Friday, 11 June 2010

Hanya Dia 29


BAB 29


FARIZ beratur untuk membeli tiket masuk ke Underwater World yang letaknya tidak jauh dari resort. Setelah membayar dan mendapatkan tiket, mereka masuk ke dalam.
Walaupun berkali-kali Maisara sudah tiba di Langkawi, tetapi inilah pertama kali dia menjejakkan kaki ke dunia lautan ini.
Memang cukup mengagumkan. Pelbagai jenis ikan dan hidupan laut yang terdapat di situ. Akurium kaca yang sangat tebal digunakan untuk memisahkan antara hidupan laut.
Beberapa kali gambar pelbagai jenis ikan diambil, terpaksa dipadam semula kerana latar belakangnya menjadi gelap. Begitu juga dengan Fariz. Mungkin kerana kacanya terlalu tebal sehingga latar belakangnya menjadi gelap. Hanya ikan-ikan yang menghampiri cermin kaca sahaja dapat diambil gambarnya.
Ketika tiba di kawasan kaca yang luas yang menempatkan hampir dua puluh ekor penguin, Aiman melompat-lompat meminta Maisara mendukungnya. Mungkin telatah beberapa ekor penguin yang tingginya melebihi Aiman, menakutkannya.
Tetapi lama-kelamaan Aiman kelihatan gembira pula melihat penguin-pengguin itu terkedek-kedek berjalan. Berdekeh-dekeh tawanya.
Beberapa foto penguin juga diambil walaupun latar belakangnya tetap nampak gelap. Kemudian, Fariz meletakkan Aiman di kaca yang berlatar belakangkan beberapa ekor penguin yang sedang berdiri memerhatikan mereka, lalu mengambil foto Aiman beberapa keping.
Mereka bergerak lagi berjalan masuk ke dalam. Tiba mereka di akuarium di mana sekeliling mereka adalah hidupan lautan melainkan lantai yang mereka jejaki. Mereka benar-benar terasa seperti mereka berada di dalam laut. Dan lebih menyeramkan, di atas kepala, di kiri dan kanan, terdapat banyak ekor ikan jerung yang sedang melintas. Pergerakkan yang pantas dan renungan mata yang tajam benar-benar melihatkan ikan-ikan jerung itu sebagai haiwan pemangsa yang perlu digeruni.
Melepasi sahaja ikan-ikan jerung itu, hanya ikan-ikan biasa sahaja yang terdapat di sepanjang perjalanan sehinggalah mereka tiba di satu sudut yang menempatkan rumah-rumah lama yang dibina kecil. Beberapa kepingan foto juga diambil dan kemudian mereka bergerak semula.
Kali ini mereka tiba di akuarium yang kecil yang menempatkan beberapa ekor haiwan yang jarang ditemui. Sampai di satu sudut di mana beberapa kuda laut sedang berenang-renang, perhatian mereka tertumpu di situ.
Kuda-kuda laut itu kelihatan bagaikan patung yang sedang bergerak-gerak. Sungguh mengagumkan. Apa yang lebih menarik perhatian mereka, seekor kuda laut yang bewarna hijau muda. Anggota badannya seperti ditumbuhi dedaun hijau. Sekali pandang kelihatan seperti ranting kayu yang bewarna hijau muda dan di kiri kanannya dilitupi dedaunan. Kebanyakan pelancong di situ juga kelihatan benar-benar terpegun melihat kuda laut itu.
Setelah keluar dari akuarium, mereka berjalan-jalan di sekitar tasik dan kemudian mengambil keputusan untuk makan tengahari di situ.
Aiman, yang sudah keletihan tertidur sebaik sahaja Maisara memberinya minum susu. Rasa kasihan pula, kerana Aiman belum pun sempat memakan sesuap nasi. Mujurlah dia membawa bekas kosong. Bolehlah dia menyimpan sedikit makanan untuk Aiman nanti.

DESTINASI mereka yang seterusnya adalah di Gunung Mat Cincang. Mengikut sejarah Langkawi, Gunung Mat Cincang diberi nama sempena nama pahlawan Mat Cincang yang lari bersembunyi di gunung itu. Di percayai Mat Cincang mati di situ dan sehingga kini tidak ditemui.
Setelah beratur hampir satu jam lamanya, akhirnya mereka dapat juga menaiki kereta kabel. Ketika kereta kabel itu mula bergerak, memang terasa takut dan sedikit gayat. Tetapi, Alhamdulillah.....mereka dapat menenangkan diri.
Sepanjang perjalanan menaiki Gunung Mat Cincang, video cam tidak lekang dari tangan Fariz. Begitu asyik dia merakam kehijauan alam dan puncak Gunang Mat Cincang dari kereta kebel yang mereka naiki sehinggalah mereka tiba di puncak. Tidak lupa juga dia merakam gelagat Aiman dan juga Maisara.
Sebaik sahaja mereka menjejakkan kaki keluar dari kereta kebel itu, satu perasaan yang menyeramkan timbul dari hati Maisara. Masakan tidak, melihat pada titi kayu yang menghubungkan dua puncak di Gunung Mat Cincang itu, sudah menggerunkan hatinya. Tarti juga kelihatan takut.
Namun, sengaja dia memujuk Tarti dengan kata-kata untuk memberanikan pembantunya itu dalam masa yang sama seperti dia berkata kepada dirinya sendiri. Aiman yang tidak tahu bahaya itu sudah berlari-lari kecil. Gembira melihat titi-titi yang luas itu. Sedangkan Maisara sudah terkial-kial mengejarnya.
Fariz yang menyedari kerisauan Maisara, pantas menangkap Aiman dan mendukungnya. Lega hati Maisara melihat Aiman yang sudah berada dengan papanya.
Perlahan-lahan mereka menyusuri titi-titi itu untuk ke salah satu puncak. Di setiap puncak, didirikan satu kawasan yang luas berbentuk bulatan, untuk para pelancong melihat pemandangan.
Tatkala mereka tiba di kawasan yang luas itu, terdapat satu anak tangga untuk naik ke paras yang lebih tinggi. Mereka memberanikan diri untuk memanjat tangga-tangga itu dan ke aras yang lebih tinggi.
Di ketinggian sebegini, jelas mereka dapat melihat bentuk bumi yang membulat. Lautan yang membiru benar-benar kelihatan melengkung. Tidak lama berada di situ, mereka berjalan semula untuk ke puncak satu lagi.
Agak lama juga mereka berjalan-jalan di situ. Setelah matahati mula kelihatan jatuh barulah mereka memutuskan untuk turun dari situ.

MALAM itu seperti janji Fariz, mereka semua ke gerai pizza yang terletak di depan jalan resort.
Pizza sate yang sudah lama diidamkan Maisara, akhirnya dapat juga dinikmati! Tersenyum Fariz melihat wajah Maisara yang sedari tadi ceria setelah dapat makan apa yang diidamkan.

No comments:

Post a Comment