Mataku hanya terkebil-kebil melihat pintu pagar yang tertutup rapat. Apa yang perlu aku lakukan sekarang? Hmmm…kenapalah abang buat aku macam ni? Kalau dia nak tukar manga pintu sekali pun, tak bolehkah dia beritahu aku dan berikan aku satu kunci simpanan? Aku masukkan semula gugusan kunci ke dalam beg galas. Muka aku yang sudah berminyak, ku sapu dengan tisu.
Aku dah hubungi abang dan bertanya tentang pedal kunci yang ditukarnya. Mati-mati dia beritahu dia tak tukar manga lain. Kalau benar dia tak tukar, kenapa kunci yang ada ditanganku ini tak boleh buka? Telefon bimbit aku berbunyi lagi. Kali ini panggilan dari mak.
“Assalamualaikum, mak,” aku menyapa setelah menekan punat hijau di telefonku.
“Macam mana dengan kunci? Boleh masuk?” tanpa menjawab salam mak terus bertanya. “Eh…Waalaikummussalam…” Mak yang mungkin baru teringat yang dia masih belum menjawab salamku, terus menjawab.
“Lisa dah telefon abang. Boleh dia cakap dia tak tukar manga!” aku meluahkan rasa kecewaku. Sebentar tadi, memang aku ada berbual dengan mak ketika melangkah masuk ke dalam kawasan rumah. Bila sampai di muka pintu, ketika aku membuka manga yang ada di pintu besi ini, aku lihat manganya sudah bertukar. Sekalian, aku beritahu mak kerana ketika itu memang aku sedang berbual dengannya di telefon. Kalau tidak, tak mungkin aku beritahu pada tentang ini. Aku khuatir, marah mak pada abang semakin menyala.
Aku dengar mak menghembus nafas yang kuat dari sana. Mungkin kemarahan mak semakin memuncak. Abang ni pun satu, suka sangat menaikkan kemarahan mak. Sudahlah masalah yang timbul masih belum reda, masalah baru pulak dibuatnya. Ini semua kerja Kak Maziah! Dialah dalang semua ni!
Aku bukan nak menuduh. Tapi tuduhan aku berasas. Abang terlalu mengikut telunjuk isterinya. Sampaikan cakap mak dan abah sikit pun dia tak endah. Bila diaorang marahkan dia, dia salahkan diorang balik sebab berkasar dengan anak-anak. Macam mana mak dan abah tak makan hati dengan sikapnya?
Belum sempat pun aku selesai bercakap dengan mak, aku lihat kereta abang laju memasuki parkir rumah. Lepas enjin dimatikan, terus saja dia meluru masuk.
“Mak, abang dan Kak Maziah dah balik. Nanti Lisa telefon lagi,” aku terus mematikan talian. Tentu teruk aku kena kalau abang tahu aku mengadu pada mak.
Aku sudah menelan air liur bila melihat wajah bengis abang semakin menghampiri. Kak Maziah pula berjalan perlahan bersama senyum sinisnya.
“Kau mengadu dekat mak eh?!” Terus saja abang menyergah.
“Bukan Lisa nak mengadu, Lisa memang tengah berbual dengan mak masa sampai rumah tadi. Kebetulan mak tanya kenapa bila Lisa beritahu Lisa tak boleh nak masuk rumah,” terketar-ketar aku menjawab pertanyaan abang.
Pang!!! Tanpa bercakap apa-apa terus saja satu tamparan melayang singgah di pipi kiriku. Sungguh! Memang kuat tamparan abang hingga badan aku terus ke belakang. Pedih! Memang pedih sehingga kepedihan yang aku terasa di dalam hati lebih pedih dari tamparan yang melekat di pipiku. Aku ditampar oleh abangku?! Itupun di depan isterinya! Sanggup abang malukan aku begini!
Mataku yang berair memandang abang. Aku seakan tidak percaya abang sanggup menampar aku begitu. Tak terlintas sekali pun difikiran, abang yang dulunya sering memanjakan aku bertukar watak sejak dia berkahwin.
Abang menjeling aku lalu berjalan ke pintu besi. Dia menguluarkan gugusan kuncinya lalu membuka pintu. Dia memandang aku dengan tajam. “Ini apa?!” marahnya bila manga itu terbuka.
“Itu kunci abang. Kunci yang ada pada Lisa lain. Tak sama dengan manga tu.” Aku menyerahkan gugusan kunci yang ada padaku.
Abang mengambil. Aku lihat dia membelek-belek gugusan kunci yang ada padaku. Dia mencari-cari kunci untuk manga itu. Aku hanya mengeluh. Tak mungkin jumpa sebab manga itu telah ditukar!
“Laaa….betullah bang,” Kak Maziah bersuara. “Kan hari tu Maziah beritahu kat abang yang Maziah nak tukar manga. Abang dah lupa?” Lembut sungguh bicaranya pada abang. Abang hanya memandang Kak Maziah bagaikan isterinya itu tak melakukan apa-apa kesalahan. Kemudian, abang menoleh padaku.
“Nah ambil kunci ni!” Abang menyerahkan kunci untuk manga baru itu padaku. “Dah masuk! Tak payah nak bising-bising, mengadu dekat mak semua! Manja sangat!” Dia mendengus.
Mudahnya abang berkata. Dah ternyata memang benar manga itu telah ditukar, sikit pun dia tak minta maaf padaku sebab menampar pipiku tanpa usul periksa. Sedangkan, Kak Maziah yang menjadi puncanya, ditarik tangan Kak Maziah dengan lembut agar masuk ke dalam. Aku? Aku bagaikan boneka usang yang tak diperlukan di sini. Nak dibuang tak boleh, nak disimpan hanya menyakitkan mata. Sudah sering aku meluahkan niatku untuk berpindah dari rumah abang, setiap kali itu jugaklah Kak Maziah menegah, kononnya mereka mahu menjaga aku. Sudahnya, aku yang terseksa di sini.
Aku sudah muak dengan sikap abang yang terlalu melebihkan isterinya. Bukan aku cemburu dengan Kak Maziah. Memang abang berhak memberi kelebihan pada isterinya berbanding aku, tapi janganlah berat sebelah. Aku adiknya, darah dagingnya. Aku juga tanggungjawabnya.
Disebabkan sikap abang dan Kak Maziah, malam tu aku telefon juga pada mak dan abah untuk meminta izin keluar dari rumah abang. Mak dan abah memang mengerti keadaanku sebab bukan dengan aku mak saja yang mendapat layanan buruk dari abang dan Kak Maziah, tapi abah juga. Sebab tulah abah terlalu marah pada abang hingga abah menampar abang kerana biadap dengannya. Akibatnya, setahun abang dan Kak Maziah tak berjumpa dengan abah.
Lepas setahun, barulah abang dan Kak Maziah mahu pulang ke kampung jumpa mak dan abah, itu pun sebab mak yang mula mencari mereka dan meminta maaf. Kalau tak, sampai sekarang diorang tak balik kampung agaknya. Sampai hati abang buat keluarga sendiri macam tu. Sedih aku tengok mak yang selalu makan hati dengan sikap anak menantu. Untuk menunjukkan kebaikan mereka pada mak dan abah, bila aku ditawarkan kerja di Kuala Lumpur, mereka pun mengajak aku untuk tinggal bersama. Memang aku berat nak terima, tapi Kak Maziah yang beria-ia mengajak aku. Aku terimalah jugak walaupun aku tak dapat nak rasa keikhlasan dalam hatinya.
“Kau nak ke mana?” Tiba-tiba saja abang terjengul di pintu bilik ku ketika aku sedang bersiap memasukkan barang-barang aku dalam beg untuk berpindah.
“Lisa nak sewa dengan kawan,” ujar aku perlahan tanpa memandang abang. Bila abang bertanya begitu, tahulah aku, pasti mak dan abah hubungi abang dan marahkan abang.
“Kau ni memang suka buat masalahlah!” Abang mencekak pinggang sambil menjegilkan matanya. Aku rasa, kalau dia boleh baham aku, dah lama aku mati kena baham dengan dia.
“Kenapa ni Lisa. Tak seronokkah tinggal dengan akak,” lembut saja suara Kak Maziah yang bersandar di pintu. Kak Maziah memang pandai berlakon. Lembut giginya, lebih dari gusi!
“Lisa dah minta izin dengan mak dan abah. Diorang pun dah benarkan.” Aku terus mamasukkan pakaian ku ke dalam beg.
“Eh….engkau ni kalau ikutkan hati, mampus aku kerjakan kat sini!!” marah abang. “Kau ingat Lisa!! Sekali kau dah keluar dari sini, jangan ingat aku nak kutip kau balik kalau jadi apa-apa!!” Abang terus menarik tangan Kak maziah keluar. Berdetum kuat pintu dihempasnya.
Sempat aku melihat senyuman di bibir Kak Maziah ketika mereka berlalu pergi. Aku hanya mampu menghembuskan nafas panjang di situ. Aku harap suatu hari Allah akan membuka pintu hati abang untuk melihat sikap isterinya.
“Ada teratak di hujung kampung
Bawah cemin kopak ada kotak
Tersembunyi dalamnya ada tempurung
Sembunyi bawahnya katak melalak”
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
Aku sudah memicit dahiku. Sungguh! Berada di tengah-tengah bulatan keluarga ku ini, aku tak bagaikan seeorang pesalah yang sedang dibicarakan tentang masa depannya. Masa depanku tertakluk kepada dua pilihan, sama ada menurut wasiat yang tertulis atau aku ingkar sahaja dengan wasiat yang kononnya mahu menyatukan ikatan kekeluargaan ini yang berlandaskan kepada kemewahan semata.
Abang mendekati aku lantas memeluk bahuku. Begitu juga dengan Kak Maziah yang sudah duduk di sebelah satu lagi. Aku faham benar apa yang sudah berada di benak mereka berdua.
“Apa kata adik ikut je wasiat arwah atuk. Ini semua demi kebaikan kita jugak,” pujuk abang dengan lembut. Kalaulah aku tak ingat dia abang aku, dah lama aku lempang je.
“Betul tu, dik. Ini semua untuk menyatukan keluarga kita yang dah berpecah. Mana tahu, dengan wasiat atuk ni, kita semua akan bersatu kembali,” ujar Kak Maziah. Aku lihat wajah begitu ceria sebaik sahaja peguam membacakan wasiat arwah atuk. Huh! Aku menyampah mendengar alunan lebut suaranya yang penuh dengan kepalsuan.
Dugaan apa pula kali ni! Aku menarik nafas panjang. Baru sahaja aku keluar dari mulut buaya, perlukah aku masuk pula ke dalam mulut singa? Singa? Bungakan singa! Tetapi lebih dari itu! Kalau aku menerima wasiat ini, bererti aku akan masuk ke mulut naga!
“Tapi….Lisa…”
“Tapi apanya?!” ujar Abang lagi. Kali ni, tubuhnya lebih menyempit di sisiku. “Inilah peluang untuk Lisa ubah hidup Lisa, termasuk keluarga kita semua!” tegasnya. “Kita buat saja. Cukup tempoh, terpulang pada Lisa dan Razali.”
Mudahnya abang bercakap. Bukan dia yang berada di tempatku. Apa saja keputusan yang akan ku ambil, semuanya memberi kesan pada masa depanku nanti!
“Atur sepuluh daktil yang batil
Detik dua usul ditutup satu lagi tampil
Dari halaman rusuk kiri satu susuk kancil
Minta diisolasi dari dalil busuk jahil"
Aku melirik seketika salinan wasiat arwah atuk yang ditinggalkan di atas meja. Surat yang tertulis dalam bahasa jawi itu aku renung kosong. Aku tahu niat arwah atuk mahu merapatkan adik beradik yang sudah jauh terpisah kerana pertengkaran keluarga. Tetapi, kenapa perlu kami yang menjadi mangsanya?!
Bukan niat aku mahu mempertikaikan permintaan arwah atuk. Malah aku langsung tak tamakkan harta peninggalan arwah itu. Tapi, wasiat atuk ini akan membawa aku jauh dari impianku. Aku tak pernah bermimpi untuk menjadi isteri kepada sepupuku sendiri, Razali. Tambahan lagi, hubungan kami memang kurang baik sejak dari kecil lagi.
“Aspirasi tak serasi dengan suara bunyi
Inkarserasi dari penghuni dan keluarga bumi
Surat wasiatnya atas paksi dalam rumi
Minta dikebumikan hidup-hidup dalam guni”
Aku hanya memandang wajah mak dan abah yang berkerut seribu itu. Mereka hanya terdiam membisu. Aku tahu, mereka pun tak pernah menjangkakan perkara ini akan berlaku. Fikiran kami semua tidak terjangkau hingga ke tahap itu! Masing-masing sudah berpandangan. Aku lihat wajah keberatan yang ditunjukkan abah dan mak. Nyata, mereka jugak tidak setuju untuk aku menerima wasiat itu.
Aku memandang pula pada wajah sebuah lagi keluarga yang sedang duduk bertentangan dengan kami. Mak Su dan Pak Su tertunduk. Anaknya, Razali sudah keluar dari ruangan ini. Aku lihat Pak Su menarik tangan Mak Su keluar dari ruang sempit ini. Mungkin inilah perluang terbaik untuk aku luahkan pendapatku.
“Abah…Mak…” belum sempat aku bersuara, abang sudah memulakan kata-katanya dahulu. “Bagi Mie, ini semua adalah satu kebaikan untuk keluarga kita. Cuba mak dan abah fikir, keluarga kita dengan keluarga mak su dah lama berpecah. Apa yang arwah atuk cuba lakukan, hanyalah untuk menyatukan keluarga ni. Kita semua akan merasai kebaikan dari wasiat ni!” Abang kelihatan sangat bertegas agar kami semua bersetuju dengan permintaan arwah atuk itu.
Kebaikan?! Aku sudah menyampah mendengar pendapat abang. Namun, kalau aku bangkang, abang pasti marah. Aku kenal benar sikap baran abang itu. Kadang-kadang dengan abah sendiri pun dia tak takut untuk bersikap kurang ajar. Mungkin, kalau aku suarakan pendapat aku, mak dan abah ada untuk membela. Tapi aku khuartir, jika hubungan kami sekeluarga pula akan menjadi renggang. Aku tak mahu lihat mak terpisah dengan satu-satunya anak lelaki yang dia punya. Akhirnya aku hanya tunduk membisu, membenarkan orang disekelilingku untuk memutuskan tentang masa depanku.
Dalam kebisuan kami sekeluarga, tiba-tiba masuk semula Mak Su dan Pak Su bersama Razali. Sempat aku melihat jelingan tajam Razali padaku. Terlihat benar kebencian yan terlukis di wajahnya. Peluang aku cerah! Jika Razali benci padaku, tentu dia takkan bersetuju dengan wasiat arwah atuk.
Tapi sangkaan ku jauh meleset. Rupa-rupanya, Mak Su dan Pak Su masuk semula ke dalam untuk berbaik-baik dengan keluarga kami dan bersetuju dengan wasiat arwah atuk. Aku dapat melihat tompok-tompok hitam semakin menutup masa depanku. Apatah lagi apabila melihat ketegangan di wajah Razali. Mereka semua…..hanya mahukan harta peninggalan arwah atuk! Tapi aku tidak! Aku tak mahukan harta itu.
Dalam keriuhan saudara kandung yang sedang berpelukan dan sedang berbaik itu aku masih dapat membaca keengganan abah dan mak. Jika tidak, abah takkan berbisik di telingaku.
“Lisa, abah tak tahu nak buat keputusan untuk Lisa. Memang benar, hanya dengan wasiat ini keluarga kita akan bersatu kembali. Mak akan gembira sebab dapat dekat semula dengan kakak kandungnya. Tapi, abah juga tak memaksa Lisa. Tarik rambut dalam tepung. Tepung jangan berselerak, rambut jangan putus.”
Bagaimana abah? Bagaimana Lisa dapat lakukan itu? Jika Lisa menarik rambut, mungkin rambut tidak putus tapi tepungnya akan berselerak.
“Mana cepat terbang atau warna gelang tangan
Buah fikiran aneh tergantung di persimpangan
Halusinasi susuli ketandusan ihsan
Ubat parut luka auditori kesan artileri insane gagal dikesan”
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
Aku bersiap-siap untuk memulakan perjalanan ke tempat kerja. Sedang aku membelek penampilanku, aku terlihat cincin pertunangan yang tersalut kemas di jari manisku. Kini, aku telah bergelar tunangan kepad Razali. Akhirnya, aku masuk juga ke dalam dunia yang kelam ini.
Berkali-kali abah meminta aku memikirkan semula keputusan ini. Aku tahu, abah tak rela masa depanku musnah. Tapi aku juga tak sanggup nak menghancurkan kebahagiaan orang yang telah mengandungkan aku selama Sembilan bulan di dalam rahimnya.
Walaupun kami semua tahu, kebaikan yang ditunjukkan keluarga Pak Su hanyalah satu kepura-puraan, namun kami gembira apabila melihat mak gembira. Abang juga gembira kerana kami semua akan menerima harta peninggalan arwah atuk. Melihat mak dikelilingi orang-orang yang disayanginya, aku tak sampai hati untuk menghancurkannya.
Mak pernah berkata, dia tidak kisah jika perlu kehilangan keluarganya atau anak kandungnya, iaitu abang, asalkan masa depanku takkan musnah kerana permintaan itu. Melihat pengorbanan mak, aku tertanya sendiri, jika mak bisa berkorban kenapa tidak aku?
Di pejabat, tiada siapapun yang tahu aku telah bertunang. Aku tidak berniat langusng untuk menghebahkannya. Aku menanggalkan cincin pertunanganku lalu menyimpannya di dalam laci. Untuk apa memakai sesuatu yang tidak ada dalam hatiku.
KETIKA mahu pulang dari pejabat, muncul kelibat Razali di situ. Sudah sering dia datang menemuiku di pejabat. Adakalanya, dia mengekoriku dalam diam. Aku sangat takut dengan situasi itu walaupun dia tunanganku. Tak pernah dia berbuat baik denganku di saat kami bertemu. Ada saja hinaan dan kata-kata kesat yang melempariku.
Kelibat Razali semakin mendekat. Senyuman sinisnya membuatkan hatiku tidak tenang.
“Jom! Ikut saya balik!” Tanpa salam, tanpa senyuman, itulah ayat pertamanya ketika melihat aku.
“Tak nak!!” aku bertegas.
“Kau tu tunang aku! Ikut je!!” Terus dia menarik tanganku.
Aku terus meronta agar dilepaskan. Sungguhpun aku ini tunangannya, dia tak berhak bertindak biadap begitu! Aku tetap bukan isterinya lagi!
“Abang….! Sabar!!” Dalam ketegangan itu, tiba-tiba muncul seorang lelaki yang terus menerpa pada kami dan meminta Razali melepaskan aku.
“Kau jangan masuk campur!!” Razali menengking pemuda itu. “Kau buat apa kat sini?! Aku suruh kau tunggu kat luar!!”
“Abang….lepaskan dia, bang.” Aku lihat pemuda itu bersungguh-sungguh meminta agar aku dilepaskan. “Kalau abang tak lepaskan dia, saya panggil sekuriti!” Akhirnya, pemuda itu menggunakan ayat berbau ugutan sehingga menyebabkan razali melepaskan tanganku.
“Balik rumah nanti, siap kau aku kerjakan!!” Razali menunding jari telunjuk tepat di muka pemuda itu. Aku hanya memerhatikan dengan rasa simpati.
“Terima kasih,” ucapku pada pemuda itu setelah Razali pergi. Pemuda itu tersenyum.
“Tak mengapa. Maafkan abang saya…” pemuda itu memohon maaf bagi pihak Razali.
Abang? Seingat aku, Razali itu anak tunggal. Tapi, mengapa pemuda ini membahasakan Razali abang? Tak mungkin Razali itu abangnya!
“Saya, Yusuf.” Pemuda itu mengenalkan namanya. Aku hanya mengangguk. “Awak balik dengan kereta?” Aku mengangguk lagi. “jom saya temankan hingga ke sana.”
Aku terus terpaku. Dia nak temankan aku? Aku kenal pun tidak!
“Awak jangan risau. Saya tak berniat jahat. Saya Cuma nak pastikan awak selamat.” Dia tersenyum bagai dapat membaca apa yang terlintas di fikiranku. “Demi Allah, Tuhan Yang Menciptakan Langit dan Bumi serta segenap isinya. Saya berniat baik.”
Aku dapat melihat ketulusan dari kejernihan matanya. Aku mengangguk lalu mengorak langkah. Dia membontoti aku di belakang.
Sampai sahaja di parkir, kelibat Razali menunggu di tepi keretaku. Langkah aku terhenti. Melihat kelibat aku, Razali pantas menghampirinya. Mulanya aku ingatkan dia mahu mencari pasal lagi denganku. Tapi aku silap. Terus sahaja langkahnya dihalakan mendekati Yusuf. Terus sahaja leher baju Yusuf di cekaknya dengan geram. Aku hanya mampu memerhatikan.
“Kau dengar sini Yusuf! Kau jangan masuk campur urusan aku dengan perempuan ni! Dia tunang aku!!”
“Tunang tak bererti abang boleh lakukan sesuka hati pada dia.” Tegas Yusuf kembali.
“Oh….jadi kau nak tunjuk herolah pulak?!” sindir Razali. Yusuf hanya diam. “Ingat Yusuf, sedar diri sikit. Kalau ikutkan hati aku, bila-bila masa aku boleh halau kau, tahu!!” Leher baju Yusuf dilepaskan dengan kasar.
“Kau dengar sini Lisa.” Razali memandang aku pula. “Aku takkan pernah buat kau bahagia! Kau tu perempuan sial!” Razali berlalu pergi. Memang dari dulu itulah gelaran dia padaku, perempuan sial! Apa yang telah aku buat pada dia sampai dia begitu benci dengan aku? Aku memandang Yusuf.
“Awak okey?”
Yusuf hanya tersenyum sambil mengangguk. Melihat senyuman Yusuf aku juga turut tersenyum. Dalam keadaan begini pun, Yusuf masih boleh tersenyum?
“Awak siapa sebenarnya, Yusuf?”
“Saya, adik Razali. Tapi berlainan ibu,” ujarnya. Barulah aku mengerti bentuk hubungan antara mereka berdua.
“Apa yang berlaku sebenarnya?” Aku memang keliru denagn apa yang terjadi. Razali muncul di depanku bersama kata-kata hinaan dan meminya aku mengikutnya. Kemudian, muncul Yusuf untuk menyelamatkan. Aku kira, Razali berniat jahat padaku dan Yusuf yang mengetahui rancangan jahat Razali cuba menyelamatkan aku. Itulah yang dapat aku baca dari sikap Yusuf yang membisu apabila aku bertanya tentang itu.
Aku memandang Yusuf, cuba mencari ikatan persamaan dua beradik yang berlainan ibu itu. Nyata, raut wajah yang kelihatan bersih itu tidak menunjukkan apa-apa. Entah apa yang tersimpan dalam sejarah kehidupan mereka.
“Saya tak pernah tahu yang Pak Su ada isteri yang lain.” Aku cuba mencungkil rahsia pemuda di depanku ini.
“Saya pun tak pernah tahu ayah saya ada isteri lain selain dari arwah ibu saya,” ujar Yusuf. Arwah? Maknanya, ibu Yusuf dah meninggal!
“Bila arwah ibu….” Aku mahu bertanya tapi kata-kata ku hanya tersangkut di separuh jalan.
“Sejak usia saya tiga belas tahun,” ujar Yusuf tanpa perlu menunggu aku menyudahkan ayatku. “Sejak itu, barulah saya tahu ayah ada isteri yang lain. Ibu saya meninggal tanpa mengetahui dia bermadu. Saya pun tahu, bila ayah bawa saya tinggal bersama dengan mereka.”
Aku hanya terdiam. Mak dan abah tak pernah beritahu apa-apa tentang itu. Mungkin juga mereka tidak tahu kerana hubungan keluarga kami dengan keluarga Pak Su sudah renggang lama dahulu.
“Beginikah cara mereka layan awak?” Layanan Razali begitu kasar pada Yusuf. Beginikah Yusuf dilayan sejak dia tinggal dengan mereka?
Yusuf hanya tersenyum.
“isteri mana yang tak marah bila tahu dirinya telah diduakan. Walaupun ibu saya dah meninggal, pasti rasa cemburu itu masih ada. Begitu juga dengan Razali. Selama ni, dia menyangka dia anak tunggal, tapi…..tiba-tiba saja saya muncul.”
Dari ayatnya sahaja aku sudah tahu dia dilayanan dengan tidak adil.
“Tak apalah….” Yusuf masih terus tersenyum. “lupakan cerita saya. Saya mahu awak berhati-hati. Kalau boleh, jangan jalan sendirian. Kalau ada apa-apa, awak boleh telefon saya.” Dia menghulurkan sekeping kad padaku. “Saya minta diri dulu. Assalamualaikum….”
Yusuf, dia kelihatan begitu tenang sekali. Tidakkah dia merasa terseksa, dendam dan marah dengan setiap perlakuan jahat mereka padanya?
“Timbul tenggelam, timbul tenggelam
Acapkali terpendam, acapkali tersergam
Cermin muka kopak penuh bintik hitam
Ini bukan lagu rindu, ini madah dendam”
Setelah Yusuf pergi, baru aku teringat yang aku masih belum berterima kasih padanya. Kemudian, aku pulang ke rumah.
Tiba sahaja di rumah, aku lihat abang dan Kak Maziah ada di rumah. Mungkin inilah kesempatan aku untuk bercerita tentang kelakuan buruk Razali padaku. Biar abang tahu, nasib apa yang telah mereka tentukan untuk hidupku.
“Razali datang cari Lisa,” ujar aku setelah bersalaman dengan mereka dan berbahasa seketika.
“Baguslah,” ujar abang. “Sebelum kahwin, lebih baik mengenali antara satu sama lain. Barulah dapat sesuaikan diri nanti.”
“Masalahnya, bang….Razali berniat jahat dengan Lisa!” benci aku dengan sikap abang yang mementingkan diri itu. Apa yang ada di fikirannya hanya mahu aku bernikah dengan Razali dan dapatkan harta arwah atuk. “Ini bukan kali pertama dia ganggu Lisa!”
“Betulkah Lisa?!” Riak wajah mak sudah menunjukkan kerisauan.
“Tak ada apalah mak! Lisa ni saja yang suka salah sangka dengan orang!” Abang mengerling aku. “Apa yang dia dah buat dekat kau?! Dia peluk kau?! Dia cium kau?! Ada dia buat macam tu?” tanya abang dengan kasar. Nasib baiklah abah tak ada di rumah. Kalau tak, tentu perang besar nanti. Abah paling tak suka jika dia menggunakan kuasanya padaku dengan cara begitu. “Hah!! Tengok!! Kau saja je suka ada-adakan cerita!!” ujar abang bila aku membisu. “Sajalah tu, tak nak kahwin. Kau tahu tak, masa depan kau cerah kalau kahwin dengan Razali. Bukan saja harta atuk kau dapat, harta Razali jugak!”
Balik-balik, itu saja yang difikirkan abang. Harta! Harta! Harta! Entah apalah yang telah dicucinya Kak Maziah pada fikiran abang sehingga kemewahan dunia saja yang difikirkannya!
“Ku ditimbang tanpa neraca diawal usia
Ku dihukum masuk neraka oleh manusia
Minta tunjuk lubang atau pintu tak dapat jawapan jitu
Jadi aku tak berganjak biarkan saja begitu”
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
Hujung minggu itu, aku dijemput olek Mak Su untuk bertandang ke rumahnya. Mulanya, Mak Su datang berbual dengan mak. Ketika mahu pulang, Mak Su meminta izin mak dan abah untuk bawaku sekali. Aku memang keberatan untuk mengikut Mak Su, kalau aku ke sana pasti aku akan bertemu dengan Razali. Kalau boleh, aku mahu mengelak dari berjumpa dengannya.
Tapi, setelah dipujuk mak barulah aku bersetuju. Satu hari nanti, Razali tetap akan jadi suami aku. Nak tak nak, setiap hari aku perlu melihat wajahnya.
Sampai sahaja di rumah Mak Su, terus aku tercari-cari kelibat Razali. Bukan kerana aku kepingin untuk melihatnya, sekadar mahu memastikan kehadirannya. Setelah merasakan dia tiada di rumah, barulah aku menarik nafas lega.
“Lisa….” Mak Su menarik tanganku. Aku mengikut langkahnya dan duduk bertentangan dengan Mak Su di sofa. “Tentang wasiat arwah atuk tu, Mak Su nak minta kerjasama dengan Lisa.”
“Kerjasama?” Rupanya Mak Su punya tujuan membawa aku ke sini.
“Mengikut wasiat arwah atuk. Harta peninggalannya akan dapat pada kita sekeluarga jika Lisa dan Razali bersatu sebagai suami isteri. Lisa tahulah kan….Razali dah ada teman wanita. Jadi, kalau boleh Mak Su nak buat sikit perancangan. Ini semua demi masa depan Lisa juga. Mak Su tahu, Lisa dan Razali dari kecil memang tak ngam!”
“Jadi?” Aku mula menghidu sesuatu yang tidak enak di sebalik percakapan Mak Su.
“Harta peninggalan arwah akan dapat setelah Lisa dan Razali bernikah selama dua tahu. Bila dah dapat harta tu, Lisa mintalah cerai dengan Razali. Kamu berduakan sama-sama tak boleh pandang antara satu sama lain. Lepas tu, Lisa boleh cari suami lain untuk Lisa.”
Senangnya Mak Su berkata. Bukan dia yang berada di tempatku sekarang. Jadi, selama ni tidak terdetik langsung di dalam hati Mak Su untuk ikhlas berbaik dengan keluargaku terutamanya sekali mak. Walaupun kami tahu niat mereka, tapi jauh di sudut hati kami masih tersimpan secebis harapan agar Mak Su dan Pak Su akan ikhlas menerima kami.
“Maafkan mereka, mereka tidak tahu
Mereka tidak ramas buku, mereka segan ilmu
Mereka tidak fasih malah fasik guna kata
Kita kongsi nama bangsa tapi tidak kasta bahasa”
“Macam mana kalau Razali tak nak lepaskan Lisa?” Aku masih ingat janjinya untuk tidak akan membahagiakan aku. Jika begitu dendam yang tersimpan, adakah harapan aku untuk mendapat masa depanku semula?
“Razali akan lepaskan Lisa! Itu janji Mak Su!” Beria-ia benar dia berkata. Sekarang ni, bolehlah nak berjanji segala. Esok ni, bila semua harta dah dapat, lain cerita pula akan muncul.
Sekarang ini, barulah aku mengerti mengapa Razali bersikap begitu. Di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Pak Su dengan cara Pak Su yang gila perempuan. Pernah abah menegur sikap Pak Su, itulah yang menjadi punca perpecahan keluarga mak dan Mak Su. Kedua beradik ini terus bermusuhan bila masuk campur urusan suami masing-masing.
Mak Su pula, terlalu mata duitan. Sama seperti sikap abang sekarang. Apa saja yang dia lakukan, yang penting wang yang menjadi sandaran. Kerana sikap mereka berdualah, muncul Razali yang begitu biadap perlakuannya. Bukan sahaja dengan aku, malah dengan mak dan abah pun dia tidak tahu untuk bersopan.
“Yusuf!!!” Tiba-tiba suara deras Mak Su melaung pada seseorang. Aku menoleh memandang ke belakang. Terlihat seraut wajah yang pernah menghulurkan budinya padaku.
Yusuf mengukirkan senyuman buatku.
“Eh, Yusuf!!” Mak Su mencekak pinggang. “Kau ke mana hah?! Dah tiga hari kau tak balik! Kau ingat rumah aku ni hotel?!” Mak Su terus menerus menghemburkan kata-kata kesat pada Yusuf. Yusuf pula, hanya tunduk membisu.
Aku jadi termalu sendiri. Kenapa Mak Su tergamak menjatuhkan air muka Yusuf di depanku? Kalau pun Yusuf melakukan kesalahan, tak bisakah dia menegur dengan cara yang berhemah. Yusuf bukan budak kecil lagi!
Tabahnya hati kau Yusuf. Kau terus mendiam begitu biarpun dirimu dihina dengan kata-kata nista. Aku sendiri tidak sanggup mendengar umpat caci yang keluar dari bibir Mak Su sehingga aku menutup kedua telingaku. Di tempat inikah aku akan menghabiskan masa depanku? Bersama keluarga inikah?
“JOM!” ujar Yusuf. Aku memandangnya.
Mak Su dah lama keluar setelah menerima panggilan dari temannya. Dia menyuruh Yusuf untuk menghantarku pulang.
Kami hanya membisu ketika dalam perjalanan. Dia melayan perasaannya begitu juga dengan aku. Sampai saja di suatu tempat, Yusuf menghentikan keretanya. Bila aku merasakan kereta sudah tidak bergerak lagi, barulah aku mengangkat kepala memandang sekeliling.
Kini, kami berhenti di sebuah tasik di bawah pohonan yang besar. Aku memandang pada Yusuf yang sedang tersenyum memandangku.
“Awak dah fikir panjang untuk terima wasiat arwah atuk awak?” tanyanya.
Aku terdiam, memandang jauh pada tasik yang tenang itu.
“Apa yang membuatkan awak menerima wasiat tu sampai sanggup awak bertunang dengan Razali walaupun….” Satu hembusan nafas keluar dari bibirnya. “Kerana harta?” Yusuf berterus terang pada persoala yang mahu ditanyakan sehingga membuat aku berpaling memandangnya.
“Tak! Saya langsung tak peduli tentang harta tu!” Aku mengurut dahiku. “Saya hanya mahu hubungan mak dan Mak Su seperti adik beradik yang lain. Awak tentu tahu, keluarga kami telah lama berenggang?”
“Awak yakin, bila awak menerima Razali, keluarga awak boleh bersatu semula?”
Aku memang tidak yakin tentang itu. Malah begitu juga dengan mak dan abah. Namun, kami masih menyimpan sedikit harapan.
“Awak dan Razali terlalu berbeza.” Aku menukar topik.
“Uh?”
“Kamu berdua, berkongsi satu ayah tetapi sikap kamu berdua tetap tidak sama.” Aku memandang Yusuf. “Maaf kalau saya bertanya. Sejak dari usia awak tiga belas tahun, begitukah cara Mak Su melayan awak?” aku masih teringat kata-kata nista Mak Su yang dilemparkan buat Yusuf.
Yusuf hanya membisu.
“Pak Su tak kata apa-apa?” Masakan Pak Su langsung tak ambil peduli dengan sikap isterinya pada anaknya?
“Ayah saya sibuk orangnya. Sampaikan hal anak isteri langsung tak diambil peduli. Manalah dia ada waktu nak ambil tahu tentang saya. Dari kecil, bila saya dibuli abang, ayah hanya kata, saya anak lelaki. Saya perlu pandai membela diri.”
Menurut pendapatku, jika sedari kecil Yusuf diperlakukan sedemikian rupa, mungkin dia akan membesar menjadi orang yang kasar dan bercampur dengan orang yang tak tentu hala hidupnya. Tetapi Yusuf ini, penuh dengan tertip tutur kata dan budi bahasa.
“Tapi saya bersyukur. Tak lama lepas saya berpindah ke rumah Mak Su awak, ayah hantar saya ke sekolah asrama bila Mak Su selalu mengadu tentang saya. Mungkin dia nak ambil jalan mudah. Saya pun tak belajar tinggi macam abang saya. Setakat sekolah agama, dan sekarang saya mengajar di madrasah rendah.”
Bagi aku, Yusuf yang tak belajar tinggi ini lebih patut dihormati dari Razali yang kasar dan biadap itu! Aku lebih rela kalau dipaksa kahwin dengan Yusuf dari Razali. Tapi sayangnya, Yusuf bukan darah daging arwah atuk.
“Kenapa awak masih tinggal dengan mereka? Awak dah bekerja, boleh berdikari sendiri. Carilah rumah lain!” Kenapalah Yusuf menyeksa dirinya sedemikian rupa. Kalau dia keluar dari rumah itu, tentu hidupnya lebih aman.
“Itu sama saja dengan lari dari masalah. Ayah, Mak Su awak dan abang saya Razali tetap akan membenci saya kalau saya keluar dari rumah tu. Silap-silap, hidup saya lebih teruk. Apa yang saya harapkan, suatu hari nanti mereka akan berubah. Saya perlu ada bersama mereka. Untuk menyedarkan mereka tentang nilai kasih sayang sesama manusia.”
Murninya sekeping hati yang dimiliki Yusuf.
“Itu yang awak fikirkan. Tapi bukan mereka.” Aku tetap tegak dengan pendapatku.
“Tak mengapa. Saya akan cuba sedaya upaya. Jika tak berjaya dan sampai masanya. Jika Allah takdirkan saya keluar dari rumah tu, saya akan keluar juga. Tapi, selagi saya masih mampu berdiri di situ, saya akan usahakan.” Yusuf tersenyum. “Apa saja yang mereka lakukan pada saya, saya maafkan saja. Tak guna kita berdendam. Sepatutnya kita kasihan pada orang-orang seperti itu, yang meletakkan dunia ini sebagai tujuan hidupnya sedangkan jalan kita yang sebenar adalah menuju kepadaNYA.”
“Maafkan mereka, mereka tiada nilai
Ibu bapa lalai dari kecil dah diabai
Tanpa kasih sayang mereka suka menyakiti
Kita kongsi warna mata tapi tidak warna hati”
Aku terdiam mendengar kata-kata Yusuf. Entah kenapa aku rasakan kata-kata Yusuf yang aku tahu bukan menuju padaku , terkena batang hidungku. Selama ni, memang aku tak suka pada Pak Su dan mak Su kerana sikap mereka pada mak dan abah yang banyak beralah dengan mereka. Aku benci pada Razali yang juga membenci aku. Aku marah pada abang dan Kak Maziah.
Tapi, lelaki disebelahku yang menghabiskan hidupnya bersama keluarga Mak Su, dilayan dengan buruk, caci maki, tetap tidak berdendam atau meletakkan api kemarahan sedikitpun pada mereka.
“Atas kepala murai sekawan
Baling ku rampit kucup lehernya
Terlalu rahi dendam diangan
Sampai terkacip mulut mahirnya”
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
Aku memandang jam yang tergantung di dinding. Suara hiruk pikuk di bahagian bawah langsung tidak mengganggu otak ku yang ligat berfikir. Kata-kata mak, abah dan nasihat Yusuf yang baru menghubungiku tadi terus berpusing memainkan aturannya dibenakku.
Pasti! Aku sangat pasti dengan fikiranku kini. Selama ini aku keputusan aku hanya berlandaskan kebaikan hatiku yang terlalu bersimpati membuta tuli. Kali ini, biarkan akalku yang membuat keputusan demi masa depanku.
“Jangan ahli sihir seru guna nama maharaja
Nanti segerombolan hantu yang menjelma
Guna hak berfikir sebelum hak bersuara
Kalau terpelajar sila guna hak Miranda”
Aku terus menyusun langkahku ke bawah. Aku berdiri di pertengan para tetamu yang sedang sibuk menolong keluargaku menyiapkan majlis resepsi aku dan Razali dua hari lagi.
“Mak! Abah!” Aku panggil kedua orang tuaku yang sedang sibuk itu. Mungkin suaraku yang kuat itu menyebabkan semua mata memandang padaku. Dengan menarik nafas yang panjang, ku kumpulkan sebanyak mana semangat diri. “Lisa tak nak kahwin!!” Akhirnya, keluar juga dari mulutku.
Suasana yang bingit itu tadi, terus sepi. Makcik-makcik jiran yang datang terus tergamam. Para tetamu dudah berpandangan. Mak Su dan Pak Su berubah wajahnya.
Pang!! Razali yang juga ada disitu terus membaling gelas ditangannya. Aku bisa melihat wajah itu berubah menjadi bengis.
“Sabar Zali!!” AKu lihat Pak Su menahan Razali yang mahu mendekatiku. Razali terus melangkah keluar dengan penuh rasa marah apabila hajatnya yang mungkin untuk membelasah aku tidak tercapai.
“Lisa dah habis fikir?” tanya mak.
“Maafkan Lisa mak. Lisa tahu Lisa buat keputusan ni dah terlewat. Tapi…”
“Tak! Masih belum terlewat Lisa.” Mak sudah memeluk aku.
“Apa ni Lisa?!” Abang yang baru muncul terus berang denganku. Mungkin Kak Maziah sudah melaporkan padanya tentang keengganan aku.
“Mie!!” Abah bersuara lantang. “Apa saja keputusan Lisa, abah bersetuju. Kalau kau tak suka, kau boleh pergi dari sini. Bawa isteri kau sekali!!”
Itulah abah dan mak yang sentiasa menyayangi aku. Mereka juga sayang pada abang. Tapi abang yang tak melihat itu. Abang sudah membina keluarganya sendiri, jadi tentulah abah dan mak juga mahu aku membina sebuah keluarga dari lelaki yang bisa menjaga dan melindungiku.
“Apa ni, kak. Habis, macam mana dengan wasiat tu? Macam mana dengan majlis ni?” Mak Su menjeling mak dengan tajam.
“Maaflah kalau Su tak suka. Akak lebih pentingkan masa depan Lisa. Kalau Lisa tak nak, akak takkan paksa. Kalau tentang wasiat tu, akak langsung tak kisah kalau akak tak dapat apa-apa pun.”
“Akak tak kisah?! Habis macam mana dengan kami? Kami pun takkan dapat apa-apa!!” Pak Su pula meninggikan suaranya.
“Itu masalah kamu! Kalau kamu nak sangat dengan harta tu, berbincang dengan peguam. Mungkin ada cara lain.” Abah turut bersuara apabila melihat Pak Su bersikap kasar dengan mak.
“Sudahlah!! Jom kita balik!!” Pak Su memegang tangan Mak Su. “Mulai dari hari ini, keluarga kita takkan pernah bersatu lagi!!” Pak Su dan Mak Su terus berlalu pergi.
“Terima kasih, mak…abah…” Sekali lagi aku memeluk mak. Ketika aku memeluk mak aku terpandangkan susuk tubuh Yusuf yang sedang memerhatikan aku sambil tersenyum.
Aku mengukirkan senyuman buatnya juga. Yusuf menganggukkan kepala, mungkin memberitahuku bahawa tindakan aku itu betul. Terima kasih Yusuf……..
“Pura-pura dengar tapi telan tidak hadam
Hafaz bila lafaz tapi mereka tidak faham
Mereka mula kiri aku kanan bila baca
Sudah mahir rumi mari tafsir alif ba ta”
“BILA?” tergamam aku mendengar cerita Yusuf yang memberitahu dia telah diusir pleh Pak Su dari rumahnya. Kini, Yusuf menyewa di kawasan yang berhampiran dengan madrasah yang diajarnya.
“Baru seminggu.”
Patutlah aku dah lama tak nampak Yusuf setiap kali ke rumah Mak Su.
“Sabarlah Yusuf. Ini semua dugaan Allah untuk menguji hamba-hambaNYA.” Abah memberi kata-kata semangat pada Yusuf.
Aku pernah menceritakan tentang Yusuf pada abah dan mak. Ternyata mereka langsung tidak tahu Pak Su bernikah seorang lagi.
“Apa saja yang berlaku ada hikmahnya Yusuf. Mungkin, inilah masanya kamu keluar dari hidup kamu yang penuh dengan derita itu dan cari satu lagi kehidupan baru. Mungkin Allah mahu menghadiahkan kamu sesuatu.” Abah terus memberi kata-kata semangat pada Yusuf yang sudah terangguk-angguk kepalanya itu.
“Tak apalah pakcik. Apa saja yang mereka lakukan, semoga Allah saja yang dapat menyedarkan mereka.” Dalam keadaan begini, Yusuf tetap mendoakan kebaikan untuk mereka. “Segala hinaan mereka pada saya, saya maafkan dan saya buang jauh-jauh. Mungkin inilah saatnya saya mulakan hidup baru.”
Terus terang aku katakan, kalau akulah yang berada di tempat Yusuf, tak semudah itu aku akan memaafkan. Aku sendiri mendengar dengan telinga aku, melihat dengan mata aku, bagaimana layanan mereka pada Yusuf. Caci maki Mak Su pada Yusuf takkan pernah aku lupakan. Tapi Yusuf…..Dia begitu penyabar orangnya. Begitu tulus hatinya. Mungkin kerana itulah Allah memberi ujian seperti ini pada Yusuf. Bukankah setiap ujian yang Allah berikan pada hambaNYA hanya terbatas kepada kemampuan mereka sendiri? Allahu Akbar…..
“Tapi kita semua, termasuk Yusuf, perlu berhati-hati. Pakcik tak rasa mereka akan berdiam diri dengan apa yang telah berlaku.”
Benar, aku juga merasakan perkara yang sama.
“Ada teratak dihujung kampung
Bawah cermin kopak ada kotak
Tersembunyi di dalamnya ada tempurung
Sembunyi bawahnya katak melalak”
“Macam mana dengan kita pulak bang?” Mak sudah menyuarakan kegelisahannya. “Kad semua dah dihantar. Majlis Cuma tinggal dua hari.”
Kami semua terdiam membisu. Aku bisa menarik nafas lega kerana tidak perlu menikahi Razali. Tapi aku aku masih belum bisa menghembuskannya semula apabila memikirkan air muka keluargaku akan jatuh jika majlis dua hari lagi tidak ada pengantinnya.
“Macam mana kalau awak saja yang kahwin Yusuf. Awak tentu dah ada calon, kan?” Secara spontan ayat itu keluar dari bibirku. Memandangkan Yusuf yang mempunyai perwatakan yang menarik, tentu saja dia punya calon yang tersimpan dalam hatinya.
“Ish!! Mana ada! Kalau ada, memang saya pun nak kahwin!”ujarnya dalam ketawa. “Sebelum awak bertunang dengan Razali, tentu awak dah ada boyfriend. Awak ajaklah dia kahwin!” guraunya lagi.
“Mana ada!” Seumur hidup aku, aku belum pernah bercinta. Pandai-pandai je Yusuf ni!
“Kalau dah dua-dua tak ada calon. Apa kata kamu berdua sajalah yang kahwin!” Tiba-tiba saja abah bersuara.
Aku dan Yusuf berpandangan. Terus aku tertunduk, diam. Aku terkaku di situ. Kalau dengan Yusuf, aku tak kisah. Dia lelaki yang baik. Hati aku memang terasa sesuatu padanya. Tapi, sudikah dia dengan aku? Aku tidak pandai dalam agama sepertinya. Aku hanya gadis biasa, yang pengetahuan agamanya juga sekadar mengikut lima rukun Islam dan enam rukun Iman.
Aku juga perasan yang Yusuf tertunduk seperti aku. Mungkin dia juga merasa malu seperti aku. Aku perasan lirikan mata mak dan abah yang saling memandang kami berdua silih berganti.
“Ni….kalau kira jadi, okey tak?” tanya abah pada mak.
“Kena tanya budak-budak ni jugak. Kang diorang tak suka pulak.”
“Kalau makcik dan pakcik tak keberatan. Boleh saya berbincang dengan Lisa sekejap?” tanya Yusuf.
Abah menarik tangan mak agar meninggalkan kami berdua. Aku masih tertunduk seperti itu.
“Apa pandapat awak tentang rancangan orang tua awak?” tanya Yusuf.
Tiba-tiba saja aku jadi malu untuk mengangkat kepala dan memandangnya.
“Kalau awak jumpa Razali dan dia tahu tentang ni, bagaimana?” aku membelok persoalan kami.
“Saya takkan dapat meramal apa yang akan jadi pada masa depan. Tapi, apa yang pernah terjadi, apa saja yang terjadi, saya akan memaafkan segalanya.” Balas Yusuf. “Kalau awak pula yang berjumpa dengan Razali dan abang awak sendiri?”
“Saya tak mudah untuk memaafkan orang. Kalau saya mahu memaafkan orang, saya perlu menganggap dia tidak wujud dalam hidup saya. Dengan cara tu, barulah saya akan lupakan segala perbuatan dia pada saya.”
“Memang mereka semua membenci saya. Tapi ada kebaikan mereka yang tak dapat saya lupakan. Apatah lagi, saya tinggal di rumah mereka,” sambung Yusuf kemudiannya.
Benar juga kata Yusuf. Memang Razali langsung tak pernah berbuat baik denganku. Mak Su dan Pak Su tetap ada kebaikan mereka padaku walaupun kebaikan yang dihulurkan itu mempunyai niat yang tersembunyi. Tapi aku tetap tak dapat nafikan itu. Abang dan Kak maziah, mereka juga pernah berbaik hati member tempat tinggal untukku.
“Untuk melupakan kejahatan orang pada saya, saya juga perlu melupakan kebaikannya pada saya. Saya tak dapat jadi seperti awak. Yang melupakan kejahatan dan ingat pada kebaikan. Saya hanya mampu membuat mereka semua tidak wujud dalam hidup saya. Dengan itu, mereka tidak ada kebaikan dan kejahatan pada saya.”
“Aku maafkan kamu
Tak perlu kita bertemu cukup kau tahu
Yang aku maafkan kamu
Tolong teruskan hidup jangan sebut namaku”
“Tak apa….saya yakin, suatu hari nanti, awak akan terima juga kebaikan mereka,” ujar Yusuf.
Amiin…aku juga mengharapkan perkara yang sama.
“Jadi, awak sudi menjadi isteri saya?”
“Atas alasan apa? Kerana untuk menutup malu keluarga ni?” walaupun aku sangat senang mendengar pertanyaan itu, aku tak nak Yusuf rasa terpaksa demi menjaga maruah keluarga ku.
“Saya tak punya apa-apa alasan, melainkan saya suka pada awak,” ujarnya.
Hati aku berbunga riang. Jadi, Yusuf juga merasakan perasaan yang sama denganku.
“Saya tak mampu untuk memberi awak kemewahan. Saya hanya guru madrasah. Menyewa di rumah yang kecil dengan gaji yang tak seberapa,” ujarnya.
Aku mengetap bibir. Sejak bila pula Yusuf meletakkan kemewahan dunia pada matlamatku?
“Tapi awak boleh beri sesuatu, kan?”
“Uh?”
“Awak boleh beri agama pada saya dengan membimbing saya agar menuju kepada Allah?”
“Insya Allah, jika itu yang awak mahu.”
“Jika awak boleh melakukan itu, saya percaya, Allah akan sentiasa melimpahkan rahmatnya buat kita.”
“Alhamdulillah….” Satu kata kesyukuran keluar dari bibirnya.
Mungkin, zaman sekarang wang itu terlalu penting. Untuk masuk ke tandas sahaja, masih perlu menggunakan wang. Tapi aku percaya, jika keluarga yang dibina dengan matlamat menuju kepada Allah Yang Satu, takkan ada istilah susah, merempat, tak cukup makan atau apa saja. Rezeki itu datangnya dari Allah, apa yang berlaku, berlaku dengan keizinannya. Bahkan sehelai daun yang gugur ke bumi juga jatuh kerana izin dariNYA. Jadi, di mana istilah kesusahan dan kesempitan hidup jika meletakkan ALLAH pada setiap hembusan nafas. Jika kita diuji dengan kemiskinan sekalipun, pasti kita akan terasa lapang dan menerimanya dengan redha.
best sangat-sangat!!! cepat special n3... nak jugak!!!
ReplyDeletetak best citer berakhir setakat sini aje. buat pembaca tertanya-tanya tau dak!! hohohohohho
setuju sgt2...mcm tergantung......pls sambung2....
Deletebest...
ReplyDeleteTerima kasih untuk komen2 ya....sebenarnya, saya tak berhasrat utk menyambung kisah ini. memang sengaja saya biarkan ia tergantung kerana saya menulis kisah ini hanya berdasarkan bait-bait lagu 'aku maafkan kamu'. namun, Insya-Allah....jika saya punya idea utk menymbung kisah ini, akan saya sambung.....terima kasih banyak2.....;)
ReplyDeletemmg menarik kisah ni...banyak teladan yg dapat di ambil buat panduan...hidup usah lh berpandu kn hati...guna lh akal yg waras...sebenar nyer kisah nih mmg bnyk terjadi...kerna hasad,kerna harta,kerna iman tk kuat didada...maka terjadi segala kisah....syg isteri sanggup jadik ank derhaka...tamak kn harta sanggup berpatah arang ngan kaum keluarga...dosa pahala tk langsung di ambil kira...makin jauh lh kite menempa arah syurga...pandu lh hidup dibawah redha nye.tahniah dik amat2 menarik...
ReplyDeleteSaya amat berterima kasih kepada Dr.Agbazara daripada AGBAZARA TEMPLE untuk membawa kembali isteri saya kepada saya
ReplyDeletehanya dalam tempoh 48 jam. Saya tinggal kehidupan seorang wanita kecewa sehingga i terserempak Dr.Agbazara butiran
kenalan di internet yang i kemudian menjelaskan keadaan saya untuk dan dia memberitahu saya untuk menenangkan
bahawa dia akan mengendalikan segala-galanya, Secara jujur saya tidak pernah merasakan bahawa perkara adalah akan
bersenam secepat dia lakukan, tetapi saya terkejut apabila suami saya memanggil saya dan memberitahu saya bahawa
dia bersedia untuk kembali kepada saya sebagai suami saya. Jadi apa lagi yang saya boleh katakan daripada memberi
terima kasih kepada Dr.Agbazara dan pada masa yang sama saya perlu menggugurkan butir-butir hubungan Dr.Agbazara
yang melalui e-mel: (agbazara@gmail.com) ATAU panggil "+2348104102662" untuk bantuan segera