KAKINYA melangkah menuruni anak-anak tangga
sambil tangannya menggeletek Aiman. Kedengaran Aiman mengekek kegelian. Maisara
menghampiri Rosnah dan Ismail di ruang tamu.
Rosnah yang melihat kelibat Maisara menghampiri
mereka pantas mendapatkan gadis itu. “Macam mana dengan Aiman?” Dia meraba dahi
bayi kecil itu.
“Alhamdulillah... suhunya dah turun.” Maisara
tersenyum.
Kedengaran Rosnah menghembus nafas kelegaan.
“Marilah, Sara. Biar mama jagakan Aiman. Sara pergilah makan. Makan malam dah
sedia dari tadi.” Kasihan pula melihat Maisara yang masih belum menjamah apa-apa
sejak datang tadi.
“Mak cik dengan pak cik tak makan sekali?”
tanya Maisara mesra.
“Papa dan mama baru sudah makan. Sengaja tak
ajak Sara sekali. Takut mengganggu pulak.” Giliran Ismail pula bersuara.
“Pergilah makan. Buat macam rumah sendiri.”
Maisara mengetap bibir. Kalau sedari tadi
Rosnah membahasakan dirinya mama, dia masih boleh berpura-pura tidak kisah.
Tetapi sekarang Ismail pula membahasakan dirinya papa. Berdegup jantung Maisara.
Nampak beria-ia benar kedua-dua mertua arwah kakaknya itu cuba memancingnya. Dia
benar-benar tak selesa dengan keadaan ini.
“Kalau macam tu, Sara ke belakang dulu.”
Maisara berjalan menuju ke meja makan. Cuba melarikan diri daripada mereka
berdua.
Sebaik sahaja tiba, langkah kakinya terhenti.
Nampaknya bukan dia sahaja yang akan berada di situ. Kelibat Fariz juga
kelihatan di situ. Kalau dia menurut kehendak perutnya yang mula bernyanyi minta
diisi, pasti selera makannya akan terganggu. Sangkanya Fariz seperti Ismail dan
Rosnah sudah menikmati makan malam mereka sebentar tadi. Tak sangka dia akan
ditemani oleh Fariz. Tiba-tiba sahaja dia sudah terasa kenyang. Dia memusingkan
badannya untuk berlalu pergi.
“Eh, Non Sara!” Tarti yang baru muncul dari
kamarnya untuk ke dapur menegur Maisara.
Maisara tergadah. Suara Tarti agak kuat. Risau
pula jika Fariz terdengar dan perasan akan kehadirannya di situ. Pantas matanya
beralih memandang Fariz yang sedang duduk di meja makan. Kekhuatirannya menjadi
nyata apabila mata Fariz mula tertancap kepadanya. Tanpa menjawab teguran Tarti,
Maisara melangkah.
“Sara!” Pantas Fariz bangun dari meja makan dan
menghalang Maisara. Dia berdiri di hadapan gadis itu.
“Jomlah makan! Dari tadi
saya tunggu awak.”
“Tak apalah, saya tak lapar.” Maisara memberi
alasan. Dia melarikan diri daripada Fariz. Namun langkahnya terhenti lagi
apabila kelibat Ismail pula muncul dan berdiri di depannya.
“Kenapa, Sara?” Ismail bertanya. “Fariz?”
Mata Ismail beralih memandang Fariz. Baik
Maisara mahupun Fariz kedua-duanya terdiam membisu.
“Ada yang tak kenakah, Sara?” Ismail memandang
Maisara kembali.
Maisara menguntumkan senyuman untuk
menyembunyikan ketegangan yang timbul. “Tak ada apa-apa, pak cik.”
Ismail menarik nafas panjang. Sekilas pandang,
dia tahu ada sesuatu yang tak kena antara mereka berdua. Namun melihatkan
keengganan Maisara yang seakan-akan cuba menyembunyikan sesuatu, dia hanya
menganggukkan kepalanya dan menerima jawapan itu.
“Kalau macam tu, Sara pergilah makan,” suruh
Ismail. “Fariz.” Dia memandang Fariz pula. “Temankan Sara. Jangan biarkan tetamu
makan sendirian.”
Setelah berkata begitu, Ismail berlalu pergi.
Fariz tersenyum memandang kelibat papanya yang
semakin hilang di balik dinding yang memisahkan ruang tamu dan ruang makan.
Terasa seolah-olah keadaan memihak kepadanya.
“Mari, Sara,” pelawa Fariz.
Tanpa memandang wajah Fariz, dia berjalan ke
meja makan dan tanpa dipelawa, dia mencedok nasi dan meletak di pinggan kosong
yang berada di depannya. Kemudian dia mengambil seketul ayam sambal dan sedikit
sayur goreng ke dalam pinggannya. Setelah membaca bismillah dan doa makan, dia
terus menyuap nasi ke dalam mulutnya tanpa mempedulikan Fariz yang sedari tadi
memerhatinya.
Melihatkan ketidaksudian Maisara untuk mencedok
nasi dan mengisi lauk ke dalam pinggannya, akhirnya dengan berat hati Fariz
melayan dirinya sendiri. Self service!
Fariz mula terkenangkan kenangan lalu, di mana
setiap kali dia dan Maisara keluar bersama, gadis itu yang sentiasa memilih dan
mencedokkan lauk untuknya. Dia mula terasa rindu dengan layanan seperti
itu.
Maisara melirik Fariz yang seperti hilang dari
dunia nyata. Terkilankah lelaki itu dengan sikapnya? Rasa bersalah mula tumbuh
dalam hatinya. Namun pantas dia mematikan perasaan itu agar tidak lagi timbul di
hatinya. Untuk apa dia perlu rasa bersalah dengan perbuatannya? Fariz berhak
menerima layanan seperti itu. Kenapa aku perlu bersusah hati untuk lelaki tak
guna ni? He deserved it. Aku bukan isteri atau sesiapa untuk dia. Lagipun,
bukankah aku tetamu di rumah ni? Sepatutnya aku yang diberi layanan
istimewa!
USAI menyudahkan makan malam, Maisara melangkah
ke ruang tamu tanpa menunggu Fariz yang masih belum menyudahkan hidangannya.
Biarlah... Kan ada Tarti yang akan menemaninya. Memang benar, sebelum Maisara
berlalu dari ruang makan tadi, Tarti ada menjengah dan bertanya jika mereka
masih memerlukan apa-apa.
“Pak cik, mak cik, ” tegur Maisara. Dia duduk
di samping Rosnah lalu mengambil Aiman daripada Rosnah. Pipi gebu Aiman
dicium.
“Dah makan? Macam mana dengan masakan?” tanya
Rosnah.
“Alhamdulillah... Sedap. Mak cik masak?” balas
Maisara sekadar berbual.
“Tak! Tarti yang masak. Tak sempatlah nak masak
bila Aiman dah demam macam ni. Ini pun nasib baik Sara datang. Mama dah
tenggelam punca bila Aiman asyik menangis aje.”
Maisara hanya tersenyum. “Pak cik, mak cik,”
panggilnya. “Dah lama benar Sara di sini. Sara nak minta diri dululah. Lagipun,
esok Sara kerja.”
“Sara dah nak balik?” Tercengang Rosnah
mendengarnya. “Kan dah lewat malam. Tidur sini ajelah.” Kalau boleh, dia tak
mahu Maisara pulang. Aiman masih memerlukan Maisara.
“Betul kata mama, tidur sini ajelah! Nanti papa
telefon abah,” ujar Ismail pula. Ismail sudah mengeluarkan telefon bimbit dari
kocek seluarnya.
Maisara sudah terkejut melihat Ismail menekan
punat telefon bimbitnya. Lidahnya terasa kelu. Namun pantas akalnya mengejutkan
Maisara agar mencari jalan untuk melepaskan diri.
“Tak payah, papa!” Tiba-tiba sahaja terpancul
perkataan papa dari bibir Maisara. Dia sendiri tergamam dengan tutur
katanya.
Rosnah dan Ismail berpandangan sambil
tersenyum. Mereka merasa senang dengan panggilan tersebut. Nampaknya usaha
mereka sudah mula menampakkan hasilnya. Biarpun sedikit, masih boleh
dibanggakan.
“Sara tak boleh! Esok Sara kerja.”
Tergagap-gagap Maisara berkata.
“Macam ni...” Rosnah menepuk paha Maisara.
“Malam ni, Sara tidur dengan Aiman. Esok pagi, biar Fariz hantar Sara ke tempat
kerja,” usulnya.
“Tapi Sara tak bawa baju.”
“Tak apa. Banyak baju dan barang-barang Kak Su
ada di sini. Nanti mama suruh Fariz bawakan semua barang Kak Su ke bilik Aiman.”
Tanpa berlengah lagi, laju kakinya diayun mencari Fariz sambil tersenyum
gembira.
Maisara pula tergamam di situ.
**************************************
No comments:
Post a Comment