Thursday, 14 October 2010

Hanya Dia 41

BAB 41




KAKITANGAN yang bernaung di bawah Infera Emas dan anak-anak syarikat yang menyertai program berpasukan itu akhirnya kembali berkumpul di dewan setelah aktiviti mereka yang terakhir baru sahaja selesai berlangsung.

Sementara menunggu di setiap meja makan, mereka berbual sambil menikmati hidangan yang terakhir di situ untuk membiarkan masa berlalu memandangkan tetamu penting yang dikatakan petang tadi masih belum tiba.

“Perhatian kepada semua peserta!” suara fasilatator Zaidi bergema di dewan makan.

Perhatian masing-masing sudah beralih memandang fasilitator Zaidi yang sedang berdiri di ruang utama dewan.

“Saya perkenalkan kepada Pengarah Infera Emas dan anak kepada pemegang saham terbesar iaitu, Encik Fariz Haji Ismail!”

Maisara yang baru sahaja memasukkan hidangan ke dalam mulutnya hampir sahaja tersembur sebaik sahaja nama Fariz di sebut. Dia terbatuk sedikit lalu menyapu mulutnya dengan kain kuning yang disediakan dan perhatiannya mula beralih di ruang utama dewan.

Fariz!!

“Kau okey ke Sara?” tanya Hanum. Maisara mengangguk lalu perhatiannya kembali pada Fariz yang sudah mula berjalan masuk dari pintu utama dewan lalu menghampiri mikrofon di ruang utama setelah dipanggil untuk memberi sepatah dua kata.

“Eh......lelaki tu, kan.....” Hanum seperti teringatkan sesuatu. “Bukan dia yang selalu datang ke office dengan Mr. Lim?”

Hanum memandang Maisara dan mengharapkan Maisara juga masih teringatkan wajah yang pernah dilihat beberapa kali bersama dengan Mr. Lim.

Memang ramai kakitangan yang kurang mengenali Fariz kerana lelaki itu jarang sekali datang ke anak syarikat. Jika ada pun, biasanya jarang ada yang mengenalkan Fariz kepada mereka.

“Tak sangka rupanya dia Encik Fariz Haji Ismail!” Hanum sudah tersenyum.

Maisara hanya menganggukkan kepala. Dia tidak hairan mengapa ramai kakitangan bawahan jarang ada yang mengenali Fariz mahu pun Haji Ismail. Baik kedua-duanya bukanlah merahsiakan identiti mereka tetapi mereka jarang sekali memperlihatkan dan mengenalkan diri ketika melawat di setiap anak syarikat.

Setiap tahun jika ada jamuan makan malam bersama, hanya pegawai atasan sahaja yang menghadiri dan kakitangan bawahan belum pernah di lagi dianjurkan program begitu. Malah di anak syarikat sendiri hanya mempunyai carta kedudukan tanpa gambar.

Sedari dahulu, identiti mereka berdua sering menjadi tanda tanya. Malah, Maisara sendiri hampir tidak mengetahui Fariz suaminya, adalah Pengarah Infera Emas.

Maisara memandang Fariz yang sedang memberi ucapan di depan. Dia mula tertanya-tanya apa perlunya Fariz ke sini? Sedangkan mengikut jadual aktiviti yang diberikan di awalnya, kedatangan Pengarah Infera Emas tidak tersenarai.

Mungkinkah benar seperti yang dikatakan.......Dia sepi tanpa aku..........

“Sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada malam ini, saya ingin mengenalkan seseorang yang istimewa dalam hidup saya kepada anda semua. Anggaplah anda semua adalah orang paling bertuah dalam Infera Emas dan setiap anak syarikat. Buat pertama kali saya ingin memperkenalkan isteri saya kepada anda semua....”

Nafas Maisara menjadi sesak. Mulut mereka yang lain sudah ternganga luas kerana apa yang mereka ketahui melalui desas desus, pengarah muda itu masih belum berkahwin lain setelah kematian arwah isterinya dahulu.

“Perkenalkan isteri saya, Maisara binti Khalid! Salah seorang kakitangan di Nusmefa Emas!”

Dari jauh Fariz menghulurkan tangan tepat ke arah Maisara. Pandangan mereka semua jatuh kepada Maisara. Hanum yang berada di sisi Maisara melopong. Dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku.

Maisara memandang sekeliling lalu pandangannya jatuh kepada Hanum yang kelihatan benar-benar terkejut. Kemudian dia beralih semula kepada Fariz di depan. Fariz memberi isyarat agar datang kepadanya.

Dengan wajah yang pucat dan sedikit menggeletar, Maisara bangun lalu berjalan menghampiri Fariz.

Apabila tiba di sisi Fariz, lelaki itu mencapai bahunya lalu memeluk erat. Melihatkan Maisara yang kelihatan menggeletar Fariz mengeratkan lagi pelukannya. Maisara tertunduk ke bawah. Rasanya seperti dia tidak mampu memandang mata-mata yang sedang memandang padanya.



“SAMPAI hati kau Sara!” Hanum sudah menjeling sahabatnya yang sudah tertunduk di birai katil.

Maisara sudah kehilangan kata-kata. Dia sendiri tidak pasti bagaimana mahu menjelaskan semuanya kepada Hanum.

“Susah sangat ke nak mengaku yang kau tu isteri orang?”

Hanum benar-benar rasa tertipu. Mujurlah kini dia mengetahui Maisara adalah isteri Encik Fariz. Bagaimana jika dia mula jatuh hati pada Encik Fariz dan meluahkan rasa hatinya kepada Maisara tanpa mengetahui Maisara adalah isteri lelaki itu?

“Mungkin bagi orang lain tak susah! Tapi bukan aku!”

Maisara dalam kebingungan. Dia tertunduk sambil kedua-dua tangannya memegang kepala.

“Maafkan aku Hanum! Bukan aku nak berahsia dengan kau! Apa yang berlaku semuanya.................”

Maisara diam seketika. Dia sendiri tidak tahu harus bermula dari mana untuk menerangkan kepada Hanum.

Hanum yang masih berpeluk tubuh duduk membelakangi Maisara di birai katil. Lama dia menyepikan diri sambil berfikir. Dia cuba menenangkan diri dan bersikap rasional. Akhirnya, satu keluhan dilepaskan.

“Maafkan aku Sara! Aku tak sepatutnya bersikap begini! Sebagai sahabat sepatutnya aku menghormati keputusan kau. Lagi pun, kau bukan berbohong dengan aku cuma kau merahsiakan cerita hidup kau.”

Maisara berpaling ke belakang memandang Hanum. Hanum tersenyum padanya. Maisara tersenyum kembali.

“Dan setelah apa yang berlaku sebentar tadi, aku rasa aku dah tak perlu berahsia apa-apa dengan kau lagi.” Maisara telah memutuskan untuk menceritakan semuanya kepada Hanum.

Hanum menggenggam tangan Maisara erat. Rasa bersalah pula kerana tiba-tiba memarahi Maisara dengan sebab yang tidak munasabah.

3 comments:

  1. wow! that's good, apalagi nak rahsia...cayalah fariz,

    sara pun terimalah fariz takkan nak merajuk lagi,dia tak salah..

    ReplyDelete
  2. good....bab yg bez . cpt smbung yek....

    ReplyDelete