Wednesday, 25 July 2012

Harapan Cinta Ramadan




"Allahuakhbar!!" Melelong motosikal yang dibawa Uzma. Tangannya menggenggam kuat pemegang seraya cuba mengawal motosikal dari melanggar sebuah kereta jenama tempatan yang terpakir di tepi jalan.

”Ya Allah!!" Wajahnya sudah bertukar pucat apabila dia tergeser badan kereta itu sehingga meninggalkan bekas goresan di badan kereta itu. Uzma memberhentikan motosikalnya.

Alamak! Mampus! Bibirnya digigit. Badan kereta itu sudah bergaris panjang! Uzma memandang sekeliling, memerhati pada orang ramai yang masih sibuk mengunjungi pasar Ramadan. Untuk membeli juadah berbuka nanti. Nampaknya, pemilik kereta ni tiada. Pengunjung di pasar Ramadan itu pun, tiada seorang pun yang perasan apa yang baru berlaku sebentar tadi. Macam mana kalau dia terus melarikan diri sahaja?

Tapi......

Sebelah lagi pihak dalam dirinya melarang keras pendapatnya itu. Tak baiklah! Dah rosakkan kereta orang, nak larikan diri pulak! Mana tanggungjawab? Tambah-tambah dalam bulan mulia ni pulak! Astagfirullah.....mengucap Uzma!
"Ya Allah!!!"

Belum sempat Uzma habis bertelagah dengan dirinya sendiri, satu suara mengejutkan Uzma.

Seorang pemuda yang sedang membawa bungkusan plastik di tangannya, terus menerpa kereta yang baru sahaja dilanggarnya. Terus perhatian lelaki itu terarah pada badan keretanya yang sudah bergaris panjang. Sudah pasti lelaki itu baru sahaja pulang dari membeli juadah di pasar Ramadan itu juga.

Mangkuk betullah! Siapa pulak yang buat naya pada kereta ni? Hati Iris sudah membengkak! Lantas matanya terpaku pada susuk tubuh seorang gadis yang berada di atas motosikal di sebelah keretanya.

"Assalamualaikum cik adik," sapa Iris.

Uzma dengan nada yang takut-takut dan sedikit gelabah, menjawab salam pemuda itu. "Waalaikummussalam...."

"Cik adik dah lamakah ada di sini?"

"Lamalan jugak," jawab Uzma.

"Ada nampak tak siapa-siapa yang toreh kereta saya?" Iris sudah memandang tepat ke wajah gadis itu. Minta-mintalah gadis itu tahu siapa pelakunya! Siaplah budak tu nanti kena ganyang! Tak de kerja betul! Bulan mulia macam ni, ada saja nak buat jahat!

Gulp! Uzma menelan air liurnya. Pemuda itu bertanya tapi nadanya sudah membuatkan Uzma merasa pemuda itu tahu bahawa dialah yang telah menyebabkan kereta pemuda itu bergores panjang begitu.

"Sebenarnya, kereta awak bukan kena gores. Tapi, kereta awak bergores atas sebab yang tak disengajakan. Accident!"

"Awak nampak?" Mata Iris sudah terbeliak. Accident tak accident, orang tu sepatutnya bertanggungjawab!
Uzma sudah mengukir wajah bersalah bercampur takut. Pemuda itu nampaknya sangat sayang dengan kereta tu. Orang kalau dah tahap tangkap cintan dengan kereta macam bini nombor dua, memang payah nak bawa berbincang. Patutkah dia mereka cerita dan melepaskan diri. Lagipun, tak ada siapa yang nampak kejadian tu!

Nauzubillah! Tak baik Uzma. Jangan buat macam tu. Berdosa bohong ni. Apatah lagi bulan puasa macam ni! Uzma sudah tergaru-garu dahinya dengan nasihat diri sendirinya itu. Aduh! Macam mana ni?!

"Sebenarnya...." Uzma memandang pemuda itu. Pemuda itu terus memandangnya bagaikan menyimpan harapan agar dia dapat memberitahu siapa yang mencalarkan keretanya. "Sebenarnya......" Uzma menghembuskan nafasnya. "Saya minta maaf.....saya tak sengaja!" walaupun sukar, akhirnya Uzma mengaku jugak kesalahannya.

"Awak?! Awak yang calarkan kereta saya?!" Pemuda itu memandang keretanya dan mengusap lembut dengan riak sedih campur simpati. Mungkin simpati pada kereta yang 'terluka' tu, kononnyalah!

Uzma hanya menjeling. Betullah pemuda ini sangat sayangkan keretanya! Mampus!

"Macam mana awak bawa motor sampai boleh langgar kereta saya! Awak tengok kereta ni!" pemuda itu menunjuk pada badan keretanya yang tercalar. " awak tengok apa yang awak dah buat!"

"Saya betul-betul tak sengaja. Saya minta maaf," Bersungguh-sungguh Uzma meminta maaf.

“Awak bawa motor guna mata ke hidung? Tak nampakkah kereta ni ada kat tepi jalan sini? Saya dah parking elok dalam kotak. Mana mata awak?” Iris masih belum berpuas hati. Sakit hatinya melihat kereta kesayangnnya tercalar begini.

“Saya minta maaf,” Sekali lagi Uzma menekankan kenyataan maafnya itu. “Saya tak sengaja.” Aishhh mamat ni! Dia dah minta maaf pun masih nak bising bising lagi! “Macam nilah, kereta awak bukannya teruk sangat pun. Cuma tercalar sikit…..” ujar Uzma. Namun kata-katanya mati apabila satu renungan tajam menikam matanya.

“Sikit?!” Iris menjongketkan keningnya, garang.

“Eerk….” Uzma memandang badan kereta itu semula. Rasanya kenyataannya tentang ‘sikit’ tu salah sebab badan kereta itu memang sah-sah tergores panjang dan agak dalam. “Taklah sikit, teruk juga.” Tak delah teruk mana pun, tapi mungkin bagi orang yang terlebih sayang pada keretanya akan merasakan ia adalah sesuatu yang teruk. “Kita ke bengkel dan cat semula. Saya akan bayar ganti ruginya.”

“Awak ingat saya ada masa nak ke bengkel semua? Ni dah jam enam tau! Lagi sejam lebih je nak berbuka. Mana sempat!”

“Kalau macam tu, awak agak-agak jelah berapa ganti ruginya. Saya bayar!” Amboi! Cepat sungguh dia buat keputusan. Namun, bila sedar dalam dompetnya yang hanya ada dua helai not merah dan lima helai not hijau dan beberapa keeping syiling, dia menelan air liur semula. Mampus!

Iris mendengus geram. “Saya taklah harap sangat awak bayar ganti rugi tu! Tapi, lain kali gunalah mata bila bawa motor. Tak delah menyusahkan orang.”

Of courselah saya gunakan mata. Takkan saya nak gunakan hidung pulak!” Makin meminta maaf, makin menjadi pulak mamat ni! Lama-lama kesabaran pun hilang. Sudahlah matahari petang sayik menyuluh ke matanya. Bengang! “Awak nampak tak kat motor saya ni ada pelekat ‘P’? Uzma menunding pada pekelat ‘P’ yang ada di motosikalnya.

Mata Iris melirik pelekat yang ditunjukkan gadis di depannya. Patutlah! Baru belajar bawa motor! “Hairan saya, macam mana awak boleh dapat pelekat P tu? Kalau bawa motor macam ni, sampai calarkan kereta orang, sepatutnya awak guna pelekat L saja.”

Amboi! Sedapnya mulut mamat ni bercakap! “Eh, apa masalah awak ni ek?! Saya dah minta maaf kat awak tahu! Saya nak bayar ganti rugi, awak tak nak! Awak ingat, kereta awak tu hebat sangat ke?!” Uzma menunding pada kereta pemuda itu. “Setakat Viva second hand ni pun, nak berlagak macam kereta import!”

“Kereta second hand? Memandai je awak ni! Viva sekali pun, saya beli dengan duit tau, bukan dengan air liur!”

“Sudahlah! Sakit hatilah cakap dengan awak ni! Bulan-bulan puasa ni saja nak cari pasal. Setan dah kena belenggu, kang awak jumpa setan yang bertudung pulak!” Setan yang bertudung tu, dialah! Manalah tahu, kalau kesabaran dah hilang, kan. “Dari saya kat sini tumbuh tanduk setan dan puasa pun batal, saya minta diri dululah. Assalamualaikum…”Uzma terus memulas pedal dan bergerak meninggalkan pemuda yang tak faham bahasa itu.

Terkebil-kebil mata Iris memerhatikan seorang setan bertudung yang berlalu pergi. Eh, boleh dikatakan seorang ke kalau untuk setan? Astaghfirullah….Iris mengucap panjang. Entah apa yang merasuknya sehingga perkara yang kecil itu diperbesarkan. Iris menggelengkan kepala. Dia tak sepatutnya bertegas begitu sedangkan gadis itu sudah meminta maaf padanya.

Ni semua kereta ni punya pasal!

Hmmm….alih-alih, kereta pulak yang disalahkan.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

“Assalamualaikum nek….!” Uzma menjegul ke dalam kawasan rumah Nek Embun disebelahnya rumahnya. Rumah mereka hanya dipisahkan oleh tembok sehinggi tiga kaki sahaja.

“Waalaikummussalam….” Nek Embun membuka pintu. Senyumannya sudah melebar apabila melihat Uzma yang sudah berdiri bersama piring di tangannya. Sudah menjadi adat berjiran. Pasti ada sahaja juadah berbuka puasa yang dihantar buat merasa.

“Apa ni Uzma?” Nek Embun menghampiri.

“Ni Uzma buatkan lepat pisang. Nek Embun rasalah. Baru belajar buat dengan mama.” Uzma menghulurkan piring itu buat Nek Embun. “Nek Embun masak apa hari ni?”

“Hari ni, Nek Embun masak gulai nangka dan tempe goreng je. Tapi, Nek Embun ada buatkan laksa.” Nek Embun sudah tersenyum-senyum. Bagai ada perkara yang membahagiakan sedang berlaku padanya.

“Banyaknya Nek Embun masak hari. Mesti ada apa-apa ni,” Uzma mengusik.

“Hari ni, cucu Nek Embun nak datang. Dia suka sangat makan laksa. Sebab tu Nek Embun buatkan.” Ada sinar kebahagiaan dari matanya.

“Cucu Nek Embun yang selalu Nek Embun cerita tu?” Uzma juga kelihatan gembira. Selama ni, Nek Embun suka sangat bercerita tentang cucunya.

Kononnya, cucunya itu tinggal di Kota Amsterdam dengan keluarganya. Namun, cucunya telah berjanji akan pulang ke Malaysia untuk berpuasa bersama neneknya sehinggalah menjelang raya nanti. Kemudian, baru berangkat semula ke Amsterdam bersama keluarganya.

Di sini, Nek Embun tinggal sendirian. Nek Embun baru enam bulan menetap di sini. Sebelumnya, Nek Embun juga tinggal dengan anak dan cucunya di Amsterdam. Namun, kerinduannya pada tanah kelahiran membuatkan dia pulang semula ke sini dan menetap seorang diri walaupun dibantah keras oleh anak dan cucunya.

“Cucu Nek Embun tentu baik orangnya, kan?” tanya Uzma. Kalau tak, takkanlah dia sanggup pulang ke sini untuk berpuasa dengan neneknya?

“Memang baik.” Nek Embun tampak gembira sekali apabila berbicara mengenai cucunya. “Sama baiknya macam Uzma.” Satu cubitan singgah di hidung Uzma.

Uzma ketawa dengan layanan Nek Embun.

“Bila cucu Nek Embun sampai? Hari ni?” tanya Uzma walaupun dia sedia tahu jawapannya. Sepatutnya hari ini. Jika tidak, Nek Embun takkan masak laksa untuk cucunya.

“Dia dah sampai tiga hari lalu. Tapi, dia singgah ke rumah kawannya dulu. Ada urusan apa ntah. Hari ni, baru dia akan datang ke sini,” cerita Nek Embun. “Nek Embun tak sabarlah nak jumpa dengan Iris.”

“Iris? Namanya Iris?” tanya Uzma. Nek Embun mengangguk. “Bolehlah dia jadi kawan Uzma. Nanti bolehlah kitorang keluar sama-sama ya Nek Embun?”

“Boleh….. Boleh sangat! Nek Embun pun suka!” Kali ini pipi uzma pula dicubitnya.

Uzma tersengih-sengih.

“Nanti, bolehlah Uzma bawa Iris ke kelas masakan dengan Uzma. Boleh kitorang belajar buat biskut raya.”

“Ishhh…!! Ada pulak! Orang lelaki macam dia mana nak belajar buat biskut raya!”

“Lelaki?” Uzma terngadah. “Iris tu, lelaki ke perempuan?”

“Nama pun Iris. Tentulah lelaki!”

Terkebil-kebil mata Uzma. Mati-mati selama ni dia ingatkan cucu Nek Embun tu perempuan. Iris tu, nama lelaki ke?

“Hah! Itu pun Iris!” Nek Embun sudah berlari ke pintu pagar.

Uzma hanya memerhatikan sebuah kereta Viva putih yang telah diparkir di hadapan rumah Nek Embun. Viva tu…. Macam pernah lihat. Tapi, kat mana ek?

Uzma terus memerhatikan susuk tubuh yang baru keluar dari Viva itu. Susuk tubuh yang mana wajahnya agak terlindung itu, terus bersalam dengan Nek Embun dan memeluk wanita tua itu. Agak lama juga mereka berpelukan sambil mulut Nek Embun terkumat kamit berkata sesuatu di telinga cucunya itu.

Tiba-tiba pelukan dilepaskan, dan pemuda itu terus menoleh pada Uzma.

Uzma ternganga luas. Mamat Viva ni ke cucu Nek Embun?!

“Setan bertudung!!” Tiba-tiba saja dua perkataan itu terlepas dari bibir Iris.

Uzma terus mengetap bibirnya dan memandang Mamat Viva tu dengan tajam. Setan bertudung?! Kurang asam jawa betul Mamat Viva ni!

“Iris!! Apa ni?!” Nek Embun menampar bahu iris. “Ada cakap macam tu dekat Uzma!” Terjegil biji mata Nek Embun memandang Iris. Memang patut pun!

“Uzma, Nek Embun minta maaf ya. Iris ni…. Entah setan mana dah rasuk dia. Tak pasal-pasal cakap benda tak senonoh.”

Uzma menoleh pada Nek Embun lalu cuba mengukirkan senyuman yang manis. Seolah-olah nak cakap, tak apa Nek Embun, it’s okay

Pandangan Uzma beralih memandang Iris. Terus senyumannya mati. Mamat Viva ni memang tak sopan! Ops… gelaran Mamat Viva tu agak sopan untuk orang yang kurang sopan seperti dia. Jadi, gelaran yang sesuai adalah Setan Viva! Hehehe…. Baru kau tahu setan!

“Tak apalah Nek Embun. Lagipun, mana ada setan bulan-bulan puasa ni. kalau ada pun, setan yang suka menyetankan orang lain. Bila setan dan berjumpa dengan setan, bersetan-setanlah jadinya!” Uzma terus menjeling Iris dengan tajam dan berlalu masuk ke dalam.

Sebenarnya, Uzma sendiri tak tahu apa yang dikatakannya sebentar tadi. Apa yang dia ingat, banyak perkataan setan yang disebutkannya untuk menunjukkan pada Iris betapa setannya dia kerana menyetankan seorang gadis yang tidak bersalah sepertinya! Huh!!

Iris memandang Nek Embun.

“Apa yang dia cakap nek?” tanya Iris. Dia tahu gadis itu marah padanya. Tapi dia tak mengerti apa yang disampaikan gadis itu.

“Manalah nenek tahu! Dia marahlah tu. Kamu tu, lain kali cakap elok-elok sikit dengan perempuan. Baru-baru jumpa bukan nak bagi salam, senyum. Kamu panggil dia setan?!” Nek Embun mendengus. “Nasib baik Uzma. Kalau nenek, nenek dah dah ambil kayu pukul kamu, tahu!” Nek Embun berpaling dan pergi.

“Iris tak sengajalah nek!” iris membontoti Nek Embun.

“Sengaja atau tak, kamu kena minta maaf dengan Uzma!”

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Dah hampir tiga hari Uzma tak bertandang ke rumah Nek Embun. Kalau tidak, setiap petang pasti mukanya terjengol di pagar sebelah Nek Embun. Semuanya di sebabkan Mamat Viva alias Iris.

Tapi bila mengingatkan Nek Embun, dia jadi kurang enak. Apa yang dilakukan seolah-olah menjatuhkan hukuman pada Nek Embun atas kesalahan cucunya. Mama pun asyik bertanya pada Uzma. Kenapa Uzma tak mahu membantunya menghantar lauk berbuka pada Nek Embun?

Nek Embun pun satu, dah ada cucunya di sini, dia lupa pada Uzma. Jika tidak, ada juga dia bertandang dan membawakan juadah untuk mereka sekeluarga.

“Uzma!” Mama mengetuk kamar pintu Uzma.

Uzma yang sedang sibuk dengan laptopnya, terus bangun dan membuka pintu.

“Ya, ma,”

“Hari ni kita keluar berbuka di luar ya,” ujar mama.

Ajakan mama tu, memang satu perkara di luar kebiasaan. Biasanya, mama sangat menitik beratkan soal makan. Kalau ikut mama, dia lebih suka masak sendiri dan makan di rumah dari di luar kerana makanan di luar dikhuatiri akan kebersihannya.

“Ada yang istimewakah mama?”

“A’ah…” balas mama. Dah agak! “Nek Embun yang ajak sebab dia nak kenalkan cucunya pada kita.”
Terus wajah Uzma berubah. Huh! Nampaknya terpaksalah dia pandang wajah Mamat Viva tu lagi.

“Kata Nek Embun, kamu dah kenal dengan Iris. Iris pun dah ada kat sini tiga hari. Kenapa kamu tak beritahu mama dan papa?”

“Uzma lupalah mama,” dalih Uzma. Kalau dengan mama tak boleh cakap lebih-lebih. Apatah lagi nak ceritakan apa yang berlaku padanya dan Mamat Viva tu. Tak pasal-pasal mama akan salahkannya. Lepas tu, mulalah mama nak berleter nak bersyarah panjang lebar. Mama yang suka sangat bersyarah dan berleter, memang sesuai dengan kerjayanya sebagai seorang pensyarah. Tapi itulah mama kesayangannya! Sayang mama ketat-ketat!

“Lupa, lupa, lupa. Itu sajalah alasan kamu. Alasan macam tu, selalunya orang tua yang beri!” Mama mengerling. “Dahlah, bersiap cepat! Lagi sejam kita keluar!”

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Terpandang sahaja muka Iris, Uzma pantas menjeling. Rasa meluatnya masih tersimpan kemas dalam hati. Tapi yang paling meluat, kenapa dia dan Iris duduk bertentangan di  hujung meja? Sangatlah menyesakkan nafas dan pencemaran pandangan sungguh!

Sebentar tadi, pelayan restoran sudah pun menghidangkan air yang dipesan mereka. Hanya hidangan makanan masih belum dihantar. Hanya tinggal lima belas minit sahaja sebelum azan Maghrib berkumandang.
Sesekali Uzma akan mengerling jam di tangannya untuk melihat masa. Atau lebih tepat lagi, untuk membuang masa kerana saat ini dia memang tak tahu nak buat apa dan berbual apa. Dan kalau nak berbual pun, dengan siapa? Mama dan papa sibuk bercerita dengan Nek Embun. Dia dan Iriz bagai dipulaukan. Memang dia terasa seolah-olah dia berada di pulau lain bersama dengan Iris. Huh!

Pandangan mata Iris terus pada Uzma. Tingkah gadis itu mempesonakan bersama wajah dinginnya dan sekejap-sekejap menjeling padanya, dan sekejap-sekejap pandang jam di tangan. Sekejap-sekejap pula dia pandang ke luar. Tak senang duduk nampak!

Mungkin gadis yang dikenali sebagai Uzma itu tak senang duduk. Sebenarnya, dia yang kelihatan tenang juga tak senang duduk. Semuanya kerana ugutan nenek. Dah tiga hari nenek tak bercakap dengannya. Kata nenek, selagi dia tak minta maaf dengan Uzma, nenek takkan bercakap dengannya! Sebab tulah nenek ajak mereka semua berbuka puasa bersama-sama untuk memberi peluang padanya meminta maaf pada Uzma. Sayang sungguh nenek dengan Setan bertudung ni!

Tapi, kalau diimbas balik, bukan dia yang suka-suka hati nak panggil Uzma sebagai setan bertudung. Tapi Uzma sendiri yang cakap pada Iris ketika sedang marah tempoh hari. Dia hanya terlepas cakap saat dia bertemu semula dengan Uzma.

“Awak masih marah pada saya?” Iris mengambil keputusan untuk beralah dengan Uzma kerana nenek.
Tanpa menjawap apa-apa, Uzma hanya menjeling dan memeluk tubuh. Pandangannya di jatuhkan pada Nek Embun. Kalau lihat Nek Embun, hatinya mudah luluh.

“Saya minta maaf,” ujar Iris dengan nada yang perlahan. Bukan apa, dia malu jika kedua-dua orang tua Uzma terdengar. Tentu mereka akan tertanya-tanya kenapa tiba-tiba dia minta maaf dengan Uzma.

“ingatkan tak pandai nak minta maaf,” sindir Uzma. “Selalunya, orang yang susah nak maafkan orang lain, dia memang susah nak minta maaf. Ni mesti ada udang di sebalik mee kuah ni!” Uzma juga berkata dengan nada yang sedikit berbisik untuk mengelakkan diri mereka menjadi tumpuan.

Iris bagai nak ketawa tapi ditahannya. “Mee kuah je? Mee yang lain-lain pun ada udang juga.”

Huh! Uzma mendengus perlahan. Dia ingat orang buat lawak ke apa?!

“Saya minta maaf ni,” Iris bertegas lagi. “kalau awak tak maafkan saya, Nek Embun takkan cakap dengan saya.”

Uzma mengecilkan matanya dan merenung Iris. Dah agak! Memang tak ikhlas. “Tak ikhlas rupanya. Patutlah boleh minta maaf.”

“Awak tahu tak, orang yang punya hati yang bersih dan baik, takkan tunggu orang minta maaf baru nak maafkan kesalahan orang tahu! Nampak sangat hati awak ni pun tak berapa nak baik!” balas Iris.

“Memang saya tak ikhlas. Saya tak ikhlas pada orang yang tak ikhlas macam awak!” Uzma menjeling lagi. 

“Biar sama-sama ikhlas baru bercakap soal maaf memaafkan!”

“Apa pendapat kamu Iris?”

Tiba-tiba satu suara mencelah dalam perdebatan secara bisik-bisik mereka. Uzma dan Iris terus menoleh pada papa.

“Apadia pakcik?” Iris sudah gelabah.

“Kamu tak dengarkah apa yang dikatakan pakcik?” Nek Embun memarahi Iris yang sudah termalu alah di situ.

Padan muka! Suka sangat Uzma bila Iris terkena.

“Kamu Uzma? Dengar tak apa yang dikatakan papa?” tiba-tiba sahaja mama mengubah hala soalan itu pada Uzma.

“Uh?” Ternganga Uzma di situ.

“Kamu berdua tengah buat apa bila kami sedang berbincang?” Papa sudah memusing tubuhnya memandang pada Uzma dan Iris. “Ada apa-apakah kamu berdua ni?”

“Ish! Mana ada!” pantas sahaja Uzma menafikan bersama gelengan yang bersungguh-sungguh.

“Kamu Iris? Kacau anak pakcik ya?”

“Eh, taklah pakcik! Mana ada!” Garangnya papa Uzma ni! Patutlah anaknya pun garang jugak!

Allahuakhbar…..!Allahuakhbar…..!

Belum sempat papa mahu membuka mulut lebih lanjut, kedengaran azan Maghrib berkumandang. Selamat! 
Syukur….

“Iris, baca doa,” arah papa.

Mereka yang lain menanti dengan menadah tangan. Usai menyudahkan iftar pada hari itu, mereka bersolat Maghrib di surau berdekatan. Kemudian, barulah mereka berangkat pulang ke rumah.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Petang itu, Uzma membantu Nek Embun menyediakan juadah berbuka puasa. Nek Embun mahu menjemput dia sekeluarga untuk berbuka di rumah Nek Embun. Mama dan papa masih belum pulang, jadi dia mengambil kesempatan itu untuk membantu Nek Embun. Kasihan pula jika membiarkan Nek Embun menyiapkan juadah berbuka sendiri. Iris? Takkan nak harapkan dia pulak!

Sedang dia sibuk mengupas ubi kentang baru di rebus, muncul Iris yang datang entah dari mana itu. Iris terus mendapatkan Nek Embun dan hanya mengerling padanya apabila terperasankan kelibat Uzma di situ. Huh! Macamlah dia kisah kalau Iris tak menegurnya! Tapi, dalam tak kisah-tak kisah pun, kentang tu yang jadi mangsa bila Uzma menenyeh-nenyehnya sampai lumat.

“Nek, semuanya dah selesai.”

“Alhamdulillah,” Nek Embun terus mengucup dahi Iris. Mungkin kerana gembira dengan berita yang dibawa. Tapi, eh….tunggu dulu. Bukankah Iris kata Nek Embun takkan cakap dengan Iris selagi Uzma tak maafkannya. Dan kenyataannya, Uzma belum maafkan Iris lagi sebab hatinya masih belum ikhlas untuk berbuat begitu. Ni mesti Iris main tektik kotor ni!

“Nek, nek dah cakap dengan Iris?” Uzma sudah mula menjalankan niat jahatnya.

“A’ah.” Nek Embun menarik kerusi dan melabuhkan punggungnya di depan Uzma. “Terima kasih ya Uzma sebab maafkan Iris. Lega hati Nek Embun.”

Uzma mengerling Iris yang sudag menggelabah biawak. Heh! Main kotor ek….Tak pe… tak pe…

“Tak apalah Nek Embun. Perkara kecil je. Maaf memaafkan itu satu perkara yang mulia.” Ceh, konon! 
Sedangkan dia masih belum memaafkan Iris. “Sekarang ni, Uzma dan Iris dah jadi kawan yang baik. Iris pun dah janji nak bantu Uzma kalau Uzma perlukan pertolongan. Kan Iris?” Uzma melemparkan senyuman yang penuh dengan makna yang tersirat buat Iris.

“Betul…betul…” dengan pantas Iris membalasnya walaupun hatinya tak ikhlas. Memang Uzma pandai mengambil kesempatan untuk mengenakannya kembali.

Uzma tersenyum lebar. Pandailah nanti dia gunakan kesempatan yang ada. Inilah yang dikatakan, peace no war but there is war in peace.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Alamak! Motosikal ni buat hal lagi. Uzma mendengus geram. Sepatutnya dia ke perpustakaan dan memulangkan semula buku yang dipinjamnya. Hari ini, hari terakhir dalam tempohnya. Jika tidak, dia pasti di denda.

Dalam dia sibuk memikirkan masalahnya, dia terdengar suara gelak tawa dari halaman rumah Nek Embun. Uzma mengintai.

Kelihatan Iris sedang mengurut kaki Nek Embun sambil bercerita pada neneknya itu sehingga Nek Embun tertawa mengekek-ngekek. Sekali pandang, Iris ni memang sweet sangat! Bagi Uzma, lelaki yang bisa menjaga dan melayan orang tuanya dengan baik seperti Iris, tentu akan membawa kebahagiaan pada keluarga bila berkahwin nanti. Dalam tak sedar, Uzma mengukir senyuman sendiri melihat tingkah Iris dan Nek Embun.

“Uzma!” Nek Embun melambai-lambai pada Uzma tatkala melihat kelibat itu asyik memandang pada mereka. “Uzma nak ke mana?”

“Uzma nak ke library, nek. Lepas tu, Uzma nak singgah pasar Ramadan beli juadah berbuka. Nek Embun nak pesan apa-apa tak?”

Iris hanya menjadi pendengar dalam perbualan itu sambil tangannya terus mengurut kaki Nek Embun.
“Tak masak hari ni?”

“Tak Nek Embun. Papa dan mama pulang lambat. Diorang berbuka di luar. Uzma malas nak masaklah hari ni.”

“Kalau macam tu berbukalah dengan Nek Embun dan Iris.”

“Tak apalah Nek Embun. Takut tak sempat sampai rumah.”

“Ish! Apa pulak tak sempat? Awal lagi ni. Lepas ke library, Uzma terus pulanglah.”

“Memang Uzma nak pulang terus lepas ke library. Tapi takut tak de bas atau teksi.”

“Eh, motor Uzma mana?” Nek Embun sudah bangun dari kerusi dan mendekati Uzma.

“Motor Uzma buat hallah Nek Embun. Uzma nak naik bas. Kalau ada teksi Uzma naik teksilah.”

“Kalau macam tu, lain kalilah Uzma ke library.” Nek Embun kelihatan risau tentang Uzma.

“Uzma kena pergi hari nilah Nek Embun. Uzma kena pulangkan buku yang Uzma pinjam hari ni jugak.”

“Kalau macam tu, Iris bawa Uzma ke library.” Nek Embun sudah menoleh pada Iris.

Wah! Ini memang kesempatan yang baik! Mata Uzma sudah bersinar.

“A’ah….betullah Iris. Awak tolonglah saya kali ni ye. Awakkan dah janji nak jadi kawan baik saya.” Mata Uzma sudah berkedip-kedip memandang Iris. Senyumannya pula sudah memanjang sampai ke telinga.

Iris mengherotkan bibir. Betul mengambil kesempatan! “Tak apalah. Saya akan hantar awak.” Siaplah kau! “Jom!” Iris memberi isyarat agar Uzma masuk ke dalam keretanya.

Uzma bergegas mengunci pintu pagar lalu masuk ke dalam kawasan rumah Nek Embun.

“Nek, Iris bawa Uzma dulu ya.” Iris bersalam dengan Nek Embun, begitu juga dengan Uzma.

Sengihan Uzma masih belum hilang ketika mereka sudah bergerak untuk pergi.

“Sudah-sudahlah senyum tu,” tegur Iris.

Terus senyuman itu hilang dari bibir Uzma. “Biarlah saya nak senyum.”        
  
“Balik nanti, awak teman saya.”

“Ke mana?” Sepantas kilat Uzma menoleh pada Iris.

“Saya nak belikan hadiah untuk keluarga saya.” Memang dia berniat untuk membelikan sesuatu pada keluarganya pada hari raya nanti. Mujurlah, Uzma mengenakannya. Bolehlah dia kenakan Uzma balik. Padan!

“Tak nak saya!”

“Saya tolong awak, awak kenalah tolong saya balik!” tegas Iris.

“Tolong tak ikhlas!” Uzma mendengus. Memang dia tahu Iris tak ikhlas. Dia yang kenakan Iris.

“Kita sama-sama tak ikhlas. Awak ambil kesempatan pada saya, apa salahnya saya ambil kesempatan pada awak.”

Uzma mendengus lagi. “Mana sempat! Dah jam tiga dah ni!”

“Sempat! Awak nak hantar buku sajakan. Lepas tu, terus kita ke kedai. Kalau tak silap saya, library yang awak nak pergi ni, ada sederet kedai pakaian kat situ.”

Iris betul. Memang banyak kedai pakain di situ. Hurm!

%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Tak sampai pun lima belas minit Uzma memulangkan buku-buku yang dipinjam, mereka terus berjalan ke kedai pakaian. Dari satu kedai ke satu kedai. Iris memang tak pandai memilih pakaian kerana itu dia asyik bertanya pada Uzma. Walaupun, nampak tak ikhlas Uzma tetap membantunya.

Uzma memilih dua helai tudung. Satu untuk Nek Embun dan satu lagi untuk ibu Iris. Kemudian, mereka ke kedai pakaian lelaki yang menjual baju melayu. Sedang Uzma membelek-belek baju-baju melayu yang mungkin sesuai untuk ayah Iris dan adik lelakinya, Iris ditegur oleh seseorang.

“Macam mana? Kau dah cat kereta aku?” tanya teman Iris.

“Dah, baru settle pagi tadi. Sorrylah bro, baru ada masa nak cat kereta kau.”

No hal bro. Bila kau balik sana?”

“Lepas raya nanti. Lepas raya, aku pulangkan kereta kau.”

“Okeylah bro. Gua blah dulu.” Usai bersalam dengan Iris, temannya itu berlalu pergi.
Walaupun Uzma pura-pura tak dengar perbualan itu, namun, satu persatu perbualan mereka masuk ke telinganya. Itu bukan kereta Iris? Patutlah Iris marah sangat.

Kata Iris, mereka sekeluarga bercadang untuk berpakaian yang bertanahkan biru. Bunga atau coraknya, tak kisah. Janji ada tanah biru pada setiap pakaian. Sebentar tadi, Uzma sudah memilih dua helai tudung. Mujurlah Nek Embun ada menunjukkan baju rayanya, jadi tak susahlah untuk Uzma memilih tudung yang sepadan buat Nek Embun.

Jam sudah hampir menganjak ke angka enam apabila mereka selesai mencari pakaian buat keluarga Iris. Ketika sampai di kereta, saat iris mahu membuka pintunya, Uzma menahan. Dia memandang Iris. Iris termangu seketika dengan pandangan yang dilemparkan Uzma.

“Kereta ni bukan kereta awak?” tanya Uzma.

Iris menggeleng. Iris mengerti kini. Mungkin Uzma merasa bersalah dengan apa yang telah berlaku sebaik sahaja mengetahui yang kereta itu bukan miliknya.

Uzma menarik nafas dan menghembuskannya perlahan. “Saya betul-betul minta maaf Iris. Tentu awak kena marah teruk dengan kawan awak, kan?” Uzma terus menatap mata Iris.

Iris memandangan pandangan mata Uzma. Dia terasa keikhlasan dalam mata Uzma. Ada rasa damai dan menyejukkan. Hilang segala marah yang tersimpan dalam dirinya pada Uzma.

“saya pun minta maaf pada awak sebab dah berkasar dengan awak. Waktu tu, saya betul-betul marah. Awak tahu sajalah. Kereta ni kereta kawan saya. Saya Cuma sewa untuk sebulan, selama saya ada di sini.”
Uzma tertunduk. Kemudian dia memandang semula pada Iris.“Awak dah beli baju raya?”

Iris menggeleng.

Uzma tercengang. Keningnya terjongket. “Awak beli untuk semua orang, tapi awak tak beli untuk awak?” Uzma mendengus. Kemudia dia bergerak meninggalkan Iris.

“Awak nak ke mana Uzma?”

“Masih sempat lagi nak beli baju raya untuk awak.” Tanpa menoleh, Uzma meneruskan langkah.
Tadi, dia ada terpandangkan sepasang baju Melayu yang cantik designnya. Terpandang sahaja baju itu, terus dia merasakan Iris pasti nampak segak jika mengenakan baju itu. Tapi, memandangkan Iris hanya meminta mencarikan baju Melayu buat ayah dan adiknya, Uzma hanya mendiamkan diri. Inilah masa yang sesuai untuk dia membayar ganti rugi Iris!

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Uzma terus memandang Iris yang sedang melengung di depan periuk besar yang sedang di bakar dengan dapur arang. Kawasan belakang rumah Nek Embun agak besar dan selesa. Jadi, Nek Embun mahu membuat ketupat sendiri.

Malam tadi, dia dan mama sibuk membantu Nek Embun menganyam ketupat. Pagi ini, Nek Embun mahu merebus ketupat yang disediakan dia dan mama. Sampai sahaja di sini, dia lihat Iris sedang termenung begitu.

“Kenapa dengan Iris tu Nek Embun?” bisik Uzma di telinga Nek Embun.

Nek Embun menghembuskan nafasnya. Nek Embun kelihatan sedih.

“Anak dan menantu Nek Embun tak dapat balik raya di sini. Tak dapatlah Nek Embun jumpa dengan cucu Nek Embun yang lain. Iris pun tak dapat beraya dengan keluarganya.” Nek Embun bersuara lagi.

“Ada hal penting barangkali Nek Embun,” Uzma cuba memujuk. “Tak apalah. Uzma kan ada. Kitorang pun dah macam keluarga Nek Embun jugak.” Memang kata-katanya keterlaluan. Mana mungkin dirinya disamakan seperti keluarga Nek Embun sendiri.

Nek Embun tersenyum memandang Uzma.

“Nek Embun jangan sedih ya. Kalau Nek Embun sedih, mesti Iris pun sedih jugak.”

Nek Embun menganggukkan kepalanya. Kata-kata Uzma ada benarnya.

“Uzma tengokkan Iris kejap ya,” Uzma lantas mendekati Iris yang masih lagi termenung.

“Awak okey, Iris?” tegur Uzma.

Iris memandangnya seketika. Satu senyuman pahit terukir. Tentulah Iris sedih bila keluarganya tak dapat pulang beraya bersama sedangkan dia sudah pun membeli baju untuk mereka.

“Saya tahu awak sedih. Tapi, mereka pun tentu sedih sebab tak dapat pulang beraya. Rayakan sebulan. Lepas raya di sini, awak pulanglah raya di sana.”

“Sebenarnya, saya memang sedih. Tapi, tak pe. Saya okey. Memang saya boleh beraya di sana nanti. Tapi saya kasihankan nenek. Tentu dia berharap sangat dapat beraya dengan mereka.”

Iris memang cucu yang baik. Rupanya, dia memikirkan perasaan neneknya.

“kalau macam tu, awak kena cuba sedaya upaya untuk buat dia gembira di hari raya ni,” Uzma memberi harapan pada Iris.

“Awak boleh tolong saya buat nenek gembira?”

“Tentu!!”

“Ikhlas?” tanya Iris sekadar bergurau.

“Hmmm….” Uzma menggeleng. Iris ketawa melihat gelengan itu.

“Terima kasih Uzma.”

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

1 Syawal…..

“Selamat Hari raya, Nek Embun.” Uzma terus bersalam dengan Nek Embun sambil meminta maaf atas segala tingkah lakunya. Nek Embun terus memeluk Uzma dengan penuh kasih sayang.

“Ini Uzma kenalkan, adik Uzma, Amni.” Uzma terus menarik tangan Amni agar bersalam dengan Nek Embun.

“Inilah Amni yang masih belajar tu?” Nek Embun memeluk Amni pula. “Pulang beraya?” Amni yang malu-malu hanya mengangguk.

Setelah itu, Amni diperkenalkan pula dengan Iris.

Ketika Amni sibuk menjamah hidangan bersama papa dan mama, Iris mendekati Uzma.

“Adik awak tu cantik ya?” usik Iris.     
       
“Jangan mengada ya! Langkah mayat saya dulu baru boleh ngurat adik saya!” Uzma memberi amaran keras.
“Saya Cuma puji je. Bukannya saya nak ngorat dia. Lagipun, saya kurang minat dengan gadis cantik. Saya suka gadis yang sweet. Macam awak!” Iris terus memandang uzma.

Uzma melirik pandangan nakal Iris. “Huh! Tak leh blah!” uzma terus bangun.

“Nanti dulu, uzma!”

Uzma terus menghentikan langkahnya.

“saya ada benda nak beri pada awak.” Iris menghulurkan sekotak hadiah buat Uzma. “Sebagai tanda terima kasih saya pada awak sebab hadiahkan baju Melayu ni pada saya.” Iris menunjuk pada baju Melayu yang dipakainya.

Uzma tersenyum memandang baju melayu itu. Telahannya benar. Baju itu memang sangat sesuai untuk Iris. Buktinya, Iris kelihatan benar-benar segak pagi ini.

“Dalam kotak tu ada sepasang baju kurung untuk awak. Boleh awak pakai ketika saya pulang nanti?”

Tiba-tiba sahaja Uzma merasa sebak. Hari-hari telah berlalu tanpa dia sedari Iris akan pergi meninggalkan mereka di sini. Kali ini, hatinya benar-benar tidak ikhlas. Tidak ikhlas merelakan iris pergi!

“Awak tentu tak sabar nak pulang ke sana dan beraya dengan keluarga awak, kan?” Esok hari, iris akan membawa Nek Embun ke Amsterdam untuk beraya di sana. Kemudian, Nek embun akan pulang sendirian semula ke sini. Dan Iris, akan terus menetap di sana.

Iris tertunduk. “Ya, saya memang tak sabar nak beraya dengan keluarga saya.” Memang dia tak sabar untuk beraya dengan keluarganya. Namun, sebelah pihaknya tidak ikhlas menyatakan itu. benar-benar tidak ikhlas apabila dia perlu meninggalkan seorang gadis yang garang macam Uzma. Tapi manis disebaliknya.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Setahun kemudian…..

7 Ramadan…..

Uzma membelek-belek baju kurung pemberian Iris. Sampai saat ini, baju itu punya tempat yang istimewa di dalam almari bajunya. Malah, di dalam hatinya juga. Apakah Iris akan pulang Ramadan ini? Mahu bertanya pada Nek Embun, dia terasa malu sebab Nek Embun langsung tak sebut apa-apa tentang Iris.

Jangan-jangan Iris sudah melupakannya. Mungkin Iris takkan pulang ke sini. Kata Nek Embun, raya tahun ni Nek Embun akan beraya bersama keluarganya di Amsterdam. Hmmm…..Harapannya hampa.

Jauh dari sudut hatinya, dia mahu Iris pulang ke sini dan menyambut Ramadan bersamanya seperti tahun lalu. Mungkin harapannya itu akan tinggal harapan semata-mata. Iris, kalaulah kau tahu betapa aku merindui Ramadan bersama kamu.

“Uzma!” Pintunya diketuk dan kedengaran suara mama. “Tadi kata nak pergi Pasar Ramadan.”

“Kejap mama. Tengah bersiap!” Uzma terus mematikan lamunannya dan segera bersiap untuk ke pasar Ramadan.

Ketika keluar dari rumah, kelihatan Nek Embun sedang menyapu di halaman.

“Nek Embum, Uzma nak ke pasar Ramadan. Nek Embun nak pesan apa-apa tak?”   
                    
“Tak apalah Uzma. Nek Embun masak laksa hari ni.”

Masak laksa? Terus ingatan Uzma terlekat pada Iris. Iris suka sangat makan laksa. Nek Embun pun selalu buatkan laksa jika Iris ada. Apakah Iris akan pulang? Tapi Nek Embun tak cakap apa-apa pun.

“Tak apalah Nek Embun. Uzma pergi dulu ya.”

“Baik-baik di jalan.”

“Baik Nek Embun.”

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

"Allahuakhbar!!" Melelong motosikal yang dibawa Uzma. Tangannya menggenggam kuat pemegang seraya cuba mengawal motosikal dari melanggar sebuah kereta jenama tempatan yang terpakir di tepi jalan.

”Ya Allah!!" Wajahnya sudah bertukar pucat apabila dia tergeser badan kereta itu sehingga meninggalkan bekas goresan di badan kereta itu. Uzma memberhentikan motosikalnya.

Alamak! Mampus! Bibirnya digigit. Badan kereta itu sudah bergaris panjang! Uzma memandang sekeliling, memerhati pada orang ramai yang masih sibuk mengunjungi pasar Ramadan.

“Hello!! Awak ni butakah apa? Tak nampak kereta saya!!” Tiba-tiba dia disergah dari belakang.

Uzma terus memerhatikan pemuda yang baru tiba itu.

“Maaf, saya tak sengaja!”

“Maaf, maaf, maaf. Itu sajalah yang awak tahu. Entah ikhlas ke tidak.”

“Ikhlaslah! Kalau tak ikhlas saya tak cakap. Ni kereta siapa ni? Kereta sewa?” Uzma memeluk tubuhnya.
“Banyaklah kereta sewa. Saya beli tahu! Senang-senang je awak calarkan kereta saya. Saya nak pakai lama tahu kereta ni!”

Uzma mendengus. Dia menjeling.

“P?” Pemuda itu memandang motosikal Uzma yang terlekat hurup P di depannya. “Lesen P rupanya. Nampak sangat penipunya!”

“Hello! Pandai-pandai je cakap orang menipu!!”

“Dah setahun pun saya tengok motor ni! Pelekat P tu, tak buang-buang jugak! Nak tagih simpati pengguna jalanraya yang lainlah tu!!”

“Suka hati sayalah!!” Uzma mengherotkan bibirnya.

Pemuda itu sudah tertawa melihat tingkah Uzma. Uzma yang pada mulanya memasamkan mukanya akhirnya ikut tertawa. Apa lagi yang boleh dikatakan saat ini hanyalah satu perkataan iaitu-bahagia!

“saya takkan pernah melupakan saat itu!”

Uzma memandang wajah di depannya. Iris, itulah wajah yang dirinduinya. “saya pun tak pernah lupakannya.”
“Awak tahu Uzma, dari tahu lalu, saya tertunggu-tunggu kedatangan Ramadan. Hanya kesempatan ini saya mahu gunakan untuk bertemu semula dengan awak.”

Uzma terpana dengan kata-kata Iris. Dia langsung tidak menyangka Iris akan berkata begitu. mungkinkah apa yang ada dalam hatinya sama seperti Iris. Dia juga menyimpan harapan yang sama pada bulan Ramadan ini.

“Adakah awak tertunggu-tunggu kedatangan Ramadan?” Adaka awak tertunggu-tunggu untuk berjumpa dengan saya Uzma? Itulah ayat sebenar Iris.

“Ya. Bulan yang mulia ini telah menemukan saya dan awak.”

Iris memandang sinar harapan yang terpancar dari mata Uzma. Dia tersenyum. Rasanya dia dapat meneka apa yang tersirat di hati kecil Uzma. “Insyaallah, keluarga saya akan pulang beraya di sini. Saya pun dah minta mereka berbincang dengan keluarga awak raya nanti. Awak akan terima, kan?”

Uzma tersenyum. “Insya Allah, jika ditakdirkan jodoh itu milik kita.” Memang dia mahu menyatakan –ya. Memang pelik! Iris langsung tak menyatakan rasa rindu, cinta atau menerangkan tujuannya untuk menyunting Uzma sebagai permaisuri hatinya. Tetapi hati Uzma telah menyatakan itu Kerana itulah dia berani memberi jawapan yang baru dinyatakan.  Namun, biarlah semuanya dalam situasi yang sepatutnya. Yang pasti, harapannya untuk menyambut Ramadan bersama Iris tertunai.

Iris menarik nafas yang panjang. Moga Allah memudah urusan mereka. Amin….

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%



No comments:

Post a Comment