Friday, 1 October 2010

Hanya Dia 40

BAB 40


MAISARA dan Hanum bersama teman-teman lain berhenti berehat di pohon-pohon rendang di sisiran pantai. Melepaskan penat lelah selepas sahaja menjalani aktiviti pantai.

Kini hanya tinggal satu sahaja lagi aktiviti selepas minum petang. Kemudian, aktiviti bebas sehingga solat Isyak. Setelah itu mereka akan berangkat pulang dari hotel.

“Okey semua..........aktiviti kita petang ni berakhir di sini. Jangan lupa sambungan aktiviti kita selepas minum petang nanti. Saya nak kamu semua tunggu di dewan......” Belum sempat fasilitator Zaidi Menghabiskan ujarannya, seorang lagi pembantunya menghampiri dan membisikkan sesuatu di telinganya.

Semua pesarta kelihatan terpinga-pinga dan berpandangan sesama sendiri. Fasilitator Zaisi terangguk-angguk mendengar berita yang baru disampaikan padanya. Setelah berbual serba sedikit dengan berita yang baru di terima. Fasilitator Zaidi menghampiri para peserta semula.

“Saya ada satu berita penting untuk di sampaikan. Selepas minum petang nanti, saya mahu kamu semua tunggu di dewan sebelum jam lima petang. Aktiviti terakhir kita akan dimulakan lebih awal kerana kita akan menerima tetamu. Jadi.........”

“Siapa?” kedengaran suara seorang peserta lelaki yang memotong percakapannya.

“Nak tahu ke siapa?” tanya fasilitator Zaidi sekadar untuk mengusik para peserta. Kedengaran beberapa suara yang turut mahu mengetahui gerangan siapa yang bakal tiba.

“Rahsia.....”

Ada keluh kesah kedengaran sebaik sahaja fasilitator Zaidi keberatan untuk memberitahu gerangan tetamu yang dimaksudkan.

“Maaf semua ye.......Ini permintaan tetamu kita sendiri untuk merahsiakan. Tapi saya pasti kita semua memang tertunggu-tunggu kedatangan tetamu ini dan kita sangatlah berbesar hati kerana beliau sudi meluangkan masa untuk datang ke sini bersama-sama kita.”

“Jadi, kalau anda semua nak tahu siapa dia........petang ni, jangan lupa hadirkan diri untuk aktiviti yang terakhir! Okey, kita jumpa nanti. Boleh bersurai sekarang!”

Masing-masing sudah mengangkat punggung untuk membawa haluan masing-masing. Hanum dan Maisara beriringan untuk ke bilik semula.

“Sara, karang minum petang aku malas nak turunlah. Aku ingat aku minum tea aje kat bilik,” beritahu Hanum.

Memang dia agak malas untuk turun ke restoran. Aktiviti pagi ini yang memerlukan mereka untuk mengerah tenaga fizik memang amat meletihkan. Tatkala ini di bayangan Hanum hanya terimbas katil empuk di dalam suite untuk berbaring melepaskan segala keletihan.

Tetapi itu bukanlah isu penting mengapa dia memutuskan begitu. Semuanya kerana moodnya telah berubah setelah beberapa mendengar perkara yang tidak elok dari beberapa teman sekumpulannya tadi. Setiap bicara mereka masih terngiang-ngiang di telinga Hanum.

“Yelah. Aku pun fikir macam tu. Dah lama tak bersukan. Bila kena buat aktiviti macam ni........heh.......rasa macam nak pitam!”

Hanum tertawa kecil mendengar rungutan Maisara. memang benar kata Maisara. Bukan mudah untuk melakukan aktiviti lasak sebegini setelah lama meninggalkannya.

Sampai sahaja di suite, masing-masing sudah terbaring di katil. Hanya hembusan nafas keletihan yang kedengaran di ruang besar itu.

“Sara......”

Panggilan Hanum membuang segala kesunyian. Maisara menoleh kepalanya ke kiri memandang Hanum yang terlentang di sebelah kirinya.

“Aku sebenarnya nak minta maaf pada kau!”

“Maaf?” Berkerut kening Maisara seraya memandang tepat ke wajah Hanum. “Untuk apa?”

“Entahlah........Bagi aku, kau kawan terbaik yang pernah aku ada. Setiap kali orang bercerita yang bukan-bukan tentang kau, aku akan terasa sakitnya kembali....” Hanum sudah duduk tegak di atas katil lalu membetulkan bantal dibelakangnya untuk disandar.

Sewaktu mereka sedang menjalani aktiviti sebentar tadi, Hanum dan Maisara telah terpisah setelah beberapa kumpulan dibentuk. Ketika itulah dia terdengar beberapa suara yang asyik berbual tentang hubungan Maisara dengan Encik Zack. Kalau mereka hanya berbual biasa, mungkin dia tidak terlalu ambil peduli.

Namun, banyak kata-kata yang menyakitkan hati dilemparkan buat Maisara sehingga membuatkan dia merasa tidak senang. Ingin sahaja dia berdepan dengan mereka dan membela Maisara. Tetapi jika dia berbuat demikian tentu sesuatu yang lebih buruk akan berlaku.

“Ya......sebagai seorang sahabat, aku perlu membela sahabatnya jika sahabat itu disakiti dan dicemari namanya. Tapi aku tak dapat melakukan itu.....”

“Maksud kau?” Maisara sudah terduduk seperti Hanum. Dia cuba memberi tumpuan sepenuhnya untuk apa yang ingin dikatakan sahabatnya itu.

“Aku minta maaf kerana kadang-kadang, aku rasa kau seperti berbohong dengan aku!”

Tergamam dia dengan kata-kata Hanum. Direnung wajah Hanum dengan penuh kekeliruan.

Hanum tahu, lidahnya terlalu lancang berkata begitu. Tetapi setiap apa yang dikatakan memang lahir dari hatinya sendiri. Memang dia merasa begitu.

“Aku tahu. Aku tak patut kata macam tu pada kau! Cuma.....entahlah!” Ada nada hampa di situ.

“Tak pe.....Aku faham! Dan aku takkan pertikaikannya!” Satu keluhan keluar dari bibir Maisara. “Semuanya tentang hubungan aku dengan Encik Zack,kan?”

“Betul ke aku dengar Encik Zack selalu hubungi kau?” tanya Hanum lagi. “Look, aku bukan nak masuk campur dengan hal peribadi kau. Kalau benar kau ada hubungan dengan dia, aku tak de masalah. Cuma, aku mahu kau jangan menafikannya kalau benar. Semua orang tak suka bila kau nafikan tapi setiap hari kau berhubungan dengan Encik Zack!”

“Tak Hanum! Aku tak de apa-apa hubungan dengan Encik Zack! Memang Encik Zack ada hubungi aku tapi bagi aku, aku tak pernah menganggap Encik Zack tu lebih dah seorang bos!”

Maisara meraup mukanya dengan tapak tangan. Dia hairan dari mana mereka semua tahu tentang hal ni?

“Aku hairanlah, macam mana semua orang boleh tahu?”

Hanum memandang Maisara lalu mengangkat bahu tanda tidak tahu.

“Dari apa yang aku lihat, Encik Zack memang ada hati dengan kau. Kalau tak pernah ada rasa sayang pada dia, lebih baik kau berterus terang. Tak baik mainkan hati orang!”

Sekali lagi Maisara menghembuskan nafas panjang. Memang dia ada terfikirkan perkara itu. Tapi setiap kali dia ingin berbuat begitu, dia rasa tak punya kekuatan untuk berterus-terang dengan Encik Zack. Kerana itu dia cuba sedaya upaya untuk menjauhkan diri dari lelaki itu.

“Sebenarnya, tak de salahnya kalau kau dengan........Encik Zack. Tapi, kalau boleh janganlah terang-terangan sangat. Bukan semua orang senang melihat kebahagiaan kita!”

“Aku faham. Tapi masalahnya, aku sikit pun tak de hati dengan dia! Tapi aku tak berani nak berterus terang!” Maisara mengetap bibirnya.

Hanum melihat Maisara yang lagi berkecamuk fikirannya. Melihatkan dari penampilan dan kewibaan Encik Zack, pada dasarnya dia memang suka jika Maisara menerima lelaki itu.

“Apa kata kau cuba dulu.......” usul Hanum dengan was-was.

Maisara berpaling memandang Hanum dengan pantas. Kemudian dia ketawa kelucuan. Bagaimana dia boleh menerima lelaki lain sedangkan statusnya tidak membenarkan. Tapi, seandainya dia masih belum berkahwin dengan Fariz dia juga tidak akan menerima Encik Zack kerana lelaki itu tiada dalam hatinya.

“Apa yang lucunya?” Hanum menjeling.

“Merepek je kau ni!” Bahu Hanum ditampar mesra. “Hati tak boleh dipaksa!”

Hanum menggelengkan kepalanya beberapakali. Jawapan Maisara benar-benar mengundang persoalan di hatinya.

“Punya ramailah awek kat luar sana tu beratur nak tackle Encik Zack, yang kau dah memang ternyata dapat pikat dia boleh kau tolak mentah-mentah......”

Maisara mengangkat bahu dan hanya tersenyum.



1 comment:

  1. CEPAT LE SAMBUNG X SABAR NAK BACA CERITANYA

    ReplyDelete