Monday, 21 February 2011

Hanya Dia 50

BAB 50


DIA telah membuat keputusan nekad. Sejak malam hari itu, sesudah mereka pulang dari supermarket, fikirannya tidak bisa tenang. Fariz juga sentiasa mengelak apabila dia bertanya punca tentang pergaduhannya dengan Encik Zack.

Maisara memusing stereng kereta memasuki kawasan tempat letak kereta di Warisan Syed. Dia tahu, mungkin dia tidak sepatutnya membuat keputusan yang terburu-buru. Namun persoalan di hatinya merayu sedikit jawapan untuk ketenangan. Apatah lagi apabila kononnya maruah seorang gadis dipertikaikan. Mungkinkah gadis yang dimaksudkan itu adalah arwah Suhana? Itulah yang menjadi persoalan di hati.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke ruangan hadapan Warisan Syed dia disambut dengan senyuman oleh penyambut tetamu di pintu depan.

“Boleh saya jumpa dengan Encik Zack?” lembut suara Maisara bertanya.

“Nama cik?”

“Maisara!”

“Tunggu sekejap, cik,” gadis berkemeja putih dan berseluar slack biru mengangkat ganggan telefon lalu berkata sesuatu. Kemudian dia meletakkan ganggang semula. Pandangannya beralih memandang Maisara di depannya.

“Cik boleh masuk ke dalam. Cik jalan terus. Bilik Encik Zack yang paling hujung sekali,” gadis itu memberitahu.

“Terima kasih,” ujar Maisara sambil menundukkan sedikit kepalanya tanda hormat lalu dia melangkah terus ke tempat yang diberitahu gadis di kaunter tadi.

Sampai sahaja di depan pintu yang terlekat nama ‘SYED ZIKRI BIN SYED ZARKASYI’ terus sahaja Maisara mengangkat tangan dan mengetuk pintu.

“Maaf cik,” Maisara ditegur satu suara yang datang dari arah belakang. Dia menoleh. Kelihatan seorang gadis yang berbaju kurung merah jambu tersenyum padanya.

“Cik nak jumpa dengan Encik Zack?” tanya gadis itu.

“Ya....” Maisara menganggukkan kepalanya. “Budak perempuan yang ada di kaunter depan.....”Maisara cuba menerangkan pada gadis itu apabila gadis itu kelihatan menghalangnya untuk berjumpa dengan Encik Zack.

“Tak pe....tak pe....” Gadis itu memotong percakapan Maisara. “Saya Farah, setiausaha Encik Zack.” Farah menghulurkan salam perkenalan dan disambut Maisara.

“Maisara.”

“Memang saya dah diberitahu Encik Zack akan menerima tetamu. Tapi saya minta cik tunggu dulu sekejap. Sebab Encik Zack masih lagi ada di ruangan meeting. Cik boleh duduk dan tunggu dulu di sini!”

Di ruangan meeting? Kenapa gadis di depan tadi tidak memberitahunya dan menyuruhnya terus masuk ke dalam?

“Ah....tak pelah kalau macam tu.” Maisara tersenyum. “Mungkin lain kali bila Encik Zack tak sibuk saya akan datang balik!”

“Sebenarnya Encik Zack memang menunggu kedatangan cik Maisara!” ujar Farah.

Berkerut dahi Maisara. Pelik dirasakannya. Encik Zack berada diruangan meeting. Tetapi dalam masa yang sama dia menunggu kedatangan Maisara? Mungkinkah Farah menghubungi Encik Zack ketika lelaki itu sedang bermesyuarat dan dia disuruh tunggu di situ?

Memang pelik. Sudahlah kedatangannya tadi tidak ditanya sama ada temujanji sudah dilakukan, dia terus disuruh masuk. Tak mungkin mereka menghubungi Encik Zack untuk memberitahu kedatangannya ketika lelaki itu sedang bermesyuarat. Apatah lagi bila diberitahu Encik Zack memang menunggu kedatangannya.

Melihatkan wajah Maisara yang berkerut seribu membuatkan Farah mengukir senyuman.

“Sebenarnya cik Maisara, sejak dari minggu lepas Encik Zack dah pesan pada saya kalau cik Maisara datang dia minta cik Maisara tunggu jika dia ada urusan,” beritahu Farah.

Bukahkah itu bermakna kedatangannya sudah ditunggu-tunggu Encik Zack sejak dari minggu lalu?

“Lagipun, rasanya tak lama lagi keluarlah Encik Zack dari ruang meeting,” ujar Farah sambil melirik jam di pergelangan tangannya.

Maisara mengangguk lalu melabuhkan punggung di salah sebuah sofa yang terdapat di situ. Mungkin meeting yang dihadiri Encik Zack sudah lama berjalan, kerana itu Farah bisa mengagak dia tidak akan lama menunggu.



“TERIMA KASIH!” Zack bersalaman dengan wakil-wakil dari syarikat yang bakal bekerjasama dengan mereka. Dia menghantar wakil-wakil itu ke pintu utama lalu dia melangkah kembali ke dalam untuk ke biliknya.

Inilah projek pertama yang diserahkan kepadanya. Nampaknya, Syed Hussin menyerahkan kepercayaan yang tinggi padanya bagi menarik minat syarikat lain untuk melabur di Warisan Syed. Bisakah dia berjaya membuktikan kemampuannya? Itulah yang sering memeningkan kepalanya.

Dia perlu melakukan stratagi yang paling bijak untuk menarik syarikat lain agar berminat untuk bekerjasama dengan mereka. Di waktu ini memang agak sukar apabila nama Warisan Syed sudah sedikit tercalar kerana kejadian yang berlaku tempoh hari.

Walaupun perkara itu masih belum menjadi kes besar, namun rata-rata di majalah gossip itu sudah tersebar walaupun mereka sudah berjaya memujuk Dato’ Jamaluddin untuk membatalkan niatnya melaporkan kejadian itu kepada polis. Malah mereka juga sudah beberapakali melakukan press conference untuk membersihkan nama Warisan Syed.

Belum pun kakinya tiba di pejabat, dari jauh matanya sudah menangkap susuk tubuh seseorang. Dia tersenyum. Dia bertambah yakin dengan dirinya. Dia sudah jangka Maisara pasti akan mencarinya.

“Sara!” dia menegur.

Maisara mendongak wajahnya. Melihatkan Encik Zack di depannya, terus dia berdiri.

“Jom!” Ajak Zack tanpa banyak bicara.

Maisara menurut langkah lelaki itu. Encik Zack masih belum berubah. Tetap dengan ketegasannya seperti selalu.

“Have a seat!” Zack sudah pun melabuhkan punggungnya di kerusi begitu juga dengan Maisara.

So....awak datang sini tentu pasal hal tempoh hari,kan?” Zack berterus terang.

“Ya!” ujar Maisara sambil menarik nafasnya. “Encik Zack macam dah tahu yang saya akan datang berjumpa dengan Encik Zack.”

Dahi Zack berkerut sekejap. Dia cuba memikirkan maksud Maisara.

“Tadi, saya diberitahu oleh setiausaha Encik Zack yang Encik Zack memang menunggu kedatangan saya sejak minggu lalu,” beritahu Maisara.

Wajah Zack yang berkerut terus bertukar kepada senyuman.

“Ya...saya memang dah agak awak akan datang cari saya sebab saya tak yakin Fariz akan beritahu awak cerita yang sebenarnya!”

“Cerita sebenarnya?” Maisara tersenyum sinis. Inilah yang mengundang persoalan di hatinya. “Kalau Encik Zack tak keberatan, boleh Encik Zack ceritakan pada saya?” Maisara berterus terang tanpa membiarkan saat-saat berlalu begitu sahaja.

Zack membisu seketika. Dia berfikir sebentar. Pada awalnya, memang dia merasakan Fariz yang menjadi jelatang dalam perkara ini. Namun apabila dia terdengar maki hamun Ilyana ketika dia mahu ke kamar kerja wanita itu, barulah dia tahu perkara yang sebenarnya.



“TAK GUNA!!!” Ilyana membaling semua fail yang ada di atas mejanya.

“Firasat aku benar, Fariz memang ada hati dengan Maisara!!” Mundar-mandir Ilyana di situ bercakap seorang diri. “Tak guna!!”

“Kalau benar Fariz tak cintakan Suhana kenapa dia berkahwin dengan Suhana? Kenapa? Tentu ada sesuatu yang berlaku!! Aku perlu cari tahu!!”

Ilyana menggenggam penumbuk di mejanya. Dia perlu selidik dengan mendalam perkara ini. Apa yang membuatkan Fariz berkahwin dengan Suhana walaupun sebenarnya lelaki itu bercinta dengan Maisara!

Ilyana tenggelam dalam emosinya sehingga dia tidak menyedari Zack yang berada di depan kamar kerjanya bisa mendengar setiap butir bicara yang terkeluar dari bibirnya.

Zack yang sebenarnya mahu berjumpa dengan Ilyana akhirnya membuat keputusan pergi dari situ. Apa yang baru didengarnya membuatkan dia tersenyum sendiri.



“ENCIK ZACK!!!” Akhirnya Maisara terus berteriak nama lelaki itu yang hanyut dalam anganannya. Sudah beberapa kali dia memanggil lelaki itu tetapi tiada reaksi.

Zack terpinga seketika sebelum kembali ke alam nyata. Mukanya terasa panas kerana malu dengan lamunannya sehingga wanita di depannya terus berteriak memanggilnya.

“Maaf......saya sedang berfikir!” ujar Zack sekadar mengaburi rasa malunya.

So, sekarang Encik Zack dah habis berfikir?” tanya Maisara dengan sedikit sindiran.

Zack tersenyum mendengar. Maisara sudah pandai menyindir!

“Apa yang kelakarnya?” tanya Maisara yang melihat senyuman di wajah lelaki itu. Soalan Maisara itu membuatkan senyuman Zack semakin melebar. Wanita di depannya kelihatan benar-benar mahukan penjelasan.

Zack bangun lalu menyelak jendela di belakangnya. Sengaja dia membuat Maisara menunggu dan membiarkan masa berlalu. Maisara hanya menyoroti tingkah Zack dengan kesabaran.

“Awak tahu tak hubungan saya dengan arwah Suhana?” tanya Zack lalu memalingkan wajahnya memandang Maisara.

Maisara menggeleng. Apa yang diingatnya malam itu, memang Encik Zack ada menyebut nama Suhana. Namun sejauh mana hubungan mereka berdua, dia tidak tahu.

Zack kembali ke kerusi dan duduk semula sambil menongkat dagunya. Matanya memerhatikan Maisara sekilas.

“Dua tahun.......hubungan kami bukan sekadar teman biasa. Saya memang serius dengan dia. Tapi semuanya berakhir dengan sekelip mata. Saya tak sangka dia curang dengan saya!”

Dahi Maisara berkerut.

Kak Su? Curang dengan Encik Zack?

Arwah Suhana memang perahsia. Bukan mudah untuk dia berkongsi rahsia hidupnya walaupun dengan keluarga sendiri. Hubungan Suhana dengan Zack juga tidak pernah diketahui sedangkan mereka berdua sangat akrab satu ketika dahulu.

“Apa yang berlaku sebenarnya dalam hubungan Encik Zack dan kakak saya?” tanya Maisara.

“Saya kenal dengan Suhana ketika di kolej lagi. Tetapi hubungan kami serius selepas tamat pengajian. Dua tahun kami bersama. Sampailah satu hari dia mendesak saya mengahwini dia. Mulanya memang saya tak fikir apa-apa. Tapi akhirnya, dia berterus terang dengan saya yang dia dah hamil.”

Terlopong Maisara. Jantungnya terasa berhenti berdenyut seketika.

Tak mungkin.....tak mungkin..... Kak Su bukan begitu......

Maisara menumbuk-numbuk dadanya yang terasa sesak. Perkara begini tak mungkin berlaku. Sukar baginya menerima kata-kata Encik Zack.

“Maisara......are you okay?” Zack risau melihat Maisara yang kelihatan sukar bernafas dan menumbuk-numbuk dadanya.

“Okay.....I’m okay......” Maisara beristighfar seketika.

“I know it’s not easy for you to accept all this. But this is a fact!”

Kalau semuanya benar, jadi Aiman......Aiman anak siapa? Mungkinkah Fariz dan Kak Su......mungkin kerana itu Fariz meninggalkan aku......

“Aiman........” Maisara memejam matanya sebentar.

“Maksud Encik Zack, Fariz yang bertanggungjawab atas kandungan Kak Su?” Anak matanya memandang Zack. “Fariz yang bertanggungjawab?”

“Saya tak pasti. Tapi jika bukan Fariz, kenapa dia perlu bersusah payah untuk menjadi kambing hitam? Lagipun apa yang saya tahu, dia tak cintakan Suhana. Dan sekarang, dia hanya menggunakan Aiman untuk mendapatkan awak!”

Maisara diam berfikir seketika. Apa yang berlaku sebenarnya pada arwah Suhana? Mungkin benar Fariz yang bertanggungjawab sebab itu dia menikahi Suhana! Tapi......kenapa hatinya menyangkal? Kenapa dia tidak merasa begitu?

“Menurut saya, Fariz menikahi Suhana kerana dia tidak tahu Suhana sedang hamil ketika itu. Setelah menikah baru dia tahu Suhana sudah mengandung. Selepas Suhana meninggal, dia jatuh cinta pada awak dan menggunakan Aiman sebagai alasan. Kebetulan, keluarga awak juga mahu satukan awak dengan dia!”

“Saya......saya benar-benar tidak faham......Tadi kata Encik Zack, kalau kandungan itu bukan anak Fariz, tak mungkin dia mahu menjadi kambing hitam. Malah dia juga tak cintakan Suhana. Tapi sekarang......” Maisara benar-benar kebingungan.

Zack menggosok dagunya. Dia juga masih keliru dengan fakta dan petunjuk yang diterimanya. Dia sendiri masih berkira-kira dengan kesimpulannya.

“Di awalnya memang saya berfikir begitu. Tetapi apabila ingatkan kembali malam itu ketika saya kami berkelahi dan Fariz menuduh saya lelaki yang tidak bertanggungjawab, saya dapat rasakan Aiman bukan anak kandung Fariz. Dan yang pasti, Fariz juga tidak menyintai Suhana. Entahlah apa yang membuatkan Fariz mahu menikahi Suhana ketika itu.”

“Tapi apa yang saya pasti, selepas Suhana meninggal, Fariz jatuh cinta dengan awak dan gunakan Aiman untuk miliki awak....” Entah berapa kali Zack menyebut tentang hal ini. Sengaja dia mengulanginya agar Maisara mengerti permainan Fariz. “Sedangkan dia langsung tak punya hak atas Aiman. Kalau awak mahu, awak boleh mengambil Aiman tanpa perlu menikahi Fariz kerana Aiman adalah darah daging awak!”

Tatkala ini Maisara sudah terasa mahu menangis. Benarkah Fariz mengorbankan cinta mereka kerana perkara ini? Mungkin benar tetapi dia perlukan bukti yang kukuh sebelum dia terus-terusan menerima Fariz tanpa menyelidiki dahulu kesahihannya. Terima kasih buat Encik Zack kerana meleraikan sedikit persoalan di hatinya.

“Bagaimana kalau saya katakan, Fariz memang tak menyintai Suhana. Di saat dia mengambil keputusan untuk menikahi Suhana, dia telah pun mengetahui Suhana hamil. Kerana mahu menjaga kehormatan Suhana, dia menerima Suhana walaupun dia tidak menyintainya. Sedangkan Encik Zack, kekasih Suhana sendiri sudah tidak mahu menerimanya. Semuanya kerana sifat insaniah yang ada dalam dirinya membuatkan dia mengambil keputusan begitu,” Ada nada sayu ketika Maisara menerangkan pendapatnya. “Bagaimana? Encik Zack setuju dengan saya?”

“Saya setuju dengan pendapat awak. Cuma bukan saya tak mahu mengorbankan diri saya sepertimana yang dilakukan Fariz untuk menjaga maruah Suhana. Tetapi saya tidak mahu bertanggungjawap atas sesuatu yang bukan dilakukan saya. Lagipun hati saya sakit bila cinta dan perasaan saya dimainkan. Dia bukan perempuan yang baik bila dia sanggup menyerahkan tubuhnya pada lelaki.”

Menitis airmata Maisara mendengar cemuhan itu. tetapi dia tidak menyalahkan Encik Zack jika berpendapat begitu. Dia sendiri tidak menyangka Suhana sanggup melakukan perkara keji begitu! Tetapi mengapa Fariz sanggup meninggalkannya semata-mata untuk menjaga maruah Suhana sedangkan kakaknya itu sendiri tidak pandai menjaga maruah dirinya?!

“Perkara yang lepas biarlah lepas. Lagipun, Suhana dah tak ada. Tak elok bercakap keburukannya,” ujar Zack. “Apa yang penting sekarang, saya tak mahu awak terjerat dalam permainan Fariz. Kalau awak tak cintakan dia awak boleh tinggalkan dia! Lagipun, Aiman bukan anak kandung dia! Awak boleh mengambil Aiman dari dia!”

“Apa yang membuatkan Encik Zack fikir saya menerima Fariz hanya kerana Aiman?”

Dahi Zack berkerut dengan soalan Maisara.

“Bukankah itu yang berlaku? Selepas arwah Suhana meninggal, dia mewasiatkan Aiman untuk awak dan keluarga awak juga mahukan awak menikahi Fariz kerana Aiman. Tetapi ketika itu, Fariz sudah pun bersama dengan Ilyana dan dalam masa yang sama dia juga sudah mula jatuh cinta pada awak. Kerana tidak mahu menghampakan keluarga, awak bersetuju bernikah dengan Fariz walaupun ketika itu Fariz masih lagi bersama Ilyana. Akhirnya, Fariz berterus terang dengan Ilyana dan Ilyana bagaikan nak gila bila dapat tahu Fariz cintakan awak.” Itulah kesimpulan Zack tentang kisah ini.

Maisara tersenyum sambil menggelengkan kepalanya.

“Kesimpulan Encik Zack memang tidak salah. Cuma Encik Zack tertinggal satu fakta.” Maisara berdiri sambil memegang tas tangannya. “Fakta yang satu itu, adalah saya dan Fariz saling menyintai antara satu sama lain. Saya juga menyintai suami saya!”

Selepas berkata begitu, Maisara terus berlalu pergi meninggalkan Zack yang dalam kebingungan.

Apa yang sedang berlaku? Maisara dan Fariz saling menyintai? Lain yang diharapkan, lain pula pula yang diterimanya! Zack tersandar di kerusi.

Maisara......

4 comments:

  1. owh..akhirnya..xsbr nk tnggu next n3

    ReplyDelete
  2. ;] alahai lamenye bru ad

    ReplyDelete
  3. cita ni lagi best dari yg lagi satu, tahu siapa diri masing2 yg lagi satu tu 2 complicated

    ReplyDelete
  4. ya cita ni mmg best cuma n3 lamalah kalau blh nak tiap2 minggu ada n3 baru blh ke????? cpt smbung ye.

    ReplyDelete