Thursday, 16 December 2010

Hanya Dia 45

BAB 45

SEPANJANG hari Zack berkurung di rumah. Fikirannya masih tidak menentu. Setiap pergerakan dan tindakannya hanya membayangkan seraut wajah Maisara di samping Fariz. Dia keliru, mengapa Maisara sanggup berbohong padanya? Kan lebih baik Maisara berterus terang dengannya. Kenapa perlu Maisara mengatakan Fariz itu abang iparnya? Apa niat Maisara sebenarnya?

Bosan tinggal di rumah dengan fikiran yang berserabut, Zack mengambil keputusan untuk keluar.

Sepanjang perjalanan dia terus memandu tanpa tujuan adakalanya fikirannya terus melayang dan hampir hilang tumpuan di jalan. Akhirnya, dia berhenti berehat dan singgah di sebuah gerai mamak.

Setelah menghabiskan sepinggan mee goreng dan segelas teh panas, dia terus memandu tanpa tujuan kembali.

Hampir waktu senja. Dia melirik jam sebentar lalu memutuskan untuk kembali semula ke rumah.

Tiba sahaja di rumah teres miliknya, dia menjadi keget sebentar apabila sebuah Mazda 6 bewarna putih tersadai di pintu pagar. Dia memakirkan Honda City miliknya di tepi lalu melangkah keluar dan menghampiri seorang lelaki.

“Apa..... tuan ini Syed Zikri?” tanya lelaki yang berpakaian seragam putih.

Zack mengangguk seraya matanya liar memandang ke tempat duduk belakang untuk melihat siapakah gerangan yang bertandang ke rumahnya. Tetapi cermin yang serba hitam itu menghalang pandangannya.

Lelaki yang berpakaian seragam itu menuju ke pintu belakang dan membuka pintu sambil kepalanya di tundukkan tanda hormat kepada majikannya. Sepasang kaki yang bersepatu hitam kelihatan lalu sebatang tubuh berdiri tegak di depannya.

Kelihatan seorang lelaki yang separuh umur dan sebahagian rambutnya keputihan tanda sudah di makan usia. Namun susuk tubuh lelaki itu masih tegap dan kelihatan begitu berkarisma bersama suit hitamnya.

Tajam lelaki yang berkaca mata itu merenung ke arahnya. Zack tersenyum sinis bersama sebuah hembusan nafas di lepaskan.

“Ada hajat apa Tuan Syed datang ke pondok buruk saya?” soalan yang kedengaran merendah diri namun disampaikan Zack dengan nada yang begitu sinis sekali.

Walaupun Zack tidak pernah bersua muka secara berdepan dengan satu-satunya saudara ayahnya, namun dia cukup mengenali seraut wajah itu yang begitu persis dengan Syed Hakim. Ketika dia berusia dua belas tahun, Syed Hakim pernah datang ke rumahnya untuk berjumpa dengan mereka sekeluarga.

Syed Hakim menawarkan peluang kepada Syed Zarkasyi untuk kembali semula ke rumah warisan keturunannya. Tetapi tawaran itu perlukan sebuah pengorbanan. Memandangkan Syed Zarkasyi dan Nurul Anis dikurniakan zuriat lelaki maka Syed Hakim mahukan Syed Zarkasyi dan Syed Zikri kembali semula ke Rumah Warisan.

Dan Nurul Anis perlu kekal berjauhan dengan mereka. Malah Nurul Anis boleh memilih sama ada mahu mulakan hidup baru bersama lelaki lain atau kekal menjadi isteri Syed Zarkasyi. Seandainya, Nurul Anis memilih Syed Zarkasyi kekal sebagai suaminya, wanita itu perlu rela melepaskan Syed Zarkasyi dan Syed Zikri tinggal berjauhan dengannya kerana Syed Hakim tidak mahu Nurul Anis kembali ke Rumah Warisan. Syed Zarkasyi pula perlu menuruti kemahuan Syed Hakim untuk memperisterikan sepupu kepada Syarifah Nurain, Syarifah Sahara memandangkan di ketika itu Syarifah Nurain sudah dijodohkan dengan Syed Hussin.

Syed Zarkasyi berkeras tidak akan kembali semula ke rumah warisan dan menuruti semua kemahuan Syed Hakim. Dia rela dibuang dari keturunan Syed Hakim daripada perlu berpisah dengan Nurul Anis dan memisahkan Nurul Anis dengan anaknya.

Kerana penolakan Syed Zarkasyi dahulu, maka Syarifah Nurain dijodohkan dengan Syed Hussin. Syed Hakim agak merasa kecewa kerana mereka berdua tidak dikurniakan zuriat lelaki. Macam-macam cara telah dilakukan oleh Syed Hussin dan Syarifah Nurain untuk mendapatkan seorang zuriat lelaki namun rezeki tidak pernah berpihak pada mereka. Mereka hanya dikurniakan seorang zuriat perempuan, Syarifah Ilyana.

Syed Hussin mengerling sekilas rumah teres lelaki itu lalu memandang Zack semula. Dengan wajah yang tenang dan renungan yang mengandungi seribu makna, Syed Hussin menghampiri Zack sehingga jarak yang memisahkan mereka hanya dua kaki sahaja.

Memang Syed Hussin agak tercabar apabila Zack berkeras tidak mahu berjumpa dengannya dan mengarahnya sendiri untuk datang berjumpa dengan Zack. Namun, apabila mengingatkan kembali Syed Hakim sendiri pernah merendahkan diri datang berjumpa dengan Syed Zarkasyi dan Nurul Anis, akhirnya dia memutuskan untuk datang juga berjumpa dengan Zack.

“Tiga puluh tiga tahun.....” Suara garau Syed Hussin akhirnya keluar jugak. “ Seumur hidup kamu selama tiga puluh tiga tahun kita tidak pernah bersua. Tetapi wajah kamu tidak jauh berbeza dengan Syed Zarkasyi. Begitu melihat kamu, aku teringat pada satu-satunya saudara yang pernah aku miliki dulu!”



SYED HUSSIN yang sudah membontoti Zack ke dalam rumahnya hanya berdiri tegak tanpa duduk di kerusi setelah dipelawa Zack. Zack hanya membiarkan sahaja Syed Hussin yang keberatan untuk melabuhkan punggungnya di kerusi dan dengan selamba dia duduk di situ.

Syed Hussin merenung Zack yang kelihatan langsung tidak menghormatinya.

“Kamu tidak ubah seperti Syed Zarkasyi yang tidak hormat pada orang yang lebih tua!” Perlahan tetapi keras nada yang dilemparkan Syed Hussin.

Zack menggelengkan kepalanya mendengar tuduhan itu.

“Tuan Syed, apa yang Tuan Syed mahukan? Saya dah pelawa Tuan Syed duduk, tapi Tuan Syed menolak. Saya faham rumah saya tiada ‘kelas’ bagi Tuan Syed. Tapi Tuan Syed tak berhak menuduh saya macam tu!” Agak keras nada yang dilemparkan Zack.

“Syed Zikri!” Syed Hussin menempik apabila lelaki itu meninggi suara begitu.

“Zack!!” Zack berdiri dan bertentang mata dengan Syed Hussin. “Just.....Zack.....Tak perlu pangil saya dengan nama tu. Saya lebih selesa kalau Tuan Syed panggil saya, Zack!”

Syed Hussin menarik nafas yang panjang. Belum pernah lagi ada orang yang lebih muda darinya meninggikan suara seperti itu. Berdepan dengan Zack, dia perlu kesabaran yang tinggi. Jika bukan kerana amanat arwah walid, Syed Hakim, tak mungkin dia membiarkan dirinya dihina seperti ini.

“Aku tahu, kamu berdendam pada aku dan Syed Hakim, tetapi aku mahu kamu tahu satu perkara. Dan aku mahu kamu dengar dengan teliti apa yang mahu aku katakan. Aku tidak mahu jawapannya sekarang. Aku beri tempoh untuk kamu berfikir sehingga kamu benar-benar tahu apa yang kamu mahu lakukan dalam hidup kamu!”

Setelah berkata begitu, Syed Hussin memberi arahan kepada pemandunya untuk mengambil beberapa fail di dalam kereta. Setelah itu dia memberikan kepada Zack dan menerangkan tujuan kedatangannya.

Hampir tiga jam mereka berbincang. Setelah selesai urusannya, Syed Hussin terus berlalu pergi dan Zack masih termangu dengan fikiran yang berserabut.

1 comment: