya. “Sama baiknya macam Uzma.” Satu cubitan singgah di hidung Uzma.

Uzma ketawa dengan layanan Nek Embun.

“Bila cucu Nek Embun sampai? Hari ni?” tanya Uzma walaupun dia sedia tahu jawapannya. Sepatutnya hari ini. Jika tidak, Nek Embun takkan masak laksa untuk cucunya.

“Dia dah sampai tiga hari lalu. Tapi, dia singgah ke rumah kawannya dulu. Ada urusan apa ntah. Hari ni, baru dia akan datang ke sini,” cerita Nek Embun. “Nek Embun tak sabarlah nak jumpa dengan Iris.”

“Iris? Namanya Iris?” tanya Uzma. Nek Embun mengangguk. “Bolehlah dia jadi kawan Uzma. Nanti bolehlah kitorang keluar sama-sama ya Nek Embun?”

“Boleh….. Boleh sangat! Nek Embun pun suka!” Kali ini pipi uzma pula dicubitnya.

Uzma tersengih-sengih.

“Nanti, bolehlah Uzma bawa Iris ke kelas masakan dengan Uzma. Boleh kitorang belajar buat biskut raya.”

“Ishhh…!! Ada pulak! Orang lelaki macam dia mana nak belajar buat biskut raya!”

“Lelaki?” Uzma terngadah. “Iris tu, lelaki ke perempuan?”

“Nama pun Iris. Tentulah lelaki!”

Terkebil-kebil mata Uzma. Mati-mati selama ni dia ingatkan cucu Nek Embun tu perempuan. Iris tu, nama lelaki ke?

“Hah! Itu pun Iris!” Nek Embun sudah berlari ke pintu pagar.

Uzma hanya memerhatikan sebuah kereta Viva putih yang telah diparkir di hadapan rumah Nek Embun. Viva tu…. Macam pernah lihat. Tapi, kat mana ek?

Uzma terus memerhatikan susuk tubuh yang baru keluar dari Viva itu. Susuk tubuh yang mana wajahnya agak terlindung itu, terus bersalam dengan Nek Embun dan memeluk wanita tua itu. Agak lama juga mereka berpelukan sambil mulut Nek Embun terkumat kamit berkata sesuatu di telinga cucunya itu.

Tiba-tiba pelukan dilepaskan, dan pemuda itu terus menoleh pada Uzma.

Uzma ternganga luas. Mamat Viva ni ke cucu Nek Embun?!

“Setan bertudung!!” Tiba-tiba saja dua perkataan itu terlepas dari bibir Iris.

Uzma terus mengetap bibirnya dan memandang Mamat Viva tu dengan tajam. Setan bertudung?! Kurang asam jawa betul Mamat Viva ni!

“Iris!! Apa ni?!” Nek Embun menampar bahu iris. “Ada cakap macam tu dekat Uzma!” Terjegil biji mata Nek Embun memandang Iris. Memang patut pun!

“Uzma, Nek Embun minta maaf ya. Iris ni…. Entah setan mana dah rasuk dia. Tak pasal-pasal cakap benda tak senonoh.”

Uzma menoleh pada Nek Embun lalu cuba mengukirkan senyuman yang manis. Seolah-olah nak cakap, tak apa Nek Embun, it’s okay

Pandangan Uzma beralih memandang Iris. Terus senyumannya mati. Mamat Viva ni memang tak sopan! Ops… gelaran Mamat Viva tu agak sopan untuk orang yang kurang sopan seperti dia. Jadi, gelaran yang sesuai adalah Setan Viva! Hehehe…. Baru kau tahu setan!

“Tak apalah Nek Embun. Lagipun, mana ada setan bulan-bulan puasa ni. kalau ada pun, setan yang suka menyetankan orang lain. Bila setan dan berjumpa dengan setan, bersetan-setanlah jadinya!” Uzma terus menjeling Iris dengan tajam dan berlalu masuk ke dalam.

Sebenarnya, Uzma sendiri tak tahu apa yang dikatakannya sebentar tadi. Apa yang dia ingat, banyak perkataan setan yang disebutkannya untuk menunjukkan pada Iris betapa setannya dia kerana menyetankan seorang gadis yang tidak bersalah sepertinya! Huh!!

Iris memandang Nek Embun.

“Apa yang dia cakap nek?” tanya Iris. Dia tahu gadis itu marah padanya. Tapi dia tak mengerti apa yang disampaikan gadis itu.

“Manalah nenek tahu! Dia marahlah tu. Kamu tu, lain kali cakap elok-elok sikit dengan perempuan. Baru-baru jumpa bukan nak bagi salam, senyum. Kamu panggil dia setan?!” Nek Embun mendengus. “Nasib baik Uzma. Kalau nenek, nenek dah dah ambil kayu pukul kamu, tahu!” Nek Embun berpaling dan pergi.

“Iris tak sengajalah nek!” iris membontoti Nek Embun.

“Sengaja atau tak, kamu kena minta maaf dengan Uzma!”

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Dah hampir tiga hari Uzma tak bertandang ke rumah Nek Embun. Kalau tidak, setiap petang pasti mukanya terjengol di pagar sebelah Nek Embun. Semuanya di sebabkan Mamat Viva alias Iris.

Tapi bila mengingatkan Nek Embun, dia jadi kurang enak. Apa yang dilakukan seolah-olah menjatuhkan hukuman pada Nek Embun atas kesalahan cucunya. Mama pun asyik bertanya pada Uzma. Kenapa Uzma tak mahu membantunya menghantar lauk berbuka pada Nek Embun?

Nek Embun pun satu, dah ada cucunya di sini, dia lupa pada Uzma. Jika tidak, ada juga dia bertandang dan membawakan juadah untuk mereka sekeluarga.

“Uzma!” Mama mengetuk kamar pintu Uzma.

Uzma yang sedang sibuk dengan laptopnya, terus bangun dan membuka pintu.

“Ya, ma,”

“Hari ni kita keluar berbuka di luar ya,” ujar mama.

Ajakan mama tu, memang satu perkara di luar kebiasaan. Biasanya, mama sangat menitik beratkan soal makan. Kalau ikut mama, dia lebih suka masak sendiri dan makan di rumah dari di luar kerana makanan di luar dikhuatiri akan kebersihannya.

“Ada yang istimewakah mama?”

“A’ah…” balas mama. Dah agak! “Nek Embun yang ajak sebab dia nak kenalkan cucunya pada kita.”
Terus wajah Uzma berubah. Huh! Nampaknya terpaksalah dia pandang wajah Mamat Viva tu lagi.

“Kata Nek Embun, kamu dah kenal dengan Iris. Iris pun dah ada kat sini tiga hari. Kenapa kamu tak beritahu mama dan papa?”

“Uzma lupalah mama,” dalih Uzma. Kalau dengan mama tak boleh cakap lebih-lebih. Apatah lagi nak ceritakan apa yang berlaku padanya dan Mamat Viva tu. Tak pasal-pasal mama akan salahkannya. Lepas tu, mulalah mama nak berleter nak bersyarah panjang lebar. Mama yang suka sangat bersyarah dan berleter, memang sesuai dengan kerjayanya sebagai seorang pensyarah. Tapi itulah mama kesayangannya! Sayang mama ketat-ketat!

“Lupa, lupa, lupa. Itu sajalah alasan kamu. Alasan macam tu, selalunya orang tua yang beri!” Mama mengerling. “Dahlah, bersiap cepat! Lagi sejam kita keluar!”

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Terpandang sahaja muka Iris, Uzma pantas menjeling. Rasa meluatnya masih tersimpan kemas dalam hati. Tapi yang paling meluat, kenapa dia dan Iris duduk bertentangan di  hujung meja? Sangatlah menyesakkan nafas dan pencemaran pandangan sungguh!

Sebentar tadi, pelayan restoran sudah pun menghidangkan air yang dipesan mereka. Hanya hidangan makanan masih belum dihantar. Hanya tinggal lima belas minit sahaja sebelum azan Maghrib berkumandang.
Sesekali Uzma akan mengerling jam di tangannya untuk melihat masa. Atau lebih tepat lagi, untuk membuang masa kerana saat ini dia memang tak tahu nak buat apa dan berbual apa. Dan kalau nak berbual pun, dengan siapa? Mama dan papa sibuk bercerita dengan Nek Embun. Dia dan Iriz bagai dipulaukan. Memang dia terasa seolah-olah dia berada di pulau lain bersama dengan Iris. Huh!

Pandangan mata Iris terus pada Uzma. Tingkah gadis itu mempesonakan bersama wajah dinginnya dan sekejap-sekejap menjeling padanya, dan sekejap-sekejap pandang jam di tangan. Sekejap-sekejap pula dia pandang ke luar. Tak senang duduk nampak!

Mungkin gadis yang dikenali sebagai Uzma itu tak senang duduk. Sebenarnya, dia yang kelihatan tenang juga tak senang duduk. Semuanya kerana ugutan nenek. Dah tiga hari nenek tak bercakap dengannya. Kata nenek, selagi dia tak minta maaf dengan Uzma, nenek takkan bercakap dengannya! Sebab tulah nenek ajak mereka semua berbuka puasa bersama-sama untuk memberi peluang padanya meminta maaf pada Uzma. Sayang sungguh nenek dengan Setan bertudung ni!

Tapi, kalau diimbas balik, bukan dia yang suka-suka hati nak panggil Uzma sebagai setan bertudung. Tapi Uzma sendiri yang cakap pada Iris ketika sedang marah tempoh hari. Dia hanya terlepas cakap saat dia bertemu semula dengan Uzma.

“Awak masih marah pada saya?” Iris mengambil keputusan untuk beralah dengan Uzma kerana nenek.
Tanpa menjawap apa-apa, Uzma hanya menjeling dan memeluk tubuh. Pandangannya di jatuhkan pada Nek Embun. Kalau lihat Nek Embun, hatinya mudah luluh.

“Saya minta maaf,” ujar Iris dengan nada yang perlahan. Bukan apa, dia malu jika kedua-dua orang tua Uzma terdengar. Tentu mereka akan tertanya-tanya kenapa tiba-tiba dia minta maaf dengan Uzma.

“ingatkan tak pandai nak minta maaf,” sindir Uzma. “Selalunya, orang yang susah nak maafkan orang lain, dia memang susah nak minta maaf. Ni mesti ada udang di sebalik mee kuah ni!” Uzma juga berkata dengan nada yang sedikit berbisik untuk mengelakkan diri mereka menjadi tumpuan.

Iris bagai nak ketawa tapi ditahannya. “Mee kuah je? Mee yang lain-lain pun ada udang juga.”

Huh! Uzma mendengus perlahan. Dia ingat orang buat lawak ke apa?!

“Saya minta maaf ni,” Iris bertegas lagi. “kalau awak tak maafkan saya, Nek Embun takkan cakap dengan saya.”

Uzma mengecilkan matanya dan merenung Iris. Dah agak! Memang tak ikhlas. “Tak ikhlas rupanya. Patutlah boleh minta maaf.”

“Awak tahu tak, orang yang punya hati yang bersih dan baik, takkan tunggu orang minta maaf baru nak maafkan kesalahan orang tahu! Nampak sangat hati awak ni pun tak berapa nak baik!” balas Iris.

“Memang saya tak ikhlas. Saya tak ikhlas pada orang yang tak ikhlas macam awak!” Uzma menjeling lagi. 

“Biar sama-sama ikhlas baru bercakap soal maaf memaafkan!”

“Apa pendapat kamu Iris?”

Tiba-tiba satu suara mencelah dalam perdebatan secara bisik-bisik mereka. Uzma dan Iris terus menoleh pada papa.

“Apadia pakcik?” Iris sudah gelabah.

“Kamu tak dengarkah apa yang dikatakan pakcik?” Nek Embun memarahi Iris yang sudah termalu alah di situ.

Padan muka! Suka sangat Uzma bila Iris terkena.

“Kamu Uzma? Dengar tak apa yang dikatakan papa?” tiba-tiba sahaja mama mengubah hala soalan itu pada Uzma.

“Uh?” Ternganga Uzma di situ.

“Kamu berdua tengah buat apa bila kami sedang berbincang?” Papa sudah memusing tubuhnya memandang pada Uzma dan Iris. “Ada apa-apakah kamu berdua ni?”

“Ish! Mana ada!” pantas sahaja Uzma menafikan bersama gelengan yang bersungguh-sungguh.

“Kamu Iris? Kacau anak pakcik ya?”

“Eh, taklah pakcik! Mana ada!” Garangnya papa Uzma ni! Patutlah anaknya pun garang jugak!

Allahuakhbar…..!Allahuakhbar…..!

Belum sempat papa mahu membuka mulut lebih lanjut, kedengaran azan Maghrib berkumandang. Selamat! 
Syukur….

“Iris, baca doa,” arah papa.

Mereka yang lain menanti dengan menadah tangan. Usai menyudahkan iftar pada hari itu, mereka bersolat Maghrib di surau berdekatan. Kemudian, barulah mereka berangkat pulang ke rumah.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Petang itu, Uzma membantu Nek Embun menyediakan juadah berbuka puasa. Nek Embun mahu menjemput dia sekeluarga untuk berbuka di rumah Nek Embun. Mama dan papa masih belum pulang, jadi dia mengambil kesempatan itu untuk membantu Nek Embun. Kasihan pula jika membiarkan Nek Embun menyiapkan juadah berbuka sendiri. Iris? Takkan nak harapkan dia pulak!

Sedang dia sibuk mengupas ubi kentang baru di rebus, muncul Iris yang datang entah dari mana itu. Iris terus mendapatkan Nek Embun dan hanya mengerling padanya apabila terperasankan kelibat Uzma di situ. Huh! Macamlah dia kisah kalau Iris tak menegurnya! Tapi, dalam tak kisah-tak kisah pun, kentang tu yang jadi mangsa bila Uzma menenyeh-nenyehnya sampai lumat.

“Nek, semuanya dah selesai.”

“Alhamdulillah,” Nek Embun terus mengucup dahi Iris. Mungkin kerana gembira dengan berita yang dibawa. Tapi, eh….tunggu dulu. Bukankah Iris kata Nek Embun takkan cakap dengan Iris selagi Uzma tak maafkannya. Dan kenyataannya, Uzma belum maafkan Iris lagi sebab hatinya masih belum ikhlas untuk berbuat begitu. Ni mesti Iris main tektik kotor ni!

“Nek, nek dah cakap dengan Iris?” Uzma sudah mula menjalankan niat jahatnya.

“A’ah.” Nek Embun menarik kerusi dan melabuhkan punggungnya di depan Uzma. “Terima kasih ya Uzma sebab maafkan Iris. Lega hati Nek Embun.”

Uzma mengerling Iris yang sudag menggelabah biawak. Heh! Main kotor ek….Tak pe… tak pe…

“Tak apalah Nek Embun. Perkara kecil je. Maaf memaafkan itu satu perkara yang mulia.” Ceh, konon! 
Sedangkan dia masih belum memaafkan Iris. “Sekarang ni, Uzma dan Iris dah jadi kawan yang baik. Iris pun dah janji nak bantu Uzma kalau Uzma perlukan pertolongan. Kan Iris?” Uzma melemparkan senyuman yang penuh dengan makna yang tersirat buat Iris.

“Betul…betul…” dengan pantas Iris membalasnya walaupun hatinya tak ikhlas. Memang Uzma pandai mengambil kesempatan untuk mengenakannya kembali.

Uzma tersenyum lebar. Pandailah nanti dia gunakan kesempatan yang ada. Inilah yang dikatakan, peace no war but there is war in peace.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Alamak! Motosikal ni buat hal lagi. Uzma mendengus geram. Sepatutnya dia ke perpustakaan dan memulangkan semula buku yang dipinjamnya. Hari ini, hari terakhir dalam tempohnya. Jika tidak, dia pasti di denda.

Dalam dia sibuk memikirkan masalahnya, dia terdengar suara gelak tawa dari halaman rumah Nek Embun. Uzma mengintai.

Kelihatan Iris sedang mengurut kaki Nek Embun sambil bercerita pada neneknya itu sehingga Nek Embun tertawa mengekek-ngekek. Sekali pandang, Iris ni memang sweet sangat! Bagi Uzma, lelaki yang bisa menjaga dan melayan orang tuanya dengan baik seperti Iris, tentu akan membawa kebahagiaan pada keluarga bila berkahwin nanti. Dalam tak sedar, Uzma mengukir senyuman sendiri melihat tingkah Iris dan Nek Embun.

“Uzma!” Nek Embun melambai-lambai pada Uzma tatkala melihat kelibat itu asyik memandang pada mereka. “Uzma nak ke mana?”

“Uzma nak ke library, nek. Lepas tu, Uzma nak singgah pasar Ramadan beli juadah berbuka. Nek Embun nak pesan apa-apa tak?”

Iris hanya menjadi pendengar dalam perbualan itu sambil tangannya terus mengurut kaki Nek Embun.
“Tak masak hari ni?”

“Tak Nek Embun. Papa dan mama pulang lambat. Diorang berbuka di luar. Uzma malas nak masaklah hari ni.”

“Kalau macam tu berbukalah dengan Nek Embun dan Iris.”

“Tak apalah Nek Embun. Takut tak sempat sampai rumah.”

“Ish! Apa pulak tak sempat? Awal lagi ni. Lepas ke library, Uzma terus pulanglah.”

“Memang Uzma nak pulang terus lepas ke library. Tapi takut tak de bas atau teksi.”

“Eh, motor Uzma mana?” Nek Embun sudah bangun dari kerusi dan mendekati Uzma.

“Motor Uzma buat hallah Nek Embun. Uzma nak naik bas. Kalau ada teksi Uzma naik teksilah.”

“Kalau macam tu, lain kalilah Uzma ke library.” Nek Embun kelihatan risau tentang Uzma.

“Uzma kena pergi hari nilah Nek Embun. Uzma kena pulangkan buku yang Uzma pinjam hari ni jugak.”

“Kalau macam tu, Iris bawa Uzma ke library.” Nek Embun sudah menoleh pada Iris.

Wah! Ini memang kesempatan yang baik! Mata Uzma sudah bersinar.

“A’ah….betullah Iris. Awak tolonglah saya kali ni ye. Awakkan dah janji nak jadi kawan baik saya.” Mata Uzma sudah berkedip-kedip memandang Iris. Senyumannya pula sudah memanjang sampai ke telinga.

Iris mengherotkan bibir. Betul mengambil kesempatan! “Tak apalah. Saya akan hantar awak.” Siaplah kau! “Jom!” Iris memberi isyarat agar Uzma masuk ke dalam keretanya.

Uzma bergegas mengunci pintu pagar lalu masuk ke dalam kawasan rumah Nek Embun.

“Nek, Iris bawa Uzma dulu ya.” Iris bersalam dengan Nek Embun, begitu juga dengan Uzma.

Sengihan Uzma masih belum hilang ketika mereka sudah bergerak untuk pergi.

“Sudah-sudahlah senyum tu,” tegur Iris.

Terus senyuman itu hilang dari bibir Uzma. “Biarlah saya nak senyum.”        
  
“Balik nanti, awak teman saya.”

“Ke mana?” Sepantas kilat Uzma menoleh pada Iris.

“Saya nak belikan hadiah untuk keluarga saya.” Memang dia berniat untuk membelikan sesuatu pada keluarganya pada hari raya nanti. Mujurlah, Uzma mengenakannya. Bolehlah dia kenakan Uzma balik. Padan!

“Tak nak saya!”

“Saya tolong awak, awak kenalah tolong saya balik!” tegas Iris.

“Tolong tak ikhlas!” Uzma mendengus. Memang dia tahu Iris tak ikhlas. Dia yang kenakan Iris.

“Kita sama-sama tak ikhlas. Awak ambil kesempatan pada saya, apa salahnya saya ambil kesempatan pada awak.”

Uzma mendengus lagi. “Mana sempat! Dah jam tiga dah ni!”

“Sempat! Awak nak hantar buku sajakan. Lepas tu, terus kita ke kedai. Kalau tak silap saya, library yang awak nak pergi ni, ada sederet kedai pakaian kat situ.”

Iris betul. Memang banyak kedai pakain di situ. Hurm!

%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Tak sampai pun lima belas minit Uzma memulangkan buku-buku yang dipinjam, mereka terus berjalan ke kedai pakaian. Dari satu kedai ke satu kedai. Iris memang tak pandai memilih pakaian kerana itu dia asyik bertanya pada Uzma. Walaupun, nampak tak ikhlas Uzma tetap membantunya.

Uzma memilih dua helai tudung. Satu untuk Nek Embun dan satu lagi untuk ibu Iris. Kemudian, mereka ke kedai pakaian lelaki yang menjual baju melayu. Sedang Uzma membelek-belek baju-baju melayu yang mungkin sesuai untuk ayah Iris dan adik lelakinya, Iris ditegur oleh seseorang.

“Macam mana? Kau dah cat kereta aku?” tanya teman Iris.

“Dah, baru settle pagi tadi. Sorrylah bro, baru ada masa nak cat kereta kau.”

No hal bro. Bila kau balik sana?”

“Lepas raya nanti. Lepas raya, aku pulangkan kereta kau.”

“Okeylah bro. Gua blah dulu.” Usai bersalam dengan Iris, temannya itu berlalu pergi.
Walaupun Uzma pura-pura tak dengar perbualan itu, namun, satu persatu perbualan mereka masuk ke telinganya. Itu bukan kereta Iris? Patutlah Iris marah sangat.

Kata Iris, mereka sekeluarga bercadang untuk berpakaian yang bertanahkan biru. Bunga atau coraknya, tak kisah. Janji ada tanah biru pada setiap pakaian. Sebentar tadi, Uzma sudah memilih dua helai tudung. Mujurlah Nek Embun ada menunjukkan baju rayanya, jadi tak susahlah untuk Uzma memilih tudung yang sepadan buat Nek Embun.

Jam sudah hampir menganjak ke angka enam apabila mereka selesai mencari pakaian buat keluarga Iris. Ketika sampai di kereta, saat iris mahu membuka pintunya, Uzma menahan. Dia memandang Iris. Iris termangu seketika dengan pandangan yang dilemparkan Uzma.

“Kereta ni bukan kereta awak?” tanya Uzma.

Iris menggeleng. Iris mengerti kini. Mungkin Uzma merasa bersalah dengan apa yang telah berlaku sebaik sahaja mengetahui yang kereta itu bukan miliknya.

Uzma menarik nafas dan menghembuskannya perlahan. “Saya betul-betul minta maaf Iris. Tentu awak kena marah teruk dengan kawan awak, kan?” Uzma terus menatap mata Iris.

Iris memandangan pandangan mata Uzma. Dia terasa keikhlasan dalam mata Uzma. Ada rasa damai dan menyejukkan. Hilang segala marah yang tersimpan dalam dirinya pada Uzma.

“saya pun minta maaf pada awak sebab dah berkasar dengan awak. Waktu tu, saya betul-betul marah. Awak tahu sajalah. Kereta ni kereta kawan saya. Saya Cuma sewa untuk sebulan, selama saya ada di sini.”
Uzma tertunduk. Kemudian dia memandang semula pada Iris.“Awak dah beli baju raya?”

Iris menggeleng.

Uzma tercengang. Keningnya terjongket. “Awak beli untuk semua orang, tapi awak tak beli untuk awak?” Uzma mendengus. Kemudia dia bergerak meninggalkan Iris.

“Awak nak ke mana Uzma?”

“Masih sempat lagi nak beli baju raya untuk awak.” Tanpa menoleh, Uzma meneruskan langkah.
Tadi, dia ada terpandangkan sepasang baju Melayu yang cantik designnya. Terpandang sahaja baju itu, terus dia merasakan Iris pasti nampak segak jika mengenakan baju itu. Tapi, memandangkan Iris hanya meminta mencarikan baju Melayu buat ayah dan adiknya, Uzma hanya mendiamkan diri. Inilah masa yang sesuai untuk dia membayar ganti rugi Iris!

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Uzma terus memandang Iris yang sedang melengung di depan periuk besar yang sedang di bakar dengan dapur arang. Kawasan belakang rumah Nek Embun agak besar dan selesa. Jadi, Nek Embun mahu membuat ketupat sendiri.

Malam tadi, dia dan mama sibuk membantu Nek Embun menganyam ketupat. Pagi ini, Nek Embun mahu merebus ketupat yang disediakan dia dan mama. Sampai sahaja di sini, dia lihat Iris sedang termenung begitu.

“Kenapa dengan Iris tu Nek Embun?” bisik Uzma di telinga Nek Embun.

Nek Embun menghembuskan nafasnya. Nek Embun kelihatan sedih.

“Anak dan menantu Nek Embun tak dapat balik raya di sini. Tak dapatlah Nek Embun jumpa dengan cucu Nek Embun yang lain. Iris pun tak dapat beraya dengan keluarganya.” Nek Embun bersuara lagi.

“Ada hal penting barangkali Nek Embun,” Uzma cuba memujuk. “Tak apalah. Uzma kan ada. Kitorang pun dah macam keluarga Nek Embun jugak.” Memang kata-katanya keterlaluan. Mana mungkin dirinya disamakan seperti keluarga Nek Embun sendiri.

Nek Embun tersenyum memandang Uzma.

“Nek Embun jangan sedih ya. Kalau Nek Embun sedih, mesti Iris pun sedih jugak.”

Nek Embun menganggukkan kepalanya. Kata-kata Uzma ada benarnya.

“Uzma tengokkan Iris kejap ya,” Uzma lantas mendekati Iris yang masih lagi termenung.

“Awak okey, Iris?” tegur Uzma.

Iris memandangnya seketika. Satu senyuman pahit terukir. Tentulah Iris sedih bila keluarganya tak dapat pulang beraya bersama sedangkan dia sudah pun membeli baju untuk mereka.

“Saya tahu awak sedih. Tapi, mereka pun tentu sedih sebab tak dapat pulang beraya. Rayakan sebulan. Lepas raya di sini, awak pulanglah raya di sana.”

“Sebenarnya, saya memang sedih. Tapi, tak pe. Saya okey. Memang saya boleh beraya di sana nanti. Tapi saya kasihankan nenek. Tentu dia berharap sangat dapat beraya dengan mereka.”

Iris memang cucu yang baik. Rupanya, dia memikirkan perasaan neneknya.

“kalau macam tu, awak kena cuba sedaya upaya untuk buat dia gembira di hari raya ni,” Uzma memberi harapan pada Iris.

“Awak boleh tolong saya buat nenek gembira?”

“Tentu!!”

“Ikhlas?” tanya Iris sekadar bergurau.

“Hmmm….” Uzma menggeleng. Iris ketawa melihat gelengan itu.

“Terima kasih Uzma.”

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

1 Syawal…..

“Selamat Hari raya, Nek Embun.” Uzma terus bersalam dengan Nek Embun sambil meminta maaf atas segala tingkah lakunya. Nek Embun terus memeluk Uzma dengan penuh kasih sayang.

“Ini Uzma kenalkan, adik Uzma, Amni.” Uzma terus menarik tangan Amni agar bersalam dengan Nek Embun.

“Inilah Amni yang masih belajar tu?” Nek Embun memeluk Amni pula. “Pulang beraya?” Amni yang malu-malu hanya mengangguk.

Setelah itu, Amni diperkenalkan pula dengan Iris.

Ketika Amni sibuk menjamah hidangan bersama papa dan mama, Iris mendekati Uzma.

“Adik awak tu cantik ya?” usik Iris.     
       
“Jangan mengada ya! Langkah mayat saya dulu baru boleh ngurat adik saya!” Uzma memberi amaran keras.
“Saya Cuma puji je. Bukannya saya nak ngorat dia. Lagipun, saya kurang minat dengan gadis cantik. Saya suka gadis yang sweet. Macam awak!” Iris terus memandang uzma.

Uzma melirik pandangan nakal Iris. “Huh! Tak leh blah!” uzma terus bangun.

“Nanti dulu, uzma!”

Uzma terus menghentikan langkahnya.

“saya ada benda nak beri pada awak.” Iris menghulurkan sekotak hadiah buat Uzma. “Sebagai tanda terima kasih saya pada awak sebab hadiahkan baju Melayu ni pada saya.” Iris menunjuk pada baju Melayu yang dipakainya.

Uzma tersenyum memandang baju melayu itu. Telahannya benar. Baju itu memang sangat sesuai untuk Iris. Buktinya, Iris kelihatan benar-benar segak pagi ini.

“Dalam kotak tu ada sepasang baju kurung untuk awak. Boleh awak pakai ketika saya pulang nanti?”

Tiba-tiba sahaja Uzma merasa sebak. Hari-hari telah berlalu tanpa dia sedari Iris akan pergi meninggalkan mereka di sini. Kali ini, hatinya benar-benar tidak ikhlas. Tidak ikhlas merelakan iris pergi!

“Awak tentu tak sabar nak pulang ke sana dan beraya dengan keluarga awak, kan?” Esok hari, iris akan membawa Nek Embun ke Amsterdam untuk beraya di sana. Kemudian, Nek embun akan pulang sendirian semula ke sini. Dan Iris, akan terus menetap di sana.

Iris tertunduk. “Ya, saya memang tak sabar nak beraya dengan keluarga saya.” Memang dia tak sabar untuk beraya dengan keluarganya. Namun, sebelah pihaknya tidak ikhlas menyatakan itu. benar-benar tidak ikhlas apabila dia perlu meninggalkan seorang gadis yang garang macam Uzma. Tapi manis disebaliknya.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Setahun kemudian…..

7 Ramadan…..

Uzma membelek-belek baju kurung pemberian Iris. Sampai saat ini, baju itu punya tempat yang istimewa di dalam almari bajunya. Malah, di dalam hatinya juga. Apakah Iris akan pulang Ramadan ini? Mahu bertanya pada Nek Embun, dia terasa malu sebab Nek Embun langsung tak sebut apa-apa tentang Iris.

Jangan-jangan Iris sudah melupakannya. Mungkin Iris takkan pulang ke sini. Kata Nek Embun, raya tahun ni Nek Embun akan beraya bersama keluarganya di Amsterdam. Hmmm…..Harapannya hampa.

Jauh dari sudut hatinya, dia mahu Iris pulang ke sini dan menyambut Ramadan bersamanya seperti tahun lalu. Mungkin harapannya itu akan tinggal harapan semata-mata. Iris, kalaulah kau tahu betapa aku merindui Ramadan bersama kamu.

“Uzma!” Pintunya diketuk dan kedengaran suara mama. “Tadi kata nak pergi Pasar Ramadan.”

“Kejap mama. Tengah bersiap!” Uzma terus mematikan lamunannya dan segera bersiap untuk ke pasar Ramadan.

Ketika keluar dari rumah, kelihatan Nek Embun sedang menyapu di halaman.

“Nek Embum, Uzma nak ke pasar Ramadan. Nek Embun nak pesan apa-apa tak?”   
                    
“Tak apalah Uzma. Nek Embun masak laksa hari ni.”

Masak laksa? Terus ingatan Uzma terlekat pada Iris. Iris suka sangat makan laksa. Nek Embun pun selalu buatkan laksa jika Iris ada. Apakah Iris akan pulang? Tapi Nek Embun tak cakap apa-apa pun.

“Tak apalah Nek Embun. Uzma pergi dulu ya.”

“Baik-baik di jalan.”

“Baik Nek Embun.”

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

"Allahuakhbar!!" Melelong motosikal yang dibawa Uzma. Tangannya menggenggam kuat pemegang seraya cuba mengawal motosikal dari melanggar sebuah kereta jenama tempatan yang terpakir di tepi jalan.

”Ya Allah!!" Wajahnya sudah bertukar pucat apabila dia tergeser badan kereta itu sehingga meninggalkan bekas goresan di badan kereta itu. Uzma memberhentikan motosikalnya.

Alamak! Mampus! Bibirnya digigit. Badan kereta itu sudah bergaris panjang! Uzma memandang sekeliling, memerhati pada orang ramai yang masih sibuk mengunjungi pasar Ramadan.

“Hello!! Awak ni butakah apa? Tak nampak kereta saya!!” Tiba-tiba dia disergah dari belakang.

Uzma terus memerhatikan pemuda yang baru tiba itu.

“Maaf, saya tak sengaja!”

“Maaf, maaf, maaf. Itu sajalah yang awak tahu. Entah ikhlas ke tidak.”

“Ikhlaslah! Kalau tak ikhlas saya tak cakap. Ni kereta siapa ni? Kereta sewa?” Uzma memeluk tubuhnya.
“Banyaklah kereta sewa. Saya beli tahu! Senang-senang je awak calarkan kereta saya. Saya nak pakai lama tahu kereta ni!”

Uzma mendengus. Dia menjeling.

“P?” Pemuda itu memandang motosikal Uzma yang terlekat hurup P di depannya. “Lesen P rupanya. Nampak sangat penipunya!”

“Hello! Pandai-pandai je cakap orang menipu!!”

“Dah setahun pun saya tengok motor ni! Pelekat P tu, tak buang-buang jugak! Nak tagih simpati pengguna jalanraya yang lainlah tu!!”

“Suka hati sayalah!!” Uzma mengherotkan bibirnya.

Pemuda itu sudah tertawa melihat tingkah Uzma. Uzma yang pada mulanya memasamkan mukanya akhirnya ikut tertawa. Apa lagi yang boleh dikatakan saat ini hanyalah satu perkataan iaitu-bahagia!

“saya takkan pernah melupakan saat itu!”

Uzma memandang wajah di depannya. Iris, itulah wajah yang dirinduinya. “saya pun tak pernah lupakannya.”
“Awak tahu Uzma, dari tahu lalu, saya tertunggu-tunggu kedatangan Ramadan. Hanya kesempatan ini saya mahu gunakan untuk bertemu semula dengan awak.”

Uzma terpana dengan kata-kata Iris. Dia langsung tidak menyangka Iris akan berkata begitu. mungkinkah apa yang ada dalam hatinya sama seperti Iris. Dia juga menyimpan harapan yang sama pada bulan Ramadan ini.

“Adakah awak tertunggu-tunggu kedatangan Ramadan?” Adaka awak tertunggu-tunggu untuk berjumpa dengan saya Uzma? Itulah ayat sebenar Iris.

“Ya. Bulan yang mulia ini telah menemukan saya dan awak.”

Iris memandang sinar harapan yang terpancar dari mata Uzma. Dia tersenyum. Rasanya dia dapat meneka apa yang tersirat di hati kecil Uzma. “Insyaallah, keluarga saya akan pulang beraya di sini. Saya pun dah minta mereka berbincang dengan keluarga awak raya nanti. Awak akan terima, kan?”

Uzma tersenyum. “Insya Allah, jika ditakdirkan jodoh itu milik kita.” Memang dia mahu menyatakan –ya. Memang pelik! Iris langsung tak menyatakan rasa rindu, cinta atau menerangkan tujuannya untuk menyunting Uzma sebagai permaisuri hatinya. Tetapi hati Uzma telah menyatakan itu Kerana itulah dia berani memberi jawapan yang baru dinyatakan.  Namun, biarlah semuanya dalam situasi yang sepatutnya. Yang pasti, harapannya untuk menyambut Ramadan bersama Iris tertunai.

Iris menarik nafas yang panjang. Moga Allah memudah urusan mereka. Amin….

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%