Friday 9 July 2010

Hanya Dia 32


BAB 32



SUARA azan yang sayup-sayup kedengaran dari masjid yang berdekatan membuatkan Maisara terus bangun dari pembaringannya.
Dia menadah tangan membaca doa bangun tidur lalu beristighfar beberapakali. Dia beralih memandang Aiman yang masih tidur selepas bangun minum susu jam empat pagi tadi.
Kini pandangannya jatuh pula pada kelibat Fariz. Dia hanya menyedari kelibat itu yang sedang berbaring di sofa ketika dia bangun untuk memberi Aiman susu. Maisara mengeluh. Entah jam berapa lelaki itu pulang langsung tidak disedari. Walaupun dia sendiri tidak mahu mengambil tahu hal Fariz tetapi entah mengapa dia sentiasa khuatir jika lelaki itu pulang lewat.
Perlahan-lahan Maisara bangun ke bilik air untuk membersihkan diri. Selepas mandi dan berwuduk, Maisara mengerjakan solat Subuh.
Usai menyudahkan solat Subuh, Maisara melangkah ke birai katil dan melabuhkan punggungnya di sebelah Aiman. Rambut halus Aiman di usap sambil bibirnya mengukir senyuman.
Ralit benar dia menetap wajah comel itu sehingga menyebabkan dia terkejut apabila alarm telefon Fariz berbunyi. Dia mengurut dadanya untuk menghilangkan debarannya. Matanya melirik kelibat Fariz yang sudah pun bangun lalu menuju ke kamar mandi.
Maisara mengangkat tubuh Aiman lalu turun ke membawanya ke sebuah lagi kamar bayi di tingkat bawah.
Selepaskan membaringkan Aiman di situ, dia menghilang diri ke dapur untuk menyediakan sarapan.
Mulanya niat di hati untuk ke pejabat semula, tetapi dia merasa culas pula. Lagipun cuti yang dipohonnya masih ada baki tiga hari lagi. Esok sahaja dia ke pejabat dan membatalkan cutinya yang lain.
Ketika dia menghidangkan sarapan, kelihatan Fariz sudah berada di situ bersama Ismail.
“Jemput makan, papa,” pelawa Maisara.
“Papa saja?” tanya Fariz separuh sindiran.
Maisara mengerling Fariz tajam. Sengaja lelaki itu memalukannya di depan papa.
Melihatkan wajah Maisara yang sudah berubah, Ismail pantas mengerling Fariz. Fariz berlagak selamba dan pura-pura tidak mengerti.
“Mama ke mana? Tak nampak pun?” tanya Maisara tanpa mengambil peduli teguran Fariz tadi.
“Mama dah keluar ke pasar dengan Tarti.”
Maisara terangguk-angguk. Patutlah dia tidak nampak kelibat mereka berdua. Jika tidak tentu mereka berdua sudah menjengah ke dapur untuk menyediakan sarapan.
“Aiman masih tidur?” tanya Fariz sambil menyuap nasi goreng ke mulutnya.
Maisara tersenyum melihat Ismail dan Fariz yang kelihatan berselera walaupun dia sekadar menyediakan nasi goreng biasa yang hanya dimasaknya jika barang dapur sudah kehabisan.
“Ada dalam bilik. Tidur,” jawab Maisara.
Perbualan mereka tamat di situ sehinggalah masing-masing sudah menghabiskan sarapan pagi mereka.
Selepas membersihkan dapur dan membasuh semua pinggan dan cawan yang digunakan, Maisara melangkah untuk melihat Aiman di kamar. Mana tahu kalau-kalau Aiman sudah berjaga dan sedang bersendirian di kamar itu.
Sampai sahaja di pintu kamar yang ternganga luas, langkah Maisara terhenti apabila kelibat Fariz ada di dalam dan sedang bermain dengan Aiman.
Sebentar tadi dia mendengar bunyi enjin kereta yang meluru keluar dari halaman. Sangkanya Fariz akan ke pejabat dengan papa. Tetapi lelaki itu masih di sini.
“Awak tak ke pejabat?”
Pandangannya jatuh pada penampilan Fariz yang hanya berseluar pendek dan berkemeja T. Ketika mereka sedang bersarapan tadi, dia langsung tidak perasankan penampilan Fariz itu.
Fariz yang membelakangkan Maisara berpaling memandang isterinya apabila mendengar suara itu. kemudian, dia kembali berpaling semula pada Aiman sambil mengusap rambut anaknya.
Nampaknya, Maisara memang tidak pernah mengambil kisah tentangnya. Takkanlah dia berpakaian begini, Maisara masih bertanyakan soalan itu?
“Tak. Tapi kejap lagi saya nak keluar. Ada hal sikit,” ujar Fariz tanpa memandang Maisara.
“Aiman, hari ni Aiman tinggal dengan mama ye......papa ada kerja sikit.”
Pipi gebu Aiman dicubit manja. Aiman ketawa sambil menepuk tangannya. Fariz tersenyum melihat gelagat Aiman.
Maisara mula rasa tidak senang mendengar begitu. Entah mengapa hatinya memberitahu Fariz akan keluar untuk berjumpa dengan Ilyana.
“Awak nak keluar dengan Ilyana?” tanya Maisara tanpa berselindung.
Fariz tersenyum mendengar soalan yang berbaur cemburu itu. Tapi benarkah Maisara cemburu? Dia mencium dahi Aiman lalu berdiri dan berdepan dengan Maisara. Mata mereka bertentang seketika.
Faris pasti, di mata itu masih menunjukkan sinar cinta padanya. Walaupun berkali-kali Maisara menyatakan cintanya telah hilang. Namun jauh di dalam matanya masih tersimpan rasa sayang. Fariz pasti tentang itu!
Perlahan-lahan dia mengangkat tangannya lalu menyentuh pipi Maisara. Melihat reaksi Maisara yang tidak menolak untuk disentuh, satu lagi tangannya diangkat dan mengusap kedua-dua belah pipi Maisara.
“Awak masih cintakan saya!” Dengan rasa yakin dan pasti Fariz berkata begitu.
Maisara mula tersedar dengan kealpaannya. Pantas dia menolak tangan Fariz lalu berjalan membelakangkan lelaki itu dan mendekati Aiman.
“Awak cemburu hubungan saya dengan Ilyana,kan?” tanya Fariz sambil memusingkan tubuhnya memandang Maisara yang duduk membelakangkannya.
Maisara menyumpah-nyumpah di dalam hati. Kenapa dia sanggup membiarkan Fariz menyentuhnya sehingga lelaki itu mula menyangka yang bukan-bukan! Pasti saat ini Fariz mentertawakannya.
“Ilyana dengan saya tak de apa-apa. We’re just a friend! Apa yang berlaku dulu semua satu rancangan. Awak pun tahu,kan. Saya dah terangkan semuanya pada awak.”
Maisara menjeling Fariz. Dia mula rasa meluat apabila Fariz berkata begitu. Memang Fariz pernah memberitahunya tentang itu. Tetapi bagaimana pula keadaan yang dilihatnya di saat Fariz dan Ilyana berpelukan? Lelaki itu memang tak boleh dipercayai!
“Saya tak cemburu! Tak de sebab untuk saya cemburu! Kalau apa yang berlaku dulu tidak benar pun, semuanya tak bermakna apa-apa untuk saya!”
Maisara cuba menyakitkan hati Fariz kembali dan dalam masa yang sama cuba memberitahu Fariz yang dia takkan terpedaya dengan permainan Fariz!
Fariz menggelengkan kepalanya. Dia kesal dengan Maisara. Kenapa sukar untuk isterinya itu membuka peluang mengenalinya sekali lagi?
“Tak baik membohongi diri sendiri!” ujar Fariz lalu berlalu pergi. Sempat dia menghadiahkan satu ciuman untuk Aiman.
Maisara tersandar di birai katil. Satu keluhan dilepaskan.
Betul ke aku masih cintakan dia?

MEREKA berdua ketawa geli hati dengan keletah Aiman. Melihatkan tok mama dan mamanya ketawa dengan tingkahnya, Aiman melakukannya sekali lagi. Dia berpusing-pusing sehingga pening lalu terjatuh.
Maisara mengangkat tubuh kecil Aiman ke pangkuannya lalu memeluknya erat.
“Dah lah tu sayang.......kan dah pening tu,” Maisara mengusap pipi Aiman.
Sebakul mainan dikeluarkan di depan Aiman lalu meletakkan anak itu ke bawah. Aiman bersorak girang melihat mainan yang bertaburan itu.
Rosnah tersenyum melihat kemesraan mereka berdua. Walaupun Aiman bukanlah anak yang lahir dari rahim Maisara, namun Maisara sangat menyayanginya. Syukurlah, walaupun Maisara kelihatan terdesak untuk menerima Fariz sekurang-kurangnya dia pasti cucunya akan mendapat kehidupan yang sempurna dengan didikan Maisara.
“Sara tak terfikir ke nak tinggal berasingan dan belajar hidup berdikari?”
Maisara beralih memandang Rosnah apabila Rosnah tiba-tiba bertanya soalan itu.
Memang dia ada terfikir tentang itu. Tapi rasanya dia masih belum bersedia untuk tinggal di dunia yang hanya akan menjeratnya.
“Entahlah mama. Sara masih belum terfikir ke arah tu. Lagi pun, Fariz sendiri tak de kata apa-apa,” beritahu Maisara. “Kenapa? Fariz ada beritahu mama dia tak selesa tinggal di sana?” Maisara sudah mula berfikir yang bukan-bukan.
“Tak.....Bukan macam tu! Cuma rasanya setiap keluarga yang dibina sepatutnya ada kehidupan sendiri. Lebih privacy!”
“Entahlah mama....Nantilah Sara bincang dengan Fariz,” Maisara menamatkan perbualan mereka. Dia tidak mahu mama terus-terusan bertanya. Dia takut segala rahsia akan terbongkar.
Rosnah berpaling lalu melangkah ke pintu utama apabila terdengar deruan enjin kereta masuk ke perkarangan rumah.
“Sara! Sara!” panggil Rosnah yang masih lagi berdiri di depan pintu utama.
Maisara beralih memandang Rosnah yang sedang melambai-lambai padanya. Dia memangku Aiman lalu menghampiri Rosnah. Rosnah yang melihat Maisara mendukung Aiman lalu mengambil cucunya itu dari pangkuan Maisara.
Maisara menjenguk ke halaman rumah. Kelihatan Fariz sedang berdiri di sebelah sebuah Swift bewarna biru. Fariz memanggil Maisara agar datang kepadanya.
Maisara memandang Rosnah. Dia kelihatan ragu-ragu untuk menghampiri Fariz. Rosnah mengangguk seolah-olah menyuruh Maisara mendekati Fariz. Maisara menurut.
Fariz tersenyum melihat Maisara yang sedang berjalan menghampirinya. Sampai sahaja di depannya, lantas dia menyerahkan kunci pada Maisara. Maisara kelihatan ragu-ragu untuk mengambilnya.
“Ambillah....” Fariz mencapai tangan Maisara lalu meletakkan kunci kereta ke dalam genggamannya.
“Kereta siapa ni?”
“Untuk awak!” ujar Fariz lagi. “Mulai hari ini saya tak nak awak tumpang Hanum lagi atau siapa-siapa pun.”
“Tapi saya tak perlukan kereta ni!” Maisara menolak.
Dia berkahwin dengan Fariz semata-mata kerana Aiman. Bukan untuk harta atau wang ringgit lelaki itu.
“Awak perlukannya! Dan saya berikan pada awak untuk awak gunakan!” tegas Fariz dengan pendiriannya.
Dia tetap mahu Maisara mempunyai kenderaan sendiri. Dia tidak mahu Maisara berharap pada orang lain atau kenderaan lain untuk ke mana-mana.
“Kalau saya perlukan pun, saya akan beli sendiri bila saya mampu!” Maisara tetap menolak.
Kata-kata Maisara itu membuatkan Fariz merasa kurang senang.
“Saya tahu dan saya faham yang awak memang langsung tak iktiraf saya sebagai suami awak. Apa yang berlaku sekarang ni semuanya untuk Aiman, kan? Saya faham tu! Tapi, benarkan saya jalankan tanggungjawab saya sebagai seorang suami!”
Maisara terdiam seketika. Antara entah dan tidak dia merasakan sedikit sebanyak kata-kata Fariz itu menusuk ke hatinya.
“Saya selesa tumpang Hanum. Lagipun, dia tak kisah....” Maisara masih berdolak-dalik.
“Saya tahu! Sesekali kalau awak nak tumpang kereta dia, saya tak kisah. Tapi, saya tak nak bila Hanum tiba-tiba ada hal kecemasan dan pulang awal, ada ‘driver’ lain pulak yang tolong hantar awak!”
Driver lain?!
Berkerut dahi Maisara memikirkan kata-kata Fariz. Kemudian dia merenung lelaki itu.
“Maksud awak, Encik Zack?” tanya Maisara yang mula merasa tidak selesa.
Mungkinkah itu yang dimaksudkan Fariz? Mungkinkah Fariz pernah melihat dia dihantar pulang oleh Encik Zack dahulu?
“Itu yang awak maksudkan, kan?!” tanya Maisara lagi apabila soalannya tidak mendapat respon dari lelaki itu. Kenapa lelaki itu suka mencurigainya?!
“Entahlah.....awak fikirlah sendiri!”
Fariz sudah pun menghilangkan diri ke dalam. Dia tidak mahu perkara itu dipanjangkan. Dia pasti Maisara tidak pernah menjalinkan apa-apa hubungan dengan Zack. Tetapi dia yakin, Zack akan sentiasa berusaha untuk mendekati Maisara. Itu yang merunsingkannya.
Maisara memejam matanya sebentar sambil menghembuskan nafasnya perlahan. Dia cuba untuk menenangkan diri.
Kenapa Fariz suka menuduhnya begitu? Kali terakhir Encik Zack menghantarnya pulang ketika mereka masih belum berkahwin. Fariz tak sepatutnya mengaitkan Encik Zack dalam perkara ini!

3 comments:

  1. best sgt..x saba nak tgu next episode..

    ReplyDelete
  2. cian fariz...............please sara........let him in.................hehheeeeeeee

    ReplyDelete
  3. best citer ni.fariz mesti kena sabar sket sbb sara dh lm terluka hati dia tu...cepat2 smbg ye..

    ReplyDelete