Tuesday, 1 December 2009

Saat Hati Merelakan 5


WES membawa dulang yang berisi dua gelas air lalu diletakkan di hadapan sahabat yang telah lama tidak ditemuinya.


“Minumlah Shid. Air kosong je,” pelawanya.

“Tak pe. Aku datang ni bukan nak minum. Nak melawat kau,” ujar Rashid, teman baik Wes sewaktu di Universiti Sains Malaysia. Rashid meneguk sedikit air putih yang dihidangkan.

“Macam mana kau tahu aku ada di sini?” tanya Wes.

“Tengahari tadi aku jumpa dengan Laila. Dia yang beritahu aku kau ada kat sini,” jelas Rashid. “Aku ingatkan kau takkan balik semula kat sini.”

“Aku pun tak pernah terfikir nak datang Penang lagi. Kebetulan dah ada peluang, aku tak lepaskan,” beritahu Wes. Rashid memandang sekeliling.

“Besar juga rumah kau.”

“Ini bukan rumah aku. Rumah syarikat. Aku ni tumpang je,” jelas Wes.

“Kau datang nak cari Farah?” tanya Rashid lagi. Wes menganggukkan kepalanya. Tentu Laila telah menceritakan segalanya pada Rashid.

“Tapi aku sendiri tak tahu nak cari dia kat mana. Walaupun Penang ni kecil je, manusia kat sini dah macam ikan sardin.” Rashid ketawa kecil mendengar kata-kata Wes. Memang benar, kesesakan lalu lintas yang sering berlaku adalah buktinya.

“Aku pun dah lama tak jumpa dengan Farah. Sejak dia pindah. Tapi..... aku pernah terserempak dengan dia seminggu sebelum dia berangkat ke Negeri Sembilan. Dan selepas itu.....” Rashid menggelengkan kepalanya.

“Negeri Sembilan?!” Wes mengerutkan keningnya. “Untuk apa?”

“Sambung belajar.” Rashid meneguk air kosong yang dihidangkan.

“Farah sambung belajar?” tanya Wes perlahan lalu menghembuskan nafas yang panjang. “Mungkin dia kecewa dengan aku. Sebab itu dia ke sana.” Wes diam seketika. “Tapi, Laila ada beritahu aku yang baru-baru ni dia berjumpa dengan Farah.”

“Aku tahu. Dia ada beritahu aku juga,” terang Rashid. “Mungkin dia dah habis pengajian. Inilah peluang kau.”

“Ya. Inilah peluang aku untuk tebus kembali kesalahan aku meninggalkan Farah dulu,” kata Wes. “Tapi....aku takut kalau-kalau....... apa yang aku inginkan tak menjadi kenyataan.”

“Kenyataan masih jauh. Yang penting hampirinya dulu. Soal yang lain tu, kita serahkan pada takdir,” ujar Rashid. “Aku dengar bakal datuk mentua kau meninggal setahun sebelum majlis akad nikah kau dan Manisa. Betul ke?” Wes menganggukkan kepalanya mengiakan kebenaran.

“Ya.....setahun sebelum hari sepatutnya aku disatukan dengan Manisa. Sebulan selepas tu, aku ditawarkan untuk uruskan syarikat di sini.”

“Pernikahan kau dengan Manisa ditangguhkan hingga bila?” Wes mengangkat kedua-dua bahunya.

“Entah. Aku harap aku dapat jumpa dengan Farah secepat yang mungkin. Kalau terlewat......aku terpaksa,” ujar Wes lemah.

“Aku tak fahamlah. Kalau kau tak mahu, kenapa kau ikutkan juga kehendak keluarga kau?” tanya Rashid. Wes terdiam.

“Sebab......” dia menarik nafas. “.....aku dah berjanji dengan ibu aku yang aku akan kahwin dengan gadis pilihannya. Aku tak sangka pula ibu aku benar-benar mencari seorang calon untuk aku. Aku pernah beritahu tentang Farah pada ibu. Tapi ibu tak setuju sebab dia dah berjanji dengan Aunty Mary, ibu Manisa. Dia malu kalau tak dapat menunaikan janjinya.”

“Habis tu, untuk apa kau cari Farah pula?”

“Aku nak cari Farah untuk bersama dengan dia semula. Tapi aku takkan putuskan pertunangan aku dengan Manisa. Bila aku dah jumpa dengan Farah aku akan pujuk dia berkahwin dengan aku. Lepas tu aku akan berterus terang dengan Manisa. Terpulang pada dia sama ada dia nak jadi isteri nombor dua atau putuskan pertunangan kami.”

“Kenapa kau tak berterus terang saja dengan Manisa yang kau tak cintakan dia?”

“Dah! Tapi katanya, kalau aku tak mahu pada dia, aku yang kena putuskan hubungan kami sedangkan aku sendiri dah janji dengan ibu aku.”

“Jadi itulah perancangan kau.” Kini Rashid mengerti. “Dengarnya macam mudah. Tapi sebenarnya tak mudah seperti yang kau bayangkan. Kalau dibuatnya Manisa setuju jadi isteri nombor dua, apa perasaan Farah?”

Wes mengeluh mendengar pertanyaan Rashid. Jika itu terjadi, pasti Farahymma akan menyesal berkahwin dengannya.

“Aku hanya mampu berdoa agar Manisa putuskan hubungan kami.”

“Lima tahun lepas, kau pulang ke Sabah kerana keluarga kau dah uruskan penikahan kau dengan Manisa. Yang peliknya, macam mana hingga sekarang kau dengan dia masih belum berkahwin?” tanya Rashid yang hairan apabila mendapat tahu Wes dan Manisa masih belum mendirikan rumahtangga.

“Sewaktu sampai di sana, aku diberitahu aku akan ditunangkan dengan Manisa selama setahun. Selepas setahun, salah seorang pengurus di sana letak jawatan jadi aku dinaikkan pangkat. Kerja aku dah semakin bertambah dan ditambahkan lagi dengan kerja-kerja yang tertunggak. Sampai dah over limit.”

“Sebab tu aku minta pernikahan kami ditangguhkan hingga aku dapat stabilkan kerja-kerja aku. Lepas tiga tahun, datuk Manisa meninggal dunia,” cerita Wes.

“Sebulan lepas tu, aku ditawarkan kenaikan pangkat dan akan ditukarkan ke sini. Aku terima tawaran tu.” Rashid mengangguk-anggukkan kepalanya tanda memahami cerita Wes.

“Baru aku faham sekarang. Takdir Tuhan. Mungkin kau dan Farah akan dipertemukan sekali lagi.”

“Ya......aku pun harap begitu.”

“Sekarang aku nak kau ikut aku.” Rashid menggenggam tangan Wes sambil menariknya bangun.

“Nak pergi mana?” tanya Wes yang kelihatan ragu-ragu sambil mengusap dagunya yang dipenuhi rerambut. Rashid memandang saluruh wajah sahabatnya. Rimas!

“Dah.......tak payah banyak soal ikut je.” Dia terus menarik tangan Wes.

“Oiii, kau nak bawa aku pergi mana?” Rashid terus menarik tangan Wes tanpa memperdulikannya.

“Salon!”



HARI yang dinantikan telah tiba. Suasana kelihatan sesak dengan saudara mara serta jiran tetangga. Keriuhan suara kanak-kanak yang bermain dilaman ditambahkan lagi dengan suara ibu-ibu yang sama-sama bergotong-royong di dapur menambahkan lagi kemeriahan yang dirasakan.

Qismyna yang menemani Zila hanya tersenyum memandang sahabatnya. Dia tahu Zila sedang berperang perasaannya sendiri. Adatlah bagi orang yang akan melangkah ke alam baru.

Fikirannya melayang jauh mengingatkan Adam. Seandainya cinta mereka bertahan, tentu sekarang dia seperti Zila yang akan mendirikan rumahtangga. Kemudian, mempunyai cahayamata yang sangat comel. Dia menghembuskan nafasnya.

‘Kalaulah Adam masih bersama......’

“Qis!” panggil Zila. Maya berpaling memandangnya. “Aku nervouslah.”

“Rilekslah.” Qismyna hampir ketawa melihat wajah Zila yang gelisah.

Pada hari itu Qismyna menemani Zila dari rombongan lelaki tiba hinggalah Zila mengikut keluarga suaminya pulang. Dia merasa gembira menyaksikan upacara ijab dan qabul. Kemudian, pengantin perempuan dan lelaki diiringi untuk naik ke pelamin dan bermulalah acara merenjis air mawar.

Pengantin kemudiannya di bawa ke meja santap untuk upacara makan beradap. Dia dapat menyaksikan betapa gembiranya Zila pada hari itu dan dia turut bergembira melihat kebahagiaan sahabatnya.

Setelah majlis selesai Qismyna terus pulang bersama Puan Suria dan Tuan Malik. Badannya terasa letih satu hari suntuk berada di sana.

Sebaik saja sampai di rumah, dia berehat sebentar sebelum membersihkan dirinya. Kemudian, dia berbaring di atas katil. Fikirannya melayang mengingati majlis perkahwinan Zila. Bagaikan tayangan gambar satu persatu bermain di matanya. Tetapi pasangan pengantin bukanlah Zila dan Johan melainkan dia dan Adam.

Alangkah indahnya kalau di saat ini dia melayari bahtera bersama Adam. Mengikat janji untuk sehidup semati. Tak mungkin.....

No comments:

Post a Comment